Sunday, November 13, 2016

202. BOLA BERGERAK GERAK DIDALAM PERUT



BERBAGAI-BAGAI cerita yang dapat saya dengar sepanjang perjalanan bersama Kadir Misai ke Gemas untuk ke rumah Pak Boyot, kerana dia berpesan sangat pada anak saudaranya Kadir Misai meminta saya datang menemuinya.  Memang sudah lama saya tidak menemui Pak Boyot yang saya kenali melalui Pak Hid di Bukit Kelulut di Serting.
Kadangkala Kadir Misai akan ketawa memanjang apabila menceritakan beberapa kisah yang pernah dialaminya.  Sewaktu dia melalui Bukit Kijal pada satu malam untuk ke Kuala Trengganu, kereta yang ditumpanginya bersama Ustaz Mat telah dikejar oleh lembaga putih yang melayang-layang.  Hinggalah dia habis menuruni jalan Bukit Kijal barulah lembaga berkenaan berhenti mengekorinya.
“Saya tau, ustaz tak percaya…”  ujar nya, tetapi meneruskan juga ceritanya.
Dia memberitahu saya ketika melalui Paya Bungor di Pahang, dia telah menemui satu rombongan pengantin berarak hampir dua rantai kira-kira jam 1.00 pagi.  Masakan ada pengantin di arak dalam waktu demikian.  Lagi pun kawasan berkenaan tidak mempunyai kampung atau pun rumah-rumah orang.
“Jalan di Paya Bungor itu lurus, tapi bila kereta melepasi rombongan pengantin, saya berpaling ke belakang tidak ada sesiapa pun mengarak pengantin…”  jelas Kadir Misai meneruskan ceritanya.
Disebabkan Kadir Misai ini suka mengembara hingga di tengah malam pun masih dalam perjalanan, maka berbagai-bagailah perkara aneh yang ditemuinya.
“Kadangkala mata dah terlampau mengantuk, macam-macamlah yang dilihat mengelirukan,”  kata saya mengusiknya.
Kadir Misai hanya tersengih-sengih.  Dia tahu beberapa kali saya ke Trengganu bersamanya menempuh sepanjang jalan di Paya Bungor di Pahang dan di Bukit Kijal di Trengganu itu, tidak ada apa-apa pun yang ditemui.  Pernah juga dia memberhentikan kereta di atas puncak Bukit Kijal untuk mempastikan lembaga yang pernah ditemuinya bersama Ustaz Mat sebelum itu, tetapi tidak juga kelihatan.
Demikian juga semasa melalui Paya Bungor, dia sengaja memperlahankan keretanya, tetapi tidak ada apa-apa yang ganjil ditemui.
“Orang kata di Paya Bungor itu perkampungan orang bunian,”  jelasnya terangguk-angguk.
Saya hanya tersenyum mendengar cerita Kadir Misai.  Setahu saya dia bukanlah orang yang mempercayai sangat cerita-cerita tahyol, tetapi mengapa dia sendiri yang menceritakan demikian.  Pernah juga dia bertengkar dengan abangnya fasal menghantar neneknya berubat pada seorang ahli perubatan tradisional yang boleh melakukan pembedahan.
Mahu tidak mahu dia terpaksa mengalah kepada abangnya.  Neneknya di bawa berubat dan dilakukan pembedahan secara tradisional.  Dia melihat sendiri bagaimana darah keluar dari perut neneknya dengan ahli perubatan tradisional itu meletakkan tangan saja ke perut neneknya.  Kemudian dia mengeluarkan berbagai-bagai perkakas dari perut neneknya seperti jarum, rambut, benang dan paku.
Selepas  pembedahan dijalankan neneknya merasa sihat.  Kira-kira seminggu kemudian neneknya kembali sakit seperti sebelum pembedahan dijalankan.  Hinggalah akhirnya neneknya meninggal dunia akibat kesakitan yang ditanggungnya itu.
“Itu semuanya sihir…”  gerutu Kadir Misai seolah-olah menyesali abangnya kerana berkeras mahu membawa neneknya menemui ahli perubatan tradional itu.  “Hanya pada pandangan mata kasar saja nenek tu sihat, tetapi sebenarnya sakitnya tetap macam tu,”  ujarnya menyimpan rasa tidak puashati yang mendongkol.
Sebab itulah sepanjang perjalanan menuju ke rumah Pak Boyot itu Kadir Misai banyak menceritakan pengalamannya semasa dalam perjalanan di waktu malam.  Pada mulanya dia hanya mendengar cerita-cerita yang dianggapnya tahyol dari kawan-kawan yang lain.  Tetapi apabila dia sendiri mengalami kejadian tersebut, Kadir Misai cuba juga menyembunyikan dari kawan-kawannya itu.
Sekalipun saya berkawan baik dengan Kadir Misai, tetapi bukanlah dia yang menemukan saya dengan Pak Boyot.  Saya mengetahui Kadir Misai itu anak saudaranya, kerana dia sendiri yang memberitahu.
“Kadir pernah ceritakan hal ustaz pada saya,”  kata Pak Boyot semasa kami mula-mula bertemu di rumah Pak Hid di Serting.  Dia datang menemui Pak Hid sewaktu isterinya mengidap sakit dalam perut, hingga perutnya keras membengkak.
Memang mulanya kaum keluarganya sudah mengambil keputusan untuk membedah perut Mak Senit seperti yang dicadangkan oleh pihak hospital.  Tetapi kemudiannya mereka terpaksa juga membawa Mak Senit balik ke rumah untuk berubat secara tradisional.
Setelah mendapat persetujuan dari semua kaum keluarga barulah Pak Boyot membawa isterinya ke Serting.  Pertemuannya dengan sahabat lamanya itu banyak mengenangkan semula kisah-kisah lama yang mereka sama-sama alami.
“Kau sendiri boleh mengubat, kenapa tak ubatkan isteri sendiri?”  soal Pak Hid menguji hati sahabatnya.
“Hai, kalau mata sendiri masuk sampah macam mana nak hembus sendiri, tentulah minta orang lain hembuskan, “  sahutnya tersengih-sengih.
Pak Hid tidaklah hairan mengapa Pak Boyot yang banyak pengalaman itu tidak mahu mengubati Mak Senit.  Di kampungnya memang sudah dikenali Pak Boyot itu seorang dukun yang sering dijemput oleh orang ramai.  Tetapi dia tidak akan mengubati saudara maranya sendiri apabila mereka memerlukan rawatan secara tradisional.
Hal ini berlaku juga pada Pak Hid, kerana dia tidak akan mengubati saudara mara atau anak isterinya.  Seboleh-bolehnya dia akan mengelak dari melakukannya.  Biasanya dia akan menyuruh keluarganya menjemput saya dengan alasan dia mahu berjumpa.  Di sebabkan sudah menjadi kelazimannya memberitahu ingin menemui saya, akhirnya saya tahu juga tujuan mengapa Pak Hid mahu menemui saya itu.
Terfikir juga pada saya, apakah tujuan Pak Boyot berpesan pada Kadir Misai mahu menemui saya itu?  Boleh jadi dia juga mempunyai tujuan yang sama dengan Pak Hid!
Pak Boyot baru selesai membuat ulu parang semasa saya sampai di rumahnya.  Dia bukan saja seorang bomoh, tetapi berkebolehan dalam membuat kerja-kerja pertukangan tangan.  Ulu parang yang dibuatnya memang cantik, begitu juga senduk dari tempurung.  Malah dia menjadi tumpuan orang untuk menempah berbagai-bagai barang pekerjaan tangan.
“Ustaz naiklah…”  katanya bergegas-gegas berkemas sebaik saja melihat saya datang bersama Kadir Mislai.  “Rumah tok ni bersipah-sipah sampah sarap tak berkemas,”  ujarnya sambil menguis-nguis serpihan kayu yang ditarahnya dengan kaki.
Saya terus naik ke rumah dan bersalaman.  Ternyata dia sihat dan masih kuat membuat kerja-kerjanya.  Saya tidak bercakap apa-apa setelah duduk bersandar di hujung serambi.  Hanya memerhatikan dia mengemas-ngemas perkakasnya membuat kerja seperti pahat, pisau raut dan lain-lain.
“Tok sihat ke?”  soal saya setelah dia duduk berhadapan dengan saya.
“Nak kata sihat sangat tak pula…”  sahutnya mengerling kearah Kadir Misai.  “Fasal itulah tok suruh Kadir ni carikan ustaz,”  ujarnya tersengih-sengih mengisar duduknya sedikit.
Kemudian dia memberitahu saya mengenai sakit pinggangnya hingga amat sukar untuk membuang air kecil.  Kadangkala dia berpaut pada pintu bilik mandi kalau mahu buang air kecil, itu pun hanya setitik dua saja menitis.  Dia mengaku sudah lama mengidap sakit sukar membuang air kecil itu, tetapi tidak pernah berubat ke hospital.
“Tok kena batu karang ke?”  tanya saya perlahan.
Dia mengangguk lemah.
Tetapi apalah yang boleh saya lakukan kalau dia mengidap penyakit batu karang, kecuali berdoa saja kepada Allah.  Setidak-tidaknya terbukalah hati Pak Boyot supaya dia mahu berubat ke hospital.
“Kalau di hospital, nak kena belah,”  beritahu Pak Boyot semacam ngilu melihatkan mata pisau yang berkilat.  “Belah pun belum tentu baik, sebab karang tu akan menjadi juga setelah dibuang pun,”  ujarnya seolah-olah berpengalaman dengan masalah yang dihadapinya.
Disebabkan dia juga bomoh, sudah banyaklah cara perubatan tradisional dilakukan oleh Pak Boyot bagi mengubati penyakitnya.  Memang dia banyak memakan buah-buah betik dan tembikai bagi melawaskan air kencing, tetapi sakit batu karangnya berulang semula.
“Air rendaman batu karang pun tok dah minum,”  jelasnya sambil menunjukkan gelas berisi batu karang yang direndam
Dia juga mengamalkan zikir untuk mengubati penyakitnya, dan memberi tahu selama seminggu dia lakukan, karang itu keluar melalui kencingnya sebesar pangkal lidi.  Hampir lima bulan dia merasa lega sedikit dari gangguan penyakit batu karang itu.  Tetapi kebelakangan ini sakit batu karang itu datang lagi mengganggu.
Sejak mengidap batu karang itu Pak Boyot sering uzur.  Kadangkala kalau ada orang menjemputnya untuk berubat, selalunya dia menolak.  Dia mengaku tidak boleh duduk terlalu lama di sebabkan penyakit yang ditanggungnya itu.  Oleh itu dia akan berbaring saja sepanjang hari sekirnya tidak ada orang menempah ulu parang, senduk tempurung dan lain-lain hasil pertukangan tangannya.
“Tok ni nampak aje sihat, ustaz.  Tapi atuk ni sebenarnya uzur,”  katanya masih melirik senyum bersahaja.
“Dah tua, memanglah selalu uzur,”  sahut Mak Senit isterinya yang tiba-tiba muncul dari dapur.
“Nenek dari mana?”  tanya saya sebaik melihat dia terjongol.
“Nenek dari kedai…, dah lama ke ustaz sampai ni?”  dia baru menyedari saya yang datang bersama Kadir Misai.
“Hai, tempat duduk pun belum hangat lagi,”  kadir Misai mencelah dalam derai ketawa memanjang.
Mak Senit kelihatan sihat serta tubuhnya juga gempal.  Tidak sama seperti dia mengidap sakit perutnya dulu hingga menyebabkan tubuhnya keras.  Tulang pipinya juga timbul menampakkan mukanya yang cengkung.
“Apa ustaz tak cakap nak datang!”  katanya terlalu gembira lantas menampar belakang saya.  Dia juga merungut kerana kedatangan saya tidak membawa bersama isteri saya sekali.  “kenapa tak bawa orang rumah datang sama?”  gerutunya berulang kali.
Saya membiarkan saja dia menampar-nampar belakang saya bertalu-talu.  Terasa juga peritnya tamparan Mak Senit namun saya mendiamkan diri saja.  Tentulah tersinggung pula dia kalau saya cuba mengelak.
“Tak apalah lain kali saya bawa,”  ujar saya memberi jaminan agar dia memberhentikan perbuatannya menampar-nampar belakang saya.
Sewaktu mula-mula saya temui Mak Senit di rumah Pak Hid dulu, dialah tidak seriang mana.  Mukanya pucat serta cengkung menanggung kesakitan dalam perut.  Apabila saya meletakkan tapak tangan keperutnya terasa seolah-olah papan dinding yang keras.  Saya ketuk-ketukkan jari telunjuk ke situ ianya berbunyi seperti memukul papan saja.
Sebelum dibawa ke hospital Pak Boyot sudah pun membawa isterinya menemui beberapa orang dukun.  Ada diantaranya menuduh Mak Senit diganggu orang bunian kerana merobohkan rumahnya semasa dia menebas di tanah baru.  Sebab itulah perut Mak Senit menjadi keras seperti dinding kayu.  Bukan sekadar diganggu orang bunian saja, malah ada juga dukun yang menyebut tersampuk jembalang tanah.
Memanglah sukar mahu menentukan penyakit yang dihidapi oleh Mak Senit, sehingga pihak perubatan di hospital sendiri tidak dapat menberikan kepastian.  Atas alasan inilah juga satu pembedahan di perlukan bagi mendapatkan punca sebenarnya penyakit Mak Senit tersebut.
Pak Boyot juga menceritakan seorang dukun dari Batu Pahat telah berjaya mengeluarkan jarum serta paku berkarat dari dalam perut Mat Senit, tetapi penyakitnya tidak juga sembuh.  Dukun itu kemudiannya mengakui tidak sanggup lagi untuk meneruskan pengubatannya.
Semua inilah yang menyebabkan Pak Boyot hampir putus asa untuk mengubati penyakit isterinya.  Seingat-ingatnya mula-mula Mak Senit mengidap sakit itu ialah bermula dari sakit perut biasa.  Pak Boyot sendiri membacakan serapah sakit cika, tetapi tidak berupaya menyembuhkannya.  Penyakit tersebut berlarutan hinggalah perutnya menjadi keras.
Sekali-sekala dia akan merasa senak seperti ada benda bergerak-gerak di dalam perutnya itu.  Apabila benda ini mengeras ketika inilah perut Mak Senit menjadi keras.
Hampir seminggu Mak Senit di rumah Pak Hid, saya diberitahu oleh anak saudara Pak Hid mengatakan orang tua itu hendak bertemu saya.  Keesokan harinya saya pun terus ke Serting menemui Pak Hid.  Itulah pertama kali saya mengenali Pak Boyot dan Mak Senit.
“Dah seminggu Senit ni di sini,”  jelas Pak Hid memberitahu saya.
“Pak Hid ni kata ustaz selalu ke sini,”  ujar Pak Boyot tersengih-sengih memandang saya.
Saya mengangguk.  “Ustaz datang dengan Kadir Misai?” soalnya.
“Iya…, dia kawan saya,”  kata saya menerangkan.
“Kadir tu anak saudara atuk,”  beritahu Pak Boyot perlahan.  “Tapi, Pak Hid ni memang kawan lama atuk sejak muda-muda lagi,”  dia menambah sambil mengerling Pak Hid.
“Emmm, Pak Hid ni guru saya…”  ujar saya pula.
Perkenalan di rumah Pak Hid inilah yang merapatkan hubungan saya dengan Pak Boyot.  Apa lagi persahabatan saya dengan Kadir Misai anak saudaranya, menjadi keraplah pula saya datang berkunjung ke rumahnya apabila datang ke Malaka di rumah Kadir Misai.
Disebabkan sudah dijemput oleh Pak Hid ke Serting, terpaksalah juga saya memenuhi permintaan Pak Hid dan Pak Boyot untuk cuba mendoakan Mak Senit.  Memanglah berdoa saja dengan tidak berusaha menurut kata orang tidak akan memberi apa-apa makna, tetapi bagi saya doa itu juga adalah sebahagian dari usaha.
Perut Mak Senit terasa keras hingga boleh kedengaran bunyinya apabila di ketuk dengan jari.  Terasa juga gementar saya mahu memulakan sesuatu kerana saya menyedari Pad Hid dan Pak Boyot juga bukanlah sebarang orang.  Pak Boyot seorang dukun yang sangat dikenali di kampungnya, manakala Pak Hid pula sering menjadi tumpuan penduduk-penduduk di situ bagi mengubati penyakit secara tradisional.
Tentulah saya merasa kekok berhadapan dengan dua orang yang sudah tua seperti mereka.  Lagi pun Pak Hid bukan lagi sekadar berkawan, tetapi dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya.  Kalau saya menemui dia pun memang untuk bertanyakan sesuatu yang belum pernah saya ketahui.
“Buatlah apa yang patut ustaz…”  kata Pak Hid menepuk bahu saya.
“Tapi elok kita buat sama-sama,”  ujar saya memintanya ikut sama membantu.  Mereka berdua bersetuju membantu saya.
Saya melihat Pak Hid menadah tangan berdoa sebelum memulakan pengubatan.  Kemudian dia menghalakan dua tapak tangannya kearah perut Mak Senit.
“Apa rasanya sekarang Senit?”  tanya Pak Hid.
“Rasa senak…”  beritahu Mak Senit berkerut-kerut dahi menahan kesakitan.
Pak Boyot juga kedengaran membacakan Ayat Kursi berulang kali.  Perasaan gementar saya semakin menganggu kerana saya masih tidak berkeyakinan untuk memulakan.  Masih banyak lagi yang saya perlu menpelajarinya dari Pak Hid.
Setelah beberapa minit saya cuba menghilangkan rasa gementar itu, barulah saya memulakan dengan bacaan Fatihah tiga kali.  Ketika ini Pak Hid sudah mengisar dua tapak tangannya sambil menghembuskan ke perut Mak Senit .  Ketika ini Mak Senit menggeliat-geliat lemah, tetapi masih belum dapat menggerakan badannya.
Melihatkan Pak Hid dan Pak Boyot terkumat-kamit membacakan ayat-ayat Quran, saya juga membacakan Surah Al-Qalam sambil jari telunjuk saya tertuju ke perut Mak Senit.  Sekaligus saya menujahkan jari telunjuk saya ke kepala lutut saya sendiri, tetapi saat ini saya merasakan jari saya tertujah keatas buih yang berpusar di tengah air.
Telunjuk saya menembusi buih berkenaan hingga airnya memancut ke atas.  Serentak dengan itu pula Mak Senit terjeluih muntah.  Terpaksa pula isteri Pak Hid membantunya duduk, kerana muntahnya terpaksa ditadah dengan besin.
“Ustaz nak membunuh ke ni..!”  rungut Mak Senit semacam kesal disebabkan dia termuntah-muntah.
Saya tidak menyahut.  Pak Hid juga terus mengisar tapak tangannya menyebabkan Mak Senit semakiin terketar-ketar menahan rasa hendak terjeluih muntah.
“Pak Hid pun jangan seksa aku ni!”  kata Mak Senit terputus-putus suara.
Kami tidak menghiraukan apa yang dicakapkan oleh Mak Senit.  Sekali lagi saya menujahkan telunjuk ke kapala lutut, walaupun saat ini saya merasakan telunjuk saya itu tertujah ke tengah buih yang lembut.  Air berpusar di bawah buih itu terpancut semasa telunjuk menujahnya.
Sekali lagi Mak Senit terjeluih muntah.
“Macam nak keluar tali perut aku!” gerutunya bercampur geram.
“Kau nak baik ke tidak?”  soal Pak Boyot memarahi isterinya.
“Kau diam dulu Boyot,”  cepat-cepat Pak Hid mengingatkan kawannya itu supaya tidak tergesa-gesa melayani kata-kata isterinya.  Kadangkala boleh jadi Mak Senit tidak sedar apa yang di tuturkannya.  Boleh jadi juga dia tidak dapat mengawal dari menuturkan kata-katanya, sekalipun dia memangnya sedar
Apabila saya mengangkat muka, saya ternampak tapak tangan Pak Hid mengeluarkan asap.  Dia terus juga mengisar-ngisar tapak tangannya, kemudian menghembuskannya kearah Mak Senit.  Pak Boyot juga kembali membacakan doa-doanya setelah ditegur oleh Pak Hid.
Saya membiarkan Pak Hid dan Pak Boyot melakukan cara mereka.  Saya masih lagi merasakan di hadapan saya hanya buih dan air berpusar saja.  Buih itu masih terapung-apung di permukaan air,  Setiap kali saya menghembuskan kearahnya buih itu semacam terkopak, tetapi segera bercantum semula.
Kemudian saya menguis-nguis dengan jari telunjuk saya untuk menghidarkan buih berkenaan,  Sekaligus pula saya merasakan ada ular melingkari buih berkenaan hingga menyebabkan saya gementar untuk terus menghulurkan jari.
Saya segera membacakan ayat 129 dari surah At-Taubah menyebabkan ular yang melingkar itu berligar-ligar mahu mencari sasaran.  Lama kelamaan ular itu sendiri dipusar oleh air hingga tenggelam.  Melihatkan sudah tidak ada lagi ular yang melingkar di situ, saya terus menyeluk ke dalam air tersebut sambil menolak buih yang terapung ke tepi.
Belum pun sempat tangan saya menyeluk ke dalam air, saya terasa bahang hangat seperti air mendidih.  Cepat-cepat saya menarik semula tangan saya disebabkan hangat itu mengancam.  Kemudian saya membacakan pula ayat 22,23 dan 24  dari surah Al-Hasyr bagi membolehkan saya dapat menyelukkan tangan ke dalam air yang hangat mendidih itu.
Semasa tangan saya menyeluk ke dalam air mendidih ini, Mak Senit terjerit-jerit menahan kesakitan, tetapi tubuhnya tidaklah dapat bergerak kuat disebabkan tenaganya sudah sekian lama menjadi lemah.  Badannya sudah kurus melengking bagaikan tulang yang hanya dibalut kulit saja.
Saya terus meraba-raba di dalam air yang berbuih itu, tetapi tidak pun terasa apa-apa selain selut lumpur seperti lubuk.  Hairan juga saya dengan  apa yang saya alami itu, kerana jari saya seolah-olah terendam di dalam lubuk berselut lumpur.
“Saya tahu ustaz dah dapat…”  saya mendengar Pak Hid berbisik ke telinga saya.  “Saya dah cuba beberapa kali tapi sukar nak dapatkan!”  katanya menepuk-nepuk bahu saya.
Terkejut juga saya dengan kata-kata Pak Hid itu, kerana saya sendiri tidak tahu apakah bendanya yang sudah saya dapati.  Hanya saya merasakan ketika itu tangan saya menyeluk ke dalam selut lumpur seperti di tengah lubuk.
Debaran hati saya mula gementar semula apabila menghadapi suasana demikian.  Bagi meredakan debaran itu saya pun berzikir menyebut nama Allah dengan keyakinan penuh memohon perlindungan dariNya.  Ketika ini saya merasakan beribu-ribu benda lembut yang hidup bernyawa sedang menjalar di seluruh tangan saya.  Tetapi saya tabahkan hati tidak melepaskan tangan saya yang sudah di seluk ke dalam selut lumpur berkenaan.
Benda-benda lembut yang menjalar itu memang terasa geli-gelemannya, dan mungkin kita boleh terjerit ketakutan sekiranya tidak tabah menghadapi suasana tersebut.  Saya terus berzikir untuk menghilangkan rasa gementar serta geli-geleman yang semakin menggugat.
Semakin saya menanamkan keyakinan dengan zikirullah yang kian mantap, saya merasa seluruh tangan saya menjadi panas membahang.  Benda-benda lembut yang seakan-akan cacing berkeliaran menghurung tangan saya, sedikit demi sedikit menghindarkan diri.  Lubuk itu sudah merasa sepi semula dengan meninggalkan selut lumpur yang sejuk.
“Baliklah ustaz, jangan kacau kami,”  saya mendengar seolah-olah ada suara garau dari dasar air lubuk berselut itu seperti perempuan tua yang menderita sakit.
“Awak ni siapa?”  saya mendengar pula suara Pak Hid sayup-sayup mengherdik dari kejauhan.
“Kami nak bercakap dengan ustaz, bukan dengan awak Pak Hid!”  tiba-tiba suara perempuan tua yang garau serta tidak kelihatan itu memarahi Pak Hid.
“Cakap dengan aku dulu!”  sahut Pak Hid keras.
Suara Perempuan tua itu ketawa mengejek.  Dia semacam tidak menghiraukan kata-kata Pak Hid yang mengancamnya.  Sebenarnya dalam masa ini Mak Senit semakin lemah tidak bermaya.  Dia terbaring tidak sedarkan diri.  Perlahan-lahan isteri Pak Hid meletakkan kepalanya ke bantal semula.  Pak Hid pula menghalakan dua tapak tangannya kearah perut Mak Senit yang bergerak-gerak seperti bola sebesar penumbuk sekejap ke kiri, dan sekejap ke kanan.
Pak Boyot tidak berbuat apa-apa kerana melihat keadaan perut isterinya yang tiba-tiba saja timbul membengkak seperti bola sebesar penumbuk.  Bola itu pula bergerak bagaikan benda yang bernyawa berligar di serata perut Mak Senit.  Memang menghairankan dia dan isteri Pak Hid yang melihat kejadian tersebut, kerana ketika ini saya dan Pak Hid tidak tahu apakah sebenarnya berlaku keatas diri Mak Senit.
Saya hanya merasakan ketika itu duduk terpencil dengan tangan menyeluk ke dalam selut lumpur ke dasar lubuk.  Sementara Pak Hid pula tidak tahu di mana, tetapi saya masih dapat mendengar suaranya sayup-sayup di kejauhan.
“Baliklah ustaz,”  rayu suara perempuan tua yang tidak saya lihat ujudnya itu.
“Insya Allah,”  sahut saya perlahan sambil memerhati ke tengah air yang kelihatan buih terapung-apung.  Kemudian saya membacakan surah Al-Ikhlas sebelas kali lantas mengocak-ngocakkan tangan saya.  Serta merta saya melihat air lumpur berkeladak naik ke permukaan.
Serentak dengan itu pula Mak Senit kembali terjeluih muntah mengeluarkan lumut hitam. Bergegas-gegas Pak Boyot membantu isteri Pak Hid mengangkat tubuh Mak Senit supaya muntahnya tidak meleleh masuk ke telinga.
Dari air lumpur berkeladak itu muncul seorang perempuan tua yang mukanya menggerutu bagaikan kulit katak puru dengan wajah sedih merenungi muka saya.  Tangannya terkapai-kapai bagaikan meminta belas kesihan dari saya.
“Lepaskanlah nenek ni, ustaz…”  suaranya amat mengharukan saya, tetapi Pak Boyot dan isteri Pak Hid hanya mendengarkan Mak Senit sendiri yang menuturkannya.  “Nenek bukan nak menyusahkan orang, tapi nenek ni terikat tak dapat nak lepas,”  ujarnya seperti menjelaskan kedudukan sebenarnya.
Sekalipun suaranya memang mengharukan, tetapi saya tetap melawan perasaan untuk menganggapnya sebagai syaitan yang mesti menjadi musuh manusia.  Kadangkala syaitan memang pintar mengelirukan manusia dengan godaan demikian untuk menarik perhatian kita semata-mata.
Saya mengocak-ngocakkan lagi tangan saya hingga lumpur berkeladak itu sekali lagi naik ke permukaan.  Ketika ini saya mendengar jeritan suara perempuan itu merintah-rintih mengharapkan belas kesihan dari saya.  Serentak dengan itu saya melihat Pak Hid sudah berada hampir di tepi lubuk berkenaan dengan dua tapak tangannya di hala kepada perempuan tua yang timbul tenggelam di dalam lubuk.
Saya melihat silauan panas memancar dari tapak tangan Pak Hid hingga mengeringkan air yang berbuih tadi.  Lumpur selut di dasar lubuk juga sudah menjadi gersang berdebu.  Apabila saya mengangkat tangan kelihatan memutih diselaputi debu lumpur berkenaan.
“Kau salah faham Pak Hid…”  perempuan tua yang mukanya menggerutu itu tergolek di dalam debu.  “Lepaskanlah aku kalau kau boleh jangan seksa aku macam ni,”  ujarnya tersengguk-sengguk kesediahan.
Kemudian Pak Hid memberi isyarat kepada saya menandakan cukuplah sampai setakat itu saja.  Dia seolah-olah memanggil saya balik semula. Selepas itu Pak Hid menghilang di sebalik silauan panas di tangannya, lantas saya pun mengangkat tangan saya meninggalkan perempuan tua itu tergolek lemah di dalam debu.
“Hah, apa yang ustaz lihat?”  tanya Pak Boyot setelah saya dan Pak Hid selesai megubati isterinya.
“Tak ada apa-apa,”  beritahu saya tersengih-sengih mengerling Pak Hid yang melirik senyum.
“Gelang pesaka Senit tu, kau buangkan aje laaa,”  tiba-tiba saja Pak Hid mengesyurkan.
“Gelang pesaka apa pula?”  soal Pak Boyot kehairanan.
“Ah, Senit tahulah.  Kau buangkan sajalah, kalau tidak serahkan balik pada keluarga kau yang rapat,”  kata Pak Hid selanjutnya.
Hanya selepas Mak Senit sembuh beberapa bulan kemudiannya, barulah saya diberitahu mengenai gelang pesaka tersebut.  Kadangkala hairan juga saya apakah kaitan antara gelang pesaka dengan penyakit yang dihidapi oleh Mak Senit.  Tetapi yang nyata selepas peristiwa itulah hubungan saya dengan keluarga Pak Boyot semakin mesra.
Kedatangan saya ke rumah Pak Boyot kali itu bersama Kadir Misai memang disebabkan pesannya yang ingin sangat bertemu.  Kebetulah saya pula sudah hampir setahun tidak menjengahnya.  Biasanya kalau hariraya memang saya berkunjung juga ke rumah Pak Boyot ini.
“Kenapalah ustaz datang tak bawa orang rumah…!”  ulangi Mak Senit semacam menyesali saya kerana datang ke rumahnya tidak bersama dengan isteri.

SELESAI