MARAH benar Utih
Semik apabila bunyi burung pungguk
melilau tengah kampong. Kalau burung
pungguk sudah menyerbu ke tengah kampong
tentu mala petaka akan melanda kampong mereka.
Sudah menjadi petua orang tua-tua tentu mala petaka akan mengganggu
sekiranya burung pungguk sudah berbunyi di dalam kampung.
Tidak boleh dibiarkan
burung pungguk bertenggek di mana mana kalau membawa malapetaka. Dia mesti
mengajak Mail Tenjot halau sahaja burung pungguk berkenaan biar terbang jauh ke
tengah hutan. Di tengah kampung bukan
tempat burung pungguk bertenggek, tempatnya di tengah hutan rimba tatkala bulan
mengambang penuh.
Dalam masa dia
berkira-kira mahu memanggil Mail Tenjot di sebelah rumah, tiba-tiba sahaja dia
mendengar dahan pokok kundang di seberang halaman berhenjut-henjut kena
serbu. Tidak lama selepas itu burung
pungguk berbunyi langsing di atas dahan pokok kundang itu.
“Hah, macam nak cari
geruh aku pula!” gerutu Utih Semik terus mencapai andang. Dia membakar andang menyuluh ke bawah pokok
kundang mahu memastikan sama ada benar burung pungguk yang hinggap di dahan
pokok berkenaan.
“Ada apa, Utih?” lantas sahaja Mail Tenjot membuka pintu
melaung dari kepala tangga sebaik sahaja mendengar Utih Simek turun ke tengah
halaman.
“Kau tak dengar ke,
bunyi burung pungguk tu?” sahut Utih
Simek terhangak-hangak memerhati ke tengah rimbunan daun pokok kundang di
seberang halaman.
“Ah, biarkan Utih,
dia cari tikus tu,” beri tahu Mail Tenjot terus duduk di kepala tangga
memerhatikan sepupunya terkial-kial membaling kayu api keatas pohon kundang.
“Kalau cari tikus tak
apa,” Utih Simek mencebek bibir menyuluh dahan pokok kundang dengan andang di
tangan. “Tapi, macam mana kalau bawa
malapetaka!” tegasnya ingatkan Mail
Tenjot yang sengaja mengejek dia apabila sebut mengenai pantang larang orang
tua-tua.
Memang Ultih Simek
petang kukuh-kukuh pantang larang yang diingatkan orang tua-tua. Dia tahu petua orang tua-tua memang perlu
diingat selalu. Bukan takat burung
pungguk berbunyi tengah kampung sahaja, kalau burung gagak bersahut-sahutan pun
nescaya akan membawa petaka buruk.
Biarlah abangnya
Lebai Sali berkali-kali ingatkan dia supaya buang sahaja kepercayaan demikian,
tetapi Utih Simek tidak peduli. Lebai
Sali tidak tahu sangat mengenai pantang larang orang tua-tua semenjak balik
belajar pondok di Kelantan.
Manalah Lebai Sali
tahu mengenai Akop Botak yang sengaja ejek-ejekkan datuknya Aki Minin fasal
tidak benarkan melangkah antan lesung.
Selepas menumbuk padi memang Aki Minin tidak benarkan antan dilimparkan
ke tanah sampai di langkah macam barang tidak berguna. Puas didesak oleh Akop Botak kenapa datuknya
tegah sangat jangan melangkah antan lesung, tetap Aki Minin sengaja tidak mahu
jelaskan.
Sebab itu Akop Botak
bertanyakan pada Utih Simek yang mematuhi sangat apa sahaja petua pantang
larang yang diberi tahu oleh Aki Minin,
Terkekeh-kekeh Akop Botak ketawakan Utih Simek apabila memberi tahu
pantang larang mengelakkan diganggu hantu tinggi.
Masakan Akop Botak
tidak ketawakan Utih Simek yang percaya sangat hantu tinggi akan menghalang
jalan kalau kerap kali melangkah antan lesung.
Tahu sangat Akop Botak mengenai pantang larang yang sengaja disebut
orang tua-tua.
Tentulah tidak manis
antan yang digunakan menumbuk padi untuk ditanak nasi itu dilangkah. Melangkah antan lesung menumbuk padi sama
juga macam melangkah nasi tengah di tanak dalam periuk. Sebab itu orang tua-tua melarang antan
melintang dilangkah selepas selesai menumbuk padi dilesung.
“Aku hanya ingatkan
petua orang tua-tua,” jelas Utih Simek apabila Akop Botak mengejeknya kerana
percaya sangat dengan pantang larang demikian.
“Kalau kita tak
keluar jauh-jauh malam, macam mana hantu tinggi nak halang jalan?” ujar Akop
Botak memperolok-olokkan Utih Simek kerana hantu tinggi sekadar mejelma di
tengah malam sahaja. Kenapa hantu tinggi
tidak menjelma tatkala siang hari tengah matahari rembang?
“Itu aku tak tahu,
aku hanya ikut cakap orang tua-tua,”
beritahu Utih Simek tersinggung juga dengan sikap Akop Botak
perolok-olokkan dirinya.
“Kalau orang tua-tua
suruh terjun lubuk, Utih nak terjun?”
sengaja Akop Botak mengusik.
Sebab itu Utih Simek
tidak mahu melayani sangat Akop Botak.
Perkara pantang larang orang tua-tua bukan mahu percaya atau tidak,
tetapi mahu dipatuhi atau tidak.
Sekiranya Akop Botak tidak mahu mematuhi seiapa pun tidak boleh melarang. Malah Aki Minin sendiri tidak boleh memaksa
cucunya itu.
Terpulanglah pada
Akop Botak mahu menuruti pantang larang orang tua-tua atau tidak. Kalau dia mahu melangkah antan melintang di
tepi lesung, langkahlah. Siapa pun tidak
melarang sekiranya dia berkeras sangat mahu melangkah semata-mata mahu mencabar
pantang larang yang mereka pegang sejak turun temurun.
Memang kerapkali Akop
Botak sengaja melangkah antan selepas emaknya menumbuk padi di tengah
halaman. Dia mahu menguji pantang larang
tersebut biar terserempak hantu tinggi menghalang jalan. Tentu dia boleh tanyakan sendiri kenapa hantu
inggi tidak benarkan dia melangkah antan.
Apa kena mengena antan tumbuk padi dengan hantu tinggi yang tidak ada
kaitan dengan kehidupan manusia?
Tetapi apabila
emaknya Embok Supi meminta jemput balik setelah menubuk emping di rumah Ngah
Lamah, terpaksa juga Akop Botak menyeberangi permatang ke sawah tatkala tengah
malam. Siapa pula yang mahu bawakan
bakul padi emaknya, kalau dia enggan membantu?
Dia sendiri pun gemar memakan emping, apa salahnya membantu emaknya.
Embok Supi memang bertumpu
ke rumah Ngah Lamah mengemping padi muda bersama jiran-jiran lain. Sudah menjadi amalan mereka seisi kampung
kalau mengemping padi berkawan-kawan di sebelah malam. Musim habis menuai padi apa salahnya mereka
bersuka-suka mengemping padi muda sisa yang ditinggalkan selepas menuai.
Setiap kali berkumpul
mengemping seisi kampung boleh mendengar bunyi hentakan lesung emping
berkumandang di udara memecah kesunyian malam.
Gembira benar mereka dengan bunyi tingkah antan di hentak berbalas-balas
ke dalam lesung.
Sewaktu Akop Botak
sampai di rumah Ngah Lamah, emaknya sudah berkemas-kemas mahu balik. Tetapi kawan-kawan yang lain masih menunggu
Ngah Lamah menjerang air di tungku, sambil sama-sama menjamah emping campur
nyiur kukur dengan gula enau ditaburkan.
“Biar aku balik dulu,
Akop pun dah datang jemput,” jelas Embok Supi tidak mahu menunggu air dijerang
mendidih di atas tungku. Mereka yang
lain rumah tidak jauh dari rumah Ngah Lamah.
Dia terpaksa meniti permatang sawah mahu sampai ke seberang sekalipun
boleh kelihatan jarak rumah mereka.
Sengaja pula Akop
Botak melangkah atan yang terlanggung di lesung emping semasa mengangkat bakul
padi emaknya. Memang Embok Supi melihat
anaknya melangkah antan pengemping itu, tetapi dia tidak berani menegur. Tidak baik tengah-tengah malam celupar sangat
sebut mengenai pantang larang orang tua-tua.
Lainlah kalau hari siang boleh juga dia ingatkan Akop Botak.
Tentu meremang bulu
tengkok apabila menyebut hantu tinggi tatkala tengah malam. Lainlah kalau siang hari memang hantu tinggi
tidak akan menjelma. Apabila Akop Botak
melangkah antan pengemping berdebar juga hati Embok Supi. Kalau tidak kenang sudah tengah malam, memang
dia leteri juga anaknya yang tidak pedulikan pantang larang orang tua-tua.
Semasa berjalan
mengekori Akop Botak dari belakang meniti permatang sawah, Embok Supi yang
memegang peita ayan di tangan. Dia
lindungkan api pelita dengan daun jambak supaya tidak diserbu angin malam. Sukar juga dia mahu mengekori Akop Botak yang
berjalan cepat di hadapan.
Sampai di tengah
sawah, Akop Botak terhenti menunggu emaknya yang jauh di belakang. Dia tidak dapat melintasi permatang apakala
melihat pokok kayu hitam tersergam di depannya.
Hairan juga dia bagaimana tunggul kayu boleh tersergam di atas permatang
kerana di situ jalan dia lalu lalang ke darat kampung.
“Kenapa Akop?” ujar
Embok Supi sebaik sahaja sampai di belakang Akop Botak yang tidak dapagt
meneruskan langkah.
“Tunggul apa pula di
hadapan ni?” jelas Akop Botak kerana bimbang tersesat jalan.
“Tunggul apa kata
kau?” gerutu Embok Supi terkejut apabila mendongak ke atas. “Ini bukan tunggul, orang tinggi tu
menghalang jalan,” beri tahu Embok Supi menarikan anaknya undur ke belakang.
Akop Botak juga
mendongak ke langit. Tunggul hitam yang
tersergam di depannya hanya betis lembaga hitam yang terkangkang dengan
kepalanya cecah keawan. Dia dapat
mengagak tentu lembaga hitam di depannya hantu tinggi yang di geruni sangat
oleh datuknya Aki Minin.
“Ini hantu tinggi ke,
mak?” Akop Botak menuding kearah lembaga hitam yang tinggi di hadapannya.
“Celupar sangat mulut
kau Akop!” gerutu Embok Supi marah dengan sikap anaknya yang berani membuta
tuli.
Perlahan-lahan Akop
Botak meletakkan bakul padi yang dipukulnya.
Tidak bertangguh dia menerkam kearah tunggul hitam diatas
permatang. Dia tahu tunggul hitam yang
tersegam tentu betis hantu tinggi yang menghalang jalannya.
Biarlah hantu tinggi
itu cuba menghalang dia, Akop Botak tidak bimbang apa-apa. Bukan macam datuknya Aki Minin yang tidak
berani langsung sebut hantu tinggi. Aki
Minin sekadar menyebut orang tinggi sahaja kalau mahu memberi tahu mengenai
lembaga berkenaan.
“Mak jangan takut,
takkan kita nak takut dengan hantu tinggi,” beri tahu Akop Botak mendongak ke
langit. Dia nampak awan hitam berkepul
di bahagian kepala lembaga itu sayup di udara.
Apabila kedengaran
bunyi seperti guruh di udara, Embok Supi berbisik memberi tahu mengenai hantu
tinggi itu terbatuk-batuk. Asal sahaja
dia batuk bermakna sengaja mahu mencari geruh.
Tahu sangat Embok Supi mengenai pantang larang itu yang diberi tahu oleh
ayahnya Aki Minin.
Belum sempat Embok
Supi menegah anaknya Akop Botak sudah menerkam kearah betis lembaga itu seperti
tunggul hitam tersergam di atas permatang.
Tidak bertangguh pula lembaga tinggi itu menghayun betisnya hingga dapat
dilihat oleh Embok Supi melepasi puncak-puncak bukit di keliling kampung.
Kecut benar perut
Embok Supi disebabkan tidak melihat Akop Botak semasa betis hantu tinggi
dihayun kuat. Terasa elusan angin di
udara semasa hantu tinggi itu menghayun betisnya dengan bunyi guruh yang kuat
di udara. Hampir setengah jam betis
hantu tinggi itu dihayun kuat barulah dihentak semula keatas permatang sampai
bergegar tanah dipijak.
Tersengih-sengih Akop
Botak keluar dari tunggul hitam tersergam sepeti belukar anak kayu di pinggir
hutan. Memang tenggelam Akop Botak di
dalam bulu betis lembaga itu yang panjang laksana lidi ijuk enau hingga
setengah depa.
“Memang berani awak,
Akop,” sayup-sayup kedengaran oleh Embok Supi suara garau di udara macam mengalah
dengan kedegilan anaknya Akop Botak.
“Awak cabutlah bulu roma kawan sehelai buat kenang-kenang,” ujarnya
seolah-olah kagum dengan keberanian Akop Botak berhadapan dengannya.
Tidak bertangguh Akop
Botak mencabut bulu betis hantu tinggi yang mengalah dengan keberaniannya. Setelah dicabut bulu betisnya angin kencang
bertiup hingga sedikit semi sedikit kabus hitam yang menghalang jalan hilang
dipuput angin.
“Kau ni sengaja nak
cari geruh, Akop,” tegas Embok Supi
masih berkeadaan cemas apabila kenang anaknya dihayun tatkala berpaut pada bulu
betis lembaga tinggi itu.
“Kita ni selalunya
takut tak bersebab,” sahut Akop Botak menggenggam erat-erat bulu betis hantu
tinggi itu. Setidak-tidaknya dia boleh
tunjukkan pada Utih Simek mengenai bulu betis hantu tinggi yang
dicabutnya. Manalah tahu kalau Utih
Simek tidak percaya mengenai dia terserempak hantu tinggi di tengah sawah.
“Geruh buat apa
dicari!” segera Embok Supi memarahi
anaknya yang terus berdegil tidak percayakan petua orang tua-tua.
“Kalau kita berani,
hantu tinggi pun takut,” tersengih-sengih Akop Botak ingatkan emaknya supaya
tabahkan hati apabila berhadapan dengan suasana cemas demikian.
Dia tahu emaknya
terlalu cemas sekiranya hantu tinggi itu sengaja mencari geruh. Ke mana mereka
berdua mahu berlindung kalau hantu tinggi itu mahu musnahkan salah seorang
daripadanya. Tidak perlu hantu tinggi
itu menguis dengan kaki, takat dikibas anginnya sahaja sudah cukup untuk
memeningkan kepala.
Tentu salah seorang
daripada mereka akan tersungkur jatuh akibat tidak tertahan dengan kibasan
anginnya. Tetapi Embok Supi menjadi
bersemangat apakala melihat anaknya meluru menerkam kearah betis hantu
tinggi. Kalau Akop Botak terjatuh semasa
berpaut di bulu betis hantu tinggi itu dia sendiri akan ikut sama menerkam.
Biarlah dia juga
menerima geruh apakala berpaut pada bulu betis hantu tinggi itu. Dia akan radak betis hantu tinggi itu dengan
cucuk sanggulnya biar tercacak menjadi bekas.
Tentu hantu tinggi itu akan menerita akibat cucuk sanggul tertusuk pada
betisnya. Sudah menjadi pantang larang
hantu tinggi itu tidak berani mengganggu sekiranya cucuk sanggul ditusuk ke
kakinya.
Pantang larang itu
sama juga dengan mengenali asal usulnya.
Masakan hantu tinggi berani mengganggu apakala asal usulnya
diungkit. Mana-mana puaka juga akan
menjadi lemah selemah-lemahnya apabila diungkit asal usulnya.
Memang hantu tinggi
akan mengelak daripada ditusuk cucuk sanggul kerana sumpahan Malim Panjang
semasa meninggalkan isterinya tengah sarat mengandung. Dia akan ditusuk cucuk sanggul isterinya
kalau tidak balik menjengah tatkala anaknya dilahirkan.
Bagaimana Malim
Panjang mahu balik menjengah setelah dia disumpah Puteri Tinggi akibat membunuh
rusa-rusa di tengah hutan. Dia terpaksa
menjadi gembala binatang di hutan setelah dirinya disumpah menjadi hantu
tinggi. Malim Panjang tetap ingat
mengenai sumpahan cucuk sanggul isterinya setelah menjelma menjadi hantu tinggi
sekali pun.
“Kamu ni Akop, degil
tak bertempat.” ujar Embok Supi kerana tidak menyangka anaknya berani menyerbu
hantu tinggi yang tercegat di hadapannya.
Tentulah Akop Botak menerima geruh sekiranya hantu tinggi itu
melontarkannya ke dalam gaung guntung di tengah rimba.
Macam tidak percaya
Aki Minin apabila diberi tahu oleh Embok Supi mengenai Akop Botak bergayut di
betis hantu tinggi. Malah Akop Botak
juga tidak mahu mengaku setiap kali disesak oleh datuknya. Tetapi seisi kampung mendengar cerita Akop
Botak dihayun oleh hantu ringgi semasa bergayut pada betis, sekali pun Akop
Botak tidak mahu mengakuinya.
Perkara bergayut pada
betis hantu tinggi bukan disebabkan dia mahu menyerbu atau tidak, tetapi
terpaksa dilakukan setelah terdesak.
Kalau dia bertahan pun tentu geruh akan memusnahkan dirinya. Alang kepalang ditimpa geruh lebih baik dia
bulatkan tekad menyerang hantu tinggi.
Saat inilah hantu
tinggi itu terkejut disebabkan Akop Botak tidak gentar berhadapan
dengannya. Disebabkan keberanian Akop
Botak itulah hantu tinggi berkenaan mengalah.
Beberapa kali dicubanya nmelontarkan Akop Botak biar terhumbnan jatuh ke
bawah, tetapi dia berpaut kuat pada bulu roma laksana liduk ijuk enau itu.
Selepas kejadian itu
terasa juga pada Akop Botak badannya sengal-sengal hingga demam beberapa
hari. Tetapi dia gagahi juga turun ke
sawah tidak peduli sama ada demam atau pun tidak. Selagi dia boleh bangun. Akop Botak tidak akan mengalah apa-apa.
Disebabkan letih
sangat balik dari sawah, Akop Botak tertidur sahaja di rumahnya. Ketika hujan lebat dengan rebut kencang
sebelah petangnya, Embok Supi singgah di rumah ayahnya Aki Minin disebabkan
tidak sempat lagi mahu balik ke rumahnya di sebelah darat. Dalam hujan lebat serta ribut kencang itu
sebatang pokok durian lima pemeluk tumbang menimpa rumah Embok Supi.
Setelah hujan teduh terkejut
besar Embok Supi apabila diberi tahu oleh jiran-jiran mengenai rumahnya ranap
ditimpa pokok durian tumbang. Tentu Akop
Botak terperangkap di bawah timbunan rumah ranap di bawah pokok durian yang
menimpanya. Mereka terpaksa bergotong
royong memotong dahan dan ranting untuk mengeluarkan Akop Botak di bawah
timbunan rumahnya yang ranap.
Sampai petang mereka
membersihkan dahan dan ranting pokok durian tumbang itu barulah dapat
mengeluarkan Akop Botak dibawah
timbunan. Dia tersengih-sengih sahaja keluar
dari bawah timbunan rumah yang ranap sambil menyapu-nyapu sampah yang melekat
pada badannya.
“Kamu tak luka
apa-apa Akop?” Aki Minin mendekati
cucunya yang tidak terkejut apa-apa dengan kejadian yang menimpanya.
“Tak kena pun hempap
pokok durian, mana nak luka..” ujar Akop Botak menerangkan.
“Hai rumah kau ranap
tu,” sahut Utih Simek hairan kerana rumah Embok Supi merata akibat dihempap
pokok durian, bagaimana pula Akop Botak terselamat?
Siapa pun tidak tahu
bagaimana Akop Botak boleh terselamat apabila ditimpa pokok durian setelah
rumahnya ranap tidak bersisa. Tetapi
Akop Botak mengakui dia sendiri tidak tahu apa-apa. Tatkalan jiran-jiran membersihkan dahan dan
ranting-ranting pokok durian yang tumbang dia sekadar melihat kelilingnya gelap
tidak kelihatan apa-apa pun di sekelilingnya.
Kejadian yang menimpa
Akop Botak itu tidak sama dengan burung pungguk berbunyi di dahan pokok kundang
di hujung halaman rumahnya. Lainlah Akop
Botak memang tidak takutkan apa-apa pun hatta hantu tinggi tercegat menghalang
jalan. Tetapi burung pungguk berbunyi di
tengah kampung bermakna malapetaka akan menimpa seisi kampung.
Tentu abangnya Lebai
Sali juga akan mengejek Utih Simek dengan kepercayaan membuta tuli. Lebai Sali percaya tidak ada siapa pun boleh
turunkan malapetaka kepada mereka seisi kampung kecuali dengan kehendak Allah
Subhanahu Wataala.
Berkali-kali Lebai
Sali ingatkan Utih Simek: Wamabikum min ni’matin faminallahhi thumma
izamassakumudh dhurru fa-ilaihi taj-arun. “Apa sahaja nikmat yang ada pada kamu
makan dari Allah lah datangnya, dan bila kami ditimpa kemudharatan maka hanya
kepadaNyalah kamu meminta pertolongan.” Ujar Lebai Sali kesaldengan sikap
adiknhya Utih Simek terlalu percayakan petua orang tua-tua.
Tetapi Utih Simek
tidak peduli sangat apa pun Lebai Sali mahu tuturkan. Manalah sama dia dengan Lebai Sali yang
bertahun-tahun belajar pondok di Patani.
Apa sangat dia kalau mahu bandingkan dengan abangnya Lebai Sali yang tahu
banyak doa-doa mujarab. Masakan hantu
tinggi berani mengganggu Lebai Sali tatkala hati nuraninya terus bertasbih
sepanjang masa.
Dia tidak mampu ikut
jejak abangnya boleh bangun tengah malam berwirid panjang. Biarlah dia amalkan petua orang tua-tua asal
sahaja dijauhi mala petaka. Sebab itu
dia mesti halau burung pungguk bertenggek di dahan pokok kundang di hujung
halaman rumah supaya tidak membawa mala petaka kepada keluarganya.
Tentu Lebai Sali
sendiri menyedari bagaimana Akop Botak dihalang oleh hantu tinggi kerana tidak
percayakan petua orang tua-tua jangan melangkah antan lesung. Mail Tenjot juga menghidap burut disebabkan
suka benar duduk di atas buah nyiur.
Kalau tidak diubati oleh Aki Minin tentu burutnya tidak seruh hingga
membesar sampai sebesar tempurung nyiur.
Bukan Akop Botak
dengan Mail Tenjot tengah bersunat pun menbengkak kemaluan sampai sebesar hulu
parang. Sudah menjadi pantang larang
tidak boleh memegang hulu parang tatkala bersunat dengan mudim. Tetapi Manap anak Mail Tenjot pegang juga
hulu parang mahu mengupas buah betik.
Apa salahnya gunakan
pisau sahaja kalau takat mengupas buah betik.
Tetapi Manap tidak peduli setelah puas mencari pisau tidak tahu di
mana. Selepas mengupas buah betik dengan
memegang hulu parang, tiba-tiba sahaja kemaluannya membengkak tidak bersebab.
Terpaksa juga
dijemput Aki Minin jampikan minyak kelapa disapukan berturut-turut tiga hari,
biar bengkaknya seruh. Banyak sangat
pantang larang orang tua-tua tidak dipatuhi orang-orang kampung. Apabila ditimpa geruh mereka segera menemui
Aki Minin tidak bertangguh minta ubatkan.
Sebab itu Utih Simek
tidak berani melanggar pantang larang orang tua-tua. Kalau burung pungguk tidak boleh berbunyi di
tengah kampung dia wajib halau jauh-jauh.
Kenapa burung pungguk di tengah hutan menyerbu masuk ke kampung
sekiranya tidak bersebab? Tentu puaka
hutan yang membawanya terbang ke tengah kampung semata-mata membawa geruh.
Burung pungguk di
dahan kudang tidak berganjak. Sebaik
sahaja disuluh dengan api andang Utih Simek nampak mata burung berkenaan bulat
bersinar merenungnya. Tidak bertangguh dia
melontarkan pasir tanah kearah burung itu, menyebabkan burung tersebut terbang
terus hinggap di bumbung rumah.
Marah benar Utih
Simek disebabkan burung berkenaan sengaja mencari geruhnya. Kenapa pula hinggap di bumbung rumah setelah
terbang dari dahan pokok kundang? Lantas
dia mencapai kayu api panjang sehasta di bawah rumah terus dibalingnya ke
bumbung atap.
Tetapi burung pungguk
itu hanya melayang hinggap ke bumbung rumah Mail Tenjot pula. Setelah diberi tahu kepada Mail Tenjot,
lelaki itu hanya tersengih-sengih sahaja.
Mail Tenjot tidak peduli sama ada burung pungguk itu mahu hinggap lama
atau pun tidak di bumbung rumahnya.
Biarlah burung berkenaan bertenggek di situ sampai ke pagi.
“Kau jangan nak
simpan bala, Mail,” Utih Simek tidak
sabar dengan sikap Mail Tenjot tersengih-sengih tercegat di kepala tangga.
Masakan membiarkan
burung pungguk hinggap di atas bumbung atap dituduh menyimpan bala. Sebab itu Mail Tenjot tidak pedulikan sangat
desakan sepupunya Utih Simek mengenai burung pungguk hinggap di atas bumbung
rumahnya. Tentu Utih Simek sendiri tahu
hantu tinggi yang menghalang jalan Akop Botak tidak dapat menperdayakan lelaki
berkenaan. Apa salahnya terserempak hantu
tinggi kalau berani berdepan dengannya seperti dilakukan oleh Akop Botak.
Bukan takat hantu
tinggi sahaja diserbu oleh Akop Botak, semasa orang-orang kampung ketakutan
diganggu harimau jadian,dia merayau-rayau tengah malam mahu menangkapnya. Cubalah harimau jadian itu menjelma di
depannya nescaya akan dicekaknya leher sampai tidak dapat lari ke mana.
Harimau jadian itu
tidak dilihat oleh sesiapa pun. Mereka
sekadar melihat tapak kaki harimau di tengah halaman, setelah rumah dinaiki
orang. Pintu terkunci rapat juga tidak
bermakna, kerana harimau jadian itu boleh membolos masuk asal sahaja ada lubang
ditembusi angin. Sebaik sahaja masuk
harimau jadian akan mengganggu anak-anak gadis hingga seisi kampung menjadi
gempar.
Sebab itu Akop Botak
menyusup dalam kegelapan malam mencari punca kejadian. Semasa dia melihat di hadapan rumah Utih
Simek seorang lelaki memakai pakaian serba hitam duduk bersila di tengah
halaman, Akop Botak sudah dapat mengagak tujuan lelaki berkenaan.
Dia nampak lelaki
berkenaan bergolek di tengah halaman lantas meniarap seperti seekor kucing.
Tatkala dia menonggeng perlahan-lahan ekornya keluar hingga memanjang sampai
sedepa. Perlahan-lahan pula dia menggeliat-geliat semasa tubuhnya ditumbuhi
bulu, sampai seluruh badannya bertukar menjadi harimau.
Apabila bayangan
harimau melompat masuk ke dalam rumah Akop Botak menghela nafasnya sambil
memukul-mukul bulu betis hantu tinggi ke tanah. Sekali gus Akop Botak merasa dia bertenggek
di atas bahu hantu tinggi dan bukan lagi berlindung di sebalik belukar di
keliling rumah.
Hantu tinggi itu
berdiri dengan dua kaki terkangkang.
Bumbung rumah berkenaan sayup di bawah kangkang hantu tinggi
berkenaan. Tersenyum Akop Botak
memerhati ke bawah sebaik sahaja terdengar jeritan di dalam rumah. Dia percaya Utih Simek terjaga setelah
menyedari jelmaan harimau itu menyusup masuk.
Sebaik sahaja api
pelita di pasang, bayangan harimau melompat keluar hingga tersungkur di tengah
halaman. Dia tidak dapat melepaskan diri
dari kangkang hantu tinggi yang melangkaui bumbung. Terkial-kial bayangan harimau itu mahu
melepaskan diri disebabkan ekornya terhimpit di bawah pijakan kaki hantu
tinggi.
“Apa yang kau mahu?”
Utih Simek tercegat di muka pintu memjerhati harimau tergolek di tengah
halaman. Dia dapat mengagak tentu
harimau jadian tidak dapat melepaskan diri dari tangkal yang dibekalkan oleh
Aki Minin.
Semenjak heboh seisi
kampung mengenai jelmaan harimau jadian mengganggu, tidak bertangguh Utih Simek
menemui Aki Minin. Sebab itu Aki Minin
minta dia siapkan buluh kuning tiga batang panjang sejengkal. Dia mematuhi petua Aki Minin dengan
menyelitkan ke dinidng buluh kuning itu pada tiga penjuru.
Ke mana lagi harimau
jadian itu mahu sembunyikan diri kalau sudah melanggar tangkal Aki Minin? Tentu
harimau jadian itu tidak dapat mencari jalan keluar setelah dikepung oleh Aki
Minin dengan buluh kuning yang menjadi pantang laragnnya. Sebab itu Utih Simek tahu memang harimau
jadian itu sudah terperangkap di tengah halaman rumahnya.
“Huh, kamu nak tunjuk
pandai ye!” lantas Utih Simek terjun ke tengah halaman dengan parang terhunus.
Tetapi segera diterpa
oleh Mail Tenjot supaya naik semula ke atas rumah. Tatkala Utih Simek melompat ke tengah
halaman, memang Mail Tenjot nampak lembaga tinggi seprti asap hitam terkangkang
melangkah bumbung rumah kalau bukan hantu tinggi?
“Kenapa kamu halang
aku?” marah benar Utih Simek di sebabkan Mail Tenjot tiba-tiba sahaja menolak
dia naik semula ke rumah.
“Hantu tinggi
kangkang rumah ni,” bisik Mail Tenjot menudingkan jari ke bumbung rumah.
“Mana kau tahu?”
gerutu Utih Simek tidak sabar melihat harimau jadian yang tergolek di tanah
dengan mulutnya berbuih-buih tertumus ke pasir halaman.
“Aku Nampak dari
rumah aku,” beri tahu Mail Tenjot ingatkan supaya mereka berlindung di dalam
rumah.
Terdiam Utih Simek
apabila kenangkan rumahnya dilangkah kangkang hantu tinggi. Dia percaya sangat dengan petua orang tua-tua
sekiranya berlindung di dalam rumah nescaya hantu tinggi tidak dapat
mengganggu. Sampai bila pun hantu tinggi
tidak akan dapat menyusup masuk ke dalam rumah selagi persumpahan dengan
anaknya Malim Kerimun masih berterusan.
Asal sahaja
berlindung di dalam rumah bermakna anak cucu Malim Kerimun. Kalau dia musnahkan anak cucu Malim Kerimun
bermaksa dia memusnahkan keturunannya sendiri. Sebab itu hantu tinggi tidak
akan ganggu anak cucunya yang berlindung di dalam rumah.
Lain lah hantu raya
atau pelesit, bila-bila akan menyusup masuk ke dalam rumah melalui bilik
air. Aki Minin sentiasa ingatkan Utih
Simek mengenai hantu raya atau pelesit akan mencari bilik air sebelum menyusup
masuk. Kalau mahu menghalang hantu raya
atau pelesit mesti serakkan lada hitam dengan garam kasar di sekeliling bilik
air.
Banyak sangat petua
yang diingatkan oleh Aki Minin sampai Utih Simek sendiri terlupa. Tidak tahu bagaimana dia mahu amalkan hingga
bercelaru tidak menentu. Setelah diberi
tahu oleh Mail Tenjot mengenai rumahnya di bawak kangkang hantu tinggi, dia
tidak boleh lagi terjun ke tengah halaman.
Biarlah harimau
jadian itu terkial-kial tidak dapat melepaskan diri. Lama dia bergolek-golek barulah dia bangun
terhuyung hayang tidak dapat melangkah kuat.
Tetapi digagahinya juga berjalan ke tengah kegelapan malam dengan kepala
tergeleng-geleng. Tidak lama selepas itu
mereka berdua melihat Akop Botak mara ke tengah halaman dengan tersengih-sengih
macam sengaja mahu menyakiti hati Utih Simek.
“Kamukah yang jadi
harimau tu, Akop?” lantas sahaja Utik Simek menuduh disebabkan tiba-tiba sahaja
Akop Botak terjongol di tengah halaman.
“Utih tengok, aku ni
ada rupa harimau ke?” terkekeh-kekeh Akop Botak tertawa kerana geli sangat hatinya
dengan sikap Utih Simek.
Kejadian yang menimpa
Utih Simek itu cepat sahaja diketahui oleh seisi kampung. Mereka bertumpu di rumahnya kerana bimbang
perkara tidak berlaku ke atas anak dara
suntinya Selipah yang baru berumur 14 tahun.
Tetapi Selipah mengaku harimau jadian itu hanya nampak sekali imbas
sahaja menyebabkan dia menjerit kuat.
Tetapi memang
rumahnya bergegar kuat tatkala harimau jadian melompati tingkap melepaskan
diri. Sebaik sahaja jeritan dia
melangsing tidak bertangguh ayahnya Utih Simek bingkas menerpa. Dia terus meluru ke pintu sebaik sahaja
mendengar rengekan harimau di tengah halaman.
Kalau tidak disebabkan Mail Tenjot menolaknya supaya naik semula ke
rumah nescaya kepala harimau jadian itu akan ditetaknya dengan parang.
Esoknya mereka
mendengar Itam Kusin di kampung berdekatan jatuh pitam hingga muntah
lumut. Tidak sampai setengah jam Itam
Kusin menggelepar laksana harimau mencakar pokok, dia terkejang tidak bergerak
lagi. Satu-satunya yang tidak terkejut
dengan kematian Itam Kusin yang mendadak tiba-tiba itu hanya Akop Botak.
Cam betul Akop Botak
harimau jadian yang menggolekkan badan di tengah halaman rumah Utih Simek
memang Itam Kusin. Marah juga dia dengan
perbuatan Itam Kusin yang sengaja menganiaya orang kampung disebabkan ilmunya
itu.
Tetapi Aki Minin
dapat mengagak juga hantu tinggi yang dilihat oleh Mail Tenjot terkangkang
melepasi bumbung rumah Utih Simek memang berkampil dengan Akop Botak. Sudah lama Aki Minin mengetahui selepas
cucunya dapat bulu betis hantu tinggi itu memang Akop Botak sentiasa didampingi
oleh lembaga berkenaan.
Tahu sangat Aki Minin
tatkala rumah anaknya Embok Supi dihempap pokok durian lima pemeluk sampai
ranap habis, memang hantu tinggi itu tercegat di situ. Hantu tinggi itu tidak akan biarkan Akop
Botak penyek ditimpa pokok durian.
Ketika pokok durian itu tumbang Akop Botak sendiri mengakui melihat satu
lembaga besar menupang dengan tangan supaya pokok durian berkenaan tidak jatuh
terhempas menimpanya.
Hanya kepada Aki
Minin sahaja Akop Botak beri tahu apa yang dilihatnya. Kalau diceritakan kepada orang-orang kampung
masakan mereka semua percaya. Tentu
orang-orang kampung akan menuduhnya mahu mengada-adakan cerita disebabkan
terselamat daripada dihempap pokok durian besar.
Perkara dia boleh
menyerbu hantu tinggi bukan untuk bermegah-megah. Kalau dia tidak menyerbu
tentu hantu tinggi itu pula akan menyerbunya. Sebab itu Akop Botak tidak peduli
sangat sama ada orang-orang kampung mahu percaya atau pun tidak.
Memang Utih Simek
tahu, bukan takat kejadian ditimpa pokok durian itu sahaja Akop Botak
terselamat. Semasa datuknya Aki Minin
diserbu kerbau jantan naik minyak pun dia satu-satunya yang bertahan. Tatkala
Aki Minin sudah terasak ke perdu pokok rambai dia sudah tidak dapat mengelak
apabila kerbau jantan tengah garang itu menerpa.
Tiba-tiba sahaja
kerbau jantan itu tersentak apakala ekornya diheret kuat dari belakang. Akop
Botak tercegat di belakangnya memegang ekor kerbau berkenaan dengan sebelah tangan sahaja. Sebelah lagi tangannya mencekak dua kaki
kerbau itu laksana memegang kaki anak kucing sahaja. Terkejut juga orang kampung disebabkan tenaga
luar biasa Akop Botak boleh mengangkat kerbau berkenaan macam menjinjing anak
kucing sahaja dicampakkan ke dalam kubang.
Ketika ini mereka
melihat bulu roma Akop Botak memercik darah laksana peluh merenik-renik. Dia tidak bercakap sepatah pun apabila
ditegur oleh datuknya Aki Minin yang terselamat daripada ditanduk kerbau tengah
naik minyak.
“Kamu tak boleh
samakan aku dengan Akop Botak!” Utih Simek ingatkan Mail Tenjot di sebabkan
dirinya kuat berpegangn kepada petua orang tua-tua. Lainlah Akop Botak yang berani menempah
geruh, hantu tinggi pun diserbunya tidak bertangguh.
Siapa biji mata di
kampung itu berani ikut jejak Akop Botak menyerbu hantu tinggi? Jangan kata mahu menghambur menerkam betis,
mahu melangkah pun kepala lutut goyah tidak dapat bertahan. Utih Simek sendiri mengaku dia tidak sanggup
menahan ketabahan seperti Akop Botak.
Sebab itu dia pegangn kukuh-kukuh petua yang diturunkan oleh Aki Minin.
Burung punguk di atas
bumbung rumah Mail Tenjot mesti dihalau juga biar terbang jauh dari
kampung. Utih Simek tidak mahu burung
pungguk berbunyi di dalam kampung menyebabkan seisi kampung menanggung bala. Biarlah Mail Tenjot atau abangnya Lebai Sali
tidak percaya dengan petua dan pantang larang, dia tetap tidak berganjak dengan
kepercayaannya.
SELESAI