SEHINGGA jam sebelas
malam Deraman menunggu di depan pintu pagar Ustaz Muaram masih belum balik.
Kalau malam Jumaat memang dia mengajar di Kampung Sena, sampai tengah malam
baru balik ke rumah. Di gagahinya juga ke masjid Kampung Sena sejauh 30
kilometer dari rumahnya disebabkan tanggungjawabnya mengajar ke sana.
Tetapi Deraman tetap
sabar menunggu sekalipun Ustaz Muaram lambat balik. Masakan Ustaz Muaram
mengajar ke Kampung Sena, kerana isterinya juga ikut sama. Lainlah kalau malam
Jumaat memang dia mengajar agama di Kampung Sena.
Sebelum asar lagi
Deraman sudah bertolak dari rumah ayah saya ke Kampung Gawang itu. Tahu sangat
ayah saya mengenai Ustaz Muaram di Kampung Gawang di Jelebu itu, kalau sesiapa
patah tulang hingga tidak boleh jejak kaki atau menggenggam tangan.
Sudah ramai yang
sembuh setelah diubati oleh Ustaz Muaram sekiranya mereka enggan dirawat
hospital. Perkara dirawat di hospital bukan disebabkan mereka tidak suka
rawatan perubatan moden, tetapi rimas kalau disimen sampai berbulan-bulan.
Apalagi kulit menjadi gatal akibat disimen itu menyebabkan terkial-kial mereka
menjolok dengan lidi mahu menggaru sampai ke dalam tempat bersimen.
"Ustaz tu tahu
sama ada patah atau pun tidak," bisik ayah saya tidak berganjak duduk di
dalam kereta menunggu sementara Ustaz Muaram balik ke rumah.
"Tapi jari budak
tu masih boleh digerak-gerakkan," ujar Deraman mengerling anaknya yang
baru berumur enam tahun tersandar di belakang. Kalau jarinya tidak boleh
digerakkan dia percaya tulang tangan anaknya patah.
Sebaik sahaja anaknya
Fazhar jatuh terguling ke lantai tatkala bermain dengan abangnya hingga
menangis kesakitan memegang tangannya, Deraman sudah bawakan menemui Opah Sipah
minta urutkan. Terjerit-jerit anaknya menangis apakala diurutkan oleh Opah
Sipah dengan tangan Fazhar membengkak.
Disebabkan Fazhar
masih merengek sakit, selepas maghribnya Deraman bawa juga ke klinik. Doktor
klinik yang menjadi kawan baikya itu nasihatkan supaya dibawa juga ke hospital
supaya di x-ray, biar doktor sahkan sama ada tangan anaknya patah atau pun
tidak.
Tetapi Deraman
sekadar mengangguk sahaja apabila dinasihatkan oleh kawannya itu. Disebabkan
semalaman tidak dapat tidur apakala Fazhar terus merengek kesakitan, lantas
pagi-pagi lagi dia menemui ayah saya. Manalah tahu ayah saya boleh membantunya
sebelum Fazhar dibawa ke hospital.
Perkara tergeliat
atau pun patah tangan, memang ayah saya tidak berpengalaman langsung. Entah
kenapa Deraman menumpu ke rumahnya apabila tangan anaknya membengkak setelah
jatuh terguling di lantai semasa bermain dengan abangnya. Manalah dia tahu mahu
ubatkan Fazhar, sekalipun takat terkehel urat sahaja.
"Bidan Opah
Sipah kata, tak patah," jelas Deraman apabila kenangkan jaminan Opah Sipah
setelah mengurut tangan anaknya yang membengkak. "Tapi kawan saya doktor
tu syak tangan anak saya ni patah," ujarnya masih berharap biarlah anaknya
tidak dibawa ke hospital.
"Kita cubalah
dengan ustaz ni," ayah saya meminta dia bertenang dalam saat demikian.
"Dia ni memang
mudah gelabah, tuan aji," lantas isteri Deraman, Basirah mencelah.
"Awak pun apa
kurangnya!" segera Deraman mencebek bibir mengerling isterinya apabila
kenangkan Basirah semalaman tidak dapat lelapkan mata disebabkan Fazhar
merengek akibat tangannya menyakit berdenyut-denyut.
Tengah malam itu juga
Basirah mendesaknya supaya membawa Fazhar ke hospital. Tentulah sia-sia
sekiranya berkeras menghantar anaknya ke hospital tatkala tengah malam
demikian. Siapa akan memberi rawatan sekiranya dibawa juga dalam keadaan
terdesak. Tentu terpaksa menunggu sampai pagi juga baru rawatan akan diberi.
Lainlah kalau sakit
berbahaya sekiranya dibawa ke hospital tengah malam, memang cepat diberikan
rawatan. Takat patah tangan, siapa pun tidak peduli sangat.
"Saya tak tahu
apa-apa, kalau patah," jelas ayah saya kerana tidak dapat mengagak sama
ada anak kecil itu patah tangan atau pun terkehel urat. Mahu diraba-raba lagi
dia tidak berani, manalah tahu akan tambah melarat pula.
"Habis, nak buat
macam ni pak aji?" Basirah serba salah setelah ayah saya tidak sanggup
tengokkan tangan anaknya. Perlahan-lahan ayah saya bangun mencapai telefon.
Tetapi Ustaz Muaram tidak ada di rumah ketika itu. Isteri ustaz itu Dinah yang
menyambut telefon ayah saya. Dia yang beritahu Ustaz Muaram tidak ke mana-mana
malam berkenaan. Sebab itu ayah saya ajak sahaja Deraman ke Jelebu di Kampung
Gawang menemui Ustaz Muaram.
Selepas jam sebelas
itulah Ustaz Muaram baru balik dari kenduri tahlil di rumah saudara Dinah.
Sampai terlupa Dinah memberitahu suaminya. mengenai ayah saya akan datang ke
rumahnya. Terkilan juga Ustaz Muaram disebabkan ayah saya terpaksa menunggu
lama di luar pagar.
Tidak bertangguh dia
mengajak masuk ke rumah sebaik sahaja ternampak ayah saya di luar pagar.
Setelah diberitahu mengenai anak kecil yang dibawa bersama, Ustaz Muaram terus
mempelawa ke bahagian dapur rumahnya sahaja.
"Hah, patah
tangan budak ni," beritahu Ustaz Muaram sebaik sahaja meletakkan tangan
Fazhar di tapak tangannya.
Berdebar juga hati
Deraman apabila diberitahu tangan anaknya patah, kerana dia sekadar menyangka
terkehel urat. Opah Sipah yang berpengalaman menjadi bidan urut itu juga
memberitahu Fazhar hanya terkehel urat sahaja.
"Ustaz ni
tahulah patah atau tidaknya, saya mana tahu," ujar ayah saya
tersengih-sengih setelah dijelaskan oleh Ustaz Muaram.
Terangguk-angguk
Deraman menahan keluhan pendek. Hairan juga dia bagaimana Ustaz Muaram mahu
menjadi dukun mengubati orang patah. Tidak pernah pula didengarnya guru agama
bersedia mengubati orang patah macam dukun mahir di Beranang atau di Merlimau,
Melaka.
Tahu sangat Deraman
mengenai dukun patah di Beranang sampai berderet panjang orang menunggu untuk
dapatkan rawatan. Dari jauh pun orang datang bertumpu ke situ kalau patah teruk
hingga tidak boleh diubati di hospital. Mereka sanggup menemui dukun patah itu
sekalipun terpaksa lama menunggu giliran.
Memang Deraman juga
akan ke Beranang sekiranya tahu mengenai tangan anaknya patah. Tetapi Opah
Sipah yang beritahu tangan anaknya sekadar terkehel urat. Kalau takat terkehel
urat masakan anaknya merengek sepanjang malam kesakitan tidak dapat lelapkan
mata.
Tentu ada gangguan
syaitan menyebabkan pada zahirnya sahaja kelihatan seperti terkehel urat.
Manalah tahu sekiranya malang mahu menimpa, sampai ada orang yang tergamak
gunakan ilmu syaitan untuk menganiaya mereka sekeluarga. Memang mudah sahaja
Deraman menuduh demikian, disebabkan sudah beberapa kali dia mengalami gangguan
itu.
Sebab itu dia sanggup
tidak ke pejabat semata-mata mahu menemui ayah saya. Sekiranya gangguan syaitan
tentu mudah ayah saya doakan sampai Fazhar sembuh semula.
Tetapi anak kecil itu
bukan diganggu syaitan. Tulang tangannya patah akibat jatuh terhimpit badan
sendiri sewaktu bermain dengan abangnya.
"Nak kena
urutkan tangannya, ustaz?" Basirah memerhatikan anaknya ketakutan setelah
dibelek-belek tangannya oleh Ustaz Muaram. Memang anak kecil itu menjerit kuat
semasa tangannya diurut oleh Opah Sipah sebaik sahaja jatuh bermain.
"His, mana boleh
diurut," sahut Ustaz Muaram menjuihkan bibir. Dia sendiri terasa ngeri
sekiranya tangan patah tulang diurut macam terkehel urat.
"Tahulah ustaz
tu nak buat macam mana pun," ujar ayah saya supaya Basirah bertenang.
Ketika Ustaz sapukan
minyak ke tangan anak kecil itu, satu keluarga lagi datang ke situ memberi
salam dari tengah halaman. Sebaik sahaja masuk mereka memberitahu datang dari
Lanchang di Pahang sambil menunjukkan emaknya yang hampir lumpuh.
"Dulu, mak saya
ni tak boleh berjalan langsung," jelas lelaki yang memapah emaknya masuk
ke ruang dapur rumah Ustaz Muaram. "Tiga kali naik datang ke sini,
Alhamdullillah dah boleh berjalan sikit," beritahunya sambil membantu
emaknya duduk.
"Rasi pula
berubat dengan ustaz ni," ibu tua itu mencelah memerhati Deraman yang
terangguk-angguk di sisi anaknya.
Tetapi Ustaz Muaram
tidak peduli apa pun mereka bualkan. Sambil menyapukan minyak itu dengan
menyongsang naik, dia bacakan doa:
Bismillahillazi la-yaddhurru ma'asmihi syai-infil-.ardha
wala-fis-samaa-i wahuwas sami'ul 'lim, laqad jaakum rusulun min anfusikum
'azizun 'alaihi ma-'anittum hari-sun 'alaikum bilmukminun ra-ufur rahim, fa-in
tawallau faqul hasbiallahhu la-ilaha illahuwa 'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul
arsyil 'azzim.
Setelah didoakan
Ustaz Muaram meminta isterinya ambilkan daun sisik naga yang sudah dikeringkan
dijadikan seperti serbuk teh, kemudian ditaburkan di bahagian yang patah.
Selepas itu dibalutnya dengan daun tembaga suasa sebelum diletakkan dua kayu
mengapit tangan dan dibalut pula dengan kain bandage.
Memang rumit juga
Ustaz Muaram membuat rawatan, hingga hampir jam dua belas baru dia selesai
merawat anak kecil itu.
"Kena datang
tiga malam berturut-turut ni," tegas Ustaz Muaram setelah selesai merawat
Fazhar.
"Jauh dia datang
ni," sahut ayah saya apabila diberitahu terpaksa datang berturut-turut
tiga malam. "Tak apalah, kita nak berubat," lantas sahaja Deraman
memberi jaminan akan .datang lagi ke situ merawat anaknya.
"Doa tu sebagai
syarat aje," Ustaz Muaram menerangkan semasa Deraman melangkah ke luar.
"Yang pentingnya ubat dan rawatan, sebab tu mahu datang tiga malam
berturut-turut," katanya macam mengingatkan lelaki berkenaan.
Semasa Deraman
menghantar ayah saya balik ke kampungnya, memang dia beritahu lelaki itu supaya
tidak bimbang apa-apa sekiranya anak kecil itu merengek lagi sepanjang malam.
Dalam tempoh tiga malam itu memang salah satu daripada malamnya kesakitan akan
terasa menusuk-nusuk. Sebab itulah Ustaz Muaram mahu melihat kesannya setelah
diberikan rawatan, sama ada beransur sembuh atau pun tidak.
Hampir jam tiga pagi
baru Deraman sampai di rumahnya. Sehingga subuh pula Fazhar merengek tidak
dapat lelapkan mata akibat berdenyut-denyut sakit. Mahu ditelefon ayah saya
memberitahu keadaan anaknya tidak tergamak pula Deraman. Terpaksalah dia dan
Basirah juga turut sama tidak dapat melelapkan mata memujuk anaknya supaya
bersabar.
Tetapi anak kecil itu
tidak dapat menahan sakit yang menusuk-nusuk akibat tulang tangan patah. Puas
diusap oleh Basirah sampai ke pangkal lengan pun dia tetap merengek-rengek.
Hampir juga Deraman hilang sabar hingga mahu dibawa sahaja ke hospital biar
anaknya tidak menderita sakit. Kalau tidak disebabkan Basirah berkeras
menghalang, memang tidak bertangguh Deraman hantar sahaja ke hospital.
"Agaknya, ustaz
tu tengah mengubatkan," gerutu Basirah apakala suaminya tidak sabar mahu
ke hospital menjelang subuh itu.
Terdiam Deraman. Dia
percaya juga dengan agakan isterinya, tentu Ustaz Muaram tengah mengubat.
Deraman juga tahu mengenai Opah Naemah di Kampung Telaga dekat Pantai Remis
kalau merawat orang patah sekadar mengurut daun kelapa sahaja.
Opah Naemah tidak
akan merawat sekiranya orang yang sakit masih terconggok di depannya. Memang
dia menyuruh orang yang patah itu balik sahaja ke rumah setelah dibalut dengan
daun tembaga suasa. Belum sempat sampai ke rumah orang itu akan terjerit-jerit
tidak menentu menahan sakit di tangannya.
Sampai setengah jam
terjerit-jerit barulah orang yang patah merasa reda. Selepas itu memang mereka
tidak akan merasa sakit lagi. Kalau patah tulang kaki pun mereka sudah boleh
jejakkan berjalan tertenjot-tenjot setelah Opah Naemah urutkan daun kelapa di
rumah-nya.
"Emmm,
macam-macam cara orang mengubat," ujar Deraman perlahan setelah anaknya
mula lelapkan mata menjelang subuh.
Setelah
merengek-rengek sampai ke subuh itu, Fazhar tidak lagi mengeluh sakit. Dia
sudah berani menghayun tangannya yang berbalut kain bandage sekalipun
terjerit-jerit Basirah melarangnya.
Tetapi Ustaz Muaram
mengakui tidak melakukan apa-apa setelah merawatnya. Dia sekadar memberitahu
dalam tempoh tiga malam itu memang salah satu daripada malamnya orang yang
patah akan terasa sakit sangat hingga berdenyut-denyut ngilu.
Ustaz Muaram sendiri
tidak tahu kenapa berlaku kejadian demikian, kerana amalan yang diturunkan oleh
ayahnya itu setakat itu sahaja yang diketahuinya. Tetapi dia mengagak tentu
daun sisik naga itu yang menjadi puncanya.
"Daun sisik naga
ni tumbuh di atas batu," beritahu Ustaz Muaram apabila didesak sangat oleh
Deraman. "Kambing gurun gemar memakannya," dia menjelaskan mengenai
kambing gurun akan mengunyah daun berkenaan sekiranya terluka atau patah.
Kemudian dia akan menjilat-jilat bahagian luka atau patah itu.
"Macam mana rupa
daun sisik naga tu, ustaz?" soal Basirah teringin juga mahu melihatnya.
"Itu yang susah
nak tunjukkan," tersengih-sengih Ustaz Muaram kerana tidak dapat mahu
menunjukkan contoh daun sisik naga itu, disebabkan semuanya sudah dikeringkan
dijadikan seperti serbuk teh.
Lagi pun apalah
perlulah Deraman mahu tahu sangat mengenai daun sisik naga itu sekiranya tidak
tahu gunanya. Malah daun tembaga suasa itu juga dipandangnya macam tidak
berharga sahaja macam tumbuhan liar di tengah hutan.
Ustaz Muaram sendiri
mengakui, kalau tidak disebabkan dia mengidap banyak penyakit memang dia
sendiri tidak tahu apa-apa mengenai khasiat madu lebah hutan. Lama juga dia
mengidap darah tinggi sampai terpaksa simpan bekalan ubat di rumah. Asal sahaja
tersilap makan mudah sahaja penyakitnya datang mengganggu.
Arwah emaknya
ingatkan dia mengenai amalan arwah ayah-nya tidak pernah jamah gula yang dibeli
di kedai. Sampaikan air tebu pun arwah ayahnya tidak pernah jamah. Asal sahaja
meneguk air Ustaz Muaram akan bancuh dengan madu lebah. Biarlah baunya maung
tidak menyelerakan Ustaz Muaram tidak akan lupakan amalan arwah ayahnya.
Kalau terpaksa ke
Serting mencari madu lebah hutan pun, dia sanggup gagahi ke sana. Ustaz Muaram
sanggup masuk jalan batu gerewel ke Kampung Bayas pun sampai santak ke tepi
hutan, asalkan dia dapat bekalan madu lebah.
Ketika saya balik ke
kampung, ayah saya tidak ada di rumah kerana menghantar Deraman ke rumah Ustaz
Muaram. Sengaja dia minta temankan kepada ayah saya sekalipun dia sudah tahu
jalan ke Jelebu. Lagi pun ayah saya tidak ada apa-apa urusan, apalah salahnya
temankan Deraman ke sana.
"Ayah kamu,
kalau urusan orang bila-bila aje dia sanggup," gerutu emak saya apabila
memberitahu mengenai ayah saya sudah ke Kampung Gawang di Jelebu itu.
Kadangkala demam terkokol-kokol sejuk pun, ayah saya sanggup bangun tengah
malam kalau orang datang meminta bantuan. Diajak temankan ke Muar pun dia
sanggup sampai terbatuk-batuk menahan sejuk angin malam. Memang dia tidak
pernah serik semenjak masih muda lagi, tidak pernah menolak sekiranya orang
datang meminta bantuan.
Merungut juga emak
saya kalau ayah terpaksa juga pergi tengah malam setelah didesak orang. Tetapi
dalam saat dia terlantar demam sewaktu menunaikan haji, ayah saya masih gagah
berjalan tatkala melontar jamrah. Dia boleh menyusup di celah jemaah yang
berasak-asak memberi ruang kepada emak untuk mara ke hadapan.
"Kalau untuk
manfaat, apa salahnya emak," isteri saya pula sengaja mengusik emak saya
apabila kenangkan ayah saya dalam keadaan uzur tetapi sanggup ke mana sahaja
untuk memenuhi hajat orang.
"Manfaat apa?
Tak ada beban batu digalas," emak saya mendengus seolah-olah geram sangat
dengan sikap ayah saya.
Tetapi saya tidak
hairan sangat sekiranya emak saya merungut dengan sikap ayah saya. Dia merungut
sekadar mahu melepaskan rasa geram sahaja. Sekiranya ayah saya balik jauh-jauh
malam siapa lagi yang akan membuka pintu kalau bukan dia? Emak tidak akan
mendengus apa-apa sekalipun terkuap-kuap menahan mengantuk apabila membukakan
pintu.
Ayah saya pula tidak
akan memanggil dari tengah halaman sekiranya pintu tidak akan di-buka. Dia
sekadar mendehem tiga kali sahaja, sudah tentu emak saya akan bingkas bangun.
Mudah sahaja dia terjaga apakala ayah saja jejak kaki di tengah halaman.
"Ayah ke
mana?" sengajasaya mahu pastikan daripada emak saya.
"Emmm, hantar
orang ke rumah Ustaz Muaram," tutur emak saya mencebek bibir.
"Orang tu nak
berubat?" isteri saya lantas mengerling ke arah saya.
"Anaknya patah
tangan tiga bulan dulu," beritahu emak saya mengisar duduk sambil mencapai
gobek sirihnya. "Budak tu dah baik, saja-sajalah nak ke rumah ustaz
tu," jelasnya kerana Deraman sendiri memberitahu mahu mengunjungi rumah
Ustaz Muaram.
Gembira sangat hati
Deraman, dalam masa tiga hari sahaja tangan anaknya sembuh. Tetapi Ustaz Muaram
tidak mahu balutan kain bandage itu dibuka sekaligus. Kalau dibuka pun sekadar
mahu dianginkan sahaja dalam masa setengah jam, selepas itu dibalut semula
dengan diapit kayu pembaris biar tulang tangan tidak bergerak.
Ustaz Muaram juga
pantangkan supaya tidak jamah belimbing, limau nipis dan buah kundang sampai
enam bulan. Buah-buahan masam juga tidak boleh dijamah selagi bahagian patah
masih terasa sakit. Tetapi Fazhar tidak merasa sakit apa-apa lagi setelah tiga
hari berulang berubat di rumah Ustaz Muaram,
Sebab itulah dia
sengaja mahu menemui Ustaz Muararn setelah tiga bulan anaknya sembuh. Sengaja
dia mengajak ayah saya ikut sama ke rumah Ustaz Muaram untuk teman berbual
dalam perjalanan.
Sehingga jam dua
belas malam ayah saya masih tidak balik, sekalipun saya masih berbual dengan
emak sambil mencuba gobek sirihnya. Sekali sekala balik ke kampung memang
teringin juga saya mahu menjamah sirih digobek. Disebabkan ayah saya masih juga
tidak balik, lantas saya terus sahaja tidur. Besok paginya sempat juga bertemu
dia. Tidak perlu ditunggu sangat sampai dia balik ke rumah santak subuh.
Memang ayah saya
sukar mahu difahami sama ada dia terlantar sakit atau pun tidak. Hingga emak
saya sendiri tidak dapat memahaminya semasa mereka ke Mekah sewaktu bermalam di
Mina. Dalam keadaan tenaganya lemah dia masih mampu berjalan merempuh ke tengah
asakan jemaah yang berebut-rebut mahu melontar jamrah.
Sama juga apabila dia
ditemui terbaring di tepi empangan air sewaktu memunggah pasir. Terkejut benar
kawannya Lebai Rawi setelah melihat ayah saya tersandar bagaikan tidak sedar
diri selepas hujan panas turun menyerak tatkala matahari tegak di kepala.
Memang tiga hari ayah
saya terlantar tidak bergerak langsung setelah diusung balik ke rumah. Jiran-jiran
sudah tersengguk sayu apabila melihat emak saya sarat mengandung, sedangkan
kakak saya baru sahaja pandai berjalan jatuh.
Kalau tidak
disebabkan ayah saya berkeras mahu siapkan kerja memunggah pasir siapkan
empangan itu, memang dia tidak ditimpa geruh. Lebai Rawi rakannya yang
sama-sama mengambil upah sudah melarang disebabkan berturut-turut seminggu
empangan itu roboh apabila kontrak membuat kerja.
Cuma Dukun Tahak
satu-satunya yang sanggup memunggah pasir di bawah empangan apabila ditawarkan
oleh penghulu mukim. Pegawai Daerah orang putih juga percaya dengan penjelasan
penghulu mukim, cuma meminta bantuan Dukun Tahak sahaja baru empangan batu itu
dapat dibina untuk mengairkan sawah orang-orang kampung.
Sebaik sahaja
penghulu mukim serahkan kepada Dukun Tahak memunggah pasir, lantas sahaja dia
mempelawa ayah saya dan Lebai Rawi mengambil upah. Disebabkan bayarannya mahal
bersetuju sahaja ayah saya dan Lebai Rawi menerima pelawaan Dukun Tahak.
Apa sangat memunggah
pasir naik ke tebing biar mudah kontrak membina empangan. Sehari suntuk mereka
berdua naikkan pasir ke tebing, besoknya apabila mahu menyambung kerja terkejut
benar mereka disebabkan pasir yang dilonggokkan di tebing habis dikaut semula turun
ke tengah air.
"Cukuplah bilal,
tak usah kita sambung kerja ni," Lebai Rawi ingatkan ayah saya. Dia sudah
dapat mengagak tentu buat kerja sia-sia sahaja memunggah pasir kalau dikaut
turun semula ke tengah air.
"Awak takut ke,
lebai?" sengaja ayah saya mengejek kawannya itu disebabkan Lebai Rawi
bimbang mahu meneruskan kerja.
"Lagi pun, Dukun
Tahak tak datang sama," Lebai Rawi terus mendesak tinggalkan sahaja kerja
tersebut.
Sejak seharian mereka
meunggah pasir pun, Dukun Tahak sudah tidak terlarat mahu meneruskan kerja.
Mereka berdua bersusah payah ditengah air Dukun Tahak sekadar tersandar di
bawah rumpun buluh dengan termengah-mengah menahan rumput.
Tetapi ayah saya
tidak peduli sangat disebabkan Dukun Tahak sudah tua. Masakan tenaga mereka
berdua yang masih muda sama dengan tenaga Dukun Tahak. Lagipun Dukun Tahak sama
juga macam tauke disebabkan dia diberi kontrak oleh penghulu mukim memunggah
pasir. Mereka berdua sekadar menerima upah borong dari Dukun Tahak.
"Kalau awak tak
mahu, kawan turun juga buat kerja, lebai," tegas ayah saya berkeras
apabila kenangkan emak saya sedang sarat mengandung memerlukan belanja. Ketika
ini memang emak saya mengandungkan saya sendiri.
"Awak ni memang
keras hati, bilal," ujar Lebai Rawi kecewa dengan keputusan ayah saya mahu
meneruskan kerja sekalipun Dukun Tahak tidak datang sama.
Disebabkan tidak
sampai hati membiarkan ayah saya memunggah pasir berseorangan, Lebai Rawi
datang juga menjengah tatkala matahari tegak di kepala. Ketika Lebai Rawi
sampai di tempat membina empangan hujan panas turun menyerak. Dia mendengar di
sebelah hulu bagaikan air bah menunda laju ke sebelah hilir.
Tetapi tidak
kelihatan pun air sungai melimpah sekalipun deru di sebelah hulu telalu kuat.
Mahu dituduh angin kencang bertiup pun tidak ada pokok-pokok bergoyang. Dalam
keadaan cemas itulah Lebai Rawi melihat ayah saya terkejang di perdu rumpun
buluh dengan mulut terkancing. Tidak bertangguh Lebai Rawi memapah balik ke
rumah hingga bebatu-batu jaraknya. Dia satu-satunya sahabat baik ayah saya yang
sanggup membantu dalam keadaan terdesak sekalipun. Setelah dibawa balik ke
rumah memang jiran-jiran bacakan Yasin sahaja, apabila melihat keadaan ayah
saya tiga hari terkejang tidak sedarkan diri.
Setelah tiga hari itu
pula baru Tok Aji diberitahu mengenai geruh yang menimpa ayah saya. Dia terus
datang bersama nenek sebaik diberitahu mengenai keadaan ayah saya terkejang
tidak sedarkan diri itu.
"Nak buat macam
mana ni, besan?" Nenek Ibah tidak keruan bertanyakan kepada Tok Aji dalam
keharuan yang menusuk. Hiba juga dia dengan keadaan menantunya. dalam saat emak
saya tengah sarat mengandung.
"Tak apalah,
kita sabar aje dulu," ujar Tok Aji bertenang sambil meletakkan tapak
tangan ke kepala ayah saya.
Lama Tok Aji merenung
muka ayah saya sampai nampak pancaran putih di dahinya, dia segera membacakan:
"Bismillahhi
masya Allah layasuqul hairu illallahhi, bismil-lahhi masya Allah layasriful
suu-i illallahhi, bismillahi masya Allah makana min ni imatin faminallahhi,
bis-millahhi masva Allah lavaa-ti biilhasnata illahhi, bismillahhi masya Allah
la-haula wala qau-wata illah billahhi."
Sekaligus Tok Aji
tercegat berdiri di tebing empangan batu yang roboh tidak bertahan. Dia melihat
ayah saya bercekak pinggang mendongak lembaga hitam yang tinggi hingga kepalanya
cecah ke awan. Marah benar dia menghentak-hentak kaki sebaik sahaja melihat
ayah saya tidak mahu berundur.
"Ini tempat aku
bermain!" bentak lembaga hitarn tinggi hingga kepala cecah ke awan itu.
"Siapa pun tak boleh buat sesuka hati," dia cuba menghalau ayah saya
supaya jangan bertahan di bahagian bawah empangan.
Tetapi ayah saya
tidak pedulikan lembaga berkenaan. Dia terus menyodok memunggah pasir naik ke
tebing. Tidak bertangguh pula lembaga hitam tinggi itu menguis dengan kakinya
hingga pasir yang dilonggokkan ke tebing jatuh semula ke tengah air.
Lantas ayah saya
menggenggam pasir itu dilontarkannya ke udara dengan membacakan:
"Wain
yuridu anyakhda 'uka fain hasbakallahhu
huwallazi aiyadaka binasrihi wabil-mukminina waallafa baina qulubihim lau
anfaqta mafilardhi jami'an maallafta baina qulubihim walakinnullahha allafa
bainahum innahu'azizun hakim."
Pasir yang
diiontarkan ke udara itu memancar merah macam bara api berserakan, menyebabkan
lembaga hitam yang tinggi itu semakin marah apabila matanya menjadi pedih
akibat percikan pasir seperti bara api itu, Melingas-lingas matanya mencari
Dukun Tahak yang terbang di udara dengan bertunggang di atas belakang harimau.
"Tahak, awak nak
tunjuk keras kepala ye!" lembaga hitam itu membentak garang sebaik sahaja
ternampak Dukun Tahak berligar-ligar di
udara.
"Bukankah awak
dah berjanji tak akan robohkan lagi empangan ni," gementar suara Dukun
Tahak berligar-ligar di udara bertunggang di atas belakang harimau.
"Habis, mana kepala
yang awak nak semahkan?" tidak bertangguh lembaga itu memukulkan tangannya
ke kepala Dukun Tahak, tetapi segera dielakkannya menyebabkan lembaga berkenaan
semakin marah.
"His, awak
jangan nak marah tak tentu fasal," sahut Dukun Tahak kesal dengan tindakan
lembaga hitam berkenaan menyerangnya. "Bukankah aku dah gantikan dengan
kepala Bilal Hud," dia mencebek bibir menuding ke arah saya di bawah.
"Kau nak beri
aku susah," laung lembaga itu mengibas-ngibas asap tebal daripada bara
merah akibat pasir yang diserakkan oleh ayah saya ke udara. "Tak nampakkah
dia melawan tu, kau sengaja nak menyusahkan aku!" marah benar lembaga
hitam itu terkial-kial melepaskan diri dari kepungan asap yang menyakiti
matanya.
Dukun Tahak juga
terketar-ketar mengelak daripada tamparan tangan hitam itu yang
mengibas-ngibaskan tangannya mahu menggapai dia yang bertunggang di atas
belakang harimau.
Memang ayah saya
menyedari bayangan jelmaan Dukun Tahak itu sengaja membiarkan dirinya menjadi
mangsa lembaga hitam yang tercegat merobohkan empangan sedang dibina. Dia
berkeras tidak benarkan Dukun Tahak memunggah pasir naik ke tebing, selagi
tidak memenuhi perjanjiannya yang selama ini mengharapkan pertolongan lembaga
hitam yang tinggi hingga kepala cecah ke awan.
Tahu sangat
orang-orang kampung mengenai Dukun Tahak yang bersahabat dengan hantu tinggi,
sampai dia mampu mengangkat batang sagu rembia melintang panjang. Tiang
jambatan sepanjang 15 kaki pun mudah sahaja dibantingnya macam memegang buluh
pe-mancang di tepi pagar.
Siapa yang boleh
tandingi Dukun Tahak kalau melawan gagah tenaga dengannya? Memang mereka
menuduh tentu Dukun Tahak bersahabat dengan hantu tinggi untuk gagahkan tenaga.
"Hah, tergamak
awak aniayakan kawan, Dukun Tahak!" ejek ayah saya merenung tepat ke arah
Dukun Tahak yang serba salah terserempak ayah saya. Apabila dia mengerling ke
arah Tok Aji di tengah kepulan asap memutih laksana kabus, bertambah gementar
Dukun Tahak menyembunyikan muka di balik tengkuk harimau yang ditunggangnya.
Jiran-jiran yang
sudah membacakan Yasin memerhatikan Tok Aji mengusap-usap muka sambil
beristighfar beberapa kali.Apabila didesak oleh nenek aji, dia sekadar
mengangguk-angguk perlahan.
"Tak apa, dia
sedang berubat sendiri," beritahu Tok Aji berundur ke belakang menyandar
ke dinding. Kemudian dia mena-dah tangan lantas mengucapkan doa:
Allahhumma
yarnan nuruhufi sirrihi wasirruhu fi kholqihi ikhfini 'an a'yuninnazirina
waqulubil hasidina walbaghina kama hafazta rohha filjasadi innaka 'ala kulli
syaiin qodir.
Menjelang sahaja
subuh, ayah saya mula bergerak dan lantas duduk bangun. Terkejut juga dia
apabila diberitahu dihadap keluarga di tengah rumah. Dia masih merasakan
dirinya terbaring di bawah rumpun buluh tidak sampai setengah jam, sekalipun
emak saya menjelaskan sudah tiga hari dia terkejang tidak sedarkan diri.
Tidak bercakap
apa-apa pun ayah saya terus ke telaga. Dia mandi dan mengambil wuduk untuk
menunaikan solat sunat syukur. Hairan juga jiran-jiran kerana dia tidak
kelihatan lemah setelah tiga hari terkejang di tengah rumah.
Sewaktu sarapan pagi
itulah, Lebai Rawi datang memberitahu anak perempuan Dukun Tahak meninggal
dunia terkejut tidak menentu. Tiba-tiba sahaja perempuan itu menggelepar
bagaikan kambing disembelih hingga tidak sempat suaminya memberitahu Dukun
Tahak.
Ketika Dukun Tahak
datang menjengah memang anaknya sudah meninggal dunia dihadap jiran-jiran. Dia
sekadar mengesat pelupuk mata disebabkan tidak dapat selamatkan anaknya.
Tiga bulan selepas
itu baru Dukun Tahak menuturkan dengan kesal di hadapan ayah saya mengenai
puaka penunggu empangan itu mahukan simah, sebagai sumpah perjanjian
bersahabat. Memang Dukun Tahak mengakui dia gunakan hantu tinggi bagi
membolehkan dirinya menjadi kuat dan digeruni orang lain.
Tetapi tiga tahun sekali
dia mesti bersimah bagi memenuhi sumpah perjanjian dengan puaka. Disebabkan dia
enggan menunaikan simah itulah puaka berkenaan berdendam merobohkan empangan
sedang dibina. Apabila empangan dirobohkan tentu orang-orang kampung akan
menemui Dukun Tahak juga. Tentu Dukun Tahak serba salah mahu mengelak sekiranya
didesak oleh orang-orang kampung pertahankan empangan tersebut daripada roboh
berulang kali.
Sudah terniat di
hatinya mahu menjadikan ayah saya korban di bawah empangan itu, tetapi dia
sendiri dimarahi puaka berkenaan disebabkan tersalah pilih. Sebab itulah puaka
berkenaan membalas dendam dengan mematahkan tengkuk anak perempuannya.
Siapa pun tidak
melihat puaka berkenaan mematahkan tengkuk anaknya. Tetapi Dukun Tahak tahu
sewaktu jiran-jiran memandikan mayat mereka terkejut kerana kepala perempuan
itu terkulai bagaikan terpatah tulang tengkuk.
"Kawan minta
maaf pada awak, bilal," keluh Dukun Tahak sewaktu mereka minum sama-sama
di kedai kopi simpang kampung.
Selepas kejadian itu
Dukun Tahak seringkali mengadu sakit-sakit seluruh badan. Kadangkala sampai
empat lima hari dia tidak jejak kaki di kedai kopi simpang kampung disebabkan
uzur. Setelah dia tidak pernah jengah muka di kedai kopi lagi, ayah saya dan
Lebai Rawi datang juga berkunjung ke rumahnya.
Ketika mereka berdua
naik ke rumah, keadaan Dukun Tahak sudah semakin tenat. Kepalanya tidak boleh
lagi diangkat dari bantal. Tiga maghrib berturut-turut pula ayah saya kumpulkan
orang-orang kampung bacakan Yasin di rumah Dukun Tahak.
Tidak lama selepas
itulah Dukun Tahak meninggal dunia. Tetapi ayah saya terharu juga dengan
kesanggupan Dukun Tahak mengakui kesalahannya setelah cuba menganiaya ayah saya
dengan simah puaka hantu tinggi yang menjadi pendampingnya. Sekalipun usianya
jauh lebih tua dari ayah saya, tetapi mereka berkawan rapat.
Bila-bila Dukun Tahak
bersedia membantu turun ke sawah kalau diajak bergotong royong oleh ayah saya.
Dia juga tidak akan mengelak sekiranya dipelawa ke mana sahaja, hingga orang
kampung tahu sangat ayah saya, Lebai Rawi dan Dukun Tahak memang bersahabat
baik.
Kadangkala mereka
bertiga bergurau juga sudah macam keterlaluan, tetapi masing-masing tidak akan
ambil hati. Merungut juga emak saya apakala kain yang baru dibeli, sengaja
dibuat lap tangan selepas makan oleh Lebai Rawi dan Dukun Tahak apabila mereka
bergurau. Ada masanya ayah saya pula sengaja menimbun celapah rokok Dukun Tahak
dalam tahi lembu.
"Memang mereka
bertiga kawan rapat," ujar emak saya apabila kenangkan dua orang sahabat
ayah saya yang sudah lama meninggal dunia itu. "Sebab itu arwah Lebai Rawi
anggap angah dah macam anak dia, jelasnya kerana sempat juga saya berkawan
rapat dengan arwah Lebai Rawi itu.
Tidak tahu pula saya
bila ayah balik, kerana sewaktu bangun untuk solat subuh dia sudah wirid di
atas sejadah. Sampaikan terlambat saya bangun disebabkan keletihan sangat dalam
perjalanan balik ke kampung. Deraman juga ikut sama berjemaah di belakangnya
kerana tidak terus balik ke Kuantan.
Sewaktu sama-sama
sarapan pagi, Deraman memberitahu mereka terlambat sampai disebabkan kereta
rosak tidak bersebab ketika melalui jalan berbelok-belok menempuh hutan. Puas
juga Deraman memeriksa enjin memang tidak kerosakan apa-apa. Mahu ditunggu
kereta melintas dapatkan bantuan, tidak sebuah pun kereta melalui jalan
berkenaan.
"Mustahil sebuah
kereta pun tak melintas," rungut Deraman terbayang ketakutan di raut
wajahnya apabila kenangkan kejadian menimpanya dalam perjalanan di tengah
malam.
Dia makin terkejut
apabila tersuluh di hadapannya seekor ular sawa sebesar batang kelapa melintasi
jalan dari bukit turun ke bawah Iurah. Lama juga mereka terpaksa bersabar
membiarkan ular berkenaan bergerak perlahan mengheret tubuhnya melalui jalan
aspal itu.
Hampir setengah jam
ular sawa itu bergerak melintas jalan, barulah ekornya turun dari tebing jalan.
Kemudian perlahan-lahan hilang setelah menuruni lurah bukit itu dalam kegelapan
malam. Memang gementar juga Deraman apabila kenangkan sekiranya ular berkenaan
berpatah balik menghulurkan kepalanya ke
atas aspal jalan.
"Ah, dia pun nak
hidup juga," ujar ayah saya disebabkan ular besar itu tidak berpatah balik
mencari mangsa.
Sewaktu ular
berkenaan turun ke lurah, memang hujan turun renyai-renyai. Ayah saya tidak
bimbang apa-apa tatkala kereta Deraman kerosakan enjin tidak dapat meneruskan
perjalanan. Basirah yang duduk di belakang mengurut dada sambil memeluk anaknya
Fazhar, sebaik sahaja melihat batik ular itu bergerak perlahan mengheret tubuh.
"Agaknya kalau
enjin kereta tak rosak, sudah tentu kami rempuh ular tu," Basirah pula
rnenerangkan perlahan.
"Kalau tak ada
tuan haji, saya memang panik," tambah Deraman sambil menatap muka ayah
saya yang tersengih-sengih.
Memang dia hairan
juga sebaik sahaja ular sawa itu hilang ke bawah gaung, tiba-tiba sahaja enjin
keretanya boleh dihidupkan. Dia sendiri tergamam kerana enjin kereta boleh
dihidupkan dengan tidak dibaiki apa-apa. Apabila meneruskan perjalanan Deraman
juga tidak berani lagi memecut laju.
SELESAI