Monday, July 20, 2015

133. MATI TERBUJUR HIDUP SEMULA



DI TENGAH pusaran air yang menolak ke tebing sungai berteluk itu nampak buih terapung-apung beralun perlahan. Lantas ayah saya kuis-kuiskan buih tersebut sambil memerhati anak-anak ikan menggelepar. Tentu mereka menuba sungai sampai tidak hiraukan anak-anak ikan juga menjadi mangsa.
Sudah berkali-kali ayah saya ingatkan Sudin Mamai supaya tidak tuba sungai kalau sekadar mahu dapatkan ikan. Gunakan jeramak pun boleh dapat hampir setengah keruntung. Tidak perlu taburkan tuba biar ikan mabuk tercangut ke permukaan arus.
Memang seisi kampung tahu sangat mengenai Sudin Mamai yang suka ke hutan mencari akar tuba. Dia akan titik akar tuba itu dan direndamkan ke tengah arus sungai. Dalam masa setengah jam sahaja ikan terbul, ikan masai, ikan susur batang, ikan betuk akan terkapung di tengah arus sungai. Orang-orang kampung juga akan menyerbu ke sungai membawa tengguk dengan harapan dapat ikan sampai penuh setimba.
Siapa pun tidak marahkan Sudin Mamai tuba sungai. Mereka akan tumpang sama dapat rezeki banyak ikan terkapung akibat mabuk tuba. Masakan mereka marah asal sahaja Sudin Mamai tidak larang mereka ikut sama menangguk ikan mabuk tuba terkapung di tengah arus sungai. Lagi pun mereka tidak perlu bersusah payah ikut Sudin Mamai ke hutan mencari akar tuba berkenaan.
Tetapi ayah saya marah benar dengan sikap Sudin Mamai suka menuba ikan di sungai. Kadangkala tidak sampai tiga bulan dia akan cari lagi akar tuba. Sudin Mamai akan titik sampai hancur biar akan tuba keluarkan getah untuk mabukkan ikan.
Bukan takat ikan menyonsong arus sahaja terkapung mabuk, ikan yang menyusup ke kawasan berteluk sama ada ikan semilang, ikan baung, ikan haruan, ikan tilan juga akan menggelepar ke permukaan arus sekiranya tidak sempat menyusup ke lubang tebing.
Bila-bila sahaja ikan yang mabuk tuba itu mudah ditangguk orang-orang kampung yang sentiasa menunggu Sudin Mamai turun menuba. Siapa lagi tahu menuba sungai di kampung itu selain daripada Sudin Mamai. Memang Sudin Mamai sahaja yang tahu mencari akar tuba di tengah hutan.
 "Ada orang tuba sungai lagi," gerutu ayah saya memerhati emak saya yang tercegat di tebing sungai.
"Ah, tentu kerja Sudin Mamai tu," sahut emak saya menjuihkan bibir kerana sudah dapat mengagak tentu Sudin Mamai yang lakukan.
"Makan ikan kena tuba, samalah macam tuba diri sendiri!" ujar ayah saya tidak terus mandi di sungai sebaik sahaja batik dari menajak di sawah.
Sudah menjadi kebiasaan ayah saya dia lebih selesa mandi di sungai apabila balik dari menajak di sawah. Lumpur yang banyak terpalit di seluruh badan mudah disental dengan sabut biar habis tanggal tidak bersisa. Emak saya juga akan membasuh kain di sungai setiap kali balik dari sawah.
Sebaik sahaja menyedari sungai dituba orang, beberapa orang yang sama-sama balik dari sawah tidak lepaskan peluang ikut sama menangkap ikan mabuk tuba. Resat Tepek cepat sahaja terjun dari tebing sungai mencapai kayu panjang sehasta.  Asal sahaja ikan tercangut di permukaan arus dia akan ketuk sahaja biar mudah ditangkap.
Bukan Resat Tepek sahaja yang cepat-cepat menerkam ikan mabuk tuba, Senah Lawar pun ikut sama tadahkan kain tutup kepala. Ikan mabuk tuba itu tidak boleh dibiarkan mati kembung hingga insangnya dimasuki habis semua racun tuba itu. Kalau dibiarkan racun tuba meresap habis, tentu mereka juga akan menerima padah.
Disebabkan sudah ramai orang menyerbu ke sungai, ayah saya tidak mahu lagi mandi di sungai. Dia tidak mahu mandi air sungai yang sudah ditabur dengan racun tuba. Lantas ayah saya mengajak emak saya balik sahaja mandi di telaga. Biarlah emak saya juga membasuh kain di telaga disebabkan terkilan dengan perbuatan Sudin Mamai menuba sungai tatkala tengah hari demikian.
"Tak serik-serik Sudin Mamai ni," emak saya mendengus apabila kenangkan adik sepupunya itu. Sudah berkali-kali dimarahi oleh Pak Tua Mahat pun dia tetap berdegil mahu menuba di sungai.
"Ikan di sungai dalam kampung ni, gunakan jeramak pun boleh," ujar ayah saya kesal kerana ikan mabuk tuba itu banyak mati tidak dapat dikutip.
 Memang ayah saya lebih gemarkan menjeramak ikan di sungai kalau teringin mahu masak gulai ikan dengan bacang muda. Sebaik sahaja emak saya jerangkan nasi di tungku, lantas sahaja ayah saya turun ke sungai membawa jeramak. Tidak sampai satu jam dia akan balik ke rumah dengan ikan bertengah keruntung.
 Kalau bandingkan dengan kakaknya Ngah Siah, memang ayah saya tidak mampu melakukan sepertinya. Ngah Siah masuk ke lombong dengan tidak memerlukan jeramak atau tangguk. Dia sekadar hulurkan tangan ke bawah rumput-rumput menyerungkup ke tebing. Dalam masa beberapa minit sahaja Ngah Siah sudah menangkap ikan dengan tangannya sahaja.
Bukan takat ikan haruan, ikan bujuk atau ikan yang tidak berduri sahaja boleh dicekup Ngah Siah dengan tangannya di dalam air, malah akan semilang, ikan baung atau ikan limbat pun mudah sahaja dicekaknya. Memang Ngah Siah tidak bimbang apa pun kalau mencekup ikan di dalam air.
Tetapi ayah saya memang terkilan dengan sikap Sudin Mamai gemar gunakan tuba kalau mahu menangkap ikan. Sudin Mamai sanggup meranduk ke tengah hutan mencari akar tuba tumbuh meliar dalam beluka. Sudah beberapa kali juga ayah saya menegurnya, tetapi Sudin Mamai sekadar tersengih-sengih sahaja.
Sewaktu ayah saya balik dari telaga, saya sudah menunggu di kaki tangga disebabkan baru balik dari madrasah Tok Aji. Kakak saya juga sudah siap di dapur hidangkan nasi dengan gulai pisang muda.
"Tok Aji apa khabar?" tanya emak saya sebaik sahaja bersalam tangan di kaki tangga.
"Sihat," beritahu saya lantas sampaikan salam Tok Aji dan Nenek Aji.
Memang sekali sekala sahaja saya balik ke kampung emak saya, semenjak diajak oleh Tok Aji tinggal bersama di madrasahnya. Jauh juga jaraknya madrasah Tok Aji dari kampung emak saya, terpaksa menaiki bas juga. Kemudian berjalan kaki masuk ke kampung melalui jalan estet sampai tiga batu.
Ketika itu pengangkutan juga bukanlah mudah. Sebab itulah jarang saya mahu balik ke kampung emak saya. Tetapi sekali sekala balik, memang nenek saya di sebelah emak Bidan Ibah akan merungut panjang sekiranya tidak singgah menjamah nasi di rumahnya.
Sewaktu emak saya hulurkan pinggan ketika menghadap hidangan, nenek saya Bidan Ibah memanggil ayah saya. Cepat-cepat ayah saya bangun menerpa ke pintu. Dia bukakan pintu, tetapi nenek saya tidak mahu naik ke rumah.
"Cepatlah bilal, tengokkan anak Sudin," beritahu nenek saya bagaikan cemas sangat.
 Memang nenek saya tengah menyapu sampah di tengah halaman semasa Milah Dukung memberitahu mengenai Salim sesak nafas. Lantas nenek saya ke rumah Milah Dukung urutkan dada Salim dengan minyak kelapa di tenyeh bawang merah.
Nenek saya sudah tangkalkan dengan jampi terkena angin pasang biar lelah anak kecil itu berkurangan. Tidak pernah pula Salim mengidap penyakit lelah sampai dia tercangut-cangut macam ikan mabuk tuba. Lantas sahaja Milah Dukung menuduh suaminya Sudin Mamai yang menyebabkan kejadian tersebut berlaku ke atas anaknya.
Tidak jadi ayah saya menyuap nasi sekalipun sudah terhidang. Dia sekadar jamah sahaja secubit nasi sebelum turun mengikut nenek saya ke rumah Milah Dukung. Tetapi emak saya tidak tergesa-gesa. Biarlah ayah saya ikhtiarkan untuk memulihkan Salim tercangut-cengut akibat lelah yang menyerang tiba-tiba.
Selepas siap makan tengah hari barulah saya ke rumah Milah Dukung bersama emak dan kakak saya. Tatkala saya sampai di rumahnya Salim udah pun duduk menghadap hidangan nasi bersama ayahnya Sudin Mamai. Mereka berdua makan sehidangan dengan tidak pedulikan orang ramai berkumpul di rumahnya.
"Tak ada beban batu digalas!" rungut nenek saya apabila kenangkan anak saudaranya Sudin Mamai tersengih-sengih menyuap nasi dengan gulai ikan campur belimbing buluh.
Saya melihat Wak Sarimin balik dari kubur menggalas cangkul dengan merungut-rungut tidak menentu. Penat juga dia menggali kubur, tetapi terpaksa dikambus semula dengan menanam batang pisang sebagai ganti mayat. Sudah menjadi pantang larang pula di kampung itu, apakala kubur digali mesti ditanam juga apa-apa pun apabila tidak ada mayat mahu dikebumikan.
Memang nenek saya sendiri menyuruh Wak Sarimin bersama beberapa orang jiran galikan kubur sebaik sahaja Salim terkejang tidak bernyawa. Tidak sempat ayah saya sampai bersama nenek semasa Salim terkejang tidak bergerak lagi. Beberapa orang jiran juga sudah terconggok di tengah rumah disebabkan Wak Sarimin sudah sahkan memang Salim meninggal dunia.
Ayah saya juga sahkan Salim sudah meninggal dunia semasa dia naik ke rumah bersama nenek saya. Cepat-cepat ayah saya suruh bujurkan mayat itu di tengah rumah bersetentang dengan bumbung. Dalam masa jiran-jiran dan keluarga bersiap-siap untuk kebumikan Salim inilah, Sudin Mamai balik membawa ikan sekeruntung.
"Memang awak ni bawa puaka balik ke rumah!" jerit Milah Dukung di kepala tangga melepaskan geram.
Tetapi Sudin Mamai tidak menyahut apa-apa. Dia tidak terkejut dengan keadaan orang ramai berkumpul di rumahnya. Biarlah isterinya terjerit-jerit melepaskan geram terhadap dirinya, Sudin Mamai tetap tersengih-sengih hambar.
"Awak makanlah ikan to sampai termuntah, aku tak ingin!" semakin galak Milah Dukung menjerit dengan suara meninggi.
"Milah, bawah bersabar, selesaikan anak ni dulu," nenek saya memujuknya supaya tidak ikutkan sangat perasaan.
Beberapa orang jiran terpaksa pula memegang Milah Dukung yang meronta-ronta mahu menerkam suaminya. Marah benar dia disebabkan Sudin Mamai tidak pedulikan nasihat orang-orang kampung. Kerapkali orang nasihatkan dia supaya tidak menuba ikan di sungai, setelah Dukun Lamat beritahu mengenai puaka di batu dagu mahukan nyawa setelah sungai melalui bukit di situ dituba orang.
Dukun Lamat beritahu mengenai mimpinya apabila puaka di batu dagu di kaki bukit sungai kampung berkenaan tidak sabar dengan perbuatan menuba ikan. Tetapi Sudin Mamai tidak pedulikan mimpi Dukun Lamat yang beritahu mengenai dendam puaka di batu dagu itu.
Sebab itu Milah Dukung marah benar dengan suaminya yang berkeras tidak mempercayai mimpi Dukun Lamat. Dalam keadaan Milah Dukung menjerit-jerit marah ini, Sudin Mamai terus menyiang ikan di dapur. Kemudian memetik belimbing besi di belakang rumah. Dia gulai ikan sebarau dan ikan terbul masak lemak kuning campur belimbing buluh itu.
Setelah nasinya masak, Sudin Mamai siapkan hidangan dalam dulang. Dia angkat hidangan itu dibawa ke sisi anaknya yang sudah dibujurkan di tengah rumah. Sewaktu membasuh tangan Sudin Mamai renjiskan tiga kali ke muka anak-nya yang terbujur itu. Sekaligus pula Salim terbersin kuat lantas bangun membuang kain yang diselubungkan ke tubuhnya.
"Mari makan," Sudin Mamai menyuruh anaknya basuh tangan, terus makan bersama.
Sewaktu Milah Dukung mahu menerpa dapatkan anak-nya, cepat-cepat dihalang oleh ayah saya. Biarlah Sudin Mamai bersama Salim habis makan nasi dengan gulai ikan itu, sebelum masing-masing mendekati mereka.
Dukun Lamat juga nasihatkan Milah Dukung supaya tidak tergesa-gesa dapatkan anaknya Salim. Manalah tahu yang bingkas bangun itu sekadar puaka lembaga yang merasuk anak kecil itu. Kalau Sudin Mamai yang mulakan puncanya biarlah dia sendiri yang selesaikan urusan dengan puaka batu dagu di kaki bukit.
Sebaik sahaja saya sampai bersama emak dan kakak, Sudin Mamai masih lagi menyuap nasi dengan Salim. Dia melambai saya mara mendekatinya mengajak makan bersama. Serba salah juga saya mahu mengelak disebabkan baru sahaja makan nasi di rumah sebelum datang ke situ.
Beberapa kali diajak oleh Sudin Mamai terpaksa juga saya duduk di sisinya. Saya terus menjamah nasi dengan gulai ikan sebarau masak lemak kuning bercampur belimbing buluh. Memang saya tidak makan banyak, sekalipun terasa gulai ikan itu sungguh menyelerakan. Kalau tidak kenangkan perut tengah kenyang memang mahu juga saya bertambah lagi.
Selesai sahaja makan, Sudin Mamal meminta saya bacakan doa selamat. Setelah saya bacakan doa selamat inilah Pak Tua Mahat jejak kaki di kepala tangga setelah mendapat tahu mengenai kejadian yang menimpa Sudin Mamai. Cemas juga Pak Tua Mahat apabila diberitahu kejadian yang berlaku ke atas Sudin Mamai
Tetapi dia juga sudah mengalaminya sewaktu anaknya Lajis masih kecil lagi. Memang Pak Tua Mahat hampir kecewa setelah menembak ayam hutan bertenggek di akar. Balik sahaja dari berburu emak mertuanya sudah menyergah disebabkan Lajis terbujur tidak bernyawa.
Hampir juga nenek saya bercekak rambut dengan emak mentua Pak Tua Mahat disebabkan perempuan itu menyalahkan Pak Tua Mahat sahaja. Tersinggung juga nenek saya apabila anaknya Pak Tua Mahat diperlakukan macam anak yang tidak mempunyai emak dan ayah.
Tetapi Pak Tua Mahat tetap bersabar. Kesabaran Pak Tua Mahat menghadapi dugaan itulah dituruti oleh Sudin Mamai dalam masa dia benar-benar terdesak. Sebaik sahaja batik dari menuba ikan Sudin Mamai sudah dapat mengagak kejadian itu akan menimpa keluarganya.
Sebaik sahaja dia naik ke tebing sungai selepas mengutip ikan mabuk tuba, Sudin mamai tercium bau busuk. Tatkala dia melihat keruntung berisi ikan terkejut benar Sudin Mamai kerana ikan di dalam keruntung semuanya tulang-tulang tidak berguna. Berdebar hati Sudin Mamai dengan keadaan ikan-ikan di dalam keruntung sudah bertukar mnejadi tulang-tulang ikan sahaja.
Lantas sahaja Sudin Mamai ingatkan kejadian yang menimpa Pak Tua Mahat bertahun-tahun sebelum itu. Ketika Pak Tua Mahat berburu ayam hutan bertenggek pada akar pohon ara. Sebaik sahaja ditembak, Pak Tua Mahat terkejut kerana ayam hutan bertukar menjadi daun terap kering. Tetapi Pak Tua Mahat dapat pulihkan semula ayam hutan yang ditembaknya.
Semasa balik membawa ayam hutan siap disembelih itulah Pak Tua Mahat diberitahu mengenai anaknya  Lajis meninggal dunia. Orang-orang kampung juga sudah bersiap-siap mahu kebumikan Lajis hingga kubur pun sudah digali. Tetapi Pak Tua Mahat tidak berputus asa, dia tidak terus naik ke rumah menatap anaknya yang sudah dibujurkan.
Pak Tua Mahat masuk ke dapur meletakkan ayam hutan siap disembelih di pelantar dapur. Mereka yang datang berkumpul ke situ melihat Pak Tua Mahat menyiang ayam lantas menggulainya sampai nasi dihidangkan ke sisi Lajis. Memang Sudin Mamai tahu bukan Pak Tua Mahat yang memasak di dapur. Ketika ini Pak Tua Mahat duduk di perdu pohon ara merendang dengan tangannya tidak lepas mencekak lelaki tua berpakaian seperti Cina tua.
Tangan Pak Tua Mahat tidak lepas mencengkam kuat batang leher lelaki Cina tua itu. Kemudian dia membacakan seratus kali:
Ya qadim, ya daim, ya ahad, ya wahid, ya samad,
terus memuntal rambut lelaki Cina tua yang mengerbang panjang.
Terkial-kial lelaki Cina tua itu dengan merengek-rengek lemah. Pak Tua Mahat terus membaca-kan:
Allahhumma inni as-alaka bismikal ahadal 'aza wada'waka, Allahhumma bismikal ahadal samada wadaiwaka Allahhumma bismikal 'azimil witri wada'waka, Allahhumma bismikal kabiral muta'alallzi mala-ai arkana kullaha an-tak'afa 'inni ma-asbahata wama amsita fihi.
Pak Tua Mahat menggenggam tubuh Cina tua itu di dalam tapak tangannya setelah seluruh tubuhnya mengecil. Dia tahu memang Lajis terperangkap di dalam tapak tangan jelmaan lembaga besar yang mahu menguji kesabaran hatinya. Selagi Pak Tua Mahal tidak meledak marah, sekalipun di maki hamun emak mentuanya, dia tidak akan dapat dikalahkan oleh pesona syaitan.
Selagi syaitan mahu memperdayakan keluarganya, memang Pak Tua Mahat juga tidak lepaskan jelmaan Cina tua di dalam genggamannya. Sebab itu Sudin Mamai juga mesti menahan sabar tatkala semua ikan di dalam keruntung bertukar menjadi tulang-tulang ikan yang tidak berguna.
Bau busuk tulang-tulang ikan itu juga menusuk ke hidung, hinggakan kepala ikan juga sudah berulat dengan ulat berenga memutih. Sudin Mamai tahu sangat gangguan demikian akan memusnahkan dirinya. Sekiranya dia buangkan tulang-tulang ikan yang sudah berulat di dalam keruntung, nescaya padah akan menimpa dirinya.
Dia wajib bertahan sekalipun akibatnya boleh mengancam keluarga sendiri. Biarlah siapa pun keluarganya menghadapi ancaman syaitan, asal sahaja dia mampu bersabar tatkala dugaan demikian sedang memuncak. Sudin Mamai sudah bersedia dimaki hamun oleh isterinya Melah Dukung yang tidak memahami kejadian sebenarnya.
Tentu Sudin Mamai juga tidak dapat menghalang sesiapa pun memaki hamunnya selagi keadaan Salim tidak dapat dipulihkan. Disebabkan dia terlalu berkeras menuba ikan, petaka demikian mengganggunya. Apabila petaka gangguan syaitan sudah tidak boleh dielakkan dia mesti bertahan juga.
Kalau Pak Tua Mahat mampu melalui saat getir berdepan dengan gangguan syaitan, kenapa pula dia mesti mengalah? Sudin Mamai tidak akan biarkan dirinya diperangkap syaitan yang sentiasa mahu mengelirukan manusia. Siapa sahaja terperangkap memang tidak akan dapat menahan sabar.
Setelah keruntungnya dipenuhi tulang-tulang ikan tidak berguna, Sudin Mamai terus menutup mulut keruntung. Biar-lah tangannya menggenggam apa sahaja jelmaan syaitan, asalkan bukan jelmaan syaitan yang menggenggam dirinya.
Apabila dia merentap akar tuba di dalam hutan, Sudin Mamai sudah merasakan dia merentap tali perut syaitan hingga terburai laksana tali terlepas ikatan. Ketika tangannya menggenggam mulut keruntung, Sudin Mamai juga merasakan kepala syaitan yang dicengkam di dalam genggamannya.
Sudin Mamai menguatkan semangatnya lantas membacakan tujuh kali:
Wa-immayanzag-hannakka minasy syaitoni nazghunfasta'iz billahhi innahu sami'un 'alim.
Serentak dengan itu Sudin Mamai merasakan keruntungnya bergoncang kuat, tetapi tangannya tetap tidak lepas daripada menggenggam mulut keruntung berkenaan.
Lama dia menggenggam mulut keruntung itu tiba-tiba berdepa bunyi benda besar jatuh di depannya. Dia melihat jelmaan lelaki perut buncit jatuh terlentang di depannya dengan kepala seperti ikan haruan. Tersengih-sengih jelmaan lelaki perut buncit itu bingkas bangun dengan terkial-kial.
"Aku boleh balikkan semula ikan dalam keruntung kau," ujar jelmaan lelaki perut buncit menyapu mulutnya dengan tangan.
"Tapi aku mahu gantinya, anak kau sendiri!" tegasnya lantas mengejek-ejek Sudin Mamai.
"Kalau kau boleh campur urusan Allah, cubalah!" sahut Sudin Mamai tersenyum menyindirnya. "Ketentuan Allah memang aku tak dapat menghalangnya," dia merenung tajam ke muka lelaki perut buncit dengan membacakan surah al-Ikhlas 17 kali.
Sebaik sahaja perut lelaki itu meletup laksana gelembung meletus, segera diterpa oleh Sudin Mamai. Dia merentap tali perut lelaki itu yang terburai tidak bertahan. Ketika inilah Milah Dukung melihat suaminya terkial-kial memasak di dapur. Siapa pun tidak tahu mengenai Sudin Mamai masih bergelut di tebing sungai.
Hanya setelah ikan di dalam keruntungnya pulih semula, baru mereka yang berkumpul di rumahnya nampak Sudin Mamai sedang buat hidangan nasi ke dalam dulang. Sudin Mamai sendiri yang bawa hidangan nasi itu ke sisi anaknya yang terbujur di tengah rumah.
Sebaik melihat saya naik ke rumah bersama emak dan kakak, lama Sudin Mamai terdiam. Setelah saya bacakan al-Fatihah tiga kali dan dihembus perlahan ke arah ubun-ubunnya, dia se-olah-olah terbangun dari tidur nyenyak. Lantas dia menggamit saya mengajak makan bersama dengan Salim yang kelihatan segar.
"Kenapa orang ramai di rumah kita?" Salim mencuit kepala lutut ayahnya.
Sudin Mamai tidak menyahut. Dia tersengih-sengih lantas membasuh tangan. Setelah selesai makan, tidak bertangguh dia kemaskan semula. Semua lebihan nasi dan gulai terus sahaja ditanamnya macam kebumikan mayat dikubur.
Terpinga-pinga juga emak saya dengan kejadian yang menimpa Sudin Mamai hingga saya juga terbabit sama. Kenapa pula Sudin Mamai hanya mempelawa saya seorang sahaja makan bersama, sedangkan ayah saya atau Pak Tua Mahat tidak dipedulikannya langsung.
Siapa pun tidak berani sangat mahu bertanya mengenai kejadian itu, kerana Pak Tua Mahat sudah ingatkan supaya tidak diungkit-ungkit. Perkara kejadian yang menimpa Sudin Mamai memang sama dengan kejadian yang dialaminya bersama Lajis. Pak Tua Mahat dapat mengagak segala pengalaman yang dilalui oleh Sudin Mamai itu.
Tetapi kejadian yang berlaku ke atas diri Pak Tua Mahat sekadar saya dengar dari emak sahaja, kerana ketika Lajis masih kecil saya masih belum lahir. Lajis sendiri tidak tahu apa-apa tatkala saya tanyakan kejadian tersebut kepadanya.
Tentu Salim juga tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang menimpa dirinya ketika masih berusia lapan tahun. Dia sekadar ingat seolah-olah terjun ke tengah arus hingga hampir tenggelam bersama ayahnya Sudin Mamai. Masa inilah dia seolah-olah melihat tangan saya mencapai tengkuknya dibawa naik ke tebing.
"Lain saya tak ingat," beritahu Salim apabila ditanyakan kejadian yang dialaminya semasa berusia lapan tahun itu. "Agaknya saya mimpi macam tu," dia menjelaskan kerana tidak percaya mengenai dirinya yang dikatakan sudah meninggal dunia itu boleh hidup semula. Memang seisi kampung percaya Salim sudah meninggal dunia, tetapi hidup semula setelah dipulihkan oleh ayahnya Sudin Mamai. Masakan orang yang sudah meninggal dunia boleh hidup semula. Hanya Tok Aji sahaja menerangkan Salim sekadar pengsan tidak sedarkan diri akibat gangguan syaitan. Mereka melihat Salim seolah-olah sudah tidak bernyawa di-sebabkan pesona syaitan yang mahu mengelirukan keluarga Sudin Mamai.
Lama juga tersebar cerita mengenai Salim yang sudah meninggal dunia itu hidup semula. Terpaksa ayah saya ingatkan orang-orang kampung supaya tidak terpengaruh dengan cerita tahyol demikian. Tetapi masakan mereka boleh lupakan kejadian itu kerana Wak Sarimin sendiri yang gali kubur setelah didesak oleh nenek saya Bidan Ibah.
Bukan Wak Sarimin sahaja terpaksa gali kubur, malah Dolah Cekang juga sudah bersiap menebang buluh untuk buat usungan. Kejadian yang berlaku hampir empat puluh tahun itu bukan mudah mahu dilupakan oleh orang-orang kampung yang melihat sendiri peristiwa tersebut.

No comments:

Post a Comment