Monday, March 6, 2017

218. KEPALANYA JATUH TERGOLEK DI TANAH



Antara percaya dengan tidak apabila diberitahu mengenai kepala Ngah Gadek tiba-tiba sahaja tercabut daripada badan, tetapi kemudiannya boleh bercantum semula. Bagaimanapun saya tidaklah menuduh Abang Jibut sengaja jual temberang tatkala menceritakan pengalamannya bersama Ngah Gadek itu.
Sebab itulah ingin benar saya mahu menemui Ngah Gadek, setelah diberitahu oleh Abang Jibut sebelum saya ke Kemaman. Perkara Ngah Gadek boleh mencabut kepalanya itu bukanlah aneh sangat, kalau bandingkan dengan Pak Da Mamud di Endau. Memang saya sudah menemui Pak Da Mamud sewaktu ke Endau menjengah Wak Samin.
Tatkala Wak Samin beritahu mengenai dirinya kepada saya, dia sekadar tersengih-sengih sahaja. Apabila didesak Pak Da Mamud menggeleng-geleng tidak mengaku dia boleh mencabutkan tangannya hingga paras bahu macam tangan palsu ditanggalkan. Kemudian dilekatkan semula hingga bercantum macam sediakala.
Memang saya tidak hairan apa-apa setelah diberitahu oleh Abang Jibut mengenai Ngah Gadek di kampungnya di Kemaman. Abang Jibut sendiri tidaklah mengenali sangat Ngah Gadek disebabkan dia bukannya orang Kemaman. Ngah Gadek hanya datang ke kampung itu setelah mengikut kawannya Madon menjadi nelayan.
Apabila Madon meninggal dunia lantas sahaja Ngah Gadek mengambil keputusan menetap di Kemaman. Apalagi dia telah berkahwin dengan janda muda, Ngah Mahawa. Kebetulan pula Ngah Mahawa itu emak saudara kepada Abang Jibut.
Hampir lapan tahun menetap di Kemaman selepas berkahwin dengan Ngah Mahawa, dia tidak mendapat seorang pun anak. Anak Mahawa dengan suarninya sebelum itu sudah pun berkahwin dan menetap di Besut. Tinggallah mereka berdua suami isteri sahaja di perkampungan nelayan itu.
Memang Ngah Gadek tidak terniat langsung mahu balik ke kampung halamannya. Susah senang bersama Ngah Mahawa, biarlah dia menetap di situ sahaja sampai bila-bila pun.
Ketika musim tengkujuh, lama juga Ngah Gadek tidak dapat turun ke laut. Gelisah juga dia sekiranya tengkujuh berterusan hingga sumber pendapatan tertutup rapat. Apalagi kalau Ngah Mahawa merungut-rungut sekiranya tempayan beras sudah cecah ke dasar.
"Tak boleh ke laut, awak carilah kerja lain," desak Ngah Mahawa kesal dengan sikap suaminya yang tidak mahu berikhtiar selain daripada turun ke laut.. "Apa salahnya awak kait kelapa tunggu habis musim tengkujuh," sengaja dia meleteri suaminya biar tidak berperap di rumah sahaja sepanjang musim tengkujuh.
Tetapi Ngah Gadek memang tidak boleh diharap sangat. Kalau tidak berperap di rumah, dia habiskan masa di warung kopi Uteh Seman di simpang jalan. Kadangkala bermain dam dengan anak-anak muda di situ hingga santak petang. Geram benar hati Ngah Mahawa apabila suaminya berkawan dengan anak-anak muda yang belum tahu tanggungjawab rumahtangga.
 "Tak ada beras, kita puasa sudahlah," tersengih-sengih Ngah Gadek mengusik isterinya.
Ngah Gadek tidak marah apa-apa sekalipun isterinya berleter panjang sampai santak senja. Biarlah Ngah Mahawa becok membebel hingga tersembur air liur pun. Dia tidak peduli apa-apa. Kalau tidak tahan dengan leteran Ngah Mahawa, dia akan melenggang pergi ke warung Uteh Seman. Setidak-tidaknya boleh juga bermain dam dengan budak-budak yang lebih jauh muda usia daripadanya.
Puas Ngah Mahawa berleter, tetapi sikap Ngah Gadek tidak juga berubah. Terpaksa pula Ngah Mahawa bekerja ambil upah buat keropok dengan isteri Uteh Seman. Kadangkala dia anyam juga tikar mengkuang pandan dijual ke pekan untuk menampung belanja rumah.
Harapkan Ngah Gadek, memang dia sudah tahu benar perangai suaminya asal sahaja musim tengkujuh. Malas benar Ngah Gadek mahu buat kerja-kerja di darat sekiranya tidak dapat turun ke laut.
Tahu benar Ngah Mahawa, suaminya datang ke kampung itu mengikut arwah Madon semata-mata disebabkan membawa hati selepas bercerai dengan isterinya. Ngah Gadek tinggalkan kampung halaman setelah isterinya lari meninggalkan dia ikut lelaki lain.
"Sabarlah, Mahawa," Ngah Gadek memujuk isterinya apabila perempuan itu berang sangat dengan sikapnya. "Nanti aku ke kedai belikan beras," dia memberi jaminan lantas mencapai baju yang tersangkut di dinding


"Awak nak beli dengan apa?" gerutu Ngah Mahawa mengejeknya. "Awak nak beli dengan duit judi?" sengaja dia mahu menyakiti hati suaminya kerana tahu sangat dia masakan Ngah Gadek mempunyai wang kalau sepanjang hari tidak bekerja apa-apa.
"Mana aku pernah main judi?" tersinggung juga Ngah Gadek apabila dituduh isterinya, tetapi dia tetap tenang menelan leteran yang menusuk-nusuk hatinya itu.
"Habis, awak nak beli dengan duit apa!" lantas Ngah Mahawa menyeluk duit daripada upaunya dihulurkan kepada Ngah Gadek supaya membeli beras di kedai. Memang tidak sampai hatinya mahu mendesak suaminya tatkala Ngah Cadek tidak mempunyai wang.
Jauh di sudut hatinya Ngah Mahawa bimbang juga sekiranya Ngah Gadek gunakan wang judi yang haram. Tahu sangat dia kalau suaminya tengah terdesak mudah sahaja bertaruh main judi. Bila-bila sahaja Ngah Gadek boleh menang kalau takat bertaruh. Tetapi semenjak berkahwin dengan Ngah Mahawa bertaubat dia tidak mahu lagi bertaruh judi sekalipun dalam keadaan kesempitan wang sangat.
Memang Ngah Mahawa memberi syarat sebelum menerima pinangan Ngah Gadek. Dia tidak mahu Ngah Gadek gunakan duit bertaruh judi untuk menyara hidupnya. Biarlah terpaksa kais pagi makan pagi, Ngah Mahawa tetap tidak rela makan duit judi hasil kemahiran suaminya bertaruh.
 "Simpanlah duit awak tu," ujar Ngah Gadek macam terkilan dengan leteran isterinya. Dia tidak tergamak gunakan wang titik peluh isterinya hasil jual tikar pandan mengkuang dan ambil upah buat keropok di rumah isteri Uteh Seman.
"Awak nak beli beras dengan duit judi?" tuduh Ngah Mahawa tidak percaya dengan jaminan suaminya.
"Tidak!" sahut Ngah Gadek tersengih-sengih lantas mencapai pelepah kelapa kering di hujung halaman. Pada pangkal pelepah kelapa itu dikopaknya sedikit untuk selitkan tempurung yang dipecahkan hingga melengkung bagaikan tanduk lembu.
"His, macam budak-budak," ejek Ngah Mahawa apabila melihat suaminya mengheret pelepah kelapa itu dengan tali. Ngah Gadek tidak menyahut, tetapi terus mengheret pelepah kelapa kering itu. Setelah jauh dari rumahnya tiba-tiba sahaja pelepah kelapa itu bertukar menjelma jadi seekor lembu. Tidak bertangguh Ngah Gadek mengheret lembu tersebut ke kedai Ah Bok dengan susah payah.
Sebaik sampai sahaja di hadapan kedai Ah Bok, cepat-cepat dia jualkan lembu itu. Ngah Gadek tidak meminta wang, tetapi sekadar bertukar dengan barang-barang keperluan dapur sahaja. Macam tidak percaya pula Ah Bok tiba-tiba sahaja Ngak Gadek memiliki lembu untuk dijual. Selama ini tidak pernah pula dia melihat lelaki itu memelihara lembu.
Kalau dia enggan membeli lembu tersebut terasa pula rugi sekiranya Ngah Gadek menjual kepada orang lain. Siapa pun akan berebut mahu membelinya disebabkan harganya terlalu murah. Biarlah Ngah Gadek curi di mana pun lembu berkenaan, asal sahaja dia boleh membeli dengan harga murah. Lagi pun Ah Bok tidak akan memelihara lembu tersebut. Dalam masa sehari dua dia akan jual juga ke Kuantan.
Mahu dituduh Ngah Gadek mencuri lembu pula tidak ada bukti apa-apa. Di situ tidak ada siapa pun yang memelihara lembu. Masakan Ngah Gadek berani mencuri lembu jiran sama sekampung, disebabkan mereka juga semuanya bertumpu di kedai Ah Bok. Tentu rahsianya terbongkar juga kalau sengaja mencuri lembu ternakan orang-orang kampung.
Memang Ah Bok bersetuju beli lembu tersebut kalau sekadar bertukar barang-barang keperluan dapur yang tidak sampai satu ratus ringgit. Apa sangat menukar barang-barang kalau bandingkan dengan seekor lembu yang boleh dijual ke Kuantan hampir satu ribu ringgit.
 "Lu curikah ini lembu, Gadek?" sengaja Ah Bok mengusiknya setelah membelek-belek lembu berkenaan.
"Kau cakap baik-baik Ah Bok," Ngah Gadek menggertap bibir berpura-pura marah. "Mentang-mentang aku tak berduit, kau pandang rendah ye!" katanya keras bagaikan merajuk mahu menjual kepada Uteh Seman pula.
"Gua cakap main-main saja, Gadek," cepat-cepat Ah Bok memujuk supaya Ngah Gadek tidak berkecil hati.
Terkilan juga dia sekiranya Ngah Gadek tidak jadi jualkan lembu itu. Bukan senang mahu dapatkan seekor lembu dengan harga sekadar menukar barang-barang keperluan dapur sahaja. Sama ada lembu curi atau pun lembu ternak Ngah Gadek, tidak penting lagi pada Ah Bok. Selepas lembu itu dijual ke Kuantan, siapa pun tidak akan dapat menuduh lagi.
Tentu Ngah Gadek terdesak sangat hingga sanggup menjual lembu dengan harga murah. Sebab itu Ah Bok tidak mahu lepaskan peluang yang datang sekali-sekala.
"OkeY, gua angkat itu lembu laaa," kata Ah Bok tidak bertangguh lagi mengheret lembu itu ke belakang kedainya. Dia sudah berkira-kira akan serahkan pada Sahak Lembu biar dijual segera ke pasar di Kuantan.
Terkejut benar Ngah Mahawa apabila tiba-tiba sahaja Ah Bok menghantar barang-barang keperluan dapur hingga penuh dua kotak besar. Di mana pula Ngah Gadek dapatkan wang sampai Ah Bok sendiri hantar-kan barang-barang hingga ke pintu dapur? Kalau berjudi pun, mustahil boleh dapat wang banyak hingga mampu beli barang-barang dua kotak besar.
"Mana awak cari duit beli barang-barang ni semua?" lantas sahaja Ngah Mahawa berleter sebaik sahaja suaminya jejak kaki ke tangga rumah. Berdebar juga hatinya hingga enggan menerima barang-barang itu tatkala Ah Bok sendiri hantar ke pintu dapur.
"Ah, orang lelaki, macam-macamlah ikhtiar," sahut Ngah Gadek terus terlentang tidur di hujung serambi rumah.
Serba salah juga Ngah Mahawa mahu mempercayai penjelasan suaminya. Tetapi dia tidak boleh menuduh Ngah Gadek buat kerja yang salah. Hanya tidak sampai setengah jam dia ke kedai, tentu tidak ada masa mahu lakukan kerja-kerja yang salah hingga menyusahkan dirinya.
Memang Ah Bok tidak bertangguh memberitahu Sahak Lembu mengenai lembu yang dibeli daripada Ngah Gadek. Cuma Sahak Lembu yang menjadi rakan kongsinya yang tahu mengenai jual beli lembu di pasar Kuantan. Dia tidak akan campur urusan Sahak Lembu setelah rakannya itu membawa lembu tersebut untuk dijual ke pasar.
Sewaktu Sahak Lembu ke belakang kedai mahu mengheret lembu berkenaan, tercengang dia kerana rnelihat pelepah kelapa kering sahaja terikat di batang pokok kelapa. Merungut juga dia seolah-olah dipermainkan oleh Ah Bok.
 "Mana itu lembu, Ah Bok?" laung Sahak Lembu dari belakang kedai marah-marah. Memang dia menuduh Ah Bok sengaja permainkan dia apabila menyebut dapat lembu harga murah itu. Dia sendiri tidak berapa kenal sangat dengan Ngah Gadek yang menjual lembu berkenaan kepada Ah Bok.
"Gua tambat sini tadi," Ah Bok juga hairan setelah melihat sendiri di belakang kedai hanya pelepah kelapa kering sahaja terikat di perdu pokok kelapa. Dia sendiri yang heret lembu itu ditambatkan di perdu pokok kelapa di situ. Bagaimana tiba-tiba sahaja lembu jantan tengah berisi itu bertukar menjadi pelepah kelapa kering diberi tanduk tempurung melengkung?
"Memang gua ikat di sini," ujar Ah Bok memegang tali yang terikat di perdu pokok kelapa. Hairan juga dia,tali yang terikat itu sekadar menambat pelepah kelapa kering.
"Ini macam, lu sudah kena tipu," rungut Sahak Lembu membelek-belek tali belati yang masih terikat di perdu pokok kelapa itu. Tersengih-sengih juga dia geli hati kerana Ah Bok mudah sangat percaya dengan lembu yang dijual murah. Dia percaya tentu Ah Bok sudah dikelirukan sehingga melihat pelepah kelapa kering itu sama dengan seekor lembu jantan tengah naik badan.
"Hah, gua mesti ajar sama Gadek!" gerutu Ah Bok menggertap bibir. Marah benar dia dengan Ngah Gadek yang cuba permainkan dia.
Tidak bertangguh lagi Ah Bok terus menyerbu ke rumah Ngah Gadek. Dia mesti ambil balik semua barang-barang yang dihantar ke pintu dapur, biarlah terpaksa memikul dua kotak besar penuh berisi. Apa sangat dua karnpit beras, sekampit tepung, sekampit gula, kalau dipikul dimasukkan ke dalam lori kecilnya. Bila-bila dia boleh pikul biar sampai tersenget bahu sekalipun.
Ah Bok akan beritahu orang-orang kampung fasal Ngah Gadek menipunya. Tentu seisi kampung akan pulaukan Ngah Gadek, setelah tidak siapa pun yang percayakan dia lagi. Kalau tidak diajar demikian sampai bila-bila pun Ngah Gadek akan menipu juga.
Tatkala sampai di tengah halaman rumah, Ah Bok segera memanggil Ngah Mahawa yang terkial-kial membasuh beras di pelantar dapur. Terkejut juga Ngah Mahawa apabila lelaki Cina itu merungut-rungut tidak menentu. Bagaimana tiba-tiba sahaja Ah Bok merungut marah, sedangkan beberapa jam sebelum itu dia tersengih-sengih datang menghantar dua kotak besar barang-barang penuh berisi?
"Mana Gadek?" gerutu Ah Bok lantas melompat keluar dari lori kecilnya.
"Ada tidur di atas," beritahu Ngah Mahawa ikhlas sambil menuding jari ke serambi rumah.
Dia busuk punya orang, tipu sama gua!" tegas Ah Bok melepaskan geram yang terbuku di hati.
 "Tipu macam mana?" hairan juga Ngah Mahawa apabila suaminya dituduh demikian.
Tetapi Ah Bok tidak menyahut. Tidak perlu dia beritahu apa-apa kepada perempuan itu. Masakan Ngah Mahawa percaya sekiranya dia terangkan mengenai Ngah Gadek menipu dengan menjual lembu. Tentu dia juga akan ditertawakan orang kerana percaya yang dijual oleh Ngah Gadek, sedangkan lelaki itu tidak pernah rnenternak seekor pun lembu.
Disebabkan Ah Bok mendesak sangat mahu menemui Ngah Gadek, lantas Ngah Mahawa menyuruhnya naik sahaja ke serambi. Biarlah Ah Bok sendiri kejutkan suaminya tengah tidur keletihan. Lagipun bukan sehari dua Ah Bok mengenali Ngah Gadek.
Sebaik sahaja naik ke serambi segera Ah Bok menerpa mendekati Ngah Gadek. Memang marah benar dia disebabkan ditipu oleh lelaki itu, sekalipun mereka sudah berkawan lama. Tidak patut Ngah Gadek menipu dia dengan menjual lembu yang tidak wujud, sedangkan mereka sudah lama mengenali di antara satu sama lain.
"Gadek, bangun!" teriak Ah Bok tidak bertabek-tabek lagi. Dia tidak peduli sama ada sikapnya itu melanggar adat resam orang Melayu atau pun tidak. Dalam saat hatinya bergejolak marah akibat ditipu oleh Ngah Gadek, Ah Bok tidak perlu fikirkan perkara adat resam atau pun tidak.
Ngah Gadek mengalihkan badan apabila dikejutkan oleh Ah Bok. Dia berpura-pura tidur nyenyak hingga tidak dengar pun teriakan Ah Bok mendesak-nya segera bangun.
Puas dia mengejutkan Ngah Gadek, tetapi lelaki itu terus juga tidak mahu bangun, bertambah berang Ah Bok tidak dapat menahan kemarahannya. Dia tidak boleh bersabar kalau Ngah Gadek berdegil demikian. Sekaligus dia merentap tangan Ngah Gadek biar lelaki itu tersentak bangun.
Tiba-tiba sahaja tangan yang direntapnya tercabut daripada pangkal bahu Ngah Gadek. Serentak dengan itu Ngah Gadek terjerit kesakitan hingga menggelepar dilantai bagaikan ayam kena sembelih. Terkejut Ah Bok dengan kejadian yang tidak diduganya itu, kerana dia tidaklah merentap kuat sangat. Bagaimana pula tangan itu boleh tercabut hingga tanggal di paras pangkal bahu.
Sebaik mendengar jeritan Ngah Gadek, tidak bertangguh Ngah Mahawa menerpa ke serambi. Terkejut benar dia apabilu dilihatnya Ah Bok memegang langan suaminya yang tercabut bahu, sedangkan Ngah Gadek menggelepar di lantai.
Terus sahaja Ngah Mahawa meluru menerkam Ah Bok. Bertubi-tubi ditumbuknya dada lelaki Cina itu disebabkan tidak dapat lagi mengawal perasaan.
"Apa lu buat dengan laki aku, ha?" jerkah Ngah Mahawa melepaskan geram.
 "Gua pun tak tahu apa sudah jadi, Mahawa," ujar Ah Bok ketakutan. Dia menggeletar sambil memegang tangan Ngah Gadek yang tercabut.
Ngah Gadek berguling-guling di lantai seolah-olah menanggung kesakitan yang tidak terperikan. Ketika ini Ngah Mahawa sendiri sudah tidak dapat menahan sabar. Tidak patut Ah Bok mencabut tangan suaminya kalau sekadar ditipu sahaja. Kalau ditipu pun sampai mengalami kerugian besar, Ah Bok boleh adukan sahaja kepada ketua kampung atau terus ke balai polis. Kenapa mesti bertindak sampai mencabutkan tangan suaminya?
Tidak bertangguh Ngah Mahawa berkejar ke dapur mencapai parang penebas. Sewaktu dia menerpa mahu menetak Ah Bok, segera dihalang oleh Ngah Gadek. Tertegun juga Ngah Mahawa apabila suaminya tidak benarkan dia bertindak balas mahu cederakan lelaki Cina itu.
"Sudahlah, kita report saja pada polis," Ngah Gadek memujuk isterinya lantas mencapai semula tangannya yang dipegang oleh Ah Bok.
"Lu pergi hospital, sudahlah," cepat-cepat Ah Bok mendesak Ngah Gadek supaya tidak panjangkan kejadian tersebut sampai ke balai polis. Manalah tahu Ngah Gadek akan menuduh dia cuba membunuh sekiranya membuat aduan. Tentu dia tidak akan terlepas daripada hukuman berat kalau dituduh cuba membunuh Ngah Gadek.
"Pergi hospital, mana boleh baik?" rungut Ngah Gadek mengerang-erang menahan kesakitan.
Terdiam Ah Bok. Memang dia menyedari tangan yang tercabut sampai ke pangkal lengan tidak akan dapat dipulihkan lagi sekalipun dirawat di hospital. Masakan tangan yang sudah putus daging dan urat boleh dijahit sampai bertaup semula.
Cepat-cepat Ah Bok menyeluk sakunya. Dia keluarkan wang lebih dua ratus ringgit lantas dihulurkan kepada Mahawa. Dia memujuk perempuan itu supaya tidak laporkan ke balai polis kejadian tersebut.
"Lu, tak payah repot polis laaa," Ah Bok terus memujuk dalam keadaan masih ke-takutan.
"Awak baliklah dulu," terketar-ketar Ngah Gadek mendesaknya seolah-olah menanggung kesakitan akibat tangan tercabut sampai ke pangkal bahu. "Nanti aku ubat cara kampung aje," ujar dia selanjutnya memberi jaminan tidak akan mernbuat laporan ke balai
"Boleh baikkah ubat cara kampung?" Ah Bok tetap diganggu bimbang. Manalah tahu fikiran Ngah Gadek boleh berubah pula apabila dia balik sahaja ke rumah. Tentu dia akan ditangkap polis sehingga dipenjarakan sekiranya Ngah Gadek tidak mahu selesaikan cara baik.
"Ubat kampung macam-macam boleh ikhtiarkan," sahut Ngah Gadek terherot-herot mulut bagaikan menahan kesakitan yang dideritai.
Sebaik sahaja Ah Bok meninggalkan rumahnya, terkekeh-kekeh Ngah Gadek ketawa. Tangannya yang tercabut di pangkal bahu itu hanya bantal duling yang sudah lusuh sahaja. Memang hairan juga Ngah Mahawa bagaimana suaminya boleh mengelirukan Ah Bok dengan kebolehan luar biasanya itu. Tetapi lama kelamaan Ngah Mahawa menyedari kemampuan suaminya menjelmakan kejadian demikian sama juga dengan mereka yang mahir bermain silap mata.
Tetapi Ah Bok tidak memarahi Ngah Gadek lagi, sekalipun dia menyedari dirinya diperolok-olokkan oleh lelaki berkenaan. Semenjak itu pula Ah Bok sengaja meminta bantuan Ngah Gadek kalau berjudi main poker. Bukan takat berjudi main poker sahaja dia meminta bantuan Ngah Gadek, malah beli nombor ekor pun Ah Bok akan menemui Ngah Gadek.
Bukan sekali dua Ah Bok menang judi sekiranya meminta bantuan Ngah Gadek. Sudah beberapa kali dia menang nombor ekor apabila Ngah Gadek boleh memberikan nombor yang dijangka akan naik.
"Tapi, ke tempat judi besar, dia tak pernah menang," beritahu Abang Jibut tatkala dalam perjalanan dengan saya ke kampungnya di Kemaman.
Ah Bok yang bersungguh-sungguh sangat mengajak Ngah Gadek ke tempat judi besar itu sekalipun terpaksa bermalam meninggalkan rumah. Dia sanggup memberi apa sahaja kemahuan Ngah Gadek asal sahaja lelaki itu ikut sahaja ke mana pun. Sudah banyak kali lelaki itu membantu dia, masakan di tempat judi besar Ngah Gadek tidak boleh lakukan.
Kabus tebal sewaktu kereta Ah Bok melalui jalan berbukit-bukit menuju ke tempat judi besar itu tidak mematahkan semangat dia. Tetapi Ngah Gadek merasakan debaran dadanya kencang apabila cuaca semakin sejuk di puncak bukit.
Ngah Gadek melihat tempat berjudi di puncak bukit itu gelap gelita seperti ditiup asap hitam yang gelap pekat. Hampir lemas dia di tengah-tengah asap tersebut yang bergulung berpusar ligat seperti dihembus angin kencang.
"Kita baliklah, Ah Bok," desak Ngah Gadek yang terkial-kial di tengah asap hitam yang tebal.
"Apa pasal lu, Gadek?" hairan juga Ah Bok apabila Ngah Gadek enggan meneruskan usaha setelah mereka naik ke bukit tempat judi besar itu.
"Aku tak boleh masuk sini," jelas Ngah Gadek berterus terang disebabkan kemampuannya terbatas.
Tahulah Ah Bok memang Ngah Gadek tidak mampu menembusi kawalan di keliling tempat judi besar itu. Sudah lama dia tahu mengenai tempat judi besar itu gunakan khidmat tujuh orang bomoh Siam, supaya tidak ada orang yang berani perdayakan tempat itu.
Jangan haraplah siapapun boleh menang di tempat judi besar itu kalau mahu gunakan ilmu hitam. Tujuh orang bomoh Siam itu sentiasa bersiap sedia di situ. Mereka akan melawan apa sahaja ilmu hitam yang digunakan pelanggan kalau mahu memenangi judi di tempat yang mereka kawal.
"Ada tujuh orang," bisik Ngah Gadek setelah menuruni bukit tempat judi besar itu. "Aku nampak tujuh orang bomoh Siam duduk dalam kaca," jelasnya macam kecewa tidak dapat membantu kawan-nya itu.
"Oh, itu macam dia punya bomoh banyak kuat laaa," ujar Ah Bok mengeluh pendek.
"Kau ingat, bomoh main-main ke?" lantas Ngah Gadek mengejeknya. Tahu sangat Ngah Gadek bahana sekiranya masuk ke kawasan judi besar itu mahu gunakan jampi serapah. Tatkala dia menyusup masuk, Ngah Gadek terasa tubuhnya terapung di awang-awangan hingga nampak dengan jelas tujuh orang bomoh Siam bersila duduk di setiap penjuru.
Mereka memegang buah rantai dengan mata terpejam rapat. Terkial-kial Ngah Gadek dipuput angin hingga tercampak ke hadapan salah seorang bomoh Siam berkenaan.
"Awak jangan buat kacau di sini," dia mendengar bomoh Siam itu memberi amaran.
"Aku tak buat apa-apa," beritahu Ngah Gadek cuba berdalih untuk menyembunyikan tujuan dia ke situ.
"Awak jangan bohong!" tengking seorang lagi bomoh yang terconggok di situ. "Awak makan upah, tapi jangan main-main, kita sini lagi kuat dari awak," tegasnya mencebek bibir mengejek Ngah Gadek.
"Jangan tuduh yang bukan-bukan," jerkah Ngah Gadek marah dengan sikap bomoh berkenaan.
Tiba-tiba sahaja bomoh itu melemparkan bola api ke arah Ngah Gadek, hingga menyinggahi kepalanya. Terasa pada Ngah Gadek goncangan yang kuat dengan bola api itu pecah mengeluarkan bau kapur barus. Apabila tercium bau kapur barus itu, perut Ngah Gadek terasa memulas-mulas bagaikan rnahu terjeluih muntah.
Setiap kali dia cuba menentang bomoh-bomoh berkenaan, serentak dengan itu mereka lemparkan bola api bertubi-tubi menyinggahi kepalanya. Sebaik sahaja bola api itu menyinggahi kepalanya, asap hitam berpusar keluar dari bola berkenaan. Bau kapur barus itu semakin tengit sampai terasa melemaskan dia.
"Awak nak tunjuk pandai ye?" bomoh Siam bertubuh gemuk yang duduk penjuru paling dekat mengejeknya.
"Lebih baik awak balik sekarang!" seorang lagi bomoh mencelah dengan tersengih-sengih memberi amaran hingga nampak giginya yang jarang menyeringai.
Terkebil-kebil mata Ngah Gadek merenung muka mereka bertujuh. Asap hitam itu semakin berpusar kuat menutup pandangannya, hingga dia tidak dapat melihat Ah Bok yang duduk di sisinya. Malah kelilingnya menjadi gelap gelita akibat asap hitam yang berpusar bukat.
Dia sekadar melihat tujuh bomoh Siam itu sahaja terconggok di dalam kaca di penjuru kawasan tempat bermain judi. Beberapa kali dicuba membolosi asap hitam itu, tetapi angin kencang menolaknya jauh hingga terapung-apung tidak berjejak.
"Mahu balikkah, tak mahu!" gertak salah seorang bomoh Siam lantas berdiri mengancamnya.
Terpaksalah Ngah Gadek mengangguk perlahan. Dia tidak boleh berkeras melawan tujuh orang bomoh yang bukan calang-calang itu. Kalau tidak masakan mereka mereka sanggup menerima upah mengawal kawasan berkenaan. Tentu mereka yang asyik datang ke situ tidak menyedari fasal tujuh bomoh berkenaan sentiasa mengawal. Sampai bila pun mereka tidak akan menang judi selagi bomoh berkenaan tidak berganjak mengawal setiap penjuru.
Semenjak itu Ngah Gadek tidak mahu lagi ikut Ah Bok berjudi di situ. Sia-sia sahaja masuk ke kawasan itu, kalau mahu tandingi tujuh orang bomoh berkenaan.
"Sepandai-pandai manusia, ada lagi yang lebih pandai!" ujar Abang Jibut apabila kenangkan Ngah Gadek tidak mampu menandingi kemahiran tujuh bomoh di kawasan judi besar. Memang tidak sama Pak Da Mamud yang saya temui di Endau dengan Ngah Gadek. Pak Da Mamud tidak suka berjudi kalau didesak pun. Tahu sangat saya sikapnya yang pendiam semenjak diperkenalkan oleh Wak Samin dahulu. Lama dia berguru dengan Wak Samin. Tetapi sikapnya yang pendiam itu menyebabkan orang-orang kampung seringkali mengambil kesempatan.
Kalau kambing ternaknya ditetak disebabkan terlepas masuk ke kebun orang, dia sekadar mengeluh pendek sahaja. Kadangkala terbongkang kambingnya di celah longkang, Pak Da Mamud tetap bersabar. Dia tidak akan menyerbu sesiapa pun mengajak menyinsing lengan baju.
Tetapi isterinya Besah pula yang hilang sabar. Berleter juga Besah disebabkan sikap Pak Da Mamud yang suka sangat mengalah.
Memang Pak Da Mamud tidak boleh berkeras sekiranya dia sendiri yang bersalah. Siapa pun akan berang sekiranya kebun jagung tengah subur diserbu kambing terlepas. Masakan mereka boleh menahan sabar kalau jagung tengah subur habis diragut kambing. terlepas. Masakan anak jagung atau anak pisang yang sudah dimamah kambing itu boleh diganti serta merta.
"Sudah melampau Derus Kubin ni!" gerutu Besah sebaik sahaja terserempak bangkai anak kambingnya tertonggeng ditusuk buluh runcing di penjuru pagar.
"Tak boleh tuduh, kalau kita tak nampak," segera Pak Da Mamud memujuk isterinya yang tidak dapat mengawal perasaan.
"Siapa lagi, kalau bukan Derus Kubin?" bentak Besah melepaskan geram yang mendongkol.
"Ah, perkara kecil aje ni," tutur Pak Da Mamud lembut, tidak mahu isterinya bermasam muka.
Tetapi Besah sudah tidak dapat menahan sabar lagi. Tidak patut Derus Kubin tunjuk keras kepala kalau sekadar Pak Da Mamud seringkali mengalah. Perkara mahu tunjuk keras kepala samalah macam memijak-mijak tengkuknya juga. Besah tidak boleh biarkan Derus Kubin jadi samseng di tengah kampung.
Terus sahaja Besah menyerbu ke rumah Derus Kubin lelaki bertubuh kurus ceding itu. Tidak bertangguh dia menyeranah disebabkan Derus Kubin berani membunuh anak kambingnya. Tatkala Derus Kubin bertegang leher dengan Besah, tiba-tiba  sahaja Melah isterinya ikut sama bertekak. Sebuah kampung menjadi hingar bingar apabila rnereka bertengkar semata-mata disebabkan seekor anak kambing terbunuh.
Ketika Besah hampir bercekak rambut dengan Melah inilah Wak Sarnin datang Ieraikan. Tetapi dia tidak boleh berkeras sangat disebabkan dua perempuan  berkenaan isteri orang. Apa pula kata Derus Kubin atau Pak Da Mamud sekiranya dia berkasar.
 Tentulah sukar dia mahu Ieraikan tatkala api kemarahan tengah memuncak. Masing-masing sudah tidak boleh disabarkan lagi. Besah berkeras menuduh Derus Kubin satu-satunya bertanggungjawab menusuk anak kambingnya dengan buluh runcing sampai tertonggeng mati. Sementara Melah jadi berang apabila Besah berani menyeranah suaminya Derus Kubin.
Sewaktu Pak Da Mahmud sampai ke tengah halaman rumah Derus Kubin, dia sendiri tidak boleh lakukan apa-apa. Besah sudah menyinsing lengan haju mahu bercekak rambut. Belum sempat Pak Da Mamud menghalang, perempuan itu sudah merentap rambut. Melah.
Terjerit Melah akibat rambutnya direntap kuat. Sekaligus pula dia mencakar muka Besah untuk bertindak balas. Disebabkan tidak tahu apa perlu dibuat, Derus Kubin juga terjun ke tengah halaman. Tetapi dia tidak berani leraikan dalam masa perempuan itu bercekak rambut hingga berguling bergelumang pasir.
Memang serba salah Wak Samin mahu meleraikan dua orang perempuan tengah bercekak rambut di depan suami masing-masing. Kalau isterinya sendiri, memang Wak Samin tahu apa yang perlu dibuat. Tidak boleh dilerai dia sendiri akan cekak rambutnya direntap ke tepi halaman.
 "Apa gaduh-gaduh ni!" Pak Da Mamud segera menarik tangan isterinya supaya lepaskan mencekak rambut Melah.
"Kau tunggu apa lagi, Derus?" Wak Samin menolak bahu anak saudara isterinya setelah Pak Da Mamud berusaha meleraikan.
Barulah Derus Kubin menerpa memeluk isterinya supaya lepaskan pautan di tubuh Besah. Tetapi kedua-dua perempuan itu tetap berkeras tidak mahu dileraikan oleh suami masing-masing. Disebabkan Pak Da Mamud membongkok sedikit tiba-tiba sahaja siku Melah menyinggahinya apabila meronta kuat daripada pautan Derus Kubin.
Sebaik sahaja siku Melah tersinggung kuat, tiba-tiba kepala Pak Da Mamud jatuh tergolek di atas tanah. Tubuhnya yang tidak berkepala itu masih tercegat memaut tangan isterinya.
Sekaligus Melah terjerit ketakutan apabila melihat kepala Pak Da Mamud tergolek di tengah halaman. Masing-masing menjadi keberah-berahan dengan kejadian tersebut. Hampir juga Melah pitam disebabkan terlalu takut melihat kepala Pak Da Mamud tertanggal dari tengkuk.
Besah juga terpaksa melepaskan rambut Melah. Tetapi dia tidak berani mendekati suaminya yang sudah tidak berkepala lagi. Dia berundur ke belakang dalam keadaan takut.
Tetapi Pak Da Mamud sengaja membongkok mencapai kepalanya yang tergolek itu sambil mengibas-ngibas rambut yang dipenuhi pasir. Dia tidak terus meletakkan semula kepalanya ke tengkuk tetapi memegangnya sahaja di tangan. Tubuhnya yang tidak berkepala itu masih boleh berjalan keliling halaman.
Langkahnya tidak terhuyung-hayang sekalipun Pak Da Mamud mengerang sakit. Kepalanya yang dipegang itu sengaja dipalingkan pada Besah hingga matanya mengerling perempuan itu dengan bibir mengorak senyum.
"Aduh, sakitnya aku..." tiba-tiba Pak Da Mamud merintih sambil tangannya meletakkan semula kepala yang tertanggal itu ke tengkuk. Sengaja pula dia letakkan terbalik hingga mukanya ke belakang.
 Melah tidak dapat lagi menahan rasa takutnya, terus sahaja jatuh pitam. Cepat-cepat Wak Samin menyuruh Derus Kubin memapah isterinya naik ke rumah. Setelah Derus Kubin memapah Melah naik ke rumah, Wak Samin juga mendesak Besah segera balik ke rumah. Dia sendiri akan uruskan segala kejadian yang menimpa Pak Da Mahmud itu.
'Aduh sakitnya!" ujar Pak Da Mamud disebabkan isterinya masih tercegat di tepi halaman. Dia memusing-musingkan kepalanya seolah-olah mahu betulkan kedudukannya yang tersalah pasang itu. Puas dia memulas- mulas kepalanya mahu pusingkan muka biar beralih ke hadapan semula.
Tatkala dia memusing-rnusingkan kepala, mulutnya terherot-herot bagaikan menahan kesakitan. Mereka yang berkeliling di tepi halaman Iidak berani membantu disebabkan tergamam dengan kejadian berkenaan.
Disebabkan terlalu ngeri dengan keadaan kepala suaminya itu, tidak bertangguh Besah lari balik semula ke rumah. Setelah mereka semua meinggalkan halaman, barulah Wak Samin menarik bahu Pak Da Mamud meninggalkan awasan rumah Derus Kubin.
"Perkara macam ni pun, kau buat main-main," lantas Wak Samin menampar belakang Pak Da Mamud setelah mereka jauh dari situ.
"Kalau tak buat macam tu, Mereka nak bergaduh aje!" sahut Pak Da Mamud tersengih-sengih sambil membuang buah kelapa yang dipegangnya. Memang buah kelapa itulah yang dilihat mereka sama macam kepala Pak Da Mamud yang tergolek di tanah.
Tetapi Wak Samin tahu kepala Pak Da Mamud tidak tertanggal apa-apa. Hanya buah kelapa itu sahaja yang ditukarkan oleh Pak Da Mamud menjelma macam kepalanya sendiri yang tertanggal daripada tengkuk. Memang Wak Samin yang turunkan amalan tersebut kepadanya, masakan dia tidak tahu muslihat Pak Da Mamud.
Disebabkan terlalu takut dengan kejadian yang dilihatnya, tiga hari Melah terkejang tidak sedarkan diri. Puas Wak Samin cuba pulihkan tetapi keadaan Melah tidak juga berubah. Dia terkejang dengan nafasnya sahaja berombak-ombak turun naik.
Bukan Wak Samin sahaja, malah Pak Da Mamud juga tenggelam punca tidal dapat memulihkan Melah. Hairan juga dia, bagaimana Melah boleh tidak  sedarkan diri semata-mata pitam setelah melihat kejadian kepala Pak Da, Mamud tercabut.
Memang Melah tidak tahu hanya buah kelapa sahaja yang dipegang oleh Pak Da Mamud. Masakan kepala boleh tertanggal macam dipenggal, tetapi dia boleh berjalan gagah tidak goyah sedikit pun. Tetapi bagaimana mahu memberitahu Melah kalau perempuan itu masih lagi terkejang tidak sedarkan diri?
Ketika mereka dalam keadaan gelabah inilah saya berkunjung, ke rumah Wak Samin di Endau. Tatkala diajak oleh Wak Samin ke rumah Melah inilah saya kenal benar dengan Pak Da Mamud itu.
"Di situ, rumahnya ustaz," beritahu Abang Jibut memberhentikan van yang dipandunya di simpang jalan. Kemudiannya kami berjalan kaki sahaja menuju ke rumah papan di kawasan perkampungan nelayan itu.
Sebaik sahaja Abang Jibut memberi salam, Ngah Mahawa menyahutnya dari atas rumah. Segera dia menjengah dari tingkap setelah mengenali suara Abang Jibut yang memberi salam.
"Hah, kau Jibut," kata Ngah Mahawa seolah-olah terkejut dengan kunjungan anak saudaranya itu. "Lama kau tak balik ke Kemaman, mimpi apa pula ni?" sengaja dia mengusik dengan tersengih-sengih.
 Abang Jibut tidak menyahut. Terus sahaja dia sendiri mempelawa saya naik ke rumah sebaik sahaja Ngah Mahawa membukakan pintu.
"Ustaz ni nak jumpa Ngah Gadek," beritahu Abang Jibut mengerling saya setelah duduk menyandar belakang ke dinding.
"Dia ke laut," sahut Ngah Mahawa macam tidak percaya kunjungan saya ke Kemaman semata-mata mahu menemui suaminya. Sekalipun Ngah Mahawa tidak terangkan apa-apa mengenai Ngah Gadek, tetapi saya nampak banyak perkakas simpanannya memang pernah saya lihat di rumah Pak Da Mamud di Endau dulu, termasuk juga sebilah badik usang.