Sunday, August 28, 2016

191. DENDAM KHADAM SUSUK BERLIAN



PENDUDUK-penduduk kampung percaya Kak Ijun memang memakai susuk kerana wajahnya tetap kelihatan muda sekalipun sudah berumur lebih lima puluh tahun.  Macam tidak percaya mereka kalau dikatakan umur Kak Ijun sudah tua apakala bertentang muka dengannya.

Anak-anak muda jangan cuba langgar bahasa kalau melintas di depan Kak Ijun.  Siapa sahaja mencemik muka nescaya akan berlutut datang ke rumahnya.  Mereka akan merayu-rayu di tangga rumah selagi Kak Ijun tidak membukakan pintu.

Memang Tiamit tahu benar fasal Kak Injun akan bangun di tengah malam tatkala bulan mengambang penuh.  Kak Injun akan mandi berlangir dengan air bunga tujuh warna yang diambil dari tujuh kuala.  Selepas mandi berlangir Kak Injun akan membedak langir mukanya dicampur darah ayam hitam.

Sukar juga mahu menyediakan kelengkapan tersebut, tetapi Kak Injun berusaha mendapatkannya.  Tiamit satu-satunya yang boleh dipercayai untuk membantu dia.  Apa sangatlah ikut menemankan Kak Injun mengambil air dari tujuh kuala tatkala senja semakin samar.  Tiamit akan tolong mencarikan ayam hitam di merata kampung setiap bulan mengambang penuh.

Lama juga Tiamit berkawan dengan Kak Injun.  Semenjak mereka masih sama-sama gadis lagi berkawan tidak renggang.  Sampai Kak Injun berkahwin pun hubungan persahabatan mereka tidak pernah terganggu.  Kalau Tiamit tidak datang jejak kaki ke rumahnya, Kak Injun sendiri akan menjengah.

Apabila Tiamit berkahwin dengan Jaamat, persahabatan mereka berdua tetap terjalin.  Sewaktu Kak Injun bercerai dengan suami pertamanya Sahak Cemer, cuma Tiamit satu-satunya yang sering berkunjung ke rumah.  Kadangkala Tiamit pelawa Kak Injun bermalam di rumahnya disebabkan perempuan itu tidak mempunyai anak.

“Aku nak ke Pahang, Tiamit…”  satu hari tiba-tiba sahaja Kak Injun memberi tahu Taimit.  “Aku nak cari kerja di sana,”  katanya semacam kecewa setelah ditinggalkan oleh Sahak Cemer.

“Kerja apa ada di sana, Kak?”  Tiamit cuba memujuknya supaya tidak mengikutkan perasaan sangat.

“Manalah tahu boleh kerja di estet,”  jelasnya cekal mahu meninggalkan kampung halaman.

Tetapi setelah tiga bulan tidak bersua, Kak Injun balik ke kampung tersenyum lebar jejakkan kaki di rumah Tiamit.  Dia memberi tahu Taimit fasal dia memasuki polis khas berkawal di pintu pagar kampung baru di Raub.  Dalam masa darurat itu Kak Injun mudah sahaja diterima menjadi polis khas.

Gembira sangat dia menceritakan pada Tiamit mengenai tugasnya berkawal di pintu pagar kawat berduri di kampung baru.  Dia akan memeriksa sesiapa sahaja keluar masuk ke pekan membeli barang-barang keperluan.  Asal sahaja orang-orang kampung membeli barang-barang di pekan mereka akan diperiksa tatkala melalui pintu pagar berkenaan.

Orang-orang kampung tidak boleh membeli barang keperluan.  Mesti di tulis dalam permit barang-barang yang dibeli mengikut catuan.  Beli susu atau ikan sardine satu tin pun mesti ditebuk.  Kalau mereka melanggar peraturan Kak Injun wajib menahan mereka di bawa ke balai polis.

“Emmm, apa boleh buat, nak cari makan,”  keluh Kak Injun tersengih-sengih menceritakan pengalamannya.

“Ah, undang-undang darurat, begitulah…”  ujar Jaamat sengaja menyampuk.

“Kalau ada kerja lain, tak mahu ku jadi AC tu,”  kata Kak Injun seolah-oleh kesal menyertai pasukan polis khas itu.

“Apa salahnya Kak, bukan kita menyusahkan orang,”  sahut Tiamit pula memberi galakan kepada kawannya itu.

Selepas balik ke kampung itulah Kak Injun tidak pernah jengahkan muka apabila dia kembali bertugas.  Lama dia menghilangkan diri sampai saudara maranya juga tidak dihubungi.  Masing-masing menyangka Kak Injun sudah mendapatkan kerja lain.  Mahu diturut dia ke Raub bimbang juga tidak bertemu  di sana.

Lagi pun saudara mara Kak Injun bukanlah pedulikan sangat dia selepas emaknya Mak Semedah meninggal dunia.  Abangnya Lasah pula tiga suku sampai seisi kampung memanggilnya Lasah Sasau.  Masakan dia mahu ambil tahu sangat fasal Kak Injun sama ada balik ke kampung atau pun tidak.

Lama juga Tiamit tidak mendengar khabar mengenai kawannya itu setelah dia tidak pernah balik jengahkan muka ke kampung.  Lebih tiga tahun selepas itu barulah Kak Injun balik bersama suami barunya yang masih muda dari umur dia sendiri.  Kurip suami baru Kak Injun itu pula pendiam tidak suka bergaul dengan orang-orang kampung.

Habis sahaja mengerjakan sawah dia balik terus ke rumah.  Kurip tidak akan keluar lagi setelah jejakkan kaki di rumah.  Kalau Kak Injun tidak ada di rumah, Kurip akan memasak di dapur.  Beberapa kali juga jiran mendengar Kak Injun akan memarahi Kurip sekiranya ada yang tidak kena di hatinya.

Tidak penah pula Kurip melawan kalau diherdik keras sekalipun.  Kadangkala kesihan juga jiran-jiran dengan nasib Kurip yang menjadi suami mengikut telunjuk itu.  Kak Injun boleh bergurau senda dengan anak-anak muda lain di hadapan Kurip macam tidak ada batasan langsung.

“Abang Kurip tu sama-sama kerja dulu,”  beritahu Kak Injun sewaktu sama-sama menjolok buah jambu jambak di hujung halaman rumah Tiamit.  “Dah jodoh, berkenan aje Kak Injun pada dia,”  katanya mengilai panjang apabila kenangkan bagaimana Kurip merayu-rayu di luar pintu bilik sewanya.

Sewaktu dia mula mula bertemu muka dengan Kurip, anak muda itu segak dengan bangun tubuh yang sasa.  Kulitnya putih kuning dengan rambut ikal.  Memang Kak Injun sendiri berdebar setiap kali Kurip melintas di hadapannya.  Apalagi kalau Kurip yang menjadi rakannya berkawal di pintu pagar.

Tetapi Kurip sekadar menganggapnya macam kakak sahaja.  Tidak terlintas pun di hati anak muda itu mahu melayani Kak Injun.  Setiap kali Kak Injun cuba mendekati dia, Kurip sentiasa berdalih.  Tersinggung benar Kak Injun dengan sikap Kurip yang sering kali mengelak kalau dipelawa datang ke bilik sewanya.

Sebaik sahaja dapat cuti, Kak Injun tidak balik ke kampung.  Dia terus ke Kuala Krai di Kelantan mengikut kawan sebilik dengannya.  Kawannya Kak Nik memang berasal dari Kuala Krai.  Kak Nik yang beritahu dia fasal Mak Su Temuh yang boleh membantu orang-orang perempuan mahukan awet muda.

“Kalau untuk jaga diri, Mak Su boleh tolong,” tegas Mak Su Temuh sebaik sahaja Kak Injun memberitahu hasratnya datang ke Kuala Krai.  “Tapi, kalau nak menaya orang, jangan sekali-kali!”  dia mengingatkan semacam memberi amaran.

“Ah, nak buat apa menaya orang Mak Su,”  cepat sahaja Kak Nik mencelah untuk menyakinkan Mak Su Temuh.

“Tapi, kalau menyaya orang, mudarat menimpa awak,”  jelas Mak Su Temuh masih teragak-agak mahu memenuhi hasrat janda muda yang terlalu mengharap itu.

“Saya nak gunakan untuk diri sendiri aje, Mak Su,”  Kak Ijun memberi pengakuan sedia mematuhi apa sahaja pantang larang yang akan dikenakan.

Mak Su Temuh tidak peduli sangat sama ada Kak Injun akan menggunakan puaka susuk yang diberikan kepadanya untuk memuaskan nafsu sendiri.  Terserahlah pada Kak Injun sekiranya amalan susuk berlian itu mahu digunakan.

Dia sudah memberi peringatan kepada janda muda itu sama ada sanggup atau tidak menerimanya.  Mencucukkan jarum susuk hanya sebagai syarat sahaja supaya amalan itu sebati dengan darah.  Jarum susuk itu tidak sama dengan jarum menjahit baju yang boleh dilihat dengan mata kasar.

Siapa pun tidak dapat melihat jarum susuk yang ditusukkan ke pipi.  Mak Su Temuh sekadar menyeru nama khadam yang menjaga jarum susuk berlian supaya ditusukkan ke pipi Kak Injun.  Sama macam Kak Nik yang sudah ditusuk jarum susuk emas.  Tidak pernah Kak Nik menggoda sesiapa pun, tetapi lelaki itu sendiri datang mencari Kak Nik.

Sampaikan pegawai orang putih pun tidak segan-segan berhentikan keretanya di hadapan rumah sewa Kak Nik.  Pegawai orang putih itu menjemput Kak Nik menaiki keretanya mengajak makan di restoran di pekan.  Setelah di tukarkan ke Kuala Lipis pun pegawai orang putih itu datang juga berulang ke Raub mencari Kak Nik.

Tetapi Kak Nik tidak akan berkahwin dengan sesiapa sahaja lelaki yang memburu dia, Kak Nik tahu pantang larang susuk yang ditusuk oleh Mak Su Temuh tidak membolehkan mereka berkahwin dengan lelaki yang ditundukkan melalui jampi serapahnya.

Kak Injun juga tidak peduli sangat pentang larang setelah jarum susuk dutusukkan.  Apa sangat dibimbangkan kalau sekadar mencar air tujuh kuala dan berlangir bunga tujuh warna setiap kali bulan mengambang penuh.

Sebaik sahaja balik dari Kuala Krai memang Kurip yang menjadi sasaran dia.  Tidak lelap tidur Kurip setiap kali teringatkan Kak Injun.  Tengah malam pun Kurip datang mengetuk pintu merayu-rayu mahu menatap muka janda muda itu.  Sampai berhenti kerja pun Kurip tetap mahu bersama dengan Kak Injun sekalipun sudah beberapa kali dia terserempak lelaki lain menemui isterinya.

Puas juga keluarga Kurip cuba mengubati tetapi keputusan Kurip tidak dapat disanggah lagi.  Balik ke kampung Kak Injun pun Kurip hanya sekadar menjadi suami yang mengikut telunjuk semata-mata.  Dia tidak akan membantah kalau Kak Injun mengajak lelaki lain balik ke rumah.

Siapa boleh di harap menegur Kak Injun?  Cuma satu-satunya saudara lelaki dia Lasah Sasau.  Masakan dapat Lasah Sasau mahu menasihati Kak Injun, kalau dia sendiri mengharapkan orang lain memberi perhatian terhadap dirinya.

Sebab itulah Jaamat tidak benarkan Tiamit berkawan rapat lagi dengan kak Injun.  Bimbang juga dia kalau-kalau Tiamit terpengaruh sampai terikut-ikut dengan cara hidup Kak Injun.

“Jangan berkawan sangat dengan Kak Injun tu,”  Jaamat mengingatkan setelah orang-orang kampung memberitahu dia fasal Tiamit sering dikunjungi Kak Injun.

“Emmm, dia datang ke rumah takkan kita nak halau,”   sahut Tiamit serba salah kerana tidak tergamak mahu menjauhkan diri sekiranya Kak Injun jejakkan kaki ke rumah.

“Berhati-hati dengan dia tu,”  tegas Jaamat mencemik muka apabila kenangkan Kak Injun sentiasa berdandan setiap masa.  Suaminya Kurip sentiasa mematuhi apa sahaja kemahuannya.

“Entahlah…”  keluh Tiamit memang sukar mahu membuat keputusan kerana mereka sudah berkawan lama sejak masih gadis lagi.  Tentulah Kak Injun tersinggung kalau tiba-tiba sahaja dia memutuskan persahabatan yang kian lama terjalin itu.  Apa pula kata Kak Injun sekiranya dia berterus terang dengan keputusan itu.

Memang Kak Injun tahu fasal Jaamat tidak senang dia berkawan dengan Tiamit.  Kalau tidak kenangkan Tiamit kerapkali membantu dia, memang dia ajar Jaamat biar tersembam datang mendapatkan dia.  Bila-bila dia boleh tundukkan Jaamat macam Kurip yang boleh mengikut telunjuknya.

Tetapi dia tidak sampai hati mahu melukakan perasan Tiamit.  Dia tahu Tiamit tidak pernah membantah kalau minta temankan mengambil air tujuh kuala.  Tiamit membantu carikan bunga tujuh warna dan ayam hitam tengah naik tubuh.  Memang Tiamit tahu amalannya menjaga kecantikan yang abadi.

“Kakak ni tak bahagia, Mit,”  terkejut juga Tiamit dengan pengakuan Kak Injun sewaktu menemankan perempuan itu mengambil air di tujuh kuala.

“Macam mana tak bahagia?”  tersenyum Tiamit dengan penjelasan Kak Injun itu.

“Kakak ni pakai susuk nak cantik,”  keluhnya seolah-olah kesal setelah ditusuk dengan susuk.  “Tapi, cantik pun tak berguna kerana selalu di tohmah orang,”  katanya apabila kenangkan orang-orang kampung semakin menjauhkan diri daripadanya.

“Biarlah orang nak kata , Kak,”  sahut Tiamit memujuknya supaya bersabar menghadapi dengan demikian.

“Entahlah Mit, orang nampak aje kita gembira, tapi hati ni Tuhan aje yang tahu…”  semakin muram Kak Injun apabila kenangkan masalah yang menimpa dirinya.

Orang-orang kampung hanya menuduh dia memakai susuk semata-mata mahu memikat lelaki yang diidamkannya.  Tidak mengira suami orang pun  dia akan pikat sampai melutut meminta dikasihi.  Kurip tidak akan membantah siapa pun lelaki yang akan dibawanya balik ke rumah setelah hati berkenan.

Tetapi orang-orang kampung tidak tahu setiap kali khadam susuk itu menjelma, dia terpaksa melayaninya lebih daripada Kurip atau lelaki-lelaki lain yang sering mencarinya.  Khadam susuk akan melakukan apa sahaja terhadap dirinya sebaik sahaja bulan mengambang penuh.

Kak Injun tidak boleh membantah.  Kalau dia tidak memenuhi amalan yang ditetapkan sudah tentu wajahnya menjadi hodoh.  Tenaga akan lemah bagaikan orang tua tidak bermaya.  Sepanjang malam akan terbatuk-batuk tidak berhenti laksana dihinggapi lelah termengah-mengah.

Biarlah dia melayani khadam susuk itu sampai bila-bila pun, asalkan kecantikan tubuhnya tidak luntur, Kak Injun rela selepas mandi air tujuh kuala dan bunga tujuh warna, khadam susuk akan menjelma bagaikan beruang dengan tubuh berbulu lebat.  Sebaik sahaja khadam susuk menjelma dia akan menyapukan darah ayam hitam ke seluruh tubuhnya bagi membolehkan khadam susuk itu menjilatnya.

Kulitnya tidak akan kendur bagaikan perempuan tua selagi khadam susuk menjilatnya setiap kali bulan mengambang penuh.  Biarlah khadam susuk lakukan apa sahaja sekali pun terasa jijik di hatinya.  Kak Injun terpaksa merelakan kerana dia sendiri bersetuju sewaktu memintanya daripada Mak Su Temuh.

Kalau dia membantah tentulah khadam susuk naik berang sampai menerkamnya laksana harimau ganas membaham mangsa.  Siapa pun tidak akan dapat membantu dia sekiranya khadam susuk itu menggila sampai tidak dapat dikawal.

Hinggalah suaminya Kurip juga menjadi mangsa apabila masuk ke biliknya selepas sahaja dia mandi berlangir bunga tujuh warna tengah malam tatkala bulan mengambang penuh itu.  Dia sudah ingatkan Kurip jangan menjengah masuk ketika berlangir mandi di tengah malam.

Tetapi Kurip tidak sampai hati membiarkan Kak Injun merungut-rungut tidak menentu selepas mandi berlangir air bunga tujuh warna di tengah kesepian malam.  Manalah tahu isterinya kembung sampai senak perut akibat kesejukan mandi di tengah malam demikian.  Sebab itu Kurip gagahi juga menjengah.

Sebaik sahaja terserempak lembaga hitam seperti beruang berbulu lebat menjilat darah memercik di tubuh Kak Injun, mengirap juga perasaan Kurip.  Dia mesti selamatkan isterinya kalau diancam oleh lembaga hitam tersebut.  Belum pun sempat Kurip mencapai parang di dinding, lembaga itu menerkam kearahnya.

Keesokannya seisi kampung gempar dengan berita kematian Kurip dengan tubuhnya calar balar.  Siapa pun tidak tahu mengenai punca kematian Kurip.  Calar balar di tubuh Kurip tidak sama dengan dicakar binatang buas, tetapi pecah-pecah laksana tanah sawah merekah akibat kemarau sepanjang musim.

Tersengguk-sengguk juga Kak Injun hiba  dengan kematian Kurip.  Cuma dia satu-satunya yang melihat sendiri bagaimana Kurip menemui ajalnya.  Tetapi seisi kampung tidak percaya dia bersedih sekalipun Kak Injun murung sampai seminggu.  Masakan Kak Injun  sedih dengan kematian Kurip kalau sewaktu hidupnya lelaki itu dianggap sama sahaja seperti tidak ada di sisinya.

“Tapi kakak memang sayangkan Kurip,”  sayu suara Kak Injun memberitahu Tiamit setelah sebulan Kurip meninggal dunia.

“Apa sakitnya Abang Kurip tu, kak?”  Tiamit mendesak.  Memang Tiamit sahaja yang boleh bertanya demikian kalau Kak Injun mahu merahsiakan pun.

Kak Injun tidak akan berahsia sekiranya Tiamit yang menyoal.  Biarlah seisi kampung tidak senang dengan Kak Injun, namun jauh di sudut hati Tiamit dia tidak menaruh apa-apa buruk sangka.  Dia tahu orang-orang kampung mencemburui Kak Injun disebabkan bimbang suami atau anak-anak muda mereka digoda.

Tetapi Kak Injun bukan mahu menggoda sesiapa sahaja.  Dia sekadar menundukkan mereka yang bersikap sombong terhadap dirinya.  Hatinya tidak senang kalau dirinya dicemburui sepanjang masa.  Sebab itu Kak Injun akan layani mereka yang memandang serong terhadapnya.

Biar mereka di ajar supaya menghormati dirinya!  Tidak patut mereka cemburu sampai menghalang sesiapa pun mendekati Kak Injun.

“Dia melanggar pantang,”  beritahu Kak Injun menghela nafas apabila kenangkan kematian suaminya Kurip.

“Pantang larang apa pula?”  hairan juga Tiamit fasal pantang larang yang perlu dipatuhi oleh Kurip.  Kenapa pula Kurip mesti mematuhi pantang larang kalau dia tidak mengamalkan apa-apa?  Setahu Tiamit cuma Kak Injun sahaja yang mengamalkan susuk berlian untuk memelihara awet muda.

Tentulah pantang larang itu hanya perlu dipatuhi oleh Kak Injun sahaja.  Siapa pun tidak perlu sama-sama menanggung beban, kalau tidak ikut beramal.  Sekalipun Kurip suami Kak Injun, masakan dia juga mesti mematuhi pantang larang tersebut.

“Kakak dah ingatkan dia jangan masuk ke bilik, selepas kakak mandi tengah malam,”  perlahan-lahan Kak Injun menggigit bibir menahan sebak yang mula menusuk-nusuk ke dada.

“Oh, khadam susuk kakak tu terserempak arwah Abang Kurip?”  cepat sahaja Tiamit menuduh sambil menggeleng-geleng lemah.

Kak Injun mengangguk perlahan.  Memang Tiamit yang banyak mengetahui fasal rahsia dirinya.  Biarlah Tiamit tahu semuanya dia tidak perlu bimbang.  Khadam susuk itu tidak akan menganggu sekiranya sesiapa pun tidak terserempak tatkala Kak Injun melayani dia.  Tiamit juga tidak akan menganggu sekiranya Kak Injun berlangir mandi di tengah malam tatkala bulan mengambang penuh.

Sebaik sahaja bulan mengambang penuh, Kak Injun juga tidak benarkan Tiamit ke rumahnya.  Dia juga seminggu berperap di rumah tidak akan keluar  ke mana-mana.  Biarlah darah ayam hitam berlumur di seluruh tubuhnya itu habis dijilat khadam susuk berkenaan.

Selama berperap di rumah itu pula Kak Injun hanya melayani khadam susuk itu mengikut kemahuannya.  Dia tidak boleh mengelak selagi lembaga hitam itu tidak keluar dari rumahnya.  Saat ini siapa sahaja lelaki tidak akan diajak oleh Kak Injun ke rumah disebabkan khadam susuk itu juga cemburu terhadapnya.

Kak Injun sendiri menerima padah sekiranya khadam susuk marah akibat cemburunya yang membara.  Tubuhnya akan lebam-lebam dicemati hingga berbirat sampai berminggu-minggu.  Tetapi dia tetap menerima segala ujian itu setelah bernekad untuk memakai susuk berlian.

Tidak lama selepas Kurip meninggal dunia, Kak Injun berkahwin dengan Sulik bekas guru yang sudah bersara.  Marah benar dia dengan anak perempuan Sulik fasal cemburukan dia.  Masakan Raonah tidak cemburu apabila ayahnya seringkali memancing berhampiran rumah Kak Injun.

Terlalu marah Raonah sampai tidak sabar lagi dia menyerbu ke rumah Kak Injun.  Bercekak pinggang dia tengadah Kak Injun di sebabkan cuba menggoda ayahnya Sulik.  Tetapi Kak Injun berkeras mengakui dia tidak menggunakan apa pun jampi serapah untuk memikat Sulik.

Sulik pun sudah tua hampir sebaya dengan arwah ayahnya.  Tetapi disebabkan Raonah cemburu sangat, dia memutuskan untuk berkahwin juga dengan Sulik.  Apalah salahnya bersuamikan orang tua macam Pak Sulik, asalkan hatinya puas.  Selepas berkahwin dengan Pak Sulik bertambah marah Raonah hingga mencari bomoh minta pisahkan pasangan berkenaan.

“Jodoh aku Raonah,”  pujuk Pak Sulik supaya anaknya tidak berdedam dengan Kak Injun.

“Ini bukan jodoh tapi ayah dah kena ubat guna-guna,”  Raonah tidak puas hati apabila ayahnya mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Kak Injun.

Puas juga Raonah berikhtiar namun dia tidak dapat menghalang.  Ayanya berkahwin juga dengan Kak Injun.

“Aku kahwin bukan kerana Injun cantik,”  Pak Sulik memberitahu adiknya Lebai Kahar.  “Tetapi, aku mahu bimbing Injun ke jalan Allah,”  tegasnya setelah seisi kampung memandang serong dengan keputusan dia.

Orang-orang kampung menuduh dia tergila-gilakan Kak Injun kerana paras wajah perempuan itu cantik dan muda.  Mereka juga percaya Pak Sulik sudah terkena ubat guna-guna kerana mereka tahu benar fasal Kak Injun memakai susuk berlian.  Kalau tidak masakan Pak Sulik bekas guru yang dihormati tiba-tiba memilih Kak Injun.

Siapa tidak kenal Kak Injun yang seriangkali dikunjungi lelaki setiap malam.  Sama ada suaminya Kurip masih hidup atau pun tidak, ramai anak-anak muda datang merayu ke situ.  Mereka bimbang mahu menasihati Kak Injun.  Sekalipun tujuan mereka baik, bagaimana kalau mereka pula terjerumus sama?

Memang seisi kampung tahu Pak Sulik sekadar mahu menasihatkan Kak Injun supaya berhenti mengumpan lelaki supaya datang ke rumahnya.  Tetapi lama kelamaan Pak Sulit sendiri tidak dapat berengang daripada sisi Kak Injun.

“Kalau niat abang baik, teruskanlah,”  Lebai Kahar tidak membantah sekiranya Pak Sulik benar-benar ikhlas mengahwini janda yang menjadi buah mulut di dalam kampung itu.

“Tapi, ayah tu dah kena ubat guna-guna, pak ngah,”  Raonah meluahkan rasa mendongkol di hati dihadapan Lebai Kahar.

“Ubat guna-guna tak akan berkuasa kalau tidak dengan izin Allah,”  cepat-cepat Lebai Kahar memarahi anak saudaranya itu.

“Habis, pak ngah tak percaya ayah dah kena ubat guna-guna?” terkilan benar Raonah disebabkan Lebai Kahar menyebelahi keputusan ayahnya.

“Jadi, kau tak percaya dengan kekuasaan Allah?”  Lebai Kahar mencebik bibir menatap muka Raonah.

Terdiam Raonah.  Memang Lebai Kahar boleh menuturkan apa sahaja sebab tidak melukai hatinya.  Tetapi betapa dia anak Pak Sulik yng menerima nasib demikian dengan keputusan berkahwin dengan Kak Injun.

Raonah juga tidak boleh membantah sangat kalau ayahnya berkeras mahu berkahwin dengan Kak Injun.  Sebenarnya dia tidak melarang ayahnya berkahwin dengan sesiapapun asalkan jangan Kak Injun.  Tetapi apabila kenangkan ayahnya terkena ubat guna-guna, Raonah hanya berdendam kepada perempuan yang memakai susuk itu.

Kalau tidak disebabkan ubat guna-guna siapa yang mahu berkahwin dengan Kak Injun?  Seisi kampung tahu fasal dia seringkali membawa lelaki bermalam di rumahnya.  Lainlah kalau bulan mengambang penuh memang dia tidak izinkan sesiapa pun lelaki jejak kaki ke rumahnya.

Masakan perempuan yang tidak berakhlak sepertinya menjadi pilihan Pak Sulik.

“Tapi, kakak tak pakai ubat guna-guna,”  pengakuan jujur Kak Injun di hadapan Tiamit.  “Sebab kak pun suka dengan Pak Sulik,”  ujarnya meluahkan perasaan yang mendongkol di hatinya.

Tiamit percaya dengan pengakuan perempuan itu.  Tidak pernah Kak Injun berbohong padanya.

“Pak Sulik nak bimbing kakak fasal agama,”  jelasnya seolah-olah menyedari akan kesilapan yang dilakukannya selama ini.

“Macam mana dengan susuk kakak?”  lantas sahaja Tiamit mengingatkan dia setelah mengaku akan menuruti bimbingan Pak Sulik.

“Kenalah buang juga,”  beritahu Kak Injun merenung jauh ke hadapan sambil menghela nafas panjang.

“Pak Sulik boleh buangkan?”  soal Tiamit gembira dengan keputusan Kak Injun mahu membuang susuk yang menyebabkan dia dicurigai oleh seisi kampung.

“Dia akan tolong usahakan,”  jelas Kak Injun perlahan.

Setiap kali Pak Sulik memancing di belakang rumahnya sengaja Kak Injun turun menebas-nebas rumpun pisang.  Lenggangnya terkedek-kedek sampai Pak Sulik tidak lepas mengerling.  Berdebar juga perasaan Pak Sulik apabila ternampak Kak Injun menebas kebunnya.

Sekali sekala Pak Sulik mengusik juga .  Terkekeh-kekeh Kak Injun ketawa apabila Pak Sulik memuji-muji.  Memang dia sengaja mahu menyakiti hati Raonah di sebabkan perempuan itu menuduh dia tidak berakhlak.  Raonah ingatkan orang-orang kampung supaya tidak biarkan anak-anak muda mereka di goda.  Mereka percaya perempuan memakai susuk sukakan anak-anak muda biar kekal awet muda.

Sebab itulah Kak Injun sengaja turun ke kebun di tepi sungai asal sahaja Pak Sulik memancing di perdu pokok dedalu.  Pak Sulik bukanlah mahu memancing sangat kalau menggalas joran kail ke situ.  Dia sekadar mahu mencari ketenangan setelah bertahun-tahun menduda.

“Hai, bila duda memancing dengan rumah janda, tak bahaya ke?”  sengaja Kak Injun mengusik kalau ternampak Pak Sulik meranduk belukar teberau di seberang sungai.

“Mana nak bahaya, ada sungai jadi sempadan,”  sahut Pak Sulik tewrsenyum dengan usikan Kak Injun.

“Nanti orang tuduh duda nak memancing janda pula,”  semakin galak Kak Injun mengusik dengan hilai ketawanya yang melangsing.

Lama kelamaan terasa pula kemesraan di hati Pak Sulik.  Dia percaya kalau Kak Injun dibimbing dengan ajaran agama, sudah tentu perempuan itu boleh mengubah sikapnya.  Disebabkan tidak ada siapa pun lelaki mahu membimbingnya maka Kak Injun terumbang ambing.

Apa lagi orang-orang kampung curiga dengan ilmu susuk yang diamalkannya, hingga Kak Injun terpencil hidup bersendirian tidak mempunyai kawan-kawan.  Fasal itu Kak Injun semakin jauh membawa dirinya hanyut tidak menentu bersama kemahuan nalurinya.

“Saya tahu Injun pakai susuk, tapi eloklah dibuang,’  pujuk Pak Sulik sebaik sahaja mereka menjadi suami isteri.

Kak Injun tidak menyahut, tetapi dia mengangguk bersetuju menuruti kemahuan suaminya.  Kecantikan tidak bermakna lagi kepadanya setelah menetap di kampung.  Apalah ertinya dia kelihatan muda bergaya, kalau jiran-jiran menjauhkan diri.  Seisi kampung memandang serong terhadapnya sebagai perempuan yang tidak berakhlak.

“Umur dah semakin tua, pakai susuk pun apa faedahnya?”  Pak Sulik menuturkan perlahan sambil menatap muka Kak Injun yang memang kelihatan jelita pada pandangan Pak Sulik.

Tetapi Pak Sulik terkejut apabila tengah malam tatkala bulan mengambang penuh Kak Injun mandi di telaga.  Bagaimanapun dia kembali bertenang kerana menyedari amalan isterinya selama ini.  Tentulah Kak Injun tidak boleh membuang serta merta amalan tersebut macam meretap benang tegang.  Kalau putus sekaligus tentulah mudaratnya berpanjangan.

Apabila Kak Injun masuk ke bilik tempat dia beramal Pak Sulik mendengar suara Kak Injun tersengguk-sengguk menangis.  Dia tidak berani menjengah ke bilik berkenaan disebabkan telah di beri amaran oleh Kak Injun.  Tetapi Pak Sulik gagahi juga mengintai dari rekahan dinding menjengah ke dalam bilik.

Beristighfar beberapa kali Pak Sulik apabila melihat lembaga hitam berbulu seperti beruang menjilat darah di tubuh isterinya.  Memang Pak Sulik memahami dia tidak boleh mengganggu dalam saat demikian.  Dia sudah dapat mengagak bagaimana Kurip menerima nasibnya disebabkan berburu-buru menyerbu ke dalam bilik.

“Aku tak mahu lagi susuk kau ni!”  Kak Injun cuba menolak tubuh berbulu lebat itu daripada memegang kuat tubuhnya.

“Kau nak muka kau hodoh?”  jerkah lembaga hitam bercekak pinggang merenung tepat ke muka Kak Injun.

“Biarlah aku hodoh, asal suamiku tidak menderita,”  sahut Kak Injun memberanikan hati menentang khadam susuk di hadapannya.

“Jangan cuba kau nak memandai-mandai!”  lembaga hitam berbulu itu menerkam kearah Kak Injun menyebabkan Pak Sulik menjadi sesak nafas akibat menahan rasa terkejutnya dengan kejadian tersebut.

Malam itu juga Pak Sulik gagahi meninggalkan rumah Kak Injun balik ke rumah Raonah.  Sekalipun terkejut ayahnya balik di tengah malam, tetapi Raonah gembira menyambut kepulangan ayahnya.

Semenjak balik ke rumah Raonah tidak mahu lagi Pak Sulik jejakkan kaki ke rumah isterinya.  Dia sendiri mengambil keputusan menceraikan Kak Injun dalam keluhan yang memilukan.

“Aku tak dapat nak balik ke rumah Injun,”  bisiknya dengan linangan air mata menyimpan rahsia yang dilihatnya sendiri mengenai kehidupan Kak Injun.

Keputusan Pak Sulik menceraikan dia memang menghampakan Kak Injun.  Tetapi dia tidak boleh memaksa Pak Sulik membantu dia membuangkan susuk yang sudah ditusukkan ke tubuhnya.  Kak Injun tidak terkilan lagi dengan nasib yang menimpa dirinya.  Kalau anak-anak muda datang merayu ke rumahnya, Kak Injun tidak akan menolak.  Dia mesti melayani siapa sahaja anak muda.

Tidak lama selepas diceraikan itulah Kak Injun merasakan dirinya seolah-olah mengandung,  Tetapi dia tahu masakan dirinya boleh mengandung sekalipun berkahwin dengan sesiapa pun.

Sewaktu bulan tengah mengambang apabila dia mandi air tujuh kuala dengan bunga tujuh warna, Kak Injun tahu dia tidak dapat lari ke mana daripada cengkaman khadam susuk.  Tubuhnya akan dilakukan apa sahaja sehingga terasa sakit seperti dibanting berulang kali.

Setelah duduk di tengah bilik membakar kemenyan, Kak Injun mula menyapukan darah ayam hitam ke seluruh tubuhnya.  Hanya dalam beberapa minit sahaja dari kepulan asap kemenyan itu lembaga hitam berkenaan menjelma tersengih-sengih.

“Kau tak suka mengandung?”  soal lembaga hitam itu merentap keras rambut Kak Injun.

“Suka, kalau aku mengandungkan anak manusia,”  sahut Kak Injun menahan perasaan gementar.

“Apa salahnya mengandung anak aku,”  lembaga hitam itu tertawa bangga sambil mengusap-usap perut Kak Injun.

“Janganlah macam tu, aku tak jadi nak buang susuk ni,”  Kak Injun merayu supaya dia diselamatkan.

“Kenapa kau nak pakai susuk lagi?”  terkekeh-kekeh lembaga hitam berbulu itu ketawa semacam mengejek.

“Aku dah bercerai dengan suami aku, beritahu Kak Injun berterus terang.  Tidak ada yang perlu diselindungkan lagi mengenai kehidupannya yang sukar di terima oleh masyarakat.  Biarlah dia menanggung apa sahaja beban ujian yang getir selagi dia amalkan susuk tersebut.

“Kalau macam tu anak yang kau kandung tu mesti di pindahkan,”  barulah lembaga berbulu hitam itu berlembut.

Kak Injun mengangguk.  Saat ini dia tidak boleh berkeras dengan khadam susuk berkenaan.  Bagaimana dengan perut yang mula membesar.  Tentu orang-orang kampung akan mengejeknya berterusan apakala hamil tidak bersuami.  Mereka tidak percaya kalau dia hamil disebabkan oleh Pak Sulik, disebabkan sudah lebih sebulan mereka tidak hidup bersama.

“Pindahkanlah, asal sahaja orang tidak menuduh aku,”  rayu Kak Injun dengan harapan membumbung tinggi.

“Aku akan pindahkan kepada kawan baik kau,”  bertambah kecewa Kak Injun dengan keputusan khadam susuk berkenaan.

Belum sempat dia membantah, lembaga hitam itu sudah menghilang  dalam kesamaran cahaya pelita.  Seminggu selepas itu lah dia mendapat tahu mengenai Tiamit mengidap sakit perut memboyot tidak bersebab.  Serba salah  juga Kak Injun mahu berterus terang kerana bimbang akan disalah anggap pula.

Manalah tahu Jaamat akan menuduhnya mahu berkhianat dengan Tiamit.  Disebabkan bimbang rahsia penyakit Tiamit itu diketahui oleh sesiapa, tidak berani Kak Injun menziarahi Tiamit.  Hanya ketika Tiamit dimasukkan kewad dia menjengahkan muka sambil menitik air marta.

“Kakak tak dapat nak bantu kau, Mit,”  bisiknya menahan sebak yang mengombak di dada.

“Tak apalah kak, saya hanya berserah pada Tuhan,”  sahut Tiamit tenang menghadapi musibah demikian.

“Kalau boleh Tok Kimar ubatkan, cubalah berubat di kampung,”  Kak Injun mengusap-usap kepala Tiamit semacam mengakui akan kesalahannya.

Memang sewaktu bertapa di masjid itu Tiamit bermimpi berhadapan dengan Kak Injun yang berlindung di belakang lembaga hitam bebulu seperti beruang.  Setiap kali perempuan itu cuba mara ke hadapan untuk mendekati dia, cepat-cepat direntap rambutnya oleh lembaga tersebut.

Apabila jelmaan Moyang Labuh tercegat dik sisi Tiamit, lembaga itu tersengih-sengih mahu melawan.  Tetapi setiap kali dia menerkam lembaga tersebut terbabas bagaikan menerkam bayang-bayang yang tidak boleh dicapai.

Sekaligus pula Moyang Labuh melaungkan azan menyebabkan lembaga hitam itu terhumban ditiup angin kencang.  Setiap kali dia cuba berdiri angin kencang menolaknya hingga dia bergolek-golek seperti sampah diterbangkan angin.  Ketika ini lembaga tersebut berpaut kuat ke tubuh Kak Injun.

Kesihan juga Tiamit mahu membantu, tetapi di larang oleh Moyang Labuh.  Memang dia terkilan tidak dapat menyelamatkan Kak Injun, sekalipun dia melihat di dalam mimpi sahaja.

Sebab itulah sewaktu dia mendengar berita kematian Kak Injun teringin juga Tiamit mahu menziarah.  Kalau tidak kenangkan penyakitnya yang menguzurkan memang dia ziarahi juga kawannya itu.  Sampai Kak Injun diusung ke kubur pun memang Tiamit tidak dapat menatap muka perempuan itu.

“Semuanya berlaku macam dalam mimpi, ustaz,”  beritahu Tiamit sewaktu saya mengikut anaknya Badun balik ke kampung.  “Tapi fasal berbidan, saya tak pandai macam Kak Ibah,”  jelasnya merendah apabila kenangkan arwah nenek saya yang di kenalinya sewaktu sama-sama berbidan.



SELESAI