Friday, November 25, 2016

204.LELAKI BERJUBAH PUTIH KELUAR DARI KUBUR



MATAHARI sudah condong benar barulah kami bertolak balik ke Kuala Lumpur, setelah seharian berada di rumah Pak Boyot.  Mak Senit telah memasak gulai rebung campur ikan kering pada tengah harinya untuk hidangan.  Berselera sangat saya makan dengan ulam jering yang dikait sendiri oleh Pak Boyot di belakang rumahnya.  Kadir Misai juga kelihatan beberapa kali bertambah nasi.
Pak Boyot meminta biarlah kami balik lewat sedikit, tetapi kami terpaksa balik juga disebabkan Kadir Misai ada urusan ke Kota Bharu.  Dia mahu singgah di rumahnya di Melaka terlebih dulu sebelum menghantar saya balik ke Kuala Lumpur.
“Nanti jumpa lagi penunggu di Bukit Kijal…” usik Pak Boyot tersengih-sengih mengerling Kadir Misai.
“Ah, saya tak ikut jalan tu,”  beritahu Kadir Misai tertawa kecil.  “Saya ikut jalan Gua Musang, cepat sikit,”  jelasnya perlahan.
“Kau takut penunggu Bukit Kijal?”  kata Pak Boyot mengejeknya.
“Tak takut apa, ustaz dah beri petua…”  sahutnya sambil mencuit paha saya.
Sebenarnya Pak Boyot memang suka berjenaka.  Dia sering mengusik Kadir Misai kalau kami datang berkunjung ke rumahnya.  Kadangkala Kadir Misai juga suka mengusik bapa saudaranya itu.  Tetapi dia tidak pernah marah bila anak saudaranya itu sengaja menimbulkan kisah-kisah lamanya untuk menimbulkan gelak ketawa.
“Siapa berani tidur dengan mayat seorang diri, kalau bukan Bomoh Boyot…” Kadir Misai terkekeh-kekeh ketawa semasa kami makan tengahari.  Usikan Kadir Misai itu bukan saja untuk menimbulkan gelak ketawa, tetapi memang peristiwa benar yang dihadapi oleh Pak Boyot sendiri.
Dia datang berkunjung ke rumah kawannya Abu Jakil yang sakit tenat selepas diberitahu oleh isteri kawannya itu Kimah.  Tidak ada siapa pun datang menziarahi rumah Abu Jakil yang jauh terpencil di dusunnya di hulu kampung.  Abu Jakil mendirikan rumah di dusunnya jauh dari kampung, kerana tidak mahu tinggal berdekatan hingga sering menimbulkan kekecohan.
Dia cepat memberang sekiranya anak-anak itik jiran masuk ke sawahnya ketika anak benih baru diubah.  Bila-bila saja dia sanggup berkelahi kalau ada orang yang berani menyanggahnya.  Dia sanggup menetak kambing sesiapa saja yang berani menceroboh anak semaiannya.
Disebabkan dia suka bergaduh dengan jiran-jiran, Kimah memujuknya tinggal jauh di dusun supaya jauh dari masyarkat keliling.  Mereka tinggal tiga beranak saja.  Anaknya Harun yang baru berumur lima tahun itu masih belum bersekolah lagi.  Apatah lagi ketika ini persekolahan tidaklah penting sangat kepada ibubapa untuk anak-anak mereka.
Sewaktu Pak Boyot sampai di rumah Abu Jakil, hanya Kimah dan anaknya Harun itulah yang ada di rumah.  Tidak ada jiran-jiran mahu pun keluarga mereka yang datang menjengah.  Boleh dikatakan kebanyakan orang-orang kampung memang pernah bermasam muka dengan Abu Jakil.
Setelah melakukan pengubatan, Pak Boyot tidaklah terus balik kerana dilihatnya keadaan Abu Jakil semakin lemah.
Disebabkan hatinya serba salah mahu meninggalkan Kimah dua beranak menghadapi keadaan suaminya Abu Jakil, dia terpaksa menemankan mereka setidak-tidaknya hingga sampai keesokan harinya.  Tetapi malangnya, kira-kira jam 1.00 pagi Abu jakil pun menghembuskan nafasnya.
“Kita terpaksa beritahu orang-orang kampung,”  ujar Pak Boyot.  “Biar aku jemput, dan kau tungggu jenazah,”  katanya lantas bangun untuk memberitahu orang-orang kampung mengenai kematian Abu Jakil.
“Eloklah bapak yang tunggu jenazah, kerana bapak tahu nak buat apa-apa pun,”  sahut Kimah cemas.
“Kalau macam tu, kau bawalah Harun temankan kau di jalan…”  Pak Boyot menyuruh Harun juga dibawa sama.  Bimbang juga dia mahu melepaskan Kimah berseorangan saja menempuh belukar kecil sebelum menyeberangi sawah untuk sampai ke kampung.
Sepeninggalan Kimah dan anaknya memberitahu Tok Imam dan orang-orang kampung tinggallah Pak Boyot seorang diri menunggu jenazah Abu Jakil yang siap dibujurkan.  Dia membakar kemenyan di samping membacakan Quran sementara menunggu kedatangan orang-orang kampung.
Sebaik saja Kimah meninggalkan rumah, hujan mula turun sekalipun tidaklah lebat.  Angin juga bertiup sepoi-sepoi di kala dinihari yang sepi itu.  Mujurlah Kimah berani juga menuju ke kampung yang jauhnya hampir sebatu, ketika dinihari hanya dua beranak saja dengan Harun yang baru berumur lima tahun.
Memang Kimah lebih rela menempuh kesepian malam memberitahu Tok Imam dan orang-orang kampung, dari menunggu jenazah bersendirian dengan anak kecil berumur lima tahun itu.  Dia sering mendengar cerita mengenai mayat yang bangun semula kalau tidak tahu menjaganya dalam waktu demikian.
Tidak lama selepas hujan turun serta angin bertiup itu tiba-tiba kain penutup mayat tersilak.  Berdebar juga Pak Boyot bila melihat kain penutup mayat itu tiba-tiba saja tersilak hingga menampakkan muka jenazah Abu Jakil.  Dia terus membacakan ayat-ayat Quran bercampur gementar sedikit.  Setelah diperhatikannya betul-betul bahawa kain itu tersilak disebabkan hembusan angin, barulah Pak Boyot menutup semula muka janazah itu dengan kain penutup.
Selepas itu suasana semakin mendebarkan Pak Boyot kerana  atap juga tiris hujan hingga air menitik betul-betul di atas muka jenazah.  Terpaksalah pula Pak Boyot mengheret tikar pengalas jenazah itu jauh sedikit bagi mengelakkan dari dititis hujan yang tiris.
“Emmm, macam-macam hal betul menimpa kau Jakil,”  keluh Pak Boyot macam kesal dengan  kejadian yang dihadapinya itu.  Kemudian dia kembali membaca Quran bagi mengisi kesepian malam.
Dalam masa membacakan Quran ini, sekali-sekala Pak Boyot terkuap-kuap menahan mengantuk.  Dia sendiri tidak tahu bilakah pula masanya dia terlelap disebabkan terlalu mengantuk, hinggalah dikejutkan oleh Tok Imam dan orang-orang kampung yang datang bersama Kimah.  Ketawa besar Tok Imam bila kenangkan Pak Boyot tertidur semasa berseorangan diri menjaga jenazah.
“Mujur juga jenazah itu tak bangun, semasa Pak boyot tidur…” kata Tok Imam disambut derai ketawa beberapa orang yang berkunjung sebaik diberitahu mengenai kematian Abu Jakil.
Peristiwa ini menjadi ejekan kepada Pak Boyot kerana dikatakan tidur bersama orang mati.  Tetapi Pak Boyot juga bukanlah orang yang mudah cemas menghadapi saat-saat demikian.  Perkara dia tidur berseorangan diri dengan jenazah Abu Jakil adalah perkara yang kecil saja kalau dibandingkan dengan peristiwa tertidur seorang diri di tengah hutan.
Bahaya di hutan tentulah lebih besar kerana binatang buas berkeliaran, sedangkan mayat yang terbujur itu tidak perlu dibimbangkan.  Bagaimanapun orang-orang kampung lebih takutkan mayat yang terbujur apabila menunggunya berseorangan diri.
Dia ke hutan bersama beberapa orang kawannya mencari rotan.  Masing-masing berpecah sebaik saja sampai di satu perhentian, dan berjanji bertemu semula di situ.  Pak Boyot yang mudah tertidur di mana saja dia berhenti, telah tertidur sebaik saja mengumpulkan rotan-rotan yang dicari.
Apabila sampai waktu dijanjikan, Lajim, Mat Biduk dan Wahab Gedeng pun menunggu di perhentian mereka berkumpul.  Tetapi sehingga petang mereka bertiga menunggu Pak Boyot tidak juga muncul.  Masing-masing menuduh Pak Boyot sudah balik terlebih dahulu, kerana hampir satu jam mereka menunggu Pak Boyot masih juga tidak nampak bayang.
“Kita nak tunggu ke?”  soal Wahab Gedeng meradang disebabkan puas menunggu di situ.
“Tunggulah dulu,”  sahut Mat Biduk memujuk kawan-kawannya.  “Tak baik pula kita tinggalkan dia seorang diri,”  ujarnya lagi.
“Mana tau dia balik dulu, kita tunggu aje laaa dia di sini…”  rungut Lajim pula bimbang sekiranya Pak boyot sudah balik terlebih dulu.  Sia-sia saja mereka menunggu di situ kalaulah orang tua itu balik dengan tidak memberitahu.
“Aku tak fikir macam tu,”  Mat Biduk yakin Pak Boyot masih belum balik.
“Orang tua ni kuat tidur, kau tau!”  jelas Wahab Gedeng yang memahami sikap Pak Boyot suka tidur di mana-mana kalau keletihan.  Kadangkala selepas membantu orang menggali kubur pun, dia boleh melelapkan mata di atas kubur.
Terpaksalah mereka bertiga mencari Pak Boyot menyusur denai yang dilaluinya.  Memang mereka tidak sampai hati untuk meninggalkan kawan yang sama-sama mencari rezeki di hutan.  Hampir senja mereka mencari tidak juga bertemu, akhirnya mereka sama-sama mengambil keputusan untuk balik.
Sampai saja di rumah memang ternyata Pak Boyot masih belum balik.  Sekali lagi mereka sekampung berbincang mahu mencari orang tua itu di hutan.  Walau bagaimanapun Ketua kampung menyuruh mereka berpecah kepada tiga kumpulan masing-masing diketuai oleh Lajim, Mat Bidukl dan Wahab Gedeng.  Tiap-tiap kumpulan mengandungi lima orang kembali masuk ke hutan malam itu juga untuk mencari Pak Boyot.
Hampir subuh kumpulan yang diketuai oleh Wabah Gedeng balik dulu, tetapi mereka tidak menemui Pak Boyot .  Sehingga pagi kumpulan yang diketuai oleh Lajim pula sampai dalam keadaan keletihan.  Mereka juga hampa kerana tidak menemui Pak Boyot.  Manakala Mak Senit pula bertambah gelisah dengan kehilangan suaminya di hutan.
Kira-kira hampir jam sebelas pagi kumpulan Mat Biduk pula balik,  Mereka menyangka tentulah kawan-kawannya sudah menemui Pak Boyot sebab itulah mereka tidak meneruskan mencarik orang tua itu.  Tetapi apabila diberitahu mengenai Pak Boyot masih belum ditemui, mereka sendiri merasa hairan kerana kawasan hutan kampung yang tidak sebesar mana tidak dapat di temui Pak Boyot.
“Hutan ni, bukannya sampai ke hutan besar…”  keluh Ketua kampung kerana dia percaya Pak Boyot tidaklah sesat sampai menyimpang jauh ke hutan besar.
Kehilangan Pak Boyot itu bukanlah membimbangkan Mak Senit saja, bahkan seisi kampung merasa bertanggung jawab.  Mereka tidak boleh membiarkan Pak Boyot begitu saja.  Tentulah ada sesuatu perkara menimpa ke atasnya menyebabkan dia tidak dapat keluar.
Setelah sama-sama berbincang, Ketua Kampung bersetuju melaporkan saja kepada pihak berkuasa.  Oleh itu kehilangan Pak Boyot di hutan bukanlah menjadi tanggungjawab penduduk kampung lagi, malah pihak berkuasa juga terpaksa membantu mencarinya.  Bagaimanapun selama dua hari gerakan mencarinya dibuat, tidak ada satu tanda pun menunjukkan Pak Boyot berada di kawasan hutan berkenaan.
Sebagai pencarik rotan mestilah dia menetak belukar rotan yang ditemui, tetapi denai yang dilaluinya terdapat beberapa rumpun rotan, namun tidak ada satu pun rumpun rotan ada kesan ditetak orang.  Kadir Misai yang diberi tahu mnengenai kehilangan bapa saudaranya juga datang ke sana.  Tetapi apalah yang boleh dibuat oleh Kadir Misai, sedangkan gerakan mencarinya secara besar-besaran pun tidak berhasil.
Petang itu juga Kadir Misai memjemput Pak Hid di Bukit Kelulut, Serting supaya membantu mencari Pak Boyot yang hilang semasa ke hutan.  Memanglah Pak Hid terkejut apabila diberitahu mengenai kehilangan kawan karibnya sejak muda lagi itu.  Dia terus ke Segamat bersama Kadir Misai dengan harapan kawannya itu sentiasa dalam selamat.
Hari yang ketiga Pak Boyot hilang itu gerakan mencarinya dihentikan buat sementara.  Pak Hid yang sudah sampai ke rumah Mak Senit tidak masuk ke hutan untuk mencarinya.  Hanya selepas maghrib dia melakukan solat sunat serta membaca Yassin.  Pak Hid meneruskan sembahyang sehingga masuk isya.  Selepas isya Pak Hid tidak terus makan, walaupun Mak Senit dan kadir Misai mengajaknya.
Orang-orang kampung yang berkumpul di rumah Pak Boyot sejak tiga hari kehilangannya, masih cemas kerana usaha mencarinya sudah diberhentikan.  Ada kalangan menuduh Pak Boyot sudah dibunuh oleh binatang buas.
“Insya Allah, dia selamat,”  kata Pak Hid selepas saja dia selesai menunaikan solat dan berzikir.
“Habis, dik mana dia sekarang?”  Mat Biduk tidak sabar-sabar lagi mahu mengetahui keadaan Pak Boyot sebenarnya.
“Itu urusan Allah janganlah kita mendahului Allah…”  jelas Pak Hid tenang.  “Cukuplah saya kata, Boyot sekarang ni dalam selamat,”  dia menambah sambil meminta air sejuk segelas untuk membasahkan tekak.
Tengah malam itu juga mereka yang berkumpul di rumah Mak Senit, semacam tidak percaya Pak Boyot balik mengheret rotan yang dicarinya.  Dia kelihatan letih disebabkan tiga hari terlantar di hutan.  Dalam suasana gembira itu Pak Boyot tidak dapat berkata apa-apa, selain senyumnya saja melirik lebar.
“Aku tersesat, tak dapat cari jalan pulang,”  beritahu Pak Boyot kepada mereka yang ingin tahu ke mana dia menghilang selama tiga hari itu.
Rahsia kehilangannya itu tidak diceritakan kepada sesiapa pun.  Bagaimana pun dia tidak dapat menyembunyikan dari Pak Hid apabila kawan karibnya itu sendiri bertanya.
“Aku nampak awak, Hid…”  ujarnya setelah orang-orang kampung balik ke rumah masing-masing.
“Kau jangan merepek!”  kata Pak Hid tersengih-sengih,  “Sejak aku sampai ke sini, sampailah sekarang aku tak berganjak dari rumah kau,”  dia menjuihkan bibir semacam mengejek Pak Boyot.
Pak Boyot hanya tersenyum.  Dia tahu Pak Hid sengaja menyembunyikan sesuatu yang dilihatnya dari beberapa orang yang masih lagi terconggok di serambi rumah Pak Boyot.  Mat Biduk, Lajim dan Wahab Gedeng masih tidak puas hati selagi belum dapat mendengar dari mulut Pak Boyot sendiri kemana dia menghilang selama tiga hari itu.
Tetapi dia tetap menyembunyikan rahsia tersebut.  Selepas dia terlena akibat keletihan di dalam hutan itu, dia berharap akan dapat bangun sebelum waktu bertemu semula di tempat di janjikan.  Malangnya dia terus terlena hingga malam menjelang.  Apabila dia membuka mata di dapatinya tempat dia berbaring tidur bukan lagi sebatang pokok tempat dia bersandar.  Dia tersandar pada dinding pagar sebuah kubur ditengah hutan berkenaan.  Pagar itu merupakan ruyung nibung yang keras, sementara nesannya pula tertegak dari banir pokok berteras.
Terkejut juga dia melihat ada sebuah kubur di tengah hutan demikian.  Bagaimana pula ada sebuah saja kubur tiba-tiba muncul di depan matanya.  Keadaan kawasan itu tidak berubah seperti siangnya apabila dia menyandarkan belakang pada sebatang pokok.  Di bawah pokok itu sebelah siangnya belukar kecil, tetapi saat itu dilihatnya sebuah kubur yang bersih tidak ada rumput-rumput tumbuh.  Tidak ada sampah sarap dan daun-daun kering bertaburan.
Pak Boyot terpinga-pinga menghadapi suasana yang menjelma secara tiba-tiba itu.  Dia seolah-olah terkepung oleh pagar kubur yang tercancang dari ruyung nibung itu.
“Hai, dah sampai kah geruh aku?”  rungut Pak Boyot lantas bangun berdiri.  Dia terus membacakan serapah menteranya tidak bertangguh lagi.  Saat ini dia merasakan dirinya sebagai seorang dukun sudah dicabar oleh puaka ditengah hutan demikian.
Sekalikgus dia melihat tanah kubur itu merekah perlahan-lahan mengelurkan kabus nipis.  Kabus memutih itu lama kelamaannya menebal hingga rekahan tanah di atas kubur semakin melebar.  Pak Boyot semakin terdesak apabila dia melihat dua tangan manusia keluar dari rekahan kubur itu.  Ketika ini dia merasakan dirinya seperti orang bodoh yang langsung terlupa untuk membacakan sebarang doa-doa, kecuali dia teringat untuk membacakan Al-Fatihah dan Al-Ikhlas berulang kali.
Memang Pak Boyot terasa gementar juga berhadapan dengan keadaan tersebut, tetapi dia tidak dapat bertindak apa-apa, kerana pagar kubur tercancang kukuh seperti tembok.  Dia tidak dapat melompati pagar berkenaan di sebabkan ianya separas dada, sementara kemuncaknya runcing tajam.
Boleh dikatakan dia terkurung di atas kawasan kubur yang  hanya sebuah itu.  Malam yang gelap itu menyebabkan dia tidak dapat mengagak arah jalan yang boleh ditempuhi untuk keluar.  Oleh itu terpaksalah dia menghadapi cubaan tersebut dengan nekad yang kukuh.
“Insya Allah, berkat guru-guruku, berkat kedua ibu bapaku, bahawa Allah akan melindungi aku!”  Pak Boyot menggertap bibir memerhati tanah kubur yang merekah mengeluarkan kabus serta dua tangan manusia yang terjulur ke atas.  Sedikit demi sedikit keluarlah seorang lelaki tua berjubah putih dari rekahan kubur berkenaan.
Sebaik saja lelaki tua berjubah putih itu keluar dari rekahan kubur dia terus duduk bersila diatas kubur sambil tangannya memegang buah tasbih.  Kemudian dia memberi salam dengan suara yang perlahan dan tenang Pak Boyot segera menjawab salamnya sekalipun hatinya masih berdebar-debar menahan gementar.
“Moyang tau, cucu takut,”  kata lelaki tua itu merenungi muka Pak Boyot.  Wajahnya putih bersih serta kelihatan janggut dan misainya yang putih tumbuh lebat dan dijaga kemas.  “Jangan takut, moyang sengaja nak berjumpa cucu,”  ujarnya ramah mesra.
Pak Boyot memegang pagar kubur itu serta digoyang-goyangnya, ternyata ianya tercancang kuat.  Pagar itu juga memang diperbuat dari ruyung nibung yang keras.  Barulah dia tersenyum, kerana memang sudah lama dia mendengar bahawa di kawasan hutan itu memang orang yang bernasib baik boleh bertemu dengan kubur Moyang Cindai.  Orang tua-tua di kampungnya memberitahu bahawa tanda-tanda kuburnya itu ialah pagarnya diperbuat dari ruyung nibung, manakala nesannya ianya banir kayu teras.
“Cucu ni berdepan dengan Moyang Cindai ke?”  tanya Pak Boyot memberanikan hati.
“Iya, moyang inilah Moyang Cindai,”  jelasnya perlahan.  Serentak dengan itu kedengaranlah oleh Pak Boyot bunyi laungan gajah menuju ke situ.  Tidak lama kemudian dia nampak seekor gajah putih tertegak di luar pagar kubur.
Barulah Pak Boyot dapat mententeramkan hatinya kerana tanda-tanda bertemu Moyang Cindai seperti yang diberitahu oleh orang tua-tua dia kampung itu sudah menjadi kenyataan.  Gajah putih itu adalah tunggangan Moyang Cindai, dan dia sentiasa muncul sekiranya seseorang itu dapat bertemu dengan Moyang Cindai.
Dia tahu mengenai cerita Moyang Cindai yang dikatakan keramat dikampung itu yang dipercayai menjadi pengawal mereka.  Kemunculannya sering membawa tuah kepada mereka yang menemuinya, kerana bukan sebarangan orang yang dapat bertemu dengan Moyang Cindai.
Saat ini Pak Boyot sudah menemui Moyang Cindai.  Dia tidak pernah berhajat mencarinya, tetapi secara tiba-tiba saja dia menemuinya di tengah hutan itu.
“Kenapa moyang takut-takutkan cucu macam ni…?”  soal Pak Boyot semacam kesal dengan kemunculan Moyanfg Cindai yang diluar dugaannya.
“Kenapa pula kata moyang nak takut-takutkan.  Tapi cucu sendiri yang takut,”  ujar lelaki tua berjubah putih itu tersenyum.
Kemudian dia mengajak Pak Boyot menaikki gajah putih yang menunggu di luar pagar.  Dia dibawa berjalan melihat keadaan di sekitar hutan hingga sampai ke satu perkampungan.  Kesemua penduduk kampung itu memakai jubah putih, dan mereka berkumpul di satu madarasah sambil berwirid.
Moyang Cindai mempelawanya masuk ke dalam madarasah bercampur gaul dengan penduduk-penduduk di situ.  Bimbang juga hati Pak Boyot untuk melangkah masuk kerana dia berpakaian lain dari mereka.  Masing-masing semuanya tunduk memberi hormat kepada Moyang Cindai, tetapi tidak seorang pun yang bercakap.
Setelah Moyang Cindai duduk di atas mimbar, mereka semua meneruskan lagi berwirid.  Manakala Pak Boyot pula serba salah kerana memikirkan pakaiannya kotor disebabkan itulah pakaiannya ke hutan mencari rotan.  Tetapi Moyang Cikndai semacam mengetahui akan kegelisahan Pak Boyot, dan dia memberi isyarat bahawa pakaian Pak Boyot tidaklah menjadi kesalahan di situ.
Semasa masing-masing meneruskan wirid, tidak di sangka-sangka angin kencang bertiup menyebabkan mereka yang duduk di situ bertempiran lari melindungkan diri.  Apabila angin kencang itu berhenti, tiba-tiba Pak Boyot melihat satu lembaga hitam tertegak di halaman madarasah.  Perutnya boncet, rambutnya mengerbang, pakaiannya compang-camping dan tubuhnya besar.  Mukanya pula berkedut-kedut dan kelihatan ada tanduk di kepalanya.
“Hah, kau nak lari dari aku ya…!”  pekik lembaga besar itu menuding jari telunjuk ke arah Pak Boyot.  Terkejut Pak Boyot dengan ancaman lembaga besar itu, sedangkan dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya lembaga tersebut.
Dari jari telunjuknya keluar api menyala-nyala menerjah ke muka Pak Boyot.  Tetapi segera dihembus oleh Moyang Cindai sambil dia menyebut: Qulna-yana rukuni bardan-wa-salamn al-Ibrahim. Dari hembusan mulut Moyang Cindai keluar air dingin lalu memadamkan api yang marak di hujung jari lembaga besar yang tercegat sombong di tengah halaman madarasah.
“Aku yang bawa dia ke mari, aku tak mahu dia menjadi hamba kau,”  suara Moyang Cindai jadi bergema hingga menggerunkan Pak Boyot sendiri.
“Tapi tuan tak minta izin dengan kami!”  sahut lembaga besar itu marah.
“Siapa nak minta izin dengan kau…!”  jerkah Moyang Cindai, lantas membacakan Fatihah sambil menyuruh Pak Boyot mengikutnya.
Serentak dengan itu tubuh lembaga itu tiba-tiba saja merekah memercikkan darah.  Dia terjerit-jerit berguling ke tanah menahan kesakitan.  Kemudian bangun semula dengan biji matanya merah mengeluarkan api.
“Selama ini aku yang menolong kau, bila kau mengubati orang Boyot,”  lembaga itu menggertap bibir sambil menuturkan kata-katanya dalam terketar-ketar.
“Sekarang Boyot tak perlukan kau lebih baik kau pergi,”  perintah Moyang Cindai.  Dia kemudian menyuruh Pak Boyot membacakan Innahu min Sulaiman wainnahu Bismillahir-rahmannir Rahim. Sebaik saja Pak Boyot membacakannya sekaligus serkap besi jatuh dari atas mengurungi lembaga itu.  Dia cuba meronta-ronta mahu melepasi kurungan, tetapi serkap besi itu terlalu kukuh.
Lembaga itu menghantuk-hantuk kepalanya kepada jerjak besi yang cancang menjadi kurungan.
Setiap kali dia menghantukkan kepalanya ke jejak besi itu kepalanya memercikkan darah.  Hingga tanduknya juga terkeweh apabila terhantuk kuat kepada jerjak besi yang menjadi kurungan itu.  Terbayang kemarahan di wajahnya disebabkan dia tidak berupaya melepaskan diri.
“Sekarang kau tau, kau takkan dapat menundukkan Boyot lagi,”  ejek Moyang Cindai ketawa memanjang.  “Aku bawa dia kemari kerana aku tau kau akan datang mencarinya!”  ujarnya lagi.
Mata lembaga itu mengeluarkan api membakar jerjak besi yang mengurungnya.  Tetapi percikan api dari besi cair itu singgah keseluruh badannya menyebabkan ianya melecur.  Terjerit-jerit dia kerana tidak tertahan menahan terjahan api yang memercik dari jerjak besi yang dibakarnya.
“Tuan, biarlah dia bersama aku…”  rayu lembaga besar merenungi muka Moyang Cindai.
“Aku tak biarkan dia menjadi hamba syaitan,”  sahut Moyang Cindai marah.
Kemudian dia menyuruh Pak Boyot membaca 4 ayat terawal dari surah Jin yang diajarnya ketika itu juga.  Pak Boyot menurut saja arahan Moyang Cindai.  Setelah membacanya berulang kali, Pak Boyot ternampak muncul beberapa orang kerdil mengelilingi pagar besi yang mengurungi lembaga besar tadi.
“Perintahkan dia menentang syaitan itu!”  Moyang Cindai semacam mengajar Pak Boyot.
Dalam keadaan serba salah Pak Boyot pun memerintahkan beberapa lembaga kerdil itu menyerang lembaga besar dalam kurungan.  Lembaga-lembaga kerdil itu menyerbu masuk ke dalam kurung lantas beramai-ramai menggigit lembaga besar itu.  Ketika ini lembaga besar itu cuba melawan, tetapi berpuluh-puluh lembaga kerdil menerkam dan menggigit.
Dia tidak dapat bergerak bebas di dalam kurungan itu sedangkan lembaga-lembaga kerdil yang ramai itu menggigit di seluruh badannya.  Terjerit-jerit dia menahan kesakitan akibat gigitan tersebut.  Darah memercik banyak dari luka bekas kena gigit itu.
“Tuan, jangan seksa kami macam ni!”  jerit lembaga besar itu merintih-rintih bercampur geram.
Tetapi Moyang Cindai tidak menghiraukan rintihan tersebut.  Dia mengingatkan Pak Boyot itulah lembaga yang diserunya setiap kali dia mengubati orang-orang sakit.  “Buangkan ilmu yang sebegini, carilah ilmu yang diredhai Allah,”  pesan Moyang Cindai.  Dia mengajak Pak boyot menunggang gajah putih itu semula dengan membiarkan lembaga besar itu terkurung dan dikerkah oleh lembaga-lembaga kerdil tersebut.
Apabila sampai semula ke kubur tempat mereka mula-mula bertemu, Pak Boyot melihat Pak Hid ada menunggu di situ.  Kemudian Moyang Cindai menyuruh dia balik mengikut Pak Hid.  Cahaya memutih yang mengelilingi Pak Hid itulah menerangi perjalanannya menempuh gelam malam di tengah hutan berkenaan.
Keesokan harinya Pak Boyot membawa Pak Hid dan orang-orang kampung untuk melihat kubur Moyang Cindai yang ditemuinya.  Tetapi yang ditemuinya hanya belukar enau, dan longgokan rotan sebahagian yang ditinggalkan oleh Pak Boyot semasa kehilangannya itu.  Tidak ada pun tanda-tanda yang menunjukkan di situ ada kubur.

SELESAI

Monday, November 21, 2016

203. SUMPAH GELANG PUSAKA TURUN TEMURUN



KEMISKINAN yang membelenggu hidup keluarganya menyebabkan Pak Usih terpaksa membuat kerja-kerja hingga jauh malam bagi mendapatkan sedikit upah.  Dia dan isterinya Mak Imbun mengambil upah menumbuk padi di rumah seorang kaya bernama Mat Labut.  Bekerjalah Pak Usih dan isterinya menumbuk padi, kadangkala sampai jauh malam.
Setelah habis menumbuk padi mereka berdua akan diberi upah secupak beras oleh Mat Labut.  Nasib mereka suami isteri juga memanglah malang kerana terpaksa menumpang mendirikan pondok di atas tanah kepunyaan Mat Labut.
Pada suatu malam yang sepi disebabkan terlalu letih maka tertidurlah Pak Usih di bawah pokok yang berhampiran dengan lesung penumbuk padi.  Tinggallah Mak Imbun berseorangan mengindik lesung untuk menyiapkan kerjanya.  Ketika ini menjengahlah Selinah isteri Mat Labut dari tingkap rumahnya memerhatikan api pelita masih terpasang di pondok lesung pengindik.  Tahulah dia bahawa Mak Imbun suami isteri masih meneruskan kerjanya menumbuk padi.
Tiap-tiap malam memang itulah kerja Mak Imbun dan Pak Usih bagi mendapatkan secupak beras, kerana pada waktu siang mereka terpaksa pula mengambil upah menajak di sawah.  Bila musim menuai maka Mak Imbun pula mengambil upah menuai.  Dia akan mendapat segemal padi pada setiap sepuluh gemal.
Walaupun demikian mereka suami isteri bekerja keras, namun Pak Usih tidak pernah menyesali dirinya.  Dia tetap menerima takdir yang telah menentukan hidup mereka suami isteri hanya bergantung kepada upah yang diberi oleh mereka yang menggaji mereka.  Mujurlah Mat Labut itu pula seorang orang kaya yang bertimbang rasa, dan membenarkan mereka suami isteri menumpang mendirikan pondok di atas tanah berhampiran dengan rumahnya.
Semasa menjengah di tingkap itu Selinah tidak ternampak Pak Usih yang tertidur di dalam gelap terlindung  di sebalik pondok lesung indik itu.  Puas dia memerhatikannya, hanya dilihatnya Mak Imbun saja yang menumbuk padi.
“Hai, ke mana pula Pak Usih, tak nampak pun…?”  kata Selinah berpaling pada suaminya.
“Agaknya dia ke jamban,”  sahut Mat Labut tidak hiraukan sangat ke mana Pak Usih mahu menghilang.  Kalau Pak Usih tidak menumbuk padi pun dia sanggup memberikan secupak beras untuk dua orang suami isteri berkenaan yang sekian lama menumpang di tanahnya. Apa sangatlah padanya secupak beras, kalau pun Pak Usih dan Mak Imbun tidak mahu menumbuk padi.
“Sejak tadi nampaknya Mak Imbun seorang saja menumbuk,”  ujar Selinah lagi kehairanan.  Masakan Imbun seorang diri berani berseorangan di situ pada waktu malam demikian.
“Kalau Mak Imbun ada menumbuk, tentulah Pak Usih ada di situ,”  Mat Labut terus berbaring mahu melelapkan matanya.  Dia tidak peduli sama ada Mak Imbun atau Pak Usih mahu terus bekerja hingga sampai dinihari.  Malah dia sendiri tidak pernah memaksa mereka suami isteri supaya bekerja dengannya hingga jauh malam.
Tetapi Pak Usih sendiri yang mahu membuat kerja-kerja itu.  Kalau di tegah pun dia akan tetap menjalankan kerja-kerjanya menumbuk padi pada waktu malam selepas saja selesai makan malamnya.  Disebabkan Pak Usih suami isteri sememangnya rajin, maka tidak upayalah Mat Labut melarangnya.
Kebetulan pada malam itu Selinah menjengah dari tingkapnya ternampak hanya Mak Imbun saja yang menumbuk padi, dengan tidak semena-mena berlakulah petaka yang tidak diingini.  Keesokan paginya Selinah mendapati gelang tangannya hilang.  Maka berdetaklah hatinya lantas menuduh kehilangan gelangnya itu adalah perbuatan Pak Usih.
“Kau tak boleh menuduh begitu…”  Mat Labut cuba memujuk isterinya supaya tidak berterusan berleter.
“Tentu dia yang buat,’  sahut Salinah melepaskan rasa geramnya.  “Sebab itu malam tadi dia tak kelihatan menumbuk padi, tentu dia mengintai di mana kita simpan barang-barang kemas kita!”  Selinah terlalu kesal dengan kehilangan gelang kesayangannya itu.
“Nanti, aku selidik dulu,”  beritahu Mat Labut untuk menenangkan perasaan isterinya.
Atas desakan isterinya, Mat Labut pun meminta Pak Usih dan Mak Imbun datang ke rumah.  Mereka suami isteri pun datanglah dengan tidak menaruh rasa curiga sedikit pun.  Sebaik saja sampai di rumah Mat Labut dilihatnya Selinah tidak keluar seperti kelazimannya apabila mereka berkunjung ke rumah tersebut.
“Pak Usih ke mana malam tadi?”  tanya Mat Labut memulakan percakapan.
“Saya menumbuk padi laaa…”  beritahu Pak Usih dengan tidak mengesyakki apa-apa.
“Bukankah saya dah katakan…” tiba-tiba saja Selinah meluru dari dalam.  “Tentu dia mengaku, dia menumbuk padi!”  suaranya keras menyimpan dendam yang mendongkol di dada.
Terkejut juga Pak Usih suami isteri melihat perubahan sikap Selinah terhadap diri mereka.  Perempuan itu seolah-olah tidak lagi menghormati diri mereka.  Mentang-mentanglah hidupnya menumpang di atas tanah peninggalan keluarga Mat Labut, tidaklah wajar Selinah bersikap demikian terhadap mereka.
“Awak diam dulu!”  Mat Labut memarahi isterinya.
“Apa puncanya ni, cakaplah berterus terang…”  Pak Usih tidak sedap hati dengan kejadian tersebut.  Tersinggung benar dia dengan sikap Selinah yang tidak pernah berkasar selama ini terhadapnya.
“Semalam Selinah menjengah di tingkap, dia nampak Mak Imbun seorang saja mengindik lesung…”  Mat Labut cuba menenangkan keadaan.  “Pagi ni, gelang tangannya hilang.  Itulah yang membuat dia mengesyaki Pak Usih mengambilnya,”  kata Mat Labut bercampur kesal.
“Saya tak kemana-mana,”  jelas Pak Usih ikhlas.  “Saya tertidur sekejap di bawah pokok rambai kerana terlalu letih.  Selepas tu, saya menumbuk padi semula,”  dia menerangkan apa yang berlaku sebenarnya.
Walau apa pun penjelasan yang diberikan oleh Pak Usih suami isteri, namun Selinah tetap tidak mempercayai.  Disebabkan malu dengan tuduhan Selinah ke atasnya, maka berkatalah Mak Imbun,  “Kalau Selinah menuduh suami saya yang mengambilnya, saya berjanji akan memulangkan semula sekiranya gelang itu saya perolehi,”
Janji Mak Imbun itu tidak meredakan langsung kemarahan Selinah.  Puas suaminya Mat Labut memujuk supaya dia tidak membuat tuduhan melulu, namun dia tetap berdegil dengan pendiriannya.  Dia percaya memang Pak Usih yang melakukannya.  Sebab itulah semasa dia menjengah di tingkap Pak Usih tidak kelihatan bersama-sama isterinya menumbuk padi di lesung.
Disebabkan malu dengan tuduhan Selinah itu, Mak Imbun pun mengajak suaminya meninggalkan pondok mereka di tanah Mat Labut.
“Jangan ambil hati sangat,”  pujuk Pak Usih meminta isterinya bersabar dengan kejadian yang menimpa mereka.  “Mat Labut itu baik orangnya.  Yang menuduh kita bukannya dia, tetapi Selinah,”  ujarnya dengan harapan dapat memujuk hati Mak Imbun.
Tetapi perempuan itu terlalu kecewa.  Selama ini mereka sanggup bekerja hingga jauh malam untuk mencari rezeki dengan titik peluh sendiri.  Tidak terniat dihatinya untuk mencuri harta benda orang, apatah lagi orang yang menjadi dahan tempat mereka bergantung harapan selama ini.
Hatinya tidak mahu dipujuk lagi.  Dia tetap berkeras mengajak suaminya berpindah mencari pekerjaan di kampung lain.
“Kita kumpulkan duit untuk membeli gelang baru.  Kita mesti ganti gelang yang hilang tu…” nekad Mak Imbun semasa melangkah turun dari pondoknya pada suatu petang yang amat memilukan.  Pak Usih tidak berupaya untuk menghalang kemahuan isterinya.  Mahu tidak mahu dia terpaksa juga meninggalkan pondok buruknya setelah memberitahu Mat Labut.
Terkejut juga Mat Labut dengan keputusan Pak Usih suami isteri untuk meninggalkan pondoknya yang didirikan di atas tanahnya itu.
“Janganlah Pak Usih pindah dulu,”  ujar Mat Labut memujuk Pak Usih,
“Mak Imbun yang berkeras nak pindah, dia tak tahan dengan tuduhan Selinah,”  beritahu Pak Usih berterus terang.
“Ah. Pedulikanlah Selinah.  Dia isteri saya, tahulah saya mengajar dia,”  Mat Labut memberi jaminan bahawa isterinya tidak boleh bertindak apa-apa selagi mereka suami isteri dilindunginya.
Tetapi Mak Imbun tidak menghiraukan apa-apa jaminan Mat Labut.  Dia bertekad untuk berpindah ke kampung lain untuk memngumpul duit bagi membeli gelang Selinah yang hilang.  Dia akan menunjukkan kepada Selinah bahawa dia sanggup mengganti gelang yang hilang itu, sekiranya Selinah terus menuduh suaminya yang mengambil gelang tersebut.
Disebabkan Mak Imbun suami isteri tidak dapat dipujuk lagi, terpaksalah Mat Labut melepaskan mereka pargi dengan dibekalkan dua cupak beras.  Perjalanan yang tidak mempunyai haluan itu membawa Mak Imbun dan suaminya melalui hutan dan denai mencari kampung lain yang boleh mententeramkan fikirannya.  Semasa merentasi satu hutan untuk ke kampung lain mereka terpaksa berhenti rihat disebabkan hari mulai malam.
Tidurlah mereka suami isteri di tengah hutan itu di bawah sebatang pokok besar.  Saat ini mereka tidak takutkan binatang buas yang berkeliaran di hutan, tetapi lebih tersentuh oleh perasaan malu akibat dituduh mencuri gelang kesayangan Selinah.
Setelah malam semakin jauh, kegelapan menyelubungi sekitar hutan itu, Pak Usih yang keletihan terus terlina.  Hanya Mak Imbun saja yang terkebil-kebil mata sambil terkuap-kuap, tetapi masih belum dapat menidurkan matanya.  Di dalam fikirannya tetap berkecamuk dengan kekecewaan di sebabkan tuduhan Selinah yang benar-benar melukakan perasaannya.
Dalam hatinya terus berdoa agar rezekinya terbuka luas, bagi membolehkan dia menggantikan sendiri gelang tersebut, walaupun dia tahu bukan suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu.  Mak Imbun hanya mahu membuktikan kepada Selinah bahawa kemiskinan hidupnya tidaklah bermakna dia mesti menjadi pencuri.
Bukan saja kekecewaan melingkari perasaan Mak Imbun, malah kesedihan yang tidak terhingga.  Dia tidak menyangka Selinah tergamak membuat tuduhan demikian menghiris perasaan dia suami isteri, sedangkan selama ini mereka sanggup membuat apa saja kerja sekalipun mendapat upahan yang tidak setimpal dengan kerja-kerjanya.
Malam semakin jauh.  Bunyi cengkerik dan unggas-unggas kecil menjadi irama merdu menguliti Pak Usih yang terlena, sedangkan Mak Imbun belum juga dapat melelapkan mata.  Ketika inilah tiba-tiba Mak Imbun terdengar bunyi tangisan anak kecil tidak jauh dari tempat mereka berbaring tidur.
“Anak siapa pula malam-malam ni berada di tengah hutan?”  bisik hati kecilnya.
Disebabkan ketakutan sudah tidak ada lagi mempengaruhi jiwanya akibat dari marah yang meluap-luap terhadap tuduhan Selinah, Mak Imbun terus bangun mengendap dari dalam gelap itu mencari punca suara tangisan anak kecil itu.  Dia berjalan perlahan-lahan menghampiri bunyi suara tangisan anak kecil pada suatu batu berhampiran anak air.
Setelah mendekati batu berkenaan dia ternampak satu cahaya putih di atas batu.  Mak Imbun memberanikan hatinya untuk mendekati cahaya putih di atas batu itu.  Alangkah terkejutnya dia kerana dilihat seutas gelang emas berlingar di situ,
“Ah, kau bukan kepunyaan aku,”  ujar Mak Imbun sebaik saja terpandang gelang tangan yang berkilauan di atas batu tersebut.  Di dalam hatinya tidak terniat langsung untuk mengambilnya, kerana dia tidak akan mengambil barang yang di jumpai di mana-mana.
Tetapi apabila dia mahu melangkah pergi, tangisan itu bertambah kuat bagaikan anak kecil kelaparan susu.  Tangisan itu tiba-tiba berhenti kalau Mak Imbun berpaling ke belakang tidak meninggalkan batu berkenaan.
“Gelang inikah yang menangis macam anak kecil ni?”  gerutu Mak Imbun serba salah.  Saat ini dia mula merasa seram ketakutan.  Terbayanglah padanya bahawa suara tangisan kanak-kanak itu datangnya dari gelang di atas batu tersebut.  Tetapi jauh di lipatan hatinya dia tidak akan mengambil gelang tersebut yang bukan miliknya.
Setelah menetapkan hatinya, Mak Imbun pun melangkah mahu meninggalkan gelang di atas batu tiu.  Belum sempat dia bergerak, tiba-tiba kakinya tersangkut pada akar menyebabkan dia terguling ke tanah.
“Ambillah aku mak…”  dia terdengar suara halus dari arah batu berkenaan.
“Siapa kau?”  soal Mak Imbun memberanikan hatinya lantas bangun semula.
“Aku ni puteri emas,”  ujar suara itu kerana Mak Imbun tidak dapat melihat sesiapa pun di situ, kecuali kilauan emas gelang yang bercahaya memutih di atas batu.  “Ambillah aku mak, aku tahu mak dalam kesusahan.  Aku berjanji akan menolong emak,”  katanya lagi.
“Nanti orang tuduh aku mencuri gelang lagi…”  beritahu Mak Imbun masih enggan mengambilnya.
“Emak jangan takut.  Tak ada siapa pun berani menuduh emak lagi,”  ujar suara itu menawarkan diri.
Setelah berfikir beberapa ketika, maka Mak Imbun pun bersetuju mengambil gelang emas yang ditemuinya di atas batu itu.  Keesokannya apabila Pak Usih terbangun dari tidur didapatinya Mak Imbun masih terlena.  Terkejut dia melihat isterinya memakai gelang di tangan.
Di dalam hati Pak Usih berdetak juga menuduh isterinya yang telah mencuri gelang tangan Selinah, sebab itulah isterinya berkeras sangat mengajaknya meninggakan kampung tempat mereka menumpang.
“Tetapi kenapa dia tak memakainya selama ini?”  rungut Pak Usih kesal.
“Bapak jangan khuatir, aku bukannya dicuri oleh mak, tapi aku ini anak emak dan bapak…”  Pak Usih jelas dapat mendengar suara itu datangnya dari gelang tangan yang dipakai oleh Mak Imbun.
Dalam masa Pak Usih kebingungan ini, Mak Imbun pun terjaga dari tidur.  Dia menceritakan semua yang berlaku pada sebelah malamnya,  terlalu gembira Pak Usih kerana mendapat barang yang berharga itu.  Dia percaya itulah berkat kesabaran serta kejujuran mereka suami isteri selama ini.
“Baliklah emak dan bapak ke kampung, bayarkan hutang bapak pada Selinah…”  ujar suara yang datangnya dari gelang tersebut.  Tiba-tiba gelang itu kelihatan seperti retak hingga pecah menjadikanianya dua utas gelang di tangan Mak Imbun.
“Ambillah yang kecil ini, gantikan semula pada Selinah,”  kata suara dari gelang itu selanjutnya.
Ternyatalah gelang emas yang asal itu semacam beranak mengeluarkan gelang emas yang lain.  Gelang yang mengakui dirinya puteri emas itu di dapati boleh pula mengeluarkan seutas gelang yang lain.  Setelah melihat keajaipan gelang emas itu, baliklah mereka suami isteri untuk memulangkan semula gelang emas Selinah yang dituduhnya Pak Usih sebagai orang yang bertanggungjawab mencurinya.
Apabila mereka sampai ke kampung, alangkah terkejutnya mereka suami isteri kerana Selinah meninggal dunia mengejut setelah mengidap sakit perut.  Kulit perut Selinah keras seperti papan dinding sebalum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Terbayang lagi kesedihan di wajah Mat Labut dengan kematian isterinya yang dikasihi.  Beberapa orang dukun telah dipanggil untuk mengubati Selianah, tetapi mereka tidak berupaya mengubatinya.  Perut Selinah menjadi keras seperti papan, menyebabkan dia terjerit-jerit kesakitan.
“Ini gelang emas Selinah, kami gantikan…”  Ujar Mak Imbun menghulurkan gelang emas itu kepada Mat Labut.
“Buat apa nak di ganti Mak Imbun,”  sahut Mat Labut kesedihan.  “Gelang tu sebenarnya tak hilang, cuma tersalah simpan.  Ada terselit celah papan gobok,”  dia memberitahu mengenai gelang emas yang dikatakan hilang itu.
Setelah Pak Usih suami isteri berlepas pergi, Mat Labut tidak puas hati dengan tuduhan yang dilimparkan keatas dua orang suami isteri malang itu.  Dia pun menggesa isterinya mencari semula ditempat menyimpan barang-barang kemas.  Bagi memenuhi kehendak suaminya Selinah pun membuka gobok menyimpan barang-barang kemas, lalu mengeluarkan bakul mengisi barang-barang kemasnya.
Dia mengeluarkan satu persatu barang-barang kemasnya, ternyata tidak di temui gelang berkenaan.  Kemudian dia suami isteri mengeluarkan semua barang-barang yang ada di dalam gobok.  Setelah semuanya barang-barang dikeluarkan terjumpalah oleh Selinah gelang emasnya itu terselit dicelah dinding gobok.
Terlalu menyesal dia melimparkan tuduhan demikian berat terhadap Pak Usih suami isteri.  Cepat-cepat dia meminta suaminya menuruti pak Usih setelah menyedari berlakunya silap faham.  Tetapi Pak Usih suami isteri sudah jauh meninggalkan kampung berkenaan menuju ke kampung lain.
Pada sebelah malamnya itulah Selinah mengadu sakit perut pada suaminya.  Mat Labut menyangka isterinya hanya tersalah makan, tetapi bila dirasanya perut Selinah mengeras, barulah dia cemas.  Malam itu juga dia menjemput beberapa orang dukun ke rumahnya.  Namun tidak seorang pun yang mampu menyembuhkan penyakit Selinah hinggalah perempuan itu meninggal dunia.
Setelah Selinah menutup mata, perutnya yang keras itu kembali pulih seperti sediakala.
Terkilan juga di hati Mak Imbun kerana tidak dapat menemui Selinah, manakala Mat Labut pula enggan menerima gelang emas yang hendak digantikan oleh Mak Imbun itu.  Sementara itu Mak Imbun suami isteri tidaklah mahu lagi tinggal di kampung itu.  Dia mengambil keputusan berpindah sekali pun Mat Labut memujuknya supaya tinggal bersamanya.
Apabila berpindah ke kampung lain, mereka suami isteri menikmati hidup yang berbeza dari sebelumnya.  Pak Usih hidup mewah menjadi orang kaya dalam kampung tersebut.  Mereka dapat membeli tanah sawah dan huma yang luas, serta memilikki ternakan yang beratus-ratus ekor.
Mereka tidak akan kesempitan duit, kerana gelang emas yang dipakai oleh Mak Imbun sentiasa beranak mengeluarkan gelang emas yang lain.  Apabila dijual ke pekan, didapati emas gelang tersebut bukanlah sebarang emas.  Ianya adalah emas sepuluh dari emas tulin yang padu.
Kahidupan mereka suami isteri sentiasa dikelilingi oleh kemewahan.  Mak Imbun pula tetap mengingati segala kesengsaraan sewaktu dirinya di dalam kemiskinan, sementara Pak Usih tidak mahu mengingati segala peristiwa masa lalunya.
Pak Usih berubah peranginya menjadi seorang yang suka berjudi, hingga tidak mempedulikan rumahtangganya.  Apabila dia kekurangan duit maka dimintanya pada Mak Imbun.  Kalau Mak Imbun enggan memberi duit, dia tidak teragak-agak memukul isterinya.
“Kau kaya bukan kerana hasil titik peluh kau, tetapi kerana kau berdamping dengan setan!”  gerutu Pak Usih sekiranya Mak Imbun enggan memberi dia duit.
“Tapi aku tak mencuri harta orang,”  sahut Mak Imbun mempertahankan diri.
“Kalau duit syaitan, pulangkan balik pada syaitan.  Judi ni memang permainan syaitan,”  ujar Pak Usih semacam menghina gelang emas yang dimiliki oleh isterinya itu.
“Awak jangan lupa Pak Usih,”  kata Mak Imbun terharu dengan sikap suaminya.  “Kekayaan yang kita milikki sekarang ni bukannya hasil titik peluh kita, sebab itu sedarkanlah diri awak tu…”  ejeknya.
Perbuatan Pak Usih itu berlanjutan hingga pada suatu petang, apabila Pak Usih mahu menyabung ayam sebagai satu judi yang menjadi kegemarannya.  Kebetulan pada petang itu dia kehabisan duit.  Tidak bertangguh lagi dia terus meminta pada isterinya.
Memang ketika itu Mak Imbun juga tidak ada menyimpan duit seperti yang diperlukan oleh suaminya.  Kepalang marahnya Pak Usih disebabkan tidak ada duit itu, lantas dia menuduh isterinya sengaja mementingkan syaitan lebih dari dirinya sendiri.
“Kau sudah di pengaruhi oleh syaitan!”  bentak Pak Usih meminta supaya puteri emas mengeluarkan gelang emas yang boleh menampung perbelanjaannya berjudi.
“Awak sebenarnya dipengaruhi syaitan,”  sahut Mak Imbun marah dengan sikap suaminya selama ini.  “Awak lupa daratan setelah menjadi kaya, tidakkah perbuatan awak ini sebnarnya di rasuk oleh syaitan,” tersengguk-sengguk Mak Imbun menahan rasa terharunya.
“Aku tak dipengaruhi syaitan, aku mahu menghabiskan harta hasil pemberian syaitan ni…”  Pak Usih membentak.
Pergaduhan suami isteri ini hingga saling tuduh menuduh menyebabkan puteri emas itu tersingung.  Lalu menjelmalah dia di depan suami isteri itu dengan wajah hodoh serta kulit muka menggerutu seperi katak puru.
“Manusia memang tak pernah mengenang budi,”  kata wanita hodoh itu mencebik bibir.  “Kau berkelakuan jabat, mengapa letakkan beban kesalahan kau kepada orang lain!”  katanya bergetar.
Pak Usih bukannya gementar dengan kemunculan perempuan hodoh itu, sebaliknya menjadi lebih garang.  Secepat kilat dia menerkam mencekik perempuna hodoh itu.  “Kau yang membawa petaka dalam rumahtangga aku.  Kau yang mengasut isteri aku, supaya enggan memberikan duit kepada aku!”  jerit Pak Usih terlalu marah.  Sekaligus dia menolak kuat perempuan hodoh itu ke dinding, menyebabkan Mak Imbun tidak sabar dengan tindakan suaminya itu.
Cepat-cepat pula Mak  Imbun menerkam kearah suaminya untuk membantu perempuan hodoh yang dikatakan puteri emas itu.  Tetapi, tenaga Pak Usih yang kuat menendangnya di bahagian perut menyebabkan Mak Imbun tersandar ke dinding.
Setelah Mak Imbun berguling-guling menahan kesakitan diterajang oleh Pak Usih perutnya, suaminya terus meninggalkan rumah dengan perasaan marah yang mendongkol.  Tendangan yang kuat itu menyenakkan perut Mak Imbun, tetapi segera dibantu oleh perempuan hodoh tersebut.
“Tak apalah mak, biarlah saya pergi…”  pujuk perempuan hodoh dengan kesedihan.  “Nampaknya bapak sudah tak sukakan saya, kita tak boleh lagi tinggal bersama,”  katanya sayu menatap wajah Mak Imbun yang semakin lemah.
“Aku tak halau kau puteri emas…”  ujar Mak Imbun terketar-ketar.
“Saya tahu mak,”  sahut perempuan hodoh itu selanjutnya.  “Tapi saya bersumpah, kalau gelang yang saya tinggalkan ini dipakai oleh orang yang bukan keturunan emak, mereka akan tanggung kesakitan yang emak hadapi sekarang ni,”  katanya terus menghilangkan diri.
Sementara Mak Imbun yang terketar-ketar menahan kesakitan perut yang menyenak akibat diterajang oleh suaminya tidak dapat lagi bernafas.  Dia terus meninggal dunia di situ, kerana tidak ada usaha membantunya.
Apabila balik dari berjudi keesokan harinya, Pak Usih mendapati isterinya sudah meninggal dunia.  Disebabkan terlalu marah kerana kalah berjudi di samping Mak Imbun yang enggan menberinya duit, Pak Usih telah mencampakkan mayat isterinya ke dalam lubuk.
Selepas kematian isterinya itu, hidup Pak Usih menjadi melarat.  Tidak ada lagi harta yang tinggal padanya akibat dari perbuatannya yang suka berjudi.  Semua hartanya tergadai setelah kalah berjudi.  Kembalilah hidupnya menjadi papa kedana hingga mengambil upah menumbuk padi, kepada sesiapa yang sudi mengupahnya.
“Itulah yang Pak Hid dapatkan rahsia mengenai gelang pesaka tu,”  beritahu Pak Hid kepada saya selepas beberapa bulan dia mengubati Mak Senit.  Ini di sebabkan saya sendiri tidak tahu apakah yang dimaksudkannya, sedangkan Pak Boyot pula tidak mengetahui langsung mengenai isterinya ada memilikki gelang pesaka.
Selepas sembuh dari sakit perutnya yang ganjil itu, Mak Senit terus menunjukkan gelang pesaka yang diturunkan oleh arwah emaknya kepada Pak Boyot.  Bukanlah pula menjadi impian Mak Senit untuk menyimpan gelang pesaka, tetapi tidak ada siapa pun mahu menerima pemberiannya setelah mereka mengetahui bahawa Mak Senit bertujuan untuk menbuangnya saja.
Seingat-ingat Mak Senit, gelang berkenaan bukanlah pesaka ibunya turun temurun.  Ianya di beli oleh arwah ibunya dari seorang kawannya yang kesempitan wang.  Itu pun bukanlah dibeli dengan harga yang mahal, walaupun gelang tersebut memang diperbuat dari emas paun yang padu.
Setelah memikirkan tidak perlunya di menyimpan gelang tersebut, Pak Boyot telah menghanyutkannya ke sungai.  Dia tidak terkilan membuang gelang tersebut setelah memikirkan penyakit yang menimpa Mak Senit.
Kemungkinan kawan yang menjualkan gelang itu kepada arwah ibu Mak Senit pun, memang bertujuan untuk menghindarkan mala petaka itu.
“Tetapi semua penyakit itu datangnya dari Allah bukan gelang pesaka.  Allah berkuasa untuk menyembuhkan penyakit…”  kata saya pada Pak Boyot.  Dia hanya tersengih-sengih saja merenung muka saya.

SELESAI