Tuesday, December 2, 2014

102. AYAM DENAK JADI DAUN TERAP



DI KAMPUNG saya ayam hutan biasanya dipanggil ayam denak, walaupun di setengah tempat denak itu merupakan burung pemikat. Ayam denak ini pula menjadi kegemaran kepada Pak Tua saya, kerana itu dia sering menggalas senapang mengendap ayam denak suka mengekas.
Pak Tua saya ini bernama Mahat. Di kampung saya memang Pak Tua Mahat terkenal sebagai seorang pemburu. Sedikit sebanyak saya belajar juga kepadanya ilmu perburuan. Pak Tua Mahat ini ialah anak nenek saya yang tua.
Ketika arwah nenek saya masih ada hayat lagi pun, nenek tidak marah kalau saya belajar apa-apa pun dari Pak Tua Mahat. Tetapi yang mengherankan saya, sejak belajar ilmu berburu dari Pak Tua Mahat saya memang mengamalkan apasaja yang di suruhnya.
Anehnya, setiap kali saya masuk ke hutan untuk memburu bersama kawan-kawan, saya tidak pernah berhasil mendapat binatang buruan. Seorang kawan saya bernama Deraoh selalu meminjam senapang ayahnya masuk ke hutan. Walaupun perbuatannya salah dari sisi undang-undang kerana menggunakan senjata api ayahnya, tetapi demikianlah cara hidup kami di kampung-kampung pendalaman.
Yang penting ialah menjaga keselamatan. Pernah juga seorang kawan saya tertembak ketika memburu pelanduk. Tetapi apabila dimasukkan ke hospital ketua kampung telah menolong kami dengan memujuk pihak hospital supaya tidak melaporkan kepada pihak polis. Dan kawan saya itu di katakan terkena buluh runcing.
Deraoh ini memanglah mahir dalam perkara berburu. Belum pernah dalam sejarah perburuannya tidak berhasil memperolhi binatang buruan. Tetapi setiap kali dia mengajak saya ke hutan, nasibnya agak malang. Seekor pelandok pun tidak ditemui.
Akhirnya baru saya dapat tahu bahawa Pak Tua Mahat sudah mengajar saya ilmu ‘pelengang’ dan bukannya ilmu perburuan. Ilmu pelengang yang diajar oleh Pak Tua Mahat ini bertujuan menghindarkan dari sebarang binatang buas mendekati kita apabila masuk ke hutan. Bagaimana pun kerana amalan yang dibuat itu meliputi semua binatang hutan, maka binatang-binatang yang jadi perburuan pun tidak mendekati.
Setelah kawan-kawan tahu saya menggunakan ‘pelengang’, maka mereka tidak mahu lagi mengajak saya ke hutan. Kalau mereka pergi pun, mereka terpaksa menyembunyikan dari saya. Tiba-tiba esoknya mereka mengirimkan saya daging pelanduk hasil buruan mereka.
Saya cuba membuang’pelengang’ ini kerana tidak mahu diketepikan oleh kawan-kawan apabila mereka masuk berburu kehutan. Tetapi Pak Tua Mahat memberitahu adalah lebih baik ‘pelengang’ dari ilmu menyeru binatang-binatang hutan datang.
“Ilmu berburu bermacam-macam, pelengang juga ilmu berburu iaitu supaya kita dijauhi musuh,” ujar Pak Tua Mahat. “Kalau kita sudah boleh menyeru binatang datang, tak perlu lagi masuk ke hutan. Kita boleh seru dari rumah saja,” katanya menasihatkan saya.
Rupa-rupanya saya mendapat tahu Pak Tua Mahat sengaja tidak mahu mengajar saya ilmu perburuan yang sebenarnya. Ilmu perburuan yang ada pada Pak Tua Mahat itu mempunyai banyak dugaan. “Binatang-binatang di hutan banyak badinya memakan diri sendiri,” jelas Pak Tua Mahat bila saya mendesak dia supaya mengajarkan saya ilmu-ilmu lain mengenai perburuan.
Dari cerita emak saya, ada sesuatu rahsia pada diri Pak Tua Mahat menyebabkan dia tidak mahu menurunkan ilmu perburuannya kepada anak-anak muda. “Binatang-binatang di hutan itu pun ada gembalanya,” beritahu emak saya. “Kalau kita tidak tahu gembalanya, tentulah gembalanya akan memusnahkan kita. Lebih baik jangan dituntut saja ilmu-ilmu macam itu,” emak saya menasihatkan saya.
Nampaknya sikap emak ini sama juga seperti nenek. Tetapi anak-anak muda yang tinggal di kampung pendalaman seperti saya ketika itu, tentulah tidak selesa kalau tidak menuntut ilmu-ilmu demikian. Kalau hendak menuntut ilmu moden di university, pelajaran saya tidak seberapa. Jadi, ilmu-ilmu tradisional seperti inilah yang sesuai bagi diri saya.
Satu ketika dulu, kata emak saya, Pak Tua Mahat sudah mengalami keadaan yang memilukan hatinya. Hanya ketabahan dia saja dapat menyelamatkan segala-galanya.
Pak Tua Mahat itu anak nenek saya dengan suaminya yang pertama. Setelah Pak Tua Mahat berumur kira-kira dua belas tahun, barulah nenek berkahwin dengan aki saya iaitu ayah kepada emak saya. Semasa Pak Tua berkahwin , emak saya masih anak-anak lagi.
Sebagai anak muda kampung, Pak Tua Mahat rajin mempelajari ilmu-ilmu kebatinan. Kepada siapa dia menuntut nenek saya tidak ambil peduli sangat. Aki juga tidak hiraukan sangat apakah ilmu-ilmu yang di tuntutnya. Selalu juga nenek perhatikan Pak Tua Mahat membakar kemenyan di tengah-tengah malam.
Apabila sudah berkahwin, Pak Tua Mahat berpindah tinggal di rumah isterinya. Di sinilah kejadian yang mengerikan itu berlaku.
Pagi-pagi lagi Pak Tua Mahat sudah menggalas senapang mengendap ayam denak ke hujung kampung. Kebetulan dia mendapat senapang itu dengan pertolongan OCPD seorang pegawai kulit putih, kerana Pak Tua Mahat bekerja sebagai pemandu kapal korek sebuah perlombongan kepunyaan syarikat kulit putih.
Pengurus syarikat perlombongan itulah yang meminta OCPD berkenaan memberikan senapang patah kepada Pak Tua Mahat. Sementara itu Pak Tua Mahat pula setiap kali pergi berburu, dia tidak akan lupa menghadiahkan sebahagian hasil buruannya kepada pengurus lombong dan OCPD itu.
Dengan ini dia sangat disayangi oleh pegawai-pegawai kulit putih itu.
Pada pagi berkenaan dia tidak bekerja seperti biasanya. Pak Tua Mahat bercadang untuk mengendap ayam denak, kerana beberapa hari sebelum itu Mak Tua Siah ada memberitahunya tentang bunyi ayam denak berkokok di belukar kubur.
Sampai saja di belukar Pak Tua Mahat menjejak kesan tanah yang dikekas oleh ayam denak. Dia terus menyusur hingga sampai ke pinggir bukit yang bersempadan dengan hutan besar. Ketika dia sampai ke sepohon pokok medang terdengar olehnya kokok ayam denak.
Pak Tua Mahat mengamat-amati bunyi kokok itu dari arah mana datangnya. Apabila dia menyusup belukar senduduk dekat pohon medang itu, dia nampak seekor ayam denak jantan bertenggek di atas akar yang berjuntaian dari pokok enau.
“Huh, siapa nak nahas ni, kau atau aku…..?” bisiknya bila melihat ayam tersebut bertenggek di atas akar atau di atas busut, itulah tandanya dia mahu memakan korban.
Tetapi Pak Tua Mahat sudah yakin, bahawa dirinya cukup mempunyai ilmu mempertahankan diri dari gangguan puaka-puaka hutan seperti itu.
“Kalau belum geruh ku, sia-sia saja kau…..” dia mengangkat senapang mahu membedek. Ayam denak itu masih juga berkokok sambil mengirai-ngirai bulu di atas akar berjuntaian di pokok enau yang berhampiran dengan pokok terap.
Pak Tua Mahat masih belum dapat menembak kerana kedudukan ayam itu terlindung sedikit oleh daun terap. Dia tidak mahu bergerak dari situ ditakuti ayam denak itu terbang jauh apabila terdengar bunyi daun-daunterap kering dipijak.
Daun terap kering yang gugur di bumi memang kuat bunyi gemersiknya kalau dipijak. Sebab itulah Pak Tua Mahat terpaksa berhati-hati supaya ayam denak itu tidak terbang. Dia sudah nekad mahu menembaknya walaupun ayam itu bertenggek di atas akar atau pun busut.
Mengikut petuanya dia tidak boleh mengelak lagi kalau sudah bertemu kedudukan ayam tersebut demikian. Mahu tidak mahu dia mesti menembak juga. Perkara geruh adalah soal lain.
“Kau nak bagi aku geruh ye! Belum tahu lagi siapa geruh siapa tidak!” rungutnya membedek betul-betul kearah ayam denak bertenggek.
Marah benar hati Pak Tua Mahat mendapat alamat demikian. Belum pernah dia diduga seperti itu. Kalau ada pun dugaan yang dihadapi hanya tidak seberapa. Dia dapat mengatasi dugaan itu dengan mudah. Tetapi apabila bertemu saja ayam denak sudah bertenggek di atas akar,bukanlah dugaan kecil lagi.
“Aku tak akan geruh, kau yang geruh nanti,” rungutnya dengan harapan ayam denak itu turun ke tanah mengekas.
Tetapi ayam itu tidak juga turun ke tanah mengekas, Dia tetap mengirai-ngirai kepak sambil berkokok nyaring macam mencabar Pak Tua Mahat. Ekornya yang menghala kearah muka Pak Tua Mahat terjongket-jongket menyebabkan Pak Tua Mahat semakin meradang.
Setelah puas menunggu ayam itu turun mengekas ke tanah, tetapi tidak juga mahu turun, maka Pak Tua pun melepaskan tembakan. Sebaik saja tembakan itu dilepaskan, sekaligus ayam denak berkenaan menjunam ke bawah. Dia menggelupur di celah-celah daun terap kering yang berserakan di tanah.
Semasa Pak Tua menerkam untuk menyembelihnya didapatinya tidak ada ayam yang menggelupur tadi. Bulu-bulunya saja bertaburan dengan tetesan darah pekat melekat pada daun-daun terapdi situ.
“Ah, geruh aku,” bisik hati Pak Tua Mahat melihat bulu-bulu ayam denak bertaburan, tetapi ayam yang ditembaknya tidak ada di situ.
Dia menghunus parangnya lalu ditikam ke tanah ditempat terdapat kesan tetesan darah itu. Kemudian dia mengambil anak-anak kayu secekak untuk ‘mengebas’ mengikut petua yang dipelajarinya. Belum pun sempat dia sampai semula ke tempat parang dicacak tadi tiba-tiba dilihatnya seorang lelaki tua berpakaian serba hitam berdiri di situ.
“Hah, hari ni geruh awak Mahat,” kata orang tua itu terketar-ketar.
Berdebar juga hati Pak Tua Mahat menghadapi keadaan yang tidak di duganya itu. Dia merenung lelaki tua itu tepat-tept. Kaki orang tua itu tidak cecah ke bumi, manakala mukanya tidak berapa jelas kerana terlindung dibalik tutup kepalanya.
“Macam mana Mahat?” tanyanya macam menyindir.
“Perkara geruh bukan perkara kita To’ Pawang,” ujar Pak Tua Mahat tidak bergerak dari tempatnyua berdiri. “Tetapi, kalau dah nak geruh siapa pun tak boleh mengelak. Kalau geruh kawan binasalah kawan, kalau geruh To’ Pawang binasalah To’ Pawang….” Tegasnya bercampur bimbang.
“Salah awak Mahat, awak ambil hak kawan tak minta izin pun,” orang tua itu mengingatkan.
“Salah kawan yang awak nampak, salah awak, awak tak nampak ke?” Pak Tua Mahat menggertap bibir.
“Nak berdalih apa lagi Mahat,” kata lelaki tua itu tersengih-sengih. “Awak yang ambil hak kawan. Bagaimana jkalau kawan ambil hak awak pula?” soalnya macam mencabar Pak Tua Mahat.
“Kalau awak berani cubalah. Soal geruh ni tak kira kawan, tak kira awak. Siapa geruh dialah binasa. Kalau awak nak merasa geruh cubalah tunjukkan jantan awak,” sahut Pak Tua Mahat
“Nampaknya awak dah tunjuk takbur, Mahat,” suara orang tua itu terketar-ketar tetapi menggerunkan.
Sebenarnya Pak Tua Mahat sudah tahu orang tua itu sebenarnya hantu badi ayam denak iaitu merupakan salah satu puaka hutan. Dia tidak boleh lagi undur ke belakang bila sudah terserempak dengan puaka berkenaan.
Geruh Pak Tua Mahat sudah ada di depannya. Mahu tidak mahu dia terpaksa menghadapinya. Undur atau mara, geruh tetap geruh. Dalam keadaan demikian hanya kecekalan hati saja yang boleh menolong. Dia berserah kepada Allah untuk melindunginya dari bahaya yang sudah menunggu.
“Kawan tak minta pertolongan awak To’ Pawang kawan minta perlindungan dari Allah,” kata Pak Tua Mahat masih tidak bergerak dari tempat dia berdiri.
“Kawan tau, awak dah mula main-mainkan kawan. Hah, ni geruh geruh awak dah sampai,” sindir puaka itu lagi yang menjelma sebagai orang tua.
“Geruh siapa belum tau lagi To’ Pawang. Kalau geruh kawan, kawan binasalah. Kalau geruh awak, nanti awak pula binasa,” dia mengejek.
Pak Tua Mahat cekalkan hati menghadapi dugaan tersebut. Di kampung saya Pak Tua Mahat bukan saja terkenal sebagai pawang berburu, tetapi juga seorang ahli agama yang kuat beribadat.
Disinilah kelebihan Pak Tua Mahat. Walaupun dia mempunyai ilmu kebatinan orang Melayu, tetapi dia banyak menggunakan ayat-ayat quran. Ada juga orang-orang kampung mengatakan Pak Tua Mahat seorang dari murid ahli tasauf yang terkenal di daerah saya.
Sejauh mana kebenarannya tidaklah saya tahu. Bagaimanapun seperti yang diceritakan oleh emak saya, Pak Tua Mahat ini hanyalah seorang pawang berburu. Kejadian yang menimpa Pak Tua Mahat itu masih dapat di ingat oleh emak saya.
Ketika berdepan dengan hantu badi ayam denak itu, Pak Tua Mahat tidak berhenti-henti membaca jampi serapahnya. Pertengkarannya dengan hantu badi itu hanya dia saja yang mengetahuinya. Cerita dia bertemu dengan hantu badi itu tidaklah berakhir di situ saja, tetapi terus samjpai ke rumah juga. Di sinilah rahsia dia bertentang dengan badi ayam denak itu diketahui orang.
“Awak yang salah, Mahat,” sahut oang tua itu terketar-ketar.
“Salah kawan aje awak nampak. “Pak Tua Mahat tersengih-sengih. “Salah awak selama ni, awak nak pejam mata aje,” katanya mengerling mata parang yang terbenam di tempat ayam denak jatuh tadi. Selagi mata parang itu tercancang di situ, dia tahu hantu badi itu tidak boleh melakukan apa-apa kepadanya.
“Kawan nak hak kawan…” ujar badi hantu tercegat di situ dengan kaki tidak jejak ke tanah. “Awak dah ambil hak gembala kawan, takkan nak ambil percuma,” katanya terbatuk-batuk.
“Yang ni hak kawan, yang gembala awak memang kawan tak usik. Kalau awak nak berunding boleh, tapi kalau nak ugut, kawan amuk awak,” sahut Pak Tua Mahat.
“Nampaknya keras sangat hati awak Mahat,” orang tua itu tersengih-sengih.
“Kalau awak berkeras, kawan berkeras juga To’ Pawang!” Pak Tua Mahat tidak mahu menyerah kalah. Dia mara ke depan sambil menggenggam ranting anak-anakl kayu yang sudah dicekaknya tadi.
“Kawan mesti hendak juga hak kawan,” rintih orang tua itu sebaik saja Pak Tua Mahat nerdiri dekatnya.
Pak Tua Mahat tidak peduli lagi apa pun yang orang tua itu mahu katakan. Puaka hutan tersebut tidak boleh dilayan. Dalam petuanya memang hantu atau puaka tidak boleh dilayan bercakap. Kalaudilayan bercakap semakin memberangsangkan dia.
Pak Tua Mahat membuka lilit kepalanya kain berwarna hitam. Kemudian kain itu diikatkan pada ranting anak-anak kayu. Cepat-cepat dia menyebatkan ranting anak-anak kayu itu ke muka orang tua berkenaan. Dia mendengar orang tua itu jenjerit kesakitan.
“Awak yang mungkir janji,” sahut Pak Tua Mahat marah sambil mengibas-ngibas ranting anak-anak kayu ke tubuh orang tua berkenaan. “Awak tak tau yang mana hak kawan, yang mana hak awak. Ayam gembala awak jagalah baik-baik, jangan di lepaskan. Mana yang lepas tu rezeki kawan. Bukanlah macam itu janji awak dengan kawan…” tangannya terus mengibas-ngibas ke atas ke bawah sekuat hati.
Tiba-tiba darah memercik dari tubuh orang tua tersebut di bahagian yang disinggahi ranting anak-anak kayu itu. Dia menggelupur seperti orang dalam kesakitan sangat. Kemudian tersungkur di atas daun-daun terap kering dengan darah memercik.
“Kawan hendak juga hak kawan, kawan hendak juga…” rintih badi hantu yang menyerupai oang tua itu. Dia menggelupur-gelupur di dalam daun terap kering berserak-serak di bumi. Perlahan-lahantubuh orang tuahilang, lalu menjelmalah ayam denak yang di tembak oleh Pak Tua Mahat tadi.
Dengan tidak bertangguh Pak Tua Mahat pun menyembelih ayam tersebut.
Semasa dia menyembelih itu, Pak Tua Mahat masih dapat mendengar rintihan orang tua tersebut. “Mentang-mentang awak anak cucu Pawang Akir,awak langgar bahasa dengan kawan ye. Kawan nak juga hak kawan,” rintihnya semakin lama semakin menghilang.
Setelah semuanya dapat dipulihkan semula, Pak Tua Mahat pun baliklah ke rumah. Dia sampai ke rumah kira-kira pukul 11 pagi, didapatinya orang ramai berkumpul di rumahnya. Berebar juga hati Pak Tua Mahat bila melihat keadaan demikian.
“Hai, geruh juga aku nampaknya. Tak dapat tanduk, telinga dipulasnya juga,” katanya perlahan. Kalaulah benar seperti apa yang diduganya, dia terpaksa juga menghadapinya dengan cekal. Ketika ini pada zahirnya, dia tidak akan berakap sepatah pun dengan orang ramai.
Pak Tua Mahat mengesat air matanya sambil memerhatikan orang ramai yang datang berkumpul.
“Kau memang degil, Mahat,” pekik ibu mertuanya Cu Limah sebaik saja Pak Tua Mahat sampai di kaki tangga. Walaupun orang ramai menyabarkan Cu Limah, tetapi dia terus menyerbu kearah Pak Tua Mahat sampai di kaki tangga. Walaupun orang ramai menyabarkan Cu Limah, tetapi dia terus menyerbu kearah Pak Tua Mahat. “Berapa kali aku cakap, jangan berburu ke hutan, kau degil juga. Puaslah hati kau, tengok anak kau tu dah terbujur….” Cu Limah mengongoi-ngongoi menangis kerana kehilangan cucu kesayangannya.
Sebaik mendengar saja kata-kata emak mertuanya Pak Tua Mahat tidak jadi melangkah naik ke rumah. Dia tidak akan melihat muka anaknya yang di katakana sudah terbujur oleh emak mertuanya itu. Dengan tidak bercakap sepatah pun, Pak Tua Mahat menjerang air panas untuk merendam ayam denak tadi.
Selepas air mendidih dituangkannya ke dalam kuali. Ayam denak siap disembelih dimasukkan ke dalam air panas berkenaan. Dia mencabut bulunya, kemudian menyiangnya untuk di gulai.
Orang-orang kampung yang berkumpul melihat saja kelakuan Pak Tua Mahat hendak menggulai ayam denak itu. Sepatah pun dia tidak bercakap walaupun dimaki hamun oleh Cu Limah. Dia tidak peduli pun fasal orang berkumpul menziarahi anaknya yang mati secara tiba-tiba.
Sambil dia menumbuk lada dan memarut kelapa, dia masak nasi. Sebaik saja air nasi kering, dia siap memerah santan. Dia tidak menyuruh isterinya Mak Tua Siah membantu dia.
Kononnya kata emak saya, semasa Pak Tua Mahat menembak ayam denak dihutan, anaknya itu sedang bermain dengan kawan-kawannya sebaya di halaman rumah. Itulah seorang anak Pak Tua Mahat baru berumur empat tahun, bernama Suhur. Kerana cucu seorang itulah Cu Limah terlalu memanjakannya.
Sedang bermain-main itulah Suhur tiba-tiba pengsan terbeliak mata. Mulutnya berbuih-buih sambil menggelupur-gelupur seperti ayam denak kena tembak. Bila Cu Limah diberitahu tentang penyakit ganjil Suhur, dia sudah menduga bahawa Suhur kena badi binatang hutan.
Sebab itulah dia terlalu marah dengan Pak Tua Mahat. Sudah selalu dia menasihatkan Pak Tua Mahat supaya berhenti memburu ke hutan. “Lambat laun akan memakan diri sendiri juga. Barang-barang hutan tu berpuaka…” dia mengingatkan Pak Tua Mahat.
Tetapi Pak Tua Mahat tetap berkeras. Dia pergi juga ke hutan berburu. Apabila berlaku kejadian tersebut pada Suhur, cepat sajalah hati Cu Limah terbakar mengenangkan kedegilan Pak Tua Mahat.
ApabilaSuhur dibawa naik ke rumah tubuhnya sudah lembik. Mulutnya keluar darah pekat. Dia mati sebelum sempat Cu Limah memanggil Dukun Busu. Ketika Dukun busu sampai, Suhur sudah menghembuskan nafas. Dari telekan Dukun Busu nyatalah Suhur ‘bertukar nyawa’ dengan ayam denak yang ditembak oleh ayahnya.
“Kalau sempat aku sampai, boleh juga aku cuba menolong,” kata Dukun busu memerhatikan Pak Tua Mahat memasak di dapur.
Di atas rumah orang ramai cuba menenangkan Cu Limah. Mulutnya becok tidak berhenti-henti memaki-hamun Pak Tua Mahat. Dia tidak peduli lagi walaupun nenek saya iaitu besannya ada di situ.
“Cucu awak, cucu kawan juga. Sabarlah, besan….” Pujuk nenek yang tersinggung dengan sikap Cu Limah memaki hamun Pak Tua Mahat itu.
Orang-orang kampung juga tidak menghiraukan sangat keributan dalam keluarga. Masing-masing membuat kerja-kerja yang patut dilakukan. Ada yang ke kubur menggali kubur, ada yang menyediakan papan gendeng lahad, ada yang menyediakan kain kapan.
Pendek kata mereka tidak ambil peduli tentang kekecohan anak beranak itu. Kalau asyik dengan meleraikan orang berkelahi anak beranak, satu kerja pun tidak boleh siap.
Pak Tua Mahat juga tidak menghiraukan orang ramai yang datang berkumpul. Dia mendiamkan diri saja mendengar maki hamun dari mertuanya Cu Limah. Emak saya pula disuruh oleh nenek membaca quran di sisi mayat Suhur yang sudah di bujurkan.
Setelah siap memasak, Pak Tua Mahat menghidangkan di dalam dulang. Kemudian mengangkat hidangan itu ke sisi mayat Suhur yang terbujur. Melihatkan keadaan demikian, emak saya terpaksa berundur jauh dari situ. Nenek juga menyuruh emak saya beredar supaya tridak mengganggu Pak Tua Mahat.
Perlahan-lahan Pak Tua Mahat meletakkan hidangan di sisi mayat Suhur. Orang-orang kampung menjadi heran dengan kelakuan Pak Tua Mahat itu. Malah Dukun Busu juga ikut sama keheranan.
Kemudian Pak Tua Mahat menyelak kain yang menyelubungi mayat anaknya. Dia menampar-nampar pipi anaknya perlahan seperti mengejutkan orang dari tidur.
“Suhur, Suhur…….bangun kau. Mari, marilah…”katanya berulang kali.
Tiba-tiba emak saya melihat Suhur bangun seperti orang bangun dari tidur. Mereka berdua beranak pun memakan hidangan yang disediakan itu. Semua orang yang melihat kejadian itu tercengang-cengang sama sendiri. Tiga hari lamanya selepas kejadian itu Pak Tua Mahat tidak mahu bercakap sepatah pun dengan sesiapa saja.
Agaknya kerana kejadian tersebutlah Pak Tua Mahat tidak mahu mengajarkan saya ilmu berburu yang ada padanya. Sehinggalah dia meninggal dunia dua tahun lalu, saya masih tidak diajarnya ilmu berkenaan.
SELESAI