TIDAK lama selepas berpindah ke kampung yang, dikelilingi
sawah padi. Malim Melano dituduh membawa mala petaka ke situ. Tiba-tiba sahaja
kampung berkenaan diganggu lembaga hitam tidak berpakaian yang menjelma di
tengah rumah. Lembaga berkenaan akan menyerbu ke bilik gadis tengah nyenyak
tidur tatkala malam diselubungi kesepian. Siapa lagi yang ganggu mereka kalau
bukan Malim Melano sebaik sahaja dia berpindah ke situ.
Tetapi Tok Ompek tidak percaya mengenai gangguan lembaga
hitam berbogel yang menceroboh masuk ke rumah itu perbuatan Malim Melano. Tahu
sangat Tok Ompek mengenai Malim Melano yang ditemui tatkala solat maghrib di
surau. Lantas sahaja Malim Melano meminta kebenaran menetap di kampung
berkenaan dengan menumpang di surau tersebut.
Malim Melano tidak membantah apa-apa ketika Tok Ompek
upahkan dia mencebak sawah atau membajak dengan kerbau. Setelah bekerja di
sawah padi Tok Ompek itulah dia merasakan lelaki itu tempat dia bertumpu. Apa
lagi sebelum meninggalkan kampung halaman di Solok memang Malim Melano sudah
nekad tidak akan undur lagi ke belakang.
Biarlah dia menumpang di mana-mana tatkala di rantau
orang Malim Melano akan tabah menghadapi segalanya. Sewaktu meninggalkan Solok
terus ke Payakumbuh, dia sekadar harapkan nasibnya akan berubah apabila
menyeberang ke Semenanjung. Malim Melano tidak mahu ingat apa-apa lagi mengenai
kenangan silamnya semasa di kampung halaman.
"Sudah lama ambo tinggalkan Solok, Tok," ujar
Malim Melano apabila Tok Ompek ingin tahu mengenai kampung halamannya yan
ditinggalkan.
"Sawah padi di Solok tak sama dengan sawah padi di
sini," tersengih-sengih Tok Ompek sebaik sahaja diberitahu oleh Malim
Melano mengenai Solok yang sekadar didengar daripada arwah ayahnya.
"Bukan di Solok aje sawah padi, Tok," sahut
Malim Melano perlahan bagaikan menyindir Tok Ompek yang tidak pernah jejak kaki
balik ke kampung halaman. "Gunung Singgalang dan Gunung Merapi di lereng
dan di sekelilingnya semua sawah padi," tutur dia tidak. berasa apa-apa
perbezaan tatkala jengah muka ke kampung berkenaan.
"Aku sekadar dengar cerita dari mulut arwah
ayah," beritahu Tok Ompek mengakui dia tidak tahu apa-apa fasal kampung
halaman arwah ayahnya di Pariaman. Kadangkala Tok Ompek tertanya-tanya juga di
lubuk hatinya kenapa arwah ayahnya tinggalkan kampung halaman di Pariaman
hingga berpindah ke Semenanjung sekiranya sawah padi subur menghijau.
Berulang kali arwah ayahnya beritahu mengenai sawah padi
luas terbentang di kampung halamannya di Pariaman. Apa lagi di lereng bukit di
Solok jauh dari kampung halamannya, mereka sekadar tadah air yang mengalir dari
puncak hukit masuk ke dalam lopak sawah.
Tatkala padi masak menguning dari jauh mereka melihat
berombak-ombak rumpunnya dipuput angin. Tetapi ayahnya tidak terkilan apa-apa
sekalipun tidak dapat balik jejak kaki ke kampung halamannya. Samalah macam
Malim Melano tidak terkilan apa-apa setelah tidak dapat menjamah beras Solok
yang terkenal di kampungnya.
Sebab itu Malim Melano tidak bimbang apa-apa kalau takat
heret kerbau membajak di tengah sawah. Sewaktu di Solok pun dia memang mahir
membajak hingga lumpur sawah iumat tidak bersisa. Tetapi Malim Melano tinggalkan
Solok bukan disebabkan tidak mampu lagi mengheret kerbau membajak sawah.
Biarlah dia tinggalkan Solok hingga namanya luput tidak disebut sesiapa pun!
Memang terharu Malim Melano tatkala jejak kaki ke kampung
berkenaan, seisi kampung diganggu lembaga hitam tidak berpakaian menceroboh
masuk ke rumah. Gadis yang menjadi mangsa tidak diperkosa apa-apa, tetapi
sekadar diceroboh sahaja. Lembaga hitam tidak berpakaian itu akan tercegat di
depan gadis tengah nyenyak tidur, kemudian berbaring dengan menghisap rokok
daun.
Sebaik sahaja gadis berkenaan terjaga, dia akan
menepuk-nepuk perlahan pada bahu menyebabkan mangsanya terkejut. Setelah dia
terjun ke tanah melalui tingkap, barulah mangsa ketakutan lantas menjerit
nyaring. Apabila jiran-jiran menjadi gempar dengan jerit mangsa terus menyerbu
mahu membantu, mereka sekadang melihat mangsa terkejang di tempat tidur dengan
pakaiannya terdedah.
Siapa lagi berani mengganggu penduduk kampung kalau bukan
Malim Melano yang baru jejakkan kaki ke situ beberapa bulan. Seisi kampung tahu
sangat mengenai mereka yang tinggalkan kampung halaman mereka di seberang tentu
diusir penduduk-penduduk di kampungnya.
Tentu Malim Melano yang menjelma menjadi lembaga hitam
tidak berpakaian itu mengganggu penduduk-penduduk kampungnya di Solok. Setelah
diusir penduduk-penduduk kampung lantas dia melarikan diri ke Semenanjung.
Apabila jejak kaki ke kampung mereka Malim Melano masih juga amalkan amalan
buruknya hingga menjelma menjadi lembaga hitam tidak berpakaian.
"Lebih baik kamu berterus terang Malim Melano!"
gerutu Tok Ompek mendesaknya setelah seisi kampung menuduh dia melakukan perbuatan
menceroboh masuk ke bilik gadis tengah nyenyak tidur tatkala malam diselubung
kesepian.
Malim Melano menggeleng perlahan. Memang dia tidak tahu
Iangsung mengenai amalan hingga menjelma menjadi lembaga hitam tidak
berpakaian. Apa lagi mahu menceroboh masuk ke dalam rumah yang terkunci rapat.
Bukan mudah mahu menyusup masuk melalui celah dinding kalau terpaksa dikopakkan
habis.
Tatkala dia mengambil keputusan tinggalkan Solok di kaki
bukit bukau Setinjau Laut, memang Malim Melano tidak dapat menahan perasaan
setelah isterinya Napisah tiba-tiba sahaja berubah hati. Dia tidak dapat
bertahan apabila Napisah tengah terkejang tidur terangkat ke udara terus hilang
dalam kegelapan malam. Sewaktu pagi matahari memancar dia akan melihat semula
Napisah tergolek di tempat tidur.
Berturut-turut malam kejadian demikian berlaku, tidak
seorang pun keluarga Napisah percaya apabila diberitahu mengenai malang yang
menimpa Malim Melano. Memang Napisah tidak tahu apa-apa kalau didesak mengenai
dia melayang ke udara tatkala tengah tidur nyenyak.
Manalah perempuan itu dapat mengagak apabila diselubungi
mimpi seolah-olah ditatang lelaki tampan yang menjelma di depannya. Apabila dia
melambai-Iambai tangan memanggil Malim Melano suaminya sekadar terkebil-kebil
mata sahaja memerhatikan dirinya ditatang dibawa lari.
Selepas dibawa masuk ke dalam rumah besar tersergam
barulah Napisah dapat melepaskan diri. Tetapi dia tidak boleh meluru keluar
meninggalkan rumah berkenaan disebabkan di setiap penjuru rumah dikawal
beberapa ekor harimau tercangkung menyeringai taring. Bimbang juga dia akan
dikerkah harimau-harimau yang berkawal itu kalau gagahi juga keluar meluru ke
pintu.
"Kamu jangan takut Napisah!" lelaki tampan itu
memujuk Napisah supaya tidak terburu-buru membuat keputusan.
"Tidakkah kamu tahu aku sudah punya suami?"
bentak Napisah marah apabila diperlakukan demikian.
"Memang aku tahu, sebab aku suami kamu,' beritahu
lelaki tampan itu terus memujuk Napisah.
"Kamu sudah gila, suamiku hanya Malim Melano,"
bertambah marah Napisah disebabkan lelaki tampan itu mempersendakan dirinya.
"Tidak, Malim Melano suami kamu pada zahirnya
saja!" tegas lelaki tampan itu ingatkan dia lantas mengerling
harimau-harimau di setiap penjuru yang menjadi pengawal rumah besar tersergam
itu.
"Kamu jangan nak bohongi aku, setan!" segera
Napisah mencapai belantan mahu memukul kepala lelaki berkenaan. Tetapi sekali
gus pula lelaki tampan itu bertukar menjadi harimau terconggok di depan
Napisah.
Gementar Napisah sebaik sahaja melihat harimau jelmaan
lelaki tampan itu terconggok di hadapannya. Tenaganya menjadi Iemah hingga
belantan di tangan tercampak ke lantai. Dia jatuh tergolek tidak boleh bergerak
Iangsung. Ketika ini dia melihat harimau garang di hadapannya bertukar menjadi
lelaki tampan berkenaan.
Dia tidak membantah apa-apa tatkala lelaki berkenaan
memapahnya masuk ke bilik. Ketika ini Napisah tidak dapat melawan langsung
disebabkan tenaganya Iemah tidak bermaya. Dia sekadar mengangguk perlahan
setelah diberitahu lelaki tampan itu mengenai dirinya sudah sah menjadi isteri
dia.
Manalah Napisah boleh membantah dalam masa dia terkurung
dalam rumah besar tersergam. Selepas Napisah rela menerima lelaki tampan itu
menjadi suaminya, lantas sahaja dia ditemukan dengan ramai perempuan-perempuan
yang menunggunya di kawasan lapang. Ketika ini Napisah diberitahu mengenai Tok
Cenaku yang memilih dirinya menjadi isteri yang ke 44.
Sudah menjadi sumpahan Tok Cenaku memilih isterinya
hingga 44 orang, biar ketampanannya berterusan. Sebab itu semua isterinya beritahu
Napisah mengenai Tok Cenaku tidak dimamah usia sekalipu umurnya sudah terlalu
tua Tok Cenaku masih gagah laksana anak muda sanggup memikul seguni padi.
Tidak seorang pun isteri nya berani membantah apabila Tok
Cenaku membawa mana-mana perempuan balik ke rumah. Dia sekadar memerlukan 44
isteri setiap malam, dan akan dibuang apabila tidak lagi memerlukan. Sebab itu
Mak Bunga ingatkan Napisah supaya tidak membantah sangat kerana bimbang akan
mengandung anak harimau.
Tahu sangat Mak Bunga mengenai isterinya yang membantah
tidak mahu dijadikan 44 isteri Tok Cenaku. Tidak lama selepas Tok Cenaku usir
dari rumah besar tersergam itu tiba-tiba sahaja perempuan itu mengandung.
Tatkala me-lahirkan anak memang seisi kampung menjadi gempar apabila perempuan berkawin
lahirkan anak harimau bersama uri tembuni.
"Biarlah bertahan macam ni Adik Napisah," bisik
Mak Bunga supaya tidak membantah sangat kemahuan Tok Cenaku.
Bukan takat Napisah sahaja dilarikan Tok Cenaku, asal
sahaja dia berkenan tatkala terserempak sesiapa sahaja perempuan nescaya akan
dilarikannya. Tok Cenaku akan heret ke rumah besar tersergam dijadikan isteri
biar seisi rumah mencukupi 44 orang perempuan.
Apabila pagi cerah melayah dengan matahari memancar
Napisah terkejut dari tidur nyenyaknya. Ketika ini dia merungut-rungut
sendirian apabila kenang mimpi yang menakutkan. Dia menjadi terpinga-pinga
apabila Malim Melano mendesak ke mana dia menghilang sepanjang malam.
"Napisah ni sakit, Malim Melano," beritahu Haji
Maskor setelah melihat keadaan perempuan itu tersengih-sengih sendirian di
tengah rumah.
"Tapi, nenek mamak isteri saya tak percaya,"
tutur Malim Melano kesal dalam keadaan hatinya mendongkol.
"Mereka tak percaya Napisah sakit?" hairan juga
Haji Maskor apabila kenang sanak saudara Napisah tidak pedulikan apa-apa.
"Sekadar percaya isteri saya hilang ingatan,"
sahut Malim Melano menahan sebak dada. "Tapi mereka tak percaya tubuh
Napisah terangkat ke udara," dia menambah lantas mendengus perlahan.
"Jangan berputus asa, Malim Melano," segera
Haji Maskor ingatkan dia supaya tabah menghadapi dugaan demikian.
Haji Maskor tahu Napisah memang tidak siuman semenjak
ditemui Malim Melano beberapa kali tubuhnya terangkat ke udara. Belum sempat
Malim Melano menariknya turun semula, Napisah hilang sebaik sahaja cecah pada
atap. Sebab itu keluarga Napisah tidak percaya dengan kejadian yang menimpa
perempuan itu.
Tatkala mereka sekeluarga sama-sama bercekang mata
menunggu di rumah Malim Melano, memang Napisah tidak ke mana-mana. Dia
merungut-rungut sahaja di tempat tidur sepanjang malam. Setelah diberitahu pada
Haji Maskor, lantas sahaja dia menyuruh Malim Melano bangun tengah malam solat
tahajud.
Sebab itu Malim Melano kuatkan tekad untuk bangun
tiap-tiap malam tatkala kokok ayam sahut bersahut di dalam kampung. Biarlah
terasa seluruh badan sakit-sakit apabila terus berzikir hingga santak subuh.
Malim Melano tetap ingat petua yang diamalkan Haji Maskor lantas bacakan doa:
lz-yuhi
rabbuka ilal-malaikati inni ma 'aku fathabbitul-lazina a-man saul-qi
fi-qulubillazina fakaru ru'ba fadhribu fau-qol a'naq wadhribu minhom kulla
bananin.
Ketika ini dia merasakan seluruh penjuru rumahnya
bergoncang kuat bagaikan duduk di atas gelombang air. Semakin mantap zikir
Malim Melano bertambah kuat goncangan rumah hingga terasa dirinya
teroleng-oleng. Tetapi Malim Melano tidak bimbang apa-apa setelah menyerahkan
dirinya di dalam perlindungan Allah.
Apabila dia ternampak ke tengah kabus memutih, Malim
Melano melihat lelaki bongkok berkepala harimau bercekak pinggang di depannya.
Setiap kali lelaki itu mahu menerkamnya lantas sahaja terpelanting bagaikan
ditolak angin kencang yang menyerbu ke dada.
Termengah-mengah lelaki berkepala harimau bangun dari
terguling di tanah apabila dadanya sakit bagaikan ditendang kuat. Melejeh-lejeh
air liurnya setelah terasa dadanya senak tidak bertahan. Tatkala bangun
menggeliat-geliat lelaki itu mengaku dirinya Tok Cenaku yang dikenali berkahwin
dengan 44 orang isteri.
"Kamu nak bunuh aku, kerana Napisah isteri
aku?" bentak Tok Cenaku menahan kesakitan dada seolah-olah ditendang kuat.
Malim Melano tidak monyahut apa-apa. Tatkala dia melompat
bangun segera Malim Melano menghentak tumitnya tiga kali ke tanah dengan
membacakan:
Kaf
ha ya a'in sod, ha mim a'in sim kof, 'alallahhi tawakkalna rabbana la-taj 'alna
fitnatan lil-qaumiz zolimina minajjina birah-matika minal qaumil-kafirin.
Apabila dia
mengisarkan tumitnya sekaligus lelaki berkepala harimau itu berputar lantas
Malim Melano hentakkan tumitnya ke tanah semula. Ketika ini Tok Cenaku jatuh
tertiarap dengan muka menyembam bumi.
Tiba-tiba sahaja ketawa berdekah-dekah sebaik sahaja
duduk bersila di tanah mendongak memandang Malim Melano. Dia menepuk-nepuk dada
memberitahu Malim Melano mengenai dirinya lama menetap di Kerinci. Siapa sahaja
tidak boleh tandingi dia setelah menjelma menjadi harimau lantas berkahwin
sampai 44 orang isteri.
Lainlah kalau dia tidak sempat berkahwin sampai 44 orang
isteri, nescaya jelmaan harimaunya sudah ditewaskan sesiapa sahaja. Kalau takat
mandi air di sungai lantas menyeberang tebing ke tebing sampai tujuh kali
tatkala tengah malam memang Tok Cenaku boleh lakukan berulang kali.
Tetapi dia mampu berkahwin sampai 44 orang isteri, tentu
tenaganya tidak mudah tewas. Sebab itu Tok Cenaku tidak akan mengalah setelah
Malim Melano menjelma di depannya. Memang dia tahu Napisah yang dilarikan
isteri Malim Melano sendiri menyebabkan dia tidak boleh berundur ke mana.
Tidak pernah sesiapa pun suami perempuan yang
dilarikannya mampu menjelma di depannya hingga mengancamnya. Sekalipun serba
salah dengan kemunculan Malim Melano di situ, tetapi Tok Cenaku tidak boleh
mengalah. Sia-sia dia bertapa berbulan-bulan dengan meneguk air sungai Kerinci
tujuh teguk setiap hari, kalau mudah sangat mengalah apabila diancam demikian.
"Kamu datang nak menguji aku, Malim Melano?"
gerutu Tok Cenaku berkepala harimau itu mencemik marah.
Memang Malim Melano tidak menyahut sepatah pun tatkala
dicabar. Dia terus berzikir jauh di lubuk hatinya hingga terasa seluruh
tubuhnya bagaikan cair laksana lilin terbakar ke api. Ketika ini tidak siapa
pun yang ditakutnya selain daripada kuasa Allah yang Maha Perkasa. Cubalah Tok
Cenaku menerkam tunjukkan ketangkasan amalan harimau jelmaan yang ditakuti
orang-orang kampung!
"Kenapa kamu tidak menyahut?" bentak Tok Cenaku
bertambah marah disebabkan Malim Melano tidak pedulikan dia mengancam di
depannya.
Tetapi Malim Melano tahu tenaga Tok Cena sudah tidak
seberapa. Takala jatuh tersembam muka ke bumi Tok Cenak memang tidak mampu mahu
menerkam ke arahnya. Sengaja lelaki berkepala harimau itu mahu tunjukkan
ketangkasannya biar Malim Melano gementar tidak menentu. Masakan dia boleh
tundukkan Malim Melano sama macam perempuan yang diseru namanya akan jatuh
terjelepoh di hadapan nya.
Sebaik sahaja To Cenaku membakar kemenyan menyeru
Napisah, sudah tentu bayangan harimau akan menerpa tidak bertangguh. Bila-bila
sahaja bayangan harimau itu akan mematuhi perintahnya kalau disuruh ke mana
sahaja. Hatta larikan Napisah tengah tidur nyenyak di sisinya, bayangan harimau
di depannya tidak akan membantah.
Tidak bertangguh bayangan harimau melompat ke udara
hilang pada bumbung atap laksana asap dihembus angin. Ketika harimau melompat
di bilik Napisah, memang Malim Melano tidak melihat siapa tercegat di situ. Terkebil-kebil
mata Malim Melano melihat tubuh isterinya terangkat ke udara terus hilang
sebaik sahaja cecah pada bumbung atap.
"Napisah tu isteri aku Melano!" tegas Tok Cenaku
menuntut supaya Malim Melano tidak membantah apa-apa.
Dalam masa Tok Cenaku terkial-kial mahu bingkas bangun,
segera Malim Melano kisarkan tapak sekali sahaja mendengar bisikan Haji Maskor.
Ketika ini dia merasa Haji Maskor tercegat di sisinya menyuruh bacakan:
Allahumma solli 'ala Muhammadil
fatihi lima oghliqo wal-khotimi lima sabaqo wannasirol hoqqi bil-hoqqil hadi ila
sirotim mustaqim sollallahhu 'alaihi wa-"ala alihi wasohbihi haqqo qodrihi
wamiqdarihil 'azim.
Sekali gus guruh berdentam dengan kilat nemancar di
udara. Belum sempat Tok Cenaku bersembunyi daripada kilauan kilat, tiba-tiba
sahaja petir menyambar dadanya. Terjahan petir yang kuat itu menyebabkan Tok
Cenaku tergolek dengan tubuh melecur disambar api. Ketika ini beberapa orang
perempuan yang bersembunyi di dalam gelap bertempiaran lari dengan jerit pekik
tidak ketahuan.
Di tengah perempuan yang bertempiaran lari itulah Malim
Melano ternampak Napisah terpinga-pinga di bawah kilauan kilat memancar. Sebaik
sahaja Napisah melihat Tok Cenaku tergolek di tanah berlumuran darah dengan
kulit habis melecur, segera dia mencebek bibir. Marah benar Napisah disebabkan
Tok Cenaku tidak pedulikan siapa pun semata-mata mahu kekalkan amalan tatkala
lama bertapa di Kerinci.
Napisah satu-satunya yang tahu mengenai Tok Cenaku
meninggalkan kampung halaman di Silungkang terus sahaja ke Kerinci di Jambi.
Memang Tok Cenaku beritahu mengenai dirinya mahu menjadi lelaki tampan hingga
sanggup bertapa ditengah gua semata-mata berbekalkan air sungai di Kerinci.
Tok Cenaku sekadar meneguk tujuh teguk sahaja air sungai
berkenaan itu setiap hari dengan tidak menjamah apa-apa pun makanan. Lama dia
bertapa tiba-tiba sahaja Tok Cenaku menyedari dirinya bertukar menjadi harimau
yang boleh patahkan tengkuk kerbau tengah galak membajak di sawah.
Kecewa benar Tok Cenaku apabila menjelma jadi harimau
ganas di tengah hutan setelah lama bertapa dengan meneguk tujuh teguk sahaja
air sungai yang dicedok di Kerinci. Apalah maknanya menjelma menjadi harimau
kalau dirinya tidak tampan. Tetapi Tok Cenaku diingatkan oleh gurunya perkara
bertukar menjadi tampan tidak sama dengan menjelma jadi harimau hingga tumbuh
belang seluruh badan.
Sebab itu guru Tok Cenaku beritahu supaya perkosa 44
orang wanita biar dirinya menjadi tampan seumur hidup. Lantas sahaja Tok Cenaku
menjelma menjadi harimau terconggok di tengah bilik tidur sebelum memperkosa
wanita ber kenaan. Dia tidak peduli apa pun rintangan asal sahaja kemahuan
dirinya dapat dilaksanakan.
"Kamu tahu Malim Melano, umur aku sekarang sudah
beratus-ratus tahun!' Tok Cenaku mengejeknya tetapi masih terkial-kial tidak dapat
bangun akibat tenaga nya lemah seluruh badan.
Memang Malim Melano tahu jelmaan Tok Cenaku mahu lemahkan
semangat nya biar segera berundur. Lantas dia mendengar bisikan Haji Maskor
supaya bacakan al-Fatihah tiga kali diikuti lima ayat terawal surah al-Baqarah,
ayat 16 dan 164 surah al-Baqarah serta Ayatul Kursi. Apabila dia terus membacakan
ayat 256, 257 284, 285 dan 286 surah at Baqarah diikuti ayat 18, 1 dan 20 surah
Ali Amran tiba tiba sahaja Tok Cenak tergigil-gigil tidak ketahuan Dia
melambai-lambai tangan meminta Malim Melano tidak meneruskan membaca.
Tetapi Malim Melano juga mendengar Haji Maskor bisikkan
ke telinganya supaya bacakan ayat 54, 55 dan 56 surah al-Araaf, kemudiannya ayat
117 dan 118 surah al-Mukminun terus dengan 11 ayat terawal surah as-Saffa
menyebabkan Tok Cenaku menggelepar menahan senak perut yang menusuk-nusuk.
Saat ini Tok Cenaku mengakui amalannya sudah diturunkan
sejak bertahun-tahun. Siapa sahaja amalkan mahu menjelma menjadi harimau
selepas bertapa dengan meneguk tujuh teguk dari sungai setiap hari, dia tetapkan
juga mesti perkosa sampai 44 orang wanita. Kalau tidak dapat perkosa wanita
sampai 44 orang, nescaya akan kekal menjelma menjadi harimau seumur hidup.
Dalam masa Tok Cenaku menggelepar inilah, Malim Melano
dikejutkan oleh Haji Maskor disebabkan sudah santak subuh. Ketika ini Napisah
juga sudah termengah-mengah dengan ombak dada mencemaskan. Tidak lama selepas dibacakan
Yasin dalam hembusan dingin pagi itulah Napisah menutup matanya rapat-rapat.
Sebak benar hati Malim Melano dengan kejadian yang
menimpa isterinya disebabkan dia melihat sendiri jelmaan Tok Cenaku yang
membuat pesona.
Ketika jenazah dibujurkan baik-baik, Malim Melano
diberitahu mengenai bapanya Pak Kobeng terkejang mati dengan kepalanya bertukar
menjadi harimau. Ekornya juga menjulur panjang sama macam Tok Cenaku menggelepar.
Seluruh tubuh mayat melecur laksana tercampak ke dalam bara api.
Kejadian yang menusuk perasaannya itulah menyebabkan
Malim Melano tidak tergamak mahu menatap muka sesiapa sahaja di kampung halamannya.
Tatkala jejak kaki di Semenanjung pun dia tidak terus ke kampung berkenaan,
tetapi lama menjadi buruh kasar di merata tempat.
Memang Haji Maskor memujuk dia supaya tidak tinggalkan
kampung halaman kerana di mana-mana pun dugaan demikian tetap merobek perasaan.
Tetapi Malim Melano berkeras juga meninggalkan kampung halaman di Solok, terus
menetap di Payakumbuh. Setelah berpindah di Kapur Sembilan dia terus ikut kapal
barang menyeberangi laut jejak kaki ke Semenanjung.
"Kalau saya menjadi punca kampung ni tak aman, biar
saya berpindah Tok," tutur Malim Melano perlahan menahan perasaan terharu
menatap muka Tok Ompek.
"Saya tak melarang Malim," ujar Tok Ompek
memujuknya supaya tidak terburu-buru mengambil keputusan sama macam meninggalkan
kampung halamannya. "Tapi, Malim bersihkan dulu nama Malim di sini,"
tegasnya ingatkan Malim Melano mengenai tuduhan orang-orang kampung.
"Apa lagi yang saya boleh buat, Tok?" memang
kecewa Malim Melano apabila dia dituduh orang-orang kampung fasal kejadian
lembaga hitam tidak berpakaian menceroboh masuk ke rumah.
"Kita buktikan bukan Malim yang amalkan amalan
terkutuk tu!" Tok Ompek menggertap bibir disebabkan kenang orang-orang kampung
mudah sangat menuduh.
Memang seisi kampung syak Malim Melano yang menjelma
menjadi lembaga hitam tidak berpakaian itu. Belum pernah berlaku kejadian demikian
sebelum Malim Melano jejak kaki ke situ. Tidak lama selepas Malim Melano
menumpang di tanah Tok Ompek, tiba tiba sahaja kampung mereka diganggu lembaga
hitam tidak berpakaian.
Siapa lagi yang amalkan ilmu hitam kalau bukan Malim
Melano? Apa lagi dia datang dari seberang, memang mudah mereka syak fasal
amalan ilmu hitam demikian. Mereka dengar mengenai amalan ilmu hitam sering
digunakan oleh mereka yang baru jejak kaki ke kampung berkenaan.
Manalah mereka tahu fasal Malim Melano lama belajar agama
di Padang Panjang, sebelum dia belajar dengan Haji Maskor. Tetapi Haji Maskor
tidak pernah tunjuk dengan orang-orang kampungnya di Solok mengenai doa-doa
tatkala diganggu amalan ilmu hitam.
Dia sekadar meminta mereka solat hajat atau solat tahajud
sahaja, biar Allah lindungi seisi kampung daripada mara bahaya. Sebab itu Malim
Melano pegang kukuh-kukuh ingatan Haji Maskor. Apabila Tok Ompek mendesak biar
dia bertahan di kampung berkenaan, Malim Melano berikrar akan membantu lelaki
berkenaan.
Setelah dimintanya kacang hijau digaul garam kasar, Malim
Melano bacakan 100 kali surah al-Quraisy selepas solat maghrib. Kemudian
ditaburkan keliling rumah Tok Ompek. Apabila diserunya supaya jelmaan lembaga hitam
itu menyerbu ke rumah Tok Ompek, dia memberi isyarat supaya Tok Ompek sekeluarga
tidur sahaja sepanjang malam.
Esok paginya sebelum matahari memancar, mereka isi kampung
gempar melihat lelaki tidak berpakaian berjalan berkeliling rumah macam mencari
ruang membolos keluar. Seluruh badan lelaki berkenaan berlumur minyak hitam
hingga siapa pun sukar mahu mengenalinya.
Setelah ditepuk belakangnya tiga kali oleh Malim Melano
baru dia tersentak. Segera Malim Melano mengajak naik ke rumah Tok Ompek.
Sebaik diberi minum kopi o, lelaki itu terjerit kesakitan hingga jatuh
tersungkur. Lama lelaki mengerang-ngerang kesakitan tiba-tiba minyak hitam yang
melumuri badannya beransur hilang. Ketika ini mereka kenali lelaki berkenaan
memang Surip Labang yang sudah lama meninggalkan kampung halaman.
"Ah, cerita dah bertahun-tahun dulu, mana saya nak
ingat sangat, ustaz," tutur Malim Melano beritahu semasa saya berkunjung
ke rumahnya. Memang anaknya Mat Sudi yang beritahu mengenai ayahnya baru sahaja
balik ke rumah setelah berminggu-minggu terkejang di hospital.