Monday, August 8, 2016

188. DIASUH PENGHULU BUNIAN



JELMAAN yang seringkali mendampingi Nenek Bidan Ibah itu memang saya sendiri tidak faham sangat.  Ketika hayatnya memang dia melarang saya menuntut ilmu sepertinya kalau tidak memahami latar belakang guru.  Bimbang sangat dia sekiranya guru berkenaan sengaja menurunkan akuan dia kepada sesiapa yang menuntut daripadanya.

Saya percaya jelmaan Tok Syeikh itu samalah dengan akuan yang dikatakan oleh arwah nenek.  Akuan ini  seringkali mendampingi nenek tatkala dia membidankan ibu yang bersalin.  Tetapi apabila akuan itu menjauhkan diri, sudah tentulah nenek kerapkali menghadapi dugaan yang terpaksa dilalui dengan tabah.

“Akuan ini hanya untuk perantaraan saja,” jelas Aki Jenal mengisar duduk ketika saya mengunjungi dia.  “Kalau orang diganggu puaka, itulah gunanya akuan supaya dia jadi perantaraan,”  katanya terangguk-angguk mengakui memang dia juga menggunakan akuan.

Dia juga mengakui nenek dan Pak Tua Mahat menggunakan akuan.  Tentulah mustahil seseorang dukun boleh berdepan dengan puaka di kalangan makhluk ghaib, kalau tidak menggunakan perantaraan.  Bidan juga mempunyai akuan bagi menghadapi masalah ibu bersalin yang diganggu oleh puaka atau polong.

“Aki tahu nenek Angah berhampir dengan penghulu bunian,” Aki Jenal memberitahu mengenai akuan nenek.  “Hanya penghulu bunian saja memanggil Siti Fatimah kepada orang yang didampinginya,”  dia menerangkan selanjutnya.

Saya sekadar mengangguk-angguk lemah.  Nenek tidak pernah memberitahu saya mengenai akuannya.  Tetapi sewaktu lelaki berjumbah putih masuk ke bilik saya tengah malam tatkala nenek sedang terkejang sakit, memang saya melihat kakinya tidak berjejak,  Dia menjelma juga tidak berniat jahat, sekalipun merasa serba salah apabila saya membacakan Ayuatul Kursi.

“Akuan ni datang pun macam-macam cara,” seterusnya Aki Jenal memberitahu.  “Ada kala melalui mimpi, adakala menjelma betul di depan kita,”  dia menambah setelah dilihatnya saya semacam menggemari untuk mengetahui rahsia dirinya berdukun.

Hanya Aki Jenal yang tahu bagaimana Nenek Bidan Ibah didampingi oleh Tok Syeikh, sewaktu nenek masih lagi gadis.  Beberapa kali nenek pengsan tidak sedarkan diri sampai lebam biru bibirnya apabila didampingi.  Terpaksa pula ayah nenek memanggil Aki Jenal datang menjampi nenek, barulah dia menyedari sepupunya bukan menghidapi penyakit biasa.

Ketika sedang memasak di dapur, tiba-tiba nenek rebah ke lantai.  Terkejut emaknya Ulung Nang dengan keadaan nenek yang menggelepar bagaikan ikan tercampak ke tebing.  Keberah-berahan dia memanggil suaminya Tok Budin yang terkial-kial menjemur padi di hujung halaman.

Tengah hari rembang apabila nenek rebah pengsan, mungkin juga di sebabkan kepanasan.  Bukan takat matahari tegak di kepala terasa memijar, malah api kayu di bawah tungku juga menambahkan lagi wap panas menyesak.

“Kenapa biarkan budak ni panas?”  Tok Budin memarahi isterinya lantas mencadung nenek dibawa masuk ke tengah rumah.  Dia mengipas-ngipas nenek supaya wap panas menyesak beransur hilang.  Tetapi semakin dikipas bibir nenek menjadi biru lebam bagaikan kulit pisang kecut.

“Eh, Ibah ni bukannya kepanasan!”  tutur Ulung Nang mencuit bahu Tok Budin.  “Tengok air liurnya melejeh keluar,”  tidak bertangguh dia mengesat bibir nenek dengan kepala terlintuk di bantal.

“His, apa pula kenanya budak Ibah ni?”  gerurtu Tok Budin mengoncang-concang bahu nenek.

Tetapi nenek terkejang juga dengan nafasnya sahaja kencang turun naik.  Matanya tiba-tiba terbalik hingga putih bagaikan kulit langsat terpokah.

“Hai, buat apa di hadap aje budak ni,”  marah juga Ulung Nang kerana suaminya sekadar tercangkung sahaja di sisi nenek.  “Cepatlah panggilkan dukun, kalau nak senang, panggilkan Jenal aje,”  dia menggesa kerana Aki Jenal anak saudaranya pun dukun besar di tengah kampung.

Bukanlah mudah mahu memulihkan nenek, setelah Aki Jenal membakar kemenyan yang dibekalkan oleh Moyang Delih sewaktu dia bertapa di masjid tua Kuala Piring.  Kemenyan yang di bekalkan itu tidak pernah habis sekalipun sudah bertahun-tahun digunakan.  Aki Jenal tahu kemenyan itu akan tumbuh berangkai-rangkai seperti buah langsat dalam simpanannya.

Banyak mana pun kemenyan tersebut dibakar, ia akan bertambah seperti hidup beranak.  Memang jarang Aki Jenal mahu membakar kemenyan itu kalau tidak disebabkan terdesak.  Dia sekadar memberikan kepada sesiapa sahaja memerlukan supaya dibakar dan diasapkan ke kepala.

Tetapi Aki Jenal terpaksa juga membakar kemenyan setelah dijemput oleh Tok Budin selepas nenek pengsan tidak sedarkan diri.  Kalau takat pitam akibat wap panas di tuam dengan kain lembap pun di kepala nenek akan membuka mata.  Dia akan pulih sekalipun kepala terasa berdenyut-denyut sakit.

Semasa menaiki tangga rumah, Aki Jenal terasa dadanya bagaikan ditolak angin kencang.  Terpaksa dia berpaut pada tangga rumah sampai kakinya terangkat laksana terapung di udara, akibat ditolak kuat oleh angin kencang yang mengelus dari muka pintu.

“His kami bukan nak berlawan,” tersenyum Aki Jenal dalam keadaan dirinya diancam demikian.  “Apa-apa hal pun kita berundinglah dulu,”  katanya seolah-olah berhadapan dengan lawan.

Terkejut Tok Budin yang sudah berdiri di kepala tangga apabila melihat Aki Jenal terangkat kaki dengan tangan berpaut kuat ke anak tangga laksana kayu tercancang.  Dia cuba menolong, tetapi Aki Jenal memberi isyarat supaya tidak membantunya.

Memang Aki Jenal tidak tahu gangguan yang menghalangnya naik ke rumah untuk mengubati nenek.  Lainlah tubuh kasar yang boleh dilihat jasadnya, mudahlah ditentang kalau terdesak.  Tubuh  halus yang tidak berjasad terpaksa berhati-hati kalau berhadapan dengannya.  Setidak-tidaknya dapat di agak jenis musuh yang mengganggu itu, supaya tahu cara mana mahu di gunakan.

Sebab itulah bomoh seperti dia terpaksa membakar kemenyan menyeru akuannya.  Setelah kemenyan dibakar akuan tersebut akan datang menjelma di hadapannya.  Mudahlah dia meminta bantuan akuan itu menjadi perantaraan untuk mengetahui apakah yang dikehendaki oleh lawan daripada tubuh halus.

Asap kemenyan yang melabun-labun diasapkan ke kepala nenek.  Dia tetap terkejang dengan matanya terbelalak putih.  Kalau pelesit atau polong yang mengganggu tentu tidak akan bertahan apabila Aki Jenal membakar kemenyan.  Bila-bila Aki Jenal boleh tewaskan kalau takat pelesit atau polong yang berani tunjuk jantan.

Siang hari sewaktu matahari memancar keras memang Aki Jenal tidak dapat melihat jelmaan Moyang Delih di hadapannya.  Dia sekadar mendengar suara garau akuan itu memberitahu apa yang perlu di lakukan.  Lainlah kalau malam di tengah kesepian yang menusuk-nusuk memang Moyang Delih akan menjelma setelah kemenyan di bakarkan.

“Moyang, macam mana adik saya ni?”  Aki Jenal merenung tepat asap kemenyan yang melabun-labun di tengah rumah.

“Tak usah bimbang, Ibah ni bukannya sakit,”  sayup-sayup jauh di udara Aki Jenal dapat mendengar suara garau akuannya itu.

“His, tak sakit apa, terkejang macam ni?”  sengaja Aki Jenal mahu bergurau sambil menggeleng-geleng kepala.

“Ibah tak sakit, jagalah dia baik-baik,”  dia mendengar suara garau akuan itu menyakinkan supaya tidak cemas apa-apa.

Hairan juga Ulung Nang kerana anak saudaranya sekadar merungut-rungut sambil menggeleng kepala di tengah asap kemenyan melabun-labun.  Jarang Aki Jenal merungut-rungut kalau sudah membakar kemenyan sama ada siang atau malam.  Apabila kemenyan sudah di bakar nescaya pesakit akan bingkas mahu melawan sebaik sahaja pelesit atau polong yang merasuk tidak dapat bertahan.

Masakan anaknya tidak dirasuk pelesit kalau tiba-tiba sahaja jatuh pitam sewaktu memasak di dapur.  Manalah tahu Nenek Bidan Ibah menjolok buah manggis atau rambutan di dusun orang menyimpan pelesit.  Tetapi balik dari sawah Ulung Nang tahu memang anaknya tidak singgah di mana-mana.  Mereka sama-sama balik selepas mencuci kain di sungai kecil berolak halus.

Sampai sahaja di rumah tidak bertangguh menjerang periuk di tungku.  Tentu Tok Budin perlu makan cepat setelah letih menajak di sawah sejak pagi.

Memang Ulung Nang cam betul anaknya tidak singgah di mana-mana.  Masakan boleh dirasuk pelesit kalau tidak merayau ke mana-mana mengganggu dusun orang.  Lainlah kalau melintas di rumah tinggal Embah Yot di darat kampung dengan mengambil buah kelapa gugur di situ.

Sudah beberapa kali orang di kampung terbeliak mata dirasuk pelesit apabila melintas di tanah peninggalan arwah Embah Yot.  Mirah anak gadis  Pak Kidam pengsan di tangga rumah sebaik balik sahaja mengutip buah kelapa gugur di situ.  Terkancing gigi Mirah sambil merungut-rungut fasal dendam pelesit di sebabkan buah kelapa tuannya diambil.

Tetapi dikibas oleh Aki Jenal dengan kain hitam panjang dua hasta, Mirah puluh semula.  Terpinga-pinga dia apabila dikerumuni jiran-jiran kerana tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya.  Tidak percaya dia apabila dikatakan terkejang pengsan tidak sedarkan diri sebelum sempat naik ke rumah.

Marah benar Pak Kidam disebabkan dia mengambil kelapa gugur di tanah peninggalan arwah Embah Yot.  Kalau takat kelapa sebiji dua, tidak perlu mengutip di mana-mana.  Pokok kelapa di hujung halaman rumahnya pun cukup, sekiranya buah tidak melawas.

Seisi kampung tahu benar fasal tanah peninggalan Embah Yot itu.  Pantang sahaja sesiapa pun mengambil buah-buah di situ, nescaya akan pengsan tidak sedarkan diri sebelum sempat naik ke rumah.  Mereka akan meracau-racau sebut fasal buah-buah di tanahnya diambil tidak bertabek-tabek.

Mahu tidak mahu mereka terpaksa pulangkan semula buah-buah yang di ambil ke tanah peninggalan arwah Embah Yot.  Biarlah buah-buah luruh ketanah tidak disentuh langsung.  Kadangkala buah rambutan merah ranum pun, tidak ada anak cucu berani menjolok dengan galah.  Sampai habis dimakan keluang tengah malam, memang anak cucu arwah Embah Yot biarkan sahaja!

“Macam mana Ibah ni, dukun?”  soal Tok Budin setelah lama menunggu Aki Jenal hanya terangguk-angguk menghadap tempat membakar kemenyan.

“Tak usah bimbang,”  ujar Aki Jenal bersuara perlahan sambil menungkat tangan ke kepala lutut hingga mengepak laksana bapak angsa terganggu.

“Apa sakitnya Ibah ni?”  tidak sabar Ulung Nang dengan keadan anaknya terkejang tengah bumbung rumah.

“Ibah tak sakit,”  Aki Jenal menghela nafas lantas menginsut punggung berundur sedikit ke belakang.  “Tapi, kena jaga dia elok-elok,”  dia menerangkan dalam keadaan serba salah kerana sukar mahu menjelaskan apa yang berlaku ketika itu terhadap diri nenek.

“Macam mana tak bimbang, Ibah ni terkejang pengsan,”  gerutu Tok Budin bertambah gelisah dengan keadaan anaknya.

Aki Jenal menunduk.  Memang siapa pun gelabah apabila anak mereka terkejang pengsan tidak sedarkan diri tiba-tiba.  Apalagi mereka terlalu mengharapkan dukun sepertinya dapat memulihkan serta merta.  Kalau dibawa ke hospital pun doktor yang merawat sekadar meminta keluarga pesakit bersabar sahaja menunggu sampai sembuh.

Mana ada pernyakit sembuh serta merta sekalipun di usung bawa ke hospital.  Segalanya mesti banyak bersabar, apatah lagi tatkala musibah datang melanda.  Kalau tidak bersabar memang macam-macam boleh berlaku dalam saat genting demikian.

Tok Budin boleh menghunus parang bertanyakan siapa yang memelihara pelesit sampai mengganggu anaknya.  Tentu dia menyerbu tengadah siapa pun dengan menuduh orang gunakan pelesit membalas dendam.  Apabila tidak dapat melawan pelesit, memang dia sanggup memenggal leher orang yang memelihara pelesit.  Sebuah kampung akan gempar sekiranya Tok Budin hilang sabar sampai mengamuk tidak menentu.

Siapa mahu di tuduh?  Selepas arwah Embah Yot meninggal dunia seisi kampung menuduh pelesit peliharaannya tidak berjenjang.  Saban malam pelesit tidak bertuan itu merasuk mencari mangsa.  Sebab itu Pawang Lamid kurung pelesit tersebut di tanah peninggalan arwah Embah Yot.

Selepas Pawang Lamid kurung di situ, dia tidak benarkan sesiapa pun ambil buah-buahan di kebun di keliling rumah arwah Embah Yot.  Buah kelapanya gugur sebiji dua pun jangan di kutip.  Biarlah semuanya luruh ke bumi menjadi baja pupuk ke perdu pokok.

Sampai arwah Pawang Lamid meninggal dunia pun, seisi kampung patuhi pantang larangnya.  Mereka tidak berani sentuh pokok buah-buahan di tanah peninggalan arwah Embah Yot itu.

“Tentu pelesit arwah Embah Yot!”  lantas Ulung Nang menuduh setelah Aki Jenal tidak mahu menjelaskan.

“Bukan…”  sahut Aki Jenal mendehem pendek.  “Jangan buat dosa menuduh macam tu,”  katanya kesal dengan tuduhan emak saudaranya itu.

“Ibah tak dirasuk pelesit?”  soal Ulung Nang serba salah.

“Tidak, bukan dirasuk pelesit,”  beritahu Aki Jenal mencebik bibir sambil mengerling muka nenek yang masih terkejang pengsan tidak sedarkan diri.

Sehingga santak asar barulah nenek mula membuka mata dalam keadaan terketar-ketar lemah.  Terus sahaja Ulung Nang hulurkan air jampi mentera Aki Jenal menyuruh nenek minum.  Nenek tidak membantah.  Dia meneguk air jampi itu sampai habis segelas.  Terasa hilang dahaganya setelah lama terkejang tidak jamah seulas nasi pun sejak tengah hari lagi.

Sebaik diberitahu mengenai nenek pengsan tidak sedar diri, memang jiran-jiran datang menjengah.  Terkejut juga mereka dengan kejadian yang menimpa nenek.  Mereka juga menuduh pelesit yang terkurung di tanah arwah Embah Yot yang mengaruk sampai merasuk siapa sahaja sempat jadi sasarannya.

Boleh jadi nenek tidak bernasib baikl.  Mudah sahaja jadi sasaran pelesit hanya ketika sibuk memasak nasi di dapur.  Tidak sempat Tok Budin sekeluarga makan tengah hari.  Selepas nenek diganggu demikian, memang Ulung Nang tidak berselera lagi mahu menjamah nasi.  Gulai sudah masak di tungku pun dibiarkan tersangai tidak diangkat disalin ke besen.

Dia rusuh dengan keadan anaknya.  Biarlah tidak makan sepanjang hari asalkan anaknya dapat diselamatkan.  Malah perut pun tidak lagi terasa lapar sampai menyenak di asak angin.

Malamnya Aki Jenal sudah berjanji akan datang mengulangi membakar kemenyan.  Perkara gangguan yang menimpa nenek tidak boleh dibiarkan, sekalipun sakitnya bukanlah merosakkan dirinya.  Kalau tidak dijaga baik-baik,mungkin akan memudaratkan nenek.  Saat itu Aki Jenal perlu membimbing nenek macam guru yang mesti memberi tunjuk ajar kepada muridnya.

Ketika Aki Jenal naik ke rumah selepas isya’ memang jiran-jiran sudah ramai di tengah rumah.  Sejak lepas maghrib lagi mereka sudah datang menjengah setelah di beritahu Aki Jenal akan mula mengubati penyakitnya.  Jiran-jiran memang wajib menjengah apabila salah seorang daripada keluarga kalangan mereka menerima musibah.  Hidup di tengah kampung mesti saling jengah menjengah kalau jiran-jiran terkejang sakit.  Memang ini pengangan seisi kampung sejak turun termurun lagi.

Sewaktu Aki Jenal bersila rapat membakar kemenyan, nenek terbaring terkebil-kebil mata dalam keadaan lemah.  Tenaganya terasa letih akibat tidak menjamah nasi sejak tengah hari selepas terkejang pengsan.  Rengkungnya tidak berselera mahu menelan makanan yang dihidangkan.

Puas juga dipujuk supaya menjamah makanan, tetapi nenek tetap enggan.  Lainlah kalau meneguk air.  Digagahi juga minum air jampi segelas untuk menghilangkan dahaga di tekak.

Malam sudah terasa sejuk apabila angin mengelus dicelah-celah dinding.  Hampir sepuluh minit Aki Jenal mengusap-usap muka merenung asap kemenyan melabun-labun, tiba-tiba nenek duduk bertimpuh dengan menundukkan kepala.  Rambutnya disisir dengan jari dan dibiarkan terurai ke belakang.  Beberapa kali nenek terbatuk mendehem merenung tepat ke tempat membakar kemenyan yang melabun-labun asap.

Mereka yang berkeliling di tengah rumah memerhatikan sahaja tidak mengganggu apa-apa.  Memang Aki Jenal sudah pesankan supaya mereka hanya mendiamkan diri sahaja kalau melihat apa pun kejadian luar biasa yang berlaku ke atas nenek.  Tok Budin dan Ulung Nang juga mematuhi apa juga arahan dukun besar di tengah kampung itu.

Tersenyum Aki Jenal tatkala melihat di tengah asap kemenyan melabun-labun Moyang Delih menjelma berpakaian tanjak melayu serba hitam dengan selempang merah memberi isyarat membacaka serapah: 

Ha insan jurbatuha wabillah, Hai nanar putih engkau bersifat roh, aku bersifat kalimat.  Laillahha illallah, hu…

Sekaligus berdiri di hadapannya lelaki separuh umur berjubah putih memegang buah tasbih dengan Nenek Bidan Ibah dibiarkan duduk bertimpuh di atas bahunya.  Sebaik sahaja mata mereka bertentang, Moyang Delih memberi salam.  Ketika ini jiran-jiran melihat Aki Jenal memberi salam, lantas disambut mesra oleh nenek.

“Kenapa datang tak beritahu?”  soal Moyang Delih menatap muka lelaki berjubah putih itu.

“Maaflah kami kalau melanggar kampung halaman, awak,”  sahut lelaki berjubah putih itu merendah,  “Kami berjanji nak jaga Siti Fatimah ni,”  ujar nya ramah mesra.

“Awak ni siapa?”  Moyang Delih mengusap-usap dua tangan ke bahu bagai mahu membuka langkah untuk memencak.

“Kami dah lama kenal dengan mopyang, tapi moyang tak kenal kami,”  lelaki berjubah putih itu tersengih-sengih semacam menyindir.

“Gaya-gaya awak ni macam Penghulu Bunian,”  lantas sahaja Moyang Delih menuduh.

“Memanglah awak pawang besar,” ujar lelaki berjubah putih itu gementar sedikit setelah dirinya dapat dikenali.  “Awak mudah cam dengan kami, memang awak tak calang-calang orang, moyang,”  dia tetap merendah tatkala berhadapan dengan Moyang Delih.

“Kalau begitu Tok Syeikh jangan main-mainkan Siti Fatimah ni!”  suara lembut Moyang Delih itu bersahaja tetapi semacam memberi amaran juga.

“Percayalah moyang, kami tak sia-siakan Siti Fatimah ni,”  kata Tok Syeikh memberi pengakuan.

Kemudian Moyang Delih berundur sedikit lantas duduk bersila rapat dengan membiarkan Aki Jenal duduk di dalam telinganya.  Dari lubang telinga Moyang Delih itu Aki Jenal dapat melihat Tok Seyikh melayang membawa nenek jauh ke kawasan lapang di kelilingi pohon-pohon tinggi ditengah hutan.

Tok Syeikh mengajak nenek mencari akar-akar kayu yang sesuai direbus untuk diminum dijadikan ubat.  Puas merayau mencari akar-akar kayu di tengah hutan, Tok Syeikh membawa nenek ke rumah besar tersergam dengan kolam besar ditumbuhi bunga teratai.

Kemana sahaja Tok Syeikh membawa nenek, tetap diikuti oleh Moyang Delih.  Dia akan tercegat berdiri memerhatikan Tok Syeikh membimbing nenek mengenali akar-akar kayu.  Selepas itu Tok Syeikh memberikan nenek sebentuk batu cincin seperti buntat berwarna putih berkilat.

Selepas itulah dia menerbangkan semula nenek balik ke tengah rumah.  Perlahan-lahan Tok Syeikh menyuruh nenek berbaring hingga tertidur keletihan.  Moyang Delih sentiasa memerhatikan sahaja Tok Syeikh dengan tidak membantah apa-apa.  Selepas nenek tidur memejamkan mata lantas Tok Syeikh memberi salam terus menghilang bersama asap kemenyan melabun-labun.

Ketika Aki Jenal keluar dari telinga Moyang Delih, dia juga keletihan setelah ditinggakan bersendirian.  Tidak bertangguh Aki Jenal meminta air minum sebaik sahaja dia membuka mata sambil mengusap-usap tapak tangan ke muka.

“Jauh Aki Jenal berjalan ni,”   sengaja Kok Som mengusik apabila dilihatnya Aki Jenal termengah-mengah.

“Apa tidaknya sampai ke tengah hutan rimba,”  sahut Aki Jenal tersengih-sengih semacam bergurau.  Kalau dia berterus terang pun masakan Kak Som yang tersandar di dinding tengah, percaya.  Sejak dia membakar kemenyan Kak Som sekadar melihat Aki Jenal bersila rapat menghadap tempat membakar kemenyan.

“Hutan mana Aki Jenal sampai?”  Usop Pengkar pula bertanya.

“Jauh di gunung ganang,”  ujarnya pendek menghela nafas perlahan.  Perkara yang dilaluinya tidak sama macam dibuai mimpi tatkala tidur nyenyak di tengah malam.  Sebab itu sukar mahu diterangkan kepada jiran-jiran yang berkeliling mneghadap nenek terbaring lemah.

Mereka di situ sekadar melihat nenek merungut-rungut tidak tentu biji butir.  Lama dia duduk bertimpuh, barulah badannya rebah ke bantal.  Nenek terus tidur tidak sedar apa-apa lagi.  Dia terlena akibat terlalu letih bagaikan jenuh berjalan jauh melangkaui gunung ganang.

Setelah nenek tertidur semua jiran-jiran balik juga ke rumah masing-masing.  Mereka percaya nenek tidak di rasuki pelesit.  Tentu Aki Jenal mudah tewaskan pelesit kalau cuba merasuk tidak bertabek-tabek. Dia akan buru di mana pun pelesit itu bersembunyi, biar tuan pelesit gelebah seperti duduk di atas bara api.

Pelesit yang merasuk akan bercempera lari apabila Aki Jenal membacakan serapahnya:

  Sonsang korak sonsang tapan, sonsang hati jantung  engkau, patah sendi patah patah layang, patah alih-alih ambil besi petua, akan pemarak hati jantung hempedu engkau, datang terlentang pulang kau menangkup, jenjang lama engkau balik, aku tahu asal engkau jadi, orang berlaki tujuh asal kau jadi, Kabul aku menangkal pelesit, berkat laillahha illallah hu…

Lama juga nenek menjadi kebingungan selepas jelmaan Tok Syeikh sering datang mengganggu melalui mimpinya.  Tetapi Aki Jenal yakinkan Ulung Nang dan Tok Budin supaya tidak bimbang apa-apa.  Hampir sebulan nenek terlantar sakit hingga mukanya beransur pucat, hanya Aki Jenal yang mengubatinya.

Setiap kali Aki Jenal membakar kemenyan, nenek akan merungut-rungut tidak menentu.  Kemudian dia akan tidur nyenyak hingga santak ke pagi.

Sewaktu nenek diubati oleh Aki Jenal itu, beberapa orang jiran datang juga menjengah.  Kak Som terdengkot-dengkot bengkak kaki pun datang juga.  Tiga hari kakinya bengkak akibat terkena tergelincir di tebing sungai balik dari sawah.  Dia sendiri tidak tahu bagaimana kepala lututnya boleh terkehel semasa tergelincir itu.

“Kenapa kaki Siti Fatimah tu?”  tiba-tiba sahaja nenek menggamit Kak Som selepas dia merungut-rungut setelah diasap dengan kemenyan oleh Aki Jenal.  Ketika ini Aki Jenal tidak perlu lagi menyeru Moyang Delih datang menjelma.  Dia sendiri sudah mampu mengendalikan untuk mengubati nenek.

Lainlah kalau dia tidak tahu punca.  Moyang Delih akan diseru menjadi perantaraan untuk mengetahui punca  sakit yang merasuk.  Perkara nenek meracau-racau hanya diasuh oleh penghulu bunian.  Dia sekadar mengawal sahaja supaya tidak diperdaya oleh penghulu bunian yang mengasuh nenek itu.

“Hah, Som kemari kau,”  Aki Jenal menyuruh Kak Som duduk di hadapan nenek.

Dalam keadaan serba salah Kak Som terdengkot-dengkot datang.  Telalu sakit kepala lututnya hingga tidak boleh digerakkan.  Kalau tidak kenangkan Nenek Bidan Ibah sudah lama terlantar sakit, memang dia tidak larat mahu ziarah.  Dia gagahi juga menziarah nenek kerana bimbang dituduh tidak mahu nampakkan muka hidung sewaktu jiran terlantar sakit.  Bagaimana pula kalau dia sakit terkejang tidak seorang pun jiran mahu menjengah?

Sebab itu terdengkot-dengkot pun Kak Som gagahi juga datang menjengah.  Biarlah susah payah sedikit asalkan hati jiran-jiran tetap dipelihara.  Hidup di kampung mesti utamakan kepentingan jiran-jiran.  Perkara budi bahasa tidak sama dengan menajak di tengah sawah.  Menajak boleh tercangkung di tepi permatang kalau tidak larat mahu teruskan.  Tetapi budi bahasa tidak peduli apa pun rintangan mesti dilakukan juga.

“Kenapa kaki tu, Siti Fatimah?”  nenek mengangkat muka menyebabkan Kak Som tergamam kerana sekali imbas dia nampak nenek bagaikan lelaki berjubah putih bersila rapat menatapnya.

“Terkehel, jatuh di sungai,”  beritahu Kak Som gementar sedikit.

“His, jangan takut,”?  tersenyum nenek apabila disedarinya Kak Som berdebar  ditegur demikian.  “Ali, izinkan kami mengurut kaki anak buah awak ni,”  nenek berpaling memandang Aki Jenal.

Aki Jenal mengangguk.  Dia tahu penghulu bunian tidak tahu menyebut nama seseorang.  Kalau lelaki akan dipanggi Ali sahaja, sementara perempuan semuanya di panggil Siti Fatimah.  Memang Aki Jenal dapat membezakan penghulu bunian dengan gangguan lain yang merasuk, apakala dia memanggil seseorang.

Kemudian Aki Jenal memberi isyarat kepada Kak Som supaya lunjurkan kaki di hadapan nenek.  Lutut Kak Som yang membengkak itu diusap-usap oleh nenek dengan tapak tangannya.  Terasa pada Kak Som tempat yang di usap oleh nenek itu bagaikan licin di sapu dengan minyak.

Selepas itu nenek mengurut perlahan dengan hujung jarinya.  Hanya sejuk sahaja terasa menusuk ke kepala lutut Kak Som ketika.  Dia tidak merasa sakit apa-apa sekalipun jari nenek mencengkam kepala lututnya.

“His, kenapa di biarkan tak diurut?”  suara nenek garau macam menyesali sikap Kak Som tidak cepat-cepat mengurut kepala lututnya sebaik sahaja jatuh terkehel.

Belum sempat Kak Som menjawab cepat-cepat Aki Jenal mencelah,  “Tok Syeikh marahkan pada Siti Fatimah ni?”

“Tidak, tapi tempurung lututnya lari sedikit, kenapa di biarkan?”  gerutu nenek menggeleng–geleng kepala.

“Tak ada orang tahu mengurut, Tok Syeikh,”  Kak Som memberanikan hati menyahut.

”Kalau nak berubat, kenalah Siti Fatimah mencari dukun,”  lantas nenek menyindir sambil berbatuk-batuk lembut.  “Mana ada ubat mencari penyakit, orang yang sakit lah mencari ubat,”  katanya tersengih-sengih.

Lima minit dia mengurut kepala lutut Kak Som, di suruhnya Kak Som bangun berjalan.  Terasa padanya tidak ada lagi kesakitan yang berdenyut-denyut apabila melangkah.  Hanya sengal-sengal sahaja seperti penat berjalan.  Kak Som tidak lagi terdengkot-dengkot semasa berjalan balik ke rumah.

Sejak itu pula seisi kampung menyedari kebolehan nenek mengurut.  Mereka tidak perlu terherot-herot mulut menahan kesakitan semasa diurut, kerana jari nenek seolah-olah mengusap sahaja.  Bukan setakat tergeliat urat sahaja mereka datang menemui nenek, Ludin Pekak mengidap bisul di bahu sampai membengkak sebesar telur ayam pun tidak lepas peluang minta nenek ubatkan.

Tetapi nenek tidak sanggup mengubati selagi Aki Jenal tidak membakar kemenyan.  Selepas Aki Jenal membakar kemenyan dia akan merungut-rungut tidak menentu lantas duduk bertimpuh menghadap asap kemenyan berlabun-labun.  Saat ini siapa pun mengadu sakit memang nenek akan mencuba mengubati.

“Soal sembuh di dalam pengetahuan Allah,  kita hanya berikhtiar,”  ujar nenek sebaik sahaja Ludin Pekak tunjukkan bisul di bahu membengkak sebesar telur ayam.

Selepas mengisar tapak tangan tiga kali, nenek berbisik kepada Aki Jenal.  Kemudian Aki Jenal menghembuskan asap kemenyan ke bahu Ludin Pekak.

“Tok Syeikh suruh kau cari akar beringin yang terjuntai,”  beritahu Aki Jenal menyampaikan pesan nenek.

Esoknya juga Ludin Pekak mencari akar beringin yang terjuntai tidak cecah ke tanah.  Akar muda itu mesti di potong dengan pisau nipis.  Ketika diserahkan kepada nenek, akar itu dijampinya sebelum disapukan getah beringin itu di bisul yang membengkak.

Dua hari selepas itu Ludin Pekak datang ke rumah nenek memberitahu bisul di bahunya sedah meletus.  Punat bisul juga mengecut macam rumput layu di tepi jalan.  Ludin Pekak juga tidak lagi mengerang-gerang sakit akibat bengkak bisul di bahu.

Lama kelamaan nenek tidak perlu lagi bantuan Aki Jenal membakar kemenyan.  Dia sekadar membacakan jampi serapah yang diajarkan oleh Tok Syeikh.  Kadangkala Tok Syeikh sendiri menjelma tatkala dia terkial-kial membidankan bayi lahir.

“Nenek kamu memang pakai akuan,”  jelas Aki Jenal berulang kali.

Saya menghela nafas perlahan.  Bimbang juga mahu bertanya kepada nenek mengenai akuan yang mendampingi dia.  Manalah tahu dia akan tersinggung pula sampai bermasam muka dengan Aki Jenal.

“Tok Syeikh tu datang, kalau kita seru,”  ujar nenek sewaktu saya bertanya kepadanya.  “Sebab itu Angah jangan menuntut ilmu macam ni, pergi belajar dengan Tok Aji di madrasahnya,”  dia seolah-olah tidak menyenangi kalau saya mengikuti kemahiran dirinya.

“Nenek tak takut dengan Tok Syeikh?”  sengaja saya mahu menduganya.

“Kenapa mesti takut, dia bukan musuh…”  sahut nenek tersenyum dengan usikan saya.

“Kalau dia larikan nenek?”  soal saya lagi.

“Ah, nenek dah tua,”  tersengih-sengih nenek dengan sikap saya yang leter bertanya mengenai kemampuan dia menjadi bidan.  “Kalau dia nak larikan nenek, dulu masa muda-muda lagi dia dah larikan,”  jelasnya mencebik bibir.

Dia percaya bunian juga sama seperti manusia, bukan semuanya jahat tidak menentu.,  Kalau bunian jahat mengganggu, tentulah bunian baik yang boleh gunakan untuk membantu.  Nenek tahu benar mengenai dunia orang bunian, kerana dia sering berhubung dengan Tok Syeikh.

Masakan bunian berani mengganggu dia selagi Tok Syeikh mendampinginya.  Tok Syeikh sudah mengakui dia menjadi anak angkatnya.  Bila-bila pun Tok Syeikh akan datang menjelma sekiranya nenek diancam.

Sewaktu Kak Som sepupunya tersesat jalan di kebun getah tatkala mencari kayu api, memang nenek sudah mengagak diperdayakan oleh bunian.  Mereka mencari kayu api lima enam orang masuk ke kebun getah.  Kemudian berpecah mengutip dahan pokok getah mati yang jatuh ke tanah.

Apabila mereka berkumpul di tepi kebun, Kak Som masih tidak menjengah muka sehingga pukul 5.00 petang.  Puas melaung-laung di tengah kebun getah Kok Som tidak juga menyahut, tidak bertangguh mereka balik ke tengah kampung memberitahu Aki Jenal.

“Tentu kerja bunian,”  gerutu Aki Jenal meluahkan rasa geram.  “Kalau begitu serahkan pada Ibah,”  katanya membuat keputusan.

Puas mereka seisi kampung mencari Kak Som semalaman di tengah kebun getah, tetapi tidak ada kesan-kesan yang boleh dijadikan pedoman untuk menjejaknya.  Sebab itulah Aki Jenal mengajak berkumpul di rumah nenek.

Lama nenek merungut-rungut selapas Aki Jenal membakar kemenyan, tiba-tiba sahaja dia bingkas bangun.  Nenek menerpa ke pintu terus terjun ke tengah halaman.  Cepat-cepat Ludin Pekak mahu mengekori dia, tetapi segera ditegah oleh Aki Jenal.  Mereka tidak perlu mengekori Nenek Bidan Ibah kalau sudah didampingi Tok Syeikh.  Sia-sia sahaja mengejarnya kerana dia bukan lagi berjalan sendiri di tengah kegelapan malam.

Sehingga tengah malam mereka menunggu, barulah nenek balik termengah-mengah keletihan.  Marah benar dia sebaik sahaja duduk melepaskan lelah.

“Macam mana Kak Ibah?”  tidak sabar lagi Ludin Pekak bertanya.

“Hah, dia nak main-main dengan aku!”  rungut nenek menggertap bibir.  “Ke lubang cacing pun aku ikut,”  katanya macam menyimpan dendam di hati.

“Jumpa?”  Aki Jenal pula menyoal.

“Dengan Tok Syeikh, mana boleh tak jumpa,”  jelas nenek masih termengah-mengah keletihan.  “Tetapi, kena ramai orang lelaki pergi, kita ambil Som,”  beritahu nenek melerek senyum bangga.

Apabila mereka semua mengikut nenek ke pinggir hutan, terkejut juga mereka melihat kak Som terbaring dalam rumpun rotan yang tidak ada lorong masuk ke situ.  Memang menghairankan bagaimana Kak Som boleh masuk ke situ dengan tidak ada lorong.  Di tengah rumpun belukar rotan yang tebal itulah Kak Som terperosok tidak sedarkan diri.

Hampir tiga jam pula mereka menebas belukar rotan penuh duri-duri tajam itu untuk mengeluarkan Kak Som.  Setelah pagi terang-terang tanah barulah Kak Som sapat dikeluarkan dari belukar rumpun rotan yang tebal menyesak itu.  Ketika di usung dibawa balik ke rumah Kak Som masih pengsan tidak sedarkan diri.  Selepas dibawa balik ke rumah nenek serahkan pula pada Aki Jenal untuk memulihkan Kak Som.

Seisi kampung mula menyedari nenek boleh diharapkan apabila keluarga mereka sakit.  Tetapi selepas nenek mengambil keputusan tidak mahu lagi berbidan, kecewa juga mereka.  Siapa lagi boleh diharapkan setelah nenek enggan menjadi bidan.  Kalau ada pun bidan baru, tentu tidak sama dengan kemahiran nenek.

Apalagi mahu berurut serata badan setelah selamat bersalin.  Mereka terasa perisa kalau jari-jari nenek mengurut sampai segar seluruh badan.

“Patutnya sejak Angah dilahirkan nenek berhenti jadi bidan,”  ujar nenek perlahan ketika berihat di bawah pokok dedali di tepi sawah.  Peluh memercik di dahinya disebabkan panas terik matahari memancar di kepala.  Berkali-kali juga saya memujuknya supaya tidak lagi turun ke sawah di saat usia memamah tenaga, tetapi nenek tetap berdegil.

Ketika saya balik bercuti ke kampung itulah sempat juga kunjungi nenek.  Sengaja saya turuti dia ke tengah sawah, biar dia segera balik.  Kalau tidak matahari tegak di kepala pun nenek terkial-kial menajak di tengah sawah.

“Nenek patuk dek ular,” dia menunjukkan jari telunjuknya yang masih berdarah hingga menyebabkan dia duduk dibawah pokok dedali itu.  Terasa juga kepalanya hampir pitam di patuk ular berkenaan.

“Lebih baik bawa ke hospital,”  lantas saya mengingatkan dia sambil menarik tangannya supaya bangun.

“Tak payah, bisanya dah tak ada,”  nenek memberi pengakuan.  Melekat ular kapak di jari telunjuknya sewaktu taring bengkoknya memagut disitu.  Tidak bertangguh dia menusuk mata tajak ke kepala ular tersebut.  Memang saya melihat bangkai seekor ular kapak di atas permatang.

Sebaik sahaja ular kapak itu memagut ketika nenek mencabut rumput di tepi permatang sawah, Tok Syeikh tercegat tiba-tiba.  Selepas membuangkan bisa di jari nenek, tergesa-gesa Tok Syeikh meninggalkan nenek sebaik sahaja melihat saya terjengket-jengket datang meniti permatang.

Kalau Tok Aji hantar Angah belajar jauh-jauh pun, nenek mahu Angah bacakan Yassin, kalau nenek sakit tenat,”  bisik nenek tersengih-sengih mengusik.


SELESAI