Sunday, October 16, 2016

198. BANGKAI HARIMAU MEMBALAS DENDAM



SUASANA yang di alami oleh anak lelaki Bahaman itu memang tidak sama dengan sakit yang dihidapi oleh Saebah, sekalipun tubuh mereka sama-sama dihinggapi kudis seluruh badan.  Anak kecil itu hanya ditumbuhi kudis gatal yang menanah-nanah, sedangkan Saebah di beberapa bahagian tubuhnya berdaging reput serta dihurungi oleh ulat berenga.
Walaupun saya tidak pernah melihat penyakit yang dihidapi oleh Saebah, tetapi sepupu saya Mat Deh sudah menceritakan kepada saya mengenai kejadian yang menimpa Saebah itu.  Ulung Sali sendiri mengakui bahawa dia belum pernah menemui penyakit seperti yang dihidapi oleh Saebah.  Sebab itulah dia sangat berharap Aki Sahak dapat dijemput dari Mentaus, kerana dia menyedari bahawa kebolehan abang sepupunya itu memang melebihi darinya.
Tetapi Aki Sahak pula mengingatkan dia bahawa sesuatu penyakit itu tidak bergantung kepada besar kecilnya seorang bomoh yang mengubatinya, tetapi terserah kepada rasi pengubatan itu sendiri.  Kalau sesuatu penyakit itu rasi dengan ubatnya, bomoh yang tidak mahir pun boleh menyembuhkan penyakit tersebut.  Bagaimanapun dalam perkara Saebah ini Ulung Sali mengakui dia tidak berkemampuan untuk mengubatnya,
Sehinggalah Mat Deh datang bersama Abang Amud ke Pelangai setelah Aki Sahak tidak dapat datang kerana tidak ada di rumah semasa Abang Amud menjemputnya.  Disebabkan bertemu dengan Mat Deh yang kebetulan ada di rumah Aki Sahak, maka  Abang Amud tidak perlu lagi ke Mancis menjemput Pak Tua Mahat.
“Ulung serah pada Mat Deh aje laaa…”  ujar Ulung Sali sebaik saja Mat Deh duduk di hulu kepala Saebah selepas dia mengambil wuduk.
“Jangan serah pada saya Tok Ulung,”  sahut Mat Deh tersengih-sengih memandang kearah Ulung Sali.  “Kita sama-sama berusaha mengubati Ngah Saebah ni, insya Allah, kita tengoklah macam mananya selepas ni,”  dia menjelaskan sambil menggamit Ulung Sali supaya mendekati Saebah.
Saebah yang terbaring lemah itu hanya terkebil-kebil mata saja, kerana dia sendiri seolah-olah putus asa dengan keadaan penyakitnya yang tidak mahu sembuh.  Kudis yang tumbuh di seluruh badannya terasa gatal merenyam-renyam.  Kadangkala disebabkan tidak tertahan gatalnya dia terus menggaru hingga terkelebak menjadikan kudisnya bertambah luka.  Lama kelamaan dianya menjadi reput serta dihinggapi ulat berenga.
“Tolonglah ubatkan Mak Ngah ni, ustaz,”  keluh Saebah dengan harapan yang menggunung agar Mat Deh dapat mengurangkan seksa penderitaannya.
“Sabarlah dulu Mak Ngah,”  bisik Mat Deh meletakkan tapak tangannya ke atas dahi Saebah.  “Allah yang Maha Berkuasa memberi penyakit dan menyembuhkan penyakit ini.  Sabarlah…”  katanya lagi lantas menghembuskan ke kepala Saebah tigak kali berturut-turut.
Ketika ini jiran-jiran sekampung sudah ramai datang menziarahi Saebah.  Mereka juga heran dengan penyakit yang dihidapi oleh Saebah hingga seluruh tubuhnya sama seperti mayat yang hampir reput.  Kalaulah benar dia menderhaka kepada suaminya Ngah Derani, sudah pun diberi minum air basuh kaki suaminya oleh Ulung Sali.
“Badan mak Ngah rasa panas ustaz, macam diganggang pada api,”  bisik Saebah lemah.  Dalam keadaan demikian pun dia masih boleh berkata-kata dengan lancar, malah berfikiran waras lagi.
“Sabarlah awak tu, jangan bawa bercakap,”  kata Ngah Derani sayu melihat keadaan isterinya itu.
“Kalau aku ni berdosa pada awak, ampunkanlah dosa aku ye…!”  Saebah merenungi muka Ngah Derani.
“Hiss, jangan cakap merepek macam tu,”  ujar Ngah Derani mengesat air matanya yang mula tergenang.
Jiran-jiran juga ikut bersedih melihat peristiwa suami isteri itu yang diselubungi penderitaan kerana tidak tahu apakah mala petaka yang menimpa Saebah sehingga mengidap penyakit yang tidak pernah mereka lihat sebelum ini.  Malah mereka juga berhati-hati juga mahu mendekati Sabah kerana bimbangkan penyakit itu boleh berjangkit pula.
Dalam keadaan Ngah Derani menahan kesedihan ini, Ulung Sali berdiri mengibaskan kain hitam sepanjang dua hasta dari kepala Saebah hingga ke hujung kakinya.  Tiga kali Ulung Sali mengibaskan kain hitam itu, tiba-tiba Saebah menangis tersedu-sedu.  Abang Amud yang sejak tadinya duduk jauh di hujung kaki, bingkas bangun mendekati kakaknya itu.
Setelah mengibaskan kain hitam itu, Ulung Sali kembali duduk.  Kemudian dia berpaling kearah Mat Deh yang tertunduk memejam mata sambil tangannya tidak lepas dari kepala Saebah.  Dia mendengar Mat Deh membacakan Surah Al-Fatihah tiga kali sebelum merebahkan diri lantas tertidur di hulu kepala poerempuan itu.
“Biarkan dia tidur macam  tu,”  bisik Abang Amud memandang Ngah Derani kerana lelaki itu terkejut apabila melihat Mat Deh rebah di situ.  Memang Ngah Derani menyangka Mat Deh pula dijangkiti oleh penyakit isterinya hingga tiba-tiba saja rebah tidak sedarkan diri,
Melihatkan Mat Deh sudah rebah di hulu kepala Saebah, segera pula Ulung Sali beralih duduk berhampiran dengan Mat Deh.  Dia memegang tangan Mat Deh juga dengan membaca Al-Fatihah tiga kali.  Kemudian dia senyap tidak berkata apa-apa.
“Insya Allah. Harap-haraplah ustaz tu dapat mencari punca penyakit, lepas tu baru kita ikhtiarkan macam mana pun nak mengubatnya,”  jelas Abang Amud seolah-olah dia benar-benar memahami apa  sedang dilakukan oleh Mat Deh dan Ulung Sali.
Bagi Abang Amud, janganlah sesiapa pun mahu menafikan bahawa dia sudah mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh Mat Deh, kerana peristiwa anaknya jatuh ke dalam lombong sebelum itu masih segar dalam ingatannya.  Setelah puas usaha penyelam-penyelam mencari mayat anaknya di dasar lombong tidak juga berhasil, tiba-tiba saja Aki Sahak membawa Mat Deh bersamanya untuk membantu.
Di depan matanya sendiri dia melihat Mat Deh di tidurkan oleh Aki Sahak dengan di saksikan oleh penduduk-penduduk kampung,  setelah penyelam-penyelam gagal menemui mayat anaknya disebabkan air lombong bertambah keruh.  Belum pun sempat Mat Deh dibangunkan oleh Aki sahak, orang ramai sudah bersorak-sorlak di tepi lombong apabila melihat mayat anaknya terapung-apung di permukaan air.
Sebab itu Abang Amud tidaklah hairan lagi apabila Mat Deh sudah merebahkan dirinya, walaupun dia sendiri tidak tahu apakah sebenarnya sedang berlaku pada diri Mat Deh.  Hanya sekali-sekala dia melihat Ulung Sali menggoyang-goyangkan tangan Mat Deh yang di gengamnya erat-erat.
Kemudian didengarnya Ulung Sali membaca Surah Al-Fatihah dan Al-Ikhlas berulang kali hingga kelihatan seluruh tubuhnya berpeluh.  Suara Ulung Sali juga semakin lama semakin menipis dan hilang, walaupun dia masih duduk terpaku di hulu kepala Saebah memegang pergelangan tangan Mat Deh.
Hampir satu jam Mat Deh terbaring barulah dia bangun.  Matanya kelihatan merah seperti orang baru saja bangun tidur sewaktu siang hari.  Dia mengusap-ngusap tapak tangan ke mukanya sambil menyebut: Astagha farullahhul-Azzim beberapa kali.
“Macam mana ustaz  segera Abang Amud bertanya.
“Serahkan pada Allah,”  bisik Mat Deh agak keletihan, kemudian meminta air sejuk segelas untuk minum.
Abang Amud menyuruh isterinya mengambil air ke dapur.  Sebaik saja isteri Abang Amud menghulurkan air minuman itu, Mat Deh terus meminumnya dalam keadaan benar-benar dahaga.
Apabila dia memerhati Saebah yang terbaring, perempuan itu tetap terlantar dengan mata terkebil-kebil mengharapkan penyakitnya segera sembuh.  Dia terlalu gelisah menahan penderitaan yang sekian lama ditanggungnya.  Kalaulah penyakit kudisnya itu hanya penyakit biasa, mengapa tidak sembuh setelah dipupuk berbagai daun-daun ubat yang diramu oleh Ulung Sali?  Sekiranya dia ketulahan menderhaka kepada suaminya, dia sudah pun meminum air basuhan kaki Ngah Derani.  Malah Ngah Derani sendiri tidak pernah menaruh perasan dendam terhadap dirinya.
“Macam mana aku ni Ngah…?”  rintih Saebah memerhati Ngah Derani yang serba salah.
“Sabarlah dulu Saebah,”  sahut Ngah Derani menahan rasa sebak di dada.  Dia sendiri tidak tahu apa harus di lakukan bagi mengubati penyakit isterinya itu.
Kuping kudis Saebah jelas berkerak-kerak seperti sisik ikan.  Di celah-celah kuping kudis itu kulitnya bengkak menanah mengening-ngening hingga nanahnya meleleh keluar bercampur darah.  Di bahagian pelipatnya yang kemerah-merahan pula dagingnya mulai reput dan dihinggapi ulat berenga.  Terpaksa pula Ngah Derani mencungkilnya membuangkan ulat berenga tersebut supaya daging itu tidak menjadi busuk.
Alangkah terseksanya isterinya menanggung penderitaan demikian.  Kalaulah benar isterinya ketulahan menderhaka kepadanya, memang Ngah Derani sanggup sama-sama menanggung penderitaan tersebut supaya dapat meringkankan beban isterinya.
“Kalau aku berdosa pada Ngah, ampunkanlah aku ni Ngah…”  suara Saebah bergetar menusuk hulu hati Ngah Derani.  Tetapi suaminya hanya menunduk tidak dapat meluahkan kata-kata.  Dia benar-benar terharu melihat keadaan isterinya seolah-olah mayat terbujur yang masih bernyawa.
“Ngah Saebah tak bnerdosa pada sesiapa pun,”  tiba-tiba Mat Deh bersuara bagaikan memujuk perempuan tersebut.  “Tapi penyakit nak datang bukan boleh kita galang-galang.  Macam mana pun kita berserahlah pada Allah,”  ujarnya mencepak-cepak bibir.
Semalam-malaman itu Saebah bertambah gelisah.  Tangannya terpaksa dipegangkan oleh Abang Amud dan Ngah Derani disebabkan dia berkeras mahu menggaru kudisnya yang mula gatal merenyam-renyam.  Kalau dibiarkan Saebah menggaru sudah tentu kudisnya menjadi lebih merebak.
Ulung Sali berpaling pada Mat Deh yang tersandar di dinding.  Tetapi  Mat Deh sedikit pun tidak terkejut dengan keadaan yang menyelubungi Saebah ketika itu.  Dia tidak terkejut langsung apabila Saebah cuba menggaru kudisnya sambil merengak-rengek disebabkan terlalu gatal di seluruh badan.
Memandangkan keadaan Saebah semakin pasang lantas Ulung Sali sekali lagi membakar kemenyan.  Ketika ini sudah hampir jam dua belas tengah malam.  Malah bara di tempat pembakar kemenyan juga sudah padam berapi.  Terpaksa pula isteri Abang Amud berlari ke dapur menghidupkan bara bagi membolehkan Ulung Sali membakar kemenyan.
“Penyakit macam ni memang nak cari geruh!”  gerutu ulung Sali sambil memerhatikan asap kemenyan melenggang naik ke udara.  Mukanya kelihatan merah padam seolah-olah terlalu marah disebabkan penyakit Saebah itu bagaikan mahu menguji kehebatan dirinya sebagai seorang dukun di kampung tersebut.
Tetapi tidak seorang pun yang menyahut kata-kata yang terkeluar dari mulut Ulung Sali.  Jiran-jiran yang ramai berkunjung menziarahi Saebah hanya berpandangan sesama sendiri.
“Kalau tak mau berselesai dengan baik, nampaknya dia nak berselesai dengan cara jahat!”  Ulung Sali menggertap bibir sambil mengisar-ngisar dua tapak tangannya.
Kemudian dia menyeru dengan jelas: Assalammualaikum datuk petala guru, sehabis-habis sampai ke mambang mengaku bertiga saudara, berempat bersama aku, aku menyuruh aku menyeraya, datang kau membantu aku nak mengubat Saebah!  Lama Ulung Sali terdiam barulah dia menyeru lagi: Assalamualaikum hai nenek, tujuh petala bumi, sehabis-habis engkau sampai ke bawah bumi, aku menyuruh aku menyeraya, datan kau membantu aku nak m,engubat Saebah….!
Habis saja Ulung Sali menyeru-nyeru, tiba-tiba saja angin kencang bertiup.  Tetapi angin kencang itu tiba-tiba saja mati, hanya kedengaran jauh di udara bunuyi suara orang mendehem kuat.  Kemudian suara mendehen itu juga hilang tidak kedengaran lagi.
“Hai tak mau pula dia datang…”  keluh Ulung Sali bagaikan putus asa.
“Kau ni Mat Deh sama macam Angah juga, tak mau datang orang tua tu kalau kau dan Angah ada,”  rungutnya lantas berpaling pada Mat Deh.
Mat Deh tidak menyahut.  Dia menunduk saja.  Sekali-sekala dia terkuap-kuap juga menahan rasa mengantuk.
Dalam keadaan masing-masing yang ada di situ bagaikan dalam kebingungan, tiba-tiba terdengar orang memberi salam dari tengah halaman.  Rupa-rupanya Aki Sahak datang bersama isterinya.  Dia datang juga tengah malam itu setelah diberitahu oleh isterinya mengenai kedatangan Abang Amud menjemputnya berikutan dengan sakit Saebah.
Sebaik-baik saja dari Mentakab, Aki Sahak diberitahu isterinya mengenai kedatangan Mat Deh.  Tetapi Mat Deh sudah datang ke Pelangai.  Tidak senang duduk Aki Sahak mendengar berita Saebah sakit itu.  Lantas dia mengajak isterinya terus ke Pelangai malam itu juga.
“Dah lama ke Saebah ni sakit?”  soal Aki Sahak sebaik saja dia duduk di sisi Saebah,
“Sakitnya lama juga, tapi yang tenantnya seminggu dua ni…”  beritahu Abang Amud berinsur mendekati Aki Sahak.
“Mengapa tak di beritahu ke Mentaus?” suara Aki Sahak keras semacam kesal kerana lambat diberitahu mengenai penyakit yang di hidapi oleh Saebah.
“Ingatkan sakit kudis biasa aje…”  jelas Ngah Derani lesu.  Bimbang juga dia kalau-kalau abang sepupunya itu memarahinya kerana lambat memberitahu mengenai penyakit yang dihidapi oleh isterinya.
“Macam mana Mat Deh…?”  Aki Sahak kemudiannya berpaling pada Mat Deh.
Mat Deh tidak menyahut.  Dia hanya menggeleng kepala saja.
“Sekarang ni dah jauh malam, tentu kita semua letih kalau nak baca Yassin ramai-ramai pun,”  ujar Aki Sahak perlahan sambil bangun lantas menarik Mat Deh turun ke tengah halaman.  Tidak lama kemudian mereka berdua naik semula ke rumah dengan dibasahi oleh air wuduk.
Disebabkan jiran-jiran ramai berkumpul di tengah rumah Aki Sahak mengajak Abang Amud ke serambi.  Dia menyuruh Abang Amud berdiri di belakang Mat Deh.  Orang ramai melihat kelakuan Aki Sahak bersama Mat Deh dan Abang Amud di serambi rumah dalam kehairanan.
Mereka melihat Aki Sahak berdiri berhadapan dengan Mat Deh, manakala Abang Amud berdiri di belakang Mat Deh bersedia untuk menampan sekiranya Mat Deh tumbang ke belakang.
“Macam biasa Mat Deh, kita cuba cara ni dulu…”  kata Aki Sahak menbacakan Al-Fatihah tiga kali lantas dihembuskan ke muka Mat Deh.  Kemudian dia mengangkat tangan kanannya tinggi ke atas sambil memerintahkan Mat Deh merenungi tapak tangannya.
Lama kelamaan tubuh Mat Deh menjadi lemah menyebabkan dia rebah ke dalam pelukan Abang Amud.  Perlahan-lahan pula Abang Amud membaringkan dia ke lantai.
“Sekarang dengan izin Allah kau keluar,”  suara Aki Sahak perlahan macam berbisik dengan Mat Deh.  Dia merenungi hujung ibu jari kaki Mat Deh yang bergerak-gerak.
“Baiklah, aku lepaskan kau sendiri.  Carilah puncanya penyakit Saebah!”  kata Aki Sahak membiarkan Mat Deh terbaring tidur di tengah serambi.  Dia kemudiannya duduk di hulu kepala Mat Deh, sementara Abang Amud pula beralih ke hujung kaki Mat Deh.
“Mulakan dengan zikir dan serahkan diri sepenuhnya kepada Allah…”  ujar Aki Sahak semakin bergetar suaranya. 
Ketika ini ulung Sali dan Ngah Derani tidak berganjak dari sisi Saebah.  Mereka memegang tangan Saebah yang cuba menggaru-garu kudisnya.  Rintihan Saebah juga mendayu-dayu memberitahu seluruh kukitnya semakin gatal tidak tertahan-tahan.
“Sabarlah kau…”  kata Ulung Sali.  “Abang Sahak di serambi tu sedang berikhtiar mengubati kau,”  dia menambah memberikan keyakinan kepada perempuan itu menghadapi masalah tersebut.
Sewaktu Saebah mula meronta-ronta minta dilepaskan dirinya supaya dia boleh menggaru tubuhnya yang gatal merenyam-renyam, Mat Deh sudah merasakan dirinya berada di dalam gelap gelita serta angin kencang yang menghalang perjalanannya.  Sayup-sayup di telinganya dia mendengar suara Aki Sahak menyuruhnya membacakan Surah Ad-Dhuha berulang kali.
Kabus hitam yang menyelubunginya sekaligus hilang apabila surah tersebut dibacakan hingga sepuluh kali, tetapi angin kencang itu terus juga bertiup hingga pohon-pohon di sekitar kawasan itu meliuk-liuk.  Cepat-cepat pula Mat Deh membacakan Surah al-Ikhlas sebelas kali menyebabkan angin kencang itu berhenti macam tersintak.
Ketika ini Mat Deh merasakan dirinya berjalan di tebing sungai dengan airnya keruh.  Dioa melihat di suatu selekoh seekor bangkai harimau tersangkut pada tunggul kayu di tengah air.  Bangkai harimau yang sudah busuk itu tiba-tiba bingkas bangun mahu menerkam kearah Mat Deh, tetapi terpelanting semula ke atas tunggul apabila Mat Dah menghembuskan dengan m,embacakan Surah al-Fatihah.
“Kau nak berselindung di balik bangkai harimau ni ye!”  ejek Mat Deh sambil memerhatikan sekitarnya.
Bangkai harimau itu bangun juga berligar seperti seekor harimau yang garang di tengah rimba.  Apabila dia melaungkan azan sepuluh kali, bangkai harimau yang berligar-ligar itu tiba-tiba saja terhenti, dan dia melihat seorang lelaki tua berpakaian serba hitam bertunggang di belakang harimau berkenaan.
“Oh, kau rupanya ye…!”  suara Mat Deh keras.  “Tadi aku dah datang, tapi aku susah nak sampai.  Sekarang aku datang dengan seizin Allah,”  ujar Mat Deh selanjutnya mengejek lelaki tua yang bertunggang di atas belakang harimau tersebut.
Orang tua itu kelihatan terlalu marah disebabkan Mat Deh dapat mengesan dia.  Memang sebelum kedatangan Aki Sahak, Mat Deh sudah mencari puncanya.  Tetapi dia gagal disebabkan angin kencang dan kabus hitam yang menolak dia ke belakang.  Sebab itu Mat Deh terpaksa berbalik semula ke belakang mencari ikhtiar yang lain pula.
Kehadiran Aki Sahak secara mengejut di tengah malam itu, membolehkan dia menyerbu terus ke tengah angin kencang dan kabus hitam yang menggalang perjalanannya.
“Awak ni siapa?”  soal orang tua berpakaian serba hitam yang bertunggang di atas belakang bangkai harimau.
“Jangan tanya siapa,”  herdik Mat Deh membacakan Al-Fatihah dihembuskan ke muka orang tua itu menyebabkan dia terguling jatuh.  Bangkai harimau itu tersungkur semula jatuh ke atas tunggul di tengah air.
Wajah orang tua itu bertukar seperti seekor harimau apabila dia menjadi marah.  Suaranya juga mengaum bagaikan seekor harimau lapar mahu menerkam mangsa.
Mat Deh sedikit pun tidak gentar berhadapan dengan harimau tersebut.  Dia tersenyum mengejek lantas menyebut: Ya Syaffi, Ya Kaffi, Ya Muaffi, Wabillhaq anzal nahu, Wabillhaq Nazala, kemudian dia mengenggam tangannya erat-erat terus melontarkan kearah orang tua tersebut.  Sekaligus orang tua berkenaan terhumban ke air sambil memegang dadanya menahan kesakitan.
“Kau nak bunuh, aku ke?”  jerkah orang tua itu bertambah marah merenung tepat ke muka Mat Deh.
“Aku tak mau cakap banyak, kalau kau ganggu Saebah memang aku bunuh kau!”  ujar Mat Deh keras.
“Mana boleh kau bunuh aku!”  sahut orang tua itu ketawa berdekah-dekah.
“Memang aku tak berkuasa membunuh kau,”  kata Mat Deh bercekak pinggang memerhatikan gerak-geri orang tua berpakaian serba hitam itu.  “Tapi kau mesti ingat, Huwa-auwalu Wal-akhiru Wal-zahiru Wal-batinu Wahu-wal azizul hakim. Aku akan bunuh kau dengan seizin Allah, Kullu-nafsin za-ikatil-maut.”  Suara Mat Deh garang sambil meletakkan hujung telunjuk jari kanannya ke pelipat tangan kiri, kemudian dilurutnya sampai ke tapak tangan.
Terjerit-jerit orang tua itu bagaikan terlalu sakit di kerengkungnya apabila Mat Deh menonyoh-nonyoh hujung telunjuk jari kanannya ke tapak tangan kiri.
“Ini ilmu apa kau pakai ni?” raung orang tua itu terkial-kial memegang lehernya seperti mahu melepaskan diri dari tercerut tali pada kerengkungnya.
“Kau fikir ilmu setan tinggi sangat!”  sahut Mat Deh dengan ketawa mengejek.  Dia tidak peduli sama ada orang tua itu cuba memujuknya supaya jangan terus menyerang, tetapi Mat Deh mengisar tapak tangannya sambil membacakan: Inna-fattah na laka-fathan mubinan sebanyak tiga kali dan diikuti dengan Allallah-tawakalna rabbanallah taj-alna fitnattin, li likaumi zoliminna minajjina birahmatika minnal-kaumill kafirrin, tiga kali juga.
Selepas itu dia menetak belakang tangan kanannya ke tapak tangan kiri, tiba-tiba saja orang tua terduduk memegang pahanya terjerit-jerit meminta pertolongan, hingga pahanya terkulai seperti dibelasah dengan kayu balak.
“Patah kaki aku,”  rintihnya menggelupur membalik-balikkan tubuhnya.  Ketika yang sama pula Saebah menggelupur tetapi tidaklah cukup tenaga.  Dia hanya mengerang-ngerang saja.  Tidak lagi tergaru-garu menahan gatal di seluruh badan.
Ulung Sali yang duduk dekat di sisi Saebah bersama Ngah Derani tidak lagi membakar kemenyan.  Mereka juga tidak perlu lagi memegangkan tangan Saebah kerana perempuan tersebut bukannya mahu menggaru kudis di badan, tetapi terkinjal-kinjal menjerit halus memberitahu kakinya patah kena pukul dengan kayu balak enam pemeluk besarnya.
Tapi Ulung Sali tahu Mat Deh sudah menembusi tempat persembunyian syaitan yang mengganggu Saebah selama ini.  “Aku tak kacau kau, hai orang muda!”  suara orang tua itu merintih-rintih menahan kesakitan.  “Fasal apa pula kau campur tangan kerja orang lain?’  katanya terkial-kial di tebing sungai.
“Fasal apa kau kacau Saebah, sedangkan Saebah tidak mengacau kau?”  soal Mat Deh pula.
“Orang-orang tu campakkan bangkai harimau, atas rumah aku.  Habis anak bini aku ditimpa bangkai harimau,”  rungut orang tua dalam suara garau.
“Mana orang tahu kau tinggal dekat mana?”  Mat Deh terus juga mengejeknya.  “Sekarang, kau boleh pindah bawa anak bini kau.   Jangan cuba nak ganggu sesiapa pun orang di kampung ni!”  katanya memberi amaran.
“Ini tempat aku,”  beritahu orang tua itu berkeras.
“Kalau kau degil, rasakanlah…”  ujar Mat Deh menghentak-hentakkan tumitnya ke tanah sambil menyebut:
Wallaun na qurana suriyat bihil-jiballu au-qutiat bihhilard au-kullima bihhil mauta ballillahhil amru jamian…!
Ketika ini tempat orang tua itu berpijak bergegar kuat menyebabkan dia terkial-kial berpaut pada tebing sungai.
Gangguan syaitan yang menyebabkan Saebah terlantar menderita itu hanya satu helah saja dengan dalih mengatakan bangkai harimau iatu dicampakkan ke tempat tinggalnya.  Tetapi syaitan sengaja mahu menguji manusia dengan godaannya dengan apa cara sekalipun.
Sebab itu Mat Deh dapat menyelami mengapa lembaga yang menyerupai orang tua berpakaian serba hitam itu mendakwa rumahnya diganggu oleh orang-orang kampung dengan mencampakkan bangkai harimau ke situ.  Syaitan tersebut mencari kesempatan dengan perbuatan orang-orang kampung melimparkan bangkai harimau ke sungai, bagi membolehkan dia mengganggu mereka yang mudah digoda disebabkan semangatnya lemah.
Hanya orang yang kurang berzikir yakni mengingati Allah saja lemah semangatnya dan mudah diresapi oleh gangguan syaitan.  Penyakit yang dihadapi oleh Saebah itu memang pada penglihatan mata kasar hanya kudis tokak semata-mata, tetapi sebenarnya ilmu syaitan memindahkan keadaan pada bangkai harimau tersebut terjelma kepada tubuh Saebah.
Bagaimanapun ilmu syaitan tidak dapat mengatasi ilmu-ilmu Allah selagi manusia sentiasa mengingati akan kebesaranNya.  Tetapi tidaklah dapat hendak digambarkan bagaimanakah sesiapa saja yang menggunakan ilmu Allah dapat menghapuskan syaitan dengan mudah, disebabkan ianya seperkara yang tidak dapat di gambarkan melalui akal.
Tetapi itulah yang dihadapi oleh Mat Deh yang melihat lembaga menyerupai orang tua berpakaian serba hitam itu terhumban apabila dibacakan Al-Fatihah.  Terkial-kial orang tua itu mahu melepaskan diri semasa tempatnya berpijak bergegar kuat seperti di goncang, sebaik saja Mat Deh melaungkan azan beberapa kali.
Hampir jam dua pagi Mat Deh di bangunkan semula oleh Aki Sahak dengan menghembuskan ke kepalanya tiga kali Surah Al-Fatihah,  Mat Deh berastaghaffar beberapa kali semasa dia duduk semula.
”Macam mana ujstaz?” Abang Amud tidak sabar mahu mendengan penjelasan dari Mat Deh.
“Hisss, kau ni Amud…sabarlah dulu,”  Aki Sahak menanpar bahunya.
Mat Deh tidak berkata apa-apa.  Dia hanya menggelengkan kepala saja.  Wajahnya kelihatan keletihan bagaikan orang baru saja lepas berlari kencang.  Besoknya apabila Mat Deh dan Aki Sahak mahu balik ke Mentaus, keadaan Saebah tidaklah tergaru-garu lagi menahan gatal.  Tetapi kudisnya masih bengkak menanah-nanah juga di seluruh badan.
Semasa saya menemui Ulung Sali beberapa tahun dulu, pernah juga bertemu Saebah yang kebetulan datang ke rumah abang iparnya itu (ketika ini Ngah Derani sudah pun meninggal dunia).  Dia telah menunjukkan kepada saya parut kudis yang dihidapinya apabila saya bertanyakan padanya.  Memang dia tidak keberatan pula untuk menceritakan kepada saya, setelah cerita awalnya saya dapati dari Mat Deh sendiri.
Kisah Saebah ini memang sukar hendak dipercayai oleh mereka yang menilai dari akal biasa, tetapi itulah yang pernah dialaminya.  Bagaimanapun saya tidak fikir kudis yang dideritai oleh anak kecil Bahaman dan Raomah itu sama seperti yang pernah menimpa Saebah.
“Emmm, ini kudis biasa aje ni.  Boleh jadi kenan boleh jadi sawan…”  beritahu Ulung Sali tersengih-sengih mengerling anak kecil itu yang nakal bermain tidak menghiraukan tubuhnya yang dihinggapi kudis-kudis gatal.

SELESAI