Monday, September 5, 2016

192. KEPALA TERBANG BAWA USUS



TERASA juga sedih dengan berita kematian Bidan Enot,  di sebabkan saya tidak dapat menziarahinya.  Dua minggu selepas kematiannya saya balik juga ke kampung menziarahi kuburnya.  Memang ayah saya menelefon juga memberi tahu kematian Bidan Enot, tetapi saya masih lagi di Bukit Tinggi menemui Mamak Bandaro.

Balik sahaja dari Bukit Tinggi isterinya saya terus memberitahu ayah menelefon fasal Bidan Enot meninggal dunia.  Hairan juga isteri saya kerana bersusah payah sangat ayah memberitahu mengenai kematian Bidan Enot itu.

“Dia tu, macam emak angkat saya,”  ujar saya perlahan terkilan kerana tidak dapat menziarahinya sewaktu dia meninggal dunia.

Tetapi saya tidaklah terburu-buru balik ke kampong.  Tidak guna juga tergesa-gesa balik kerana semuanya sudah selamat.  Dua minggu selepas kematian bidan Enot itu barulah saya balik ke kampong.

“Memang dia sebut-sebut nama Angah,”  beritahu ayah sebaik sahaja saya naik ke rumah.

“Ah, dia demam sikit aje, bukannya sakit tenat,”  emak pula menjelaskan kerana Bidan Enot tidaklah terlantar sakit apabila membawa maut.  Dia sekadar demam biasa dua tiga hari sahaja sebelum menghembuskan nafas.

Sewatu saya berkunjung ke rumah Abang Rawi dia juga menyebut fasal emaknya berulang kali bertanyakan saya.  Tetapi Abang Rawi ingatkan emaknya tidak perlu menyusahkan saya, kalau sekadar demam biasa.

“Nanti kelam kabut pula ustaz tu,”  ujar Abang Rawi mengingatkan emaknya.

“Ah, kalau boleh beritahu aje, bukannya nak suruh dia balik,”  Bidan Enot tetap mendesak supaya diberitahu kepada saya.

Abang Rawi sekadar mengangguk.  Tetapi dia berat hati juga mahu memberitahu disebabkan emaknya tidaklah sakit sangat.  Bimbang juga dia kalau saya akan menyalahkannya.  Kalau sekadar demam biasa apalah perlunya mahu memberitahu ke sana ke mari.  Malah anaknya yang tinggal di Felda pun tidak diberitahu sewaktu Bidan Enot sakit.

Dia masih boleh turun ke halaman menyapu sampah.  Kemudian menguak ke tepi pagar membakarnya di lubang sampah.

“Emak tu demam buat apa kerja kuat-kuat,”  Kak Awa isteri Abang Rawi menegurnya.

“Ah, sakit orang tua, Awa,”  sahutnya berkeras mahu membersihkan halaman rumah daripada sampah sarap daun-daun getah kering yang bertaburan.

“Sakit orang tua pun, lebih baik mak berihat,”  ujar Kak Awa.

“Hai, senang orang nak datang…”  kata Bidan Enot selamba seolah-olah tidak bercakap dengan Kak Awa.

Berdetak juga hati Kak Awa kerana emak mertuanya menuturkan demikian.  Tetapi serba salah juga dia mahu memberitahu Abang Rawi.  Manalah tahu Abang Rawi tidak percaya pula emaknya merapik demikian.

“Kau dah beritahu Angah aku nak jumpa dia?”  soal Bidan Enot sewaktu masuk tidur selepas makan malam.  Cepat benar dia masuk tidur sebaik sahaja selesai solat isya.

“Ustaz ke Sumatera,”  Abang Rawi cuba berdalih di sebabkan dia tidak pun menelefon saya.

“Apa dibuatnya selalu sangat ke sana,”  semacam tidak percaya dia dengan penjelasan Abang Rawi.

“Emmm, macam-macamlah hal dia,”  sengaja Abang Rawi berbohong.

Tidak lama selepas dia berbaring, Bidan Enot memanggil Abang Rawi menyuruh bacakan Yassin.  Abang Rawi tidak membantah apa-apa.  Dia bacakan Yassin semata-mata mahu menjaga hati emaknya supaya tidak tersinggung.  Sewaktu Abang Rawi membacakan Yassin itulah dia menghembuskan nafasnya.

“Mudah sangat dia pergi,”  ujar Kak Awa menatang air dari dapur bersama isteri saya.  “Memang dia tak menyusahkan siapa pun,”  keluh Kak Awa perlahan semacam terkilan kerana suaminya tidak memenuhi hajat Bidan Enot mahu bertemu saya.

Kalau Abang Rawi menelefon memang saya ke Bukit Tinggi.  Tidak ada yang perlu dikesalkan kerana semuanya sudah diatur oleh Allah Subhana hu Wataala.

Perlahan-lahan saya menghela nafas lantas menunduk lemah.  Memanglah terasa terkilan tidak dapat memenuhi hajat Bidan Enot, tetapi ketika ajalnya saya masih lagi di Bukit Tinggi.  Sudah ditakdirkan kami tidak dapat berjumpa dalam saat demikian.

“Kalau boleh Mak Enot mahukan Angah bacakan Yassin apabila nazak,”  katanya bergurau sewaktu saya berbuka puasa di rumahnya tatkala balik ke kampung.  “Nampaknya Angah yang ingatkan Mak Enot, selalu datang jengah,”  gembira sangat dia dengan kunjungan saya suami isteri.

Hubungan keluarga kami tidaklah rapat sangat.  Tetapi Bidan Enot sering kali ke rumah emak kerana mengambil mengkuang di hujung sawah.  Memang orang-orang kampung bertumpu ke rumah emak setiap kali musim menuai.  Masing-masing menetak mengkuang untuk dianyam buat bakul padi.

Cuma di hujung sawah emak sahaja mengkuang tumbuh merimba.  Sebab itulah mereka bertumpu ke situ mengambil mengkuang.  Malah ada yang menetak untuk mengayam tikar dijual sampai ke pekan.  Emak pun tidak peduli sangat mereka yang menetak mengkuang untuk tujuan berjual anyaman tikar.

Semakin ramai yang menetaknya, bertambah merimba pula mengkuang tumbuh di hujung sawah.  Tetapi setiap kali Bidan Enot datang menetak mengkuang, tidak siapa pun mahu menetak sama.  Mereka  akan berpatah balik sekiranya diketahui Bidan Enot yang menetak.

Bidan Enot sendiri tidak tahu kenapa orang-orang kampung menjauhkan diri setelah masing-masing tidak mahu lagi berbidan kepadanya.  Tidak pernah pun dia tersinggung kalau orang-orang kampung tidak mahu berbidan.  Siapapun  boleh dijemput membidankan ketika isteri masing-masing sarat mengandung.

Tetapi emak tahu sangat puncanya.  Orang-orang kampung menuduh Bidan Enot membela polong, setelah beberapa orang perempuan lepas bersalin menggelepar akibat turun darah sekiranya tidak di jemput Bidan Enot membidankan.

“Entah ia entah tidak Bidan Enot tu simpan polong,:  gerutu emak memberi tahu ayah.

“Awak percaya cakap orang, kenapa?”  ayah mencebik bibir apabila disebut fasal Bidan Enot memelihara polong.

Tetapi emak percaya Bidan Enot memang tidak menyimpan apa-apa.  Kalau tidak disebabkan Kiah Juling turun darah sewaktu melahirkan anak dengan memjemput Mak Tipah membidankan, tidak pernah pula orang-orang kampung syak apa-apa terhadap Bidan Enot.  Mereka percaya Bidan Enot tersinggung disebabkan Kiah Juling bersalin tidak menjemputnya.  Sebab itulah dia kirimkan polong mengganggu Kiah Juling.

Sewaktu orang-orang kampung menuduh dia memelihara polong, Bidan Enot datang juga mengambil mengkuang di rumah emak.  Kalau benarlah Mak Enot menyimpan polong tentulah dia tidak datang mengambil mengkuang.  Sudah menjadi pantang larang polong akan menjauhkan diri daripada duri mengkuang.

Emak juga sorongkan bujam sirih ke hadapannya dengan kunyit terlekat di mata kacip.  Memang Nenek Bidan Ibah sudah ingatkan emak mengenai pantang larang bidan yang gunakan polong akan mengelak daripada menggunakan kacip yang melekat kunyit.

Tetapi Bidan Enot selamba sahaja mencapai kacip tersebut.  Sambil menyapu mata kacip itu ke pahanya, dia terus mengkacip pinang.  Tidak ada satu pun pantang larang yang ditakuti olehnya.  Semenjak itu emak tidak bimbang apa-apa lagi terhadap Bidan Enot.

Kalau menetak mengkuang pun Bidan Enot akan masuk ke dalam rumpun memangkas belukar.  Tidak macam orang-orang lain yang memangkas di bahagian tepi sahaja menyebabkan belukar padat di tengah rumpun.  Memang emak sendiri senang hati kalau Bidan Enot yang datang menetak mengkuang.

Sewaktu dia masuk ke tengah rumpun menetak mengkuang inilah, Lajak Dibab datang menyerbu ke tengah halaman rumah saya.  Marah benar dia dengan menghunus parang memanggil Bidan Enot supaya keluar dari rumpun mengkuang.  Terkejut juga saya dengan sikap Lajak Dibab tiba-tiba sahaja mengaruk tidak bersebab.

“Apa halnya ni Abang Lajak?”  saya menjengah dari tingkap setelah dia becok melepaskan geram di tengah halaman.

Serba salah juga dia sebaik melihat saya terjongol di tingkap.  Dia sendiri tidak menduga saya balik kampung hujung minggu demikian.  Tetapi disebabkan hatinya menggelodak marah, Lajak Gempal tidak peduli apa lagi.  Dia tetap berkeras menuduh Bidan Enot yang sebabkan isterinya Kak Junah susah mahu bersalin.

“Orang tua tu ada polong,”  lantang suara Lajak Dibab menuding kearah rumpun mengkuang di hujung sawah dengan mata parang.

Sebaik mendengar Lajak Dibab memekik-mekik menuduhnya terus Bidan Enot keluar dari rumpun mengkuang.  Gementar juga dia dengan ancaman Lajak Dibab, tetapi tetap mara ke tengah halaman untuk mententeramkan lelaki berkenaan.  Tidak ada sebab Lajak Dibab ikutkan persaan sampai menuduh ikut sedap mulut sahaja.

“Polong apa yang aku simpan ni, Lajak?”  tersinggung juga Bidan Enot di tuduh dia demikian.

“Fasal aku tak jemput Mak Enot bidankan Junah, fasal itu gunakan polong?”  semakin marah Lajak Dibab merenung tajam kearah Bidan Enot.

Cepat-cepat pula saya turun ke tengah halaman apakala Lajak Dibab menerkam kearah Bidan Enot.  Segera emak menarik tangan Bidan Enot masuk ke pintu dapur menyelamatkan dia daripada serbuan Lajak Dibab.  Dalam saat demikian Lajak Dibab memang tidak boleh dihalang melakukan apa sahaja,

Puas juga emak menyabarkan dia, tetapi Lajak Dibab memboloskan diri masuk ke dapur.  Kemarahannya tidak dapat disekat-sekat lagi mahu melepaskan dendam yang bersarang di hati.  Dia percaya Kak Junah tidak lepas bersalin disebabkan polong Bidan Enot mengganggu.

Disebabkan Lajak Dibab tidak boleh disabarkan lagi, emak menyuruh Bidan Enot lari ke serambi rumah.  Terpaksa Bidan Enot ikuti nasihat emak lari ke serambi terus terjun ke tengah halaman berlindung di belakang saya.  Lajak Dibab tetap mengejarnya dengan jerit yang nyaring.

“Abang Lajak berhenti di situ,:  ujar saya sebaik sahaja dia terjun dari pintu hadapan ke tengah halaman.

Dia tidak peduli amaran saya.  Sambil menghayun mata parangnya Lajak Dibab mara mahu menerkam.  Saya berundur sedikit menolak Bidan Enot ke belakang lantas membacakan:

 Kaf, ha ya a’in sad, Ha mim a’in sim kaf, Yuhibbu nahum kahubbillahhi wal lazi na’amanu asyad-du hubban lillahhi,zuiyina linnasi hub-busy syahawatiminan-nisa-i walbanina walqanathirilo muqan tharah,

di samping mengisar tumit kaki ke tanah.

Sekaligus parang di tangan Lajak Dibab terpelanting jatuh dengan lututnya tiba-tiba terketar-ketar.  Belum sempat saya mendekati dia, Lajak Dibab jatuh terhumban dengan kakinya tergelincir.  Kemudian dia terjerit-jerit kesakitan memegang buku lalinya.

“Kenapa Abang Lajak?”  cemas juga saya disebabkan Lajak Dibab menggelupur tidak menentu di tanah.

Cepat-cepat saya bacakan Fatihah tiga kali dan menghembuskan ke ubun-ubunnya.  Sebaik dihembuskan dengan bacaan Fatihah, barulah Lajak Dibab terkebil-kebil mata mendongak kearah saya.

“Apa halnya ni?”  Lajak Dibab terpinga-pinga bagaikan tidak tahu apa yang telah berlaku.  Tetapi dia memegang buku lalinya yang tergeliat sewaktu badannya terhumban jatuh.  “Macam mana dengan Junah?  Rusuh juga hatinya apabila kenangkan isterinya sarat mengandung mahu melahirkan.

Tetapi kakinya tidak boleh melangkah.  Apabila berdiri tumitnya tidak boleh berjejak.  Terpaksa pula saya papah dia baik ke  serambi. Selepas itu Bidan Enot urutkan buku lalinya membetulkan urat yang terkehel.

“Junah tak lepas bersalin,”  gementar suara Lajak Dibab apabila diberitahu fasal dia mahu menghayun parang menetak Bidan Enot.  “Orang kata polong Mak Enot yang sebabkan Junah susah nak bersalin,”  beritahunya perlahan bercampur kesal.

“Kenapa tak bawa ke hospital aje?”  lantas Bidan Enot mengesyurkan.

“Kalau Abang Lajak bawa Kak Junah ke hospital lebih bermanfaat, dari pada buat perkara macam ni,”  saya menyalahkan dia disebabkan sikap liarnya yang hanya mengikut perasaan.

Tertunduk Lajak Dibab.  Buku lalinya yang membengkak mula terasa lega setelah diurut oleh Bidan Enot.

“Aku tak ada simpan polong, Lajak,”  tegas Bidan Enot terharu dengan tuduhan yang dilimparkan kepadanya.

“Itulah ikut cakap enggang makan buah beluluk,”  emak saya memarahi Lajak Dibab yang terburu-buru bertindak.  “Ikut cakap orang terjun masuk lubuk, kalau jadi apa-apa pada Kak Enot, kau juga ke tali gantung,”  terus emak saya meleteri lelaki yang mempunyai hubungan keluarga bau-bau bacang dengannya itu.

Lajak Dibab menggeleng-geleng kesal.  Dia tidak dapat menahan sabar melihat isterinya Kak Junah mengerang-ngerang sakit tidak lepas bersalin.  Di tengah keadaan demikian dia mendengar beberapa orang perempuan di dapur menuduh isterinya diganggu polong Bidan Enot.

Siapa sahaja tidak menjemput Bidan Enot, tentu akan menerima padah.  Kalau tidak sewaktu bersalin tersengkang nescaya selepas bersalin akan turun darah sampai lembik tidak bermaya.  Tentu Bidan Enot kecil hati disebabkan membelakangkan dia setelah orang-orang kampung boleh dapatkan bidan hospital.

Setelah kaki Lajak Dibab diurut, saya sendiri mengajak Bidan Enot ke rumah lelaki itu.  Ketika saya sampai Kak Junah sudah selamat melahirkan anak perempuan.  Terkejut juga mereka yang ada diatas rumah melihat saya bersama emak dan Bidan Enot beriringan dengan Lajak Debab terdengkot-dengkot melangkah akibat buku lali terkehel.

Semenjak peristiwa yang menimpa Lajak Dibab, itulah hubungan saya dengan Bidan Enot menjadi rapat.  Kalau dia mendengar saya balik ke kampung, nescaya dia datang jengahkan muka.  Terhinggut-hinggut dia mengayuh basikal semata-mata mahu bertemu dengan saya.

“Tapi, Mak Enot tak mahu lagi berbidan,”  jelasnya dengan senyum melebar.  “Kalau orang jemput pun Mak Enot tak mau,”  katanya seolah-olah berikrar tidak mahu lagi menjadi bidan selepas dituduh menyimpan polong.

Lajak Dibab sendiri yakinkan orang-orang kampung Mak Enot tidak menyimpan polong.  Di tengah masjid Bidan Enot memberitahu orang-orang kampung dia tidak tahu apa-apa pun mengenai polong.  Sama ada orang-orang kampung percaya atau tidak dengan pengakuannya, Bidan Enot tidak peduli.

“Ustaz anak Bilal Hud sendiri cakap tak ada polong,”  Lajak Dibab mengingatkan orang-orang kampung ketika bersemuka di tengah masjid.  Sidang Katib yang aturkan bersemuka di masjid supaya orang-orang kampung puas hati.

Sudah lama juga Sidang Katib memendam perasaan sengan sikap penduduk-penduduk kampong menuduh Bidan Enot.  Ayah saya juga tidak berani menentang arus tatkala semua orang menyalahkan bidan berkenaan.

Melah Tuban terpaksa dibawa ke hospital setelah tumpah darah apabila melahirkan anak disebabkan dia memanggil bidan klinik.  Emaknya Esah Sanggul percaya tentu Bidan Enot kirimkan polong untuk membalas dendam disebabkan tidak menjemput dia.  Kalaulah lambat dibawa ke hospital mereka percaya Melah Tuban tidak dapat di selamatkan.

Sewaktu tumpah darah Melah Tuban tidak tahu apa-apa pun berlaku terhadap dirinya.  Dia sekadar melihat bayang-bayang Bidan Enot menghirup darahnya yang tumpah laksana meneguk air di dalam piring.  Terasa senak perut Melah Tuban setiap kali bayang-bayang Bidan Enot menghirup darahnya.

Sebaik sahaja di masukkan ke wad, pihak hospital memerlukan darah bagi membantu.  Terpaksa pula Abang Rawi menawarkan diri semata-mata mahu menebus kesalahan emaknya menyimpan polong.  Memang marah juga Abang Rawi kepada emaknya disebabkan gejala polong merasuk di dalam kampung.

“Masjid ni rumah Allah, kalau Bidan Enot berbohong dia sendiri menanggung laknat Allah,”  jelas Sidang Katib berpaling pada ayah saya di sebelahnya.

“Kalau kita tuduh menuduh maknanya kita dipengaruhi oleh syaitan,”  ayah saya pula menambah sambil mengukuhkan sandar ke tiang tengah.  “Memang kerja syaitan hasut menghasut biar kita bermusuhan,”  tegas ayah setelah penduduk-penduduk kampung bersedia bersemuka untuk menyelesaikan kekeliruan.

“Dengan nama Allah, saya tak ada menyimpan polong,”  Bidan Enot memandang sekeliling untuk menyakinkan mereka yang menuduhnya selama ini.  “Diatas masjid saya berikrar tidak lagi mahu berbidan,” dia memberi keputusan setelah lama memikirkannya.

Bukannya mudah kalau dia bersetuju menjadi bidan.  Tengah malam pun di jemput orang, terpaksa turun dengan mata terpisat-pisat.  Dia mesti penuhi jemputan orang tatkala ibu sarat mengandung mengerang-ngerang mahu melahirkan anak.  Kalau dia terlambat bererti dua nyawa di dalam bahaya.

Tidak ada upah lumayan yang di harapkan kalau sekadar membidankan ibu bersalin.  Setelah bidan-bidan hospital mampu memberikan khidmat biarlah dia berundur daripada menjadi bidan.  Lainlah kalau mereka sendiri meminta bantuan dalam keadaan terdesak.

“Habis, kerja siapa sampai Melah tumpah darah?”  Mat Lasim suami Melah Tuban masih tidak puas hati dengan pengakuan Bidan Enot.

“Itu urusan Allah Abang Lasim,”  lantas saya mencelah.

“Ustaz tak kena, bolehlah cakap macam tu,”  semakin berang Mat Lasim apabila kata-katanya dibantah.

Saya tidak menyahut.  Kalau Mat Lasim berkeras tidak mahu mempercayai pengakuan Bidan Enot, memang saya tidak boleh memaksa.  Bagaimana saya mahu menuduh sesiapa menyimpan polong, setelah Bidan Enot secara ikhlas mengaku tidak memeliharanya?  Lagipun tidak berguna satu apa sekiranya mahu bertengkar dengan Mat Lasim yang tidak mahu menerima kebenaran.

“Engkau nak berunding ke, atau nak bertengkar datang ke sini, Lasim?”  cepat Lajak Dibab menuding jari telunjuk ke arah Mat Lasim apabila melihat saya menunduk tidak mahu melayani adiknya itu.

“Abang lupa pada yang jadi pada Kak Junah?”  soal Mat lasim keras.

“Aku tak lupa!”  Lajak Dibab mengisar duduk dengan mengangkat kepala lutut menungkat kebawah ketiak.  “Tapi Junah belum tiba resa nak beranak masa tu,”  katanya tidak percaya lagi fasal polong yang menyengkan isterinya mahu melahirkan anak.

Mendengus marah Mat Lasim dengan jawapan abangnya.  Mentang-mentang Lajak Dibab terhutang budi setelah kakinya terkehel diurut Bidan Enot, cepat sahaja dia berubah hati.  Marah sangat Mat Lasim dengan perubahan abangnya setelah menyimpan dendam semenjak Melah Tuban tumpah darah sampai seminggu terlantar di hospital.

Kalau ikutkan terhutang budi dia sendiri menerima bantuan darah dari pada Abang Rawi.  Tetapi dia percaya Abang Rawi rela memberikan darahnya disebabkan mahu menebus dosa emaknya.  Memang patut Abang Rawi menanggung hutang darah setelah emaknya mengancam penduduk-penduduk kampung dengan polong.

“Melah sendiri nampak bayang Mak Enot menghirup darahnya,”  Mat Lasim tetap yakin dengan igauan isterinya sewaktu terkeajang tidak sedarkan diri semasa tumpah darah berlebihan.

“Tengah tak sedar diri memang syaitan gemar merasuk!”  Lajak Dibab meninggikan suara memarahi adiknya yang masih berkeras.

Pertengkaran dua beradik itu semakin panjang menyebabkan Sidang Katib mula menampar lantai masjid.  Dia juga tidak dapat menahan sabar apabila masing-masing tidak mahu mengalah.

“Kita kemari nak buang yang keruh,”  suara Sidang Katib tergagap-gagap menahan rasa geram yang meluap-luap di hati.  “Kalau yang keruh tambah di keruhkan, bila nak selesai?”  dia mengepal tinju sambil menumbuk-numbuk tapak tangan sendiri.

“Kalau dah tak mahu hormatkan Tok Sidang, habis nak hormatkan siapa lagi?”  Lajak Dibab menggertap bibir.

“Tak hormatkan saya pun tak apa,”  sahut Sidang Katib menjuihkan bibir akibat terharu dengan sikap penduduk-penduduk kampung.  “Hormat Bilal Hud dengan ustaz pun cukuplah, lupakah pada tuan guru Tok Aji kita?”  hampir tenggelam suara Sidanbg katib hingga terasa bergetar di dadanya.

Masing-masing terdiam menunduk.  Cuma Mat Lasim duduk resah bagaikan serba tidak kena.  Sekalipun Bidan Enot membuat pengakuan di atas masjid, tetapi Mat Lasim sukar mahu menerimanya.  Isterinya Melah Tuban nampak betul bayang-bayang Bidan Enot tercegat di sisinya sewaktu dia menghadapi tumpah darah.

Sewaktu dibawa ke hospital pun bayang-bayang Bidan Enot terus melayang-layang mengikutnya.  Kalau tidak disebabkan bau ubat-ubat yang menyesak ke hidung ketika sampai di wad, tentu bayang-bayang tersebut mengekor juga hingga ke wad.  Tetapi bayang-bayang Bidan Enot termuntah-muntah sebaik sahaja terhidu bau ubat-ubat di wat hospital menyebabkan dia melayang jauh ke udara.

Berligar-ligar bayang Bidan Enot tidak dapat menyusup masuk ke dalam wad.  Bau ubat-ubat hospital itu tidak serasi dengan seleranya.  Puas juga dia mahu mencari katil Melah Tuban, tetapi bau ubat-ubat hospital sudah cukup memabukkan dia.  Masakan Melah Tuban berbohong apabila melihat bayang-bayang Bidan Enot melakukannya.

Sebab itu Mat Lasim tidak percaya walaupun Bidan Enot membuat pengakuan di atas masjid.  Orang yang menyimpan polong memang boleh berpura-pura.  Jangan kata membuat pengakuan di atas masjid, disuruh minum air basuh kaki dalam tempayan di tangga masjid pun dia sanggup lakukan.

“Habis, kau nak buat apa dengan mak Enot sekarang ni?”  Lajak Dibab pula tidak puas hati dengan sikap adiknya yang berterusan mahu berdegil.

Tetapi Sidang Katib tidak peduli sangat kalau Mat Lasim terus berdegil, asal sahaja seisi kampung menerima keputusan ramai.  Mereka semua percaya dengan pengakuan Bidan Enot fasal tidak menyimpan polong.  Masakan orang menyimpan polong berani masuk ke rumpun mengkuang berduri.

Mereka tahu Bidan Enot sering kali menetak mengkuang sampai masuk menyusup ke dalam rumpun.  Dia sendiri menyisip membuang duri sebelum  dilayur keapi.  Kemudian dijangka dan direndam ke sungai biar lembut boleh di lurut.  Semua dibuat sendiri oleh Bidan Enot sampai boleh dianyam jadi tikar terhampar.

“Kalau tak Angah selesaikan, sempai sekarang orang tuduh Mak Enot,”  berulang kali Bidan Enot tegaskan setiap kali bertemu saya.

Memang terharu benar dia apakala dituduh menyimpan polong itu,  Setelah dia kerapkali uzur, saya pujuk dia supaya tinggal bersama Abang Rawi.  Tidak baik tinggal bersendirian dengan tidak ditemani anak-anak.  Desebabkan saya sendiri memujuknya, Bidan Enot tidak membantah sangat.  Dia bersetuju tinggal bersama Abang Rawi tidak jauh dari rumah ayah saya.

Sewaktu padi di sawah tengah berbunga, kerapkali pula orang-orang kampung ternampak kilauan api berwarna-warna melintas ditengah malam.  Mereka percaya kilauan api berwarna warni itu memang polong yang mencuri semangat padi.  Saat ini mereka yang menyimpan polong melepaskan di tengah malam supaya semangat badi orang lain dibawa masuk ke kepuknya.

Hanya bidan sahaja yang seringkali mampu memelihara polong kerana mudah mencari makannya.  Mereka tahu polong memerlukan darah perempuan baru bersalin menjadi simahnya.

Tetapi mereka sekadar syak sahaja Bidan Enot menyimpan polong.  Mahu berkeras mendesak bertanya mereka bimbang juga Sidang Katib akan memarahi siapa sahaja yang membelakangkan keputusan di masjid.  Apalagi ayah saya yang menjadi imam di surau mereka sentiasa menyebelahi Bidan Enot.

“Kita cari aje Dukun Natar,”  Mat Lasim memujuk beberapa orang kawannya supaya gunakan khidmat dukun berkenaan.

Mail Lagak bersetuju dengan cadangan Mat Lasim.  Usup Bauk juga bersetuju.  Tidak bertangguh mereka menemui Dukun Natar setelah seisi kampung heboh melihat kilauan api polong berkelemayar di tengah malam.  Duku Natar juga pernah terserempak kilauan api berkenaan yang hanya nampak sekali imbas.

“Kalau Enot ada simpan polong, dia mesti ada tempayan cuka,”  jelas Dukun Natar terangguk-angguk.

Dia tahu benar fasal orang yang menyimpan polong untuk mencuri semangat padi.  Memadai dia kerjakan sawah tidak sampai setengah ekar, tetapi padinya akan penuh di kepuk.  Setiap kali musim padi mula berbunga, kepalanya akan tanggal daripada badan mengangkut tali perut berjurai-jurai.

Kilauan api berwarna warni itulah juraian tali perutnya yang melayang bersama kepala.  Ketika balik daripada mencuri semangat padi ini, dia perlu merendamkan tali perut berkenaan ke dalam tempayan cuka supaya kecut sebelum masuk semula ke dalam tubuh.

Sesiapa berani memusingkan tubuh yang kosong itu, nescaya tali perut berkenaan tidak dapat masuk semula ke tubuh.  Kalau dapat masuk pun mukanya akan berpusing ke belakang.  Memang Dukun Natar tahu sangat fasal amalan mereka yang menyimpan polong.

“Cuba perhatikan leher Enot, kalau ada kesan dikelar memang sah dia menyimpan,”  ujar Dukun Natar menyuruh mereka selidik betul-betul terlebih dahulu.

Setelah mendengar penjelasan Dukun Natar itu, Mail Lagak yang naik ke rumah Abang Rawi terus ke dapur mencari tempayan.  Kak Awa isteri Abang Rawi tidak syak apa-apa fasal adiknya sendiri masuk ke dapur.  Biarlah Mail Lagak mahu mencari apa pun di merata dapur, kerana dia tidak pernah pun menyimpan tempayan berisi cuka.

Puas pula Usup Bauk cam betul-betul leher Bidan Enot sama ada terdapat kesan seperti dikelar atau tidak.  Terkekeh-kekeh Bidan Enot ketawa disebabkan Usup Bauk ingin sangat melihat lehernya.  Tahu sangat dia tujuan Usup Bauk, kerana masih ada juga orang mengesyaki dia menyimpan polong.

Di depan Dukun Natar mereka berdua memberitahu tidak ada tanda-tanda yang disebut dukun berkenaan fasal Bidan Enot menyimpan polong.  Jangan kata tempayan berisi cuka, botol kecil berisi cuka pun tidak ada  di dapur Kak Awa.

“Kalau begitu memang betul Bidan Enot tak simpan polong,”  tegas Dukun Natgar menggeleng-geleng lemah.

Tertegun Mat Lasim dengan penjelasan Dukun Natar.  Kalau sudah Dukun Natar tidak percaya Bidan Enot menyimpan poplong. Masakan Mat Lasim boleh berdegil menuduhnya.

Ketika orang-orang kampung beberapa kali terserempak kilauan api berwarna warni melintas kawasan sawah,  Abang Rawi menjadi rusuh apabila Kak Awa tiba-tiba terkancing gigi.  Mulut Kak Awa berbuih-buih dengan bibirnya lebam biru.

Cepat-cepat Bidan Enot menyuruh Abang Rawi jemputkan ayah saya.  Mail Lagak yang tergesa-gesa datang setelah diberitahu mengenai kakaknya tidak sedarkan diri, memang menuduh kak Awa dirasuk polong.  Tetapi dia tidak berani mahu memanggil Dukun Natar setelah Abang Rawi menjemput ayah saya.

Disebabkan saya balik ke kampung, lantas saya ikut ayah bersama ke rumah Abang Rawi.  Berita Kak Awa tiba-tiba terkancing gigi merebak ke rumah jiran-jiran.  Mereka tidak bertangguh datang menjengah setelah mendengar Kak Awa sakit.  Masing-masing wajib menziarah jiran sedang terlantar sakit supaya hidup tidak menjadi kera sumbang.

“Ustaz pun ada,”  tegur Lajak Dibab sebaik sahaja ternampak saya naik ke rumah bersama ayah.

“Angah tengoklah Kak Awa ni sama,”  lantas Bidan Enot menarik bahu saya mara mendapatkan Kak Awa terkejang keras dengan gigi terkancing.

Saya duduk di hujung kaki Kak Awa apabila ayah duduk di sisinya sambil menggamit Abang Rawi.  Dia menyuruh Abang Rawi meletakkan tapak tangan ke dada Kak Awa, kemudian terus membacakan Fatihah tiga kali, diikuti dengan surah al-Ikhlas sebelas kali.

Setelah ayah mula membacakan Ayatul Kursi, saya mengisar tapak tangan dengan membacakan: Huwallah-hul lazi-laillahha illa-huwa ‘alimulghai bi wasy-syahadata huwar Rahmannur Rahim, di ulangi tujuh kali dan dihembuskan ke ibu kakinya.  Apabila melihat ibu jari kaki Kak Awa bergerak-gerak lantas saya tenggelam di dalam zikir.

Kemudian saya membiarkan siri jauh terapung melayang ke dalam kegelapan malam.  Sewaktu melintas angin kencang yang menyerbu, saya melihat juraian usus membelit tubuh Kak Awa.  Dari kerlapan lampu berwarni warni di celah usus berjurai-jurai itu, terjongol muka hodoh berlumuran darah di kepala.

Jauh di bawah saya melihat ayah menghembus keudara hingga berterjahan anak panah berapi menusuk usus yng berjurai-jurai.  Darah di kepala yang mengangkut usus berjurai-jurai itu semakin banyak meleleh hingga menitik ke tubuh Kak Awa.

Sayup-sayup di bawah saya mendengar suara ayah azan hingga bergema menggegar di udara.  Setiap kali azan itu bergema kepala yang melayang membawa usus berjurai-jurai itu retak-retak hingga merekah memercik darah.  Tetapi ususnya tetap melilit tubuh Kak Awa tidak mahu dilepaskan.

Terkemamar juga kepala yang tertanggal daripada tubuh itu sebaik melihat saya di dalam lingkaran cahaya putih mengepungnya hingga tidak dapat bergerak ke mana.  Setiap kali dia cuba melepaskan diri angin kencang menolaknya hingga berpusu-pusu seperti terasak di dalam balang kaca.

“Kalau kau nak pergi tinggalkan Awa!”  jerkah ayah memberi amaran dari bawah.

“Macam mana aku nak pergi, ustaz dah kurung aku,”  gerutu kepala yang tergantung bersama ususnya melilit tubuh Kak Awa.

“Kau nak bawa Awa ke mana?”  soal ayah dengan membacakan Ayatul Kursi berterusan.

Kepala itu meggeliat-geliat kerana ususnya melecur bagaikan disambar besi panas.  Dia berligar-ligar bagaikan terkurung dalam balang kaca mahu mencari jalan keluar.  Setiap kali dia merempuh dinding seperti balang kaca itu mukanya melecet bagaikan tergesel minyak panas mendidih.

“Kenapa seksa aku macam ni?”  rayu kepala yang tidak bertubuh ini dengan keadaan berlumuran darah.

“Sebab kau nak menyusahkan orang,”  bentak ayah sayup-sayup dari bawah.

“Ustaz lepaskan aku,” terletar-ketar suaranya meminta belas kesihan daripada saya.

Tetapi dia serba salah kerana saya tidak pun mahu menjawab.  Setiap kali mengerling kearah saya kilat akan memancar dengan petir memanah ke kepala.  Ubun-ubunnya berkecai disinggahi panah petir, kemudian bertaup semula sekalipun darah semakin banyak berlumuran.

“Ustaz ni tak sama dengan ayahnya Bilal Hud,”  kepala tertanggal daripada tubuh tergigil-gigil menahan kesakitan.  “Ustaz ni langsung tak mahu berunding,”  katanya membiarkan sahaja kepalanya terus disinggahi panahan petir.

Perlahan-lahan lilitan usus itu melepaskan Kak Awa.  Cepat-cepat saya menyambar tubuh Kak Awa terus mambawanya melintasi desus angin yang bertiup kencang.

Sebaik sahaja saya merasakan bersila duduk di hujung kaki Kak Awa, saya melihat dia menangis teresak-esak dangan kepala di bahu Abang Rawi.

“Macam mana Bilal?”  soal Bidan Enot setelah yakin Kak Awa pulih sekalipun masih ketakutan memeluk leher Abang Rawi.

“Entahlah, Tanyalah pada Angah,”  ayah sengaja bergurau.

Esoknya pagi-pagi lagi mereka yang menghalau burung di tengah sawah terkemamar apabila melihat kepala orang tersangkut di rumpun mengkuang dengan perutnya berjurai-jurai tersangkut di duri.  Matanya terkebil-kebil memerhati orang yang mula berkumpul di rumpun mengkuang berkenaan.

Sidang Katib juga segera berkejar ke hujung sawah sebaik sahaja diberitahu mengenai kepala tersangkut itu.  Mereka di kampong itu tidak kenal dengan kepala berkenaan, disebabkan tidak pernah melihatnya di situ.

“Tak boleh di ambil macam ni aje kepala tu,”  Dukun Natar mengingatkan sebaik sahaja Mat Lasim mahu menetak dengan mata parang untuk melepaskan geram.  “Kepala syaitan mesti ditangkap ikut caranya,”  katanya meminta berhati-hati.

Sewaktu orang-orang kampung gempar di ujung sawah fasal kepala tertanggal daripada tubuh tersangkut di rumpun mengkuang dengan ususnya lekat di duri saya tidak sempat menjengahnya.  Pagi-pagi lagi saya turun meninggalkan rumah balik ke tempat kerja.

Ayah juga tidak ikut sama melihat Dukun Natar uruskan menangkap kepala yang tersangkut di rumpun mengkuang itu.  Pagi-pagi lagi ayah sudah mengajar.  Tidak sempat dia mahu bersama-sama sekali pun Sidang Katib sendiri memberitahu dia mengenai kepala tersebut.

Setelah matahari memancar mereka melihat kepala berkenaan mengecut menjadi kain buruk segumpal sahaja.  Setelah bertukar menjadi kain buruk itulah Dukun Natar membakarnya sampai hangus.  Seminggu selepas itulah mereka mendengar di kampung lain ada orang mati dengan tidak berkepala.

Sejak itu Mat Lasim tidak berani lagi menuduh Bidan Enot fasal menyimpan polong.  Ketika anak kecilnya mengidap burut sebesar telur ayam, tidak bertangguh Mat Lasim menemui Bidan Enot.  Terharu benar dia apabila Bidan Enot tidak menolak buatkan minyak daripada kepala nyiur.  Minyak itu disapukan ke daun kecubung dan dibalutkan ke burut tersebut,

Tiga pagi berturut-turut Bidan Enot urutkan burut anak Mat Lasim.  Setelah diurut itulah anaknya tidak lagi berjalan terkengkang-kengkang mengampu burut.  Dalam masa tiga pagi sahaja burut anak Mat Lasim seruh sampai sembuh betul.

Menitis juga air mata saya sewaktu membacakan Yassin di kubur Bidan Enot sewaktu menziarahi.  Sekalipun saya tidak dapat memenuhi hajatnya ketika mahu menghembuskan nafasnya, saya tetap tidak merasa terkilan.  Siapapun boleh membacakan Yassin dengan tidak payah mengharapkan orang-orang tertentu sahaja.


SELESAI