Sunday, October 23, 2016

199.ULAT GONGGOK DIDALAM KUBUR


HEMBUSAN angin malam yang dingin menembusi dinding perlupuh rumah Jumin di darat kampung.  Dia menarik selimut supaya menutupi seluruh tubuhnya yang terasa dingin di tengah malam sepi demikian.  Daun-daun pokok berhampiran rumahnya juga terdengar berdesir-desir oleh hembusan angin tersebut.
Disebabkan hembusan angin yang dingin itulah Jumin terjaga dari tidurnya.  Walaupun selimut yang dijahit dari kain buntil gandum bersambung itu terasa menghangatkan, tetapi Jumin masih tidak dapat melelapkan mata akibat tidurnya terganggu di tengah malam itu.  Puas juga dia memusing-musingkan badan mengereng ke kiri dan ke kanan, namun matanya tetap tidak dapat dilelapkan.
Anak muda berumur lapan belas tahun seperti Jumin tidaklah banyak memikirkan masalah keluarga, kerana dia masih mempunyai ibu dan bapa tempat bergantung hidup.  Masakan dia mempunyai banyak masalah menyebabkan dia tidak boleh melelapkan mata di tengah malam demikian.
Sedangkan ayahnya sendiri Pak Musid sudah berdengkur di dalam menguliti mimpinya yang indah-indah.  Jumin yang tidur di serambi berseorangan, jarang pula tidak boleh tidur sekalipun angin dingin bertiup di tengah malam.  Bagi mereka orang-orang kampung adalah perkara biasa saja kalau kesejukan di malam hari apabila angin bertiup.
Rumah mereka hanya berdindingkan pelupuh dan berlantaikan ruyung serta beratapkan rembia, yang mudah disusupi angin malam.  Pokok-pokok kayu juga merimbun di sekeliling rumah menjadikan udara di sekitarnya lembab dan nyaman.  Sebab itu apabila siang hari di tengah panas matahari bersinar pun mereka tidak akan merasa bahang kepanasan.
Dalam masa dia berpusing mengereng ke kiri dan kekanan inilah Jumin mendengar tangisan halus wanita sayup-sayup di hujung kampung.  Pada mulanya dia cuba tidak mempedulikan tangisan halus itu, tetapi semakin lama dia mendengarnya dengan jelas.  Bukan lagi khayal mimpi sewaktu tidur nyenyak.
Jumin terus duduk sebaik dia mendengar tangisan halus yang sayup-sayup itu terus juga bergetar di tengah malam.  Berkali-kali dia mencubit pahanya untuk mempastikan sama ada dia sedang bermimpi atau mendengar sesuatu yang ujud di alam nyata.
Setelah yakin dia bukannya bermimpi Jumin pun segera memanggil ayahnya.  Terkejut juga Pak Musid dan isterinya Utih Leha apabila dibangunkan oleh anaknya Jumin.
“Apa bendanya kau ni, Jumin,”  rungut Pak Musid dari tengah rumah macam memarahi anaknya.
“Kau mengigau ke…?”  Utih Leha juga keheranan kerana tidak pernah pula Jumin mengejutkan mereka di tengah malam demikian.  Bimbang juga Utih Leha kalau anaknya mengigau atau diserang demam.  Walaupun Jumin sudah muda remaja, tetapi tanggungjawabnya ke atas anak muda itu masih belum berakhir.
“Cuba diam-diam dan dengar,”  beritahu Jumin dari serambi.
Pak Musik dan Utih Leha terpaksa berhati-hati mendengar getar hembusan angin yang memukul daun-daun pokok kayu di sekeliling rumah.  Apa sangatlah dihairankan kalau sekadar bunyi hembusan angin itu sampaikan Jumin terpaksa mengejutkan mereka berdua untuk mendengarnya.
“Nak dengar apa, bunyi angin memukul daun kayu!”  gerutu pak Musid memarahi Jumin.
“Eh, awak dengarlah tu betul-betul,”  Leha mencuit bahu suaminya apabila dia sendiri mendengar tangisan memanjang yang sayup-sayup di hujung kampung.
Terdiam Pak Musid setelah diamat-amatinya bunyi suara tangisan yang sayup-sayup itu.  Terasa juga seram hingga tegak bulu romanya.  Belum pernah pula seumur hidupnya dia mengalami suasana demikian.  Suara tangisan perempuan itu bukan lagi getar angin yang bertiup memukul daun-daun pokok kayu, tetapi jelas tangisan yang memilukan.
Pak Musid bangun ke serambi lantas membuka pintu hadapan untuk mempastikan arah datangnya suara tangisan mendayu-dayu itu.  Tidak mungkin pula suara tangisan itu datangnya dari rumah Siamid kerana dia baru seminggu kematian isterinya Bainah.  Kalau pun ada anaknya yang menangis, semuanya masih kecil.  Bukan suara tangisan anak-anak kecil yang kedengaran pada malam yang sepi itu.
“Dari mana arahnya oiii…?”  tanya Utih Leha bingkas bangun berdiri di pintu tengah.  Dia memanjangkan leher memerhatikan kerumah Siamid yang berbalam-balam.  Cuma mereka sajalah jiran Siamid yang paling dekat.  Semasa kematian Bainah akibat mengidap batuk darah, mereka anak beranaklah bertungkus-lumus membantu keluarga tersebut
“Dari rumah Siamid ke?”  ulangi Utih Leha terkuap-kuap lantas duduk di bendul pintu tengah.
“Entahlah…”  sahut Pak Musid masih memerhati kearah rumah Siamid.  Memang suara tangisan itu mendayu-dayu sayup dari arah rumah Siamid, bagaimana pun tidak kelihatan pun cahaya pelita dari rumah tersebut.
“Siapa ada di rumah Abang Siamid tu,”  beritahu Jumin duduk memeluk kepala lutut sambil mengukuhkan selimutnya.  “Abang Siamid anak beranak ke rumah emaknya petang tadi.  Katanya tidur di sana, aku yang tolong rebankan ayamnya siang tadi…” ujarnya semacam tidak percaya mengenai suara tangisan perempuan itu datangnya dari arah rumah Siamid.
Kepadanya Siamid berpesan meminta tolong tengok-tengokkan rumahnya kerana Siamid membawa dua orang anaknya balik ke rumah emaknya kira-kira jarak sebatu dari kampung tersebut.  Masakan Siamid balik juga pada sebelah malamnya.  Semasa dia sendiri yang merebankan ayam Siamid senjanya, duda baru kematian isterinya itu masih belum pulang.
“Habis, takkan Bainah balik ke rumah…!”  gerutu Pak Musid mula merasa gementar.  Terfikir juga padanya kemungkinan tangisan itu datangnya dari Bainah yang balik semula ke rumah.  Memang dia pernah mendengar mengenai orang-orang yang sudah mati boleh balik semula ke rumah.  Tetapi seumur hidupnya belum pula dia mengalami kejadian demikian.
“Bainah balik ke rumah…?”  ulangi Utih Leha dalam debar memanjang.  Dia semacam tidak percaya dengan apa yang didengarnya dituturkan dari mulut suaminya.
Tangisan itu mendayu-dayu bersama angin malam yang berhembus perlahan.  Malam yang sepi itu menjadi pilu disulami oleh suara tangisan tersebut.  Mereka bertiga beranak dapat mendengarnya dengan jelas suara tangisan yang mendayu-dayu di tengah malam itu.
Sekejap suara itu meninggi, sekejap tenggelam timbul.  Cepat-cepat pula Pak Musid menutup pintunya.  Dia kembali duduk di tempat tidur sambil melingkupkan selimut ke tubuh.  Jumin yang tidur di serambi tidak berani lagi tinggal di serambi.  Dia segera menerpa ke induk rumah membawa bantal dan selimutnya.
Geli juga hati Pak Musid melihat anak mudanya ketakutan setelah mendengar Bainah balik semula ke rumah.  Sebaliknya dia juga memang dalam ketakutan tetapi sengaja disembunyikan dari pengetahuan anak dan isterinya.
Ketika ini Pak Musid dapat membayangkan penderitaan Bainah semasa mengidap penyakit batuk darah.  Rintihan Bainah sewaktu terbaring sakit itu sama seperti suara tangisan yang mendayu-dayu pada malam tersebut.  Hanya batuknya saja tidak kedengaran disebabkan suara tangisan jauh-jauh sayup-sayup entah di mana.
Hampir sebulan Bainah menanggung penderitaan sakitnya sebelum dia menghembuskan nafasnya.  Apabila dia terbatuk akan memerciklah darah hidup keluar dari kerengkungnya seperti darah yang mengalir dari luka di tangan.  Kadangkala habis sehelai kain pengelap dibasahi darah sebelum alirannya dapat diberhentikan.
Beberapa orang bomoh telah dipanggil oleh Siamid untuk mengubati penyakit isterinya.  Setelah mengulangi tiga hari mengubati penyakit Bainah, bomoh-bomoh berkenaan tidak berani lagi meneruskan.  Mereka tidak sanggup untuk mengubati penyakit tersebut, kerana selama mereka menjadi bomoh belum pernah dihadapinya penyakit seperti demikian.
Apabila dibawa ke hospital, pihak berkenaan di hospital sendiri tidak dapat mengesahkan penyakit sebenarnya.  Disebabkan di hospital di daerah ketika itu kekurangan alat-alat kelengkapan, Bainah telah juga di bawa ke hospital besar di bandar, tetapi pihak berkuasa di hospital tidak mendapat apa-apa punca penyakitnya sekalipun telah di x-ray.
Pada mulanya pihak berkuasa di hospital mengesyakki Bainah termakan racun, bagaimanapun hasil penyelidikan mereka mendapati tidak ada kesan racun dalam darah yang keluar dari kerengkung Bainah.  Pihak berkuasa hospital juga megesahkan bahawa Bainah tidak mengidap batuk kering.
Bainah dihantar semula ke hospital daerah bagi mendapatkan rawatan selanjutnya, sementara pihak berkuasa di hospital besar dapat menentukan penyakit Bainah hasil dari penyelidikkan keatas darahnya.  Disebabkan keadaan Bainah semakin tenat, akhirnya Siamid terus meminta supaya isterinya dibenarkan dibawa pulang ke rumah.
Pak Musid juga menasihatkan Siamid supaya membawa Bainah berubat di kampung saja.  Di hospital pun Bainah hanya diberi rawatan biasa seperti pesakit-pesakit lain, disebabkan mereka tidak dapat menentukan apakah penyakit sebenarnya yang dihidapi oleh Bainah.
Setelah Bainah di bawa balik ke rumah, Utih Leha segara menyuruh Siamid memanggil ayah saya untuk melakukan ikhtiar bagi mengubati Bainah.
“Cuba-cubalah dengan Bilal Hud pula…”  ujar Utih Leha mengesyurkan.  “Manalah tau kalau masin pula air liur guru mengaji Quran tu,”  katanya penuh yakin.
Memang di kampung itu ayah saya hanya dikenali oleh mereka sebagai guru mengaji Quran saja, di samping menjadi bilal masjid.  Tetapi Utih Leha mengikatkan Siamid mengenai Tok Aji, walaupun seorang guru agama di madarasah tetapi boleh juga membacakan doa untuk menyembuhkan penyakit.
“Bilal Hud tu anak Tok Aji, tak banyak sikit turun juga ilmunya,”  jelas Utih Leha mendesak supaya di jemput ayah saya bagi mengubati Bainah.
Dalam keadaan terdesak itu Siamid tidak bertangguh terus memanggil ayah saya.  Terkejut juga ayah saya bila diberitahu oleh Siamid mengenai isterinya yang sakit mengidap batuk darah itu.  Sekalipun kampung ayah saya jarak sebatu juga dari kampung keluarga Bainah, tetapi mereka saling mengenali juga antara satu sama lain walaupun jarang bertemu muka.
Ketika ayah saya sampai ke rumah Siamid, dia melihat keluarga kedua belah pihak sudah memenuhi ruang rumah.  Masing-masing cemas melihat keadaan Bainah yang semakin kurus akibat darah yang banyak keluar setiap kali terbatuk.  Seluruh badannya akan bergegar kuat apabila dia terbatuk memanjang terkokol-kokol.  Dia merintih-rintih menahan kesakitan menekan dadanya meminta pertolongan supaya batuknya reda.
Tetapi masing-masing tidak berupaya untuk menolong.  Mereka hanya memerhatikan saja dengan perasaan cemas dan bimbang.  Tiada siapa lagi boleh mereka menggantung harapan setelah tidak ada bomoh yang sanggup mengubatinya.  Malah setelah dibawa ke hospital pun mendapatkan rawatan keadaan penyakit Bainah masih tidak berkurangan.
“Bainah ni termakan bisa ke?”  soal ayah saya setelah melihat keadaan perempuan itu yang tersandar pada bantal berlapis.  Nafas Bainah berombak-ombak turun naik bagaikan meminta belas kesihan.
“Tak tau laaa, Bilal,”  sahut Utih Leha yang duduk di hulu kepala Bainah.  “Nak dikatakan termakan bisa, sudah pun dibawa ke hospital.  Sudah pun di beri tangkal upas oleh Dukun Lawi,”  jelasnya bagaikan kehilangan ikhtiar.
Lama ayah saya terdiam setelah mendengar penjelasan dari Utih Leha.  Kemudian dia menghela nafas seolah-olah mencari ikhtiar.  Memang dia sendiri tidak tahu apa harus dilakukan.  Disebabkan Siamid mendesak juga meminta dia datang maka terpaksalah dia memenuhi jemputan tersebut, sekalipun di hatinya serba salah untuk mengubati penyakit Bainah.
Kalau ditolak jemputan Siamid bimbang pula dia akan dituduh sengaja mahu mengelak.  Dia datang pun hanya disebabkan jemputan itulah.
Bainah sendiri sudah tidak tahu suasana kelilingnya.  Dia tersandar saja merintih-rintah meminta pertolongan agar penderitaannya berkurangan.
“Tolonglah aku ni…”  katanya terketar-ketar dengan mata terpejam rapat.  “Hangatnya dada aku ni Abang Siamid.  Ada apikah dalam dada aku ni,”  suaranya bergetar memecah keheningan malam.
“Mengucaplah Bainah,”  bisik Siamid ke telinga isterinya.
Bainah mengangguk lemah.  Kemudian dia mengerang-ngerang semula sambil cuba mengangkat tangannya.  Darah yang keluar dari kerengkungnya beberapa jam sebelum itu sudah pun berhenti mengalir.  Emaknya dan emak mertuanya duduk di sisinya merenung dengan penuh kasih sayang.
“Apalah seksanya penyakit kau ni, Bainah,”  ujar emak mertuanya penuh rasa tertharu.
“Entahlah bisan, dah nasib dia…”  sahut emaknya pula tersengguk-sengguk mengesat pelupuk mata.
Bainah hanya merintih-rintih.  Dadanya berombak-ombak dengan nafas kencang.  Bibirnya bergerak-gerak lemah dan masih berbekas kesan darah yang mengalir dari mulutnya.
“Macam mana ikhtiar kita Bilal?”  Pak Musid mencuit bahu ayah saya.
Ayah saya menggamit Siamid supaya hampir kepadanya.  Dia berbisik sesuatu ke telinga Siamid.
“Satu aje yang ada Pak Bilal,”  jelasnya semakin sebak di dada.
“Tak apalah, kalau ada Quran pun boleh juga,”  kata ayah saya berpaling memandang Pak Musid.  “Begini, marilah kita baca Yassin aje.  Siapa yang tak hafal sama-samalah ikut baca Surah Yassin dan Quran,”  ujarnya memberi isyarat supaya tidak bertangguh lagi.
Masing-masing memahami apa yang dimaksudkan oleh ayah saya.  Mereka sendiri melihat keadaan Bainah yang amat payah untuk bernafas.  Dalam keadaan demikian hanya Surah Yassin sajalah yang wajar dibacakan bagi mengiringi perjalanannya yang semakin hampir.
Ayah saya mengetuai mereka membacakan Surah Yassin beramai-ramai.  Bainah memang dalam keadaan nazak ketika itu, sekalipun bibirnya masih boleh menuturkan rintihan yang mendayu-dayu.  Suara orang ramai membaca Yassin bergema di ruang rumah itu, diselang-seli oleh isak tangis kaum keluarga Bainah.
Mereka bukanlah bersedih kerana saat perpisahan sudah hampir, tetapi merasa terhiris hati dengan keadaan yang menimpa Bainah.  Dia terpaksa menderita penyakit yang tidak diketahui puncanya.
“Abang Siamid, aku nampak kau jauh sangat…”  suara Bainah terketar cuba mengangkat tangannya, tetapi tidak berdaya.  Siamid tersengguk-sengguk menahan kesedihan yang menyelubungi jiwanya.  Dia tahu bahawa saat perpisahan itu tidak dapat di elakkan.  Semuanya telah ditentukan oleh Allah SWT, yang tidak ada siapa pun dapat menghalangnya.  Siamid menyedari bahawa dia mesti rela melepaskan pemergian isterinya, sekalipun kasih sayangnya tinggi menggunung.
“Abang Siamid peganglah tangan aku ni,”  rintih Bainah selanjutnya.
Siamid menggenggam tangan isterinya erat-erat.
“Kenapa tak pegang tangan aku Abang Siamid,”  Bainah bagaikan merayu-rayu.
“Aku peganglah ni…”  beritahu Siamid menaqhan keharuan yang menyebak di dada.
“Kau jauh sangat Abang Siamid,”  suara Bainah terus menusuk perasaannya.
“Hiss, aku duduk dekat kau,”  kata Siamid memujuk.
“Kau jauh Abang Siamid, emak jauh…kedua-dua emak pun jauh.  Mengapa semua orang jauh dari aku,”  ujar Bainah selanjutnya terputus-putus.
“Ingatkan Allah, Bainah.  Ingatkan Allah…”  emak mertuanya berbisik ke telinga.
Suara rintihan Bainah semakin halus di tengah gema bacaan Surah Yassin beramai-ramai.  Akhirnya suara rintihan itu tenggelam tidak kedengaran lagi hinggalah bacaan Surah Yassin itu selesai.
Perlahan-lahan ayah saya mengusap muka Bainah tiga kali. Kemudian menyuruh jenazah itu dibujurkan baik-baik dengan kakinya mengarah ke kiblat.  Malam itulah Bainah menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah menderita sakit batuk yang mengeluarkan darah.
Kesedihan menyelubungi keluarga Siamid pada malam tersebut dengan kematian, bagaimanapun mereka lebih rela menerima kematian tersebut dari membiarkan Bainah lebih lama menderita.  Mereka tidak sanggup lagi melihat Bainah batuk terkokol-kokol bagaikan mahu keluar isi perut.  Selepas itu darah akan mengalir dari mulutnya tidak berhenti-henti.  Kadangkala apabila di lap dengan kain pelikat pun akan habis sehelai kain dibasahi darah.
Biarlah Bainah kembali menemui Maha Pencipta dalam tenang tenteram dengan tidak diiringi esak tangis yang berpanjangan.  Lagi pun mnereka sudah puas berikhtiar mengubati penyakitnya, tetapi apakan daya takdir sudah menetukan demikian!
Ayah saya ikut sama mengiringi jenazah Bainah untuk dikebumikan keesokan harinya.  Semasa jenazah Bainah dibawa turun dari rumah hujan panas merebas turun, tetapi Tok Imam Lah menyuruh teruskan juga mengusung ke kubur selepas zohor.
Lagi pun hujan panas bukannya hujan lebat mencurah-curah yang boleh mengganggu mereka mengusung jenazah.  Tidak baik jenazah lambat di kebumikan seperti yang dinasihatkan oleh Tok Imam Lah.  Ayah saya juga bersetuju dengan nasihat Tok Imam berkenaan.  Sebab itulah jenazah Bainah diusung juga ke kubur dalam simbahan hujan panas yang merebas itu.
Masuk saja ke kawasan tanah perkuburan, tidak semena-mena sekumpulan kelulut berterbangan di atas usungan jenazah.  Pada mulanya mereka yang mengusung itu menyangkakan sekumpulan lebah menyebabkan mereka cemas.  Tetapi ayah saya segera memberitahu serangga yang berterbangan itu hanya kelulut yang tidak akan menyengat sesiapa.
Kelulut itu pula terus hinggap membuat sarang di atas penutup usungan yang diperbuat dari pelepah rembia, walaupun sudah diselimutkan dengan kain batik lepas.
“Agaknya bau pelepah rembia ni, kelulut tu menghurung,”  kata Tok Imam Lah kehairanan.
Perkara membuat penutup usungan dari pelepah rembia bukanlah baru kepada penduduk-penduduk di kampung itu.  (Mereka tidak ada usungan yang khas disediakan seperti sekarang ini di kebanyakan tanah perkuburan).  Apabila ada kematian, maka mereka pun menebang buluh untuk dibuat usungan.  Penutup usungan pula dibuat dari pelepah rembia, manakala kulit pelepah rembia itu dianyam bagi mencantikkan lagi penutup usungan itu.
Selama ini tidak pernah pula kelulut menghurung pelepah rembia tersebut, apatah lagi sewaktu jenazah sedang berada di atas usungan.
“Tak apalah, teruskan saja mengusung.  Binatang ni tak menyengat,”  ayah saya memberi semangat kepada mereka yang mengusung usungan itu supaya mereka tidak terus diselubungi kecemasan.
Memang kelulut itu menyerupai lebah.  Sekiranya orang tidak mengenali kelulut mereka akan terkeliru dengan menyangka kelulut itu lebah.  Sebab itulah ayah saya memberi keyakinan kepada mereka bahawa yang sedang menghurung usungan jenazah itu bukanya lebah.
Kelulut berkenaan hanya menghurung dan hinggap di atas penutup usungan.  Serangga itu tidak mengganggu sesiapa.  Mereka bimbang juga kalau-kalau kelulut berkenaan memasukki telinga semasa mereka mengusung jenazah tersebut.
Mujurlah tidak ada apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku sewaktu usungan dibawa ke kubur.  Kelulut yang hinggap di atas penutup usungan seolah-olah mahu membuat sarang di situ.  Serangga itu tidak pula lari walaupun usungan sudah diletakkan di tepi lubang kubur.
Sebelum penutup usungan dibuka. Pak Musid melingkupkan kain batik lepas yang menyelubungi penutup usungan itu untuk memerangkap serangga berkenaan supaya terkurung.  Kemudian kain yang mengurung serangga kelulut itu dicampakkan jauh dari situ agar tidak mengganggu mereka semasa menurunkan jenazah ke dalam liang lahad.
Apabila jenazah mula diturunkan dari usungan untuk disorongkan ke dalam liang lahad, tiba-tiba Pak Berahim yang bertanggung jawab menggali kubur meminta jenazah diangkat semula ke atas.
“Kenmapa pula Berahim?”  soal Pak Musid terkejut.
“Hulurkan aku pungkis dengan cangkul taran pendek,”  ujar Pak Berahim dengan tidak menghiraukan soalan Pak Musid.
Cepat-cepat pula Jumin yang sama-sama membantu menggali kubur menghulurkan pungkis dan cangkul bertaran pendek.  Pak Berahim menyuruh Siamid dan Jahid yang berada di dalam lubang untuk menyambut jenazah naik semula ke atas.  Mereka berdua pun melompat  naik meninggalkan Pak Berahim berseorangan di dalam lubang.
Pak Berahim membongkok sambil mengaut sesuatu dari liang lahad dengan cangkul di masukkan ke dalam pungkis.  Mereka yang berdiri di atas tebing lubang terkejut melihat ulat gonggok penuh sepungkis dikaut oleh Pak Berahim.
“Mana pula datangnya ni, tadi tak ada…”  rungut Pak Berahim melimparkan pungkis berisi ulat gonggok itu ke atas.
Bertambah sayu wajah Siamid melihat keadaan yang menimpa jenazah isterinya.  Sudahlah sewaktu usungan masuk ke kawasan tanah perkuburan di hinggapi oleh kelulut, hinggakan sewaktu jenazah handak diturunkan keliang lahad pun masih ada yang mengganggu.  Masakan ulat gonggok tersebut bersarang di situ, kerana sebelumnya memang sudah dibersihkan oleh Pak Berahim.
“Sabarlah Siamid,”  ayah saya memujuknya setelah dilihatnya wajh muram Siamid.
Siamid mengangguk lemah.  Dia seolah-olah berjanji menguatkan semangatnya dalam menghadapi dugaan demikian.
Setelah ulat gonggok sepungkis itu dibuang jauh-jauh oleh Jumin, Pak Berahim membongkok memerhatikan lagi ke dalam liang lahad.  Dia mengeluh berat apabila dilihatnya masih banyak lagi ulat gonggok memenuhi ruang tersebut, walaupun sebentar tadi sudah habis di kautnya masuk ke dalam pungkis.
Sekali lagi Pak Berahim mengaut ulat-ulat gonggok tersebut ke dalam pungkis.  Terpaksa pula Jumin menimbunkan daun-daun kering ke tempat dia membuang ulat-ulat gonggok tersebut, lantas dibakarnya.  Dia melihat ulat-ulat gonggok itu mengerekot terbakar dimakan api.
Semakin dikaut oleh Pak Berahim, bertambah banyak pula ulat gonggok di dalam liang lahad. 
Jumin juga termengah-mengah membuangkannya untuk dibakar.  Tetapi gangguan ulat gonggok itu berterusan di tengah hujan panas merebas-rebas.
“Eh, ini tak boleh jadi dibiarkan saja Bilal…”  Tok Imam Lah berpaling kepada ayah saya.
“Macam mana fikir Tok Imam?”  ayah saya juga hairan dengan kejadian yang berlaku di depan matanya itu.
“Saya serah pada Bilal lah nampaknya,”  sahut Tok Imam Lah mengerling Pak Berahim terbongkok-bongkok mengaut ulat-ulat gonggok di dalam liang lahad.  Ulat-ulat gonggok yang sudah dikaut ke dalam pungkis itu dihulurkan pada Jumin.  Anak muda itulah yang mengangkut dan membuangnya jauh dari lubang kubur.
Mereka yang sama-sama menghantar jenazah ke kubur tidak tahu apa harus dilakukan, selain dari berdoa memohon Allah SWT menuyelamatkan pengkebumian jemnazah itu dengan tenteram.
Bersama iringan doa orang-orang yang menghantar jenazah Bainah ke kubur itu ayah saya membaca ‘astaghafarullahhul-azzim’ tiga kali, ‘Auzubillah himinas syaiton nirrajim, tiga kali, Bismillahhirrahman nirrahim tiga kali, kalimat syahadat tiga kali, selawat tiga kali dan tasbih juga tiga kali.  Kemudian dia membacakan Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Ikhas sebanyak banyaknya.  Bacaannya itu dapat di dengar dengan jelas oleh mereka yang ada bersama-sama menghantar jenazah berkenaan.
Tok Imam Lah juga ikut sama membacakan surah tersebut bersama dengan ayah saya, menyebabkan mereka yang ada di situ juga ikut sama membacakannya.  Kawasan tanah perkuburan itu seolah-olah bergema dengan suara mereka yang membacakan dua surah tersebut berulang-ulang kali, hinggakan mereka yang mendengarkan gema bacaan itu bergetar perasaan masing-masing.
Semasa bacaan tersebut berterusan hujan panas yang merebas-rebas mula reda beransur-ansur.
Pak Berahim yang terbongkok mengaut ulat gonggok memenuhi liang lahad terkial-kial mengesat peluhnya.  Setelah penuh sepungkis dia melimparkan ke atas.  Jumin pula mencapainya untuk dibuang jauh dari situ.  Semasa Jumin mengangkat pungkis dilihatnya tanah yang memenuhi pungkis, bukannya lagi ulat gonggok.
“Dah tak ada lagi ulat gonggok Pak Bilal,”  beritahu Jumin melimparkan tanah di dalam pungkis.
Cepas-cepat ayah saya menepuk tangan meminta orang ramai berhenti dari meneruskan membaca surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas.  Kemudian dia menyuruh supaya disegerakan pengkebumian jenazah Bainah.
Mengingatkan peristiwa seminggu sebelum itu pada hari pengkebumian jenazah Bainah, disusuli pula oleh suara tangisan perempuan memanjang di malam sepi itu, menyebabkan Jumin terasa takut tidur berseorangan di serambi.  Sebab itulah dia segera masuk ke dalam sebaik saja ayahnya menuduh Bainah balik semula ke rumah.
Malam yang sepi itu semakin kedengaran jelas suara tangisan mendayu-dayu yang datangnya dari arah rumah Siamid.  Semalaman itu pula keluarga Pak Musid diselubungi ketakutan hingga sampai ke subuh.  Hanya setelah subuh menjelang barulah mereka dapat mempastikan suara tangisan itu tiada lagi kedengaran.

SELESAI