Sunday, November 15, 2015

150. PINTU GERBANG KAMPUNG BUNIAN



POKOK leban tersergam di kawasan belukar hutan itu memang tinggi menjolak langit. Banirnya juga lebar bagaikan dinding papan tergendeng hingga boleh berlindung sekiranya diserbu musuh. Di situ Ulung Kamis selalu sandarkan belakang setiap kali berhenti rihat apabila terasa penat meranduk belukar hutan.
Memang Lajis juga tahu mengenai bapa mentuanya akan berhenti rihat di perdu pokok leban berkenaan. Ulung Kamis akan letakkan bekal air atau bungkus makanan di perdu pokok itu apabila mencari rumpun rotan di sekitar bukit. Dia akan longgokkan rotan yang direntap di perdu pokok leban berkenaan sebelum dilingkar kukuh untuk diheret balik ke rumah.
Sewaktu Ah Fook terserempak Ulung Kamis tersandar di perdu pokok  leban tidak banyak pun rotan yang direntap. Bekal makanan Ulung Kamis juga belum dijamah menunjukkan dia sekadar menetak beberapa rumpun batang rotan sahaja sebelum bersandar ke situ. Tentu sejak sebelum matahari tegak di kepala lagi Ulung Kamis sudah mengalami pitam lantas berhenti rihat di perdu pokok leban berkenaan.
Tatkala Ah Fook terserempak dia terkejang tidak sedarkan diri memang sudah santak asar, apabila Ah Fook bersama kawan-kawannya masuk ke hutan mahu memburu babi. Terpaksa pula Ah Fook batalkan hasratnya mahu berburu babi sebaik sahaja terserempak Ulung Kamis mengalami petaka demikian. Terus sahaja dia mengajak kawan-kawannya mengusung Ulung Kamis balik di atas basikal.
"Di pokok leban tu Tok Puyang hilang," beritahu Pawang Midin apabila kenang abang tirinya Ulung Kamis ditemui terkejang pada perdu pokok berkenaan.
Manalah abang tirinya tahu mengenai Tok Puyang sejak bertahun-tahun hilang tidak ditemui keluarga. Mereka hanya menemui parang, kain ikat kepala dan bekal makanan dia masuk ke hutan sahaja. Arwah datuknya yang beritahu mengenai Tok Puyang yang menghilangkan diri di situ sewaktu meneroka tanah hutan.
"Tok Puyang tu ayah arwah datuk aku," tutur Pawang Midin menatap muka Pak Tua Mahat setelah tiga hari Ulung Kamis dikebumikan. Tidak sempat Pawang Midin menjengah abang tirinya itu disebabkan lambat mendapat tahu mengenai kematian Ulung Kamis.
Setelah berpindah ke Perak sukar sangat sanak saudara mahu menghubungi Pawang Midin. Tetapi dia tidaklah terkilan sangat sekalipun lambat diberitahu. Asal sahaja jejak kaki balik menziarahi kubur pun Pawang Midin tetap tidak terkilan apa-apa. Kalau dia sempit menjengah pun sekadar dapat menatap muka abang tirinya sahaja, sedangkan Ulung Kamis terkejang tidak sedar apa pun lagi.
Sudah lama Pawang Midin berpindah ke Perak hingga sanak saudara terlupa mahu hubungi dia. Apabila Ulung Kamis terkejang lantas sahaja Lajis menulis surat beritahu mengenai keadaan bapa mentuanya sudah tenat. Sewaktu menerima surat Lajis memang dia menyangka abang tirinya masih lagi terkejang sakit.
Ketika itu memang perhubungan masih sukar, apa lagi tinggal berjauhan hanya boleh berutus surat sahaja. Manalah ada kemudahan telefon sekiranya mahu beritahu keadaan Ulung Kamis tengah cemas benar. Sebab itu Pawang Midin tidak berkecil hati sekali pun lambat datang menjengah.
"Siapa pun tak tahu ke mana Tok Puyang hilang," ujar Pawang Midin seterusnya apabila ungkit mengenai pokok leban tempat Ulung Kamis bersandar.
Tetapi jiran-jiran yang sama meneroka kawasan hutan berkenaan beberapa kali melihat lembing tercancang pada perdu pokok leban itu asal sahaja hujan panas turun merintik. Mereka tahu memang lembing berkenaan sering dibawa ke mana sahaja oleh Tok Puyang.
Dalam masa beberapa minit sahaja nescaya lembing berkenaan akan hilang dalam terjahan hujan yang semakin besar. Hingga bertahun-tahun selepas itu perkampungan mereka terbiar setelah masing-masing berpindah, pokok leban berkenaan terus juga tersergam di situ.
Tidak pernah Tok Puyang tinggalkan lembingnya asal sahaja masuk ke hutan. Tatkala meneroka kawasan hutan berkenaan dia cancangkan lembingnya pada perdu pokok leban. Memang Tok Puyang tidak tebang pokok leban itu disebabkan dijadikan tempat berteduh apabila berihat melepaskan lelah.
Sewaktu dia berhenti rihat isterinya Mak ltam terus menugal jagung di kawasan yang sudah ditebang tebas. Disebabkan hujan panas turun merintik Mak Itam juga segera berteduh di bawah pokok leban berkenaan. Tatkala dia jejak kaki ke situ tidak ada Tok Puyang terconggok. Lembingnya juga tidak ada tercancang, kecuali kain ikat kepala dan bekal makanan sahaja.
Memang Mak Itam tidak bimbang apa-apa sekali pun Tok Puyang tidak terconggok memamah rebus pisang bekal makanannya. Sudah beberapa kali Tok Puyang tinggalkan dia tatkala berkebun meneroka tanah, lantas menggalas lembing memburu pelanduk meragut pucuk ludai tengah belukar.
Tahu sangat Mak Itam mengenai ketangkasan suaminya memburu pelanduk di hutan. Masakan pelanduk boleh melarikan diri sebaik sahaja Tok Puyang hentakkan tumit tiga kali ke tanah. Pelanduk akan tergamam tidak bergerak apa-apa hingga Tok Puyang mendekatinya. Sekiranya pelanduk berkenaan mahu menghambur lari tidak bertangguh dia lontarkan lembingnya menyinggahi perut.
Tok Puyang tidak akan lontarkan lembingnya apabila pelanduk berkenaan menunggu sahaja tubuhnya ditolakkan rebah terus mata parang disendal ke leher. Bukan pelanduk terkaku tidak bergerak sebaik sahaja Tok Puyang hentakkan tumit tiga kali ke tanah, malah kijang, rusa atau napuh pun tidak boleh lari ke mana.
Nescaya kaki binatang berkenaan akan terpasak ke bumi hingga tidak boleh menghambar kuat. Apa lagi kalau harimau, beruang, gajah atau binatang buas tatkala terserempak Tok Puyang, tentu akan terkaku tidak bergerak. Sekiranya Tok Puyang tidak lepaskan kaki yang terpasak sudah tentu binatang berkenaan akan mati terkejang di situ.
"Hah, ke mana pula orang tua ni?" rungut Mak Itam setelah santak petang menunggu Tok Puyang tidak juga nampak kelibat.
Masakan Tok Puyang tersesat tatkala meranduk belukar memburu pelanduk leka meragut pucuk ludai. Tentu binatang buas juga tidak mampu mahu mengerkah Tok Puyang apabila terserempak di mana-mana. Ular sawa sebesar paha pun mudah sahaja dijinakkan oleh Tok Puyang kalau berkeras mahu membelit dirinya. Tidak mungkin Tok Puyang boleh dilulur ular sawa yang menunggu di tengah belukar.
Sebab itu Mak Itam masih tidak percaya suaminya tersesat di mana-mana. Apabila dia balik ke rumah tiga orang anaknya Saerah, Limin dan Labun yang masih kanak-kanak beritahu ayah mereka tidak balik lagi sejak turun ke kebun. Tiga hari Tok Puyang tidak balik ke rumah baru Mak Itam berasa bimbang dengan keselamatan suaminya.
Setelah diberitahu jiran-jiran hanya kelompok beberapa buah rumah di kawasan tanah yang diteroka, mereka mula mencari ke tengah hutan. Sehari suntuk mereka meranduk belukar hutan, tetapi tidak ada tanda-tanda Tok Puyang melalui kawasan berkenaan. Tatkala Kasan Tenjot bersama jiran-jiran balik semula ke perkampungan, mereka terkejut melihat Tok Puyang tersandar di perdu pokok leban itu.
"Awak ke mana Tok Puyang dah tiga hari tak balik?" ujar Kasan Tenjot kesal disebabkan Tok Puyang tidak beritahu ke mana dia menghilang.
"Kamu semua jangan risaukan tentang diri aku!" sahut Tok Puyang mengajak mereka semua balik ke rumah.
"Kalau Mak Itam risau, kami juga semuanya risau, Tok Puyang," beritahu Mamat Leka ingatkan Tok Puyang supaya tidak bersendirian sahaja masuk ke hutan.
Memang mereka semua salahkan Tok Puyang hingga tiga hari tidak balik ke rumah. Hinggalah anak-anaknya dewasa memang kerapkali mereka menyedari Tok Puyang tidak balik ke rumah sampai beberapa hari. Tetapi Mak Itam tidak merungut apa-apa sekiranya Tok Puyang tidak nampak kelibat.
Biarlah Tok Puyang ke mana pun memang Mak Itam tidak ambil peduli. Ketika kampung belum terbuka luas, ke mana sangat Tok Puyang mahu tuju selain daripada hutan di keliling mereka. Kalau mahu ke kampung berdekatan pun melalui lorong kecil merentasi bukit bukau. Sudah tentu terpaksa bermalam di mana-mana dalam perjalanan sebelum jejak semula kaki di rumah.
Setelah anak-anaknya berkahwin, Tok Puyang sengaja mengajak Limin ikut dia ke perdu pokok leban berkenaan. Siapa pun tidak tahu mengenai Tok Puyang mengajak anaknya Limin ke situ. Apabila dia mengisar tapak tangannya, terkejut benar Limin apabila melihat pokok leban tersebut berasap hingga terbelah dua.
Lantas Tok Puyang memegang pergelangan tangan Limin menyusup ke celah perdu pokok terbelah itu. Sebaik sahaja melangkah masuk Limin melihat seolah-olah menyusup pintu gerbang masuk ke perkampungan yang ramai penghuni.
"Kamu jangan bimbang apa-apa di sini, Limin," bisik ayahnya melepaskan genggaman pada pergelangan tangan anaknya.
Kemudian dia terus mengajak Limin masuk ke rumah yang tersergam besar di tengah perkampungan. Sebaik sahaja dia masuk ke rumah Limin tercengang apakala melihat ramai sangat perempuan di situ. Ketika ini perempuan-perempuan berkenaan menyambutnya setelah mengakui mereka semua isteri Tok Puyang.
Memang Tok Puyang beritahu Limin mengenai dirinya berkahwin dengan 43 perempuan di perkampungan bunian. Apabila berkahwin di situ bermakna dirinya mencukupkan berkahwin dengan 44 orang termasuk dengan Mak Itam. Lainlah kalau Mak Itam meninggal dunia, dia terpaksa berkahwin seorang lagi dengan bunian berkenaan sekiranya tidak mahu lagi melepasi pintu gerbang perkampungan tersebut.
"Terserahlah kepada keputusan ayah," tutur Limin setelah menyedari ayahnya sejak sekian lama bercampur dengan bunian di perkampungan berkenaan.
Limin satu-satunya yang mengetahui rahsia diri ayahnya setelah dibawa masuk ke perkampungan berkenaan. Dia sendiri melihat semua 43 isteri ayahnya bersama bunian tatkala masuk ke perkampungan berkenaan. Apabila balik semula ke rumah, Limin terkejut apabila jiran-jiran berkeliling melihat dia terkejang tidak sedar apa-apa.
"Kami temui kamu pingsan di perdu pokok leban," beritahu Kasim Toyak tersengih-sengih menatap muka Limin.
"Mana ayah?" segera Limin mengangkat kepala memerhati ayahnya Tok Puyang, tetapi ayahnya tidak kelihatan di situ.
"Kami tak tahu di mana Tok Puyang," ujar Kasim Toyak disebabkan dia sekadar terserempak Limin yang tersandar pada perdu pokok leban berkenaan. Cepat-cepat dia mengajak Mat Sohor, Kasan Tenjot dan Mamat Leka memapah Limin balik ke rumah.
Ketika ke hutan melalui lorong tubir bukit mereka terserempak Limin tersandar bagaikan terlalu letih di perdu pokok. Apabila dikejutkan Limin mengerang-erang seolah berdengkur. Tetapi Kasim Toyak tahu Limin bukannya keletihan tersandar pada perdu pokok, tetapi pingsan tidak sedar apa-apa.
Setelah dibawa balik ke rumah Tok Puyang tidak menjengah muka sebaik sahaja dilaung dari tengah halaman. Hanya Mak Itam membuka pintu hingga terkejut apabila diberitahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya. Harapkan Tok Puyang bakar kemenyan tidak siapa pun nampak kelibatnya.
Sebab itu Siti Selamah minta ayahnya Lebai Jirim membantu. Memang Siti Selamah cemas sebaik sahaja diberitahu mengenai suaminya Limin ditemui tersandar di perdu pokok leban berkenaan. Apa lagi pokok itu tersergam berhampiran tanah hutan yang diteroka mereka. Asal sahaja mereka meranduk belukar melalui lorong di bawah pokok leban itu masuk ke hutan, memang di situlah masing-masing berhenti rihat menunggu kawan-kawan berkumpul.
Masakan suaminya Limin tersandar di perdu pokok leban itu menunggu ayahnya Tok Puyang hingga terkejang pingsan tidak sedar apa-apa. Setelah diberitahu kepada Lebai Jirim menantunya ditemui terkejang pingsan di perdu pokok, lantas dia meminta Tok Puyang sahaja pulihkan keadaan Limin.
"Tok Puyang tak tahu ke mana, Pak Lebai," ujar Kasim Toyak tidak harapkan apa-apa daripada lelaki berkenaan.
Satu-satunya yang mampu pulihkan Limin memang Tok Puyang. Siapa lagi mereka harapkan di perkampungan yang sama-sama diteroka itu kalau bukan Tok Puyang dukun yang mahir. Mereka semua ikut sama-sama meneroka juga disebabkan Tok Puyang yang menjadi ketua menebang pokok-pokok besar menjolak langit.
Ketika itu memang dukun yang mereka harapkan jadi ketua meneroka tanah hutan. Tok Puyang tahu kawasan tanah hutan yang boleh diteroka setelah diberi kebenaran oleh Tok Penghulu. Memang Tok Penghulu yang berkuasa mengutip hasil dan cukai asal sahaja mereka meneroka tanah hutan.
"Siapa yang tahu bakar kemenyan, cubalah ubati Limin ni," lantas Lebai Jirim menyuruh Kasim Toyak membakar kemenyan.
"Tak berani saya nak bakar," beritahu Kasim Toyak mengenai pantang larang membakar kemenyan yang ditetapkan oleh Tok Puyang. Manalah tahu tersalah seru sudah tentu puaka jembalang yang menjelma di depan mata.
"Bukankah kamu murid Tok Puyang?" sengaja Kasan Tenjot mengusik disebabkan dia tahu Kasim Toyak minta turunkan amalan daripada orang tua tersebut.
"His, bakar kemenyan bukan boleh main-main!" sahut Kasim Toyak mengusap lengan apabila terasa bulu roma meremang tidak menentu. Asal sahaja disebut fasal membakar kemenyan mudah sahaja bulu romanya meremang hingga terasa seram serjuk.
"Siapa pula suruh kamu main-main," segera Mamat Leka mencelah bagaikan mendesak anak saudaranya itu lakukan apa sahaja membantu Limin yang terkejang pingsan. "Kalau tak cuba sekarang, bila lagi kamu nak pandai," dia memberi galakan biar anak saudaranya itu bersemangat. Sampai bila Kasim Toyak harapkan Tok Puyang sahaja setelah amalan diturunkan ke dadanya.
 "Saya belum mampu nak buat macam Tok Puyang," beritahu Kasim Toyak perlahan seolah-olah mengalah.
Ketika ini Lebai Jirim rnenjentik lantai tiga kali, lantas meminta Mak Itam sediakan air sejuk dalam besen. Dia tidak segera renjiskan air dalam besen ke muka Limin, tetapi sekadar mengetuk jari telunjuknya pada bibir besen berkenaan. Kemudian Lebai Jirim bacakan perlahan:
Ya Allah, ya Rahman, ya Rahim, ya Haiyun ya Qaiyum, ya zaljalal wal-ikram, ya ahlil-taqwa maghfirati, ya zakiraz-zakirina tub-‘alaiya taubatan nasohan wazidni bifadhli rahmatika nurau-wawaudhu-han ya arhamar rahimin.
Terus dicelupkan tangannya ke dalam air, baru direnjiskan ke muka Limin. Tiga kali dia renjiskan air ke muka Limin, perlahan-lahan Limin membuka mata. Sebab itu dia tanyakan ayahnya Tok Puyang tatkala bangun terpinga-pinga dikelilingi jiran-jiran yang datang menjengah.
Memang Limin merasakan dia dibuai mimpi apabila dibawa ayahnya menyusup ke celah pokok leban terbelah dua. Tentu orang-orang kampung tidak percaya kalau diberitahu kejadian yang dialaminya laksana mimpi itu. Lama Limin terpinga-pinga lantas dia beristighfar beberapa kali.
Semenjak kejadian itulah pula Limin tidak melihat ayahnya menjengah semula balik ke rumah. Sebab itu dia beritahu emaknya mengenai Tok Puyang berkahwin dengan 43 bunian setelah menyusup masuk ke perdu pokok leban berkenaan. Lantas Limin tidak benarkan emaknya usahakan kebun yang diteroka di tanah hutan tersebut. Dia sendiri mengajak emaknya meneroka di perkampungan lain, dengan membiarkan perkampungan mereka ditumbuhi belukar.
"Limin tahu ke mana ayahnya," Lebai Jirim jelaskan pada Mak Itam setelah perempuan itu terkejang sakit sejak berhari-hari.
"Tok Puyang hilang di hutan, tak apalah Lebai," bisik Mak Itam menahan sebak dada akibat terharu kenangkan suaminya hilang di perdu pokok leban berkenaan. Tahu sangat Mak Itam mengenai suaminya pernah beberapa kali menghilangkan diri asal sahaja duduk bersandar di situ.
"Tapi Limin sengaja nak simpan rahsia!" ujar Lebai Jirim mengerling menantunya yang tunduk tidak bercakap apa-apa.
 "Kalau awak tahu, kenapa nak rahsia sangat?" gerutu Siti Selamah kesal dengan sikap suaminya apabila Mak Itam semakin uzur. Apalah salahnya Tok Puyang menjengah tatkala isteri sendiri terkejang sakit,
"Dunia ayah tak sama dengan dunia kita," tutur Limin menahan keharuan yang menusuk disebabkan tidak tergamak beritahu emaknya mengenai ayahnya sudah berkahwin dengan 43 perempuan bunian di perkampung yang dia sendiri tidak ketahui di mana-mana.
"Tidak ada beza dunia bunian dengan dunia kita," Lebai Jirim tersenyum kerana dia sudah mengagak fasal Tok Puyang amalkan amalan bunian sejak beberapa lama. Sebab itu mudah sahaja dia meranduk hutan sekalipun binatang buas berkeliaran.
Setelah didesak Lebai Jirim terpaksa juga Limin bersetuju tunjukkan pokok leban yang sudah ditinggalkan dari perkampungan mereka. Memang tanah yang diteroka Tok Puyang tidak didiami sesiapa lagi setelah Limin mengambil keputusan berpindah. Tatkala jejak kaki ke situ, Lebai Jirim tidak benarkan menantunya membakar kemenyan.
Tiga kali ditamparnya perdu pokok leban, terus sahaja terbelah dua. Segera Lebai Jirim mengajak Limin menyusup masuk setelah dia bacakan tiga kali surah al-Jin. Sekaligus pula Limin menyedari dia jejak kaki ke perkampungan yang pernah ditempuhi bersama ayahnya.
Tatkala mereka mendekati rumah tersergam besar, Tok Puyang tercegat di muka pintu menyambut Lebai Jirim bersama Limin. Apabila mereka masuk ke tengah rumah menitik air mata Tok Puyang sebaik sahaja diberitahu isterinya Mak Itam terkejang sakit. Tetapi dia menggeleng-geleng kepala menahan sebak di dada kerana tidak dapat lagi melepasi pintu gerbang diperdu pokok leban.
"Aku dah berkahwin 44 isteri di sini, Lebai," tutur Tok Puyang perlahan menjelas-kan mengenai dirinya tidak boleh lagi balik ke pangkuan Mak Itam.
"Jadi, kamu tak mahu jumpa Mak Itam?" sengaja Lebai Jirim mendesaknya supaya tidak dipengaruhi sangat alam bunian yang dipilihnya.
"Kalau aku balik pun, Itam tak dapat menatap muka aku," ujar Tok Puyang sayu disebabkan bukan mudah dia mahu jejak semula kakinya ke kampung halaman.
"Ayah tak kesal kalau tak jumpa emak?" Limin pula mendesak biar ayahnya menukar keputusan.
Ketika ini Tok Puyang mengisar tapak tangannya hingga Limin terasa dia berdiri di hadapan cermin yang tersergam laksana tembok. Dia dapat rnelihat emaknya terkejang dihadap jiran-jiran. Sekali gus pula ayahnya memerhati dari sebalik dinding cermin itu lantas mengesat pelupuk mata.
Memang Tok Puyang mengakui dia boleh menatap muka Mak Itam bagaikan berdiri di sebalik dinding cermin sahaja. Dia tidak boleh melepasi dinding cermin berkenaan setelah berkahwin satu lagi dengan isterinya di tengah alam bunian. Setelah mencukupi 44 isteri bersama bunian dia tidak dibenarkan balik semula ke kampung halaman.
Sebab itu Lebai Jirim terkilan dengan keputusan Tok Puyang menyisihkan diri jauh dari sanak saudara, semata-mata memburu impiannya mahu beristeri 44 dengan bunian di perkampungan berkenaan.
Setelah dinding cermin itu hilang dalam kepulan asap hitam, Tok Puyang mengajak Limin bersama Lebai Jirim balik semula ke tengah rumah tersergam. Lantas dia perkenalkan semua 44 isterinya kepada Lebai Jirim dan Limin. Mereka semua ramah mesra apabila diperkenalkan oleh Tok Puyang hingga terasa jari yang lembut laksana kapas sewaktu bersalaman.
Bau harum juga semerbak di sekeliling ruang rumah yang besar. Mereka bersila diatas tikar pandan berwarna warni apabila dihidangkan makanan Segera Lebai Jirim memberi isyarat kepada Limin supaya ikut cara dia menjamah makanan berkenaan atau meneguk air serbat yang dihidangkan.
"Selagi aku ada terconggok, bunian tak perdayakan kamu, Lebai," ujar Tok Puyang kerana menyedari Lebai Jirim bimbang mahu menjamah makanan yang dihidangkan. Lebai Jirim tidak menyahut, tetapi sekadar mengangguk perlahan sahaja. Apabila dia menyuap makanan ke mulut, Limin melihat makanan berkenaan dibuangnya ke dalam karung yang disediakan di belakang. Lantas Limin juga melakukan seperti yang dibuat oleh Lebai Jirim. Mereka berdua kelihatan menyuap makanan berkenaan ke mulut, tetapi sebenarnya dicampakkan ke dalam karung.
Tersenyum Tok Puyang disebabkan dia tahu apa sahaja yang dilakukan oleh Lebai Jirim. Tetapi sengaja dia tidak membantah apa-apa kerana 44 isterinya yang terconggok sama tidak tahu apa-apa. Ketika ini Tok Puyang mengakui dia menjadi penghulu di perkampungan berkenaan setelah berkahwin dengan 44 isteri mengikut syarat yang ditetapkan.
Sebab itu Tok Puyang sanggup tinggalkan Mak Itam setelah mengambil keputusan menjadi penghulu perkampungan bunian sekalipun terpaksa berkahwin dengan 44 isteri. Memang Tok Puyang tidak kesal apa-apa dengan keputusannya setelah sekian lama dia amalkan amalan bunian.
"Kamu sudah memilih jalan kamu sendiri, tapi jangan kamu bawa anak cucu kamu pula!" lantas Lebai Jirim ingatkan dia supaya tidak mengganggu keturunan Limin.
"Anak cucu aku, anak cucu Lebai juga," sahut Tok Puyang memberi jaminan dia tidak rela anak cucunya mengikuti jejak dirinya.
Tatkala Lebai Jirim bersama Limin melangkah keluar dari rumah tersergam besar, Tok Puyang tunjukkan rumpun serai bunga kepada Limin. Dia ingatkan Limin rumpun serai berkenaan ditanam asal sahaja dia berkahwin dengan puteri bunian. Sebab itu Limin melihat 44 rumpun serai tumbuh subur laksana memagari kawasan rumah besar tersergam.
Disebabkan Lebai Jirim benarkan dia mengambil rumpun serai berkenaan jadikan kenang-kenangan bertemu dengan ayahnya Tok Puyang, segera Limin cabut serai berkenaan. Kemudian Tok Puyang bersama 44 isterinya menghantar mereka berdua hingga ke pintu gerbang.
Sebaik sahaja mereka melepasi pintu gerbang, Tok Puyang bersama 44 isterinya hilang dalam kabus tebal. Ketika ini Limin menyedari dia bersama bapa mentuanya tercegat di perdu pokok leban tatkala senja mula diserkup kegelapan. Sewaktu mereka sampai jejak kaki di rumah, Mak Itam menghembuskan nafasnya.
Sejak bertahun-tahun selepas Tok Puyang tidak lagi menjengah muka, Limin juga mengajak sanak saudara meneroka di perkampungan lain. Mereka tinggalkan sahaja perkampungan yang diteroka Tok Puyang itu. Tidak perlu lagi mereka terus berkampung di situ setelah Limin beritahu mengenai Tok Puyang berkahwin dengan 44 isteri di tengah perkampungan bunian.
Tetapi Limin akan bakar kemenyan di perdu pokok leban itu setiap kali orang-orang kampung mengadakan kenduri kendara. Tidak lama selepas dibakar kemenyan nescaya pinggan mangkuk akan berlonggok di situ. Mereka boleh gunakan pinggan mangkuk berkenaan sepanjang kenduri kendara, dan mesti kembalikan semula ke situ sekali pun pecah berderai.
Mereka tidak dibenarkan mengganti pinggan mangkuk yang pecah dengan pinggan mangkuk yang lain. Siapa pun tidak membantah syarat yang ditetapkan Limin disebabkan dia satu-satunya yang dapat berhubung dengan Tok Puyang. Apa lagi rumpun serai bunga yang ditanam di hujung halamannya, memang seringkali isterinya Siti Selamah melihat Limin mengutip batu batu berwarna asal sahaja senja meremang.
"Moyang Limin tu ayah arwah datuk saya dulu," tutur Pawang Midin terhani mengusap dadanya, Memang arwah datuknya banyak beritahu mengenal Limin yang ditinggalkan ayahnya Tok Puyang setelah berkahwin dengan 44 isteri di tengah perkampungan bunian itu.
"Kejadian yang menimpa Ulung Kamis tu ada  kaitan dengan Tok Puyang ke?" sengaja Lajis mendesak bapa saudara isterinya menjelaskan.
"Entahlah, tak tahu aku!" ujar Pawang Midin menggeleng lemah lantas mengerling Pak Tua Mahat. "Agaknya Pak Tua Mahat pun tahu," tersengih-sengih dia mengusik.
"His, manalah aku tahu!" sahut Pak Tua Mahat disebabkan perkara yang di luar pengetahuan manusia bukan mudah mahu buat tafsiran sendiri.
Lagi pun apa sangat mahu ungkit mengenai kejadian yang menimpa Tok Puyang bertahun-tahun dulu hingga berkahwin 44 isteri di tengah perkampungan bunian. Keluarga Lajis tidak perlu bimbang apa-apa, setelah Ulung Kamis selamat dikebumikan setelah pingsan sejak beberapa hari.
Perkara pokok leban tempat Ulung Kamis ditemui terkejang pingsan tidak sedar apa-apa, tidak penting sangat. Selepas bertahun-tahun Limin tinggalkan perkampungan yang mereka teroka, tidak siapa pun peduli fasal membakar kemenyan meminta pinggan mangkuk berlonggok setiap kali mengadakan kenduri kendara.
Bukan takat pinggan mangkuk sahaja, kalau mereka perlukan lembu seekor untuk disembelih pun nescaya akan terconggok lembu di situ. Tetapi Limin tetapkan syarat supaya tulang-tulang, usus atau kulit lembu yang disembelih mesti longgokkan semula di perdu pokok leban berkenaan.
"Selepas Moyang Limin, tak ada lagi bakar kemenyan minta pinggan mangkuk tu," jelas Pawang Midin apabila kenang kejadian yang menimpa abang tirinya Ulung Kamis terkejang pingsan di perdu pokok leban besar di pinggir hutan.