Wednesday, October 22, 2014

097. BERCINTA DENGAN BUNIAN


LAMA juga saya mahu mengetahui dari nenek, mengapa To’ Sheikh selalu datang membantunya. Kalaulah To’ Sheikh itu dari golongan bunian, apakah benar bunian ini makhluk yang baik dan bertimbangrasa?

“Bunian juga makhluk seperti kita,” kata nenek menceritakan kepada saya. “Ada golongan yang baik, ada golongan yang jahat. Ada setengahnya mengganggu orang, danada setengahnya menolong,” ujar nenek lagi.

Kadangkala ingin saya mahu melihat masyarakat bunian ini. Tetapi bila mendengarkan cerita nenek tentang masyarakat bunian ini, hati saya jadi gementar. Kata nenek, makhluk bunian ini adalah makhluk halus, manakala manusia biasa makhluk kasar.

Sebab itu apabila makhluk kasar diresapi oleh makhluk halus, mereka tidak berupaya melepaskan diri.

“Bunian ini akan menjamu sesiapa yang ditawannya dengan makanan yang lazat-lazat,” nenek menceritakan kepada saya selanjutnya. “Tetapi sebenarnya yangdimakan oleh orang yangditawannya itu ialah cacing gelang-gelang atau tahi cacing,” ujarnya.

Nenek memberitahu saya beberapa tempat yangdikatakan sebagai kawasan orang bunian. Kononnya satu ketika dulu orang bunian ini berbaik-baik dengan orang-orang kampung. Sayangnya, orang-orang kampung tidak jujur terhadap orang-orang bunian.

Di kampung saya kawasan orang bunian ialah di darat kampung berhampiran dengan belukar rotan. Satu ketika dulu orang-orang kampung boleh meminjam pinggan mangkuk dari orang-orang bunian untuk melakukan upacara nikah kahwin.

Apabila dibakar kemenyan sambil menyeru penghulu bunian, sebutlah jumlah pinggan mangkuk yang dikehendaki. Esoknya, orang yang ingin meminjam itu akan mendapati pinggan mangkuk seperti yang dikehendaki sudah ada di depan pintu.

Syarat meminjamnya hanya mesti mengembalikan semua pinggan mangkuk itu dengan cukup. Kalau terdapat yang pecah atau retak mesti juga di kembalikan. Satu masa dulu orang-orang kampung sangat mematuhi syarat tersebut, kerana orang-orang tua dulu sangat jujur dan tidak pernah mungkir janji.

Tetapi selepas orang-orang tua tidak ada lagi, orang-orang muda mula berlaku tidak jujur. Ada setengah kalangan yang menyembunyikan pinggan mangkuk yang dipinjam. Ada juga setengah kalangan yang tidak mengembalikan pinggan mangkuk yang pecah atau retak, dengan alasan takut di marahi oleh orang-orang bunian.

Sejak itulah orang bunian tidak lagi memberi pinjam pinggan mangkuk. Ternyatalah manusia biasa ini tidak pernah jujur dalam berjanji. Akhirnya orang-orang bunian tidak lagi mempercayai mereka.

“Kalau difikir-fikirkan orang bunian ni tak jahat, kita manusia bertubuh kasar ni lebih jahat,” kata arwah nenek saya dulu. “Tetapi selalunya kita menyalahkan orang lain bila orang-orang bunian ini bertindak balas. Salah diri sendiri tidak di sedarinya,” begitulah nenek saya merungut bila mengenangkan perangai manusia ini.

Orang-orang bunian ini juga, menurut cerita nenek, adalah makhluk Allah seperti kita. Mereka juga hidup berkeluarga, bermasyarakat dan mempunyai peraturan hidup. Bezanya, kita tidak dapat melihat mereka, sedangkan mereka boleh melihat kita.

“Kalau kita tahu orang bunian, mereka tidak akan berani mengganggu kita,” ujar nenek saya. “Kalau kita sudah tahu mereka orang bunian, bererti mereka kenal kita. Kalau dia sudah kenal kita, masakan dia mahu mengganggu,” katanya lagi.

Setelah mencungkil dari nenek mengenai pengalaman-pengalamannya sebagai bidan kampung, barulah saya menyedaribahawa nenek memang ada hubungan dengan orang bunian. To’ Sheikh yang sering menjelma apabila nenek menghadapi kesukaran, adalah penghulu bunian.

Dari cerita nenek, To’ Sheikh itu asalnya dari manusia biasa iaitu keturunan dari moyang nenek dulu. Tetapi To’ Sheikh tidak dapat balik semula ke pangkuan masyarakat manusia biasa, setelah dibawa lari oleh orang bunian.

Sebelum To’ Sheikh dilarikan oleh orang bunian, dia seorang pemuda biasa dikenali dengan nama Mat Akir. Kerja Mat Akir ini mencari rotan, damar dan manau ke hutan. Setiap hari dia ke hutan, kadangkala hingga lewat petang barulahbalik ke rumah.

Ketika ini di mana-mana pun kampung di negeri ini masih diliputi oleh hutan tebal. Perhubungan antara satu kampung dengan kampung yang lain amat sukar. Binatang-binatang buas juga berkeliaran hingga kadangkala tersesat masuk ke dalam kampung.

Pada suatu hati Mat Akir masuk ke hutan seorang diri saja. Sudah menjadi kebiasaan kepadanya masuk ke hutan dengan tidak mengajak kawan-kawan. Mat Akir juga suka bersendirian saja kalau membuat apa-apa kerja pun.

Hari tersebut dia masuk ke hutan tidak balik ke rumah hingga lewat malam. Orang-orang kampung menjadi bimbang kerana Mat Akir tidak balik. To’ Lah yang menjadi Ketua Kampung menyuruh beberapa orang pemuda menjejaki Mat Akir ke tempat dia selalu mencari rotan, pada keesokan harinya.

Hinggalah tiga hari orang-orang kampong mencari Mat Akir, tetapi tidak juga bertemu. To’ Lah menyuruh pula Pawang Bulin menengok tetemas (ilmu semacam nujum juga), ke mana perginya Mat Akir. Kalau ditangkap binatang buas tentu ada kesan-kesannya.

“Kalau tak salah, dia ni disorok orang bunian,” kata Pawang Bulin memberitahu To’ Lah. “Biasanya kalau dah tumbuh tanduk di kepalanya susahlah dia nak balik semula kepada manusia biasa,”

“Berapa lama baru tanduknya tumbuh?” Tanya Mak Teh ibu Mat Akir pada Pawang Bulin.

“Tak tentu, kalau orang bunian dah perkenankan dia, takat tiga hari ni dah tumbuhlah,” beritahu Pawang Bulin menambahkan bimbangnya hati Mak Teh.

Bagaimana pun To’ Leh tidak putus asa. Dia tetap menyuruh anak-anak muda di kampung itu mencari Mat Akir. Kebetulan padahari yang ketiga itu Mat Akir balik semula ke rumah. Mak Teh terlalu gembira sambil mengadakan kenduri doa selamat menyambut kepulangan Mat Akir itu.
 
Bila ditanya oleh orang-orang kampung ke mana dia menghilang. Mat Akir memberitahu dia tersesat. Dia sampai ke perkampungan Orang Asli. Kebanyakan orang-orang kampung lebih percaya dengan cerita Mat Akir dari kata-kata Pawang Bulin yang mengatakan Mat Akir disorok oleh orang-orang bunian.

Sejak kehilangan Mat Akir, kemudian dia balik semula ke rumah selepas tiga hari, orang-orang kampung tidaklah menghiraukan sangat peristiwa itu. Mereka hanya menasihatkan Mat Akir supaya pergi bersama kawan-kawan bila masuk ke hutan.

Tapi bagi Pawang Bulin, dia tetap tidak percaya Mat Akir tersesat dihutan hingga sampai ke perkampungan Orang Asli. Mat Akir juga tidak menerangkan kepada sesiapa pun apakah yang dialaminya selama tiga hari sesat di hutan.

“Anak awak tu diubat Teh” nasihat Pawang Bulin pada Mak Teh.

“Eh, budak tu tak sakit, macam mana nak diubat,” bantah Mak Teh bercampur heran dengan desakan Pawang Bulin supaya mengubat Mat Akir.

“Budah tu sakit. Cuba tengok mukanya pucat saja tidak berseri,” ujar Pawang Bulin menyakinkan dia.

“Entahlah To’ Pawang,” keluh Mak Teh semacam tidak percaya dengan dakwaan Pawang Bulin. “Fasal kulitnya putih, sebab itu kita nampak macam pucat aje. Saya tak tahu pula apa sakitnya budak Mat Akir tu,” katanya lagi.

“Aku cuma mengingatkan,” sahut Pawang Bulin. “Dia anak awak, kalau nak berubat boleh aku ikhtiarkan,” Pawang Bulin memberi pengakuan sanggup untuk menolong.

Mak Teh hanya mengangguk kepala memberi pengakuan, kerana tidak mahu melukakan hati Pawang Bulin. Pada hal di dalam hatinya dia langsung tidak percaya akan kata-kata Pawang Bulin yang mendakwa Mat Akir sedang sakit dirasuk orang bunian.

“Nantilah, kalau melarat sakit Mat Akir tu, saya beritahu pada To’ Pawang,” kata Mak Teh.

Pawang Bulin tidak boleh berkata apa-apa lagi. Mak Teh sendiri tidak berkeras mahu mengubat Mat Akir. Pada penglihatan Pawang Bulin, memang Mat Akir sudah dirasuk bunian. Mat Akir bukan lagi seperti Mat Akhir sebelumnya.

Dari mata kasar orang tidak nampak akan perubahan kelakuan Mat Akir. Tetapi Pawang Bulin sudah menduga sejak Mat Akir sering kehutan seorang diri saja. Apa lagi kelakuan Mat Akir tidak mahu bercampur gaul dengan anak-anak muda yang sebaya dengannya.

Dengan kehilangan Mat Akir selama tiga hari, kemudian muncul semula dengan tiba-tiba, menguatkan lagi alasan Pawang Bulin bahawa Mat Akir benar-benar sudah dirasuk bunian. Sayangnya, Mak Teh sendiri tidak begitu yakin dengan cerita PawangBulin itu. To’ Lah juga tidaklah boleh berkuat menggesa Mak Teh supaya mengubat Mat Akir.

Mat Akir sentiasa bersendirian saja. Kalau dia mandi ke sungai dia mengambil masa yang lama. Dia akan menggosok badannya sambil berendam di dalam air, menggosok celah-celah jarinya, menggosok celah-celah kukunya. Pendek kata dia terlalu asyik membersihkan diri dari segala daki atau kekotoran.

Oleh kerana Mak Teh tidak berkuat untuk mengubat Mat Akir, maka Pawang Bulin juga tidaklah mengambil berat sangat lagi. Dia hanya mahu menolong, kalau Mak Teh mahu menerimanya. Sebaliknya Mak Teh menganggap dia sengaja mengada-ngadakan cerita tentang diri Mat Akir.
 
Selepas peristiwa Mat Akir hilang tiga hari itu, pernah juga Mak Teh mendengar suara seperti orang berbual-bual pada waktu malam di belakang rumahnya. Bunyi oang berbual-bual itu tidaklah berapa jelas, tetapi kerap kedengaran terutama pada waktu bulan mengambang.

Timbul juga keinginan Mak Teh mahu mengintai siapakah yang berbual-bual di tengah malam itu. Tetapi dia takut untuk turun ke tanah ketika bulan mengambang. Dia selalu mendengar cerita tentang harimau selalu berkeliaran bila bulan mengambang penuh.

Pernah juga dia mengintai anaknya Mat Akir yang tidur di hujung serambi. Setiap kali dia menjengah ke hujung serambi, didapatinya Mat Akir ada tidur nyenyak di situ. Oleh itu dia tidak mengesyaki apa-apa terhadap Mat Akir, apabila mendengar suara orang berbual-bual di belakang rumahnya.

Mak Teh menceritakan pada To’ Lah mengenai apa yang didengarnya pada waktu malam ketika bulan mengambang. Kerana To’ Lah mahu mempastikan siapa yang datang berbual-bual di belakang rumah Mak Teh, dia menyuruh anak-anak muda mengendap siapakah yang datang ke situ.

“Kalau bunyi orang lelaki berbual dengan orang perempuan, itu tanda ada orang nak mencemarkan nama kampung kita,” ujar To’ Lah marah.

“Apa To’ nak buat?” Tanya salah seorang anak muda.

“Kita nikahkan mereka,” tegas To’ Llah. “Kalau kita biarkan mereka membuat perkara sumbang, bererti kita sama bersubahat dengan maksiat,” ujarnya menaruh curiga kepada Kiah janda muda.
 
Sudah selalu juga di dengarnya Kiah janda muda suka melayan anak-anak muda yang mengusiknya. Kadangkala bila musim ke sawah, Kiah janda muda sengaja menbawa bekalan lebih untuk mempelawa anak-anak muda menjamah bekalannya.

“Kita tak boleh biarkan orang buat tak baik dalam kampung kita,” jelas To’ Lah lagi.

Sementara Sarip Uncoi iaitu adik Kiah janda muda diperintah oleh To’ Lah supaya mengawasi kakaknya. Sarip Uncoi mengintip sama ada kakaknya keluar pada waktu malam atau tidak. Kalau keluar malam-malam hari kemana tempat yangdituju oleh Kiah janda muda.

Hampir dua minggu mereka mengawasi Kiah janda muda, tetapi tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan janda muda itu keluar bila malam hari. Sebaliknya bunyi suara orang berbual-bual di belakang rumah Mak Teh tetap kedengaran juga.

“Biar saya tanya kakak saya To’ Leh,” kata Sarip Uncoi merasa tersinggung bila dituduh kakaknya mahu melakukan perbuatan sumbang.

“Takkan dia mahu mengaku,” sahut Latip Debok pula.

Mereka semua berkumpul di surau membincangkan siapakah yang kedengaran berbual-bual itu. Semasa mereka mengintai suara orang berbual-bual semakin dekat kepada mereka, tetapi semakin di serbu semakin jauh pula perginya.

Inilah yang mengherankan To’ Lah dan anak-anak buahnya. Sarip Uncoi yang disuruh mengawasi Kiah janda muda pula, mendapati kakaknya memang tidak keluar dari rumah sepanjang malam.

“Siapa pula yang melakukan perbuatan sumbang itu…?: bisik To’ Lah keheranan. “Kalau benar Kiah, mengapa pula dia ke belakang rumah Teh. Apakah dia berjumpa dengan Mat Akir…” keluhnya tertanya-tanya dengan misteri yang melanda kampungnya.

“Kalau begitu biar saya bermalam di rumah Mak Teh. Biar saya sendiri mengawasi Mat Akir,” sahut Latip Debok menawarkan diri.

Latip Debok memang berkawan rapat dengan Mat Akir sejak kecil lagi. Tetapi disebabkan
sikap Mat Akir suka menjauhkan diri sejak kebelakangan itu membuatkan Latip Debok juga tidak mahu menghampiri dia. Sebelum Mat Akir suka menyendiri itu, selalu didapati oleh Latip Debok dia bercakap seorang diri.

“Bagus juga cadangan Latip tu,” To’ Lah bersetuju sambil mengangguk-ngangguk kepala. “Latip cuba perhatikan Mat Akir, sementara Sarip pula perhatikan kakaknya. Dengan cara ini saja kita dapat memerangkap mereka. Yang lain-lain terus mengendap di belakang rumah Mak Teh,” kata To’ Lah macam memberi perintah.

Pada malamnya masing-masing melakukan seperti apa yang disuruh oleh To’ Lah. Sarip Uncoi tidak tidur semalaman mengawasi kakaknya Kiah janda sama ada keluar dari rumah atau tidak. Sementara Latip Debok pula tidur bersama Mat Akir di rumah Mak Teh.

Puas Latip Debok berpusing ke kiri ke kanan didapatinya Mat Akir tidur nyenyak. Sekali sekala terdengar senar Mat Akir beralun-alun di hujung serambi. Dia terdengar juga Mak Teh keluh kesah di tengah rumah. Sebenarnya Mak Teh sudah di beritahu tujuan Latip Debok tidur di rumahnya.

Sementara To’ Lah dengan beberapa orang lagi anak muda menunggu di bawah belukar senduduk di belakang rumah Mak Teh. Malam semakin sepi dengan angin sepoi-sepoi bahasa meniup perlahan. Sejuk terasa menyusup sampai ke tulang. Nyamuk juga mengiang-ngiang di pangkal telinga. Tetapi To’ Lah tetap bersabar menunggu bersama orang-orangnya.

Bila tengah malam mula diserkup kesepian, bulan semakin terang mengambang, Latip Debok yang ditugaskan mengawasi Mat Akir merasa sangat mengantuk. Berat sangat pelupuk matanya bagaikan tidak dapat diangkat-angkat. Semakin dilawannya mata yang mengantuk, semakin lemah terasa tubuh anggotanya.

Dalam keadaan itulah Latip Debok tertidur nyenyak tidak sedarkan apa-apa lagi. Esoknya bila dia terjaga dia memberi tahu kepada Mak Teh tentang apa yang dialaminya. Mak Teh juga mengaku dia sendiri terasa sangat mengantuk.

“Tidak pernah Mak Teh mengantuk macam ni,” ujar Mak Teh keheranan.

“Saya juga tidak pernah mengantuk sampai tidak sedar apa-apa,” sahut Latip Debok.

“Agaknya masa awak semua tidurlah, kami dapat dengar orang berbual-bual dengan jelas,” beritahu To’ Lah merasa takjub dengan kejadian tersebut. “Suara orang lelaki berbual-bual dengan perempuan. Bila kami dekati kearah suara itu, semakin jauh pula perginya. Seolah-olah kami dibawanya ke hutan pula,” ujarnya.

“Apa yang To’ Lah dengar mereka cakapkan?” Tanya Latip Debok semacam kesal kerana dia tertidur.

Lama To’ Lah terdiam. Dia masih dalam kebingungan bila mengenangkan pengalaman semalamannya berjaga di belakang rumah Mak Teh itu. Kemudian barulah dia menjawab, “Suara yang perempuan itu mengingatkan yang lelaki supaya berhati-hati. Katanya ada orang mengendap.”

Dari apa yang didengar oleh To’ Lah pasangan yang sedang berbual-bual itu menyedari ada orang mengendap. Oleh itu yang perempuan mengajak di lelaki segera mengikutinya. Sebaliknya yang lelaki meminta tangguh juga kerana takutkan dirinya tidak sesuai dengan keluarga perempuan.

To’ Lah yang mendengarkan berhati-hati perbualan pasangan berkenaan cuba memerangkap dari dekat. Tetapi suara perbualan itu beralih-alih, sekejap terdengar di sebelah darat, sekejap di sebelah baruh.

Setelah puas mengikuti bunyi suara orang berbual itu, barulah To’ Lah merasa takut. Bulu tengkuknya tiba-tiba saja meremang. Dalam hatinya sudah mula menuduh bahawa suara pasangan yang berbual itu bukan lagi suara manusia biasa.

“Kalau begitu ini bukan suara manusia biasa,” keluh To’ Lah memerhati kearah Latip Debok.

“Latip sudah mengawasi Mat Akir, Sarip juga sudah mengawasi Kiah, tetapi mereka berdua tetap ada di rumah. Ini bukan kerja manusia biasa,” To’ Lah semakin yakin dengan anggapannya itu.
 
Barulah Mak Teh menceritakan kepada To’ Lah, apa yang telah diberitahu oleh Pawang Bulin kepadanya. Dengan nasihat To’ Lah bersetujulah Mak Teh meminta Pawang Bulin menyemah rumahnya.

Semasa Mak Teh datang ke rumah Pawang Bulin, mula-mulanya dia enggan untuk mengubat Mat Akir yang dikatakan sudah dirasuk oleh bunian. Tetapi To’ Lah kuat mendesaknya supaya berusaha menyelamatkan Mat Akir. Pada pandangan mata kasar memang tidak siapa pun menduga Mat Akir itu sakit.

Kehidupannya sama seperti manusia yang tidak sakit. Dia tetap ke hutan mencari rotan, manau dan damar. Kadangkala dia memasang rawai di sungai. Dia juga rajin mencucuk atap, ke sawah dan menorah. Pendek kata tidak ada yang berbeza kehidupan Mat Akir dengan orang-orang kampung yang lain.

Inilah yang menyebabkan Mak Teh tidak begitu percaya pada mula-mulanya.

“Kalau Mat Akir sudah dapat dikuasai oleh bunian susahlah kita nak ubat,” keluh Pawang Bulin. “Saya hanya boleh mencuba sama ada berjaya atau tidak, bukan kuasa saya.” Katanya bercampur kesal kerana sikap Mak Teh kepadanya sebelum itu.

“Cubalah sedaya upaya To’ Pawang,” pujuk To’ Lah.

“Bersemah, kenalah kita potong seekor kambing,” sahut Pawang Bulin meletakkan syarat.

“Saya sangguplah To’ Pawang,” sahut Mak Teh serba salah. Hatinya sudah tekad mahu menerima Pawang Bulin mengubat anaknya Mat Akir.

Dalam masa Pawang Bulin bersiap-siap mahu mengubati Mat Akir, gempar lagi sekampung mengatakan Mat Akir sudah meninggalkan rumah. Seorang pun tidak mengetahui ke mana perginya Mat Akir. Bagaimanapun Latip Debok ada juga nampak Mat Akir ke hutan mencari rotan.

Lebih seminggu orang-orang kampung mencarinya, tetapi Mat Akir tidak juga ditemui. Sejak itu mereka semacam putus asa mahu mencari Mat Akir, kerana Mat Akir tidak lagi muncul-muncul.

SELESAI.

No comments:

Post a Comment