Saturday, August 1, 2015

135. DITIMPA BADI RUSA JANTAN


   TERGERAK juga dihati Mail Togok mahu membawa isterinya Kimah balik sahaja ke rumah, tetapi bimbang kalau keluarga isterinya akan salahkan pula dia. Memanglah dia berhak pada diri Kimah sebagai isterinya, namun dalam keadaan Kimah terbaring di katil hospital dia perlukan juga pandangan sanak saudara. Manalah tahu perkara buruk berlaku, tentu siapa pun tidak boleh disalahkan.
Sudah lama sangat Kimah terlantar di katil hospital sejak hampir sebulan dimasukkan ke wad. Terpaksa juga Mail Togok bawa isterinya ke hospital dengan tidak memberitahu sanak saudara terlebih dulu. Manalah dia dapat menahan sabar tatkala Kimah mengerang-erang tengah malam menanggung sakit kepala.
Sampai menghempas-hempas badan Kimah mengerang disebabkan kepalanya berdenyut-denyut sakit bagaikan ditusuk mata kapak. Memang Kimah sudah beberapa kali mengadu pada suaminya fasal kepala sakit tidak menentu. Apabila ditelan sahaja pil penadol sakit kepala itu hilang serta merta.
"Ambilkan aku pil," keluh Kimah terkapai-kapai tangan disebabkan Mail Togok terkial-kial meyelak laci almari, tetapi tidak menemui apa-apa.
"Awak letakkan di mana?" rungut Mail Togok setelah puas mencari pil yang diberitahu oleh isterinya.
"Takkan dah habis," gerutu Kimah menahan kesakitan yang kian menyesak. "Aku sendiri simpan dalam laci almari tu," tegas Kimah terketar-ketar tidak dapat mengangkat kepalanya.
Terpaksa pula Mail Togok menyuruh anaknya cari di dapur. Boleh jadi Kimah terlupa disebabkan menahan kesakitan. Memang pil yang diberitahu oleh Kimah itu diletakkan dalam almari lauk di dapur. Cepat-cepat Senah bawakan pil berkenaan kepada emaknya.
Sebaik sahaja Kimah telan pil yang diunjukkan kepadanya, dia semakin menggelepar menahan sakit. Sebab itulah Mail Togok tidak sabar lagi dengan keadaan Kimah. Lantas. dia memapah isterinya masuk ke kereta terus sahaja dihantar ke hospital.
Dalam masa seminggu sahaja Kimah terlantar di hospital, kulitnya yang putih kuning sudah berubah menjadi hitam bagaikan daun pisang dilayur. Tetapi doktor tidak memberi apa-apa penjelasan mengenai penyakit yang dihidapi oleh Kimah.
Sebab itulah saudara mara Kimah mula mendesak supaya Mail Togok bawa sahaja balik ke rumah. Tetapi Mail Togok bimbang sekiranya Kimah dibawa keluar sebelum pihak hospital putuskan supaya balik. Siapa yang akan rawat Kimah kalau dia berkeras meminta dikeluarkan sahaja dari hospital?
"Macam mana aku nak buat ni?" keluh Mail Togok meluah-kan rasa resah kepada kawan sepejabatnya Ali Ranggi.
"Ah, cubalah ikhtiar cara lain," sengaja Ali Ranggi memberi peransang kepada kawan-nya biar Mail Togok tidak mudah putus asa. Dalam saat demikian memang siapa pun mudah gelabah tidak menentu. Macam mana mahu tenteram hati apabila kenangkan isteri terlantar di hos-pital.
"Ikhtiar apa lagi aku nak buat?" Mail Togok menggeleng lemah kerana tidak dapat me-mikirkan apa-apa lagi.
"Berubat cara kampung pula," beritahu Ali Ranggi mengingatkan kawannya.
"Ah, mana aku nak cari dukun?" Mail Togok bagaikan orang bodoh mengharapkan pertolongan daripada sesiapa sahaja. "Aku bukan kenal sangat dukun ni," ujarnya perlahan seolah-olah mengharapkan belas ihsan kawannya itu.
Tersengih-sengih Ali Ranggi dengan sikap kawannya yang semakin kebingungan. Hampir sebulan Kimah terlantar di hospital, badannya semakin lemah. Setiap kali Ali Ranggi suami isteri datang menjengah, dia riang berbual bagaikan tidak menanggung sakit apa-apa.
Hanya kulit badannya sahaja sudah bertukar menjadi kendur dan hitam laksana daun pisang dilayur ke api. Memang Kimah tidak mengadu sakit kecuali sendi-sendinya sahaja lenguh hingga terasa ngilu sampai ke tulang.
Selepas beberapa kali menjengah Kimah di hospital itulah Ali Ranggi menelefon saya. Terkejut juga saya apabila pagi benar Ali Ranggi menelefon sebelum saya habiskan wirid solat subuh. Selepas solat subuh dan selesaikan wirid, segera saya menelefon dia semula. Manalah tahu ada perkara mustahak hendak diberi-tahunya.
"Isteri kawan saya sakit, angah," Ali Ranggi menjelaskan dalam nada tersengih-sengih.
"Emmm, kalau sakit kenapa tak berubat?" sengaja saya mengusiknya.
"Dah berubat, dah bawa pun ke hospital," jelas Ali Ranggi sepupu saya masih juga tersengih-sengih.
"Jadi, apa lagi masalahnya?" tegas saya mendesaknya.
Memang Ali Ranggi tidak bertangguh menelefon saya sekiranya kawan-kawannya di pejabat menghadapi masalah keluarga mengadu hal kepadanya. Disebabkan dia ,sepupu yang rapat hubungan dengan saya, seringkali dia akan menelefon asal sahaja kawan-kawannya menghadapi masalah demikian.
Kadangkala rimas juga saya dengan hal yang tidak sudah-sudah menimpa kawan di pejabatnya. Sampaikan barang kemas hilang pun dia akan meminta Ali Ranggi hubungi saya bertanya-kan di mana tersoroknya. Kadang kalanya mereka macam mendesak pula seolah-olah saya tahu sangat meneka sama ada barang yang hilang itu tersorok atau pun tidak.
Puas saya memberitahu tidak tahu, mereka tidak percaya pun. Apalagi Ali Ranggi yang kerap-kali beritahu mereka mengenai saya dapat membantu. Sudah beberapa kali saya ingatkan Ali Ranggi supaya tidak bersikap demikian, tetapi dia akan mendesak isteri saya pula.
"Isteri kawan saya tu, tak tahu apa sakitnya," ujar Ali Ranggi semacam memujuk. "Kulitnya kecut macam daun pisang di-layur," suaranya merendah seolah-olah menahan rasa terharu. "Nantilah dulu, kalau lapang angah akan telefon kamu balik," sahut saya sengaja berdalih.
Memang saya tidak mahu memberi jaminan untuk melihat Kimah di hospital, sekalipun Ali Ranggi mengaku perempuan itu mempunyai hubungan keluarga di sebelah ayahnya. Perkara ada hubungan keluarga itu tidaklah menyebabkan saya terdesak sangat mahu segera menjengah.
Apalah yang boleh saya lakukan apabila melihat perempuan itu terkejang di katil hospital. Saya sekadar boleh doakan sahaja memohon pertolongan Allah semata-mata. Manalah ada upaya saya mahu membantunya tatkala Kimah terkejang menanggung kesakitan demikian.
Selepas sahaja solat sunat dhuha, saya menunduk perlahan merenung jauh ke dalam diri sambil berdoa dalam rasa gementar:
Fattahazat min dunihim hijaban fa arsalna ilaiha rohana fatamath thala laha basyaran sawiya.
Saya ulangi sehingga dua puluh satu kali, hingga terasa seolah-olah diri saya tercampak ke wad hospital berdepan dengan Kimah yang terkejang di situ.
Memang terkejut saya dengan keadaan kulitnya yang kendur laksana daun pisang dilayur ke api. Puas yang mengagak puncanya masih juga tidak dapat dituduh. Tetapi Kimah kelihatan gelisah bagaikan kepanasan apabila saya tercegat di situ.
Setelah merenung seluruh tubuh Kimah lantas saya membacakan perlahan:
Walatad'u ma'allahhi ilahan akhara la-ilaha illa huwa kullu syai-in halikun illa wajhahu lahulhukmu wailaihi turja'un.
Sekaligus Kimah berpaling ke arah saya dengan wajah sayu.
Sekonyong-konyong ketika ini bayangan lembaga seperti asap nipis menjelma di penjuru katil dengan memukanya bertopeng seolah-olah sangkar besi. Puas saya merenung bayangan yang menjelma itu, tetapi masih tidak dapat melihat wajahnya yang tersembunyi di sebalik topeng besi itu.
"Buat apa awak nak tunjuk pandai?" jerkah bayang seperti asap nipis itu cuba merapati saya.
Apabila saya bacakan surah al-Ikhlas tiga kali dengan menekan ibu jari ke tapak tangan, lembaga yang berbayang itu tercampak ke penjuru. Dia menjadi marah disebabkan dirinya tercabar.
"Nampaknya awak ni nak tunjuk tinggi ilmu!" gerutu menggertap bibir mengancam saya yang duduk tidak berganjak di sisi Kimah.
Saya menggeleng kepala. Biarlah dia cuba berdalih saya tetap tidak mahu menyahut untuk melayaninya. Kalau saya bercakap sudah tentu dia dapat melambat-lambatkan saya untuk terus membacakan kalimat-kalimat Allah di depannya.
Memang itulah yang sengaja dilakukan oleh bayangan lembaga itu, supaya kalimat-kalimat Allah tidak dibacakan di hadapannya. Setelah saya bacakan al-Fatihah tiga kali, lantas saya mengisar tapak tangan dengan membaca:
Allahumma inna nas aluka fi nururihim wa na’uzubika min syuru rihim.
Serentak dengan itu rantai besi merah laksana bara terhunjam dari udara menerjah ke Iubuhnya. Lembaga itu terperangkap di penjuru bilik, tetapi topeng besi di mukanya seolah-olah terkunci di bahagian tengkuk  hingga tidak boleh tertanggal lagi.
"Ah, awak buat macam mana pun, takkan dapat kalahkan aku!" bayangan lembaga itu mengejek sekaIipun dia menggeliat-geliat akibat diterjah rantai besi merah seperti bara menyala itu.
Saya tetap tidak menyahut apabila diejek demikian. Saya ulangi membaca al-Fatihah sampai 41 kali. Memang dia cuba juga menerkam ke arah saya sambil berpura-pura mampu menggerakkan tenaganya, sekali pun saya dapat melihat keadaannya yang lemah terkial-kial.
"Awak dah lemah, jangan cuba nak berpura-pura!" sengaja saya mengejeknya disebabkan bayangan lembaga itu berdegil mahu berlawan.
"Hah, awak fikir ilmu awak tinggi sangat?" dia mencebek bibir dengan dendam yang membara di hati.
"Ilmu Allah meliputi segala-galanya!" sahut saya biar perasaannya kian meluap-luap marah. "Bukalah topeng awak tu, buat apa nak sembunyikan muka?" lantas saya hembus ke mukanya dengan membacakan 17 kali surat al-Ikhlas dan Ayatul Kursi.
Dia tercengang-cengang tidak menentu apabila suara saya bergema laksana guruh di udara. Kemudian sedikit demi sedikit bayangan lembaga itu hilang bersama asap menipis.
Ketika ini saya masih lagi duduk di atas sejadah sebaik sahaja selesai solat sunat dhuha. Memang saya terdengar bunyi telefon berdering di luar, tetapi saya tidak pedulikan sangat. Biarlah isteri saya yang menyambutnya. Selalunya memang isteri saya yang menyambut telefon apabila ada panggilan.
Saya mendengar isteri saya bercakap dengan Ali Ranggi memberitahu kawannya Mail Togok baru menelefon. Cemas sangat Mail Togok menelefon Ali Ranggi disebabkan Kimah ketakutan tidak menentu. Kimah menuding jari ke penjuru bilik semasa Mail Togok masuk, tetapi tidak bercakap apa-apa.
Apabila dipanggil jururawat merawatnya, dia sekadar tenangkan Kimah dengan memujuknya. Jururawat itu menuduh Kimah meracau disebabkan suhu badannya panas setelah lama sakit menderita sakit.
"Ali nak cakap dengan awak, ustaz," beritahu isteri saya “sekejap lagi nak ajak awak ke hospital," jelasnya menyampaikan pesan Ali Ranggi yang ikut sama gelabah selepas menerima telefon dari Mail Togok.
Saya mengangguk perlahan, tetapi terus duduk di kerusi dengan tidak bersiap-siap menukar pakaian. Biarlah Ali Ranggi datang menjemput ke rumah, saya tidak peduli apa. Kalau sekadar mahu doakan Kimah apa perlunya saya datang menjengah ke wad hospital. Lagipun saya bukannya dukun kalau diminta untuk merawatnya.
Di mana-mana pun boleh doakan. Kalau diizinkan Allah doa itu dimakbulkan sekalipun lidak datang menjengah. Sekira-nya datang menjengah pun belum tentu lagi Allah akan makbulkan doa itu.
Kadangkala mereka yang mendesak itu tidak memahami bahawa doa seseorang itu hendaklah dengan rasa takut kalau-kalau tidak dimakbulkan oleh Allah, dan dengan sepenuh harap supaya Allah makbulkan. Memang bimbang juga saya sekiranya doa-doa itu tidak dimakbulkan maka orang akan memfitnah saya pula.
Tetapi sukar sangat mahu menerangkan kepada mereka seperti Ali Ranggi ini apabila saya enggan mahu datang menjengah. Kalau tidak kenangkan dia sepupu, memang berat juga saya mahu memenuli kemahuannya yang seolah-olah mendesak itu.
Sama juga dengan Ucu Tunal yang diharapkan sangat oleh orang-orang kampungnya di Kesang apabila diganggu syaitan. Kadangkala apabila keluarga mereka dirasuk sampai meracau-racau, tidak bertangguh mereka memanggil Ucu Tunal.
 Siapa lagi diharapkan di kampungnya kalau bukan Ucu Tunal yang mampu menghalau gangguan pelesit atau hantu raya yang merasuk. Anak Lebai Jimin dianiaya orang sampai terasa digigit lipan di pangkal paha pun, Ucu Tunal yang dijemput datang mengubatkan.
Memang Saenah gadis berumur 16 tahun itu nampak lipan bara merah melekap di pangkal pahanya. Mengerekot lipan bara itu mencengkam dengan ekornya terbalik. Beberapa kali ditepis oleh Saenah barulah lipan bara itu tercampak ke lantai terus menyusup ke bawah tikar.
Ketika Saenah terjerit kesakitan sempat dia memberitahu emaknya Utih Sumi mengenai lipan bara yang mengerkah pangkal pahanya, kemudian menyusup ke bawah tikar selepas terhumban ke lantai. Apabila dilingkupkan tikar itu, Utih Sumi tidak melihat pun lipan bara di situ.
Sampai pitam Saenah akibat bisa gigitan lipan bara yang menusuk. di pangkal pahanya. Sebab itu cepat-cepat Lebai Jimin memanggil Ucu Tunal untuk memulihkan. Siapa lagi boleh diharapkan untuk memulihkan Saenah kalau bukan Ucu Tunal dukun di kampungnya.
Sebaik sahaja Ucu Tunal naik ke rumah, dia tersengih-sengih memberitahu Saenah tidak digigit lipan bara. Lantas sahaja dia menuduh Saenah sekadar dipermainkan orang. Hampir tidak percaya Utih Sumi kerana dia melihat sendiri bekas gigitan lipan bara itu di pangkal paha anaknya.
Tetapi Ucu Tunal tidak salah meramalkan gangguan yang menimpa Saenah itu. Setelah dia doakan pada daun sirih, terus disuruh lekapkan pada bahagian yang digigit lipan bara itu. Sebaik sahaja Utih Sumi lekapkan daun sirih itu tiba-tiba sahaja upih pinang yang diukir macam lipan bara tercampak ke lantai dari bumbung rumah.
"Hah, itulah lipan baranya," ujar Ucu Tunal menguis-nguis upih pinang yang diukir macam lipan bara itu.
Serta merta pula Saenah pulih daripada pitamnya. Dia mengaku tidak mengalami apa-apa kesakitan, sekalipun sebelumnya dia terjerit-jerit menangis.
" Balaskan pada orang yang menganiaya ni, ucu!" lantas sahaja Utih Sumi mahu berdendam.
 "His, jangan biarkan syaitan menggoda," segera Lebai Jimin ingatkan isterinya. "Biar orang aniaya, patutnya awak syukur Saenah dah sembuh,: katanya tidak bersetuju dengan keputusan Utih Sumi mahu membalas dendam.
Upih pinang yang diukir seperti lipan bara itu diserahkan pada Ucu Tunal. Biarlah dia tentukan sama ada mahu dibakar atau dibuang sahaja ke mana-mana. Belum pun Ucu berkisar duduk mahu meninggalkan rumah Lebai Limin, tiba-tiba sahaja Ngah Miyah memanggil Lebai Jimin dari Iengah halaman.
Sebaik sahaja pintu dibuka, cemas sangat Ngah Miyah membertahu anak bujangnya Wahid termengah-mengah sakit perut.  Berguling-guling Wahid menahan sakit perut seolah-olah disengkang kayu melintang.
"Tak payahlah pergi," beritahu Ucu Tunal tersengih-sengih. Dia tunjukkan upih pinang diukir seperti lipan bara itu kepada Ngah Miyah supaya berikan kepada Wahid. Hairan juga Ngah Miyah dengan ubat sakit perut yang diberikan oleh Ucu Tunal itu,
Disebabkan dia dalam keadaan terdesak terpaksa juga Ngah Miyah mengambilnya. Dia berharap biarlah Wahid sembuh dengan jampi Ucu Tunal melalui upih pinang yang diukir seperti lipan bara itu. Memang bertambah hairan Ngah Miyah kerana Wahid pulih serta merta sahaja sebaik sahaja dia unjukkan upih pinang tersebut.
Tetapi selepas kejadian itu, Wahid terus sahaja meninggalkan kampungnya. Dia mengikut kawannya ke Singapura disebabkan malu sangat setelah dia mengaku di depan emaknya cuba memperdayakan Saenah. Memang Wahid berharap Lebai Jimin akan meminta bantuannya untuk mengubati Saenah. Dia sudah bayangkan akan memegang pangkal paha gadis itu sekiranya Utih Sumi meminta bantuannya.
Setiap kali Ucu Tunal ceritakan kepada saya mengenai Saenah digigit lipan bara itu, dia akan mencebek bibir mengejek perbuatan orang yang gunakan kepandaian mahu menganiaya jiran sendiri. Alangkah baik sekiranya kepandaian demikian digunakan untuk membantu jiran sama sekampung.
 Lama juga tidak mendengar khabar Ucu Tunal, tiba-tiba sahaja Kadir Misai memberitahu orang tua itu sudah lebih tiga bulan terkejang tidak dapat bangun. Makan pun terlentang sahaja dengan bersandar ke bantal sambil isterinya Misah Sepet sudukan ke mulut.
Sebaik sahaja mendengar Ucu Tunal sakit, tidak bertangguh saya mengajak Kadir Misai ke Kesang. Ketika saya bersama Kadir Misai sampai beberapa orang jiran sedang membacakan Yassin. Ucu Tunal masih mahu dilayan berbual sekalipun tubuhnya terlalu lemah.
"Lama kita tak jumpa, ustaz,°' tuturnya perlahan apabila saya duduk di sisinya.
Saya sekadar mengangguk sahaja. Ketika meletakkan tapak tangan ke dahinya terasa kulit Ucu Tunal kendur macam daun sirih kecut dilayur. Memang Misah Sepat juga mengakui dalam tempoh seminggu sahaja Ucu Tunal demam, kulitnya berubah menjadi kendur sampai kecut tidak bertahan.
"Dukun macam Ucu Tunal pun sakit juga,"keluh Misah Sepet terharu dengan keadaan suaminya yang terkejang lebih tiga bulan.
Kalaulah tidak disebabkan cucunya berkahwin dengan anak saudara Kadir Misai, memang saya tidak tahu mengenai Ucu Tunal terkejang sakit. Sahak cucu Ucu Tunal yang sampaikan berita mengenai datuknya sakit itu kepada Kadir Misai.
"Kenapa tak beritahu kami?" Kadir  Misai bagaikan menyesali Misah Sepet kerana tidak mahu memberitahu mengenai Ucu Tunal terkejang sakit itu.
"Entahlah, tak ingat lansung," sahut Misah Sepet tidak keruan. Dia sendiri kelam kabut menghadapi keadaan demikian, tentulah tidak ada masa mahu memberitahu sesiapa.
Biarlah Sahak yang beritahu rakan-rakan datuknya. Lagipun tidak disangka pula dukun macam Ucu Tunal boleh alah penyakit. Kalau mahu dikatakan penyakit biasa sudah dibawa ke hospital pun. Lebih sebulan juga UcuTunal terlantar di hospital, sampai dia sendiri mendesak supaya dibawa balik sahaja ke rumah.
"Macam mana mulanya ucu sakit?" lantas Kadir Misai menatap muka Ucu Tunal selepas jiran jiran selesai bacakan Yassin setelah mereka berkumpul sebaik habis isya di situ.
Tergenang air di pelupuk mata Ucu Tunal apabila ditanyakan demikian oleh Kadir Lama dia terkebil-kebil mata barulah Ucu Tunal dapat bersuara lemah:
"Ucu balik dari hutan berburu rusa," jelasnya sebaik sahaja kenangkan dia masuk ke hutan bersama Dolah Tenjot. Dia sendiri yang galas senapang dengan Dolah Tenjot mengekori dari belakang.
Memang Dolah Tenjot sendiri tidak tahu apa yang berlaku sewaktu masuk ke hutan bersama Ucu Tunal. Sebaik sahaja dipelawa berburu ke hutan tidak bertangguh dia ikut sahaja. Sudah kerapkali dia ikut Ucu Tunal ke hutan kalau diajak berburu.
Tidak pernah mereka balik tangan kosong sekiranya sudah meranduk ke tengah hutan. Bila-bila sahaja Ucu Tunal tidak lepaskan peluang kalau terserempak pelanduk bertandak tatkala meragut pucuk ludai di tepi denai. Sebaik sahaja dentum senapang menggerutup nescaya pelanduk akan terhumban ke perdu pokok.
Siapa lagi akan sembelih leher pelanduk kalau bukan Dolah Tenjot? Pantas sahaja dia menghunus parang asal sahaja pelanduk tergolek ke tanah dengan kaki terkinjal-kinjal menendang angin. Dolah Tenjot akan sendalkan mata parang ke leher pelanduk biar matinya dapat disembelih.
Sebab itulah dia tidak menolak apabila diajak Ucu Tunal berburu ke hutan. Dolah Tenjot sudah berbayang daging pelanduk masak rendang tatkala kaki melangkah masuk ke hutan. Puas juga bersama Ucu Tunal meranduk ke tubir becah, tiba-tiba sahaja mereka menemui jejak rusa masih keruh air.
Tidak bertangguh Ucu Tunal menyusur denai mengikut jejak keruh air itu sampai ke seberang padang lalang. Memang sah mereka berdua nampak rusa jantan tanduk bercabang menjilat-jilat tubuh di tepi belukar. Terhangak-hangak rusa berkenaan sebaik sahaja terdengar bunyi daun kering berdesir di pijak.
"Hari ni rezeki kita baik, ucu," bisik Dolah Tenjot sebaik sahaja Ucu Tunal membedek senapang. Ucu Tunal tidak menyahut. Dia tidak mahu tembakannya jauh dari sasaran dalam saat demikian. Sebab itu dia mesti membedek tepat biar peluru yang berdentam menerjah ke kepala rusa. Tentu rusa itu akan tersungkur menyembam bumi apabila peluru senapang menyinggahi tengkorak kepalanya.
Dalam keadaan berhati-hati itulah Ucu Tunal melepaskan tembakan. Memang jarang tembakannya tidak menepati sasaran. Sekaligus rusa jantan itu tersungkur dengan rengekan memanjang. Tidak bertangguh pula Ucu Tunal mencuit bahu Dolah Tenjot supaya mara ke hadapan menghunus parang menyembelih leher rusa sebelum terlambat.
Tetapi Dolah Tenjot tidak mara ke hadapan. Tatkala Ucu Tunal menoleh ke belakang, terkejut benar dia kerana Dolah Tenjot tidak ada di situ. Puas dia memerhati keliling memang Dolah Tenjot tidak bersembunyi di mana-mana. Lagipun tidak ada sebab Dolah Tenjot mesti bersembunyi tatkala dia melepaskan tembakan.
Di hadapan mereka bukan harimau panjang tujuh yang terseragam menunggu mangsa. Masakan Dolah Tenjot takut tidak menentu apabila terserempak rusa jantan tengah naik badan. Tentu Dolah Tenjot juga  gecur liur kalau daging rusa itu masak rendang.
"Hah, ke mana pula kau Dolah?" gerutu Ucu Tunal segera menerpa ke hadapan. Bimbang juga dia kalau lambat disembelih rasa yang telah terguling ke tanah. Kalau sudah mati kejang memang tidak berguna lagi daging rusa itu dibawa balik.
Sebaik sahaja dia menghunus parang mahu meyembelih rusa, berdebar benar hatinya apakala melihat Dolah Tenjot tergolek di sisi tubuh rusa berkenaan. Darah membuak-buak di kepala Dolah Tenjot dengan kakinya menggelepar sama seperti tubuh rusa yang merengek-rengek dengan kakinya menendang angin.
 "Hah, setan! Kau nak cari geruh aku nampaknya!" bentak Ucu Tunal menggertap bibir.
Segera dia memangku kepala Dolah Tenjot dengan meletakkan pada arah matahari memancar kuat. Kemudian dia memancang anak kayu yang dikerat sedepa di keliling tubuh Dolah Tenjot seolah-olah mengurung di dalam serkap.
Setelah duduk bersila di antara Dolah Tenjot dan tubuh rusa yang merengek-rengek, lantas Ucu Tunal cancangkan mata parang ke tanah. Dia mengukuhkan duduk lantas membacakan:
 Ya qadim, ya daim, ya ahad, ya wahid, ya samad, Allahhumma inni as-aslaka bismikal ahadal a'aza wada'wake, Allahumma bismikal ahadal samada wada'waka, Allahhum-ma bismikal 'azimil witri wadaiwaka. Allahhumma bismikal kabiral mutaralallazi mala-al arkana kullaha an tak'afa 'inni ma asbahata wama amsitafihi.
Kemudian serentak dia mencabutkan mata parang yang tercancang ke tanah hingga keluar darah memancut di tempat mata parang itu tercancang. Sekaligus pula Dolah Tenjot terbersin lantas duduk terpinga-pinga macam terkejut daripada tidur.
Sewaktu Dolah Tenjot berpaut pada anak kayu yang dicancang di kelilingnya mahu bangun, dia melihat rusa yang tergolek bingkas bangun. Cepat-cepat pula rusa tersebut melompat ke dalam belukar menyusup entah ke mana.
"Rusa melintas depan kita, ucu!" jerit Dolah Tenjot bagaikan tidak sabar disebabkan rusa itu terlepas.
Tetapi Ucu Tunal tidak menyahut. Dia memberi isyarat mengajak Dolah Tenjot balik sahaja. Biartah dia balik dengan tangan kosong sekalipun kehampaan terbayang di wajahnya. Puas didesak oleh Dolah Tenjot supaya teruskan juga berburu, tetapi Ucu Tunal sudah mengambil keputusan tidak akan berburu.
Manalah Dolah Tenjot tahu apa yang dialaminya tatkala tubuhnya terkejang di sisi tubuh rusa. Kalau dia berkeras menyembelih rusa berkenaan, tentu Dolah Tenjot juga terpenggal leher. Siapa akan percaya kejadian itu kalau diberitahu kepada orang-orang kampung. Tentu mereka menuduh Ucu Tunal yang memenggal leher Dolah Tenjot.
"Biarlah aku lepaskan rusa tu..." bisik Ucu Tunal sayu apabila menggamit Dolah Tenjot mengajak berundur.
Terpaksa juga Dolah Tenjot mematuhi keputusan Ucu Tunal. Dia sekadar mengikut sahaja ke mana pun dibawa Ucu Tuna! di tengah hutan demikian. Lagi pun senapang terpanggul di bahu orang tua itu, masakan dia boleh berkeras mengajak berburu meranduk hutan.
Dia terasa terkurung di dalam lubang gelap sewaktu Ucu Tunal melepaskan tembakan. Tiba-tiba sahaja kaki nya terjerlus ke bawah dengan tidak bertahan. Puas dia memekik-mekik memanggil Ucu Tunal, tetapi suaranya tidak kedengaran di mana-mana.
Lama dia terkial-kial di dasar lubang gelap itu, barulah Dolah Tenjot nampak cahaya matahari memancar jauh di udara. Dia cuba juga melonjak ke atas, tetapi lubang berkenaan jauh ke bawah. Bimbang juga Dolah Tenjot terkurung di dalam lubang gelap itu sekalipun sudah nampak cahaya matahari memancar. Manalah tahu ada ular berlingkar di situ menunggu mangsa untuk mencerutnya sampai tidak dapat bergerak langsung.
Puas terkial-kial dalam lubang gelap itu barulah DolahTenjot mendengar suara Ucu Tunal memanggilnya. Perlahan-lahan dia merangkak naik sambil berpaut pada akar yang terjuntai. Ketika sampai di permukaan lubang dia terbersin kuat hingga terhumban hingga tercampak ke celah kayu dicancang macam serkap mengurung dirinya. Ketika itu juga dia melihat seekor rusa jantan bingkas bangun melompat ke tengah belukar.
Manalah Dolah Tonjet tahu mengenai dia terbaring di sisi tubuh rusa dengan kepalanya berlumuran darah. Masakan dia percaya kalau Ucu Tunal beritahu kejadian sebenarnya berlaku ke atas mereka berdua. Cuma Ucu Tunal satu-satunya yang dapat memahami geruh tersebut, sehingga dia terpaksa menggunakan apa sahaja ikhtiar untuk selamatkan kawannya Dolah Tonjet.
"Kalau begitu, ucu ni kena badi," lantas sahaja Kadir Misai menuduh sebaik sahaja Ucu Tunal kenangkan fasal dia berburu ke hutan bersama Dolah Tenjot.
Tidak lama selepas kejadian dia berburu ke hutan itulah Ucu Tunal tiba-tiba mengidap demam sejuk. Terpaksa pula Misah Sepet lingkupkan selimut berlapis-lapis ke seluruh tubuh suaminya. Dia percaya Ucu Tunal tentu diserang demam kura sampai terkokol-kokol menahan kesejukan yang menusuk.
"Aku ingatkan dia kena demam kura," beritahu Misah Sepet tersengih-sengih mengerling suaminya yang terkejang tidak bergerak tubuh.
 Tentulah dia sangkakan Ucu Tunal diserang demam kura setelah terketar-ketar sejuk sampai lebih satu jam. Kemudian dia mengerang-erang kepanasan lantas membuangkan selimut. Setelah berpeluh-peluh hingga meracau tidak menentu barulah dia tidur nyenyak keletihan.
Sejuk menggigil-gigil itu berulang lagi keesokannya, kemudian panas membahang dan berpeluh-peluh seluruh badan. Sebab itulah Misah Sepet menuduh suaminya dihinggapi demam kura. Tahu sangat Misah Sepet kalau sebut fasal demam kura, memang begitulah penyakit tersebut merasuk mangsanya.
Tetapi seminggu selepas berulang-ulang seperti keadaan diserang demam kura itu, tubuh Ucu Tunal berubah menjadi kurus. Kulitnya menjadi hitam dan kendur laksana daun sirih lecur dilayur. Dia bertambah lemah tidak bermaya lagi.
"Kalau demam kura, minum air jadam pun boleh sembuh," ujar Kadir Misai menggeleng lemah.
"Manalah aku tahu penyakit-nya macam ni," sahut Misah Sepet memicit-micit kepala lutut suaminya. Tetapi dia berhati-hati bagaikan bimbang kulit suaminya akan luruh sama apa-bila dipicit demikian.
"Habis, macam mana fikir ucu sekarang?" soal Kadir Misai tidak tahu bagaimana mahu membuat keputusan.
"Entahlah," lantas sahaja Ucu Tunal menjelaskan sambil cuba mengangkat kepala. "Baca Yassin dah tiga petang, badan aku tak rasa apa-apa lagi, macam kebas!" beritahu seolah-olah terbayang kekecewaan di hatinya.
"Macam mana ustaz fikir baik?" Misah Sepet berpaling menatap muka saya bagaikan mem inta keputusan.
"Terpulanglah pada ucu sendiri," sahut saya perlahan mengusap-usap dahi Ucu Tunal.
Ucu Tunal semakin sebak menahan keharuan hatinya disebabkan dia merasa tubuhnya sudah kebas. Dipicit pun tidak memberi bekas langsung kepadanya. Memang dia tahu dahinya diusap tetapi Ucu Tunal tidak dapat lagi merasa usapan tangan saya itu.
Lama dia tersengguk-sengguk barulah Ucu Tunal memberitahu mengenai mimpinya pada malam dia terketar- ketar menahan kesejukan bagaikan diserang demam kura. Sengaja dia rahsiakan daripada pengetahuan isterinya mimpi tersebut kerana bimbang Misah Sepet akan menuduhnya sengaja mereka-reka cerita.
 Mimpi itulah yang membawa padah kepadanya, apabila terasa berdiri ditubir jeram memerhati seorang lelaki tua bertunggang di belakang rusa. Dia melihat bahagian kepala rusa itu berlumuran darah bekas ditembusi peluru senapang. Tersengih-sengih lelaki tua itu mengejeknya dengan memegang gada berceranggah di tangan. Kulit lelaki tua itu kendur meluyut macam daun sirih lecur dilayur.
"Hutang mesti bayar Tunal !" jerkah lelaki tua itu bertenggong di belakang rusa berkenaan.
"Bukankah aku dah pulangkan hak kamu?" sahut Ucu Tunal tidak berganjak berdiri di tubir jeram.
"Tapi kau pulang hak aku dah cacat," jelas lelaki tua itu bagaikan berdendam.
"Hah, nampaknya kau sengaja nak cari geruh, kalau begitu aku terpaksa beli!" marah benar Ucu Tunal apabila dicabar lelaki tua berkenaan. Semasa lelaki tua itu melontarkan gada berceranggah, cepat-cepat Ucu Tunal mengelak. Dia melompat menyebabkan kakinya tergeIincir jatuh ke bawah jeram. Terkekeh-kekeh lelaki tua berkulit kendur macam daun sirih dilayur itu mentertawakan Ucu Tonal jatuh ke air.
Lama Ucu Tunal dipusar oleh arus di tengah jeram hingga dia hampir lemas barulah tangannya dapat mencapai batu di tebing. Cepat-cepat dia berpaut naik sampai terasa sejuk menusuk ke tulang sum-sum akibat terlalu lama terendam.
Sejuk yang dialaminya melalui mimpi itulah berterusan bingga menjadi dia demam tergigil-gigil. Selera makannya juga menjadi mual tidak mahu menelan nasi. Sedikit demi sedikit tubuh Ucu Tunal semakin !emah tidak bermaya.
"Kenapa awak tak beritahu saya mimpi tu?" gerutu Misah Sepet kesal dengan sikap suaminya mahu merahsiakan segala-nya daripada dia.
"Ah, mimpi, macam mana nak beritahu," jelas Ucu Tunal meluahkan rasa terharu yang  sekian lama terpendam.
"Memang tak masuk akal," keluh Kadir Misai apabila kenangkan kaitan mimpi itu dengan penyakit yang dialami oleh Ucu Tunal.
"Tapi, kalau cepat dapat tahu mungkin juga ada ikhtiar," katanya lantas mengerling ke arah saya.
Disebabkan penyakit yang dideritai oleh Ucu Tunal itu sudah Iebih tiga bulan, tentulah tenaga jasmaninya tidak mampu lagi melawan penyakit. Kalau diubati pun sekadar harapkan tenaga luar, sedangkan tenaga jasmani itu diperlukan juga untuk melawan gangguan penyakit. Setelah merasakan Ucu Tunal dapat tenteramkan hatinya, lantas saya letakkan tapak tangan di kepalanya dengan membacakan:
"Lailaha illallahhu wallahhu akbaru saddaqahurabbahufaqul lailaha illa ana waana akbaru, waiza qola la-ilaha illallahhu wandahu lasyarika lahu qola yaqulu la-ilaha illa ana wandi lasyarikali, waiza qola la-ilaha illallahhu lahulmulku wala-hulhamdu qola la-ilaha illa ana liyalhamdu waliyalmulku wa-iza qola la-ilaha illallahhu wala haulawala qauwata illa billahhi qola la-ilaha illa ana wala haula wala qauwata illabi."
Ketika ini saya terdengar Ucu Tunal beristighfar beberapa kali dan mengaku seluruh tubuhnya bagaikan bergegar. Apabila saya beralih kelunjur kakinya memegang ibu jari, dia tiba-tiba meng-geliat.
"Hah, baru terasa sakit, ustaz," tuturnya lemah tetapi terkial-kial memberi isyarat kepada isterinya dia semakin sukar mahu bernafas.
Segera Misah Sepet mengusap dada suaminya. Kemudian Ucu Tunal berbisik meminta saya teruskan membaca apa sahaja. Dadanya terasa lapang mendengar saya membacakan doa, tetapi tangannya bergerak-gerak memberi isyarat supaya Misah Sepet terus mengusap dadanya.
Jiran-jiran juga melihat Ucu Tunal sudah mula mahu menggerakkan tangan seolah-olah tenaganya pulih semula. Wajahnya juga segar sekalipun kepala masih belum boleh diangkat. Tetapi segera saya memberi isyarat kepada Kadir Misai supaya mengajak jiran-jiran yang sama terconggok di situ bacakan Yassin.
Dalam masa jiran-jiran bacakan Yassin itulah perlahan-lahan Ucu Tunal menutup mata-nya. Perkara menentukan segala-nya adalah hak Allah, kerana saya sekadar mampu berdoa sahaja. Ucu Tunal menghembuskan nafasnya semasa saya bersama jiran-jiran di situ berdoa memohon pertolongan Allah meringankan beban penyakit-nya.
Sewaktu Ali Ranggi memberhentikan kereta di depan rumah, saya masih terconggok di kerusi. Isteri saya keluar membukakan pintu pagar mempelawanya masuk.
"Eh, angah tak siap lagi?" ujar Ali Ranggi lantas duduk sambil memerhatikan saya masih tidak menukar pakaian.
"Minumlah dulu, lepas tu baru siap-siap untuk pergi," sengaja saya berdalih kerana malas sangat mahu memenuhi permintaan kawan Ali Ranggi itu. Saat ini saya merasa debaran dada saya pula kencang berombak bagaikan menghadapi darah gemuruh.
 "Mail Togok tu harap sangat angah datang," desak Ali Ranggi meminta saya segera menukar pakaian.
Tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa. Sebaik sahaja isteri saya hidangkan sarapan pagi, segera saya mengajak Ali Ranggi minum dahulu. Ketika menjamah sarapan itulah isteri Ali Ranggi pula menelefon. Cepat-cepat isteri saya menggamit Ali Ranggi disebabkan isterinya itu cemas tidak menentu.
Apabila Ali Ranggi mengangkat telefon, dia bagaikan kecewa tidak bertahan. Perlahan-lahan dia meletakkan gagang telefon dan memandang isteri saya tercegat di tepi meja makan. "Kimah tu, baru kejap ni tadi meninggal," jelas Ali Ranggi berjalan lemah lantas duduk semula. Cepat-cepat dia menghirup minuman kerana mahu segera balik ke rumah.