Sunday, June 12, 2016

180. SUMPAHAN BERUK DI KEBUN CENGKIH



JALAN berbelok-belok dari Lubuk Bagulung sampai ke Satinjau Laut melalui Bukit Barisan itu sudah beberapa kali juga saya dibawa oleh Agoes. Tetapi biasanya kalau mahu ke Bukittinggi sebaik sahaja turun kapalterbang di Padang, dia akan membawa ikut jalan Lubuk Alung melalui Lembah Anai. Sekalipun jalan di Lembah Anai berbelok-belok, tetapi tidaklah sama dengan keadaan di Satinjau Laut hingga 17 kilometer mendaki tegak.

Anak saudara saya mengakui tatkala ikut rombongan melawat ke sana sampai termuntah-muntah dia di atas bas apabila melalui Satinjau Laut dari Bukittinggi ikut jalan di Singkarak. Memang perjalanan dari Bukittinggi ikut Singkarak melalui Solok ke Padang lebih jauh, tetapi mereka sengaja mahu melihat keindahan danau di Singkarak.

Tetapi saya tidak terus ke Bukittinggi sebaik sahaja jejak kaki di Padang, kerana diajak menginap dulu di hotel oleh Pak Damin. Setelah beberapa kali ke sana memang kerana urusan keluarga, tetapi tatkala saya dijemput oleh Pak Damin bukanlah untuk menemui keluarga semata-mata.

Pak Damin sudah mengaturkan pertemuan dengan beberapa orang kawannya untuk eratkan persahabatan sahaja. Sebab itu saya tidak memberitahu Mamak Bandaro mengenai kedatangan saya, kerana bimbang dia akan bersusah payah bila menyuruh menantunya Agoes mengambil saya di lapangan terbang.

Sengaja pula Pak Damin tempahkan saya menginap di hotel disebabkan saya tidak rnahu mengganggu dia. Lagi pun hotel di Padang mempunyai musyaralat untuk memudahkan solat. Sebelum menjelang malamnya tatkala saya sampai di Padang, Pak Damin membawa saya melihat bangunan universiti di Limau Manis yang baru dipindahkan.

Malamnya semasa perjumpaan mahu dibuat di dewan yang ditetapkan tiba-tiba sahaja lampu padam tidak semena-mena di kawasan berkenaan. Kelam kabut Pak Dawin kerana tidak menyangka boleh berlaku  kejadian demikian dalam saat perjumpaan mahu dibuat. Terpaksa pula Pak Dawin menghubungi hotel tempat menginap lantas memindahkan perjumpaan dibuat di hotel berkenaan.

Sebab itulah sepanjang perjalanan ke Silungkang mahu melihat tenun kain, Pak Dawin masih tidak dapat melupakan kejadian lampu dewan tiba-tiba sahaja padam. Memang pengawas dewan berkenaan beritahu mengenai kerosakan akibat ribut kencang di sebelah petangnya, tetapi Pak Dawin masih tidak dapat menerima alasan. Kalau kerosakan berlaku di tempat penjana kuasa tentu seluruh bandar Padang menerima padahnya.

Tetapi tempat yang mengalami gangguan elektrik hanya bangunan dewan berkenaan dan beberapa bangunan lain yang berdekatan. Malah bangunan di hadapan di sebarang jalan pun masih mempunyai bekalan elektrik.

"Memang saya masih tertanya-tanya dengan kejadian malam kelmarin, Pak Ustaz," keluh Pak Dawin semasa melalui jalan berbelok-belok di Satinjau Laut itu. Dari puncaknya memang kelihatan Lautan Hindi melebar di bawah dengan kebiruan hingga bertaup ke langit.

Saya sekadar tersengih-sengih sahaja. Manalah saya tahu dengan keadaan di tempat orang, apalagi berlaku kerosakan elektrik sebaik sahaja saya jejak kaki ke dalam dewan. Sewaktu beberapa orang pengawas di dalam dewan sibuk memasang lilin, saya memerhatikan sahaja Pak Dawin merungut-rungut tidak tentu biji butir.

"Setelah kita pindah ke hotel, bekalan elektrik di dewan tu ada semula," jelas Pak Dawin macam kecewa dengan kejadian yang hampir menggagalkan perjumpaan.

Hingga menuruni Setinjau Laut sampai ke Solok Manggis, saya masih mendengar Pak Dawin merungut-rungut mengenai kejadian tersebut. Dia macam tidak percaya bagaimana bekalan elektrik tiba-tiba padam sebaik sahaja perjumpaan mahu dimulakan. Tentu tatkala mahu beranji-ranji mengenai salasilah keturunan silam itu tidak mendapat keizinan nenek moyang sejak bertahun-tahun dulu.

Tetapi saya tidak mahu bercakap apa-apa. Manalah tahu Pak Dawin akan tersinggung sekiranya saya tidak mempercayai sangat mengenai gangguan roh nenek moyang tatkala mahu beranji-ranji itu. Memang dia percaya sangat mengenai gangguan tersebut disebabkan tidak membakar kemenyan terlebih dahulu.

Banyak perkara mesti dibuat kalau mahu beranji-ranji mencari salasilah keturunan masa lampau. Setidak-tidaknya mesti sediakan nasi kuning dengan kepala kambing terconggok di dalam pinggan. Mesti dipanggil pandai dukun yang boleh membakar kemenyan dan menyeru nenek moyang yang sudah meninggal dunia bertahun-tahun dulu semata-mata mahu meminta izin.

"Sepatutnya kita perlu jemput pandai dukunnya," gerutu Pak Dawin masih terkilan dengan kejadian itu.

Saya sekadar tersenyum sahaja dengan gerutu Pak Dawin yang berterusan. Apa lagi tatkala melalui Solok yang terkenal dengan berasnya di Sumatera, Pak Dawin sebut juga fasal cengkih yang tidak menjadi. Pak Dawin beritahu mengenai ramai yang kaya di Solok disebabkan perniagaan cengkih, tetapi mengalami kerugian setelah disumpah orang.

Pekebun-pekebun cengkih sengaja mengejek pekerja yang memanjat cengkih itu sama seperti beruk. Disebabkan mereka sering menghina pekerja-pekerjanya disamakan macam heruk, lantas pekerja-pekerja itu menyumpah biar hasil cengkih tidak menjadi.

Semenjak beberapa lama cengkih di Solok habis pupus akibat diserang ular, pengusahanya baru menyedari kesilapan mereka. Tetapi saat ini gangguan ular itu sudah tidak dapat dihapuskan sekalipun mereka gunakan racun serangga.

"Mereka terkena sumpah tu, Pak Ustaz," ujar Pak Dawin berulang kali apabila kenang kejadian cengkih habis pupus diganggu ulat.

Tetapi Agoes pernah juga beritahu saya mengenai gangguan ulat yang musnahkan pokok-pokok cengkih itu, bukan takat di Solok sahaja. Di beberapa tempat lain yang mengusahakan tanaman cengkih juga dimusnahkan oleh ulat perosak tersebut. Bagaimanapun sengaja saya terangguk-angguk dengan rungutan Pak Dawin itu.

Percaya sangat Pak Dawin mengenai sumpahan pekerja-pekerja yang disamakan dengan kera memanjat pokok cengkih itu yang menjadi punca tanaman cengkih dimusnahkan ulat. Bukan cengkih sahaja akan dimusnahkan kalau tidak mengikut aturan orang tua-tua dahulu, malah tanaman padi juga tidak bersisa dimusnahkan oleh tikus atau belalang.

Bukan takat Pak Dawin sahaja percaya dengan kejadian demikian, malah penduduk-penduduk di kampung saya juga percaya dengan semangat padi yang mudah merajuk kalau tidak dijaga cukup. Kalau semangat padi merajuk nescaya buah padi akan sambang sepanjang tahun hingga kepuk tidak penuh diisi.

Cubalah perolok-olokkan petua orang tua-tua sewaktu musim turun ke sawah. Semasa bersihkan tapak semaian memang dilarang membakar sampah sarap. Biarkan sahaja rumput ditebas kering sendiri sampai hancur bersama tanah. Kalau berkeras dibakar nescaya tikus akan berkeliaran musnahkan anak padi hingga tidak serumpun pun tumbuh di tengah sawah.

Pantang larang demikian mereka pegang kukuh-kukuh supaya semangat padi tidak merajuk. Apalagi kalau memaki hamun tikus di permatang sawah nescaya tidak sempat anak padi membesar. Mereka percaya semangat padi mudah merajuk sekiranya memaki hamun musuh tanaman semata-mata mahu melepaskan geram.

Sebab itu mereka sanggup amalkan amalan memuja semangat padi sekalipun terpaksa sediakan air cuka satu tempayan di ceruk dapur. Tahu sangat saya apabila nenek beritahu mengenai Bidan Sitah amalkan semangat padi hingga terperangkap dengan amalan syaitan.

Berkali-kali nenek ingatkan dia supaya tidak terjebak dengan amalan memuja semangat padi itu semata-mata harapkan kepuk sentiasa penuh sepanjang tahun. Tetapi sepupunya Bidan Sitah tetap berkeras juga meminta Onyang Siayuh turunkan juga amalan tersebut. Apalagi Onyang Siayuh beritahu fasal amalan semangat padi itu boleh membantu dia tatkala bidankan sesiapa yang sukar bersalin.

Bila-bila sahaja Bidan Sitah sanggup sediakan air cuka satu tempayan di ceruk dapur. Tetapi mudah sahaja kepala Bidan Sitah pening sampai termuntah-muntah asal sahaja tercium bau hanyir orang bersalin. Apabila denyut sakit kepalanya kian menjadi-jadi Bidan Sitah akan berkurung di dalam bilik tidur.

Dalam saat kepalanya kian berdenyut Bidan Sitah terasa rambutnya disentap kuat. Sekaligus kepala itu tercabut dari tengkuk dengan mengheret tali perut berjurai-jurai. Dia hanya merasakan kepala itu melayang ke udara menghidu bau hanyir yang semakin menggiurkan seleranya. Memang Bidan Sitah tidak menyedari apa-apa pun yang terjadi, selain daripada menikmati air serbat yang dihirup.

Selepas menikmati air serbat itu Bidan Sitah seolah-olah mendengar bisikan Onyang Siayuh supaya masukkan tali perut yang berjurai-jurai ke dalam tempayan berisi air cuka di penjuru dapur. Bidan Sitah tidak membantah apa-apa sekalipun terasa tali perutnya pedih akibat direndam dalam air cuka.

Setelah tali perutnya kecut bisikan Onyang Siayuh sayup-sayup di telinganya supaya masukkan semula tali perut ke dalam tubuhnya macam sarung kelompong. Tatkala ini kepala-nya akan berpusing dengan muka ke belakang. Hanya sampai ayam berkokok dinihari barulah kepalanya berpusing perlahan sampai mukanya beralih semula ke hadapan. Betapa sakitnya leher Bidan Sitah kepala herpusing perlahan, namun dia terpaksa bertahan kerana himbang melanggar pantang larang yang ditetapkan oleh Onyang Siayuh.

Asal sahaja padi di tengah sawah mula menjulur tangkai, Bidan Sitah akan merasa seluruh hadannya seram sejuk. Selagi dia tidak dapat menyusup mencari perempuan baru bersalin nescaya seram sejuk berterusan sampai padi menguning masak. Dia mesti menyatukan dirinya dengan bayangan Onyang Siayuh menjadi kepala yang tersebut membawa tali perut terus ke rumah perempuan baru bersalin.

Ketika ini dia tidak bertangguh menyusup ke bawah rumah menjilat darah dari celah lubang lantai di bawah tikar mengkuang. Onyang Siayuh akan memaksa dia menjilat darah berkenaan sampai kering, kerana Bidan Sitah hanya merasakan dia menghirup air serbat yang terhidang lazat.

Setelah kering darah perempuan baru bersalin itu dijilat, barulah Bidan Sitah merasa segar kembali. Badannya tidak lagi seram sejuk atau lenguh-lenguh sepanjang musim. Hanya setelah dia terbangun dari tidurnya barulah Bidan Sitah mendapat khabar kematian perempuan baru bersalin akibat gangguan polong.

Seisi kampung menjadi gempar disebabkan kematian perempuan baru bersalin akibat diganggu polong. Satu-satunya yang tidak dapat diperangkap oleh Bidan Sitah memang nenek saya Bidan Ibah. Beberapa kali dia memujuk nenek saya supaya benarkan dia membantu bidankan perempuan bersalin, tetapi nenek tetap akan mengelak.

"Kawan nak bantu awak Kak Ibah, apa salahnya?" ujar Bidan Sitah setelah diberitahu anaknya Mat Timin menjemput nenek saya bidankan isterinya tengah sakit merengat-rengat mahu melahirkan anak. Sengaja Mat Timin tidak mahu menjemput emaknya sendiri, kerana sudah beberapa kali perempuan bersalin yang dibidankan oleh emaknya terkejang mati akibat turun darah.

"Tak payah bantulah, bukan-lah kerja susah," sahut nenek saya tidak benarkan Bidan Sitah membantu.

"Pantang larang orang tua-tua bukan boleh ikut sangat," sengaja Bidan Sitah melarang anaknya Mat Timin supaya jangan sangkutkan duri mengkuang di bawah rumah setelah isterinya Bisah selamat melahirkan anak.

"Ah, kalau ikut pun tak rugi apa-apa," Mat Timin tersengih-sengih sahaja dengan larangan emaknya itu. Apa sangat ruginya kalau sangkutkan duri mengkuang di bawah rumah setentang Bisah tidur. Dia patuhi juga pantang larang yang ditetapkan oleh nenek saya itu.

Sebaik sahaja pagi cerah melayah, nenek saya terus ke sungai untuk mencuci uri tembuni. Sudah menjadi syarat berbidan di kampung siapa sahaja yang menyambut kelahiran bayi mesti mencuci uri tembuninya. Bidan itu juga yang mesti tanamkan di bawah rumah biar senang diunggun api setiap petang.

Mereka percaya sekiranya uri tembuni tidak diunggun api, nescaya bayi dalam bedungan akan menanggung kembung perut sepanjang malam. Sebab itu nenek saya sering ingatkan perempuan yang dibidankannya supaya suruh suami masing-masing unggunkan api di tempat uri tembuni ditanam. Duri mengkuang juga disangkut di bawah rumah tempat tidur perempuan baru bersalin.

Cuma Bidan Sitah yang tidak banyak pantang larang kalau dijemput bidankan orang beranak. Sebab itu tersinggung juga dia apabila Mat Timin tidak menjemput dia bidankan Bisah. Keputusan Mat Timin menjemput nenek saya seolah-olah tidak percayakan dia menjadi bidan di dalam kampung.

Tetapi Bidan Sitah tidaklah tunjukkan sikap marahnya di depan Mat Timin. Dia sekadar menawarkan diri sahaja mahu membantu nenek saya. Tatkala nenek turun mahu ke sungai mencuci uri tembuni, Bidan Sitah tidak bercakap sepatah pun terus sahaja balik ke rumah.

Tatkala Mat Timin bersiap-siap untuk turun ke sawah dia mendengar ayam berketak cemas di bawah rumah. Sekali-sekala dia mendengar riuh orang menghalau ayam supaya jauh mengekas. Disebabkan ayam berketak cemas bagaikan terserempak biawak besar merangkak di tepi lubuk, tidak bertangguh Mat Timin menjengah ke bawah rumah.

"Huh, apa pula bendanya ni?" terkejut Mat Timin setelah melihat kepala tergantung di bawah tempat isterinya terbaring. Tali perut pula berjurai-jurai di bawah hingga dipagut ayam yang banyak berkerumun.

Segera dia memanggil bapa mertuanya Lebai Jamat yang masih terconggok di hujung serambi sebaik sahaja selesai solat dan wirid. Ketika Lebai Jamat menuruni tangga dia sendiri hairan apabila menjengah ke bawah rumah. Kepala yang mengangkut tali perut berjurai-jurai itu tersangkut pada duri mengkuang di situ.

"Hah, kau nak main-main dengan anak bidan Bidan lbah!" gerutu Lebai Jamat setelah menyedari gangguan syaitan mahu merasuk anaknya Bisah.

"Kepala ni macam emak saya," sahut Mat Timin mengamat-amati kepala yang tersangkut itu sama macam emaknya Bidan Sitah.

"Entahlah...!" keluh Lebai Jamat merenung kepala yang tersangkut itu dengan mata terkebil-kebil.

Dalam masa Lebai Jamat terkemamar akibat melihat kepala tersangkut pada duri mengkuang di bawah rumpun itu, Mat Timin sudah menyerbu dengan parang terhunus di tangan. Tidak bertangguh dia menetak kepala tersangkut itu sekalipun bayangnya seperti kepala emaknya sendiri Bidan Sitah.

"Ini bukan emak saya, ini syaitan!" jerit Mat Timin terus menetak kepala itu macam memakuk buah kelapa tergantung di situ.

Dia juga mencencang tali perut berjurai-jurai itu sampai terlambak segala isi bercampur darah pekat. Sewaktu Lebai Jamat cuba meleraikan Mat Timin seolah-olah sudah dirasuk itu nenek saya balik dari sungai membawa uri tembuni yang sudah dicuci.

Tidak terkejut nenek saya apabila diberitahu jiran-jiran yang berkerumun di bawah rumah mengenai kepala Bidan Sitah tergantung dengan tali perutnya berjurai-jurai. Setelah diberitahu kepala Bidan Sitah dicengang anaknya sendiri, segera nenek saya memujuk Mat Timin bertenang.

Lantas nenek meminta sediakan limau langit dengan tepung kunyit bersama daun sepulih. Sebaik sahaja dilangir dengan limau mereka melihat bayangan kepala seperti Badan Sitah itu berasap laksana bara disimbah dengan air. Lama kelamaan kepala yang berbayang-bayang seperti Bidan Sitah itu hilang bersama asap berpusu-pusu.

Hanya kesan darah sahaja melimpah di tanah sebaik bayangan kepala Bidan Sitah hilang tidak kelihatan lagi. Cepat-cepat pula Lebai Jamat mengajak menantunya menjengah ke rumah Bidan Sitah di baruh kampung. Sewaktu mereka berdua naik ke rumah memang terkejut Lebai Jamat apakala melihat mayat Bidan Sitah terbujur dengan tidak berkepala.

"Jangan ambil tahu cerita macam tu," jelas nenek tatkala saya tanyakan kejadian yang berlaku sebelum saya lahir lagi. Sudah bertahun-tahun kejadian itu berlaku tatkala emak saya masih anak-anak lagi, tentulah hampir dilupakan oleh nenek. Dia tidak mahu saya ungkit-ungkit lagi mengenai kejadian yang menimpa Mat Timin.

Tetapi selepas kejadian itu memang nenek mengakui di depan Lebai Jamat, dia melihat Bidan Sitah mengekori dia ke sungai untuk membantunya mencuci uri tembuni. Memang nenek tidak syak apa-apa setelah Bidan Sitah yang mahu balik ke rumah lepaskan ayam di reban tiba-tiba sahaja berpatah ke sungai.

Nenek saya tidak membantah sebaik sahaja Bidan Sitah membasuh uri tembuni. Sementara nenek membasuh tikar dan kain-kain yang dilumuri darah Bisah semasa bersalin. Beberapa minit sahaja nenek membasuh tikar dia mendengar namanya dipanggil dari atas tebing sungai. Sewaktu nenek berpaling dia melihat Tok Syeikh berserban kuning berdiri disitu dengan mencemik muka.

Berdebar juga hati nenek kerana Tok Syeikh menjelma dengan tidak dibakar kemenyan. Biasanya dia membakar kemenyan kalau perempuan bersalin tidak dapat lepas akibat anaknya menyongsang. Lantas sahaja Tok Syeikh menjelma setelah dibakar kemenyan yang dibekalkan sejak turun temurun.

Ketika ini Tok Syeikh akan membisikkan jampi serapah supaya digunakan oleh nenek. Sekiranya bayi dalam kandungan sukar sangat keluar, Tok Syeikh membisikkan jampinya: Tulang bodar tulang maliku, tiga tulang lodus, daging berkuak daging beralur, urat mina bersusup, beralur kala, yang beku minta pecahkan, yang kusut minta usaikan, ah bukan aku yang punya tawar, Tok Syeikh yang punya tawar, berkat la-ilahhail-lallah hu...

Setelah diberi perempuan yang sarat mengandung itu minum air yang sudah dijampikan nescaya mudah sahaja dia melahirkan. Sebab itu nenek tahu sangat Tok Syeikh yang mendampingi dia tatkala berbidan akan menjelma kalau dibakar kemenyan. Nenek juga tidak akan membakar kemenyan sekiranya tidak berhadapan dengan masalah yang berat.

Apabila Tok Syeikh tercegat tidak semena-mena tentu bahaya sedang menjerat dirinya. Serba salah juga nenek tatkala melihat Tok Syeikh mencemik muka tercegat di tebing dengan tidak berganjak sedikit pun. Tongkat di tangannya dihentak-hentak bagaikan terlalu marah sangat. Tetapi nenek juga mudah memberang marah kalau Tok Syeikh mahu tunjukkan garang di depannya.

Tok Syeikh tidak boleh menentukan apa yang perlu dia buat, kerana sejak turun temurun Tok Syeikh sekadar berdamping sahaja. Apabila dipanggil Tok Syeikh perlu menjelma, kalau tidak diperlukan Tok Syeikh tidak payah menjengah muka.

"Kawan tak panggil awak Tok Syeikh!" gerutu nenek tidak senang dengan jelmaan Tok Syeikh ketika itu.

"Awak ni lalai sangat, Siti Fatimah," ujar Tok Syeikh yang membahasakan nenek Siti Fatimah asal sahaja dia menjelma.

"Lalai apa pula ni, Tok Syeikh?" terkejut juga nenek seolah-olah diejek oleh Tok Syeikh berjubah dan berserban kuning.

"Awak tengok ke hilir, Siti Fatimah!" ujar Tok Syeikh selanjutnya menghentak-hentak tongkat ke tanah.

Tatkala nenek memerhati ke hilir sungai bertambah menyirap darahnya apabila melihat Bidan Sitah memamah uri tembuni sedang dicuci di tangan. Berlumur. darah mulut Bidan Sitah memamah uri tembuni hingga tidak disedarinya nenek mendekati dia.

Lantas nenek menampar belakang Bidan Sitah sekuat hatinya terus merampas uri tembuni yang sudah dimamah. Setelah menggenggam uri tembuni tersebut, tidak bertangguh nenek menolak Bidan Sitah hingga terhuyung hayang di tengah air.

"Syaitan yang dilaknat!" gerutu nenek menekan ibu jari kakinya ke pasir sungai.

"Awak jangan ikut cakap Tok Syeikh tu, Bidan lbah," marah benar Bidan Sitah dengan sikap nenek berkasar terhadap dirinya.

Kemudian nenek mendengar Tok Syeikh membisikkan ke telinganya supaya membacakan:

Songsang korak songsang tapak songsang hati jantung engkau, patah sendi patah layang patah alih-alih, ambil besi petua akan pemarak hatijantung hempedu rawan engkau, datang terlentang pulang kau tertangkup, jenjang lama engkau balik, aku tau asal engkau jadi, orang berlaki tujuh asal engkau jadi..

Setelah dibacakan oleh nenek, sekaligus tubuh Bidan Sitah berputar Iigat laksana gasing tengah galak uri. Apabila Tok Syeikh menuding jari telunjuk ke arah Bidan Sitah tiba-tiba tubuhnya melambung naik ke tebing sungai. Tidak bertangguh pula Tok Syeikh memukulkan tongkatnya berulang kali ke tubuh Bidan Sitah hingga memercik darah.

Terjerit-jerit Bidan Sitah akibat dipalu berterusan sampai dia terguling di tanah. Tok Syeikh terus juga memukulkan tongkatnya hingga sekali-sekala memancar api bagaikan kilauan besi dipanah matahari. Memang nenek tahu bukan Bidan Sitah yang dipukul oleh Tok Syeikh hingga terjerit-jerit kesakitan, tetapi bayangan polong yang menjelma seolah-olah Bidan Sitah.

"Awak nak bunuh kami ke, Tok Syeikh?" rintih Bidan Sitah terketar-ketar akibat teruk dibelasah dengan tongkat rotan songsang.

"Tongkat rotan songsang ni aje yang boleh ajar kamu!" bentak Tok Syeikh keras tidak menghiraukan rintihan Bidan Sitah.

"Bidan Ibah, awak nak biarkan kami macam ni?" lantas Bidan Sitah melambai-lambai ke arah nenek. Tetapi nenek tidak pedulikan lagi disebabkan dia perlu cuci uri tembuni biar hanyir darahnya hanyut dibawa arus ke hilir. Kalau Bidan Sitah mahu menjilat hanyit darah tersebut tentu terpaksa menghilir sungai sampai ke laut lepas. Sudah menjadi pantang larang polong tidak akan mengikut arus sungai ke hilir. Sekiranya terus menghilir polong tidak boleh mudik lagi ke hulu, sehingga sampai ke laut lepas.

"Sampai hati awak biarkan kami macam ni, Bidan Ibah!" merayu-rayu Bidan Sitah menahan kesakitan dengan belakangnya semakin mem-bekam darah akibat dipukul dengan tongkat rotan songsang.

"Pasal apa Bidan Ibah nak tolong awak?" jerkah Tok Syeikh berdiri di awang-awangan dengan kaki tidak jejak ke bumi.

Kemudian dia mengheret tubuh Bidan Sitah ke udara hilang di tengah gumpalan kabus yang menutupi puncak bukit bukau di hujung kampung. Sebab itu nenek tidak hairan sangat apabila diberitahu mengenai kepala tersangkut duri mengkuang di bawah rumah Mat Timin.

Sekiranya dilihat dengan mata kasar memang siapa pun tidak akan dapat melihat kepala mengheret tali perut berjurai-jurai itu. Tetapi Tok Syeikh sudah membuka hijab mata kasar hingga mereka yang berkerumun dapat melihat Mat Timin menetak kepala tergantung di bawah rumah. Ayam yang mengekas juga ternampak tali perut berjurai-jurai di tanah macam perut kambing dilapah. Tidak bertangguh ayam-ayam di bawah rumah mematuk tali perut berkenaan menyebabkan kepala yang tersangkut terpaksa menghalau perlahan. Semakin galak ayam-ayam mematuk bertambah terseksa kepala yang tertanggal daripada tubuh itu menahan sakit. Memang dia tidak menduga mata kasar boleh melihatnya setelah hijab dibuka oleh Tok Syeikh.

Semenjak kematian Bidan Sitah tidak berkepala itu, Mat Timin terus sahaja berpindah dari kampung disebabkan tidak tertahan menanggung malu. Tidak mahu lagi Mat Timin jejak kaki balik ke kampung sekalipun jiran-jiran memujuk juga. Setelah berpindah jauh dari kampung halaman tidak siapa lagi mendengar berita mengenai Mat Timin bersama isterinya Bisah.

Apalagi ketika itu perhubungan memang sukar disebabkan tidak ada kereta atau jalan raya yang memudahkan mereka bertemu. Lebai Jamat sendiri tidak tahu mengenai menantunya setelah berpindah ke Perak, kerana Mat Timin seolah-olah mahu melupakan segala kejadian yang memalukan hidupnya sekeluarga.

Tetapi Pak Dawin tidak sama dengan Mat Timin yang membawa diri jauh di rantau orang kerana menanggung malu. Pak Dawin lama di Solok kerana bekerja dengan perkebunan cengkih di situ sejak bertahun-tahun sebelum dia menetap di Padang. Memang Pak Dawin juga meninggalkan kampung halamannya di Pangkalan berhampiran Muara Takus dengan pengalaman getir sewaktu di Solok.

Siapa sahaja yang memiliki kebun cengkih yang luas mudah sahaja marah-marah disebabkan angkuh dengan kekayaan. Mereka akan mencemik pekerja-pekerja yang dibayar gaji murah dengan menyamakan bagaikan beruk yang memanjat pokok.

"Saya terkilan Dawin," keluh Simuncak menggertap hibir apabila dijerkah tuan tanah disebabkan lambat memetik cengkih. Tuan tanah memaksa supaya disediakan cepat cengkih yang siap dipetik untuk dihantar ke Pangkalan.

"Kita pekerja terpaksa ikut perintah, Pak," pujuk Dawin supaya kawannya itu bersabar. Memang dia sendiri mendengar tuan tanah memanggiI Simuncak beruk yang tidak boleh membuat kerja cepat. Kalau sudah dasar beruk memang sepatutnya dihina sepanjang masa!

Sebab itu Simuncak tidak dapat menahan sabar lagi setelah setiap hari dipanggil beruk oleh tuan tanah yang tidak bertimbang rasa langsung. Kalau tidak kenang tanggungannya ramai di rumah memang dia sanggup cekak leher tuan tanah. Biarlah dia dibuang kerja sahaja dari perkebunan cengkih, asal sahaja hatinya puas.

Tetapi bukan Simuncak sahaja yang tersinggung. Rakan-rakan mereka yang kebanyakannya datang dari Jawa juga tidak dapat menahan sabar apabila disamakan dengan beruk oleh tuan tanah. Samakan mereka dengan beruk bermakna tenaga yang mereka curahkan kepada tuan tanah hanya wajar menerima upah setanding dengan seekor beruk sahaja.

"Kurang ajar!" gerutu Simuncak masih menyimpan dendam. Belum pun sempat Simuncak bertindak, tuan tanah sudah mengetahui latar belakangnya. Tentu di kalangan pekerja-pekerja juga memang ada yang menjadi tali barut tuan tanah menyebabkan apa sahaja yang dituturkannya sampai kepada tuan tanah.

Lantas sahaja tuan tanah memanggil Simuncak. Beberapa orang pekerja diarahkan oleh tuan arah pakaikan rantai di leher Simuncak bagaikan seekor beruk. Kemudian Simuncak disuruh memanjat pokok cengkih dengan lehernya diikat rantai.

Pak Dawin yang melihat kejadian itu tidak berani membantah kerana bimbang dia juga akan menerima nasib yang sama dengan Simuncak. Jangan cuba mahu melawan kalau tenaga tidak seberapa tatkala pekerja-pekerja yang setia dengan tuan tanah sanggup melakukan apa sahaja. Bila-bila Simuncak akan dikerenyuk kalau cuba mahu melawan.

"Saya terpaksa berhenti Dawin," tatkala malam kian sepi Simuncak mencurahkan perasaan yang terpendam di hatinya kepada Pak Dawin. Dia sudah nekad untuk meninggalkan perkebunan di situ setelah diperlakukan sama seperti beruk oleh tuan tanah.

"Kamu perlu berani Pak Simuncak!" Pak Dawin bersetuju dengan keputusan Simuncak mahu berhenti dari perkebunan di situ.

"Bumi ini kepunyaan Allah, di mana-mana pun ada rezeki," tuturnya perlahan menahan rasa keharuan yang menusuk. Memang Simuncak tidak peduli lagi apa sahaja yang menimpa nasib masa depannya sekiranya berhenti kerja. Kalau tidak di Solok dia juga boleh berpindah ke Silungkang menenun kain yang sudah lama ditinggalkannya.

Siapa yang tidak tahu mengenai kemahiran tenunan kain dari Silungkang yang menjadi kebanggaan mereka di Minangkabau. Bukan takat tenunan kain di Silungkang menjadi impian sesiapa sahaja yang datang ke Minangkabau, malah tenunan songket di Pandai Sikek juga menjadi sebutan.

Sebab itu tidak rugi apa-apa Simuncak berhenti kerja di perkebunan cengkih yang telah menghiris perasaannya itu. Biarlah dia membawa diri ke Silungkang atau ke Pandai Sikek mengambil upah menenun kain. Takat seribu lima ratus rupiah upahnya sehelai lebih bermakna daripada upah memanjat cengkih di perkebunan.

Terasa juga sedih hati Pak Dawin berpisah dengan kawan-nya itu setelah sama-sama bekerja di situ. Lama juga mereka berkawan dengan menetap di perkebunan tersebut sekalipun terpaksa berpisah dengan keluarga di kampung. Lainlah Pak Dawin yang masih belum berkahwin lagi ketika itu, Memang tidak terasa sangat berjauhan dari keluarga.

Setiap tengah malam memang Pak Dawin menyedari kawannya itu sentiasa bangun tengah malam tunaikan solat tahajud. Sebab itu dia masih dapat bersabar setelah diperlakukan tuan tanah secara menghina berlebihan. Disebabkan kesabaran itulah Simuncak tidak mahu bertindak apa-apa, selain daripada mengambil keputusan berhenti sahaja tidak bertangguh.

"Ke mana lagi beruk mahu cari makan, kalau bukan di sini?" ejek tuan tanah setelah diberitahu mengenai Simuncak yang berhenti kerja dengan meninggalkan perkebunan sewaktu tengah malam.

Beberapa bulan selepas Simuncak meninggalkan perkebunan cengkih di Solok terasa juga kesepian pada Pak Dawin. Asal sahaja malam menjelang Pak Dawin tetap ingat Simuncak apabila rebahkan badan ke tikar. Di situ mereka sama-sama terlangut bincangkan nasib masa depan yang belum tentu hujungnya.

Tetapi Simuncak tetap tabah sekalipun dia satu-satunya yang berani melawan tuan tanah. Sewaktu Pak Dawin mahu rebahkan badan ke tikar dia mendengar dinding rumah tumpangan pekerja bagaikan dicakar kuku keras. Berdebar juga dia akibat bimbang yang bergelora.

Disebabkan Pak Dawin terdesak dia terpaksa juga mencapai lampu picit mahu menyuluh ke tengah kegelapan malam. Biarlah apa pun yang mencakar dinding dia tidak peduli apa-apa. Kalau bertahan di dalam rumah pun belum tentu selamat sekira-nya geruh sudah menunggu.

Tatkala dia menyuluh ke penjuru rumah, terbayang lompatan beruk di atas bendul. Hairan juga Pak Dawin dengan beruk besar mengganggu dinding rumah tumpangannya, seolah-olah mahu berkawan. Tetapi Pak Dawin bimbang kalau beruk besar itu membolos masuk. Manalah tahu beruk berkenaan datang dari tepi hutan mahu mencari makanan.

Sudah tentu beruk liar yang datang dari pinggir hutan. Masakan beruk Iiar boleh dilayan dengan menghulurkan makanan dari tengah rumah. Tentu dia akan menyerbu masuk hingga berbahaya kepada dirinya sendiri. Sebab itu Pak Dawin mengunci pintu kukuh-kukuh supaya beruk liar itu tidak dapat membolos masuk.

"Beruk dari mana pula yang datang ke sini?" gerutu Pak Dawin serba salah mahu memanggil jiran-jiran. Malu juga dia sekiranya meminta bantuan semata-mata disebabkan seekor beruk liar menceroboh.

Tetapi keesokan paginya sewaktu memulakan kerja memetik cengkih di perkebunan, bukan Pak Dawin sahaja diganggu bayangan beruk liar mencakar dinding. Beberapa orang pekerja juga melihat bayangan melintas terlalu cepat laksana beruk liar melompat dan meniti di atas bendul.

Dalam masa mereka memetik cengkih inilah pekerja-pekerja melihat tuan tanah berkelakuan seperti seekor beruk merayau-rayau di kawasan kebun. Terpaksa pula isteri dan keluarganya memujuk supaya balik ke rumah. Tetapi tuan tanah sudah semakin tenat akibat diganggu kenan hingga kelakuannya sama seperti beruk liar di tengah hutan.

Apabila dia memanjat pokok cengkih, tuan tanah juga akan menggoyang-goyang dahan bagaikan beruk tengah galak melompat. Sekali-sekala tuan tanah akan menyeringai sama seperti beruk juga hingga tergaru-garu rusuk akibat gatal terserempak belacan.

"Kalau boleh kamu carikan Simuncak, Dawin," ujar isteri tuan tanah merayu setelah menjelaskan suaminya diganggu kenan. Tiba-tiba sahaja perangai suaminya bertukar menjadi seekor beruk setelah Simuncak meninggalkan perkebunan di Solok.

"Saya fikir Simuncak tak buat apa-apa, Bu," jelas Pak Dawin kerana bimbang isteri tuah tanah akan menuduh kawan-nya gunakan sihir.

"Memang Simuncak tak buat apa-apa," sahut isteri tuan tanah masih berharap Pak Dawin boleh mencari kawannya itu. "Tapi dia perlakukan Simuncak macam beruk, ini akibat sumpahannya," dia menambah penuh kesal dengan perbuatan suami-nya selama ini.

"Tetapi di mana mahu cari Simuncak?" keluh Pak Dawin kerana tidak tahu ke mana kawannya itu membawa diri.

"Kabarnya dia ke Silungkang bekerja tenun kain," lantas sahaja isteri tuan tanah menuduh. Tetapi setelah dicari ke Silungkang tidak juga ditemui oleh Pak Dawin. Bukanlah luas sangat perkampungan di Silungkang hingga sukar sangat mahu menemukan Simuncak. Sebab itu dia percaya Simuncak tidak berpindah ke Silungkang kalau takat mahu bekerja menenun kain.

Disebabkan tidak dapat menemui Simuncak keadaan tuan tanah semakin bertambah buruk. Dia akan melompat-lompat ke sana sini dengan memakan buah pisang atau betik sahaja. Dihulurkan nasi oleh isterinya dia tidak akan menjamah seulas pun.

Memang puas juga berubat dengan pandai dukun, tetapi keadaan tuan tanah tidak pulih lagi. Sampai menemui ajalnya dia tetap berperangai seperti seekor beruk liar. Malah isterinya juga tidak akan dapat mendekatinya kerana dia sentiasa melarikan diri kalau cuba dipujuk.

Semenjak kematian tuan tanah itulah pokok-pokok cengkih di kebunnya banyak mati dimakan ulat. Puas dicuba oleh jabatan pertanian untuk musnahkan ulat perosak itu, namun pokok-pokok cengkih di Solok habis pupus tidak bersisa. Kebun-kebun lain juga mengalami penyakit pokok cengkih yang tidak boleh diubati hingga habis pupus semuanya.

"Memang itu sumpahan Simuncak kerana tuan tanah derhaka pada rezeki yang diberi Allah," tutur Pak Dawin sewaktu melalui kawasan sawah padi di Solok.



SELESAI