Saturday, March 23, 2013

55. TOK AWANG NGAH - PEREMPUAN TERGANTUNG DI POKOK KELEPUNG



  Sehingga jam 11.00 malam Cikgu Salim masih menangis terisak isak menyebabkan isterinya Cikgu Miah bertambah gelisah. Nampaknya setelah diubat oleh Dukun Hun tidak ada juga perubahan. Sudah tiga hari Cikgu Salim termenung, menangis terisak-isak dan kelihatan rusuh sejak peristiwa terserempak perempuan membasuh kain di malam hari di pinggir sungai berhampiran surau.
Saya sendiri heran mengapa gangguan masih juga ada, pada hal Dukun Hun sudah mencubanya bersungguh-sungguh. Usup Tukang Kebun yang saya minta tidur di rumah saya untuk sama-sama menjaga Cikgu Salim, cepat-cepat bingkas bangun sebaik mendengar isakan Cikgu Salim yang semakin kuat. Dia memandang saya bagaikan serba salah.
Guru Besar sudah menasihatkan Cikgu Miah supaya membawa Cikgu Salim berubat di kampong kalau masih juga tidak sembuh. Memang Guru Besar pun faham penyakit Cikgu Salim itu bukanlah boleh dibawa  ke hospital. Mungkin pihak hospital juga tidak tahu apakah ubatnya. Paling tidak pun pihak hospital akan mengatakan Cikgu Salim ‘tension’ sahaja.
“Macam ustaz, kita panggil Dukun Hun?” Tanya Usup bimbang
Saya tidak menyahut, tetapi mengajaknya ke sebelah di rumah Cikgu Salim. Kebetulan semasa kami mahu ke rumahnya, Cikgu Miah sudah memanggil dari sebelah . Dia juga cemas dengan keadaan yang menimpa suaminya itu.
“Macam mana ni ustaz?” Cikgu Miah kelihatan rusuh. “ Saya ni dah bodoh, tak tau apa nak buat lagi” katanya bergetar menahan kesebakan dada.
“Sabarlah dulu cikgu…” sahut isteri saya berdiri di belakang saya. Dia juga tidak tidur lagi, kerana kami tinggal bersebelahan tentulah sakit pening jiran sebelah mesti dipentingkan. “Cikgu Salim ni boleh dikatakan kurang juga sakitnya, ada orang di kampung saya dulu lebih teruk lagi dari ni” jelas isteri saya memujuk.
“Biarlah saya panggil Dukun Hun” Usup tidak jadi masuk ke rumah Cikgu Salim . Dia terus keluar mencapai basikalnya, kemudian hilang dalam kegelapan malam.
“Saya ingat tak ada gangguan di malam ni” ujar saya memerhatikan Cikgu Salim terlentang di tempat tidur dengan menekup tangan ke muka.
Cikgu Miah hanya mengelengkan kepala. Dia tidak faham apa yang saya maksudkan. Tetapi saya sengaja tidak mahu mengubati Cikgu Salim, kerana tidak ada pun lelaki di situ. Kalau ada Usup mungkin dia boleh membantu sekiranya ada gangguan yang boleh menyebabkan Cikgu Salim bangun melawan.
“Macam mana pun kita tunggulah Usup datang” beritahu saya perlahan.
Malam mulai sepi. Bunyi kuang jauh di tengah rimba sayup-sayup memanjang. Meremang juga bulu tengkuk kalau jarang mendengar bunyi kuang sayup-sayup ini. Kadangkala bunyi burung jampuk di tengah malam pun boleh meremangkan bulu tengkuk kalau orang tidak biasa mendengarnya. Kesepian malam diganggu juga oleh bunyi kuang sayup-sayup di tengah rimba itu.
Esakkan Cikgu Salim masih kedengaran seperti tangisan yang hiba. Dia cuma menekup mukanya dengan tangan. Tidak pula saya tahu samada dia benar-benar menangis atau sekadar terisak-isak saja.
“Cikgu Salim…..” saya memanggilnya.
Dia mendengus menyahut, tetapi tangannya tetap menekup muka. Dia tidak mahu sesiapa pun berhadapan dengannya.
“Kenapa cikgu ni?” Tanya saya mahu menduga.
Dia mengeleng-ngelengkan kepala sambil isakannya semakin kencang. Saya lihat Cikgu Miah juga ikut sama tersengguk-sengguk melihat keadaan suaminya demikian. Mungkin dia belum pernah mengalami keadaan demikian sebelumnya.
Susah juga hendak diduga apakah gangguan yang dihadapi oleh Cikgu Salim, kerana dia tidak mahu bercakap apa-apa. Dia hanya mendiamkan diri saja sejak tiga hari lalu. Cuma yang dapat didengar ialah isak tangisnya bagaikan orang putus asa.
Usup pernah memberitahu saya, beberapa orang kampung memang terjumpa lembaga perempuan membasuh di perdu pokok kelepung itu. Tetapi mereka tidaklah terganggu sampai tiga hari seperti Cikgu Salim. Apabila mereka nampak perempuan duduk di perdu pokok itu, cepat-cepat mereka tinggalkan. Tidak ada pula yang tidak sedar diri selepas melihat lembaga perempuan di situ.
Karim seorang anak muda berumur 18 tahun ketika menjengah kailnya pada kira-kira 8.00 malam pernah terserempak. Karim rajin memasang kail cucuk di sepanjang sungai. Kalau hatinya bosan duduk di rumah, pukul 8.00 malam pun dia akan turun ke sungai menjengah kail cucuknya.
Sikap gila-gila bahasa Kari mini menyebabkan dia dikenali di kampung sebagai budak tiga suku. Jadi kekal lah dia dipanggil Karim Tiga Suku. Jarang dia mahu ke surau, walaupun apabila menjengah kail cucuknya dia menempuh halaman surau. Tetapi Imam Leh tidak hiraukan sangat anak-anak muda seperti Karim ini. Biarlah dia bebas melakukan apa yang disukainya.
Semasa dia meranduk air melintasi pokok kelepung di tubir sungai, dia terdengar isakan seorang perempuan tersengguk-sengguk. Berdebar juga hati Karim mendengar tangisan perempuan di situ. Hatinya cepat menuduh tentulah langsuyar di tempat-tempat begini. Tetapi kalau langsuyar selalunya bukan menangis terisak-isak, sebaliknya akan mengilai panjang.
Karim memberanikan hati merapati pokok kelepung sambil menghunus parangnya. Anak muda tiga suku sepertinya memang tidak merasa takut apa-apa. Selangkan terserempak harimau kumbangkan lagikan dikejarnya, inikan pula berdepan dengan perempuan.
Kocakan air diranduk didengar berdepak-depak kuat menyebakkan isak tangis itu hilang. Apabila dia sampai diperdu pokok kelepung tidak ada apa-apa yang dilihatnya, cuma kesan orang membasuh ada kelihatan. Buih sabun di atas papan lapuk di situ masih baru seolah-olah orang yang membasuh  masih ada disitu.
Peristiwa ini diberitahu oleh Karim pada Usup sendiri. Mula-mulanya Usup tidak percaya mengenai cerita tersebut. Dia menganggap sengaja direka oleh Karim supaya tidak ada orang berani menjengah kail cucuknya pada sebelah malam hari. Selalu juga apabila sebelah pagi Karim menjengah kail cucuknya, tetapi ada kesan telah dijengah orang terlebeih dahulu.
Mungkin dia sengaja mereka-reka cerita supaya orang tidak berani turun ke sungai pada sebelah malam. Mereka tidak akan menganggu lagi kail cucuk yang dipasang oleh Karim.
Tetapi bukan Karim saja yang terserempak perempuan membasuh di perdu pokok kelepung itu. Mat Sitam yang mengendap kail cucuk Karim juga pernah terserempak. Termengah-mengah dia lari bila perempuan itu memegang bahunya. Cepat-cepat dia menepis tangan perempuan itu dan lari naik memanjat tebing sungai.
Usup sendiri pernah terserempak. Dia sengaja mengendap di situ bersama Karim kerana hendak mempastikan siapakah perempuan yang membasuh kain di situ. Mengapa pula dia membasuh kain pada waktu malam saja.
Lama dia duduk dalam belukar tebrau berhampiran pokok kelepung berkenaan. Hampir juga dia berputus asa dan memutuskan tidak mahu lagi menunggu di situ. Tetapi Karim menyuruh dia menunggu lagi sehingga sampai jam 11.00 malam. Disebabkan bosan menunggu Usup berkeras mahu balik meninggalkan Karim seorang sahaja di situ.
Baru dia mahu bangun dari mencangkung, isak tangisan merintih-rintih kedengaran hampir dengannya. Dia mencari dari arah mana bunyi isakan itu. Kemudian mendongak ke atas dan ternampak kain putih berbuai-buai ditiup angin. Karim menuding ke arah kain putih yang kelihatan berbuai-buai ditiup angin itu. Sekaligus Karim menerpa ke perdu pokok kelepung untuk merentap kain putih yang berbuai-buai ditiup angin itu.
Belum sempat Karim sampai ke perdu pokok kelepung, kain putih itu hilang dari pandangan. Tangisan itu juga hilang tidak kedengaran.
“Kau gopoh sangat!”tempelak Usup menegur Karim.
“Aku nak tangkap, kalau Pontianak aku nak kawin dengannya” kata Karim bergurau.
“Perempuan begitu ramai, kau nak kawin dengan hantu’ Usup mengejek.
Karim ketawa berdekah-dekah mendengar ejekan Usup. Sebenarnya dia sengaja memperli Usup yang tidak percaya dia pernah menemui perempuan membasuh kain di situ. Tetapi Usup memang sudah mendengar cerita mengenai Milah ini dari emaknya, kerana Milah itu pangkat emak saudara kepada emaknya.
Memang benarlah sudah beberapa kali orang terserempak jelmaan perempuan membasuh kain di situ. Sejak peristiwa Milah dijumpai mati tergantung di situ. Kisah orang kampung terserempak perempuan membasuh kain di malam hari sudah menjadi bualan.
Orang yang terserempak sebelum Karim menemui lembaga itu pun mengakui bahawa mereka pernah terlihat, tetapi enggan menceritakan kepada orang-orang lain. Mereka merasakan tidak penting diberitahu sesiapa tentang apa yang mereka lihat. Boleh jadi yang terlihat seperti kain putih yang terbuai-buai ditiup angin itu, cahaya lampu gaslin dari surau yang menyilau ke daun pokok kelepung yang rimbun. Bunyi isak tangis itu boleh jadi dibawa angin dari suara kanak-kanak yang berdekatan.
Tetapi setelah Karim mengakui menemui lembaga perempuan di situ, barulah mereka mahu mengaku  kebenarannya. Bagaimanapun setakat itu tidak ada siapa pun diganggu sampai tidak sedarkan diri seperti Cikgu Salim. Jelmaan lembaga perempuan membasuh itu tidak pernah menyerang mangsanya, sebaliknya hanya menjelma saja kemudian menghilang. Hanya Cikgu Salim ini sajalah yang tidak sedarkan diri bila terserempak.
Tidak lama kemudian selepas meninggalkan rumah Cikgu Salim kerana memanggil Dukun Hun, Usup balik semula kira-kira pukul 12.30 malam. Dia seorang saja terjongol.
“Tak ada Dukun Hun, abang Usup?” soal Cikgu Miah menjengah muka.
“Dia ke Hulu Cheka” sahutnya kepenatan sambil duduk tersandar lemah. “Besoklah baru dia balik agaknya tu” ujarnya perlahan.
 “Habis, macam mana ustaz?” Cikgu Miah sudah tidak sabar lagi dengan keadaan suaminya merintih-rintih tidak tentu biji butir. Sudah tiga hari dia tidak bercakap apa-apa selain dari terisak-isak menangis.
Saya juga serba salah. Kalau mahu dipanggil Imam Leh mungkin Usup sudah penat. Kesian juga saya melihat Usup tidak tidur malam selama Cikgu Salim berkeadaan demikian. Tentu Usup juga memerlukan rihat setelah bersusah payah ke rumah Dukun Hun. Apakah halnya Dukun Hun ke Hulu Cheka tidak pula diketahui. Boleh jadi dipanggil oleh orang di sana, atau boleh jadi juga dia menemui gurunya di sana.
Ada ceritanya, Dukun Hun ni rajin berguru ke mana-mana saja. Sampai ke Durian Tipus pun dia sanggup pergi untuk berguru, kadangkala sampai ke Serting di Kuala Plah. Di Hulu Cheka ini khabarnya dia berguru dengan salah seorang sahabat Mat Kilau yang terkenal dalam perang melawan Inggeris di Pulau Tawar.
Disebabkan Dukun Hun tiada terpaksalah saya meminta izin dari Cikgu Miah untuk cuba mendoakan Cikgu Salim. Sebenarnya ketika ini saya belumlah biasa lagi melakukan kerja-kerja begini, malah pernah saya dimarahi oleh Tok Aji kerana tidak mahu mencuba.
Saya memulakan membaca 7 ayat Surat Yassin yang terakhir dengan kuat dan diikuti dengan Ayat Kursi. Selepas itu saya bacakan ayat 13 dari Surat Al-Naam, ayat 9 dari Surat Sajadah dan ayat 82 dari Surat Al-Isra’. Setelah membacanya saya dapati Cikgu Salim masih juga terisak-isak.
Kerana tidak ada juga perubahan saya terus membaca,
Alif lam mim sat, kaf ha ya ain sat, ha mim ain sin kaf,
iaitu awal ayat-ayat Quran yang Allah saja mengetahui maksudnya. Kemudian disambung lagi dengan:
usqun aiyuhal waji’ billahhillazi ‘inyasya’:
dan disambung dengan ayat 31 dari Surat Loqman. Biasanya bila dibacakan ayat-ayat  berkenaan kepada mereka yang ada gangguan akan cepat dapat kita ketahui penyakitnya. Mereka yang ada gangguan itu akan menerkam mahu melawan.
Tetapi Cikgu Salim hanya menunduk. Dia tidak melawan atau memarahi kami. Heran juga saya dengan keadaan demikian, kerana belum pernah saya mengalaminya. Saya juga membaca Surat As-Saffa untuk mencuba samada terdapat gangguan yang menyebabkan Cikgu Salim berperangai demikian.
Saya hampir kecewa kerana ayat-ayat Quran yang saya bacakan tidak memberi kesan kepadanya. Kalau sudah ayat-ayat Quran tidak memberi bekas, apakah yang boleh saya lakukan lagi?
“Macam mana ustaz?” Tanya Usup tidak sabar.
“Entahlah…………” keluh saya memerhatikan Cikgu Salim terlentang di katil dengan menekup muka dengan tangan. “Agaknya tak ada gangguan apa-apa dengan cikgu ni . Boleh jadi dia terlalu terkejut, semangatnya hilang” saya menduga-duga.
“Kalau tak juga baik, Nampak esoknya saya bawa balik aje ke kampong” ujar Cikgu Miah tersengguk-sengguk.
“Kampung mana?” Tanya isteri saya pula, kerana Cikgu Miah kampungnya di Jelebu manakala Cikgu Salim kampungnya di Maran. “Kampung cikgu ke , kampong Cikgu Salim?” isteri saya merenung muka Cikgu Miah.
”Kampung dialah” jelas Cikgu Miah lesu.
Setelah berfikir sejenak, saya pun menyuruh semuanya tenang dan bersabar.
“Jangan sesiapa pun ganggu saya, walau apa pun yang terjadi” saya mengingatkan Usup dan Cikgu Miah. Kemudian saya menyuruh isteri saya mengingatkan mereka berdua apabila saya tidur, sebagai ikhtiar terakhir, saya hendak mengetahui apakah sebenarnya yang terjadi kepada Cikgu Salim. Cikgu Miah dan Usup hendaklah diam saja.
Saya pun membaca doa:
Allahhu yatawafal Anfusa hinna mauti hawallati lam tamut fi manamiha payumsikullati qada ‘alaihalmaut…….
Sambil saya meneruskan dengan zikir. Perlahan-lahan saya mula tertidur dan melupakan segala ingatan, kecuali memusatkan diri kepada masaalah yang dihadapi oleh Cikgu Salim . Semuanya adalah dengan izin Allah belaka.
Ketika ini saya merasakan diri saya sampai ke pohon kelepung di tebing sungai. Saya melihat Milah menangis terisak-isak dalam keadaan bimbang. Sekali sekali dia meraba perutnya, sedang wajahnya tetap sugul.
Ketika ini seorang lelaki yang dapat saya fahami ialah Lajak memanggilnya. Semasa Lajak datang membawa Milah pergi orang-orang kampong berkerumun di perdu pokok kelepung. Mereka memerhatikan saja Lajak melayang-layang ke udara membawa Milah pergi bersama.
Setelah mereka pergi dan tidak diganggu lagi oleh orang-orang kampung, Milah tetap datang juga bermain main di pokok kelepung itu membasuh kain. Setiap kali dia akan menangis tersedu apabila datang membasuh kain di situ, kerana sangat berdosa kepada kedua orang tuanya. Sebab itu dia terus juga membasuh sebagai usaha membalas jasa baik kedua orang tuanya Mak Embun dan Bakar Tenjot.
Sehinggalah Cikgu Salim terserempak dia sedang bermain di situ. Disebabkan Cikgu Salim tidak pernah mengalami kejadian aneh demikian, dia telah terkejut berlebihan. Inilah yang menyebabkan gangguan jiwanya setiap kali terkenangkan peristiwa tersebut.
“Kau tubuh halus…” saya menyeru pasangan lelaki perempuan yang berada di perdu pokok kelepung. “Jangan kau ganggu Cikgu Salim ni, pergi kau dan jangan datang lagi” ujar saya menghampiri mereka berdua.
“Kami tak ganggu dia” sahut lelaki yang berdiri di samping perempuan yang terserempak dengan Cikgu Salim. “Agaknya dia terkejut, sebab itu tak ingat jalan balik” jelasnya ramah.
“Nampaknya kau dari orang-orang baik, oleh itu baliklah kau ke tempat kau dengan cara baik” kata saya macam memberi amaran.
Saya melihat mereka berdua serba salah mendengar perintah saya. Yang si lelaki kelihatan tenang, tetapi si perempuan gementar sedikit. Disebabkan yang perempuan itu gementar sengaja saya mengancam yang si perempuan.
“Aku tau asal kau, perempuan mati tergantung asal kau!” sambil saya membaca Al-Fatihah tiga kali, lantas menghembus ke arahnya.
Dia tersenyum apabila saya hembuskan Al-Fatihah kepadanya. Seolah-olah dia merasai nikmat yang membahagiakan.
“Aku merasa aman dengan doa ustaz” katanya melirik senyum.
“Janganlah bermain-main dengan saya” gertak saya mengeraskan suara. “Awak jangan ganggu Cikgu Salim ni, faham!” bentak saya lebih tegas.
“Kami tak ganggu dia” jelas si lelaki lembut memperlihatkan seperti orang yang ikhlas. “Agaknya dia tersesat jalan, kerana terlampau terkejut” dia memberitahu sambil menunjukkan kepada saya ke arah Cikgu Salim yang kelihatan termenung di atas sebuah busut.
Saya yakin dia tidak menganggu Cikgu Salim. Sebab itulah apabila dibacakan ayat-ayat tertentu Cikgu Salim tidak berubah keadaannya. Malah Dukun Hun sudah mencuba dengan ayat-ayat yang menggempur syaitan, tetapi ternyata tidak memberi kesan.
Memang Ayat Kursi satu-satunya ayat yang paling digeruni oleh syaitan, tetapi apabila dibacakan kepadanya keadaan Cikgu Salim seperti juga. Sebab itu saya sudah menduga tidak ada gangguan apa-apa pada dirinya. Jadi, pengakuan lembaga lelaki itu saya rasa memang munasabah.
Bagaimanapun saya rasa kawasan tempat mereka bermain itu mestilah dimusnahkan supaya ianya tidak membimbangkan orang yang terserempak.
“Eloklah awak tinggalkan tempat tu” saya cuba memujuk. “ Anak cucu takut, kalau awak datang juga ke situ, anak cucu juga yang susah” ujar saya mengingatkan mereka berdua.
Saya lihat lembaga si perempuan menitiskan air mata mendengar kata-kata saya itu. Sementara lembaga si lelaki memujuknya. Mereka tidak menyahut apa-apa lagi.
“Tempat awak bukan di sini, tempat awak di barzah” tegas saya selanjutnya bila mereka tidak menyahut. Saya membacakan Al-Fatihah lagi sambil menghembuskan kepada mereka berdua.
Mula-mulanya mereka kelihatan enggan pergi dari kawasan pokok kelepung itu, Tetapi apabila saya membaca;
Ihdinas siratul mustaqim
Saya hembus ke arahnya tiga kali. Mereka berdua kelihatan tersenyum bila saya hembuskan ke arahnya. Kemudian mereka melayang ke udara hilang ke dalam satu cahaya yang jauh dari penglihatan mata.
Setelah mereka berdua hilang dari pandangan, saya dapati Cikgu Salim masih termenung di atas sebuah busut. Lantas saya bacakan Surat Wadduha dan menghembuskan ke arahnya. Saya dapat melihat Cikgu Salim yang termenung di atas busut itu menjadi seperti asap bila dihembus. Dia kemudiannya hilang dari pandangan saya, dan kepulan asap yang saya hembus itu juga hilang entah ke mana.
Saya membaca Astaghafarullah sebanyak sepuluh kali sebelum meninggalkan tempat itu. Hinggalah saya merasa diri saya kembali hilang dalam kegelapan yang seperti kurungan, tetapi keadaannya cukup selamat barulah saya sedar semula dari tidur.
Terlalu letih saya apabila bangun dan terus duduk sambil menyandarkan belakang ke dinding. Saya tidak pedulikan langsung apakah khabarnya Cikgu Salim.
“Pukul berapa sekarang Bang Usup?” saya berpaling pada Usup setelah lama tersandar.
“Pukul dua lebih …”katanya melihat jam di tangan. “Lama juga ustaz tidur” ujarnya tersengih-sengih.
Saya juga tersengih-sengih. Sebenarnya Usup tidak tahu apa yang saya lakukan, kerana saya sudah mengingatkan isteri saya jangan memberitahu apa-apa pada Cikgu Miah, sekiranya saya melakukan pengubatan tersebut.
“Macam mana Cikgu Salim?” soal saya memerhatikan Cikgu Miah.
“Alhamdulillah, tidur nampaknya dia “ beritahu Cikgu Miah tergaris kegembiraan di wajahnya. “Tak lama ustaz tidur tadi, dia berhenti terisak-isak langsunglah dia tidur” jelasnya terkuap-kuap juga menahan mengantuk.
Besoknya Cikgu Salim kelihatan segar dan sihat. Dia bercadang untuk pergi ke sekolah walaupun ditegah oleh isterinya. Heran juga Cikgu Miah kerana Cikgu Salim yang disangkanya sakit itu tiba-tiba saja sihat dan terus mahu ke sekolah. Usup yang tidur di rumah saya kerana mahu menemani Cikgu Salim juga terkejut melihat Cikgu Salim seperti tidak sakit apa-apa.
Disebabkan kami tinggal berdekatan dengan sekolah, Guru Besar juga datang untuk bertanyakan Cikgu Salim. Memang dia terkejut kerana baru semalam dilihatnya Cikgu Salim moyok, tetapi hari itu berkeras pula mahu mengajar.
“Cubalah berihat dulu Cikgu” Guru Besar menasihatkan.
“Eh, saya tak sakit apa-apa” ujarnya tersengih-sengih.
“Tak apalah cikgu, Kalau Cikgu Salim nak ke sekolah biarlah. Apa salahnya…..” saya mencelah.
Saya tahu Cikgu Salim tidaklah sakit seperti yang diduga. Dia hanya terkejut menyebabkan hilang semangat. Kalau budak-budak yang menghadapi masaalah demikian mungkin juga boleh membawa maut sekiranya sudah ajal, tetapi orang dewasa seperti Cikgu Salim masih boleh melawan kelemahan semangatnya itu. Sebab inilah dia tidak sedarkan diri saja.
Cerita Usup memanggil Dukun Hun pada tengah malam itu juga sampi ke pengetahuan dia. Dia juga beritahu mengenai Cikgu Salim sudah sembuh dari sakitnya. Tetapi Usup mengatakan, mungkin bila disebut Dukun Hun menyebabkan penunggu yang menganggu Cikgu Salim itu cepat-cepat lari. Dukun Hun mengingatkan Usup supaya jangan percaya tentang penunggu atau puaka.
“Hanya satu makhluk yang dilaknati Allah iaitu syaitan” ujarnya.
Orang-orang dikampung itu heboh bercerita mengenai Cikgu Salim yang tidak sedarkan diri setelah terserempak lembaga perempuan membasuh kain di perdu pokok kelepung. Mereka juga mendapat tahu Dukun Hun berjaya memulihkan semula Cikgu Salim.
Itulah sebabnya beberapa hari kemudiannya Dukun Hun mengajak Usup dan Karim Tiga Suku ke rumah Cikgu Salim. Ketika dia sampai memang Cikgu Salim benara-benar sudah sihat. Disebabkan ada tetamu di rumahnya saya juga tumpang sekaki, kerana tetamu itu memang saya kenal belaka. Malah mereka juga mengajak saya ke sebelah untuk sama-sama berbual.
Semasa menghadapi hidangan kopi dan rebus ubi, Dukun Hun sengaja bertanya kepada Cikgu Salim apa terjadi padanya selama tiga hari tidak sedarkan diri.
“Susah juga nak ingat balik” ujar Cikgu Salim tersengih-sengih. “Selama ini saya tak percaya benda-benda macam ni ujud, tetapi inilah kuasa Allah” keluhnya macam mengingatkan semula peristiwa yang menimpanya itu.
Dia mula menceritakan iaitu selepas menemui perempuan membasuh di perdu pokok kelepung itu, dia cuba menghampirinya. Tetapi dia nampak ada tali menarik perempuan itu ke atas menyebabkan dia tergantung. Dia berlari balik ke surau dengan tujuan meminta pertolongan menyelamatkan perempuan yang tergantung itu, tetapi dia tidak dapat mencari surau lagi.
Ketika ini dia merayau-rayau mahu mencari bantuan hingga sampai ke satu busut. Dia duduk di situ bersedih hati kerana tidak dapat menolong perempuan yang tergantung pada pokok kelepung itu. Dari atas busut itu dia nampak perempuan itu terkapai-kapai macam meminta pertolongan, tetapi suaranya tidak keluar akibat tercerut pada tali.
Dia cuba menolong tetapi tidak berdaya untuk bangun, kerana lutunya terasa berat tidak boleh diangkat. Sekali sekala dia terdengar suara azan, tetapi suara itu tidak tahu dari siapa. Sepanjang masa dia tidak dapat menahan kesedihan kerana perempuan yang tergantung mengeletek-geletek macam meminta pertolongan.
“Saya teringat hanya ustaz datang mengajak saya balik” ujarnya mengerling kearah saya . “Saya nampak ustaz seolah-olah terbang melepaskan perempuan itu dari tali yang mencerutnya” dia menjelaskan perlahan.
Saya hanya tersengih-sengih bila Dukun Hun berbisik kepada saya, “Ustaz, kemenyan sebesar lutut, kalau tak dibakar takkan berbau”. Tetapi mereka tidak dengar apa yang dibisikkan oleh Dukun Hun itu.




 
SELESAI

No comments:

Post a Comment

Post a Comment