Sunday, November 29, 2015

152. BIDAN BERTUKAR TUJUH JELMAAN


SEKALI PUN berkumur-kumur akibat darah mengalir pada gusi Naemah mula berhenti, tetapi darah berkenaan bercampur juga dengan liur semasa dia meludah ke tanah. Memang terasa pedih pada gusinya semakin hilang, namun Naemah tetap rusuh disebabkan darah tidak berhenti memercik di celah gigi.
Terpaksa pula Naemah berkumur-kumur terus biar habis kering di pangkal gigi darah yang memercik. Manalah Mail Ketir dapat bersabar kalau isterinya berterusan sahaja berkumur-kumur. Naemah juga rimas tercegat pada sink di dapur kerana bimbang biarkan liurnya bercampur dengan darah.
Disebabkan sejak beberapa hari Naemah mengalami gusi berdarah, sengaja saya ajak anak saudara saya Mat Jimin ikut sama menjengah. Sebaik sahaja Mat Jimin naik ke rumah tiba-tiba sahaja tubuhnya berputar laksana gasing tengah hidup uri. Terkejut benar Mail Ketir apabila melihat tubuh Mat Jimin berputar tidak bersebab.
Sekali gus pula Naemah tersengih-sengih mengerling Mat Jimin dengan membiarkan mulutnya berkumur-kumur darah. Apabila saya menepuk lantai tiga kali, barulah Mat Jimin tidak berputar tubuh. Dia sekadar tersenyum lantas menekupkan dua tangan ke telinga.
Tatkala Mat Jimin laungkan azan tujuh kali, serta merta Naemah menekup mulut terketar-ketar menahan sakit gigi tidak menentu. Dia merungut-rungut dalam keadaan resah tidak boleh bertahan duduk. Terkial-kial Naemah mahu bingkas bangun, tetapi tenaganya bagaikan lemah hingga tergagau-gagau mencari tempat berpaut.
"Hah, kena sakit gigi semula!" keluh Mail Ketir apabila melihat isterinya berguling-guling badan menahan sakit gigi setelah darah tidak mengalir lagi di celah gusi. "Apa salahnya tu, Jimin?" terkebil-kebil mata Mail Ketir memerhati Mat Jimin mengisar tapak tangannya.
"Tanyalah ustaz, mana saya tahu," tersengih-sengih Mat Jimin mencebek bibir lantas membacakan al-Fatihah tiga kali.
"Sakit gigi macam mana awak ni, Naemah?" merungut Mail Ketir apabila kenang sakit gigi yang dihidapi isterinya bagaikan sengaja mahu perolok-olokkan dirinya.
"Awak tak tahu ke, saya ni sakit!" bentak Naemah mendengus marah lantas memberi isyarat menyuruh usir saya bersama Mat Jimin.
"Ustaz dengan Mat Jimin ni nak ubatkan awak, kalau betul awak tu sakit," sahut Mail Ketir ingatkan isterinya supaya tidak ikutkan sangat kemarahan yang mendongkol dalam masa sakit gigi kian berdenyut-denyut.
Segera saya mencuit bahu Mat Jimin supaya tidak melayani apa sahaja yang dirungutkan Naemah. Lebih baik teruskan sahaja membaca doa daripada melayani perempuan berkenaan tengah dirasuk gangguan. Masakan Naemah boleh merungut-rungut sekiranya fikiran dia waras tidak diganggu syaitan.
Ketika ini Mat Jimin perlahan membacakan:
Allahhu yatawaffal anfusahina mau-tiha wallad lam-tamut fi-manamiha fayumsi-kullati qadho 'alaihal-mauta wayursilul ukhro ila-ajalin musammam, inna fizalika la-ayatin liqaumiy yatafakkarun.
Apabila Mat Jimin rebahkan badannya ke lantai, saya melihat dia melayang ke udara bagaikan helang mahu menyambar. Sewaktu dia menjunam turun di kawasan hutan belukar, Mat Jimin terus sahaja melompat ke tengah halaman pondok berdindingkan ijuk enau. Atapnya juga diperbuat daripada ijuk tersusun bagaikan rambut mengurai panjang.
Tatkala dia hentakkan tumit tiga kali ke tanah, pondok berdinding ijuk itu bergegar seolah-olah dirempuh sekumpulan gajah liar. Tidak bertangguh pula perempuan tua dengan rambut memutih terjongol di muka pintu. Bibir perempuan tua itu pecah-pecah hingga memercik darah.
"Aku ni sakit, buat apa kamu ke sini?" rungut perempuan tua itu mengetuk-ngetuk tongkat pada bendul pondok.
"Kamu sakit tanggunglah sendiri!" jerkah Mat Jimin menggertap bibir. "Kenapa kamu ganggu Kak Naemah?" dia memberi amaran supaya perempuan tua itu berundur jauh. Ketika ini bayangan Naemah bagaikan duduk bertimpuh di tengah pondok berkenaan.
"Aku nak jaga Naemah ni, jangan sampai dia mengandung!" perempuan tua itu mengusap-usap bibirnya yang pecah berdarah laksana kulit langsat merekah di musim kemarau.
 "Apa salahnya Kak Naemah mengandung?" bentak Mat Jimin selanjutnya memberi amaran.
Tetapi segera saya memberi isyarat supaya tidak layani jelmaan perempuan tua tercegat di pintu pondok. Apalah gunanya berbalah dengan jelmaan berkenaan yang sengaja mahu melalaikan Mat Jimin. Sebab itu saya menyuruh dia bacakan surah al-lkhlas 17 kali, Ayatul Kursi 17 kali dan diikuti dengan beristighfar 100 kali.
Sekali gus angin bertiup kencang menyebabkan serpihan besi tajam menerjah ke tubuh perempuan berkenaan. Dia terjerit-jerit apabila giginya tercabut akibat terjahan besi tajam yang tercancang pada tubuhnya. Bibirnya juga rompong apabila disinggahi rejaman besi tajam yang menerjah bertubi-tubi.
Dalam masa perempuan tua itu berguling-guling menahan kesakitan akibat gigi tercabut, Naemah juga berguling-guling di Iantai akibat sakit gigi berdenyut-denyut. Dia menggelepar terketar-ketar hingga tangan tergagau-gagau mahu berpaut ke mana sahaja.
Apabila Mat Jimin duduk semula mengusap-usap muka, Iantas dia beritahu saya mengenai jelmaan perempuan tua yang dilihatnya terserempak pada pondok berdinding ijuk enau. Saya sekadar mengangguk perlahan apabila kenang bayangan berkenaan menjelma hingga saya cam sangat raut wajah perempuan tua berambut putih itu.
Tertegun Mail Ketir sebaik sahaja diberitahu oleh Mat Jimin mengenai perempuan tua yang berkeras tidak mahu Naemah mengandung. Memang dia hairan kenapa pula gigi isterinya sakit berdenyut-denyut berterusan kalau takat mandul tidak mengandung sejak kahwin bertahun-tahun.
"Kalau begitu Naemah ni kena rasuk ke, ustaz?" Mail Ketir mula mengesyaki isterinya dirasuk puaka sejak dari kampung lagi.
"Awak tanyalah pada Mat Jimin," ujar saya mengerling anak saudara saya yang tersengih-sengih.
"Macam mana pandangan Ustaz Jimin?" bagaikan tidak sabar Mail Ketir mahu mengetahui keadaan isterinya Naemah yang sering kali sangat diganggu sakit gigi. "
Entahlah, bukan mudah nak tafsirkan!" jelas Mat Jimin serba salah apabila didesak Mail Ketir demikian.
"Tapi, tanah sempadan bapa mentua saya di kampung memang berpuaka!" lantas sahaja Mail Ketir ungkit mengenai sempadan tanah bapa mentuanya yang dilintasi parit memanjang dari hulu anak air di kaki bukit.
"His, jangan percaya sangat dengan puaka tu, Abang Mail," segera Mat Jimin. ingatkan Mail Ketir supaya tidak dipengaruhi perkara puaka yang disyaki penduduk-penduduk kampung bapa mentuanya.
Tetapi Mail Ketir memang mendengar orang-orang kampung bapa mentuanya beritahu mengenai parit yang melintasi sempadan tanahnya. Kerapkali mereka ternampak perempuan tua menginsut punggung di tengah parit asal sahaja hujan panas turun menyerak. Kalau perempuan tua itu mudik ke hulu nescaya sesiapa yang terserempak akan mengidap sakit lumpuh tidak boleh berjejak kaki.
Kalau terserempak tatkala perempuan itu menghilir, selalunya wanita yang melihatnya akan mandul tidak boleh melahirkan anak. Lantas Mail Ketir menuduh isterinya pernah terserempak jelmaan perempuan lumpuh yang menghilir parit di sempadan tanah ayahnya. Seingat-ingat Naemah memang tidak pernah dia terserempak perempuan tua berinsut punggung di dalam parit berkenaan.
 Lagi pun Naemah tidak peduli sangat fasal puaka parit berkenaan, apabila orang-orang kampung bimbang sangat dengan jelmaan perempuan tua berinsut punggung. Manalah Naemah percaya mengenai jelmaan berkenaan setelah alam belajar di sekolah agama. Sebab itu dia tidak mahu ungkit apa-apa mengenai dirinya mandul disebabkan terserempak jelmaan perempuan yang menghilir parit di sempadan tanah.
Memang dia diberitahu emaknya mengenai Oneng Yut yang dipaksa suaminya membasuh kain hitam biar bersih sampai putih. Disebabkan Oneng Yut tidak dapat memutihkan kain hitam berkenaan, suaminya telah menendang perutnya tatkala tengah sarat mengandung.
Ketika ini suaminya Tok Dagun sudah berkahwin lain. Sengaja Tok Dagun mahu menyakiti hati Oneng Yut apabila menyuruhnya membasuh kain hitam biar sampai putih macam kapas. Sebaik sahaja Oneng Yut tidak dapat membasuh kain berkenaan tidak bertangguh dia menendang perut Oneng itu hingga tersembam jatuh.
Terpaksa Utih Manirah membantu madunya itu setelah keadaannya bertambah tenat. Memang anak dalam kandungan Oneng Yut mati sebelum sempat dilahirkan. Kalau tidak dibantu Bidan Sumih sudah tentu Oneng Yut mengalami kesukaran melahirkan bayi yang sudah terkaku mati di dalam kandungan.
Tetapi Bidan Sumih bukan takat mahir bidankan sesiapa sahaja ibu sarat mengandung, malah boleh menolak bayi yang mati dalam kandungan keluar hingga melambak jatuh ke Iantai. Setelah bayi yang mati dalam kandungan itu ditolak keluar, memang Bidan Sumih tidak benarkan Oneng Yut balik semula ke rumah suaminya Tok Dagun.
Marah benar Tok Dagun disebabkan Bidan Sumih sengaja lindungkan isterinya Oneng Yut hingga tidak dibenarkan balik ke rumah. Perkara dia tendang perut isterinya bukan urusan Bidan Sumih. Kalau isterinya tidak mematuhi perintahnya supaya membasuh kain hitam biar sampai menjadi putih, dia berhak menghukum Oneng Yut.
"Kamu tak berhati perut, Dagun!" bentak Bidan Sumih apabila lelaki itu berkeras mendesak supaya isterinya dibenarkan balik jejak kaki ke rumah. Tetapi Bidan Sumih tidak mahu melepaskan Oneng Yut setelah anak saudaranya mengalami kesakitan akibat perut ditendang tatkala tengah sarat mengandung.
"Tapi, Yut isteri aku, siapa pun tak berhak sembunyikan dia," ujar Tok Dagun marah benar apabila Bidan Sumih tidak benarkan Oneng Yut tinggalkan rumah-nya.
"Kalau isteri kenapa kamu layan macam hamba?" Bidan Sumih juga terkilan dengan sikap Tok Dagun bersikap garang terhadap Oneng Yut.
"Dia tak tahu cuci kain!" jelas Tok Dagun sengaja mahu pertahankan tindakannya menendang perut perempuan berkenaan.
"Kalau dia tak tahu cuci kain, kenapa kamu sendiri tak cucikan?" sahut Bidan Sumih ingatkan Tok Dagun supaya tidak berkeras sangat mahu melawannya.
"Takkan kerja aku nak cuci kain!" sengaja Tok Dagun berdalih lantas mendesak supaya Oneng Yut . balik semula ke rumah.
Disebabkan Bidan Sumih berkeras tidak benarkan anak saudaranya jengah muka tatkala Tok Dagun menyerbu ke situ, tidak bertangguh lelaki itu menerpa naik. Dia terus meluru ke tengah rumah mahu mengheret isterinya balik .semula ke rumah setelah melarikan diri berlindung pada Bidan Sumih.
Semasa Oneng Yut mengerang-erang sakit akibat perut ditendang kuat, hampir juga dia pitam apabila mata berbinar-binar. Sebab itu Utih Manirah menjadi bimbang dengan keadaannya. Segera Utih Manirah mendesak beritahu ke mana dia harus berlindung biar suami mereka tidak dapat mengganggu.
Lantas Oneng Yut meminta madunya papah dia ke rumah Bidan Sumih. Setelah bayi dalam kandungan dapat dikeluarkan, Bidan Sumih rahsiakan daripada Tok Dagun fasal Oneng Yut berlindung di rumahnya. Memang Tok Dagun tidak balik ke rumah setelah tercegat di gelanggang sabung ayam. Kadangkala sampai beberapa malam dia tidak balik ke rumah sekalipun menyedari isterinya Oneng Yut tengah sarat mengandung.
Dia tidak peduli Oneng Yut mengerang-erang selepas perutnya ditendang kuat semata-mata tidak cuci kain hitam sampai menjadi putih. Sengaja dia mahu mendera Oneng Yut apabila perempuan itu ungkit fasal bersabung ayam tidak akan menjadikan mereka kaya raya.
"Selagi kain hitam tak boleh jadi putih, selagi itulah main jadi tak boleh jadi kaya!" rungut Oneng Yut menahan perasaan mendongkol disebabkan Tok Dagun asyik habiskan masa di gelanggang sabung ayam.
Sebab itu Tok Dagun apabila diejek demikian. Lantas dia menyuruh Oneng Yut cuci kain hitam ke sungai biar sampai jadi putih. Manalah tahu dia akan bertukar menjadi kaya raya selepas kain hitam yang dicuci menjadi putih laksana kain kapan mayat.
Sekalipun ditegah oleh Utih Manirah supaya tidak lakukan perbuatan sia-sia, tetapi Oneng Yut tetap berkeras mahu buktikan selagi kain hitam yang dicuci tidak bertukar menjadi putih selagi itulah Tok Dagun berjudi tidak akan menjadi kaya raya. Bertambah marah Tok Dagun apabila kain hitam yang dicuci itu tidak bertukar menjadi putih, laksana ditendangnya perut Oneng Yut tengah sarat mengandung.
Terus sahaja ditinggalkannya Oneng Yut menggelepar di tengah rumah setelah ditendang melepaskan geram. Dalam keadaan Oneng Yut mengerang kesakitan inilah Utih Manirah datang membantu. Dia papah Oneng Yut ke rumah Bidan Sumih setelah perempuan itu mendesak .mahu berlindung di rumah emak saudaranya.
Memang Bidan Sumih menyedari anak dalam kandungan Oneng Yut mati akibat ditendang kuat. Bukan mudah mahu keluarkan anak yang sudah mati dalam kandungan itu kalau tidak dibantu. Lainlah kalau melahirkan anak macam perempuan bersalin setelah cukup masa dan ketikanya, bila-bila sahaja mudah diteran keluar.
Tentu Oneng Yut juga dalam bahaya sekiranya anak yang mati dalam kandungan itu tidak dapat ditolak keluar. Sebab itu Bidan Sumih teguk air tiga kali, kemudian disemburkan pada perut Oneng Yut. Kemudian disuruhnya Oneng Yut berbaring dengan mengereng ke kanan, terus dilangkahnya tujuh kali. Ketika ini Bidan Sumih membacakan jampi serapah:
Tulang badar tulang maliku, tiga tulang halus, daging berkuak darah beralur, urat mina bersusup beralur kala, yang beku minta pecahkan, yang kusut minta usaikan, ah, bukan aku yang punya tawar, aku tawarkan ikan nun, berkat hu...
Tiga kali ditepuknya perut Oneng Yut, sekali gus perempuan itu terjerit kuat. Ketika inilah bayi yang sudah tidak bernyawa itu lahir dengan kesan lebam di lehernya. Memang Bidan Sumih tidak beritahu apa-apa Tok Dagun setelah anak yang mati dalam kandungan itu dikebumikan.
Biarlah Tok Dagun tidak menatap anak berkenaan setelah lehernya lebam akibat terkena tendangan kuat. Kalau Tok Dagun tidak menyimpan perasaan belas kasihan kepada isteri sendiri tengah sarat mengandung, apalah gunanya dia beritahu mengenai kejadian yang mehimpa Oneng Yut.
Tatkala balik ke rumah setelah kalah bersabung ayam, bertambah marah Tok Dagun apabila mendapati isterinya tidak menyambutnya. Lantas dia rentap rambut Utih Manirah supaya beritahu di mana Oneng Yut bersembunyi. Tidak patut sesiapa sahaja isterinya tinggalkan rumah dalam masa dia bersabung ayam.
Akibat rambutnya direntap kuat, terpaksa juga Utih Munirah beritahu mengenai Oneng Yut berlindung di rumah Bidan Sumih. Apalagi perempuan itu perlu diurut tiga pagi berturut-turut setelah melahirkan anak yang mati dalam kandungan. Memang Utih Manirah berharap hati suaminya akan menjadi belas kasihan sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian yang menimpa Oneng Yut.
Tetapi Tok Dagun bertambah marah disebabkan Bidan Sumih sengaja mencampuri urusan dia sekeluarga. Perkara dia marahkan Oneng Yut, siapa sahaja tidak boleh ambil tahu sekalipun ibu saudaranya Bidan Sumih. Tidak bertang-guh dia menyerbu ke rumah Bidan Sumih mendesak Oneng Yut balik segera ke rumah. Oneng Yut mesti cuci juga kain hitam biar sampai menjadi putih supaya dia menang setiap kali bersabung ayam.
Ketika Tok Dagun naik ke rumah tiba-tiba sahaja Oneng Yut tidak kelihatan di mana-mana. Hairan juga Bidan Sumih disebabkan anak saudaranya masih lemah akibat baru sahaja bersalin lahirkan bayi yang mati dalam kandungan. Tentu Oneng Yut masih lemah disebabkan memerlukan rawatan rapi dengan diurut tiga pagi berturut-turut.
"Ke mana pula Si Yut ni?" gerutu Bidan Sumih setelah diberitahu Tok Dagun tengah membentak marah mengenai Oneng Yut tidak ada berbaring di tempat tidur.
"Tentu dia balik ke rumah ikut jalan dapur," sahut Tok Dagun dapat mengagak tentu isterinya sudah balik ke rumah ikut pintu belakang sebaik sahaja dia tercegat di halaman rumah.
"Memang kamu tak berhati perut, Dagun!" lantas Bidan Sumih memarahi lelaki itu yang sengaja mahu tunjuk keras kepala. "Kamu ingat, kalau apa-apa terjadi pada Yut, aku takkan berdiam diri," tegas Bidan Sumih ingatkan Tok Dagun dengan amaran akan bertindak balas.
 Tok Dagun tidak peduli apa, sekalipun dia menyedari memang Bidan Sumih boleh membalas dendam sekiranya tersinggung. Tahu sangat dia mengenai Bidan Sumih tidak dapat menahan sabar dengan sikap Ludin Kaya yang mengidap sakit mata meminta bantuan perempuan itu.
Mengerang-erang Ludin Kaya datang ke rumah Bidan Sumih tunjukkan matanya yang merah hingga tidak boleh celik terkena silau matahari. Sebab itu Bidan Sumih menyuruh dia datang tiga pagi berturut-turut. Ludin Kaya dikehendaki duduk berjuntai kaki pada anak tangga, lantas diletakkan tempurung cupak tertangkup di atas kepala. Bidan Sumih sekadar mengerat tiga butir beras di atas buntut cupak itu, hingga terasa pada Ludin Kaya matanya dikikis dengan hujung pisau.
Berturut-turut tiga pagi Bidan Sumih kerat tiga butir beras di atas cupak yang ditangkupkan atas kepala, sakit mata yang dihidapi Ludin Kaya pulih serta merta. Tetapi Ludin Kaya tuduh penyakit mata yang dihidapinya sudah beransur sembuh tatkala menemui Bidan Sumih. Kalau tidak menjengah muka ke rumah Bidan Sumih pun sakit matanya akan sembuh setelah dititikkan dengan air embun setiap pagi.
 Memang tersinggung Bidan Sumih dengan sikap Ludin Kaya mahu perkecilkan dirinya. Dia tidak peduli kalau Ludin Kaya tidak mahu membayar pengeras seekor ayam selasih, sehelai kain, sebilah pisau dan duit dua puluh lima sen, tetapi perkecilkan dirinya samalah macam menghina guru yang turunkan amalan tersebut.
Lantas Bidan Sumih Ietakkan dua biji limau di atas busut ditusuk dengan lidi. Sekali gus pula Ludin Kaya terkinja-kinja melompat akibat sakit matanya menjadi bentan hingga kabur tidak boleh melihat apa-apa. Tidak bertangguh pula isterinya mengajak ke rumah Bidan Sumih.
Merayu-rayu isteri Ludin Kaya meminta belas kasihan Bidan Sumih supaya pulihkan semula keadaan suaminya. Memang kesal benar dia dengan perbuatan suaminya yang menuduh Bidan Sumih semata-mata tidak mahu membayar duit pengeras. Tahu sangat mereka seisi kampung fasal Ludin Kaya yang kedekut kalau fasal mahu hulurkan wang kepada sesiapa.
Ludin Kaya sendiri berjanji akan bayar pengeras asal sahaja matanya tidak mengalami sakit berterusan. Tetapi Bidan Sumih tidak peduli sangat perkara duit pengeras dibayar atau tidak. Dia sekadar mahukan Ludin Kaya tidak lagi kedekut dalam masa kehidupannya kaya raya di dalam kampung.
Sebab itu Tok Dagun bimbang juga sekiranya Bidan Sumih berdendam demikian terhadap dirinya. Tetapi dia juga tidak mahu dirinya dipermainkan hingga tunduk mengaku kalah. Lainlah Ludin Kaya yang mudah mengalah setelah matanya sakit tidak boleh terkena silauan cahaya matahari. Masakan dirinya sama dengan Ludin Kaya yang ditundukkan oleh Bidan Sumih.
Seisi kampung tahu mengenai Tok Dagun setiap kali bersabung ayam di mana-mana gelanggang. Apabila berani bersabung ayam sudah tentu dada cukup diisi dengan amalan. Masakan dia boleh tunduk menyerah kalah kalau tidak bersebab apabila dicabar tatkala bersabung di tengah gelanggang.
Biarlah ayam sabung menggelepar akibat tembolok ditusuk taji. Tok Dagun tidak akan menyerah kalah. Dia akan periksa sendiri susuk taji ayam lawan sama ada dibubuh racun ipuh atau tidak. Kalau dilumak dengan racun ipuh tentulah ayamnya mudah lemah tidak bertenaga sebaik sahaja terguris pada kulit. Lama kelamaan ayam sabungnya tidak mampu bertahan apabila diserbu berulang kali.
Asal sahaja ayam lawan tajinya dilumak racun ipuh, tidak bertangguh Tok Dagun menghunus parang. Dia akan penggal leher ayam sabung lawan biar tergotek menggelepar di tanah. Cubalah lawan datang menyerbu dalam masa tumit sudah dihentak tiga kali ke tanah!
Sudah tentu lawannya akan terkinjal-kinjal menahan sesak nafas sekiranya berkeras mahu menyerang. Bila-bila Tok Dagun akan mengharnbur tinggi melepasi pucuk kelapa saka hingga kakinya berjejak pada pelepah. Seisi kampung tahu mengenai ketangkasan dia boleh melompat tinggi dengan berjejak pada dahan pokok kalau diserbu musuh.
Sebab itu Tok Dagun tidak bimbang siapa pun mahu mencabarnya. Apabila dia berkahwin sampai empat orang isteri pun, tidak siapa berani membantah. Utih Manirah tengah bertunang pun Tok Dagun larikan setelah dia mengambil keputusan mahu berkahwin. Memang tunang Utih Manirah tidak berani angkat muka setelah perempuan itu dilarikan oleh Tok Dagun.
Sebab itu Tok Dagun tidak bimbang apa-apa sekalipun diberi amaran oleh Bidan Sumih. Tatkala dia balik ke rumah memang Oneng Yut tidak ada di rumah. Puas dibentaknya Utih Manirah, isteri mudanya juga tidak melihat Oneng Yut balik ke rumah. Lantas Tok Dagun jengah ke sungai kerana mengesyaki isterinya terus sahaja ke sungai membasuh kain hitam.
Ketika Tok Dagun tercegat di tebing sungai, dia sekadar melihat beberapa helai kain berlonggok di dalam timba. Memang ada kesannya Oneng Yut membasuh ke situ, sekalipun dia terconggok di atas pelantar di tebing sungai. Lama Tok Dagun menunggu di tebing sungai, tetapi Oneng Yut tidak juga terjongol.
Sebaik sahaja diberitahu pada Bidan Sumih, marah sangat dia disebabkan Oneng Yut hilang di sungai tatkala membasuh kain. Tentu anak saudaranya ketakutan sebaik sahaja Tok Dagun menyerbu. Tok Dagun masih berkeras mendesak Oneng Yut basuhkan kain hitam sampai menjadi putih biar dia mudah menang apabila bersabung ayam.
"Aku mesti buat perhitungan dengan kamu!" gerutu Bidan Sumih setelah tidak dapat menahan sabar dengan keangkuhan Tok Dagun.
"Memang aku tak akan tunduk dengan sesiapa pun," sahut Tok Dagun mencebek bibir apabila dicabar Bidan Sumih.
"Dah lama sangat kau tunjuk takabur di kampung ni, Dagun!" bentak Bidan Sumih apabila mengajak Tok Dagun turun ke halaman rumah.
"Cukuplah Mak Bidan, bersabarlah!" jiran-jiran mula memujuk disebabkan tidak mahu berlaku pergaduhan di antara Bidan Sumih dengan Tok Dagun. Mereka tahu mengenai ketangkasan Tok Dagun memencak silat; mereka juga tahu fasal kebolehan Bidan Sumih menjelma dalam sekelip mata menukar dirinya menjadi helang yang berligar-ligar.
Tetapi pujukan orang-orang kampung tidak lagi dihiraukan oleh Bidan Sumih. Dia terus menjelmakan dirinya menjadi helang terus berligar-ligar di bumbung rumah mahu meyambar Tok Dagun. Tangkas pula Tok Dagun melompat ke bumbung rumah dengan parang terhunus terus memangkas helang yang berligar-ligar.
Apabila mata parang Tok Dagun menyinggahi kepak helang, cepat-cepat pula ia bertukar menjadi rumpun aur tersergam. Hampir sahaja Tok Dagun terperangkap di tengah rumpun buluh. Setelah ditetak rumpun buluh yang tiba-tiba sahaja tersergam di tengah halaman, Bidan Sumih bertukar pula menjelma menjadi harimau kumbang yang garang mahu menerkam.
Tujuh kali Bidan Sumih bertukar menjelma menjadi helang, rumpun buluh, harimau kumbang dan lain-lain barulah dia tercegat di tengah halaman dalarn keadaan terhuyung hayang kepenatan. Dalam keadaan terlalu letih itulah dia menggenggam tanah terus dihembus ke udara lantas mengingatkan Tok Dagun:
"Selagi kamu tak cari Yut, aku sumpah kamu tak ada zuriat sehingga kamu kahwin dengan 44 orang perempuan!".
Selepas menuturkan demikian Bidan Sumih hilang dari pandangan mata jiran-jiran. Sekali gus pula Tok Dagun merasakan pinggang-nya sengal-sengal hingga sampai seminggu. Selepas itu dia mendapati tenaga kelelakiannya sudah tidak berguna apa-apa. Kesal benar Tok Dagun apabila ketangkasannya selama ini  membawa padah kepada diri sendiri.
Puas dia mencari Oneng Yut hingga ke hilir sungai, tetapi tidak ada tanda-tanda menunjukkan isterinya dihanyutkan arus. Hanya beberapa bulan selepas itu barulah Utih Manirah terserempak dengan Oneng Yut yang berinsut punggung di tengah arus sungai tatkala hujan panas turun merintik.
"Kamu tak terkena sumpahan Bidan Sumih tu, Utih Manirah," beritahu Oneng Yut sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian Tok Dagun disumpah Bidan Sumih.
Memang Tok Dagun tidak mengalami kejadian hilang tenaga lelaki tatkala bersama dengan Utih Manirah. Asal sahaja mahu berkahwin lain dia akan mengalami hilang tenaga lelaki apabila pinggangnya terasa sengal-sengal laksana ditampar harimau kumbang.
Sebab itu Oneng Yut ingatkan Utih Manirah supaya tidak benarkan anak cucu melintasi sungai berkenaan asal sahaja hujan panas turun menyerak. Kalau tidak sempat mengelak apabila hujan panas turun merintik sebaik sahaja sampai di kawasan tebing sungai, Oneng Yut ingatkan dia supaya menyeru:
"Hal, Oneng Yut lumpuh kaki tak lumpuh hati, anak cucu nak tumpang lalu, jangan Oneng Yut bertegur sapa, nanti disumpah bidan tujuh keturunan, berkat hu..."
Memang Naemah mengakui neneknya beritahu mengenai kejadian yang menimpa Oneng Yut tatkala parit di sempadan tanah ayahnya merupakan sungai besar bertebing tinggi. Tetapi sungai besar itu semakin cetek hingga tinggal menjadi parit tempat alur anak air melintas sahaja. "Tak tahulah saya, macam mana kaitan sakit gigi saya dengan kejadian bertahun-tahun dulu!" bisik Naemah setelah Mat Jimin jelaskan jelmaan perempuan tua rambut mengerbang putih itu.