SEJAK usaha mengubat Mat
Akir diheboh-hebohkan, tiba-tiba saja dia hilang dari kampung. Kali terakhir
dia dilihat oleh Latip Debok ialah ketika menuju ke sungai memasang rawai.
Kalau mahu dikatakan dia dihanyutkan arus,tidak mungkin, kerana sungai di
kampung itu tidaklah besar sangat. Arusnya juga tidak kuat. Airnya juga cetek
hanya separas pinggang saja.
Walaupun usaha mencarinya
dilakukan oleh orang-orang kampung tetapi tidak juga ditemui. Kalaulah benar
Mat Akir dihanyutkan arus, tentu bertemu juga dengan mayatnya. Hanya yang di
jumpai oleh orang-orang kampung ialah rawai yang dipasangnya. Ada setengah
rawainya memang terdapat ikan yang sudah mati.
Kehilangan Mat Akir ini
merunsingkan fikiran Mak Teh. Selalulah dia termenung mengenangkan nasib yang
menimpa Mat Akir. Kalaulah mati ada juga tanda batu nesannya. Selain dari Mat
Akir ada juga anak Mak Teh seorang perempuan iaitu kakak kepada Mat Akir.
Tetapi Saerah anaknya sudah
berkahwin dan mempunyai anak-anak. Saerah tidak lagi tinggal bersamanya. Sebab
itulah kehilangan Mat Akir itu terasa sangat memilukan hatinya.
Dengan kehilangan Mat Akir
itu berakhirlah kisahnya di kampung berkenaan. Bagaimanapun Pawang Bulin tetap
berkeyakinan bahawa Mat Akir sudah dilarikan oleh bunian. Menurut cerita Pawang
Bulin, dia sendiri tidak dapat menentang kelebihan ilmu kebatinan Mat Akir.;
“Kalau sekadar Mat Akir
dikuasai oleh bunian, aku masih boleh mengambilnya balik. Tetapi kalau Mat Akir
sendiri tidak mahu balik ke pangkuan kita, aku sendiri tak upaya nak
menentangnya. Mat Akir bukan lagi Mat Akir sebelum ini,” demikian pengakuan
dari Pawang Bulin.
Tetapi cerita Pawang Bulin
ini tidak dihiraukan sangat oleh orang-orang kampung. Ada setengahnya
berpendapat Mat Akir terkena sawan babi ketika merawai, lalu dihanyutkan oleh
arus. Mayat Mat Akir tidak dapat ditemui lagi kerana sudah ditimbus oleh pasir
di dasar sungai.
“Tapi, Mat Akir tidak
pernah kena sawan babi.” Ujar Mak Teh bila Rasad suami Saerah mendakwa begitu.
“Sepanjang yang aku ingat, dia tidak mengidap sawan babi. Tak tahulah kalau dia
tiba-tiba kena pitam atau pengsan semasa di tengah air,” kata Mak Teh lagi.
Lama kelamaan cerita
kehilangan Mat Akir itu lenyap begitu saja. Mak Teh juga sudah menerima
kenyataan sebenarnya bahawa Mat Akir sudah hilang. Sama ada Mat Akir sudah mati
atau dilarikan oleh bunian, Mak Teh tidak peduli lagi. Kepadanya sudah jelas
bahawa Mat Akir sudah tidak ada lagi di dunia.
Kira-kira dua tahun selepas
kehilangan Mat Akir, Pawang Bulin pun meninggal dunia. Sebelum dia meninggal
dunia, Pawang Bulin menceritakan kepada Rasad, abang ipar Mat Akir bahawa dia
bermimpi bertemu deng Mat Akir.
“Mat Akir sudah jadi
Penghulu Bunian. Itulah To’ Sheikh yang sering datang bila aku berejin. To’
Sheikh itulah Mat Akir. Aku tidak ada upaya lagi mahu melebehi ilmunya,” Pawang
Bulin menerangkan.
Memang Rasad tahu semasa
akhir-akhir hayatnya Pawang Bulin selalu ‘berejin’ (menyeru nama-nama tertentu
dalam ilmu pendukunan) yang datang menyerap dalam tubuhnya ialah To’ Sheikh. Kadangkala
dia berusaha mengelak tidak mahu diresapi oleh To’ Sheikh, tetapi To’ Sheikh
tetap juga datang meresap ke tubuh Pawang Bulin.
Kononnya To’ Sheikh itu
menjaga ‘anak ubat; Pawang Bulin di kampung berkenaan. To’ Sheikh tidak
membenarkan orang luar menjaga ‘anak ubat’ Pawang Bulin yang menetap di kampung
tersebut.
“Jadi, Mat Akir masih hidup
lagi?” Tanya Rasad.
“Itu aku tak tau,” sahut
Pawang Bulin. “Sama ada dia hidup atau mati, aku tak tahu. Semua itu kuasa
Allah semata-mata dan Allah saja yang mengetahui. Yang dapat aku katakana pada
kau itu sajalah, Mat Akir itulah To’ Sheikh,” dia menjelaskan selanjutnya.
Tidak lama selepas kematian
Pawang Bulin itu, pada satu petang Mak Teh terkejut bila namanya dipanggil dari
tengah halaman. Dia dapat camkan suara yang memanggilnya itu ialah Mat Akir.
Bila dia menjengah melalui tingkap didapatinya benarlah Mat Akir berdiri
ditengah halaman. Pakaian Mat Akir sama seperti yang dipakainya semasa pergi
merawai dua tahu sebelumnya.
“Siapa kau ni?” Tanya Mak
Teh enggan membukakan pintu. “Kau ni setankah, manusiakah?” dia merasakan bulu
tengkuknya meremang ketakutan.
“Saya Mat Akir. Saya bukan
setan, saya manusia biasa, mak,” kata Mat Akir tersenyum.
“Mat Akir sudah mati,”
suara Mak Teh gementar kerana tidak diduganya Mat Akir yang sudah hilang sejak
dua tahun lebih, tiba-tiba menjelma di depan matanya.
“Saya tak mati mak, saya
pergi bertapa ke Hutan Nuang,” jelasnya sambil mengharapkan emaknya membukakan
pintu.
Tetapi Mak Teh tetap enggan
membukakan pintu. Dia merasa takut berhadapan dengan Mat Akir yang dianggapnya
sudah mati itu. Lalu dia melaungkan sekuat hatinya memanggil Saerah yang
tinggal tidak jauh dari situ.
Semasa Rasad dan Saerah
datang dalam keadaan cemas kerana di laung oleh emaknya mereka juga tercengang
hairan melihat Mat Akir berdiri di tengah halaman. Dengan adanya Rasad dan
Saerah, barulah Mak Teh berani membuka pintu.
Mat Akir terus mendapatkan
emaknya lalu bongkok mencium tangannya sambil berlinang-linang air mata. Mak
Teh juga barulah yakin Mat Akir sendiri yang balik menemuinya itu.
Pada malamnya Mak Teh
membuat kenduri doa selamat. Hatinya gembira kerana dapat bertemu semula dengan
Mat Akir. Kawan-kawanya seperti Latip Debok, Sarip Uncoi dan lain-lain anak
kampung yang sebaya dengannya ikut hadir sama pada malam itu.
Tidak ada yang kelihatan
berbeza pada diri Mat Akir semenjak kehilangannya dua tahun lebih sebelum itu.
Kecuali mukanya kelihatan pucat sedikit. Tingkah lakunya tetap pendiam dan
tidak bercakap. Dia juga selalu ketawa riang bila mendengar perbualan dari
rakan-rakannya.
“Kemana kau menghilang
selama lebih dua tahun ni?” Tanya Latip Debok. Di wajahnya terbayang juga
kegembiraan kerana dapat berjumpa semula dengan temannya itu.
“Aku bertapa menambahkan
ilmu,” jawab Mat Akir perlahan.
“Jauhkah tempatnya?” Sarip
Uncoi pula mencelah.
“Jauh juga…..” beritahu Mat
Akir tersengih-sengih. “Aku bertapa di Hutang Nuang, terpaksa mendaki gunung
dan bukit,” katanya mengharapkan kawan-kawannya tidak bertanya banyak mengenai
kehilangannya itu.
“Tapi arwah Pawang Bulin
kata, kau selalu balik ke sini…..” Rasad tiba-tiba menyampuk. Dia mahu
mempastikan sendiri akan kebenaran cerita Mat Akir pergi bertapa itu.
“Iyalah, arwah Pawang Bulin
tu guru saya juga,” jelasnya serba salah.
Jawapan Mat Akir itu
meragukan Rasad. Kalau benarlah Mat Akir mengaku Pawang Bulin gurunya, mengapa
pula Pawang Bulin sendiri mengatakan ilmunya tidak upaya menentang Mat Akir.
“Kau balik ke kampung ni,
bila diseru oleh Pawang Bulin?” desak Rasad supaya Mat Akir menceritakan rahsia
sebenar dirinya.
Mat Akir mengangguk. Tetapi
dia mula tidak mahu melayani sangat pertanyaan-pertanyaan seperti itu. Setiap
kali orang bertanya Mat Akir membawa kepada cerita lain pula.
“Jadi benarlah kata arwah
Pawang Bulin, kau ni bukannya Mat Akir dulu. Engkau sebenarnya To’ Sheikh
penghulu bunian.” Rasad meninggikan suara.
Mat Akir tidak menjawab.
Dia hanya tunduk mengalirkan air mata kerana kesedihan. Dia tidak menduga
kepulangannya disambut dengan ejekan dari Rasad. Bagaimanapun dia masih dapat
mententeramkan hatinya, kerana dari ilmu kebatinannya memang sudah diketahui
bahawa sifat manusia biasa ini selalu tergesa-gesa. Mereka tidak sabar-sabar
mahu mengetahui rahsia di sebalik satu-satu kejadian itu.
Walaupun didesak oleh Rasad
berulang kali sama ada benar dia To’ Sheikh yang diceritakan oleh arwah Pawang
Bulin itu, Mat Akir tetap membisu. Sekali sekala dia mengesat air matanya
dengan lengan baju.
Kira-kira seminggu dia di
rumah, Mat Akir meminta izin kepada emaknya untuk pergi semula.
“Kemana kau nak pergi lagi
Akir?” rintih Mak Teh tersedu-sedu menahan sebak di dada.
“Saya nak balik ke Hutan
Nuang,” sahut Mat Akir. “Nanti saya akan balik lagi menemui emak,” jelasnya
menahan kesedihan kerana berpisah dengan sanak saudara.
“Menetaplah di kampung ni,
Akir. Tak payahlah pergi bertapa lagi. Cukuplah dengan apa yang kau ada
sekarang. Emak pun dah tua, kaulah menjaga mak sekarang,” Mak Teh merayu supaya
Mat Akir tidak meninggalkannya.
“Saya akan balik dua tiga
bulan sekali,” Mat Akir memberi jaminan.
“Kau kahwin sajalah dengan
gadis di kampung ni Akir. Kalau kau dah kahwin, senang hati mak,” Mak Teh tetap
mencari helah untuk menghalang Mat Akir.
Mat Akir hanya tersenyum
bila ditimbulkan perkara berkahwin. Tetapi sebelum dia pergi, dia memeluk
emaknya, erat-erat. Terasa juga pada Mak Teh air mata Mat Akir panas menitik di
atas bahunya.
Dua tiga bulan selepas
peristiwa itu, sekali lagi Mat Akir muncul. Ternyata dia tidak memungkirkan
janjinya kepada emaknya. Pada kali ini Mak Teh tidaklah ragu-ragu lagi dengan
kemunculan Mat Akir itu. Setiap kali Mat Akir balik, emaknya mengadakan kenduri
doa selamat di samping doa arwah.
Bagaimana pun Rasad abang
iparnya tetap berikhtiar mahu mengetahui rahsia sebenarnya Mat Akir. Apabila
Mat Akir balik semula ke hutan, dia mengendap dari belakang. Apabila sampai ke
satu tempant lapang didapatinya Mat Akir tiba-tiba ghaib dari pandangan.
Kemudian dia merasakan dirinya tersesat hingga tidak dapat mencari jalan
pulang.
Puas Rasad berpusing-pusing
mencari jalan untuk balik semula tetapi tidak juga berjumpa. Dalam keadaan
demikian Rasad tidaklah tergopoh-gopoh. Terlintas di kepalanya akan petua yang
diberi oleh aruah Pawang Bulin apabila menghadapi keadaan tersesat di hutan.
Cepat-cepat Rasad membuka
pakaiannya sampai bertelanjang bulat. Kemudian dia berjalan memerhatikan akar
melintang jalan. Apabila dapat akar tersebut dia pun membelahnya lalu menyusup
tubuhnya di celah belahan akar itu.
Sebaik saja dia keluar dari
belahan akar itu di dapatinya dia berada di tepi sungai dekat pokok kelepung di
tempat Mat Akir memasang rawai dulu. Selepas itu barulah dia merasa gementar
ketakutan. Segala apa yang dialaminya ini tidak di ceritakan oleh Rasad kepada
sesiapa pun.
Begitulah seterusnya
berlaku kepada keluarga Mak Teh. Setiap dua atau tiga bulan sekali Mat Akir
balik ke rumah emaknya. Kadangkala sampai seminggu dia di rumah, kadangkala dua
tiga hari saja. Setiap kali dia balik ada saja orang meminta ubat darinya.
Mat Akir tidak keberatan
mengubati orang-orang yang meminta ubat. Kononnya ada seorang tua bermata rabun
meminta Mat Akir ubatkan. Mat Akir menjampikan air lalu disapu kepada mata
orang tua berkenaan. Dengan izin Allah orang tua itu dapat melihat semula.
Kerana kebolehannya itu
Rasad mula mengesyaki bahawa Mat Akir yang ada di depannya tidak sama dengan
Mat Akir yang hilang dua tahun sebelumnya.
Apa yang menjadi keraguan
Rasad itu pula memang sudah diduga oleh Mat Akir. Tetapi dia tetap bersabar
supaya tidak melanggar syaratnya, agar boleh keluar menemui kaum keluarga
sendiri. Dia mesti merahsiakan kedudukan sebenarnya.
Sebab di dalam ilmu
kebatinan yang dituntutnya, apabila orang sudah mengenal asal usul musuhnya,
maka mudahlah musuh itu ditundukkan. Demikian juga dalam menghadapi gangguan
setan, apabila sudah di ketahui asal usul setan maka mudahlah mengalahkan setan
itu.
Puteri Bungsu juga
menasihatkan Mat Akir supaya jangan kerap sangat menemui keluarganya.
“Manusia selalunya tidak
ramai yang berhati jujur. Kalau Putera Ali selalu sangat ke sana, mereka akan
mencari jalan untuk menghalang Putera Ali datang semula ke sini,” kata Puteri
Bungsu mengingatkan dia.
“Pandailah saya menjaga
diri Puteri Bungsu,” Mat Akir memberi pengakuan.
“Saya bimbang Putera Ali
akan dianiaya oleh manusia,” ujarnya lagi.
“Janganlah bimbang. Kalau
keadaan memaksa mungkin saya akan mengambil keputusan tidak akan menemui mereka
lagi. Kita berdua tidak boleh di pisahkan lagi,” tegasnya memeluk Puteri Bungsu
erat-erat.
“Kita sudah mempunyai anak
di sini, sebab itu saya takut kalau Putera Ali tidak dapat melepaskan diri dari
perbuatan mereka yang tidak jujur.” Puteri Bungsu menyatakan keraguannya.
Dia tahu manusia biasa juga
mempunyai kebolehan ilmu kebatinan yang boleh menundukkan orang-orang bunian.
Mereka terpaksa lari jauh mencari tempat bersembunyi kalau diganggu oleh
kekuatan ilmu kebatinan manusia. Apalagi kalau manusia itu mempunyai ilmu agama
yang tinggi.
Masakan Mat Akir boleh
mengatasi ilmu kebatinan orang-orang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi.
Malah kalimat-kalimat yang diucapkan oleh mereka itu boleh membakar sekujur
tubuhnya
“Saya hanya mahu bertemu
dengan emak saya,” jelas Mat Akir bila mengenangkan emaknya yang sudah tua.
“Tetapi berhati-hatilah
supaya Putera Ali tidak dianiaya. Kita sudah mempunyai anak, bermakna Putera
Ali tidak boleh lagi meninggalkan kami,” dia mengingatkan.
Mat Akir tetap ingat bahawa
dia sudah mempunyai anak dengan Puteri bungsu. Kalau dia kembali ke pangkuan
masyarakatnya bererti anak-anak itu akan mati, kerana masyarakat bunian tidak
akan menerima anaknya kalau dia sudah memungkiri janji. Anak-anak itu akan
dibunuh.
Bererti kalau dia berkahwin
dengan gadis lain di kampungnya, setiap anaknya akan mati seperti anak-anak
bunian itu juga. Kalau anak-anak buniannya mati tiga orang, maka anak-anaknya
dengan gadis di kampung juga akan mati tiga orang.
Bagaimanapun Mat Akir masih
berupaya mengatasi rintangan tersebut. Selepas kematian Pawang Bulin dia
merasakan dirinya aman kalau balik menemui emaknya. Hanya Pawang Bulin yang
boleh memerangkap dia bila sudah menjelma menjadi manusia biasa semula.
Kalau Pawang Bulin masih
hidup tentu dia tidak dapat balik semula kealam bunian bila di ganggu dengan
ilmu kebatinannya. Sebab itulah dia berani muncul semula setelah pawang Bulin
meninggal dunia.
Selepas itu didapatinya
Rasad juga berusaha untuk memulihkan dia supaya kembali menjadi manusia biasa.
Tetapi kebolehan Rasad tidaklah membimbangkannya. Dia masih boleh melarikan
diri dari perangkap yang dipasang oleh Rasad selama ini.
Misalnya semasa kenduri doa
selamat, sengaja Rasad tidak membenarkan masak sayur-sayuran. Mereka
menghidangkan ayam, kambing dan daging. Benda-benda makanan begini dikira
sebagai berdarah yang menjadi pantang larang kepadanya.
Sebab itu Mat Akir tidak
mahu memakannya. Dia hanya memakan nasi dengan ulam-ulam yang disediakan saja.
Berbagai-bagai cara lagi Rasad mahu mengalahkan dia, tetapi semuanya dapat
diatasi oleh Mat Akir.
Setelah beberapa kali Mat
Akir balik menemui emaknya, satu ketika dia balik semasa emaknya Mak Teh sedang
sakit. Mat Akir sendiri mengubat emaknya. Agak lama juga Mat Akir berikhtiar
mengubat emaknya, dengan izin Allah sembuhlah Mak Teh dari sakit.
Lebih kurang hampir sebulan
Mat Akir tidak balik kepada masyarakat bunian. Semasa emaknya sakit, Mak Teh
berharap Mat Akir tidak meninggalkannya. Sebab itulah Mat Akir bertahan di situ
menunggu emaknya sakit. Sebenarnya dalam masa dia tidak balik itu, perhubungan
antara Mat Akir dengan Puteri Bungsu tidaklah terputus.
Melalui petunjuk-petunjuk
Puteri Bungsu jugalah dia mengubat emaknya, kerana apabila dia pulih menjadi
manusia biasa, ilmu kebatinan yang diperolehinya dari masyarakat bunian itu
tidak boleh dibawanya bersama.
Setelah Mak Teh betul-betul
sihat mereka mengadakan kenduri doa selamat. Ketika berkumpul sanak saudara dan
orang-orang kampung inilah berlaku sedikit pertengkaran antara Rasad dengan Mat
Akir, sehingga Rasad mengeluarkan kata-kata yang menyinggung perasaan Mat Akir.
“Malam ni kita berkumpul
untuk mendapatkan kata putus dari Mat Akir,” kata Rasad keras. “Dia mesti
berterus terang kepada kita semua, kemanakah dia selama ini. Saya sudah
mengikuti jejaknya, dan dari tanda-tanda yang saya perolehi memang benar
seperti cerita arwah Pawang Bulin dulu. Mat Akir sudah bernikah dengan bunian,”
jelasnya mengerling kearah Mat Akir.
Muka Mat Akir tiba-tiba menjadi
pucat. Tubuhnya jadi gementar mendengar kata-kata Rasad. Air matanya mula
berlinang menahan kesedihan.
“Benarkah kau dah bernikah
dengan bunian, dik?” Tanya Saerah tersedu sedan. Seluruh badanya terasa lemah
longlai bila mendengar adiknya itu sudah bernikah dengan bunian.
“Nampaknya orang-orang sini
tak sukakan saya lagi,” keluh Mat Akir perlahan.
“Kami semua sayangkan kau,
Akir. Sebab itulah mak dan kakak kau mahu selamatkan kau dari bunian,” Mak Teh
mencelah.
Mat Akir berpaling pada
emaknya. Air matanya tetap mengalir dari pelupuk matanya. Hatinya terlalu hiba
mengenangkan saat perpisahan dengan keluarganya. Apabila perkara pernikahannya
dengan Puteri bungsu sudah diketahui, dia tidak boleh lagi bertemu dengan sanak
saudaranya dalam bentuk dirinya yang sebenar.
Rahsia itu sebenarnya tidak
boleh diberitahu kepada sanak saudaranya. Kalau rahsia itu sudah di ketahui
bererti akan berpisahlah mereka buat selama-lamanya.
“Tak apalah, kalau
orang-orang sini dah tak suka saya, saya tak akan balik lagi ke sini,” katanya
dengan bercucuran air mata.
“Mak tak mahu kau
tinggalkan kami semua. Kami mahu bunian pulangkan balik kau kepada kami,” Mak
Teh juga ikut tersengguk-sengguk menahan kepiluan yang menusuk.
Lama Mat Akir termenung
memikirkan saat perpisahannya. Kalaulah Rasad tidak berkeras
mengungkit-ngungkit fasal kemunculan dia selepas dua tahu lebih menhilangkan
diri, tentulah dia boleh berterusan menemui emaknya. Memang benarlah seperti
kata Puteri Bungsu bahawa manusia biasa tidak akan dapat menyimpan rahsia.
Setelah berfikir sejenak
barulah Mat Akir mahu menerangkan keadaan sebenarnya. “Selepas saya
menceritakan semua ini, nampaknya berpisahlah kita buat selama-lamanya. Kalau
abang Rasad tidak mengungkit-ngungkit perkara ini, tentulah saya dapat
mengunjungi sanak saudara dua tiga bulan sekali,” ujarnya masih dalam keadaan
hiba.
“Saya sudah berkahwin
dengan bunian dan sudah mempunyai anak. Saya tidak akan dapat menjelma sebagai
manusia biasa lagi untuk menemui sanak saudara, selepas saya membukakan rahsia
ini. Hanya itulah perjanjian saya yang selama ini saya rahsiakan.”
Dengan penjelasannya itu
barulah Rasad merasa kesal atas sikapnya ingin sangat mahu mengetahui kedudukan
sebenarnya Mat Akir selama ini. Tetapi apa boleh buat semuanya sudah terlanjur.
Bagaimanapun sebelum dia
pergi meninggalkan keluarganya buat selama-lamanya Mat Akir ada berpesan supaya
menjaga sanak saudaranya yang lain supaya tidak mengikut jejak dia.
“Perhatikanlah anak-anak
kalian, kalau tidak ada parut kesan luka-luka, itulah yang akan dilarikan oleh
bunian,” dia mengingatkan.
Dia memberikan kemenyan
kepada Saerah sebagai hadiah terkahirnya. “Kalau orang-orang kampung nak
meminjam pinggan mangkuk beratus-ratus buah untuk kenduri kendara, bakarlah
kemenyan ini. Tetapi dengan syarat pulangkan balik semuanya dengan lengkap dan
jangan dicuri atau disorok. Kalau pecah pulangkan juga yang pecah itu. Kepada
keturunan kak Saerahlah saya benarkan,” demikianlah pesannya.
Di samping itu sempat juga
dia memberi petua kepada Saerah untuk membantu orang yang memerlukan rawatan
perubatan. Tetapi dia lebih banyak menunjukkan pada Saerah cara-cara
membidankan orang beranak, supaya bayi itu tidaik di larikan oleh bunian.
“Perhatikan urat hijau
melintang pada dahi anak itu, namanya serau. Kalau sudah ada serau itu bermakna
sudah ditandanya. Janganlah jangan sampai terlepas ke tangan bunian,” dia
mengingatkan.
Sejak dari peristiwa itu
tidak adalah lagi Mat Akir balik ke kampungnya. Keturunan dari Saerah itulah
kononnya sampai kepada arwah nenek saya, seperti yang telah diceritakan di awal
tadi.
SELESAI