Sunday, October 21, 2012

35. TOK AWANG NGAH - HANTU BERJALAN DENGAN TANGAN


Bunyi burung birik-birik lalu di tengah malam terasa mengerunkan juga. Kawan-kawan saya yang sama-sama tidur di madarasah bernama Katib cepat-cepat  tidur mengerengkan badan, kerana emaknya berpesan apabila burung birik-birik berbunyi di tengah malam hendak lah tidur mengereng. Katib memang tidur di madarasah, tapi tiap-tiap pagi selepas subuh dia akan balik untuk bersekolah di sebelah paginya pula.
Kami yang bersekolah hanya belajar di sebelah petang saja di madarasah Tok Aji. Sebelah petang pula belajar membaca Quran. Katib ini memang disayangi oleh Tok Aji kerana suaranya bagus membaca Quran. Semasa Tok Aji menganjurkan pertandingan di kalangan pelajar madarasah, Katib berjaya mendapat markah yang tinggi  membaca Quran.
Bagaimanapun dia tetap memegang teguh pesanan emaknya supaya tidur mengereng bila burung birik-birik berbunyi di tengah malam.
“Emak aku kata burung birik-birik ialah anjing pemburu hantu tinggi.” Jelasnya  apabila saya tanyakan mengapa dia mengerengkan badan.
“Kalau kau mengereng dia tidak ganggu kau?” soal saya tidak mengerti mengapa dia mesti tidur mengereng ketika ini.
“Ia dia sangka kita ni anak cucunya” ujar Katib.
“Jadi, kau suka jadi anak cucu hantu tinggi?” tanya saya lagi.
“Tidaklah “ sahutnya lemah macam kecewa dengan soalan saya itu “Tetapi, itu hanya untuk menjaga diri supaya tidak diganggunya” dia menjelaskan lagi seperti yang diceritakan oleh emaknya.
Tetapi Tok Aji pernah mengingatkan tidak ada jenis syaitan yang boleh menandingi ayat-ayat Quran. Oleh itu tidak ada sebab mengapa mesti mengerengkan badan sewaktu tidur apabila terdengar birik-birik terbang melintasi bumbung rumah. Sebab itu saya tidak pernah mengerengkan badan, kalau terdengar bunyi burung birik-birik. Kadangkala Katib cepat-cepat menggerakkan badan saya menyuruh tidur mengereng, namun saya pura-pura tidak mendengarnya.
Emak Katib juga percaya  Mak Endut yang meninggal dunia sebelum itu adalah diganggu hantu tinggi, mungkin kerana dia tidak tidur mengereng sewaktu bunyi burung birik-birik melintas. Ketika ini hantu tinggi terbang bersama burung-burung tersebut. Kalau dilihatnya ada orang tidak tidur mengereng maka segera diganggunya kerana orang itu bukan anak cucunya.
Sekira orang berkenaan anak cucunya, hantu tinggi akan mengelakkan diri dari merempuh anak cucunya sendiri.
Tanda hantu tinggi itu lalu selain dari burung birik-birik berbunyi ialah, kepala ribut. Di dalam kepala ribut itu dia terbang bersama. Tetapi kepala ribut itu akan beralih menuju ke arah lain, kalau didapati anak cucunya ada di depan. Tanda bagi anak cucunya ialah dengan menanam rumpun lengkuas di tepi halaman. Kepala ribut itu tidak akan merempuh lalu kalau rumah berkenaan ada menanam rumpun lengkuas.
Katib percaya betul dengan pesanan emaknya ini. Dia juga tetap percaya bahawa kematian Mak Endut berpunca dari hantu tinggi. Mak Endut sudah terkena langkahannya sampai sakit perut. Penyakit itulah yang membawa maut kepadanya. Selepas itu mayatnya tiba-tiba saja duduk, kerana diangkat oleh hantu tinggi tadi. Sekiranya Tok Aji tidak ada bertahan di situ dengan doanya sudah tentu mayat Mak Endut dibawa lari oleh hantu tinggi.
Selepas itu semasa mahu dimandikan, terdapat dapat beratus-ratus ekor lipan di bawah mayatnya. Lipan-lipan itu adalah binatang permainan hantu tinggi yang mahukan mayat Mak Endut. Sekali lagi Tok Aji dapat mengalahkan hantu tinggi itu dengan doa seorang ulama. Memang Katib percaya benar dengan cerita emaknya itu dengan kematian Mak Endut.
Bagaimana pun saya tidak pernah bertanyakan pada Tok Aji mengenai kebenaran cerita emak Katib itu. Saya takut Katib akan tersinggung pula sekiranya saya bertanyakan pada Tok Aji.
Tetapi Tok Aji memang pernah mengingatkan bahawa syaitan ini ada berbagai-bagai. Dia juga seperti makhluk manusia mempunyai kaum masing-masing yang telah ditentukan. Oleh itu apa juga makhluk halus yang menganggu manusia adalah terdiri dari golongan syaitan. Sementara manusia harus berwaspada akan gangguan dari syaitan ini.
Selepas kematian Mak Endut, Kak Jidun tidak lagi tinggal bersama abangnya Suhur, atau kakaknya Indun. Dia tinggal bersama nenek saya. Disebabkan dia masih anak dara berumur 16 tahun, saudara maranya merasa lebih baik tinggal di rumah nenek saya saja. Di samping itu dia akan terus dapat belajar agama di madarasah Tok Aji.
Kadangkala Kak Jidah menangis bila Katib menceritakan hantu tinggi menganggu  mayat Mak Endut. Itulah menyebabkan mayat itu bangun dengan sendirinya, kemudian dipenuhi lipan beratus-ratus ekor di bawah tubuhnya. Katib juga memberitahu Kak Jidah mengenai burung birik-birik selalu berbunyi melintasi madarasah apabila jauh malam.
“Kita mesti tanam lengkuas di depan pintu madarasah ni Kak Jidah” kata Katib macam mengingatkan.
Tetapi Kak Jidah tidak mahu menanamnya. Terpaksalah Katib mengambil benih lengkuas dari rumahnya. Dia sendiri menanam rumpun lengkuas di depan madarasah. Tok Aji pula tidak marah dengan perbuatan Katib menanam rumpun lengkuas itu, tetapi dia mengingatkan, “Lengkuas itu tak boleh menolong kau Katib. Yang memberi pertolongan hanya Allah”.
Walaupun rumpun lengkuas mula tumbuh segar di depan halaman madarasah, tetapi bunyi burung birik-birik itu kerapkali juga terdengar di tengah malam. Katib terpaksa tidur mengereng kerana takutkan gangguan hantu tinggi. Kadangkala saya tersenyum sendirian mengenangkan Katib bersikap demikian.
“Kak Jidah tahu asal usul hantu tinggi ni?” satu petang Katib bercerita dengan saya dan Kak Jidah.
“Ah, kau budak-budak mana kau tahu” sahut Jidah tersenyum mengusik.
“Emak aku yang cerita” dia memberitahu bersungguh-sungguh.
“Apa kata mak kau?“ tanya saya pula tersenyum  mengerling ke arahnya.
Saya tidaklah memperkecilkan cerita emak Katib itu, tetapi sengaja mahu mengusik Katib yang selalu percayakan dengan cerita tersebut. Bagaimanapun bukanlah mustahil pula cerita yang dikatakannya itu.
Tidak lama dulu bapa mertua saya kecemasan kerana ribut melanda kampungnya sehingga rumahnya juga ikut bergoyang- goyang dipukul angin. Walaupun rumahnya tidaklah roboh dalam angin kencang yang tiba-tiba melanda, tetapi sempat juga dia azan sekuat-kuat hatinya dalam masa ribut kencang itu.
Tiga kali dia azan, serentak saja ribut reda. Hujan pun turun mencurah-curah dengan kilat memancar-mancar. Selepas hujan lebat dan ribut berhenti didapatinya dua tiga buah rumah jiran yang berhampiran atapnya diterbangkan ribut, dan dindingnya roboh. Manakala rumah bapa mertua saya tidak pun rosak apa-apa.
Memang setengah orang mengakui bahawa syaitan ada bersama-sama di dalam ribut itu. Mungkin apa yang diceritakan oleh Katib di masa  kecilnya dulu memang dimaksudkannya dengan syaitan yang mengikuti ribut itulah. Kak Jidah sendiri mengakui emaknya mula-mula diserang sakit perut  ialah selepas ribut kencang.
Semasa ribut tengah kencang aruah Mak Endut masih mencangkul  rumput di kebun pisangnya. Kak Jidah beberap kali menyuruh dia balik sementara ribut berhenti. Tetapi Mak Endut berdegil, terus juga mencangkul rumput. Ketika ribut ini hujan belumlah turun, sebab itulah dia teruskan kerja mencangkul rumput kerana hari tidak hujan.
Setelah ribut reda, hujan tidak pula turun. Kononnya hujan itu sudah dibawa angin jauh dari situ. Mungkin turun di kawasan lain. Selepas inilah Mak Endut merasa senak perut. Mula-mulanya dia bertahan juga, tetapi akhirnya dia tidak berdaya lagi menahan senak perutnya bagaikan mahu membuang air besar. Sebaliknya apabila dia ke sungai untuk membuang air besar, tidak apa-apa pun yang keluar.
Senak perutnya semakin hari semakin menyesakkan nafas. Lebih kurang empat hari dia mengidap sakit perut itu, Mak Endut pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
“Aruah mak degil sangat, dia bekerja juga di tengah-tengah ribut tu” keluh Kak Jidah mengenangkan kedegilan emaknya, kerana dia sajalah yang tahu akan mula kejadian yang menimpa emaknya. Kak Jidah tinggal berdua saja dengan Mak Endut dirumahnya kerana Abang Suhur dan Kak Indun masing-masing sudah berkahwin. Mereka tinggal bersama-sama keluarga masing-masing.
“Bukan ribut tu Kak Jidah, tetapi hantu tinggi” tegas Katib bila mendengar penjelasan Kak Jidah itu.
Kak Jidah menunduk. Dia tidak membantah kata-kata Katib. Apa lagi kami ketika ini masih kanak-kanak, tidaklah tahu berfikir panjang. Apa saja yang dicakapkan oleh orang tua, cepat saja  kami terima.
“Kak Jidah tak nampak hantu tinggi dalam ribut tu” tanya Katib pula.
Kak Jidah mengelengkan kepala. Sebenarnya hatinya masih sedih dengan kematian emaknya itu.
“Emak kata, awan hitam yang kita kata mengandungi hujan itulah sebenarnya hantu tinggi” beritahu Katib selanjutnya.
Katib juga menceritakan hantu tinggi itu berasal dari seorang pemburu terkena sumpahan di hutan kerana mencari seekor rusa putih yang diidamkan oleh isterinya yang mengandung. Dia telah membunuh beratus-ratus ekor rusa, tetapi tidak seekor pun rusa putih. Sebab itu lah dia telah disumpah menjadi hantu tinggi, manakala anjing pemburunya menjadi burung birik-birik.
Disebabkan dia berjalan mendongak ke langit selepas kena sumpahan itu, maka tidaklah dilihatnya ke bawah. Apabila dia melanggar mangsanya, maka mangsanya akan muntahkan lumut. Hanya dia memberi petua kepada anaknya yang mencarinya selepas 20 tahun berlalu, bakarlah lada kering dan garam apabila ribut kencang, supaya dia tercium bagi mengetahui itulah rumah anak cucunya. Tanamlah lengkuas didepan rumah supaya dia dapat membaunya. Hanya dengan cara itu sajalah dia dapat membezakan anak cucunya, supaya tidak menjadi mangsanya.
Hantu tinggi itu terpaksa memusnahkan manusia, kerana itulah sumpahannya setelah dia membunuh beratus-ratus ekor rusa yang tidak berdosa. Seperti mana dia membunuh rusa seekor demi seekor kemudian ditinggalkan untuk mencari rusa putih, maka sumpahannya ialah mesti membunuh manusia satu demi satu, sehingga semua rusa yang dibunuhnya hidup semula. Selagi rusa-rusa itu tidak boleh dihidupkan selagi itulah dia mesti memusnahkan manusia.
Bagaimanapun ia masih berupaya mengingatkan anak cucunya supaya terhindar dari sumpahannya itu.
“Macam itulah yang emak aku beritahu pada aku, Kak Jidah” Katib menerangkan kepada Kak Jidah mengenai hantu tinggi yang telah membunuh Mak Endut.
Kak Jidah pula bukannya orang yang suka bersoal jawab, dia menerima saja penerangan Katib. Kesedihan hatinya terhibur juga bila kami duduk berbual-bual dengannya. Malah Tok Aji selalu mengingatkan dia supaya sentiasa berdoa kepada Allah, supaya aruah ibunya termasuk ke dalam golongan roh-roh yang diredai Allah.
“Lepas sembahyang adalah baik berdoa” Tok Aji mengingatkan dia. “Selepas sesaorang itu mati, maka putuslah amalannya. Hanya tiga perkara saja yang diperlukan iaitu amal jariahnya di dunia, amal ibadatnya di dunia, dan doa anak-anak yang soleh.” Kata Tok Aji seterusnya.
Kak Jidah mentaati apa saja yang disuruh oleh Tok Aji. Tiap-tiap tengah malam dia bangun sembahyang tahjud, memohon Allah mencucuri rahmat keatas rohnya emaknya.
Kadangkala saya terikut-ikut jua bangun tengah malam, kerana Tok Aji sendiri kerap kali bangun diwaktu tengah malam menunaikan solat sunat tahjud itu. Walaupun Tok Aji tidaklah menyuruh saya melakukannya, tetapi apabila tidak bersekolah hujung minggu iaitu malam Jumaat dan malam Sabtu saya suka melakukannya kerana mengikut Tok Aji.
Nampaknya Kak Jidah melakukan setiap malam sejak selepas kematian emaknya. Hingga hampir 2 bulan dia mengerjakan solat sunat tahajud itu tidak berhenti-henti.
Saya pun naik heran juga kerana Kak Jidah melakukannya. Pagi-pagi dia sudah bangun pula untuk menunaikan sembahyang subuh. Kemudian membantu nenek saya ke sawah. Dia tidak kelihatan letih ke sawah walaupun tengah malam bangun menunaikan sembahyang tahjud itu.
Apakah yang disuruh oleh Tok Aji saya tidak tahu. Mungkin sengaja Tok Aji melatihnya supaya lebih kuat bertawakal, kerana pada waktu tengah malam memang tidak ramai orang yang rajin untuk bangun. Apa lagi terasa sejuk air telaga untuk mengambil wuduk, walaupun sudah ditampung di dalam tempayan di bilik air.
Dalam masa inilah saya ingat Abang Mat Nitar yang tinggal berhampiran dengan rumah aruah Mak Endut jatuh sakit. Emaknya Mak Relah telah memanggil Tok Aji untuk menengok-nengokkan Mat Nitar yang sakit macam hilang akal. Mat Nitar baru berumur 26 tahun, masih belum berkahwin. Dia memang pernah masuk meminang Kak Jidah, tetapi keluarga Mak Endut menolaknya kerana Kak Jidah masih mentah lagi. Walaupun Mat Nitar sanggup menunggu dua tiga tahun, tetapi Mak Endut tetap menolak.
Dia merasakan Mat Nitar itu sudah macam anaknya sendiri. Tidak tergamak pula memilih Mat Nitar jadi menantu, apatah lagi Kak Jidah sendiri tidak mahu. Kak Jidah merasakan Mat Nitar sudah macam abangnya sendiri.
 Tok Aji tidak menolak jika dipanggil. Seperti biasa dia mendoakan air disuruh minum dan mandikan. Semasa Tok Aji datang melihatnya Mat Nitar sudah terlalu teruk. Dia bertelanjang bulat dengan tidak memakai apa-apa pakaian. Dia terjelepuk di hujung serambi sambil memainkan kemaluannya. Sekali sekala dia tersengih-sengih, tetapi tidak dapat bersuara apa-apa.
“Apa sakitnya ni Bang Aji?” tanya Mak Relah kebingungan.
“Tak tau lah aku. Tak pernah aku temui penyakit macam ni” jelas Tok Aji ikut sama keheranan.
“Dah sebulan dia macam ni. Tak dapat bercakap cuma air liur saja meleleh” beritahu Mak Relah kesedihan. “Nak kata sakit tak sakit, nak kata tak sakit itulah rupanya....” keluhnya memerhatikan Mat Nitar tersengih-sengih memainkan kemaluannya dengan tidak berasa segan dan silu.
Tok Aji mengeleng-gelengkan kepala. Hatinya sedih juga melihat keadaan Mat Nitar demikian.
“Kau tau apa yang dituntutnya selama ini?” tanya Tok Aji kerana sudah menduga mesti ada kesalahan yang dibuat oleh Mat Nitar. Boleh jadi juga dia sudah terlanggar pantang ilmu yang dituntutnya.
“Maksudnya, tahu kah kau samada dia pernah menuntut apa-apa  ilmu kebatinan?” kata Tok Aji seterusnya.
“Tak tau pulak aku kata Mak Relah lemah. “Tetapi, ada juga aku dengar dia nak jumpa Batin Jeli di hulu sana” katanya menahan kesedihan.
Disebabkan Mak Relah menaruh harapan kepada Tok Aji dapat memulihkan anaknya Mat Nitar, maka Tok Aji mendoakan.
Tiga hari Tok Aji mengulangi Mat Nitar, barulah datang adik Batin Jeli bernama Kapai mencari Mak Relah. Ketakutan saja rupanya apabila naik ke rumah Mak Relah, sebaik saja melihat orang ramai melihat Mat Nitar sakit.
“Dah lama ke Mat Nitar sakit ni Mak Relah?” tanya Kapai bercampur bimbang.
“Lebih sebulan ........” jelas Mak Relah.
“Tak tahu pula aku dia sakit” keluh Kapai bertambah gelisah. “Siapa mengubatkan dia?” dia memerhati Mak Relah.
“Abang Haji ni” beritahu Mak Relah menunjuk ke arah Tok Aji.
Tiba-tiba saja Kapai memeluk lutut Tok Aji, dia menangis sambil merayu pada Tok Aji supaya tidak membalas dendam pada abangnya Batin Jeli.
“Abang Aji tolonglah. Minta maaflah saya Abang Aji” dia merintih-rintih bagaikan menyimpan harapan mengunung.
“Abang Jeli dah jadi gila sekarang ni. Bukan nak susah-susahkan Mak Endut dulu, dia hanya nak tolong Mat Nitar. Kalau Mat Nitar tak datang minta tolong mampus Abang Jeli tak buat” ujarnya menangis tersedu-sedu mengharapkan belas kasihan.
“Percayalah Kapai, aku tak buat tu pada Jeli” kata Tok Aji memujuknya.
Dari pengakuan Kapai itu, terbukalah cerita mengenai kejadian yang menimpa kepada Mak Endut disebabkan menolak pinangan terhadap Kak Jidah.
Mat Nitar telah menemui Batin Jeli. Pada mulanya Batin Jeli enggan melakukan kekejaman pada Mak Endut, sebaliknya dia bersetuju untuk memberi Mat Nitar minyak cenuai bagi memikat Kak Jidah. Tetapi Mat Nitar tidak mahu minyak cenuai. Dia mengancam akan membunuh Batin Jeli kalau tidak mahu mengikut kemahuannya menganiaya Mak Endut secara kebatinan.
Mahu tidak mahu Batin Jeli terpaksa juga mengikut kemahuan Mat Nitar. Dia menggunakan katak yang diikat perut sampai kembung bagi dipuja secara kebatinannya, hingga menyebabkan Mak Endut senak perut. Kemudian dia memuja upih yang dibentuk seperti lipan diletakkan di bawah bangkai katak. Apabila dipujanya itulah kejadian yang dilihat lipan dibawah mayat Mak Endut.
Dia juga memainkan bangkai katak itu secara kebatinannya menyebabkan mayat Mak Endut tiba-tiba saja bangun dari pembaringan. Semua itu diceritakan semula oleh Kapai. Dia berharap Tok Aji tidak menyiksa abangnya Batin Jeli.
“Tak pernah aku tengok ilmu macam Abang Aji ni” Kapai terus merintih-rintih.
“Kapai..... aku tak buat apa-apa pada Jeli. Aku juga tak buat apa-apa pada Mat Nitar. Tapi kau tengok sendiri keadaan Mat Nitar ni. Aku pun berusaha hendak menolong dia, tapi aku tak upaya, ini kuasa Allah” jelas Tok Aji dengan harapan Kapai memahami kedudukannya sebenar.
Orang-orang kampung menerangkan kepada Kapai, bahawa mereka juga tidak tahu peristiwa sebenarnya. Kalaulah Kapai tidak memberitahu, mereka juga tidak tahu tentang kejadian yang menimpa Mak Endut.
“Patutlah semasa Kak Endut meninggal, tak ada Mat Nitar menziarahinya” keluh Mak Relah penuh kesal.
Masa ini jugalah anak saudara Kapai datang memberitahu akan kematian Batin Jeli jatuh di jeram batu, kerana tiba-tiba saja dia menjerit-jerit berlari ke jeram batu. Dia jatuh terselit di celah batu dengan kepalanya ke bawah dan kakinya ke atas. Berita kematian Batin Jeli diterima oleh orang-orang kampung dengan rasa sedih dan simpati.
Kira-kira dua minggu selepas kematian Batin Jeli, Mat Nitar juga meninggal dunia. Tok Aji sendiri tidak berupaya mengatasi kudrat dan iradat illahi yang sudah menetapkan kematiannya demikian. Dia sudah berusaha untuk memulihkannya, tetapi kehendak Allah siapa pun tidak dapat menahannya.
Tidak lama selepas kematian Mat Nitar heboh lagi di kampung itu apabila orang bertemu lembaga orang merayau-rayau di dalam kampung dengan kepalanya kebawah kakinya ke atas. Lembaga itu berjalan dengan tangan saja. Dia akan cepat-cepat menghilang apabila terserempak orang. Kadangkala dia berjalan melompat-lompat seperti katak.
“Aku nampak betul-betul hantu berjalan dengan tangan, kepalanya ke bawah kaki ke atas” Mail Lembam memberitahu tercungap-cungap menerpa ke madarasah.
“Merepeklah Pak Mail ni” sahut Katib  terkejut juga melihat Mail Lembam tergopoh gapah. Dia bertanyakan Tok Aji dari kami.
“Mana Atuk kau?” Mail Lembam bertanya kepada saya.
“Atuk ada di rumahnya “ jelas saya perlahan. “Lepas Isya atuk baliklah kerumah, boleh jadi dah tidur dia” kata saya selanjutnya.
Mail Lembam terus melompat menuju ke rumah Tok Aji. Saya hanya melihat saja dari pintu madarasah. Seketika saja rumah Tok Aji terang benderang dipasang lampu. Saya terdengar suara Mail Lembam bukan main becok tidak tentu biji butir. Tetapi saya percaya dia memberitahu mengenai hantu berjalan dengan itu.
Tidak lama kemudian nenek datang ke madarasah. Dia menyuruh saya, Katib dan dua tiga orang lagi kawan-kawan supaya tidur di rumahnya.
“Tak payah lah tidur di madarasah tu” kata nenek macam menyimpan rasa bimbang.
Kami semua masih kanak-kanak. Bila nenek menyuruh berkumpul di rumahnya, kami semua pun tidak tangguh menurutnya saja. Kami pun takut juga mahu tidur di madarasah setelah mendengar cerita Mail Lembam. Hantu berjalan dengan tangan itu sudah kerap kali ditemui. Malah setiap malam dia merayau-rayau didalam kampung sambil mengetuk-ngetuk dinding rumah orang.
Setakat itu rumah Tok Aji tidak pernah diganggunya. Sudah banyak rumah orang yang diganggunya sambil mengetuk-mengetuk dinding. Rumah Mak Relah yang selalu diganggunya, hinggakan Mak Relah tidak berani tidur di rumahnya. Sebab itu dia lari tidur di rumah Mail Lembam.
“Dimana kau jumpa tadi” tanya Tok Aji memerhatikan Mail Lembam ketakutan.
“Di sebelah baruh “ beritahu Mail Lembam.
“Emmm, dia bukannya nak menganggu. Dia nak minta tolong agaknya” ujar Tok Aji tenang.
“Tapi dia mengetuk-ngetuk dinding rumah” ujar Mail Lembam gementar.
Dia mengaku telah terserempak dengan hantu berjalan dengan tangan itu. Apabila dinding rumahnya diketuk, dia pun segera membuka tingkap. Dia ternampak lembaga hitam berjalan dengan tangan, kepalanya ke bawah manakala kakinya ke atas. Sekali sekala dia melompat-lompat seperti katak. Kemudian berjalan semula dengan tangannya.
“Agaknya dia mencari Relah....” kata Tok Aji terangguk-angguk. “Dia nak minta tolong pada Relah tu” ujarnya macam menduga bahawa hantu itu adalah jelmaan dari Mat Nitar yang sudah mati.
Mail Lembam terdiam. Dia hanya memberitahu Tok Aji untuk menghindarkan gangguan berkenaan.
Dari kisah itu saya baru dapat memahami bahawa Kak Jidah memang berdoa meminta mereka yang menganiaya emaknya ditunjukkan kepadanya. Jelaslah Mat Nitar itu menerima pembalasan yang tidak bertangguh dari Allah. Kak Jidah yakin emaknya teraniaya. Sebab itulah dia berdoa denganp enuh khusuk setiap kali melaku solat sunat tahajud di tengah malam, memohon Allah perkenankan doanya, agar dia melihat sendiri siapakah yang menganiaya emaknya.
Kapai adik Batin Jeli secara jujur telah menerangkan kejadian sebenarnya. Bagaimanapun Kak Jidah memberitahu saya dia menyesal juga, kerana doanya juga telah menyeksa sesama makhluk. Tetapi apa boleh buat, semuanya telah berlaku.
Malam itu Tok Aji ke rumah Mail Lembam menemui Mak Relah. Dia menerangkan kepada Mak Relah mungkin jelmaan hantu yang berjalan dengan tangan itu meminta tolong darinya. Sebab itulah kemana saja Mak Relah pergi menumpang tidur dia akan menjejaknya.
Mak Relah pun setuju untuk tinggal sementara di rumah Tok Aji. Setiap kali maghrib dia bersama Tok Aji sama-sama berdoa agar roh Mat Nitar dicucuri rahmat. Mereka sama-sama membaca Yassin kiffiat 41 kali. Setelah tiga malam berturut-turut Mak Relah mengikuti Tok Aji melakukan Yassin kiffiat 41 kali bersama-sama Kak Jidah, saya dan Katib dan rakan-rakan yang sama tidur di madarasah, esoknya kami bersama-sama pula ke kubur Mat Nitar, saya dapati kuburnya ditimbuni oleh bangkai katak beratus-ratus ekor.
Selesai.

34. TOK AWANG NGAH - LIPAN BARA DI BAWAH MAYAT


Semasa hujan turun dengan lebatnya waktu asar petang itu, Tok Aji baru selesai menunaikan solat. Saya juga ikut berjemaah dengan dua tiga orang kawan, kerana Tok Aji memang menunaikan solatnya di madarasah. Disebabkan hujan turun dengan lebat, Tok Aji tidak terus balik ke rumahnya yang dipisahkan oleh halaman saja dari madarasah tersebut.
Tok Aji berbaring saja di tengah madarasah sambil melanggung tangan ke kepala. Ketika ini saya sudah berumur 13 tahun, memang suka benar berdamping dengan Tok Aji. Dia pula akan bercerita tentang pengalamannya semasa di Sumatera iaitu kampung halamannya. Bagaimanapun sehingga akhir hayatnya Tok Aji tidak pernah lagi balik ke Sumatera.
Dia menceritakan kepada saya mengenai gurunya dari Jawa, Kiyai Wuruk yang pernah dilihat memberi ceramah agama di beberapa tempat dalam satu masa. Pada mulanya Tok Aji memang merasa heran, kerana tatkala Kiyai Wuruk memberi khutbah Jumaat di masjid di kampungnya, ada orang memberitahu Kiyai Wuruk juga memberi khutbah Jumaat di kampung lain pada hari tersebut. Anehnya, murid-murid Kiyai Wuruk juga mendakwa mendengar khutbah Jumaat dari tok guru di Semarang, Jawa.
Tetapi ketika Kiyai Wuruk memberi ceramah agama di madarasah ayah Tok Aji di Sumatera, memang Tok Aji sempat belajar dengannya. Selepas mengajar nahu Arab, Kiyai Wuruk meminta izin dari ayah Tok Aji untuk berehat sebentar di bilik yang sengaja disediakan oleh ayah Tok Aji bagi kemudahan Kiyai Wuruk setiap kali berkunjung ke Sumatera.
Tidak lama kemudian beberapa orang murid ayah Tok Aji , datang memanggil Kiyai Wuruk kerana ada orang sakit. Dengan cepat Kiyai Wuruk keluar dari biliknya untuk mengikuti orang yang memanggil tadi. Dia melintas betul-betul di hadapan Tok Aji. Selepas Kiyai Wuruk pergi mengubati orang yang sakit, Tok Aji masuk ke bilik Kiyai Wuruk dengan tidak meminta izin dari ayahnya. Alangkah terkejutnya dia, kerana ketika ini Kiyai Wuruk masih tidur berehat.
Disebabkan terperanjat Tok Aji terus keluar dengan tidak memberitahu ayahnya apa yang dilihatnya di bilik Kiyai Wuruk. Hanya beberapa minit selepas itu Kiyai Wuruk keluar dari biliknya untuk menyambung semula pelajaran yang diajarnya mula-mula tadi.
Jadi, siapakah yang pergi bersama orang-orang yangmenjemputnya tadi? Apabila Tok Aji bertanya dia hanya tersenyum menjawab. “Iya Tok Kiyai baru balik dari sana.”
“Bukankah Tok Kiyai sedang tidur?”
“Iya Tok Kiyai sedang tidur.” Sahut Kiyai Wuruk mengangguk-angguk kepala.
Tetapi Kiyai Wuruk yang kelihatan pergi tadi, tidak balik lagi selepas Kiyai Wuruk bangun dari tidurnya. Bagaimanapun orang-orang kampung yang datang menjemputnya apabila datang semula, memberitahu memang Kiyai Wuruk ada bersama mereka mengubati orang yang sakit. Dia segera balik sebaik saja orang yang sakit dapat dipulihkan.
Setelah Tok Aji memahami keadaan yang sebenarnya, dia tidaklah merasa heran lagi. Tidak heranlah ketika dia meninggalkan rumah, dan dikejar oleh ayah saya dengan basikal dalam masa beberapa saat saja dia sudah berada di Semenyih di rumah anaknya yang terletak berpuluh-puluh batu jauhnya dari kampung saya. Tok Aji memang mempunyai ramai anak  kerana dia berkahwin di mana saja dia merantau.
Malah ada seorang kawan ayah saya bernama Haji Usuh ketika bersembahyang Jumaat di Masjidil-Haram dalam masa dia menunaikan haji, dia bertemu dengan Tok Aji sama-sama menunaikan fardu Jumaat di sana. Pada hal tahun tersebut Tok Aji tidak pun pergi menunaikan haji. Dia berada di kampung kerana sedang uzur mengidap penyakit lelah.
Cerita mengenai Kiyai Wuruk ini pada saya ketika itu memang aneh. Puas saya bertanyakan pada Tok Aji apakah rahsia sebenarnya Kiyai Wuruk boleh dilihat di beberapa tempat dalam satu ketika. Pada masa itu memang Tok Aji tidak mahu menceritakan, sebaliknya dia menyuruh saya sendiri mencari rahsia tersebut.
Sebab itu apabila saya melihat Tok Aji melelapkan mata di tengah madarasah, saya sengaja mengusiknya supaya tidak terlelap. Saya tahu Tok Aji memang tidak akan memarahi saya, kerana di antara cucu-cucunya saya lebih disayanginya. Kadangkala kalau saya balik ke rumah ayah saya, lambat saja balik ke madarasah, dia akan menyuruh Lasah anak Mak Long saya menjemput.
Ayah dan emak tidak berkata apa-apa, kalau Tok Aji mahukan saya balik semula ke madarasah.
“Tok, tok tidur ke ? “ tanya saya menepuk-nepuk lututnya.
“Tidak, atuk nak berbaring aje” sahutnya perlahan tetapi tidak membuka mata.
“His, atuk bohong, atuk tidur bersandar” saya sengaja mengusiknya.
Dia tersengih-sengih saja, tetapi tidak mengangkat tangannya yang terlanggung di kepala. Malah dia tidak pula bangun dari berbaring. Memang Tok Aji kelihatan seperti orang tidur kerana dia bersendar (berdengkur dengan perlahan). Bagaimana pun dia masih boleh berbual dengan saya.
Agaknya beginilah dengan Pak Tua Mahat yang boleh berjalan di hutan sekali pun sedang tidur bersendar. Pak Tua Mahat iaitu abang emak saya memang pernah juga berguru dengan Tok Aji ini, iaitu setelah emak saya berkahwin dengan ayah saya. Sebelumnya Pak Tua Mahat tidak pernah mengenali Tok Aji, kerana mereka duduk berlainan kampung yang jaraknya lebih 5 batu. Tok Aji ini ialah ayah kepada ayah saya , jadi dengan perkahwinan antara emak dan ayah saya itu, membolehkan Pak Tua Mahat mengenali Tok Aji lebih rapat lagi.
Setelah saya dewasa memang ada juga sekali dua saya mengikuti Pak Tua Mahat masuk ke hutan kerana berburu. Memang saya tahu dia boleh tidur sewaktu berjalan dengan tidak pernas tersesat pun. Tetapi sekiranya kakinya tersepak akar kayu dia akan cepat-cepat tersedar, tetapi kemudian dia akan tidur semula.Bagaimanapun setiap kali dia ke hutan kalau bersama saya, nasibnya agakmalangkerana tidak pernah menemi apa-apa pun binatang buruan.
Oleh itu kalau dia ke hutan, sengaja dia tidak memberitahu saya. Dia akan pergi bersama-sama kawannya saja. Memang benar, apabila saya tidak ikut, dia pasti dapat binatang – binatang buruan samada pelanduk, kijang atau ayam denak. Bagaimanapun dia akan memberikan juga bahagian saya, sekali pun saya tidak ikut sama.
“Aku tahu kau ‘pakai pelenggang’ sebab itu aku tak mahu bawa kau ke hutan” kata Pak Tua Mahat kalau saya merungut kerana tidak diajak pergi sama.
“Kalau kau ikut, jangankan pelanduk malah katak puru pun aku tak akan jumpa” ujarnya berterus terang tidak mahu mengajak saya.
“Saya tak pakai apa-apa Pak Tua” jelas saya masih berharap akan dibawanya sama pergi berburu.
“Ah, sudah ! Aku ni bukankah Pak Tua kau, aku lebih dulu makan garam” dia mengejek saya.
Sebenarnya saya tidak tahu apa-apa dengan maksudnya ‘pelenggang’ itu, kerana saya tidak pernah belajar mengenalinya. Tetapi memang Tok Aji ada menyuruh saya membacakan Surah Al-Buruuj ayat 20, 21 dan 22. Kemudian disambung dengan : sum mum buk mum um fahum layarji’un, laya’kilun, layatakkalamun, layubsirun.
Tok Aji menyuruh bacakan apabila masuk ke hutan itu saja. Tetapi kadangkala kalau ada kawan-kawan mengajak ke hutan saya tidak bacakan doa berkenaan, nasib saya tetap malang kerana kawan saya akan merungut tidak bertemu seekorpn binatang buruan.
Dalam masa saya mengusik-ngusik Tok Aji yang kelihatan tidur nyenyak, tetapi sebenarnya boleh mendengar apa yang kita cakapkan, Mail Lembam datang mempayungkan daun pisang memanggil Tok Aji. Cepat-cepat saya ke pintu madarasah bertanya kepada Mail maksud kedatangannya. Dia kelihatan basah juga sekali pun menggunakan daun pisang sebagai payung.
“Ada apa Pak Mail ?” tanya saya berdiri di muka pntu madarasah.
“Mana atuk kau ?” dia pula bertanya sambil terketar-ketar menahan sejuk.
“Dia tidur di dalam” beritahu saya.,
“Tolong panggilkan atuk kau katakan Mat Endut dah nazak” katanya menyuruh saya segera membangunkan Tok Aji.
Saya mengangguk. Mak Endut tu pangkat emak saudara juga kepada saya dan kakak kepada Mail Lembam. Belum pun sempat saya berpaling untuk memanggil Tok Aji, dia sudah terjonggol di belakang saya sambil terkuap-kuap.
“Hah, apa halnya Mail?” tanya Tok Aji mengeliat-geliat.
“Kak Endut, Bang Aji...” beritahu Mail Lembam terketar-ketar kesejukan.
“Tak apa, mari kita pergi sekarang ni” sahut Tok Aji dengan tidak mendengar lagi penjelasan Mail Lembam selanjutnya.
Mail Lembam berundur sedikit ke belakang sambil menghulurkan daun pisang kepada Tok Aji untuk digunakan sebagai payung. Tetapi Tok Aji tidak mahu mengambilnya. Dia terus melompat ke tengah hujan dengan tidak menggunakan payung langsung. Kata orang-orang yang mengetahui tentang Tok Aji ini, dia tidak basah kalau merempuh hujan dalam masa orang memerlukan dia. Kalau dihari yang tidak ada hal, saya lihat dia basah kuyup juga bila ditimpa hujan.
Setelah Tok Aji pergi bersama Mail Lembam, saya balik semula ke tengah madarasah. Alangkah terkejutnya saya, kerana Tok Aji masih lagi tidur dengan tangannya terlanggung di kepala seperti tadi juga.
“Atuk, mengapa tidur?” soal saya tertanya-tanya siapakah yang tidur di situ.
“Ah.... dia minta atuk bacakan Yassin aje” sahutnya tersenyum. “Kau tak payah tanya apa-apa, nanti lain kali kau tau juga” dia menasihatkan saya supaya jangan meragui tentang dirinya yang sedang tidur itu.
Kira-kira setengah jam kemudian hujan sudah mulai reda, nenek saya naik ke atas madarasah. Sebaik saja melihat atuk terbaring tidur lantas dia menyuruh saya mandi dan bersiap-siap untuk pergi ke rumah Mak Endut.
“Mak Endut dah tak ada “ ujar nenek perlahan.
Selesai saja saya mandi, nenek balik ke rumahnya. Saya dapati Tok Aji sudah bangun dan duduk sambil terkuap-kuap.
“Mak Endut dah tak ada” saya beritahu dia.
Tok Aji mengangguk-angguk. Dia tidak berkata apa-apa lantas pergi mandi.Selepas selesai maghrib kami bertiga ke rumah Mak Endut. Beberapa orang kawan saya yang ada di madarasah, berjanji akan datang selepas Isya.
Sebaik sampai saja di rumah Mak Endut, orang sudah ramai berkumpul di situ. Anak-anak Mak Endah seperti Jidah, Suhur dan Indun bergilir-gilir membaca Al-Quran di sisi jenazah. Ayah saya juga sudah sampai lebih awal. Dialah yang menyuruh orang memasang langit-langit  iaitu merentang kain batik lepas setentang dengan jenazah.
Di samping orang sibuk di dalam kerana berjaga-jaga pada malam itu kerana jenazah itu tidak boleh dibiarkan sendirian, orang lelaki duduk di serambi berbual-bual. Manakala orang perempuan memasak air di dapur menyediakan hidangan untuk sama-sama berjaga. Manakala anak-anak disuruh sama-sama membaca AL-Quran. Saya juga disuruh oleh Tok Aji membaca Al-Quran berhampiran dengan jenazah.
Kira-kira 9.00 malam, kawan-kawan saya yang sama-sama tidur di madarasah, telah datang. Mereka juga sama-sama membacakan ayat-ayat suci Al-Quran. Kami membacanya bergilir-gilir. Apabila saya merasa penat duduk bersila terlalu lama, maka saya mengilirkan kepada kawan yang lain pula. Disebabkan sudah menjadi tradisi di kampung kami, kanak-kanak tidak boleh mencampuri orang tua sedang berbual, jadi saya tidaklah ke serambi mendengar Tok Aji berbual-bual di situ.
Saya dan kawan-kawan hanya duduk di dalam saja. Di situ bau asap kelapa kukur dibakar memenuhi ruang. Kak Jidah duduk di hujung kaki jenazah emaknya. Saya lihat dia tidak berhenti-henti membaca Al-Quran. Abang Suhur berhenti juga melepaskan lelah, sementara Kak Indun ke dapur membantu saudara maa yang lain. Mereka tidaklah seperti Kak Jidah duduk saja mengadap jenazah emaknya.
Sekali-sekala saya memandang juga ke serambi sambil memasang telinga. Ketika menjaga jenazah masing-masig ada juga bercerita perkara-perkara yang boleh menimbulkan gelak ketawa. Apa lagi Mail Lembam yang menjadi sasaran kawan-kawannya yang lain.
Mereka mentertawakan Mail Lembam yang basah kuyup ketika menjemput Tok Aji walaupun dia berpayungkan daun pisang. Sedangkan Tok Aji yang tidak berpayung tidak basah langsung. Memang semua mereka melihat Tok Aji datang sambil membacakan Yassin di sisi Mak Endut sebelum dia menghembus nafasnya. Tetapi mereka semua tidak tahu bahawa Tok Aji ada tidur di madarasah ketika itu. Mungkin mereka semua tidak percaya kalau saya ceritakan hal tersebut.
Tetapi nenek sudah tahu. Sebab itu nenek sengaja berpura-pura menyuruh saya pergi mandi, kerana tidak mahu melihat Tok Aji bangun dari tidurnya di depan saya.
Dalam masa orang ramai sibuk berbual-bual di serambi, sibuk menyediakan air di dapur dan beberapa orang membaca Al-Quran di tengah rumah, beberapa orang budak-budak yang menjadi rakan saya terhenti membaca Quran. Mereka menjerit lantas melompat lari ke serambi. Manakala Kak Jidah yang tekun duduk di hujung kaki jenazah emaknya sejak petang tadi ikut melompat lari ke dapur. Saya sendiri ikut sama lari ke serambi melihat kawan-kawan semuanya lari.
“Mengapa awak semua ni ?” tanya Tok Aji lantas berdiri. Semua orang di serambi juga bangun. Masing menerpa ke pintu menjengah ke dalam.
Ketika itu mayat Mak Endut kelihatan bergerak-gerak. Kemudian perlahan-lahan kepalanya terangkat, langsung duduk hingga kain selubungnya lurut ke pinggang. Hanya selindang yang diikat ke dagunya saja tidak terurai. Melihatkan Mak Endut sudah duduk, semua orang pun terjun ke tanah. Orang-orang perempuan di dapur semua terjun ke tanah kerana ketakutan.
Saya juga terpaksalah bersama dengan orang-orang yang lebih dewasa ari saya terjun. Memang ketika ini saya ketakutan, maklum sajalah melihat mayat sudah dibujurkan tiba-tiba duduk . Apa lagi orang-orang dewasa semuanya berlompatan ke tanah, tentunya kanak- kanak seperti saya lebih lagi ketakutan.
Ketika ini semua orang lari mengikut orang yang di hadapan, kerana kami tidak berani lari berpecah-pecah. Setelah jauh dari rumah Mak Endut, kami semua berpaling semula ke rumah. Barulah kami sedari bahawa Tok Aji tak ikut sama lari bersama orang ramai. Saya lihat ayah saya dan Mail Lembam balik semula ke halaman rumah, kerana Tok Aji masih lagi di dalam rumah. Pada fikiran kami Tok Aji tidak dapat lari kerana kakinya lumpuh sebelah. Tentulah terkial-kial kalau Tok Aji mahu lari menuruni tangga.
Melihatkan ayah saya dan Mail Lembam naik semula ke rumah, orang-orang yang lari pun merasa berani semula. Mereka semua balik semula naik ke rumah. Masing-masing yang di dalam ketakutan tadi kembali dapat mengawal perasaan. Kami semua naik semula ke rumah.
Rupanya semasa semua orang bertempiaran lari, Tok Aji masuk ke dalam. Dia duduk berhampiran dengan jenazah, sambil dua tapak tangannya dihalakan ke muka mayat Mak Endut. Matanya merenung tepat-tepat ke muka mayat. Semasa kami sampai dan naik ke rumah, mayat Mak Endut masih duduk terlunjur di tempat pembujurannya.
Ketika ini ayah saya menyuruh orang-orang lelaki yang lain duduk sambil mengikutnya berzikir. Dalam masa orang ramai berzikir, Tok Aji terus menghalakan kedua-dua tapak tangannya ke muka mayat Mak Endut.
“Sekarang kau baring semula, pergi kau mengadap Allah yang menjadikan kau dan semua makhluk” kata Tok Aji bagaikan memerintah.
Mayat itu perlahan-lahan rebah ke bantal, seolah-olah ada orang yang merebahkannya. Kerana saya lihat dia tidak pun jatuh terhempas apabila rebah ke belakang daripada duduk tadi. Kejadian ini memang mengherankan orang ramai yang menyaksikan pada malam  itu. Apa lagi kanak-kanak, saya ketika itu baru berumur 13 tahuntentulah ketakutan.
Lebih sebulan selepas kejadian itu ianya tetap menakutkan saya. Malah saya jatuh sakit terigau-igau melihat Mak Endut duduk walaupun sudah menjadi mayat. Tetapi setelah Tok Aji mengajak saya bangun setiap tengah malam, melakukan sembahyang tahjud, igauan itu hilang hilang terus dari ingatan saya. Tidak ada apa lagi yang saya takutkan terhadap igauan-igaun yang demikian.
“Endut, jangan kau bangun lagi. Kau kepunyaan Allah, bukan kepunyaan kami’ Tok Aji menamparkan tapak tangannya ke dahi mayat tiga kali. Kemudian dia menyelubungkan, semula mayat tersebut.
Selepas mayat  Mak Endut di bujurkan semula, ayah saya pun berhenti berzikir. Bagaimanapun dia sendiri membaca Yassin  dan membaca Al_Quran. Kak Jidah yang tercungap-cungap ketakutan mula-mula tadi duduk semula di hujung kaki jenazah emaknya. Dia meneruskan semula membaca Quran. Tok Aji pula menyuruh saya membaca Quran bergilir-gilir dengan kawan-kawan. Walaupun dalam ketakutan, saya membaca juga. Tetapi sekali sekala mata saya tetap mengerling ke arah jenazah yang terbujur, bimbang juga saya kalau-kalau dia bangun semula.
Sampai lah pagi tidak ada lagi kejadian mayat itu bangun semula. Terasa lega hati hati kami kerana tidak ada kejadian buruk yang berlaku semalaman tadi.
Hari siang, ayah saya pun mula menyuruh Mail Lembam ke kubur mengepalai orang menggali kubur. Masing-masing dibahagikan kerja mengikut arahan ayah saya kerana Mak Endut itu sepupu dia. Malah Mail Lembam sendiri iaitu adik Mak Endut menyerahkan tanggung jawap menyempurnakan jenazah itu kepada ayah saya.
Mak Endut meninggal dunia kerana mengidap sakit perut hanya beberapa hari saja. Suaminya sudah lama meninggal dunia sejak Kak Lijah anaknya yang bongsu baru turun buai. Sudah lebih 20 tahun suaminya meninggal dunia. Jadi, Mak Endut sendiri terpaksa menyara anak-anaknya sampai lah Abang Suhur dan Kak Indun berkahwin. Di samping itu dia mengambil upah menganyam tikar. Dia juga boleh mengurut dan membidankan ibu bersalin, tetapi tidaklah secara bersungguh.
Sebab itulah ramai orang mengatakan, tidak mungkin dia menuntut ilmu-ilmu salah sehingga terjadi peristiwa mayatnya bangun semula.
“Serahkan urusan Allah kepada Allah, janganlah kita ambil tahu sangat.” Nasihat Tok Aji apabila ada orang mahu bertanya mengenai kejadian pada malam berkenaan.
“Seingat-ingat saya dia tak ada menuntut ilmu-ilmu salah.....,” keluh ayah saya ketika sama-sama menolong orang membuat usungan.
Memang semua orang mengakui Mak Endut tidak mengamalkan ilmu-ilmu salah. Dia sendiri merupakan orang yang amat taat mengerjakan solat, berbudi bahasa dan tidak pernah menyakiti hati orang. Di samping ramah mesra, dia mudah bercampur gaul terutama kalau ada kenduri kendara di dalam kampung. Semua tahu bahawa Mak Endut sangat disukai oleh orang-orang kampung kerana dia juga bertolak ansur dalam apa-apa pun urusan.
Oleh itu orang percaya tidak mungkin dia memelihara syaitan, samada polong, pelesit atau pun hantu penanggal. Inilah menyebabkan orang tertanya-tanya apakah salahnya Mak Endut sehingga menyebabkan mayatnya bangun setelah dibujurkan. Hanya mayat orang-orang yang mengamalkan ilmu – ilmu salah atau ilmu syaitan saja yang menerima balasan seperti ini.
“Kita tidak akan mengetahui rahsia Allah, kerana Allah mengetahui yang zahir dan yang batin, yang lahir dan yang tersembunyi.” Tok Aji terus mengingatkan orang-orang yang tidak puas hati dengan kejadian yang menimpa mayat Mak Endut.
Kira-kira pukul 12.00 tengah hari orang-orang menggali kubur memberitahu bahawa kubur sudah disiapkan. Oleh ayah saya pun menyuruhkan orang memandikan mayat. Ketika ini kami terpaksa membawa air dari telaga dan di tampung dengan pasu dan besen besar. Dengan yang demikian sebelum mayat dibawa ke pelantaran, maka kami disuruh dulu memenuhkan air dalam semua bekas tampungan.
Saya ikut juga membawa air dalam baldi. Tetapi disebabkan kami bergotong royong beramai-ramai maka cepatlah semua bekas tampungan air itu dapat dipenuhkan bagi mencukupi untuk memandikan mayat. Nenek saya ditugaskan untuk mengepalai memandikan mayat kerana jenazah perempuan.
Sebaik saja jenazah hendak diangkat ke tempat mandi di pelantaran sekali lagi orangmemekik terkejut, kerana didapati di bawah jenazah itu ada beratus-ratus lipan bara seolah-olah menjadi tilam pula kepada jenazah berkenaan. Malah melihatnya pun sudah geli geleman, bagaimanakah pula mahu menguiskan lipan itu dari bawah tubuhnya?
“Ya Allah, lindungilah hambamu ni” keluh Tok Aji sambilmenampung kedua tangannya.
Semua orang yang melihat keadaan Mak Endut itu, ada yang takut dan ada juga yang kasihan. Apalah dosa Mak Endut sampaikan mayatnya begitu tersiksa. Sudahlah pada sebelah malamnya mayat itu bangun duduk, kemudian apabila nak dimandikan terdapat pula beratus-ratus ekor lipan bara di bawah tubuhnya. Seekor pun tidak mahu lari, walaupun kain penutup mayat sudah dilingkupkan. Lipan-lipan itu kelihatan merayap-rayap dan ada juga mengigit jenazah.
Ayah saya kelihatan marah dengan kejadian tersebut, sementara Tok Aji pula tenang. Air mukanya tetap jernih menghadapi masaalah tersebut.
“Ya Allah sekiranya hamba mu ini bersalah, ampunkanlah dia. Sekiranya hambamu ini dianiaya, maka lepaskanlah ia dari aniaya itu. Kepada engkaulah kami bermohon perlindungan dan kepada engkaulah kami memohon pertolongan” kata Tok Aji perlahan. Ketika ini air matanya tergenang di pelupuk mata.
Selepas Tok Aji berdoa, dia menyuruh ayah saya membawa air mandi ke situ. “ Kita mandikan saja jenazah ni di disini’ ujarnya.
Mereka semua tidak membantah. Semua air yang sudah ditampung diangkat ke dalam. Tok Aji sendiri memandikan jenazah bersama nenek. Ketika ini sengaja Tok Aji menyelubungkan jenazah, sebelum disiram dengan air.
Tujuh kali Tok Aji menyimbah air ke tubuh jenazah di bawah kain selubung itu, orang ramai melihat asap berkepul naik seperti bara kena siraman air. Apabila dibuka kain selubung itu, kami semua dapat melihat di bawah tubuh Mak Endut bara merah padam disirami air. Lipan-lipan yang berkeliaran tadi, kami lihat sudah menjadi arang.
Tetapi siapa pun tidak berani bertanyakan kepada Tok Aji, kerana sudah menyuruh setiap orang jangan bertanya apa-apa. Dia hanya mengingatkan  semua orang supaya ingatkan Allah saja. Berserahlah kepada Allah diatas segala urusannya, kata Tok Aji kepada mereka.
Tidak jadilah jenazah itu dibawa ke pelantaran. Di situ sajalah dimandikan iaitu diatas tilam tempat jenazah dibujurkan. Kawasan tengah rumah menjadi lecah kerana air tidak telus dicelah lantai.
“Nampaknya kau nak mandi di ataas tilam Endut, sebab itu aku mandikan di atas tilam ni” kata Tok Aji menampar pipi Mak Endut.
Bagaimanapun muka Mak Endut tidak apa-apa. Wajahnya kelihatan bersih seperti sedang tidur. Belakangnya yang digigit lipan beratus-ratus ekor tadi juga tidak kelihaytan pun bekas gigitannya. Kulit tubuhnya tetap kelihatan bersih, walaupun ada terdapat lebam-lebam sedikit.
“Apa agaknya masalahnya ni ayah?” tanya ayah saya, kerana dia sajalah yangberani bertanya.
“Urusan kau jaga sendiri, jangan urusan Allah kau nak jaga” ujar Tok Aji macam memarahinya.
Terdiam ayah saya apabila diingatkan oleh Tok Aji demikian. Kalau ayah saya sendiri sudah ditegurnya sudah tentu orang lain tidak berani bertanya kepadanya.
Sampailah jenazah selamat dimandikan tidak ada apa-apa kejadian ganjil yangdilihat. Ketika dikapankan pun tidak ada apa-apa gangguan. Tetapi memang saya melihat sendiri jenazah Mak Endut itu, wajahnya tetap bersih seperti orang sedang tidur. Tubuhnya terdapat lebam-lebam sedikit, itu pun di bahagian betis dan lengannya yang dipenuhi beratus-ratus ekor lipan tidak ada kesan gigitan apa-apa.
Sehinggalah dibawa ke kubur, jenazahnya selamat dikebumikan dengan tidak ada lagi gangguan-gangguan yang mengerikan.
----------Selesai-----