Monday, November 24, 2014

101. MAYAT TIDAK BERKEPALA


PENGALAMAN nenek sebagai seorang bidan kampung, kadangkala membimbangkan hati saya untuk meneruskan cita-cita mahu belajar ilmu kebatinan. Pesanan nenek itu selalu saya sematkan di hati supaya berhati-hati sebelum belajar sesuatu dari guru-guru tertentu.
Nenek juga meminta saya memberitahu siapakah guru yang hendak mengajarkan ilmunya itu. Nenek bercerita tentang pengalamannya sebagai seorang bidan, iaitu ketika mula-mula dia menjalankan kerja ini. Dia sentiasa beringat supaya tidak berlaku seperti yang pernah diceritakan oleh emaknya.
Emak kepada nenek saya, iaitu moyang saya merupakan seorang bidan kampung juga. Keupayaannya sebagai seorang bidan memang dikagumi oleh orang-orang kampung. Pernah berlaku seorang wanita mengandung songsang tetapi dengan kebolehanmoyang saya, wanita itu dengan mudah saja melahirkan anaknya.
Semasa moyang saya yang dikenali ketika itu Mak Bidan Mun membidankan seorang wanita, dia memang sudah cukup bersedia dengan jampi serapahnya.
Wanita muda yang dibidankannya itu selamat melahirkan seorang anak lelaki pada sebelah pagi kira-kira jam 6.30 pagi. Selepas selesai saja bayi itu dilahirkan, dia pun berkemas-kemas untuk membasuhkan uri ke sungai.
Ketika ini memang sungailah tempat orang-orang kampung basuh membasuh. Paip air belum ada lagi seperti sekarang ini. Kalau ada pun perigi hanyalah tempat mengambil air minuman saja. Sebelum Mak Bidan Mun membawa uri itu kesungai, dia sudah menyuruh suami wanita itu menyangkutkan duri mengkuang di bawah tempat isterinya berbaring.
“Jangan lupa sangkutkan duri mengkuang di bawah rumah,” pesan Mak BidanMun pada suami wanita berkenaan.
“Tak payah sangkut pun taka pa, Mat,” sahut emak suami wanita semasa dia mahu melangkah pulang. “Kalau malam-malam hari patutlah sangkutkan duri mengkuang. Kalau siang-siang ni biarlah dulu, nanti petang-petang barulah sangkutkan,” ujarnya.
“Macam mana Mak Bidan?” Tanya Simat memandang Mak Bidan Mun. “Tak mengapakah kalau disangkutkan petang-petang nanti?” dia meminta kepastian dari Mak Bidan Mun.
“Elok-eloknya sangkutkanlah sekarang. Kalau tunggu-tunggu petang takut pula terlupa,” Mak Bidan Mun mengingatkan.
“Buatlah kerja lain dulu, Mat. Air panas tak berjerang lagi di dapur tu. Mak nak balik ni, mak nak tengok juga ayam itik di rumah,” Mak Nget memberitahu anaknya seolah-olah membantah kata-kata moyang saya tadi.
Simat tidak menyahut kata-kata emaknya. Dia hanya menurut saja perintah emaknya supaya memasak air. Mak Nget juga tidak banyak bicara terus balik ke rumahnya untuk melepaskan ayam itik di reban. Mak Bidan Mun tidaklah terus ke sungai membasuh uri tersebut.
“Biarlah Mak Bidan jerangkan air. Kau pergilah sangkutkan duri mengkuang dengan tidak bertangguh-tangguh lagi.
Melihatkan Mak Nget sudah balik, Simat tidaklah bimbang sangat menurut arahan Mak Bidan Mun. Kalau emaknya ada segan juga dia membantah kata-kata emaknya, takut kalau-kalau hati orang tua itu tersinggung. Semasa Simat mengambil duri mengkuang, Mak BidanMunlah yang menjerang air ke tungku.
Setelah mempastikan Simat sudah menggantungkan duri mengkuangdi bawah rumah setentang dengan tempat isterinya berbaring, barulah Mak BidanMun membawa uri dan tikar yang terkena darah ketika melahirkan bayi ke sungai.
Dalam perjalanan ke sungai dia telah bertemu dengan Mak Nget, iaitu emak kepada Simat tadi. Heran juga di dalam hati Mak BidanMun kerana setahunya Mak Nget sudah balik ke rumah untuk melepaskan ayam itik dari reban.
“Hai, Nget…….dah sudahkah awak lepaskan ayam itik?” tegur Mak Bidan Mun. Mak Nget tidak menyahut, tetapi dia menganggukkan kepala saja.
“Kalau begitu bolehlah awak menolong saya basuhkan tikar dan uri ni,” ujar Mak Bidan Mun. Dia juga berharap Mak Nget datang membantunya membasuhkan kotoran berkenaan.
Mak Nget mengangguk juga.
Sampai di sungai Mak Nget terus mengambil uri untuk dibasuh. Oleh itu Mak Bidan Mun terpaksalah membasuh tikar saja. Membasuh di sungai lebih mudah kerana airnya terus mengalir. Sebab itu Mak Bidan Mun tidak perlu menggunakan berus untuk menggosok tikar berkenaan. Yang dibawanya cuma sabun saja untuk membersihkan kotoran.
Bagaimana pun Mak Bidan Mun menjadi heran kerana sejak bertemu dengan Mak Nget di pertengahan jalan perempuan itu tidak bercakap dengannya. Ditegur pun dia tidak menyahut, selain dari mengangguk-ngangguk kepala saja.
Perlahan-lahan Mak BidanMun menoleh kearahnya. Alangkah terperanjatnya mak Bidan Mun bila dilihatnya Mak Nget memakan uri itu sedikit demi sedikit, semasa dia membasuhnya.
“Nget…..!” seru Mak Bidan Mun. Mak Nget hanya tersenyum mendengar namanya dipanggil.
Mak Bidan Mun mula mengesyaki sesuatu. Sambil membasuh tikar ia membaca jampi serapah, kemudian di hembuskan perlahan-lahan kearah Mak Nget. Tiba-tiba saja Mak Nget menjerit kesakitan lalu melimparkan uri tersebut ke air. Cepat-cepat pula Mak Bidan Mun menyambar uri yang hampir hanyut itu.
Ketika membasuh uri sebelum itu, Mak Nget sengaja mengambil tempat di sebelah hulu sedikit, sementara Mak Bidan Mun di sebelah hilir. Dengan cara ini tentulah Mak Bidan Mun tidak sedar apa yang sedang dibuatnya. Biasanya kalau membasuh kotoran demikian mereka selalunya mengadap ke hilir sungai.
Setelah itu Mak Nget terus melompat naik ke tebing lantas lari meninggalkan Mak Bidan Mun seorang diri di situ. Mak Bidan Mun tidaklah menghiraukan sangat ke mana Mak Nget pergi. Dia terus juga membasuh tikar dan uri berkenaan. Didapatinya uri tersebut sudah hampir separuh rompong kesan kena makan.
Sekonyong-konyong Mak Bidan Mun terpandang seorang lelaki memakai jubah kuning dan serban kuning berdiri di atas tunggul di tebing sungai. Janggut lelaki itu putih sampai ke pusat. Dia memberi salam kepada Mak Bidan Mun.
“Apa hal pagi-pagi ni To’ Sheikh…” Mak Bidan Mun memandang kearahnya tepat-tepat.
“Kami tahu Siti Fatimah kena ganggu,” sahut lelaki berkenaan berdiri tegak sambil memegang tongkat rotan semambu. “Kenapa Siti Fatimah lalai sangat?” tanyanya.
Mak Bidan Mun tahu To’ Sheikh yang berdiri di depannya itu ialah Penghulu Bunian. Sudah menjadi amalan turun menurun kepada Bidan Mun, dia melakukan kerja-kerja bidan ini dengan menyeru Penghulu Bunian ini. (Sepatutnya di dalam amalan Islam setiap pertolongan hendaklah diminta dari Allah SWT-p). Mungkin amalan Mak Bidan Mun ini hanya disesuaikan dengan cara-cara dia belajar ilmu bidannya saja.
“Apa maksud To’ Sheikh yang saya ni lalai…?” Tanya Mak Bidan Mun keheranan.
“Nget, emak pada Simat,” kata Mak bidan Mun. Dia terhenti sebentar dari membasuh uri ditangannya.
“Kalau Nget takkan dia makan uri….” Ujar To’ Sheikh masih berdiri tegak di atas tunggul tepi tebing.
“Yang saya nampak memang Nget,” tegas Mak Bidan Mun. Memang dihatinya merasa heran juga mengapa Mak Nget tiba-tiba saja menunggu dalam perjalanannya ke sungai. Pada hal rumah Mak Nget terletak di sebelah darat rumah Simat.
Dia juga nampak Mak Nget memang sudah balik ke rumah. Bagaimana pula Mak Nget boleh berada di sebelah baruh arah menuju ke sungai. Tetapi pada mulanya dia memang tidak mengesyaki apa-apa, walaupun Mak Nget yang ditegurnya tidak bercakap sepatah pun.
Hanya apabila Mak Nget memakan uri yang dibasuhnya barulah Mak Bidan Munmerasa curiga. Dia bertambah heran kerana Mak Nget yang selalunya becok, tiba-tiba saja mendiamkan diri. Tiba-tiba saja memakan uri dari menantunya sendiri.
“Siti Fatimah lali…..” To’ Sheikh mengingatkan dia.
Barulah Mak Bidan Mun teringat bahawa dia terlupa menggunakan petua-petua ilmu bidannya semasa melangkah meninggalkan rumah Simat. Pada mulanya dia merasakan tidak perlu sangat menggunakan petua-petua tersebut, kerana isteri Simat sudah selamat melahirkan bayi.
“Siti Fatimah tak bolehlalai,” kata To’ Sheikh lagi berdiri tegak di atas tunggul tepi tebing. “Siti Fatimah mesti selalu beringat, nasibbaik To’Sheikh cepat datang,” ujarnya macam tidak puas hati dengan kerja-kerja Mak Bidan Mun.
“Minta maaflah Siti Fatimah pada To’ Sheikh,” sahut Mak Bidan Mun bila menyedari akan kesalahannya. “Lain kali Siti Fatimah beringatlah,” katanya mula merasa gementar. Tetapi dia tabahkan hatinya supaya tidak ketara sangat akan ketakutannya.
“Siti Fatimah tak nampakkah kaki Nget tadi tak ada?” soal To’Sheikh.
Mak Bidan Mun cuba mengingatkan sama ada dia nampak atau tidak kaki Mak Nget. Sebenarnya dia tidak menyedarinya kerana Mak Nget berjalan di belakangnya. Lagi pun dia tidak menaruh syak apa-apa bahawa perempuan yang menantinya di tengah perjalanan itu ialah Mak Nget.
“Lain kali perhatikan batul-betul. Kalau kakinya tidak jejak di tanah itu musuh Siti Fatimah. Ingat baik-baik pesan To’ Sheikh,” pesan lelaki berserban dan berjubah kuning itu.
Selepas To’ Sheikh ghaib dari pandangan mata, Mak Bidan Mun mulamerasa ketakutan. Cepat-cepat dia mengemaskan tikar dan uri yang di basuh tadi. Cepat-cepat pula dia naik ke tebing untuk terus balik ke rumah Simat.
Pengalaman itu adalah pertama kali ditempuhnya semenjak dia menjadi bidan di kampung berkenaan. Memang benarlah seperti dipesankan oleh arwah emaknya supaya petua-petua yang diberikan jangan dilupakan. Akibatnya buruk kalau dilupakan. Mujurlah dia tidak menerima akibat buruk itu.
Itulah juga pertama kali dia bertemu dengan To’ Sheikh. Walaupun arwah emaknya selalu memberitahu mengenai To’ Sheikh yang akan menjelma kalau mereka di ancam oleh musuh-musuh orang yang menjadi bidan, tetapi Mak Bidan Mun belum pernah lagi mengalami pertemuan demikian. Apa lagi berkata kata seperti dengan manusia biasa sehari-hari.
Sampai saja di rumah Simat, Mak Bidan Mun tidak bertangguh lagi terus menyuruh Simat menanamkan uri tersebut. Dia sendiri menunjukkan petua-petuanya kepada Simat supaya uri itu di tanam dengan sempurna.
Semua peristiwa pertemuannya dengan To’ Sheikh Penghulu Bunian itu tidak diceritakannya kepada Simat. Mak Bidan Mun bimbang kalau-kalau Simat menjadi takut. Malah perkara uri isterinya yang berbekas kena makan itu juga tidak diceritakannya kepada Simat.
Sementara Simat pula memang sudah menyedari bahawa uri isterinya itu macam bersisa. Dia mula mengesyaki bahawa perbutan itu dilakukan oleh Mak Bidan Mun sendiri. Dia menyedari banya Mak Bidan Mun saja yang kesungai untuk membasuh kesan-kesan darah pada tikar dan juga uri tersebut.
Bagaimana pun Simat tidaklah berani menuduh berterus terang. Dia takut kalau hati Mak Bidan Mun tersinggung tentu buruk padahnya menimpa kepada isterinya. Oleh itu Simat berpura-pura tidak memberi Mak Bidan Mun balik ke rumah.
“Makan di sinilah dulu Mak Bidan, lepas tu tengah hari nanti saya hantar balik,” kata Simat kepada Bidan Mun.
“Suka hati kaulah Mat,” jawab Mak Bidan Mun dengan tidak mengetahui bahawa Simat mengesyaki dia sesuatu.
Simat terkejut dengan pelawaannya yang diterima oleh MakBidanMun. Biasanya bilaseorang bidan kalau mahu berniat salah jarang mahu menerima pelawaan demikian. Emaknyasendiri selalu mengigatkan dia supaya berhati-hati terhadap bidan. Kononnya kebanyakan bidan memang membela ‘hantu penanggal’.
Dari cerita emaknya, Simat mendapat tahu bahawa bidan yang membela ‘hantu penanggal’ itu bukanlah dengan kerelaan dirinya sendiri, tetapi sewaktu dia menuntutu ilmu dari seseorang, maka guru yang membela ‘hantu penanggal’ itu pun menurunkan sekali ‘hantu penanggal’ tersebut kepada bidan berkenaan.
Ada juga kononnya orang yang membela ‘hantu penanggal’ itu bertujuan untuk memanggil ‘semangat padi’,. Mereka yang membela ‘hantu penanggal’ ini boleh memanggil semangat padi. Olehitu mereka tidak perlu mengerjakan sawah padi dengan luas, memadai sedikit saja. Tetapi padi yang mereka perolehi berlipat ganda, dan tidak habis-habis. Kepuk padinya sentiasa penuh tidak luak sedikit pun.
Tetapi dia tahu bahawa Mak Bidan Mun tidaklah mempunyai padi yang penuh dikepuk. Mak Bidan Mun juga tidak gelisah bila tercium hanyir darah orang bersalin. Biasanya kalau orang membela ‘hantu penanggal’ mudah loya bila tercium bau hanyir darah orang bersalain. Mereka juga ada menyimpan tempayanberisi air cuka yang tersorok di rumahnya.
Tanda-tanda demikian tidak ada pada Mak Bidan Mun. Setelah memikirkan masak-masak akhirnya Simat yakin Mak Bidan Mun tidak membela ‘hantu penanggal’. Oleh itu dia memberanikan hati bertanya kepada Mak Bidan Mun mengenai uri isterinya yang bersisa kesan kena makan itu.
“Tahukah Mak Bidan mengapa uri isteri saya bersisa?” tanyanya bercampur bimbang.
“Mak Bidan tau…..” sahut mak Bidan Mun perlahan supaya tidak di dengar oleh isteri Simat. “Tetapi sengaja Mak Bidan tidak mahu ceritakan pada kau, takut kau kecil hati,” ujarnya sambil berbisik.
“Siapa punya kerja agaknya Mak Bidan?” Simat ingin tahu.
“Tak payah Mak Bidan cakap. Biasanya kalau dia dah mencecap memang dia nak mengulang lagi. Tawakallah kau sekarang, keranaduri mengkuangpun dah kau sangkut di bawah tempat tidur isteri kau. Janganlah bimbang apa-apa lagi,.” Mak Bidan Mun menasihatkan Simat.
Sementara itu sanak saudara Simat juga sudah datang menziarahi setelah mendengar berita tentang isterinya yang bersalin itu. Mereka juga menolong Simat memasakkan nasi gulai. Mak Bidan Mun diminta oleh Simat supaya menjaga isterinya, kalau-kalaudiganggu oleh ‘hantu penanggal’ yang sudah mencecap uri isterinya.
Sewaktu mereka sibuk di dapur untuik memasak nasi gulai, tiba-tibaSimat terdengar bunyi orang menghalau ayam di bawah rumah betul-betul bersetentangan dengan tempat isterinya tidur. Muka Simat menjadi pucat bila Mak Bidan membisikkan bahawa ‘hantu penanggal’ itu sudah datang mahu mengulangi mangsanya.
Sambil memberikan beberapa petua Mak Bidan Mun menyuruh Simat menjengah ke bawah rumah. Sebelum itu dia meminta Simat menyediakan ‘tempat bara’ untuk membakar kemenyan. Setelah Mak BidanMunmembakar kemenyan barulah disuruhnya Simat turun ke bawah. Kebetulan ketika itu isteri Simat gelisah kerana merasa perutnya merengat-rengat.
Mak Bidan Mun memulakan jampi serapahnya untuk memulihkan isteri Simat yang mulaketakutan. Beberapa orang yang ada di dapur juga datang mendapatkan isteri Simat.
Asap kemenyan memenuhi ruang tengah rumah itu. Mak Bidan Mun terpandang To’ Sheikh berdiri di muka pintu. Orang-orang yang ada duduk di situ tidaklah melihat To’ Shaikh, tetapi merekla hanya mendengarMak Bidan Mun bercakap sesuatu.
“Kami tak mahu anak kami ni diganggu…” kata Mak Bidan Munsambilmemerhatikan ke muka pintu tempat to’ Sheikh berdiri .
“Siti Fatimah janganlah takut, anak bidan Siti Fatimah akan selamat,” sahut To’ Sheikh.Tetapi suara To’ Sheikh itu tidak di dengar oleh sesiapa pun kecuali Mak Bidan Mun saja. Sebaliknyha suara Mak Bidan Mun memang dapat didengar dengan jelas oleh mereka.
“Kami nak minta jaminan betul supaya anak kami selamat. Kalau anakkami diganggu, kami mengamuk. Pantang tok nenek moyang kami, anak kami diganggu,” suara Mak Bidan Mun semakin keras.
“Allah lebih berkuasa. Lindungkan anak cucu kami dari syaitan,” To’Sheikh bertempik kuat menyebabkan Mak Bidan Mun tersentak. Tiba-tiba dia mendapati To’ Sheikh tidak ada lagi di muka pintu. Mak Bidan Mun nampak To’ Sheikh sudah masuk ke tubuh Simat.
Orang-orang yang duduk mengadap isteri Simat tiba-tiba menjadi terkejut bila mendengar Simat bertempik di tanah. Suara Simat garang menerpakearah duri mengkuang tersangkut di bawah tempat tidur isterinya.
“Ini kerja kau syetan. Ini kerja kau….” Tempiknya sambil mengibas-ngibaskan parang kearah duri mengkuang.
Semasa beberapa orang perempuan turun ketanah mereka nampak Simat seperti orang gila memangkas-mangkas angin. Tetapi setiap kali parangnya di kibas-kibas, mereka terdengar jerit yang menggerunkan. Mata parang simat jugadipenuhi dengan darah.
“Syetan, syetan kau syetan, kau bukanmak aku, kau syetan,” jerit Simat. Orang-orang yang melihatnya menjadi heran kerana tiba-tiba saja Simat menjadi seperti orang gila. Mereka juga heran apakah yang ditetak oleh Simat dengan parangnya hingga mata parang itu berlumuran dengan darah.
Mereka semua datang meleraikan Simat. Mereka menyangka mata parang yang berlumuran dengan darah itu ialah darah Simat sendiri, kerana mereka tidak tahu apa yang ditetak oleh Simat. Setelah Simat dapat disabarkan mereka memujuk supaya Simat naik berihat keatas rumah.
Sementara itu isteri Simat pula tidaklah mengeran-ngerang lagi kesakitan. Malah dia menjadi heran kerana melihat keadaan Simat yang memegang parang berlumuran dengan darah. Setelah suasana tenang mereka pun bertanyalah kepada Simat.
“Kenapa kau Simat?” Tanya Pak Lang Bok adik emaknya.
“Entah……” Simat menggeleng-geleng kepala. ”Saya nampak kepala Mak tersangkut pada duri mengkuang di bawah rumah tu, kepala tu membawa tali perut. Ayam nak mematuk tali perut yang berjurai-jurai tu, dia cuba menghalau-halau ayam itu. Mula-mula saya nak tolong, tapi bila kenang dia menjilat darah isteri saya yang mengalir di celah lantai, saya tak fikir itu emak lagi. Tentu syetan….” Katanya tersengguk-sengguk menahan keharuan yang menyebakdi dadanya.
“Astaghafarullah-alazzim,” keluh Mak Bidan Mun bila mendengar pengakuan dari Simat. Hanya Simat saja yang melihat kejadian tersebut, kerana orang lain yang melihat dengan mata kasar memang tidak nampak. Tetapi Simat dapat melihat kerana Mak Bidan Mun nampak To’ Sheikh masuk ke dalam tubuh Simat.
Mereka semua tertanya-tanya dengan cerita Simat itu, kerana mereka tidak melihat apa yang ditetak oleh Simat dengan parangnya. Walaupun mereka nampak darah berlumuran pada parang mata tersebut, tetapi mereka tidak nampak apa-apa selain dari kelakuan Simat memangkas-mangkas angin.
“Siapa yang kau nampak?” Tanya Pak Lang Bok keheranan.
“Saya nampak Mak, saya nampak kepala Mak tersangkut pada duri mengkuang. Tali perutnya berjurai-jurai mencecah tanah, Dia cuba menghalau-halau ayam yang mahu mematuk tali perutnya,” kata Simat masih menahan perasaan sebak di dada.
“Kami tak nampak apa-apa, kami tak nampak seekor pun ayam di situ,” beritahu Pak Lang Bok semakin bertambah heran.
Simat hanya menggeleng-geleng kepala. Dia sendiri semacam tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia nampak dengan jelas kepala emaknya tersangkut pada duri mengkuang. Tetapi kepala itu tidak membawa tubuh, hanya tali perutnya saja berjurai-jurai.
Itulah hantu penanggal yang selalu didengarnya. Hantu penanggal itu memang berasal dari manusia sendiri. Selalunya mereka yang tersalah tuntut ilmu menjadi hantu penanggal. Kononnya mereka berhasrat menuntut ilmu bidan, atau ilmu memanggil semangat padi, ketika menuntut inilah gurunya menurunkan hantu penanggal itu.
“Kalau begitu, kau kena jaga baik-baik Liah tu,” Pak Lang Bok mengingatkan Simat supaya mengawasi isterinya. “Orang perempuan bersalin ni darah manis, banyak musuhnya. Boleh jadi yang kau nampak tu hantu penanggal, tetapi….” Dia semacam memikirkan sesuatu.
Simat tidak bercakap apa-apa. Dia semacam kebingungan setelah melalui peristiwa yang baru di alaminya sebentar tadi. Segala apa yang dilihatnya tadi seolah-olah mimpi saja. Tetapi semua orang memang melihat apa yang dilakukannya.
Kalau dia mengatakan dia sudah mencincang kepala emaknya sampai lumat, tentu orang tidak percaya. Hanya dia seorang saja yang nampak kepala emaknya tersangkut pada duri mengkuang yang digantungkan di bawah rumah bersetentangan dengan tempat isterinya berbaring.
Dalam masa mereka masih diselubungi keheranan itulah ayah Simat iaitu Pak Ngah Edot sampai ke situ. Pak Ngah Edot memberitahu tentang kematian isterinya Mak Nget secara mengejut. Yang anehnya kata Pak Ngah Edot ialah kematian Mak Nget itu sungguh mengerikan.
Ketika orang-orang kampung sampai ke rumah Pak Ngah Edot, mereka mendapati memang benar Mak Nget sudah meninggal dunia. Kepala mayat Mak Nget itu tidak ada, sementara tubuhnya pula kosong tidak berisi apa-apa.
“Astaghafarullah alazzim….” Keluh Pak Lang Bok bila melihat jenazah kakaknya yang sungguh mengerikan itu.
Inilah sebahagian dari pengalaman arwah moyang saya Mak Bidan Mun yang diceritakannya kepada arwah nenek saya. Sebab itulah semasa hayatnya arwah nenek saya tidak membenarkan sangat saya mahu menuntut ilmu kebatinan. Dia bimbang guru yang tidak bertanggung jawab akan menurunkan ilmu yang tidak baik kepada saya.
Oleh itu saya sangat berhati-hati dalam menuntut ilmu-ilmu demikian. Saya sentiasa mengingati pesan arwah nenek saya itu, supaya saya tidak terjerumus mengikuti ilmu-ilmu sesat yang bertentangan dengan amalan agama Islam yang suci.
                                      SELESAI

1 comment:

  1. Sentiasa ternanti-nanti kisah baru dari blog Tuan Manjalara. Terima kasih atas perkongsian.

    ReplyDelete