TOK AWANG NGAH - CETAKAN PERTAMA 1986
TAJUK BUKU: RINTIHAN DARI KUBUR(12 siri)
Tergelak besar Wak Samin bila
saya tanyakan kepadanya mengenai harimau cinaku atau harimau jadian. Bagi
mereka di Sumatera terutama di daerah Jambi kisah harimau cinaku ini perkara
biasa saja kepada mereka, tetapi bagi orang-orang di Semenanjung mendengarnya
sebagai cerita tahyol saja. Sebab itu Wak Samin tergelak besar, kerana pada
sangkaannya saya hanya mahu bertanya disebabkan merasakan cerita tersebut
sebagai tahyol saja.
Kebanyakan harimau cinaku ini
boleh mencuri kerbau dan lembu orang-orang kampong. Mereka boleh menghilangkan
diri dalam sekelip mata saja. Ada juga orang mengatakan bahawa harimau cinaku
ini hanya kepalanya saja bertukar menjadi harimau, sementara batang tubuhnya
kekal sebagai manusia.
“Wak tak dengar cerita macam
tu” beritahu Wak Samin apabila saya tanyakan mengenai cerita harimau cinaku
yang kepalanya bertukar menjadi harimau sedangkan batang tubuhnya masih kekal
seperti manusia biasa.
“Setahu Wak, harimau cinaku ini
berubah menjadi harimau seluruh batang tubuhnya” jelasnya lagi.
“Harimau cinaku ni banyak di
Jambi ye Wak?” saya cuba menduga.
“Kebetulan saja” ujarnya
perlahan.
“Dulu, orang kata orang-orang
Jambi yang jadi harimau cinaku” katanya tersengih-sengih macam gelihati dengan
tuduhan tersebut.
“Adakah Tok Malim Udoh tu
menuntut ilmu harimau cinaku?” tanya saya selanjutnya.
Dia menggelengkan kepala. Malah
Wak Samin tidak mahu langsung menyebut kisah Tok Malim Udoh, sekadar dia
memberitahu mengapa dia datang ke Tanah Melayu ini. Kalaulah tidak berlaku
peristiwa yang menimpa gurunya, memang dia tidak akan meninggalkan kampung
halamannya merantau sedemikian jauh.
Sebelum datang ke Endau, Wak
Samin pernah juga berkahwin dengan seorang janda di Kota Tinggi. Perkahwinan
itu tidak lama kerana isterinya lari meninggalkan dia. Disebabkan malu dengan
peristiwa isterinya meninggalkannya itu Wak Samin lari membawa diri ke Endau.
Demikian Tok Aji memberitahu saya mengenani kawannya Wak Samin yang sama-sama
menumpang kapal barang dari Dumai menyeberang ke Tanah Melayu dan naik di
Johor.
Sementara berkahwin dengan
janda di Kota Tinggi itu, Tok Aji ikut sama jadi pengapit Wak Samin. Ketika ini
Tok Aji juga berkahwin di Kota Tinggi dan sudah mendapat seorang anak lelaki.
Pada malam pertama hari
perkahwinannya itu, janda tersebut Lisun terkejut kerana Wak Samin tidur
bersener kuat. Bunyi senarnya seolah-olah seperti harimau mendengkur. Kerana
was-was dengan suaminya yang datang berdagang ke situ, Lisun bertanya dari mana
kampung halaman Wak Samin.
“Abang dari Palembang, tetapi
menetap di Bukit Tinggi” dia menjelaskan kepada isterinya.
“Abang bukan dari Jambi?” tanya
Lisun lagi.
“Tidak…” beritahu Wak Samin
keheranan. Hatinya mula tertanya-tanya sama ada isterinya menduga yang
bukan-bukan terhadap dirinya.
“Lisun, syak yang tak baik
terhadap diri abang?” soalnya macam rasa tersinggung.
“Saya hanya nak tau, kerana
orang kata orang Jambi suka jadi harimau” jelas Lisun secara jujur.
Memang dia pernah mendengar
dari orang tua-tua mengenai kesukaan orang-orang Jambi mempelajari ilmu
kebatinan menjelma menjadi harimau. Kebanyakan mereka pula menyalahgunakan
kepandaian tersebut, dengan melakukan rompakan dan mencuri harta benda.
“Bukan semua orang Jambi
begitu” Wak Samin menerangkan kepada isterinya.
Segala kebimbangan isterinya
itu diceritakan oleh Wak Samin kepada Tok Aji. Bagaimanapun Tok Aji
menasihatkan dia supaya bersabar saja, kerana niat baik tentu dibalas dengan
baik juga.
Wak Samin sudah melupakan
ilmu-ilmu kebatinan yang dituntutnya selama di Sumatera dulu. Sebab itu dia
lebih suka orang memanggilnya Wak Samin saja kerana panggilan Wak itu biasanya
digunakan kepada orang-orang dari Tanah Jawa saja. Kalau orang-orang dari
Sumatera biasanya dipanggil ‘Pak Tua’ sebagai menghormati orang yang lebih tua.
Kerana mahu melupakan
kisah-kisah di Sumatera inilah dia sanggup mengembara jauh. Dia hanya mahu
menyerahkan diri semata-mata kepada Allah. Ilmu-ilmu kebatinan yang berlawanan
dengan ajaran Islam, mahu dibuang jauh-jauh dari ingatannya.
Rupa-rupanya orang-orang di
Semenanjung ketika itu apabila berkahwin dengan orang-orang dari Sumatera,
bimbang kalau berkahwin dengan orang-orang dari Jambi. Cerita ini merebak dari
satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang Jambi.
“Mereka takut harimau kerinci…”
ujar Tok Aji ketawa geli hati dengan nasib yang menimpa kawannya Wak Samin.
Bagaimanapun Tok Aji dapat
meyakinkan Lisun bahawa cerita-cerita mengenai harimau kerinci, harimau cinaku
atau harimau jadian itu hanya reka-rekaan saja bagi menakutkan orang-orang
Semenanjung dengan orang-orang Jambi.
Ketika ini ramai orang-orang
Semenanjung mengambil menantu dari mereka yang datang dari Sumatera kerana
dipercaya mempunyai ilmu agama yang tinggi. Untuk menyedarkan orang-orang
seperti inilah ditimbulkan cerita-cerita seperti ini.
Lisun pula tidaklah mengesyaki
apa-apa lagi terhadap suaminya, malah dia semakin kasih akan Wak Samin. Dia
sama-sama membantu Wak Samin pergi menoreh getah atau mengait kelapa.
Satu ketika orang-orang di
kampung itu diganggu oleh harimau yang membaham kambing-kambing ternakan.
Mereka takut dengan gangguan itu, kerana setiap masa ada saja mangsanya.
Beberapa kali dibuat perangkap tetapi mereka tidak berjaya membunuh harimau
tersebut.
Akhirnya lembu ketua kampung
sendiri dilarikan oleh harimau. Lembu jantan itu kesayangan ketua kampung Pak
Kidam. Oleh itu Pak Kidam sanggup membayar sampai seratus ringgit kepada
sesiapa yang sanggup membunuh harimau berkenaan. Pak Kidam sendiri mengajak
beberapa orang kampung mengikut jejak harimau itu masuh ke hutan dengan
mengesan titisan darah lembu yang menjadi mangsanya.
Di antara yang sama mengikut
itu termasuklah Tok Aji dan Wak Samin sendiri. Sebagai orang dagang mereka
terpaksalah mengambil hati ketua kampung supaya tidak dipandang serong. Mereka
berdua sama-sama mengesan jejak harimau melarikan lembu itu.
Mereka sampai juga kepada
bangkai lembu yang sudah habis sebelah pahanya ditinggalkan pada sebatang
pokok. Pak Kidam pun menyuruh membuat pondok di atas pokok bagi menunggu
kedatangan harimau mengulangi lagi bangkai lembu berkenaan. Pak Kidam menunggu
pada sasaran yang senang dia membedil dengan senapangnya. Seolah-olah dia
betul-betul berdendam dengan binatang tersebut.
Tok Aji sengaja memilih pondok
tempat Pak Kidam menunggu dengan senapangnya. Sementara Wak Samin menunggu pada
pokok yang satu lagi bersetentang dengan pondok Pak Kidam.
Lama juga mereka menunggu
sehingga hari malam, tetapi harimau itu tidak juga datang mengulangi mangsanya.
Mereka tahu lambat laun harimau itu akan datang juga semula. Disebabkan terlalu
lama menunggu, salah seorang yang bertahan di pondok Wak Samin iaitu Jalit
abang iparnya sendiri, terasa mahu buang air kecil.
Dia malu mahu buang air dari
atas pokok itu saja, maka terpaksalah dia turun ke tanah. Ketika dia turun
inilah Pak Kidam ternampak dua biji mata mara ke situ. Pak Kidam cepat-cepat
menyuruh Jalit naik segera ke pondoknya, tetapi belum sempat Jalit naik semula
ke pondok, harimau itu sudah hampir benar.
Serba salah Pak Kidam mahu menembak.
Kalau tembakannya tidak tepat harimau itu pasti akan menerkam Jalit. Harimau
terluka tentu lebih ganas apabila ternampak mangsa.
Disebabkan harimau sudah
terlalu dekat, sedangkan Jalit masih belum naik ke atas pondok tempat bertahan,
maka Wak Samin pun terjun ke tanah mahu menyelamatkan abang iparnya iaitu abang
Lisun. Sebaik saja harimau itu mahu menerkam, Jalit nampak Wak Samin menekan
ibu jari kakinya ke tanah menyebabkan harimau itu tidak dapat menerkam.
“Kau nak tunjuk kuat ye!”
herdik Wak Samin.
Harimau itu seolah-olah
meronta, tetapi badannya tidak dapat bergerak. Dia bagaikan terlekat pada tanah
tidak boleh menghambur. Ngaumannya juga tidak keluar dari rahangnya, cuma
rungutan kecil. Jalit nampak air liur harimau itu meleleh keluar seperti
termakan cili padi.
“Dengan orang kampung ni kau
boleh tunjuk keras kepala, tapi dengan Samin kau jangan cuba main-main” Wak
Samin menggertap bibir sambil berjalan mara mendapatkan harimau yang terpaku di
depannya.
Pak Kidam yang memegang
senapang tidak dapat melepaskan tembakan dia. Jarinya seolah-olah kaku tidak
dapat memetik trigger. Dia terpegun melihat Wak Samin yang tiba-tiba saja
melompat ke tanah sebaik saja abang iparnya terperangkap tidak sempat naik ke
atas pondok.
“Biadap kau…” tepiknya lantas
menampar muka harimau itu sekuat hatinya.
Harimau itu menjerit kesakitan
tetapi kakinya tidak terlepas dari bumi. Kaki harimau itu seolah-olah diikat
dengan simin ke tanah tidak boleh diangkat langsung.
“Depan Samin, kau jangan nak
tunjuk garang” dia menampar sebelah lagi muka harimau itu.
Tok Aji nampak apa yang dibuat
oleh Wak Samin, kerana kedudukan pondok itu tidaklah jauh sangat. Cahaya
samar-samar di pinggir hutan itu masih jelas boleh nampak dari jarak yang tidak
berapa jauh. Tok Aji hanya tersenyum melihat kehebatan kawannya, tidaklah
terperanjat seperti Pak Kidam. Malah Pak Kidam sendiri terasa gementar apabila
Wak Samin menampar muka harimau itu.
Harimau itu merungut-rungut,
tetapi tidak mengaum kuat. Air liurnya meleleh-leleh keluar. Jalit yang
tercegat di bawah pokok tempat mereka membuat pondok terkencing dalam seluar
kerana terlalu takut. Dia melihat sendiri harimau sebesar lembu itu tercegat di
depan adik iparnya. Kemudian adik iparnya menampar beberapa kali ke muka
harimau itu, tetapi sedikit pun harimau itu tidak melawan.
Beberapa minit kemudian tidak
kedengaran lagi rungutan harimau. Wak Samin berpaling ke belakang dan berjalan
mendapatkan abang iparnya Jalit yang terketar-ketar ketakutan. Apabila dia
meninggalkan harimau berkenaan, tiba-tiba saja tubuh harimau itu berdebap
jatuh.
Barulah semua orang di atas
pokok turun ke tanah. Mereka memeriksa harimau itu sama ada sudah mati atau
masih hidup. Sebenarnya tidak siapa pun berani mendekati harimau itu apabila
turun dari pokok. Hanya setelah Tok Aji merapati harimau tersebut sambil
menyepak-nyepak punggungnya, barulah orang lain berani.
Setelah diperiksa didapati muka
harimau lekuk seperti disinggahi pukulan yang terlalu kuar lagi berat
berpikul-pikul. Harimau itu sudah mati terbujur dengan tulang mukanya remuk.
Kalau diamat-amati bekas penampar Wak Samin yang singgah ke muka harimau itu
seolah-olah bekas diterjah kayu balak yang besar.
“Tak sangka awak boleh
menentang harimau Wak Samin” keluh Pak Kidam masih terasa gementar.
Wak Samin tidak menyahut. Dia
sendiri menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan kepandaiannya. Tetapi kalau
dia terlambat, tentulah abang iparnya Jalit menjadi mangsa pula. Harimau itu
sudah bersedia untuk menerkam semasa dia terjun ke tanah. Kalau harimau tersebut
sempat menerkam tentulah Jalit mendapat cedera parah. Sebab itulah Wak Samin
tidak bertangguh terjun ke tanah bagi menyelamatkan abang iparnya.
Ketika ini dia tidak memikirkan
apa orang kampung akan kata. Boleh jadi orang-orang kampung merasa kagum dengan
tindakannya, dan boleh jadi juga mereka takut bila berhadapan dengannya. Itulah
pertama kali Wak Samin menunjukkan kepandaiannya. Selama ini dia tidak pernah
menunjukkan apa-apa kelebihan kepada masyarakat kampung. Malah Tok Aji sendiri
tidak tahu tentang kebolehan Wak Samin menentang seekor harimau liar di hutan.
“Terima kasihlah Wak Samin kerana
sudah menolong orang-orang kampung “ kata Pak Kidam mengajak semua anak buah
balik semula. Cerita Wak Samin menentang harimau dengan tidak bersenjata itu cepat
saja meribak ke seluruh kampung. Jalit juga
memuji-muji adik iparnya itu, malah dia merasa terhutang nyawa kepada
Wak Samin. Kalaulah tidak kerana Wak Samin cepat datang menolong sudah tentu
dia menjadi mangsa harimau.
Kegagahan Wak Samin menentang
harimau ini telah menjadi bualan. Tidak lama kemudian Tok Aji, membawa anak
isterinya ke Singapura, tinggallah Wak Kamin saja di Kota Tinggi. Ketika ini
Lisun sudah mula mengandung 3 bulan. Entah mengapa dalam masa mengandung ini
Lisun kuat mendesak Wak Samin ke hutan
kerana dia mahu melihat harimau hidup-hidup.
Wak Samin tahu desakan Lisun
bukanlah kerana mendengar kegagahan dia meneang harimau dan menyelamatkan
Jalit, tetapi pembawaan orang mengandung. Heran juga dia dengan pembawaan
Lisun. Kalau perkara lain dia memang bersedia untuk memenuhi kemahuannya,
tetapi untuk melihat harimau hidup bukanlah perkara yang menjadi kebiasaan.
“Saya hendak sangat melihat
harimau hidup, bang” desak Lisun selepas makan tengah hari.
“His, merepek aje kau ni Lisun” rungut
Wak Samin.
“Betul-betul ni bang, saya ingin
sangat” kata Lisun lagi bagaikan tidak sabar.
“Harimau di trengah hutan, macam
mana nak bawa kau ke sana? “ Wak Samin cuba menasihati isterinya.
“Cubalah abang bawa saya jumpa
harimau” ujar Lisun bersungguh-sungguh
Wak Samin tahu pernmintaan Lisun
itu bukanlah olok-olok. Memang pembawaan orang mengandung bermacam-macam.
Tetapi dia heran juga dengan pembawaan Lisun yang ganjil dari orang lain. Belum
pernah dia mendengar pembawaan perempuan mengandung mahu melihat harimau
berjalan-jalan dan melompat-lompat.
Harimau binatang ganas yang liar
di hutan, bukanlah seperti kucing yang boleh dibuat permainan. Sebaliknya bila
didesak oleh Lisun, dia menjadi serba salah juga. Kalau tidak dipenuhi
pembawaan orang mengandung entah apa pula bencana.
Puas memikirkan apa harus dibuat.
Wak Samin mengadukan halnya kepada Jalit. Selalunya dia minta buah fikiran Tok
Aji, tetapi disebabkan Tok Aji tidak ada, dia pn bertanya pada Jalit.
“Kau dah gila.....” Jalit
memarahi adiknya Lisun kerana membuat permintaan yang bukan-bukan. “Apa yang
kau pinta Samin lakukan ni cari nahas saja” ujar Jalit keras.
“ Saya tahu Abang Samin boleh
jinakkan harimau. Nyawa abang pun Abang Samin yang selamatkan” Lisun tersinggung
dengan sikap abangnya berkasar terhadap dirinya. “Takkan dia tak boleh jinakkan
harimau, kalau saya sendiri yang nak tengok” katanya macam mengejek.
“Perkara sia-sia yang kau minta
Samin buat” jerkah Jalit masih heran dengan permintaan adiknya.
Dia tahu Lisun sudah mendengar
cerita Wak Samin membawanya ke hutan untuk melihat harimau hidup-hidup. Kalau
memakan binatang-binatang hutan seperti pelanduk, kijang, rusa atau naouh dia
sendiri sanggup menemankan Wak Samin pergi memburu.
Tetapi permintaan seperti Lisun
ini jarangbenar didengar. Malah tidak
pernah perempuan mengandung mahu mengidammelihat binatang buas hidup-hidup. Apa
lagi harimau yang ganas di hutan.
“Janganlah kau minta yang
bukan-bukan Lisun “ ujar Jalit menasihatinya.
“Saya ingin sangat nak
tengok.....” Lisun macam merayu.
“Tak boleh kah kau minta yang
lain?” soal Jalit semakin heran.
“Entah lah bang, saya tak dapat
nak minta yang lain” jelasnya tegas.
Wak Samin terdiam dengan desakan
isterinya itu. Dia semakin gelisah dengan desakan isterinya itu. Dia semakin
gelisah mengenangkan permintaan yang diluar dugaan itu. Bagaimanakah seorang
perempuan mengandung mengidam mahu melihat harimau hidup-hidup padahal tidak
pernah didengarnya perempuan mengidam sedemikian.
Tetapi pembawaan perempuan
mengandung bermacam-macam. Ada perempuan yang suka menghisap puntung rokok
saja, ada yang suka makan sepah sirih, ada yang mahu makan asam, ada pula
yang suka mandi air telaga dan
bermacam-macam lagi. Wak Samin terpaksa menerima hakikat ini bahawa
amalan-amalan yang dipelajari dari Tok Malim Udoh inilah yang sedang menguji
dia sekarang.
Sedangkan Jalit sudah tidak
berupaya untuk menghalang kemahuan Lisun. Apa lagi permintaan itu merupakan
pembawaan perempuan mengandung.
“Aku tak dapat nak cakaplah,
Samin” keluh Jalit memberi keputusan kerana tidak sanggup lagi menasihatkan
Lisun.
“Tak apalah bang Jalit, muga-muga
dia boleh lupakan juga” sahut Wak Samin dengan satu harapan tergaris di
hatinya.
Tetapi sepeninggalan Jalit itu,
Lisun tetap tidak mahu mengalah. Dia berkeras mahu mengajak Wak Samin ke hutan
kerana hendak melihat sendiri harimau hidup-hidup. Puas Wak Samin memujuk dia
berkeras juga mahu seperti yang dihajatinya.
“Nanti kau terkejut kerana takut”
Wak Samin cuba berdalih.
“Ah, itu dalih abang saja kerana
tak mahu membawa saya ke hutan” Lisun mencemiknya.
“Kalau Lisun nak tengok harimau
tak payah ke hutan” beritahu Wak Samin perlahan. “Abang boleh panggilkan
harimau datang ke sini” jelasnya tersengih-sengih macam menduga perasaan Lisun.
“Abang sengaja takut-takutkan
saya” perempuan itu menjuihkan bibir mengejek. :Kalau abang boleh panggilkan,
panggillah” ujarnya mencabar Wak Samin.
“Nanti Lisun ketakutan” Wak Samin
masih menasihatkan dia.
“Saya teringin nak tengok, tak
kan saya ketakutan” sahutnya keras.
“Kalau begitu baiklah’ Wak Samin
memberi jaminan.
Sedapat-dapatnya dia tak mahu
melukakan hati isterinya. Dia tahu hidup berdagang di rantau mesti tahu membawa
diri. Mesti selalu merendahlkan diri kepada sesiapa saja. Apa lagi dengan
isteri sendiri dia dia mesti tunjukkan segala kasih sayangnya. Apa saja
permintaan isteri mesti dipenuhi juga.
Dia menyuruh Lisun naik keatas
para romeh, iaitu lantai yang sengaja dibuat seperti silng rumah.
“Lisun tunggulah di sini, dan
jangan kemana-mana” katanya kepada isterinya penuh kasih sayang.
Setelah Lisun naik keatas para
rumah, Wak Samin pula mula membakar kemenyan dan mulutnya kumat kamit membaca
sesuatu. Lisun memerhatikan sahaja kelakuan suaminya, sementara matanya
melingas-lingas dari manakah harimau yang dipanggil oleh suaminya akan masuk ke
dalam rumah.
Lama Lisun memerhatikan suaminya,
dia terperanjat bila Wak Samin membongkok sambil meneran sesuatu seperti laku
orang mahu membuang air besar. Tiba-tiba ekor panjang keluar dari punggongnya.
Setelah ekornya keluar, Wak Samin mula meniarap seperti kucing bangun dari
tidurnya.
Kemudian dia menguling-gulingkan
badannya dan mengeliat-ngeliat. Dari sinilah tubahnya berubah sedikit demi
sedikit menjadi harimau sepenuhnya. Apabila sudah menjadi harimau sepenuhnya,
Wak Samin pun melompat dan berjalan dari serambi masuk ke induk rumah. Dia
menganga- ngangakan mulut seperti terkuap-kuap kelaparan. Sekali sekala
mengerling juga ke arah para rumah supaya isterinya dapat melihat dengan jelas
rupa seekor harimau yang hidup.
Kira-kira setengah jam dia
menjelma menjadi harimau, Wak Samin pun memulihkan semula dirinya. Setelah dia
kembali kepada asalnya, cepat-cepat dia mendapatkan isterinya di atas para.
Tapi, alangkah terkejutnya dia melihat Lisun pengsan tidak sedarkan diri.
Disebabkan dia sudah menduga
Lisun memang terkejut melihat harimau hidup maka tidak Wak Samin terkejut
benar. Tetapi yang diketahui oleh Wak Samin ialah Lisun terkejut kerana
suaminya bertukar menjadi harimau.
Terpaksa pula Wak Samin
memulihkan isterinya dari pengsan. Sebaik saja Lisun sembuh dia terus meluru ke
pintu lari dari rumahnya. Dia terus balik ke rumah emaknya dan enggan balik
semula kepada suaminya. Puas dipujuk oleh Jalit supaya Lisun jangan ikutkan
perasaan, namun dia tetap berdegil tidak mahu balik lagi mendapatkan Wak Samin.
“Selama ni saya nikah dengan
harimau,” dia merintih-rintih memberitahu keluarganya. “Saya lihat sendiri
Samin bertukar menjadi harimau. Saya tak mahu lagi bersuamikan harimau,”
katanya menangis hiba.
“Perasaan kau saja Lisun,” kata
Jalit memarahinya. “Pasal kau berkeras mahu melihat harimau, sebab tu Samin pun
kau kata harimau!” Jalit tidak percaya dakwaan adiknya Wak Samin bertukar
menjadi harimau.
Emaknya juga
menasihatkan Lisun supaya balik semula ke rumah. Masalah Wak Samin bertukar
menjadi harimau bukanlah perkara yang boleh meruntuhkan rumah tangga mereka.
Wak Samin tidak pernah menganggu sesiapa pun dengan kepandaiannya menukar
dirinya menjadi harimau.
Malah dia
sudah menolong Pak Kidam dengan kebolehannya itu, disamping menyelamatkan nyawa
Jalit. Ilmu di dada menjadi salah kalau ianya disalah gunakan , tetapi kalau
digunakan dijalan kebaikan, ia tetap memberi manafaat kepada semua orang.
Setelahmendapat
tahu isterinya tidak mahu lagi balik kepadanya, disamping menuduhnya seekor
harimau, maka dengan diam-diam Wak Saminmelarikan diri dari kampung tersebut.
Dia malu bertemu muka dengan mak mentuanya dan juga sanak saudara Lisun. Tidak
pula diduganya Lisun membukakan rahsia tersebut kepada kaum keluarganya.
Tidak siapa
pun mengetahui ke mana Wak Samin membawa dirinya. Sementara Lisun pula sentiasa
meracau-racau takut menjadi isteri harimau. Dia memekik-mekik kerana sudah
trerpeday hingga menjadi isteri harimau. Penyakit Lisun tidak dapat diberitahu
kepada Wak Samin. Hingga akhirnya Lisun meninggal dunia akibat terkejut melihat
suaminya menjadi harimau, siapa pun tidak dapat menyampaikan berita itu pada
Wak Samin.
“Saya kira
amalan menjadi harimau ni bertentangan dengan ajaran Islam,’ kata saya
memerhati Wak Samin.
Dia
menganggukan kepala. Kemudian menunduk memikirkan sesuatu.
“Iya, kerana
menyamakan diri kita dengan binatang,” keluhnya perlahan.
Saya tahu Wak
Samin juga bukanlah sebarangan orang dari segi pengetahuan agama. Sebab itu
saya tidak banyak bertanya mengenai perkara lain selain dari amalan dirinya
yang boleh menukarkan sifat tubuhnya kepada harimu.
“Ustaz tak
takukan Wak? “ katanya macam menyindir.
“Tidak,” sahut
saya menggelengkan kepala. “Saya hanya takut kepada Allah,” beritahu saya
tegas.
“Alhamdulillah.....’”
dia tersenyum menatap muka saya.
Ketika ini
saya membaca Ayat Kursi di dalam hati hingga sampai 313 kali. Tetapi saya lihat
Wak Samin tetap tidak menghadapi apa-apa perubahan. Kemudian dia tersenyum lagi
sambil menepuk paha saya.
“Wak tak ada
apa-apa Ustaz,” katanya lagi. Saya merasakan diri saya disindir, tetapi saya
sedar Wak Samin juga tahu saya sedang mengujinya. “ Wak tak ada amalkan ajaran
yang berlawanan dengan aqidah Islam. Hanya kepada Allah, Wak mohon pertolongan
dan perlindungan,” jelasnya terangguk-angguk.
Saya percaya
dengan kata-kata Wak Samin itu. Memang Tok Aji sudah pesankan kepada saya
mengenai diri Wak Samin itu dia tidak lagi mengamalkan pertapaan yang
membolehkan dirinya menjelama menjadi haiwan. Sudah tentulah menjadikan diri
kepada haiwan itu tidak dikehendaki oleh Islam.
TAMAT
No comments:
Post a Comment