Sunday, June 14, 2015

128. ORANG BERSAYAP DIPERDU POKOK



TERPAKSA juga berpatah balik disebabkan tidak dapat ke Jerantut akibat pokok tumbang melintang jalan. Ketika kereta Kadir Misai melalui selekoh berkenaan sudah ada lori berhenti tidak dapat meneruskan perjalanan. Mereka memberitahu hampir sahaja lori tersebut terperusuk ke bawah pokok tumbang disebabkan baru sahaja berlaku kejadian itu.

Kalaulah kereta Kadir Misai tidak pamcet, mungkin juga terperangkap di bawah pokok tumbang melintang jalan itu. Semasa kereta pamcet terbabas ke tepi jalan, memang lori berkenaan memotong ke hadapan. Sekiranya lori itu laju melalui berliku-liku itu nescaya terperangkap juga di bawah pokok yang baru sahaja tumbang melintang jalan.

Mahu ditunggu pokok itu dipotong tentu memakan masa. Pemandu lori juga tidak dapat memotong kayu besar itu disebabkan tidak ada gergaji.  Lainlah kalau berpatah balik membuat laporan. Disebabkan tidak dapat mahu ke Jerantut menziarahi Lebai Bumin, lantas saya mengajak Kadir Misai balik sahaja.

Perkara menziarah Lebai Bumin bukanlah tidak penting, tetapi aral yang menghalang di tengah perjalanan itu menyebabkan kami terpaksa membatalkan hasrat di hati. Memang kesal juga saya tidak dapat menemui Lebai Bumin setelah mendapat tahu dia terlantar sakit.

 "Tak apalah kita balik aje, Kadir," bisik saya setelah pemandu lori juga berpatah balik ke Temerloh.

"Apa pula malangnya nasib kita ni, ustaz'?" keluh Kadir Misai kerana tidak menyangka aral yang menghalang perjalanan.

“Ini bukan urusan kita,"  sahut saya sekalipun menyedari Kadir Misai memang mendongkol benar hatinya.

"Kalau nak pergi juga, kita tunggu siang, ustaz!" Kadir Misai bernekad benar mahu ke Jerantut. Memang dia tidak puas hati disebabkan aral tersebut setelah berura-ura mahu menemui Lebai Bumin. Manalah tahu tidak dapat lagi bertemu orang tua itu setelah sekian lama terlantar uzur.

Saya tidak menyahut. Kalau Kadir Misai gagahi mahu juga ke Jerantut saya tidak menghalang apa-apa. Lagi pun sudah sampai di Pahang, tentu terkilan juga tidak menjengah Lebai Bumin di Jerantut. Lagi pun Kadir Misai boleh singgah di rumah bapa mertuanya di Lancang kalau mahu berihat.

Kadangkala bapa mertua Kadir Misai hairan juga bagaimana menantunya yang mudah panas baran itu boleh berkawan rapat dengan saya. Pantang sahaja dicabar Kadir Misai lantas menyenseng lengan baju tidak peduli apa-apa. Marah benar dia sekiranya sesiapa sahaja cuba perolok-olokkan dirinya.

 "Ustaz ni lemah lembut, macam mana boleh sesuai dengan Kadir," tersengih-sengih Pak Taja sebaik sahaja saya naik ke rumahnya bersama Kadir Misai. Terkuap-kuap dia menyambut kami disebabkan dikejutkan bangun tidur setelah hampir 2.00 pagi.

"Ah, takkan sepanjang masa Kadir nak panas baran!" sahut isterinya Mak Bijah mengejek Pak Taja. Kalau singgah di Lancang memang Pak Taja sanggup bercekang mata melayani saya sampai ke pagi. Mulutnya becok menyuruh isterinya Mak Bijah sediakan kopi atau rebus pisang.

Tahu sangat dia semenjak Ulung Bahar masih hidup, memang beberapa kali saya singgah di rumahnya. Setelah Ulung Bahar meninggal dunia sahaja, saya tidak kerap ke Lancang. Tetapi Pak Taja tetap berpesan pada Kadir Misai supaya mengajak saya singgah ke rumah.

"Tak pernah ke Sabah lagi, bang Taja?" sengaja saya mengalihkan perhatian dia kerana mahu bandingkan saya dengan menantunya Kadir Misai.

Memang saya tahu Kadir Misai mudah panas baran sekiranya hasratnya terhalang. Tetapi dia tidak akan menyanggah apa pun keputusan saya dalam urusan yang membabitkan dirinya. Tahu sangat dia bahawa saya tidak pernah mahu menyusahkan dirinya kalau dia memerlukan apa-apa nasihat.

 "Dah tak ada hal lagi, tak pernahlah ke sana," beritahu Pak Taja tersengih-sengih apakala kenangkan masa lampaunya lama di Sabah.

Mudah sahaja terbayang di kepalanya hutan besar banyak di Sabah yang masih belum terbuka. Akibat hutan besar itulah jalan raya juga melalui kawasan hutan yang menyeramkan. Tetapi Pak Taja tidak pernah bimbang sekiranya diajak ke tengah hutan.

Tatkala diberitahu mengenai orang dari Semenanjung hilang di hutan, penduduk-penduduk kampung segera menemui Pak Taja. Dia diharapkan membantu beberapa orang pawang di situ mencari Usin Todak yang hilang semasa masuk bertapa.

Penduduk-penduduk kampung tahu memang Usin Todak amalkan ilmu bertapa di tengah hutan sepi. Disebabkan lama bekerja di Sabah, teringin juga dia mahu mencuba amalan Tok Sitam yang boleh hilangkan diri apabila dibacakan mentera jampinya.

Sudah lama Usin Todak menyimpan keinginan setelah mendengar kehebatan Tok Sitam. Bukan takat boleh hilangkan diri, tetapi boleh terbang laksana burung dalam sekelip mata sahaja. Dia sekadar menyuruh Usin Todak pejamkan mata, kemudian terasa tubuhnya melayang. Sebaik sahaja Usin Todak membuka mata tiba-tiba sahaja didapatinya tercegat di pucuk pokok tinggi mengawan bersama Tok Sitam.

Bila-bila Tok Sitam sanggup turunkan amalannya asal saja Usin Todak mampu Iakukan petua-petuanya. Tetapi Pak Taja sengaja mengusik kawannya itu kerana terlalu ghairah mahu amalkan bertapa di tengah hutan.

"Senanglah kamu nak balik ke Semenanjung, terbang saja!" ujar Pak Taja semacam tidak bersetuju dengan hasrat kawan-nya mahu sangat amalkan bertapa di tengah hutan.

"Apa-apa hal kita cuba dulu, Taja" sahut Usin Todak kesal dengan sikap Pak Taja seolah-olah mahu lemahkan semangatnya.

"Dulu bolehlah belajar ilmu macam ni," tegas Pak Taja sengaja nasihatkan kawannya. "Sekarang kapal terbang dah ada, kalau nak terbang naik ajelah  kapal terbang," tersengih-sengih dia mengerling Usin Todak.

"Tak sama terbang macam itu,” Usin Todak mencebek bibir kerana dipersendakan oleh Pak Taja.

Perkara terbang bersama Tok Sitam tidak sama dengan menaiki kapal terbang melangkaui laut balik ke Semenanjung. Tetapi Tok Sitam boleh melayang dalam sekelip mata ke atas pucuk pohon yang tinggi mengawan. Seisi kampung tahu mengenai Tok Sitam mampu mengawal kampung sekiranya berlaku kecurian kerbau atau lembu di mana-mana.

Jangan siapa sahaja berani mencuri di dalam kampungnya selagi Tok Sitam terconggok. Bila-bila Tok Sitam akan terbang di udara memerhatikan siapa lakukan perbuatan mencuri di tengah kampung. Mudah sahaja dia mencekak tengkuk kalau pencuri cuba berkeras mahu melawan. Sekaligus Tok Sitam terbangkan pencuri dengan kerbau atau lembu yang dicuri naik ke pucuk pohon yang tinggi.

Apabila siang hari, Tok Sitam akan bawa orang-orang kampung memerhatikan pencuri terkial-kial di atas pokok tujuh lapan pemeluk di pinggir hutan bersama kerbau terselit di celah dahan. Selagi pencuri itu tidak mengaku bertaubat jangan ulangi perbuatan terkutuk demikian, memang Tok Sitam tidak akan turunkan!

Manalah Pak Taja tahu kalau tidak mengalami sendiri terbang bersama Tok Sitam, Lainlah Usin Todak sudah dua tiga kali diuji oleh Tok Sitam sampai dia terasa bagaikan mahu muntah terjeluih akibat pening kepala. Macam dibuai mimpi sahaja dirasanya tatkala melayang ke atas pucuk pohon menjulang tinggi.

Sewaktu melayang turun ke bawah sengaja Usin Todak membuka mata hingga terasa pitam dia apabila menjunam terlalu laju. Kecut juga perutnya apabila kenangkan akan terhempas ke tanah hingga remuk tulang belulang. Sebab itulah Tok Sitam larang dia membuka mata semasa diuji demikian.

Setelah lulus diuji Tok Sitam inilah dia dikehendaki bertapa di tengah hutan. Usin Todak hanya perlu siapkan tujuh kepal nasi dengan tujuh butir garam sahaja. Tok Sitam perintahkan dia duduk di celah banir perdu pokok tujuh lapan pemeluk dengan amalkan petua-petua yang diberikan.

Memang Tok Sitam ingatkan dia supaya tidak membuka mata sepanjang bertapa di perdu pokok berkenaan. Usin Todak tidak perlu bimbang setelah membuang pakaiannya, dia perlu duduk di atas tumit dengan lutut tertumpu ke bumi. Hari pertama sahaja dia amalkan petua tersebut Tok Sitam menberi jaminan siapa pun tidak akan melihatnya di situ lagi.

Kalau petua itu tidak diikut pantang larang, selamanya Usin Todak akan hilang tidak kelihatan oleh sesiapa lagi. Bukan mudah pula mahu pulihkan sekiranya hilang dalam masa amalan bertapa dibuat.

Selepas Usin Todak bernekad mahu amalkan petua yang diberikan oleh Tok Sitam itulah isterinya Bimah memberitahu kehilangan suaminya. Terpaksa juga diberitahu ketua jabatannya mengenai Usin Todak hilang setelah masuk ke hutan. Siapa pun tidak diberitahu tujuan dia masuk ke hutan selain daripada dikatakan tersesat tatkala berburu,

Kita kena cari Tok Sitam juga!” ujar Pak Taja setelah diberitau oleh beberapa orang yang membantu mencari Usin Todak.

 Di mana nak cari Tok Sitam tu?” Bomoh Supin mengeluh pendek apabila didesak oleh Pak Taja mahu temui Tok Sitam.

"Tentu Tok Sitam yang dapat pulihkan dia, kalau hilang masa bertapa!" Pak Taja tetap menuduh kawannya itu sudah melanggar pantang larang petua yang diajarkan oleh Tok Sitam.

 "Aku tak pernah dengar nama Tok Sitam tu," jelas Bomoh Supin macam hairan apabila disebut Tok Sitam di hadapannya.

Disebabkan siapa pun tidak tahu di mana Tok Sitam, terpaksalah mereka harapkan Bomoh Supin berusaha mencari tempat Usin Todak menghilangkan diri. Pak Taja juga diharapkan oleh Bimah dapat membantu supaya suaminya yang hilang di hutan ditemui semula. Sewaktu meninggalkan rumah memang Bimah diberitahu oleh Usin Todak mahu memburu di hutan bersama Tok Sitam.

Mereka berdua sama-sama tidak balik semula ke kampung. Hutan di Sabah tidak sama dengan di Semenanjung. Manalah Usin Todak tahu mengenai ceruk penjuru hutan Sabah yang tidak dapat dicari Ialuan arahnya. Lainlah hutan di Semenanjung memang Usin boleh mengagak ke mana tembusnya kalau sesat di tengah hutan pun.

Tahu sangat Bimah apabila Usin Todak sesat di hutan Bidor mencari petai sampai tidak bersua jalan pulang. Tiga hari dia meranduk hutan tebal lantas juga ke jalan besar berhampiran Tanjung Malim. Letih lesu juga dia tersesat di hutan, tetapi Usin Todak tidak bimbang apa-apa. Dia masih boleh mencari pedoman sekiranya tersesat di hutan Semenanjung.

Memang di Sabah tidak sama dengan di Semenanjung. Kalau sesat di tengah hutan ke mana lagi Usin Todak mahu mencari pedoman. Apalah kalau berpisah dengan Tok Sitam setelah tersesat jauh.

Ketika melihat kesan nasi bersepah-sepah di perdu pokok berbanir lebar, lantas Bomoh Supin menyuruh beberapa orang memeriksa sekeliling pokok berkenaan. Pak Taja juga melihat ada kesan perca kain hitam dengan kesan kapur sirih di situ.

"Memang di sini dia bertapa!" gerutu Bomoh Supin setelah cam kesan rimah nasi itu masih baru benar. "Sekarang kita sama-sama ikhtiar Taja," Bomoh Supin ingatkan kawannya di Semenanjung itu. Dia sendiri tahu mengenai Pak Taja mampu gunakan amalan dan petua semenjak beberapa tahun dia bertugas di Sabah.

Sudah menjadi kebanggaan mereka yang tinggal jauh pedalaman akan membalas dendam sekiranya gadis-gadis mereka di persia-siakan oleh lelaki dari bandar. Apalagi mereka yang datang dari Semenanjung sengaja mahu mencari gadis di pedalaman.

Tidak bertangguh mereka akan gunakan bomoh biar kemaluan lelaki itu berpindah ke dahinya. Rasakan betapa malunya lelaki itu mahu keluar dari rumah, apabila kemaluan sudah dialihkan ke dahi macam belalai gajah tergantung.

Sebab itu mereka bimbang mahu ganggu gadis-gadis di pendalaman apabila kenang kemaluan dialihkan ke dahi. Sudah beberapa orang kawan mereka mengalami kejadian yang memalukan itu. Ketika inilah mereka harapkan Usin Todak pulihkan semula permainan ilmu hitam yang mengerikan sekalipun ada masanya mereka sekadar dianiaya.

Mudah sangat orang-orang di pedalaman membalas dendam asal sahaja ada gadis mengadu mereka dipersia-siakan. Mereka tidak peduli sama ada gadis berkenaan sengaja mahu memerangkap lelaki yang menarik perhatiannya.

Tetapi Usin Todak tidak akan melakukan bersendirian.  Apabila Jusuh diganggu kejadian demikian. Tiba-tiba Jusuh mendapati  kemaluannya berpindah ke dahi apabila pagi dia mahu bersiap-siap ke tempat bertugas. Sebaik sahaja melihat di cermin, terkejut Jusuh dengan keadaan dirinya berlaku tidak semena-mena.

Setelah diberitahu Usin Todak, lantas dia mengajak Pak Taja ikut sama ke bilik sewa Jusuh. Sewaktu sama-sama jauh di rantau mereka wajib bantu membantu disebabkan saudara mara tidak akan dapat menjengah. Memang Pak Taja pun tahu sangat kejadian demikian sekiranya mereka mahu membalas dendam.

Tahu sangat dia Jusuh bukanlah suka sangat berpeleseran tidak menentu. Tetapi dia mengaku terlepas cakap hingga menyakiti hati seorang janda dari pedalaman. Dia sendiri tidak rnenerangkan sangat bagaimana punca terperangkap dengan perempuan itu kepada Pak Taja.

 Dalam masa Usin Todak menyediakan tiga kerat tebu hitam dengan pucuk labu dijampi dengan lada hitam bercampur garam, Pak Taja sekadar mengisar tapak tangannya. Kemudian dia menekan ibu jari kanan ke tapak tangan kiri lantas membacakan:

Qola haza rahmatum min rabbi fa-izaja-a wa'du rabbi ja'alahu dak-ka-a wakana wa'du rabbi haqqan, watarakna ba'dhohumyau ma-iziny yamuju fi ba'dhin wanufikho fissuri fajamainahumjam'an.

Serentak dengan itu Jusuh jatuh berguling terjerit-jerit menahan kesakitan. Usin Todak juga lantas meramas-ramas tebu hitam berkulit keras itu hingga hancur laksana rami padi dimamah lembu. Hairan juga mereka yang melihatnya bagai-mana tebu keras itu boleh diramas-ramas mudah oleh Usin Todak.

Sebab itu Bomoh Supin tahu sangat memang Pak Taja bukan boleh diperolok-olokkan. Sampai sembuh Jusuh tidak harapkan sesiapa pun di situ, hanya terserah pada Pak Taja dan Usin Todak. Tetapi Usin Todak tidak cukup dengan kebolehannya selama ini. Dia masih harap juga Tok Sitam mengajarkan amalannya.

 "Sekarang kamu jangan jadi harimau sembunyikan ku Taja," Bomoh Supin mencebek bibir sambil berkeliling pokok besar berbanir lebar itu.

 "Saya bukan harimau Pak Supin," sahut Pak Taja tersengih- sengih mengusik Bomoh Supin "Sebab itu saya tak ada kuku,” ujarnya terus duduk bersandar pada sebatang pokok terap.

"Jangan cakap macam tuTaja!" lantas Bomoh Supin keraskan suara. Dalam saat demikian dia tidak mahu Pak Taja bergurau. Mereka masuk jauh ke tengah hutan semata- mata mahu selamatkan Usin Todak. Beberapa orang yang turut membantu sentiasa mengharapkan usaha mereka secara amalan petua.

Perkara hilang di hutan bukan boleh dimain-mainkan.  Semua pihak bertanggungjawap setelah aduan dibuat mengenai kehilangan Usin Todak semasa berburu ke hutan. Bomoh Supin juga perlu membuktikan dirinya ikhlas dalam membantu usaha demikian.

Kalau dia tidak berusaha keras tentu masyarakat akan menuduhnya gunakan kebolehan menjadi bomoh untuk mencari faedah diri sendiri. Tetapi jauh di sudut hatinya dia sekadar mahu berbakti mengikut kemampuan dirinya. Bukan mudah mahu yakinkan orang ramai mengenai amalan dan petua kerana siapa pun tidak dapat melihat perkara yang di luar jangkauan akal manusia.

Sebab itu tersinggung juga hatinya apabila  Pak Taja masih juga mahu, berolok-olok. Tetapi ketika ini Pak Taja belum pun mencecah umur 40 tahun. Kalaulah dia tidak gagahi mempelajari petua dan amalan dari Ulung Bahar memang terumbang ambing dia tatkala berada jauh di rantau orang.

Tetapi sejak umurnya 20-an lagl Pak Taja sudah mendesak Ulung Bahar. Dia sanggup bercekang mata sampai ke pagi, kalau Ulung Bahar mendesaknya buat solat sunat tahajud sampai  seratus malam. Sepanjang malam Pak Taja disuruh berzikir hingga  terasa seluruh badan dirayapi, semut beratus-ratus ekor.

Memang dia tidak bersetuju sangat apabila Usin Todak berkeras mahu amalkan petua Tok Sitam bertapa jauh di tengah hutan. Tetapi Usin Todak tidak peduli apa-apa. Perkara dia mahu amalkan petua semasa bertugas di Sabah tidak sangkut paut dengan kerjanya di pejabat. Dia boleh ambil cuti sampai seminggu sampai amalan Tok Sitam selesai.

Tentu Pak Taja tidak percaya kebolehannya terbang hingga ke pucuk pokok tinggi sayup mengawan setelah selesai amalkan petua yang diamalkan oleh Tok Sitam.

Biarlah Pak Taja mengejeknya dalam tempoh dia masuk ke hutan bertapa di banir pokok sebesar tujuh Iapan pemeluk. Dia sudah siapkan nasi dikepal tujuh genggang jadi bekalan selama bertapa di situ. Tok Sitam sendiri beritahu tentu akan menjelma lembaga bersayap di sisinya mengajar terbang hingga ke pucuk pokok berkenaan.

Usin Todak akan buktikan dirinya boleh terapung-apung di udara setelah diajar oleh lembaga bersayap itu. Biar Pak Taja lihat sendiri bagaimana dia melayang laksana keluang berligar tengah malam. Tetapi dia tahu tidak siapa pun melihat Tok Sitam tatkala terbang terapung-apung. Dia akan hilang dari pandangan manusia sebelum terbang ke udara.

Memang itulah yang diharapkan oleh Usin Todak biar siapa pun tidak dapat melihat dia setelah amalan petuanya sebati dengan jiwanya. Sebab itu perlu bertapa jauh di tengah hutan mencari pokok besar berbanir lebar.

Dia mesti menyeru puaka hutan sampai tercegat di hadapannya dengan sayap terkembang. Puaka hutan itu akan mengajaknya terbang ke udara hingga sayup memandang ke bawah. Usin Todak sanggup lakukan apa sahaja asalkan dia dapat mewarisi amalan To Sitam.

 "Kita mulakan sekarang Taja!" bisik Bomoh Supin memberi isyarat kepada pembantunya Jidun Lopong supaya sediakan tempat bara. Jidun Lopong akan membakar kemenyan sebaik sahaja Bomoh Supin memanggil jin khadamnya.

Ketika ini mereka yang sama-sama mencari Usin Todak mula mencari tempat duduk masing-masing berkeliling pokok besar tersebut. Mereka juga yakin memang Usin Todak bertapa di situ disebabkan kesan nasi dan barang-barang yang digunakan untuk bertapa bersepah di situ. Masakan Usin Todak diterkam binatang buas tatkala terconggok di situ!

Kalau diterkam binatang buas tentu kesan darahnya memercik di perdu pokok. Tetapi sekeliling pokok tidak ada kesan apa-apa, selain rimah nasi dan perkakas-perkakas bertapa.

Sebaik sahaja Jidun Lopong membakar kemenyan, Bomoh Supin menghunus keris pesaka berkarat mata. Dia menjulang tinggi keris itu hingga melepasi kepala dengan mengepak tangan Sekaligus pula dia menggoyangkan badanya laksana tengah beratib.

Hampir lima belas minit Bomoh Supin terlenggok-lenggok, beberapa orang yang berkeliling di situ terkejut apabila melihat bayangan lelaki berbulu hitam seluruh badan terlekat pada pokok berkenaan. Tubuhnya bersatu dengan pokok tersebut dengan kepalanya sahaja mengeleng-ngeleng.

 “Mana kamu sembunyikan Usin Todak?” lantas Bomoh Supin bingkas bangun meletakkan kerisnya ke dada lembaga yang melekat pada perdu pokok berkenaan.

Lembaga itu sekadar menyeringai hingga nampak giginya berceranggah laksana mata gergaji. Belum sempat Bomoh Supin meradakkan mata kerisnya lembaga itu hilang tidak kelihatan lagi. Serentak dengan itu pula pucuk pokok berkenaan bergoyang kuat bagaikan dirempuh angin kencang.

“Hah, puaka hutan buat angkara,” gertu Bomoh Supin mengertap bibir.

“Usin Todak ada di sini,” Ujar Judin Lopong memberitahu kumpulan orang ramai yang datang mahu menyelamatkan Usin Todak tersesat di hutan.

"Tapi dia dikawal oleh puaka hutan," dia meneruskan sambil mengesat peluh yang memercik di dahi.

"Jadi, kita nak buat macam mana sekarang?" Tok Musit yang menjadi ketua kumpulan mencari Usin Todak bersuara lemah.

"Kita perlukan bantuan bomoh," Judin Lopong mengingatkan. "Pak Supin saja tak mampu, kita perlu cari lima atau enam orang lagi," tegasnya memandang Tok Musit.

"Bomoh macam mana?" hairan juga Tok Musit apabila Judin Lopong mendesak supaya dicari bomoh lagi.

"Bomoh yang ada pelihara puaka," sahut Judin Lopong mengeluh pendek. Memang siapa pun tidak percaya apabila dia ingatkan bukan mudah mahu selamatkan Usin Todak yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar itu. Tentu Usin Todak tidak dapat keluar dari kawalan puaka hutan yang menjelma tatkala diseru oleh Bomoh Supin.

"Macam mana Encik Taja?" Tok Musit berpaling pada Pak Taja yang tersandar di perdu pokok terap.

"Terserah pada Tok Ketua," Pak Taja tidak membantah apa-apa pun keputusan Tok Musit. Kalau Tok Musit perlu keluar balik ke kampung mencari bomoh yang ada memelihara puaka, dia tidak membantah. Tok Musit tentu lebih mengetahui apa yang perlu dibuat di kampung halamannya.

Disebabkan sudah semakin senja, Tok Musit meminta supaya mereka berkhemah dulu di situ. Kalau perlu menjemput bomoh di kampung lain membantu, dia akan lakukan keesokan harinya. Jauh di tengah hutan memang sukar mahu mencari jalan balik apabila malam kian gelap tidak kelihatan apa-apa.

Pak Taja terpaksa juga mencari anak air untuk mandi dan mengambil wuduk. Selesai sahaja solat maghrib, dia tidak peduli orang lain yang memasang lampu supaya mudah menyuluh sekiranya Usin Todak menjengah ke situ. Bomoh Supin juga masih berusaha lakukan amalan petuanya dengan Judin Lopong membakarkan kemenyan.

Memang beberapa kali lembaga lelaki bersayap terlekat pada pokok itu berbayang-bayang menjelma. Tetapi beberapa minit sahaja bayangan tersebut hilang sebelum sempat Bomoh Supin bertindak. Mengeluh panjang Bomoh Supin disebabkan gagal mahu memerangkap jelmaan puaka berbulu hitam yang bersayap itu.

Dalam masa Bomoh Supin meneruskan amalan petuanya Pak Taja menguatkan zikirnya selepas solat maghrib. Terpaksa juga dia ingatkan segala pesan Ulung Bahar apabila kenangkan kawannya Usin Todak hilang di hutan jauh dari kampung halaman sendiri.

 Setelah terasa zikirnya bergema jauh di sudut kalbunya, Pak Taja membacakan al-Fatihah 41 kali. Ketika ini dia merasakan air matanya jatuh berlinang dengan dadanya semakin sebak. Sedikit demi sedikit tubuhnya bagaikan terlalu kecil hingga tenggelam dalam kegelapan. Lantas PakT aja membacakan surah ad Dhuha sampai ternampak lorong bercahaya jauh di hadapannya.

Sebaik melihat jalan bercahaya berlorong jauh ke hadapan, Pak Taja terus membacakan:

 Uskun aiyuhal waji' billazi, in yasya yuskinir riho fayazlalna rawakida 'ala zohrihi, inna fi zalika la-ayatin likulli sab-barin syakur.

Tubuh Pak Taja melayang melalui lorong bercahaya itu hingga sampai ke kawasan lapang. Dia melihat sekumpulan lembaga bersayap merayau-rayau tetapi mereka tidak terbang ke udara. Masing-masing berjalan menunduk sebaik sahaja menyedari Pak Taja terconggok di situ.

"Kenapa tak terbang, bukan-kah awak ada sayap?" sengaja Pak Taja mengejek lelaki bersayap yang hampir dengannya.

"Macam mana nak terbang, kami dah langgar pantang larang," beritahu lelaki itu kesal dengan kejadian yang menimpa dirinya.

"Jadi, apa guna sayap awak tu?" Pak Taja mencebek bibir.

"Kami boleh terbang kalau tak ada manusia melihatnya!" beritahu lelaki bersayap itu melerek senyum.

"Mana Usin Todak?" tidak bertangguh Pak Taja membentak lantas membacakan:

Kaf ha ya sad; ha mim a’in sim kaf, Allallahhi tawakkal-na rab-bana la taj’alna fitnatan lilqaumiz zolimina, minajiina birahmatika mi-nal qaumil kofirin.

Tiga kali dihentakkan tumitnya ke tanah, Pak Taja mengisarkan kuat menyebabkan lelaki bersayap itu termengah-mengah sukar bernafas. Dia mengembangkan sayapnya mahu terbang tetapi sekadar terkial-kial sahaja tidak dapat bergerak.

"Apa salah aku, awak buat macam ni?" gerutu lelaki bersayap itu mencemik marah. Pak Taja tidak menyahut. Tetapi dia merenung tajam dengan tumitnya masih dikisar ke bumi. Setiap kali dia mengisar tumit semakin termengah-mengah lelaki bersayap itu. Kemudian dia menekup dadanya seolah-olah kesakitan hingga air liur melejeh-lejeh di bibir.

"Di mana Usin Todak?" jerkah Pak Taja tidak melepaskan tumitnya yang di kisar ke bumi.

Ketika ini terasa bumi sekitarnya bergegar kuat diikuti dengan angin kencang. Pak Taja tetap bertahan sekalipun tubuhnya hampir diterbangkan angin kencang itu. Sebaik sahaja angin kencang berhenti tiba-tiba di hadapannya tersergam pokok besar. Dia melihat Usin Todak bercantum badan dengan pokok berkenaan.

Sebaik Usin Todak melihatnya lantas sahaja dia memberi isyarat supaya Pak Taja berundur jauh. Air mata Usin Todak bergenang tatkala bersua Pak Taja di situ.

"Kau kenal aku, Usin?" soal Pak Taja memerhatikan ramai lelaki bersayap mengelilingi kawannya itu.

Usin Todak mengangguk perlahan.

 "Mari kita balik, tinggalkan tempat ni!" keras suara Pak Taja mendesaknya. Tetapi Usin Todak menggeleng lemah. Dia tidak dapat melepaskan diri daripada pokok yang bersatu dengan tubuhnya. Jauh di kerengkungnya Usin Todak memberitahu dia tidak boleh memisahkan dirinya dengan pokok berkenaan setelah diperdaya oleh Tok Sitam.

"Kalau aku balik pun, sayap aku ni kekal!" ujar Usin Todak perlahan menunjukkan sayapnya yang mulai tumbuh. Selagi sayapnya tidak tumbuh memanjang tubuhnya tidak akan lekang daripada pokok berkenaan. Masakan Usin Todak boleh balik menemui isterinya Bimah dalam keadaan tubuhnya ditumbuhi sayap. Tok Sitam yang ditemuinya itu sudah lama meninggal dunia. Kalau dia menjelma pun sekadar mahu memperdayakan sesiapa sahaja biar mengikut jejaknya.

"Kau tak bersyukur jadi manusia yang serba sempurna Usin!" Pak Taja meluahkan rasa terkilannya. Kenapa Usin Todak mencari sesuatu yang tidak mampu dicapainya, salangkan ilmu Allah meliputi tujuh petala bumi tujuh petala langit.

Alangkah sempurnanya manusia dijadikan Allah, kenapa mahu mencari sesuatu yang Iebih rendah dan tidak diredhai-Nya?

Terbayang kekesalan di wajah Usin Todak setelah bertemu Pak Taja di situ. Kalaulah dia tahu Tok Sitam yang ditemuinya selama ini sudah lama meninggal dunia, memang dia tidak berkeras mahu amalkan petua boleh terbang ke pucuk pohon tinggi.

Perkara Tok Sitam selamatkan penduduk-penduduk kampung sudah berlalu berpuluh-puluh tahun sebelum itu. Memang ketika itu penduduk-penduduk pedalaman tidak ada tempat mahu mengadu sekiranya ternakan mereka dicuri orang. Siapa lagi boleh diharap kalau bukan Tok Sitam.

Kalau Tok Sitam terbang ke udara pun mereka tidak pernah melihat. Orang-orang kampung sekadar terserempak beberapa kali Tok Sitam berdiri di pucuk pohon tinggi mengawan. Dalam beberapa saat sahaja Tok Sitam akan jejak semula kaki di bumi.

Memang Tok Sitam akan terbangkan siapa sahaja yang mencuri ternakan orang-orang kampung di pucuk pokok yang tinggi sayup mata memandang. Kemana lagi si pencuri mahu selamatkan diri kalau pokok enam tujuh pemeluk tersergam menjulangnya. Lainlah kalau ada sigai yang boleh bergayut untuk turun ke tanah, tentu mereka akan juga merangkak turun.

Terpaksalah mereka harapkan Tok Sitam juga turunkan semula ke tanah. Si pencuri memang kecut perut apakala merasa tubuhnya melayang di bawa turun sekalipun orang-orang kampung tidak melihat apa sebenarya berlaku. Keistimewaan Tok Sitam itu memang mereka kagumi hinggalah lelaki itu meninggal dunia.

Setelah Tok Sitam meninggal dunia beberapa kali juga orang terserempak dia bertapa di pinggir hutan. Sebab itu mereka yang mahukan amalan petua Tok Sitam tidak lepaskan peluang mengunjunginya. Sampaikan Usin Todak juga sanggup mengambil cuti seminggu semata-mata mahu terbang ke udara. Dia boleh melayang dari satu tempat ke satu tempat dalam sekelip mata.

"Aku tak boleh balik lagi Taja," beritahu Usin Todak sebak menahan kesal di dada.

"Kenapa tak boleh balik?" bentak Pak Taja mendengus marah.

"Macam mana aku nak buang kepak aku ni?" ujar Usin Todak dengan air tergenang banyak di mata.

"Ilmu Allah tujuh petala bumi tujuh petala langit banyaknya,kenapa kau cari ilmu syaitan?" sengaja Pak Taja mengejeknya untuk melepaskan rasa geram yang mendongkol.

"Cukuplah Taja, janganlah kau nak marah aku!" Usin Todak semakin galak tersengguk-sengguk menahan rasa terharu di hatinya.

Lama dia tersengguk-sengguk Pak Taja melihat pohon yang berbanir besar itu hilang bersama kabus yang meliputi kelilingnya. Pak Taja juga mengeluh pendek dengan keadaan Usin Todak yang dilihatnya. Memang dia sendiri tidak dapat mahu menyelamatkan kawan-nya itu, kerana yang mampu memberikan pertolongan dan perlindungan hanya Allah Azzawajalla.

Ketika ini Pak Taja sendiri menangis tersengguk-sengguk akibat sayu dengan kejadian yang menimpa kawannya itu. Dalam masa dia tersengguk-sengguk inilah Bomoh Supin menepuk-nepuk bahunya. Terkejut Pak Taja apabila Bomoh Supin menyuruhnya bangun mendekati pokok kayu yang tersergam di hadapan mereka.

"Aku dengar bayang yang menjelma di pokok tu, memanggil kamu, Taja," jelas 'Bomoh Supin yang hairan dengan jelmaan lembaga di perdu pokok tersebut. Sudah beberapa kali dia cuba memerangkap jelmaan yang dituduhnya puaka hutan itu, tetapi lembaga itu cepat sahaja hilang sekiranya dia menerpa dengan keris di tangan.

"Kita tak boleh jumpa Usin Todak di sini," lantas sahaja Pak Taja mengalah setelah menyedari kerja sia-sia sahaja kalau terus juga usaha mengesan Usin Todak.

"Jangan putus asa, Taja," Bomoh Supin tetap yakin Usin  Todak boleh ditemui asal sahaja puaka hutan yang mengawalnya dapat dikalahkan. Dia bersetuju dengan Judin Lopong mesti lima enam orang lagi bomoh datang membantu ke situ. Tiap-tiap bomoh akan melepaskan jembalang masing-masing supaya menyerbu ke tengah hutan belantara. Jembalang peliharaan bomoh-bomoh itu akan menyerkup puaka hutan yang berkeras mahu mengurung Usin Todak.

"Kerja sia-sia aje, Pak Supin," Pak Taja tetap tidak mahu meneruskan usaha tersebut.

Biarlah Bomoh Supin mahu menjemput berapa ramai pun bomoh di seluruh Sabah. Kalau mereka berjaya menemui Usin Todak, tentu Tok Musit akan memberikan upah juga. Tok Musit yang menjadi ketua gerakan mencari Usin Todak yang dikatakan tersesat di hutan itu, memang berharapkan bantuan bomoh seperti Bomoh Supin.

Mereka percaya hutan di Sabah tidak sama dengan di Semananjung. Hutan di Sabah masih banyak puaka yang mengawal di setiap penjuru. Siapa sahaja akan tersesat kalau tidak mendapat bantuan bomoh. Sebab itu mereka mesti meminta bomoh membakar kemenyan dulu sebelum melangkah masuk berburu ke hutan.

Tetapi Usin Todak berdegil. Dia mahu ke hutan bukan berguru dengan Tok Sitam, tetapi bertapa mahu amalkan petua boleh ghaib dan terbang laksana keluang di tengah malam. Memang terkejut Bomoh Supin apabila  diberitahu oleh Bimah mengenai suaminya ke hutan bersama Tok Sitam.

Tahu sangat Bomoh Supin mengenai Tok Sitam yang sudah meninggal dunia berpuluh-puluh tahun lamanya. Dia juga sekadar mendengar dari datuknya fasal Tok Sitam boleh terbang ke pucuk pokok yang tinggi. Sekalipun seisi kampung memuji-muji tetapi Bomoh Supin dan datuknya sendiri mencemuh sekiranya mereka kagum sangat dengan keistimewaan Tok Sitam.

Sudah beberapa kali Tok Sitam larikan isteri orang dengan membawanya terbang ke pokok yang tinggi. Kalau perempuan cantik di kampung lain sudah menjadi idamannya, bila-bila sahaja Tok Sitam akan terbangkan. Masakan suami perempuan itu berani membantah kalau dalam sekelip mata sahaja isterinya dibawa terbang.

Memang mereka tahu perbuatan Tok Sitam. Tetapi siapa berani menentang kalau cuba menghalang. Sebaik sahaja mereka bertentang mata dengan Tok Sitam seluruh anggota badan akan menjadi lemah tidak bermaya. Tok Sitam akan perlakukan apa sahaja di hadapan mata mereka sendiri isteri yang dilarikan itu.

Satu-satunya yang ditakuti oleh Tok Sitam memang datuk Bomoh Supin. Kalau Long Bidik tercegat di hadapannya nescaya Tok Sitam melarikan diri. Dia tidak akan berkeras terbangkan isteri orang yang disukainya apabila Long Bidik sudah tercegat di tengah rumah. Bukan sahaja dia tidak mampu terbang melayang ke udara, malah nafsunya juga tidak bermakna sebaik sahaja matanya ditentang mata Long Bidik. Sinar mata Long Bidik tidak mampu dipandangnya. Masakan dia dapat bertahan disebabkan Long Bidik boleh membakar apa saja dengan silauan cahaya matanya.

Kalau Long Bidik boleh merenung cahaya matahari dengan tidak berkedip sebaik sahaja naik segalah hingga sampai tegak di kepala, apa sangat dengan mata Tok Sitam Cubalah! Tok Sitam tidak mampu memandang silauan cahaya yang memancar dari mata Long Bidik.

"Hah, sampai sekarang Usin Todak yang hilang tu, tidak ditemui!" jelas Pak Taja apabila kenangkan kejadian bertahu tahun dulu di Sabah.

"Ayah kawan ni pun banyak pengalamannya, ustaz,” terkekeh-kekeh Kadir Misai ketawa mengusik ayah mertuanya.

"Ustaz pun tahu, arwah Ulung Bahar banyak cerita fasal ustaz ni," lantas sahaja Pak Taja mahu mengalih cerita menantunya itu.

"Memang ayah dah banyak dengar fasal ustaz," sahut Kadir Misai mencebek bibir. Tapi arwah tu tak cerita lagi pada ustaz fasal ayah,” katanya masih ketawa memanjang.

Singgah di rumah ayah mertua Kadir Misai memang mahu berihat, tetapi Pak Taja bukanya tahu mahu duduk diam. Disebabkan dia sudah terkejut tidur semasa saya datang bersama Kadir Misai, sengaja dia melayani kami berbual. Sampai subuh pun kami tidak dapat melelapkan mata. Hanya selepas solat subuh saya rebahkan juga badan disebabkan tidak tertahan lagi rasa mengantuk. Biarlah dapat hilangkan rasa mengantuk sebelum bertolak semula ke Jerantut menziarahi Lebai Bumin itu.

No comments:

Post a Comment