Sunday, November 26, 2017

255.PUAKA POKOK ARA MENGAMUK


 SUDAH beberapa kali pokok ara di pinggir pekan kecil itu cuba ditebang, tetapi kontraktor yang mahu menebangnya tidak sanggup meneruskan. Memang tidak ada lagi kontraktor yang berani menawarkan diri untuk menebangnya. Terpaksalah pihak berkuasa membiarkan sahaja pokok ara itu tersergam di tepi jaIan sejak beberapa tahun.

Kalau tidak ditebang berbahaya pula pada bangunan dan kawasan perumahan di situ. Setiap kali angin kuat dahannya bergoyang memukul wayar elektrik yang merentang. Manalah tahu kalau wayar elektrik itu akan terputus menyebabkan aliran elektrik mengancam penduduk.

Memang jarang pokok ara tumbuh di tepi jalan hingga merimbun rendang. Biasanya pokok ara tumbuh di tebing sungai sampai akar nya menungkal berjuntai ke air. Haji Maaris cam benar di mana sahaja pokok ara tumbuh di tebing sungai, kalau mahu dibuat ubat.

Asal sahaja orang datang ke rumahnya Haji Maaris tahu benar fasal mahu Iuruhkan termakan bisa. Kadangkala rimas juga dia sampai tidak mahu melayani tetamu yang terlalu mengharapkan pertolongannya. Tetapi Haji Maaris sudah kesihan apabila melihat keadaan tetamunya yang lemah longlai dengan tubuhnya kurus tidak bermaya.

Mereka yang datang menemui Haji Maaris memang termakan bisa santau sejak bertahun-tahun. Haji Maaris tahu benar penyakit yang pasang tenat dengan yang baru mahu menganggu. Kalau sihir santau dengan memuja daging bercampur serbuk kaca dipaku ke lantai keras sampai tidak boleh tanggal, Haji Maaris akan gunakan tali perut ayam.

Dia akan memancing dengan tali perut ayam sampai paku terlekat itu tertanggal. Sebaik sahaja paku itu tertanggal, dia akan merentap tali perut ayam yang dihulurkan ke kerengkung pesakit. Sekaligus nescaya pesakit itu akan termuntah melambak sampai keluar semua serbuk kaca bercampur miang rebung dan bulu ulat.

Tetapi kalau ramuan biasa, Haji Maaris akan mencari akar pokok ara. Dia akan merbebusnya sampai mendidih. Kemudian air rebusan akar pokok ara itu diperah kelapa parut dijadikan santan. Setelah didoakan santan kelapa perah air akar pokok ara, Haji Maaris akan menyuruh orang yang sakit meminumnya.

Tidak sampai setengah jam orang itu akan melambak muntah darah ber-campur serbuk kaca malah ada rambut segumpal juga. Kadangkala sampai tercirit-cirit sekiranya perut memulas-mulas tidak menentu. Memang sesiapa sahaja termakan bisa santau tahu benar Haji Maaris memerlukan akar pokok ara itu.

Kalau tidak kenang pokok ara tepi jalan itu mengganggu, memang Haji Maaris tidak benarkan kontraktor menebangnya. Apalah salahnya pokok ara itu tersergam di situ. Setidak-tidaknya dia boleh mencongkel akarnya dibuat ubat rebus untuk memerah santan kelapa. Ada juga jasa nya pokok ara itu tersergam merimbun rendang di tepi jalan berkenaan.

Tetapi perintah pihak berkuasa tidak boleh dibantah. Pokok ara itu mesti ditebang juga asal sahaja kawasan perumahan di situ tidak diancam aliran elektrik tatkala angin bertiup kencang. Dahan pokok ara itu akan bergoncang kuat hingga memukul wayar elektrik.

Sudah beberapa kali penduduk di situ membuat bantahan supaya pokok ara berkenaan ditebang biar tersemban ke bumi. Tetapi sudah beberapa orang kontraktor tidak sanggup mahu menebangnya. Rantai gergaji Udin Tenyeh yang mengambil upah menebang pokok ara itu tiba-tiba sahaja putus hingga berkecai macam kacang kuda sebaik sahaja disorongkan ke dahan pokok ara itu.

Tiga hari Udin Tenyeh demam sampai panas seluruh badan. Dia meracau-racau ketakutan sepanjang malam hingga tidak dapat melelapkan mata. Bukan Udin Tenyeh sahaja mengalami kejadian demikian, Ah Peng yang borak besar itupun terkencing dalam seluar apabila gergaji mula disorong ke dahan pokok.

Terjerit Ah Peng apakala melihat dahan pokok ara itu sama dengan paha isterinya. Tidak anggup Ah Peng meneruskan mahu menebang pokok tersebut. Biarlah dia tidak mendapat upah, asal sahaja gangguan ketakutan tidak meracau dalam benaknya. Balik sahaja ke rumah bertambah bingung Ah Peng apabila isterinya Siew Moi terpaksa diusung ke hospital apabila terjatuh di dapur. Tiba-tiba sahaja pahanya tersendal pisau pemotong daging.

"Saya tak berani nak tebang pokok ara tu," jelas Ah Peng apabila kenankan paha isterinya terpaksa dijahit sampai lapan belas jahitan.

"Upah sepuluh ribupun, saya tak mahu," tegas Udin Tenyeh apakala perkara mahu menebang pokok ara itu ditawarkan lagi oleh penghulu.

"Ah, takkan pokok berpuakal" Suman Boceh bernekad mahu mencuba setelah tidak ada siapapun sanggup menebang pokok ara tersebut.

Memang menempah maut sahaja kalau siapa gagahi menebang pokok ara tersebut. Semua orang di daerah kecil itu percaya sangat dengan puaka pokok ara yang boIeh membawa geruh. Mereka lihat sendiri rantai gergaji Udin Tenyeh putus menjadi seperti kacang kuda sebaik sahaja disorong memotong dahan.

Ah Peng juga mengalami kejadian aneh apabila isterinya Siew Moi hampir putus paha tersendal ke pisau pemotong daging di dapur tatkala mata gergaji ditonyoh ke dahan pokok ara. Bukan Ah Peng dan Udin Tenyeh sahaja diuji puaka pokok ara berkenaan, malah Muniandi yang bersembah di kuil sebelum menebang pokok ara berkenaan juga terhumban dari dahan hingga patah rusuk.

Tiba-tiba sahaja tangan Muniandi menggeletar sampai gergaji di tangan jatuh terpelanting ke tanah. Dia juga tidak dapat bertahan terus terjun akibat kaki goyah memijak dahan. Tiga hari Muniandi tidak sedarkan diri setelah jatuh ke tanah. Tatkala terlantar di hospital akibat patah rusuk, Muniandi tidak mahu lagi sebut fasal menebang pokok ara di tepi jalan.

"Saya nampak ular sawa dekat itu dahan," jelas Muniandy selepas dua tahun berlalu peristiwa dia gaga! menebang pokok ara berkenaan.

"Apa fasal awak tak gergaji ular tu?" sengaja Suman Boceh mahu menguji lelaki tersebut.

"Awak gilakah mahu lawan puaka?' terasa juga kecil hati Muniandi apabila Suman Boceh seolah olah tidak mahu mempercayai dirinya.

Tentu Suman Boceh tidak melihat bagaimana ular sawa sebesar batang pinang itu berlingkar di dahan tempat dia berpijak. Kakinya betul-betul jejak di atas belakang ular berkenaan dengan lidahnya terjelir di atas kepala. Masakan dia dapat bertahan tatkala nyawanya terancam.

Cepat-cepat dia mencampakkan gergaji di tangan Iantas melompat ke bawah. Ketika ini mereka yang melihat Muniandi menebang pokok sekadar nampak gergaji terpelanting dari tangannya. Tiba-tiba pula Muniandi tergelincir terus terhumban ke bawah hingga tertiarap ke tanah.

Siapapun tidak melihat ular sawa berlingkar di dahan tempat kaki Muniandi berpijak.

"Awak tolong saya pegang tali, biar saya panjat," beritahu Suman Becoh mengajak kawannya itu ambil upah kontraktor menebang pokok ara tersebut.

"Kalau saya mahu, dulu lagi saya sudah tebang," Muniandi tetap enggan membantu siapapun kalau mahu menebang pokok ara berkenaan.

Hampa juga Suman Becoh disebabkan tidak ada sesiapapun yang sanggup membantunya menebang setelah menerima tawaran penghulu. Muniandi bukan kepalang orang kalau takat menebang pokok tersergam besar. Siapa yang mampu menebang pokok kelapa dikerat kabung dari atas ke bawah, kalau bukan Muniandi.

Apa sangat pokok besar berdahan banyak yang mudah dianggit dengan tali, kalau bandingkan menebang pokok kelapa dikerat kabung dari atas ke bawah!

Sudah beberapa kali Muniandy ambil upah kontraktor menebang pokok, apabila tidak ada siapa yang sanggup. Sekiranya Ah Peng atau Udin Tenyeh menolak, memang Muniandi akan menerima tawaran. Dia tahu benar kalau Ah Peng atau Udin Tenyeh sudah menolak tentulah pokok yang hendak ditebang berpuaka keras.

Muniandi tidak bimbang apa. Dia akan bawa mumbang kelapa dengan bunga tujuh jenis ke kuil. Dia akan pecahkan mumbang kelapa itu di tengah kuil biar semua puaka tidak berani mengganggu. Belum pernah Muniandi gagal menebang pokok kalau sudah pecahkan mumbang kelapa kuil, lantas ditaburkan dengan bunga tujuh jenis.

"Itu pokok tak ada puaka, mana ada puaka!" Suman Becoh bersemangat mengajak Muniandi.

"Tak ada puaka, awak tebanglah sendiri..." sahut Muniandi pula men-cabar kawannya itu.

"Satu orang susah lah sikit," jelas Suman Becoh perlahan.

"Awak panggillah lain orang," ujar Muniandi semacam mengejek.

"Lain orang tak pandai macam awak," lantas Suman Becoh memuji-muji dengan harapan Muniandi sanggup membantunya.

Tetapi Muniandi sudah membuat keputusan tidak akan menebang pokok ara yang telah mem-bawa nahas kepadanya. Masih terasa lagi kakinya berpijak di atas belakang ular sawa, tatkala naik ke atas dahan mahu menyorong mata gergaji. Kalau bukan puaka itu menjelma macam ular sawa berlingkar, masakan dia berpijak di atas belakang ular!

Tentu siapapun tidak dapat melihat kejadian yang dialaminya itu, sampai dia terpaksa campakkan gergaji ke bawah. Dia juga melompat mahu selamatkan diri hingga terjerembap ke tanah sampai patah tulang rusuk.

Tidak pernah Muniandi mengalami kejadian demikian sejak mengambil upah kontraktor menebang pokok. Bila-bila sahaja dia sanggup memikul gergaji kalau dipelawa. Apalagi kalau memangkas batang kelapa kerat berkabung dengan kapak dikilir tajam. Orang-orang yang melihat tentu cemas tatkala batang kelapa terpenggal pucuk terhayun laju laksana pelantik di tengah belukar disinggahi kijang.

Selagi hayunan tunggul pokok kelapa tidak berhenti, Muniandi tetap berpaut dengan pinggang terikat kukuh ke batang kelapa. Memang semua orang kagum dengan kebolehan Muniandi memangkas pokok kelapa kerat berkabung.

Setelah Muniandi menolak, Suman Becoh tidak mudah putus asa. Biarlah Muniandi atau Udin Tenyeh tidak mahu membantu, dia tetap akan buktikan pokok ara berkenaan tidak berpuaka apa-apa. Perkara berpuaka hanya disebabkan kepercayaan kepada tahyol semata-mata, hingga masing-masing lupa hanya Allah sahaja yang Maha Berkuasa.

Dia tidak perlu menabur beras kunyit di keliling pokok sebaik sahaja memanjat pokok dengan kapak terselit di pinggang. Dengan kapak taran sehasta itulah Suman Becoh memanjat ke dahan besar. Tidak bertangguh dia menetak ranting-ranting hingga luruh tidak bersisa.

Satu-satu nya yang membantu dia hanya Sarit Longgok anak muda tiga suku yang tidak bimbang apa-apa. Pantang sahaja diajak ke manapun, dia tidak akan membantah asal sahaja boleh mendatangkan wang. Hatta diajak menjerat babi hutan Sarit Longgok tidak peduli apa-apa pantang larang.

Marah juga ayah tirinya Leman Uban apabila diberitahu Sarit Longgok ikut Kim Wah menjerat babi hutan di tengah belukar. Tetapi Sarit Longgok tidak peduli sangat dengan leteran ayah tirinya. Dia sekadar temankan Kim Wah ke hutan, bukannya menerima upah jual daging babi hutan yang dapat dijerat oleh kawannya itu.

Jauh di sudut hati Sarit Longgok dia mahu sangat me-mastikan babi hutan tunggal itu turun ke air dengan rantai besi di leher. Dukun Polon yang beritahu dia fasal rantai besi terkalung di leher babi tunggal. Tatkala babi tunggal itu turun ke air rantai besi itu akan ditanggalkan.

Dia mesti beranikan hati mencuri rantai besi tersebut biar babi hutan tunggal terpinga-pinga. Kalau rantai besi sudah ada dalam geng-gaman, sekaligus babi tunggal itu tidak akan terangkat kaki mahu menerkam dia. Bukan takat babi hutan sahaja, malah apapun binatang liar di tengah hutan akan menyusup kepala ke bawah perut apabila berdepan dengannya.

"Kau makan duit babi, ye Sarit?" jerkah Leman Uban terkilan sangat kerana seisi kampung sebut fasal Sarit Longgok terima duit jual babi Masakan dia sengaja mahu temankan Kim Wah ke hutan kalau tidak menerima satu sen apa.

"Siapa yang cakap macam tu, pakcik," rungut Sarit Longgok apabila dituduh makan duit jual babi. Tidak pernah satu sen pun dia terima daripada Kim Wah kalau fasal menjual babi hutan terkena jerat.

"Kalau kau tak berduit pun, duduk di rumah ni dapat makan, Sarit," Mak Jimah pula berleter panjang disebabkan tidak tertahan dengan umpat keji seisi kampung.

"Hah, akupun masih mampu nak tanggung kau," ujar Leman Uban menggertap bibir. Malu juga dia apabila seisi kampung menuduh anak tirinya makan duit jual babi.

"Jangan dengar cakap orang," gerutu Sarit Longgok mencebek bibir.

Biarlah seisi kampung tuduh dia terima duit jual babi daripada Kim Wah. Mereka sekadar mahu mengumpat keji asal sahaja melihat orang lain senang. Kalau tidak umpat keji bagaikan tidak sempurna me-reka tinggal dalam masyarakat kam-pung.

Tentu mereka tidak tahu dia sanggup temankan Kim Wah menjerat babi ke hutan fasal rantai besi terkalung di leher babi tunggal. Dia percaya betul dengan petua Dukun Polon sekiranya dapat rantai besi babi tunggal tidak ada taring binatang boleh lut kalau mengerkah. Sia-sia sahaja harimau panjang tujuh menerkam kalau dia ke hutan, sekiranya taring harimau itu patah tidak bersisa.

Kalau tidak kenangkan rantai besi terkalung di leher  babi tunggal itu memang Sarit Longgok tidak tergerak hati mahu temankan Kim Wah ke hutan. Biarlah dia terpaksa berulang alik ke hutan asal sahaja hajatnya mahu menemui rantai besi itu termakbul. Bukan mudah mahu dapatkan rantai besi yang sentiasa terkalung di leher babi tunggal itu.

Sarit Longgok tahu benar peristiwa abang Kim Wah diserbu babi tunggal tatkala memburu di hutan. Beberapa kali ditembak hingga singgah di tengkuknya, tetapi babi tunggal itu tidak rebahpun ke bumi. Dia terus menerkam ke arah abang Kim Wah yang bertahan di perdu pokok.

Sekaligus babi tunggal itu menyondol ke pangkal paha abang Kim Wah, hingga melekat tidak boleh lekang. Jeritan abang Kim Wah melangsing di tengah hutan, tetapi kawan-kawan yang bertahan di atas pokok tidak berani turun membantu. Mahu melepaskan tembakan mereka bimbang peluru akan mengenai ke kepala abang Kim Wah pula.

Sampai abang Kim Wah terbaring lembik menjadi mayat barulah babi tunggal itu lepaskan gigitan di pangkal paha. Terburai daging paha  abang Kim Wah dikerkah taring babi hutan itu. Ketika babi tunggal melarikan diri ke dalam belukar Kim Wah juga lepaskan tembakan dari atas pokok. Dia nampak peluru penabur menyinggahi punggung babi berkenaan, tetapi binatang itu tidak rebah apa-apa. Kim Wah bersama kawan-kawannya menunggu hingga hampir satu jam baru turun ke perdu pokok mendapatkan mayat abangnya.

Bimbang juga mereka mahu turun tatakala babi tunggal tengah mengaruk. Siapaa sahaja mahu membantu tentu dikerkah tidak bersisa. Sebab itu mereka terpaksa tunggu sehingga binatang itu betul-betul jauh meninggalkan perdu pokok.

“Mana boleh dekat dengan babi tu," Kim Wah ingatkan Sarit Longgok disebabkan bersung sungguh sangat mahu mengendap babi tunggal turun ke air. "Lu belum sempat lari, dia sudah terkam macam saya punya abang," beritahu Kim Wah menasihatkan kawannya itu supaya tidak membahayakan diri sendiri.

"Lu mana tahu Kim Wah," ujar Sarit Longgok mencemik muka. Tersinggung juga dengan tanggapan kawannya itu seolah-olah mahu perkecilkan kemampuan dia. Masakan dia bodoh sangat mahu melintas di depan babi tunggal semata-mata mahu meragut rantai besi terkalung di lehernya.

"Ada masa pasang jerat pun, babi tu boleh lepas," jelas Kim Wah gementar juga apabila kenangkan habi tunggal terkena jerat mudah sahaja melepaskan diri. Sebaik sahaja terlepas dari cerutan babi tunggal itu akan mengendap tengah belukar menunggu mangsa melintas. Siapa sahaja yang menjengah jerat sudah tentu akan diterkamnya melepaskan dendam yang bersarang di hati.

"Saya bukan mahu lawan sama dia," beritahu Sarit Longgok tersengih-sengih

"Lu tak mahu lawan, tapi dia mahu lawan," terkekeh-kekeh Kim Wah menyindir kawannya yang berdegil sangat mahu mengikut dia ke hutan menjerat babi.

Tetapi Kim Wah tidak bermimpi mahu menjerat babi tunggal yang tidak lut ditembak dengan senapang laras satu. Biarlah dapat babi hutan biasa yang tidak berbahaya apabila terkena jerat. Terkiak-kiak sahaja babi itu sebaik sahaja kakinya disambar tali jerat sampai kaki terkangkang dengan muncung cecah ke tanah.

Ketika ini Kim Wah akan datang menghunus parang dan menetak kepala binatang itu. Sekali tetak sahaja sudah tentu babi itu terkulai kepala tidak dapat melawan. Lainlah kalau babi tunggal meranduk belukar. Jangankan mahu terkena jerat, melalui denai itupun babi berkenaan tidak tempuh.

Kalau babi tersebut berdendam tiba-tiba sahaja dia menyerbu dari tengah belukar tatkala terbongkok-bongkok menjengah jerat.

Beberapa kali Sarit Longgok masuk ke hutan bersama Kim Wah, dia tidak mahu lagi teruskan. Kim Wah juga tidak berminat lagi ke hutan memburu atau memasang jerat babi. Tetapi memang Kim Wah mengakui Sarit Longgok dapat mencuri rantai besi babi tunggal yang tersangkut di dahan ranting senduduk.

Sebaik sahaja Sarit Longgok dapat merentap rantai besi itu, Kim Wah nampak lembaga babi itu menyerbu dari tengah belukar. Tidak sempat Sarit Longgok memanjat pokok, babi berkenaan hampir sahaja menyondol punggungnya. Mujurlah dia sempat bersembunyi di sebalik perdu pokok hingga babi berkenaan merempuh kuat. Tiba-tiba sahaja babi itu tergolek di tanah tidak boleh bangun lagi akibat muncungnya tersondol kuat ke perdu pokok.

Tidak bertangguh Sarit Longgok memukulkan rantai besi itu ke kepala babi berkenaan sampai binatang itu tidak dapat bergerak lagi. Puas digamit oleh Sarit Longgok barulah Kim Wah berani turun daripada atas pokok tempat dia bertahan. Teragak-agak juga Kim Wah mahu memenggal leher babi tersebut. Manalah tahu binatang itu akan bingkas bangun sebaik sahaja mata parang menyentuh lehernya!

Semenjak itulah mereka berdua tidak lagi masuk ke hutan. Kim Wah bimbang kalau babi tunggal yang lain akan memburunya sebaik sahaja jejakkan kaki ke tengah hutan. Manakala Sarit Longgok tidak mahu lagi memburu setelah mendapat apa yang diidamkannya selama ini. Dukun Polon sendiri percaya rantai besi yang ditunjukkan oleh Sarit Longgok memang terkalung di leher babi hutan.

"Kau nak buat apa dengan rantai babi tu, Sarit?" Leman Uban tetap merungut apabila diberitahu anak tirinya ke hutan mencari rantai besi babi tunggal.

"Buat apa pak cik dengar cakap orang," sahut Sarit Longgok merungut panjang disebabkan ayah tirinya mendesak

. "Bukan orang yang cakap, tapi Kim Wah sendiri yang beritahu," lantas Mak Jimah mencelah. Marah juga dia dengan sikap biadap anaknya mahu menyanggah kata-kata suaminya itu.

"Ah, dia sengaja nak berolok-olok," Sarit Longgok tetap tidak mengaku dia memiliki rantai besi babi tunggal itu.

"Buangkan saja rantai tu, Sarit," perintah Leman Uban memarahi anak tirinya. Memang dia sudah, merasakan Sarit Longgok bukanlah anak tiri, tetapi sama macam anak sendiri juga disebabkan dia tidak mendapat anak sejak berkahwin dengan Mak Jimah. Lagipun dia berkahwin dengan Mak Jimah pun tatkala masih teruna, tentulah dia anggap Sarit Longgok anak juga kepadanya.

"Tidak ada siapa pun boleh melarang kalau dia memarahi Sarit Longgok.

"Mana ada rantai tu, pakcik..." Sarit Longgok tetap berkeras tidak mengakuinya sekalipun berulang kali didesak.

Setelah anak tirinya tidak mahu mengakui, Leman Uban juga tidak boleh memaksa. Biarlah anak muda itu mencuba. Lagipun Sarit Longgok bukan anak kecil yang mesti didampingi sentiasa, tatkala umurnya sudah meningkat lebih dua puluh tahun. Dukun Polon juga mengakui, tidak perlu bimbang sangat dengan Sarit Longgok kalau takat berulang alik ke rumahnya.

Sehingga Sarit Longgok ikut membantu Suman Boceh menebang pokok ara, barulah Leman Uban mula diganggu bimbang. Dia tahu benar fasal puaka pokok ara itu yang mengganggu siapa sahaja melintas.

Kalau Udin Tenyeh yang sudah mahir menebang pokok-pokok berpuaka itu tidak sang gup menetak dahan pokok ara itu, kenapa pula Sarit Longgok mahu menempah bahaya dengan Suman Boceh?. Bukan Udin Tenyeh sahaja mengakui tidak mampu berdepan dengan puaka tersebut, maIah Ah Peng dengan Muniandi juga tidak berani.

"Kau nak menempah bala ke, Sarit!" Leman Uban tidak benarkan anaknya menebang pokok ara berkenaan.

"Tebang pokok juga cari duit, pak cik," jelas Sarit Longgok bergurau.

"Tak payah tebang kalau nak gadai nyawa," sahut Mak Jimah pula menyebelahi suami nya supaya Sarit Longgok tidak terpengaruh sangat dengan upah lumayan menebang pokok ara berpuaka.

"Bukan saya seorang nak tebang," tegas Sarit Longgok rimas kerana dilayan seperti anak-anak kecil sahaja oleh emak dan ayah tirinya. "Saya hanya Bantu Abang Suman," dia tidak berganjak mahu menebang setelah berjanji dengan Suman Boceh. Tentulah tidak baik kalau dia mungkiri janji semata-mata takutkan puaka di situ.

"Kamu jangan degil, Sarit," Mak Jimah mengingatkan dalam suara yang kesal.

Sarit Longgok hanya tersengih-sengih sahaja. Dia tidak membantah sangat larangan emaknya itu. Kalau dibantah juga tentu emaknya semakin berleter sampai tidak dapat lelapkan mata. Biarlah dia mengalah asal sahaja emaknya tidak cerewet apa-apa.

Esoknya pagi-pagi lagi Sarit Longgok sudah bangun menunggu Suman Boceh di warung teh tarik dekat panggung wayang. Tidak teragak-agak dia memugat tiga bungkus nasi lemak sampai sendawa berulang kali.

Selepas minum di warung mereka berdua terus sahaja ke perdu pokok. Suman Boceh berkeliling tujuh kali sambil tangannya menepuk perdu pokok. Kemudian dia memanjat mengikat tali pada dahan supaya mudah dielak oleh Sarit Longgok. Dia hanya harapkan anak muda itu menarik tali anggit dan membawakan minyak mesen gergaji sahaja.

Perkara memanjat pokok dan menyorong mata gergaji memang tanggungjawab dia. Sarit Longgok tidak perlu membantunya memanjat pokok untuk mengikat tali anggit.

Hingga jam sepuluh pagi, sudah habis dahan pokok ara itu luruh ke tanah. Hairan juga Udin Tenyeh dengan kemampuan Suman Boceh menebang pokok berkenaan dengan tidak ada gangguan. Tidak sama macam dia mengambil upah kontraktor tiga tahun sebelum itu, tatkala mata gergajinya putus-putus laksana kacang kuda berbutir-butir.

Sebaik sahaja Udin Tenyeh naik memanjat, dia ternampak perempuan muda tergantung berbuai-buai di hujung dahan dengan lehernya tercerut tali. Menggeletek-geletek perempuan itu melambai tangan meminta pertolongan. Suara perempuan itu tenggelam tidak kedengaran akibat lehernya tercerut kuat.

Cepat-cepat Udin Tenyeh membacakan Ayatul Kursi 33 kali dan dihembuskan ke arah bayangan perempuan tergantung itu. Tiba-tiba sahaja dia melihat kain putih nipis yang membaluti jelmaan perempuan itu dibasahi darah hingga menitik ke tanah.

Udin Tenyeh tetap bertahan. Dia tahu jelmaan itu hanya gangguan puaka yang mahu menguji ketabahannya. Perlahan-lahan dia membacakan jampi serapah:

Hai pontianak mati beranak, mati ditimpa tanah timbus, tambak, kerat temiang panjang pendek, akan pelemang hati jantung hempedu rawan engkau, menyapa emas sekupang di mulut engkau, terbang telur sebiji di bawah ketiak engkau, bertepuk jarum sepucuk di tapak tangan engkau, aku tahu asal kau jadi, orang beranak bunting asal kau jadi, kabul Allah hu...

Habis sahaja dia membacakan jampi serapahnya, perempuan tergantung di hujung dahan itu berputar ligat laksana gasing hidup Uri. Terasa juga pening kepala Udin Tenyeh melihat tubuh perempuan itu berputar di situ.

Memang siapapun yang melihat dibawah tidak tahu mengenai kejadian yang dialami oleh Udin Tenyeh. Mereka hanya melihat Udin Tenyeh meniti dahan mahu menyorongkan mata gergaji sahaja. Dalam keadaan dia masih diganggu bayangan perempuan tergantung di hujung dahan itulah, Udin Tenyeh nampak tangan hitam berbulu meramas-ramas mata gergajinya hingga putus berbutir-butir macam kacang kuda.

Tidak bertangguh Udin Tenyeh turun ke perdu pokok. Sebaik sampai sahaja di bawah kepalanya pitam apabila kenangkan bayangan perempuan berputar ligat di hujung dahan. Apabila sembuh daripada pitam, dia hanya terlantar di rumah. Dia sendiri tidak tahu tiga hari pengsan hingga terkejang macam mayat terbujur.

Tetapi Suman Boceh tidak diganggu apa-apa. Habis dahan-dahan pokok ditetak luruh ke bawah dengan Sarit Longgok menghelak tali anggit. Ketika Leman Uban datang ke situ diapun terkejut kerana pokok ara tersergam tidak lagi merimbun daun. Semuanya sudah jatuh terjerembap ke bumi. Hanya tinggal pokok dengan dahan bercabang tidak berdaun sahaja tertegak.

"Degil betul kau, Sarit..." rungut Leman Uban memerhatikan anak tiri-nya terkial-kial melonggokkan dahan yang sudah kerat-kerat.

Jauh di sudut hati nya dia berbangga juga kerana Sarit Longgok tidak ditimpa apa-apa nahas. Anak tirinya berupaya membantu Suman Boceh menetak habis dahan-dahan berdaun rimbun, sebelum menggergaji perdu pokok ara yang dituduh berpuaka sejak bertahun-tahun.

Setelah berehat setengah jam, barulah Suman Boceh memulakan mahu menggergaji perdu pokok. Ketika ini penghulu juga sudah terjongol muka. Memang dia tersenyum lebar disebabkan Suman Becoh berjaya juga menebang pokok berpuaka yang tersergam berhampiran kawasan perumahan.

Sudah berkali-kali mereka membantah meminta majlis daerah tebangkan pokok berkenaan. Setiap kali hujan lebat dengan angin bertiup kencang dahannya akan memukul wayar elektrik yang merentang. Mahu dialihkan tiang elektrik terpaksa membelok jauh pula melalui tanah orang lain. Tentulah than tanah tidak mahu membenarkan kalau pokok kelapa atau pokok mempelamnya habis ditebang.

Lebih baik pokok ara tersergam itu sahaja ditebang sekalipun berpuaka.

Memang patut juga pokok ara berkenaan ditebang. Kalau dibiarkan tertegak di tepi jalan itu kerapkali juga kereta terbabas hingga terdorong ke tebing. Pemandu kereta nampak seolah-olah pokok berkenaan tertegak di tengah jalan menyebabkan mereka terpaksa mengelak.

Bukan pemandu kereta sahaja terbabas, budak-budak balik mengaji Quran pun pernah terserempak mayat perempuan tergantung dengan leher dicerut tali di hujung dahan. Apabila mereka beritahu kepada orang-orang kampung, tidak pula kelihatan apa-apa setelah dijengah beramai-ramai.

"Sarit, kamu tarik tali ke bawah tebing," laung Suman Boceh memberi arahan sebaik sahaja menyorongkan mata gergajinya.

Sarit Longgok tidak menyahut. Dia menarik tali anggit jauh ke tepi tebing supaya pokok berkenaan akan rebah ke situ.

Ketika mata gergaji ditusukkan ke perdu pokok cepat-cepat Suman Boceh mematikan mesen gergajinya. Dia terkejut apabila melihat perdu pokok itu bergetah merah seperti darah melekit. Memang dia melihat darah pekat berbau hanyir setelah ditonyoh-tonyoh dengan hujung kayu.

"Kenapa Suman?' penghulu yang berdiri tidak jauh dari situ hairan dengan kelakuan Suman Boceh terpinga-pinga.

"Entahlah, pokok ni berdarah tuk," beritahu Suman Boceh gementar setelah melihat kejadian tersebut.

"Ini bukan getah pokok, tapi betul-betul darah," tegas Leman Uban terus memerhatikan anak tirinya di bawah tebing. Berdebar juga hatinya apabila melihat tidak ada Sarit Longgok tercegat memegang tali di situ.

Tidak bertangguh Leman Uban melaung memanggil anak tirinya. Mereka yang sama-sama tercegat memerhati Suman Boceh menebang pokok itu pun berkejar ke bawah tebing mencari Sarit Longgok.

Penghulu juga tidak peduli lagi fasal pokok ara berkenaan berdarah, setelah orang ramai di bawah tebing memekik memberitahu Sarit Longgok terbaring berlumuran darah di seluruh tubuhnya. Tidak ada pula kesan luka-luka ditubuhnya, kalau mahu dikatakan dia tercedera.

Cepat-cepat penghulu menyuruh bawakan sahaja Sarit Longgok ke hospital. Sumah Boceh juga terpaksa tangguhkan mahu menebang pokok ara berkenaan sekali pun dahan-dahannya sudah ditetak sampai gondol. Biarlah dia tangguhkan dahulu sementara Sarit Longgok sembuh.

Berleter panjang Mak Jimah setelah diberitahu mengenai kemalangan yang menimpa anaknya. Sekalipun Sarit Longgok tidak ditimpa pokok, tetapi kejadian anaknya terlantar berlumuran darah sudah cukup mengerikan. Bagaimana pula Sarit Longgok boleh berlumuran darah sekiranya tidak luka apa-apa.

Di hospital juga tidak dapat memberikan rawatan. Kesan luka tidak ada ditubuh Sarit Longgok, tetapi darah masih juqa memercik keluar dari bulu romanya.

"Hah, tak boleh biarkan, Sarit mesti dikebas kain hitam" tegas Dukun Polon sebaik sahaja menziarah anak angkatnya itu.

Terpaksa juga penghulu meminta kebenaran hospital supaya Sarit Longgok dibawa balik. Mereka serahkan kepada Dukun Polon ikhtiarkan untuk memulihkan anak muda itu.

Sebaik sahaja Sarit Longgok dibawa balik ke rumah, Dukun Polon mahukan mayang pinang belum keluar upih. Sarit Longgok bukan sahaja perlu dikebas dengan kain hitam panjang sedepa, tapi perlu juga digawang dengan mayang pinang belum keluar upih itu. Kalau puakanya keras sudah tentu tidak dapat bertahan dengan kibasan kain hitam dengan mayang pisang itu.

Dukun Polon sanggup menurun dengan menyeru Moyang Bukit mendampinginya kalau puaka pokok ara berkeras sangat. Jelmaan Moyang Bukit akan berdiri di hadapannya me-ngibaskan tangan tat kala dia kibaskan kain hitam ke tubuh Sarit Longgok. Serentak dengan itu juga kibasan tangan Moyang Bukit akan menampar muka puaka sampai terpelanting jauh ke tengah hutan rimba.

Tetapi tiga hari selepas Dukun PoIon berkibar kain hitam itu, Sarit Longgok masih juga terkejang tidak sedar apa-apa. Bulu romanya memercik darah laksana peluh mengalir tatkala bekerja keras di tengah kebun.

"Macam mana ni, dukun?" Mak Jimah tidak sabar lagi menahan perasaan dengan keadaan anaknya.

Menggeleng lemah Dukun Polon. Belum pernah dia diuji demikian. Kalau sudah menurun pun puaka itu masih boleh bertahan, memang Dukun Polon serba salah juga. Masakan puaka pokok kayu ara boleh bertahan setelah dia menyeru Moyang Bukit menjelma. Tersinggung hujung siku Moyang Bukit pun tentu puaka itu terpelanting entah ke mana?

"Kita kena beri makan ancakkah?" ujar Lemah Uban bimbang.

"Tengoklah dulu, kalau terpaksa kita buat..." beritahu Dukun Polon perlahan. Sekiranya diberi makan ancak, puaka berkenaan boleh diajak berunding sahaja. Memang dia terpaksa berunding kalau sudah tidak boleh dilawan dengan jampi serapah.

"Perkara macam ni, memang kena beri makan ancak," tegas Leman Uban bagaikan tidak sabar lagi mahu mendesak Dukun Polon lakukan semah di perdu pokok ara itu. Sarit Longgok mesti diselamatkan sekali pun terpaksa mem-bawa ancak sebagai persembahan kepada puaka di situ.

"Awak nak buat kerja syirik?" tiba-tiba sahaja sepupunya Haji Maaris mencelah setelah sekian lama berdiam diri. "Awak percaya sangat dengan puaka yang menentukan hidup mati kita?" ujarnya keras tidak peduli lagi sama ada kata-katanya boleh menyinggung Dukun Polon ataupun tidak.

"Saya setuju dengan cakap tuan haji tu," lantas sahaja Dukun Polon menyahut. Memang dia sendiri sudah lama tidak mahu lakukan memberi ancak menjamu puaka itu.

Kadangkala dia terpaksa lakukan juga apakala didesak sangat oleh orang-orang kampung. Perkara memberi makan ancak itu sekadar mahu memuaskan hati mereka sahaja. Bimbang juga Dukun Polon akan dituduh oleh orang-orang kampung dia sengaja tidak mahu memberi makan ancak, disebabkan mahu upah yang tinggi.

Mereka sanggup bayar berapapun upah asal sahaja Dukun Polon mahu memberi makan ancak!

"Jadi, dukun tak mahu buat beri makan ancak?" soal Mak Jimah kecewa. Tentu anaknya tidak dapat diselamatkan lagi apakala Dukun Polon tidak sanggup memberi makan ancak.

"Perkara syirik, kenapa mesti nak buat?" cepat sahaja Haji Maaris memin-tas. Biarlah isteri sepupunya itu kecil hati, dia tidak peduIi apa.

"Habis, macam mana dengan Sarit?' Mak Jimah menggugu tidak dapat lagi menahan rasa sebak di dada.

"Cuba bawa bertenang dulu..." Haji Maaris mengingatkan terus menginsut ke hadapan mendekati Sarit Longgok.

Darah yang memercik di tubuh Sarit Longgok dibiarkan sahaja. Dia tidak mahu Mak Jimah mengelap kering, kerana ianya akan memercik juga di celah bulu roma Iaksana peluh mengalir banyak.

Haji Maaris menghela nafas terus membacakan:

Rabbi in-ni a' uzubika an-as-alaka malaisa-li bihi ilmu wa illa taghflrli wa tarh amni akum-min al hisirin.

Kemudian dia mengusap dua tapak tangannya ke muka.

Setelah meletakkan tapak tangannya ke dahi Sarit Longgok, dia membacakan pula salawat tiga kali, istighfar juga tiga kali diikuti dengan dua kalimah syahadat, a'uzubillah dan bismillah tiga kali. Selepas itu Haji Maaris membaca fatihah, surah al-lkhlas, su-rah aI-Falaq dan surah an-Nas pula.

Sebaik sahaja Haji Maaris berzikir jauh bergema di dalam hati, Sarit Longgok mula menggeliat resah. Sampai Haji Maaris merasakan seolah-olah rumah itu bergoncang disebabkan zikirnya yang bergema itu, seluruh tenaganya bagaikan api menerjah ke segenap penjuru.

Siapa sahaja yang bertahan di dalam rumah itu simpang perinang melarikan diri akibat terjahan panah berapi yang memancar dari tubuh Haji Maaris. Ketika Haji Maaris membuka mata, Sarit Longgok sudah mula mengerang-erang meminta air daripada emaknya.


"Perkara tak nampak, susahlah nak ceritakan pada orang, ustaz," beritahu Haji Maaris menjelaskan kepada saya mengenai kejadian yang menimpa anak tiri Leman Uban itu.