Saturday, December 31, 2016

209. TEPUNG ALIN MEMERCIK DARAH


   BIARLAH terpaksa melalui estet meranduk kegelapan malam sebelum sampai ke pekan Segamat, Mat Dibeh tetap tabahkan hati. Dia mesti temui juga Tuk Sami di kuil tengah estet setelah kecewa berubat sampai ke Beruas di Perak dan ke Jerantut di Pahang. Memang Mat Dibeh sudah nekad kerana tidak tertahan lagi dengan gangguan di rumahnya sejak bertahun-tahun.
Rezekinya semakin sukar bagaikan disekat-sekat oleh kuasa yang mahu melihat dia menderita sepanjang masa. Bukan seorang dua bomoh yang ditemui malah sudah lebih sepuluh orang, semuanya sekata memberitahu memang Mat Dibeh dianiaya. Sampai bilapun Mat Dibeh akan merasakan kesempitan hidup selagi rezekinya disekat melalui amalan yang sukar diketahui orang.
Ketika menemui Haji Libab di pekan Terong dekat Beruas di Perak, terkejut juga Mat Dibeh apabila orang tua itu gunakan geluk air dan keris pesaka untuk dapatkan tiga bungkusan barang yang ditanam orang di kawasan rumahnya.
Macam tidak percaya Mat Dibeh tatkala tiga bungkusan sebesar kotak mancis itu jatuh di atas tapak tangannya sewaktu Haji Libab mengisar ulu keris pesaka. Dia sendiri mendengar air di dalam geluk berkocak seperti diterpa bapak haruan semasa bungkusan berkenaan jatuh di tapak tangannya.
Setelah meneliti bungkusan itu, Mat Dibeh melihat kain putih yang sudah reput masih mempunyai kesan tanah baru lepas digali. Di dalamnya duri onak tertusuk ke buah limau yang sudah kering. Menggeleng-geleng lemah Haji Libab sebaik sahaja melihat bungkusan tersebut jatuh ke tapak tangan.
Tetapi Haji Libab tidak memberitahu apa-apa mengenai bungkusan tersebut. Tanggungjawabnya menggunakan apa sahaja kemahiran mendapatkan bungkusan yang tertanam itu. Perkara mengubati Mat Dibeh selanjutnya bukan lagi urusan dia.
Sebelum menemui Haji Libab, dia sudah ke Lekir terlebih dahulu. Uda Jali di Kota Setia yang bawakan dia menemui Haji Mat Dawi di Lekir itu untuk menentukan gangguan yang merasuknya selama ini. Bukan sahaja rezekinya tersekat, malah setiap tengah malam Mat Dibeh terasa badannya seram sejuk diserang demam.
Kadangkala kakinya bengkak tidak bersebab, hingga doktor di klinik memberikan suntikan penyakit gout. Ketika menemui Haji Mat Dawi, dia diberitahu fasal rezekinya yang disekat orang dengan menanamkan barang di keliling rumah.
Tetapi Haji Mat Dawi tidak berupaya untuk mengambil barang yang tertanam itu. Setelah dia mandikan Mat Dibeh dengan wap, Haji Mat Dawi menyuruh lelaki itu ke Beruas. Biarlah Haji Libab dapatkan barang yang tertanam itu, kerana orang tua berkenaan boleh gunakan suruhannya melakukan.
Setelah barang yang tertanam dapat diambil oleh Haji Libab, keadaan Mat Dibeh tidak juga berkurangan. Bukan takat rezekinya sahaja tersekat-sekat, malah wang di dalam saku juga hilang tidak bersebab. Kalau mahu dituduh toyol mencuri wang di saku, dia sudah kepung kawasan rumah untuk memerangkap toyol.
Masakan toyol boleh terlepas setelahTok Busu Kesit jampikan air di dalam geluk dibubuh jantung pisang dengan tujuh kuntum bunga raya. Toyol akan tergolek menampakkan diri sekiranya masuk juga ke rumah apabila air yang dijampi Tok Busu Kesit sudah diletakkan di penjuru bilik.
"Kalau begitu juga cari orang yang aniaya kau," kawannya Lajis mendesak setelah dia beritahu mengenai gangguan yang menimpa keluarganya.
"Macam mana nak tahu, dia gunakan benda ghaib," gerutu Mat Dibeh semacam sudah berputus asa.
"Jumpa aje Tok Sami di Segamat," ujar Lajis mencemik muka kerana geram juga dengan perbuatan orang menggunakan ilmu sihir untuk menganiaya sesama makhluk. "Perkara berubat jangan kira dukun tu Islam atau tidak," tegas Lajis memberi semangat kepada kawannya.
"Tok Sami tu di mana?" memang Mat Dibeh juga tidak menolak sekiranya menemui dukun India itu, asal sahaja dia dapat tentukan siapa orang yang gunakan bomoh untuk menyekat rezeki nya.
"Dia jaga kuil dalam estet," beritahu Lajis selanjutnya. Me-mang dia tahu sangat mengenai Tok Sami yang dikunjungi ramai orang setiap minggu meminta bantuan. Lajis sendiri sudah meminta bantuan Tok Sami berkenaan, sebab itulah dia tidak bertangguh memberitahu pada Mat Dibeh.
Lajis sendiri sudah mengalami gangguan demikian, hingga gerai yang dibuka di kawasan felda tutup setelah kerugian. Bertungkus lumus juga Lajis usahakan gerai tersebut, tetapi semakin lama dia mengalami kerugian yang berterusan.
Tidak diduganya gerai yang menjadi tumpuan penduduk-penduduk felda, tiba-tiba sahaja berubah menjadi lengang. Kawan-kawan yang seringkali duduk terlangut minum teh di gerainya, tidak lagi mahu jejakkan kaki. Beberapa kali pula berlaku di keliling gerai Lajis banyak bangkai katak bergelimpangan hingga berbau busuk.
Puas dibuang sampai penuh sekarungpun, bangkai katak itu bergelimpangan juga. Lajis sendiri tidak tahu dari mana bangkai katak hampir reput itu bersepah-sepah di sekeliling gerai. Siapa pula yang lakukan hingga terlalu banyak bangkai katak tersebut, salangkan mahu cari sepuluh ekor pun sukar mahu ditemui di celah-celah longkang.
Kalau tidak disebabkan isterinya Itam Jeha yang desak supaya menemui bomoh memang Lajis sendiri tidak pedulikan. sangat. Perkara orang atau pelanggan tidak jejak kaki ke gerai, hanya perkara biasa sahaja apabila berniaga. Untung rugi memang sudah menjadi lumrah sekiranya mahu mencuba nasib berniaga di mana-mana pun.
Tetapi Itam Jeha percaya gerai suaminya dikhianati orang dengan menggunakan ilmu hitam, sampai semua pelanggan menjadi jijik mahu singgah minum di situ. Mereka terbayangkan bangkai katak bergelimpangan beratus-ratus ekor di sekeliling gerai hingga berbau busuk meloyakan.
"Kita kena cari bomoh juga, bang," Itam Jeha tidak sabar lagi menanggung keadaan yang dialaminya sejak bangkai katak ditemui di sekeliling gerai. Dia sendiri sentiasa sengal-sengal sendi, sampaikan kaki kanannya berubah hitam bagaikan kayu rentung dibakar.
"Bomoh apa pula awak ni, perkara rugi berniaga tu, apa nak herankan," sahut Lajis tidak mempercayai sangat dirinya dianiaya dengan ilmu hitam. Masakan dia boleh ditewaskan ilmu hitam setelah banyak amalan diturunkan oleh arwah ayahnya Andak Sidin.
Jiran-jiran di kawasan felda itu tidak bertangguh menemuinya apabila anak kecil mereka gembung perut di tengah malam. Lajis akan tangkalkan minyak kelapa dicampur bawang merah, biar sakit gembung perut pulih macam sedia-kala. Kadangkala berdeput-deput anak kecil itu terkentut sebaik sahaja disapukan minyak yang sudah ditangkal oleh Lajis.
Memang Lajis percaya dia mampu menangkis ilmu hitam sama seperti arwah ayahnya Andak Sidin. Sebelum berpindah ke felda, memang di kampungnya tahu sangat kemampuan arwah ayahnya setiap kali jiran-jiran diganggu pelesit atau jembalang tanah. Andak Sidin satu-satunya diharapkan oleh penduduk kampung apabila keluarga mereka diganggu.
Cuma Lajis yang mewarisi semua amalan arwah ayahnya. Sudah beberapa kali jiran-jiran di kawasan felda itu meminta bantuan dia. Tatkala Leman anak kecil Kusir terkejang sakit dengan seluruh badannya panas akibat keteguran puaka anak air, Lajis dijemput mengubatinya. Lajis sekadar alinkan dengan tepung sambil membacakan tangkal yang diturunkan oleh arwah ayahnya Andak Sidin:
"Batang tawar batang senawar, hendak masuk segala tawar, hendak keluar segala bisa, bukan penyakit itu yang bisa, tawar aku yang bisa, bukan penyakit yang tajam, tawar aku yang tajam, bukan aku yang punya tawar, Malim Kelimun yang punya tawar , berkat la-illah-ha illallah hu..."
Tatkala dia hembuskan ke tepung alin, Lajis membayangkan bukan dia yang meniupkan, tetapi Malim Kelimun nenek moyangnya yang mewariskan amalan menjadi bomoh itu. Dia sendiri tidak tahu semenjak berapa keturunan jarak di antara dirinya dengan masa silam Malim Kelimun itu.
Dia hanya diberitahu keturunannya dari Malim Kelimun yang menjadi dukun besar, hinggakan air ludahnya terpaksa ditabung ke dalam ruas buluh supaya tidak terlangkah oleh anak cucu. Sekiranya sesiapa melangkah air ludah yang ditabung itu, nescaya akan dihinggapi geruh hingga menjadi busung di perut.
Sebab itulah Malim Kelimun menanamkan ruas buluh yang ditabungkan air ludahnya itu jauh di tengah hutan rimba yang tidak dijejaki orang rnelintas lalu-lalang. Bimbang benar Malim Kelimun kalau anak cucunya terlangkah air ludah itu hingga geruh ditimpa busung.
 "Boleh jadi juga orang nak uji, abang," mendengus Itam Jeha disebabkan Lajis masih juga mahu bertahan.
"Rezeki kita tak ada, nak buat macam mana?" keluh Lajis masih percaya kerugian yang dialaminya berniaga gerai itu berpunca daripada masalah mereka yang tinggal di felda menghadapi pasang surut juga. Sebelumnya mereka berbangga apabila harga getah mampu menampung poket hingga boleh minum kopi di gerai.
Tetapi setelah poket mulai tidak mampu menampung minum kopi di gerai, mereka minum sahaja di rumah masing-masing. Semenjak itu pula gerai Lajis semakin ditinggalkan.
"Saya percaya rezeki kita disekat orang!" tegas Itam Jeha keras kerana dia sudah menengok tetamas di rumah Bidan Inab. Dia percaya tetamas yang ditengok melalui Bidan Inab itu tidak pernah mungkir, kerana apa sahaja diramalkan tidak dapat disembunyikan.
Setelah Bidan Inab gantungkan beliung buruk peninggalan datuknya, dia akan menyebutkan punca penyakit. Sekiranya beliung buruk itu bergerak nescaya apa sahaja yang dituduhnya memang tepat. Itam Jeha percaya gerai suaminya dianiaya orang dengan ilmu hitam, apabila beliung buruk Bidan Inab bergerak sewaktu dia menuduh demikian.
Disebabkan beliung itu bergerak apabila dituduh Midun yang menganiaya, terasa pula tidak puas hati pada Itam Jeha. Dia macam tidak percaya kerana Midun terlalu baik hubungan dengan keluarganya. Kadang-kala Midun yang membantu memunggah barang-barang keperluan dari kedai untuk dibawa ke gerai.
"Siapa yang nak aniaya kita?" soal Lajis sengaja mahu menguji isterinya.
"Midun!" tegas Itam Jeha tidak bertangguh sekalipun dia tidak percaya sangat ramalan tetemas beliung buruk Bidan Inab.
"Hah, jangan mengarut," sahut Lajis mencebek bibir macam mengejek isterinya kerana menuduh jirannya itu.
"Serba salah juga Itam Jeha disebabkan terlepas cakap, sekali-pun di depan suaminya sahaja. Manalah tahu suaminya akan tersinggung kerana Midun sahaja yang rapat dengan keluarganya. Kalau tidak harapkan Midun membantu di gerainya, siapa lagi? Mengapa pula tiba-tiba sahaja tergamak menuduh Midun menganiaya dengan menggunakan ilmu hitam.
Disebabkan Itam Jeha mendesak, terpaksa juga Lajis meranduk jalan tanah merah di Air Baning mencari abang angkatnya Batin Puyun sehingga masuk sampai santak ke tengah hutan. Tersengih-sengih Batin Puyuh hingga masuk samai santak ke tengah hutan. Tersengih-sengih Batin Puyun mengejeknya kerana setelah terdesak sahaja baru mahu mencarinya di tengah hutan.
"Kalau tak ada hal, kau tak datang jumpa aku!" Batin Puyun mengejek seolah-olah berkecil hati kerana tidak dikunjungi Batin Puyun mengunjungi tua itu. Dia juga masih muda sasa sebelum dilantik menjadi batin di perkampungan itu.
Memang Andak Sidin sudah dianggapnya ayah oleh Batin Puyun, sehingga dia merasakan Lajis adiknya juga.
Tetapi Lajis tidak pernah mahu mengunjungi dia disebabkan rumahnya jauh ke tengah hutan, hingga terpaksa melalui jalan tanah merah yang menakutkan. Kalau Lajis tidak ada masa, kenapa tiba-tiba sahaja boleh jejak kaki ke situ setelah keadaan terdesak.
 "Abangpun tahu, aku bukannya ada kereta," Lajis bergurau sengaja mahu berdalih.
"Bila ada hal, tak ada kereta pun kau boleh sampai," Batin Puyun tetap meluahkan rasa terkilannya. Macam manapun dipujuk oleh Lajis, dia tetap enggan membantu. Hingga diminta potong limau pun, Batin Puyun memberitahu petuanya tidak boleh memotong limau pada hari berkenaan. Hampa juga Lajis dengan keputusan abang angkatnya Batin Puyun tidak mahu membantu.
Sebab itu dia menyimpan rasa dendam yang mendongkol dengan keputusan Batin Puyun memberi alasan kerana dia lama tidak berkunjung menemuinya. Apa salahnya Batin Puyun membantu, sekalipun sekali sekala sahaja bersua muka.
Lainlah semasa Batin Puyun setiap hari mengunjungi ayahnya Andak Sidin, memang dia berdagang ke kampungnya. Batin Puyun berkhidmat menjadi SC masa darurat. Disebabkan dia tidak mempunyai saudara mara di kampung Lajis, sebab itulah dia mencari ayah angkat untuk menumpang berteduh sewaktu di perantauan.
Tetapi dia tidak sama dengan Batin Puyun kerana dia mempunyai keluarga. Apalah gunanya dia berkunjung ke rumah Batin Puyun berulang kali kalau tidak ada perkara mustahak mahu diuruskan? Memang kecewa benar Lajis apabila Batin Puyun enggan membantunya.
"Agaknya dia tak sanggup nak lawan bomoh yang aniayakan kita ni," Itam Jeha memujuk sebaik sahaja mereka balik dari Air Baning menemui Batin Puyun.
"Ah, abang angkatpun tak boleh harap," gerutu Lajis kecewa sangat dengan sikap Batin Puyun.
Sewaktu menjadi SC memang ke rumah ayahnya Batin Puyun bertumpu sekalipun tatkala cuti panjang. Dia tidak akan balik ke rumah keluarganya setelah menerima Andak Sidin menjadi ayah angkat. Terasa sangat dia berubah pada Lajis setelah dipilih menjadi batin dalam masyarakatnya.
Sekali-sekala percaya juga Lajis dengan isterinya. Boleh jadi juga Batin Puyun sudah dapat menilik bahawa bomoh yang menggunakan ilmu hitam terhadap Lajis, bukan calang-calang mahu ditandingi. Lebih baik dia mengaku kalah terlebih dahulu daripada mencuba dengan sia-sia sahaja.
Disebabkan Batin Puyun sudah mengelak, Lajis sanggup ke Muar menemui Wak Saridan. Dia hanya disuruh oleh Wak Saridan berdoa sahaja selepas tunaikan solat setiap waktu, termasuk bangun di tengah malam tunaikan solat sunat tahajud.
Tetapi dia bekalkan juga garam kasar digaul lada hitam yang telah didoakan oleh Ayatul Kursi hingga 313 kali, supaya Lajis taburkan di sekeliling rumah dan gerainya. Wak Saridan mengaku manusia hanya menyerahkan segalanya kepada ketentuan Allah Sub-hanahu Wataala. Biarlah orang yang dirasuk syaitan terus menggunakan ilmu hitam untuk memuaskan nafsu dan perasaan semata-mata untuk membelas dendam.
"Kalau ajal kita sampai, dan mati kerana ilmu sihir, serahkan saja ketentuannya kepada Allah," Wak Saridan ingatkan Lajis supaya bersabar menempuh ujian demikian. Apa sangat ujian disekat rezeki dengan ilmu sihir, kalau bandingkan dengan pengorbanan Abu Bakar al-Siddiq menyerahkan semua hartanya semata-mata untuk menegakkan syiar Islam.
Hampir tiga bulan Lajis merasakan tidak ada gangguan selepas garam kasar bercampur lada hitam itu ditabur di keliling rumah. Tetapi selepas lama tidak diganggu, Lajis merasakan buku lalinya sakit hingga membengkak. Ter-dengkot-dengkot dia, ke hospital menunggang motorsikal honda kerana menyangka mengidap sakit yang berbahaya sangat.
Setetelah dirawat Lajis hanya diberitahu mengidap gout. Banyak sangat pantang tidak boleh dimakan termasuk makanan laut, kacang, petai ataupun jering, pedal dan hati. Sekalipun sudah disuntik, tetapi penyakit bengkak buku lali kaki itu berlanjutan hingga dua minggu.
 Terpaksa pula Lajis menemui dukun di Pelangai meminta alinkan telur. Sebaik sahaja Pak Ludin pecahkan telur yang sudah dialin ke kaki Lajis, terkejut dia melihat kuning telur itu melintang garisan merah seperti darah. Tidak pernah pula dia melihat telur yang sudah, dialin menunjukkan tanda demikian, hingga dia tidak dapat menuduh apapun punca penyakit Lajis.
"Kalau begitu, biar saya alinkan tepung beras pula," ujar Pak Ludin cuba menukar cara untuk menentukan penyakit yang dihadapi oleh Lajis.
Tepung alin yang dilepaskan di buku lali kaki Lajis kelihatan seperti dicakar kucing apabila diangkat. Tiga kali Pak Ludin alinkan tepung itu, dia melihat tepung itu berbintik-bintik merah seperti diperciki darah.
"His, tak faham saya ni," keluh Pak Ludin mengerutkan dahi kerana dia tidak dapat mengagak penyakitnya.
"Apa penyakitnya ni, Pak Ludin?" Lajis hairan kerana dirinya ditembusi juga oleh gangguan syaitan. Sia-sia arwah ayahnya Andak Sidin turunkan amalan yang boleh mempertahankan diri daripada gangguan demikian, kalau dia mengidap penyakit tersebut.
Garisan merah yang, melintang di dalam telur yang dialinkan di kakinya itu bukan penyakit gout yang boleh diubati di hospital. Begitu juga tepung alin yang terpokah seperti dicakar kucing dengan bintik-bintik merah bagaikan memercik darah, tentu mempunyai kaitan dengan amalan sihir syaitan.
Terasa sangat pada Lajis dia dicabar setelah arwah ayahnya lama meninggal dunia. Dia percaya gangguan syaitan ini tidak akan menembusi dirinya, kalau ayahnya masih hidup. Anak Sidin tidak akan merelakan anaknya dipermain-maikan sebelum bertentang dengan dirinya.
Sudah beberapa kali Andak Sidin dicuba orang dengan mengirimkan santau angin, tetapi tidak menyinggahi sasaran. Santau angin yang dikirimkan, tetapi tidak menyinggahi sasaran. Santau angin yang dikirim berbalik semula kepada tuannya menyebabkan orang berkenaan tersungkur muntah darah tatkala tengah menunggang basikal di tengah lorong kampung. Menggelupur dia mengerang-erang hingga tidak sedarkan diri sampai tiga hari.
Bukan takat diuji dengan santau angin sahaja malah diserbu ular alai juga sudah dialami oleh Andak Sidin. Tiba-tiba sahaja ular alai tertegak di halaman mahu memerangkap dua orang anaknya yang sedang bermain. Sebaik sahaja isterinya Bidan Nijah ternampak Lajis betul-betul di bawah bayang leher ular alai yang mengembang, hampir sahaja dia menerkam mahu mencekak.
Tetapi Andak Sidin tidak bertangguh menghambur ke tengah halaman setelah mendengar jeritan isterinya. Tercunggap-cunggap Bidan Nijah menahan ketakutan setelah bayang leher ular alai yang mengembang di liuk-liuk garang.
Belum sempat ular alai memagut, Andak Sidin pantas mencekek leher ular berkenaan. Sekaligus pula ular alai kemerah-merahan itu melilit tubuh Andak Sidin disebabkan kepalanya tidak dapat meragut. Semakin hebat ular berkenaan melilit semakin kuat tangan Andak Sidin mencekak lehernya. Dia tahu jarang ular alai mahu membelit seperti ular sawah, kecuali dia mematuk bahagian ubun-ubun sahaja.
Cepat-cepat pula Bidan Nijah menyuruh anak-anaknya naik segera ke rumah sewaktu Andak Sidin dibelit ular alai. Jiran-jiran yang datang mahu membantu pun sekadar tercegat berdiri di sekeliling halaman, kerana tidak dapat mahu bertindak. Kalau mereka menetak dengan parang, bimbang pula akan menyinggahi tubuh Andak Sidin.
Beberapa orang jiran mencari buluh mahu disesahkan ke tubuh ular biar binatang itu menjadi lemah tidak bertenaga. Tetapi Andak Sidin tidak melepaskan cengkamannya. Dia merasakan belitan ular alai itu sama seperti ular sawa sebesar batang pinang hingga seluruh tubuhnya tenggelam tidak boleh bergerak.
Saat ini Andak Sidin menahan nafasnya lantas membacakan:
Asyhadu tegak, meliputi aku, tegak aku seperti alif, berdiri aku seperti zat, berkat la-illahha illallah hu...
    Serentak dengan itu dia membesarkan tubuhnya seolah-olah sama tinggi dengan bukit di seberang sawah, hingga lilitan ular alai menjadi lembik laksana tali reput.
Semua jiran-jiran yang datang menyerbu mahu membantu melihat sendiri ular alai yang besar meliliti tubuh Andak Sidin bertukar menjadi kerisik daun pisang kering setelah putus tidak bertahan. Belum sempat mereka menarik nafas lega, tiba-tiba Bidan Nijah di atas rumah menjerit kuat.
Apabila mereka naik ke rumah masing-masing terkejut kerana Sinah anak perempuan Andak Sidik terkejang tidak sedarkan diri. Mulutnya berbuih-buih dipenuhi lumpur hingga meleleh ke lantai. Lajis yang baru berumur lima tahun itu erat-erat memeluk emaknya disebabkan ketakutan.
"Nampaknya bergeruh juga kita, Sinah," Andak Sidin terharu mengusap muka anaknya yang kaku tidak bernyawa lagi.
Memang Lajis tidak berapa ingat lagi kejadian yang menimpa dirinya tatkala berumur lima tahun hingga menyebabkan kematian kakaknya, tetapi emaknya berulang kali memberitahu peristiwa Sinah mati mengejut selepas arwah ayahnya bergelut dengan ular alai. Bidan Nijah sentiasa ingatkan Lajis supaya tidak amalkan sangat amalan yang diturunkan oleh arwah ayahnya itu, kerana bimbangkan dugaan yang bertimpa-timpa.
"Banyak ilmupun, hati tak senang, apa gunanya," ujar Bidan Nijah memujuk Lajis supaya tidak kesal menerima musibah tersebut. Biarlah Lajis berubat ke mana-mana, daripada melawan sendiri seperti arwah suaminya yang berulang kali menerima gangguan.
Disebabkan tidak tertahan dengan gangguan tersebut, Lajis menemui Tok Sami di kuil dalam estet berkenaan. Kawannya Muniandy yang sama-sama meneroka di felda di situ memberitahunya mengenai Tok Sami berkenaan. Perkara bomoh tidak perlu orang beragama Islam, sekiranya dia mampu mengatasi masalah.
 Lajis tidak peduli sekalipun terpaksa menemui Tok Sami di kuil meminta bantuan. Muniandy sudah memberitahu mengenai terlalu ramai orang datang mencari Tok Sami, apalagi setiap hari Jumaat dia menjamu penduduk-penduduk di kuil tersebut. Ramai taukeh-taukeh Cina yang mendermakan beras, daging, ikan dan apa sahaja barang keperluan setiap minggu Tok Sami mengada-kan jamuan.
"Taukeh-taukeh tu untung berniaga fasal Tok Sami tolong," jelas Muniandy sewaktu membawa Lajis menemui Tok Sami berkenaan. "Sebab itu mereka sanggup derma bila Tok Sami buat jamuan untuk orang," tuturnya menambah untuk meyakinkan kawannya.
Sewaktu sampai di kawasan estet malam sudah diselubungi kegelapan, hingga Muniandy juga tidak dapat mencari jalan. Sampai sahaja di hadapan kuil, tidak ada siapapun di situ. Tok Sami juga sudah balik ke rumah berhampir kuil berkenaan.
Tersengih-sengih Tok Sami mempelawa Lajis dan Muniandy masuk, sekalipun dia sudah terkuap-kuap menahan mengantuk. Tok Sami tetap lemah lembut melayani mereka berdua yang datang meminta pertolongan.
"Tentu awak datang dari jauh?" Tok Sami tersenyum menegur dengan ramah mesra.
Lajis mengangguk
 "Tok Sami tak marah ke?" sengaja Lajis mahu menduga perasaan Tok Sami itu.
"Apa sebab mahu marah?" sahut Tok Sami mengkibas-kibas kain kuning disandang ke bahu. "Orang datang minta tolong, Tok Sami mesti tolong," ujarnya memberi jaminan.
Setelah diberitahu oleh Muniandy kejadian yang menimpa Lajis, tidak bertanguh Tok Sami ambilkan air dibubuh dalam besen. Dia titikkan lilin dibakar ke dalam air sambil memerhatikan api yang menyala bersama titikan lilin itu terapung di permukaan. Hanya tiga titik sahaja lilin cair yang terapung itu menyala api.
Lama Tok Sami merenung lilin yang menyala di permukaan air itu barulah tiga titik lilin itu bercantum. Sebaik sahaja lilin menyala di permukaan air bercantum cepat-cepat Tok Sami menghembus lilin di tangannya.
"Hah, sudah lama awak kena ni," beritahu Tok Sami mengerutkan dahi macam terlalu kesal. "Kenapa baru sekarang awak jumpa Tok Sami?" kata nya mengangkat muka menatap Lajis.
Lajis tersengih-sengih sahaja. Muniandy yang bercakap memberitahu Tok Sami fasal Lajis sudah berubat di beberapa tempat, tetapi masih juga diganggu. Terangguk-angguk Tok Sami mendengar penjelasan Muniandy sambil mengusap-usap tangan ke dagu.
"Siapa yang buatkan saya ni, Tok Sami?" Lajis tidak bertangguh mahu mengetahui siapa yang berkhianat terhadap dirinya selama ini.
 "Orang ni baik dengan awak, macam abang adik," tegas Tok Sami menuding jari ke dalam besen air.
"Apa fasal dia buat macam tu?" Lajis mengeluh pendek memerhati titik lilin yang terapung di permukaan air.
"Dia tak mahu tengok awak maju berniaga," beritahu Tok Sami mencebek bibir.
Saat ini dia mula terbayangkan Midun jiran berdekatan rumah yang seringkali membantunya di gerai. Apa yang dilihat oleh Tok Sami sama juga dengan Bidan Inab yang menilik menggunakan beliung buruk nya. Mengeluh panjang Lajis apabila kenangkan Midun tergamak berkhianat dengan menggunakan ilmu hitam.
"Macam mana nak buat Tok Sami?" serba salah juga Lajis apabila kenangkan Midun.
"Kalau nak balas, awak bawa sini dua ekor ayam belanda," Tok Sami menjelaskan perlahan.
"Ayam belanda dua ekor?" soal Lajis mengulangi.
"Kita potong, lepas tu campakkan dalam lombong," ujar Tok Sami memberitahu cara yang dilakukan supaya ilmu hitam yang digunakan akan berbalik kepada orang yang membuatnya.
Tetapi Lajis tidak mahu Midun dianiaya. Biarlah dia bertahan sahaja sekiranya Midun berterusan mahu gunakan ilmu hitam terhadapnya. Dia tidak perlu membeli dua ekor ayam belanda supaya dipotong dan diikat kedua kakinya terus dicampakkan ke dalam lombong.
Sebaik sahaja daging ayam belanda membusuk, nescaya tubuh orang yang menganiaya Lajis juga akan membusuk dihurungi ulat berenga. Orang itu akan menanggung derita selagi bangkai ayam belanda itu terapung di permukaan air lombong.
Sampailah daging ayam belanda reput hancur dengan bulu-bulunya berapungan. Ketika inilah Tok Sami memberi jaminan orang berkenaan akan mati macam bangkai ayam belanda tenggelam ke dasar lombong, sekalipun Lajis tahu yang menentukan ajal maut itu hanya Allah Subhanahu Ta'ala semata-mata.
Disebabkan dia sudah menemui Tok Sami itulah, Lajis beriya-iya sangat mengajak Mat Dibeh. Setidak-tidaknya Mat Dibeh boleh cam siapa orang yang tergamak berkhianat menggunakan ilmu hitam untuk memuaskan nafsu syaitan.
Serba salah juga Mat Dibeh mahu ke kuil semata-mata untuk berubat, sekalipun Lajis mengingatkan perkara bomoh tidak perlu beragama Islam. Lainlah kalau mengharapkan doa yang dibacakan dari ayat-ayat Quran memang mengharapkan orang mengetahuinya.
 "Di Siam pun ada bomoh, orang Cina juga ada bomoh, apa nak kira," jelas Lajis menggertap bibir geram dengan perbuatan orang-orang yang tergamak berkhianat dengan ilmu hitam itu.
Mat Dibeh mengangguk. Apalah salahnya menemui bomoh di kuil atau siapapun asal sahaja boleh selamatkan dia. Mereka yang gilakan judi pun sanggup membongkok di depan topekong, biar dapat nombor ekor yang mahu ditikam. Tentulah tujuan dia lebih baik lagi mahu menemui bomoh di kUil itu, bagi menghalang gangguan ilmu hitam ke atas dirinya.
Marah benar Kadir Misai pada sepupunya Mat Dibeh sebaik sahaja dia diberitahu oleh isteri Mat Dibeh fasal mahu ke Segamat. Memanglah Mat Dibeh sekadar mahu berubat, tetapi dia percaya Mat Dibeh akan terdorong kepada fitnah sekiranya mempercayai ramalan yang ditilik melalui api lilin yang terapung di air dalam besen.
Sewaktu dia membawa Mat Dibeh menemui saya, Kadir Misai masih merungut-rungut kesal dengan keputusan sepupunya itu
. "Semua bomoh juga memohon kepada Allah, ustaz," ujar Mat Dibeh semacam tidak bersetuju dengan Kadir Misai.
Saya tidak menyahut. Lagipun apalah gunanya saya menjelaskan kepada Mat Dibeh, setelah dia yakin dengan keputusannya. Kalau dia mahu ke kuil di Segamat seperti dicadangkan oleh Lajis, biarlah. Kadir Misai juga tidak sepatutnya menghalang.
Tetapi semenjak saya kecil lagi Tok Aji sudah ingatkan, kalau doa ayat-ayat Quran itu lebih tinggi darjatnya, kenapa kita harapkan ucapan lain yang lebih rendah darjatnya daripada ayat-ayat Quran sekalipun sesiapa sahaja boleh berdoa dengan bahasa masing-masing?
Perkara doa itu makbul atau tidak hanya terserah kepada ketentuan Allah Sub-hanahu Wata'ala. Sebab itulah Tok Aji ingatkan juga, sekiranya menemui ajal sewaktu berdoa dengan ayat-ayat Quran tentulah lebih baik daripada mengucapkan perkataan yang tidak sama darjatnya dengan ayat-ayat al-Quran.
"Saya dah jumpa macam-macam bomoh" beritahu Mat Dibeh terbayang rasa kekecewaan di hatinya yang hampir berputus asa. "Semuanya gunakan ayat Quran, tapi macam tu juga!" kata-nya meluahkan kehampaan yang bersarang.
Terjengil mata Kadir Misai dengan luahan perasaan Mat Dibeh. Kalau anak-anak kecil memang sanggup Kadir Misai menampar mukanya, tetapi dia cuba bertenang disebabkan saya terconggok di depan-nya. Dia cuba bertenang sekiranya di depan saya.
Mat Dibeh pun tahu fasal Kadir Misai yang mudah panas baran, apalagi kalau sudah merasa kecewa apabila doa ayat-ayat Quran tidak membantunya daripada gangguan demikian.
"Berapa ribu duit kau hilang?" soal Kadir Misai keras. "Kalau takat seratus dua, samakah nilainya kalau kau belakangkan ayat-ayat Quran?' tegasnya mencemik muka.
"Saya tak belakangkan ayat-ayat Quran," lantas Mat Dibeh menjelaskan dia tidak bermaksud demikian.
"Kalau kau kecewa doa ayat-ayat Quran tidak sembuhkan penyakit kau, itu tandanya kau belakangkan ayat Quran," ujar Kadir Misai keras sedikit. "Sepatutnya kau tak takut harta dunia hilang, tapi takut kalau harta akhirat yang hilang," dia menambah selanjutnya macam menasihatkan sepupunya itu.
Mat Dibeh terdiam menatap muka saya. Dia terkebil-kebil mata setelah Kadir Misai bersuara keras. Perlahan-lahan saya membetulkan sandar ke kusyin sambil mengeluh pendek.
Memang saya terharu setiap kali ingatkan pesanan Tok Aji, bahawa syaitan sentiasa memujuk manusia memandang baik apa sahaja perkara yang buruk. Tetapi saya tidak dapat menuturkan di hadapan Mat Dibeh, kerana bimbang dia tidak memahaminya.