Sunday, October 30, 2016

200. RINTIHAN MENDAYU DI HUJUNG MALAM



SIAPA pun tidak mempercayai cerita Pak Musid anak beranak mengenai apa yang didengarnya semalaman itu, disebabkan orang-orang kampung tidak mendengarnya.  Siamid yang balik ke rumah emaknya di Kampung Hilir bersama dua orang anaknya masih tidak pulang ke rumah, setelah cerita suara tangisan Bainah kedengaran mendayu-dayu oleh keluarga Pak Musid.
Bagaimanapun Tok Imam Lah menasihatkan orang-orang kampung supaya tidak dipengaruhi sangat oleh cerita demikian.  Ada juga di kalangan mereka merasakan suara tangisan yang didengar oleh keluarga Pak Musid hanyalah hembusan angin di tengah malam yang boleh kedengaran dengan pelbagai bunyi.  Kadangkala ada juga yang mendengar hembusan angin di malam sepi itu seolah-olah hilai ketawa memanjang.  Pernah juga Manap Botak menuduh suara hilai ketawa yang didengarnya itu bunyi pontianak di pohon enau.
Mujurlah Lajis Tonjet berani mengendap berhampiran pohon enau itu untuk mempastikan bunyi hilai ketawa pontianak seperti di dengar oleh Manap Botak.  Apabila Lajis Tonjet menyuluh kearah pohon enau itu sebaik saja kedengaran hilai ketawa dalam hembusan angin malam itu, dia ternampak bayang seekor musang melompat kearah belukar berhampiran.
Tetapi Dukun Lawi mengingatkan orang-orang kampung supaya tidak menganggap sepi apa yang didengar oleh keluarga Pak Musid.  Memang kadangkala dia tersinggung juga dengan sikap orang-orang kampung yang menuduhnya terlalu kolot serta mempercayai perkara-perkara yang tahyol.  Terlalu sukar dia mahu menerangkan kepada beberapa orang yang tidak menyukainya mengenai perkara yang dikatakan tahyol dan perkara yang tidak mustahil boleh berlaku di luar akal manusia memikirkannya.
Dia sendiri mendengar Lajis Tonjet memperolok-olokkan orang kampung mengenai cerita musang yang dikatakan pontianak itu.  Bagaimanapun Dukun Lawi tidaklah mahu soal-soal demikian diperbesarkan, kerana dia memahami hanya seorang berdua saja orang-orang kampung yang berfikiran suka memperolok-olokkan orang lain.
Sebenarnya ayah saya mengenali Dukun Lawi ini, malah mereka memang berkawan rapat.  Di sebabkan mereka berkawan rapat memang ayah saya sering mengusiknya dengan mengatakan dia dukun pembohong.  Namun Dukun Lawi tetap tersenyum dengan usikan tersebut kerana dia menyedari ayah saya hanya mahu memperolok-olokkan dia saja,
Hinggalah pada satu malam semasa mereka berdua balik dari menghadiri kenduri di rumah Lebai Bidon, tiba-tiba basikal yang ditunggang terlucut rantai.  Semasa ayah saya menyuluh dengan lampu suluh tidak pula menyala walaupun baterinya masih baru.  Dalam masa mereka berdua membetulkan rantai basikal di dalam gelap itulah ayah saya ternampak satu lembaga hitam yang tinggi hingga mencecah ke awan terkangkang berdiri di hadapan mereka.
Belum sempat ayah saya memberitahu Dukun Lawi sudah menerkam kearah lembaga berkenaan.  Dia menerpa menangkap kaki lembaga hitam bagaikan mahu dibantingnya ke tanah.  Tetapi dia sendiri yang  diangkat oleh lembaga itu dengan kakinya sehingga ayah saya dapat melihat sendiri bagaimana Dukun Lawi terangkat tinggi ke udara.  Bagaimanapun dia tidak melepaskan pegangannya pada betis lembaga hitam berkenaan.
Kira-kira lima belas minit lembaga hitam itu menghayun-hayun kakinya mahu menghumbankan Dukun Lawi dari memeluk kakinya, dia kembali meletakkan kakinya di tempat mula-mula kakinya diterkam oleh Dukun Lawi.  Ayah saya mendengar sendiri suara Dukun Lawi melaung sambil mendongakkan kepalanya ke atas,  “Awak fikir, aku takut ye.  Kalau malam ni awak tak puas hati, bila-bila pun aku sanggup.  Tunggulah di mana pun!”
Lembaga hitam yang tegak seperti kepulan asap itu hilang bagitu saja bersama hembusan angin malam yang kencang.
“Kita nak dimain-mainkan…”  gerutu Dukun Lawi mencapai semula basikalnya.  Ternyata rantai basikal itu tidaklah terlucut.  Apabila ayah saya menyuluh, lampu suluh itu juga menyala terang benderang.
“Apa bendanya dukun?”  soal ayah saya tersengih-sengih.
“Awak mana nak percaya semua ni Bilal, maklumlah ayah awak guru agama,”  katanya macam menyindir ayah saya.
“Tak percaya apa pula?”  ujar ayah saya menepuk-nepuk bahunya.
“Orang tinggi tadI tu…”  jelasnya terus menunggang basikal semula.
“Hiss, siapa kata tak percaya,”  beritahu ayah saya mengayuh basikal beriringan dengan Dukun Lawi.  “Dia juga makhluk seperti kita, dia termasuk dalam golongan syaitan yang menjadi musuh manusia,”  kata ayah saya seolah-olah tidak bersetuju dengan tuduhan Dukun Lawi terhadapnya berhubung dengan kepercayaannya kepada benda-benda seperti itu.
Peristiwa ayah saya menemui lembaga hitam yang tinggi hingga mencecah awan itu memang diceritakan sendiri oleh ayah kepada saya.  Pada mulanya memang ayah kurang mempercayai kata-kata Dukun Lawi rakannya itu mengenai perkara-perkara demikian, tetapi setelah dia mengalami sendiri kejadian pada malam tersebut, ayah tidak dapat menolak tentang ujudnya makhluk lain selain dari manusia di muka bumi ini.
Memang ayah seorang yang tidak mempercayai ilmu-ilmu dukun yang mengubati pesakit, hingga pernah dia bermasam muka dengan arwah nenek iaitu emak mertuanya Bidah Nah. (Tetapi kebelakangan ini ayah sudah mula mengakui akan kekuatan ayat-ayat  Quran dalam usaha mengubati penyakit).  Malah ayah sendiri pernah terserempak seorang lagi kawannya Pak Kamat yang menunggang harimau sewaktu di pertengahan jalan pada waktu malam.  Semua inilah yang menyebabkan ayah menjadi tekun mempelajari pengubatan yang di amalkan oleh Tok Aji, walaupun dia menepikan cara yang dilakukan oleh Pak Kamat dan Dukun Lawi.
Sebab itulah Dukun Lawi tidak menghiraukan sangat sikap Lajis Tonjet terhadap dirinya.
Demikianlah apabila kejadian keluarga Pak Musid mendengar bunyi tangisan di tengah malam itu, Lajis Tonjetlah yang kuat mensifatkan kejadian itu hanya khayalan Pak Musid anak beranak.  Ditambah lagi dengan nasihat Tok Imam Lah yang menyuruh orang-orang kampung supaya jangan ambil berat sangat dengan cerita demikian, bertambahlah celuparnya mulut Lajis Tonjet menuduh keluarga Pak Musid mempercayai perkara-perkara yang tahyol sama seperti Dukun Lawi.
Pada malam berikutnya Siamid masih juga tidak balik ke rumah.  Dia juga tidak meninggalkan apa-apa pesan.  Terpaksalah Jumin juga menguruskan ternakan yang ditinggalkannya.
Setelah mendengar cerita keluarga Pak Musid mengenai suara tangisan perempuan mendayu-dayu itu, teringinlah pula Lajis Tonjet mahu menakut-nakutkan keluarga Pak Musid.  Sewaktu malam kian menyepi Lajis Tonjet tidak berlengah-lengah lagi menuju ke rumah Siamid.  Dia bukan saja mahu melakukan perbuatan yang boleh menakutkan keluarga Pak Musid, malah bertujuan untuk mencuri ayam Siamid.
Di dalam kampung itu memang orang mengesyakki Lajis Tonjet sering melakukan kerja mencuri ayam pada sebelah malam hari, tetapi mereka tidak berani menuduh di sebabkan tidak ada bukti-bukti yang jelas.  Lajis Tonjet pula berani bersumpah di atas masjid menafikan dia melakukan perbuatan tersebut.  Oleh itu orang-orang kampung hanya menyimpan rasa syak terhadap Lajis Tonjet dengan tidak dapat bertindak apa-apa.
Peluang inilah di ambil oleh Lajis Tonjet untuk memperdayakan keluarga Pak Musid.  Apabila Pak Musid anak beranak ketakutan, dia akan mencuri ayam Siamid di reban.  Tentulah siapa pun tidak dapat mengesyakki dia mencuri ayam-ayam berkenaan.
Setelah sampai di tengah halaman rumah Siamid di malam sepi dengan angin berhembus perlahan, Lajis Tonjet memerhati ke rumah Pak Musid.  Dia nampak api pelita dari rumah tersebut melalui celah dinding pelupuh.  Tersengih-sengih Lajis Tonjet bagaikan mengejek sikap Pak Musid yang ketakutan tidak bersebab.
Kemudian dia pun mula membunyikan suaranya seperti anjing menggonggong panjang.  Salakan anjing itu sayup-sayup kedengaran pada Pak Musid yang masih belum merebahkan badannya, disebabkan mahu memastikan kejadian pada malam sebelumnya.  Utih Leha dan Jumin juga mula merasa seram sejuk apabila mendengar bunyi salakan anjing yang memecah kehenaingan malam.
Lajis Tonjet terus mengulangi bunyi salakan anjing itu melasing dan menggerunkan.  Selepas itu barulah dia membuat suara rintihan bertali-tali hingga menusuk perasan.  Suara rintihan yang mendayu-dayu itu memang didengar oleh Pak Musid, tetapi berbeza dari malam sebelumnya.  Berdebar juga hatinya dengan perubahan suara tangisan tersebut.  Bagaimanapun ketakutan tetap menyelubungi keluarga tersebut menyebabkan mereka tidak dapat melelapkan mata lagi.
Jumin anak muda Pak Musid juga tidak berani tidur di serambi.  Mukanya pucat ketakutan sambil mengheret selimut dan bantal masuk ke induk rumah.  Kalau apa-apa pun berlaku biarlah dia bersama ibu dan bapanya.
Suara tangisan mendayu-dayu itu tiba-tiba hilang bersama angin malam. Serentak dengan itu kedengaran kepada keluarga itu jeritan langsing meminta tolong.  Keadaan ini menyebabkan keluarga Pak Musid bertambah takut.  Utih Leha cepat-cepat duduk berdekatan dengan Pak Musid menahan debaran dada yang gementar.
“Suara jerit apa pula tu…?”  bisik Utih Leha terputus-putus suara.
“Hiss, malam-malam macam ni jangan ditegur,”  kata Pak Musid mengingatkan.  “Dengarkan saja, dan banyakkan baca Qulhuallah,” ujarnya memeluk kepala lutut untuk menghilangkan rasa takutnya.
Jumin membuang selimutnya bangun menuju ke dapur.  Dia menyeluk air di dalam tempayan mengambil wuduk.  Kemudian mencapai al-Quran di dalam almari buruk.  Dia tidak menghiraukan emak dan bapanya yang kebingungan ketika itu, sebaliknya dia terus membaca al-Quran bermula dari surah Al-Fatihah dan al-Baqarah.  Mula-mulanya suara Jumin terputus-putus juga menahan rasa gementar, tetapi lama kelamaan bacaannya lancar dan kemas.
Suara Jumin membaca al-Quran itu jelas dapat didengar oleh Lajis Tenjot yang terkial-kial tersandar di penjuru pagar rumah Siamid.  Sewaktu dia berdiri di halaman rumah cuba menakut-nakutkan keluarga Pak Musid, tiba-tiba saja dia melihat lembaga putih melayang-layang mengelilingi rumah Siamid.  Keberanian Lajis Tonjet benar-benar teruji pada malam tersebut, apabila buat pertama kalinya dia melihat sendiri lembaga putih itu melayang-layang tidak menentu.
Ketika inilah dia menjerit meminta  tolong sambil berlari keliling rumah.  Lembaga itu terus mengekorinya perlahan.  Apabila dia mencapai kayu api dari bawah rumah dilontarkannya kearah lembaga berkenaan, sekaligus lembaga itu menghilang.  Kemudian muncul semula berbayang-bayang mengekori dia dengan rintihan mendayu-dayu.
Puas dia berlari keliling rumah meminta tolong barulah dia mendengar suara Jumin sayup-sayup membaca al-Quran.  Tiba-tiba saja lembaga putih itu menghilang dari pandangannya.  Bagaimanapun suara tangisan merintih-rintih itu jelas kedengaran mendayu-dayu jauh dari kawasan rumah berkenaan.
Tidak bertangguh lagi Lajis Tonjet terus berlari sekencang-kencangnya menuju ke rumah Pak Musid.  Tercungap-cungap dia memanggil Pak Musid menyuruh membukakan pintu.  Dalam keadaan serba salah pula Pak Musid menerpa kepintu serambi membukakan  pintu.
“Kau rupanya Lajis…”  ujar Pak Musid terkejut melihat Lajis Tenjot terus meluru naik.
Lajis Tenjot tidak menyahut.  Cepat-cepat dia menutup pintu.  Ketakutan memang tergaris di wajahnya yang pucat.
“Kenapa Lajis?”  soal Utih Leha pula kehairanan.
Jumin juga terhenti membaca al-Quran dengan kemunculan Lajis Tenjot di tengah malam demikian.  Dia tidak dapat meneruskan bacaannya disebabkan terkejut sangat, kerana disangkanya yang mengetuk menyuruh bukakan pintu itu bukannya manusia biasa seperti Lajis Tenjot.
“Aku ingatkan siapa tadi!”  keluh Pak Musid mengurut-ngurut dada seolah-olah merasa lapang.  “Kau dari mana Lajis…?”  tambahnya mempelawa Lajis Tenjot duduk.
“Huh, aku tengok sendiri,”  beritahu Lajis Tenjot tikdak tentu hujung pangkal.
“Tengok apa?”  Pak Musid bertambah hairan.
“Hah, apa yang kau tengok?”  desak Utih Leha pula tidak sabar-sabar.
“Hai, tegak bulu roma tengkuk aku,”  Lajis Tenjot menggoyangkan tubuhnya bagaikan geli-geleman.  Tetapi dia masih menguatkan semangatnya untuk melawan ketakutan yang menyelubungi jiwanya.
“Kau tengok apa?”  ulangi Pak Musid.
“Bainah, balik ke rumah…”  jelas Lajis Tenjot meluahkan rasa takutnya yang tertekan.
Menggeleng kepala Pak Musid mendengar penerangan Lajis Tenjot yang selama ini mensifatkan cerita-cerita demikian hanya tahyuol saja.  Kalau Lajis Tenjot yang selama ini tidak mempercayai kejadian seumpama ini tiba-tiba memberitahu dia telah melihatnya sudah tentulah apa yang didengar olehnya anak beranak semalaman sebelum itu bukannya khayal mimpi lagi.
Tidak lama selepas Jumin berhenti membaca al-Quran mereka mendengar kembali suara tangisan mendayu-dayu itu di kejauhan.  Lajis Tenjot memberitahu dia tidak berani untuk balik ke rumahnya malam tersebut.  Dia juga menceritakan niat hatinya mahu menakut-nakutkan keluarga Pak Musid sebelum terserempak dengan lembaga putih yang melayang-layang tidak jejak ke bumi itu.
Perbuatan Lajis Tenjot itu sudah tidak penting lagi kepada Pak Musid, kerana mereka masih lagi menghadapi masalah suara tangisan mendayu-dayu di tengah malam sepi.
“Adoiii, tolonglah aku ni, tolong…sakitnya tak tertahan,”  rintihan itu mendayu-dayu bersama hembusan angin malam.  Kadangkala ianya tenggelam timbul, dan kadangkala dapat di dengar dengan jelas.  Bagaimanapun suara itu tidaklah lantang, ia hanya bergetar seakan-akan tenggelam di dalam kerengkung.
“Aku dah beritahu orang-orang kampung, tapi tak ada yang percaya!”  ujar pak Musid kesal.
Lajis Tenjot tunduk tidak menyahut.  Memang dialah orang yang paling utama tidak mempercayai dakwaan Pak Musid sekeluarga.
Keesokannya Lajis Tenjot sendiri memberitahu Dukun Lawi mengenai kejadian yang di alaminya itu.  Tok Imam Lah juga diberitahu.  Malah dia terus mencari Siamid di rumah emaknya di Kampung Hilir untuk memberitahu tentang kejadian tersebut.
“Sebab itulah aku bawa anak-anak aku balik ke rumah emak,”  Siamid menerangkan kedudukan sebenarnya mengapa dia meninggalkan rumahnya.  Bagaimanapun dia sanggup balik ke rumahnya untuk membantu orang-orang kampung mengatasi masalah tersebut.
Sewaktu mereka berkumpul di surau selepas maghrib, Siamid sendiri menceritakan pada malam pertama kematian Bainah lagi, dia anak beranak mendengar bunyi orang berjalan di sekeliling rumahnya. Kemudian dia mendengar bunyi nafas orang tercungap-cungap.  Anak-anaknya bertanyakan kejadian tersebut, tetapi Siamid tetap merahsiakan kepada mereka.  Bagi menyembunyikan kejadian itulah Siamid membawa anak-anaknya ke rumah emaknya.  Disitulah mereka semua ditinggalkan buat sementara waktu.
Apabila Siamid mendengar bunyi tapak kaki orang berjalan di tanah mengelilingi rumahnya dia tidak mengesyakki pencuri atau manusia biasa berjalan-jalan.  Memang dia sudah menuduh sesuatu yang tidak diingininya.  Siamid terus membacakan surah Yassin berulangkali hingga sampai ke subuh.  Tetapi tiga malam berturut-turut dia membacakan surah Yassin itu masuk kali yang ke tujuh saja, bunyi tapak kaki orang berjalan itu lenyap bersama kesepian malam.
Bagaimanapun sepanjang tiga malam itu dia mendengar orang berjalan mengelilingi rumah.  Sekali-sekala dia mendengar dinding rumahnya bagaikan dicakar-cakar menyebabkan anak-anaknya ketakutan.
“Jadi, terpulanglah pada tuan-tuan semua macam mana keputusan kita nak buat.  Saya tetap mengikutnya,”  ujar Siamid memerhati ke setiap wajah penduduk-penduduk kampung yang berkumpul di surau.
Disebabkan ayah saya dijemput sama oleh Tok Imam Lah dan Dukun Lawi berkumpul pada malam berkenaan, maka saya pun ikutilah sekali.  Kebetulan pula di hari mereka berkumpul itu, saya balik ke kampung (masa ini saya masih bujang lagi dan belum berkahwin).
“Ustaz, duduklah dekat saya,”  Dukun Lawi menggamit saya sampai bersama ayah sebelum maghribnya.
Saya yang sudah lama tidak bertemu dengannya segerlah duduk berdekatan dengannya.
“Saya ni, kalau duduk dekat ustaz, hati saya senang aje…”  usiknya dengan ketawa memanjang.  Sikap Dukun Lawi ini pula memang suka berjenaka, apatah lagi kalau dia bertemu saya.  Walaupun kami jarang dapat bertemu, tetapi setiap kali bertemu ada saja bahan jenakanya.
“Saya pun  senang hati kalau duduk dekat Tok,”  saya menampar pahanya.
“Eh, senang hati orang muda lain, senang hati orang tua lain,”  Dukun Lawi terus ketawa terkekeh-kekeh.
Tetapi selepas maghrib dan isya, apabila mula membincangkan kejadian yang menimpa Siamid, kami tidak lagi berjenaka.  Dukun Lawi sendiri tidak mahu bercakap untuk main-mainan lagi.
“Perkara macam ni, selalunya serahkan pada Tok Dukun  laaaa,”  Tok Imam Lah memberikan pandangannya.
“Hiss, jangan Tok Imam,”  segera Dukun Lawi memotong.  “Kalau seorang akal kita pendek, bila dah ramai macam ni akal kita lebih panjang,”  ujarnya dengan harapan masing-masing tidak mengambil keputusan singkat.
“Eloklah Tok Dukun cakap dulu, macam mana nak buat,”  Lajis Tenjot teragak-agak mahu menuturkan kata-katanya.
Sehingga jauh malam mereka masih juga belum dapat mencari kata putus.  Tetapi masa inilah semua orang yang berkumpul di surau tersebut menjadi terpaku apabila jelas dapat didengar bunyi suara tangisan mendayu-dayu itu sayup di kejauhan.
“Tolong, aduhhh tolong, sakitnya, tolong…”suara halus ini merintih tenggelam timbul.  Kami semua berpandangan.  Dukun Lawi yang suka berjenaka itu pun tidak bergerak dari tempat duduknya.  Masing-masing menghela nafas bagaikan tertegun kebingungan.
“Mari kita baca Yassin ramai-ramai,”  ujar Tok Imam Lah mengajak orang ramai supaya tidak cemas menghadapi masalah demikian.  Mereka yang tidak hafal surah Yassin segera mencapai al-Quran dan surah Yassin di penjuru surau.  Tok Imam Lah sendiri mengetuai orang ramai membacakan surah Yassin.
Tetapi Dukun Lawi bangun sewaktu orang ramai sedang membaca Yassin meninggalkan surau.
“Awak nak ke mana Tok Dukun?”  soal ayah sayha.
“Yang lain tunggulah sini, biar aku ke kubur,”  sahutnya menuruni anak tangga surau.
“Biarkan aku temankan Tok Dukun,”  Lajis Tenjot juga menerpa kepintu mengekori Dukun Lawi.
Semasa Lajis Tenjot menyarung terompahnya, Dukun Lawi menggamit saya.  “Marilah ustaz ikut sama,”  katanya masih tercegat di kaki tangga.  Dengan tidak menyahut saya terus bangun menuju ke pintu.  Kami bertiga meninggalkan mereka yang berkumpul di surau itu membelah kegelapan malam.
Beberapa langkah saja kami berjalan, Siamid pula bergegas-gegas mengejar kami dari belakang.  “Bolehkah aku ikut sama Tok Dukun?”  tanyanya setelah hampir dibelakang kami.
“Ah, apa pula salahnya, marilah,”  kata Dukun Lawi berjalan di hadapan.
Kami berempat pun meninggalkan surau menuju ke kawasan tanah perkuburan.  Lajis Tenjot yang membawa lampu suluh mengekori di belakang saya, manakala Siamid berjalan di belakang sekali.  Kami berjalan di dalam gelap saja, kerana Dukun Lawi tidak membenarkan Lajis Tenjot memasang lampu suluhnya.
Beberapa ela sebelum kami masuk ke kawasan tanah perkuburan, suara tangisan yang halus mendayu-dayu itu memang datangnya dari arah kubur Bainah yang baru seminggu meninggal dunia.
“Kau sabar, Siamid.  Kuatkan iman,”  bisik Dukun Lawi apabila membelok masuk ke kawasan tanah perkuburan.
“Insya Allah,”  sahut Siamid memberi jaminan bahawa dia bersedia menerima keadaan yang sedang di hadapinya.  Dia memang bersemangat kental dalam masalah yang menimpa isterinya Bainah.  Sejak isterinya menanggung penderitaan sakit batuk darah hingga membawa maut, dia tetap tabah menghadapinya.
Sebab itulah dia tidak tergopoh-gopoh menyibarkan kepada orang kampung akan peristiwa tiga malam beturut-turut di rumahnya apabila mendengar orang berjalan mengelilingi rumah di samping mencakar-cakar dinding.  Kalaulah Lajis Tenjot tidak memberitahunya mengenai tangisan mendayu-dayu itu, memang dia akan tinggal lama buat sementara waktu di rumah emaknya.
Angin malam berhembus perlahan terasa menyusup dingin.  Saya memerhati batu-batu nesan kubur yang bertaburan supaya tidak terlangkah kubur-kubur yang ada di situ.  Kami berjalan terus menuju ke kubur isteri Siamid dengan tidak berasa bimbang apa-apa.
Suara tangisan mendayu itu hilang menyepi sebaik saja kami sampai berhampiran dengan kubur tersebut.  Tetapi kami semuanya menjadi termangu melihat kawasan kubur itu bercahaya malap seperti ada api unggun menyala di atasnya.
Pada mulanya Lajis Tenjot mahu menyuluh untuk mempastikan perbuatan siapakah yang membuat unggun di atas kubur tersebut,  Kami tidak melihat pun api yang menyala, tetapi seolah-olah bara bekas unggun di bakar.  Disebabkan Dukun Lawi tidak membenarkan Lajis Tenjot menyuluhnya, kami perlahan-lahan mendekati kubur Bainah.
Kira-kira dua depa jaraknya dari kubur tersebut Dukun Lawi meminta kami semua berhenti.  Kemudian disuruh oleh Dukun Lawi supaya mencangkung saja agar tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun di dalam gelap demikian.  Beberapa minit kami berempat tercangkung tidak kedengaran apa-apa pun, selain dari hembusan angin malam mendesir pada daun-daun pohon di sekitar kawasan perkuburan.  Mata kami tidak lepas dari memerhati kubur Bainah kelihatan seperti berbara diatasnya.
“Ada orang dengki ke?”  soal Lajis Tenjot berbisik.
“Sabarlah, kita tengokkan dulu,”  sahut Dukun Lawi mengipas-ngipas telinga mengelak dari gangguan nyamuk.  “Ustaz kedepanlah sikit…”  dia menarik bahu saya supaya berdekatan sedikit di sisinya.
“Apa kita nak buat ni?”  Siamid pula bersuara menahan keharuan yang mula menyebak.  “Tak putus-putus dia dirundung malang, dari hayatnya sampailah dah macam n pun,”  keluhnya perlahan.
“Bawa bertenang Siamid,”  Dukun Lawi memujuknya.  Dia mengangguk lemah.
Selepas puas kami menunggu di dalam gelap malam itu barulah suara rintihan mendayu-dayu itu kedengaran semula bagaikan jauh di bawah bumi.  Setiap kali suara tangisan itu memanjang saya melihat diatas kubur kian merah seolah-olah bara sedang menyala.
Dukun Lawi merangkak untuk mendekati kubur Bainah.  Kami bertiga juga mengekorinya dari belakang.  Tidak ada kayu unggun yang kami temui di atas kubur Bainah, tetapi rekahan tanah kubur yang mengeluarkan silauan merah serta asap nipis yang berbau hangit.
“Astaghafarullah-ul-azzim…”  keluh Dukun Lawi terharu melihat kejadian tersebut.
Saya berpaling pada Siamid, tetapi dia kelihatan tenang.  Saya mendengar dia membaca al-Fatihah berulang kali, sekalipun dalam suaranya yang terputus-putus
Dia masih dapat melawan rasa sebak di dadanya.
“Aduh, tolonglah aku…sakit, tolong,”  rintih suara itu berulang kali bagaikan tenggelam di bawah, tetapi bukannya dari kubur berkenaan.
Saya melihat Dukun Lawi mengepal tanah di atas kubur Bainah.  Dia membacakan sesuatu sambil menghembuskan perlahan ke tanah yang dikepalnya itu.  Kemudian tanah tersebut ditaburkan di atas kubur.  Perlahan-lahan silauan merah seperti bara itu padam di samping terdengar berdesir seperti bara disiramkan dengan air.
Asap yang menipis juga hilang di dalam gelap malam itu.  Suara tangisan mendayu-dayu itu pun hilang tidak kedengaran lagi.  Lama kami tercangkung di sisi kubur menunggu apakah yang berlaku seterusnya, tetapi tidak ada suatu pun yang terjadi.
“Marilah kita balik dulu,”  kata Dukun Lawi berdiri mahu meninggalkan kubur Bainah, tiba-tiba terdengar seperti satu benda besar jatuh dari atas, betul-betul menimpa kubur.  Segeralah pula disuluh oleh Lajis Tenjot dengan tidak mendapat kebenaran lagi dari Dukun Lawi.
Kami semua terkejut kerana melihat seolah-olah bayang kepala seorang perempuan menggeletek di atas rekahan tanah kubur.  Dia merengek-rengek bagaikan manahan kesakitan.  Sedikit demi sedikit kapala itu tenggelam di dalam rekahan tanah  di atas kubur seolah-olah ditarik perlahan dari dalam.
Dukun Lawi berpaling semula ke arah kubur.  Dia membacakan doa sambil menghembuskan tiga kali kearah kubur Bainah.  Selepas itu tidak apa-apa lagi kedengaran berlaku, hinggalah kami semua balik semula mendapatkan orang ramai yang masih berkumpul di surau.

SELESAI