Sunday, May 31, 2015

126. MELAWAN RAJA SEGALA SUSUK



BELALANG banyak berlompatan di daun padi tengah merimbun hijau memang mudah ditangkap sampai penuh segenggam.  Tidak bertangguh Mak Rainah cucuk dengan lidi yang disediakan lantas diganggang pada api hingga garing. Terasa lemak apabila dimakan bersama nasi tatkala berteduh rihat di bawah pohon dedali tengah sawah. Di situ dia berteduh tatkala matahari tegak di kepala semasa musim turun ke sawah.
Memang Mak Rainah tidak akan balik ke rumah apabila tengahari sewaktu musim turun ke sawah tengah galak.  Lainlah kalau dia tidak bercadang mahu datang semula ke tengah sawah apabila petang menjelang.  Asal sahaja mahu teruskan kerjanya sampai santak petang Mak Rainah akan bawa nasi bekal apabila turun ke sawah bersama suaminya Pak Danok.
Lagi pun di bawah pokok dedali di tubir tali air tengah sawah itu tempatnya lapang. Pak Danok boleh bentangkan tikar untuk solat zohor atau solat asar.  Mereka tidak bimbang tinggalkan Nyimin di rumah.  Kadangkala anak gadisnya juga ikut sama membantu ditengah sawah sekiranya tidak banyak kerja di rumah perlu dibereskan.
Tahu sangat Mak Rainah tanggungjawab anak gadisnya Nyimin di rumah bukan takat memasak nasi di dapur sahaja, tetapi dia juga diharapkan membasuh pakaian, berkemas rumah atau mencari kayu api di tengah belukar, Nyimin juga tidak membantah dibebankan dengan kerja-kerja membantu ibu bapanya sebagai gadis pingitan di tengah desa di Pariaman.
“Gemar sangat awak makan belalang panggang!”  tegur suaminya Pak Danok tatkala memerhati Mak Rainah memanggang belalang yang sudah dicucuk pada lidi laksana daging sate.
“Ah, boleh juga diratah,” sahut Mak Rainah tercangkung membetulkan bara api yang berserak di bawah penyalai.  Kalau tidak dipanggang belalang berkenaan memang dia sudah dibekalkan oleh Nyimin pindang anak sepat ditabur sambal kelapa parut.  Cukuplah untuk gecurkan liur apabila menghadap hidangan makan di bawah redup pokok dedali itu.
“Kenapa tak pindang sahaja belalang tu?” sengaja Pak Danok mengusik isterinya supaya mencuba masak pindang belalang sama macam memasak pindang anak sepat yang ditimba dalam lubuk.  Apa salahnya dicuba masak pindang belalang kalau dipanggang pun terasa menyelerakan.
Kalau tidak dipindang pun belalang berkenaan Pak Danok juga gemar meratah belalang panggang yang diganggang keapi oleh Mak Rainah.  Dia sengaja mahu mengusik biar Mak Rainah buat masak pindang sama macam anak sepat di tengah lubuk.  Sudah beberapa kali emaknya buat masak pindang belalang sekiranya banyak dapat ditangkap semasa galak berlompatan di daun padi.
Sewaktu Mak Rainah cucukkan hujung lidi pada perut seekor belalang kunyit tiba-tiba dia melihat terpancut tahinya keputih-putihan.  Mak Rainah tidak peduli sangat dengan belalang kunyit sebesar kelengkeng itu kerana dagingnya sama juga macam belalang kecil yang lain setelah garing diganggang keapi.
Tatkala dia mahu menjamah belalang kunyit yang sudah garing itu tiba-tiba sahaja Pak Danok menepis tangannya.  Lantas Pak Danok tidak benarkan dia menjamah belalang kunyit berkenaan.  Kepalang marahnya Mak Rainah apabila ditegah oleh Pak Danok supaya tidak menjamah belalang kunyit sebesar kelengkeng yang sudah garing dipanggang itu.
Memang Pak Danok tidak benarkahn isterinya menjamah belalang kunyit berkenaan.  Tidak pernah pula orang-orang kampung menjamah belalang berkenaan, sekalipun tidak siapa pun melarang mereka.  Tahu sangat Pak Danok mereka sekadar menjamah belalang-belalang kecil setelah ditangkap banyak.
Tetapi Mak Rainah dapat menangkap belalang kunyit berkenaan tatkala hinhggap bersama belalang-belalang kecil yang lain.  Apalah salahnya belalang kunyit sebesar kelengkeng itu diganggang sama.  Setelah cukup garing nescaya menyelerakan apabila dicecah sambal kelapa parut yang dibekalkan oleh anaknya Nyimin.
Tersinggung benar dia apabila tangannya ditepis oleh Pak Danok sebaik sahaja mencekak panggang belalang kunyit yang dicucukkan ke lidi.  Cepat-cepat pula Pak Danok campakkan belalang berkenaan ke dalam tali air melintasi pohon pokok dedali itu.  Sebaik sahaja belalang itu dicampakkan Mak Rainah hilang selera untuk meneruskan jamah nasi.  Pantas dia membasuh tangan mendogak matahari mahu dirikan solat zohor sahaja dengan tidak menunggu Pak Danok selesai makan.
Pak Danok tersengih-sengih sahaja dengan sikap isterinya mendengus marah.  Dia tahu Mak Rainah merajuk setelah tidak dibenarkan menjamah nbelalang kunyit yang sudfah garing di panggangnya.  Jauh di lipatan hatinya dia tidak bermaksud mahu menyakiti perasaan isterinya.  Tetapi Pak Danok terasa dadanya berdebar kencang sewaktu isterinya mencapai belalang kunyit berkenaan.
Manalah Mak Rainah menyedari apabila dada Pak Danok berdetak kuat dia melihat seolah-olah mata belalang kunyit yang sudah garing diganggang itu tiba-tiba bergerak.  Masakan dia mahu memberitahu isterinmya mengenai kejadian berkenaan.  Tentu Mak Rainah tidak percaya mengenai mata belalang tersebut bergerak setelah garing diganggang keapi.
Sebab itu dia sekadar tepis sahaja tangan isterinya biar terganggu mahu mencapai belalang tersebut.  Biarlah Mak Rinah merajuk asal sahaja tidak mudaratkan dirinya setelah menjamah belalang kunyit dipanggang.  Perkara merajuk bukanya boleh berterusan sampai tidak bertegur sapa berhari-hari.  Bila-bila dia boleh pujuk semula biar isterinya mengalah.
Sewaktu Mak Rainah selesai solat zohor, Pak Danok bersiap-siap pula untuk mengambil wuduk.  Dia tetap berselera makan sekalipun isterinya mendengus terus merajuk. Tatkala Pak Danok turun ke anak air membersihkan dirinya untuik mengambil wuduk, jirannya bekejar datang memberitahu mengenai anak gadisnya Nyimin termuntah-muntah akibat sakit perut memual-mual.
Terpaksa Pak Danok balik sahaja ke rumah dengan tidak sempat solat zohor di situ.  Mereka berdua suami isteri tidak bertangguh berkemas barang-barang bekalan setelah diberitahu mengenai anaknya sakit perut memulas-mulas sampai termuntah.  Ketika sampai di rumah memang Nyimin mengerang-erang kesakitan dengan muntahnya keputih-putihan sama dengan tahi belalang kunyit yang dicucuk perut tatkala dipanggang.
Mengusap-usap dada Mak Rainah apabila melihat keadaan anaknya Nyimin.  Dia dapat mengagak tentu suaminya Pak Danok dapat merasakan sesuatu yang ganjil tatkala menepis tangannya mahu mencapai belalang kunyit yang sudah garing dipanggang.  Sebab itu dia segera menarik tangan Pak Danok meminta dibantu anak gadisnya yang mengerang-erang kesakitan.
“Tak apa, jangan cemas!” bisik Pak Danok ingatkan isterinya supaya tidak terburu-buru. Memang dia tidak bimbang apa-apa sekalipun Nyimin merintih-rintih menahan sakit perut bagaikan ditusuk berulang kali.
Dalam masa jiran-jiran mereka menyerbu datang sebaik sahaja diberitlahu mengenai penyakit yang menimpa Nyimin inilah Mat Labuh ikut sama menjengah.  Setelah lama mereka semua tidak dapat memulihkan keadaan Nyimin, lantas sahaja Mat Labuh meminta izin untuik mencuba kebolehannya.
Dia meminta ambilkan pucuk pokok jambu batu tiga kuntum, kemudian dicampurkan dengan tiga butir garam kasar.  Setelah dibibuh ke dalam piring, Mat Labuh mengisar ibu jari tangannya paeda buntat piring berkenaan.  Kemudian dia hembuskan perlahan dengan membacakan seru:
Batang penak batang badam, batang buruk guling bayi, datang senak datang tajam,, datang tawar tak jadi lagi, tajam hawar yang aku tawar, tajam jembalang yang aku tawar berkat hu….
Setelah pucuk jambu batu itu dikunyah dengan ditelah airnya bersama garam, hampasnya disapukan pada pusat Nyimin.  Sekali gus terasa sejuk menyucuk hingga ke ususnya menyebabkan kesakitan memual-mual itu beransur hilang Nyimin kembali segar setelah terlalu lemah akibat termuntah-muntah.
Semenjak diubati oleh Mat Labuh itulah Nyimin tidak dapat melupakan lelaki berkenaan, sekalipun dia menyedari Mat Labuh sudah mempunyai isteri.  Dia rela menjadi isteri Mat Labuh dengan menerima hakikat hidup bermadu di samping isteri-isteri yang lain.
“Dia yang kirimkan belalang kunyit tu,”  gerutu Mak Rainah setelah menyedari dia terperangkap takala menangkap belalang kunyit sebesar kelengkeng.  Dia menjadi ghairah mahu menangkapnya sebaik sahaja belalang kunyit itu hinggap di hadapannya.
“Tak baik menuduh demikian!”  Pak Danok ingatkan isterinya supaya tideak menyalahkan sesiapa.
“Amalan dunia takkan sampai ke mana!”  marah benar Mak Rainah disebabkan dia terburu-buru mahu menangkap belalang kunyit hinggap di depannya.  Manalah dia dapat mengagak belalang tersebut sekadar dikirim melalui amalan mereka yang amalkan ilmu kebatinan.
“Biarlah dia buat apa saja, kerana Allah Maha Mengetahui,”  tutur Pak Danok rela menerima takdir apabila anak gadisnya lari mengikut Mat Labuh.
“Awak pun apa kuragnnya, kenapa tidak gunakan ilmu awak?”  rungut Mak Rainah kesalkan sikap suaminya yang mengalah sahaja dengan perbuatan Mat Labuh menganiaya keluarganya.
“Hanya Allah sahaja yang Maha Berilmu,”  beritahu Pak Danok menahan sebak dada dengan kejadian yang menimpa keluarganya itu.
Memang Pak Danok dapat rasakan setiap kali Mat Labuh meniup serunai batang padi, dia sudah pujakan belalang kunyit yang dikurungnya dalam sangkar halus setelah ditusuk dengan susuk berlian.  Biarlah belalang berkenaan ditangkap sesiapa sahaja asal sahaja susuk berlian yang dikirimkan menusuk mangsa.
Sebaik sahaja belalang berkenaan dipanggang nescaya mangsa akan menjamah tidak bertangguh.  Tentu susuk berlian yang dikirim melalui belalang berkenaan sebati dalam diri mangsa, sama juga macam bersebati dengan dirinya.  Tetapi Mak Rainah yang menjadi mangsa apabila menangkap belalang yang terbang setelah Mat Labuh meniup serunai batang padinya.
Tahu sangat Mat Labuh belalang yang dikirim sengaja menerpa ke tengah sawah.  Masakan Nyimin mahu menangkap kalau takat melihat belalang hinggap pada dinding rumah.  Lainlah kalau Nyimin ikut sama ke tengah sawah membantu emaknya bersihkan permatang lopak.  Sudah tentu Nyimin ikut sama menangkap belalang yang berlompatan hinggap pada daun padi membesar rumpun.
Tetapi Nyimin tidak akan turun ke sawah setelah padi mula menghijau. Sebab itu dia sengaja kirimkan belalang berkenaan ke tengah sawah biar ditangkap Mak Rainah.  Sebaik sahaja susuk berlian di perut belalang menyusup masuk ke dalam tubuh Mak Rainah nescaya perempuan itu akan mematuhi apa sahaja kemahuannya.  Bila-bila sahaja Mak Rainah akan bersetuju sekiranya dia melamar Nyimin.
Tatkala Mak Rainah menusuk perut belalang kunyit dengan lidi memang Mat Labuh sudah bayangkan tusukan itu menyinggahi Nyimin.  Tentu Nyimin akan menahan kesakitan memual-mual perut akibat tusukan yang disebatikan dengan susuk berlian dikirim melalui belalang berkenaan.
Sebab itu Pak Danok tidak dapat menhalang apa-apa setelah isterinya terperangkap dengan muslihat belalang kunyit yang berlompatan sama di tengah kelompok belalang-belalang kecil.  Sekiranya Mak Rainah tidak menangkap belalang berkenaan bila-bila Pak Danok boleh elakkan, biar belalang yang dikirim balik menerpa kearah Mat Labuh.
“Kita dah berhutang, kita kena bayar Ujar Pak Danok memujuk isterinya supaya tidak berdendam sangat setelah Nyimin mengikut suaminya pindah ke Maninjau.
Tetapi dia ingatkan Nyimin biar tidak lepaskan solat.  Tatkala jauh dari sanak saudara Nyimin  tidak boleh jauh dari Allah.  Sebab itu sebaik sahaja Nyimin berkahwin dengan Mat Labuh dia menyuruh anaknya amalkan solat sunat tahajud kalau seringkali terganggu perasaan.
Memang Nyimin tidak lupakan pesanan ayahnya sekalipun Mat Labuh tidak benarkan dia balik menjengah sanak saudara.  Hinggalah ayahnya Pak Danok meninggal dunia dia terpaksa mengambil keputusan tinggalkan sahaja suaminya Mat Labuh. Kalau Mat Labuh mahu memisahkan dirinya dari keluarga sendiri, Nyimin rela berpisah terus dari Mat Labuh.
Apalagi semenjak dia menerima cucuk sanggul yang dihulurkan oleh bayang jelmaan ayahnya, perasaan bencikan Mat Labuh semakin meresap ke dalam jiwanya.  Dia merasa dirinya telah dipersia-siakan sejak menjadi isteri Mat Labuh, sampai melahirkan anaknya Oneng Tiah lelaki itu tetap tidak ambil peduli mengenai rumahtangga yang telah dibina.
Sebab itu dia tinggalkan sahaja Mat Labuh, sekalipun lelaki itu memberi amaran tidak akan menjemputnya di Pariaman.  Biarlah Mat Labuh gugurkan talaq sekalipun, dia sudah nekad mahu jengah juga ayahnya yang sudah meninggal dunia.  Apa sangat diharapkan pada suami seperti Mat Labuh yang tidak pernah ambil peduli mengenai makan minumnya.
Nyimin sendiri terpaksa ambil upah di sawah padi mahu menanggung anaknya Oneng Tiah.  Sama ada dia bersuami atau pun tidak sama sahaja beban yang mesti ditanggung untuk membesarkan anaknya.  Biarlah dia balik sahaja ke pangkuan keluarganya daripada terperosok dalam genggaman Mat Labuh.
Semenjak menetap di kampungnya memang Oneng Tiah sentiasa ikut neneknya Mak Rainah turun ke sawah.  Setiap kali Oneng Tiah berkejaran menghambat belalang bersama rakan sebaya dengannya Semiah, nescaya neneknya akan terjerit-jerit melarang.  Tetapi Mak Rainah tidak membantah apa-apa sekiranya Oneng Tiah bersama Semiah memanggang belalang yang ditusuk pada lidi.
“Kenapa nenek larang, belalang ni tak boleh dimakan ke?”  hairan juga Oneng Tiah apabila neneknya melarang dia meratah belalang panggang itu.
“Bukan tak boleh, tapi banyak lagi yang boleh dimakan,”  sahut neneknya Mak Rainah cuba sembunyikan rahsia sebenar yang memcurigakan hatinya.
“Semuua orang di sini gemar makan belalang panggang,” jelas Oneng Tiah serba salah setiap kali neneknya tidak benarkan dia menghambat ke tengah lopak sawah.
“Sekali sekala tak apa, tapi kamu sering sangat tangkap belalang,” beritahu Mak Rainah mengerling tajam kearah cucunya yang termangu apabila ditegah menangkap belalang yang banyak berlompatan.
Tetapi Semiah akan memanggilnya mengajak menghambat belalang.  Ibu bapa Semiah tidak melarang pun sekiranya mereka berdua meranduk ke dalam lopak sawah.  Biarlah Semiah atau Oneng Tiah bebas berkejaran di tengah sawah sama macam anak-anak petani di perkampungan mereka.  Masing-masing berkejaran riang menangkap belalang-belalang yang banyak berterbangan lantas ditusuk dengan lidi.  Kemudian dipanggang keapi laksana menyalai sate di atas bara.
Masakan Mak Rainah dapat melarang Oneng Tiah sekiranya anak gadis kecil itu mengikut Semiah ke tengah lopak sawah  ibu bapanya.  Rumpun padi tidak akan rebah diranduk sewaktu mereka mengejar belalang-belalang berkenaan. Apalah salahnya Oneng Tiah ikut Semiajh sama-sama menghambat sampai belalang penuh seraga.
“Cukuplah sekali sekala kamu tangkap belalang,” Mak Rainah tetap bimbang cucunya menangkap belalang apabila kenang kejadian yang menimpa dirinya.  Kalau tidak disebabkan Pak Danok tepis tangannya nescaya belalang kunyit sebesar kelengkeng itu sudah diratahnya habis.
Oneng Tiah juga tidaklah membantah sangat apabila neneknya berkeras melarang.  Apa sangat dengan belalang-belalang yang berlompatan itu kalau bandingkan dengan menimba lubuk di penuru lopak sawah.  Bukan  takat anak-anak sepat sahaja masuk ke dalam timba.  Kadangkala ikan haruan sebesar lengan juga dapat dicekak kepala.
Betapa berselera dia menikmati ikan sawah masak pindang yang disudip emak dalam kuali. Gecur sahaja liurnya tatkala bau anak ikan masak pindang tengah terjerang di atas tungku. Memang Oneng Tiah gemar masak pindang setiap kali neneknya menimba lubuk di penjuru lopak sawah.
Saat ini dia tidak peduli sangat mengenai ayahnya menyerbu ke tengah halaman menuntut bayaran jumlah wang yang banyak dari neneknya.  Masakan neneknya bodoh sangat hingga tunduk dengan apa sahaja kemahuan ayahnya.  Keluarga emaknya tetap bertahan apabila ayahnya menuduh mereka larikan dia bersama emaknya balik ke kampung halaman.
Biarlah terbujur menjadi mayat pun, Oneng Tiah tetap akan bersama dengan emaknya. Dia tidak akan menuruti ayahnya balik semula ke Maninjau semata-mata bimbang membayar jumlah wang yang dituntut.  Kemana sahaja dibawa oleh emaknya dia tetap ikut bersama supaya mereka berdua tidak dipisahkan sampai bila-bila.
“Aku tak akan tunduk dengan kemahuan Mat Labuh!”  tegas Mak Rainah setelah Mat Labuh tinggalkan kampung halamannya balik semual ke Maninjau.
Seisi kampung melihat sendiri Mat Labuh dipusar angin bagaikan gasing berputar ligat akibat terserempak bayang jelmaan Pak Danok.  Memang mereka terkejut tiba-tiba sahaja jelmaan itu datang terapung-apung di udara.  Sekalipun dalam ketakutan namun Mat Labuh cuba juga menyembunyikan perasaan tersebut daripada orang-orang kampung yang tercegat berkeliling halaman.
Satu-satunya yang tidak terkejut tartkala melihat jelmaan Pak Danok memang Mak Rainah sendiri.  Tahu sangat dia kesabaran Pak Danok menyebabkan dia diperlakukan oleh Mat Labuh macam anak-anak kecil yang mudah diugut.  Tetapi Pak Danok sekadar berdoa memohon perlindungan dari Allah semata-mata setiap kali berhadapan dengan mala petaka.
Tatkala terkejang sakit menahan sesak nafas yang menumpu dada, Pak Danok sekadar berbisik memberitahu seolah-olah jantungnya ditusuk jarum.  Dia sendiri tidak menduga bagaimana penyakinya menyerang tidak semena-mena sebaik sahaja selesai solat sunat tahajud.  Memang dia sendiri dapat mengagak anaknya Nyimin juga sentiasa bangun tengah malam semata-mata ingatkan pesannya supaya amalkan solat sunat tahajud memohon perlindungan Allah.
Ketika ini dia dapat melihat cucuk sanggul peninggalan emaknya tergenggam erat di tangannya sebaik sahaja bayangan dirinya menjelma di hadapan.  Dia seolah-olah duduk di depan cermin melihat bayang sendiri terconggok gagah.  Sanyup-sayup di udara Pak Danok mendengar suara ibunya ingatkan dia supaya hulurkan cucuk sanggul tersebut kepada Nyimin.
Berdebar benar hatinya apabila diberitahu mengenai Nyimin yang jauh di rantau orang, sekalikpun sekadar mendengar imbauan suara emaknya sayup-sayup di tengah kesepain malam.  Tetapi dia menyedari siap pun tidak akan dapat membantu Nyimin di dalam kesusahan selain daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib mahupun yang nyata.  Apabila dirinya makhluk Allah yang serba lemah dan tidak berkuasa apa-apa.
Sewaktu dia menghulurkan cucuk sanggul ke hadapan bayangan dirinya seperti di depan cermin, dia dapat merasakan cucuk sanggul itu dicapai lembut.  Apabila dia berkisar duduk, Pak Danok mendengar bisikan emaknya supaya tidak biarkan Nyimin di sisi Mat Labuh.
“Menantu kamu tu memang gunakan susuk berlian bunian,”  getar suara emaknya terasa menusuk perasaan.
“Tak bergerak sesuatu kalau tidak dengan izin Allah!” sahut Pak Danok kerana bimbang suara yang mendesaknya itu hanya gangguan syaitan yang mahu mengelirukan dia.
“Kenapa kamu biarkan diri kamu dianiaya Mat Labuh?” gerutu emaknya kecewa dengan sikap Pak Danok yang sentiasa mengalah.
“Mat Labuh tak akan dapat menganiaya sekiranya tak ada izin Alllah,” ujar Pak Danok tidak mahu tunduk dengan bnisikan yang tidak diketahuinya.
“Allah berikan akal, kamu mesti gunakan akal kamu!” emaknya bagaikan mengejek Pak Danok disebabkan dia terus bertahan sekalikpun menyedari Mat Labuh berlaku biadap terhadap dirinya.
Dalam keadaan serba salah tartkala mendengar bisikan suara emaknya Pak Danok memngukuhkan duduknya lantas merenung bayangan dirinya bagaikan duduk di depan cermin itu dengan membacakan perlahan.
Rabbi adkhilni mud-khola sidqin wa-akhrijni mukhraja sidqin waj’al li-min ladunka solthonan nasir
Sekali gus dia melihat kabus berpusar hingga ternampak Mat Labuh terconggok di tengah kelompok bunian.  Di muka Mat Labuh berceracak jarum berkilauan apabila disilau cahaya memancar.  Tersengih-sengih Mat Labuh sebaik sahaja menyedari Pak Danok tercegat memerhati ke arahnya.
“Aku susuk raja segala susuk!” seru Mat Labuh merenung tajam kearah Pak Danok.
Tetapi Pak Danok tidak menyahut apa-apa.  Dia sekadar tercegat sahaja tidak berkedip mata memerhatikan Mat Labuh dikelilingi kumpulan kelomplok bunian. Siapa pun tidak akan mampu menceroboh masuk apabila kelompok bunian mengelilingi Mat Labuh. Sebaik sahaja melihat Pak Danok membolos masuk memang tersentak juga dia bagaikan anak ayam diserbu kucing liar.
Saat ini dia merasakan Pak Danok tidak sama dengan Malim Dusak yang mudah memberang apabila diganggu.  Dia sekadar melihat Pak Danok sentiasa tenang tidak bimbang apa-apa tatkala berhadapan dengan kelompok bunian.  Lainlah Malim Dusak mudah sahaja dikelirukan sewaktu memberang tidak menentu.  Sebab itu Malim Dusak terkial-kial di dalam kegelapan mahu membolos masuk ke tengah kelompok bunian berkenaan.
Sebaik sahaja Pak Danok membolos masuk bermakna dia tidak akan terlepas lagi dari kelompok bunian berkenaan. Masakan dia boleh menembusi sinaran cahaya dengan mukanya berceracak jarum. Tentu seisi kampung akan terkejut hingga bertempiaran melarikan diri apabila melihat mukanya hodoh berlubang-lubang.  Mat Labuh memberang akibat dia membolos masuk ke situ.  Mat Labuh tidak dapat menyembunyikan wajahnya yang berlubang-lubang laksana tikar dianyam.  Memang Pak Danok menyedari Mat Labuh tidak akan dapat melepaskan diri dari kepungan bunian setelah mukanya dijengah oleh Pak Danok.
Kecewa benar dia apabila Pak Danok dapat menembusi kegelapan yang diselubungi kabus hitam.  Ketika ini Mat Labuh sekadar menumpukan fikiran sama ada dia terkurung di situ atau keluar semula ke tengah silau cahaya.  Masakan dia boleh keluar dari kurungan selagi Pak Danok terus memerhatikan dirinya.  Sia-sia sahaja dia membolos keluar dari kurungan tersebut sekiranya rahsia dirinya sudah diketahui manusia.
Selagi Pak Danok tidak menutup mata, selama tubuh itulah dia terkuruang di tengah kegelapan kumpulan bunian.  Semasa susuk berlian ditusukkan ke mukanya dari cahaya alam bunian, memang dia mesti menyimpan rahsianya baik-baik. Asal sahaja rahsiany diketahui manjusia dia akan terkurung di situ sampai bila-bila.
Lainlah kalau dia sanggup membunuh Pak Danok supaya rahsia dirinya tidak diketahui sesiapa.  Saat ini Mat Labuh sudah nekad untuk melakukan apa sahaja, asalkan dia tidak terus terkurung dalam kegelapan.  Dia mesti keluar semula ke tengah cahaya dengan merempuh kuat kearah Pak Danok.
“Aku raja segala nur, aku raja segala susuk!” seru Mat labuh semakin nyaring hingga bergema kuat ke udara.
Ketika ini angin kencang bertiup menerjah kuat ke dada Pak Danok.  Dia terus bertahan dari rempuhan angin yang bertumpu ke dadanya.  Apabila rempuhan angin kian kencang berpusar Pak Danok terus azan tujuh kali diikuti dengan membaca:
Wamai-yabtaghi ghairal-islami dinan falai-yuqbala minhu wahuwa fil-akhiroti minal-kholsirin.
Sekali gus pula angin berpusar kuat itu berpatah balik lantas menerjah kumpulan bunian.  Mereka semua bercfempera selamatkan diri akibat diserbu angina kencang berpusar.  Terkial-kial mereka berpaut di mana sahaj apabila angina yang menampan ke dada Pak Danok tidak mampu merempuh berterusan.
Bertambah marah Mat Labuh apabila kumpulan bunian bercempera lari meninggalkan dia terkurung dalam kegelapan.  Sekiranya kumpulan bunian terkambus batu-batu yang menerah bersama angin kencang, nescaya dia juga tidak dapat melepaskan diri ke mana.  Dia tidak mahu mukanya terus berlubang-lubang bagaikan sarang anai-anai terpokah sekiranya mahu membolos keluar ke tengah cahaya.
Alangkah malunya dia mahu berhadapan dengan isteri-isteri yang menunggu kalau mereka melihat mukanya berlubang-lubang! Apa lagi kalau Nyimin sendiri menyedari keadaan yang menyelubungi dirinya akibat dijengah oleh Pak Danok.  Saat ini sorak sorai kumpulan bunian mendesak dia membunuh sahaja Pak Danok kalau mahu pulihkan semula kulit mukanya yang berlubang-lubang akibat susuk berlian yang ditusukkan.
“Hai, susuk raja segala susuk, satukan aku dengan nur raja segala nur!” Mat Labuh mengisar tapak tangan menyeru kumpulan bunian kembali mengelilingi dia.  Serentak dengan itu pusaran angin kencang terus berhenti serta merta.
Ketika ini Pak Danok melihat Nyimin bertahan dari terjahan jarum berkaca yang bertalu-talu.  Sekalipun jarum yang berterbangan itu tidak menyinggahi Nyimin tengah bertimpuh di atas sejadah memegang kukuh cucuk sanggul di tangannya, tetapi Pak Danok tidak sanggup membiarkan anaknya terus diganggu.
Tidak bertangguh dia melompat ke hadapan Nyimin bertahan dari terjahan jarum yang menjunam bertubi-tubi.  Saat ini Pak Danok terasa dadanya bagaikan ngilu luka ditusuk menyebabkan tenaganya bertambah lemah. Perlahan-lahan dia memanggil isterinya Mak Rainah memberitahu mengenai sesak nafas yang menyeksanya ketika itu.
Apabila jiran-jiran diberitahu mengenai pak Danok mengalami penyakit sesak nafas memang mereka semua terkejut.  Mereka tahu Pak Danok tidak pernah diganggu sakit dada seumur hidupnya, masakan mudah sangat diserang sesak nafas tatkala bangun tengah malam tunaikan solat sunat tahajut.
“Aku sekadar melihatnya seolah-olah dalam mimpi,”  bisik Pak Danok meminta isterinya tidak bimbang apa-apa dengan segala yang dialaminya ketika itu.
Sebab itulah Mak Rainah tidak terkejut sangat apabila bayang jelmaan Pak Danok tiba-tiba tersergam.  Mat Labuh tidak boleh berterusan menunjukkan keangkuhan kepada keluarganya dengan melenyapkan dirinya dalam kumpulan bunian.  Kalau tidak disebabkan Nyimin terancam memang Pak Danok tidak bimbang bertembung di antara dirinya yang lenyap dengan diri Mat Labuh yang lenyap juga.
Tatkala ini siapa sahaja mesti menerima padah Pak Danok sanggup mengalah semata-mata mahu selamatkan anaknya.  Tahu sangat Mak Rainah bukan mudah suaminya mahu terus bertahan kalau semata-mata berkeras tunjuk kedegilan.  Pak Danok terlalu banyak bersabar sekalipun dalam keadaan terdesak.
Dia mahu menuduh Mat Labuh aniaya dirinya hingga terkejang sesak nafas, tetapi sekadar beritahu Mak Rainah perkara yang dilihatnya berlaku seolah-olah dalam mimpi sahaja.  Apabila jelmaan Pak Danok tersergam di hadapan Mat Labuh yang mahu tunjuk jantan, Mak Rainah dapat mengagak pertembungan yang lenyap tidak sama dengan yang hilang.
Saat ini Mat Labuh bukan lagi behadapan dengan Pak Danok tatkala lenyap, tetapi Pak Danok yang sudah hilang.  Masakan dia boleh jejaki Pak Danok yang sudah hilang.  Sebab itu Mat Labuh tidak berdaya pertahankan diri tatkala angin kencang berpusar macam gasing tengah hidup uri.
Memang Mak Rainah juga memahami apa yang dihadapi oleh Mat Labuh. Apabila Nyimin enggan mengikut Mat Labuh balik ke Maninjau, dia dapat mengagak bukan mudah Mat Labuh mahu memujuknya.  Mat Labuh menjadi gementar sekiranya menatap muka Nyimin tatkala cucuk sanggul yang dicapai dari tangan ayahnya disisipkan pada rambut.
“Kamu masih isteriku, Nyimin,”  Mat Labuh berkeras mendesak Nyimin balik semula ke pangkuannya.
Nyimin mencemik muka. Dan tidak mahu menyahut apa-apa.  Bukan mudah dia mahu melupakan perbuatan lelaki itu yang abaikan tanggungjawab sebagai suami.  Apalah maknanya dia ikut semula Mat Labuh, kalau jiwanya sentiasa memendam rasa.  Biarlah dia menjadi janda asal sahaja hatinya tenang tenteram tidak diganggu kegelisahan sepanjang masa.
“Tak kasihankah kamu pada anak kita Tiah?” Mat labuh terus merayu dengan harapan Nyimin mahu mengalah.
“Biarlah jodoh ditentukan Allah, bukan dipasa dengan amalan syaitan!” lantas Nyimin menuturkan dalam perasaan geram meluap-luap.
“Tak baik tuduh aku begitu, Nyimin!” tersentak Mat Labuh apabila disindir demikian hingga terasa menghiris ke jantung.
“Cakaplah Mat Labuh,” sahut Nyimin mencebek bibir. “Tiap-tiap yang bernyawa itu akan mati,” jelasnya ingatkan lelaki itu supaya tidak tunjukkan kesombongan diri dengan amalan yang mahu tundukkan orang lain.
“Kamu silap sebenarnya, Nyimin,” ujar Mat Labuh terus memujuk Nyimin supaya mengikutnya balik ke Maninjau.
“Bila tiba masanya, tak sesaat pun dapat diundurkan,” lantas Nyimin mengusap-usap cucuk sanggul tersisip di rambutnya. “Dan tak sesaat pun dapat didahulukan, Mat Labuh!” semakin keras dia luahkan perasaannya tidak mahu lagi hidup di samping lelaki berkenaan.
Cukuplah dia menahan kesengsaraan selama menjadi isteri Mat Labuh. Disebabkan amalan susuk berlian yang ditusukkan bunian ke mukanya, lelaki itu menjadi angkuh tidak peduli apa-apa.  Susuk berlian yang sebati dalam dirinya itu sentiasa diawasi bunian.  Dia mesti menuruti apa sahaja kemahuan kumpulan bunian selagi susuk berlian itu tertusuk di situ.
Masakan Mat Labuh boleh membantah kemahun bunian kalau terpaksa menerima padah hingga kulit mukanya nampak berlubang-lubang! Asal sahaja tiga kali bulan mengambang penuh Mat Labuh mesti berkahwin baru. Susuk berlian yang ditusukkan akan luntur sekiranya tidak berkahwin.
Tetapi semenjak Nyimin tinggalkan dirinya, Mat Labuh merasakan kesakitan yang menyeksakan.  Asal sahaja malam menjelang dia tidak boleh melihat cahaya lampu menyilau ke mukanya. Tatkala ini Mat Labuh menyedari kulit mukanya berlubang-lubang laksana tikar mengkuang dianyam. Dia terpaksa bersembunyi di dalam kegelapan malam supaya tidak disilau cahaya api pelita.
Tahu sanagat dia kalau dipujuk Nyimin balik ke pangkuannya dia akan mengalami kesakitan sampai bila-bila pun. Tiba-tiba sahaja dia melihat cahaya bersinar dari kepala Nyimin menyebabkan dia terpaksa berkurung di dalam gelap malam. Biarlah dia mengalah kepada Nyimimn asal sahaja isterinya boleh selamatkan dirinya. Dia tidak mahu bersembunyi di dalam gelap malam selama-lamanya.
Bagaimana dia mahu bertahan kalau sentiasa mengelak dari isteri-isterinya asal sahaja malam menjelang? Tentu isteri-isterinya terkejut kalau terserempak dengan keadaan mukanya berlubang-l;ubang. Dia tahu cucuk sanggul yang dipakai Nyimin menyebabkan susuk berlian yang sebati dalam dirinya menjadi madal tidak berguna.
Puas dipujuknya berulang kali Nyimin tetap juga berkeras tidak mahu balik ke pangkuannya. Mat Labuh semakin kecewa apakala diberitahu Nyimin sudah meninggalkan kampung halaman. Dia sendiri tidak tahu kemana Nyimin menghilangkan diri hingga tidak dapat dijejakinya.
“Macam itulah, ustaz,” jelas Haji Sidin berpaling memandang saya. “OPneng Tiah yang beritahu kami mengenai ceritanya demikian,” dia menambah sebaik sahaja menyambungkan bherita kematian Oneng Tiah dalam usia yang terlalu lanjut.
“Dia beritahu juga fasal cucuk sanggul peninggalan emaknya,” sahut Mat Zakir perlahan, “Tapi, kami tak pernah tengok pun, ustaz,” tersengih-sengih dia apabila kenang mengenai cucuk sanggul peninggalan Nyimin.
“Ah, cucuk sanggul pun bukannya ada kuasa apa-apa,”
Lantas Alang Jagat mencebek bibir mengerling anaknya Mat Zakir. “Yang berkuasa hanya Allah,” ujarnya mencepak-cepak bibir seolah-olah tidak mahu anaknya ungkit lagi mengenai cerita cucuk sanggul berkenaan.
Tetapi Alang Jagat mengakui neneknya Oneng Tiah semakin segar setelah dimandikan air embun.  Penyakitnya juga beransur sembuh spabila meneguk embun yang  berbutir pada daun keladi tatkala disilau cahaya matahari.  Beberapa bulan sahaja selepas tenaganya pulih semula, baru Oneng Tiah mahu beritahu cucu cicitnya mengenai kampung halamannya di Pariaman yang lama ditinggalkan.
Lama dia menetap di Semenanjung barulah neneknya Mak Rainah ikut menjejakinya setelah emaknya mengirimkan surat ke sana.  Memang Nyimin sendiri mahukan emaknya berpindah sahaja ke Semenanjung setelah dia berkahwin lain.  Terbuka sahaja hati Nyimin mahu bersuami semula setelah dilamar Haji Musnir yang lama menduda.
Memang Haji Musnir yang mendesak Nyimin menjemput emaknya datang ke Semenanjung.  Apa sangat yang ditunggu emaknya di kampung halaman dalam masa Belanda yang berkuasa menentukan hasil mahsul.  Sebab itu terpengaruh juga Mak Rainah dengan desakan Nyimin.  Biarlah dia tinggalkan kampung halaman asal sahaja dapat memulakan penghidupan baru di Semenanjung.
Tatkala sampai di Semenanjung inilah Mak Rainah beritahu Nyimin mengenai Mat Labuh ditemui terkejang mati bersendirian.  Tidak siapa pun terconggok di sisinya tatkala Mat Labuh hembuskan nafas disebabkan mahu bersembunyi asal sahaja malam kian gelap. Takut benar Mat Labuh suakan mukanya apabila api pelita dipasang di tengah rumah.
Lantas sahaja dia jauhkan diri dari semua isteri-isterinya sebaik sahaja malam menjelang. Dia mahu bersendirian sahaja setelah menyedari kulit mukanya akan berlubang-lubang laksana sarang anai-anai terpokah sekiranya disilau cahaya pada waktu malam. Tidak seorang pun isteri-isterinya menyedari padah yang menimpa Mat Labuh apabila dia ditemui terkejang mati.
Terkejut benar keluarganya tatkala melihat muka mayat berlubang-lubang di hurung semut seolah-olah membuat sarang di situ. Terpaksa pula mereka bersihkan muka mayat biar semut-semut yang bersarang dalam lubang pada kulit muka dibuang habis. Tapi semakin dibuang semut-semut berkenaan bertambah besar pula lubang-lubang berkenaan hingga sebesar pangkal lidi. Semasa mayatnya dimandikan mereka juga tidak peduli lagi menenai semut yang banyak keluar masuk melalui lubang sebesar pangkal lidi di merata kulit muka.
Mak Rainah gagahi juga hatinya mahu menziarahi mayat Mat Labuh sekalipun hatinya terlalu mendongkol. Tetapi apabila kenang Mat Labuh sekadar lafrazkan cerai sekiranya Nyimin balik menjengah ayahnya meninggal dunia. Mak Rainah sanggup juga dating menziarah. Mat Labuh tetap dirasakan bekas suami anaknya  juga.
Berdebar hatinya apabila melihat kulit muka mayat Mat Labuh berlubang-lubang dengan dihurung semut. Terlalu galak semut-semut berkenaan keluar dan masuk di situ. Tidak tergamak Mak Rainah mahu menatap lama-lama setelah melihat kejadian tersebut. Memang geli geleman dia sewaktu menceritakan semula kepada Nyimin sebaik sahaja jejak kaki ke semenanjung.
“Dah bertahun-tahun dulu ceritanya, ustaz,” jelas Alang Jagat mengenai perngalaman neneknya Oneng Tiah.
“Ayah tirinya Haji Musnir sayangkan Oneng Tiah,” Haji Sidin mencelah apabila kenang masa silam orang tua itu.
Memang emaknya beritahu Haji Sidin mengenai Oneng Tiah banyak amalkan petua yang dipelajari dari ayah tirinya Haji Musnir. Dia juga mengakui Haji Musnir sendiri sentiasa mandi embun asal sahaja bangun sewaktu subuh bening. Dia akan meneguk ketul embun di atas daun keladi sebaik sahaja disilau cahaya matahari.
Sebab itu Oneng Tiah ingatkan anak cucunya supaya tidak amalkan susuk kalau takat mahukan kecantikan. Jauh di lipatan hatinya dia tidak akan dapat lupakan malang yang menimpa ayahnya Mat Labuh. Sekalipun dia tidak melihat sendiri kejadian buruk itu, tetapi Oneng Tiah dapat merasakan pembalasan yang amat menusuk perasaan.
Tidak lama selepas dia beritahu cucu cicitnya mengenai pengalaman emaknya Nyimin di kampung halamannya, Oneng Tiah mencapai tongkatnya lantas berjalan mengelilingi rumah sampai tiga kali.
“Aku nak ambil angin dulu,” tuturnya tatkala Haji Sidin tanyakan kenapa mahu berligar keliling rumah.  Kemudian Oneng Tiah masuk semula ke rumah mahu berbaring disebabkan penat-penat badan. “Kalau kamu nak makan dulu, makanlah, aku nak tidur dulu,” pesan Oneng Tiah menyedari cucu cicitnya mahu bersarapan pagi.
“Masa itulah dia hembuskan nafasnya, ustaz,” tutur Haji Sidin beristighfar beberapa kali semasa beritahu saya mengenai kematian Oneng Tiah. Saya menundukkan kepala dalam keharuan yang menusuk.
                              SELESAI

Sunday, May 24, 2015

125. KULIT MUKA BERLUBANG-LUBANG



APABILA kenang bukit bukau menghijau yang ditinggalkan, imbauan kampung halaman jauh di Pariaman kian menusuk ke hati.  Setiap kali imbau kampung halaman itu menusuk terasa sebak dada Oneng Tiah hingga pelupuk mata juga basah digenangi air. Memang dia tidak dapat lupakan kampung halaman di Pariaman dengan sawah luas terbentang dan pohon-pohon nyiur yang melambai.
Sewaktu kecilnya Oneng Tiah berlari di permatang sawah di tengah lumpur selut mengejar belalang yang berlompatan di daun padi.  Kadangkala neneknya memarahi dia disebabkan terlalu asyik menghambat belalang-belalang yang banyak berlompatan.  Tetapi Oneng Tiah tidak peduli neneknya memarahi dia asal sahaja belalang-belalang berkenaan dapat dicekup habis.
Oneng Tiah akan cucukkan belalang-belalang berkenaan pada lidi lantas diganggang keapi.  Setelah hangus mersik dia akan ratah sampai habis belalang tersebut.  Sebab itu dia gemar mengikut neneknya turun ke sawah setiap kali anak benih padi mula mengembang perdu sampai secekak.  Tatkala inilah belalang banyak berlompatan di daun padi menerpa ke tengah ke tepi.
Puas ditegah pun oleh neneknya supaya tidak menangkap belalang, kemudian dicucuk pada lidi untuk diganggang keapi, namun Oneng Tiah tetap tidak peduli.  Dia sekadar mengikut kesukaan rakannya yang sebaya Semiah.  Kalau Semiah tidak dilarang oleh emaknya menangkap belalang-belalang berlompatan apa salahnya dia ikut sama menerpa ke tengah lopak sawah.
Kadangkala sengaja neneknya mengajak dia menangkap anak haruan sebesar ibu jari bermain di perdu rumpun padi.  Sekiranya banyak dapat anak baruan yang ditangkap tentu neneknya akan masak pindang.  Betapa nikmatnya dia menjamah nasi berlaukkan pindang anak haruan!  Sekalipun pindang anak haruan memang menyelerakan, tetapi Oneng Tiah juga gemar panggang belalang.
“Oneng mesti selalu makan ubat, biar cepat sembuh!”  bisik Mat Zakir cicitnya memujuk perempuan tua yang sudah berumur lebih 100 tahun itu.
Dia sekadar mencebek bibir apabila didesak makan ubat yang dibekalkan dari hospital.  Tetapi Oneng Tiah tidak membantah setiap kali ubat berkenaan disuakan kepadanya supaya dimakan juga.  Dia seolah-olah tidak mahu cucu cicitnya tersinggung hati kalau dia enggan makan ubat berkenaan.
“Buat apa Oneng takut makan ubat?”  sengaja Mat Zahir menambah apabila mengerling kearah Oneng Tiah.
Tersengih-sengih Oneng Tiah mengangkat muka menatap wajah Mat Zakir.  Dia cuba mengangkat tangan mahu mencapai bahu cicitnya, tetapi tenaganya lemah hingga tidak dapat bergerak menginsut punggung langsung.  Semenjak terkejang bermingu-minggu memang Oneng Tiah lemah selemah-lemahnya.  Kalau tidak disebabkan dia terkejang sejak berminggu-minggu memang tidak siapa pun menyangka umurnya sudah menjangkau 100 tahun.
Kulit Oneng Tiah tidak kecut mengendur, tetapi masih kelihatan segar bugar laksana perempuan berumur 50 tahun sahaja.  Rambutnya memang putih namun nampak keperang-perangan seolah-olah dilumur dengan inai merah.  Tahu sangat Mat Zahir, onengnya tidak pernah lumurkan inai pada rambutnya yang masih lebat panjang mengurai.
“Oneng dah tua, makan ubat pun nak buat apa?”  gerutu Oneng Tiah apabila didesak sangat oleh cucu cicitnya supaya terus memakan ubat.  “Sakit dah tua macam inilah, melepak macam barang tak berguna,”  tuturnya perlahan menahan keharuan yang menusuk.
“Kenapa Oneng cakap macam tu?’  segera Rebitah pula ingatkan orang tua itu supaya tidak ungkit sangat mengenai usianya yang sudah tua.  Perkara usia tua memang siapa pun tidak dapat elakkan, tetapi penyakit yang menyelubungi diri masih boleh diubati kalau tekun memakan ubat.
Tetapi Oneng Tiah tidak ambil peduli snagat dengan ubat yang dibekalkan oleh cucu cicitnya.  Kalau tidak disebabkan dia terkejang tidak boleh bergerak di tengah rumah memang Oneng Tiah akan bangun sebelum matahari memancar di sebalik bukit bukau menghijau.  Dia akan mandi air embun yang banyak bertakung pada daun-daun di sekeliling rumah hingga seluruh badanya terasa segar.
Tatkala matahari tegak di kepala nescaya Oneng Tiah akan berdiri di tebing sungai simbahkan air ke daun keladi.  Dia akan memerhatikan rintik-rintik air yang bertakung pada daun keladi disinari cahaya matahari.  Lama dia merenung pada rintik air bertakung pada daun keladi itu sehingga nampak pusaran berwarna ungu berkilauan di situ.
Sebaik sahaja Oneng Tiah dapat menengok pusaran air berwarna ungu pada daun keladi yang disilau cahaya matahari, memang tubuhnya akan segar bertenaga.  Dia tidak akan terkejang harapkan cucu cicit memapah sekiranya mahu bergerak ke penjuru rumah.  Disitu dia akan buang air, bersuci atau mandi air dijurus yang ditakung dalam baldi kalau bandingkan dengan mandi embun sebelum matahari memancar.
Memang Oneng Tiah tidak akan beritahu sesiapa pun mengenai air berwarna ungu memancar semasa ditakung dalam air keladi di tepi sungai.  Dia satu-satunya yang perlu menyimpan rahsia sampai bila-bila pun.  Bukan pada cicit-lcicitnya Mat Zahir atau Rebitah sahaja, malah pada cucunya Alang Jagat juga tidak boleh diberitahu.  Kalau tahu pun Cuma anak perempuannya yang satu-satu Ulung Mahirah yang sudah lama meninggal dunia.
Tahu sangat Oneng Tiah mengenai anaknya Ulung Mahirah yang amalkan amalan diwarisi sejak dia meninggalkan Pariaman di Sumatera.  Apabila berpindah ikut emaknya ke Semenanjung memang Oneng Tiah ingat sangat pesanan yang seringkali diungkapkan ke telinganya fasal menjaga diri supaya tidak terjerumus.  Emaknya tidak mahu dia mengalami nasib sama semasa mereka masih lagi di Pariaman.
Siapa tidak kenal ayahnya Mat Labuh yang mudah berkahwin dengan mana-mana perempuan di merata tempat.  Kalau Mat Labuh sudah terpikat hati jangan siapa pun perempuan dapat membantah.  Bukan takat di Pariaman sahaja Mat Labuh dikenali sanggup berkahwin banyak kali, malah sampai ke Jambi juga.
Tatkala berkahwin dengan Nyimin memang berkeras juga keluarganya membantah.  Tetapi Mat Labuh tidak pernah berputus asa.  Apa sangat dengan keluarga Nyimin kalau bandingkan dengan anak Malim Dusak di Maninjau yang mudah sahaja dapat ditewaskan.  Siapa pun tidak berani angkat muka apabila berhadapan dengan Malim Dusak yang boleh jatuhkan setandan buah kelapa sekadar ditenung dengan mata sahaja.
Tiba-tiba sahaja setandan buah kelapa gugur dengan terputus pangkal sebaik sahaja ditenung tajam oleh Malim Dusak.  Silau matanya memancar laksana kilat menyambar asal sahaja tumitnya dikisar ke bumi.  Bukan takat tandan kelapa sahaja gugur ke bumi, batang pinang juga boleh tumbang terbongkar umbi apabila ditenung tajam dengan matanya.
Cubalah siapa pun berkeras mahu melawan Malim Dusak.  Kerbau terluka di tengah bendang tergolek ke selut lumpur sebaik sahaja mahu menyerbu Malim Dusak berdiri tercegat di permatang.  Terkial-kial kerbau tergolek itu dengan kakinya keatas menendang angin akibat tidak dapat bingkas bangun.
Cepat-cepat pula dia memanggil jiran supaya disembelih kerbau tersebut sebelum terkejang menjadi bangkai.  Sebaik sahaja sempat disembelih, mereka melapah biar dagingnya dapat diagihkan kepada orang-orang kampung.  Tuan kerbau tidak membantah apa-apa setelah kerbau berkenaan menyerbu mencari mangsa di merata sawah.
Tatkala mereka melapah kerbau berkenaan, terkejut benar mereka melihat tangkai jantung kerbau itu putus bagai dicantas.  Masakan kerbau berkenaan boleh bertahan setelah tangkai jantungnya putus hingga darah membuak-buak.  Tetapi mereka tahu memang tenungan mata Malim Dusak menusuk sampai ke jantung.  Sebab itu mereka tidak akan berkeras melawan sekirnya Malim Dusak sudah membentak marah.
Satu-satunya yang berani menguji memang Mat Labuh.  Dia tidak peduli Leha anak gadis Malim Dusak tidak boleh diganggu.  Sebaik sahaja diberitahu mengenai hubungan Leha dengan Mat Labuh, betapa marahnya Malim Dusak.  Seisi kampung menjadi cemas apabila Malim Dusak berkeras mahu mencekak leher Mat Labuh.
Tentu Mat Labuh akan tergolek menjadi kerbau terluka tengah sawah apabila berdepan dengan Malim Dusak.  Alangkah malangnya nasib Mat Labuh sekiranya tangkai jantung putus ditenung mata Malim Dusak yang marah bukan kepalang.  Tetapi siapa pun tidak berani menghalang setelah Malim Dusak menjadi berang tidak menentu.
“Biarkan, beani buat berani tanggung!”  gerutu adiknya Usin Barik apabila diberitahu mengenai Malim Dusak mahu mencari abangnya Mat Labuh.
“Cubalah kamu pujuk Malim Dusak dulu,”  jiran-jiran mendesak Usin Barik supaya tenangkan Malim Dusak.  Mereka percaya tentu Usin Barik boleh memujuk disebabkan anak muda itu berguru dengan Malim Dusak sampai berbulan-bulan semasa bersama.
“Mat Labuh juga zalim!”  tegas Usin Barik mencebek bibir disebabkan tidak senang dengan sikap abangnya Mat Labuh seringkali bertukar isteri.
“Takkan kerana Leha kita mahu lihat orang kampung berbunuhan,”  ujar orang-orang kampung tidak mahu perkara kecil demikian mahu dibesar-besarkan.
“Tapi, ini perkara Leha, tapi kelakuan  Mat Labuh!”  Usin Barik tetap tidak mahu campur urusan abangnya yang bersikap tunjuk jantan di mana-mana.
Sewaktu Malim Dusak tercegat di halaman rumah Mat Labuh, tidak siapa pun dilihatnya di situ.  Isteri dan anak-anak Mat labuh juga tidak nampak kelibat.  Rumahnya lengang sekalipun tingkap terbuka tidak dikatupkan.  Masakan Mat Labuh meninggakan rumah kalau tidak berkunci apa-apa.
Marah benar Malim Dusak diperolok-olokkan demikian.  Apalagi Mat Labuh berani melarikan Leha sekalipun sudah mempunyai anak dan isteri.  Tahu sangat Malim Dusak memang Leha terpikat kepada Mat Labuh disebabkan amalan susuk berlian yang ditusukkan ke dahi.  Kalau tidak disebabkan susuk berlian memancar-mancar hingga seluruh tubuh berseri, masakan Leha boleh terpikat.
Tetapi Mat Labuh tidak kelihatan di mana-mana.  Leha juga tidak bersembunyi di situ setelah puas Malim Dusak menjengah ke dalam.  Usin Barik juga membantu gurunya mencari, tetapi Mat Labuh tidak brsembunyi di rumah berkenaan.  Sekali sekala Malim Dusak seolah-olah mendengan bisikan suara Mat Labuh memujuknya supaya benarkan berkahwin dengan Leha.
“Lebih baik saya berkahwin dengan Leha, daripada melakukan zinah,”  ujar Mat Labuh ingatkan Malim Dusak supaya tidak berdendam sangat.
“Kamu sudah beristeri, kenapa nak kahwin lagi?”  bentak Malim Dusak melingas-lingas mata memerhati ke kiri ke kanan.
“Apa salahnya, supaya tidak berlaku zina,”  beritahu Mat Labuh di tengah kelengangan yang tidak kelihatan sesiapa pun di situ.
“Kenapa tak tunjukkan diri kamu di sini?”  semakin marah Malim Dusak disebabkan Mat Labuh tidak nampak kelibat.  Hanya suara Mat Labuh sahaja bagaikan berbisik ke telinganya, sedangkan mereka yang sama tercegat sama di halaman rumah tidak mendengar apa-apa.
“Hah, kalau nur biarlah dengan nur, kalau jasad biarlah dengan jasad,”  tegas Mat Labuh masih tidak menjengahkan muka.
Tertunduk Malim Dusak apabila didesak demikian.  Memang dia dapat mengagak Mat Labuh sudah memahami mengenai tenungan tajam matanya amalkan nur yang memancar dari sinar matahari.  Dia terpaksa menunggu matahari naik segalah setiap hari Selasa ditenung sampai tegak di kepala.
Tahu sangat dia padahnya sekiranya tidak berhati-hati nescaya matanya akan menjadi buta tidak berguna.  Bukan mudah mahu merenung cahaya matahari kalau tidak tabahkan semangat mengharung ujian getirnya.  Siapa sahaja mudah buta mata apabila silau matahari menusuk ke bawah pelupuk.  Sebab itu dia mesti tahu membezakan nur yang menerjah masuk dengan silauan matahari yang memusnahkan pandangan.
Bukan mudah dia memujuk arwah datuknya supaya turunkan amalan demikian.  Terlalu berat arwah datuknya mahu turunkan kerana bimbang padah yang akan menimpa.  Apalah maknanya mata menjadi buta hingga tidak dapat melihat semata-mata harapkan terjahan nur berhimpun di pelupuk mata.  Manalah tahu silau matahari yang membakar mengalir dicelah kelipan nur yang mengimbau sekali imbas laksana kilat di udara.
Tapi Malim Dusak tidak mahu mengalah.  Dia sanggup menerima padah demikian asal sahaja arwah datuknya relakan dia amalkan amalan tersebut.  Tujuh pagi Selasa berturut-turut dia menunggu matahari naik segalah hingga tegak di kepala harapkan sekali imbas nur menerjah ke pelupuk mata itu.  Sekaligus dia rasakan kepalanya bagaikan pecah tengkorak sampai berbinau-binau mata tidak dapat melihat apa-apa.
Terpaksa pula arwah datuknya pulihkan dengan merendam tujuh kuntum bunga bakawali yang meletup tengah malam.  Sebaik sahaja sembuh terasa juga badannya goyah tatkala melangkah di tengah rumah.  Tujuh hari pula arwah datuknya tidak benarkan dia jejak kaki ke bumi sehingga langkahnya menjadi gagah semula.
Selepas itulah Malim Dusak menyedari apa sahaja direnungnya tepat akan terbakar tidak bersisa.  Memang emaknya sendiri melarang supaya dia tidak merenung apa-apa sehingga dia dapat mengawal perasaan.  Kalau perasaan jauh di lubuk hati tidak dapat dikawal nescaya amalan demikian akan memudaratkan orang lain.  Sudah tentu seisi kampung akan memusuhi dia, sekalipun mereka tidak berani sangat muka tatkala berhadapan.
Sebab itu Malim Dusak perlu mengawal perasaan biar tenungannya tidak bahayakan sesiapa.  Biarlah tenungannya b oleh musnahkan musuh yang mengganggu orang kampong tatkala mereka memerlukan bantuan.   Ketika ini Malim Dusak menyedari dia tidak wajar musnahkan Mat Labuh sekadar bencikan perbuatan lelaki itu memikat anak gadisnya.  Kalau dia boleh berbangga dengan tenungannya boleh hancurkan tembok batu tersergam, tentu Mat Labuh mampu melakukan apa sahaja.
Manalah sama amalan dia dengan Mat Labuh sekiranya mahu diuji.  Tentu dia tidak boleh Mat Labuh apabila lelaki itu menyebatikan diri menjadi nur laksana cahaya yang menyilau.  Sudah tentu nur yang berkumpul dalam tenungan matanya tidak tergamak memusnahkan nur yang menyelubungi diri Mat Labuh.
Saat ini Malim Dusak terpaksa mengalah juga.  Apalah ertinya dia berkeras kalau anak gadisnya Leha menjadi mangsa sia-sia.  Mat Labuh sudah mengaku rela menjadikan Leha isteri dan bukan semata-mata mahu memuaskan nafsu sesuka hati.  Perlahan-lahan dia menyeru Mat Labuh supaya menampakkan diri supaya pertimbangan di atara jasad dan jasad pula boleh diselesaikan dengan baik.
Ketika inilah mereka melihat Mat Labuh tercegat di pintu rumah dengan Leha berdiri di sisinya.  Terpaksa Malim Dusak bersetuju menerima Mat Labuh menjadi menantunya setelah menyedari sia-sia sahaja dia melawan takdir yang telah menentukan demikian.  Sekalipun dia tahu Leha ditundukkan  amalan pengasih Mat Labuh, namun Malim Dusak terpaksa merelakan jodoh perkahwinan anaknya.
Apabila anak gadis Malim Dusak mudah dipikat, masakan Mat Labuh tidak mampu memikat Nyimin sewaktu dia menetap di Pariaman.  Terkilan juga Pak Danok tatkala anak gadisnya Nyimin dilarikan oleh Mat Labuh.  Setelah menemui Mat Labuh dia terpaksa mengalah disebabkan Nyimin yang melarikan diri dari rumah semata-mata mahu menjadi isterinya.
Lainlah kalau Nyimin membantah, memang dia boleh berkeras menghalang.  Tahu sangat Pak Danok anak gadisnya tidak dapat menahan perasaan yang meruap-ruap sebaik sahaja mendengar tiupan serunai batang padi yang mengimbau di kejauhan.  Memang Mat Labuh yang meniup batang padi berkenaan hingga alunan lagunya meremang bulu roma siapa sahaja yang mendengarkannya.
“Biarlah Nyimin menjadi isteri Mat Labuh,”  tegas Pak Danok apabila seisi keluarga membantah jodoh perkahwinan disebabkan Mat Labuh gunakan ilmu pengasih.
“Tapi dia gunakan ilmu pengasih!”  sahut abang iparnya Sabek membantah keras,  “Sudah ramai isterinya, kali ini Nyimin pula jadi mangsa,”  dia tetap terkilan dengan keputusan Pak Danok.
“Kalau ini ujian Allah kepada keluarga kita, berserahlah,”  Pak Danok tidak mahu Nyimin disia-siakan sahaja selepas dia mengikut Mat Labuh.
“Kita mesti cari ikhtiar, hapuskan ilmu pengasihnya!”  Sabek tidak mahu adik iparnay mengalah sebelum berusaha.
“Ilmu pengasih Mat Labuh tak akan menjadi kalau tidak dengan izin Allah,”  jelas Pak Danok setelah menyedari Nyimin tidak dapat dipisahkan lagi dengan Mat Labuh.  Biarlah seisi keluarganya membantah dia tetap dengan keputusannya menyerahkan segala ketentuan kepada Allah.
Apalah yang dia boleh lakukan sekiranya ilmu pengasih amalan Mat Labuh sudah diizinkan Allah.  Dia tetap yakin dengan pesanan yang diamalkan oleh arwah ayahnya.  Lu-tattaharraku zurriyatan bi-iznilahh.
Biarlah Mat Labuh amalkan menghayun  limau diikat pada benang tujuh warna lantas menyeru nama Nyimin tatkala bulan mengambang penuh, tidak akan memberi kesan apa-apa sekiranya tidak dengan izin Allah.  Tetapi apabila Nyimin tidak dapat lelapkan mata setelah mendengar tiupan serunai batang padi Mat Labuh, sudah tentu disebabkan Allah izinkan permohonan hambanya.
Tahu sangat Pak Danok tiap-tiap yang baik itu datangnya dari Allah, manakala yang buruk itu dari perbuatan manusia sendiri.  Sebab itu dia tidak bimbang merelakan Nyimin diperisteri oleh Mat Labuh.  Sekalipun Mat Labuh gunakan ilmu pengasih memikat mana-mana perempuan yang dihajatinya.  Pak Danok percaya lambat laun tiap-tiap yang zalim itu akan dimusnahkan oleh kebaikan.
Tidak lama selepas Nyimin berkahwin dengan Mat Labuh, dalam kebeningan malam yang diselubungi kedinginan Pak Danok menutup matanya rapat-rapat.  Tatkala dia terkejang kaku memang Nyimin tidak sama duduk di sisinya.  Tetapi berapakali isterinya Mak Rainah mendengar dia berdoa perlahan:
Qul bifadlillahhi wabirah-matihi fabazalika fal-yafrahu huwa khairummimma yaj-ma’un, wa-imma yanza ghan-naka minasy-syaitoni nazghun fasta’iz billahhi innahu sami’un ‘alim.
Berkali-kali juga Pak Danok menyebut nama anaknya Nyimin dalam masa dia menghadapi saat yang mengharukan itu.  Setelah diberitahu kepada Nyimin mengenai ayahnya terkejang sakit, tidak bertangguh dia balik jejak kaki ke Pariaman.  Tetapi ayahnya sudah menutup mata rapat-rapat sebaik sahaja dia jengah muka balik ke kampung halaman.
Selepas kematian ayahnya Nyimin tidak lagi terbuka hati untuk menyusul semula suaminya Mat Labuh di Maninjau.  Apa lagi diharapnya pada Mat Labuh yang sanggup beristeri sampai empat sekali gus, tetapi tidak pernah memberikan nafkah untuk keluarga.  Masing-masing terpaksa mencari rezeki sendiri sekalipun mengambil upah di tengah bendang.
Siapa bernasib malang akan dihantar balik ke rumah keluarga mereka apabila Mat Labuh berkahwin lagi.  Memang Mat Labuh tahu dia tidak boleh berkahwin sampai lima isteri sekali gus.  Sebab itu salah seorang darpadanya mesti dijatuhi talaq juga supaya dia  boleh berkahwin seorang lagi
Sebaik sahaja balik ke Pariaman memang Nyimin tidak mahu lagi balik menemui suaminya.  Tatkala dia balik bersama Oneng Tiah menziarahi jenazah ayahnya sebak juga hatinya disebabkan Mat Labuh tidak ikut sama.  Betapa malunya dia tatkala menatap sanak saudara dengan sikap biadap Mat Labuh hingga tidak jengah muka menziarahi ayah mentua sendiri meninggal dunia.
Sebab itu Nyimin ambil keputusan tidak mahu balik semula menemui Mat labuh.  Apa lagi Oneng Tiah yang masih kanak-kanak tidak pernah ambil peduli mengenai ayahnya.  Kalau mereka berdua menetap di Maninjau memang Oneng Tiah jarang dapat bermanja dengan ayahnya Mat Labuh.  Malah ayahnya akan membentak marah sekiranya dia bersuara bising tatkala Mat Labuh balik untuk tidur sebentar sahaja di rumah.
Lama tinggal di Pariaman bersama neneknya, Oneng Tiah tidak teringat langsung pada ayahnya.  Semenjak dia bersama emaknya Nyimin balik ke kampung halaman pun, memang ayahnya tidak pernah lagi jengah muka.  Tetapi tiba-tiba sahaja ayahnya Mat Labuh datang menuntut jumlah wang yang banyak kepada Mak Rainah kerana dituduh melarikan isterinya Nyimin bersama anaknya Oneng Tiah.
Terkejut benar Mak Rainah dengan kelakuan Mat Labuh yang sudah melebihi batas.  Semasa abangnya Sabek mahu memberikan nasihat pun, Mat Labuh tidak peduli apa-apa.  Dia terus mendesak supaya jumlah wang yang banyak itu diserahkan sebelum dia membakar rumah peninggalan POak Danok.
“Kamu sudah melebihi batas, Mat Labuh!”  tiba-tiba mereka melihat bayang jelmaan Pak Danok terapung di udara apabila Mat Labuh terus berkeras menuntutu bayaran kerana menuduh Mak Rainah tidak benarkan Nyimin balik ke pengkuannya.
“Hah, nampaknya Pak Danok menjelma jadi hantu setelah matinya,”  lantas Mat Labuh mengejek dengan membacakan jampi mentera menghalau gangguan puaka jembalang yang menjelma di depannya.
Tetapi bayang Pak Danok sekadar tersenyum dengan gelagat Mat Labuh kelam kabut apabila terserempak dia di situ.  Serba salah juga Mat Labuh disebabkan jelmaan di hadapannya tidak sama dengan tenungan tajam mata Malim Dusak.  Bila-bila dia boleh lenyapkan dirinya sampai Malim Dusak tidak dapat gunakan amalan tenung nur yang boleh memutuskan tali jantung.
Tentu jelmaan Pak Danok di depannya tidak boleh dikelirukan dengan melenyapkan batang tubuhnya.  Sukar dia mahu memerangkap jelmaan tersebut kalau bandingkan dengan Malim Dusak tatkala menyerbnu dia sembunyikan Leha di tengah rumah.  Apabila batang tubuhnya lenyap masakan boleh ditenung tajam oleh Malim Dusak.
“Cuba kau bezakan yang lenyap dan yang hilang, Mat Labuh!”  suara Pak Danok ingatkan lelaki yang terlalu angkuh dengan kebolehan yang dimilikinya itu.  “Kamu boleh lenyapkan tubuh kamu ke dalam nur, tapi kamu tak boleh hilangkan nur,”  ujar jelmaan Pak Danok macam mengejeknya.
“Pak Danok sudah hilang, tapi kenapa menjelma?”  lantas sahaja Mat Labuh menghentak tumitnya ke tanah dengan menyeru:
Lenyap aku dalam kandang, kandung kalimah kata aku, tegak aku seperti alif, berdiri aku seperti zat, bangkitkan dalam diri aku nur, aman yang punya kata, hak yang memberi tahu, huh….
Sebaik sahaja dia mengisar tumitnya terasa pada Mat Labuh perutnya memual mahu muntah.  Tatkala dia mendongak ke udara melihat bayangan Pak Danok, jelmaan itu tetap tersergam tidak berganjak terapung-apung di situ.  Ketika ini Mat Labuh menyedari dia tidak boleh melawan bayangan Pak Danok sama macam kelirukan Malim Dusak.
“Bil;ang tak sama dengan lenyap, Mat Labuh!”  tegas bayangan Pak Danok tersengih-sengih memerhati lelaki itu. “Kamu berbangga kerana boleh lenyap dalam nur, tapi kamu nur boleh hilang dari kamu, tahu?”  ujar bayangan tersebut lantas menuding jari kearah Mat Labuh.
Sekali gus pula Mat Labuh tidak dapat menahan rasa perut memual-mual terus termuntah-muntah.  Ketika ini Oneng Tiah melihat ayahnya terketar-ketar kaki akibat muntah melambak laksana sisik ular bertali-tali. Geli geleman mereka yang tercegat di situ melihat keadaan muntah Mat Labuh laksana sisik ular berlonggok.
Oneng Tiah yang masih kanak-kanak tidak berani menerpa untuk membantu. Tatkala dia mendongak emaknya Nyimin, perempuan itu sekadar mengusap-usap rambutnya.  Dia sendiri tertegun apabila melihat jelmaan ayahnya yang telah meninggal dunia itu tiba-tiba tercegat sewaktu Mat Labuh berkeras menuntut bayaran yang banyak.
“Tapi sekarang, aku menunmtut bayaran kerana isteri aku dilarikan!”  gerutu Mat Labuh cuba mencari helah setelah tidak berdaya menahan rasa memual-mual perut hingga termuntah dengan bau busuk meloyakan.
“Kenapa kamu tak Tanya bayaran kamu larikan anak gadis orang?”  lantas sahaja bayangan Pak Danok mencemik muka ingatkan Mat Labuh mengenai kebiadapannya melarikan Nyimin dari tangan keluarga.
Terkebil-kebil mata Mat Labuh apabila diungkit demikian.  Dia sendiri tidak pernah memikirkan tuntutan bayaran semasa melarikan anak gadis Malim Dusak.  Apabila Malim Dusak men yerbu sengaja dia kelirukan dengan lenyapkan diri ke dalam nur.  Dia tidak peduli sekalipun adiknya Usin Barik mengutuk kelakuannya terlalu ikutkan nafsu semata-mata mahu memikat siapa sahaja perempuan yang berkenan di hati.
Semasa Mat Labuh mahu memusingkan badan untuk menghambur tinggi segera bayang-bayang Pak Danok mengisar tangan.  Ketika ini mereka mendengar azan sayup-sayup di udara hingga terasa meremangkan bulu roma.  Sebaik sahaja azan yang bergema jauh di udara itu hilang bersama elusan angin lantas mereka mendengar suara Pak Danok menuturkan:
Qola rabbihkum bil-hoqqi, warabunarrahmanul mus-ta’anu ‘ala ma-tasifun, wahuwal lahhu la-ilaha illa huwa lahul hamdu fil-ula wal-akhiroti walahul hukmu wa-ilaihi turja’un.
Sekali gus angin bertiup kencang lantas memusar kuat hingga Mat Labuh terperangkap dalam pusaran angin berkenaan.  Dia tidak sempat memboloskan diri lantas dipusar sampai debu halaman rumah juga berkisar sama laksana kabus memenuhi sekitarnya.
Dalam masa angin berpusar inilah jelmaan Pak Danok hilang tidak kelihatan di mana-mana.  Sebaik sahaja angin berpusar itu berhenti memusar, Mat Labuh terhuyung hayang tidak menentu di tengah halaman. Dia kemudiannya jatuh tertiarap akibat kepenantan menahan rasa pening yang menusuk-nusuk tengkorak kepala.  Sewaktu Sabek mendekatinya dia melihat air liur Mat Labuh melejeh-lejeh bagaikan berkaca laksana jarum berlian halus sebesar rambut.
Tetapi Nyimin tidak mahu mendekati lelaki yang menuntut bayaran wang sejumlah banyak dari emaknya.  Apalah gunanya dia melayani Mat Labuh sebaik-baiknya kalau lelaki itu terlalu biadap kepada keluarganya.  Saat ini Mat Labuh merayu-rayu di sisi keluarga Nyimin mengakui kesalahannya menganiaya keluarga Pak Danok.
Masakan mudah sangat Nyimin mahu menerima Mat Labuh sekalipun suaminya sudah mengakui kesalahnya.  Dia tidak rela menerima segala suaminya setelah lelaki itu melukakan hatinya.  Tentu Mat Labuh mengalah setelah susuk berlian yang lenyap di dalam tubuhnya tersembur keluar bersama muntah tatkala jelmaan Pak Danok tercegat di udara menghalang keangkuhannya.
“Aku lihat sendiri susuk berlian ayahku keluar bersama muntah!”  gerutu Oneng Tiah apabila kenang kejadian yang menimpa ayahnya bertahun-tahun dulu.
Dia tetap menggeleng-geleng kepala apabila di desak oleh Mat Zakir sama ada gunakan susuk atau pun tidak keadaan dirinya yang terlalu lemah sekalipun tubuhnya masih kelihatan tidak dimamah usia tua.  Memang Mat Zakir syak juga mengenai Onengnya  amalkan susuk setelah lama sangat terkejang di tempat tidur.
“Oneng kamu tak gunakan susuk,”  jelas Alang Jagat perlahan menatap wajah neneknya yang tidak dimakan usia tua itu.  Kalau emaknya Ulung Mahirah masih hidup pun sudah tentu jiran-jiranj tidak menyangka Oneng Tiah neneknya.  Kadangkala Alang Jagat sendiri melihat emaknya seolah-olah lebih tua usianya daripada neneknya Oneng Tiah.
“Memang ayahku dulu pakai susuk berlian,”  perlahan sahaja Oneng Tiah mengakui mengenai ayahnya Mat labuh tusukkan susuk berlian ke dahinya biar wajah berseri-seri sewaktu ditatap sesiapa pun.
“Jadi Oneng tak minta ayah Oneng turunkan susuk tu?”  sengaja Rebitah mengusik disebabkan Oneng Tiah terus menyembunyikan rahsia dirinya.
“Ayah aku tak sama dengan ayah kamu semua!”  gerutu Oneng Tiah mencebek bibir apabila kenang dia tidak pernah mendapat kemesraan daripada ayahnya.
Seisi kampung tahu sangat perangai ayahnya tidak pedulikan anak isteri semata-mata memenuhi nafsu sendiri.  Kalau balik ke rumah tengah malam dia akan merungut-rungut marahkan isteri tidak menentu.  Keesokannya tatkala isteri sudah turun ke sawah dia masih lagi lingkup di bawah selimut sampai santak tengah hari.
Sekiranya sesiapa merungut mengenai barang-barang di dapur tidak mencukupi, Mat Labuh tidak bimbang apa-apa.  Dia akan turun dari tangga rumah menghilang entah ke mana.  Tidak lama kemudian dia akan balik ke rumah membawa barang-barang keperluan dapur cukup sampai seminggu.  Tetapi dia tidak benarkan isteri-isterinya ungkit sumber dia mendapatkan barang-barang berkenaan.
Satu-satunya yang mengetahui rahsia Mat Labuh memang isterinya Nyimin yang sentiasa amalkan petua ayahnya Pak Danok.  Setiap tengah malam Nyimin diminta ayahnya bangun tunaikan solat sunat tahajud tidak henti-henti sampai 100 malam berturut-turut.  Habis sahaja solat Nyimin mesti duduk bertimpuh dengan merenung tepat ke hadapan sehingga nampak bayang dirinya sendiri laksana terconggok di depan cermin.
Memang dia tidak pernah abaikan petua yang diturunkan oleh ayahnya Pak Danok, sehingga Nyimin dapat melihat dirinya sendiri terconggok bagaikan tertimpuh di depan cermin.  Ketika ini dia melihat seolah-oleh suaminya Mat Labuh masuk ke tengah kelompok bunian di kawasan pinggir hutan.  Asal sahaja terdesak dia akan lenyapkan dirinya bersama kelompok bunian berkenaan setelah susuk berlian milik kelompok itu ditusukkan ke dahinya.
Lama Mat Labuh berrtapa di tengah hutan mencari jeram curam semata-mata harapkan susuk berlian ditusukkan ke dahinya.  Tatkala Nyimin melihat tusukan jarum berlian membolos pada dahi Mat Labuh seolah-olah kulit suaminya berlubang macam tikar dianyam.  Tentu Mat Labuh sendiri tidak melihat kulit mukanya berlubang-lubang bagaikan tikar dianyam hingga boleh ditelusi air.
Kalau Mat Labuh melihat sendiri kulit mukanya tentu dia terkejut ketakutan setelah membiarkan kumpulan bunian tusukkan susuk berlian itu. Dengan menggunakan jarum berlian yang ditusukkan ke mukanya penghulu bunian juga menyedut minyak hingga penuh setabung botol.
Memang Mat Labuh tidak menyedari minyak wangi penuh setabung itu disedut dari mukanya sendiri.  Nyimin nampak minyak wangi penuh setabung yang seringkali digunakan oleh Mat Labuh memang darah pekat ditadah di situ.  Setiap kali keluar rumah Mat Labuh akan titikkan minyak wangi berkenaan di jari manis tangannya lantas disapukan pada alis mata.
Tatkala dia dioberitahu mjengenai kematian ayahnya Pak Danok, dia seolah-olah sudah dapat mengagak kejadian tersebut menimpa ayahnya.  Sebaik sahaja dia bertimpuh tengah malam merenung tepat ke hadapan sampai dirinya sendiri menjelma Nyimin dikejutkan apabila cucuk sanggul dihulurkan kepadanya.
Ketika dia mencapai cucuk sanggul yang dihulurkan itu tiba-tiba sahaja bayangan ayahnya jatuh terguling dalam keadaan payah bernafas. Dia tidak bingkas bangun membantu kerana menyedari semua yang dilihat sekadar bayangan semata-mata. Tetapi cucuk sanggul yang dihulurkan itu bukan lagi bayangan, sebaliknya benar-benar cucuk sanggul yang boleh digunakan.
Asal sahaja Nyimin gunakan cucuk sanggul berkenaan di rambutnya nescaya dia melihat wajah Mat Labuh berlubang-lubang bagaikan tikar dianyam.  Sebab itu tidak mahu lagi menemui Mat Labuh di Maninjau setelah jejak kaki balik ke kampung halamannya di Pariaman. Biarlah dia membawa anaknya Oneng Tiah balik ke Pariaman menetap bersama keluarganya.
Tetapi Mat Labuh tidak berputus asa mahu mengajak Nyimin setelah kejadian jelmaan ayahnya Pak Danok menghalang tuntutan lelaki itu.  Disebabkan mahu melarikan diri daripada Mat Labuh sengaja Nyimin melarikan diri ke Payakumbuh.  Kemudian dia terus ke Pekanbaru sebelum menyeberangi laut sampai ke Semenanjung.  Dia sanggup menjadi buruh kasar membawa anaknya Oneng Tiah sekalipun jauh dari kampung halaman dan sanak saudara.
“Aku tak pernah dapat kasih saying macam kamu orang semua!”  tutur Oneng Tiah menahan sebak di dada.
Tentu Mat Zahir dan adiknya Rebitah diasuh penuh kasih sayang oleh Alang Jagat, disebabkan dia tidak peduli sangat dengan amalan-amalan keduniaan.  Tahu sangat dia cucunya Alang Jagat tidak pernah pencilkan diri di tengah hutan bertapa macam diamalkan oleh ayahnya Mat Labuh.  Memang Alang Jagat juga tidak mahu anak-anakmnya mencari amalan demikian.
Biarlah Mat Zahir belajar pondok sampai ke Patani kalau mahu mencari amalan yang diredzai Allah. Tentu belajar pondok tidak sama dengan bertapa dengan menjamah tujuh butir bertih sahaja setiap hari. Lebih baik berpuasa dengan keredzaan daripada bertapa macam Mat Labuh yang inginkan kemahiran amalkan susuk berlian.
“Kalau begitu, Oneng kenalah rajin makan ubat,”  Mat Zahir memujuk setelah tidak dapat mengagak penyakit yang menyelubungi Oneng Tiah.  Biarlah Onengnya makan ubat yang dibekalkan hospital supaya badannya kembali segar
Tetapi Oneng Tiah enggan diberi ubat-ubat tersebut.  Kalau ditelan pun nescaya akan termuntah semula hingga nafasnya termengah-mengah.  Sebab itu mereka tidak boleh mendesak sangat sekiranya Oneng Tiah enggan menelan ubat-ubat berkenaan.
“Sakit tua macam aku ni, buat apa beri ubat,”  ujar Oneng Tiah mencemik muka semacam ingatkan cucu cicitnya supaya tidak bersusah payah ubati dia.  Biarlah dirinya tidak diubati apa-apa sehingga dia menutup mata rapat-rapat.
Dalam keadaan Oneng Tiah lemah tenaga, masakan mereka boleh berdiam diri.  Semua cucu cicitnya tidak tergamak biarkan Oneng Tiah dengan tidak diubati sekalipun penyakit yang dihidapinya akibat sudah terlalu tua.  Sekalipun Alang Jagat tidak dapat sahkan umur neneknya, namun dia dapat mengagak sudah tentu melebehi 100 tahun.
Masakan dalam usia melebihi 100 tahun Oneng Tiah boleh bertenaga gagah.  Salangkan Alang Jagat sendiri sudah dapat merasakan ketuaan dirinya tidak segagah mana.  Kadangkala dia kagum juga dengan neneknya yang tidak rabun, tidak pekak dan tidak kelu lidah dalam usia demikian tua.
Kalau bandingkan usia neneknya dengan dia sendiri, Alang Jagat seolah-olah sudah mengalah dalam usianya melebihi 70 tahun.  Bukan takat tenaganya tidak segagah mana, malah seringkali juga diganggu sakit lemah-lemah sendi.  Alang Jagat tidak kecewa apa-apa disebabkan usia melebihi 70 tahun memang sudah tidak boleh bertahan lagi.
“Oneng mahu ubat cara kampung ke?”  Mat Zahir mendesak setelah Onengnya terus berdegil tidak mahu makan ubat yang dibekalkan hospital.
Oneng Tiah terdiam sejenak.  Tetapi dia menggeleng-geleng perlahan kemudiannya seolah-olah enggan mahu diubati.  Dia tetap berkeras tidak mahu diubati disebabkan dirinya tidfak menghidapi apa-apa penyakit.  Tubuh badannya yang lemah tidak bertenaga semata-mata disebabkan usianya sudah melebihi 100 tahun.
Apa lagi yqng diharapkan kepada dirinya setelah usia demikian lanjut.  Dia masih berbangga kerana tidak nyanyuk dalam usia demikian.  Fikirannya masih segar hingga dapat ingatkan semula semua kejadian yang berlaku di kampung halamannya di Pariaman yang jauh ditinggalkan.
“Macam itulah keadaannya ustaz,”  beritahu Alang Jagat tatkala saya menjengah kerumahnya bersama Haji Sidin.  “Tenaganya aje lemah, tapi dia kuat melawan penyakit,”  dia menambah apabila memberitahu mengenai penyakit Oneng Tiah.
“Orang tua macam inilah buat pupuk bumi aje gunanya,”  Oneng Tiah mengomel disebabkan cucu cicitnya bersungguh-sungguh sangat mahu ubati dirinya.
“Tanggungjawab cucu cicit semua jaga Oneng.” Sahut Haji Sidin memujuk setelah orang tua itu terlalu sebak menahan keharuan.
“Anak cucu aku semua dah taka da, aku aje yang masih macam ni,”  gerutu Oneng Tiah apabila kenang cucunya emak Haji Sidin sudah lama meninggal dunia.
“Saya masih ada lagi, nenek,” segera Alang jagat memintas setelah Oneng Tiah beberapa kali menyebut mengenai emak Haji Sidin.  Memang emak Haji Sidin juga cucu Oneng Tiah, tetapi sudah lama meninggal dunia.
Cuma satu-satunya cucu dia yang masih hidup memang Alang Jagat.  Sebab itu dia mudah terharu apabila kenang anak-anak dan cucu-cucunya sudah meninggal dunia, salangkan di masih terconggok di situ.  Tentu cucu cicitnya tiedak senang dengan keadaannya yang sudah tua, tetapi masih belum menutup mata rapat-rapat sama macam anak-anak dan cucu-cucunya.
“Aku ni bukannya sakit, tapi umur aku dah tua sangat,”  keluh Oneng Tiah memanjang bagaikan kecewa dengan keadaan yang menyelubungi dirinya.
Sebaik sahaja saya memegang lengannya dengan membacakan al-Fatihah tiga kali.  Oneng Tiah mula dapat bertenang.  Dia tidak sebak menahan keharuan yang menusuk.  Setelah saya hembus ubun-ubunnya dengan membacakan:
Iz-qolayusufu li-abihi ya-abata inni ro-aitu ahada ‘asyarakau kabauwasyamsa wal-qamara ra-aituhum li-sajidin, perlahan-lahan Oneng Tiah melirik senyum menatap muka saya.
Kemudian saya bisikkan pada Haji Sidin supaya diusung Oneng Tiah ke hujung halaman setiap pagi mandikan dengn embun.  Oneng Tiah juga mahu meneguk embun di atas daun keladi yang bersilau disinari cahaya matahari tengah naik segalah.  Tiga pagi mereka usung Oneng Tiah mandikan dengan embun, dia sudah boleh berjalan sekalipun gunakan tongkat.

SELESAI