SEBAIK sahaja senja mula samar-samar tidak bertangguh
Ngah Sirah melaung anak-anaknya bermain di tengah halaman segera naik ke
rumah. Tingkap dan pintu mesti ditutup
rapat. Dia tidak benarkan anak-anaknya
bermain tengah halaman tatkala senja masuk waktu. Terjerit-jerit dia melaung dari tingkap
dengan menjengah muka memerhatikan anaknya Leha terlompat-lompat main galah
adang bersama kawan-kawannya.
Leha yang baru berusia sepuluh tahun tidak membantah
apabila suara emaknya meninggi menyuruh dia segera naik ke rumah. Dia tidak mahu emaknya marah sampai terjun ke
tanah menghambat dia dengan rotan lilin panjang sehasta.
Memang Ngah Sirah risau kalau Leha bermain di tengah
halaman tatkala senja masuk waktu. Sudah
menjadi pantang larang orang tua-tua ketika senja inilah syaitan berkeliaran
mencari mangsa. Manalah tahu anaknya
Leha yang menjadi mangsa disebabkan leka bermain tatkala senja demikian.
Harapkan suaminya Mat Jani memang tidak pernah lekat di
rumah. Asal sahaja turun ke pekan kecil
melalui jalan estet santak malam baru Mat Jani balik ke rumah. Puas Ngah Sirah berleter sepanjang malam pun
Mat Jani tidak peduli apa-apa.
Tahu sangat Ngah Sirah memang Mat Jani terconggok main
mahjong di kedai kopi Ah Seng apabila dia turun ke pekan kecil. Tetapi Mat Jani tetap akan habiskan masa di
situ asal sahaja sudah sediakan semua keperluan dapur setelah dapat duit
gajinya.
Mat Jani berkeras mengakui dia tidak main mahjong ikut
gila berjudi sampai lupa rumah tangga.
Kalau terconggok di kedai kopi Ah Seng pun hanya hujung minggu sahaja
apabila berkumpul dengan kawan-kawan Cina yang sama ambil kontrak menebang
pokok di hutan. Setelah penat memikul
mesen gergaji menebang pokok, apa salahnya dia habiskan masa bermain mahjong.
Kalau kalah dua tiga puluh ringgit pun Mat Jani tidak
peduli. Memang dia tidak akan habiskan
wang di saku kerana ikutkan perasaan mahu berjudi sampai santak pagi. Dia sekadar mahu berseronok dengan
kawan-kawan sahaja setelah penat bekerja menebang pokok sampai seminggu dua di
tengah hutan.
“Tak baik kamu terjerit-jerit senja macam ni,
Sirah!” emak saudaranya Andak Miyah
ingatkan supaya tidak melaung anak dari atas rumah dengan menjengah muka di
tingkap.
“Kalau tak buat macam tu, Leha tu degil,” beritahu Ngah Sirah tidak sabar dengan sikap
anaknya yang asyik bermain di tengah halaman sekali pun senja sudah masuk
waktu.
“Pantang orang tua-tua melaung waktu senja!” ujar Andak Miyah yang masih berpegang kuat
pada petua dan pantang larang turun temurun.
Tertunduk Ngah Sirah apabila disebut mengenai petua dan
pantang larang sejak turun temurun.
Seisi kampung memang mematuhi Andak Miyah dengan petua dan pantang
larangnya. Dia satu-satunya bidan yang
diharapkan oleh penduduk-penduduk kampung.
Siapa lagi boleh diharapkan di tengah kampung kalau bukan bidan yang
memelihara petua dan pantang larang turun temurun.
Bidan seperti Andak Miyah sama juga macam bomoh yang tahu
mengenai petua dan pantang larang. Siapa
yang melanggar petua dan pantang larang nescaya menerima musibah. Sebab itu Ngah Sirah tidak membantah apa-apa
setelah diingatkan oleh emak saudaranya supaya tidak melaung memanggil anak
dengan menjengah muka pada tingkap tatkala senja masuk waktu.
Memang Andak Miyah marah benar sekiranya sesiapa melaung
anak dari tingkap sebaik sahaja senja masuk waktu. Dia akan memarahi sesiapa sahaja kalau
melanggar petua dan pantang larang demikian.
Andak Miyah akan merungut panjang kalau sesiapa berdegil melanggar
pantang larang yang sudah di ingatkan sejak turun termurun itu.
Setiap kali marah apabila dilanggar pantang larang
melaung dari tingkap tatkala senja itu,
Andak Miyah akan ungkit fasal Onyang Jami degil sangat hingga tidak
pedulikan pantang larang tersebut. Biar
pun Onyang Jami sudah bertahun-tahun berlalu, tetapi Andak Miyah tahu neneknya
memang keturunan Onyang Jami.
Marah benar Onyang Jami disebabkan dua orang anaknya
Munah dan Simat leka bermain dengan anak-anak jiran yang sebaya di tengah
halaman setelah masuk waktu senja.
Segera dia menjengah di tingkap lantas melaung anaknya Munah dan
Simat. Anak kecil yang baru berumur dua belas tahun dan sepuluh
tahun itu tidak pedulikan laungan emaknya di tingkap.
Mereka asyik bermain lompat gagak hingga hiruk pikuk di
tengah halaman. Dalam keadaan marah
itulah Onyang Jami turun ke tengah halaman lantas memiat telinga Munah
memaksanya segera naik ke rumah. Sebaik
melihat telinga kakaknya dipiat, Simat juga segera naik ke rumah. Teresak-esak Munah menangis disebabkan
telinganya dipiat kuat. Ketika ini anak
jiran-jiran juga bertempiaran lari balik ke rumah setelah Onyang Jami becok
memarahi Munah.
Tetapi tangisan Munah berbaur-baur bagaikan riuh sangat
sama seperti hiruk pikuk tatkala bermain di tengah halaman. Puas dia menjerit memaksa Munah diamkan diri,
tetapi tangisan anak kecilnya masih berbaur-baur dengan keriuhan yang tidak
menentu.
Dalam suasana riuh berbaur-baur ini Onyang Jami mendengar
namanya dipanggil dari tengah halaman.
Sebaik sahaja dia membuka pintu suaminya Tok Biran tercegat di situ
mengajak dia segera ke rumah ayahnya tengah sakit tenat.
“Macam mana budak-budak?”
Onyang Jami bimbang juga mahu tinggalkan anak-anaknya.
“Ajaklah mereka sama,”
desak Tok Biran tergesa-gesa mahu cepat ke rumah ayahnya tengah sakit
tenat.
Tetapi Munah bersama adiknya Simat tidak mahu ikut sama
disebabkan menahan rasa mendongkol di hati akibat dipiat telinga oleh
emaknya. Kalau ditinggalkan pun Tok
Biran tidak bimbang apa disebabkan rumah ayahnya bukanlah jauh sangat jaraknya.
Dalam keadaan tergesa-gesa itu tok Biran terpaksa
tinggalkan juga Munah bersama Simat di rumahnya. Selepas keadaan ayahnya pulih semula dia
boleh jengah anak-anaknya, boleh pujuk ikut sama ziarah datuk mereka terkejang
sakit.
Sewaktu melintasi halaman rumah Aki Kiman dia nampak
lelaki itu duduk berjuntai kaki pada anak tangga. Hairan juga dia melihat orang tua itu duduk
di tangga dalam keadaan senja samar-samar.
“Aki buat apa tu?”
Tok Biran menegur sebaik sahaja melalui halamn rumah Aki Kiman.
“Ah , panas di dalam tu,”
sahutnya mengipas-ngipas badan dengan kain hitam ikat kepala. “Kamu nak kemana pula senja macam ni?” Aki Kiman tidak berganjak duduk di tangga
juntai kaki ke bawah.
“Ayah saya sakit,”
beritahu Tok Biran sugul.
“Kalau ia pun lepaskan dulu senja,” ujar Aki Kiman ingatkan Tok Biran yang
tergesa-gesa suami isteri tinggalkan rumah menjengah ayah terkejang sakit.
“Kami nak cepat, budak-budak pun tinggal di rumah.” lantas Onyang Jami pula mencelah. “Tolonglah Aki tengok-tengokkan Munah dengan
Simat,” dia harapkan orang tua itu boleh
jengah anak-anaknya semasa mereka tiada di rumah.
Aki Kiman mengangguk.
Apa sangat jengahkan kanak-kanak berkenaan semasa Tok Biran suami isteri
tiada di rumah? Lagi pun dia jiran
terdekat yang perlu ambil tahu perkara susah senang Tok Biran anak
beranak. Kalau tidak di sebabkan ayahnya
sakit tenat tentu lelaki itu tidak harapkan dia menjengah kanak-kanak tersebut.
Apabila Tok Biran dan Onyang Jami tinggalkan halaman
rumah tidak bertangguh Aki Kiman masuk ke rumah. Tatkala senja masuk waktu memang tidak baik
dia terconggok di tangga juntai kaki ke bawah.
Tetapi dia terconggok di situ sementara menunggu masuk waktu
maghrib. Kalau tidak disebabkan Tok
Biran suami isteri berhenti menegur, memang dia sudah bercadang mahu naik ke
rumah juga.
Ketika inilah Munah yang menangis teresak-esak dipujuk
oleh adiknya Simat setelah emak mereka tinggalkan rumah. Apabila menyedari emak dan ayahnya tiada di
rumah, mula perasaan takut menyusup dalam jiwanya. Kalau tidak disebabkan hatinya mendongkol
dipiat telinga oleh emaknya, memang Munah tidak berani tinggal dua beradik
sahaja di rumah.
Mahu mengekori emaknya ke rumah datuknya tengah sakit
tenat bimbang juga Munah di sebabkan malam semakin gelap. Belukar di kiri kanan lorong tengah kampung
menyerkup laksana mulut ternganga luas.
Manalah tahu ditengah belukar harimau tercangkung menunggu mangsa! Kalau tidak harimau pun boleh jadi ular sawa
sebesar batang pinang berlingkar di tengah belukar.
Di dalam gelap malam dia tidak dapat melihat apa-apa
pun. Sudah tentu harimau atau ular sawa
mudah memerangkap tatkala mereka melalui lorong kecil diserkupi belukar di kiri
kanan. Sebab itu Munah memujuk adiknya
Simat supaya menunggu ayah dan emak mereka di rumah sahaja.
Setelah pelita dipasang di tengah rumah, Munah mendengar
Aki Kiman memanggilnya dari tengah halaman.
Lantas dia menyuruh adiknya Simat bukakan pintu.
“Emak kamu suruh aku tengok-tengokkan kamu,” tersengih-sengih Aki Kiman naik ke rumah
terus duduk di tiang tengah.
Gembira benar hati Munah apabila orang tua berkenaan sudi
temankan dia dua beradik. Memang Aki
Kiman jiran terdekat yang selalu ambil tahu mengenai keluarga mereka. Kadangkala kalau tidak ada kelapa untuk masak
gulai, emaknya akan suruh minta di rumah Aki Kiman. Sekiranya masak lemak ikan sungai campur
tempoyak, ayahnya Tok Biran akan menyuruh mereka dua beradik hantarkan sepiring
untuk Aki Kiman.
Lagi pun Aki Kiman tinggal sendirian sahaja di rumah
semenjak kematian isterinya. Memang dia
suka dengan kanak-kanak disebabkan dia sendiri tidak mempunyai anak. Kalau kanak-kanak riuh bermain di tengah
halamannya Aki Kima tidak akan hiraukan, sekali pun dia mahu berbaring lepaskan
penat di serambhi rumah.
Tetapi setiap kali Munah bersama Simat jejak kaki ke
rumahnya Aki Kiman ingatkan dia, kalau tetamu datang ke rumah mesti hulurkan
tepak sirih. Aki Kiman suruh dia
kacipkan kunyit biar melekat pada mata kacip itu.
Munah ingat sangat petua Aki Kiman sekiranya mahu menguji
orang yang berkunjung berniat jahat atau tidak.
Sekiranya berniat jahat memang tetamu tidak akan sentuh kunyit yang
melekat pada mata kacip. Apa lagi kalau
tetamu itu duduk di tiang tengah dengan tidak berganjak tempat.
“Makanlah sirih Aki,”
Munah hulurkan tepak sirih dengan kunyit melekat pada mata kacip.
Aki Kiman mengangguk perlahan, tetapi dia tidak menyentuh
pun tepak sirih yang dihulurkan. Sekali
sekala dia terkuap-kuap bagaikan mengantuk sangat mahu rebahkan kepala ke
bantal.
“Bila Munah nak tidur?”
tersengih-sengih Aki Kiman mengerling anak kecil di hadapannya.
“Aku tunggu emak dan ayah balik,” sahut Munah ramah kerana dia mesti tunggu
juga emak dan ayahnya kalau mahu tidur pun.
“Kalau nak tidur, tidurlah,” Aki Kiman seolah-olah memujuknya. “Biar Aki tunggu emak dan ayah kamu
balik,” dia menuturkan lembut supaya
kanak-kanak dua beradik segera masuk tidur.
Tetapi Munah bersama adiknya tidak juga mengantuk. Buat apa dia masuk tidur kalau tidak
mengantuk. Lagi pun tidak sampai hati
dia mahu tinggalkan Aki Kiman tersandar di tiang tengah menunggu emak dan
ayahnya balik dari menjengah datunya sakit tenat.
Setelah lama menunggu Aki Kiman berkisar duduk dalam
keadaan resah. Munah dan adiknyha Simat
tidak juga masuk tidur. Dia juga tidak
menjamah sirih yang dihulurkan oleh Munah depannya.
“Makan lauk lebih sedap dari sirih,” bergetar suara Aki Kiman menusuk perasaan
Munah. Ketika ini dia teringatkan pesan
Aki Kiman setiap kali bermain di halaman orang tua itu supaya jatuhkan kacip ke
bawah rumah kalau tetamu tidak mahu menjamah sirih.
Tidak bertangguh Munah jatuhkan kacip tersebut ke bawah
melalui celah lantai. Kemudian
cepat-cepat dia meminta kebenaran Aki Kiman mahu mengambil kacip tersebut di
bawah rumah.
“Adik ambilkan kacip yang jatuh tu,” Munah memberi isyarat kepada adiknya supaya
turun ke bawah rumah.
Tapi Simat gementar mahu turun berseorangan sahaja di
dalam gelap malam. Setelah menarik
adiknya ke serambi dia berbisik kepada adiknya supaya melihat pada tiang
tengah. Kalau melihat ekor harimau
berjuntai panjang dia mendesak adiknya lilitkan pada tiang. Simat mesti pegang kuluh-kukuh sampai dia
memberi isyarat dari atas rumah.
Setelah adiknya turun ke tanah, Munah segera mencapai
antan pengemping di celah gelegar di bawa naik ke atas. Hairan juga Aki Kiman melihat Munah membawa
antan pengemping ke depannya.
“Nak buat apa antan pengemping ni?” Aki Kiman seolah-olah gementar merenung antan
pengemping di tangan Munah.
“Kalau pelanduk melompat kita pukul, boleh buat
lauk,” ujar Munah menunggu isyarat
daripada adiknya di bawah rumah.
Memang Simat melihat sendiri ekor harimau terjuntai dari
atas lantai menjulur pada tiang tengah.
Dalam keadaan gementar itu di terpaksa juga mematuhi perintah kakaknya
melilitkan perlahan-lahan ekor yang terjuntai itu ke tiang. Dia akan pegang kuat-kuat biar harimau yang
tercangkung diatas rumah tidak dapat berkuat.
Simat percaya dengan bisikan kakaknya Aki Kiman yang
tersandar di tiang tengah jelmaan harimau cinaku. Beberapa kali Munah melihat orang tua itu
meneran kuat di pangkal tiang seolah-oleh tengah buang air besar. Sewaktu dia meneran Munah melihat mukanya
merah padam bagaikan terasa sakit yang menyenak.
Sebab itu dia percaya bukan Aki Kiman yang terconggok di
depannya. Kalau Aki Kiman tentu sirih
yang dihulurkan di jamahnya. Ketika ini
Munah tetap ingatkan petua yang selalu dibisikkan oleh Aki Kiman kepadanya
kalau melihat jelmaan dia di mana-mana.
Sebaik sahaja melihat jelmaan Aki Kiman itulah dia
hulurkan tepak sirih dengan lekatkan kunyit pada mata kacip. Setelah Aki Kiman tidak menjamah sirih berkenaan
Munah sudah dapat menangkap orang tua di hadapannya bukan Aki Kiman. Masakan Aki Kiman tidak menjamah sirih
sedangkan orang tua akan memintanya sediakan sirih kalau jejak kaki ke
rumahnya.
Apabila lelaki itu meneran kuat sampai mukanya merah
padam. Munah juga dapat bayangkan
bagaimana Aki Kiman ingatkan dia mengenai harimau cenaku meneran ekor. Asal sahaja naik ke rumah harimau cenaku akan
duduk di tiang tengah mencari lubang supaya mudah hulurkan ekornya ke bawah.
Sebab itulah Aki Kiman suruh lekatkan kunyit pada mata
kacip, biar harimau cenaku sukar meneran ekor.
Selagi ekornya tidak dapat diteran memang tubuhnya tidak akan bertukar
menjadi harimau. Setelah ekornya diteran
panjang baru dia boleh tercangkung mahu menerkam mangsa.
Simat yang sudah diberi tahu oleh kakaknya juga membelit
ekor terjuntai itu kuat-kuat ke tiang.
Dia memegang kuat supaya ekor itu tidak terlucut setelah dibelit
kukuh. Apabila mendapati ekor harimau
cenaku yang terjuntai sudah tidak dapat digerakkan, lantas Simat memberi
isyarat kepada kakaknya dengan berbatuk-batuk tiga kali.
Ketika ini tidak bertangguh Munah memukul kepala lelaki
di depannya dengan antan pengemping.
Jelmaan Aki Kiman di tiang tengah cuba meronta tetapi ekornya yang terjuntai ke bawah rumah sudah
terbelit kuluh pada tiang. Dia tidak
dapat berkuat lagi apabila antan pengemping berulang kali singgah di kepalanya.
“Ah, kau nak bunuh aku ke, Munah?” jerit lelaki tua yang menjelma macam Aki
Kiman itu.
“Memang aku nak bunuh, sebab kau bukan Aki Kiman!” sahut Munah lantas memberi isyarat kepada
adiknya dibawah rumah supaya tidak lepaskan belitan ekor harimau cenaku pada
tiang.
Ketika ini harimau cenaku itu mengaum dengan mengangakan
mulut mahu menakutkan Munah. Tetapi
kanak-kanak itu semakin galak memukul dengan antan pengemping. Pukulan yang bertalu-talu itu menyebabkan
kepala harimau cenaku itu memercik darah.
Hampir setengah jam dia memukul kepala lelaki berkenaan
barulah tubuh lelaki itu menjadi lembik hingga terguling ke lantai. Setelah yakin jelmaan Aki Kiman itu tidak
bernyawa lagi segera Munah memanggil adiknya naik ke rumah. Mereka berdua naik ke atas peran rumah
bersembunyi di dalam gulung tikar, kerana bimbang jelmaan Aki Kiman itu akan
bingkas bangun semula mahu membalas dendam.
Lama bersembunyi dalam gulung tikar di atas peran, Munah
bersama adiknya Simat terlelap tidak sedar apa-apa. Hingga Onyang Jami bersama suaminya Tok Biran
balik ke rumah kanak-kanak itu masih lagi terlina dalam gulung tikar di atas
peran. Sebaik melihat lelaki tua yang
bahagian punggungnya sudah menjadi harimau itu terkejang kaku dengan kepalanya
berlumuran darah mereka suami isteri cemas juga.
Lantas Tok Biran menuduh dua orang anaknya menjadi mangsa
lelaki yang hampir bertukar menjadi harimau itu. Tidak bertangguh dia menghunus golok mahu
memenggal leher lelaki berkenaan. Memang
dia terkejut apabila mendapati wajah lelaki itu iras-iras dengan Aki Kiman.
Ketika ini Tok Biran tidak dapat menahan sabar lagi,
disebabkan ayahnya yang sakit tenat sudah meninggal dunia. Dia balik ke rumah semata-mata mahu menjemput
dua orang anaknya. Tidak patut
tinggalkan Munah dan Simat di rumah setelah datuk mereka meninggal dunia.
Apabila Tok Biran menyerbu ke rumah Aki Kiman, dia
terkejut melihat orang tua itu terkuap-kuap membuka pintu. Hairan juga Aki Kiman apabila diberi tahu
oleh Tok Biran mengenai harimau cenaku tergolek di atas rumahnya. Apa lagi diberi tahu mengenai Munah dan Simat
tidak ada di mana-mana.
“Bukankah kamu yang datang beri tahu aku, tak payah
jengah anak-anak kamu?” ujar Aki Kiman memberi tahu Tok Biran sendiri datang ke
rumahnya tatkala dia bersiap-siap mahu menjengah Munah dan Simat.
“Sepanjang malam aku di rumah ayah,” jelas Tok Biran di sebabkan dia tidak
berganjak duduk di sisi ayahnya tengah nazak.
“Hah, kita kena perdaya,”
sahut Aki Kiman terus mengajak Tok Biran segera balik ke rumah.
Memang dia melihat sendiri Tok Biran tercegat di tengah
halaman beritahu mahu membawa anak-anaknya menjengah ayahnya tengah tenat. Aki Kiman tidak perlu lagi temankan kanak-kanak
tersebut. Tidak bertangguh Aki Kiman
terus sahaja masuk tidur setelah dua kanak-kanak itu megikut ayahnya.
Sebaik sahaja sampai di rumah Tok Biran terkejut juga Aki
Kiman melihat lelaki tergolek itu menyerupai dirinya sekali pun bahagian
punggung nya sudah bertukar menjadi harimau.
Aki Kiman dapat mengagak tentu harimau cenaku itu telah memperdayakan
mereka seisi kampung.
Dalam masa cemas dengan kehilangan Munah dan Simat inilah
kanak-kanak dua beradik itu terjaga.
Cepat-cepat mereka turun dari peran memberi tahu kejadian yang menimpa
mereka. Menghela nafas panjang Aki Kiman
apabila kenang kanak-kanak dua beradik itu hampir menjadi mangsa harimau
cenaku.
“Kalau Munah tak ingatkan pesan orang tua-tua, tentu dia
binasa,” keluh Aki Kiman beristighfar
beberapa kali. Mujur juga Munah ingatkan
pesanan dia supaya tidak mudah percayakan tetamu yang datang berkunjung tatkala
senja samar-samar.
Tahu sangat Aki Kiman jelmaan harimau cenaku yng
menyerupai dirinya itu memang sudah bertahun-tahun mencari mangsa. Sebab itu dia ingatkanh Munah supaya tidak
terpedaya sekiranya terserempak dirinya berkunjung ke rumah tatkala sanja
samar-samar. Sudah lama dia mahu
menghalang jelmaan harimau cenaku itu, tetapi bukan mudah mahu ditewaskan.
Kalau tidak kenang jelmaan itu memang keturunannya
bila-bila Aki Kiman akan buka rahsia tersebut kepada orang-orang kampung. Cuma satu-satunya yang boleh musnahkan
jelmaan itu anak kecil seperti Munah.
Masakan anak kecil seperti Munah boleh diharapkan membunuhnya kalau
diberi tahu berterus terang.
Tidak lama selepas harimau cenaku ditemui mati tergolek
di rumah Tok Biran itulah mereka dikejutkan dengan kematian Aki Kiman. Seluruh badannya calar balar bagaikan dicakar
harimau liar. Memang bahagian punggung
Aki Kiman juga sudah bertukar menjadi harimau dengan ekor menjulur panjang.
Sebab itu Andak Miyah pantangkan jiran-jirannya supaya
tidak melaung anak-anak dari jendela dengan menjengah muka tatkala senja masuk
waktu. Sejak turun termurun dari Onyang
Jami lagi dia sudah diingatkan mengenai pantang larang tersebut, kerana tatkala
senja syaitan berkeliaran mencari mangsa.
Tetapi semenjak dimarahi Andak Miyah itu memang Ngah
Sirah tidak berani lagi menjengah di tingkap asal sahaja senja menjelang. Kalau terdengar suaminya Mat Jani menongkat
basikal di bawah rumah pun dia tidak akan jengah. Biarlah Mat Jani terjongol sendiri di muka
pintu naik ke rumah.
Seminggu selepas itu anaknya Leha pula seringkali
mengigau tatkala nyenyak tidur tengah malam. Kadangkala Leha akan berjalan ke dinding
terkial-kial mahu memanjat. Terpaksa
pula Mat Jani menepuk-nepuk pipi anak kecil itu biar dia segera sedar.
Kadangkala Leha akan terkencing di tempat tidur akibat
ketakutan semasa mengigau. Apabila
ditanya oleh Mat Jani memang Leha mengaku dia bermimpi lelaki tua menyerbu
masuk ke dalam rumah. Bahagian
punggungnya sudah bertukar menjadi harimau dengan ekor terjulur panjang.
Setelah diberi tahu Andak Miyah dia sendiri membakar
kemenyan menyeru Onyang Jami menjelma biar penyakit Leha dapat diubati. Tiga malam berturut-turut Andak Miyah
membakar kemenyan dia sendiri mengalami sakit kepala berdenyut-denyut sampai
merapik-rapik.
Hampir seminggu Andak Miyah demam diganggu sakit kepala
berdenyut-denyu anaknya Cikgu Karib mengajak saya datang menjengah. Memang Andak Miyah lemah tidak bertenaga
semasa saya bersama Cikgu Karib jejak
kaki ke rumahnya.
“Biar ustaz ni tengokkan penyakit mak,” Cikgu Karib beri tahu dia supaya bersabar
dalam masa diganggu penyakit. “Selepas ni,
boleh kita ke hospital,” dia cuba
memujuk emaknya yang enggan kalau disebut mahu dibawa ke hospital.
“Bila ustaz ni jampikan, malam ini ke?” tersenyum Andak Miyah dengan harapan anaknya
tidak berkeras mahu membawanya ke hospital.
Kalau saya tidak datang menjengah bersama Cikgu Karib, dia sendiri sudah
bercadang minta jemputkan Dukun Baseli.
“Ustaz ni bukan bomoh,”
jelas Cikgu Karib perlahan. “Dia
doakan emak aje, tak payah tunggu malam,”
ujar dia selanjutnya kerana menyedari emaknya menyangka saya akan
menunggu sehingga malam.
Tahu sangat Andak Miyah kalau harapkan Dukun Baseli,
memang dia akan membuat ramuan ubat pada sebelah malam sahaja. Tidak pernah pun dukun mengubati pesakit
waktu siang. Kalau di beri tahu siang
hari pun, Dukun Baseli akan menjengah sebaik sahaja malam kian gelap.
Hanya setelah malam gelap sahaja Dukun Baseli boleh
menyeru pendampinganya datang menjelma.
Apabila pendampingnya menyeru datang barulah Dukun Baseli dapat mengagak
penyakit yang mengganggu. Dia juga akan
dapat mengagak ramuan ubat yang perlu disedaiakan setelah dibisikkan ke
telinganya oleh pendampingnya.
Siapa pun tidak melihat pendamping yang sentiasa tercegat
di sisi Dukun Baseli tatkala dia membakar kemenyan. Cuma dia satu-satunya yang melihat
pendampingnya laksana lembaga hitam seperti asap berkepul. Sekali sekala pendamping itu akan menjelma
seperti harimau tercangkung di depan tempat bakar kemenyan.
Memang hairan Andak Miyah apabila diberi tahu oleh Cikgu
Karib saya tidak berjampi hingga terpaksa menunggu malam hari baru mahu mulakan
mengubati dia, Cikgu Karib jelaskan saya
sekadar berdoa sahaja dengan tidak menetapkan waktu malam sahaja. Bila-bila masa sahaja boleh berdoa kerana
Allah sahaja menentukan sama ada dimakbulkan atau sebaliknya, sama ada dicepatkan
atau dilambatkan.
“Sakit kepala sikit aje, tapi rasa berat pula,” keluh Andak Miyah apabila disuruh oleh Cikgu
Karib berlunjur kaki di depan saya.
Saya menyuruh dia letakkan tapak tangan kanan ke dada
sebelah kiri dengan menyebut Allah berulang kali seberapa banyak yang boleh
dengan tidak dilafazkan. Tidak sampai
seratus kali dia mengulangi menyebut Allah,
Andak Miyah mengakui debar dadanya bergoncang kuat. Tetapi saya suruh juga dia lakukan
berterusan.
Ketika ini saya beristighfar 100 kali, diikuti dengan
tasbih juga 100 kali. Apabila saya
membaca al-Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali dan Ayatul Kursi
tiba-tiba sahaja Andak Miyah menangis tersengguk-sengguk.
Lantas saya menyuruh Cikgu Karib memegang ibu jari kaki
emaknya dengan membacakan Ayatul Kursi sampai 100 kali. Semakin diulangi oleh Cikgu Karib membaca
Ayatul Kursi bertambah galak Andak Miyah tersengguk-sengguk menangis. Setelah melihat Andak Miyah terlalu sebak
menahan tangisan yang menggegar tubuhnya saya bacakan ke telinganya:
“Innama ilahukumul lahhul lazi la-ilaha illa huwa, wasi’a
kulla syai-in ‘ilman.”
Apabila saya ulangi tiga kali membacanya Andak Miyah mula
dapat mengawal perasaannya, tetapi tangisannya masih juga
tesengguk-sengguk. Berkali-kali dia
beristighfar setelah saya menyuruhnya berbuat demikian. Setiap kali dia beristighfar perlahan-lahan
Andak Miyah mengesat pelupuk matanya dengan lengan baju.
Selesai sahaja saya doakan dia Andak Miyah mengaku
hatinya sebak seolah-olah dirinya bagaikan mayat terbujur. Doa yang dibacakan itu terlalu memilukan
hatinya hingga tidak dapat menahan sebak di dada.
“Andak dengar apa yang ustaz baca,” ujarnya melirik senyum mengerling saya, “Tapi, Andak tak dapat kawal perasaan,” dia merasa hairan kerana mengalami kejadian
demikian.
Dia bukanlah pengsan hingga tidak sedar diri
langsung. Tatkala saya bacakan doa
memang Andak Miyah tahu apa sahaja berlaku, Cuma dia tidak dapat mengawal
perasaan. Berulang kali dia menahan
sebak di dada supaya tidak menangis tersengguk-sengguk, namun semakin galak
pula dia mengongoi panjang.
Sebab itulah Cikgu Karib desak juga saya ikut dia jengah
emaknya selepas habis bertugas tengah hari.
Andak Miyah sendiri berharap sangat saya datang kerumahnya, di sebabkan
semenjak saya datang menjengah sakit kepalanya tidak mengganggu lagi. Demam yang datang hingga terasa seram sejuk
asal sahaja senja masuk waktu juga tidak lagi terasa.
Saya terpaksa penuhi juga ajakan Cikgu Karib disebabkan
masa terluang memang ada. Apalah
salahnya jengah Andak Miyah setelah dia berasa pulih dari sakit yang
mengganggunya. Tetapi sewaktu saya
sampai bersama Cikgu Karib dia tiba-tiba merungut-rungut tatkala kami melangkah
masuk. Hidangan tengah hari yang
disediakannya juga tidak sempat di jamah, apabila Andak Miyah lantas sahaja
menjerkah saya.
Terkejut Cikgu Karib dengan sikap emaknya yang berubah
menjadi bengis sebaik sahaja saya jejak kaki ke atas rumah. Marah benar Andak Miyah melihat saya tercegat
di belakang Cikgu Karib.
“Kenapa kau bawa ustaz ni, Karib?” jerkah Andak Miyah bercekak pinggang merenung
tepat ke muka Cikgu karib.
“Bukankah emak yang suruh dia datang?” pujuk Cikgu Karib bimbang saya tersinggung
dengan sikap emaknya itu.
“Aku tak suruh dia datang, kamu yang
memandai-mandai!” jerit Andak Miyah mahu
menerkam kearah saya, Tetapi dia
teragak-agak disebabkan Cikgu karib berdiri di hadapan saya.
“Kenapa mak marah-marah ni?” serba salah Cikgu Karib dengan perubahan
emaknya tiba-tiba.
Tetapi segera saya bisikkan pada Cikgu Karib ketika itu
bukannya Andak Miyah yang merungut-rungut marah. Terpaksa kami berdua tidak sempat menjamah
hidangan tengah hari yang disediakan oleh Andak Miyah, setelah gangguan yang
merasuk dirinya mula melawan. Memang
ketika mula-mula saya datang menjengah gangguan yang merasuk itu bersembunyi di
sebalik tangisan Andak Miyah yang tersengguk-sengguk.
Ketika itu memang dia sudah menderita terseksa apabila
dibacakan ayat-ayat dari al-Quran.
Setelah menyedari saya akan membacakan lagi ayat-ayat Allah, sebab
itulah gangguan yang merasuk itu lantas melawan.
Apabila saya mahu mendekati Andak Miyah tidak bertangguh
dia menerkam. Belum pun sempat dia
menghampiri saya sekali gus dia terpelanting jatuh bergolek di lantai. Bertambah marah dia disebabkan jatuh
seolah-olah ditolak kuat.
“Ilmu apa yang awak pakai ni?” gerutu Andak Miyah menukar suara menjadi
serak parau bagaikan lelaki tua terketar-ketar.
Saya tidak menyahut apa-apa kerana tidak perlu melayani
gangguan yang merasuk Andak Miyah itu.
Tidak bertangguh saya bacakan:
Wala tad’u ma’aAllahhi ilahan akholra la-ilaha illa huwa kullu syai-in halikun illa waj-hahu lahul hukmu wa-ilaihi turja’un.
Wala tad’u ma’aAllahhi ilahan akholra la-ilaha illa huwa kullu syai-in halikun illa waj-hahu lahul hukmu wa-ilaihi turja’un.
Apabila saya genggam tangan dan menggoncang-goncangnya
beberapa kali saya melihat tubuh Andak Miyah ikut bergoncang sama. Dia terjerit-jerit meminta saya hentikan
sahaja menggoncang tangan. Tetapi saya
tidak perlu mendengar apa pun permintaannya kerana gangguan syaitan tidak boleh
dilayani kemahuannya.
“Kenapa ganggu aku?”
gerutu Andak Miyah menggertap bibir menahan rasa geram di hati.
“Ganggu apa pula!” sahut Cikgu Karib sudah memahami apa sebernya
yang menimpa emaknya ketika itu.
“Ustaz nak halau aku dari sini!” Andak Miyah mencebek bibir meluahkan perasaan
yang mendongkol.
“Tidak, ustaz tak halau sesiapa,” Cikgu Karib memujuk emaknya supaya bertenang.
“Kamu apa tahu, ustaz ni biadap!” bertambah marah Andak Miyah setelah Cikgu
Karib cuba melayaninya.
Dalam masa Cikgu Karib cuba memujuk emaknya saya teruskan
juga membaca:
Alif lam mim sad, kaf ha ya a’in sad, ha mim a’in sim kof, uskun aiyuhal waji’billazi, inyasya yuskinirriho fayazlalna rawakido’ala zoh-rihi, inna fi-zalika la-ayatin likulli sobbarin syakur.
Alif lam mim sad, kaf ha ya a’in sad, ha mim a’in sim kof, uskun aiyuhal waji’billazi, inyasya yuskinirriho fayazlalna rawakido’ala zoh-rihi, inna fi-zalika la-ayatin likulli sobbarin syakur.
Apabila saya kisarkan tapak tangan Andak Miyah mula
merangkak laksana harimau dengan mencakar-cakar lantai. Tersenyum saya disebabkan gangguan syaitan
yang merasuk sudah tidak dapat berselindung lagi di sebalik Andak Miyah.
“Hah, sekarang dah tunjukkan diri ye?” sengaja saya mengejek menyebabkan Andak Miyah
berubah suara lantas menderam bagaikan harimau liar di tengah hutan.
“Aku nak jaga Miyah, kenapa ustaz nak halau?” Andak Miyah menunduk dalam suara yang lemah.
“Awak pun makhluk, buat apa nak jaga makhluk!” ujar saya keras terus mengejeknya dengan
mencemik muka.
“Kesian tengok Miyah, tak ada orang nak jaga dia,” sahutnya mahu mengelirukan saya dan Cikgu
Karib.
“Allah lebih tahu melindungi sesiapa yang
dikehendakinya,” jerkah saya merenung
tepat ke mukanya dengan tidak berkedip mata.
Tersengih-sengih Andak Miyah, kerana saat ini dia menyedari saya melihat
bahagian punggungnya sudah bertukar menjadi harimau. Ekornya yang panjang juga terkotek-kotek.
Tentu Cikgu Karib tidak memahami apa sebenarnya berlaku
ketika itu. Tetapi Andak Miyah sendiri
diperdayakan oleh jelmaan lelaki yang bahagian pinggang hingga ke kaki bertukar
menjadi harimau. Tubuh lelaki itu
seakan-akan bersatu dengan tubuh Andak Miyah.
Apabila saya hembuskan al-Fatihah tujuh kali, surah
al-Ikhlas tujuh kali dan Ayatul Kursi 11 kali, tubuh lelaki itu seolah-olah
terkopak dari tubuh Andak Miyah menyebabkan dia terjerit-jerit kesakitan. Ketika ini Cikgu Karib melihat emaknya
mengeliat-geliat bagaikan kulitnya tersiat menahan kesakitan.
Lelaki yang bahagian punggung hingga ke kakinya menjelma
bagaikan harimau itu mengerang-erang apabila tubuhnya dipisahkan dari tubuh
Andak Miyah dengan hembusan al-Fartihah.
Kemudian dia menangis teresak-esak setelah saya memaksanya berundur jauh
dari Andak Miyah.
Asal sahaja dia cuba mendekati Andak Miyah saya ulangi
membacakan Ayatul Kursi 11 kali menyebabkan kilat berkilau diikuti petir
menyambar dari udara. Tubuhnya melecur
teruk akibat disambar petir setiap kali Ayatul Kursi dibacakan berulang-ulang.
Tatkala petir dan kilat menyambar bayang jelmaan lelaki
yang sebahagian tubuhnya menjadi harimau itu, Andak Miyah bertambah lemah. Dia terlentang di atas tikar dengan
termengah-mengah. Ketika inilah Mat Jani
tercungap-cungap memanggil Cikgu Karib dari tengah halaman.
Memang dia sudah mendengar Cikgu Karib balik menjengah
Andak Miyah yang tidak sihat sejak beberapa hari setelah mengubati Leha. Dia juga diberi tahu oleh bapa saudaranya
Dukun Manap mengenai kunjungan saya menjengah Andak Miyah tidak sihat badan
itu.
Sebab itu Dukun Manap desak Mat Jani supaya ajak saya
menjengah Leha yang diganggu ketakutan tidak bersebab.
SELESAI