Monday, March 20, 2017

220. BAHANA SUMPAH NENEK BIMAH



Mungkin kerana leka menonton TV, anak saya tiba-tiba sahaja tergeliat kaki apabila bangun daripada duduk. Terjengket-jengket dia kerana tidak boleh jejakkan kaki ke lantai. Apalagi budak baru berumur sepuluh tahun sepertinya, tentu sahaja merengek-rengek sepanjang malam tidak dapat lelapkan mata.
Memang saya bercadang mahu hantarkan sahaja ke hospital pada mulanya untuk dapatkan rawatan. Manalah tahu sendi buku lalinya terkehel pula. Kalau di hospital, mungkin kakinya boleh disimen biar tumit dapat jejakkan tatkala berjalan.
Rawatan di hospital tentu disimen sahaja untuk betulkan semula kedudukan  sendi buku lali yang terkehel. Tetapi isteri saya berkeras tidak mahu terburu-buru dibawa ke hospital. Biarlah diurut terlebih dahulu ikut cara tradisional bagi mengelakkan urat kaki yang terkehel itu dimasuki angin.
Jiran di sebelah rumah yang beritahu isteri saya mengenai tukang urut yang pernah pulihkan tangannya yang terkehel. Disebabkan isteri saya mendesak, terpaksalah saya menuruti kemahuannya. Lantas kami membawa anak kecil itu menemui Bilal Lah yang diberitahu oleh jiran berkenaan.
"Kenapa pula kaki ni?" soal Bilal Lah bergurau apabila melihat anak saya dipapah naik ke rumahnya.
"Kakinya tergeliat," beritahu jiran saya yang membawa kami menemui Bilal Lah itu.
"Memang terkehel sendi buku lali budak ni," jelas Bilal Lah sebaik sahaja memegang kaki anak saya dengan tidak perlu mengurutnya terlebih dahulu.
Selepas menepuk-nepuk bahagian buku lali anak saya, Bilal Lah mengetuk-ngetuk telunjuk ke kepala lututnya.
"Cuba, bangun berjalan," ujarnya semacam mendesak anak saya supaya bangun melangkah.
Tetapi anak saya enggan menuruti kemahuannya. Kakinya masih sakit berdenyut hingga tidak boleh dijejakkan. Takut benar dia mahu gagahi bangun kerana bimbang akan tergeliat lebih teruk lagi.
"Tak apa, cuba bangun!" desak Bilal Lah bagaikan memberi perintah.
Terpaksa juga anak saya bangun dengan dibantu oleh isteri saya. Sebaik sahaja dia jejakkan kaki ke lantai, anak saya lantas beranikan hatinya melangkah. Memang dia boleh berjalan sekalipun terdengkot-dengkot.
"His, jangan takut, jalan aje!" sengaja Bilal Lah kuatkan suara macam menyergah keras.
 "Sakit..." beritahu anak saya masih tidak berani berkuat untuk jejakkan tumitnya.
 "Cuba langkah perlahan-lahan," segera saya mencelah supaya dia tidak patah semangat.
Beberapa tapak anak saya melangkah, tiba-tiba dia boleh jejakkan kakinya yang tergeliat itu. Selepas boleh jejakkan kakinya, sengaja Bilal Lah menyuruh anak saya melangkah keliling dia terconggok di tengah rumah. Tidak sampai sepuluh minit anak saya sudah boleh jejakkan tumit, dan dalam masa setengah jam sahaja langkahnya semakin kukuh.
Memang mahir Bilal Lah sembuhkan buku lali anak saya yang tergeliat. Semalaman dia merengek kesakitan hingga kaki itu tidak boleh dijejakkan langsung, tiba-tiba sahaja boleh melangkah tidak sampai setengah jam disentuh jari Bilal Lah.
Tahu sangat saya Bilal Lah tidak sekadar menyentuhkan jarinya ke kaki anak saya. Dia hanya menepuk-nepuk ke buku lali, tetapi makrifatnya mengurut hingga sampai ke sendi tulang.
 Bukanlah perkara luar biasa sangat apa yang dilakukan oleh Bilal Lah, kerana Tok Alang saya sendiri pernah lakukan demikian. Kalau orang kampung terkehel sampai patah tulang datang menemui dia meminta pertolongan, Tok Alang lantas menyuruhnya bawakan ayam selasih hitam.
Dia akan patahkan kaki ayam selasih hitam hingga tersembul keluar tulang pahanya. Kemudian Tok Alang akan betulkan semula tulang kaki ayam yang patah paha itu. Ketika ini orang yang terkehel patah akan terjerit-jerit kesakitan, seolah-olah kakinya yang diurut oleh Tok Alang. Dalam tempoh dua tiga hari sahaja selepas itu, orang yang terkehel patah akan sembuh semula.
Tetapi saya tidak sempat bertanya apa-apa pada arwah Tok Alang mengenai cara dia mengubati orang terkehel patah. Kalau ditanyakan pun sudah tentu dia akan merahsiakan sahaja. Memang sudah menjadi tabiatnya terlalu kuat menyimpan rahsia dirinya.
 Pernah dia dilanggar lori hingga tercampak ke seberang jalan hingga sanak saudara menjadi cemas. Remuk basikalnya disondol lori sampai terperosok ke dalam longkang di tepi jalan. Lori yang penuh sarat membawa pisang itu pula terasak ke tebing. Orang ramai yang melihat kejadian itu tidak bertangguh mahu membelasah pemandu lori yang tergamam tidak ketahuan.
 Cepat-cepat. Tok Alang bingkas bangun dari dalam longkang menegah mereka supaya tidak terburu-buru bertindak. Dia sekadar menyapu-nyapu sikunya yang dipenuhi sampah dan pasir. Tubuhnya tidak luka apa-apa sekalipun  lutut seluarnya habis koyak berkecai. Terpaksalah pemandu lori itu berjanji untuk gantikan basikalnya yang tidak berguna.
"Entah apa-apa ilmu yang Pak Alang amalkan," pernah ayah saya menegur arwah Tok Alang.
 "Mana aku ada ilmu?" beritahu Tok Alang tersengih-sengih apabila didesak oleh ayah saya.
"Ilmu dunia buat apa?" sengaja ayah saya mengusiknya. "Kita perlu amalkan ilmu yang berguna di dunia dan di akhirat," ujarnya macam menasihati Tok Alang.
Tetapi Tok Alang tidak peduli sangat usikan ayah saya. Memang dia tidak akan tersinggung apa-apa sekiranya ditegur oleh ayah saya, sekalipun ayah saya pangkat anak saudara kepadanya. Segan juga dia dengan ayah saya kalau berkeras mahu membantah, apalagi mengingatkan dia fasal ilmu kebatinan yang tidak membawa apa-apa manfaat.
Tahu benar ayah saya mengenai amalan Tok Alang semenjak usianya masih muda lagi. Masakan Tok Alang boleh menyembunyikan rahsia itu daripada dia.
"Dah tua-tua ni, eloklah kuatkan ke masjid," desak ayah saya setiap kali bertemu Tok Alang di mana-mana.
Tok Alang sekadar tersengih-sengih sahaja. Perkara ke masjid bukan boleh dipaksa-paksa, kalau hati sendiri tidak ikhlas. Biarlah anak-anaknya sahaja yang jejak kaki ke masjid. Dia akan dirikan solat di rumah sahaja sama ada siang mahupun malam.
Sejak usia muda lagi rnemang Tok Alang dikenali mampu tundukkan perempuan sehingga mengikut sahaja kemahuannya. Dia boleh memukau janda muda yang menghinanya datang ke rumahnya tatkala tengah malam diselubungi kesepian.
Marah. benar dia pada janda muda yang tinggal jauh di kampung lain, disebabkan menjeling dia sewaktu berselisih di jalan. Kalau janda itu tidak menjeling apabila ditegur ramah, memang Tok Alang tidak pengapakan janda berkenaan.
Disebabkan marah benar dia, tengah malamnya Tok Alang ambilkan sebiji limau dibungkus dengan kain putih dan diikat benang tujuh warna. Dia hayunkan limau itu di tengah asap kemenyan sambil menyanyi perlahan, hingga janda muda tidak dapat lelapkan mata sampai ke pagi.
Sebaik sahaja pagi terang-terang tanah, tidak bertangguh janda muda itu terus menemui Tok Alang. Lama dia duduk di tangga rumah sebelum Tok Alang membuka pintu. Sengaja Tok Alang berpura-pura terkejut apabila melihat janda berkenaan duduk berjuntai kaki di tangga rumah.
Tetapi saya tidak arnbil tahu sangat mengenai kebolehan. Tok Alang memuja semangat perempuan sehingga datang mencari dia. Apa sangat mahu dibanggakan perempuan datang menyerah diri kalau semata-mata mahu menunjukkan kemegahan hawa nafsu?
Malah Tok Aji sendiri sering memarahi saya kalau sengaja berbaik-baik dengan Tok Alang untuk bertanyakan amalan demikian. Lebih baik duduk sahaja di madrasah habiskan belajar, daripada menemui Tok Alang. Memang Tok Aji tidak senang dengan sikap Tok Alang, sekalipun adik iparnya sendiri.
 "Sakit lagi tak.?" Bilal Lah mendongak mernerhati anak saya terdengkot-dengkot sedikit.  Setelah tiga empat kali berkeliling di tengah rumah, anak saya mula cepatkan langkahnya.
"Sakit sikit-sikit," beritahu anak saya mula tersenyum, seolah-olah merasa pergelangan kakinya semakin lega.
Ketika saya bersiap-siap untuk balik, Abang Jibut terjongol muka. Hairan juga saya apabila terserempak dia di situ. Memang saya menyangka Abang Jibut ke situ mahu mencari saya, tetapi rupa-rupanya dia sudah kenal lama dengan Bilal Lah. Sudah kerapkali Abang Jibut datang ke situ menemui Bilal Lah.
"Ustaz buat apa di sini?" soal Abang Jibut tercegat di pintu. _
"Anak saya, kakinya tergeliat," beritahu saya perlahan menghulur tangan bersalaman dengan Abang Jibut.
 "Inilah ustaz yang saya cakapkan pada Pak Bilal dulu," lantas sahaja Abang Jibut menggamit Bilal Lah. Rupa-rupanya Abang Jibut sudah memberitahu Bilal Lah disebabkan saya ikut dia ke Kemaman menemui Ngah Gadek.
"Saya dah agak, tapi tak berani nak tanya," ujar Bilal Lah mengerling saya. "Manalah tahu, nanti tersalah orang pula," katanya masih tidak berganjak daripada tempat duduknya.
"Abang Jibut nak berurut juga ke?" sengaja saya mengusiknya.
"Ada hal sikit," jawabnya tersengih-sengih mengerling Bilal Lah.
Memang dia sudah memberitahu Bilal Lah fasal menemui saya tatkala isterinya Sutinah menderita sakit ganjil. Hampir dia berputus asa dengan keadaan isterinya sekalipun berulang kali berubat dengan Bilal Lah. Setelah puas mencuba, Bilal Lah sendiri kehilangan punca mahu meneruskan mengubat Sutinah.
Asal sahaja masuk senja Sutinah mula merasa perutnya sebu hingga tidak berselera mahu menjamah makanan. Bukan takat tidak berselera makan, malah kalau didekati oleh Abang Jibut pun dia marah tidak menentu. Terlalu benci dia menatap muka suaminya ketika perutnya sebu seolah-olah kembung dimasuki angin.
Hampir tujuh tahun Abang Jibut menanggung gelisah dengan masalah yang dihadapinya itu. Setelah puas berubat di beberapa tempat sebelum diubati oleh Bilal Lah itulah, dia datang menemui saya. Kalau tidak Sarim Cabai yang bawakan dia menemui saya, memang saya tidak pernah mengenali Abang Jibut.
Ketika dia datang bersama Sarim Cabai menemui saya, Abang Jibut sudah tidak dapat lagi menahan sabar. Sudah nekad dia mahu menceraikan Sutinah kalau keadaannya tidak dapat diselamatkan lagi. Terpulanglah kepada keluarga Sutinah untuk mengubati penyakit yang dideritainya itu.
"Dah puas berubat, ustaz," keluhnya macam kecewa mengerling Sutinah yang ikut sama. Sutinah mengangguk lemah. Dia sendiri tidak tahu kenapa terlalu benci menatap muka Abang Jibut apabila malam menjelang? Kalau boleh mahu sahaja dia lari meninggalkan rumah membawa diri ke mana sahaja. Tetapi dia cuba tabahkan hati tidak mahu mengikut perasaan yang melonjak-lonjak.
 "Kak Sutinah sebenarnya sakit apa?" lantas saya berpaling pada Sarim Cabai.
"Cakaplah, Abang Jibut," desak Sarim Cabai disebabkan Abang Jibut masih teragak-agak mahu menjelaskan.
"Sebenarnya dah lama kena penyakit ni, ustaz," serba salah Abang Jibut mahu rnenerangkan keadaan penyakit yang diderita oleh isterinya. "Sejak baru kahwin dengan saya lagi, tapi baru sekarang ni makin teruk," katanya sayu apabila kenangkan kejadian yang menimpanya sejak berkahwin dengan Sutinah.
Mula-mula memang tersinggung juga dia dengan perubahan Sutinah tiba-tiba sahaja marah tidak menentu. Tetapi setelah menyedari isterinya menderita sakit, terpaksalah dia berusaha mengubati. Puas juga Abang Jibut berubat hingga menemui bomoh sampai ke Kelantan, tetapi penyakit ganjil yang dialami oleh Sutinah itu semakin pasang.
Kalaulah tidak berternu Kadir Misai tentu Abang Jibut sudah berputus asa disebabkan Sutinah masih juga tidak dapat dipulihkan. Kadir Misai yang menyuruh dia menemui Sarim Cabai untuk tunjukkan rumah saya, Kebetulan pula memang Abang Jibut sama berniaga dengan Sarim Cabai hingga kadangkala sering bertemu di Johor Bharu, di Kluang atau di Kuala Lipis.
Cuma Sarim Cabai satu-satunya yang berani bawakan orang menemui saya kalau diganggu penyakit. Sebab itu Kadir Misai sengaja menyuruh Abang Jibut menemui Sarim Cabai terlebih dahulu.
Kalaulah Kadir Misai sendiri datang bawakan Abang Jibut, saya pun tidak akan marah apa-apa. Mereka mahu mencuba apa salahnya? Manalah tahu penyakitnya serasi pula apabila saya doakan hingga boleh sembuh. Perkara penyakit boleh sembuh bukan terletak pada kemampuan dukun besar atau pun tidak, tetapi dengan izin Allah Subhanahu Wataala.
Sudah berkali-kali juga Abang Jibut membawa Sutinah menemui Bilal Lah, menyebabkan orang tua itu sendiri tidak tahu lagi bagaimana mahu lakukan. Sebab itu Bilal Lah menyuruh dia carikan orang lain sahaja mengubati Sutinah.
Kalaulah penyakit Sutinah tidak sembuh setelah berubat di mana-mana, memang Bilal Lah bersedia lakukan cara lain. Tahu sangat Abang Jibut tentu Bilal Lah akan bertapa jauh di hutan, sekiranya terpaksa setelah usaha lain tidak dapat memulihkan penyakit Sutinah.
"Habis, saya nak buat macam mana?" soal saya apabila Sarim Cabai membawa Abang Jibut dan Sutinah menemui saya.
 "Terpulanglah pada ustaz," sahut Abang Jibut sudah tidak mahu memikirkan apa-apa lagi. Biarlah semuanya diserahkan kepada keputusan saya. Dia sudah nekad mahu menghantar Sutinah balik ke Kemaman sekiranya penyakit Sutinah masih tidak boleh disembuhkan.
Hatinya mula menuduh tentu ada lelaki yang lain yang mahu mengambil Sutinah menjadi isteri hingga tergamak menganiaya mereka. Memang niat lelaki itu mahu runtuhkan kerukunan rumah tangganya. Kalau benar lelaki itu mahu sangat mengambil Sutinah, bila-bila sahaja Abang Jibut sedia serahkan. Tidak perlu gunakan iimu hitam hingga menyusahkan dia bersama Sutinah.
Saya tidak salahkan Abang Jibut kalau dia menuduh demikian. Masakan dia boleh bersabar setelah tujuh tahun memendam perasaan. Bukan mudah mahu rnenghadapi masalah yang rumit demikian, apalagi sudah beberapa orang bomoh yang ditemui menuduh Sutinah diganggu ilmu hitam.
Kalau tidak kenapa pula asal masuk sahaja maghrib Sutinah mula berubah? Dia akan gelisah menahan rasa perut sebu hingga tidak berselera mahu menjamah makanan. Saat ini kebenciannya terhadap Abang Jibut kian memuncak, tetapi dia cuba gagahi melawan tekanan perasaan itu.
"Tak apalah Abang Jibut, cubalah bersabar dulu," saya mengingatkan dia lantas meletakkan tapak  tangan pada ubun-ubunnya yang mengombak kuat dengan wap panas meluap.
Kemudian saya letakkan pula hujung jari telunjuk pada ibu jari tangan Sutinah dengan membacakan:
 innahu min Sulaiman wa innahla' Rahmannir Rahim,
dan diulangi tujuh kali. Tiba-tiba sahaja Sutinah menggeletar hingga seluruh. tubuhnya memercik peluh sejuk.
 "His, apa halnya ni, ustaz?" terkejut Abang Jibut melihat keadaan isterinya yang terketar-ketar tidak menentu.
Sengaja saya tidak menyahut apa apa, sebaliknya terus berdiri dengan meletakkan semula tapak tangan pada ubun-ubun Sutinah. Wap panas di kepala itu bertukar menjadi memijar seperti dilumur dengan cili. Bagaimanapun saya biarkan sahaja bahang yang memijar itu naik hingga ke paras siku saya.
Ketika ini lantas saya bacakan:
Huwa auwalu, wal akhiru, wal zahiru, wal batinu, wahuwal rabbil arsyil azzim.
Serentak dengan itu tiba-tiba sahaja Sutinah menangis mendayu-dayu bagaikan terlalu hiba sangat.
 "Siapa yang suruh kamu ganggu Sutinah?" bentak Abang Jibut tidak bertangguh melepaskan rasa geram yang sekian lama mendongkol. Belum pernah Sutinah mengalami kejadian seperti itu setelah beberapa kali dia menemui bomoh. Memang Abang Jibut yakin dengan tuduhannya selama ini, tentu isterinya telah diganggu ilmu hitam.
Sutinah menggeleng-geleng kepala. Tangisnya semakin sayu seolah-olah dada terlalu sebak menyayat perasaan. Terlalu sukar dia mahu menerangkan perasaannya ketika itu kepada Abang Jibut.
"Cakap, siapa suruh kau ganggu Sutinah?" jerkah Abang Jibut keras seolah-olah mahu mencabar. Tetapi Sutinah sekadar menggeleng-geleng kepala sahaja dengan tangisnya mendayu-dayu merintih hiba.
Segera saya menyuruh Abang Jibut azan tujuh kali di telinga kanan Sutinah supaya dia tidak lagi membentak tidak menentu. Semasa Abang Jibut azan, saya tidak lepaskan tapak tangan daripada ubun-ubun Sutinah. Sebaik sahaja Abang Jibut azan semakin kuat Sutinah menangis mendayu-dayu hingga bahu terhenjut-henjut.
 Ketika ini saya rasakan tidak lagi memegang kepala Sutinah, tetapi kepala perempuan tua yang berkudis seluruh tubuhnya. Mukanya hodoh dengan rambut mengerbang tidak terurus.
"Tolonglah ustaz," rayunya terketar-ketar ketakutan. "Kenapa ustaz seksa saya macam ni?" dia merintih hiba dengan harapan supaya dikasihani ketika itu. Saya tidak hiraukan apa-apa pun. rintihan perempuan tua berkudis seluruh tubuh itu. Tetapi saya terus bacakan al-Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas. Kemudian saya membaca pula:
Alif lam mim sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf, uskun aiyuhal waji’ billazi inyasya yuskinirriha fayazlalna rawa kida `ala zohrihi, innafi zalika la ayatin likulli sabbarin  syaku r .
Perempuan tua itu terus menggaru-garu kudisnya hingga darah memercik keluar. Terketar-ketar dia akibat ketakutan menyebabkan tubuhnya semakin lemah. Azan yang bergema itu telah menyebabkan sebahagian kepalanya merekah ,seperti tanah kering pada musim kemarau.
"Aku bukan nak lawan kau ustaz," ujar perempuan tua hodoh itu mencebek bibir. Air liurnya meleleh keluar dari celah bibir laksana kambing terkunyah buah bacang busuk.
Tidak perlu saya melayani perempuan tua hodoh itu. Biarlah dia merintih-rintih sepanjang masa pun, memang tidak akan saya layani. Tugas saya sekadar bacakan doa-doa sahaja sehingga dia sendiri berundur jauh.
  "Siapa suruh kau ke sini?" Abang Jibut terus mendesak marah.
 "Buat apa tanya macam tu?" perempuan tua itu mencemik muka menampakkan bencinya pada Abang Jibut. Matanya melingas-lingas memerhati keliling seolah-olah mencari lorong untuk memboloskan diri.
"Kamu ni siapa?" tengking Abang Jibut masih tidak puas hati.
Tentulah sia-sia Abang Jibut mendesak kerana dia tidak, melihat dengan siapa dia berhadapan. Abang Jibut sekadar melihat isterinya sahaja yang tersengguk sengguk merintih.  Tentu dia tidak menyedari tapak tangan saya terletak di atas kepala perempuan tua hodoh dengan kulitnya dipenuhi kudis seluruh badan.
Sebab itulah saya tidak mahu bercakap apa-apa. Tidak ada gunanya melayani perempuan tua hodoh itu kalau dia tidak mahu berundur jauh. Sekiranya dia terus bertahan, saya juga terus memantapkan zikir hingga bergaung jauh di dalam hati. Biarlah perempuan tua hodoh itu mengakui sendiri asal usulnya.
 Hairan juga Abang Jibut kerana isterinya tidak meracau-racau memberitahu siapa yang amalkan ilmu hitam. Sutinah sekadar menangis sahaja mendayu-dayu. Setelah beberapa kali dia datang menemui saya, keadaan Sutinah mula berubah.
Dia tidak lagi diganggu sebu perut apabila masuk waktu maghrib. Penyakitnya pulih sekalipun sejak hampir tujuh tahun menanggung derita.
Selepas. Sutinah sembuh daripada penyakitnya, memang emaknya Uteh Merisah mengaku mengenai nenek moyangnya daripada Nenek Bimah pernah dikenali menjadi bidan dan bomoh di kampungnya.
Tahu sangat Uteh Merisah mengenai kisah Nenek Bimah yang tidak pernah kekal bersuami. Selepas beberapa bulan sahaja berkahwin dia akan bercerai lantas mencari anak teruna menjadi suami barunya. Sebab itulah dia sentiasa kelihatan muda walaupun usianya sudah lebih lima puluh tahun.
Setelah beberapa kali berkahwin dan bercerai, akhirnya dia berkahwin pula dengan Maaseh. Entah kenapa Maaseh guru agama yang datang berdagang ke kampung itu tertarik hati sahaja mahu berkahwin dengan Nenek Bimah?
Puas juga orang-orang kampung nasihatkan Maaseh supaya tidak cemarkan namanya dengan mengahwini perempuan itu. Tetapi Maaseh tetap dengan keputusan memilih Nenek Bimah.
"Semoga dia akan beriman kepada Allah," Maaseh memberi penjelasan mengapa dia tetap dengan keputusannya mahu berkahwin dengan Nenek Bimah.
"Bimah tu bukannya calang-calang orang, Maaseh," kata Pak Surip bapa angkatnya kerana bimbang guru agama itu akan terperangkap. Memang Pak Surip tahu benar latar belakang Nenek Bimah yang sudah berkali-kali berkahwin dan bercerai itu.
"Dia perlu dididik dengan agama, ayah," ujar Maaseh menaruh keyakinan yang tinggi untuk membimbing Nenek Bimah yang jauh lebih tua usia daripadanya.
"Nanti kau terperangkap," bimbang benar Pak Surip dengan nasib yang akan menimpa Maaseh sekiranya dia terus dengan keputusannya. "Sudah ramai suaminya menjadi korban dia!" beritahu Pak Surip cuba menghalang niat Maaseh untuk mengahwini Nenek Bimah. Tetapi Maaseh terus berkeras seolah-olah sudah dipukau oleh perempuan berkenaan.
Orang-orang kampung juga tahu siapa sahaja lelaki yang sanggup mengahwini Nenek Bimah, memang mereka sudah dipukau terlebih dahulu. Lelaki itu akan menurut apa sahaja kemahuan dan perintah Nenek Bimah. Malah kalau dia mencari lelaki lain pun, suaminya tidak akan berani membantah.
Kadangkala dia sengaja menyuruh suaminya tidur di serambi, apabila dia membawa lelaki lain tidur di biliknya. Kalau suaminya membantah, nescaya akan dihalaunya tidak bertangguh. Sepanjang malam suaminya akan duduk di tangga tidak tergamak meninggalkan Nenek Bimah, sekalipun sudah dihalau macam kucing kurap.
 "Ilmu Bimah tu kuat, Maaseh," ujar Pak Surip masih terkilan dengan keputusan anak angkatnya itu. Kesihan benar dia dengan nasib Maaseh kerana sudah dikenakan ubat guna-guna oleh Nenek Bimah.
"Allah sentiasa bersama dengan orang-orang yang beriman, ayah," Maaseh tetap juga dengan keputusannya yang sudah tidak boleh diubah lagi.
Selepas berkahwin dengan Nenek Bimah, memang Pak Surip sudah dapat menduga mengenai sikap Maaseh. Perempuan itu tidak dapat ditundukkan oleh guru agama muda itu. Sebaliknya Maaseh yang mematuhi apa sahaja kemahuan Nenek Bimah, hinggakan dia membuat hubungan dengan beberapa orang pemuda selepas itu,  Maaseh tetap mendiamkan diri.
Apalagi Maaseh memang jarang balik ke rumah. Dia habiskan masanya di surau sahaja saban malam. Hanya pada malam-malam tertentu sahaja dia akan balik ke rumah. Pada mulanya, Nenek Bimah hanya sekadar bersembunyi-sembunyi membuat hubungan liar itu. Dia akan membawa pemuda itu bermalam di rumahnya sewaktu Maaseh tidur di surau.
Apabila suaminya balik ke rumah, dia tidak benarkan pemuda berkenaan jejakkan kaki lagi.
Tetapi lama kelamaan dia tidak dapat membendung perbuatan buruknya. Pemuda yang membuat hubungan liar dengannya datang juga semasa Maaseh ada di rumah. Tidak segan-segan Nenek Bimah menyuruh Maaseh tidur di serambi disebabkan dia mahu tidur di bilik bersama pemuda berkenaan.
"Bukankah aku ni suami kamu?" Maaseh berlembut mengingatkan isteri yang sudah dipengaruhi ilmu syaitan itu. "Malam ni, aku tak mahu tidur dengan kau!" lantas sahaja Nenek Bimah mencemuh dengan tidak berselindung lagi.
"Perbuatan kamu ni dikutuk Allah," ujar Maaseh cuba memujuk isterinya.
 "Nak cakap fasal agama, pergi ke surau!" bentak Nenek Bimah terus menutup pintu bilik.
"Kalau mahu ingkar, aku terpaksa ceraikan kamu," jelas Maaseh dengan tenang, tetapi masih tercegat di depan pintu bilik.
Terkejut Nenek Bimah dengan keputusan Maaseh. Tidak pernah didengarnya sebelum itu suaminya sanggup melafazkan cerai di depannya. Mereka yang merayu-rayu hingga terpaksa melutut di depannya tidak mahu menceraikan dia. Hairan juga Nenek Bimah apabila ilmu guna-gunanya tidak memberi kesan untuk menundukkan Maaseh.
"Kau boleh berambus!" jerit Nenek Bimah dari dalam bilik melepaskan geram. Perlahan-lahan Maaseh berundur setelah isterinya tidak dapat dipujuk. Dia terus melangkah turun menuju ke rumah Pak Surip. Kecewa benar dia kerana tidak dapat membawa Nenek Bimah balik ke jalan yang diredhai Allah.
"Alhamdulillah, setidak-tldaknya kau tak jadi dayus macam suami-suami Bimah dulu," tutur Pak Surip bangga sekalipun masih terguris rasa terkilan di hati. "Kau masih mampu melafazkan cerai di depannya," dia menambah dengan rasa terharu yang memuncak.
Tidak lama selepas itu, tiba-tiba sahaja Liham adik Nenek Bimah tercungap-cungap datang mendapatkan Maaseh.
"Kenapa ni, Liham?" soal Pak Surip terkejut dengan kedatangan Liham ke situ.
"Tolonglah Kak Bimah tu, Pak Surip," terlalu cemas Liham hingga terputus-putus suara menuturkan.
 "Apa halnya ni?" terpaksa Pak Surip memujuknya supaya bertenang.
 "Tak tahulah saya, tapi saya dengar Kak Bimah terjerit-jerit minta tolong," beritahu Limah masih lagi cemas tidak menentu. "Saya tak berani nak naik ke biliknya," katanya dengan penuh harapan.
Disebabkan kasihan dengan permintaan Liham yang mendesak, terpaksa juga Maaseh bersama Pak Surip ke rumah Nenek Bimah. Tidak tergamak pula mereka membiarkan perempuan itu diganggu musuh. Manalah tahu nyawa Nenek Bimah terancam hingga terjerit-jerit meminta pertolongan.
Sewaktu mereka sampai di situ, jerit pekik Nenek Bimah masih melangsing, bercampur baur dengan suara pemuda yang bersama dengannya. Jiran-jiran yang tidak sampai hati mendengar jeritan yang merintih itu cuba juga menolong, tetapi mereka semua tidak dapat membolos masuk disebabkan bilik berkenaan berkunci rapat.
Mahu tidak mahu terpaksalah Liham pecahkan pintu dengan kapak. Sebaik sahaja pintu terpokah, mereka semua terkejut melihat keadaan Nenek Bimah berbogel dengan pemuda berkenaan. Tubuh mereka bercantum seolah-olah daging melekat. Tergapai-gapai tangan Nenek Bimnah meminta pertolongan, hinggakan amalannya selama ini tidak berguna apa-apa pun untuk membantu dalam keadaan demikian,
"Kau buat apa pada aku ni, Maaseh?" gerutu Nenek Bimah tiba-tiba memandang Maaseh yang tercegat di pintu bilik.
"Aku tak buat apa-apa," tegas Maaseh beristighfar beberapa kali. "Sebenarnya Allah mau menunjukkan kepada hambaNya bahawa ilmu syaitan itu amat terbatas," ujar Maaseh menahan rasa terharu dengan perbuatan perempuan itu.
Terdiam Nenek Bimah sekalipun hatinya mendongkol marah. Dia merasa dirinya dianiaya oleh Maaseh hinggakan seisi kampung melihat keadaan dia berbogel dengan pemuda berkenaan. Tubuh mereka berdua bercantum tidak boleh dilekangkan lagi.
 "Habis, nak buat macam mana ni, bang?" Liham menepuk bahu Maaseh dalam keadaan serba salah.
Tahu sangat Liham memang kakaknya derhaka kepada suami. Tetapi dalam keadaan demikian kakaknya mesti diselamatkan. Kejadian yang memalukan semua kaum keluarganya itu tidak boleh dijadikan tontonan ramai.
 "Kalau boleh tolong, kita tolonglah dia, Maaseh," bisik Pak Surip kebingungan kerana tidak pernah melihat kejadian yang menakutkan itu.
"Cubalah buat macam mana pun, bang," rayu Liham selanjutnya semakin tidak ketahuan.
"Kejadian ini terjadi dengan kehendak Allah, maka kepada Allah kita mohonkan pertolongan dan perlindungan," ujar Maaseh perlahan lantas ke hujung serambi untuk tunaikan solat sunat dua rakaat.
Selepas selesai solat, dia meminta sediakan air sejuk satu jag daripada Liham. Dia bacakan Yassin, kemudian siramkan air di dalam jag itu ke tubuh Nenek Bimah yang bercantum dengan tubuh pemuda berkenaan. Selepas itu dilangkahnya tiga kali tubuh mereka, lantas ditamparnya kepala Nenek Bimah dan pemuda itu tiga kali.
Tiba-tiba sahaja kedua-dua tubuh itu renggang sebaik sahaja kepalanya ditampar. Barulah terbit rasa malu di dalam hati Nenek Bimah apabila berdepan dengan jiran-jiran. Manalah dia mahu letakkan muka kerana semua jiran-jiran melihat dia dalam keadaan memalukan? Disebabkan terlalu malu itulah Nenek Bimah terlalu berdendam terhadap Maaseh. Dia percaya Maaseh sengaja gunakan ilmu kebatinan biar dia menanggung malu berdepan dengan orang-orang kampung. Kalau Maaseh mahu tunjukkan kehebatan menguji dia dengan ilmu kebatinan, Nenek Bimah juga boleh lakukan.
Tidak lama selepas kejadian itu tiba-tiba sahaja orang kampung diberitahu mengenai kematian Maaseh di rumah Pak Surip. Mereka tahu Maaseh meninggal dunia disebabkan terminum racun, tetapi tidak berani menuduh siapa pun melakukan perbuatan itu.
Liham syak juga kakaknya yang meracun Maaseh. Marah juga dia dengan perbuatan kakaknya, tetapi Pak Surip ingatkan Liham jangan menuduh sesiapa pun. Manalah mereka dapat buktikan kalau berkeras menuduh Nenek Bimah laku-kan?
 "Biarlah Allah tentukan segalanya," bisik Pak Surip mententeramkan Liham.
 Disebabkan malu dengan perbuatan kakaknya itu, Liham meninggalkan kampung halaman berpindah ke tempat lain. Siapa pun tidak tahu ke mana Liham membawa hatinya yang kecewa. Dia tidak menghubungi sesiapa pun di kampung itu, selepas jauh membawa diri.
 Hanya dalam tempoh sebulan sahaja selepas Maaseh dikebumikan, tiba-tiba seluruh tubuh Nenek Bimah dihinggapi kudis. Kulitnya merekah-rekah seperti tanah sawah yang kering tatkala musim kemarau. Siapa pun tidak pedulikan Nenek Bimah lagi selepas tubuhnya dihinggapi kudis hingga daging membusuk.
Jangan katakan anak-anak muda mahu terpikat, malah anak-anaknya tidak pernah menjengah. Memang Nenek Birnah mempunyai anak dengan suaminya yang terdahulu, tetapi masing-masing tidak pernah rapat dengan Nenek Bimah. Kalau mereka datang menjengah pun, Nenek Bimah akan menghalaunya.
"Sampai mati pun, penyakit tu tak sembuh-sembuh, ustaz," beritahu Uteh Marisah mengenai kejadian yang menimpa nenek moyangnya sejak beberapa keturunan dahulu. Memang saya ingin juga tahu, bagi mencari punca sebenar siapakah jelmaan perempuan tua hodoh berkudis seluruh badan yang saya lihat itu.
Tentulah perempuan tua yang menjelma itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Sutinah. Kalau tidak masakan bayangannya menjelma apabila Sutinah diganggu penyakit ganjil itu. Masakan Sutinah diganggu ilmu hitam sekiranya dia sekadar menangis sayu. Sutinah akan melompat bengis kalau diganggu ilmu hitam apabila didoakan demikian. Sebab itu saya dapat mengagak Sutinah sekadar diganggu saka keturunan yang diamalkan oleh nenek moyangnya dahulu.
"Boleh jadi Nenek Bimah tu yang merasuk Sutinah," tuduh Abang Jibut tersenyum disebabkan isterinya sembuh semula.
Tetapi saya tidak dapat menerangkan apa-apa selanjutnya. Asalkan Sutinah sembuh sudah memadai. Selepas itu, Alhamdulillah, Sutinah tidak diganggu sebu perut setiap senja menjelang. Dia boleh melayani Abang Jibut sebagai suami yang perlu dimesrai sepanjang masa.
Segala yang menimpa isterinya itu habis diceritakan oleh Abang Jibut kepada Bilal Lah yang menjadi bapa angkat-nya. Sebab itulah ketika terserempak Abang Jibut selepas mengurut kaki anak saya di rumahnya, Bilal Lah menjadi rapat dengan saya.
"Masa muda-muda dulu, saya pun jahat, ustaz," ujar Bilal Lah apabila saya berkunjung ke rumahnya selepas itu. "Tapi, selepas kahwin dengan mak cik ini, saya ubah perangai," dia ketawa terkekeh-kekeh apabila kenangkan peristiwa masa lampaunya.
"Pak Bilal ni suka berlawak, ustaz," Abang Jibut mencelah sambil mengerling orang tua itu.
Sekalipun Abang Jibut tidak menerangkan kenapa dia sering menemui Bilal Lah, tetapi saya tahu memang dia mempelajari beberapa amalan daripada orang tua berkenaan. Tentulah dia tertarik hati mahu mempelajarinya setelah mengalami kejadian yang menimpa Sutinah sejak bertahun-tahun.
"Abang Jibut nak belajar apa daripada Pak Bilal?" sengaja saya mengusiknya kerana dia memegang buku catatan di tangan.
 Tersengih-sengih Abang Jibut dengan usikan saya. Dia tidak perlu berahsia lagi di hadapan saya, kerana sudah beberapa kali dia memberitahu tujuan kedatangannya ke situ.
"Zaman sekarang buat apa nak bertapa-tapa lagi?" ujar saya bergurau tetapi memang mengingatkan dia supaya tidak terpengaruh sangat mahu mempelajari amalan demikian.
Tetapi Abang Jibut tidak menyahut. Malu juga dia mahu menerangkan keinginannya tiba-tiba sahaja mahu belajar amalan tersebut. Tentulah memakan masa dia mahu mencapai tahap yang dilalui oleh Bilal Lah yang sudah amalkan sejak usianya masih muda lagi.
"Bukan senang nak bertapa ni," jelas Bilal Lah seolah-olah tidak menggalakkan Abang Jibut terpengaruh sangat dengan amalan bertapa itu. Lainlah di masa lalu peluang mahu belajar memang terbatas, hingga mereka terpaksa bertapa jauh di tengah hutan.
 Ketika mula bertapa dulu, memang Bilal Lah masuk ke gua-gua jauh di tengah hutan. Saat ini hutan rimba masih belum diteroka sesiapa. Tentulah tidak ada siapa pun akan mengganggu apabila dia mengasingkan diri jauh ke tengah hutan.
Tentulah masa sekarang amalan bertapa itu sudah tidak sesuai lagi. Kadangkala tengah hutan pun sudah menjadi tempat laluan orang berburu di tengah malam. Sudah tentu pertapaan mereka terganggu sekiranya terserempak orang melintas.
 Masakan Abang Jibut sanggup menempuh dugaan sepertinya tatkala membawa diri ke tengah hutan dengan hanya berbekalkan tujuh butir bertih setiap hari. Tetapi di masa lalu, memang Bilal Lah boleh lalui. Dia tidak pernah memikirkan perkara dunia, tatkala memencilkan diri di tengah gua dalam hutan rimba.
Sebab itu Bilal Lah tidak goyang hatinya tatkala tubuhnya dikelilingi beribu-ribu ekor ular bisa. Malah dia sengaja biarkan dirinya ditelan ular sawa besar hingga terasa sejuk tatkala melalui kerengkungnya. Ketabahan hatinya menyebabkan ular sawa tersebut luahkan dia dengan meninggalkan buntat hitam berkilat di atas ribanya.
Masakan Abang Jibut boleh bersabar sekiranya ditelan ular hingga sampai ke kerengkung. Tentu Abang Jibut akan menghambur lari sebaik sahaja tubuhnya dilulur ular besar mengangakan mulut.
Bukan takat dilulur ular besar sahaja yang dilalui Bilal Lah sewaktu bertapa di tengah gua, malah dia dicampakkan oleh lembaga besar ke dalam gaung berjurang. Sewaktu tubuhnya terhumban ke bawah gaung, dirinya tidaklah terhempas ke batu jeram. Bilal Lah hanya jatuh ke atas rimbunan rumpun buluh seolah-olah tilam empuk yang tidak mencederakan diri.
Di situ dia dilayani oleh dayang-dayang cantik. Tetapi Bilal Lah tetap tidak melayani dayang-dayang cantik itu hingga dia didatangi lelaki berjubah putih. Sebaik sahaja diberikan oleh lelaki itu keris berbungkus kain kuning, Bilal Lah merasa dirinya diterbangkan angin balik semula ke tempat dia bertapa.
"Hah, banyak rintangan perlu ditempuh kalau mahu bertapa," tutur Bilal Lah selanjutnya. Bagaimanapun, memang banyak pengalaman Bilal Lah yang berguna kepada saya untuk dijadikan panduan.