BARU saja saya meneguk kopi di rumah
Aki Sahak, dua orang lelaki tiba-tiba memanggilnya dari tengah halaman. Aki
Sahak ini memang kenal baik dengan Pak Tua Mahat saya. Sebab itulah dia juga
sangat menghormati saya.
Dua orang lelaki itu saya lihat dalam
keadaan cemas. Tetapi dia tidak terus memberitahu tujuan kedatangannya. Mereka
berdua seolah-olah terkejut melihat saya ada di rumah Aki Sahak. Mungkin saya
orang baru di situ, dan mereka menyangka saya juga datang meminta pertolongan
dari Aki Sahak.
Memang ramai orang dari
kampung-kampung jauh datang ke kampung tempat Aki Sahak tinggal ini. Mereka
tahu Aki Sahak selalu dicari orang kerana mahu berubat. Sudah lebih dua puluh
tahun Aki Sahak pindah ke kampung tersebut apabila berkahwin dengan isterinya
Makda Saodah.
"Apa halnya?" tanya Aki
Sahak.
"Adalah sikit perkaranya
Aki..." sahut salah seorang darinya.
"Emm, kalau iya pun naiklah dulu"
pelawanya sambil undur sedikit dari muka pintu.
Dua orang lelaki itu naik ke rumah.
Mereka duduk bersebelahan dengan saya. Saya menghulurkan tangan kepada mereka
berdua.
"Mat Deh..." ucap saya
ketika bersalaman.
"Sali" sahut lelaki yang
duduk berhampiran dengan saya tersenyum. Kami mengangguk tanda mula berkenalan.
"Saya Tonel" seorang lagi
memperkenalkan diri.
"Mat Deh ni orang kampung
aku..." Aki Sahak menerangkan kepada mereka. "Sengaja datang nak
jenguk-jenguk aku. Kebetulan pula dia baru tukar kerja ke sini" ujarnya
lalu memanggil isterinya supaya membawakan dua buah cawan lagi.
Tidak lama kemudian Makda Saodah
keluar membawakan dua buah cawan kosong. Dia menuangkan kopi lalu menghulurkan
kepada dua orang lelaki tadi.
Kami tidak banyak berbual. Sali dan
Tonel kelihatan resah saja hendak memberitahu sesuatu. Seolah-olah kehadiran
saya di situ mengganggu mereka hendak bercakap kepada Aki Sahak.
"Cakaplah, apa halnya?" kata
Aki Sahak setelah masing-masing terdiam.
"Begini Aki..." jelas Sali
tergagap-gagap. "Anak Bang Amud di baruh jatuh lombong, sampai sekarang
tak jumpa" dia terus memberitahu perkara yang sebenar tujuan kedatangan
mereka.
"Huss, mcam mana boleh jatuh
lombong?" Aki Sahak macam terkejut.
"Mandi dengan kawan-kawannya. Tiba-tiba
dia tenggelam, sampai sekarang tak jumpa" Tonel pula menerangkan.
Aki Sahak terdiam. Saya lihat dia
merenung sesuatu yang sukar hendak dilihat dengan mata kasar.
"Banyak sangat dia nak korban.
Bulan dulu lelaki tua, sekarang ni pula kanak-kanak, huss...!" Aki Sahak
mendengus macam menyimpan dendam.
Dengan tidak banyak bicara saya dan
Aki Sahak terus mengikut dua lelaki tadi menuju ke lombong yang dikatakan. Saya
dapati sudah ramai orang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-penyelam yang
didatangkan dari bandar juga sudah silih berganti menyelam ke dalam air.
Semua penyelam itu memberitahu susah
mahu melihat ke dalam air kerana terlalu keruh. Sebaliknya orang-orang kampung
sudah tidak sabar lagi. Budak yang mati lemas di dalam lombong itu sepatutnya
sudah ditemui. Lombong itu bukanlah luas sangat. Tetapi bagaimana pula mayat
budak itu tidak ditemui lagi?
Ada juga setengah pihak mencadangkan
supaya menunggu saja sampai mayat tersebut timbul. Kononnya kalau mayat mati
lemas ianya akan timbul apabila perut sudah kembung dipenuhi air. Tetapi sejak
dari tenggelamnya kira-kira pukul 10 pagi, sehingga jam 5.30 petang mayat
berkenaan tidak juga timbul.
Ketua Kampung Pak Semail sudah
berbincang dengan ketua penyelam-penyelam itu supaya diusahakan secara
tradisional untuk menemui semula mayat budak tersebut.
Sebaliknya ketua penyelam-penyelam itu
seorang lelaki India menolak kemahuan Ketua Kampung Pak Semail. Dia tetap
berpendapat kegagalan usaha menemui mayat budak yang tenggelam itu disebabkan
air lombong terlalu keruh. Abang Amud yang dikatakan oleh Sali tadi, iaitu ayah
kanak-kanak berkenaan sudah mula tidak yakin lagi anaknya boleh ditemui.
Dia tahu anaknya sudah mati lemas.
Tetapi mengapa mayat anaknya tidak timbul ke permukaan air? Kalaulah hendak
dikatakan tenggelam dalam lumpur adalah mustahil.
Kemudian saya nampak Aki Sahak menarik
bahu Abang Amud ke satu tempat yang jauh dari orang ramai berkumpul. Saya tidak
tahu apakah yang dikatakan oleh Aki Sahak kepadanya. Saya bersama Sali dan
Tonel asyik memerhatikan penyelam-penyelam silih berganti menyelam ke dalam
lombong.
Sehingga jam 7.00 malam anak lelaki
Abang Amud tidak juga ditemui. Ketua penyelam itu memberitahu orang-orang
kampung kerja menyelam itu ditangguhkan hingga ke esok harinya. Mereka tidak
dapat lagi menyelam disebabkan hari semakin gelap.
Penghulu Mukim yang ikut menyaksikan
peristiwa tersebut cuba mententeramkan keluarga Abang Amud. Dia nasihatkan
supaya keluarga Abang Amud bersabar hingga besok paginya. Bagaimanapun
penyelam-penyelam itu tetap berkhemah di tepi lombong untuk memudahkan kerjanya
pada esok pagi.
Tidak lama selepas penyelam-penyelam
itu menangguhkan kerja-kerja menyelam, saya nampak Aki Sahak bersama Pak Semail
menghampiri Penghulu Mukim yang baru saja mahu meninggalkan tempat itu. Entah
apa pula dicakapkan oleh Aki Sahak kepadanya tidak pula saya ketahui. Cuma
dalam samar-samar senja saya lihat Penghulu Mukim terangguk-angguk kepala saja.
Sekali-sekali dia tersenyum sambil menepuk-nepuk bahu Aki Sahak.
Dalam masa saya asyik memerhati Aki
Sahak bersama Pak Semail bercakap-cakap dengan Penghulu Mukim, tiba-tiba Abang
Amud datang menepuk bahu saya. Dia tersengih-sengih saja menjabat tangan saya.
Sali dan Tonel yang ada bersama lalu memperkenalkan kami.
"Aki Sahak dah beritahu tentang
Mat Deh ni..." kata Abang Amud masih dalam keadaan rusuh. "Jadi, saya
nak minta tolonglah pada Mat Deh. Tolong benar-benarlah Mat Deh..."
ujarnya dengan penuh harapan.
"Eh, tolong apa ni?" sahut
saya tersengih-sengih juga.
"Janganlah berdalih lagi Mat Deh.
Saya minta tolong benar-benar ni. Aki Sahak minta saya sendiri sampaikan kepada
Mat Deh" Abang Amud mendesak.
Saya menjadi serba salah dengan
permintaan Abang Amud itu. Saya berpaling ke arah Aki Sahak. Dia bertiga dengan
Penghulu Mukim dan Pak Semail datang menghampiri saya.
"Kalau boleh tolonglah apa-apa
pun Mat Deh..." Penghulu Mukim menghulur tangan kepada saya. Cepat-cepat
saya menyambut tangan Penghulu Mukim.
Belum sempat saya menyahut Aki Sahak
sudah menyuruh saya diam. Aki Sahak meminta saya membantunya dalam usaha
mencari mayat anak Abang Amud yang tenggelam itu.
"Lombong ni bukannya sungai.
Kalau sungai bolehlah kita kata budak tu hanyut. Tentu ada sesuatu yang
menyorokkan..." demikian Aki Sahak menerangkan kepada orang-orang kampung
yang berkumpul di tepi lombong. Penyelam-pemyelam yang bertugas juga ada sama
menyaksikan. Mereka juga tidaklah membantah bila Aki Sahak menawarkan diri
untuk menolong kerana mereka sudah pun mengambil keputusan menangguhkan
kerja-kerja menyelam.
"Perlukah bara api dan
kemenyan?" soal Abang Amud.
"Tak payah. Ini bukan kerja asap
kemenyan. Saya dan Ustaz Mat Deh ni tahulah nak buat macam mana..." Aki
Sahak memberi jaminan. Sedangkan saya kebingungan dengan keputusan Aki Sahak.
Saya tidak tahu bagaimanakah cara mahu menolongnya.
Tetapi saya tidak berani untuk
bertanyakan kepadanya. Lagipun dia berkali-kali menyebut fasal Pak Tua Mahat
iaitu bapa saudara saya yang sudah lama meninggal dunia. Dia memberitahu
tentang Pak Tua Mahat pernah memberitahu dia mengenai diri saya.
"Kita buat Mat Deh, kita buat
kerana Allah" Aki Sahak berbisik kepada saya.
Sebelum memulakan rancangan Aki Sahak
itu kami semua menunaikan fardhu Maghrib terlebih dahulu. Selesai sembahyang
Maghrib barulah Aki Sahak menerangkan bahawa dia mahu menidurkan saya. Barulah
saya faham bahawa cara menidurkan orang satu cara perubatan yang memang pernah
diajar oleh Pak Tua Mahat kepada saya, tetapi jarang saya amalkan.
Saya pun bersetujulah untuk membantu
Aki Sahak. Saya sendiri yang akan ditidurkan, dan rawan (yakni roh sewaktu kita
tidur) saya sendiri yang dikeluarkan mencari budak tersebut disembunyikan.
Bagi orang-orang yang tidak memahami
mungkin merasa pelik bagaimanakah cara demikian boleh dilakukan. Tetapi bagi
mereka yang sudah mempelajari Usuluddin tidak ada apa yang hendak dipelikkan.
Di sini saya tidak mahulah menerangkan, tetapi eloklah sesiapa yang ingin
mengetahuinya bertanyalah kepada ahli-ahli Usuluddin.
Dipendekkan cerita, dibentangkanlah
tikar di bawah sepohon pokok. Sali yang masih mempunyai air sembahyang diminta
oleh Aki Sahak berdiri di belakang saya untuk menyambut tubuh saya apabila
rebah ke belakang.
Segala apa yang hendak dilakukan oleh
Aki Sahak itu memang saya sudah ketahui. Sebenarnya Aki Sahak juga tahu bahawa
saya boleh tidur sendiri dengan tidak payah dipandu olehnya, tetapi saya
sendiri berkehendakkan dia mengawas saya kalau-kalau apa yang saya hadapi nanti
sukar dilawan.
"Mulakan zikir..." bisik Aki
Sahak.
Saya hanya tersenyum. Kerana apa yang
dicakapkan oleh Aki Sahak itu bukanlah ditujukan kepada saya. Aki Sahak memang
dapat merasa diri seseorang itu sama ada berzikir atau tidak.
Dalam beberapa saat saja saya
merasakan dunia menjadi gelap. Hanya saya dengar suara Aki Sahak saja memerintahkan
saya supaya terus berzikir. Ketika ini saya merasakan diri saya melayang ke
udara. Apabila Aki Sahak menyuruh melihat diri sendiri, saya nampak tubuh saya
terbaring di atas tikar.
"Sekarang kamu cari di mana anak
Abang Amud yang tenggelam di dalam lombong ni pagi tadi" suara Aki Sahak
begitu jelas kedengaran ke telinga saya.
Dengan tidak bertangguh saya rasakan
diri saya terus masuk ke dalam air lombong. Semuanya gelap gelita tidak
kelihatan apa-apa. Kemudian saya dengar Aki Sahak menyuruh saya membacakan
Surah Waddhuha. Setelah saya bacakan ayat berkenaan semuanya menjadi terang
benderang.
Ketika ini saya nampak di tengah
lombong satu lembaga manusia yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil
meriba budak lelaki.
"Dah jumpa" bisik saya
perlahan sambil memerhatikan kelakuan lembaga tersebut.
Saya berligar-ligar di dalam air itu
mahu menghampiri lembaga yang duduk bersila di tengah dasar lombong sambil
meriba budak lelaki. Tiba-tiba dia berpaling memerhati ke arah saya. Matanya
kelihatan merah menyala-nyala seperti puntung api.
"Lepaskan budak tu..."
perintah saya mengancam lembaga tersebut. Tetapi dia tidak menghiraukan saya.
Saya terus memberi isyarat supaya dia
melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya. Memang saya tahu budak
tersebut tidak boleh diselamatkan lagi, tetapi tidak patut puaka air itu tidak
mahu lepaskan. Kalau puaka air itu berkeras saya sudah merasakan geruh telah
menanti.
Sama ada saya akan menerima geruh atau
sebaliknya adalah kuasa Allah saja. Tetapi puaka air itu tetap jenis syaitan
yang menjadi musuh semua anak Adam. Syaitan juga mempunyai ilmu yang hebat
kalau anak-anak Adam tidak mempunyai cukup persediaan.
"Lepaskan!" perintah saya
lagi mengancam lembaga botak itu. "Budak ini mengganggu anak cucu aku bermain"
sahut lembaga botak itu menyahut cabaran saya.
"Aku cakap lepaskan!" saya
terus memberi amaran. "Mana budak tu tau anak cucu kau bermain. Kau tubuh
halus, kenapa tak menyisih semasa budak tu mandi di sini" ujar saya
mengingatkan.
Lembaga botak itu tetap menggelengkan
kepala. Dia berkeras tidak mahu melepaskan mayat anak Abang Amud.
"Lanarjumannakum walayamassannakum minna
azabun 'alim..." saya menghembus perlahan-lahan ke arah lembaga tersebut.
Setiap kali saya menghembuskan nafas berpuluh-puluh anak panah dengan api
menyala menjunam ke tubuh lembaga botak itu.
Saya nampak lembaga botak itu
menggeliat-geliat setiap kali anak panah berapi itu singgah ke tubuhnya. Dia
menjerit-jerit sambil meronta meminta saya berhenti membacakan ayat tersebut.
"Ampun minta maaf kami.
Ampun..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan. "Kami tahu awak
anak buah Tok Pawang Mahat. Kami tahu, tapi janganlah seksa kami macam ni"
dia merintih-rintih.
"Kalau kau tak mahu dipanah
dengan api, lepaskan budak tu" perintah saya lagi.
Lembaga itu tidak menyahut. Dia hanya
terkial-kial merintih meminta belas kasihan dari saya. Untuk menguji sama ada
dia benar-benar mahu mengaku kalah, saya cuba berhenti dari berzikir.
Sebaik saja saya berhenti berzikir
tiba-tiba dia melontarkan sesuatu ke arah saya. Berdecap rantai besi memukul
kepala saya. Belum sempat dia mengulangi untuk melemparkan rantai besi itu ke
arah saya, cepat-cepat saya menguatkan zikir di dalam hati saya.
"Wah, kau nak main-main ye. Kau nak duga
aku, kau nak duga!" saya mengherdik.
Dalam keadaan ini saya mendengar suara
Aki Sahak membisikkan kepada saya, "Allahu Akhbar". Lantas saya
mengucapkan Allahu Akhbar tiga kali, kemudian menghembuskan ke arah lembaga
botak itu.
Seluruh kawasan lombong itu bergegar
bagaikan ditimpa letusan gunung berapi. Tubuh lembaga botak itu berputar-putar
seperti debu ditiup angin. Dia melolong-lolong meminta saya berhenti dari
mengucapkan Allahu Akhbar.
"Minta ampun kami, minta
ampun..." dia merintih-rintih menahan gegaran yang menggoncangkan seluruh
kawasan lombong.
"Sekarang lepaskan budak tu! Lepaskan
anak Abang Amud. Budak tu dah mati lemas, tak ada guna kau sorokkan dia"
jerkah saya mengancam.
"Tolonglah berhentikan dulu
gegaran ni" katanya merayu-rayu.
Apabila saya berhenti menghembuskan
nafas, gegaran itu berhenti. Dia tercongok semula di tengah dasar lombong
meriba mayat anak Abang Amud. Saya lihat dia merintih-rintih seperti orang
menahan seksaan yang berat.
Tetapi dia tetap berdegil tidak mahu
mengalah. Dalam keadaan tergigil-gigil menahan kesakitan itu lembaga berkenaan
tidak juga melepaskan mayat anak Abang Amud yang diribanya.
"Kalau kau berdegil aku bakar kau
lagi" tegas saya mengingatkan.
"Nantilah dulu tunggu sampai kami
puas bermain-main dengan budak ni" dia tersenyum mengerling ke arah saya
seolah-olah mahu mengejek.
"Nampaknya awak tak serik!"
bentak saya. "Kami tak mahu lawan ustaz. Kami nak bermain-main dulu dengan
budak ni" ujarnya ketawa kecil.
"Kalau nak bermain kenapa tak
main dengan anak cucu kau. Mau tak kalau aku ambil anak cucu kau buat
mainan?" saya cuba mengujinya.
"Apa salahnya kalau ustaz nak
bertukar-tukar..." dia semakin galak ketawa.
Ketika ini saya terdengar suara Aki
Sahak mengingatkan supaya syaitan jangan dilayan. Memang syaitan sengaja
melalaikan kita dengan janji-janji kosongnya. Sebab itu kalau berhadapan dengan
syaitan jangan lagi dilayan bercakap. Teruskan saja menyerang sampai dia tidak
dapat bertahan.
Saya tahu memang syaitan tidak boleh
dilayan. Tetapi saya cuma mahu menduga saja. Saya mahu tahu sejauh mana
permainan puaka air yang menjelma sebagai lembaga botak itu.
Sebaliknya Aki Sahak mahu saya
bertindak cepat. Mungkin orang ramai yang berkumpul di darat sudah tidak sabar
lagi menunggu. Segala pertelingkahan saya dengan lembaga botak itu memang dapat
didengar dengan jelas oleh mereka. Bagi orang-orang yang tidak mengetahui
seperti penyelam-pemyelam yang ada di situ, mungkin mereka merasakan saya
sedang merepek atau bercakap sendirian. Atau bercakap untuk memperolok-olokkan
orang ramai saja.
Tetapi kuasa Allah itu tidak dapatlah
hendak saya tunjukkan kepada sesiapa. Kecuali mereka yang memahami dan
mempelajarinya saja. Pengalaman yang sedang saya lalui itu hanya boleh
diketahui oleh mereka yang mengetahui tentang ilmu Allah saja.
"Panah saja dengan
lanarjumannakum..." bisik Aki Sahak. Saya mendengar suara Aki Sahak
sayup-sayup dari permukaan air. "Besarkan tubuh kamu, kerana roh manusia
boleh membesar tidak ada had" kata Aki Sahak.
Saya menarik nafas. Ketika ini saya
nampak dengan jelas tubuh saya menjadi besar berkali-kali ganda. Lantas saya
tangkap tengkuk lembaga botak itu.
"Lepaskan" perintah saya
keras.
"Ampun..." sahut lembaga
botak tergigil-gigil. "Taubat, kami tak buat lagi. Kami akan lepaskan budak
ni" katanya gementar. Tetapi dia tetap meriba budak itu.
"Walauanna quranna suyyirat
bihiljibalu..." saya berdoa dengan khusyuk dan taqwa kepada Allah. Lalu
saya hembuskan ke kepala lembaga botak itu. Kepala itu menjadi hancur seperti
debu berterbangan.
Jeritannya bergema ke segenap pelusuk.
Hanya saya saja yang dapat mendengar jeritannya yang menggema itu. Kalaulah
semua orang yang berkumpul di tepi lombong itu dapat mendengarnya, tentulah
mereka sedar betapa besarnya kuasa Allah.
Hanya ayat-ayat Allah saja dapat
menghancur-leburkan segala gangguan syaitan. Malah ayat-ayat yang dibacakan
setiap hari sewaktu menunaikan fardhu sembahyang itu boleh menggegarkan jantung
syaitan. Sekiranya mereka dapat melihat bagaimana terancamnya syaitan dengan
ayat-ayat Allah itu, sudah tentu mereka insaf dengan diri mereka.
Inilah yang berlaku ke atas lembaga
botak jelmaan dari puaka air itu. Dia tidak dapat menyembunyikan dirinya
apabila dibacakan Surah Waddhuha. Kemudian seluruh anggotanya menjadi debu bila
dibacakan ayat-ayat Quran. Kalaulah dengan ayat-ayat Quran gunung boleh
dihancur-leburkan, apa sangatlah kepada Allah kalau mahu meleburkan makhluknya
seperti syaitan itu.
Sebaik saja tubuh lembaga botak itu
berkecai menjadi debu, mayat anak Abang Amud itu terlepaslah dari ribaannya.
"Sudah dilepaskan mayat budak tu, kejap lagi timbullah" saya
memberitahu Aki Sahak. "Baiklah sekarang masuk semula ke dalam tubuh kamu,
dan buka mata" saya dengar Aki Sahak memberi arahan. Perlahan-lahan saya
masuk ke tubuh yang terbaring. Kemudian semuanya menjadi gelap. Apabila saya
buka mata semua orang masih mengelilingi saya.
Tatkala saya mahu duduk, terdengar dua
tiga orang memekik dari tepi lombong, "Itu dia, itu dia...mayat budak tu
dah timbul di tengah lombong" kata mereka kegembiraan.
Tiba-tiba saya tergamam bila Abang
Amud memeluk leher saya. Terasa air matanya hangat menitis di atas bahu saya.
Ketika ini orang ramai sudah mula
menarik jenazah anak Abang Amud ke tepi. Ketua penyelam itu segera mendapatkan
Penghulu Mukim, dan dia sibuk menyediakan laporan mengenai gerakan mencari
mayat budak tersebut. Di samping itu dia juga telah melaporkan ke ibu
pejabatnya mengenai kejayaan menemui mayat itu.
Penyelam-penyelam itu juga mengambil
keputusan untuk membatalkan perkhemahan di situ, di samping mahu membawa
jenazah berkenaan ke hospital terlebih dahulu. Sementara Abang Amud membantah
tidak mahu lagi jenazah anaknya dibawa ke hospital.
Setelah Penghulu Mukim memberi jaminan
kepada Abang Amud bahawa mayat anaknya tidak akan dibedah apabila dibawa ke
hospital, barulah Abang Amud setuju. Saya juga nasihatkan Abang Amud supaya
bekerjasama dengan penyelam-penyelam tersebut kerana terpaksa membawa jenazah
anaknya ke hospital terlebih dulu sebagai urusan rasminya.
"Mereka juga bersusah payah
menolong Abang Amud" kata saya mententeramkan Abang Amud.
"Ah, dia nak cari nama
je..." rungut Abang Amud mendongkol fasal Ketua Penyelam itu pada mulanya
tidak mahu kerjasama dari Aki Sahak.
"Mereka juga sama berpenat
lelah" Aki Sahak juga meningatkan dia.
"Dia datang kerana tugas, sebab
itu dia perlukan bawa jenazah budak ni ke hospital. Biarlah tugasnya
selesai..." Penghulu Mukim memujuk Abang Amud.
Malam itu juga jenazah anak Abang Amud
dibawa ke hospital. Sementara Penghulu Mukim sendiri mengikutnya bagi
mengelakkan dilakukan pembedahan ke atas mayat berkenaan. Kira-kira pukul 2.00
pagi barulah jenazah itu dapat dibawa balik ke rumah.
Semasa orang-orang kampung berkumpul
di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah anaknya, satu bunyi
menggerunkan kedengaran dari arah lombong. Bunyi itu bergaung kuat seperti air
disedut. Sali merapati saya dan bertanyakan apakah bunyi yang kedengaran dari
lombong tersebut.
Saya sendiri tidak tahu apakah harus
dijawab. Sebenarnya saya tidak tahu mengenai latar belakang kampung tersebut.
Tentulah saya tidak tahu kejadian yang berlaku ke atas anak Abang Amud. Hanya
beberapa minggu sebelum itu seorang pengail tua mati lemas di lombong
berkenaan.
Sali bertanyakan kepada saya kerana
disangkanya saya dapat melihat semua keadaan di dalam lombong. Memanglah sukar
bagi saya mahu menerangkan kepada Sali bagaimana saya melihat lembaga botak di
dalam lombong tadi, tetapi bukannya melihat semua penjuru yang terdapat di
dalam lombong.
Bunyi bergaung macam air disedut itu
berulang kali semakin kuat. Saya juga terkejut dengan bunyi yang menggerunkan
itu. Saya lihat Aki Sahak melelapkan mata menggunakan makrifat mahu mencari
punca bunyi tersebut.
"Nampaknya dia nak minta geruh
juga" bisik Aki Sahak. Mukanya kelihatan garang seperti menghadapi musuh
di hadapan.
Saya merasakan bulu roma saya tegak.
Ini bukanlah bererti saya bimbang menghadapi gangguan syaitan, tetapi secara
automatik apabila zikir dikuatkan di dalam hati, bulu roma mudah saja tegak.
Apalagi tatkala mengetahui akan gangguan syaitan.
"Kalau dia nak geruh, kita bagi
geruh!" sahut saya macam mencabar lawan.
"Ini geruh lain yang
dipintanya" kata Aki Sahak menggertap bibir. "Dia nak minta aku
sendiri. Laknat...!" kemarahan terbayang pada wajah Aki Sahak.
Ketika ini jenazah anak Abang Amud
belum sampai lagi ke rumah. Kira-kira dalam pukul 12.30 tengah malam. Bunyi
bergaung macam air disedut itu cukup jelas kedengaran kepada orang ramai yang
berkumpul di rumah Abang Amud menunggu kepulangan jenazah.
"Kalau begitu kita mesti ke
hospital" Sali mengesyorkan. "Mana tahu kalau diganggunya pula
jenazah budak tu" dia kelihatan cemas menghadapi suasana demikian.
"Nanti dulu..." ujar Aki Sahak.
"Selalukah bunyi macam tu
kedengaran?" tanya saya pada Sali
"Tak pernah..." katanya
menggelengkan kepala. "Seumur hidup saya tak pernah dengar bunyi macam
tu" jelasnya semakin bertambah bimbang.
"Macam mana?" Aki Sahak pula
bertanya kepada saya. "Aki dah biasa di sini, terpulanglah pada Aki"
sahut saya perlahan.
Saya tahu Aki Sahak mahukan buah
fikiran saya bagaimana mahu menghadapi keadaan selanjutnya. Cuma saya dan Aki
Sahak saja yang tahu mengenai hantu botak jelmaan puaka air itu. Sebab itu dia
bertanyakan kepada saya, kerana jenis puaka air ini sama juga dengan syaitan
yang mesti dimusuhi oleh anak-anak Adam.
Dari Kak Liah isteri Abang Amud kami
diberitahu mengenai lombong itu adalah bermula dari sungai mati iaitu teluk
sungai yang terputus apabila sungai menjadi lurus. Kata Kak Liah nenek moyang
Abang Amudlah yang menjaga lombong berkenaan.
Semasa arwah ayah Abang Amud masih
hidup dia sering membuat ancak sebagai makanan kepada penunggu di situ. Dia
melakukannya adalah mengikut seperti mana dipesankan oleh ayahnya pula. Mereka
turun temurun membuat ancak di tepi lombong setahun sekali dengan meletakkan
ayam separuh masak di situ.
Tetapi setelah kedatangan Aki Sahak ke
situ, Abang Amud datang belajar agama dari Aki Sahak. Sejak itu dia tidak
pernah lagi melakukan kerja-kerja memberi makan penunggu. Seperti yang
diceritakan oleh Kak Liah, sejak beberapa keturunan Abang Amud lombong itu
memang sudah ada di situ. Lombong itu berasal dari sungai mati seperti yang
disebutkan tadi.
Lama kelamaan lombong berkenaan
menjadi besar. Ikan banyak di situ. Ketika ini Pak Jarak merupakan pengail di
kampung tersebut. Dari Pak Jarak inilah asal usul keturunan Abang Amud
kemudiannya. Tiap-tiap hari Pak Jarak mengail tetapi tidak dapat ikan. Mahu
menjala dia tidak berani masuk ke tengah disebabkan lombong itu dalam. Kalau mahu
menjala dari tepi saja mungkin tersangkut pada akar-akar kayu.
Satu hari ketika hujan turun
renyai-renyai Pak Jarak nampak seekor ular besar berlingkar di atas sebatang
kayu yang melintang di tengah lombong. Ketika dia ternampak ular ini mata
kailnya direntap ikan. Tetapi sayangnya mata kail dia tersangkut di dalam air.
Pak Jarak menjadi serba salah sama ada mahu turun ke air melepaskan mata
kailnya yang tersangkut atau membiarkannya begitu saja. Kalau mahu turun ke air
dia bimbang akan ular besar yang berlingkar di tengah lombong berhampiran
denagn tempatnya menghulur joran kail.
Dalam keadaan serba salah ini satu
lembaga botak muncul di depannya. Lembaga botak ini pula berpaut pada hujung
ekor ular tadi.
"Jarak...!" lembaga botak
ini menegurnya. "Awak mengail di sini tak minta kebenaran kawan. Lombong
ini kawan yang punya..." katanya mengingatkan.
"Mana aku tau awak yang
punya" sahut Pak Jarak memberanikan hati. Sedikit sebanyak dia juga memang
pawang terkenal di kampung itu.
"Kawan tak mahu awak mengail lagi
di sini!" kata lembaga botak itu memberi amaran.
"Aku tak peduli..." sahut
Pak Jarak tersinggung dengan sikap lembaga botak berkenaan. "Selama ini
rupanya kaulah yang menyebabkan aku tak dapat ikan" jerkahnya lalu
menghunus parang.
Pantas dia mencacakkan mata parang ke
tanah, sambil membaca jampi serapah seperti yang pernah dituntutnya. Lembaga
botak itu menjadi marah lantas melontar Pak Jarak dengan rantai besi. Pak Jarak
menepisnya sambil menghentakkan tumit tiga kali ke bumi.
Lembaga botak itu terhuyung hayang
bagaikan dadanya kena hentak dengan tumit.
"Kalau awak berkeras
juga..." laung lembaga botak itu menahan kesakitan di dadanya. "Kawan
balas dendam pada anak bini awak. Anak bini awak pun selalu mengail ke
sini!" katanya mengancam.
Pak Jarak menjadi serba salah. Dia
tahu puaka air itu tidak dapat melawan dia, bagaimanapun dendamnya tetap
membara. Mungkin anak atau isterinya akan diganggu apabila datang ke lombong
tersebut. Dia tidak boleh menegah isteri atau anaknya supaya jangan mengail di
situ kalau tidak bersebab. Dia juga tidak boleh memberitahu mereka tentang apa
yang dilihatnya sekarang.
"Jadi awak nak apa?" soal
Pak Jarak bercekak pinggang.
"Lebih baik kita bersahabat"
sahutnya tegas.
Tawaran puaka air itu mudah saja
diterima oleh Pak Jarak. Ilmu kebatinannya yang dituntut selama ini memberi
kesan juga. Bukan mudah mahu bersahabat dengan puaka air, seperti juga
bersahabat dengan hantu raya dan lain-lain. Syarat bersahabat pun memang dia
tahu. Dia perlu memberi makan sahabatnya
itu setahun sekali iaitu seekor ayam panggang masak mentah, bertih dan
darah ayam berkenaan.
Setelah bersahabat dia boleh
mengarahkan puaka air itu mendapatkan apa saja keperluannya. Dia juga boleh
mendapatkan pertolongan menentang musuh-musuhnya kalau perlu apabila sudah
bersahabat.
"Kalau kau mahu bersahabat, apa
salahnya" ujar Pak Jarak lalu mencabut parangnya. Dia memulangkan semula
rantai besi yang dilemparkan oleh puaka air ke arahnya tadi. Di situlah mereka
berteguhan janji sebagai sahabat.
"Ingat, kau jangan ganggu anak
cucu dan keturunan aku!" katanya meminta janji. "Baiklah..asal saja
kita tak putus sahabat" balasnya.
Selepas itu ular yang berlingkar di
atas batang melintang di tengah lombong itu menyelam semula ke dalam air bersama
lembaga botak yang berpaut pada hujung ekornya. Kemudian Pak Jarak merentap
kailnya dan dapatlah ikan kelah sebesar daun keladi.
Tiap-tiap hari bila dia mengail
sentiasa dapat banyak ikan. Bagaimanapun kalau hari hujan panas dia melarang
anak cucunya bermain di tepi lombong itu. Siapa yang mengail ketika itu
disuruhnya balik. Apakah rahsia hujan panas itu tidak pernah diberinya tahu
kepada anak cucunya.
"Macam itulah ceritanya..."
jelas Kak Liah pada saya.
"Kalau begitu..." bisik saya
pada Sali. "Mari kita ke baruh tengok apa yang ada di lombong
sekarang" kata saya mengajaknya.
Aki Sahak juga membenarkan saya pergi
melihat apakah sebenarnya yang berlaku di lombong. Dia sendiri menunggu di situ
saja. Kemudian saya dan Sali terus menuju ke baruh. Sali membawa lampu picit
dan berjalan di depan. Saya mengekorinya dari belakang.
Ketika sampai di lombong suasana di
situ terlalu gelap. Kami menyusup di celah-celah teberau untuk memerhatikan
lebih dekat apakah yang sebenarnya berbunyi. Sali sendiri tidak pernah lagi
mendengar bunyi tersebut. Memang bunyinya sungguh menggerunkan.
Saya menyuruh Sali memadamkan lampu
picit terlebih dulu. Oleh itu kami terpaksa merempuh belukar teberau itu dalam
keadaan gelap gelita. Sebaik saja sampai di tebing lombong, terdengar bunyi
bergaung itu seperti air disedut.
Tidak ada apa-apa yang kelihatan
walaupun bunyinya terlalu hampir dengan kami. Sali terdiam tidak bercakap
apa-apa. Saya tahu dia benar-benar dalam ketakutan.
"Jangan-jangan naga tak
ustaz?" bisiknya gementar.
"Entahlah" jawab saya,
kerana cerita naga ini tidak terlintas langsung di kepala saya.
"Sebenarnya inilah lombong yang
dipanggil orang lombong guntung" beritahunya perlahan dalam keadaan cemas.
"Kalau hari hujan panas pernah orang nampak ular besar timbul di tengah
lombong" katanya tidak pernah renggang dari saya.
"Kau pernah nampak?" tanya
saya menduga.
"Tidak.." katanya sambil
memerhati ke tengah lombong.
"Pernah mengail?" soal saya
lagi.
"Ada juga.." jelasnya.
"Kadangkala menjala juga dengan orang kampung" dia menerangkan
selanjutnya.
"Tak ada pula jumpa ular?"
saya kehairanan dengan keterangan dia.
"Selalunya Abang Amud bakar
kemenyan barulah orang berani mencari ikan" Sali menceritakan kepada saya
latar belakang sebenarnya lombong guntung itu. Mengapakah dipanggil lombong
guntung Sali juga tidak tahu, kononnya nama itu sudah ada sejak turun temurun.
Saya hanya mengangguk-angguk saja
mendengar cerita Sali. Mungkin orang bandar mengatakan itu sebagai tahyol,
tetapi bagi saya bukannya perkara mustahil. Di dalam Quran pun ada disebutkan
tentang peranan syaitan yang menjadi musuh setiap insan.
Syaitan yang nyata ialah perbuatan
seseorang insan itu, tetapi syaitan yang tidak nyata adalah makhluk halus yang
tidak boleh dilihat dengan pancaindera. Bagaimanapun apakah caranya saya hendak
menerangkan kepada Sali tentang puaka air yang disebutkan tadi.
Memang cerita Kak Liah itu juga
dianggap tahyol. Tetapi apa yang diceritakan oleh Kak Liah, sudah dapat saya
lihat sendiri melalui makrifat yang dilakukan oleh Aki Sahak. Itulah lembaga
botak yang dikatakan pernah ditemui oleh Pak Jarak.
Sayangnya Pak Jarak cuma mempunyai
ilmu pawang, bukannya ilmu agama. Maka dia telah menerima syaitan menjadi
sahabatnya. Sepatutnya seseorang insan tidak boleh menjadikan syaitan itu
sahabat, sebaliknya mestilah menggunakan syaitan itu sendiri untuk melawan
syaitan yang lain.
Sebenarnya kita boleh menggunakan
syaitan, tetapi jangan biarkan diri kita digunakan oleh syaitan. Cara
bersahabat yang dibuat oleh Pak Jarak, memang selalu digunakan oleh
pawang-pawang di masa lalu. Cara bersahabat ini secara tidak langsung telah
menjadikan diri kita dipergunakan oleh syaitan.
Insan berhak memerintah syaitan
seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam. Dan ilmu
syaitan tidak akan dapat mengatasi ilmu insan seperti diterangkan dalam Quran
mengenai Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam. Tatkala Nabi Allah Sulaiman
'Alaihissallam mahukan istana Puteri Ratu Balqis dipindahkan dan dibawakan
kepadanya, jin Afrit yang merupakan syaitan paling tinggi ilmunya telah
menyahut seruan Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam berjanji akan membawa istana
Balqis sebelum sempat Nabi Allah Sulaiman 'Alaihissallam bangun dari duduk.
Tetapi seorang insan telah menyahut
dengan berjanji akan membawa istana Balqis sebelum sempat mata Nabi Allah
Sulaiman 'Alaihissallam berkedip. Ini menunjukkan ilmu syaitan tidak akan dapat
menandingi ilmu insan. Jadi, mengapakah kita mengambil jalan bersahabat dengan
syaitan?
Hal ini susah saya hendak terangkan kepada
Sali.
Lama saya dan Sali berdiri di tepi
tebing lombong itu, tetapi tidak ada lagi bunyi menggerunkan seperti tadi.
Kalau ada bunyinya saya akan menyuruh Sali menyuluh, walaupun saya tahu kalau
disuluh pun tentulah tidak akan kelihatan apa-apa.
"Dah tak ada bunyinya.."
keluh Sali pendek.
"Pukul berapa sekarang?"
saya bertanya. Sali menyuluh jam tangannya "Dekat pukul dua..."
beritahunya perlahan.
"Kita balik dulu..." ujar
saya menepuk bahunya. "Kalau ada lagi bunyinya, esok kita ajak Aki Sahak
kerjakan" terus saya tolak dia suruh berjalan di hadapan.
Sali tidak menyahut. Dia memasang
lampu picit semula merempuh belukar teberau. Ketika berdiri di tebing lombong
itu sempat juga saya membaca Ayatul Kursi sebanyak 133 kali. Sepanjang
perjalanan balik itu tidak ada pun kami dengar bunyi macam air disedut itu
lagi.
Semasa kami sampai di halaman rumah
Abang Amud itulah, jenazah anaknya baru sampai dibawa balik dari hospital.
No comments:
Post a Comment