Sunday, February 22, 2015

112.BERKELAHI DENGAN PUAKA HUTAN



SETELAH diberi tahu mengenai sudah beberapa hari Mat Tipin terkejang, saya terpaksa juga balik ke kampung menjengah.  Memang terburu-buru Bahadin mendesak emaknya supaya segera membawa ayahnya ke hospital, tetapi Uda Lipah tetap berkeras.  Biarlah berkumpul anak-anak semuanya bacakan Yasin sahaja, disebabkan tidak pernah Mat Tipin sakit sampai terkejang tidak sedarkan diri.
Lainlah kalau dia sakit di sebabkan anak-anaknya menderita sakit memang Uda Lipah percaya suaminya tidak mengidap apa-apa penyakit.  Dia sekadar memindahkan penyakit yang dihidapi oleh anaknya kepada dirinya sendiri.  Tetapi dalam masa Mat Tipin terkejang sakit sedangkan tiada seorang pun anak-anakya terkejang, sudah tentu suaminya itu benar-benar menanggung kesakitan.
Sebab itu Uda Lipah berkeras tidak mahu terburu-buru Mat Tipin dibawa ke hospital.  Apabila Bahadin balik ke kampung pun, Uda Lipah tetap bertahan supaya Mat Tipin tidak dibawa ke hospital mendapatkan rawatan.  Dia dapat mengagak tentu suaminya bukan mengalami sakit biasa yang boleh mendapatkan rawatan di hospital.
Apabila ayah saya diberi tahu mengenai penyakit yang di hidapi oleh Mat Tipin, segera dia menyuruh Bahadin memberi tahu saya.  Setidak-tidaknya saya dapat juga menatap wajah sepupu saya itu sekiranya berlaku hukum Allah dan Mat Tipin menutup mata rapat-rapat.  Tentulah tidak terkilan saya sekiranya sudah dapat menatap mukanya sebelum dia meninggal dunia.
“Kenapa kamu tak bawa ke hospital?” gerutu saya sebaik sahaja menerima panggilan telefon dari Bahadin.
“Mak yang berkeras tak benarkan pak ngah,” sahut Bahadin menahan sebak di dada.
“Hah, kenapa kamu ikutkan sangat cakapnya, ini perkara sakit.” Ujar saya sengaja menyuruh Bahadin membawa ayahnya ke hospital.
Bahadin tidak menyahut.  Memang dia serba salah juga mahu berkeras setelah emaknya tidak mahu ayahnya dibawa ke hospital.  Dia tidak boleh membuat keputusan sendiri kerana adik beradik yang lain juga perlu memberikan buah fikiran masing-masing.  Tentu mereka semua tidak mahu menyinggung perasaan emaknya yang tetap bertahan tidak mahu membawa ayah mereka mendapatkan rawatan ke hospital.
Semasa saya sampai di rumah Mat Tipin dia masih terkejang di tengah rumah dihadap oleh kaum keluarga.  Tidak siapa pun berani membantah keputusan Uda Lipah supaya Mat Tipin tidak dihantar ke hospital.  Sia-sia sahaja menghantar Mat Tipin ke hospital sekiranya dia dalam kadaan nazak.
Memang Uda Lipah sendiri tidak tahu bagaimana Mat Tipin mengalami kejadian tiba-tiba sahaja tidak sedarkan diri.  Selepas makan tengah hari dia sekadar memberi tahu Uda Lipah mahu bersiar-siar menikmati hembusan angin di sekeliling rumahnya.  Kemudian dia masuk ke rumah untuk tunaikan solat zohor.
Selesai sahaja solat lantas dia memberi tahu Uda Lipah mahu tidur sekejap.  Dia juga tidak benarkan Uda Lipah kejutkan dia sekirannya dia lama tertidur sampai ke petang.  Apabila Mat Tipin tidak juga bangun selepas masuk maghrib, mula perasaan Uda Lipah berdetak.  Beberapa kali dikerjutkan dia merasakan seluruh tubuh Mat Tipin sejuk tidak bergerak sekalipun nafasnya masih mengombak-ombak di dada.
“Macammana pandangan angah?”  Uda Lipah menatap muka saya dalam keadan cemas.
“Entahlah, saya pun tak dapat nak agak,” beritahu saya memandang ayah saya yang membacakan Yassin di sisinya.  “Tunggulah ayah habis baca Yassin, kita bincang dulu,”  jelas saya supaya Uda Lipah bersabar menunggu sehingga ayah saya selesai membacakan Yassin.
“Kalau angah boleh buat apa salahnya buatkan dulu,” lantas emak saya mendesak di sebabkan dia sendiri sudah tidak sabar lagi dengan keadaan Mat Tipin terkejang sejak beberapa hari.
“Agaknya dia tunggu angah tu,” adik saya Lebai Maarih sengaja bergurau.  Dalam keadaan seisi keluarga menghadapi suasana cemas pun dia masih juga mahu bergurau.
“Kamu ni Lebai, janganlah nak bergurau aje,”  segera emak saya mendengus dengan sikap adik saya yang tidak pernah cemas apa-apa.
Tahu sangat dia dengan sikap Lebai Maarih hanya sekadar tersengih-sengih sahaja sekalipun anaknya mengidap angin pasang sampai bahagian kemaluannya membengkak.
Puas didesak oleh emak saya supaya dihantar ke hospital biar dibedah, Lebai Maarih tersengih-sengih sahaja.  Cukuplah padanya doakan sahaja setiap kali selesai solat.  Apabila angin pasang tidak mengganggu memang anaknya leka bermain, tetapi tatkala gangguannya menjadi-jadi sampai membengkak bahagian kemaluan anaknya akan terjerit-jerit menangis kesakitan.
Setelah anaknya terkaku akibat menahan kesakitan, barulah Lebai Maarih membawa anaknya ke hospital.  Memang terpaksa dibedah juga supaya gangguan angin pasang itu tidak berterusan.  Lebai Maarih tetap tersengih-sengih sahaja apabila disindir oleh emak saya setelah anaknya sembuh betul.
“Hospital tu ikhtiar aje mak, yang menyembuhkan tetap Allah,” sahut Lebai Maarih kalau emak saya ungkit-ungkit fasal keengganan dia menghantar anaknya mendapatkan rawatan di hospital.
Tetapi ayah saya ingatkan emak saya supaya tidak ungkit-ungkit sangat mengenai sikap Lebai Maarih.  Sudah beberapa kali ayah saya cam sangat apabila Lebai Maarih buat kenduri, emak saya bimbang mengenai masakan yang tidak mencukupi.  Lebai Maarih sediakan masakan untuk dihidangkan untuk beberapa orang sahaja.
Semasa kenduri bermula, emak saya melihat terlalu ramai orang yang dijemput.  Bukan takat di serambi luar sahaja penuh terasak sampai ke hujung, di bahagian tengah rumah juga jiran-jiran perempuan memenuhi ruang hingga santak ke dapur.  Apalagi anak-anak kecil yang ramai berhimpit-himpit.
Lebai Maarih tidak bimbang apa-apa sekalipun ramai tetamu yang datang.  Tatkala hidangan dikeluarkan memang makanan mencukupi.  Malah berlebihan pula hingga boleh dikirimkan buat bekal mereka balik ke rumah masing-masing.
Sebab itu ayah saya tidak peduli sangat mengenai sikap adik saya Lebai Maarih.  Kalau dia mengidap demam berpanjangan pun Lebai Maarih tidak akan jejak kaki ke hospital. Dia sekadar doakan air yang  dibubuhkan tiga butir garam kasar dengan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas sahaja.
Memang emak saya sendiri merasa pelik dengan sikap Lebai Maarih yang tidak pernah merasa cemas apa-apa.  Semua musibah yang menimpa keluarga dianggapnya tidak penting sangat.  Dalam saat Mat Tipin terkejang pun Lebai Maarih sengaja mahu mengusik saya disebabkan terlambat datang menjengah.
“Angah pulalah bacakan Yassin,”  ayah saya mendesak setelah dia selesai membacakan surah Yassin.
Saya mengangguk perlahan.  Setelah merenung muka Mat Tipin yang pucat segera saya meletakkan tapak tangan pada ubun-ubunnya.  Tidak terasa pun denyut pada ubun-ubunnya seperti bayi kecil baru lahir.  Sekiranya ubun-ubunnya ikut sama mengombak lazimnya mengikut pengalaman saya memang tidak perlukan lagi dibuat apa-apa ikhtiar.
Tubuh Mat Tipin memang sejuk kaku disebabkan sudah beberapa hari terkejang.  Tetapi perkara urusan Allah sukar mahu diberi tahu kepada sesiapa.  Sekiranya saya berkeras mahu berikhtiar untuk dihantar Mat Tipin ke hospital, manalah tahu dia kan menghembuskan nafas juga.  Tentu mereka akan menuduh saya sengaja berdalih disebabkan Mat Tipin sudah tidak dapat dipulihkan lagi.
Sebab itu saya juga tidak mahu mendesak supaya dihantar ke hospital.  Bimbang juga kalau-kalau Uda Lipah menyalahkan saya sekiranya Mat Tipin tidak sempat sampai ke hospital.
“Kita baca Yassin, angah?” Bahadin berbisik dalam keadaan rusuh tidak ketahuan.
Saya mengangguk, kemudian berpaling pada Lebai Maarih.  Tetapi Lebai Maarih tersengih-sengih sahaja seolah-olah mengejek Bahadin yang terlalu gelisah.
“Kamu pun, bacakanlah Yassin, Lebai,”  emak saya segera mencuit kepala lutut Lebai Maarih yang sejak datang ke situ tidak berikhtiar apa-apa.
Apa sangat dengan Mat Tipin yang terkejang, sedangkan isterinya mengidap sakit kepala sampai terkancing gigi pun di tetap tidak cemas.  Lebai Maarih tidak peduli sangat mengenai ikhtiar mahu mengubati, kerana berdoa juga satu ikhtiar yang sudah dilakukannya.
Memang saya juga tidak harapkan Lebai Maarih dalam saat demikian.  Sama ada dia mahu ikut sama membaca Yassin atau tidak bukanlah penting sangat.  Hanya saya tidak tahu sama ada Mat Tipin mengidap penyakit atau tengah nazak.  Dalam keadaan serba salah tiba-tiba sahaja saya bacakan doa:
..Innar roha iza qubidhorabi’ uhul basaru,Allahummagh firli warfa’ darajatahu fil mahdiyina wakhlafhu fi ‘aqibihi fil-ghabirina waghfirlana walahu ya rabbil ‘alamina wafsah lahu fi qubrihi wanuwirlahu fihi..
Sebaik sahaja saya melihat jauh ke dalam matanya Mat Tipin tersenyum.  Dia bersila rapat di tengah lingkaran cahaya putih dengan gema zikir yang bergaung hingga ke udara.  Tidak dapat saya mahu mengagak sama ada dia terkejang sakit atau menhadapi saat yang amat payah.
Lainlah Tok Aji yang sentiasa tenang tatkala ayah saya terkejang setelah ditemui tidak sedarkan diri di bawah rumpun buluh.  Apabila hujan renyai-renyai turun tidak bertangguh ayah saya berteduh di bawah rumpun buluh sementara menunggu kawannya Pawang Mat Kup datang ke situ.  Memang dia membantu kawanya itu mengaut pasir sungai setelah diupah oleh kontraktor membina empangan.
Tiga hari berturut-turut dia bersama Pawang Mat Kup mengorek pasir tetapi semuanya balik semula ke dasar sungai.  Berkali-kali pula empangan yang dibina itu roboh dirempuh banjir tidak menentu.  Asal sahaja empangan berkenaan siap sudah ditentu banjir akan merempuh hingga semuanya roboh.
Terpaksa pula kontraktor membina empangan itu meminta Pawang Mat Kup bersimah kepala kambing.  Semenjak disimah oleh Pawang Mat Kup dapat juga bertahan dua tiga tahun.  Apabila roboh lagi dirempuh banjir itulah Pawang Mat Kup di jemput.
Setelah Pawang Mat Kup membakar kemenyan di sekelliling empangan, dia sendiri cadangkan kepada Ah Soon yang menjadi kontraktor supaya pasir di bawah empangan dikorek naik ke tebing.  Di bawah empangan itu akan dikonkrik dengan simen biar tapaknya kukuh.  Tentu empangan itu tidak akan roboh lagi sekiranya di konkrik kukuh tapaknya.
Apabila tiga hari berturut-turut pasir yang dikorek ke tebing turun semula ke dasar sungai, Pawang Mat Kup sudah mahu mengalah.  Tetapi dia tidak memberi tahu ayah saya keputusannya tidak mahu datang mengorek pasir hari berkenaan.  Sebab itu ayah saya datang juga ke tempat kerjanya dengan harapan Pawang Mat Kup akan menyusul kemudian.
Tatkala dia mengorek pasir di dasar sungai inilah hujan renyai-renyai turun.  Disebabkan ayah saya tidak peduli sangat dengan apa pun pantang larang Pawang Mat Kup dia terus juga mengorek pasir di tengah hujan turun renyai-renyai itu.  Ketika ini juga dia mendengar deruan air bergaung dari arah hulu.
Tidak bertangguh ayah saya naik ke tebing sungai bertahan di bawah rumpun buluh.  Dia terlangah-langah memerhati di sebelah hulu empangan kerana bimbang bah akan menyerbu tiba-tiba.  Tentu dia akan terperangkap di tengah arus deras sekiranya bah tiba-tiba sahaja menyerbu dari sebelah hulu.
Tetapi lama dia menunggu bunyi deru air mengombak kuat di sebelah hulu itu, tidak juga nampak tolakan air menyerbu.  Hanya dalam beberapa saat sahaja ayah saya melihat batu konkrit empangan itu bergegar kuat seperti dirempuh kayu balak enam tujuh pemeluk.
Satu-satunya yang tahu mengenai kejadian empangan yang sudah beberapa kali roboh itu hanya Ucu Lawi.  Memang ayah saya sama-sama berkongsi mengambil upah mengorek pasir di bawah empangan itu.  Mereka mengambil upah dari Pawang Mat Kup yang diberikan oleh kontraktor membina empangan itu kerja mengorek pasir secara memborong.
Di sebabkan Ucu Lawi lambat datang memulakan kerja, ayah saya pergi dulu ke empangan berkenaan.  Semasa Ucu Lawi sampai dia melihat ayah saya terbaring di bawah rumpun buluh aur tidak bergerak apa-apa. Setelah dilihat oleh Ucu Lawi keadaan ayah  saya bukan sekadar terbaring tetapi bulu romanya memercik darah, tidak bertangguh dia memanggil beberapa orang penduduk mengusung ayah saya balik ke rumah.
Dalam saat ayah saya terkejang itu memang Pawang Mat Kup juga datang menjengah.  Dia tidak berani mengubati kerana Pak Tua Mahat tidak benarkan.  Memang Pawang Mat Kup tahu tidak pernah Pak Tua Mahat meminta bantuan sesiapa pun apabila dia sudah sanggup mengubat.  Apa lagi ayah saya adik iparnya sendiri, masakan dia biarkan Pawang Mat Kup bersusah payah.
Apabila Tok Aji datang jejak kaki setelah diberi tahu mengenai nasib malang yang menimpa ayah saya, dia sendiri tidak benarkan Pak Tua Mahat membakar kemenyan.  Setelah melihat keadaan ayah saya berdetak juga hatinya kerana dia menuduh tentu anaknya tengah nazak.  Tidak bertangguh dia bacakan Yassin diikuti sama oleh Pak Tua Mahat dan kaum keluarga semua.
Sewaktu Tok Aji memnbacakan: Salamun qaulan mirrobbirrohiim, diulangi sampai 16 kali, tersenyum Tok Aji menatap wajah ayah saya yang terkejang laksana mayat dibujurkan.  Kemudian perlahan-lahan dia berpaling memandang Nenek Aji lantas menuturkan:
“Biarkan dia dulu, aku nampak dia tengah mengubat dirinya sendiri.  Tak apalah kita sabar dulu, tengok sekejap lagi.  Manalah tahu dia akan membuka mata, insya Allah,”
Barulah emak saya dan Nenek Aji menghela nafas lega setelah Tok Aji memberi tahu demikian.  Dia percaya tentu Tok Aji sudah dapat memahami keadaan sebenar yang menyelubungi ayah saya ketika itu.  Tiga hari dia terkejang lantas sahaja ayah saya membuka mata.  Lama dia termenung menggeleng-geleng perlahan sambil beristighfar.
“Kenapa kamu ni?”  segera Nenek Aji mengusap belakang ayah saya yang duduk memerhati keliling.
“Hah, Maha Suci Allah, Subhanallah…” keluh ayah saya lantas meminta emak saya masakkan bubur.
Setelah menjamah bubur baru ayah saya memberi tahu mengenai lembaga besar berkepala botak seolah-olah berenang dari sebelah hulu empangan.  Tatkala dia mahu merobohkan empangan berkenaan, Pawang Mat Kub tercegat di udara bertunggang di belakang harimau.
Pawang Mat Kub melaung dari udara meminta lembaga besar berkepala botak supaya tidak robohkan empangan berkenaan.  Kemudian dia menuding kearah ayah saya yang terkejang di bawah rumpun buluh aur.  Tidak bertangguh lembaga besar berkepala botak itu mahu menerkam kearah ayah saya, tetapi ayah saya sudah melompat keatas tengkuknya.
Terpaksa lembaga besar berkepala botak itu menghambur tinggi mahu melimparkan ayah saya.  Tetapi cengkaman ayah saya kuat di tengkuknya hingga tidak dapat dilepaskan.  Dalam masa yang sama ayah saya menumbuk kepalanya dengan membacakan:
..Inna fatahna laka fathan mubinan, Ia qauwata illa billah, ‘allallahi tawakkalna rabbana la taj’alna fitnatan lilqaumiz zolimina minajjina birahmatikamiknal qaumil kafirin..
Tiga kali ayah saya hentakkan penumbuknya ke kepala lembaga berkenaan,  terjerit dia melaung akibat kesakitan.  Kepalanya yang botak juga retak bagaikan konkrit simen empangan terpokah akibat dirempuh banjir.
“Tok Pawang Mat Kup, awak nak bunuh aku ke?” marah benar lembaga besar kepala botak itu tengadah Pawang Mat Kub yang berligar di udara dengan menunggang di belakang harimau.
“Aku dah beri kamu makan, pandai-pandailah nak buat macam mana,” sahut Pawang Mat Kub dalam suara yang bergetar setelah menyedari lembaga besar berkepala botak itu tidak berpuas hati.
“Awak ingat aku ni bodoh!” jerkah lembaga berkenaan cuba melepaskan cengkaman tangan ayah saya di tengkuknya.  “Tengok  ni, bukan aku nak makan dia, tapi Bilal Hud ni nak bunuh aku!” gerutunya mengerang-gerang kuat menanggung beban kesakitan yang tidak terhingga.
Serba salah Pawang Mat Kup apabila lembaga besar berkepala botak itu terkial-kial mahu melepaskan diri.  Belum sempat dia membantingkan ayah saya ke tanah sekaligus ayah saya melompat ke tanah.  Tidak bertangguh dia mengilas tangan lembaga berkenaan ke belakang dengan membacakan:
Subhanad daim mil qaim, subhanal haiyun qaiyum, subhanallahhi wabihamdihi, subhanallahhil azimi wabihamdihi, subhanal malikul quddus, subhana rabbil malaikti warroh.
Serentak dengan itu tubuh lembaga berkenaan retak-retak hingga memancut darah laksana air mencurah dari rekahan empangan yang pecah.  Dia jatuh berguling di tanah dengan menggelepar hingga terkinjal-kinjal kaki menendang angin.
“Pawang Mat Kub, awak tipu aku ye!”  gerutu lembaga itu menghempas-hempas badan terus terjun ke tengah arus sungai. “Kenapa Bilal Hud ni yang awak suruh aku makan?” gema laungannya mengombak bersama arus sungai yang deras menerjah ke tebing.
Sebaik sahaja lembaga besar berkepala botak itu hilang, tidak bertangguh ayah saya menudingkan jarinya kearah Pawang Mat Kub di udara.  Tersengih-sengih Pawang Mat Kub mahu melarikan diri,. Tetapi harimau tunggangannya terkaku apabila melihat Tok Aji mengelilinginya.  Pawang Mat Kub juga menjadi keliru disebabkan beribu-ribu Tok Aji di sekelilingnya macam pagar kukuh yang tidak mampu dirempuh.
Harimau tunggangan Pawang Mat Kub berligar-ligar mahu mencari ruang untuk melepaskan diri.  Setiap kali dia mahu melompat langkahnya akan goyah hingga tersungkur.  Terkial-kial harimau berkenaan mahu bangkit semula dengan segala susah payah.
“Oh, awak nak menganiaya kawan nampaknya, Abang Mat Kub!”  lantas ayah saya mengejeknya.
Ketika bayangan Pawang Mat Kub hilang ditiup angin kencang ayah saya membuka matanya.  Sebab itu masih dalam keadaan letih apabila meminta emak saya masakkan bubur.  Belum pun habis ayah saya menjamah bubur nasi yang di hidangkan, Ucu Lawi terjongol di muka pintu tengah.
Ucu Lawi yang beritahu mengenai anak gadis Pawang Mat Kub tiba-tiba sahaja terkejang tidak sedarkan diri semasa membasuh kain di telaga.  Belum sempat diusung naik ke rumah dia menghembuskan nafasnya dengan kepala terlintuk seolah-olah tengkuknya patah.
Memang keadaan Mat Tipin sama seperti dialami oleh ayah saya tatkala bergelut dengan gangguan syaitan.  Tetapi Mat Tipin tidaklah diganggu syaitan apabila dia memberi tahu Uda Lipah mahu tidur beberapa jam.  Tentu Mat Tipin menpunyai amalan yang tidak dapat saya agak sangat cara dia mengamalkan.
“Tak apalah, Mat Tipin ni ada urusannya sendiri,”  lantas saya berpaling memandang ayah saya.  “Ayah pun pernah mengalami macam tu agaknya,” ujar saya ingatkan kejadian yang menimpa ayah saya semasa saya masih lagi dalam bedungan.
Ketika Mat Tipin membuka mata tersenyumn dia mengerling kearah saya.  Sekalipun dia tidak bercakap apa-apa, tetapi sengaja dia memberi isyarat supaya saya juga diamkan diri sahaja.  Memang dia tahu saya dapat memahami kenapa dia terkejang sejak tiga hari laksana mayat dibujurkan.
Semasa saya masih lagi belajar beberapa tahun sebelum itu memang Mat Tipin juga pernah terkejang tidak sedarkan diri seperti mayat dibujurkan.  Memang gelabah juga Pak Tua Mahat setelah diberi tahu mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu.
Apabila Mat Tipin terkejang lantas sahaja Pak Tua Mahat ingatkan kejadian dia berburu ayam hutan tatkala anaknya itu masih lagi kecil.  Ketika ini Pak Tua Mahat tahu muslihat sebenarnya yang berlaku keatas diri Mat Tipin.  Tetapi setelah Mat Tipin balik belajar dari Patani, Pak Tua Mahat tidak dapat mengagak punca sebenarnya Mat Tipin tiba-tiba sahaja terkejang macam mayat dibujurkan.
Kalau diganggu puaka hutan sudah dicuba oleh Pak Tua Mahat memerangkap lembaga tinggi jelmaan Malim Panjang, tetapi lembaga itu mengaku di depannya bukan bencana puaka hutan.  Jelmaan Malim Panjang sendiri akan menanggung padah sekiranya berani ganggu Mat Tipin seperti pernah berlaku semasa anaknya itu masih kecil.
Memang jelmaan Malim Panjang tidak akan mengganggu keluarga Pak Tua Mahat selagi dia boleh menghambat ke mana sahaja puaka hutan bersembunyi.  Setelah dia tidak berupaya memulihkan Mat Tipin, terpaksa juga Pak Tua Mahat beri tahu Tok Aji.
Sebaik sahaja Tok Aji melihat keadaan Mat Tipin dia dapat mengagak anak muda itu bukannya sakit terlantar.  Mat Tipin tidak bangun tidur selepas dia selesai solat subuh.  Hingga santak asar dia tidak bangun tidur selepas dia selesai solat subuh.  Hingga santak asar dia tidak bangun terpaksa dikejutkan oleh Pak Tua Mahat.  Ketika ini dia merasakan tubuh Mat Tipin sejuk laksana mayat sudah diqiamkan.
“Tak payah diganggu, Mat Tipin ni,”  beri tahu Tok Aji menyebabkan Pak Tua mahat serba salah.
Masakan Tok Aji mahu biarkan Mat Tipin terkejang dengan tidak diubat langsung.  Perkara ajal maut memang di tentukan oleh Allah, tetapi sekiranya terkejang sakit memang wajib diubati.
Memang Tok Aji sendiri tidak tahu bagaimana mahu mengubati setelah mendapati Mat Tipin sekadar dilihat terkejang sahaja di tengah rumah.  Tetapi Tok Aji dapat melihat Mat Tipin duduk di tengah masjid yang diterangi lampu berkerlipan berzikir sepenuh hati.
Masuk sahaja waktu solat, Mat Tipin akan tunaikan solat penuh khusuk dengan tidak diganggu sesiapa pun.  Puas Tok Aji berkeliling masjid berkenaan mahu masuk ke dalam, tetapi tidak menemui pintunya.  Dia sekadar melihat Mat Tipin bagaikan dikelilingi dinding cermin yang jernih.
Beberapa kali Tok Aji memberi salam tidak dipedulikan langsung oleh Mat Tipin.  Hanya sekali sekala dia menoleh kearah Tok Aji tetapi tidak mahu menyambut salam Tok Aji.  Setelah puas berkeliling mencari pintu masuk tidak juga ditemui lantas Tok Aji membacakan surah ad-Dhuha 10 kali dan bedoa:
..”Rabbi inni a’uzubika an’aslaka malaisalibihi ‘ilmi, wa’illa tagh-firli waterhamni akun minal hasirin”
Ketika ini melihat asap putih berpusar dari tanah hingga dinding cermin masjid terbuka laksana pintu gerbang.  Sebaik sahaja Tok Aji masuk ke ruang masjid, dia terus solat sunat tahyatul masjid dua rakaat.  Kemudian duduk bersebelahan dengan Mat Tipin yang masih wirid.
Disebabkan Mat Tipin tidak pedulikan dia sekalipun duduk di sebelahnya lantas Tok Aji menepuk bahu lelaki berkenaan.  Terasa pada Tok Aji bahu Mat Tipin lembut bagaikan kapas.  Di ruang masjid berbau harum dengan pelbagai bau yang menakjubkan.
“Di mana kamu sekarang ni, Mat Tipin?” bisik Tok Aji setelah lelaki itu berpaling kearahnya.
“Tok Aji jangan bimbang, saya di persinggahan sekarang ni, nanti saya balik,” beri tahu Mat Tipin perlahan di tengah tema zikir di sekeliling masjid.  Tetapi dia terkejut juga apakala melihat Tok Aji masuk ke tempat persinggahannya.
“Tapi, ayah kamu bimbang,” ujar Tok Aji disebabkan Mat Tipin asyik di situ hingga tidak mahu lagi melangkah keluar. Masakan Mat Tipin mahu meninggalkan ruang masjid yang indah dengan bau-bauan harum semerbak di kelilingnya.
Di situ dia lebih puas berzikir dengan aman kerana tidak ada gangguan langsung.  Segalanya sepi dengan bunyi elusan angin diselang seli oleh kocakan air yang permai.  Hingga Tok Aji sendiri tergenang air di pelupuk mata tatkala melihat suasana di dalam masjid yang mengasyikkan dirinya.
“Ayah tak perlu bimbang, Tok Aji,”  jelas Mat Tipin ingatkan Tok Aji supaya balik dahulu memberi tahu ayahnya.
Sebab itulah sukar sangat Tok Aji mahu memberi tahu Pak Tua Mahat mengenai Mat Tipin yang dilihat terkejang di tengah rumah itu.  Sekali pun Pak Tua Mahat mempercayainya bagaimana pula dengan keluarga yang lain.  Masing-masing cemas di sebabkan semenjak tiga hari Mat Tipin terkejang keadaannya masih juga belum berubah.
Tetapi kejadian Mat Tipin terkejang ketika itu memang tidak sama semasa geruh menimpa Pak Tua Mahat berburu ayam hutan itu.  Hanya kesabaran sahaja yang dapat mengatasi cabaran getir yang dilalui oleh Pak Tua Mahat dalam saat demikian.  Kalaulah dia mudah marah hingga terburu-buru, belum tentu dia dapat menyelamatkan Mat Tipin.
Jiran-jiran sekadar melihat dia memasak di dapur hingga menyiapkan hidangan.  Ketika ini hanya Pak Tua Mahat sahaja yang menanggung kesukaran dengan ujian yang perlu ditempuhinya.  Siapa pun tidak tahu ketika itu Mat Tipin jauh di atas batu dikelilingi air mendidih panas.
Setiap kali Pak Tua Mahat hulurkan buluh untuk dijadikan titian, sekaligus sahaja buluh berkenaan hangus terbakar.  Memang sayu hati Pak Tua Mahat melihat Mat Tipin melambai-lambai tangan meminta dia dikeluarkan dari kepungan air panas mendidih itu.
Tatkala ini Pak Tua Mahat boleh meminta bantuan jelmaan Malim Kerimun kalau takat mahu menghalau lembaga tinggi yang kepalanya tersantak keawan.  Tentu lembaga tinggi itu akan mengalah sekiranya jelmaan Malim Kerimun tercegat di situ.  Tahu sangat lembaga tinggi itu memang jelmaan Malim Kerimun itu anaknya yang meranduk hutan belantara mencari  dirinya yang hilang semasa memburu rusa putih.
Malim Kerimun satu-satunya yang diberi petua oleh lembaga tinggi itu mengenai asal usulnya berburu rusa putih di tengah hutan semata-mata isterinya mengidam tengah mengandung sulung.  Disebabkan terlalu banyak membunuh rusa dengan tombak saktinya Malim Panjang terpaksa mematuhi kemahuan Puteri Tinggi setelah termasuk perangkapnya.
Setelah Malim Panjang menjelma menjadi lembaga tinggi yang hodoh dengan mukanya ke atas ubun-ubun, Puteri Tinggi memaksa dia menjadi gembala rusa-rusa di tengah hutan.  Asal siapa sahaja berburu rusa di tengah hutan tidak meminta izin Puteri Tinggi nescaya akan menanggung geruh badi puaka hutan.
Sebab itulah Pak Tua Mahat banyak gunakan amalan Malim Kerimun turun termurun kalau berburu di hutan.  Lembaga tinggi atau puaka hutan tidak akan mengganggu selagi dia tetap amalkan petua Malim Kerimun.  Asal sahaja puaka hutan menyedari Malin Kerimun anak Malim Panjang yang hilang di hutan semasa memburu rusa putih, selama itulah Pak Tua Mahat tidak akan diganggu.
Tetapi semenjak mengikut Tok Aji dia tidak mahu lagi amalkan petua Malim Kerimun.  Biarlah jelmaan Malim Kerimun ingatkan dia mengenai bahaya berburu di hutan kalau tinggalkan amalan tersebut.  Tentu mudah lembaga tinggi mengganggu sekiranya binatang hutan diburu dengan tidak meminta izin daripada puaka hutan.
Biarlah puaka hutan mengancam.  Pak Tua Mahat tidak mahu mengalah sekali pun menyedari anaknya Mat Tipin dilarikan ke atas batu yang jauh ditengah air mendidih panas.  Dia tidak akan meminta pertolongan dari Malim Kerimun dalam saat menghadapi cabaran getir demikain.  Pak Tua Mahat perlu bersabar ketika melalui ujian ynag menyayat perasaannya itu.
Dalam masa Mat Tipin melambai-lambai tangan meminta dia menolongnya., Pak Tua Mahat memang nampak kelibat jelmaan Malim Kerimun berligar di udara seolah-olah menawarkan diri mahu membantunya.  Tetapi Pak Tua Mahat tidak pedulikan Malim Kerimun yang berligar-ligar di udara.  Kalau dia meminta bantuan Malim Kerimun sama juga macam menyerahkan diri kepada lembaga tinggi yang mengancam anaknya.
Sebab itu dia tidak mahu mematuhi perintah Malim Kerimun, tetapi kelibat jelmaan Malim Kerimun itu mesti mematuhi permintaannya.  Dia tidak akan membiarkan dirinya dikuasai oleh kelibat jelmaan Malim Kerimun hingga tunduk kepada kemahuan puaka hutan yang juga jenis syaitan sememangnya musuh manusia yang nyata.
Setiap kali jari pak Tua mahat menyiang daging ayam hutan di tengah dapur, dia makrifatkan memukul tubuh Malim Karimun dengan cemeti hingga birat memercik darah.  Kelibat Malim Kerimun menggeliat-geliat akibat cemati yang menyinggahi badanya.
“Awak nak melawan aku nampaknya, Mahat,”  gerutu Malim Kerimun terkial-kial mahu mengelak sebatan cemati di tangan Pak Tua Mahat.
Tapi Pak Tua Mahat tidak menyahut apa-apa.  Jauh di dalam kalbunya Pak Tua Mahat tidak lepas menyebut: Bismillahhi wallahhu ghalibun ‘ali amri.  Biarlah kelibat jelmaan Malim Kerimun itu mengutuknya, Pak Tua Mahat tetap bersabar dengan ketentuan Allah.
Sekiranya ajal Mat Tipin sudah ditetapkan tidak sesaat pun diundurkan dan tidak sesaat pun didahulukan,masakan dia boleh bertahan.  Tetapi Pak Tua Mahat tidak mahu dia dikelirukan oleh syaitan jelmaan kelibat Malim Panjang yang menjadi puaka hutan dengan tubuhnya tinggi hingga kepala santak keawan.
“Cukuplah Mahat,” gerutu Malim Kerimun tidak bertahan akibat tubuhnya disinggahi cemati berulang kali.  Menggeletar dia menahan sebatan cemati hingga berbirat memercik darah itu.
Pak Tua Mahat tetap mendiamkan diri penuh sabar.  Biarlah apa pun dituturkan oleh kelibat jelmaan Malim Kerimun yang meresapi emak mertuanya, Pak Tua Mahat tetap tidak hiraukan. Zikirnya dimantapkan lagi biar seluruh tubuhnya hancur di dalam zikir yang berterusan tidak putus sesaat pun.
Semakin galak Malim Kerimun merasuk, semakin kalut emak mertua Pak Tua Mahat mericau melepaskan marah yang membakar di dada. Tetapi Pak Tua Mahat tahu yang mencerca dia di hadapannya bukan lagi emak mertuanya, sebaliknya kelibat jelmaan Malim Kerimun yang diancam oleh sebatan tali cemati.
Sekiranya zikir yang bergema di sanubari Pak Tua Mahat terputus bermakna kelibat Malim Kerimun dapat menundukkan dia.  Sebab itu Pak Tua Mahat terus bersabar dengan tidak berganjak memerhatikan Mat Tipin terasing jauh di atas batu yang dikelilingi air panas mendidih.
Apabila daging ayam hutan digulai terjerang di atas tungku, Pak Tua Mahat semakin yakin kelibat Malim Kerimun tidak akan dapat mengalahkan dirinya.  Ketika ini emak mertuanya juga bertambah letih hingga tersepuh duduk di kepala tangga dengan termengah-mengah.
Tatkala emak mertuanya terduduk tidak bermaya di kepala tangga, kelibat Malim Kerimun juga tergolek di tanah dengan seluruh badannya beribarat memercik darah akibat disebat dengan cemati.  Tidak bertangguh Pak Tua Mahat perintahkan kelibat Malim Kerimun meranduk air panas mendidih itu supaya membawa semula Mat Tipin ke sisinya.
Dia percaya puaka hutan yang tercegat di tepi batu berkenaan cuba mengelirukan kaum keluarga Pak Tua Mahat, hingga mereka semua melihat keadaan Mat Tipin terkejang laksana mayat.  Di tengah gema zikirnya yang berterusan dengan tidak putus sesaat pun Pak Tua Mahat perintahkan kelibat Malim Kerimun berhadapan dengan kelibat lembaga tinggi yang tercegat mengawal Mat Tipin di atas batu.
Sebaik sahaja puaka hutan jelmaan Malim Panjang yang tercegat bagaimana lembaga tinggi dengan kepala santak keawan itu menghidu bau Malim Kerimun tiba-tiba sahaja dia menggeleng kepala. Air matanya jatuh menitik menyinggahi kepala Malim Kerimun.
Dia menyedari Malim Kerimun memang anaknya yang ditinggalkan akibat berburu rusa putih ke hutan.  Masakan dia mahu korbankan anaknya sendiri setelah Malim Kerimun sendiri meranduk air panas mendidih itu.  Kalau Pak Tua Mahat meminta pertolongan kelibat Malim Kerimun, sudah tentu dia mesti mematuhi syarat yang ditetapkan oleh puaka hutan berkenaan.
Tetapi PakTua Mahat tidak meminta pertolongan kelibat Malim Kerimun lagi.  Dia tidak akan membuat ancak sediakan panggang ayam tujuh dulang, hati ayam tujuh piring dan pulut kuning semata-mata tunduk kemahuan Malim Panjang yang disampaikan melalui perantaraan dengan Malim Kerimun.
Memang Malim Kerimun pawang besar beratus-ratus tahun dulu yang menjadi ikutan turun temurun.  Setelah diingatkan oleh Tok Aji mengenai Malim Kerimun tidak berkuasa apa-apa selepas dia mati, Pak Tua Mahat mula meninggalkan amalan berpawang di hutan itu.
Semenjak itulah beberapa kali Pak Tua Mahat diuji ketabahan hatinya oleh jelmaan kelibat Malim Kerimun itu.  Hinggalah Mat Tipin sendiri mengalami kejadian yang amat getir pada pagi Pak Tua Mahat berburu ayam hutan.
Apabila Mat Tipin mengalami lagi kejadian terkejang tidak sedarkan diri setelah dia dewasa, memang Pak Tua Mahat cepat sahaja ingatkan peristiwa beberapa tahun lampau.  Kalaulah tidak disabarkan oleh Tok Ajki memang dia gelabah juga.
Sebab itulah saya sekadar ingatkan Bahadin supaya tidak bimbang apa-apa dengan keadaan ayahnya Mat Tipin terkejang itu.

SELESAI