KEMERIAHAN majlis
perkahwinan yang berlangsung di rumah Mat Sunud bertukar menjadi muram. Sebelum
berlangsung majlis berinai pada sebelah malamnya, telah berlaku kekecohan di
sebelah petangnya ketika rombongan pengantin lelaki datang dari Tangkak di Johor.
Keputusan kedua pihak
keluarga pada peringkat awalnya sudah dimungkiri. Semasa perundingan awal
diadakan bagi melangsungkan perkahwinan Masimah anak gadis Mat Sunud di Tanjung
Karang, memang sudah dipersetujui majlis persandingan hanya diadakan di sebelah
pihak perempuan saja.
Persetujuan ini dicapai
memandangkan kampung mereka berjauhan. Kalau mahu diadakan juga terpaksalah
diadakan selang seminggu pula. Ketika ini sanak saudara juga ramai yang membuat
kenduri nikah kahwin. Pihak keluarga lelaki memanglah bersetuju majlis
persandingan dilangsungkan di sebelah pihak perempuan saja. Entah macam mana
kekecohan mula berlaku sebaik saja pengantin lelakinya Jabal ditempatkan di
rumah jiran pengantin perempuan sebagai tempat persinggahan, tiba-tiba saja
pihak perempuan mahu juga diadakan majlis bertandang di rumah keluarga
pengantin lelaki di Tangkak.
Pada mulanya pihak
keluarga pengantin lelaki berkeras juga, kerana tidak sanggup mengadakan dua
kali kenduri. Semasa mereka menghantar pengantin lelaki memang sudah diadakan
kenduri membaca doa selamat. Tentulah menjadi serba salah untuk memanggil
jiran-jiran semula sekiranya mahu
diadakan juga majlis bertandang itu.
"Minta maaflah
bisan..." Mak Icum memeluk leher Hajah Semiah ketika menyampaikan
keputusan sanak saudaranya.
"Dah kemudian pula
timbulnya desakan dari bapa-bapa saudara Masimah" katanya menangis
teresak-esak menahan malu apabila pihak sanak saudaranya bersikap demikian.
Sekiranya dia enggan
menyampaikan keputusan tersebut, mereka semua akan memulaukan majlis
persandingan berkenaan. Alasan yang mereka berikan ialah Masimah bukan janda.
Sebab itulah mereka memaksa mesti diadakan juga majlis bertandang ke rumah
pengantin lelaki. Lagi pun semasa rundingan awal dibuat, hanya Mat Sunud saja
yang memutuskan dengan tidak memanggil sanak saudara yang lain.
Walaupun pada mulanya
Hajah Semiah emak Jabal yang ikut sama dalam rombongan menghantar anaknya
enggan menurut kemahuan pihak perempuan disebabkan mungkir janji, tetapi dia
kasihan juga melihat keadaan Mak Icum yang sudah merayu-rayu mengakui akan
kesilapan pihaknya itu. Terpaksalah Hajah Semiah menerima dengan tabah hati
keputusan yang tidak diduganya. Semasa rombongan pengantin lelaki balik semula
ke Tangkak petang itu juga, Jabal ditinggalkan bersama emak saudaranya Ngah
Rupai, dan sepupunya Berahim yang menjadi pengapit pengantin.
Semasa majlis berinai
hendak diadakan, Masimah yang sudah duduk di pelamin tiba-tiba tergolek ke
bawah. Dia menggelupur bagaikan ikan tidak mendapat air di atas riba Mak Andam.
Mereka yang berkerumun di atas rumah mahu melihat pengantin perempuan di atas
pelamin menjadi gempar dengan kejadian tersebut. Cepat-cepat pula Mat Sunud
berkejar ke rumah jirannya Bahar tempat persinggahan pengantin lelaki,
memberitahu supaya ditangguhkan dulu kedatangan pengantin lelaki.
Sebaliknya apabila Mat
Sunud sampai di rumah Bahar, beberapa orang yang menemani pengantin lelaki juga
menjadi cemas kerana Jabal terlentang di hujung serambi mengerang-ngerang sakit
kepala. Dia juga masih belum lagi memakai pakaian pengantin untuk majlis
berinai. Sementara di khemah di hujung halaman, masing-masing belum mengetahui
peristiwa yang menimpa kedua-dua pengantin. Mereka asyik mendengar permainan
pancaragam yang mendendangkan lagu-lagu merdu.
"Macam mana kita
nak buat ni?" tanya Ngah Rupai berpaling pada Mat Sunud.
Dia memicit-micit kepala
Jabal bagi mententeramkan anak muda berkenaan.
"Nantilah, saya suruh
budak-budak panggilkan dukun" sahut Mat Sunud lantas menghilangkan diri di
celah-celah orang ramai yang berkerumun di serambi rumah Bahar.
Tidak lama kemudian dia
muncul semula dengan termengah-mengah mengesat peluh pada lehernya.
"Tengoklah kejap
lagi, saya dah suruh budak panggilkan dukun" ujarnya mengeluh lemah.
"Masimah, apa
khabarnya?" soal Bahar pula setelah diberitahu mengenai Masimah juga tidak
sedarkan diri.
"Entahlah..., macam
tu juga nampaknya" Mat Sunud menggeleng-geleng kepala tidak keruan.
"Adakah Pak Nud
syak sesiapa yang buat...?" Bahar merasakan bertanggungjawab penuh ke atas
pengantin lelaki, disebabkan rumahnya dijadikan tempat persinggahan.
Apa yang berlaku ke atas
Jabal dia tidak boleh lepas tangan begitu saja. Mat Sunud menggeleng kepala.
Sukar juga dia mahu menuduh sekiranya tidak ada bukti yang sahih. Lagi pun
menuduh dengan tidak ada bukti mungkin menyebabkan orang marah, sehingga
menambahkan lawan di dalam kampung sendiri. Perkahwinan anaknya Masimah dengan
Jabal pun bukanlah atas pilihannya, tetapi mereka berdua berjanji setelah bertemu
di Kuala Lumpur.
Mereka sama-sama bekerja
di Kuala Lumpur. Di mana mereka mula bertemu, kemudiannya memadu janji hingga
memutuskan untuk ke jinjang pelamin, Mat Sunud sendiri tidak tahu. Setelah
anaknya Masimah memberitahu Jabal akan masuk meminang, dia hanya menerima
dengan dada yang tebuka.
Dalam rundingan dengan
keluarga Jabal, memang Mat Sunud sendiri bersetuju majlis bersanding dibuat di
Tanjung Karang saja kerana kalau mahu bertandang pula ke Tangkak banyak
masalahnya. Setelah diputuskan perundingan, tiba-tiba saja abang isterinya yang
tinggal di Felda Jengka tidak bersetuju majlis bersanding itu habis di Tanjung
Karang saja. Semua sanak saudara Mak Icum menyalahkan Mat Sunud kerana membuat
keputusan sendiri, apabila menetapkan hari perkahwinan Masimah dan Jabal.
"Ini kerja orang
dengki ni, dia sengaja nak beri malu Pak Nud agaknya" gerutu Bahar
menggertap bibir.
Geram benar dia dengan perbuatan yang tidak bertanggungjawab
semasa pengantin hendak naik ke pelamin untuk upacara berinai.
"Entahlah,
Bahar...mati akal aku!" keluh Mat Sunud mengesat pelupuk matanya.
Jabal mengerang-ngerang
menahan kesakitan yang menyucuk-nyucuk tengkorak kepalanya. Dukun yang
dipanggil tidak juga datang lagi setelah setengah jam mereka menunggu. Ketika
ini orang memanggil Mat Sunud dari
rumahnya kerana keadaan Masimah masih membimbangkan. Bergegas-gegas pula Mat
Sunud balik ke rumah dalam keadaan cemas mencengkam hatinya.
"Apa ikhtiar kita
makcik?" tanya Bahar berpaling pada Ngah Rupai.
"Tak tau laa
makcik, terpulanglah pada orang sini" sahut Ngah Rupai sambil jarinya
memicit-micit kepala Jabal.
Peluh membasahi belakang
Jabal hingga bajunya lembab. Terpaksalah pula Ngah Rupai membukakan baju
tersebut supaya suhu panas badan Jabal
dapat dikurangkan. Dalam masa yang sama Masimah juga tidak beransur sembuh. Dia
menggelepar dengan nafasnya sesak tercungap-cungap sama seperti ikan terdampar
di pasir.
Sehingga jam 11.00 malam
barulah Mat Sunud memberitahu orang pancaragam supaya menghentikan
permainannya, lantas memberitahu mengenai kejadian yang menimpa kedua mempelai.
Bertambah lagi murungnya suasana setelah pancaragam memberhentikan
permainannya. Hanya tinggal keluh kesah sanak saudara Mak Icum dan Mat Sunud
melihatkan dua mempelai terlantar menahan kesakitan masing-masing.
"Wak Golan dah ke
Ulu Selangor, Pak Nud..." beritahu Jali Tenjot yang disuruh memanggil
dukun.
Sebaik saja disuruh
memanggil dukun, Jali Tenjot terus menunggang motorsikal Hondanya ke rumah Wak
Golan. Tetapi dia diberitahu Wak Golan sudah ke rumah anaknya di Gedangsa, Hulu
Selangor. Bertambah hampa Mat Sunud setelah mendengar Wak Golan yang
diharapkannya boleh memulihkan kedua mempelai tidak ditemui. Dia sendiri tidak
tahu apa harus dilakukan. Sepanjang ingatannya hanyalah Wak Golan yang menjadi
dukun di sekitar kampungnya. Kepada orang tua itulah mereka menggantung harapan
sekiranya diancam gangguan demikian. Tetapi bila Wak Golan tidak ada mereka
seolah-olah putus asa mencari ikhtiar yang lain.
"Kalau sakit macam
ni, carilah tok imam-tok imam ke, minta doakan...." ujar Ngah Rupai
apabila diberitahu oleh Mat Sunud mengenai Wak Golan yang sudah pergi ke rumah
anaknya di Gedangsa.
"Hah, elok juga
tu" sahut Bahar menyetujui cadangan Ngah Rupai.
"Elok kita
panggilkan Haji Madan, minta doa-doakan" katanya menggesa supaya segera
diberitahu kepada Haji Madan.
Jali Tenjot terus
menunggang motorsikal Hondanya dengan tidak mendapatkan persetujuan dari Mat
Sunud untuk memanggil Haji Madan di seberang jalan. Dia juga tahu Haji Madan
guru agama di situ yang selalu ditemui oleh orang-orang kampung meminta jasa
baiknya mendoakan anak-anak mereka supaya lulus dalam peperiksaan. Semasa Jali
tenjot sampai di halaman rumah Haji Madan, isteri Haji Madan baru saja
menghidangkan kopi kepada kami di serambi.
Kebetulan saya singgah
di rumah Haji Madan bersama seorang kawan lagi dalam perjalanan dari Teluk
Intan. Setelah Jali Tenjot naik ke rumah, dia diperkenalkan oleh Haji Madan
kepada saya dan Bumin, sambil mengajaknya minum kopi terlebih dulu.
"Apa halnya ni?" tanya Haji Madan
lantas menghulurkan cawan kopi o ke hadapan Jali Tenjot.
Tergagap-gagap Jali
Tenjot menceritakan kejadian yang menimpa di majlis berinai anak Mat
Sunud.Terbayang kegelisahan di wajahnya, disebabkan dia adalah anak saudara Mak
Icum. Kejadian tersebut bukan saja memalukan keluarga dia, malah sebuah kampung
menanggung malu kepada keluarga pengantin lelaki. Tentulah cerita mengenai
kejadian tersebut tidak akan lenyap dalam masa sehari dua, kemungkinan akan
menjadi buah mulut kepada seisi kampung.
Majlis perkahwinan
adalah bertujuan untuk sama-sama memeriahkan kedua mempelai, serta menemukan
mereka dengan sanak saudara. Tetapi dengan kejadian yang tiba-tiba saja
diserang sakit, bukanlah merupakan penyakit turun-temurun yang datang menyerang.
Sudah tentulah ada orang yang iri hati melakukan kerja-kerja sihir bagi
merosakkan nama baik keluarga Mat Sunud.
"Emm, kita minum
kopi dulu" ujar Haji Madan tersengih-sengih.
"Kopi ni, Mak Aji
kau sendiri yang tumbuk" katanya sambil mengerling isterinya yang
tersenyum tersipu-sipu.
Disebabkan Haji Madan
sudah dijemput orang lantas saya mengajak Bumin balik, kerana saya menumpang
keretanya. Tetapi kalau saya melalui jalan tersebut ke Teluk Intan, memang saya
singgah di rumahnya. Kadangkala kalau melebihi jam 11.00 malam pun saya tetap
singgah, kerana dia masih belum tidur lagi. Malah dia akan memarahi saya kalau
tidak singgah sekiranya dia tahu saya ke Teluk Intan atau ke Kampung Gajah
melalui jalan tersebut.
"Biarlah saya minta
diri dulu, tuan..." saya menghulur tangan untuk berjabat salam.
"Hiss, nanti dulu
Ustaz" katanya menepis tangan saya.
"Ini Fardhu
Kifayah, Jali ni datang betul-betul berharap, marilah sama" Haji Madan
tidak membenarkan saya balik.
"Tak apalah tuan,
Bumin ni ada hal besok" saya cuba mengelak.
"Halnya besok,
bukan malam ni!" Haji Madan berkeras tidak mahu melepaskan saya pergi.
"Macam mana
Bumin?" sengaja saya mencuit Bumin. Belum pun sempat Bumin menyahut
cepat-cepat Haji Madan memotong,
"Bumin belum nak balik
lagi tu, Ustaz ni aje yang pandai-pandai" dia bangun berdiri sambil
meminta isterinya mengambilkan lampu picit.
Dia menarik tangan saya
mengikutinya ke rumah pengantin. Bumin hanya tersengih-sengih melihat telatah
Haji Madan yang langsung tidak memberi peluang kami mengelakkan diri
mengikutinya. Malam sudah mulai sepi, tetapi kawasan sawah luas terbentang itu
nampak berbalam-balam cahaya api dari setiap rumah. Di jalan besar melintasi
sawah itu juga sekali-sekala ada juga kereta meluncur.
Semasa kami sampai di
rumah Mat Sunud pengantin perempuan masih berpakaian pengantin lagi, tetapi
sanggulnya sudah terurai. Dia menggelepar-gelepar juga tercungap-cungap sukar
bernafas seperti ikan terdampar di pasir.
"Yang lelakinya di
mana?" soal Haji Madan sebaik saja duduk menyandarkan belakang ke dinding.
"Di rumah
Bahar" beritahu Mat Sunud.
Kemudian barulah Haji
Madan memperkenalkan saya dan Bumin
kepada Mat Sunud dan keluarganya.
"Macam mana
Ustaz?" Haji Madan menepuk bahu saya.
"Terpulanglah pada
tuan..." ujar saya menghela nafas.
"Kalau macam tu,
bawa pengantin lelaki tu ke mari" Haji Madan mencadangkan.
"Di sini, boleh
kita sama-sama ikhtiarkan" katanya semacam memberi arahan kepada Mat
Sunud.
Dengan tidak membantah
Mat Sunud mengajak Jali Tenjot membawa pengantin lelaki ke rumahnya. Suasana
muram di rumah pengantin itu jelas terbayang di setiap wajah yang lesu
berceratuk memenuhi ruang rumah. Mereka masih kebingungan dengan peristiwa
tersebut, walaupun sudah diusahakan dengan berbagai jampi serapah oleh beberapa
orang yang berpengalaman juga mengubati penyakit seperti itu.
Disebabkan Wak Golan
tidak ada, dua tiga orang yang pernah berguru dengan Wak Golan telah mencuba
kemampuan masing-masing. Namun Masimah dan Jabal tidak juga dapat dipulihkan.
Ketika Jabal dipapah datang ke rumah Mat Sunud, mukanya pucat. Kuku
jari-jarinya lebam. Dia mengerang-ngerang juga menahan sakit kepala. Haji Madan
menyuruh dibaringkan Jabal berhampiran
dengan Masimah.
Kemudian dia duduk di
tengah-tengah pada bahagian hulu kepala. Dia menyuruh saya duduk di bahagian
lunjur kaki kedua pengantin itu. Sebaik saja saya duduk tiba-tiba Masimah
bingkas bangun lantas meludah saya berulang kali, menyebabkan keadaan menjadi
kelam kabut. Mat Sunud dan Jali Tenjot segera menerpa memegangkan Masimah yang
tiba-tiba saja menjadi berang melihat saya duduk di lunjur kakinya.
Sekali-sekala dia mengerling ke arah Jabal yang terbaring mengerang-ngerang
menahan sakit kepalanya yang mendenyut-denyut.
"Kenapa kau marahkan
dia....!" jerkah haji Madan menepuk dua tangannya ke paha.
"Orang ni
jahat" sahut Masimah ketawa terkekeh-kekeh, menudingkan jarinya ke arah
saya.
"Ha, ha...sekarang
kau dah tunjukkan diri kau..." ejek Haji Madan meletakkan tapak tangannya
ke kepala Masimah. Sekaligus gadis itu meronta-ronta sambil memekik kesakitan.
"His, belum apa-apa
dah memekik, tadi kau tunjukkan kuat sangat..." ujar Haji Madan tersenyum
sinis.
Masimah meronta-ronta
tetapi tidak dapat melepaskan diri dari pegangan Jali Tenjot dan Mat Sunud.
Ketika ini terdengar bunyi dinding berdegam seperti dirempuh kuat tetapi tidak
ada apa-apa yang kelihatan merempuh dinding.
"Halau dia tu, halau dia...!" pekik
Masimah menuding-nuding ke arah saya.
"Dia tu orang
jahat, dialah yang suruh aku ke mari" katanya ketawa mengejek.
"Setan memang nak
laga-lagakan orang" sahut Haji Madan tidak melepaskan tangannya di kepala Masimah.
"Kau fikir kami
percaya dengan tipu muslihat kau? Ustaz tu baru tak sampai sejam datang"
ujarnya merentap tangannya dari kepala Masimah.
Mat Sunud menyangka saya
tersinggung apabila diludah oleh Masimah beberapa kali menyebabkan dia
berkali-kali meminta maaf. Tetapi saya tidak hiraukan sangat kekeliruan Mat
Sunud itu, kerana saya menyedari sewaktu sampai ke halaman rumah saya melihat
seolah-olah terbayang satu cahaya seperti benang putih di bumbung rumah sampai
mencecah ke awan.
Oleh itu sebelum naik ke
rumah saya sudah membacakan Ayat Kursi 33 kali sehingga saya duduk berhampiran
dengan Masimah. Kemudian saya berzikir halus di dalam hati, menyebabkan benang
putih itu terputus hingga kedengaran oleh orang ramai bunyi berdegam memukul ke
dinding.
"Ustaz ni orang
jahat...!" Masimah tersengguk-sengguk menangis seperti orang putus asa.
"Engkau yang jahat,
menyusahkan orang!" suara Mat Sunud keras mengherdik.
"Kami bukan kacau
kau, kenapa kau kacau kami?" dia sudah mula memahami apa sebenarnya sedang
mengganggu anaknya ketika itu.
Memandangkan keadaan
Masimah bertambah garang, sedangkan Jabal mengerang-ngerang saja menahan
kesakitan, saya pun meminta izin untuk memegang kepala Masimah. Dia memarahi
saya sebaik saja tangan saya menyentuh kepalanya, tetapi saya membongkok
merapatkan mulut saya ke telinga kanannya. Saya melaungkan azan perlahan 5 kali
di telinga kanan, dan 5 kali di telinga kiri. Semasa saya melaungkan azan ini
Masimah menjerit-jerit mengatakan petir dan kilat memusnahkan rumahnya.
"Ah, rumah ni elok,
tak roboh pun. Tak ada pun kilat, tak ada petir..." Mak Icum yang
mendiamkan diri sejak tadi tiba-tiba saja bersuara lesu.
"Cukup
dulu..." kata saya kembali duduk di lunjur kaki Masimah.
"Kalau kau
berdegil, aku akan timpakan kau dengan gunung" ujar saya memberi amaran.
Masimah mulai ketakutan
merenung muka saya. Tubuhnya menjadi longlai tidak bermaya.
"Nah, lawanlah
sangat" sergah Haji Madan mengejek.
Ketika ini saya melihat
Jabal tidak mengerang-ngerang lagi. Dia hanya keletihan terlentang melepaskan
lelah. Saya bangun mengangkat kepala Jabal menghembuskan perlahan dengan
membaca Surah Al-Ikhlas 11 kali diikuti dengan Surah Al-Falak dan Surah An-Nas
sekali. Selepas itu barulah Jabal menggosok-gosok matanya lantas meminta air
untuk diminum. Dia sendiri seperti orang kebingungan kerana tidak tahu apa yang
telah berlaku kepada dirinya dan isterinya yang akan menjalani upacara berinai
dan seterusnya bersanding.
Mujurlah mereka berdua
sempat diakad-nikahkan sebelum majlis berinai itu. Setelah diterangkan
kepadanya bahawa Masimah masih tidak sedarkan diri, Jabal mengangguk lemah. Dia
sendiri mengadu masih terasa sengal-sengal di kepalanya walaupun tidaklah sakit
berdenyut-denyut lagi.
"Haji Madan, buat
apa kau bawa Ustaz ni?" Masimah menggertap bibir tetapi tidak berani
merenung muka saya.
"Ah, aku tak mau
layan kau. Aku beri tempoh lima minit. kalau kau tak pergi tinggalkan Masimah,
Ustaz ni akan timpakan gunung, aku akan ambil barang mainan kau tu!" tegas
Haji Madan memberi amaran.
"Buatlah, apa kau
nak buat" sahutnya tersengih-sengih memaling mukanya merenung ke bumbung
atap.
Saya ikut merenung ke atas memerhatikan bumbung yang direnung Masimah.
Lantas saya membacakan innahu minal-Sulaiman wainnahu bismillahhir Rahmannir
Rahim 10 kali, kemudian saya seolah-olah terlihat seorang perempuan tua
berambut penuh uban termengah-mengah memerhatikan ikan sembilang di lantai
menggelepar tidak mendapat air. Duri sembilang itu tertusuk kepada buah limau
yang berbungkus kain putih diikat dengan benang, tetapi sudah terlepas dari
tusukannya.
"Ustaz, kita
mulakan...." kata Haji Madan bangun sambil meminta air sejuk segelas.
Setelah diberikan air tersebut, Haji Madan menjulang
gelas berisi air itu tinggi melampaui kepalanya, dan saya mendengar dia
membacakan Ayat dari Surah Al-Jin Quluhiyya innahus tamaa nafarun
minal-jinni...hingga beberapa ayat lagi. Kemudian saya menudingkan jari ke muka
Masimah seolah-olah saya menuding ke muka perempuan tua yang mengadap ikan
sembilang di lantai itu sambil membisikkan
"Sejuk kau, sejuk
kau...aku kirimkan air batu...", sekaligus pula saya melupakan Masimah
terbaring di hadapan saya. Ketika ini semua orang melihat Masimah terketar-ketar
menahan kesejukan, hingga bibir dan jari kecut seperti terkurung di dalam air
batu. Dalam masa inilah orang ramai mendengar satu letupan kecil di gelas yang
dipegang olah Haji Madan.
Bila dia duduk semula
sambil meletakkan gelas berisi air itu di hadapannya, semua orang melihat
seekor anak sembilang sebesar ibu jari terkotek-kotek di dalam air. Tubuhnya
terikat dengan benang yang bersambung pada sebiji limau berbungkus dengan kain
putih.
Kira-kira 15 minit kemudiannya barulah Masimah sedarkan diri semula.
Hanya 5 bulan lepas kejadian itu, semasa saya dan Bumin singgah di rumah Haji
Madan beliau menceritakan Jabal dan Masimah selamat disandingkan dengan tidak
ada gangguan apa-apa.
Tetapi Haji Madan sendiri terkejut bila diberitahu
seorang dukun perempuan jauh dari situ, mati dalam keadaan mengerekot. Seluruh
tubuhnya kecut seperti terkurung di dalam air batu.
No comments:
Post a Comment