SUDAH menjadi kebiasaan
selesai sahaja Maghrib saya akan membaca Al-Quran menunggu masuk waktu Isya'.
Berulang kali habiskan membaca tiga puluh juzu' Al-Quran itu semakin terasa
terlalu kerdil diri sejak bertahun-tahun dulu. Memang isteri saya tidak akan
mengganggu sekiranya saya masih membaca Al-Quran di dalam bilik sekalipun
kawan-kawan rapat menelefon.
Disebabkan ayah saya
menelefon, terpaksa jugalah isteri saya menjengah ke dalam bilik. Habis sahaja
saya membaca Surah Al-Haqqah sebanyak 52 ayat itu tidak sempat saya mahu
meneruskan membaca Surah Al-Ma'aarij
sebanyak 44 ayat. Lantas saya keluar menyambut telefon dari ayah saya. Memang
surah yang mempunyai ayat-ayat pendek itu saya habiskan tiga atau empat surah
dari selepas Maghrib menjelang Isya' itu. Disebabkan isteri saya memberitahu
ayah saya menelefon, segeralah saya menyambut telefon itu.
Tidaklah mustahak sangat
perkara yang hendak diberitahunya cuma abang ipar saya Haji Mosli mengajak ke
rumahnya kenduri disebabkan anak saudaranya akan ke Mekah. Perkara kenduri ini
sudah menjadi kelaziman dalam masyarakat kita, sekalipun mengadakan kenduri dan
tahlil semata-mata disebabkan mahu ke Mekah itu. Tetapi Haji Mosli mehu
mengadakan kenduri doa selamat itu bukanlah disebabkan anak saudaranya akan ke
Mekah sahaja, dia sudah lama berhajat mahu mengadakan kenduri tersebut. Kakak
saya Hajah Seriyah pun memberitahu saya dia mahu adakan kenduri doa selamat dan
kesyukuran.
Disebabkan kenduri doa
selamat itu diadakan di rumah kakak saya di Pulau Sebang, saya menyuruh anak
saya sahaja ke sana bersama isteri saya. Memang saya sudah berjanji mahu ke
Jerantut malam kenduri itu diadakan, setelah Kadir Misai beritahu Lebai Bumin
sudah beberapa minggu terlantar sakit. Sudah lama juga saya tidak menemui kawan
baik saya Lebai Bumin itu, semenjak dia berpindah ke Jerantut mengikut anaknya.
Disebabkan dia selalu sakit-sakit setelah isterinya meninggal dunia, sengaja
anaknya membawa dia tinggal bersama di Jerantut.
Bukanlah bersetuju sangat
Lebai Bumin dibawa anaknya ke Jerantut, tetapi dia terpaksa menuruti kemahuan
anaknya disebabkan keadaan badannya bertambah uzur. Kalau dia berkeras mahu
menetap di rumahnya di Tanjung Karang, siapa pula yang akan uruskan dirinya.
Harapkan cucu atau anak saudara, mereka juga bukan sepanjang masa mahu
mengambil tahu mengenai dirinya. Setelah diberitahu oleh Kadir Misai mengenai
Lebai Bumin yang uzur di Jerantut itu saya sendiri tetapkan masa untuk ke sana.
Tetapi apabila ayah saya menelefon mengenai kakak saya mahu mengadakan kenduri
di rumahnya di Pulau Sebang, terpaksalah saya mengambil keputusan mahu ke
Jerantut juga.
Marah juga anak saya
disebabkan saya lebih mementingkan kawan sendiri dari saudara-mara. Tetapi
perkara kenduri doa selamat tidak sama dengan menziarahi orang sedang sakit.
Kenduri doa selamat boleh diadakan lagi.
"Kalau kenduri di
rumah kakak ustaz tu penting, apa salahnya malam lain sahaja kita ke
Jerantut," ujar Kadir Misai ketika datang menjemput saya mendapati isteri
saya sudah bersiap-siap dengan anak saya untuk ke Pulau Sebang pula.
"Tak apalah,
Wak," sahut isteri saya perlahan.
"Ustaz tu kalau dah
berjanji, dia tak mahu mungkirkan janjinya," tegas isteri saya
memaklumkan.
"Tapi, uzur Lebai
Bumin ni, maklumlah uzur orang tua," jelas Kadir Misai tersengih-sengih.
"Bukanlah sakit
tenat sampai terlantar sangat," katanya macam rasa bersalah kerana
mendesak saya ke Jerantut sebelum itu.
"Hai, ustaz ni pun
bukanlah muda sangat, selalu juga uzur," sengaja isteri saya mengusik
sambil mengerling ke arah saya.
Apabila isteri saya
bersama anak-anak saya bertolak ke Pulau Sebang, saya pula bertolak ke Jerantut
bersama Kadir Misai. Sengaja pula Kadir Misai ke Temerloh dulu mengajak Mat
Jubin ikut sama. Tetapi kebetulan pula Mat Jubin tidak ada di rumah disebabkan
sudah ke Kemaman. Memang sebelum ke Temerloh tidak ada pun Kadir Misai berjanji
dengan Mat Jubin. Dia sendiri tidak menyangka kerana dua hari sebelum itu dia
sudah menemui kawannya itu. Terkejut juga Mat Jubin apabila diberitahu mengenai
kawannya Lebai Bumin terlantar sakit itu. Mat Jubin sendiri berpesan supaya
Kadir Misai mengajaknya bersama kalau mahu ke Jerantut.
Isterinya juga tidak tahu
kenapa Mat Jubin ke Kemaman hingga tidak sempat meninggalkan pesanan apa-apa.
Lainlah kalau dia ke Sungai Tengi
bersama Lebai Bumin, semasa kawannya itu masih menetap di Tanjung Karang. Kadir
Misai pun tahu sekiranya Mat Jubin ke Sungai Tengi memang menangkap buaya
tengah galak mengganas. Tidak siapa pun berani mengharung arus sungai apabila
buaya terjongol kepala. Cuma Mat Jubin satu-satunya yang tidak akan berganjak.
Bila-bila dia akan turun
ke bawah tebing setelah diberitahu mengenai buaya menyambar mangsa. Sudah
beberapa kali Lebai Bumin mengajaknya ke Sungai Tengi apabila buaya menyambar
lembu meragut rumput di tebing sungai. Bimbang juga mereka di situ mahu
mengharungi sungai apabila buaya mula mengganas sekalipun menyambar lembu
tengah meragut rumput. Manalah tahu buaya berkenaan akan menyambar siapa sahaja
tercegat di tebing sungai.
Sebab itulah mereka ke
Tanjung Karang mencari Lebai Bumin. Mereka mendesak orang tua itu supaya
membantu biar buaya berkenaan jauh dari Sungai Tengi. Tentu Lebai Bumin boleh
halau binatang berkenaan masuk ke sungai Bernam supaya tidak mengganggu
penduduk-penduduk di situ.Tetapi Lebai Bumin tidak sama dengan Pawang Bahar.
Sejak bertahun-tahun memang mereka di situ harapkan Pawang Bahar turun ke tengah
arus apabila buaya menyambar mangsa. Mereka melihat sendiri Pawang Bahar
membakar kemenyan di tebing sungai lantas mengepal tiga genggam tanah di
tangannya.
Setelah kepalan tanah di
tangannya diasapkan dengan kemenyan, Pawang Bahar akan melontarkan kepalan
tanah itu ke tengah arus. Kadangkala kepalan pertama yang dilontarkannya itu
sudah disambar buaya di permukaan air. Sekiranya buaya yang diperangkapnya
berdegil sampai habis semua tiga kepalan tanah dilontar ke tengah arus, tidak
seekor pun buaya akan melompat menyambarnya. Terpaksalah pula Pawang Bahar
gunakan cara yang lain biar buaya berkenaan menyerah diri di depannya. Cubalah
buaya tersebut berdegil setelah dia lemparkan tiga kepalan tanah sudah dijampi
dan diasapkan dengan kemenyan itu!
Kalau Pawang Bahar sudah
cancangkan buluh runcing di atas tebing bersilang dua, kemudian dilangkah tiga
kali nescaya buaya yang degil tidak lepas ke mana. Bila-bila buaya di dasar
sungai akan merangkak naik ke tebing laksana kura-kura tidak bermaya. Tidak bertangguh
buaya berkenaan menyusupkan kepala ke bawah buluh tercancang bersilang dua di
tebing sungai. Ketika ini Pawang Bahar akan memukul kepala buaya dengan kain
hitam panjang tiga hasta berulang kali. Memang buaya berkenaan tidak akan
melawan sebaik sahaja kepalanya dipukul berulang kali dengan kain hitam panjang
tiga hasta.
Selepas dipukul kepalanya
oleh Pawang Bahar nescaya buaya tersebut menghempas diri ke tebing sungai.
Tidak lama dia bergolek-golek menghempaskan diri buaya itu akan terkejang mati
dengan darah menyembur dari mulutnya. Cubalah buaya ganas berkeras di depan
Pawang Bahar. Kalau diumpan dengan kepalan tanah pun buaya di dasar sungai
tidak dapat lari ke mana.
Sebaik sahaja buaya itu
menyambar kepalan tanah yang dilontarkan ke permukaan hanya dalam masa beberapa
minit sahaja buaya itu akan merangkak naik ke tebing. Apabila naik sahaja ke
tebing nescaya buaya tersebut menggelepar laksana ikan mabuk tuba! Beberapa
kali buaya berkenaan menggolek badan menghempaskan diri, dalam masa beberapa minit
sahaja akan terkejang dengan darah membuak-buak di muncung. Mereka akui
kebolehan Pawang Bahar kalau berdepan dengan buaya ganas di mana-mana pun.
Tetapi semenjak Pawang
Bahar meningal dunia siapa lagi boleh diharap kalau bukan Lebai Bumin. Cuma
mereka tidak menyedari Lebai Bumin tidak sama dengan Pawang Bahar. Disebabkan
orang-orang kampung mendesak, terpaksa jugalah Lebai Bumin gagahi memenuhi
kemahuan mereka. Sebab itulah Lebai Bumin menjemput Mat Jubin di Temerloh. Dia
percaya kawannya itu sanggup membantu disebabkan lama mereka berkawan dengan
Pawang Bahar. Cuma Lebai Bumin tidak cekap seperti Mat Jubin kalau diminta ke
tengah arus sungai jinakkan buaya mengganas.
Lainlah kalau mangsa
terkena santau sampai berbuih-buih muntah darah, memang Lebai Bumin
satu-satunya yang tidak mengelak jika dijemput hatta tengah malam tatkala
nyenyak tidur sekalipun. Ketuklah pintu rumahnya, nescaya bila-bila pun Lebai
Bumin akan bangun dengan terkuap-kuap menahan rasa mengantuk. Dia akan mencapai
bajunya yang tersangkut di paku dinding lantas disandang ke bahu. Dengan tidak
bercakap sepatah pun dia terus sahaja berjalan menuju ke rumah mangsa. Sudah
menjadi pantang larang Lebai Bumin dia tidak akan bercakap sepatah pun apabila
dijemput mengubati mangsa terkena santau. Setelah dia doakan mangsa itu barulah
dia mahu bercakap sepatah dua.
Lebai Bumin tidak peduli
tengah malam pun dia akan meminta keluarga mangsa ambilkan juga kelapa muda.
Kalau terpaksa memanjat pun, kena jugalah panjat sampai santak pelepah. Lebai
Bumin tidak mahu buah kelapa tersebut jatuh terhempas ke tanah sekiranya mahu
dibuat ubat. Terpaksalah siapa pun memanjat berhati-hati supaya buah kelapa
muda yang diperlukan oleh Lebai Bumin itu tidak jatuh terhempas ke tanah. Dia
sendiri akan memangkas bahagian kepala buah sampai nampak tempurung. Setelah
ditebuk tempurung berkenaan barulah Lebai Bumin merenung tepat ke pusar air
kelapa. Kadangkala mereka nampak asap
keluar berkepul dari lubang yang ditebuk sebelum sempat Lebai Bumin bacakan
doa. Ketika ini Lebai Bumin akan bacakan berulang sampai tujuh kali:
Bismillahhil lazi layaddhurru ma'asmihi syai-in fil-ardha wala fis-sama-ii
wahuwal sami'ul 'alim, fat-tahazat min dunihim hijaban fa-arsalna ilaiha rohana
fatamasthala laha basyaran sawiiya.
Apabila air kelapa yang
didoakan itu diberi minum kepada mangsa sekaligus pula mangsa berkenaan akan
muntah hingga melambak ditadah ke dalam dulang. Mereka akan lihat sendiri
muntah bercampur darah itu berbaur-baur dengan serbuk kaca halus dengan
serpihan ulat bulu dan miang rebung. Setelah menghela nafas dengan keadaan yang
dilihatnya itu barulah Lebai Bumin mahu dilayan bercakap. Tidak ada lagi
pantang-larang setelah dia doakan mangsa yang mengadu terkena santau. Tetapi
selagi belum dia mendoakan memang Lebai Bumin tidak akan bercakap sepatah pun
semasa berjalan ke rumah mangsa.
Tahu sangat orang-orang
kampung dengan pantang-larang Lebai Bumin itu. Sebab itu mereka juga akan
sama-sama berpegang dengan pantang-larang tersebut apabila menjemput Lebai
Bumin. Tetapi mereka tidak tahu fasal Lebai Bumin tidak akan sanggup jinakkan
buaya mengganas di tengah arus sekalipun lama dia berkawan baik dengan Pawang
Bahar. Sampaikan dia tahu sangat tabiat Pawang Bahar yang sayangkan basikalnya
macam mendidik anak-anak. Setiap hari dia akan basuh basikal kesayangannya asal
sahaja balik dari kedai meranduk lumpur di permatang sawah.
Kadangkala diusik juga
oleh Lebai Bumin disebabkan Pawang Bahar akan membawa basikalnya naik ke
serambi setiap malam. Dia tidak rela biarkan basikalnya tersadai di bawah
rumah. Tetapi Pawang Bahar tidak peduli sekalipun Lebai Bumin mengusiknya
seolah-olah sama basikal tersebut dengan isteri sendiri. Sekalipun dijaga
cermat basikal Pawang Bahar hilang juga dari tengah serambi. Dia sendiri tidak
tahu siapa mencurinya sampaikan Pawang Bahar pun terpedaya. Tidak lama selepas
basikalnya hilang itu, tiba-tiba sahaja dia diserang sesak nafas hingga
meninggal dunia.
Macam tidak percaya Lebai
Bumin apabila diberitahu mengenai kawannya Pawang Bahar. Masakan Pawang Bahar
bersedih fasal basikalnya hilang hingga menanggung sesak nafas. Siapa pun tidak
tahu ke mana hilangnya basikal kesayangan Pawang Bahar. Memang mereka percaya
Pawang Bahar dapat mengagak kehilangan basikalnya itu petua menandakan saatnya
semakin hampir. Tentu pawang besar sepertinya tahu mengenai petua dan pelangkah
mengenai dirinya. Kalau buaya ganas di tengah arus pun boleh dijinakkannya,
masakan dia tidak tahu apa-apa mengenai petua dan pelangkah.
"Mat Jubin pun tak
kurang dari Pawang Bahar tu, ustaz," bisik Kadir Misai apabila
meninggalkan bandar Temerloh.
Saya mengangguk perlahan.
Perkara kebolehan Pawang atau Mat Jubin bukanlah penting sangat, kerana mereka
berdua juga memohon pertolongan dari Allah. Memang seringkali saya ingatkan
Kadir Misai mengenai makna:
Innallahu
mulkussamawati wal-ardh yuhyi wayumitu wama lakum min dunillahi
minwwaliyinwwalanasir.
"Sesungguhnya kepunyaan Allah kerajaan
langit dan bumi, Dia yang menghidupkan dan mematikan, dan sekali-kali tidak ada
pelindung dan penolong bagimu selain Allah," keluh Kadir Misai menghela
nafas pendek.
Dia sedar tidak
sepatutnya dia membandingkan kebolehan arwah Pawang Bahar dengan Mat Jubin.
Kalau dia tidak ceritakan kepada saya pun, memang sudah beberapa kali saya
diberitahu oleh Lebai Bumin mengenai dua orang rakannya itu. Kadangkala menitik
air mata Lebai Bumin apabila kenangkan arwah Pawang Bahar sanggup bercekang
mata di tebing sungai apabila diberitahu buaya galak mengganas. Pawang Bahar
tidak terniat langsung mahu tunjukkan kemampuannya tundukkan buaya ganas sampai
merangkak ke celah kangkangnya menyerah diri. Dia sekadar mahu selamatkan
penduduk-penduduk yang merasa terancam setiap kali buaya ganas menjongolkan
kepala di permukaan arus sungai.
Sama juga dengan Mat
Jubin yang sanggup menyelam ke dasar sungai kalau penduduk-penduduk gempar
tatkala mangsa disambar buaya. Puas menyeru di tebing sungai, tidak seekor pun
buaya ganas terjongol kepala di tengah arus, lantas sahaja Mat Jubin menggenggam
pasir. Apabila dia kisarkan tapak tangannya, Mat Jubin akan turun ke air dengan
tidak bercakap sepatah pun. Sekaligus pula dia menyelam hingga tidak timbul
lagi. Ketika ini mereka yang berdiri di tebing sungai akan melihat buih membuak
tempat Mat Jubin menyelam. Tidak lama selepas itu mereka nampak seekor buaya
putih akan menghambur tiga kali ke permukaan sungai.
Setelah buaya putih itu
tenggelam semula ke dasar sungai, lama mereka menunggu di tebing sungai nescaya
akan terjongol seekor demi seekor buaya merangkak ke tebing sungai. Tatkala ini
Lebai Bumin akan berdiri di situ memegang kain hitam panjang tiga hasta. Sebaik
sahaja buaya merangkak naik ke tebing, Lebai Bumin akan memukul buaya berkenaan
dengan kain hitam panjang tiga hasta itu. Sekiranya buaya berkenaan tidak
menyambar mangsa, lantas sahaja dia terjun semula turun ke dasar sungai. Hingga
buaya yang bersalah menyambar mangsa merangkak naik ke tebing, nescaya dia
tidak akan berganjak apabila kepala dipukul Lebai Bumin dengan kain hitam panjang
tiga hasta. Selepas buaya berkenaan menyerah kalah, Lebai Bumin akan meyeru Mat
Jubin naik semula ke tebing.
Sebaik sahaja Lebai Bumin
menyeru namanya tiga kali, mereka yang berdiri di tebing sungai akan melihat
buaya putih menghambur ke permukaan air tiga kali berturut-turut. Tidak lama
selepas itu Mat Jubin akan tercungap-cungap naik ke tebing. Dia akan memberi
arahan sama ada buaya berkenaan perlu dibunuh atau pun tidak. Memang Mat Jubin
tidak akan membunuh buaya yang sudah tidak berganjak di tebing. Dia akan
meminta orang-orang kampung sendiri menembaknya. Setelah buaya itu mati akibat
kepala ditembak, Mat Jubin sendiri akan tanam bangkai binatang berkenaan
lengkap dikapan kain putih. Mereka melihat Mat Jubin mengesat pelupuk matanya
apabila bangkai buaya itu terbungkam ditembak kepala sampai terkejang di situ.
"Saya tak sanggup
nak buat macam abang Mat Jubin tu," Kadir Misai menambah apabila menyedari
saya tunduk tidak bercakap apa-apa.
Saya tidak menyahut.
Tidak tahu saya kenapa Mat Jubin mesti kapankan bangkai buaya tersebut.
Terpaksa pula banyak membeli kain putih semata-mata mahu kapankan bangkai
binatang berkenaan. Memang saya tidak pernah tanyakan kepadanya mengenai petua
tersebut sampai dia sanggup bersusah payah tanamkan bangkai buaya berkenaan
dengan dikapankan.
Disebabkan kami
meninggalkan Temerloh belum masuk Maghrib, terpaksalah saya mengajak Kadir
Misai berhenti dalam perjalanan apabila ternampak masjid. Memang banyak masjid
ditemui kalau sepanjang perjalanan menuju ke Kuantan, tetapi melalui jalan ke
Jerantut sengaja Kadir Misai membawa saya ikut jalan kampung yang belum pernah
saya tempuh lagi. Kadir Misai memang tahu sangat di mana sahaja ceruk kalau di
Pahang. Bukan takat ke Jerantut sahaja, kalau turun sampai menuju ke Endau pun
Kadir Misai tahu jalannya. Apalagi kalau ke Pelangai atau Mancis ikut Jalan
Karak, bila-bila Kadir Misai boleh tunjukkan jalan pintas.
Selepas melalui jalan
belukar dipenuhi pokok-pokok durian di kiri kanan jalan, kami menemui beberapa
buah rumah sahaja. Tidak jauh dari beberapa buah rumah itu nampak surau kecil
di tepi jalan dengan beberapa orang jemaah tengah solat. Lantas Kadir Misai
mengajak saya turun di surau berkenaan untuk solat bersama jemaah di situ.
Sempat juga kami ikut sama berjemaah di surau berkenaan. Habis sahaja mereka
berdoa, beberapa orang jemaah turun meninggalkan surau. Hanya Siak Budin sahaja
menunggu saya dan Kadir Misai habiskan solat sunat.
"Abang tunggu kami
ke?" segera Kadir Misai mendekati lelaki itu setelah dia memperkenalkan
dirinya sebagai Siak Budin.
Memang serba salah juga kami sekiranya dia
terpaksa menunggu kami, disebabkan mahu cepat balik ke rumah selepas habis
solat berjemaah Maghrib. Kenapa pula mereka tidak menunggu hingga Isya' masuk?
"Tidak, saya
menunggu Isya'," beritahu siak Budin menyandarkan belakang ke dinding.
"Kenapa jemaah lain
tak tunggu Isya?" Kadir Misai yang memang ramah itu terus bertanya.
"Ah, orang-orang
muda sekarang bukannya tahu nak makmurkan surau atau masjid," gerutu Siak
Budin menyimpan perasaannya.
Tersengih-sengih Kadir
Misai. Bukan Siak Budin sahaja mengeluh kalau kenangkan suraunya seringkali
lengang menunggu jemaah. Banyak tempat berlaku kejadian seperti itu, tetapi
apalah yang boleh dibuat oleh orang-orang seperti Siak Budin selain daripada
mengeluh kesal sahaja. Dalam masa Siak Budin masih berbual-bual dengan Kadir
Misai, saya merasa hati berdebar-debar tidak semena-mena. Lantas saya memberi
isyarat kepada Kadir Misai mahu berbaring sebentar di penjuru surau. Sambil mengurut
dada perlahan saya bacakan Ayatul Kursi untuk meredakan debaran yang semakin
kuat.
"Kalau ustaz penat,
tidurlah dulu," ujar Siak Budin mengusap-ngusap janggutnya.
Saya sekadar memberi
isyarat dengan mengangkat tangan sahaja. Kemudian merebahkan badan dengan
kepala alaskan lengan sahaja sambil mengereng ke dinding. Dalam masa saya
bacakan Al-Fatihah 100 kali, memang terasa terlelap sebentar. Terbayang pula
kepada saya rumah kakak saya di Pulau Sebang tengah bertahlil tatkala itu.
Nampak sangat bayangan ayah saya terlenggok-lenggok bersama orang ramai di
tengah rumah. Ketika inilah Jibah anak saudara abang ipar saya terjerit di
dapur ketakutan tidak bersebab.
Tidak bertangguh pula
kakak saya menggamit suaminya Haji Mosli
supaya pulihkan Jibah. Tentulah mereka cemas sekiranya Jibah tidak
dipulihkan disebabkan dia akan berangkat ke Mekah tunaikan fardu haji bersama
suaminya. Kalau keadaan masih lemah, bimbangkan juga mahu lepaskan dia mahu ke
Mekah. Selesai sahaja orang bertahlil dan doa selamat, terpaksa pula mereka
menjengah Jibah yang terjerit-jerit ketakutan. Suaminya Lasah semakin gelabah
apabila Jibah tidak boleh menatap mukanya. Asal sahaja Lasah berdiri di
sampingnya dia akan menuduh suaminya itu buaya ganas mengangakan mulut di
tengah arus sungai.
"Sabar Lasah,"
segera ayah saya menepuk-nepuk bahu Lasah memujuknya supaya bertenang.
"Cubalah Pak Aji
tengok-tengokkan," bisik Lasah resah dengan keadaan isterinya dalam saat
persiapan telah dibuat untuk ke Mekah.
"Orang sini tak
adakah yang boleh tengokkan," ujar ayah saya sambil memandang orang ramai.
Dia sendiri bimbang nahu
tunjukkan pandai di tempat orang sekalipun di situ kampung halaman menantu
sendiri. Manalah tahu tidak sama pula adat resam orang-orang di situ dengan di
kampung halamannya. Setidak-tidaknya dia perlu juga berbudi bahasa terlebih
dahulu, sebelum doakan Jibah. Manalah tahu orang-orang di situ akan menuduhnya
sengaja mahu tunjukkan pandai.
"Tak apalah Pak Aji
aje tengokkan," Hajah Demah emak Jibah lantas sahaja mendesak.
Dia juga tidak sabar lagi
dengan keadaan Jibah terjerit-jerit takutkan Lasah yang dituduhnya buaya ganas
tengah mengangakan mulut.
"Buaya betulkah yang
kau nampak ni, atau buaya darat, Jibah?" Haji Mosli bagaikan menyindir
lantas menampar-nampar bahu anak saudaranya itu.
"Mana ada buaya
darat!" bentak Jibah menjengil mata merenung tepat Haji Mosli.
"Tak nampakkah
kulitnya menggerutu, taringnya macam mata gergaji!" marah benar dia
apabila diperolok-olokkan oleh bapa saudaranya itu.
Segera ayah saya menyuruh
Lasah jauhkan diri daripada Jibah. Sebaik sahaja Lasah berundur, lantas sahaja
Jibah menghempaskan badan dengan tangannya merangkak laksana buaya naik ke
tebing sungai.
"Hah, kau rupanya
jadi buaya, bukan Lasah!" ejek ayah saya tersengih-sengih melihat
Jibah merangkak-rangkak
di tengah rumah. Tiba-tiba sahaja Jibah mengangkat kepala. Dia mengangakan
mulut seperti buaya terjongol kepala di tengah arus sungai. Hairan juga ayah
saya dengan keadaan Jibah dengan tidak semena-mena jadi demikian. Kalau mahu
dikatakan badi buaya, rumah mereka bukannya di tepi sungai. Lagi pun di Pulau
Sebang tidak pernah pun mereka terjengah buaya menjongol kepala di tengah arus
sungai.
Puas saya meramas-ramas
tangan untuk pastikan sama ada tengah bermimpi atau pun bukan, apakala
terbayang kejadian tersebut berlaku di rumah kakak saya. Memang saya dapat
mengagak tatkala itu doa selamat dan bertahlil tengah rancak mereka lakukan
sebaik sahaja selesai solat Maghrib. Haji Mosli akan mengajak jiran-jiran solat
berjemaah di rumahnya kalau dia menjemput kenduri doa selamat dan bertahlil.
Saya percaya saat tersebut memang mereka tengah bertahlil lagi. Tetapi bayangan
itu semakin jelas memancar di hadapan saya. Apalagi ayah saya menuding jari
bagaikan melambai-lambai ke arah saya dengan membacakan Al-Fatihah 17 kali,
surah Al-Ikhlas 17 kali dan diikuti dengan Ayatul Kursi juga 17 kali.
Gema suara ayah saya
membacakan ayat-ayat tersebut terasa bergegar dalam dada saya. Gegaran itu
semakin kencang hingga tangan saya ikut gementar apakala dilekapkan ke situ
sambil diusap-usap kuat. Sekaligus pula air mata saya bercucuran apakala suara
ayah saya sayup-sayup terdengar di cuping telinga. Ketika ini terasa kabus
menyelubungi seluruh tubuh saya hingga seolah-olah tenggelam di dalamnya.
Apabila saya kuakkan tangan mahu melepaskan diri daripada kabus tersebut, Jibah
masih tertiarap di tengah rumah dengan tangan terkuak-kuak bagaikan merangkak
seperti buaya.
"Kenapa Angah tak
mahu datang?" suara ayah saya bagaikan menyindir sebaik sahaja terjengah
muka.
"Kenduri sanak
saudara, patutnya Angah datang jengah muka!" katanya kesal dengan
keputusan saya sengaja mahu ke Jerantut mengikut Kadir Misai.
Saya tidak menyahut.
Memang gema kemarahan itu menyusup jauh dalam perasaan ayah saya. Dia tidak
luahkan kepada sesiapa pun, tetapi memang dia kecewa apabila saya tidak
menjengah muka sekalipun anak-anak dan isteri saya datang menjengah.
Apabila tubuh Jibah
bertukar menjadi buaya merangkak di tengah rumah, tidak siapa pun berani
mendekatinya. Tidak bertangguh pula dia menyambar Lasah yang cuba menghambur ke
pintu. Belum sempat Lasah mengelak muncung panjang Jibah lantas mengerkahnya.
Lasah terperusuk ke dalam kerongkong hingga darah memercik di celah taring
buaya laksana mata gergaji itu. Saat ini mereka yang melihat kejadian tersebut
sekadar nampak Jibah ketawa terdekah-dekah seperti merasa puas hati. Lasah yang
tercegat di tepi pintu hanya terpampan dengan mata terkebil-kebil memerhati
isterinya merangkak-rangkak di tengah rumah.
"Macam mana kita nak
buat ni, Pak Aji?" Hajah Demah semakin cemas dengan keadaan anaknya.
Bimbang juga dia
sekiranya Jibah tidak dapat menunaikan fardu haji akibat diganggu penyakit
ganjil secara tiba-tiba.
"Didajal orang ke
Jibah ni, kerana iri hati dia nak ke Mekah!" marah benar Hajah Demah
dengan kejadian yang meresahkan dia ketika itu.
Ayah saya tidak menyahut. Dia menggamit Haji
Rosli supaya meletakkan tapak tangan ke ubun-ubun Jibah. Kemudian dia berpaling
ke arah saya menyuruh mara ke hadapan. Hairan juga Haji Mosli tatkala ayah saya
bagaikan bercakap dengan saya sebelum membacakan:
Qul-innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun
wahidun faman kana yarju liqo-a rabbihi falya'mal 'amalan solehan wala yusyrik
bi'ibadati rabbihi ahadan.
Sekaligus pula Jibah
bingkas bangun berdiri terhuyung-hayang menuding ke arah saya di penjuru rumah.
Dia menarik-narik rambutnya ketakutan dengan menangis sayu.
"Tolong ustaz, bukan
salah aku!" rintih Jibah mahu melarikan diri dengan langkahnya
terketar-ketar.
Dia jatuh terduduk sambil
tangan terkapai-kapai mahu selamatkan diri.
"Nak ke mana
kamu?" jerkah ayah saya menjuruskan tapak tangannya ke muka Jibah dengan
membacakan Al-Fatihah tiga kali.
Menggeliat-geliat Jibah
menahan kesakitan seolah-olah disimbah dengan minyak panas mendidih. Ayah saya
tidak peduli Jibah merintih-rintih, namun dia terus membacakan:
Wa-imma yanza ghannaka minasy syaitoni
nazghun fasta-'iz billahi innahu sami;ul 'alim.
Perlahan-lahan tubuh
Jibah rebah ke lantai lemah tidak bermaya. Ketika ini saya melihat seorang
lelaki tua memisahkan diri dari tubuh Jibah yang lemah lantas berdiri.
Kepalanya memanjang laksana buaya terjongol di tengah permukaan air. Apabila
dia mahu melarikan diri tangan saya sudah mencengkamnya sehingga terasa
seolah-olah kepala cicak sahaja di bawah tapak tangan saya. Suara orang tua itu
menjadi gementar apabila diserkup tapak tangan yang besar laksana bukit
menghimpit kepalanya.
"Besarnya tapak
tangan ustaz ni!" gerutu orang tua itu merungut-rungut, hingga mereka yang
tercongok di situ mendengar bisikan halus dari mulut Jibah.
"Mana ada ustaz di
sini?" bentak ayah saya menyindirnya. "Pak Aji tak nampak ke, ustaz
pegang kepala saya ni?" Jibah termengah-mengah menggapai tangan bagaikan
mahu melepaskan diri.
Memang lelaki tua
berkepala buaya itu terkial-kial di bawah tapak tangan saya. Terketar-ketar dia
memberitahu mengenai keturunannya memang pawang buaya untuk selamatkan
orang-orang kampung diganggu buaya. Asal sahaja buaya mengganas di tengah arus,
memang dia dijemput orang-orang kampung menangkap buaya berkenaan. Dia akan turun
menyelam ke tengah arus sampai dua tiga jam baru timbul semula ke permukaan
air. Dia akan mengheret buaya yang ditangkapnya ke tebing sungai. Setelah
disembelih dia sendiri akan melapah perut buaya berkenaan. Orang-orang kampung
akan melihat dalam perut buaya itu bermacam perkakas peninggalan mangsa sama
ada tongkat, gelang atau subang berlonggok di dalam perut.
Memang seisi kampung tahu
mengenai Pawang Libin yang sanggup diajak ke mana-mana sahaja sekiranya
penduduk-penduduk kampung diganggu buaya ganas. Tidak pernah seekor pun buaya
terlepas sekiranya Pawang Libin sudah menyelam ke dasar sungai. Seisi kampung
tahu Pawang Libin akan bertukar menjadi buaya berjalur putih di tengah
belakang. Ke mana sahaja buaya ganas menyusup di merata ceruk akan diselongkarnya
habis. Ketika ini Pawang Libin bukan lagi manusia menyelam di dasar sungai,
tetapi buaya berjalur putih.
Kerapkali juga
orang-orang kampung melihat buaya berjalur putih di tengah belakang terjongol
di permukaan sungai. Sekiranya buaya berkenaan bermain di tengah arus, mereka
seisi kampung tidak perlu bimbang. Tidak seekor pun buaya ganas berani
terjongol kepala apabila buaya berjalur putih di tengah belakang iru bermain di
permukaan air. Mereka percaya buaya berjalur putih itu memang jelmaan Pawang Libin.
Setelah Pawang Libin meninggal dunia pun orang-orang kampung kerapkali
ternampak buaya berjalur tengah belakang itu bermain di tengah arus sungai.
"Kalau kau ganggu
Jibah, tubuh kau akan dipanah petir!" bentak saya merenung lelaki tua
berkepala buaya itu.
"Aku tak ganggu
Jibah, ustaz," beritahu lelaki berkepala buaya itu terketar-ketar.
"Jibah yang terkejut
fasal nampak aku!" rintihnya kesal dengan kejadian tersebut.
"Kenapa kau ke
sini?" soal saya keras setelah menyedari tenaganya bertambah lemah.
"Aku nak jumpa
Lasah, dia cucu cicit aku," ujarnya mencebik bibir menahan kesakitan
setelah sekian lama terhimpit di bawah tapak tangan saya seakan-akan bukit
menyerkup.
"Buat apa jumpa
Lasah?" sengaja saya menyindirnya biar dia semakin terdesak.
"Lasah nak ke Mekah,
apa salahnya aku ziarah," lelaki berkepala buaya merintih-rintih sayu.
Tetapi dia tidak
membantah apabila saya memberi isyarat supaya dia berundur meninggalkan Jibah.
Ketika dia meninggalkan kawasan rumah, lelaki berkepala buaya itu
tersengguk-sengguk menangis sambil mengerling ke arah Lasah. Memang Jibah
terkejut tatkala nampak suaminya Lasah tiba-tiba bertukar bagaikan kepala
buaya. Sebab itulah dia terjerit ketakutan. Dia sendiri berbisik kepada ayah
saya, fasal nampak saya merentap kepala buaya yang menyerkup Lasah seolah-olah
topeng keras. Tetapi bukan JIbah sahaja yang menuduh saya terjongol di situ
tatkala dia meracau-racau. Anak kakak saya, Ziman juga tercengang-cengang
memberitahu emaknya apabila nampak saya melintas di situ. Beberapa kali dia
menegur tetapi saya sekadar mengangguk kepala sahaja.
"Tidur ke,
ustaz" tegur Kadir Misai apabila kereta meranduk kegelapan malam melalui
jalan berliku-liku itu.
Dia memerhati saya mula
mengalih sandar belakang setelah lama sangat terlelap mata.
"Di mana kita
sekarang ni," ujar saya lantas beristighfar beberapa kali.
"Jauh lagi nak
sampai ke Jerantut," ujar Kadir Misai. Dia beritahu selepas solat Maghrib memang
saya berbaring sebentar. Tetapi saya terus turun ke kereta dengan tidak
menunggu masuk Isya'. Disebabkan saya tidak bercakap sepatah pun, Kadir Misai
juga ikut sama turun meninggalkan Siak Budin bersendirian di atas surau.
Ketika saya masuk ke keretanya
hairan juga Kadir Misai disebabkan saya membolos masuk sedangkan keretanya
masih terkunci. Tidak lama selepas meninggalkan surau itulah, baru saya
mengusap-ngusap muka perlahan. Lantas sahaja Kadir Misai menegur sebaik sahaja
saya mula membuka mata.
"Kita solat di mana
tadi, Kadir?" apabila saya kenangkan berhenti di surau bersama Siak Budin.
"Ah, surau selepas
dusun durian," jelas Kadir Misai kerana dia sendiri tidak tahu di kampung
mana kami berhenti solat.
Beberapa kali saya
beristighfar setelah diberitahu oleh Kadir Misai. Tetapi sengaja saya tidak
memberitahu Kadir Misai, memang surau yang ditemui itu hanya rumah buruk di
tepi jalan. Tentu Siak Budin yang solat bersama-sama itu juga sekadar bayangan
sahaja hingga saya terkeliru. Masakan selepas melintas dusun durian terdapat
kampung tatkala melalui jalan berliku-liku di lereng bukit. Siak Budin juga
bersendirian sahaja setelah jemaah yang lain turun meninggalkan surau. Saya
dapat mengagak pengalaman bertemu Siak Budin sama juga dengan kejadian singgah
di surau Lebai Kidam di Serting sebelum itu.
Lebai Kidam yang sudah
meninggal dunia lebih lima belas tahun itu saya temui di suraunya, semasa dalam
perjalanan ke rumah Pak Hid di Bukit Kelulut. Disebabkan sewaktu melintasi
surau Lebai Kidam waktu malam, ketika balik dari rumah Pak Hid di sebelah
paginya saya singgah juga di surau Lebai Kidam. Memang saya sudah duga surau
berkenaan tinggal usang dengan sarang labah-labah di merata ceruk. Pak Hid
sendiri yang beritahu mengenai Lebai Kidam sudah meninggal dunia, sekalipun
saya ceritakan fasal solat bersama Lebai Kidam di situ. Tersengguk-sengguk Pak
Hid menangis setelah diberitahu mengenai pertemuan dengan Lebai Kidam itu. Dia
tahu Lebai Kidam sudah lebih lima belas tahun meninggal dunia, bagaimana pula
boleh tercongok di tengah suraunya solat bersama saya?
"Balik nanti kita
singgah di surau tu," lantas saya menepuk bahu Kadir Misai.
"Ustaz ingat surau
tu sama dengan surau Lebai Kidam dulu?" segera Kadir Misai menyahut
apabila dia juga teringatkan kejadian solat di surau Lebai Kidam di Serting.
"Ah, kita singgah
aje, apa salahnya!" beritahu saya tersengih-sengih mengerling Kadir Misai.
Belum sempat Kadir Misai
menyahut tiba-tiba sahaja tayar kereta meletup. Serentak dengan itu kereta
terbabas ke tepi jalan sampai berpusing ke belakang. Mujur juga tidak terbalik
akibat tayar pecah tidak semena-mena.
Tetapi Kadir Misai tidak
bimbang apa-apa. Dia boleh gantikan semula tayar pancit itu dengan tayar ganti.
Sudah beberapa kali dia terkena kejadian demikian. Kalau takat kerosakan sikit
keretanya memang dia boleh baiki juga. Ketika dia menggantikan tayar kereta
yang pancit itulah, Kadir Misai terkejut kerana Siak Budin tercegat di sisinya.
Siak Budin membantu dia gantikan tayar kereta berkenaan.
"Ada rahmatnya
kereta awak pancit ni," ujar Siak Budin perlahan.
"Kalau awak cepat
sampai ke Jerantut, entah apa pula malangnya!" jelasnya sewaktu Siak Budin
meninggalkan kami sambil dia mengerling ke arah saya.
Ketika Siak Budin bersalam dengan saya terasa
tangannya lembut laksana gabus. Tetapi sempat juga dia berbisik kepada saya,
"Ustaz tentu lebih tahu dari saya,". Saya mengangguk perlahan sambil
mengesat pelupuk mata.
TAMAT