Friday, October 5, 2012

22. TOK AWANG NGAH - MAYAT DIMANDI BINGKAS BANGUN



Ketika ini, kubur juga sudah siap digali sebelum masuk waktu zohor lagi. Mereka sudah tetapkan, jenazah mesti dikebumikan sebelum waktu zohor disebabkan sudah lama semalaman terbujur. Siak Deraman   tidak mahu melambat - lambatkan mengebumikan jenazah setelah beliau diberitahu Mat Senik  sudah meninggal dunia selepas maghrib. Semalaman pula mereka berjaga bersengkang mata membacakan ayat - ayat suci al quran di sisi jenazah secara bergilir - gilir.

Mereka semua mematuhi arahan Siak Deraman  supaya jenazah Mat Senik  dikebumikan dengan segera. Apalah gunanya menunggu hingga selepas waktu zohor kalau mahu kebumikan jenazah, dalam masa kubur sudah siap digali. Sebaik sahaja diberitahu supaya menggali kubur, lantas Surip Lekeh   pagi - pagi lagi sudah menggalas cangkul dengan penyodok ke tanah perkuburan. mereka seisi kampung mesti bergotong royong menggali kubur apabila diberitahu ada orang yang meninggal dunia.
Di kampung mereka tidak wajar menerima upah menggali kubur. seisi kampung tetap bergotong royong kerana mereka hidup sudah macam sebuah keluarga. Lagi pun masing - masing memang mempunyai talian kekeluargaan, sekali pun tidak dekat sangat namun masih juga berkeluarga bau - bau bacang.
Sebab itu mereka seisi kampung berkumpul di rumah Mat Senik  setelah diberitahu lelaki itu sudah meninggal dunia. 3 hari berturut - turut Mat Senik  terkejang tidak sedarkan diri selepas ditimpa rumah runtuh tatkala sedang bertukang. Tiba - tiba sahaja rumah yang sudah ditegakkan tiang, runtuh semasa Mat Senik  sedang memanjat kasau mahu menaikkan atap. Dia jatuh terperosok di bawah timbunan kayu - kayu rumah yang tersembam hingga bertupang tindih.
Terpaksa pula Alang Kiman meminta bantuan jiran - jiran untuk mengeluarkan Mat Senik  dari bawah timbunan kayu - kayu rumah. hairan juga Alang Kiman yang mengupah lelaki itu bertukang, bagaimana rumah yang sudah siap ditegakkan boleh runtuh. Lain lah kalau Mat Senik  baru belajar bertukang hingga tidak tahu pasak dan sendal. tukang berpengalaman macam Mat Senik  tentu mahir dengan pasak dan sendal biar rumah tidak goyah sekali pun dirempuh angin kencang.


Hampir 1 jam juga mereka bertungkus lumus mengeluarkan Mat Senik  dari bawah timbunan kayu jongkang kalang. Sebaik sahaja ditarik keluar, memang Mat Senik  sudah tidak sedar apa - apa lagi. Ombak dadanya sahaja yang turun naik dengan tubuh tidak bergerak apa - apa lagi. Kejadian yang berlaku bertahun - tahun dahulu ini memang tidak ada sesiapa pun yang terburu - buru untuk membawa Mat Senik  ke hospital. Lagi pun ketika itu siapa pun tidak peduli sangat dengan hospital yang jauh di bandar itu.

Kalau mahu ke hospital tentu terpaksa berjam - jam menunggu sampan mahu menyeberang sungai. Kemudian jenuh pula harapkan ada kereta yang boleh membawa Mat Senik  ke hospital. Kalau ada kereta pun, tidaklah sama dengan kereta sekarang yang boleh memecut laju di atas jalan yang diturap baik - baik itu.

Sebab itu Siak Deraman   bersetuju meminta Pawang Jimin  sahaja merawat abangnya biar pulih semula. terpaksa pula Pawang Jimin  kibas dengan kain hitam panjang sedepa hingga 3 petang berturut - turut. Dia juga telah memandikan Mat Senik  dengan air kelapa muda biar bisa - bisa di dalam tubuh alah selepas disimbahkan dengan air kelapa muda berkenaan.

Tetapi Mat Senik  terkejang juga dengan tidak membuka mata langsung. isterinya, Mayah sudah tidak lekang punggung duduk disisi suaminya menahan kesedihan yang menusuk. Dia sudah ingatkan Mat Senik  supaya tidak gagahi bertukang apabila dia mengadu tidak sihat badan. Sejak bangun pagi lagi, Mat Senik  merasakan sendinya lenguh - lenguh lantas beliau pun meminta anaknya, Selidah supaya dapat pijakkan belakangnya.
Gadis kecil yang berumur 10 tahun itu tidak membantah apa -apa. Dia akan pijakkan belakang ayahnya setiap kali ayahnya berasa lenguh - lenguh badan. Asal sahaja balik dari bertukang rumah, disebelah malamnya sebelum merebahkan kepala ke bantal, nescaya Mat Senik  akan menyuruhnya pijakkan belakang. Selepas Selidah pijakkan belakang, Mat Senik  akan terasa segar semula.

" Kalau demam buat apa bertukang! " gerutu Mayah mendesak suaminya supaya berehat sahaja di rumah. " lagi pun bukannya boleh kaya cepat takat bertukang rumah " sengaja Mayah menyindir Mat Senik  yang berkeras juga mahu turun bertukang.

" Alang Kiman nak cepat siapkan rumahnya " beritahu Mat Senik  sewaktu menuruni tangga. " Dia nak siapkan sebelum kenduri nikah anaknya " jelasnya disebabkan beliau sudah berjanji dengan Alang Kiman yang rumah itu mesti ditegakkan cepat.

" Awak tu demam, takkan dia nak paksa juga! " mayah tetap tidak mahu suaminya terus berdegil bertukang rumah dalam keadaan tidak sihat badan itu.

" Ini perkara janji, bukannya paksa atau tidak " sahut Mat Senik  mengingatkan isterinya supaya tidak mengesyaki Alang Kiman yang memaksanya minta siapkan juga bertukang rumah.

Tatkala dia jejakkan kaki di rumah Alang Kiman pun, lelaki itu juga menyuruhnya supaya berehat sahaja sekiranya tidak sihat badan. Perkara rumah mesti disiapkan sebelum kenduri kahwin anaknya tidaklah penting sangat bagi Alang Kiman. Dia sekadar harapkan rumah yang baru dibina itu siap menjelang hari perkahwinan anak gadisnya. Dan jika tidak sempat disiapkan oleh Mat Senik  pun, dia tidak memaksa apa - apa.

Tetapi Mat Senik  tidak mahu memungkirkan janji. dia sudah berjanji mahu siapkan rumah berkenaan sebelum majlis kahwin anak gadis Alang Kiman, sebab itu dia tetap berkeras mahu teruskan bertukang. Biarlah demamnya mengganggu hingga sengal - sengal badan. Asal sahaja sudah memanjat tiang sampai berpeluh badan, nescaya demamnya akan hilang serta merta.
Tahu sangat Mat Senik  bahawa badan tengah sengal - sengal tidak boleh ikutkan sangat hati yang malas. Sudah tentu kerja tidak akan selesai sampai bila - bila pun kalau harapkan tenaga sentiasa sihat. Sekiranya demam berterusan dia akan bertukang secara ala kadar sahaja, asalkan kerjanya beransur siap.

Siapa pun tidak boleh menghalang dia terus bertukang dalam saat demamnya mengganggu. Mudah sahaja hati Mat Senik  tersinggung kalau mereka menuduh dia sengaja berdalih apabila diberitahu badanya demam berhari - hari. Apa lagi sekiranya kerjanya tergendala sampai rumah mereka lambat disiapkan, sudah tentu mereka akan menuduhnya tidak mampu bertukang rumah ikut jadual yang ditetapkan.

Semasa Mat Senik  memanjat ke kepala tiang, dia tahu kasau sudah pun dipaku kukuh. Pasak tiang juga sudah disendal kuat supaya tidak goyah sekali pun dirempuh oleh kerbau yang sedang terluka. Dia sudah susun atap rembia pada alang tiang biar mudah untuk dinaikkan nanti. Siapa pun tidak perlu membantunya apabila bertukang rumah. Apa sangat dengan ikatkan atap pada kasau, dia seorang sahaja pun boleh lakukannya.

Dalam masa Mat Senik  sedang mendongak mahu ikatkan atap rembia berkenaan pada kasau, dia terasa rumah berkenaan bergegar kuat. Tatkala dia memerhatikan ke bawah, lantas sahaja Mat Senik  ternampak lembaga besar sedang terbongkok - bongkok menyungkit tiang rumah. Belakang lembaga itu berbonggol laksana lembu jantan tengah naik badan.

Marah benar Mat Senik  apabila rumah itu bergoyang - goyang akibat pangkal tiangnya disungkit lembaga besar belakang berbonggol itu. Lantas Mat Senik  pun melontarkan tukul besi sehingga tukul itu menyinggahi kepala lembaga itu. Tetapi lembaga itu tidak peduli apa - apa sekali pun tukul besi memukul kuat ke kepalanya.

" Hoi! awak nak cari geruh aku ke? " bentak Mat Senik  sambil mencemikkan mukanya disebabkan lembaga itu masih terbongkok - bongkok menyungkit kaki tiang rumah tersebut.
Tersengih - sengih sahaja lembaga besar belakang berbonggol itu sambil mengerling kepada Mat Senik  yang sedang berpaut pada kasau itu. Kemudian dia memberi isyarat kepada Mat Senik  supaya terjun dari kepala tiang. Dia juga tidak membenarkan Mat Senik  untuk meneruskan bertukang kerana mengatakan rumah berkenaan masih belum disimah dengan darah ayam selasih lagi.

Semenjak turun temurun memang Mat Senik  akan simah tapak rumah dengan darah ayam selasih sebelum menegakkan tiang rumah itu. Ayahnya, arwah Tukang Lamin  juga tidak pernah biarkan tapak rumah baru tidak disimah darah ayam selasih setiap kali diminta bertukang. Kalau tegakkan rumah tiang 9, semua kepala tiang akan dibungkus dengan kain putih. Perabung rumah pula akan diikat dengan kain merah dan kain hitam biar sampai rumah didirikan siap tersergam.

Memang tukang Lamin  sudah ingatkan Mat Senik  mengenai pantang larang bertukang rumah sebaik sahaja perkakas bertukang diturunkan kepadanya. Bukan mudah mahu gunakan pahat mahu menebuk lubang tiang biar rasuk pelantar boleh kukuh tersendal, kalau tidak diseru segala pawang bertukang membantu sama.

Tetapi Mat Senik  tidak peduli sangat dengan pantang larang arwah ayahnya, Tukang Lamin . Dia akan tegakkan juga rumah dengan tidak payah bertepung tawar dan tidak perlu bersimah dengan darah ayam selasih. Sudah banyak kali dia tegakkan rumah baru dengan tidak pernah mematuhi pantang larang berkenaan setiap kali bertukang.

" Kenapa kamu tak bersimah dengan darah ayam selasih? " jerkah lembaga besar berbonggol belakang sambil menjegilkan mata.

" Awak ni siapa? berani nak perintah aku! " sahut Mat Senik  mengejeknya lantas mengisar duduk apabila bertinggung di atas palang kepala tiang.

" Wah! nak tunjuk keras kepala nampaknya! " semakin marah lembaga besar itu lalu terus menyungkit kaki tiang rumah.

Belum sempat Mat Senik  membacakan surah al fatihah, rumah berkenaan tiba - tiba sahaja runtuh tersembam. Dia pun jatuh terperosok di bawah timbunan kayu jongkang kalang itu. Ketika ini memang Alang Kiman nampak Mat Senik  merungut - rungut sendirian sebelum jatuh melayang bersama dengan rumah yang baru dibina itu runtuh sekali gus.
Cepat - cepat Alang Kiman mahu bongkarkan kayu yang jongkang kalang itu, tetapi bukan mudah mahu mengangkat tiang sebesar pokok sepemeluk yang telah siap dipahat itu. Masakan dia boleh mengeluarkan Mat Senik  dari bawah timbunan kayu - kayu rumah runtuh itu, kalau takat harapkan tenaga dia dan isterinya, Utih Rimah.

Sebab itulah jiran - jiran segera diberitahu. Tatkala Siak Deraman   bersama Surip datang menjengah, Mat Senik  masih lagi terhimpit di bawah timbunan kayu - kayu yang jongkang kalang. Terpaksalah dialihkan kayu secara satu persatu yang banyak bertimpa - timpa itu biar Mat Senik  boleh ditarik keluar.

Setelah seisi kampung diberitahu mengenai Mat Senik  dihempap dengan kayu - kayu rumah yang tengah dibina, barulah mereka semua dapat mengangkat tiang - tiang yang tumbang bertimpa - timpa itu. Tatkala Mat Senik  dikeluarkan dari bawah timbunan kayu - kayu yang jongkang kalang itu, dia sudah tidak sedar apa -apa lagi. segera Siak Deraman   meminta jiran - jiran supaya usungkan abangnya balik ke rumah.

Disebabkan Mat Senik  tidak sedar apa - apa, memang tiada siapa lagi yang boleh diharapkan selain daripada Pawang Jimin . Tentu Pawang Jimin  tahu bagaimana mahu memulihkan Mat Senik  yang terkejang laksana mayat terbujur itu. 3 hari Pawang Jimin  kibaskan dengan kain hitam, tetapi keadaan Mat Senik  masih juga terkejang tidak bergerak apa - apa. Sebab itulah Siak Deraman   meminta bacakan surah yassin sahaja secara beramai - ramai.

Dalam masa mereka sedang membacakan surah yassin itulah, Mat Senik  tiba - tiba saja kaku tidak berombak - ombak lagi dadanya. Setelah dicekak nadinya oleh Siak Deraman, memang sudah tidak berdetak lagi. Lantas sahaja dia membujurkan tubuh abangnya dibawah bumbung rumah dengan menuturkan perlahan : " inna lillahi wa-inna lillahhi raji'un ".

Sebak juga dada Mayah pabila kenangkan suaminya ditimpa rumah hingga terkejang menjadi mayat. Tahu sangat dia fasal suaminya berdegil tidak mahu mematuhi pantang larang arwah ayahnya apabila mahu bertukang rumah. Dia tidak akan menepung tawar tapak rumah hinggalah disimah dengan darah ayam selasih terlebih dahulu.
Pahat  peninggalan ayahnya juga telah tidak diasapkan dengan kemenyan setiap kali mahu memulakan kerja bertukang rumah. Memang tidak sama cara Mat Senik  dengan arwah ayahnya yang pegang kukuh - kukuh pantang larang berkenaan. Sebaik sahaja diminta bertukang rumah, nescaya Tukang Lamin  akan asapkan pahat dengan kemenyan. Tidak ada sesiapa lagi yang berani mengganggu setelah bisa pahat berkenaan diseru biar mudah ditusuk pada kepala tiang.

Sebab itu Tukang Lamin  akan balut kepala tiang dengan kain putih biar bisa pahat tidak memberi mudarat pada tiang yang ditusuk itu. tentu kepala tiang tidak akan mudah reput akibat terkena bisa pahat berkenaan. manalah Mat Senik  tahu mengenai petua tukang rumah sejak turun temurun kalau beliau sekadar belajar kemahiran bertukang semata - mata.

Siapa lagi yang boleh menandingi Tukang Lamin  kalau mengukir pintu atau daun tingkap?. Kadangkala dia akan ukir juga rasuk pelantar apabila diupah siapkan rumah yang besar tersergam. Memang Tukang Lamin  lah yang diharapkan oleh orang - orang kaya untuk mendirikan rumah yang berukir - ukir hingga amat mempesonakan. Sebab itu pahat yang digunakan oleh Tukang Lamin  mesti diasapkan dengan kemenyan apabila mahu memulakan kerja bertukang rumah.

Tetapi Mat Senik  tidak peduli sangat dengan petua yang diturunkan oleh arwah ayahnya. Perkara bertukang rumah bukanlah diharapkan sangat oleh Mat Senik . Kalau tidak disebabkan orang - orang kampung mendesak, memang dia tidak akan bertukang rumah sangat. Biarlah dia menggalas tajak mencebak tanah sawah.

" Sudah sampai waktunya " keluh Siak Deraman meminta kakak iparnya supaya bertenang sebaik sahaja jenazah Mat Senik  dibujurkan.
 " Tak dapat diundurkan walau sesaat pun, tak dapat juga didahulukan " bisiknya menahan pilu yang menusuk perasaan.
Semalaman itu pula mereka semua bercekang mata membacakan al quran di sisi jenazah Mat Senik  yang terbujur itu. sebaik sahaja pagi mula cerah melayah, Surip Lekeh   pun bersetuju untuk menggalikan kubur bersama jiran - jiran yang lain yang mahu uruskan bahagian penggalian kubur. Mereka yang uruskan membuat usungan segera menetak buluh dan pelepah rembia.

Seisi kampung sudah diberitahu mengenai kematian Mat Senik , yang juga seorang guru membaca muqaddam. Budak - budak yang belajar mengaji muqaddam berkumpul disisinya sejak pagi lagi untuk membacakan muqaddam, sementara orang yang lebih tua masing - masing menyediakan urusan pengebumian. Sebelum matahari tegak di kepala, Siak Deraman   telah diberitahu bahawa persiapan sudah sempurna untuk mengebumikan jenazah.

Ketika ini tidak bertangguh lagi Siak Deraman pun segera memerintahkan supaya jenazah abangnya dimandikan. Mereka pun sama - sama mengusung jenazah ke tengah rumah dengan mengopakkan lantai rumah supaya mudah jiruskan air. Semasa Siak Deraman   hampir selesai memandikan mayat itulah tiba - tiba sahaja mereka melihat jari jenazah Mat Senik  bergerak - gerak.

Cepat - cepat Alang Kimin  menepuk bahu Siak Deraman apabila mereka yang berkeliling memandikan jenazah sudah mula berundur ke belakang. Masing - masing mula bergerak mahu terjun ke tanah kerana bimbang jenazah Mat Senik  akan bingkas bangun. Kalau tidak disebabkan Siak Deraman   masih tercegat berdiri disisi jenazah abangnya, nescaya mereka tidak bertangguh terjun ke tanah.

" Hiss, apa pula halnya ni? " serba salah juga Mayah apabila melihat mereka yang memandikan jenazah berundur dengan cemas.

" Jari Mat Senik  bergerak - gerak " gerutu beberapa orang yang sudah bersiap sedia mahu terjun di tingkap rumah.
" Mayat takkan boleh bergerak lagi!! " salah seorang yang berundur ke serambi pula memberitahu mereka berceratuk di tengah halaman rumah pula.

Serentak dengan itu, seisi rumah menjadi gempar apabila diberitahu yang jenazah Mat Senik  sudah bingkas bangun. Sekiranya waktu itu tengah malam ketika jenazah Mat Senik  menggerakkan jari, memang tidak ada sesiapa pun yang akan bertahan di situ. Disebabkan ia waktu siang dan belum pun pukul 11 pagi, maka mereka tidaklah terbebar sangat. Setidak - tidaknya Siak Deraman   juga tidak berganjak berhadapan dengan jenazah yang sedang dimandikan itu.

Tidak lama selepas jari jenazah Mat Senik  bergerak - gerak, lantas tangannya pula bergerak - gerak bagaikan mahu mencapai sesuatu. Kemudian dia mengagaru - garukan siku lalu terus terbersin perlahan. Cepat - cepat Siak Deraman berlutut disisi jenazah abangnya mahu memastikan sama ada mayat atau Mat Senik  yang bingkas bangun itu.

" Kenapa pula orang ramai hadap aku ni? " tercengang - cengang Mat Senik  apabila dia duduk termengah - mengah.

Tetapi Siak Deraman   tidak menyahut. Segera dia papah semula Mat Senik  ke tempat tidur disebabkan tenaganya masih lemah. Memang terkejut mereka yang berkumpul dirumahnya apabila diberitahu bahawa Mat Senik  yang sudah terkejang mati itu, tiba - tiba sahaja bingkas bangun.

" Kami sangka awak sudah meninggal " beritahu Alang Kimin  serba salah apabila didesak oleh Mat Senik  supaya menceritakan hal yang sebenarnya ramai saudara berkumpul di rumahnya.
Menggeleng kepala Mat Senik  sambil beristighfar. Di dalam keadaan lemah itu segera Mayah menyudukan bubur ke mulutnya setelah 3 hari dia tidak menjamah sebarang makanan. Memang Mat Senik  juga tidak menyangka bahawa keadaan dirinya sudah dianggap mati oleh sanak saudaranya. Dia sendiri tidak tahu apa - apa setelah tiang rumah yang sedang didirikannya itu disungkit oleh lembaga besar belakang berbonggol itu.

Ketika ini Surip Lekeh yang mengetuai kerja menggali kubur juga sudah diberitahu mengenai Mat Senik  yang disangka sudah mati itu bangun semula. Sekali pun Mat Senik  masih di dalam keadaan lemah, tetapi tubuhnya tidak cedera apa - apa akibat dihempap oleh kayu - kayu rumah yang jongkang kalang itu.

" Kalau begitu, kubur yang sudah siap digali kena ditanamkan dengan batang pisang " ujar Pawang Jimin  mengingatkan Surip Lekeh  supaya mengambuskan tanah kubur mesti diisi liang lahadnya. Tidak boleh liang lahad dibiarkan kosong setelah siap digali. Tahu sangat Pawang Jimin  mengenai pantang larang sejak turun temurun itu.

Petaka akan menimpa seisi kampung sehinggalah 7 hari berturut - turut orang meninggal dunia akibat tanah kubur dikecewakan. Pawang Jimin  tetap ingat pesanan arwah datuknya, Pawang Manuk apabila kubur siap digali tetapi jenazah tidak dikebumikan.

Tiba - tiba sahaja Itam Damat  yang disangkakan mati, bingkas bangun tatkala kubur sudah siap digali. Seisi kampung menyangkakan Itam Damat  sudah terkejang mati setelah ditemui tidak sedarkan diri sambil tersandar pada pokok leban apabila balik dari berburu di hutan. Memang Itam Damat  pergi berburu tidak pernah mengajak kawan - kawan disebabkan kegemarannya bersendirian sahaja.

Sehari semalaman dia tidak balik ke rumah, segera orang - orang kampung jejaki dia ke hutan. Tatkala ditemui, beliau tersandar di perdu pokok leban sambil tercangkung memeluk tombaknya. lantas Pawang Manuk pun diberitahu mengenai Itam Damat  sudah ditemui tidak sedarkan diri semasa berburu di hutan.
Belum sempat Pawang Manuk kibas dengan kain hitam untuk 3 petang berturut - turut, dia sudah diberitahu bahawa Itam Damat  sudah meninggal dunia. Dalam masa orang - orang kampung bersiap - siap untuk mengebumikannya, tiba - tiba sahaja Itam Damat  menarik kain selubungnya. dia terus terkuap - kuap laksana bangun dari tidur sahaja, lalu terus turun ke telaga untuk berkumur - kumur. memang dia tidak mempedulikan sangat mengenai jiran - jirannya yang sedang bersiap - siap untuk mengebumikan jenazahnya itu.

Sebaik sahaja naik ke atas rumah, lantas sahaja Itam Damat  meminta isterinya siapkan sarapan minum paginya. terkejut benar Itam Damat  apabila isterinya memberitahu bahawa dirinya sudah dikatakan terkejang meninggal dunia. Ketika itu barulah dia memberitahu Pawang Manuk bahawa dirinya sudah tersesat jalan di dalam hutan hingga meranduk kawasan yang penuh sesak dengan rumpun buluh. Di mana - mana sahaja rumpun buluh bertaup rapat hingga dia tidak dapat menemui jalan keluar. Semakin jauh dia melangkah, hutan buluh bertambah luas laksana lautan terbentang.

Terpaksa pula dia mencari lorong di celah rumpun buluh berkenaan. setelah puas mencari jalan keluar, akhirnya Itam Damat  sudah sampai dihalaman sebuah rumah yang diperbuat daripada buluh yang tumbuh merimbun itu. Tatkala dia sedang terpinga - pinga itu, dia telah mendengar bunyi siut buluh bergesel ditiup angin lalu tiba - tiba muncul seorang perempuan tua yang menggerbang rambutnya dari muka pintu.

Lantas dia pun memujuk perempuan tua itu supaya menunjukkan jalan balik kepadanya. namun perempuan tua itu berkeras tidak mahu menunjukkan jalan keluar kepadanya disebabkan Itam Damat  sudah menceroboh tempatnya. Disebabkan itu marah benar Itam Damat  apabila diperdayakan sedemikian. Ketika dia menghentakkan tumit ke tanah terus dia membacakan : " qaulan wafi'lan inna bathsyo rabbika lasyadidun wallahu min-waro-ihim muhidz, balhuwa qur-anun majidun fi-lohim mahfoz, summum bukmum 'umyum fahum layarji'un, summum bukmum 'umyum fahum laya'qilun, summum bukmum 'umyum fahum layatakallamun, summum bukmum 'umyum fahum layobsirun ".
Sekali gus angin pun bertiup kencang hingga banyak rumpun buluh yang tercabut tidak bertampan. Menjadi gerun perempuan tua itu apabila rumahnya juga telah diserbu angin kencang tersebut hingga menyebabkannya terpaksa berpaut pada jenang pintu. Berbuai - buai perempuan tua itu itu bergayut akibat kakinya telah terangkat dielus angin bagaikan kain tersangkut yang berayun - ayun.

Merungut - rungut perempuan tua itu marah kerana menyangka Itam Damat  mudah diperdayakan. Sebaik sahaja angin kencang reda, lantas sahaja menjelma lelaki besar laksana gajah terconggok. Itam Damat  dapat melihat belakang lelaki itu berbonggol - bonggol apabila dia berjalan terjengket - jengket.

Lantas lelaki bongkok itu pun membentak marah kepada perempuan tua kerana mencuba hendak menguji Itam Damat . Dia memberi isyarat kepada perempuan tua itu supaya masuk ke dalam rumah dan tidak lagi menjengah di situ. Sebaik sahaja perempuan tua itu hilang di balik pintu, segera lelaki bongkok bertubuh besar itu mengajak Itam Damat  supaya duduk.

Tetapi Itam Damat  tidak mahu menerima pelawaan lelaki berkenaan. dia ingatkan lelaki itu supaya menunjukkan jalan keluar kepadanya dengan tidak bertangguh. Terpaksalah lelaki bongkok itu mematuhi kemahuan Itam Damat  itu. Memang Itam Damat  dapat merasakan dia melihat lorong di celah - celah rumpun buluh yang terus sahaja mengarah ke halaman rumahnya. Tatkala kakinya melangkah mahu menaiki tangga rumahnya, dia merasakan ada kain selubung yang menyerkupnya.

Sebaik sahaja dia membuangkan kain yang menyerkup mukanya itu, Itam Damat  mendapati dia sedang terbaring bagaikan mayat sedang dibujurkan. Ketika bingkas bangun inilah, Itam Damat  telah terkuap - kuap akibat letih disamping keletihan kerana lama sangat tersesat di tengah rumpun buluh. Sebab itu dia berasa hairan apabila diberitahu sudah terbujur menjadi mayat sejak semalaman.
Apabila Itam Damat  yang sudah disangkakan mati itu kembali bangun dalam keadaan sihat, orang - orang kampung segera mengambuskan semula tanah kubur yang sudah digali itu tanpa disumbatkan dengan batang pisang sebagai ganti. Belum pun menjelang petang, tiba - tiba sahaja Usin Kaduk  meninggal dunia akibat jatuh tangga tatkala menyerbu ayam yang sedang mematuk padi jemurannya. marah benar Usin Kaduk  disebabkan ayam - ayam itu tetap tidak berundur apabila beliau menghalaunya dari tepi tingkap. lantas sahaja Usin Kaduk  mahu terjun ke tengah halaman yang menyebabkan kakinya tersandung pada bendul.

Sekali gus pula dia terhumban ke kaki tangga dengan rusuknya tersendal pada anak tangga. dia tidak boleh bergerak sehingga sesak nafas tercungap - cungap. terpaksa pula isteri dan anak - anak memapahnya naik ke atas rumah dalam keadaan lemah tidak bertenaga. tidak lama selepas itu pun Usin Kaduk  terkejang tidak bernyawa sebelum sempat Pawang Manukdipanggil untuk menjampikan.

Selepas kematian Usin Kaduk , 7 orang penduduk kampung telah meninggal dunia secara berturut - turut dalam masa seminggu. setelah kematian 7 orang secara berturut - turut itulah Pawang Manuk tidak semena - mena telah bermimpi melihat jelmaan lelaki tua yang berjubah putih. lantas jelmaan lelaki tua itu telah mengingatkan dia supaya tanamkan batang pisang setelah kubur digali tidak dikebumikan dengan mayat yang terbujur.

" Jangan biarkan tanah kubur tak diisi " beritahu Pawang Jimin  setelah kubur telah siap digali tetapi Mat Senik  yang disangkakan mati bingkas bangun semula. segera dia menyuruh Surip Lekeh tetakkan batang pisang lalu dimasukkan ke dalam liang lahat untuk menggantikan jenazah yang tidak jadi dikebumikan.

Tatkala mereka sedang mengheret batang pisang itu, Siak Deraman   diberitahu bahawa Aki Lagah  pula yang meninggal dunia setelah lama terkejang sakit. mereka semua memang tahu Aki Lagah  yang sudah berusia hampir 100 tahun sudah berbulan - bulan terkejang sakit akibat terlalu tua. Dia sudah tidak mampu lagi bergerak disebabkan kakinya sudah terlalu lemah dan tidak boleh dijejakkan lagi.
Tidak hairan sangat pada mereka apabila diberitahu bahawa Aki Lagah  meninggal dunia setelah lama terkejang sakit. setelah diberitahu bahawa Aki Lagah  meninggal dunia, segera Siak Deraman   beritahu tidak payahlah dikambus tanah kubur yang sudah siap digali itu. mereka sekadar perlu mengukur baik - baik jenazah Aki Lagah  supaya sesuai dengan kubur berkenaan.

" Tak ada apa - apa kejadian ganjil selepas Aki Lagah  dikebumikan, ustaz " jelas Mat Senik  yang menuturkan secara perlahan dalam suara yang lemah akibat terlalu uzur. Dia tetap kenangkan kejadian dia disangka sudah meninggal dunia hingga digali kubur bertahun - tahun dahulu. Memang Siak Deraman   sendiri yang memberitahu kepada saya mengenai kejadian yang menimpa abangnya itu.

Tetapi Mat Senik  tidak tahu apa - apa setelah dia terhumban hingga ditindih dengan kayu rumah yang runtuh itu. dia hanya sekadar ingat lembaga besar belakang berbonggol itu yang menyungkit kaki tiang hingga rumah berkenaan terbalik runtuh. Kalau dia sempat melompat turun, memang Mat Senik  tidak akan mengalah. Bila - bila sahaja dia akan mencekak tengkuk lembaga bertubuh besar umpama gajah itu sekali pun terpaksa bergelut berhempas pulas.

" Dah lama benar kejadian itu berlaku, ustaz " beberapa kali Siak Deraman   beristighfar disebabkan dia sendiri yang sedang memandikan jenazah ketika itu. " Tapi, Abang Senik sekarang ni memang sakit " ujarnya setelah diberitahu mengenai abangnya terkejang sakit sudah berminggu - minggu.

Bimbang juga anaknya, Andak Kasim jika kejadian yang berlaku bertahun - tahun dulu terhadap ayahnya akan berulang kembali. Sebab itu dia desak saya datang menjengah tatkala ayahnya sudah terkejang sakit sehingga berminggu - minggu. Manalah tahu kalau sakit terkejang itu sekadar mahu mengelirukan mereka sekeluarga.

" Siak Deraman   pun berpengalaman, tentu dia lebih tahu " tutur saya sambil mengerling kepada Siak Deraman  . Dalam wajahnya yang sudah dimamah usia itu, Siak Deraman   tetap tenang mendesak abangnya supaya berzikir mengingatkan Allah yang maha mengetahui segala yang nyata dan yang tersembunyi.

No comments:

Post a Comment