Sunday, September 24, 2017

246.MAYAT BANGKIT DARI KUBUR

TATKALA bersetuju ambil upah kontrak pindahkan kubur, memang Jenal Tagan tidak bimbang apa-apa. Apa sangat dengan menggali kubur pindahkan rangka ke kawasan lain setelah sebahagian tanah kubur itu terpaksa dilunggah. Sebaik sahaja kawasan berkenaan dibangunkan, siapa pun tidak membantah kubur di dipindahkan.
Satu-satunya sanggup pindahkan kubur-kubur di situ hanya Jenal Tagan. Biarlah sampai santak tengah malam pun Jenal Tagan sanggup korek untuk pindahkan kerangka manusia yang sudah dikebumikan bertahun-tahun. Puas juga dia meng-ajak kawan-kawan membantu, tetapi masing-masing enggan mengorek tanah kubur.
Masing-masing tahu kalau terkena badi bukan mudah mahu pulihkan apabila mulut terherot tidak bersebab. Sudah berkali-kali mereka dengar mengenai kejadian ditimpa badi apabila mengorek tanah kubur lama. Sewaktu membuat padang sekolah yang membabitkan kubur lama dalam kawasan kebun getah Mat Resat sendiri melihat bulldozer mati enjin tidak semena-mena.
Apabila digagahi juga mahu melunggah, India pemandu bulldozer rebah tidak sedarkan diri. Mulutnya berbuih-buih setelah bulldozer menolak tanah bergulung-gulung dengan tengkorak mayat. Tidak sempat dibawa ke hospital lelaki India itu terkejang mati dengan mata terbelalak.
Setelah dipanggil Pawang Lah tepung tawar kawasan kebun getah terletak kubur lama yang tidak mempunyai batu tanda itu, barulah kejadian yang menimpa lelaki India pemandu bulldozer itu tidak berulang. Manalah kubur lama terconggok batu nesan macam tanah perkuburan dalam kampung. Kubur-kubur lama sekadar letakkan batu sungai sahaja dijadikan tanda oleh kaum kerabat.
"Jangan buat kerja sia-sia!" Mat Resat ingatkan kawannya sebaik sahaja Jenal Tagan memujuknya ikut sama ambil upah pindahkan kubur.
"Kita bukannya berniat salah," beritahu Jenal Tagan setelah menyedari Mat Resat takut sekiranya bekerja sampai santak tengah malam. Memang Jenal Tagan sudah memberi jaminan kepada kontraktor yang mengendali-kan pemindahan tanah kubur berkenaan, dia boleh siapkan kerjanya dalam tempoh beberapa hari sahaja. Sebab itu dia mesti korek sampai santak tengah malam biar kerja-kerja pemindahan dapat dibuat cepat.
"Kamu tak takut ditimpa badi ke, Jenal?" ujar Mat Resat mendesak kawannya supaya tidak menerima kerja memindahkan kubur berkenaan.
"Kalau buat kerja bertujuan balk, kenapa pula takutkan badi?" sengaja Jenal Tagan mengusik kawannya yang mudah sahaja gelabah tidak menentu.
"Kamu tak ingat fasal buat padang sekolah!" lantas Mat Resat ungkit mengenai kejadian menimpa pekerja-pekerja lunggah tanah kubur tatkala membina padang sekolah di kampungnya.
"Mereka buat salah sendiri, tak tahu hormatkan tanah kubur," Jenal Tagan memang menyedari kejadian yang berlaku bertahun-tahun sebelum itu. Masa perintah orang putih manalah mereka peduli sangat mengenai tanah perkuburan orang Islam. Asal sahaja perlu dilunggah mereka akan sondol dengan bulldozer.
Tetapi Jenal Tagan tidak akan korek kubur-kubur lama itu dipindahkan ke tanah perkuburan lain sekiranya tidak membakar kemenyan terlebih dahulu. Tahu sangat kontraktor yang harapkan bantuan Jenal Tagan membantu pindahkan tanah kubur berkenaan, disebabkan sudah beberapa kali dia meminta bantuan.
Memang Jenal Tagan satu-satunya murid arwah Pawang Lah yang mampu kendalikan apa sahaja kalau fasal gangguan di mana-mana. Apabila kontraktor berkenaan dapat tender menebang pokok besar di pinggir pekan, memang Jenal Tagan menjadi tumpuan. Sudah ramai kontraktor mencuba mahu menebang pokok besar apabila jalan mahu dilebarkan, tetapi siapa pun tidak berani teruskan.
Sebaik sahaja pekerja memanjat membawa mesen gergaji mahu memangkas dahan, tidak bertangguh dicampakkan mesen gergaji ke tanah. Terus sahaja dia mengelungsur turun tidak bercakap apa-apa. Sebaik sahaja turun ke perdu pokok tiba-tiba sahaja dia jatuh tersemban muka hingga menggelepar laksana ikan semilang dicampak ke tebing sungai.
Lebih setengah jam pekerja itu tidak sedarkan diri baru dia bingkas bangun terpinga-pinga. Matanya liar memerhati ke dahan pokok berkenaan dalam keadaan ketakutan. Telunjuknya menuding ke arah dahan sambil mulut becok beritahu mengenai perempuan India memakai sari tergantung disitu. Memang mereka yang terconggok di situ berasa hairan kerana tidak siapa pun melihat perempuan India tergantung pada dahan.
Apabila kontraktor berkenaan mendapat tender, segera dipanggilnya Jenal Tagan membantu pangkas dahan. Setelah Jenal Tagan membakar kemenyan lantas berkeliling tujuh kali di perdu pokok. Kemudian dia simbah perdu pokok dengan air terus menyeru:
Hai saudaraku yang berempat, berlima dengan aku, datang kau di kananku, datang kau di kiriku, datang kau di depanku, datang kau di belakangku, engkau batang tubuh ku, aku nur tak akan binasa, hu...
Tatkala Jenal Tagan hentakkan tumit tiga kali ke tanah, sekali gus angin bertiup kencang hingga terdengar bunyi berdebap bagaikan guni padi berisi padat jatuh tidak bertampan. Selepas tidak kelihatan apa-apa pun tergantung pada dahan pokok berkenaan, lantas Jenal Tagan benarkan pekerja-pekerja kontraktor berkenaan tebang sampai pokok tersembam habis. Tidak ada apa-apa gangguan tatkala mereka ranggah dahan-dahan pokok yang digayuti akar beringin.
"Memang pokok tu tempat orang gantung diri dulu," ujar Jenal Tagan apabila kontraktor itu bimbang sangat mahu menebang pokok berkenaan.
"Tentu pokok tu berpuaka!" sahut kontraktor berkenaan tersengih-sengih setelah pekerja-pekerjanya dapat menebang hingga tumbang meredum.
"Berpuaka atau tidak, saya tak tahu," jetas Jenal Tagan kerana tidak berani menuduh apa-apa. "Dulu, memang ada orang gantung diri di sini," dia menambah setelah diberitahu penduduk-penduduk di situ mengenai perempuan India membunuh diri akibat sering bertengkar dengan suaminya.
Asal sahaja suaminya balik datam keadaan mabuk nescaya dia menjadi sasaran. Lebam-lebam mukanya dibelasah kalau bertengkar sepanjang malam. Sengaja suaminya mencari kesalahan dia apabila balik jejak kaki ke rumah. Sia-sia sahaja dia memujuk meminta betas kasihan, memang suaminya tidak peduli apa-apa.
Jiran-jiran tidak berani membantu tatkala suaminya tengah memberang laksana dirasuk jembalang. Bukan takat tangan sahaja hinggap ke muka, kalau dia mencapai kayu pun nescaya badan perempuan itu dibelasah teruk. Lama dia termenung menahan rusuh yang bergejotak di hati, lantas perempuan India itu turun meninggalkan rumah tatkala nja menyerkup.
Semasa suaminya balik mabuk tengah malam bertambah marah dia apabila isterinya tidak ada di rumah. Lantas sahaja dia menyerbu kerumah jiran-jiran mendesak jangan sembunyikan isterinya. Tetapi jiran-jiran salahkan dia menyebabkan isteri sendiri lari tinggalkan rumah.
Ketika ini mandor di situ simbah lelaki India itu dengan air hingga dia menggelepar terpinga-pinga. Biarlah tengah malam sewaktu angin dingin mengelus, mandor berkenaan simbahkan juga air hingga basah lukus. Tatkala lelaki India itu termengah-mengah, baru mandor beritahu mengenai isterinya tidak disembunyikan oleh jiran-jiran. Dia menyuruh lelaki India tersebut cari isterinya di mana-mana belukar sekiranya perempuan berkenaan bersembunyi di situ.
Jiran-jiran juga ikut sama membawa suluh membantu lelaki berkenaan mencari isterinya. Semasa melintasi pokok besar itu, berdetak sahaja hati mandor mahu menyuluh ke dahan pokok. Terkejut benar dia apabila melihat perempuan berkenaan tergantung dengan pakaian sarinya berombak-ombak ditiup angin malam.
"Dah lama kejadian tu berlaku, encik," beritahu Jenal Tagan menatap muka kontraktor itu. Dia sendiri sekadar mendengar cerita daripada penduduk-penduduk di situ mengenai kejadian yang berlaku bertahun-tahun se-belumnya. Sebab itu Jenal Tagan tidak tahu sama ada kawasan pokok besar ber-kenaan berpuaka atau pun tidak.
Sebaik sahaja diminta pindahkan tanah perkuburan di kampung berkenaan akibat mahu dibangunkan, tidak bertangguh kontraktor berkenaan memujuk Jenal Tagan. Bila-bila sahaja Jenal Tagan menyanggupi pindahkan asal sahaja tidak musnahkan tempat berkenaan. Dia akan korek balk-balk biar tulang belulang kerangka tidak bersepah merata. Selepas itu akan dikebumikan balk-balk juga di kawasan tanah perkuburan baru.
Memang Jenal Tagan tahu siapa pun tidak akan melarang kalau dipindahkan balk-baik. Lainlah kalau dilunggah macam mencebak ubi tengah batas, tentulah tidak hormatkan tanah kubur. Jenal Tagan sendiri tidak akan membantu sekiranya kontraktor berkenaan mahu musnahkan dengan menghantar bulldozer menyodok tidak peduli apa-apa.
"Upahnya mahal, kalau kamu mahu," Jenal Tagan ingatkan kawannya Mat Resat sekiranya mahu ikut sama pindahkan kubur.
"Takkan nak sampai tengah malam buat kerja," serba salah juga Mat Resat mahu menolak apabila kenang upahnya yang mahal. Bukan mudah mahu dapatkan upah lumayan kalau bandingkan mencari manau di hutan. Kadangkala meranduk jauh ke tengah hutan belum tentu boleh terserempak manau sampai berkabung-kabung.
"Orang tu nak cepat siapa kan projeknya," beritahu Jenal Tagan disebabkan dia suda berjanji mahu siapkan dalam tempoh beberapa hari sahaja.
Dalam keadaan serba salah itulah Mat Resat bersetuju membantu. Apalah salahnya buat kerja sampai santak tengah malam gunakan lampu di kawasan tanah kubur itu kalau Jenal Tagan sama tercokok. Tentu kontraktor itu juga akan datang menjengah mahu pastikan kerja memindahkan kubur cepat diselesaikan..
Terpaksa pula kontraktor berkenaan dirikan khemah disitu biar Jenal Tagan tidak perlu balik ke kampung halaman. Selagi kerja pindahkan kubur tersebut tidak selesai, dia akan terus tahan di khemah berkenaan. Tidak ada apa-apa yang bimbangkan dia kalau tinggal di kawasan tanah perkuburan sampai beberapa hari.
Selama dua hari mengorek kubur kumpulkan tulang belulang kerangka, Mat Resat tidak menghadapi apa-apa masalah. Selepas mencebak habis sampai ke liang lahad, Jenal Tagan akan masuk kumpulkan tulang belulang kerangka. Dia akan susun tengkorak dengan tulang belulang lantas dibungkus semula dengan kain kapan. Sampai tengah malam pun mengorek kubur, Mat Resat tidak berasa bimbang apa-apa disebabkan lampu terang benderang gunakan generator.
Selepas solat maghrib hari ketiga terasa pada Mat Resat badannya lenguh-lenguh sangat mahu teruskan kerja mengorek kubur. Tetapi serba salah juga dia mahu mengelak apabila Jenal Tagan mendesak teruskan juga.  Apa lagi tidak banyak kubur yang perlu dikorek untuk dipindahkan.
Semasa mengorek kubur dibawah pokok temunik di sekeliling kawasan kubur sudah diserkup kegelapan. Hanya lampu pada khemah sahaja terang benderang menyilau sampai ke bawah pokok temunik berkenaan. Bunyi generator juga membingit setelah malam kian diselubungi kesepian. Tatkala mula mencebak kubur, tiba-tiba sahaja kaki Mat Resat dihurung semut gatal menyebabkan dia terlompat-lompat mengelak.
Cepat-cepat Jenal Tagan pula mencebak tanah berkenaan. Memang terasa pada Jenal Tagan semut banyak merayap menyusup di celah kaki seluar, tetapi dia berpura-pura tidak diganggu apa-apa. Kalau dia gelabah semata-mata diganggu semut menyusup pada kaki seluar, tentu Mat Resat semakin tidak keruan.
Lama dia mencebak semut gatal yang banyak terus merayap sampai ke kangkang. Jenal Tagan segera menepis-nepis kangkang seluar biar semut-semut yang menyusup di situ tidak merayap berterusan. Kemudian dia membacakan al-Fatihah tiga kali diikuti dengan surah al-lkhlas. Apabila semut-semut gatal itu pula menggetis celah kangkang segera Jenal Tagan membacakan:
 Inna fikh-tilafil laili wannahari wama kholaqollahhu fis-samawati wal-ardhi la-ayatin liqaumi yattaqun.
Apabila dia kira-kirakan kaki seluarnya, Jenal Tagan melihat pasir merah bersirak jatuh. Tersenyum Jenal Tagan kerana menyedari dia hampir terlupa berdoa tatkala mencebak tanah kubur. Tidak berdoa apa- apa semasa tanah kubur samalah macam tidak hormatkan penghuni kubur berkenaan juga.
"Minta maaflah kawan, fasal nak gali kubur awak ni," tutur Jenal Tagan seolah-olah berdepan dengan teman yang dilawan bercakap.
"Awak bercakap dengan siapa, Jenal?" sengaja Mat Resat mengusik disebabkan dia tahu sikap kawannya mahu menyembunyikan sesuatu.
"Bercakap dengan semut," beritahunya dalam ketawa setelah menyedari Mat Resat mengusiknya. "Sekarang awak bercakap dengan semut, nanti bercakap dengan pokok temunik pula!" Mat Resat juga ketawa semata-mata mahu menyembunyikan rasa bimbang di hati.
"Kawan bercakap dengan pokok tak apa," sahut Jenai Tagan terus mencebak semula tanah kubur. "Takut-takut kalau pokok temunik tu bercakap dengan kawan," dia menambah sengaja bergurau untuk menghilang keletihan semenjak tiga hari berturut-turut mengorek kubur.
"Kalau semua yang bercakap, macam mana?' ujar Mat Resat terlangah-langah memerhati semut di atas tanah kubur.
"Awaklah yang lawan semut tu bercakap!" terkekeh-kekeh Jenal Tagan ketawa apabila kenang semut-semut yang merayap akan bercakap dilayani oleh Mat Resat.
Tetapi Jenal Tagan dapat mengagak memang Mat Resat sudah mulai ketakutan semenjak mengorek pindahkan kubur berkenaan. Kadangkala sengaja Mat Resat tidak mahu melihat tengkorak yang ditarik keluar dari liang lahad. Asal sahaja sudah dikorek sampai ke liang lahad, Mat Resat cepat-cepat membungkus tengkorak dengan kain. Serba salah dia mahu melihat lubang mata terlopong besar.
Setelah bergilir-gilir mencebak tanah, segera Mat Resat melompat naik setelah mata cangkul singgah pada liang lahad. Cepat-cepat pula Jenal Tagan turun ke dalam lubang mahu mengutip tulang belulang kerangka. Sewaktu dia menyuruh Mat Resat turunkan lampu, perlahan-lahan Jenal Tagan mengorek liang lahad kerana bimbang mata cangkul menyinggahi tengkorak.
Sebaik sahaja dia mengorek liang lahad terkejut Jenal Tagan apabila melihat tangan mayat terhulur keluar. Tatkala dia menarik tangan berkenaan tubuh mayat tidak reput Iangsung sekalipun kain kapannya sudah hancur. Cepat-cepat dia meminta Mat Resat hulurkan kain bersih terus menyelimut mayat berkenaan.
Semasa ditarik keluar Jenal Tagan cam mayat berkenaan seorang perempuan separuh umur, seolah-olah tengah terbaring tidur. Terpaksa juga Mat Resat membantu sekalipun dalam keadaan serba salah. Tetapi Jenal Tagan ingatkan dia mengenai kebesaran Illahi apabila mayat yang sudah dikebumikan berpuluh-puluh tahun masih tidak reput apa apa.
Pada dahi mayat masih ada kesan parut, sekalipun rambutnya tidak luruh dari kepala. Segera Jenal Tagan menyuruh Mat Resat beritahu imam kampung disebabkan mayat yang dikorek masih sempurna. Biarlah dia menunggu di situ sampai orang-orang kampung datang menjengah. Masakan Mat Resat sanggup bertahan menunggu mayat berkenaan sekiranya dia memberitahu imam di situ.
Tatkala Imam Suh bersama orang-orang kampung datang menjengah, memang beristighfar berulang kali dia setelah melihat keadaan mayat. Apa lagi batu tanda di atas kubur bukanlah batu nesan biasa, disebabkan kubur lama di situ sudah bertahun-tahun ditempatkan di situ. Sebab itu Imam Suh desak kebumikan juga mayat berkenaan sama macam kebumikan mayat baru meninggal dunia juga. Keadaan mayat tersebut masih sempurna sekalipun mengecut sedikit. Bibirnya pucat tetapi wajahnya bersih seolah-olah tengah tidur nyenyak. Memang tersedu-sedu Imam Suh menahan keharuan setelah diberitahu mengenai keadaan mayat berkenaan tidak reput setelah berpuluh-puluh tahun dikebumikan.
"Emmm, macam-macam yang Aki alami masa gali kubur dulu," beritahu Jenal Tagan tersengih-sengih menatap muka saya apabila kenang Mat Resat mengigau malam selepas kejadian tersebut.
Setelah balik semula ke kampung halaman sebaik sahaja kerja pindahkan kubur selesai, memang Kak Ibun isteri Mat Resat mengadu pada Jenal Tagan mengenai suaminya sering mengigau malam. Kadangkala Mat Resat meracau-racau tidak menentu menyebabkan Kak Ibun menjadi tidak keruan. Bimbang juga Kak Ibun kalau Mat Resat bertambah pasang hingga menghambur menerpa ke pintu. Ke mana pula mahu dicari sekiranya Mat Resat mengigau berlari sekeliling kampung.
Tetapi Mat Resat tidak percaya pun apabila isterinya beritahu dia mengigau meracau setiap malam. Lama dia mengalami diganggu igauan itu, Mat Resat bertam-bah kurus. Mukanya juga pucat seolah-olah mengidap demam kura berterusan. Lantas sahaja Kak Ibun menuduh suaminya diganggu bath disebabkan mengorek kubur.
"Orang nampak saya sakit, ustaz," ujar Mat Resat pula mengerling Jenal Tagan apabila beritahu saya kejadian yang menimpanya selepas mengorek kubur berkenaan.
 "Tapi, saya tak sakit apa-apa pun," tuturnya macam menahan sebak apabila kenang isterinya Kak Ibun rusuh sepanjang malam.
Memang Mat Resat berulang kali mengalami mimpi menggali kubur di kawasan perkuburan lama itu. Asal sahaja digali dia akan masuk mengorek liang lahad. Ketika ini mayat di dalam liang lahad bingkas bangun disebabkan tidak reput. Tersengih-sengih mayat berkenaan menepuk-nepuk bahu Mat Resat kerana bersusah payah memindahkan kuburnya.
Sekalipun mayat yang bingkas bangun dari liang lahad tidak mengganggu, tetapi Mat Resat bimbang tidak menentu. Apabila mahu melompat naik ke tebing melarikan diri, dia merasakan kakinya tidak boleh bangun berjejak. Segera dia melambai-lambai tangan meminta Jenal Tagan menariknya naik ke atas, tetapi kawannya tidak mendengar apa-apa.
Bunyi enjin generator yang membingitkan telinga menyebabkan Jenal Tagan tidak mendengar langsung dia melaung dari lubang kubur. Puas dia memanggil nama Jenal Tagan terlangah-langah sahaja memerhatikan dia di bawah. Ketika ini mayat yang bingkas bangun berbisik ke telinganya supaya tidak bimbang apa-apa.
"Kenapa awak takutkan kami?' mayat yang bangun dari liang lahad memujuknya supaya bertenang. "Macam mana awak dah mati, tapii bangun begini!" gerutu Mat Resat serba salah menahan rasa camas yang mencengkam perasaan.
 "Bukankah hidup dan mati ditentukan oleh Allah," jelas mayat berkenaan tersengih-sengih mengusap bahu Mat Resat. "Tapi, dunia kita tak sama," sahut Mat Resat geli gelemam kerana terasa sejuk tapak tangan mayat itu mengusap-usap bahunya.
"Kami kesian awak bersusah payah pindahkan kubur kami," semakin ramah mayat itu mengajak Mat Resat berbual di dalam liang lahad.
"Sebab kami dibayar upah," lantas Mat Resat mengakui dia melakukan kerja-kerja demikian disebabkan upah lumayan. Kalau takat sukarela bila-bila dia tidak akan ikut Jenal Tagan mengorek pindahkan kubur.
Terkekeh-kekeh mayat di dalam liang lahad ketawa apabila Mat Resat beritahu menerima upah mengorek kubur berkenaan. Ketika ini Mat Resat semakin gelisah apabila mayat berkenaan tiba-tiba reput hingga tulang belulang bersirak dia atas pangkunya. Sekali gus pula tengkorak mayat jatuh bergolek setelah tubuhnya reput tidak semena-mena.
Cepat-cepat pula Mat Resat merangkak naik mahu menyelamatkan diri apabila tanah kubur roboh menimpa-nya. Tatkala tangannya berpaut pada kaki Jenal Tagan sekali gus dia terasa kakinya direntap kuat. Tulang belulang di tengah liang lahad menariknya ke bawah hingga dia terkial-kial mahu bertahan.
Ketika ini terjerit-jerit Mat Resat hingga mengigau tidak menentu. Apabila isterinya kejutkan dia terpinga-pinga Mat Resat akibat tidurnya terganggu. Berulang kali dia beristighfar apabila kenangkan mimpi yang menakutkan hatinya. Tetapi dia tidak mengalami sakit apa-apa akibat mimpi diganggu mayat bangkit dari kubur itu.
Setelah diberitahu Jenal Tagan lantas dia langirkan Mat Resat dengan limau tatkala matahari naik segalah. Berturut-turut tiga pagi dia langirkan Mat Resat, tetapi Kak Ibun masih juga kebing-ungan disebabkan suaminya berterusan mengigau. Tubuh Mat Resat juga bertambah kurus dengan mukanya pucat seolah-olah mengidap demam kura terkukul-kukul.
"Jangan-jangan kamu ni kena sampuk tak, Resat?" tuduh Jenal Tagan setelah keadaan Mat Resat tidak juga mahu pulih.
"Kawan bukannya sakit, buat apa awak nak ubatkan," tersengih-sengih Mat Resat disebabkan Jenal Tagan risau sangat dengan keadaan dirinya.
"Kalau disampuk awak kena panjat pinang dara," ujar Jenal Tagan berikan petua sekiranya Mat Resat diganggu demam sampuk. Memang sesiapa diganggu demam sampuk,tidak merasa sakit apa-apa, tetapi sekadar tubuh sahaja semakin kurus dengan muka menjadi pucat cengkung.
Terpaksa juga Mat Resat mematuhi petua Jenal Tagan dengan memanjat pokok pinang dara tatkala matahari tengah naik. Tiga pagi berturut-turut juga Mat Resat memanjat pokok pinang dara hingga sampai ke pelepah. Setelah ikutkan petua Jenal Tagan, dia tetap juga diganggu mimpi asal sahaja nyenyak tidur tengah malam. Dia mengigau juga hingga meracau-racau tidak menentu menyebabkan Kak Ibun bertambah rusuh.
Apabila dicuba dengan petua, Mat Resat tidak juga pulih lantas Jenal Tagan membakar kemenyan. Kalau puaka kubur mahu berkeras, Jenal Tagan juga tahu bagai-mana mahu bertahan. Masakan dia berani mengambil upah mengorek kubur sekiranya tidak mampu bertahan apabila diganggu. Sia-sia dia belajar dari Pawang Lah sekiranya biarkan Mat Resat mengidap hawar selepas mengorek kubur.
Manalah tahu kubur yang dikorek itu mayatnya pernah mengidap penyakit berbahaya sebelum meninggal dunia. Tentu hawar penyakitnya masih berwap dalam liang lahad sekalipun sudah dikebumikan bertahun-tahun. Apa lagi kalau penyakit busung hingga reput bengkak membuncit, tertu hamanya masih berkeliaran mencari mangsa. Kalau tidak penyakit busung pun, boleh jadi juga penyakit taun yang membunuh mangsa sampai tujuh lapan orang dalam masa sehari.
Hawar penyakit taun juga mudah berjangkit kalau hamanya liar menyerbu mangsa. Sebab itu Jenal Tagan mesti membakar kemenyan biar dapat tentukan penyakit yang dihidapi oleh Mat Resat. Kalau disebabkan hawar penyakit dia mesti tawar sampai hama yang ganggu Mat Resat luruh macam semut dicucuh api. Lainlah diganggu puaka memang Jenal Tagan cekak sahaja tengkuk jelmaan yang merasuk dalam diri Mat Resat.
Tidak sia-sia dia minta turunkan amalan daripada arwah Pawang Lah yang meminta dia solat tengah malam di masjid lama. Jenal Tagan sanggup bersendirian sahaja di tengah masjid tatkala malam. Masjid lama itu tidaklah terbiar, tetapi terletak jauh di hujung sawah. Tabuhnya juga masih kukuh setelah dibuat bertahun-tahun dari kayu cengal yang diusung beramai-ramai di tengah hutan.
Siapa pun tidak berani memukul tabuh berkenaan kecuali Siak Kisut. Memang Siak Kisut turun temurun menjaga masjid berkenaan disebabkan nenek moyangnya yang mahir membuat tabuh. Semenjak turun temurun pula tabuh berkenaan tempat tebuan bersarang hingga penuh tersendat. Tetapi tebuan di dalam tabuh berkenaan tidak akan mengganggu sekiranya Siak Kisut memukul beduk asal sahaja masuk waktu solat.
Sebab itu siapa pun tidak berani memukul tabuh
86
berkenaan kerana bimbang tebuan bersarang di situ akan menyerbu keluar. Sudah tentu jemaah yang mahu dirikan solat bercempera lari apabila tebuan berterbangan mencari mangsa. Di masjid lama itulah Pawang Lah menyuruh Jenal Tagan tidur setiap malam, kemudian bangun solat tahajud sampai berturut-turut 44 malam.
"Kamu ni lemah semangat, Resat," ujar Jenal Tagan selepas membakar kemenyan peninggalan yang ditemuinya semasa berturut-turut 44 malam tidur di masjid lama. Tiba-tiba sahaja dia melihat bungkusan kain hitam lusuh di hulu kepalanya semasa bangun untuk solat subuh. Sudah berkali-kali digunakan kemenyan berkenaan tidak juga susut dari dalam bungkusan tersebut.
 "Lemah semangat macam mana pula?" tersengih-sengih Mat Resat sengaja mahu bergurau disebabkan dia tidak mengalami apa-apa sakit. Hanya setiap malam sahaja diganggu mimpi seolah-olah mayat dari kubur bangkit tatkala dia mengorek pindahkan kubur berkenaan.
"Orang sana nak ikut balik, tapi kamu tak perasan," beritahu Jenal Tagan tetapi Mat Resat tidak memahami apa-apa pun.
"Kalau perempuan apa salahnya, boleh juga beristeri dua," sahut Mat Resat mengusik lantas mengerling Kak Ibun.
"Muka tu dah pucat cengkung, ada hati nak kahwin lagi," lantas Kak Ibun mencebek bibir sekalipun dia menyedari suaminya sekadar bergurau mahu berkahwin lain. Masakan Mat Resat mahu berkahwin lain sedangkan pendapatannya tidak seberapa!
"Ini bukan fasal perempuan nak ikut kamu!" jelas Jenal Tagan ingatkan kawan-nya mengenai gangguan yang merasuk. Kalau takat bermimpi menemui mayat bangkit dari kubur, kenapa tubuhnya menjadi kurus hingga muka juga pucat cengkung?
Jenal Tagan dapat melihat bayangan perempuan yang berparut dahi itu menjelma di tengah asap kemenyan melabun. Tersenyum perempuan itu sekalipun mukanya pucat dengan tubuh mengecut. Lantas sahaja perempuan tersebut beritahu mengenai tubuhnya tidak reput sewaktu dikorek dari kubur sekalipun sudah beratus-ratus tahun dikebumikan.
Jelmaan perempuan itu bagaikan berterima kasih pada Jenal Tagan disebabkan sanggup pindahkan kuburnya. Apa lagi Jenal Tagan bercekang mata sampai santak tengah malam semata-mata pindahkan kubur di situ. Tentu kubur berkenaan akan dilunggah habis sekiranya Jenal Tagan tidak mahu menerima upah pindahkan setelah dikorek habis.
Bukan semua orang mahu korek kubur dipindahkan ke kawasan lain. Apa lagi mahu memunggah tulang belulang dengan tengkorak yang sudah bersirak di dalam liang lahad. Takat upah beratus-ratus ringgit tidak sama dengan ketabahan jiwa semasa pindahkan kubur demikian. Sebab itu perempuan yang menjelma di tengah kepulan asap kemenyan itu seolah-olah mahu menuturkan sesuatu pada Mat Resat.
"Mat Resat tak tahu apa-apa, kalau nak cakap beritahu pada kawan aje!" tegas Jenal Tagan menatap muka perempuan yang menjelma di depannya.
Tetapi dia tidak mendengar apa-apa pun dituturkan oleh perempuan berkenaan. Lantas Jenal Tagan ingatkan sekiranya jelmaan itu tidak mahu berganggu lebih baik berundur serta merta. Kalau terus bertahan dia tetap akan cekak leher macam menangkap haruan tengah selut. Bila-bila jelmaan perempuan itu tidak akan dapat meloloskan diri apabila dia lenyapkan dirinya dalam kepulan asap kemenyan di depannya.
Setelah jelmaan perempuan itu hilang, lantas Jenal Tagan mengajak Mat Resat menemui Imam Suh di kampung mereka pindahkan kubur itu. Perlahan-lahan Imam Suh mengesat pelupuk mata apabila diberitahu mengenai Mat Resat bermimpi diganggu mayat bangkit dari kubur.
Memang Imam Suh mengakui kubur lama di situ sudah bertahun-tahun mayat dikebumikan. Tentu mayat yang dikebumikan mati akibat mengidap penyakit berbahaya hingga kumannya masih membiak. Manalah mereka dapat melihat kuman kalau sekadar melihat dengan mata kasar. Imam Suh yakin kuman penyakit tidak akan musnah selepas mangsa dikebumikan di dalam liang lahad.
Apa lagi kalau diganggu penyakit taun hingga terkejang tidak sempat diubati memang kumannya mudah berjangkit. Semua penyakit yang menyebabkan kematian kumannya tetap berbahaya, sebab itu siapa pun tidak sanggup mahu korek pindahkan kubur. Tahu sangat Imam Suh mengenai penyakit disebabkan dia lama berkhid-mat dengan hospital sebelum bersara.
Tetapi dia ingatkan Mat Resat supaya menemui doktor juga, sekalipun dia tapa air di atas kubur mayat perempuan yang tidak reput. Tiga senja berturut-turut dia tapa air di situ, kemudian jiruskan ke kepala Mat Resat tatkala matahari naik segalah. Dia sendiri jiruskan dengan membaca tiga kali al-Fatihah.
Selepas dijirus air tapa di atas kubur mayat perempuan tidak reput itu, Mat Resat tidak lagi diganggu mimpi sampai mengigau tidak menentu. Kak Ibun cam memang Mat Resat nyenyak tidur sampai ke pagi. Sebulan dia tidak diganggu igau meracau-racau itu muka Mat Resat juga tidak pucat lagi.
"Terpaksa Imam Suh tapa air di atas kubur mayat tak reput tu, ustaz," Jenal Tagan beritahu saya apabila ingat-kan kejadian Mat Resat diganggu mimpi mayat bang-kit dari kubur itu.
"Tapi kejadian tu dah lama berlaku, ustaz," sahut Mat Resat pula mengerling Kak Ibun termengah-mengah sesak nafas semenjak ber-bulan-bulan. Sudah puss dia meminta Jenal Tagan ubatkan isterinya, namun keadaan Kak Ibun masih juga tidak reda,
 "Madam mana ustaz tahu fasal kejadian pindahkan kubur ni?" lantas Kak Ibun mencelah kerana hairan apabila saya tiba-tiba sahaja bertanyakan mengenai .kejadian Jenal Tagan mengorek pindahkan kubur itu.
Memang Jenal Tagan tidak beritahu apa-apa pun semasa saya menjengah Kak Ibun terkejang akibat mengisap sesak nafas. Puas dia mencuba ubati untuk sembuhkan penyakit Kak Ibun termengah-mengah sesak nafas, lantas dia beritahu saya tatkala berkunjung ke rumah-nya. Cepat-cepat Jenal Tagan mengajak saya menjengah Kak Ibun.
Jenal Tagan pun takat pangkat datuk saudara sahaja kepada saya, bukanlah disebabkan umurnya tua sangat. Memang saya tahu dia sepupu Aki Sahak, tetapi saya tidak rapat disebabkan jarang bertemu dia. Apa lagi kampungnya jauh dari Pelangai yang sering saya kunjungi apabila menemui Aki Sahak.
"Arwah Abang Sahak dulu selalu beritahu Aki mengenai ustaz," tersengih-sengih Jenal Tagan menjelaskan apabila mendesak saya ikut sama menjengah Kak 'bun yang berbulan-bulan terkejang akibat termengah-mengah sesak nafas. Sewaktu Mat Resat menyambut kami di serambi dia ulangi juga mengenai Aki Sahak sering beritahu fasal diri saya kepadanya.