Saturday, April 25, 2015

121. SUSUK NIBUNG LAWAN BUAYA



TAKAT ditusukkan susuk memang tidak bimbangkan apa-apa, asal sahaja tidak mengganggu dirinya.  Apalagi kalau susuk emas atau susuk berlian ditusukkan pada bahagian muka tentu sesiapa sahaja memandang wajahnya sama macam terpesona tatkala menatap kilauan emas atau berlian.
Tetapi sudah lama sangat terpendam di hati Itam Jabal mengenai susuk nibung yang ditusukkan oleh ayah angkatnya Tok Delih di Batu Pahat, kadangkala menyebabkan tangannya sampai paras siku terasa sengal-sengal tidak bersebab.  Kalau Tok Delih masih hidup memang dia minta sendiri ayah angkatnya buangkan sahaja susuk nibung yang sudah sebati dalam tubuhnya.
Siapa pun tidak akan percaya mengenai susuk nibung berkenaan ditusukkan dibelikat belakangnya.  Dalam masa negeri diganggu komunis memang Itam Jabal sendiri meminta ayah angkatnya tusukkan susuk nibung berkenaan.  Biarlah kawan-kawan yang lain mendesak Tok Delih tusukkan susuk emas atau susuk berlian, namun Itam Jabal sengaja memilih susuk nibung.
Masa dalrurat tidak semua kampong dikawal oleh pemerintah orang putih ketika itu.  Bila-bila sahaja kampung yang terpencil berhampiran hutan mudah diganggu mereka.  Sebab itu Itam Jabal sanggup ditusukkan susuk nibung berkenaan asal sahaja tidak diganggu oleh komunis yang menceroboh ke tengah kampung.
Tahu sangat dia mengenai Tok Delih yang dikepung komunis rumahnya sampai santak pagi, tetapi mereka tidak dapat menyerbu masuk.  Beberapa orang komunis yang cuba mendekati ke tengah halaman, terpaksa berenang laksana meranduk air berarus deras.  Itam Jabal sendiri terdengar jerit pekik komunis di luar rumah memberitahu rakan-rakan mereka yang menunggu jauh di sebalik belukar, mengenai rumah Tok Delih di kelilingi air hingga melepasi kepala.
“Saya lihat Tok Delih hanya duduk di atas sejadah aje, ustaz!”  beritahu Itam Jabhal apabila kenang kejadian yang berlaku bertahun-tahun lampau.
Tergenang juga air di pelupuk mata Itam Jabal setiap kali dia mendesak saya supaya buangkan sahaja susuk nibung yang ditusukkan oleh ayah angkatnya Tok Delih.  Terharu benar hatinya setiap kali kenangkan ayah angkatnya itu, apabila tiba-tiba sahaja susuk nibung berkenaan mahu dibuang.  Tetapi dia terpaksa juga mahu buangkan setelah sengal-sengal tangan hingga ke paras siku.
“Dah lama saya nak buang susuk ni9, ustaz!”  Itam Jabal terus mendesak dalam keadaan sebak menahan rasa terharu yang menusuk.
“Sebetulnya saya tak tahu nak buang susuk,”  jelas saya ikhlas disebabkan saya tidak pernah tahu langsung mengenai susuk yang ditusukkan ke dalam tubuh.  “Kalau kawan saya Pak Kadir, boleh jadi juga dia tahu,”  saya menambah apabila teringatkan Kadir Misai di Lancang.
“Pak Kadir di Lancang tu yang suruh jumpa ustaz,”  lantas sahaja Itam Jabal memintas sebaik sahaja saya beritahu mengenai Kadir Misai.
“Buat apa dia suruh jumpa saya,”  keluh saya disebabkan Kadir Misai sengaja menyuruh Itam Jabal menemui saya walhal dia sendiri tahu bagaimana mahu buangkan susuk.
“Kalau susuk emas atau susuk berlian memang Pak Kadir sanggup,”  jelas Itam Jabal disebabkan dia sudah ke Lancang menemui Kadir Misai sebelum jejak kaki ke rumah saya.  “Tapi, susuk nibung dia tak pernah cuba lagi!”  dia mencepak-cepak bibir bagaikan kesal sangat dengan amalan yang diamalkan selama ini.
Memang Itam Jabal mengaku dia tidak akan tusukkan susuk nibung di belikat belakangnya, kalau tidak disebabkan gangguan komunis di kampungnya semasa negeri tengah darurat.  Setelah Tok Delih tusukkan susuk nibung, Itam Jabal tidak bimbang apa sekiranya menoreh getah ke pinggir hutan.
Tatkala dia terbongkok-bongkok di perdu pokok getah ketika pagi masih lagi diselubungi kabus, berdebar juga Itam Jabal apabila melihat beberapa orang gerombolan komunis meranduk belukar di tengah kebun getah.  Dia dapat  mendengar salah seorang komunis memberitahu rakanya seolah-olah nampak kelibat orang di situ.  Tetapi mereka tidak nampak pun Itam Jabal tercegat tidak jauh dari tempat mereka berkumpul.
Dalam masa mereka berhati-hati salah seorang menuding kearah perdu pokok lantas berbisik.  Mereka mahu menyerbu ke perdu pokok setelah melihat kelibat orang menoreh getah, tetapi langkah masing-masing terhenti apakala ternampak kelibat orang semakin ramai.
Itam Jabal sendiri mendengar gerombolan komunis hampir 20 orang itu menjadi tidak keruan apabila melihat terlalu ramai kelibat Itam Jabal di mana-mana.  Asal sahaja mereka halakan muncung senapang, rakan-rakan yang lain ternampak kelibat Itam Jabal tercegat di setiap perdu pokok getah memegang pisau.
“Hah, ini bukan orang tentu hantu!”  tutur gerombolan komunis berkenaan tidak bertangguh berundur meninggalkan kawasan kebun getah.
“Apa awak semua mahu datang sini?”  jerkah Itam Jabal sengaja memberanikan hati, tetapi gema suaranya bergaung hingga ke udara.  Bertambah gementar gerombolan komunis berkenaan mendongak ke udara setelah mendengar suara bergaung di pucuk pokok getah merimbun
“Mana ada orang, ini tentu suara hantu!”  semakin gemenar gerombolan komunis itu mencari-cari suara yang bergema di udara.
:”Saya di sini, apa awak semua mahu?”  segera Itam Jabal keluar dari sebalik perdu pokok getah.
Tetapi gerombolan komunis terlangah-langah tidak menentu.  Masing-masing menuding ke perdu pokok getah di merata tempat apabila melihat bayangan Itam Jabal berdiri di mana-mana.  Tidak bertanggung gerombolan komunis berkenaan bercempera lari meranduk belukar di tengah kebun getah.
Sebab itu Itam Jabal tidak kesal apa-apa tatkala ayah angkatnya Tok Delih tusukkan susuk nibung ketika itu.  Bukan takat gerombolan komunis sahaja kelam kabut terserempak di tengah kebun getah, malah Itam Jabal juga pernah ditetak Subak Gila dengan parang terhunus.  Sebaik sahaja mata parang di tangan Subak Gila hinggap ke dahinya, tiba-tiba sahaja melantun hingga mata parang sumbing laksana tersendal batu di lereng jeram.
Tahu sangat Itam Jabal memang susuk nibung yang ditusukkan oleh ayah angkatnya Tok Delih boleh menjadikan dia kebal tidak lut senjata besi.  Siapa berani bertahan apabila Subak Gila tidak dapat mengawal perasaan semasa diusik tengah minum di warung Pak Lamid.  Marah benar dia tatkala kenang tunangnya Munira tinggalkan dia akibat diganggu penyakit tidak siuman.
Tidak lama selepas bertunang dengan Munira tiba-tiba sahaja Subak menjadi tidak siuman hingga dipanggil orang-orang kampong dia Subak Gila.  Sebab itu Munira terpaksa meminta putuskan tunang sebaik sahaja lelaki berkenaan tidak siuman.  Tersinggung juga Munira apabila kawan-kawan sebaya ejek dia mengenai tunangnya tidak siuman itu.
Tetapi Subak tidak gila sebelum bertunang dengan Munira.  Lama dia di Singapura meninggalkan kampung halaman di Batu Pahat.  Apabila balik menetap di kampung hatinya terpikat sebaik sahaja terserempak Munira di warung Pak Lamid.  Tidak bertangguh dia mendesak emaknya masuk meminang sebelum gadis berkenaan disunting jejaka lain.
Tentu ramai yang kecewa sebaik sahaja berita pertunangan Munira dan Subak tersibar.  Seisi kampung sudah menaruh harapan untuk meminang gadis tersebut, tetapi ayahnya Utih Kiman bukan mudah dipujuk. Mat Katib yang sering membantunya di kebun kelapa juga tidak dilayan apabila anak muda itu masuk meminang.
Memang Mat Katib kecewa benar setelah diberitahu mengenai Munira sudah bertunang dengan Subak.  Tetapi dia sekadar memendam perasaan sahaja disebabkan keputusan Utih Kiman adalah haknya sendiri.  Siapa pun tidak boleh campur tangan dalam urusan menentukan jodoh anak gadisnya Munira.
Jauh di lipatan hati Munira dia juga tidak bersetuju menerima Subak yang lama meninggalkan kampung halaman.  Bagaimanapun dia tidak berani melawan keputusan yang telah ditetapkan oleh ayahnya.  Memang seisi kampung tahu hubungan Munira dengan Mat Katib sudah terjalin lama, hingga anak muda itu sanggup membantu Utih Kiman bekerja di kebunnya.
Tidak lama selepas Subak diganggu penyakit tidak siuman lantas sahaja keluarganya menuduh Mat Katib gunakan ilmu hitam.  Siapa lagi yang berdendam kepada Subak kalau bukan Mat Katib yang kecewa.  Sebab itu Utih Kiman marah sangat dengan Mat Katib sampai dia tidak benarkan anak muda itu jejak kaki di rumahnya.
Memang seisi kampung tidak syak lagi tentu Mat Katib yang aniaya Subak.  Mereka tuduh Mat Katib salai tanah liat yang dibentuk macam patung di atas para.  Selagi tanah liat itu disalai selama itulah Subak akan hilang ingatan.  Tetapi Mat Katib berkeras tidak mengaku dia bertanggungjawab menyebabkan Subak menjadi gila.
“Aku tak pernah belajar ilmu macam tu!”  jelas Mat Katib apabila didesak oleh Utih Kiman.
.”Kamu tak patut berdendam, kerana jodoh Munira tak mestinya dengan kamu,”  gerutu Utih Kiman mencemik muka disebabkan sebal sangat dengan kejadian yang menimpa tunang anaknya.
“Tapi aku tak tahu menahu, Utih!”  ujar MNat Katib tersinggung juga dituduh demikian.
“Mana ada orang mengaku kalau berak di tengah jalan?”  lantas Utih Kiman mengejek disebabkan tidak dapat menyembunyikan rasa mendongkol yang merusuh di hatinya.
“Aku bukan bodoh macam tu, Utih!”  marah bernar Mat Katib disebabkan Utih Kiman tidak mahu menerima penjelasan dia.  “Dalam kampung ni bukan Munira aje anak dara!”  lantas dia mencebek bibir mengejek Utih Kiman.
Sekalipun hatinya tidak dapat melupakan Munira, tetapi sikap Utih Kiman benar-benar nerivej gatubnta.  Biarlah dia tidak menatap wajah Munira seumur hidupnya, memanhg Mat Katib tidak kesal apa-apa.  Hatinya sudah rela melepaskan Munira jauh-jauh dari kalbunya.
Sebab itu Mat Katib tinggalkan sahaja kampung halaman terus berpindah ke Endau.  Biarlah dia tidak jengah muka ke kampung halaman asal sahaja jiran-jiran tidak menuduhnya berterusan.  Apalah gunanya dia menetap di kampung sekiranya mereka menuduh dia yang menyebabkan Subak tidak siuman.  Kalau Utih Kiman tidak mahu menerima penjelasannya, tentu seisi kampung juga ikut sama mengesyaki dia.
Apa sangat dengan Munira gadis kampung yang diidamnya, boleh memaksa dia amalkan ilmu hitam?  Bila-bila dia boleh lupakan Munira dari ingatannya sebaik sahaja pinangannya ditolak oleh Utih Kiman.  Sedikit pun dia tidak terkilan dengan keputusan Utih Kiman, kerana masih ramai lagi anak gadis di dalam kampung yang boleh dilamar.
Tetapi apabila menuduh dia aniaya Subak dengan ilmu hitam setelah kecewa Munira bertunang, samalah macam memijak kepalanya.  Terhina benar Mat Katib dengan tohmah orang-orang kampung semata-mata disebabkan Subak diganggu penyakit tidak siuman selepas bertunang dengan Munira.  Kalau seisi kampung sudah membencinya, bila-bila Mat Katib boleh tinggalkan kampung halaman.
Semenjak Mat Katib meninggalkan kampung halaman, keadaan Subak tidak juga berubah.  Puas juga keluarganya membawa dia berubat menemui dukun sampai ke Terengganu, namun penyakit Subak semakin pasang.  Dia merayau-rayau di tengah kampung dengan rambut kusut dan pakaian kusam berbau hapak.  Sebab itu Munira tidak mahu bertahan lama bertunang dengan lelaki yang sudah tidak siuman lagi.
Biarlah seisi kampung menuduh dia tidak bertimbang rasa apabila mendesak ayahnya supaya putuskan tali pertunangan dengan Subak.  Dia tidak akan menunggu sehingga Subak sembuh semata-mata mahu pertahankan keputusan ayahnya menerima pertunangan itu.
Dalam keadaan Subak merayau-rayau di tengah kampung, dia singgah juga di warung Pak lamid.  Kalau diusik anak-anak muda yang sebaya dengannya mengenai putus tunang dengan Munira, dia sekadar tersengih-sengih sahaja.  Sebab itu rakan-rakan sebaya tidak menduga Subak Gila bertukar berang setelah diusik-usik di warung Pak Lamid.
Tiba-tiba sahaja dia mencapai parang di belakang warung yang digunakan oleh Pak Lamid menetak pisang, terus menerkam siapa sahaja melintas dihadapannya.  Beberapa orang anak muda yang terconggok di warung berkenaan tercedera juga akibat disinggahi mata parang.  Dalam masa mereka bercempera lari mahu selamatkan diri inilah Itam Jabal melintas di depan warung.
Belum sempat Pak Lamid melaung menyuruh Itam Jabal bersembunyi, Subak Gila sudah menerpa datang.  Sekaligus dia menghayun mata parang hingga menyinggahi dahi Itam Jabal.  Tatkala melihat mata parang yang ditetak menjadi sumbing.  Subak Gila sekadar tersengih-sengih bertandak di depan Itam Jabal yang terpinga-pinga akibat dahinya disinggahi mata parang.
Memang terasa sakit juga dahinya selepas ditetak kuat dengan mata parang oleh Subak Gila, tetapi Itam Jabal masih hairan tercengang apabila diserbu demikian.  Dalam saat demikian Cuma Pak Lamid satu-satunya yang dapat melihat Itam Jabal ditetak kuat, tatkala dia bersembunyi di sebalik tembok dapur.
Kecut benar perut Pak Lamid apakala melihat Subak Gila menghayun mata parang ke dahi Itam Jabal.  Sebaik sahaja mata parang singgah ke dahi, Pak Lamid nampak percikan api seolah-olah mata parang ditetakkan ke batu keras.  Sekaligus pula mata parang berkenaan sumbing tidak bertahan.  Memang dahi Itam Jabal juga tidak memercik darah langsung.
Setelah orang-orang kampung dapat tenteramkan Subak Gila, mereka tahu memang Itam Jabal tidak lut ditetak dengan senjata besi.  Mereka menuduh tentu Itam Jasbal amalkan mandi air apung menyebabkan senjata besi tidak lut ditetakkan ke tubuhnya.  Dalam masa gerombolan komunis mengganas memang orang-orang kampung ramai mandi air apung.
Manalah tahu rumah mereka diceroboh.  Dalam keadaan terdesak apa salahnya mereka hunus keris atau parang menyerbu musuh!  Apabila musuh melepaskan tembakan, mereka yakin peluru senapang akan madal setelah mereka mandi air apung.  Ketika ini mereka tidak lupa dengan amalan yang mesti ditanam kukuh-kukuh dalam hati.
‘Alatullah,’alalallah, attakulallah, aku raja aku memelihara, engkau jangan berbunyi sekalian senjata api, jikalau engkau berbunyi derhaka engkau, aku tahu asal kau jadi, nur manila putih, selisih kata aku, selisih kata hu..
Tentu Itam Jabal amalkan mandi air apung.  Sia-sia dia menjadi anak angkat Tok Delih kalau tidak mandi air apung, disebabkan orang tua itu tempat bergantung harapan orang kampung sekiranya gerombolan komunis menceroboh masuk ke situ.
Tidak hairan apa-apa Pak Lamid apabila mata parangnya sumbing setelah ditetak oleh Subak Gila ke kepala Itam Jabal.  Apa sangat dengan mata parang ditetakkan ke tubuhnya kalau bandingkan dengan Itam Jabal diheret buaya ke tengah sungai semasa dia mencari udang galah.  Tahu sangat Pak Lamid kejadian yang menimpa Itam Jabal disebabkan mereka sama-sama turun ke tebing.  Sekiranya bukan disebabkan geruh Itam Jabal nescaya Pak lamid sendiri yang dilibas ekor buaya tengah memburu mangsa!
Berkeras sangat Itam Jabal mengajak dia turun ke sungai memancing udang galah tatkala senja mula mengepak.  Serba salah juga Pak Lamid mahu menolak kerana jarang mereka hampa setiap kali turun memancing udang galah.  Memang Itam Jabal tahu dimana lubuk banyak udang galah melekap di sebalik kayu.
Semasa Itam Jabal menolak sampan di tebing memang Pak Lamid nampak kepala buaya laksana batang kayu hanyut dari hulu.  Belum sempat dia memberitahu Itam Jabal sekaligus buaya berkenaan melibas ekor menyebabkan kawanya itu terhumban ke tengah arus.  Terpaksa Pak Lamid melaung meminta bantuan orang-orang kampong setelah Itam Jabal tercampak ke tengah air berpusar.
Dalam saat Pak Lamid terjerit-jerit cemas, dia melihat Itam Jabal tenggelam timbul di permukaan air dengan kocakan yang kuat.  Pak Lamid melihat kepala buaya tercodak ke atas dengan Itam Jabal terapit di celah taringnya yang berceranggah.  Setelah beberapa orang kampung datang ke tebing sungai dengan memanggul senapang, keadaan sungai kembali tenang.  Mereka tidak nampak kesan darah terapung merah di permnukaan air sekiranya Itam Jabal cedera dikerkah buaya ganas berkenaan.
Tidak lama selepas mereka menunggu di tebing, Pak Lamid terkejut apabila Itam Jabal merangkak naik ke tebing dengan pakaiannya habis koyak rabak. Termengah-mengah Itam Jabal kepenatan sampai dia tidak dapat bercakap sepatah pun semasa didesak oleh jiran-jiran yang berkumpul di situ.
Memang tubuh Itam Jabal tidak calar sedikit pun, setelah diheret buaya ke tengah arus.  Hanya pakaian dia sahaja koyak rabak tidak bersisa.  Lama dia melepaskan penat di tebing, lantas Itam Jabal terjun semula ke tengah arus dengan tidak bercakap sepatah pun.  Sewaktu dia menjongolkan kepala semula ke permnukaan air, Itam Jabal melambai tangan meminta bantuan supaya bangkai buaya yang diheretnya diangkat naik ke tebing.
Mereka yang menunjggu di tebing tidak membantah apabila diminta membantu naikkan bangkai buaya berkenaan.  Tatkala bangkai buaya diheret naik, memang Pak Lamid nampak kesan lebam di bahagian tengkuk seolah-olah buaya berkenaan patah dilipat dua.  Itam Jabal tidak memberitahu apa-apa selain meminta mereka tanamkqan bangkai buaya berkenaan dengan dikapan kain putih.
Tahu sangat Pak Lamid bukan takat senjata peluru sahaja tidak menjejaskan kulit tubuh Itam Jabal, malah libas ekor buaya yang boleh patahkan tengkuk lembu pun tidak mampu tewaskan dia.  Sebab itu dia tidak berasa terkejut sangat apabila mata parangnya sumbing tatkala ditetakkan oleh Subak Gila kepada kepala Itam Jabal.
Tetapi Tok Delih sekadar tersenyum sahaja apabila diberitahu mengenai anak angkatnya dilibas buaya di tebing sungai.  Apalagi ditetak dahinya dengan parang oleh Subak Gila, menyebabkan lelaki tidak siuman itu bertandak-tandak tidak menentu.  Terpaksa pula Itam Jabal memujuknya biar Subak Gila kembali bertenang.
“Nampaknya Itam Jabal itu sama juga macam Tok Delih,”  sengaja Pak Lamid mengusik Tok Delih setelah diberitahu mengenai kejadian Subak Gila mengamuk di tengah kampung.
“Dia muda lagi, tak sama dengan aku dah tua!”  tersengih-sengih Tok Delih ingatkan Pak Lamid mengenai perbezaan umur mereka berdua.
“Ini bukan fasal tua atau muda, Tok Delih,”  sahut Pak Lamid tersenyum dengan jawapan Tok Delih itu.  “Tapi pengalaman Itam Jabal memang saya kagum,”  jelasnya tetap dapat bayangkan bagaimana Itam Jabal diheret buaya ke tengah air.
“Kalau sabar beramal, awak pun boleh,”  ujar Tok Delih memberi perangsang kepada lelaki berkenaan.
“His, saya tak sanggup nak ikut Itam Jabal,”  gementar juga Pak Lamid apabila kenang Itam Jabal berhadapan dengan buaya ganas di tengah arus.
“Kalau tak sanggup, habis ikhtiar laaa…..”  lantas Tok Delih ketawa semacam mengejek Pak Lamid yang terconggok di depannya tidak berkedip mata.
“Bukan semua orang boleh jadi macam Itam Jabal atau Tok Delih,”  Pak Lamid mengakui dia memang tidak mampu mengamalkan amalan demikian.
Manalah dia sanggup berpuasa lima hari seminggu seperti diamalkan oleh Tok Delih.  Kemudian bangun sewaktu fajar menunggu embun gugur di hujung daun.  Tok Delih akan mandi dan berwuduk menggunakan embun yang banyak bertakung di daun.  Sepanjang tempoh berpuasa juga Tok Delih sekadar minum air embun di hujung daun, dengan ditadah sampai tertengah di dalam jag.
Sekalipun Itam Jabal tidak beritahu mengenai amalan tersebut, tetapi Pak Lamid tahu memang Tok Delih tetap amalkan demikian.  Tahu sangat Pak Lamid mengenai ayahnya juga sama amalkan dengan Tok Delih mandi embun setiap pagi.  Sebab itu Pak Lamid tidak sanggup amalkan mandi embun sekiranya dia mahu mewarisi amalan ayahnya yang telah lama meninggal dunia.
Kerapkali juga Tok Delih memuji-muji ayahnya apabila kenang persahabatan masa lampau mereka.  Tetapi Pak Lamid tidak peduli sangat fasal pengalaman ayahnya, disebabkan bukan semua orang sanggup lakukan.
Siapa mahu percaya kalau dia beritahu mengenai Itam Jabal dilibas ekor buaya hingga terhumban ke tengah arus sungai.  Kemudian Itam Jabal bergelut sebelum dapat melipatkan tengkuk buaya berkenaan sampai terpokah habis.  Itam Jabal sendiri heret bangkai buaya yang dilipatkan tengkuknya itu naik ke tebing.  Dia meminta bantuan orang-orang kampung tanamkan bangkai buaya itu sama macam mayat manusia dikapankan dengan kain putih.
Sebab itu Pak Lamid dapat mengagak ayahnya diheret buaya juga mengalami kejadian yang sama dengan Itam Jabal.  Tetapi dia tidak tahu apa-apa pun mengenai nasib yang menimpa ayahnya, disebabkan dia masih kecil sangat semasa ayahnya dilibas ekor buaya.  Sebaik sahaja tercampak ke tengah arus tidak bertangguh buaya ganas menyambar pinggang ayahnya Siak Deraman.
Setelah diberitahu mengenai Siak Deraman disambar buaya, mereka seisi kampung segera menyerbu ke sungai.  Tok Delih juga diberitahu mengenai kejadian yang menimpa kawannya itu.  Tetapi Tok Delih tidak bimbang setelah orang-orang kampung mendesaknya supaya membantu.  Perkara buaya mengganas tidak penting sangat pada Tok Delih, tetapi dia percaya kawannya tetap selamat sekiranya disambar buaya.
Sampai santak malam mereka menunggu di tebing sungai, tidak seorang pun melihat kelibat buaya menjongol di permukaan air.  Masing-masing bersiap sedia memburu sekiranya buaya berkenaan nampak kelihat di mana-mana.   Bila-bila buaya di tengah ari akan terapung apakala umpan bangkai kambing  dicancang di tengah arus.
Mereka juga jemput pawang buaya di hujung kampung, biar dibakar kemenyan dengan menyeru semangat buaya tersebut.  Tentu buaya yang bersalah menyambar Siak Deraman tidak dapat bertahan di dasar sungai.  Kalau buaya itu tidak mahu naik ke tebing nescaya air sungai akan membuak menjadi racun berminggu-minggu.  Tidak seekor pun hanya boleh bertahan daripada bisa racun yang menyerap hingga ke dasar pasir.
“Biarkan, jangan bimbang apa-apa!”  ujar Tok Delih menggertap bibir tatkala tercegat di tebing sungai.  “Siak Deraman tetap selamat, insya Allah,”  hatinya tetap cemas sekalipun disembunyikan di sebalik senyumanya yang sentiasa resah.
“Kami nampak dia disambar buaya, masakan Siak Deraman boleh selamat,”  tegas jiran yang melihat sendiri Siak Deraman terhumban ke tengah air.
“Yang nyata tak sama dengan yang tak nyata!”  Tok Delih keraskan suara apabila jiran berkenaan seolah-olah mencabar dirinya.  Memang sukar dia mahu memberitahu kepada mereka yang berceratuk di tepi tebing mengenai Siak Deraman menyusup di bawah bangkar kayu di tengah dasar sungai.
Tok Delih dapat melihat bayang kelibat Siak Deraman terkial-kial di bawah bangkar kayu menyimbah tanah di atas kepala dengan air di bawah.  Apabila kepala buaya menjengah di situ cepat-cepat Siak Deraman matikan diri.  Biarlah buaya berkenaan menyangka Siak Derman sudah tidak bernyawa terdampar di bawah bangkar kayu tersebut.  Tahu sangat Siak Deraman, buaya tidak akan membaham mangsa selagi tubuh tidak reput.  Setelah tubuh mangsa reput barulah buaya mahu mengerkah sampai tidak bersisa.
Disebabkan tubuh Siak Deraman tidak reput, buaya yang menjengah kepala akan berundur ke tengah arus.  Ia tidak akan menjongol kepala ke permukaan air setelah orang-orang kampung menunggu di tebing sungai.  Nescaya tembakan senapang akan menggerutup menyinggahi kepala sekiranya ia gagahkan diri naik ke permukaan air?
Tatkala pawang buaya membakar kemenyan menyeru semangat buaya supaya timbul ke permukaan air,  Tok Delih sekadar menghentak-hentakkan rumit sahaja ke tanah.  Dia berjalan tujuh kali berulang alik mundar mandir, kemudian mengisar tumitnya rapat ke tanah.  Dia tersenyum mengerling tunggul kayu berpulau di tengah sungai lantas menuding jarinya ke situ.
Apabila tiga kali pawang buaya melontarkan tanah yang dikepal dengan tangannya ke tengah arus, dia mengeluh pendek disebabkan buaya yang diseru tidak juga menjongolkan kepala.  Kecewa juga dia seolah-olah Tok Delih yang tercegat di sisinya sengaja mahu menganggu.  Tetapi dia tidak berani mahu mendesak orang tua itu berundur selagi buaya yang menyambar Siak Deraman dapat diperangkap.
“Jangan-jangan kita melanggar pantang!” gerutu pawang buaya setelah puas menunggu di tebing sungai.  Tidak pernah dia gagal sekiranya sudah membakar kemenyan apabila diberitahu mengenai mangsa disambar buaya.  Asal sahaja tanah yang dikepal dilontar ke tengah arus, tidak bertangguh akan disambar oleh buaya yang bersalah sebelum tanah tersebut cecah ke air.
Sebaik sahaja disambar nescaya buaya berkenaan akan merangkak naik ke tebing menyerahkan dirinya supaya dibunuh.  Buaya berkenaan tidak akan melawan apa-apa apakala ditembak hingga tengkorak kepalnya berkecai.
“Jangan sebut fasal pantang larang!”  ujar Topk Delih ingatkan pawang buaya supaya tidak menuduh dirinya.  Dia dapat mengagak tentu pawng buaya menuduh dirinya menjadi punca buaya ganas tidak menjongol kepala di permukaan air.
Dengan tidak menghiraukan pawing buaya merungut-rungut tidak berpuas hati, Tok Delih memusar tumit ke tanah.  Dia merenung tunggul kayu berpulau di tengah sungai dengan tidak berkedip mata.  Tatkala dia mengisar dua tapak tangannya Tok Delih perlahan membacakan:
Assallammualaikum ya rijal ghaib, assalammualaikum ya rohul muqqadas aghithuni bighu thatillah, wa-miduni bimuddatillahhi wa-an zuruni binaztillahhi wa-a’inoni bi’aunatillah ya ghaus ya muhan ya nuqbah ya nujabar ya akhyar ya autad ya amud ya hasilal murad…
Apabila dia menuding kearah kepalan tanah yang dilontarkan pawang buaya ke tengah sungai, Tok Delih melihat kelibat buaya ganas bergerak jauh meninggalkan tunggul kayu berpulau di tengah air.  Tersenyum pawang buaya berkenaan setelah menyedari Tok Delih sengaja alihkan buaya berkenaan mengejar kepalan tanah yang dilontarkannya dari tebing.
Sebaik sahaja buaya ganas jauh dari tunggul kayu berpulau, sekaligus Siak Deraman menyimbah tanah menyelaputi tunggul  kayu, hingga dapat menebuk lubang keatas.  Cepat-cepat pula dia menjongolkan kepala di celah tunggul berpulau itu melambai-lambai tangan kearah jiran-jiran yang menunggu di tebing.
Setelah Siak Deraman naik keatas tunggul berpulau di tengah arus itu, Tok Delih memberi isyarat supaya mereka semua selamatkan Siak Deraman.  Tetapi tidak seorang pun sanggup mendayung sampan ke tengah arus membawa Siak Deraman balik semula ke tebing.  Mereka bimbang sekiranya kepala ganas menjongol kepala melibas mangsa yang lain.
Tetapi pawang buaya segera mencapai pelepah rembia lantas dihembatkan ke permukaan air tiga kali.  Kemudian dia menyuruh beberapa orang jiran dayungkan sampan ke tengah arus.  Dia sendiri berdiri di hadapan memegang pelepah rembia berkenaan hingga sampai ke tunggul kayu berpulau berkenaan.
Tatkala Siak Derman naik keatas sampan untuk dibawa balik ke tebing, mereka yang mendayung sampan terkejut melihat kepala buaya terjongol di belakang.  Tidak bertangguh pawang buaya mengetuk kepala buaya tersebut dengan pelepah rembia.  Tiga kali diketuknya kepala buaya berkenaan, perlahan-lahan binatang itu sondolkan kepalanya menolak sampan itu hingga sampai ke tebing.
“Kali ini aku maafkan, lain kali aku bunuh kamu!”  bentak pawang buaya memukul kuat kepala binatang itu setelah mereka yang di dalam sampan selamat naik ke tebing.
Setelah kepalanya diketuk dengan pelepah rembia, buaya berkenaan tenggelam ke dasar sungai.  Tidak siapa pun tahu bagaimana Siak Deraman ditolak masuk ke bawah bangkar tunggul kayu di tengah arus setelah disambar buaya ganas.  Tetapi Tok Delih tahu tubuh Siak Deraman tidak cedera apa-apa sebaik sahaja dilibas ekor buaya laksana besi bergerigi.
Sebaik sahaja tubuh Siak Derman terhumban ke tengah air, tidak bertangguh buaya itu menyambar.  Tubuh Siak Deraman tersangkut di celah taringnya yang berceranggah, kemudian dibenamkan ke dasar sungai.  Setelah buaya berkenaan menyangka mangsanya sudah mati, ia menjulang tinggi ke permukaan air seolah-olah berbangga dapat menewakan mangsanya.
Sudah menjadi tabiat buaya tersebut tidak akan mengerkah mangsa selagi tubuhnya tidak reput hancur.  Sebab itu ia sekadar menjengah kepala sahaja ke bawah tunggul tersebut mahu memastikan mangsanya berubah menjadi reput.  Tetapi Siak Deraman tidak mati sekalipun dikerkah buaya ganas dengan dibenam hingga ke dasar sungai.
Memang Pak Lamid tahu arwah ayahnya sekadar mampu bertahan setelah dilibas ekor buaya keras bergerigi laksana besi, tetapi tidak sama dengan Itam Jabal yang kuat tertenaga.  Apabila dapat berkuat sebaik sahaja kakinya jejak ke dasar sungai tidak bertangguh Itam Jabal lipatkan badan buaya bagaikan mematah akar melintang.  Sudah tentu tulang belulang buaya remuk tatkala dilipat dua oleh Itam Jabal.
Tenaga Itam Jabal bertukar menjadi gagah dalam saat dia menjadi marah memberang apabila keadaan mendesak.  Bukan takat buaya ganas sahaja lembik tidak bermaya dilipat macam daun sirih dicekak tangan tatkala dia tengah marah, pokok-pokok besar di tengah hutan pun akan tumbang dibantun dengan jarinya sahaja.
Tetapi Itam Jabal tidak mengaku dia makalkan hantu raya menyebabkanh tenaganya gagah dalam saat marah memberang!  Kalau hanturaya tidak perlu memberang marah, bila-bila sahajanya boleh gagah sebaik sahaja diseru hantu raya mendampinginya.  Siapa sahaja amalkan hantu raya nescaya mudah sahaja memikul pokok sagu rembia sebatang tegak.
Tahu sangat Tolk Delih mengenai anak angkatnya Itam Jabal bukan amalkan hantu raya.  Kerapkali dia ingatkan Itam Jabal amalan hantu raya tidak pernah memberi manfaat apa-apa.  Bila-bila isteri di rumah akan diganggu hantu raya sebaik sahaja menjelma sama seperti diri sendiri.  Saat mati juga belum tentu sempurna selagi hantu raya terconggok mendapingi disisi.
Tok Delih sendiri tidak benarkan Itam Jabal amalkan hantu raya kalau sekadar mahu tenaga menjadi gagah.  Sebab itu dia tusukkan susuk nibung pada tulang belikat Itam Jabat, biar anak angkatnya sama macam rumpun nibung di tengah belukar.  Kulit keras nibung  tidak akan lut ditetak dengan parang di kilir tajam.  Apalagi durinya yang berceranggah menyebabkan musuh tidak boleh bersandar rapatkan kulit.
“Susuk nibung ni sekadar zahir sahaja, Jabal,”  ujar Tok Delih selepas dia tusukkan susuk berkenaan pada bahagian tulang belikat.  “Bukan susuk nibung itu yang kebal!”  dia ingatkan anak angka0tnya mengenai petua setelah susuk nibung ditusukkan ke dalam tubuh.
“Kebal pun boleh tewas kalau dibenam musuh ke dalam air,”  sengaja Itam Jabal mengusik ayah angkatnya.
“Kuat lawannya lemah, keras lawannya lembut, kau mesti faham!”  keras suara Tok Delih mencebek bibir apabila anak angkatnya seolah-olah tidak faham apa yang dimaksudkan perkara zahir dan perkara batin itu.
“Saya tahu ayah, hidup lawannya mati,”  sahut Itam Jabal menyedari sekebal-kebal pun seseorang itu, apabila tiba ajal tidak seorang pun dapat mendahulukan atau menangguhkan.
“Kebal bukan untuk mengelakkan daripada mati,”  Tok Delih ingatkan anak angkatnya yang tersengih-sengih tidak menentu.
Memang Tok Delih tahu dalam saat demikian sesiapa sahaja sama macam Itam Jabal menganggap amalan kebal boleh selamatkan mereka daripada menemui ajal.  Sebab itu Tok Delih ingatkan dia, amalan kebal semata-mata mahu pertahankan diri.  Kalau musuh sengaja mahu menganiaya nescaya dia dapat bertahan.
Sebab itu seisi kampung tahu mengenai Tok Delih dikepung tentera Jepun mendesaknya supaya membongkok.  Sampai bila pun Tok Delih tetap berkeras tidak mahu membongkok di depan tentera Jepun.  Dalam keadaan marah tentera Jepun mahu menamparnya, tetapi tiba-tiba sahaja tangan tentera Jepun keras kaku tidak boleh bergerak.
Apalagi dalam masa gerombolan komunis mengganggu kampung, memang beberapa kali mereka mahu menangkap Tok Delih.  Mereka sekadar menyangka Tok Delih mampu bertahan disebabkan kebal tidak lut ditusukkan senjata.  Tetapi Tok Delih bukan takat kebal semata-mata, kadangkala musuh keliru sekalipun berselisih bahu semasa bertembung di tengan jalan.
Tatkala gerombolan komunis sudah berjaya mengepung rumahnya, mereka sekadar berkeliling sahaja tidak dapat menyerbu.  Saat ini keluarga Tok Delih memang bersembunyi di dalam rumah, sedangkan gerombolan komunis itu terserempak dengan Tok Delih semasa menyerbu ke situ.
Sebab itu Tok Delih tusukkan juga susuk nibung pada tulang belikat Itam Jabal.  Bimbang juga dia sekiranya gerombolan komunis akan membalas dendam tidak peduli sesiapa sahaja keluarganya.  Tentu Itam Jabal dalam bahaya kalau tidak diberi petua amalannya.
“Memang saya ada amalkan susuk nibung tu, ustaz,”  tersengih-sengih Itam Jabal memberitahu apabila kenang kejadian dia diserbu gerombolan komunis.
Terpinga-pinga dia tartkala dikepung lebih 20 orang gerombolan komunis yang bengis dengan senjata tergenggam di tangan.  Hujung benet pada senapang ditujah-tujah ke dada Itam Jabal.  Mereka berdendam disebabkan Itam Jabal salah seorang keluarga Tok Delih.
Ketika inilah Itam Jabal menjadi berang tidak menentu.  Sekaligus dia mencekak salah seorang komunis yang tercegat di depannya bagaikan cekak tengkuk anak ayam baru keluar menetas.  Terkial-kial lelaki Cina yang dicekak tengkuk itu hingga terangkat ke udara dengan kakinya terkatung-katung tidak jejak ke bumi.
Sebaik sahaja tengkuk kawannya dicekak Itam Jabal, semua lebih 20 orang anggota gerombolan komunis itu mendongak ke udara.  Mereka menunjuk-nunjuk ke pucuk-pucuk kelapa di tengah kampung.  Masing-masing gementar apakala melihat Itam Jabal tercegat setinggi pokok kelapa mencekak tengkuk kawan mereka.
Mereka mula acukan muncung senapang ke udara lantas melepaskan tembakan menggerutup.  Setelah puas menembak mereka tercengang-cengang merungut kerana menyangka Itam Jabal sama macam raksasa mahu menangkap mangsa.  Apabila lelaki Cina yanhg dicekak tengkuknya itu dicampakkan ke tanah, memang tengkuknya patah terkulai.  Mereka melihat kawanya muntah hijau dengan menggelepar laksana ayam disembelih leher.
Lantas Itam Jabal menjerkah menyuruh usung mayat kawan mereka balik semula ke hutan.  Semenjak itu memang gerombolan komunis tidak berani lagi jejak kaki masuk ke kampung.  Mereka bukan sahaja gementar berdepan dengan Tok Delih, tetapi bimbang terserempak dengan Itam Jabal.
“Tapi, saya tak tahu nak buangkan susuk tu, itam,”  ujar saya mengeluh pendek kerana tidak dapat mahu membantu Itam Jabal.
“Pak Kadir yang suruh saya menemui ustaz,”  desak Itam Jabal menuduh saya sengaja berdalih.
“Kadir Misai memang begitu,”  sahut saya mencebek bibir disebabkan Kadir Misai sengaja mahu mengelak.  “Dia yang lebih tahu, tapi cuba nak mengelak,”  beritahu saya perlahan.
“Saya tahu, ustaz mahu merendah diri sangat,”  terharu benar hati Itam Jabal lantas menunjukkan kepada saya ketul sebesar kelengkeng pada pelipat sikunya laksana buntat terjojol.
Dia mengakui ketul seperti buntat itu bergerak ke serata badannya.  Kadangkala terjojol di tengah belakang, kadangkala di tengkuk atau tersangkut di bawah ketiak.  Ketul daging seperti buntat itu memang susuk nibung yang timbul setelah ditusukkan oleh ayah angkatnya arwah Tok Delih.
Apabila saya menyentuh ketul sebesar kelengkeng itu memang terasa bergerak-gerak menunjal mahu melepaskan diri.  Apabila ketul daging itu hilang Itam Jabal menggeliat-geliat menahan kesakitan.  Berulang kali saya mengusap pelipat siku Itam Jabal, tetapi ketul daging itu tidak timbul juga.  Lantas saya bacakan perlahan.
Fa-inna halaqnakum min-turabim thumma min-nutfatin thumma min-‘alaqotin thumma min-mudh’atin waghairi muk-hollqotin lunibaiyina lakum, wanuqirru fil-arhami manasya u-ila ajalim musammam thumma nukhrijukum tiflan thumma litablughu asyuddu-um.
Lama tangan saya memegang pelipat sikunya tiba-tiba Itam Jabal mengadu dia mengalami sesak nafas.


Sunday, April 19, 2015

120. MAYAT BANGKIT DARI KUBUR


     BANYAK sangat perkara yang di luar pengetahuan kadangkala dirasakan terlalu aneh hingga sukar mahu dipercayai oleh sesiapa pun.  Tetapi Tokji Jamadi sekadar mengangguk-angguk kepala sahaja apabila diberitahu oleh Hajah Kinah mengenai jirannya Mahaton.  Memang Mahaton juga tahu mengenai rumpun serai yang ditanam suaminya di belakang rumah, namun dia tidak mengesyaki apa-apa.
Mahaton sendiri tunjukkan kepada Hajah Kinah batu berlian bergugus-gugus yang diambil dari perdu rumpun serai.  Dia sendiri sanggup membeli batu berwarna biru dari Mahaton sekalipun dengan harga RM200 sebutir,  Mat Sunoh benarkan isterinya jualkan batu-batu berkenaan setelah ayah mentuanya Imam Barkat tidak menghalang apa-apa.
Tatkala Hajah Kinah tunjukkan cincinnya batu biru diikat emas Amerika itu kepada Tokji Jamadi, orang tua tersebut membelek-beleknya.  Hajah Kinah mengakui batu berkenaan dibeli daripada Mahaton setelah dia berkenan sangat mahu memilikinya.  Apalah salahnya dia membeli sebutir batu itu RM200  semata-mata dijadikan pernghias cincin.
Tidak terlintas pun di hatinya mahu dijadikan batu hikmat, sekalipun Mahaton beritahu batu biru berkilauan itu ditemui di perdu rumpun serai suaminya.  Batu berkenaan berangkai-rangkai seperti buah anggur segugus dengan bermacam-macam warna. Mat Sunoh letakkan dalam beg yang dibungkus dengan kapas disebabkan batu-batu tersebut hanya sebesar butir pasir sahaja.
Setelah berbulan-bulan di simpan barulah batu-batu berkenaan membesar laksana telur dieram.  Setelah membesar hingga sebesar ibu jari tangan, batu-batu tersebut tidak akan membesar lagi. Ketika inilah Mahaton jualkan kepada sesiapa sahaja yang ingin memilikinya.
Hajah Kinah membeli batu tersebut sekadar berkenan untuk dijadikan batu cincin.  Kilauanya tetap memancar sama dengan batu berlian yang dibeli dikedai emas.  Sebab itu Hajah Kinah sanggup membelinya sampai RM200 harga sebutir.  Tatkala ditunjukkan pada Haji Musir suaminya mendengus kerana tidak percaya perdu rumpun serai boleh mengeluarkan batu berwarna-warni.
Disebabkan Haji Musir tidak percaya, dia sendiri bawa ke kedai emas diikat dengan emas untuk dijadikan cincin.  Setelah disarung ke jari pun, suaminya tidak berminat mahu membelek-belek.  Tatkala Hajah Kinah hulurkan cincin tersebut kepada Tokji Jamadi, memang Haji Musir sekadar mengerling sahaja.
“Cincin ni batu apa?”  Tokji Jamadi membelek-belek batu cincin berwarna biru itu.
“Batu yang keluar daripada rumpun serai Mat Sunoh,”  beritahu Hajah Kinah berterus terang.
“Ada hikmat batu tu agaknya!”  segera Haji Musir mencelah dalam nada menyindir isterinya kerana bersungguh-sungguh sangat mahu membeli batu berkenaan sekalipun harganya sampai RM200 sebutir.
“Manalah ada hikmatnya, saya beli nak buat batu cincin,”  jelas Hajah Kinah tersinggung juga dengan sikap suaminya yang ungkit-ungkit fasal dia membeli batu susuk tersebut.
“Batu ini pun makhluk Allah juga,” ujar Tokji Jamadi lantas meletakkan batu cincin berkenaan di tepi tingkap hingga disilau cahaya matahari yang menerjah ke situ.
Tatkala batu berkenaan disilau cahaya matahari, Haji Musir melihat di atas batu berkenaan jalur putih macam bintang pecah enam.  Ketika ini Hajah Kinah juga terkebil-kebil mata kerana baru menyedari batu cincin tersebut berjalur putih macam bintang pecah enam tatkala terkena silau cahaya matahari.
Manalah dia tahu mahu membelek-belek demikian.  Sebaik sahaja dibeli daripada Mahaton dia sekadar jadikan batu cincin sahaja.  Tidak pernah pun Hajah Kinah suakan pada silau cahaya matahari.  Sebab itu dia memang tidak tahu mengenai jalur putih di atas batu tersebut apabila terkena silau cahaya matahari demikian.
Kemudian Tokji Jamadi meminta dia mengambil air segelas.  Setelah dihulurkan oleh isteri Tokji Jamadi air berkenaan, lantas Tokji Jamadi menyuruh Hajah Kinah masukkan batu cincin berkenaan ke dalam gelas.  Sebaik sahaja batu cincin cecah ke dasar gelas,bertambah hairan Hajah Kinah apabila melihat air di dalam gelas bertukar menjadi biru seolah-olah dibancuh dengan nila.
Cepat-cepat dia menyeluk batu cincin tersebut mahu memastikan sama ada air di dalam gelas sudah bertukar menjadi biru.  Apabila dia mengangkat batu berkenaan, air tersebut kembali warnanya seperti sediakala.  Hanya disebabkan batu cincin itu sahaja warna air berkenaan biru laksana dibancuh nila.
“Batu delima biru agaknya,”  tutur haji Musir setelah melihat sendiri keanehan batu cincin isterinya.
Tokji Jamadi tidak menjelaskan apa-apa. Setelah cincin tersebut disarung semula ke jari Hajah Kinah dia sekadar berbisik menyuruh Haji Musir menemui saya.  Tatkala Haji Musir datang jejak kaki ke rumah saya, dia tidak mengajak isterinya Hajah Kinah.  Disebabkan dia datang bersama isteri keduanya Hajah Natisah, memang dia tidak tunjukkan mengenai batu cincin tersebut kepada saya.
Dia sekadar beritahu saya mengenai cincin Hajah Kinah yang diikat batu biru ditemui di perdu rumpun serai.  Sebab itu Hajah Natisah syak batu berkenaan yang menjadi punca barang-barang kemasnya hilang dalam persimpanan.  Tentu batu yang menjelma dari susuk berlian di perdu serai akan musnahkan segala barang-barang kemas milik Haji Musir.
Tetapi Haji Musir tidak percaya batu biru isterinya Hajah Kinah yang menjadi punca, kalau batu berkenaan mahu musnahkan barang-barang kemas, kenapa semua barang kemas kepunyaan Hajah Kinah tidak diusik langsung.  Masakan batu berkenaan sekadar musnahkan barang-bnarang kemas milik Hajah Natisah biar dua orang wanita itu saling tuduh menuduh.
“Kalau susuk berlian tu tak beri manfaat, buat apa dipakai?”  sengaja saya ingatkan Haji Musir demikian.
“Susuk berlian tu milik Mat Sunoh,” beritahu Haji Musir tersenyum apabila dituduh demikain. “Hajah Kinah hanya beli batu jelmaan susuk berlian tu aje!”  ujarnya serba salah juga dengan gangguan yang berterusan menimpa rumahtangganya bersama Hajah Natisah.
Manalah tahu Hajah Natisah percaya sangat batu susuk yang dipakai oleh Hajah Kinah musnahkan semua barang-barang kemasnya.  Tentu mereka berdua akan bermasam muka sekirannya terserempak di mana-mana.  Semenjak beberapa tahun mereka bermadu, tidak pernah pun bermasam muka apabila bertemu muka.
Sebab itu bimbang benar Haji Musir kalau kedua-dua isterinya bermasam muka sampai bercekak tidak segan silu apa-apa.  Perkara hati terguris bukan mudah mahu ditenangkan, selagi masing-masing tidak perpuas hati.  Hajah Natisah sudah mula mengesyaki batu cincin Hajah Kimah yang dibeli dari Mahaton itu menjadi punca.  Tentu Hajah Kimah tersinggung sekiranya diungkit di depan dia.
“Sebaik-baiknya awak yang berubat, Haji Musir,”  tutur saya mencebek bibir lantas menatap muka Haji Musir.
“Saya tak sakit apa-apa ustaz,”  jelas Haji Musir tersengih—sengih kerana hairan apabila dituduh dia berhadapan dengan masalah sakit.
“Sakit apa pula abang Aji ni, ustaz?”  lantas Hajah Natisah mendesak setelah diberitahu mengenai suaminya tengah sakit.
Masakan Haji Musir sakit disebabkan suaminya masih gagah terconggok.  Tidak pernah pula Haji Musir mengerang-erang hingga diusung masuk ke wad hospital.  Sekiranya Haji Musir mengidap sakit kepala, dia sekadar meminta rawatan di klinik sahaja.  Setelah diberi ubat darah tinggi nescaya Haji Musir akan pulih serta-merta.
Lagi pun tidak ada kena mengena sakit darah tinggi Haji Musir dengan barang-barang kemasnya yang hilang.  Sebab itu Hajah Natisah macam tidak percaya apabila suaminya mahu diubati, tatkala mereka berdua beritahu mengenai gangguan barang-barang kemasnya hilang.
Kalau tidak pencuri membolos masuk, sudah tentu toyol merceroboh.  Bila-bila toyol  boleh mencelus masuk asal sahaja elus angin boleh membolosi lubang sebesar jarum sekali pun.  Satu-satunya yang boleh larikan berang-barang kemas dalam persimpanan memang toyol yang diperintahkan oleh tuannya.
Apabila saya tanyakan kepada Haji Musir mengenai Wak Daing dia terkejut,disebabkan saya jelaskan kepadanya seolah-olah kenal sangat saya dengan arwah ayah angkatnya itu.  Tersengih-sengih Haji Musir tatkala saya ungkit mengenai susuk berlian yang di tusukkan Wak Daing ke dahi di antara dua matanya.
Perlahan-lahan Haji Musir mengangguk apabila menyedari saya seolah-olah melihat sendiri Wak Daing tusukkan jarum susuk berlian itu.  Kemudian Wak Daing tusuk lagi dua jarum emas di pipi kiri dan kanan, dua lagi di belakang telinga dan satu di bawah bibir.
“Jadi lima susuk emas, satu susuk berlian?”  tercengang Hajah Natisah apabila suaminya mengakui dengan tidak dapat berdalih apa-apa.
“Dengan ustaz ni kena berterus terang,”  ujar Kadir Misai sebaik sahaja masuk ke rumah setelah diberitahu mengenai susuk yang dipakai Haji Musir.  Kebetulan pula dia mengunjungi saya tatkala Haji Musir bersama isterinya terconggok di tengah rumah. “Nak sembunyi pun, ustaz ni akan tahu juga!”  dia menambah dengan tersengih-sengih mengerling Haji Musir.
“Saya hanya ikut aje kemahuan Wak Daing,”  Haji Musir menuturkan perlahan apabila kenang ayah angkatnya mendesak dia supaya ditusukkan jarum sebesar hujung lidi.
“Tapi, masa muda-muda memang begitu,”  sahut Kadir Misai ketawa kecil kerana tahu sangat dia keghairahan di masa silam.  Apa sangat Haji Musir yang tusukkan susuk berlian kalau bandingkan dengan dirinya sanggup menggali kubur anak gadis sunti semata-mata mahu dapatkan minyak dagu.
Tentu Haji Musir tidak sanggup merangkak tengah malam yang diselaputi kegelapan, tatkala menyusur belukar kubur.  Dia sudah tentukan gadis sunti mati di dalam kampung supaya mudah menggalinya.  Mayat gadis sunti yang baru dikebumikan diheret naik ke tebing.  Dia akan layur dagu mayat berkenaan sampai airnya menitik ke dalam tempurung yang ditadahkan.
Setelah air dagu mayat cukup ditadah,  Kadir Misai tanamkan semula baik-baik sampai kubur tidak berbekas digali orang.  Air dagu mayat gadis sunti itu akan ditapakan hingga 44 malam di atas busut jantan, dengan dititikkan darah ibu jari tangannya setitis.  Tahu sangat Kadir Misai asal siapa sahaja gadis sunti disapukan minyak tersebut nescaya mereka akan menyerah tidak bertangguh.
Tetapi kejadian tatkala dia lama menetap di Siam mahu diluputkan sahaja dari jiwanya.  Semenjak dia balik ke kampung halaman di Lancang, memang ayahnya Pawang Munap sudah membentak marah.  Dia tidak dapat berbohong daripada ayahnya fasal minyak dagu anak gadis sunti yang digunakannya.
Marah sangat Pawang Munap dengan sikap anaknya Kadir Misai yang lama merantau, tetapi balik ke kampung halaman sekadar membawa air dagu mayat gadis sunti!  Jangan cuba anaknya Kadir Misai berdalih kerana Pawang Munap tahu setiap malam bulan mengambang penuh nescaya tangisan halus kedengaran mendayu-dayu dari botol berkenaan.
Selagi kadir Misai tidak titikkan setitis darah ibu jari tangannya tentu tangisan itu berterusan berturut-turut malam.  Ke mana Kadir Misai mahu sembunyikan botol minyak dagu berkenaan sekirannya berturut-turut malam merintih mendayu-dayu.
“Aku cekik leher klami kadir, kalau kamu tak buangkan!”  bentak Pawng Munap marah sangat dengan sikap anaknya amalkan amalan demikian.
Serba salah juga Kadir Misai mahu bertahan apabila ayahnya berkeras mendesak buangkan sahaja minyak dagu berkenaan.  Perkara buangkan minyak dagu tidak sama dengan menguis sampah di tepi longkang.  Bila-bila sahaja sampah boleh dikuis tidak bertangguh,  tetapi minyak dagu berkenaan mesti pulangkan semula ke kubur gadis sunti berkenaan.
Dia terpaksa menggali kubur tatkala malam diselaputi kegelapan mengheret semula mayat naik ke tebing.  Tentu mayat berkenaan sudah reput menjadi rangka tulang belulang.  Sama ada tulang rangka atau tengkorak sahaja yang tinggal,  Kadir Misai terpaksa pulang juga biar semangat yang sudah meresap dalam botol minyak dagu itu balik semula ke kubur berkenaan.
Pawang Munap tidak peduli apa-apa.  Kalau kadir Misai menggali kubur gadis sunti jauh di Siam, dia mesti hantar juga ke sana.  Dia tidak mahu anaknya terpengaruh dengan amalan minyak dagu kalau takat mahu memikat gadis-gadis di dalam kampong.  Apa sangat mustahaknya minyak dagu berkenaan kalau bandingkan dengan gadis-gadis yang hendak dipikat  sekadar anak pingitan?
Dalam keadaan berat sangat hatinya terpaksa juga Kadir Misai mematuhi perintah ayahnya.  Biarlah dia meranduk kegelapan malam di tengah kampung jauh terpencil di pendalaman Siam, semata-mata menggali semula kubur gadis sunti yang lama ditinggalkan.  Dia akan cekak tengkorak gadis sunti itu untuk memulangkan semula semangat yang sudah meresap dalam minyak dagu tersebut.
Sebab itu dia tidak hairan sangat dengan susuk berlian yang ditusukkan ke tubuh Haji Musir.  Tentu Haji Musir tidak mengalami apa-apa ujian elain daripada dipantangkan memakan barang yang bercucuk sama ada sateh, cucur pisang atau buah jambu yang dicucuk lidi apabila dijual di garai-gerai.
Asal sahaja melanggar pantang, tentu kuloit haji Musir akan bertompok-tompok hitam laksana tahi lalat melekap di merata kulit.  Susuk berkenaan sekadar barapkan wajah sentiasa berseri-seri.  Apalagi tatkala matahari naik segalah, tentu wajah jug abercahaya bagaikan batu berlian dikilau memancar-mancar.
Tetapi Haji Musir tidak pernah mengalami dijerkah mayat gadis sunti sebaik sahaja kuburnya dipokah habis.  Kalau tidak cekal hati memang Kadir Misai tidak tertangguh melompat naik sebaik sahaja mayat gadis berkenaan bingkas duduk di sisinya.
Sebaik sahaja mayat gadis itu duduk mahu memeluknya, cepat-cepat kadirn Misai simbah dengan air yang dibekalkan oleh gurunya.  Menjerit mayat gadis berkenaan disimbah air dengan kadir Misai membacakan jampinya.
Hai gamak engkau senggamak, tolak telan lidah engkau kepada aku, kalau jabat pinggang ke atas, kalau tak mahu jabat pinggang ke bawah, aman yang punya kata, hak yang memberi tahu!
Tatkala mayat terketar-ketar dengan dua tangannya mengusap ke kepala, lantas Kadir Misai mengetuk jari telunjuk ke dahi mayat tersebut.  Sekali gus mayat gadis sunti itu rebah semula tidak bergerak.  Ketika inilah Kadir Misai mengheretnya naik ke tebing kubur.  Segera dia memasang api lilin melayur ke bawah dagu mayat tersebut biar minyaknya mengalir ditadah dengan tempurung.
Masakan Haji Musir sanggup bertahan sekiranya mayat di dalam liang lahad bingkas bangun  semasa digali.  Apa lagi sekiranya mayat berkenaan menerkam tidak bertangguh.  Dia percaya Haji Musir tidak sanggup menunggu untuk membacakan jampi mentera yang diturunkan oleh guru.
Tetapi air dagu mayat gadis sunti tidak sama dengan batu susuk yang keluar dari rumpun serai.  Bukan semua rumpun serai boleh keluarkan batu berwarna warni hingga boleh dijual RM200 sebutir.  Kadangkala rumpun serai mengeluarkan bunga juga tidak menjelma batu berwarna warni berkenaan.
Siapa sahaja menanam serai bunga tidak perlu diuji sampai berdepan dengan mayat gadis sunti bangkit dari kubur.  Kadir Misai satu-satunya yang sudah mengalami kejadian demikian.  Tatkala gandis sunti itu bangkit dari kubur Kadir Misai melihat matanya masih tertutup rapat dengan kain kapan diselaput tanah.
Apabila disimbah dengan air jampi yang dibekalkan oleh gurunya Tok Bujam, mayat gadis sunti itu tergamam.  Lantas sahaja mayat berkenaan menjerit kesakitan hingga terketar-ketar takut apakala membuka pelupuk mata menatap muka Kasir Misai.
Tentu Mat Sunoh yang menanam serai dibekalkan oleh ayah mentuanya Imam barkat itu tidak pernah mengalami ujian demikian. Takat serai berkenaan berbau wangi tatkala tengah malam tidak meremang pun bulu roma kalau bandingkan duduk tercangkung dalam kubang kubur dengan mayat terbaring tiba-tiba bangkit.
“Kadir ini banyak pengalamannya,”  ujar saya memberitahu Haji Musir mengenai Kadir Misai yang baru sahaja menjengah datang.
“Pak Kadir percya dengan susuk?”  Haji Musir tersengih-sengih mengerling Kadir Misai yang menguasap-usap lengan sambil memicit-micit perlahan.
“Hah, susuk tak seberapa kalau bandingkan dengan minyak dagu,”  jelas Kadir Misai menyebabkan Haji Musir tercengang kehairanan.
“Minyak dag utu macam mana?”  Haji Musir bnagaikan tidak percaya dengan penjelasan Kadir Misai itu.
“Hah, kerja menganiaya orang,”  kesal benar Kadir Misai apabila kenang dia amalkan minyak dagu semasa lama merantau di Siam.  Tok Bujam yang turunkan kepadanya gunakan minyak dagu sekiranya diberi malu oleh mana-mana perempuan tatkala merantau jauh dari kampung halaman.
Memang Tok Bujam mudah tersinggung kalau gadis yang ditegur mudah sahaja berpaling muka mendengus benci.  Tentu gadis berkenaan menghinanya disebabkan kulitnya hitam sawo matang.  Marah benar dia sekiranya gadis-gadis sengaja memilih lelaki tampan apabila menentukan pasangan.  Sebab itu dia akan asapkan kemenyan botol berisi minyaki dagu sampai bayangan gadis menjelma di depannya.
Sebaik sahaja mulut botol dibuka hingga tercium bau minyak di dalmnya, nescaya gadis yang sombong laku di depannya akan menyerbu datang ke rumah.  Gadis berkenaan akan melutut di depannya tidak mahu  berenggang sejenak pun.  Selagi Tok Bujam tidak memberi pengakuan mahu berkahwin sampai bila pun gadis tersebut tidak akan balik ke rumah.
Cubalah mana-mana gadis pun tunjukkan sombong laku di depan Tok Bujam.  Sebab itu dia desak Kadir Misai amalkan juga minyak dagu biar anak angkatnya itu diperhina gadis-gadis comel terserempak di jalan.  Biarlah gadis-gadis berkenaan mengekori Kadir Misai balik ke rumah setelah minyak dagu diperolehinya.
“Saya pakai susuk hanya nak suka-suka aje!”  lantas Haji Musir mengakui fasal dia tusukkan susuk ke mukanya.
Sewaktu usia muda manalah dia mahu berfikir panjang apabila ayah angkatnya Wak Daing desak tusikkan susuk.  Ramai gadis-gadis muda yang berkunjung ke rumah Wak Daing semata-mata harapkan ditusuk susuk emas ke mukanya. Apalah salahnya dia yang menumpang dirumah Wak Daing ditusukkan sama.
Lagi pun semasa merantau jauh dari kampung halaman ke Singapura., Cuma Wak Daing satu-satunya tempat dia mengadu apa-apa masalah.  Sebab itu Haji Musir tidak membantah apa-apa.  Memang di rumah Wak Daing menhjadi tumpuan sekiranya mereka harapkan ditusuk susuk emas.  Tenbu wajah mereka sentiasa segar laksana emas yang dijadikan perhiasan selagi susuk berkenaan kekal di dalam tubuh.
“Apabila umur kamu lebih lima puluh, susuk ni mesti dibuang,”  beritahu Wak Daing ingatkan sesiapa sahaja meminta bantuannya.
“Kenapa pula begitu, Wak?”  mereka yang dating menemuinya tidak berpuas hati.
“Susuk ni tak berupaya nak lawan umur kita!”  Wak Daing menjelaskan perlahan.
“Oh, nanti wajah kita lagi hodoh?”  gadis yang menemuinya mendesak mahu tahu.
Wak Daing menggeleng lemah.  Memang umur yang sudah tua tidak akan kelihatan muda sekalipun gunakan susuk.  Tetapi Wak Daing serba salah mahu beritahu mengenai emak saudaranya Siti Umin memang gunakan susuk berlian.  Di kampung halamannya memang Siti Umin perempuan yang mudah memikat mana-mana lelaki.
Wajahnya tidaklah cantik sangat, tetapi ramai lelaki terpikat sebaik sahaja menatap Siti Umin.  Apalagi tatrkala Siti Umin menjadi janda selepas kematian suaminya, beberapa orang masuk melamar sebelum cukup 100 hari suaminya meninggal dunia.
Terpaksa pula datuk Wak Daing memberikan pelbagai helah biar lelaki-lelaki berkenaan tidak tersinggung hati.  Ayah Wak Daing sendiri serba salah disebabkan kakaknya menjadi rebutan ramai lelaki sebaik sahaja menjadi janda.
Tetapi ayah Wak Daing tidak dapat sembunyikan kemahiran ayahnya gunakan susuk emas hingga menyebabklan Sisi Umin menjadi rebutan ramai lelaki sebaik sahaja menjadi janda.
Tetapi ayah Wak Daing tidak dapat sembunyikan kemahiran ayahnya gunakan susuk emas hingga menyebabkan Siti Umin menjadi rebutan.  Dalam masa Siti Umin terus dilamar berulang kali oleh mereka yang kecewa menjadikan dia isteri, Wak Daing hanya menyedari tidak lama selepas itu emak saudaranya terkejang menderita batuk darah.
Datuknya tahu mengenai emak saudaranya termakan santau disebabkan mereka yang kecewa ditolak pinangannya.  Lama juga Siti Umin mengalami kesakitan terkena santau, akhirnya dia menutup mata rapt-rapat.  Memang Wak Daing sendiri melihat emak saudaranya meninggal dunia, hingga menyebabkan ayahnya merajuk lantas meninggalkan kampung halaman.
Mereka sekeluarga berpindah ke Singapura, setelah ayah Wak Daing mahu melupakan sahaja amalan susuk yang menimbulkan kesengsaraan kepada kakaknya Siti Umin.  Tetapi datuk Wak Daing tidak salahkan amalan susuk itu menyebabkan dia kehilangan anak.  Manusia yang sengaja ikutkan perasaan menyebabkan semua orang menanggung padah.
Tidak sempat datuknya buangkan susuk yang sudah meresap dalam tubuh emak saudaranya semasa Siti Umin meninggal dunia.  Datuknya sekadar bacakan jampi mentera sahaja biar susuk di dalam tubuh mayat luruh dengan sendiri.  Memang datuknya sendiri yang jiruskan air semasa mayat dimandikan.
Tatkala mayat diusung ke kubur beberapa kali mereka yang mengusung nampak kilauan memancar dari bawah usungan bagaikan kilat menyambar.  Tetapi mereka serba salah mahu memberitahu sesiapa pun mengenai kilauan cahaya yang memancar itu.
Setelah mayat Siti Umin dimasukkan ke liang lahad juga mereka ternampak kilauan cahaya memancar tidak tahu dari mana arahnya.  Sebaik sahaja disuruh timbus, sekaligus mayat berkenaan bingkas bangun.  Tidak bertangguh mereka yang menunggu di dalam kubur berhamburan melompat keluar.  Masing-masing terkejut apabila mayat Siti Umin bingkas duduk lantas melingas ke kiri dan ke kanan.
Kalau tidak disebabkan Kiyai Sobani masih tercegat di tepi lubang kubur, memang mereka yang menghantar mayat habis bercempera lari.  Wak Daing masih kanak-kanak ketika itu sudah meranduk belukar, sekalipun dia tidak tahu kenapa mereka yang menghantar mayat ke kubur bertempiran lari.
Wak Daing sekadar diberitahu mengenai mayat Siti Umin bingkas duduk di tengah liang lahad.  Masakan dia berani menjengah ke dalam kubur setelah orang-orang kampung bercempera lari tidak ketahuan.  Apa lagi kanak-kanak sepertinya tidak akan berfikir panjang sebaik sahaja orang lain merempuh ke mana-mana.
Tetapi Kiyai Sobani tetap bertahan di situ.  Dia tidak bergerak seolah-olah menunggu mayat yang bingkas bangun naik ke tebing.  Mereka yang bercempera lari segera berpatah balik apabila melihat Kiyai Sobani tercegat di tebing lubang kubur.
“Siti Umin bangun dalam kuburnya,”  masing-masing tersipu malu apabila berpatah bali9k mendapatkan Kiyai Sobaniu.
“Jadi, kamu semua takut?”  lantas sahaja Kiyai Sobani mengejek mereka yang termengah-mengah tidak menentu.  “Masa Siti Umin hidup semua mahu mendekati dia, kenapa sekarang lari!”  ujarnya tidak berkedip mata memerhati mayat Siti Umin yang masih lagi duduk di liang lahad.
“Orang hidup tak sama dengan orang mati Pak Kiyai,”  sahut lelaki yang pernah meminang Siti Umin.
“Lebih baik orang mati dari orang tak berhati perut!”  gerutu Kiyai Sobani kecewa disebabkan orang-orang kampung melarikan diri semasa mayat berkenaan bangkit tidak semena-mena.
Masing-masing terdiam apabila Kiyai Sobani menyindir mereka.  Memang mereka sama dengan sesiapa sahaja tidak berhati perut apabila lari ketakutan.  Sepatutnya mayat Siti Umin mesti disempurnakan sebaik-baiknya sekali pun bangkit laksana bernyawa.
Setelah mereka semua dapat ditenteramkan lantas Kiyai Sobani menyuruh sama-sama membaca al-Fatihah.  Kemudian dia menggenggam tanah diramas-ramas sebelum dilimparkan kearah mayat Siti Umin.  Tatkala tanah tertaburan ke kepalanya mayat tersebut mendongak ke atas sekalipun kain kapanya masih tidak terbuka.
Apabila Kiyai Sobani menuding jarinmya, operkahan-lahan mayat Siti Umin menunduk semula.  Ketika ini Kiyai Sobani menyuruh seorang muridnya turun ke lubang kubur merebahkan se4mual mayat Siti umimn dengan duduk di tengah liang lahad.  Sewaktu muridnya melompat turun ke dalam kubur segera Kiyai Sobani membacakan.
Rabbana innana sami’na muna diyai-yuna di-lil-imani an-aminu birah-bikum fa-amanna rabbana faghfirlana zunubana wakaffir ‘anna syaiyi-atina watawaffana ma’al abrar.
Tatkala muridnya hembuskan ubun-ubunb mayat dengan membacakan Fatihah tiga kali perlahan-lahan mayat Siti Umin dapat direbahkan semula.  Kemudian Kiyai Sobani menyuruh muridnya bacakan istighfar 100 kali, dan diusap dari kepala hingga ke hujung kaki.
Terkejut benar muridnya apabila ditunjukkan pada tapak tangannya melekat tiga batang jarum emas halus laksana rambut.  Segera dihulurkan jarum emas berkenaan kepada Kiyai Sobani sebaik sahaja dia melompat naik ke tebing kubur.
“Sekarang kebumikan mayat Siti Umin,”  perintah Kiyai Sobani memberi jaminan kejadian mayat bingkas bangun itu tidak akan berulang lagi.
Tiga batang jarum halus sebesar rambut itu diserahkan oleh Kiyai Sobani kepada datuk Wak Daing.  Kemudian Kiyai Sobani menepuk-nepuk baju datuknya dengan melirik senyum.  Sewaktu balik meninggalkan kubur memang tidak segan-segan datuknya mengakui telah tusukkan susuk emas ke muka arwah emak saudaranya Siti Umin.
Sebab itu Kiyai Sobani ingatkan datuknya mengenai mayat Siti Umin seolah-olah tidak mahu diterima oleh bumi apabila bingkas bangun tidak semena-mena.  Selagi susuk tersebut tidak dikeluarkan dari tubuhnya Siti Umin tidak akan rebah semula supaya mudah dikambus kuburnya.
Malu juga datuknya dengan kejadian yang menimpa Siti Umin.  Tidak lama selepas itu ayah Wak Daing meninggalkan kampung halamannya jauh di kepulauan, terus menetap di Pontian.  Kemahiran menggunakan susuk yang diwarisi dari ayahnya di kepulauan tidak disisihkan.  Dia tetap amalkan juga sekalipun jauh di lipatan hatinya masih tidak dapat menjelma kejadian yang menimpa kakaknya arwah Siti Umin.
Memang Wak Daing juga amalkan susuk yang diwariskan sejak arwah datuknya itu.  Lama dia menetap di Pontian berulah Wak Daing berhijah ke Singapura.  Dia tidak mengelak sekiranya wanita-wanita yang mahu gunakan susuk meminta dia tusukkan ke muka.  Tahu sangat Haji Musir, semenjak dia jadikan Wak Daing ayah angkatnya memang ramai orang menemuinya minta tusukkan susuk.
Di sebabkan Haji Musir sudah mula berniaga, lantas sahaja Wak Daing nasihatkan dia supaya gunakan susuk juga.  Wak Daing sendiri tusukkan susuk berlian pada dahinya biar perniagaannya mencapai kejayaan.  Sebab itu Haji Musir bersetuju ayah angkatnya tusukkan susuk berlian kalau boleh membantu perniagaan.  Dia tidak akan gunakan susuk sekiranya mahu memikat perempuan hingga ramai sekeliling pinggang.
Apa sangat susuk berlian semata-mata mahu melihat perempuan.  Bila-bila perempuan mudah dipikat sekiranya perniagaan dia mencapai kejayaan.  Bukan takat di Singapura sahaja Haji Musir buat perniagaannya, tetapi sampai ke Taiwan sahaja.  Tentu Wak Daing juga gembira dia berniaga hingga ke Taiwan setelah ditusukkan susuk berlian ke dahinya.
Dalam masa berulang alik dari Singapura ke Taiwan inilah Wak Daing meninggal dunia.  Haji Musir sendiri tidak sempat menjengah tatkala ayah angkatnya menutup mata.  Selepas balik dari Taiwan baru dia diberitahu mengenai kematian Wak Daing.
“Wak Daing meninggal semasa saya ke Taiwan, ustaz,”  jelas Haji Musir setelah dia tidak dapat rahsiakan lagi mengenai susuk berlian yang ditusukkan ke dahi di antara dua matanya.  “Jadi, dia tak buangkan susuk saya tu,”  dia tersengih-sengih mengerling isterinya Hajah Natisah.
Memang Wak Daing juga ingatkan dia mengenai susuk tersebut mesti dikeluarkan juga apabila usianya 50 tahun.  Tetapi belum sempat umurnya menjangkau 50 tahun Wak Daing sudah meninggal dunia terlebih dahulu.  Siapa lagi boleh diharapkan membuang susuk berkenaan setelah Wak Daing meninggal?  Sebab itulah Haji Musir sengaja pendamkan rahsia tersebut jauh di lipatan hatinya.
Apabila kenang kejadian yang menimpa Siti Umin memang kecut juga perut Haji Musir.  Tentu jiran-jiran semua terkejut apabila mayat dimasukkan ke liang lahad bingkas bangun tidak semena-mena.  Lainlah kalau mereka yang menghantar mayat ke kubur sama macam Kiyai Sobani, bila-bila dia mampu mengawal keadaan.  Bagaimana kalau semua bercempera lari meranduk belukar sebaik sahaja mayat terbujur tiba-tiba bangkit di tengah liang lahad?
Dia tidak mahu nasib malang Siti Umin yang diberitahu oleh Wak Daing akan menimpa dirinya pula.  Disebabkan sibuk sangat dengan perniagaannya sampai Haji Musir terlupa mengenai susuk berlian yang digunakannya.  Hinggalah isteri tuanya Hajjah Kimah membeli batu yang menjelma di perdu rumpun serai kepunyaan Mahaton, barulah Haji Musir berasa bimbang.
Semenjak kerusuhan mengganggu perasaannya, Haji Musir semakin bimbang disebabkan dia sudah melanggar pantang larang Wak Daing semasa tempoh susuk ditusukkan belum berakhir.  Wak Daing sudah ingatkan dia supaya tidak memakan apa sahaja yang dicucuk selama 100 hari.  Tetapi Haji Musir tidak dapat menahan keinginannya mahu menikmati sate daging yang dicucuk lidi.
Setelah memakan beberapa cucuk sate, baru Haji Musir menyedari dia sudah melanggar pantang.  Tetapi dia tidak beritahu apa-apa kepada Wak Daing kerana bimbang orang tua itu memarahinya.  Kenapa dia tidak boleh bersabar menunggu selama 100 hari.  Apa sangat mahu gelojoh menikmati sate hingga tidak boleh menunggu sampai habis pantang.
Tetapi dia tidak boleh berbohong pada Wak Daing.  Tatkala kulit mukanya berbintat-bintat hitam ditumbuhi tahi lalat, lantas sahaja Wak Daing menuduhnya melanggar pantang larang.  Terkebil-kebil mata Haji Musir kerana Wak Daing tahu punca kulit mukanya berbintat-bintat hitam setelah melanggar pantang larang.
Terpaksa pula Wak Daing menyuruhnya mencari tujuh jenis limau disapu ke mukanya dengan dicampur tepung beras digiling.  Tujuh jenis bunga juga dicampur sebelum dipupuk ke muka Haji Musir.  Tiga malam berturut-turut Wak Daing ubati mukanya barulah bintat-bintat hitam yang tumbuh di merata kulit muka Haji Musir beransur-ansur hilang.
“Saya memang nak buang susuk ni, ustaz,”  terharu juga Haji Musir mahu mendesak saya bunagkan susuk berlian yang sekian lama ditusukkan ke mukanya.
“Saya tak tahu nak buangkan,” lantas saya mengakui tidak tahu apa-apa mengenai susuk demikian.  “Tapi Pak Kadir ni tahu macam mana nak buang,”  beritahu saya memandang ke arah Kadir Misai.
“Insya Allah, tapi kena berpantang juga,”  sahut Kadir Misai terangguk-angguk.
“Apa pantangnya, Pak Kadir?”  segera Hajah Natisah mencfelah kerana bimbang dia juga akan menanggung padah yang sama.
“Sama macam pantang yang ditetapkan Wak Daing,”  ujar Kadir Misai tersengih-sengih.
“Emm. Lain yang sakit lain pula yang diubat,”  Hajah Natisah mencebek bibir apabila kenang dia menemui saya disebabkan barang-barang kemasnya sudah beberapa kali hilang dalam persimpanan.  Memang dia mengesyaki gangguan toyol yang membolos masuk ke bilik tidur.
Setelah suaminya Haji Musir menemui Tokji Jamadi di Batu Pahat, tiba-tiba sahaja orang tua itu menyuruhnya menemui saya.  Tatkala mereka berdua suami isteri menjengah datang lantas sahaja suaminya Haji Musir mengaku dia memakai susuk berlian dan susuk emas.
Memang Hajah Natisah tidak percaya apabila diberitahu mengenai barang-barang kemasnya hilang disebabkan susuk yang dipakai Haji Musir.  Susuk berlian yang ditusukkan ke tubuh Haji Musir sudah cukup memusnahkan barang-barang kemas berkenaan.  Kadir Misai dapat melihat seolah-olah tubuh Haji Musir menjadi laksana besi berani yang mudah menarik mana-mana sahaja emas yang bernilai.
“Awak kena siapkan tujuh helai daun pucuk bulat kelapa,”  Kadir Misai ingatkan Haji Musir.
Haji Musir tidak membantah.  Dia sanggup cari apa sahaja ramuan asal sahaja susuk yang sudah ditusukkan ke tubuhnya dapat dikeluarkan semula.
 SELESAI