Sunday, August 21, 2016

190. HARIMAU HITAM DI TENGAH MASJID



PERUT yang memboyot itu memang tidak hamil, sekalipun keadaannya sama seperti orang mengandung masuk sembilan bulan.  Tahu benar Tiamit dia bukanlah hamil tengah sarat.  Masakan dia mengandung ketika umurnya sudah lebih empat puluh tahun setelah tidak turun kotor lagi.  Tetapi perut memboyot itu terasa bergerak-gerak hingga dia menjadi rimas tidak menentu.



Tidak pula terasa sakit menyeksa diri kalaulah benar ada ketumbuhan di dalam perut.  Hospital juga tidak dapat sahkan sama ada ketumbuhan ataupun tidak, tetapi dia perlu dibedah.



Mengeluh panjang Tok Kimar ketika merenung air di dalam geluk, sewaktu dijemput mengubati Tiamit.  Sudah berubat besar sampai menurun menyeru Moyang Labuh membantu, penyakit perempuan itu tidak juga mahu seruh.  Jaamat suami Tiamit juga sudah mati ikhtiar mahu mengubati penyakit perut yang membesar seperti busung.



“Kalau tak boleh juga, bawa isteri awak ke hospital,” ujar Tok Kimar menggeleng-geleng lemah.



“Tak payahlah,” cepat sahaja Tiamit membantah.  “Kalau bawa hospital, memang kena belah,”  katanya apabila kenangkan keputusan pihak hospital mahu membedah perutnya yang memboyot besar.



“His, takkan semua penyakit nak dibelah,” Tok Kimar terus memujuk setelah dia tidak berupaya membantu.



“Kami baru balik dari hospital,” jelas Jaamat perlahan mengerling isterinya yang terkejang termengah-mengah.



“Sebab itu saya minta keluar wad, bila Tiamit tak mahu dibelah,”  ujarnya menghela nafas.



Terdiam Tok Kimar dengan keputusan mereka suami isteri.  Anak mereka Badun tidaklah mendesak sangat sekiranya Tiamit tidak mahu berubat di hospital.  Biarlah emaknya buat keputusan sendiri sama ada mahu berubat di hospital atau pun secara tradisional.



Marah juga adiknya Semiah disebabkan Badun tidak mahu mendesak emaknya berubat di hospital.  Kalau Badun berkeras tentu emaknya serba salah juga.  Semiah tahu emaknya jarang membantah keputusan Badun kalau abangnya sendiri mendesak.



Sejak balik dari Kuala Lumpur memang Semiah mendesak abangnya supaya memujuk emak mereka ke hospital.  Apalagi Tok Kimar sendiri sudah mengaku kalah hingga tidak menyanggupi untuk terus mengubati.  Siapa lagi boleh diharap kalau Tok Kimar sudah tidak menyanggupi.



“Abang patut pujuk emak tu,”  Semiah terus mendesak setelah Tok Kimar sendiri menyuruh ke hospital.  Kalau dukun mencadangkan dibawa ke hospital tentulah penyakit emaknya tidak boleh diubat cara tradisional.



Badun menunduk tidak menyahut.  Dia tidak mahu membuat keputusan dalam saat emaknya menderita sakit.  Kalau emaknya sendiri yang membuat keputusan mahu berubat ke hospital,  Badun akan terus membawanya dengan tidak bertangguh.  Manalah tahu penyakit emaknya kian melarat apabila dibawa ke hospital.  Tentulah semua adik beradik menyalahkan dia terburu-buru membuat keputusan.



“Tunggu adik beradik kau yang lain,”  Jaamat mengingatkan Semiah supaya tidak mendesak.  Kalau mereka berkeras juga mendesak, tentu perasaan Tiamit bertambah cemas.  Penyakitnya juga akan menjadi beban yang lebih menyeksa.



“Tapi, mak dah tak boleh diubat di kampung,”  ujar Semiah menelan keluhan yang menyebak di dada.



Sepatah pun Badun tidak menyahut.  Dia tetap menunduk bagaikan buntu tidak dapat memikirkan apa pun.  Memang adiknya Semniah tidak rela enaknya terlantar.  Setidak-tidaknya dia jururawat di hospital daerah, tentulah berpengalaman menghadapi saat cemas.



“Eloklah ke hospital,”  tutur Tok Kimar lantas mengukuhkan sandar belakangnya ke dinding tengah.  Dia dapat mengagak bengkak di perut Tiamit disebabkan angin bisa.  Puas dia menolak angin bisa itu keluar, tetapi sudah sebati sampai tidak dapat di pisahkan dengan darah dan daging Tiamit.



Tiamit tidak mahu dibawa ke hospital.  Biarlah dia terlantar di rumah hingga terbujur kejang menutup mata.  Tiamit tidak akan jejakkan kaki lagi ke hospital.  Cukuplah dia berminggu-minggu dimasukkan ke wad hingga ke Hospital besar pun.



Kesian juga dia pada suaminya Jaamat terpaksa berulang alik ke hospital menjengah dia.  Anak-anak tidak akan datang menjengah setiap hari.  Kalau mereka jejakkan kaki pun apabila setiap hujung minggu.



Kecil juga hati Tiamit dengan sikap anak-anak apabila dia dimasukkan ke hospital.  Tidak siapa pun mahu luangkan masa jengah ayah mereka di rumah.  Semiah tentu tidak ambil tahu fasal makan minum ayahnya, sekiranya dia terlantar di wad hospital.



Sebab itu Tiamit tidak rela dipisahkan dengan Jaamat.  Kalau di rumah dia boleh gagahkan memasak di dapur.  Perutnya yang memboyot tidaklah menyakitkan sampai terkejang tidak boleh bangun langsung.  Hanya kalau dibawa bergerak kuat barulah terasa menyenak hingga terloya mahu muntah.



“Biarlah saya mati di rumah ni, Tok Kimar,”  lantas Tiamit membuat keputusan sendiri.  Siapa pun tidak boleh memaksa dia ke hospital.  Takdirnya Tok Kimar sudah tidak menyanggupi untuk mengubat, biarlah dia menanggung penyakit itu sampai ke mati.



Menggeleng-geleng Tok Kimar.  Perlahan-lahan dia menghela nafas kerana tidak berupaya membantu.  Sudah puas dia berusaha sampai menurun dengan menyeru nama Moyang Labuh menjelma.  Tok Kimar mendengar sendiri bisikan daripada Moyang Labuh menyuruh dapatkan air di tujuh kuala untuk dilangirkan Tiamit di masjid lama.



Masakan Moyang Labuh berbohong apakala menjelma tatkala dia membakar kemenyan di tengah malam.  Gementar juga Tok Kimar apabila bayangan Moyang Labuh tercegat di hadapannya dengan menunggang harimau hitam sebesar bapak lembu.



“Carikan air tujuh kuala,”  suara bisikan Moyang Labuh bergetar menusuk ke telinga Tok Kimar.



“Apa penyakit Tiamit ni, moyang?”  Tok Kimar mendongak memerhati Moyang Labuh bertunggang di belakang harimau berkenaan.



“Jangan Tanya penyakit!”  keras sahaja suara Moyang Labuh seolah-olah membentak.  “Tiamit tu sakit, ubatkan saja, kenapa nak tanya penyakitnya?”  katanya memarahi Tok Kimar.



Tersipu-sipu Tok Kimar.  Tidak pernah Moyang Labuh marah sekiranya di seru namanya tatkala berubat besar.  Memang dia terpaksa berubat besar sekiranya penyakit yang diubati itu terlalu tenat.



Sebaik sahaja di bakar kemenyan dia akan menyeru nama Moyang Labuh sampai lembaga tersebut menjelma di hadapannya.  Moyang Labuh yang datang sewaktu dia bertapa di masjid lama berjanji akan membantunya sekiranya dia memerlukan pertolongan.



Sudah beberapa kali dia berubat besar memang jelmaan Moyang Labuh tetap tercegat dengan bertunggang di belakang harimau hitam.  Moyang Labuh akan membisikkan apa sahaja bagi mengubati pesakit,.  Belum pernah Moyang Labuh berbohong setiap kali menjelma membantunya.



Ali Bagong bertahun-tahun mengidap bisul sebesar tempurung kelapa di bahu pun boleh sembuh, setelah Moyang Labuh menjelma.  Moyang Labuh bisikkan ke telinganya supaya carikan akar pokok beringin terjuntai tidak cecah ke tanah.  Getah akar beringin itulah disapukan sampai punat bisul meletus.



Tidak bertangguh Ali Bagong mandi berlangir di masjid lama sebaik sahaja penyakitnya sembuh.  Memang menjadi syarat berubat dengan Tok Kimar mesti mandi berlangir di masjid lama itu, sekiranya penyakit sembuh seperti sediakala.  Moyang Labuh yang tetapkan syarat demikian apakala menjelma setelah diseru namanya oleh Tok Kimar.



Tetapi mengubati Tiamit tidak sama dengan mengubati Ali Bagong.  Serba salah juga Tok Kimar mahu berubat besar kalau Moyang Labuh menjelma dengan muka hodoh mencebik bibir.  Tentu ada pentang larang yang tidak dipatuhi menyebabkan mudah sahaja Moyang Labuh menengking.



“Kalau tak tahu penyakit, macam mana nak ubatkan?”  Tok Kimar tetap tenang menghadapi dugaan demikian.



“Carikan sahaja air tujuh kuala,”  perintah Moyang Labuh tidak pedulikan pertanyaan Tok Kimar.



“Boleh, memang boleh kawan carikan air tujuh kuala,”  lantas Tok Kimar memberi pengakuan untuk memenuhi apa sahaja perintah Moyang Labuh.



“Langirkan dia di masjid lama,”  ujar Moyang Labuh selanjutnya, kemudian hilang dalam kesamaran sebelum sempat Tok Kimar bertanyakan arahan seterusnya.



Siapa pun tidak melihat Moyang Labuh bertunggang di belakang harimau.  Dia memakai jubah putih dengan memegang tongkat semambu beruas sonsang.  Janggutnya putih bagaikan kapas terurai sampai ke pusat.  Bulu keningnya lebat juga memutih dengan mata jauh ke dalam.



Hanya Tok Kimar sahaja melihatnya tercegat setiap kali kemenyan dibakar.  Ketika ini Tok Kimar sahaja bercakap dengannya kalau fasal mahu mengubati penyakit.  Semenjak Tok Kimar dikenali menjadi dukun di kampung itu, memang Moyang Labuh yang mendampingi dia.



Seminggu Tok Kimar bersembahyang tahajud di masjid lama menunggu hingga tengah malam, seminggu pula berpuasa dari Jumaat hingga santak ke malam Jumaat.  Tetapi Tok Kimar tidak pernah mengalah.  Dia tetap tabah menyempurnakan amalan yang di suruh gurunya Tok Pekak, asal sahaja dia dapat mencapai cita-citanya.



Tidak tertahan Tok Kimar mengidap penyakit sejak berbulan-bulan lenguh lutut dan sakit dada.  Apabila tengah malam menjelang batuknya akan menjadi-jadi sampai terasa pedih tekak.  Akibat batuk yang bertalu-talu itu sendi-sendinya mejadi lenguh hingga tulang juga terasa ngilu.



“Tak dapat aku nak ubatkan penyakit ni,”  keluh Tok Pekak setelah melihat telur yang di pecahkan ke piring itu berbuih-buih dengan kesan berlubang seperti di tusuk.



“Apa penyakitnya tu, Tok?”  hairan juga Tok Kimar setelah melihat sendiri keadaan telur yang sudah dialin ke tubuhnya itu.



“Aku pun tak tahu, tapi agaknya bencana,”  beritahu Tok Pekak menggeleng-geleng lemah.



“Habis tu, macam mana nak ubat?”  gelisah juga Tok Kimar disebabkan Tok Pekak sudah mengaku tidak mampu untuk mengubati dia.



Lama Tok Pekak terdiam sambil menghela nafas panjang.  Sewaktu malam pertama dia mengubati Tok Kimar, memang terkejut Tok Pekak apabila satu lembaga besar dalam gumpalan asap hitam menghadang dia di perjalanan.



Tantulah mustahil mahu menentang lembaga yang kelihatan seperti gumpalan asap itu.  Lainlah kalau menusia biasa yang boleh ditentang dengan tenaga.  Bila-bila Tok Pekak sanggup menghambur dari atas basikal lantas menbuka langkah pencak, sekiranya musuh di hadapan berniat salah itu menusia biasa.



Tetapi lembaga besar di hadapannya bukan manusia.  Hanya gumpalan asap hitam yang kepalanya cecah keawan.  Kalau dia berkeras melawan memang geruhnya sudah tidak dapat dielakkan.  Sebab itu Tok Pekak mesti mencari helah supaya dia tidak diancam lembaga berkenaan.



“Apa nak tunjuk pandai ke?”  sayup suara lembaga itu kedengaran bagaikan dari awan yang tinggi.



“Tunjuk pandai macam mana?” bimbang juga Tok Pekak kalau lembaga berkenaan sengaja mahu mencari geruh.



“Kenapa awak nak ubatkan Kimar?”  semakin marah suara lembaga itu membentak.



“Ah, dia panggil minta ubatkan, terpaksalah kawan ubatkan,”  Tok Pekak memberi penjelasan dengan tersenyum hambar di dalam kesamaran malam itu.



“Kawan datang dari seberang, umur kawan dah beribu tahun, janganlah awak nak tunjuk pandai,”  lembaga itu seolah-olah memberi amaran supaya Tok Pekak jangan cuba nak mengubati penyakit Tok Kimar.



Sebab itulah apabila kenangkan pertemuan dengan lembaga besar sepeti gumpalan asap hitam, bulu roma Tok Pekak meremang.  Dia percaya lembaga tersebut bukan lawannya.  Kalau tidak masakan lembaga berkenaan berani menghadangnya sambil memberi amaran.



Tok Pekak tahu sangat fasal makhluk halus yang cuba berhadapan dengannya.  Kalau calang-calang makhluk halus memang tidak berani menjelma di hadapannya, selagi dia dilindungi oleh akuannya.  Bila-bila akuannya akan menjelma menentang apa sahaja lembaga yang cuba mengganggu dia.



Tetapi akuannya tidak menjelma tatkala lembaga besar itu menghadang perjalanannya.  Sudah tentu akuannya juga tidak mampu mahu melawan makhluk halus demikian.



Apabila kenangkan pertemuan itu Tok Pekak serba salah mahu meneruskan mengubati Tok Kimar.  Bagaimana kalau jelmaan lembaga besar seperti gumpalan asap hitam itu mengancam keluarganya?  Bila-bila dia boleh bertahan sekiranya lembaga berkenaan mahu mencari geruhnya.  Tetapi Tok Pekak tidak dapat membantu kalau anak isterinya yang menjadi sasaran.



Biarlah dia mengalah. Tok Kimar boleh diajar amalkan pengubatan sendiri kalau dia bersetuju.  Memang Tok Pekak tidak keberatan mengajarkan amalannya kepada Tok Kimar.



Disebabkan sudah bebulan-bulan Tok Kimar mengidap penyakit ganjilnya, dia tidak  peduli apa.  Jangan katakan bertapa di masjid lama dengan bangun di tengah malam bersembahyang tahajud kalau di suruh mencari gua di tengah hutan pun, Tok Kimar sanggup lakukan.



Apa sangatlah dengan masjid lama yang terpencil di hujung kampung, kalau bandingkan dengan penyakit yang dihidapnya.  Setiap tengah malam dia akan di ganggu demam kesejukan hingga seluruh sendi-sendi merasa lenguh.  Dia akan terbatuk-batuk berulang kali bagaikan terasa rangka dadanya pecah.



Biarlah dia turutkan amalan yang di berikan oleh Tok Pekak.  Berpuasa seminggu bukanlah membawa aral apa-apa.  Dalam masa berpuasa dia dikehendakki tidak lepas daripada wuduk sepanjang masa.  Tok Pekak mahu dia habiskan membaca Ayatul Kursi sebanyak 313 kali dari satu waktu solat ke pada waktu seterusnya.



Malam ketujuh dia bersembahyang tahajud seorang diri di tengah kesepian itulah Moyang Labuh menjelma di tengah masjid.  Tok Kimar tercium bau wangi semerbak sewaktu Moyang Labuh berdiri solat dua rakaat.  Selepas selesai solat, Moyang Labuh menggamitnya dekat.



Tok Kimar di suruh mandi di perigi dan mengambil pucuk pisang kelat yang masih bulat di penjuru pagar masjid.  Terketar-ketar Tok Kimar kesejukan disuruh mandi di tengah malam demikian.  Dengan tidak berbaju Tok Kimar di  suruh oleh Moyang Labuh meniarap di atas pucuk pisang tersebut sambil meletakkan dadanya ke situ.



Moyang Labuh menepuk-nepuk belakang Tok Kimar dengan membacakan Fatihah berulang kali.  Hampir lima belas minit Moyang Labuh menepuk belakang Tok Kimar barulah di suruhnya duduk.  Kemudian Moyang Labuh menyuruh Tok Kimar menyuluhkan pelita ke atas pucuk pisang berkenaan.



Terkejut Tok Kimar apabila dilihatnya di atas pucuk pisang kelat itu bermanik-manik serbuk kaca halus bertaburan akibat disuluh cahaya api pelita.  Bercampur aduk dengan kaca halus bertaburan itu ialah miang rebung dan bulu halus yang lerai daripada ulat bulu.



“Apa bendanya tu, Moyang?”  soalk To Kimar memerhati Moyang Labuh yang duduk menunduk.



Tersenyum Moyang Labuh sambil membelek-belek ke atas pucuk daun pisang berkenaan.  Kemudian dia menghela nafas lantas menepuk-nepuk bahu Tok Kimar.  “Kau bernasib baik,”  keluhnya perlahan terus melipat pucuk pisang itu.



“Apakah penyakit saya, Moyang?”  tidak sabar lagi Tok Kimar mahu mengetahi penyakit sebenar yang dihidapinya.



“Bencana yang nak membunuh kau,”  ujarnya mencebik bibir.  “Mujurlah pertahanan kau kuat, Kimar,”  terus Moyang Labuh lantas memperkenalkan dirinya sebgai penjaga masjid lama itu turun temurun.



Moyang Labuh memberitahu mengenai santau yang dikirimkan untuk membalas dendam terhadap Tok Kimar.  Bukan santau angin atau santau air yang dikirimkan, tetapi santau permainan syaitan.  Kalau sekadar santau angin atau santau air memang Tok Kimar tidak mudah di tewaskan.



Sudah lama dia berguru dengan Tok Pekak kalau fasal jampi serapah.  Memang Tok Kimar tidak pernah bimbang dengan santau angin atau santau air yang dikirim melalui makanan.  Bubuk santau akan terbang membawakan kiriman melalui angin lantas menjatuhkan serbuk ke dalam makanan mangsa.  Apabila Tok Kimar membacakan: 

Hai garak garik, kalau ada yang menganiaya, nak membinasakan aku, letakkan di hampa tapak tanganku hu-Allah…nescaya tapak tangannya akan bergerak-gerak.



Sekiranya tapak tangannya bergerak, Tok Kimar tidak akan menyentuh makanan atau minuman berkenaan.  Dia sudah dapat mengagak memang geruh menunggu kalau digagahi juga menjamahnya.  Masakan Tok Kimar boleh diperangkap oleh santau yang di kirim melalui bubuk seperti lipas terbang mencari sasaran.



Tetapi Moyang Labuh memberitahu fasal santau yang di kirim melalui syaitan.  Bukan mudah mahu menghadapinya kerana masuk melalui pernafasan.  Siapa pun sukar mahu mengelak kalau santau dikirim melalui syaitan meresap sewaktu tengah lena tidur.



“Syaitan akan masuk melalui ibu jari kaki,”  jelas Moyang Labuh mengingatkan supaya tidur tidak dedahkan ibu jari kaki.  Tentu Tok Kimar tidak pernah berselimut kalau tidur di tengah rumah sampai ibu jari kaki terdedah tidak ditutup.



Masakan dia mahu berselimut tidur kalau tengah malam pun panas membahang.  Kadangkala berpeluh di tengah malam sekalipun badan terdedah hanya sekadar memakai kain sarung sahaja.  Tentulah ibu jari kakinya sentiasa terdedah tidak ditutupi selimut.



Sepanjang malam itu berbelas-belas kali Moyang Labuh menyuruh Tok Kimar meniarap di atas pucuk pisang kelat.  Kemudian dia akan menepuk-nepuk belakang Tok Kimar hingga ramuan santau luruh ke situ mengikut lubang rongganya.  Hampir subuh barulah daun pisang kelat yang sudah beberapa kalik ditukar setiap kali Moyang Labuh menepuk semula tidak lagi kelihatan ramuan santau luruh di situ.



“Syukurlah, semuanya selamat,”  ujar Moyang labuh berpuas hati.



Sebelum meninggalkan masjid lama Moyang Labuh memberikan ibu kemenyan kepada Tok Kimar supaya menyeru namanya apabila menghadapi kesulitan.  Selepas solat subuh terlelap juga Tok Kimar menunggu hari siang.  Hingga matahari tegak segalah barulah dia terbangun setelah terdengar orang menorah getah bersiul-siul di sempadan tanah.



Setelah bertapa di masjid lama itu memang terasa pada Tok Kimar dadanya semakin lega.  Tidak lagi terasa bahang hingga perit ke kerengkung apabila terbatuk-batuk di tengah malam.  Lututnya juga tidak lagi diganggu lenguh-lenguh seperti mendaki bukit yang tinggi.



Sebaik sahaja kenang dia berpuasa seminggu dan mengasingkan diri di masjid lama ketika sakitnya tidak boleh di ubati, Tok Kimar percaya Tiamit juga boleh lakukan demikian.  Tentu Tiamit sanggup berpuasa seminggu dengan mengasingkan diri di masjid lama itu sepanjang malam.



“Kalau tak ada cara lain nak ubat Tiamit, kenalah dia ubat sendiri,”  kata Tok Kimar jujur.



“Nak ubat macam mana?”  hairan juga Semiah apabila emaknya disuruh berubat sendiri.



“Macam saya sakit dulu,”  beritahu Tok Kimar fasal dia menanggung kegelisahan akibat penyakit ganjil yang disangkanya.  Kalau tidak jelmaan Moyang Labuh datang memberitahu, tentulah dia tidak tahu mengenai santau yang dikirim melalui syaitan itu.



Manalah dia tahu fasal santau yang boleh menyusup melalui  jari kaki.  Tok Kimar sekadar tahu santau hanya masuk melalui makanan hingga mangsanya terbatuk-batuk muntahkan darah.  Santau yang menyusup melalui ibu jari kaki hanya terasa apabila dia semakin lemah.



“Macam mana pun saya sanggup buat,”  sahut Tiamit cekal mahu melakukan seperti yang pernah dialami oleh Tok Kimar.



Apalah salahnya dia berpuasa seminggu semata-mata mahu memohon pertolongan Allah supaya disembuhkan penyakitnya.  Kalau jelmaan Moyang Labuh tercegat di hadapannya pun Tiamit tidak bimbang apa-apa.  Biarlah dia tempuhi juga dugaan semikian tatkala penyakitnya sudah tidak dapat lagi diubati.



Disebabkan Tiamit sudah membuat keputusan nekad, siapapun tidak mahu membantah, Jaamat sanggup menghantarnya berbasikal ke masjid lama itu sebaik sahaja selepas maghrib dan berbuka puasa.  Pagi-pagi Jaamat akan datang menjemputnya.



Terasa juga gementar Tiamit tatkala bangun tengah malam turun ke perigi mengambil wuduk.  Tetapi dia cekalkan hati menempuh apa sahaja dugaan disebabkan penyakitnya sudah lama dideritai.  Apalah gunanya membiarkan penyakit tersebut mengganggu, kalau tidak berani berseorangan di tengah malam mendirikan solat di masjid terpencil itu.



Biarlah dia mati terkejang di situ sekiranya penyakit itu terus juga megganggu.  Tiamit rela mati kalau tidak dapat mengubati penyakit yang dideritanya sampai perut memboyot bagaikan diganggu busung.



Selesai sahaja solat tahajud, Tiamit duduk membacakan Ayatul Kursi hingga 313 kali.  Dia cekal duduk hingga dua jam menghabiskan 313 kali membaca Ayatul Kursi itu.  Setelah tidur semula, Tiamit bangun tidak lama selepas itu untuk menunaikan solat subuh.



Apabila Jaamat menjemputnya pagi-pagi, Tiamit sudah siap berkemas-kemas untuk balik. Tubuhnya kelihatah letih disebabkan berjaga sepanjang malam.  Apa lagi terpaksa menjamah makanan sedikit untuk menghadapi puasa di siang hari.  Bertambahlah tidak cukup tidur dia.



Memang tidur dalam keadaan demikian tidak nyenyak.  Beberapa kali Tiamit tergamang apakala  terdengar suara sayup-sayup di udara memanggil namanya.  Sebaik sahaja dia  membuka mata hanya elusan angin malam sahaja bertiup kuat.  Sekali  sekala dahan pokok getah di sempadan tanah memukul cucur atap masjid berkenaan disebabkan angin menggoncang.



Malam ketiga Tiamit tidur di masjid lama itu, berdebar-debar hatinya sewaktu terjaga tengah malam untuk turun mengambil wuduk di perigi.  Dia melihat seorang lelaki tua berjubah putih mendirikan solat di tengah masjid.  Kalau tidak kenangkan perutnya yang memboyot besar, memang Tiamit akan lari meninggalkan kawasan masjid.



Setelah beristighfar beberapa kali, Tiamit turun juga ke perigi.  Setelah mengambil wuduk dia tunaikan juga solat tahajud.  Tidak ada sebab dia mesti mengalah setelah tiga malam berturut-turut mengamalkan.  Dia mesti habiskan juga sampai tujuh malam seperti di amanahkan oleh Tok Kimar.



Tiamit gagahi juga untuk bersolat sunat tahajud jauh di belakang lelaki berjubah putih itu.  Selesai sahaja solat Tiamit hampir terjerit apabila lelaki di hadapannya menjelma menjadi harimau hitam.  Berligar-ligar harimau hitam itu di tengah masjid dengan ekornya bergoyang-goyang.



Tetapi Tok Kimar sudah ingatkan dia supaya jangan gentar melihat apa sahaja yang menjelma. Kalau dia tidak mahu menganggapnya sebagai dugaan.  Tiamit boleh anggap hanya mimpi sahaja.  Apalah yang ditakutkan lagi kalau semuanya berlaku di dalam mimpi.



Harimau hitam yang berligar-ligar di tengah masjid bukanlah mimpi Tiamit.  Dia melihat sendiri harimau itu merenung tajam kearahnya.  Kemudian harimau hitam itu melintas di belakangnya sambil menjilat-jilat pinggang sampi ke tengkuk.  Memang Tiamit kecut perut sampai merenik-renik peluh di dahi menahan ketakutan yang menusuk-nusuk.



Tiamit terus membacakan Ayatul Kursi tidak berhenti-henti untuk mencukupkan 313 kali setiap malam.  Sekalipun terasa seram sejuk setiap kali harimau hitam itu menjilat pinggang hingga santak ke tengkuk, tetapi Tiamit sekadar menggigit bibir untuk melawan ketakutan itu.



Belum sampai 150 kali dia membacakan Ayatul Kursi belakangnya tidak lagi dijilat oleh harimau berkenaan.  Tetapi Tiamit tidak berani berpaling ke belakang selagi tidak selesai amalannya.  Sehingga habis dia membacakan Ayatul Kursi 313 kali, kawasan tengah masjid lengang tidak ada sesiapa pun di situ.



Ketika suaminya Jaamat datang menjemput di sebelah pagi, Tiamit ceritakan juga pengalamanya beramal di tengah masjid.  Apabila diberitahu pada Tok Kimar, marah juga orang tua itu disebabkan Tiamit tidak sabar.  Sepatutnya dalam masa beramal tidak boleh diberitahu kepada sesiapa apa pun yang ditemui.  Birlah semuanya berlalu begitu sahaja.



“Awak tak sabar Tiamit,”  gerutu Tok Kimar duduk berjuntai kaki di tangga rumah Jaamat.  “Itu pemberian, sepatutnya awak bersyukur,”  dia menambah sambil menunduk menahan rasa kesal.



“Saya tak tahu pula tak boleh cerita pada orang,”  sahut Tiamit memegang perutnya yang memboyot bagaikan tengah sarat hamil.



“Dia hanya cerita pada saya aje,’  Jaamat cuba mempertahankan isterinya.  Apalah salahnya Tiamit ceritakan padanya fasal pengalaman beramal di masjid lama itu.  Dia pun patut tahu mengenai sebarang perkara yang menimpa isterinya.



“Eloklah tu,”  cepat sahaja Tok Kimar memintas.  “Jangan cerita dengan orang lain lagi,”  katanya semacam memberi amaran.



Tiamit mengangguk.  Memang dia tidak akan memberi tahu sesiapa pun selain daripada suaminya.  Apalah gunanya memberitahu orang lain perkara yang berlaku ke atas dirinya.  Seisi kampung tidak akan tahu pengalaman pahit yang ditanggungnya selama ini sejak menderita sakit ganjil demikian.



Kalau tidak kenangkan imannya kuat, memang Tiamit radak perutnya dengan pisau tajam.  Biarlah perut itu terburai sampai terkeluar usus.  Tentu penyakit yang bersembunyi di dalam perut itu akan menyembur sama tidak bertampan.  Marah benar Tiamit dengan penyakit yang sukar dapat diubati lagi.



Dia teruskan juga beramal hingga malam ketujuh.  Sebaik sahaja habis solat sunat tahajud, Tiamit mendengar orang memberi salam dari hadapan masjid.  Terpaksa dia menyahut juga sekalipun hatinya berdebar-debar ketakutan.  Ketika dia berpaling ke pintu, lelaki tua berjubah putih itu naik ketengah masjid.  Mukanya bercahaya seperti lingkaran api lampu hingga wajahnya tersembunyi di sebalik silauan cahaya itu.



“Awak seorang aje ke?”  tegur lelaki tua itu lembut.



Tiamiot mengangguk dengan tidak menuturkan sepatah kata pun.  Apabila dia meneruskan membaca Ayatul Kursi, lelaki tua berjubah putih itu terus solat di anjung masjid.



Sewaktu Tiamit mengerling kearahnya, seekor harimau hitam tercangkung disisi orang tua berkenaan.  Ketika ini Tiamit tidak merasa takut apa-apa, kerana lelaki tua berjubah putih itu ada di tengah masjid.  Lagi pun dia sudah memahami bahawa harimau hitam berkenaan tidak berbahaya.



Habis sahaja Tiamit membacakan Ayatul Kursi 313 kali, lelaki tua itu terus mendekati Tiamit.  Dia seolah-olah tahu Tiamit sudah selesai beramal.  Tercium bau ambar sebaik sahaja lelaki tua itu mendekati Tiamit.



“Jangan takut dengan Moyang,”  ujar lelaki itu perlahan sekalipun wajahnya tidak jelas pada penglihatan Tiamit.  “Moyang ni ialah Moyang Labuh penjaga masjid ni,”  jelasnya terangguk-angguk lantas menyuruh harimau hitam itu menjilat belakang Tiamit.



“Lama sangat penyakit saya ni, Moyang,”  bergetar suara Tiamit menahan perasaan gugupnya.



“Ah, penyakit ni ujian daripada Allah,”  beritahu Moyang Labuh mengisar tapak tangannya hingga terasa pada Tiamit perutnya seolah-olah dipulas.  “Allah menguji kesabaran kita dengan penyakit yang diturunkanNya,”  kata Moyang Labuh dengan mukanya tersembunyi di sebalik lingkaran cahaya.



“Bolehkah Moyang tolong ubatkan?”  Tiamit memberanikan hati untuk menyoal.



“Penyakit datang dari Allah, mohonlah pertolongan Allah untuk menyembuhkan,”  tegas Moyang Labuh sambil memberi isyarat kepada harimau hitam itu menjilat perut Tiamit yang memboyot besar.



Setiap kali harimau itu menjilat perutnya terasa pada Tiamit sejuk menusuk-nusuk.  Selesai sahaja harimau hitam itu menjilat-jilat, Moyang Labuh bangun lantas menghembus ke ubun-ubun Tiamit.



“Insya Allah, dengan izin Allah awak akan sembuh,”  ujar Moyang Labuh menghulurkan bungkusan kain kuning kepada Tiamit.  “Itu kemenyan, bolehlah digunakan bila-bila  awak perlu,”  jelasnya terus bertunggang di belakang harimau hitam itu.



Sekali lompatan sahaja kearah pintu, harimau hitam bersama Moyang Labuh hilang dalam kesamaran subuh.  Ketika ini kokok ayam sudah berbalas-balas di tengah kampung.  Tetapi Tiamit tidak mahu melelapkan mata lagi.  Lebih baik dia menunggu sehingga masuk waktu subuh.



Setelah masuk subuh pun Tiamit tidak dapat mahu melelapkan mata.  Terkebil-kebil mata dia sementara menunggu suaminya Jaamat datang menjemput.  Sebaik terang-terang tanah Jaamat sudah sampai di halaman masjid.  Dia dapat mengagak tentulah malam ketujuh itu Tiamit tidak perlu menunggu lama.



Ketika balik membonceng basikal suaminya, Tiamit tidak bercakap apa-apa.  Perasaan gementar mula menyusup dalam perasaannya apabila kenangkan harimau hitam menjilat-jilat tubuhnya.  Bagaikan terasa kesat lidah harimau itu menyinggahi kulit pinggangnya.



Sampai sahaja di rumah Tiamit merasa perutnya memual-mual bagaikan mahu muntah.  Belum sempat naik ke rumah dia sudah termuntah di kaki tangga.  Kebetulan pula Tok Kimar datang untuk mengetahui keadaan Tiamit setelah cukup tujuh hari beramal.



Sebaik melihat Tiamit termuntah-muntah. Tok Kimar lantas meminta kalau ada apa-apa barang yang diperolehinya.  Tamit tidak dapat berckap apa-apa kecuali menunjukkan bungkusan kain kuning berisi kemenyan.  Tok Kimar sendiri membakarkan kemenyan tersebut dan mengasapkan ke kepala Tiamit.



Tidak sempat Tiamit mahu berbaring lagi di tengah rumah selepas diasap kepalanya dengan kemenyan, dia termuntah di lantai hingga melambak ketul-ketul daging busuk yang sudah berulat.  Bau busuk meloyakan di sebabkan daging busuk itu seperti bangkai dihurungi ulat.



Mengeluh panjang Tok Kimar apakala melihat ketul-ketul daging busuk berulat dimuntahkan oleh Tiamit.  Hairan juga dia dengan kejadian yang tidak pernah dialaminya itu.  Kesihan juga dia melihat Tiamit terkial-kial menahan senak perut setiap kali muntah yang mendasyatkan.



Setelah reda dari pada muntah, sakit di perutnya semakin menjadi-jadi.  Tok Kimar membakar pula kemenyan yang dibekalkan oleh Moyang Labuh kepadanya.  Semakin dia tenggelam bersama asap kemenyan tersebut Tok Kimar melihat Moyang Labuh tercegat di tengah masjid betunggang di belakang harimau.



“Kau yang tak sabar, Kimar,”  ejek Moyang Labuh mencebik bibir.  “Kau seru Moyang, tapi syaitan yang menyerupai Moyang,”  katanya menjelaskan bagaimana beberapa kali Tok Kimar terpedaya.



“Tapi, saya melihat Moyang yang menjelma,”  ujar Tok Kimar tersengih-sengih malu kerana diperdayakan oleh syaitan.



“Memang syaitan boleh menyerupai siapa sahaja, kecuali Rasullullah…”  beritahu Moyang Labuh supaya Tok Kimar berhati-hati apakala berhadapan dengan jelmaan demikian.



Moyang Labuh juga tidak berupaya menghalang gangguan syaitan, kalau Tok Kimar sendiri tidak berhati-hati.  Mudah sahaja syaitan memperdayakan apabila menjelma seperti Moyang Labuh untuk menimbulkan keraguan sesama manusia.  Kemudian masing-masing saling tuduh menuduh dengan menganggap panyakit yang dideritai disebabkan ilmu hitam.



Hanya syaitan sahaja mahukan manusia itu tuduh menuduh hingga masing-masing bermusuhan.



“Jangan terperdaya oleh syaitan,”  bisik Moyang Labuh masih bertunggang di belakang harimau hitam berkenaan.  “Tiamit akan sembuh dengan izin Allah, tak perlu bimbang.”  Katanya menambah terus hilang bersama kilauan putih cahaya matahari yang memancar kearahnya.



Tahulah Tok Kimar memang Moyang Labuh tidak benarkan menyeru namanya kalau tidak menghadapi kesukaran sangat.  Tok Kimar perlu bersabar sehingga dia terdesak untuk menyeru Moyang Labuh.  Bukan ikut kemahuan bila-bila masa sahaja membakar kemenyan lantas menyeru supaya Moyang Labuh menjelma.



Sehingga petang Tiamit tidak lagi muntah hingga tersembur ketul-ketul daging busuk berulat.  Tetapi dia merasa seperti turun kotor hingga kain berlenjap dengan darah beku kehitam-hitaman.  Seminggu dia mengalami turun kotor demikian, barulah perut Tiamit yang memboyot itu seruh.



Memang dia sendiri tidak tahu apakah penyakit yang dihidapinya selama berbulan-bulan menderita.  Lemah juga badannya akibat turun kotor dan muntah yang ganjil itu.  Sehinggakan Kak Injun meninggal dunia pun, dia tidak sempat menziarah.



Terkilan juga Tiamit tidak dapat menziarahi Kak Injun yang terkejang di tempat tidur.  Tubuhnya calar balar bagaikan dicakar binatang buas, sekalipun tidak ada kesan pintu atau tingkap rumahnya terkopak diserbu binatang buas berkenaan.



“Selepas kejadian itu jugalah emak jadi bidan, ustaz…”  beritahu Badun sewaktu mengajak saya ke kampungnya.



Teringin juga saya mahu berjumpa Bidan Tiamit, kerana arwah nenek Bidan Ibah sudah beberapa kali menemuinya.



“Kalau ustaz tu cucu Kak Ibah, ajak lah dia ke kampung ni,”  beberapa kali Bidan Tiamit berpesan kepada anaknya Cikgu Badun.





SELESAI