Sunday, September 25, 2016

195. BEBAN BERAT DI TENGKUK WANITA



RUMAH teres dua tingkat itu seolah-olah lengang sekalipun lampu-lampu masih terpasang menandakan penghuninya masih belum tidur lagi.  Khamis datang menjemput saya dengan membawa Mahani sekali, disebabkan dia bimbang meninggalkan Mahani berseorangan di rumah.  Oleh kerana Mahani ada ikut bersama menjemput, maka terpaksalah isteri saya ikut sama ke rumah Khamis.
Semasa saya sampai, jiran di sebelah Khamis ada di dalam rumahnya mengajar budak-budak membaca Quran, tetapi dia tidak pun menjengah keluar apabila mendengar kereta berhenti.  Mungkin sudah menjadi kebiasaan mereka di sekitar kawasan perumahan tersebut tidak akan mengambil tahu masalah jiran-jirannya.  Oleh itu tidaklah heran mengapa masalah yang dihadapi oleh Khamis itu tidak diketahui jiran-jiran sebelahnya.
Mungkin juga Khamis sendiri tidak pernah mengambil tahu masalah jiran-jiran di sekelilingnya. Mereka suami isteri menghabiskan masa bersendirian, dengan tidak pernah mengunjungi rumah-rumah jirannya bertanyakan khabar. Tetapi saya tidaklah hiraukan sangat keadan tersebut, kerana ianya adalah masalah peribadi Khamis sendiri.
“Masuklah ustaz,”  pelawanya setelah saya dan isteri saya keluar dari keretanya.
Apabila saya masuk ke dalam rumah saya dapati suasana rumah itu tersusun kemas menandakan rumah tersebut tidak mempunyai anak-anak kecil. Kelengkapan rumah Khamis juga bolehlah dikira termasuk dalam golongan orang-orang yang berkemampuan.
“Macam mana hubungan awak dengan jiran-jiran di sini?” saya cuba memahami suasana perhubungannya dengan jiran-jirannya sebaik saja duduk di kusyin.
“Baik, ustaz…”  beritahu Khamis.
“Awak tak cakapkan masalah isteri awak ni?” soal saya selanjutnya.
“Ah, seganlah pula nak beritahu,”  sahutnya tersengih-sengih sambil mengerling kearah Mahani.  “Nanti dia orang kata kita ni percaya tahyol pula.  Maklumlah orang pekan,”  katanya lagi.
“Eh, tak bolehlah segan macam tu Khamis,”  ujar saya perlahan.  “Kalau kita beritahu mereka, setidak-tidaknya ikhtiar kita panjang,”  saya menambah.
Khamis hanya mengangguk-ngangguk kepala, kemudian bangun menuju ke dapur. Beberapa lama dia tidak muncul ke ruang tengah.  Tidak lama kemudian beberapa orang jirannya datang berkunjung , termasuk yang mengajar budak-budak membaca Quran di sebelah rumahnya.
“Eh, ustaz……assalamualaikum…”  jiran itu memberi salam sebaik saja ternampak saya.  Cepat-cepat pula saya menyahut salamnya. Setelah memperkenalkan dirinya barulah saya menyedari dia adalah Karib yang pernah saya temui sewaktu ke Endau ke rumah Wak Samin. Karib ini juga mempunyai pertalian keluarga dengan isteri Wak Samin itu.
“Abang Karib ni, tinggal di sini ke?”soal saya lantas berjabat salam.
“Ke rumah anak,”  jelasnya sambil memberitahu suami anaknya yang tinggal berjiran dengan Khamis.  “Saya kemari berjalan-jalan ke rumah anak, sampai di sini diminta pula membetulkan bacaan Quran budak-budak yang belajar mengaji dengan anak saya Senah tu,”  katanya perlahan, di samping memperkenalkan saya dengan menantunya Sarmanan.
“Selama ni, tak ada pula Encik Khamis cakap masalah Cik Mahani,”  ujar Sarmanan sebaik saja saya beritahu mengenai tujuan saya ke rumah Khamis.
Saya melihat Khamis tertunduk malu dengan penjelasan Sarmanan, kerana selama ini mereka jarang bertegur sapa sekalipun tinggal bersebelahan rumah.  Mungkin Sarmanan tidak berani mahu menegur disebabkan sikap Khamis yang jarang mahu bercampur dengan jiran-jiran yang lain.  Apabila mereka duduk ramai-ramai berbual di tembok jalan, Khamis tidak pernah pun menjengahkan muka untuk sama-sama mencelah.
“Abang Karib ni pun, apa kurangnya Khamis.  Hah, tinggal sebelah rumah aje,”  kata saya menepuk-nepuk bahu Karib.
“Kemenyan tak dibakar, manalah kita tahu kerana tak ada baunya,”  sahut Mahani mengerling kearah isteri saya.
Disebabkan terlalu asyik berbual hingga terlupa pula mahu melihat keadaan gangguan yang sering merasuk Mahani.  Hingga jam 11.00 malam kami masih juga berbual-bual sambil minum teh susu yang di hidangkan oleh Mahani.
Tiba-tiba saja Mahani menggigil seperti dalam kesejukkan. Dia kemudiannya rebah di bangku terketar-ketar. Cepat-cepat Khamis meriba kepala Mahani sambil mengurut-ngurut di bahagian dahinya.
“Itulah kita asyik berbual, sampai terlupakan dia!” Kata isteri saya lantas memicit-micit betis Mahani.
Jiran-jiran yang lain juga cemas kerana tidak pernah mengalami keadaan semikian sehinggalah diberitahu oleh Khamis pada malam tersebut.  Malam itu juga mereka mendengar cerita dari Khamis mengenai isterinya beberapa kali tertidur di pintu pagar akibat gangguan ini.
“Macam mana ni, ustaz?  Karib memandang kearah saya setelah dilihatnya saya duduk tidak bergerak-gerak sejak Mahani mula terketar-ketar menggigil.
“Tak beli kemenyan ke tadi…?”  Sarmanan pula menjadi serba salah melihat keadaan Mahani yang mula berpeluh.
“Tak ada…”  beritahu Khamis kebingungan dengan kejadian yang menimpa isterinya.  “Tak ada pula ustaz pesan hendakkan kemenyan,”  katanya tidak ketahuan memicit-micit dahi Mahani.
Saya bangun mengambil wuduk ke bilik air. Kemudian saya berdiri tegak di hulu kepala Mahani.  Beberapa saat saya cuba mententeramkan perasaan dalam suasana yang demikian tegang.  Mahani masih terketar-ketar menggigil walaupun seluruh badannya sudah dibasahi peluh. Dia merengek-rengek memberitahu kepalanya sakit berdenyut-denyut.
Jiran-jiran yang lain juga berdiri apabila suara rengekan Mahani bertambah kuat.  Mereka juga bimbang dengan keadaan tersebut, di sebabkan selama ini mereka tidak pernah menghadapi suasana demikian. Karib berdiri tidak jauh dari saya, di samping mulutnya terkumat-kamit membacakan doa-doa yang difahaminya apabila berhadapan dengan suasana demikian.
Sewaktu saya menemuinya di Endau dulu, Karib belumlah tua sangat. Anaknya Senah yang menjadi isteri Sarmanan itu pun baru berusia 10 tahun.Masih gadis kecil yang berpakaian comot sebagai anak desa, tetapi parasnya memang comel. Memang saya sering mencuit pipinya semasa dia masih anak-anak kecil lagi.
Ketika inilah Karib mengidap bisul di bahagian tengah belakangnya menyebabkan dia terpaksa tidur meniarap saja. Bisul itu membengkak sebesar peninju yang sentiasa melelehkan nanah dan darah dari punatnya.
Disebabkan Karib tidak mahu berubat ke hospital, terpaksalah diubat secara kampung saja. Memang menurut isterinya Kak Sumi, Karib takut berubat ke hospital. Tidak pernah dia mahu berubat ke hospital kalau mengidap apa-apa penyakit pun.  Malah dia anak beranak tidak akan berubat ke hospital, sekalipun seorang anaknya meninggal dunia akibat mengidap demam kepialu.
Sikap Karib tidak mahu berubat ke hospital ini mendapat sokongan pula dari isterinya kak Sumi. Tetapi penyakit bisul yang dihidapinya itu bukanlah bisul biasa, kerana membengkak terlalu besar. Di samping itu nanah dan darah keluar meleleh sepanjang masa dari tiga punatnya yang kelihatan seperti mata.
Apabila  dijemput Wak Samin mengubatinya, orangtua itu sendiri enggan.  Malah dia menasihatkan Karib supaya berubat ke hospital.
“Ada penyakit yang boleh dibuat cara kampung, tetapi ada penyakit yang terpaksa di bawa ke hospital,”  ujar Wak Samin memberi galakan supaya Karib berani berubat ke hospital.
“Penyakit bisul ni, memang baik kalau dibawa ke hospital,”  katanya lagi dengan harapan Karib mahu mendengar nasihatnya.
“Kalau bawa ke hospital, nanti dia orang belah,”  Karib menjelaskan dengan geli-geleman menahan perasaan ngeri apabila terbayang di kepalanya pisau dan gunting yang berkilat.
“Bukan semua bengkak macam ni, doktor nak belah!”  Wak Samin menegaskan, kerana kudis dan luka pada pendapatnya tidak seharusnya diubat secara kampung. Kalau dibiarkan terus kulit itu boleh menjadi busuk hingga berbau. Sebab itulah dia mengesyurkan supaya Karib dibawa saja berubat ke hospital.
Tetapi Karib tetap berkeras tidak mahu berubat di hospital. Bagi memuaskan hati Karib, terpaksalah Wak Samin memupuk bahagian yang di hinggapi bisul itu dengan daun lidah buaya. Terasa sejuknya pada Karib bila daun lidah buaya itu dipupuk ke bahagian bisulnya, yang kadangkala terasa merenyam-renyam terlalu gatal tetapi adakalanya terasa pedih bagaikan di hiris dengan pisau nipis.
Lama juga dia menderita penyakit bisul itu, namun tidak juga sembuh setelah dipupuk dengan daun lidah buaya .Bagaimana pun karib tetap tidak mahu ke hospital, sekalipun keadaan bisul tersebut semakin mengening-ngening kemerahan mengangkut nanah dan darah.
Dia tetap bersabar mengharapkan bisul itu sembuh  semula, hingga beberapa lama terpaksa tidur dengan meniarap saja.
Apabila saya datang ke rumah Wak Samin, dia telah mengajak saya ke rumah Karib. Di sinilah mulanya saya bertemu dengan dia. Setelah Wak Samin memberitahu dia untuk mencuba saya mendoakan sakit bisulnya itu, Karib terus merayu supaya saya tidak menghampakan permintaan dia. Kak Sumi juga mendesak supaya saya tidak berdalih itu dan ini, kerana sudah terlalu lama sangat suaminya menderita.
“Tidur pun dah berbulan-bulan meniarap aje, ustaz,”  jelas kak Sumi tergugup-gugup memberitahu.
“Saya sekadar mendoakan saja kak,”  ujar saya gelisah kerana tidak tahu bagaimana mahu menghadapi keadaan tersebut.  Saat ini kak Sumi suami isteri sudah menaruh kepercayaan kepada saya, dengan harapan penyakitnya segera sembuh. Tetapi saya berfikir apakah pandangan mereka kepada saya sekiranya bisul yang dihidapinya itu juga sembuh.
Saya juga bersetuju dengan Wak Samin adalah baik sekiranya Karib mahu berubat ke hospital, kerana penyakit bisul atau kudis menupakan penyakit lahir yang boleh kita lihat melalui pancaindera.  Ubat-ubatan secara moden lebih sesuai untuk mengubat penyakit demikian, disebabkan terjamin kebersihannya.
Tetapi disebabkan Karib tidak mahu langsung disebut untuk membawanya ke hospital, terpaksa jugalah saya dan Wak Samin menyetujui kemahuannya. Sebab itulah saya menjadi bimbang untuk memulakannya.  Manalah tahu kalau penyakitnya berterusan, dia akan menyalahkan saya pula.  Demikian juga kalau dibawa ke hospital, tetapi tidak sembuh tentu dia akan menyalahkan saya dan Wak Samin kerana memdesaknya berubat ke hospital.
“Ustaz nak doakan ke, ustaz nak ludah-ludahkan ke, kakak pulangkan pada ustaz aje,”  Kak Sumi semacam mendesak saya.
“Insya Allah kita cubalah,”  sahut saya mengerling Wak Samin.
“Apa perkakas yang ustaz hendakkan?”Tanya Kak Sumi setelah di dapatinya saya datang dengan tangan kosong semata-mata.
“Kalau sekadar berdoa, apa pula perlukan perkakas itu dan ini!” cepat-cepat Wak Samin menyambut.
Saya merenung bisul yang membengkak di tengah belakang Karib itu mengening-ngening seperti buah kundang masak.Ketika ini saya teringatkan cerita Wak Samin mengenai gurunya Tok Malim yang dihinggapi penyakit kudis tokak seluruh badan.  Apakah penyakit yang sama di hidapi oleh Karib ketika itu.
Bagaimanapun Wak Samin yakin bahawa penyakit Karib itu adalah penyakit kulit biasa. Bisul itu semakin membusuk disebabkan tidak dibuang darah kotor serta nanah yang berkumpul di situ. Masalah seperti ini sebenarnya pernah berlaku kepada diri saya sendiri semasa saya berumur kira-kira lapan tahun.
Betis saya membengkak menyebabkan saya tidak dapat berjalan.Hendak di katakan bisul tidak pula kelihatan punatnya, tetapi betis sebelah kiri saya membengkak kemerah-merahan. Emak saya telah memupuk ketis tersebut dengan daun inai, tetapi bengkaknya tidak juga seruh. Hampir dua minggu saya terlantar di rumah tidak dapat ke sekolah.
Ayah saya telah bertanyakan kepada Tok Aji sama ada penyakit saya itu harus diubat secara kampung atau pun perlu dibawa ke hospital.  Tok Aji menasihatkan ayah saya supaya dihantar ke hospital saja, kerana didapatinya betis saya yang membengkak itu mengandungi nanah dan darah. Kalau tidak dikeluarkan nanah dan darah tersebut, terpaksalah menunggu ianya meletus sendiri. Untuk menunggunya meletus sendiri adalah tidak mungkin di sebabkan bisul itu tidak mempunyai punat yang membolehkan ianya meletus di situ.
Memang saya ketakutan apabila di bawa ke hospital. Sepanjang jalan saya meronta-ronta tidak mahu dibawa ke hospital. Sebaik sampai saja di hospital di daerah kecil tempat kampung saya (ketika itu tidak mempunyai doktor bertugas di situ, kecuali datang seminggu sekali saja) maka pembantu hospital yang kami semuanya memanggil doktor menyuruh dibawa ke bilik khas.
Di situ beberapa orang atendan memegangkan tubuh saya supaya tidak dapat meronta. Pembantu hospital yang ketika itu dikenali sebagai dresser saja dan berbangsa India itu memujuk saya dengan kata-kata yang menghiburkan. Tidak saya sedari masa bilakah dia menusukkan mata pisau ke betis saya, hanya saya lihat darah bercampur nanah pekat keluar memancut dari kulit yang ditusuk mata itu. Tidak sedikit pun terasa sakitnya.
Setelah nanah dan darah itu berhenti dari meleleh, luka itu dijahitnya semula dan betis saya dibalut kemas.Saya dibenarkanh balik ke rumah dengan tidak ditahan di wad hospital.
Tiga hari lamanya saya dibawa berulang-alik ke hospital oleh ayah saya, luka bekas diturih pada betis saya itu mulai sembuh.Bengkaknya juga seruh. Seminggu kemudian saya sudah boleh berjalan semula dengan tidak merasa sakit lagi.
Pengalaman ini saya ceritakan juga pada Karib, tetapi dia tetap tidak mahu berubat ke hospital. Kesan daun lidah buaya yang dipupuk oleh Wak Samin hitam melekat di sekeliling daging yang membengkak itu. Setelah membacakan Al-Fatihah saya hembuskan tiga kali ke tempat yang membengkak itu. Kemudian saya menudingkan jari telunjuk ke situ sambil menahan nafas lantas saya membacakan 8 ayat dari Surah Al-Qalam. Setelah merenungi pada titik huruf nun di dalam hati, cepat-cepat saya menampar tapak tangan kiri ke kepala lutut.
Ketika ini Kak Sumi terjerit lantas melatah apabila di lihatnya darah dan nanah memancut dari tiga punat bisul di atas daging belakang Karib yang membengkak.  Anaknya Senah yang baru berumur 10 tahun itu ikut sama terjerit dan ketakutan apabila melihat banyaknya darah dan nanah keluar dari daging belakang ayahnya yang membengkak itu.
Setelah Kak Sumi reda dari latahnya cepat-cepat pula dia mencari kain menyapu nanah dan darah yang meleleh itu.  Disebabkan saya terpaksa juga balik hari itu, maka saya berbisik kepada Karib,  “Eloknya, Abang Karib ubat sendiri aje,”
“Macam mana ustaz?” dia keheranan dengan saranan saya itu.
“Saya tahu Abang Karib dah belajar dengan Wak Samin,”  kata saya mengingatkan dia.  “Sekarang juga Abang Karib berzikir di dalam hati menyebut nama Allah bersungguh-sungguh dan tumpukan pandangan ke tapak tangan saya,”  lantas saya mengangkat tangan kanan melepasi kepala.
Dia melakukan seperti apa yang di suruh ke atasnya.  Apabila saya menghampirkan tapak tangan ke dahinya, dia tersengguk-sengguk mahu terlelap tetapi tidak berjaya ditidurkan.
“Cuba sekali lgi Abang Karib,”  saya memintanya melakukan semula seperti apa yang di suruh.  “Mulakan dengan bacaan Fatihah, dan teruskan menyebut nama Allah dengan bersungguh-sungguh di dalam hati,”  ujar saya sambil saya juga memusatkan pandangan pada dahi di antara dua alisnya.
Pada kali ini dia berjaya ditidurkan. Setelah yakin dia benar-benar dapat ditidurkan saya menyuruh dia membacakan Al-Fatihah tiga kali, kemudian saya menyuruhnya keluar dari ruang gelap yang dilihatnya.  Apabila melihat dua ibu jari kakinya bergerak perlahan-lahan saya berbisik ke telinganya,  “Abang Karib tengok belakang Abang Karib, apa yang nampak?”
“Bisul…”  sahutnya antara kedengaran dengan tidak.
“Lagi apa yang nampak?”saya menyoalnya.
Lama dia terdiam tidak berkata apa-apa pun.  Saya membiarkan saja dia merenungi sedalam-dalamnya bisul berkenaan.
“Ada jarum…”  katanya memberitahu seolah-olah ada bayangan jarum tercacak di situ.
“Bacakan Surat Al-Ikhlas dan cabutkan jarum tersebut,”  saya memberi panduan kepadanya supaya melakukan.
Setelah dia mendiamkan diri tidak bercakap apa-apa lantas saya membisikkan kepadanya,  “Sekarang cubalah Abang Karib cari bagaimana mahu mengubatnya?”  kata saya menepuk-nepuk bahunya.  Setelah lama mendiamkan diri, Karib menganggukkan kepalanya.
Tidak lama kemudian dia bangun semula dari tidurnya dan tersenyum puas.  “Isya Allah ustaz, saya faham sekarang…”  katanya tersengguk-sengguk menangis.
Wak Samin yang melihatnya sejak tadi tersenyum, tetapi dia tidak bertanyakan pada Karib apa yang terjadi semasa dia berjaya ditidurkan.  Hanya dia memngeluh, “Saya tahu, saya tidak boleh mendahului Allah.  Dia Maha Pemurah, kita adalah hambaNya.
Lama juga Karib tersengguk-sengguk menahan sebak di dadanya. Kemudian barulah dia memberitahu mungkin bisulnya itu boleh diubat dengan disapukan getah dari akar muda pohon beringin yang terjuntai. Selepas kejadian itu saya tidak menemui lagi Karib, tetapi tiga tahun kemudiannya apabila saya berkunjung ke rumah Wak Samin dia terus datang mendapatkan saya setelah mendapat tahu saya ke Endau.
“Macam mana dengan bisul Abang Karib?” saya mengusiknya. Dia tersenyum tetapi tidak menjawab pertanyaan saya. Tetapi dari Wak Samin saya mendapat tahu bisul yang dideritanya itu mengecut dalam masa seminggu saja. Dia berusaha mencari akar muda pohon beringin yang terjuntai dan dipotong dengan pisau nipis untuk mendapatkan getahnya. Getah itulah yang disapukannya ke bahagian bisul itu sehingga sembuh.
Ketika dia hendak balik Karib berbisik kepada saya, “Kita semua adalah hambaNya.  Maha suci Allah..” katanya seolah-olah mengucapkan terima kasih kepada saya.  Saya mengangguk kerana memahami maksud sebenarnya Karib mahu mengucapkan terima kasih itu.
Peristiwa itu tetap menjadi ingatan saya apabila bertemu dengan Karib, kerana dia pasti akan segera datang menemui saya setiap kali saya ke Endau menemui Wak Samin.
Apabila terserempak di rumah Khamis malam itu, sekaligus kami dapat mengingatkan semula kejadian semasa di kampungnya dulu. Memang Karib yang banyak berguru dari Wak Samin itu tidaklah menyembunyikan kukunya setelah melihat keadaan Mahani yang tergigil-gigil.
Kemudian saya mendengar Karib membacakan Surah al-Fatihah diikuti dengan 7 ayat terawal dari al-Baqarah. Dia juga meneruskan pada ayat 163 dan 164 Surah al-Baqarah dan Ayatul Kursi. Seterusnya dia menambahkan lagi bacaan pada Surah al-Baqarah pada ayat 284,285 dan 286. Kemudian beberapa ayat lagi dari Surah Ali Imran, al-Araff, al-Mukminun, 11 ayat Surah as-Saffa.
Bacaannya yang perlahan tetapi jelas itu menyebabkan Mahani meronta-ronta kuat, sekalipun Khamis, Senah, Sarmanan dan isteri saya cuba memegangnya.
“Hus, rimas aku ni, lepaskan laaa!”  bentak Mahani marah-marah.
“Lepaskan dia,”  Karib menyuruh Khamis tidak memegang kuat tubuh Mahani.  “Biarkan dia nak ke mana pun!”  katanya seolah-olah mencabar.
Setelah mereka semua melepaskan Mahani, tiba-tiba saja Mahani melayang dengan kakinya tidak berjejak ke lantai. Terjerit Senah melihat keadaan Mahani melayang-layang kerana dia tidak pernah melihat kejadian seperti itu.  Apabila sampai pada grill pintu, Karib menghentakkan kakinya ke lantai menyebabkan Mahani jatuh terjelepoh di situ.
“Kemana lagi nak pergi?”soal Karib keras.
Mahani cuba bangun semula tetapi dia terkial-kial bagaikan ada barang berat menghimpit di tengkuknya.
“Kau berani fasal ustaz ni ada,”  Mahani mengejek-ngejek dalam suaranya yang langsing halus.
“Beratnya, ustaz ni duduk atas tengkuk aku,”  jeritnya cuba melepaskan bebanan yang dikatakannya berat itu.
“Bohong kau!” sahut Karib menyindir.  “Ustaz ada berdiri sebelah aku, mana ada di tengkuk kau…”  kata Karib seterusnya.
“Kau mana tahu, bodoh!” bentaknya menjeling Karib dengan pandangan yang benci.  “Ustaz atas tengkuk aku ni…tolonglah ustaz, janganlah duduk atas tengkuk aku.  Kesihanlah, aku ni bukankah perempuan?”dia merintih-rintih sambil terkial-kial mahu melepaskan beban di tengkuknya.
Saya tidak menyahut, kerana ketika itu memang saya merasakan diri saya sedang duduk di atas tengkuk seorang wanita muda yang memakai pakaian serba kuning yang nipis.  Ketika dia melepaskan Mahani dari pelukannya, cepat-cepat saya menghimpit tengkuknya hingga Mahani jatuh terjelepoh di depan grill pintu.
“Tolonglah ustaz, janganlah duduk di tengkuk saya…”  suara halus yang keluar dari mulut Mahani merayu-rayu mengharapkan belas kesihan.
“Teruskan membaca Abang Karib,”  kata saya mengingatkan Karib yang terhenti membacakan beberapa ayat Quran.
Karib membacakan lagi beberapa ayat dari Surah  Ar-Rahman, al-Hasyar dan al-Jin.  Ketika ini Mahani mengeliat-geliat tertapi tidak dapat meronta-ronta seperti semasa dipegangkan oleh Khamis sebelumnya.Dia terjerit-jerit merayu meminta di bebaskan.
“Ini rumah aku, kau orang semua ni, nak halau aku ke mahna?”  dia menangis merintiah-rintih.
“Dulu tempat ni memang rumah kau, tetapi sekarang bukan tempat kau lagi.  Kau hanya menumpang,”  saya sengaja menyakitkan hatinya.  “Kau jangan jadikan Mahani tempat kau menumpang baliklah kau ke dunia kau,”  ujar saya memberi amaran.
“Ustaz orang berilmu, takkan orang berilmu zalim macam ni!”  Mahani tersengih-sengih tetapi masih terkial-kial mahu melepaskan dirinya dari beban yang berat terhimpit di tengkuk.
“Aku tak mahu dengar tipu helah setan!”bentak saya mengugutnya.
“Abang Karib, jangan belas kesihan dengan setan macam ni…”  kata saya seolah-olah memberi perintah kepada Karib.
Lantas Karib merapati Mahani di depan grill pintu.  Mereka semua melihat Karib melaungkan azan  di telinga kanan Mahani, tetapi saya tahu dia melaungkan azan di telinga wanita muda yang terhimpit di bawah tubuh saya.  Wanita muda  itu terjerit-jerit apabil Karib melaungkan azan 7 kali, diikuti dengan bacaan al-Fatihah, al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas yang disambung pula dengan Ayatul Kursi.
Setiap kali suara Karib membacakan ayat-ayat tersebut, sebahagian tubuh wanita itu terbakar dijilat api yang keluar dari wap nafas Karib.  Wanita muda itu terkial-kial di sebabkan beban berat terus menghimpit tengkuknya, manakala api yang keluar dari wap nafas Karib terus membakarnya.
“Ustaz saya bersumpah, saya nak pergi ni.  Tak tahan panas…”  suaranya merintih-rintih sayu.  “Ustaz tahu saya bukannya nak mengacau, saya hanya nak menumpang kasih,”  suara itu terus melangsing halus dari mulut Mahani yang terkial-kial di depan grill pintu.
Apabila saya melepaskannya, wanita muda itu cuba menerkam kearah Karib, tetapi dia terpelanting keluar rumah.  Kemudian dia melayang-layang ditelah kabus putih dan hilang bersama kabus tersebut.
Setelah dia menghilangkan diri dalam kabus putih itu, Mahani kembali sedar.  Dia sendiri tercengang-cengang tidak tahu apa yang telah belaku.  Bagaimanapun, ketika itu jam sudah pun hampir 12.30 tengah malam.
“Kalau dia mengganggu lagi malam ni, panggillah Abang Karib ni…”  pesan saya semasa Khamis mahu menghantar saya balik.  Karib, Sermanan dan Senah menemankan Mahani semasa Khamis menghantar saya balik ke rumah malam itu.
“Sebelum saya balik ke Endau, insyaAllah saya akan pergi ke rumah ustaz,”  ujar Karib menjabat tangan saya, walaupun kereta sudah mula bergerak.  Tetapi gangguan keatas Mahani itu masih belum pulih  sepenuhnya.  Bagaimanapun saya tidaklah memberitahu Khamis cuma mengingatkan dia supaya memanggil Karib kalau gangguan itu datang lagi.

SELESAI


Saturday, September 17, 2016

194. MAYAT TERBERSIN MASA MANDI


DALAM kegelapan yang hanya disinari cahaya samar-samar dari luar rumah, Mahani keluar dari bilik tidur terus berjalan ke tingkat bawah. Langkahnya kemas seolah-olah dipandu orang ketika menuruni tangga rumah dua tingkat di salah satu kawasan perumahan di Kuala Lumpur. Sebaik saja, Mahani keluar meninggalkan bilik suaminya Khamis mengekorinya belakang.
Sudah beberapa malam sebelumnya Khamis menyedari kejadian yang menimpa isterinya, setelah Mahani memberitahu yang dia bermimpi yang mengerikan. Dia seolah-olah dibawa ke sebuah taman yang indah oleh seorang wanita yang jelita. Tetapi apabila wanita itu mengajaknya pergi jauh lagi mengikuti satu terowong, Mahani enggan mengikutnya. Akibatnya dia ditinggalkan oleh wanita berkenaan di situ, hinggalah dia menyedari dirinya di kejutkan oleh suaminya Khamis.
Apabila dia terjaga, Mahani mendapati dirinya terbaring di pintu pagar rumah.  Dia sendiri merasa heran bagaimana dia boleh sampai ke pintu pagar sedangkan pintu dan grill rumahnya terkunci rapat.  Khamis juga merasa heran dengan kejadian yang menimpa dirinya.
Disebabkan gangguan yang menimpa dirinya dan Mahani barulangkali, Khamis balik ke kampung menemui Ngah Tiban yang memang dikenali di kampungnya di Pahang seorang dukun.  Ngah Tiban membekalkan kepadanya garam digaul dengan lada hitam yang sudah didoakannya supaya ditaburkan di halaman rumah. Setelah dibekalkan dengan garam yang bergaul dengan lada hitam itulah, tiba-tiba saja Khamis terkejut dari tidur semasa Mahani melangkah keluar ke pintu bilik.
Sebelumnya memang dia terlena tidak menyedari apa-apa yang berlaku. Hanya setelah hampir pagi barulah di sedarinya Mahani tidak ada di sebelahnya. Cepat-cepat dia berlari turun ke tingkat bawah.  Pintu dan grill rumahnya terkunci kukuh.  Tetapi dia dapat melihat dari cermin pintunya Mahani tergolek di pintu pagar tidur dengan lenanya.
“Hai, kakinya tak berjejak,”  bisik hati Khamis apabila di lihatnya Mahani yang menuruni anak tangga ke tingkat bawah seolah-olah melayang saja di awang-awangan.
Buat beberapa ketika Khamis merasa dirinya seakan-akan terpukau melihat keadaan isterinya.
Tetapi apabila Mahani hampir sampai ke pintu, Khamis segera melimparkan garam bergaul lada hitam yang di bekalkan oleh Ngah Tiban itu ke arah Mahani.  Dia melihat Mahani menggeliat-geliat seperti kesakitan, tetapi tidak bersuara apa.  Kemudian tubuhnya rebah di muka pintu dalam keadaan tertiarap.
Cepat-cepat Khamis memasang suis lampu di ruang tengah.  Sebaik lampu terpasang dia melihat Mahani bingkas bangun.Pantas Mahani menghempaskan badannya ke kusyin.
“Mahani…!”  Khamis menggoyang-goyang bahu isterinya.
Sekaligus Mahani mendengar sambil menepis tangan Khamis.Dia memasamkan muka seperti terlalu marah dengan tindakan Khamis mengekorinya.
“Mahani…”  ujar Khamis lagi menampar-nampar bahu Mahani.
“Ah, bisinglah,” sahut Mahani keras.
“Kenapa kau ni,”  Tanya Khamis perlahan.
“Tak boleh tengok orang senang,” rungut isterinya menggertap bibir.
Disebabkan dia tidak tahu apa harus dilakukan, Khamis hanya duduk saja memerhatikan isterinya.  Dia hanya mengawal supaya Mahani tidak terus mengigau hingga ke luar dari rumah. Ketika ini Mahani merungut-rungut saja sambil mengerling ke arahnya.
“Macam budak-budak main garam,”  ejek Mahani mendengus, tetapi dia memandang muka suaminya.
“Ini ubat, Ngah Tiban yang bekalkan,”  jelas Khamis mengingatkan isterinya.
Mendengar penjelasan Khamis itu, Mahani ketawa terkekeh-keheh.  Dia mengejek-ngejek ubat yang dibekalkan oleh Ngah Tiban yang dianggapnya cuba memperbodoh-bodohkan dirinya.  Khamis hanya tersengih-sengih saja.  Biarlah isterinya tidak mempercayai orang tua berkenaan, tetapi dia yakin Ngah Tiban  tidak mensia-siakan harapannya.
“Buangkanlah garam tu…”  jerkah Mahani meninggikan suaranya.
“Hiss, Ngah Tiban tak kasi buang,”  dia mengingatkanh Mahani tentang pesanan Ngah Tiban semasa mereka mengunjungi orangtua itu di kampong.
“Buat apa…’ di rumah kita ni banyak garam,”  sahut Mahani melembutkan suaranya pula.
Sekalipun Khamis tidak memahami apa sebenarnya berlaku ke atas diri Mahani, tetapi dia tidaklah membuang terus garam bergaul lada hitam yang di bekalkan oleh Ngah Tiban itu.  Dia hanya tersengih-sengih saja kerana menganggap isterinya semata-mata bergurau.
“Buangkan garam tu…!”  tiba-tiba Mahani berdiri tegak menyebabkan Khamis serba salah.  Suara keras Mahani itu bukan lagi bergurau, sebaliknya sudah mencabar dia.
“Duduk dulu,”  ujar Khamis lembut memujuk isterinya.  Apabila dia cuba menghampiri Mahani, perempuan itu cepat-cepat mengelak.  “Kenapa kau takutkan aku, Mahani…?”  tanyanya keheranan kerana Mahani tidak mahu dia mendekatinya.
“Aku kata buangkan garam tu!”kata Mahani berkeras.
“Tidak…”  sahut Khamis tegas.  Dia tahu garam bergaul lada hitam itu sudah didoakan oleh Ngtah Tiban. Mengapa secara tiba-tiba saja Mahani mendesak supaya dibuangkan? Ketika ini Khamis sudah dapat menduga bahawa bukan Mahani yang mendesak supaya perkakas-perkakas yang dibekalkan oleh Ngah Tiban itu di buang.
Serentak dengan itu juga dia mendengar suara azan dari surau di kawasan perumahan itu sayup-sayup menusuk perasaan menandakan masuknya waktu subuh. Keheningan subuh itu mula diselubungi oleh suara azan yang memanjang. Terasa juga pada Khamis isterinya sudah lama berkeadaan demikian sejak disedarinya apabila turun ke tingkat bawah sebelum itu.
Sebaik saja suara azan bergema dari arah surau.Khamis melihat tubuh isterinya menjadi lemah longlai lalu rebah berhampiran dengannya. Dia menepuk-nepuk pipi Mahani menyuruhnya bangun, tetapi perempuan itu terkapar tidak sedarkan diri. Peluhnya memercik di dahi, sedangkan subuh ketika itu dibungkus kedinginan yang menysup sampai ke tulang hitam.
Khamis menjadi kebingungan. Mujurlah ketika ini dua orang anaknya yang berumur empat dan dua tahun tidak terjaga.  Kalau anak-anaknya terbangun mungkin mereka akan riuh tidak menentu, hingga mengganggu jiran-jiran yang tinggal bersebelahan di rumah teres dua tingkat di kawasan perumahan berkenaan.
Bagaimanapun dia tetap bertenang menunggu pagi yang akan membawa sinar matahari cerah melayah.  Beberapa minit dia termenung melihat Mahani terbaring tidak sedarkan diri,  Khamis mengambil keputusan untuk menunaikan fardu subuh terlebih dulu.  Selesai saja dia menunaikan fardu subuh serta berdoa pendek, dia mendengar isterinya merungut-rungut di tingkat bawah.
Apabila dia turun menjengah, Khamis menjadi heran kerana Mahani berrtanyakan kepadanya bagaimana dia boleh tidur di atas karpet di tingkat bawah.
“Kau turun sendiri…”  jelas Khamis tersengih-sengih.
“Aku mengigau lagi?” tanyanya mahu mempastikan.
“Boleh jadi,”  ujar Khamis terus turun mendapatkan isterinya.
Dia meletakkan tapak tangannya ke dahi Mahani, ternyata tidak lagi di perciki peluh.Tubuh Mahani juga tidak panas memijar bagaikan orang demam panas.
“Apa kau rasa? “Soal Khamis mengeluh perlahan lalu duduk di kusyin.
“Perempuan tu datang lagi dalam mimpi aku,”  beritahu Mahani menghela nafas.  “Tapi dia tak berani memegang tangan aku macam selalu….”Katanya mengerutkan dahi seolah-olah mengingatkan semula mimpi yang di alaminya.
“Tak boleh jadi macam ni!”  Khamis menggeleng-geleng kepala dengan kejadian yang menimpa isterinya itu. Bagaimanapun dia tidak pula menceritakan peristiwa tersebut kepada jiran-jiran di sebelahnya.  Malu juga Khamis mahu menceritakan  kerana bimbang dituduh oleh jiran-jiran dia terlalu mempercayai perkara-perkara yang tahyol.
Di Kuala Lumpur tentulah tidak sama dengan kampungnya di Pahang.  Orang-orang kampungnya masih lagi mempercayai kejadian-kejadian seperti itu yang mereka yakin tidak mustahil boleh berlaku. Tetapi masyarakat di Kuala Lumpur tidak dapat menerimanya, kerana cerita-cerita tahyol hanya dongengan dari orangtua-orang tua dahulu bagi menakut-nakutkan anak cucunya saja.
Khamis sendiri merasakan kisah-kisah demikian adalah tahyol juga. Hinggalah kejadian yang berlaku kepada isterinya itu, menyebabkan dia serba salah.  Adalah tidak munasabah Mahani boleh keluar hingga tidur di pintu pagar dengan keadaan pintu dan grill berkunci kukuh.  Sedangkan anak kuncinya masih tergantung pada papan meter letrik di dalam rumah.
Dia sendiri dapat melihat Mahani berjalan menuruni anak tangga dengan kakinya tidak berjejak.
“Kita balik jumpa Ngah Tiban…”  Khamis memberi cadangan sambil merenungi wajah isterinya.
“Kita bawa aje dia ke sini, suruh tengok-tengokkan,”  sahut Mahani pula menambah.
Memang Khamis juga mempunyai keinginan mahu membawa Ngah Tiban datang ke Kuala Lumpur supaya dapat mengatasi masalah yang mengganggu isterinya Mahani. Jiran-jiran sebelah hanya melihat Mahani sihat sejahtera tidak mengalami apa-apa kesakitan. Hanya pada beberapa malam tertentu saja dia di ganggui mimpi yang menakutkan.
Mahani merasakan seorang wanita cantik masuk ke bilik tidurnya lantas mengajaknya pergi.  Kalau dia enggan mengikutinya kawasan biliknya akan di penuhi oleh pelbagai binatang-binatang buas termasuk ular, kala jengking dan lintah yang muncul terlalu banyak tidak tahu dari mana datangnya. 
Disebabkan takut gangguan binatang-binatang bisa itulah dia terpaksa mengikut wanita itu dengan melayangkan dirinya ke udara supaya tidak digigit oleh ular-ular bisa yang menunggu di tangga, serta kala jengking yang disetiap penjuru. Lintah-lintah juga keluar dari dinding batu dengan memuntahkan darah merah yang mengerikan.
Mimpi ini datang berulang-ulang dua malam sekali mengganggu Mahani. Apabila diceritakannya kepada Khamis, memang suaminya mentertawakan dia pada mula-mula kejadian tersebut. Khamis menganggapnya sebagai mimpi biasa saja yang tidak boleh dituruti sangat.
Bagaimanapun dari jiran-jirannya, Mahani mendapat tahu sudah beberapa orang menyewa rumah berkenaan. Tetapi tidak ada seorang pun yang tinggal di situ lebih dari tiga bulan. Kadangkala sebulan saja mereka mendiami rumah tersebut, lantas mengambil keputusan berpindah.
Tuan rumah itu sendiri tidak mahu tinggal di rumah berkenaan.  Dia menyewa rumah lain pula di Hulu Kelang.  Pernah juga dia berhasrat mahu menjualkan saja rumah tersebut, tetapi sukar sangat mahu mendapatkan pembelinya.  Hinggalah Khamis mendiami rumah berkenaan, tuan rumahnya masih mempunyai hasrat untuk menjualnya.  Tetapi setelah tiga bulan Khamis menyewa di situ, dia tidak pun mengambil keputusan untuk berpindah, hasrat tuan rumah itu mahu menjualkannya ikut sama tenggelam bersama kesediaan Khamis untuk terus menyewa rumah tersebut,
Apabila mereka menemui Ngah Tiban orang tua itu tidak dapat memenuhi hasrat Khamis untuk membawanya ke Kuala Lumpur. Selepas menemui Ngah Tiban itulah Khamis bersama isterinya Mahani datang ke rumah saya.
Pada mulanya terkejut juga saya apabila dikunjungi oleh mereka suami isteri. Khamis memberitahu dia disuruh menemui saya oleh Ngah Tiban. Puas saya memikirkan siapakah Ngah Tiban yang dimaksudkannya itu.  Lama baru saya teringat mengenai seorang kenalan Ulung Bahar yang sudah beberapa kali kami bertemu.
Memang saya sudah beberapa kali bertemu dengan Ngah Tiban di rumah Ulung Bahar di Lancang. Tetapi saya hanya mengenali dia melalui Ulung Bahar sebagai Lebai Ngah saja. Setahu saya dia bukanlah dukun, tetapi pernah belajar pondok di Kelantan beberapa tahun.
Tidak banyak yang saya ketahui sangat mengenai Ngah Tiban atau Lebai Ngah ini, kerana selepas kematian Ulung Bahar kami tidak pernah lagi bertemu. Tetapi memang Ulung Bahar pernah juga menceritakan kepada saya mengenai diri Lebai Ngah ini yang di hebohkan sudah mati setelah diserang demam panas.
Ketika sakitnya sedang tenat, dia meminta supaya di panggilkan Ulung Bahar. Tetapi belum pun sempat Ulung Bahar sampai dia sudah pun menghembuskan nafasnya. Pada zahirnya semua orang-orang kampung melihat dia sudah terbujur menjadi mayat.
Esoknya, apabila mayatnya dimandikan sebelum dikapankan, orang melihat kedua-dua ibu jari kakinya bergerak.Tidak lama kemudian tangannya mula bergerak pula. Selepas itu dia terbersin tiga kali sebelum membuka matanya.Dia terkebil-kebil keheranan melihat orang ramai di kelilingnya sedang memandikan dirinya seperti mayat yang terbujur.
Setelah diterangkan semua kejadian yang berlaku ke atas dirinya kelihatan air mata Lebai Ngah tergenang. Dia bangun perlahan-lahan langsung mengambil wuduk untuk menunaikan solat sunat dua rakaat bersyukur ke hadrat Illahi. Apabila saya bertanyakan kepadanya mengenai cerita Ulung Bahar terhadap peristiwa yang dialaminya, Lebai Ngah enggan bercerita. Tetapi dia hanya menangis tersedu-sedu tidak dapat menceritakan apa-apa kepada saya.
Orangnya memang tidak suka bercakap banyak.  Kalau kita bertanyakan sepatah maka akan dijawabnya sepatah juga.  Inilah Lebai Ngah yang saya kenali melalui Ulung Bahar apabila saya berkunjung ke Lancang satu ketika dulu. Dari Ulung Bahar juga saya diberitahu mengenai peristiwa seorang lelaki yang menghadapi masalah tenaga batin.
Kebetulan pula Ulung Bahar mengubati seorang orang besar yang merasakan kemaluannya kebas seperti baru saja dikhatankan.
Bagaimanapun Ulung Bahar Berjaya memulihkannya setelah dapat mencari punca yang menyebabkan orang besar berkenaan menderita kehilangan tenaga batin.Ulung Bahar berjaya menangkap seekor anak haruan yang dihanyutkan di Sungai Kelang yang dipuja menggunakan sihir sehingga menyebabkan orang besar berkenaan menanggung penderitaan kehilangan tenaga batin beberapa tahun.
Tetapi Lebai Ngah tidaklah menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh Ulung Bahar apabila diminta oleh orang besar memulihkan penderitaannya. Satu waktu Jobel Pagan menemui Lebai Ngah memberitahu dia menghadapi kesulitan kerana menderita lemah tenaga batin.
“Habis macam mana kau boleh dapat anak?”soal Lebai Ngah atau Ngah Tiban tersengih-sengih mendengar cerita Jobel Pagan itu.
Mula-mulanya malu juga Jobel Pagan mahu menerangkan, tetapi setelah didesak oleh Lebai Ngah barulah dia membisikkan perlahan,  “Sebenarnya kalau dengan isteri saya memang boleh, tapi dengan orang lain tak boleh….”
Berdekah-dekah Lebai Ngah ketawa. Geli benar hatinya dengan cerita Jobel Pagan.
“Padanlah muka kau, kenapa kau nak buat jahat dengan perempuan lain…!”  ujar Lebai Ngah menyindir.
Di kampung itu memang orang-orang kampung mengetahui Jobel Pagan suka ke  Golok di selatan Siam, apabila dia ke Kelantan kerana urusan perniagaannya.  Kadangkala sampai seminggu dia ke Golok. Isterinya Yam Gemuk sudah mendengar cerita mengenai suaminya Jobel Pagan yang suka mencari perempuan apabila ke Golok. Malah dia sudah mendengar mengenai Jobel Pagan mahu berkahwin seorang lagi dengan perempuan di Tumpat.
Tetapi berita Jobel Pagan mahu berkahwin di Tumpat, Kelantan itu hilang begitu saja.Sejak itu pun dia jarang ke Golok.  Kawan-kawannya mendapat tahu, Jobel Pagan akan sia-sia saja kalau mencari perempuan di Golok.  Dia akan kecewa kerana tidak dapat meneruskan hajatnya.
Apabila dia bertemu dengan Lebai Ngah itu, terbukalah tembelangnya di depan orangtua itu bahawa dia kehilangan tenaga batin apabila berhadapan dengan wanita yang lain dari isterinya.  Heran juga Jobel Pagan dengan kejadian yang menimpa dirinya. Anehnya apabila bersama isterinya Yam Gemuk dia menjadi gagah seperti keadaan biasanya.
“Cukuplah, Yam seorang saja, Jobel,”  usik Lebai Ngah.
“Selera ada apa salahnya Abang Lebai,”  kata Jobel Pagan seolah-olah mahu menutupkan kelemahannya.
“Kau ingat kau pandai…” ujar Lebai Ngah seterusnya.  “Hah, dengan Yam tak terikhtiarkan,”  dia mengejek lelaki berkenaan.
Jobel Pagan yang selama ini digeruni oleh Yam Gemuk, tiba-tiba saja berubah setelah di hebohkan mahu berkahwin seorang lagi di Kelantan. Dia berubah menjadi moyok kalau dijerkah oleh Yam Gemuk.  Apabila dia ke Kota Bharu sekali-sekala Jobel Pagan pergi juga ke Golok, tetapi dia sering mengeluh di depan kawan-kawannya kerana tidak dapat memenuhi hajatnya.  Dia menjadi seorang lelaki yang kehilangan segala-galanya apabila berdepan dengan wanita-wanita cantik yang muncul di pintu bilik.
Lama juga Jobel Pagan diselubungi keresahan setiap kali mengenangkan nasibnya yang pagan dan gagah selama ini, berubah menjadi moyok tidak bermaya. Kadangkala dia hanya bercerita mengenai perempuan-perempuan cantik bersama kawan-kawannya semata-mata untuk berhibur-hibur saja.
Manap Jebon yang menyuruh dia menemui Lebai Ngah, kerana Manap Jebon merupakan teman rapatnya yang sama-sama ke Golok apabila sampai di Kota Bharu. Memang dia serba salah untuk menemui Lebai Ngah mengadukan masalah yang dihadapinya itu. Tetapi bila difikirkan berapa lamakah dia mesti menanggung kerusuhan di hati, di gagahinya juga untuk menemui orangtua tersebut.
“Beginilah Jobel,”  kata Lebai Ngah menasihatkanh dia.  “Kalau diizinkan Allah penyakit kau ni pulih, lain kali janganlah kau jahat perempuan lagi,”  dia mengingatkah Jobel Pagan.
Setelah Jobel Pagan berjanji mengubah perangainya tidak mahu mencari perempuan lagi untuk bersuka-suka, Lebai Ngah, menyuruh dia menyangkung sambil duduk di atas tumit.Kemudian dia mengurut-ngurut tulang belakang lelaki itu beberapa kali. Selepas itu ditamparnya pada bahagian pinggang tiga kali.
Setelah menyuruh Jobel Pagan duduk semula, Lebai Ngah mengelilinginya tiga kali pula. Apabila dia menepuk lantainya tiga kali, Jobel Pagan melihat tapak tangan lebai Ngah dipenuhi oleh tanah merah seperti dia mengorek tanah dengan jarinya.
Kemudian dia menyuruh Jobel Pagan pergi sendiri ke tanah perkuburan di kampung itu. Jobel Pagan tidak membantah. Dia terus ke kubur yang diberitahu oleh Lebai Ngah. Sesampai saja dia di kubur yang disebutkan itu.  Jobel Pagan melihat sendiri di bahagian kepala kubur  baru saja digali seperti di cakar dengan jari yang keras.
Dari lubang bekas digali itu dia mendapati sekerat tebu lanjung sepanjang sehasta terikat pada kain putih.Di situ juga terdapat bungkusan yang berisi dengan jantung pisang hutan yang sudah kering kecut, tetapi tidaklah busuk seperti kebiasaannya. Dia mengambil perkakas-perkakas yang ditemui itu, kemudiannya mengambuskan semula lubang berkenaan.
Segala apa yang dilihatnya itu di ceritakan semula oleh Jobel Pagan kepada Lebai Ngah.  Tebu lanjung yang keras itu dijengkal oleh Lebai Ngah lantas dipangkahnya dengan kapur.Selepas itu diketukkannya ke kepala lutut Jobel Pagan hingga terasa kepadanya kesakitan sampai ke pangkal paha.
Sebelum Jobel Pagan balik, Lebai Ngah menyuruhnya duduk di atas tumit setiap kali mandi di waktu pagi.  Kemudian meletakkan ibu jari kanan ke langit-langit sambil membacakan Surat Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas dan dihembuskan perlahan-lahan ke kemaluannya serta diurutkan dengan ibu jari yang dicecahkan ke langit-langit,  Ketika di hembuskan itu Lebai Nghah menyuruhnya seretak melafazkan: Allahhu Wahidul Qahar.
Lebih kurang sebulan selepas menemui Lebai Ngah itu, Manap Jebon menemui Jobel Pagan. Dia memberitahu Manap Jebon masih tidak ada apa-apa perubahannya masalah yang dihadapinya itu.Tetapi tidak lama kemudian Manap Jebon mendapat tahu Jobel Pagan berkahwin seorang lagi dengan seorang gadis berusia 19 tahun dari Chenor.Yam Gemuk tidak berupaya lagi menghalang kemahuan suaminya itu.
Dalam masa dua tahun saja Jobel Pagan sudah mempunyai tiga orang isteri.Malah isterinya yang ketiga itu memang mendapat restu dari Yam gemuk sendiri.
Sayangnya saya tidaklah rapat sangat dengan Lebai Ngah kalau dibandingkan hubungan saya dengan Ulung Bahar. Sebab itu tidak banyak yang saya ketahui dibandingkan hubungan saya dengan Ulung Bahar kepada saya.  Oleh itu apabila Khamis memberi tahu saya bahawa Lebai Ngah yang menyuruhnya mencari saya, seolah-olah saya sudah terlupa kepada orangtua itu.
Dalam hati saya tertanya-tanya dia mengetahui alamat saya untuk diberikan kepada Khamis.Tetapi Khamis menjelaskan bukanlah Lebai Ngah yang mengetahui alamat saya. Dia hanya menyuruh Khamis menemui anak saudaranya Kadir Misai yang sudah berpindah ke Melaka. Melalui Kadir Misai inilah Khamis dapat mencari alamat saya tinggal.
“Ngah Tiban yang suruh saya jumpa dengan ustaz ni…”  jelas Khamis sebaik saja duduk.
“Esss, saya tak tau nak buat macam mana,”  sahut saya yang serba salah dengan permintaan Khamis suami isteri.
“Saya nak minta tolong ni ustaz…”  Mahani pula merayu.
“Saya tak ada upaya Cik Mahani,”  ujar saya masih serba salah.  Bila teringatkan Ngah Tiban atau Lebai Ngah ini keinginan saya mula memuncak untuk menemui dia di Pahang. Orangtua yang saya hampir lupakan itu rupa-rupanya masih ingatkan saya lagi, sekalipun Ulung Bahar yang menemukan kami dulu sudah lama meninggal dunia.
“Saya minta dengan ikhlas ustaz.” Kata Khamis dengan penuh harapan.  “Kalau tidak kerana pesan Ngah Tiban, takkan saya sampai ke rumah ustaz ni.  Susah payah juga saya ke Melaka mencari Kadir Misai kebelum ke sini,”  ujarnya menambah dalam suara yang perlahan.
Dalam keadaan serba salah itulah saya memberikan pengakuan bersetuju untuk ke rumah Khamis selepas maghribnya.  Bagaimanapun Khamis memberitahu dia sendiri akan menjemput saya.
“Ustaz tunggu sajalah di rumah, biar saya yang datang jemput…”  katanya selepas masuk ke kereta.  Saya mengangguk sambil mengiringkannya sampai ke kereta.  Semasa bersalaman dengan isteri saya, Mahani bersungguh-sungguh mempelawa isteri saya ikut sama ke rumahnya selepas maghrib.

SELESAI