“Kau akan dihantar ke
tempat-tempat yang menakutkan supaya menjadi biasa, dan pada masa-masa akan
datang kau tidak akan takut lagi kalau menghadapi suasana begitu,” Pak Musid menjelaskan.
Saya bersetuju dengan
cadangan Pak Musid itu.
Dia menyuruh saya berdiri
tegak berhadapan dengannya. Sementara
Jidin Bacul berdiri di belakang saya, kononnya apabila saya rebah tertidur
Jidin Bacul akan menyambut saya dari belakang.
Pengalaman ini pada mulanya sungguh mengerikan, setelah mengikuti
cara-cara amalan yang ditunjukkan oleh Pak Musid.
“Jangan berhenti
berzikir di dalam hati…” dia
mengingatkan saya sambil tangannya diangkat tingi-tinggi. “Dan pandang tapak tangan saya serta kuatkan
zikir,” perintahnya.
Saya memandang tepat
kepada tapak tangan pak Musid. Dia
membaca sebahagian dari surah Yasiin kemudian dihembuskan kepada kepala saya.
“Dengan izin Allah
tidur kau…tidur,” serunya sambil
menyuruh saya memandang tepat-tepat kepada tapak tangannya. Lama kelamaan saya nampak tapak tangannya
kabur. Akhirnya menjadi hitam tidak
kelihatan apa lagi.
Sejurus kemudian saya
dengar Pak Musid berbisik ke telinga saya,
“Mulakan dengan ayat Bismillahhi-Rahmanni-Rahim…” Saya menurut arahannya membaca ayat tersebut. “Teruskan zikir….” Perintahnya lagi. Saya juga mematuhinya.
“Sekarang jangan
takut, ikut perintah aku, dan ikut apa arahan aku,” katanya berbisik tetapi dapat saya dengar
dengan jelas.
Saya tidak nampak
apa-apa kecuali suara bisikan dari Pak Musid saja. Saya seolah-olah berada di satu tempat gelap
yang terlindung.
“Sekarang keluar
perlahan-lahan dari tubuh kau,” saya
terdengar lagi arahan dari Pak Musid.
Kemudia saya merasa
dirinya saya melayang ke udara keluar dari tempat gelap yang mengurung tadi.
“Kau sudah
keluar?” Tanya Pak Musid.
“Sudah…” sahut saya yang ketika itu berada di
awang-awangan.
“Apa yang kau
nampak?” Pak Musid bertanya lagi.
Ketika ini saya
merasa diri saya seperti orang tidur yang sedang bermimpi. Saya melihat kebawah dan nampak tubuh saya
tidur terlentang. Jidin Bacul ada duduk
di hujung kepala saya, sementara Pak Musid di sisi saya sambil memegang
pergelangan tangan saya.
“Saya nampak tubuh
saya terbaring…..” saya memberitahu apa
yang saya lihat kepada Pak Musid.
“Baiklah, sekarang
baca Fatihah dan pergi ke hujung kampung,”
kata Pak Musid lagi.
Saya menurut saja
perintah Pak Musid. Ketika ini saya
merasa diri saya ada di atas tengkuk Pak Musid.
Tubuh saya menjadi kecil kalau dibandingkan dengan tubuh Pak Musid. Dia membawa saya ke hujung kampung di kawasan
paya.
“Apa yang kau nampak?” soalnya.
“Saya nampak
paya,” jelas saya.
“Baik sekarang baca
Waddhuha,” katanya.
Walaupun dia menyuruh
saya membaca, tetapi sebenarnya dia
sendirilah yang membaca. Saya terdengar
dia membaca setiap surah yang disuruhnya saya membaca itu. Kemudiannya saya
mengikut saja dengan lancar apa jua ayat yang dikehendakinya.
“Apa kau
nampak?” tanyanya lagi.
“Paya tadi dah
hilang,” ujar saya setelah melihat kawasan paya itu selepas saja dibacakan
surath Waddhuha dan dihembuskan kearah kawasan paya tersebut.
“Apa kau
nampak?” dia bertanya sambil tangannya
tetap memegang pergelangan tangan aya.
Di samping itu saya merasa seolah-oleh duduk di atas tengkuknya.
“Saya nampak
perkampungan orang. Di situ ada rumah
besar yang di kelilingi oleh kolam mandi,”
jelas saya menerangkan seperti apa yang saya lihat sendiri.
“Sekarang kau masuk
ke kampung itu, lenyapkan diri kau dengan zikir dan beritahu aku apa yang kau
nampak,” perintah Pak Musid lagi.
Saya turun dari
tengkuknya menuju ke rumah besar yang dikelilingi kolam mandi. Saya terus berzikir seperti yang diarahkan
oleh Pak Musid. Ketika ini saya melihat
beberapa orang melintasi berhampiran dengan saya, tetapi mereka tidak menegur saya.
Bagaimanapun saya
tidaklah berani menegur orang itu selagi tidak menerima perintah dari Pak
Musid. Orang-orang yang saya temui itu
adalah terlalu asing kepada saya.
Tentulah saya berada di sebuah perkampung yang belum pernah saya sampai
sebelum ini.
Anehnya orang di situ
tidak berjalan seperti manusia. Mereka
kelihatan seperti melayang-layang di udara, walaupun kelihatan kakinya mencecah
ke bumi. Semua yang saya lihat itu saya
laporkan kepada Pak Musid. .
Sebenarnya kau berada
di perkampungan bunian sekarang ini,”
beritahu Pak Musid perlahan.
Bila mendengar diri
saya sedang berada di perkampungan bunian hati saya mula gementar. Saya tahu
hanya saya seorang diri saja berada di situ.
Walaupun Pak Musid memang sentiasa mengirigi saya, tetapi saya tidak
kelihatan di mana dia berada.
“Jangan takut, baca
sebahagian Yasiin dan hembuskan,”
perintah Pak Musid.
Saya membacanya dan
saya menjadi berani semula. Tiba-tiba
saja ketakutan saya lenyap dari mengganggu perasaan. Ketika ini saya tidak takut berhadapan dengan
sesiapa saja.
“Masuk ke dalam rumah
besar dengan membaca Fatihah,” bisik Pak
Musid mengarahkan saya.
Saya terus mengikut
arahan Pak Musid. Saya tahu inilah ujian
kebatinan yang amat sengit. Hanya mereka
yang sudah mengalami saja dapat merasakan.
Oleh itu amatlah sukar mahu menceritakan kepada orang lain, bagaimanakah
realiti sebenarnya pengalaman ini.
Apabila saya masuk ke
dalam rumah besar berkenaan, saya bertemu seorang perempuan muda. Wajahnya kelihatan cantik, dan sekitarnya
tercium bau harum semerbak. Perempuan
muda itu tidak melihat saya ada di sisinya.
Saya memberitahu Pak
Musid mengenai perempuan muda berkenaan.
Kemudian saya mendengar arahannya supaya memerhatikan ke mana perempuan
itu pergi. Apa yang diarahkan oleh Pak
Musid saya patuhi. Saya memerhatikan
perempuan itu bermain-main dengan teman-temannya yang lain.
“Itulah puteri
bunian….” Pak Musid memberitahu saya.
“Bolehkah saya
berjumpa dengannya?” saya cuba menduga.
Pak Musid mengajarkan
saya membaca satu surah mengenai Nabi Allah Sulaiman dan menghembuskan kearah
perempuan muda itu. Saya menurutkan saja
arahan tersebut.
Tiba-tiba saya dapati
saya berdiri di sisi perempuan muda tadi.
Dia tercengang-cengang melihat saya berdiri di situ. Hampir dia terjerit kerana ketakutan. Tetapi saya mendengar sesuatu yang dibacakan
oleh Pak Musid menyebabkan perempuan muda itu kembali tenang.
“Selamat datang….”
Dia menegur saya ramah.
Saya menganggukkan
kepala kerana tidak dapat berkata-kata . Lidah saya terasa kelu berhadapan
dengannya.
“Inilah tempat kami
jauh dari penglihatan manusia,” ujarnya
sambil mengajak saya duduk.
Saya tidak
menyahut. Sebenarnya saya tidak tahu
bagaimanakah mahu bercakap-cakap dengannya.
Saya mengharapkan Pak Musid datang membisikkan sesuatu kepada saya,
tetapi puas saya menunggu-nunggu Pak Musid tidak juga memberi apa-apa isyarat.
Hati saya bimbang
kalaulah ditinggalkan oleh Pak Musid di
situ. Hanya dia saja yang bertanggung
jawab keatas saya ketika ini.
Demikianlah pengalaman yang saya rasakan dalam pengembaraan ke alam
batin itu.
Sebaik saja saya mahu
membuka mulut dengan puteri bunian itu,
Pak Musid memerintahkan saya supaya meninggalkan tempat tersebut. Saya merasa diri saya melayang ke udara. Kemudian saya lihat perkampungan itu tidak
ada lagi, hanya kawasan paya yang di penuhi oleh belukar teberau.
“Sekarang
balik….” Suara Pak Musid berbisik ke
telinga saya.
Saya terus mencari
jalan balik semula ke rumah Pak Musid.
“Baca astaghafarullah
alazzim dan masuk perlahan-lahan,”
katanya lagi.
Saya terasa melayang
masuk ke kawasan gelap yang tidak kelihatan.
Selepas itu saya pun terjaga.
Saya dapati Pak Musid dan Jidin Bacul ada di sisi saya. Jidin Bacul menepuk-nepuk belakang saya
dengan mengucapkan syukur.
“Alhamdullillah, kau
berjaya menempuh ujian,” kata Jidin
Bacul berulang-ulang.
Saya merasa tubuh
badan saya sengal-sengal. Seluruh
anggota saya menjadi kebas. Saya
memberitahu Pak Musid mengenai tubuh saya yang sengal-sengal dan merasa kebas
seluruh anggota itu. Pak Musid tidak
bercakap apa-apa, tetapi dia menghembus
beberapa kali ke kepala saya.
Barulah saya merasa
pulih seperti biasa. “Memang begitulah
selalunya,” beritahu Jidin Bacul
tersenyum melihat saya.
Pengalaman ini amat
besar ertinya kepada saya. Bukanlah
semudah itu Pak Musid mahu menguji seseorang.
Kata Jidin Bacul, dia sendiri mengambil masa yang lama baru berani diuji
oleh Pak Musid. Pengembaraan alam batin
ini sebenarnya memang boleh dilakukan oleh manusia, tetapi bukan semua orang
boleh melakukannya.
Bagi orang-orang
seperti Pak Musid dia sendiri boleh melakukan dengan tidak payah di pandu oleh
orang lain lagi. Tetapi bagi orang yang
baru mahu memulainya harus ada orang yang memandu. Apakah rahsia di sebalik pengajaran itu,
tidaklah saya fahami sangat.
Apabila kita
mengembara di alam batin pancaindera kita sudah dapat meliputi segalanya. Kita sudah boleh melihat yang ghaib dan
tersembunyi. Bagaimanapun pengembaraan
kealam batin ini terpaksa mempunyai latihan yang keras dari segi kerohanian.
Sebanarnya Jidin
Bacul juga sudah mengalami pemgembaraan seperti saya ini. Malah dia sudah
sampai kepada peringkat boleh bercakap-cakap dengan sesiapa yang ditemuinya.
Rupa-rupanya lidah saya kelu semasa bertemu dengan puteri bunian itu, adalah
disebabkan oleh saya belum biasa melakukan pengembaraan seperti ini.
“Kalau sudah biasa
nanti, kau sendiri oleh bercakap dengan puteri bunian itu,” jelas Jidin Bacul.
“Dia faham apa yang
kita cakap?” Tanya saya mengusik.
“Memang,dia
faham. Sama macam kita memahami apa yang
dia cakap…” katanya memberitahu.
“Saya tidak faham apa
yang dicakapnya,” saya menerangkan pertemuan saya dengan puteri bunian
itu, “Hanya saya dengar suara Pak Musid
menerangkan maksud kata-kata puteri berkenaan,”
ujar saya.
“Aku dulu pun
begitu….” Kata Jidin Bacul.”Lama
kelamaan aku pun dapat faham cakapnya, dia juga faham cakap aku.” Dia menceritakan pengalamannya pula.
Memang Jidin Bacul
pernah ditidurkan oleh Pak Musid bagi membantu seorang pengembala kambing yang
hilang ketika mengembala kambingnya di hujung kampung. Di sebabkan arwah nenek saya sudah tidak ada,
mereka pun meminta pertolongan Pak Musid.
Sebelum ini orang
tidak tahu cara pengubatan yang dilakukan oleh Pak Musid. Orang-orang kampung hanya tahu bahawa Pak
Musid tidak lagi mengamalkan ilmu-ilmu pawang dan bomoh. Dia hanya lebih menumpukan kepada ilmu-ilmu
agama, dan sentiasa berada di surau saja.
Hanya arwah nenek
sayalah diharapkan membantu mereka kalau terjadi apa-apa gangguan dari
benda-benda ghaib seperti puaka, polong, bunian dan sebaginya. Di kampung-kampung pendalaman seperti kampung
saya ini kepercayaan tahyol masih tebal di kalangan penduduknya.
Tetapi perkara tahyol
ini sukar hendak dijelaskan kepada mereka yang berpendidikan moden. Hanya mereka yang pernah mengalami saja dapat
memahami keadaan ini.
Apabila nenek saya
sudah tidak ada, orang-orang kampung hanya berharap pada Usu Khatib saya. Tetapi setiap kali orang-orang kampung
mengadukan mengenai sakit atau meminta rawatan, Usu Khatib selalu menyuruh
menemui Pak Musid. Atau dia menasihatkan
supaya dibawa ke hospital saja.
Mengapa Usu Khatib
mengambil keputusan demikian, tidaklah saya tahu. Tetapi setahu saya pernah mengalami
kerja-kerja bertapa seperti yang pernah diajaknya saya. Malangnya saya tidak berjaya melakukan kerana
hati saya tidak berapa yakin,
Saya tertarik untuk
belajar dengan Pak Musid kerana dia seorang berpengetahuan dalam agama. Sebenarnya saya banyak mahu mempelajari
tentang ilmu-ilmu kerohanian di dalam Islam dari Pak Musid ini.
Jadi, berbalik kepada
cerita Jidin Bacul tadi, dia mendengar tentang cerita Akop Juling hilang semasa
menggembala kambing. Budak ini baru
berumur 15 tahun. Emaknya
menangis-nangis datang ke rumah Usu Khatib meminta carikan anaknya secara
berpawang.
“Aku bukan bomoh Mak
Weh….” Ujar Usu Khatib
menasihatkannya. “Cubalah pada Jidin ni,
aku dengar dia ada juga menuntut,”
katanya sambil mengerling yang ada sama mendengarnya di situ.
“Tak kiralah siapa,
asalkan dapat menolong,” rayu Mak Weh.
Kerana kesihan kepada
Mak Weh, lalu Jidin Bacul mengajak dia menemui Pak Musid. Mulai saat itulah orang-orang kampung pula
menaruh kepercayaan pada Pak Musid.
Pada mulanya Pak
Musid enggan juga. Tetapi disebabkan
ingin menolong orang dalam kesusahan seperti Mak Weh, dia bersetuju melakukannya. Pak Musid tidak memerlukan air bunga tujuh
geluk, tidak memerlukan kemenyan, tidak memerlukan kain kuning, tidak
memerlukan apa-apa.
Semasa dia datang ke
rumah Mak Weh dengan Jidin Bacul dan Usu Khatib, dia tidak membawa apa-apa
peralatan atau ramuan ubat seperti aruah nenek saya. Dia juga tidak memerlukan bertih garing untuk
dijadikan peluru meriam.
Orang ramai yang
sudah datang berkumpul di rumah Mak weh juga merasa heran dengan sikap Pak
Musid.
Pak Musid menyuruh
Jidin Bacul berdiri menghadapnya,
sementara Usu Khatib berdiri di belakang Jidin Bacul. Selepas membacakan sebahagian surah Yaasiin,
Pak Musid menghembus kepada ubun-ubun Jidin Bacul. Dia memerintahkan Jidin Bacul memerhati tapak
tangannya yang diangkat tinggi.
Kemudian
perlahan-lahan Jidin Bacul rebah lalu disambut oleh Usu Khatib. Cara yang dilakukannya ke atas Jidin Bacul, samalah
seperti yang dilakukannya kepada saya.
Sama juga seperti yang pernah dilakukan oleh Pak Tua Mahat kepada Pak
Musid.
Itulah pertama kali
Jidin Bacul bertemu dengan puteri bunian, kerana setelah beberapa kali di
bacakan surah Waddhuha, Jidin Bacul tetap
ternampak Akop Juling di perkampungan bunian di kawasan paya itu. Pak Musid terus memerintahkan dia ke situ.
Semasa Jidin Bacul
sampai, puteri bunian sudah menunggu di pekarangan rumahnya.
“Nampaknya awak ni
nak mengacau aje…” sindir Jidin Bacul, kerana
dia memang sudah dilatih dapat berkata-kata semasa mengembara kealam
batinya. “Takkan Mak Bidan dah tak ada,
awak nak mencuri Akop dari kami. Kami
bukan bergantung pada Mak Bidan saja, tak ada Mak Bidan ramai lagi yang lebih
handal dari Mak Bidan boleh menentang bunian,” kata Jidin Bacul mengingatkan.
“Awak yang mengganggu
kami,” sahut puteri bunian sambil
menunjukkan kearah Akop Juling yang terbaring ditengah rumahnya. “Dia robohkan tempat permainan kami,” jelasnya macam menyimpan dendam.
“Awak tubuh halus,
dia tubuh kasar, mana dia nampak tempat awak bermain,” jerkah Jidin Bacul. “Kalau awak tak lepaskan Akop, Pak Musid nak
bakar tempat awak ni,” dia mengingatkan.
“Bukan kami yang
salah….” Puteri bunian menjadi marah.
Jidin Bacul terdengar
bisikan dari Pak Musid supaya membaca ayat Kursi. Jidin Bacul membacanya lantas
dihembuskan. Setiap kali dia menghembus
beberapa bahagian rumah itu terbakar.
Orang-orang bunian bertempiaran lari mencari tempat berlindung.
“Nak lepaskan atau
tidak….!” Jidin Bacul memberi amaran
lagi.
Puteri bunian
mengangguk bersetuju untuki membebaskan Akop Juling.
“Fasal awak semua nak
mengganggu manusia, Pak Musid halau awak
dari sini,” herdik Jidin Bacul lagi
sambil membaca surah ayyatul Kursi. Dia
menhembuskan ke segenap penjuru. Kawasan
perkampungan orang-orang bunian habis terbakar.
Ketika ini Jidin
bacul merasa dia melayang ke udara mengangkat Akop Juling dari kepulan api yang
menyala. Kemudian dia terdengar suaranya
di panggil oleh Pak Musid supaya balik semula.
Terpaksalah Jidin Bacul meninggalkan Akop Juling di tempat yang di
sendiri tidak tahu.
Setelah Jidin Bacul
sedar semula, dia ditanya oleh orang-orang yang berkumpul di rumah Mak Weh,
apakah yang dilihatnya. Dia menceritakna
semuanya kepada mereka.
“Tapi aku tak dapat
bawa Akop, aku tinggalkan dia,” katanjya
termengah-mengah.
“Dimana kau
tinggalkan dia?” Tanya Mak Weh tidak
sabar.
“Aku pun tak
tahu. Agaknya dekat kawasan paya
itulah,” Jidin Bacul mengagak.
“Malam ni juga tengok
Akop ke tepi paya…” perintah To’
Penghulu. Dia bimbang kalau ditangguhkan
hingga ke besok pagi, Akop akan sesat
entah ke mana pula.
Baru orang
berkira-kira mahu mencai Akop Juling ke kawasan paya, tiba-tiba budak itu
memanggil emaknya dari tengah halaman.
Apabila pintu di buka kelihatan Akop Juling mara ke tangga dalam keadaan
letih. Mukanya coreng-moreng macam
disinggahi debu arang.
Kejadian-kejadian
demikian memang aneh pada orang-orang kampung yang menyaksikan peristiwa Akop
Juling yang hilang tatkala mengembala kambing,
tiba-tiba balik dengan tidak payah dicari. Tetapi bagi orang-orang seperti Jidin Bacul,
Pak Musid dan saya sendiri yang telah mengalaminya, perkara seperti ini adalah
menunjukkan tentang kekuasaan Allah, yang maha Mengetahui sama ada yang nyata
mahupun yang tersembunyi.
SELESAI