Sunday, July 5, 2015

131. BAHANA DENDAM PUAKA CAPIK



TERLALU banyak kelkatu terbang menghurung lampu di siling rumah sampai makan malam pun terpaksa ditangguhkan. Biarlah selepas isya baru menjamah nasi supaya kelkatu yang banyak itu terbang semula keluar rumah. Tetapi angin bertiup perlahan di luar menyebabkan kelkatu tersebut masuk ke tengah rumah.

Kalau di kampung tentu Mak Ngah Jiyah sudah berkira-kira mencari cendawan busut selepas habis solat subuh. Tahu sangat Mak Ngah Jiyah kalau sebelah malamnya kelkatu banyak masuk ke rumah, memang cendawan busut tumbuh merata. Biasanya Mak Ngah Jiyah akan jengah di bawah rumpun pisang kelat di baruh dapur.

Macam dapat sahaja dia mengagak di situlah cendawan busut banyak tumbuh sekiranya kelkatu terbang meliar menerpa lampu. Cepat-cepat pula Mak Ngah Jiyah tadahkan besen air di tengah rumah biar kelkatu berkenaan menjunam ke situ.

Tetapi ayah saya akan gantungkan lada besar berdekatan lampu sekiranya kelkatu banyak berterbangan menghurung lampu. Ayah saya tidak percaya sangat mengenai cendawan busut banyak tumbuh kalau kelkatu banyak berterbangan.

Kadangkala sengaja emak saya mengejeknya apabila terserempak cendawan busut di sebelah pagi apakala kelkatu banyak berterbangan di sebelah malam. Sampaikan tengah menyudu sup cendawan busut pun emak saya akan mengejeknya. Tetapi ayah saya tidak peduli apa-apa. Dia percaya semuanya berlaku secara kebetulan sahaja. Tidak ada kait mengaitnya cendawan busut banyak tumbuh dengan kelkatu yang berterbangan menghurung lampu.

Disebabkan kelkatu banyak berterbangan cepat-cepat isteri saya padamkan lampu. Biarlah kelkatu di tengah rumah keular menghurung lampu di tepi jalan. Sudah tentulah pula burung layang-layang menunggu peluang untuk menyambar kelkatu yang menghurung lampu di tepi jalan itu.

"Mana nak cari cendawan busut tumbuh!" keluh isteri saya setelah menutup makanan dengan tudung saji di atas meja.

"Tunggu di pasar," sengaja saya mengusik sambil mengerling ke arahnya. "Tentu orang jual di pasar kalau cendawan busut banyak tumbuh," ujar saya apabila kenangkan Mak Ngah Jiyah akan terbongkok-bongkok memastikan di rumpun pisang kelat di baruh dapurnya cendawan busut tumbuh apakala malamnya kelkatu banyak berterbangan.

Bukan Mak Ngah Jiyah sahaja percaya cendawan busut akan tumbuh sekiranya kelkatu banyak berterbangan di sebelah malam, Andak Libit pun percaya benar. Dia tidak peduli anak-anaknya mengejek apabila pagi-pagi lagi sudah menjengah di belukar senduduk di darat rumah. Di situ tempat cendawan busut sering tumbuh menguntum kalau kelkatu berterbangan di malam hari.

Cam benar Andak Libit tempat cendawan busut tumbuh di belukar senduduk itu. Biarlah siapa pun ejek dia kerana percaya sangat perkara tahyol demikian. Tetapi Andak Libit akan tersenyum puas apabila cendawan busut penuh sekendung kain dibawa balik. Bukan anak-anak-nya sahaja tersengih-sengih, malah suaminya Semail Bujuk juga tidak ketahuan disebabkan mengejek dia sebelum itu.

Asal sahaja kelkatu banyak berterbangan menghurung lampu memang isteri saya ingat sangat Andak Libit di Lenggong. Sudah lama juga kejadian kelkatu banyak masuk ke rumah itu berlaku, lebih tiga puluh tahun dulu. Kadangkala saya sendiri sudah lupa mengenai kejadian itu, semasa Acik Mikon menetap di sana.

Memang jalan ke rumah Acik Mikon itu melintasi di hadapan halaman rumah Andak Libit. Berjalan kaki sahaja dari jalan tanah merah berdebu apabila turun bas. Tidak ada jalan minyak tar melalui kampung berkenaan ketika itu.

Lainlah macam sekarang sudah banyak jalan minyak tar, malah bas juga masuk jauh ke dalam kampung. Tetapi sewaktu Acik Mikon menetap di sana sekeliling kampung pun masih belukar sampaikan rumput di tepi jalan pun banyak puyuh membuat sarang.

Semenjak Acik Mikon sudah masuk felda memang tidak pernah lagi saya jejak kaki ke Lenggong. Kalau ke sana pun semata-mata ziarah Acik Miko bapa saudara isteri saya. Beberapa kali dia buat kenduri kahwin nikahkan anak-anaknya, memang tidak pernah saya tidak hadir sama.

 Hanya kejadian semasa ke rumah Acik Mikon di Lenggong itulah masih segar dalam ingatan isteri saya apakala kenangkan kelkatu banyak berterbangan di dalam rumah menghurung lampu di siling.

"Banyak cendawan busut ni," tersengih-sengih Cu Selemah memberitahu Acik Mikon tatkala dia menadah besen berisi air biar kelkatu yang berterbangan men-junam ke situ.

"Angin di luar tu kuat, sebab itulah kelkatu masuk ke rumah," sahut Acik Mikon tidak percaya sangat dengan kata-kata isterinya lantas mengerling ke arah saya. "Cu kamu tu memang begitu, asal sahaja kelkatu banyak kononnya ada cendawan busut," tersengih-sengih dia mencebek bibir.

"Kalau ada cendawan busut boleh kita rebus aje," isteri saya menambah dengan harapan tekaan Cu Selemah itu akan menjadi kenyataan. Manalah tahu cendawan busut akan banyak tumbuh di sebelah baruh rumah di perdu pokok rambutan.

"Nanti kita cari Yah," Cu Selemah merasakan dirinya dicabar oleh Acik Mikon. "Besok kalau kita jumpa cendawan busut, jangan kita beri Acik kamu tu jamah!" gerutunya macam menyimpan dendam.

Tetapi Acik Mikon sekadar ketawa. Dia tahu isterinya cuma bergurau. Masakan Cu Selemah tidak benarkan dia menjamah makanan cendawan busut kalau sudah dihidangkan. Acik Mikon pun gemar juga apakala melihat sup cendawan busut tengah berasap panas. Menghirup kuah pun sudah memadai kalau sup cendawan busut dihidangkan di hadapannya.

Dia sekadar tidak percaya dengan kelkatu yang berterbangan tengah rumah menunjukkan cendawan busut akan tumbuh esok harinya. Cendawan busut  mudah tumbuh apabila musim hujan tatkala tanah lembab. Lambat sahaja dikutip kuntumnya akan mengambang. Cendawan busut itu akan busuk berulat kalau tidak ditemui menjelang tengah hari.

Acik Mikon sendiri akan beli cendawan busut kalau ter-serempak dijual orang di pekan Rabu. Biarlah seringgit beberapa kuntum sahaja Acik Mikon akan bell juga. Kepalang sedapnya cendawan busut masak sup atau digulai masak lemak kuning cili padi!

Perkara cendawan busut tumbuh di tanah lembab tidak ada kena mengena dengan kelkatu yang menyerbu masuk ke tengah rumah menghurung api pelita. Kalau tidak disebabkan kilauan api nescaya kelkatu berkenaan tidak menerpa masuk. Dalam keadaan gelap malam di luar kelkatu berkenaan tidak dapat bertahan dengan tiupan angin. Sebab itu kelkatu yang banyak menyerbu mencari cahaya berkilau di dalam rumah.

"Pagi-pagi besok kita cari !" Cu Selemah berjanji mengajak isteri saya sama-sama ke baruh rumah. Memang pagi lagi Cu Selemah sudah mengajak isteri saya ke perdu pokok rambutan di baruh rumah. Dia memerhati di celah rumput memanjang, tetapi tidak sekuntum pun cendawan busut tumbuh di situ. Puas mencari di perdu pokok rambutan, Cu Selemah mengajak pula ke tubir telaga. Sampai matahari naik segalah memang mereka tidak bertemu pun cendawan busut tumbuh.

Ketika memerhati ke busut berhampiran rumpun pisang Cu Selemah nampak kepak kelkatu bertaburan Cepat-cepat dia menarik bahu isteri saya mahu memastikan di tempat itu cendawan busut tumbuh. Tetapi kecewa benar dia kerana tidak sekuntum pun cendawan bustil ditemuinya.

"Tak ada rezeki kita, keluh Cu Selemah menghela nafas. Dia sekadar mengharapkan cendawan busut tumbuh, bukannya menjanjikan dapat se kendong kain cendawan busut di situ. Biarlah tidak menjamah hidangan cendawan busut, kalau terpaksa meranduk semula belukar di serata kampung. Kalau gagahi juga mencari di celah-celah belukar, Cu Selemah percaya tentu boleh juga terserempak cendawan busut tumbuh berkuntum-kuntum.

"Hah, tak dapat pun tak apa, Cu," sahut isteri saya tersengih-sengih kerana menyedari kehampaan Cu Selemah.

Sewaktu menyediakan sarapan pagi, memang Acik Mikon sengaja mengusik isterinya disebabkan tidak menemui cendawan busut itu. Tetapi Cu Selemah tidak pedulikan sangat. Perkara sama ada menemui cendawan busut atau tidak selepas kelkatu berterbangan di sebelah malam bukannya menjadi kesalahan pada dirinya. Dia sekadar mendengar petua orang tua-tua kalau kelkatu hanyak berterbangan di dalam rumah menunjukkan cendawan busut tumbuh banyak di mana-mana.

Sekiranya tidak ditemui cendawan busut itu tentulah bukan rezekinya. Tidak patut Acik  Mikon mengejeknya semata-mata percayakan petua orang tua-tua. Kalau Acik Mikon tidak mahu mempercayainya bukanlah penting sangat, terpulanglah pada diri masing-masing sama ada mahu mempercayai petua orang tua-tua atau pun tidak.

 "Kempunanlah kita nak makan gulai cendawan busut, ustaz," tersengih-sengih Acik Mikon mengerling isterinya hidangkan sarapan pagi ke tengah serambi.

"Kalau ada cendawan busut, tak guna juga jika kita tak mahu masakkan," sahut Cu Selemah mencemik muka tersinggung dengan sikap suaminya. Tetapi Acik Mikon ketawa memanjang dengan sindiran Cu Selemah itu.

 "His, takkan kerana cendawan busut pula kita nak berbalah," cepat-cepat isteri saya mencelah dalam gurauan, biar bapa saudaranya tidak terus menerus mengusik Cu Selemah.

"Acik kamu tu bukannya malu pada ustaz tu," Cu Selemah masih menyimpan rasa mendongkol di hati. Tak malukan anak menantu pun, malulah pada ustaz," dia mencebek bibir.

 "Nak malu apa pula," sahut Acik Mikon ketawa mengejek. "Ustaz, ustaz pun, kalau di rumah ni dia anak menantu aku juga," ujarnya kian galak ketawa.

Tidak dapat cendawan busut pun, Cu Selemah sudah sediakan pisang muda untuk digulai dengan ikan kering. Memang isteri saya sendiri cadangkan supaya masak gulai pisang muda sahaja. Sedap juga menjamah gulai pisang muda kalau lama tidak dimasak demikian.

Cepat sediakan masakan, boleh cepat pula kami balik. Kalau terlambat bimbang pula ketinggalan bas. Ketika itu tidak banyak bas pengangkutan di situ, apalagi melalui jalan tanah merah berlubang-lubang. Kadang-kala berdebu sampai rambut pun disinggahi tanah merah apakala bas melalui jalan berkenaan.

Tetapi lebih tiga puluh tahun dulu memang tidak sama dengan sekarang. Jalan ke kampung Acik Mikon di Lenggong itu sudah diturap tar. Bukan bas buruk lagi melalui jalan berkenaan tetapi bas ekspres yang selesa dinaiki. Sekali sekala sahaja Acik Mikon balik ke kampungnya kalau dijemput kenduri kahwin sanak saudara.

Semenjak menetap di felda memang Acik Mikon tidak peduli sangat mengenai kampung halamannya. Kalau tidak ada hal penting apalah gunanya membazir wang balik ke kampung halaman, kerana di felda itu pun sudah menjadi kampung halamannya juga.

Sewaktu Cu Selemah bersama isteri saya menyiang pisang muda untuk dimasak gulai dengan ikan kering inilah Andak Libit terkedek-kedek datang bawakan sebesen kecil cendawan busut. Dia juga tahu saya datang jengah Acik Mikon dan bermalam di situ. Sebab itulah dia berikan cendawan busut yang ditemuinya di bawah perdu rumpun pisang di baruh dapur.

Cam sangat Andak Libit asal sahaja kelkatu banyak berterbangan di dalam rumah semalaman, pagi-pagi lagi dia akan jengah ke perdu rumpun pisang kelat di baruh dapur. Tentu cendawan busut banyak tumbuh menguntum di tanah lembab.

Sekiranya lambat dijengah sudah ditentu dikekas ayam pula. Betapa ruginya dia kalau ayam mengekas terlebih dahulu se-helum dia mengutip. Bukan mudah mahu mencabut cendawan busut tumbuh menguntum kalau tidak diikut petuanya. Bila-bila cendawan busut itu akan terputus semasa ditarik keluar.

Tahu sangat Andak Libit fasal petua mencabut cendawan busut supaya tidak terputus habis. Dia akan jentik dulu tanah di perdu rumpun pisang tiga kali, lantas bersalawat tiga kali. Kemudian dia akan menyeru perlahan.

"Hai nenek ungguh anggah, tabek nenek cucu nak ambil sayur, lepaskan jangan terputus, cucu tahu sayur nenek yang tumbuh, kalau tak izin kembang-kan kuntumnya, kalau izin bulatlah kuntumnya."

Dia akan memerhati cendawan busut yang tumbuh ber-selerak itu. Sekiranya kuntum cendawan busut itu mengembang, Andak Libit tidak akan menyentuh sekuntum pun. Sudah menjadi petua yang dipantangkan oleh neneknya, dia tidak boleh berkeras mengutipnya. Kalau dikutip juga nescaya semua akan putus tidak berguna apa-apa lagi. Tahu sangat Andak Libit sekiranya dikutip juga cendawan busut yang kembang kuntum setelah dibacakan jampi petuanya nescaya tidak sempat dibawa balik ke rumah. Semuanya akan menjadi lebur macam lumpur diramas.

Setelah dibacakan jampi petuanya memang cendawan busut itu mudah dicabut macam mencabut rumput di tengah lumpur sawah. Sebab itu tidak bertangguh dia bacakan jampi petua sebaik sahaja ternampak dua tiga kuntun cendawan busut di perdu rumpun pisang. Sebaik sahaja dia bacakan jampi petua-nya di merata tempat cendawan busut tumbuh menguntum banyak.

"Ada pula rezeki sikit," jelas Andak Libit semasa menyerahkan besen penuh berisi cendawan busut itu. "Eloklah dimasak sekarang, nanti tunggu petang kembang pula," ujarnya setelah bermurah hati memberikan sebahagian daripada cendawan busut yang dikutipnya.

"Saya cari juga tapi tak dapat," Cu Selemah pula memberitahu fasal dia meranduk embun pagi ke tepi belukar sen-duduk di darat rumah.

"Kalau dia nak beri mudah aje kita jumpa, kalau tak nak beri memang jenuh mencari pun tak jumpa,” tersengih-sengih Andak Libit menatap muka isteri saya.

Memang sekali sekala sahaja kami ke Lenggong, tetapi jiran-jiran Acik Mikon semuanya melayani kami dengan baik. Kalau balik pun akan diberikan dengan ubi kayu, pisang atau keladi. Terasa juga berat mahu menjinjing sewaktu menaiki bas, tetapi saya bimbang mereka akan berkecil hati. Terpaksa juga diterima apa pun yang mereka beri kuat bekalan balik.

Lainlah kalau ada kereta sendiri boleh juga diperosokkan semuanya di bonet belakang. Masa tiga puluh tahun dulu memang bas itulah kenderaan pengangkutan menjadi pilihan.

"Terima kasihlah Andak, dapat juga kami merasa cendawan busut," ujar isteri saya memerhati Andak Libit di pelantar rumah.

Tidak bertangguh pula Cu Selemah masak cendawan busut celur air sahaja, disebabkan pisang muda sudah digulai dengan ikan kering. Sekiranya lambat memasak, bimbang pula saya akan ketinggalan bas. Bukannya banyak sangat bas masuk ke kampung melalui jalan tanah merah itu. Kadangkala Iebih dua jam baru melintas sebuah bas buruk hingga jenuh menunggu di tepi jalan.

Belum pun jam sebelas setengah pagi makanan sudah dihidang oleh Cu Selemah. Memang dia desak juga saya suami isteri makan nasi terlebih dulu sebelum balik. Sekali sekala datang menjengah ke Lenggong tentulah dia terkilan sekiranya tidak dapat melayani saya suami isteri dengan sempurna.

Sebaik sahaja nasi terhidang Acik Mikon tidak bertangguh menghirup kuah cendawan busut celur air. Tersengih-sengih dia mengerling Cu Selemah bagaikan mengejek perempuan itu kerana dia dapat menikmati rebus celur air cendawan busut itu. Tidak perlu pun bersusah payah terbongkok-bongkok mencari merata belukar, tetapi dihantarkan sampai ke tangga rumah oleh Andak Libit.

Tahu sangat Acik Mikon, sekiranya dicari sungguh-sungguh siapa pun tidak akan terserempak cendawan busut tumbuh menguntum banyak.

Mereka yang menemui cendawan busut itu bukan terniat iangsung mahu mencarinya. Acik Mikon pun pernah menemui cendawan busut sewaktu mengheret kambing tepi belukar mencari rumput muda tengah menghijau. Sebaik sahaja sampai di perdu pohon enau, dia nampak memutih sahaja kuntum cendawan busut di bawah rumput menghijau itu.

Memang dia tidak berniat langsung mahu mencari cendawan busut. Dia juga tidak cam sama ada kelkatu banyak berterbangan di sebelah malamnya atau pun tidak. Lantas sahaja dia mengutip cendawan busut yang banyak menguntum sampai tidak sempat ikatkan kambing-kambingnya.

"Rezeki ustaz ni," beritahu Acik Mikon menghulurkan pinggan sebaik sahaja saya duduk di hadapannya.

"Rezeki kita bersama," sahut saya perlahan berselera memerhati cendawan busut yang dihidangkan.

Teringin juga saya mahu bertambah disebabkan berselera benar makan sayur cendawan busut dan gulai pisang muda campur ikan kering itu, tetapi terpaksa juga membasuh tangan setelah berasa kenyang sedikit. Memang segera makan tidak boleh diikutkan sangat terutama tatkala menikmati makanan yang lazat.

Cukuplah dengan terasa kenyang sedikit untuk berhenti makan. Sekiranya mahu menjamah lagi, tunggulah sehingga terasa lapar semula. Inilah amalan saya apabila menghadapi hidangan yang menyelarakan. Apalagi masak sayur cendawan busut itu memang kegemaran saya sejak masih kecil-kecil lagi.

Bukan cendawan busut sahaja menyelerakan saya, malah cendawan kulat yang tumbuh di pokok getah tumbang pun sedap dimasak gulai lemak kuning cili padi. Cepat sahaja Tok Aji menyuruh berhenti makan apakala dilihatnya saya terlalu gelojoh makan gulai cendawan kulat masak lemak kuning cili padi itu.

Selepas makan tidak bercadang pula saya mahu, menunggu zohor. Segera saya berkemas-kemas mahu balik. Kalau terlambat tentulah ketinggalan bas pula yang melintas jam 1.00 tengah hari. Sekiranya terlepas bas yang melintas pada waktu itu, tentulah terpaksa menunggu sampai lebih jam 3.00 petang baru ada bas melintas.

Sebaik sahaja mahu turun menjinjing beg, Semail Bujuk tercegat di tengah halaman memanggil Acik Mikon. Cemas sahaja dia memberitahu mengenai isterinya Andak Libit menggelapar sampai keluar darah di mulut selepas makan rebus cendawan busut. Leka benar Andak Libit meratah sayur cendawan busut rebus celur air, sampai dia tersedak beberapa kali.

Ketika tersedak inilah darah bersemburan dari mulutnya. Apabila Semail Bujuk cuba membantu, Andak Libit sudah menggelapar dengan terbalik mata. Sekaligus pula darah merenik-renik keluar dari bulu romanya laksana memercik peluh.

"Cendawan busut tu dah busuk agaknya," keluh Semail Bujuk menuduh tatkala bergegas-gegas mendesak Acik Mikon segera naik ke rumah. Saya juga terpaksa batalkan balik ke tempat kerja setelah diberitahu mengenai kejadian yang menimpa Andak Libit.

"Aku pun makan cendawan busut yang dihantarnya tadi," sahut Acik Mikon tidak percaya cendawan busut itu yang menjadi punca. Seisi rumahnya sama menjamah sup celur air cendawan busut yang diberi oleh Andak Libit, tidak seorang pun yang menggelapar sampai termuntah darah.

"Tentu cendawan busut tu beracun!" semakin cemas Semail Bujuk duduk di sisi isterinya.

"Kalau beracun tentu aku pun kena," Acik Mikon mencepak bibir memerhatikan darah di rekahan bibir Andak Libit. Bulu romanya juga memercik darah merenik-renik.

"Kami semua dah makan sayur cendawan busut tu," beritahu Cu Selemah bercampur bimbang apabila kenangkan sayur cendawan busut yang diberi oleh Andak Libit.

Tetapi cendawan busut yang diberi oleh Andak Libit itu, dia sendiri memasaknya. Bukannya sayur cendawan busut yang sudah siap dimasak diberi oleh Andak Libit. Tentu bukan berpunca daripada sayur cendawan busut itu menyebabkan Andak Libit menggelepar termuntah-muntah darah.

Lantas sahaja Cu Selemah mengagak perencah yang dimasukkan ke dalam belanga memasak itulah mengandungi racun. Manalah tahu garam yang dicampur oleh Andak Libit ke dalam belanga itu baja pokok yang disangkanya garam masak. Tetapi guni baja pokok bukannya diletakkan di dapur, memang diperosok oleh Semail Bujuk di tepi reban ayam.

Cepat sahaja Cu Selemah menuduh baja pokok dicampakkan ke perdu rumpun pisang di baruh dapur menyebabkan cendawan busut yang tumbuh menguntum mengandungi racun. Apabila kenangkan cendawan busut tumbuh disebabkan baja pokok, bimbang juga Cu Selemah sekiranya dia juga menerima bahana.

"Kita jaga tangkal bisa dulu," ujar Acik Mikon menyuruh Semail Bujuk kaitkan kelapa muda. Sekiranya cendawan busut itu mengandungi racun tentu biasanya akan madal setelah dijampi dengan air kelapa muda. Tahu sangat Acik Mikon petua matikan bius racun kalau benar-benar Andak Libit termakan cendawan busut beracun.

Tidak bertangguh Semail Bujuk memanjat pokok kelapa di hujung halaman. Dia juga tahu cara mengambil buah kelapa dibuat ubat, pantang dikait sampai buahnya jatuh terhempas ke tanah. Pokoknya mesti di pejabat sampai cecah pelepah. Buahnya mesti dipetik dibawa turun ke bawah dengan tidak boleh jatuh terhempas.

Terpaksa Semail Bujuk patuhi petua tersebut supaya isterinya dapat diselamatkan. Biarlah dia bersusah payah memanjat hingga dadanya melecet tersendal ke pokok kelapa, Semail Bujuk tetap lakukan juga. Isterinya Andak Libit mesti diselamatkan juga.

Setelah dipetik buah kelapa muda, Semail Bujuk sendiri memangkas kulit biar kelapa muda itu tidak terjejas melanggar petua. Tahu sangat dia kalau memanggil Acik Mikon ubatkan bisa racun, memang banyak petua yang mesti dipatuhi. Sudah beberapa kali dia mengikut Acik Mikon mengubati orang terkena bisa racun, hingga cam sangat pantang larang yang diamalkan.

Dia tebuk tempurung kelapa muda itu dengan boleh ditutup semula kulit tempurungnya. Kemudian dimasukkan tiga butir ibu garam sebelum dihulurkan kepada Acik Mikon. Sebaik sahaja buah kelapa muda itu disorongkan ke hadapannya lantas Acik Mikon memusingkan tiga kali. Kemudian perlahan dia membacakan:

·          Bismillahhil lazi layadhuru ma'asmihi syai-un fil-ardhi wala fis-sama-i wahuwas sami'ul 'alim, fauttahazat min dunihim hijaban fa-arsalna ilaina rohana fatamassala laha basyoran sawiyan.

Tiga kali dibacakan doa oleh Acik Mikon, tiba-tiba jari telunjuknya lurus tidak dapat dibengkokkan. Tersenyum Acik Mikon dengan kejadian menimpa dirinya, seolah-olah dia memahami cabaran yang perlu di hadapinya.

"Hah, nampaknya nak berkeras ni!" gerutu Acik Mikon berpaling kepada saya, "Jangan tunggu lagi ustaz, dia nak tunjuk belang," ujarnya menggertap hibir.

Sebaik sahaja saya menginsut punggung merapati Acik Mikon, sekaligus buah kelapa muda di hadapannya melompat sampai tertampan ke dinding. Terpaksa pula Semail Bujuk menerpa menangkapnya, tetapi segera ditegah oleh Acik Mikon.

Biarlah buah kelapa muda itu bergolek di tepi dinding tertonggeng ke lantai. Dia tidak perlukan lagi air kelapa muda itu setelah didoakan petua menghiIang bisa. Masakan buah kelapa berkenaan boleh melayang tertampan ke dinding tidak bersebab!

Kalau takat dikirim santau angin Acik Mikon tahu tentu Andak Libit termuntah sebaik minum air kelapa muda siap didoakan. Masakan buah kelapa itu melayang laksana dilontar ke dinding. Dia dapat mengagak bukan santau angin menyebabkan Andak Libit menggelepar tidak sedarkan diri.

"Di mana tempat Andak kutip cendawan?" saya mencuit bahu Semail Bujuk.

"Di baruh dapur, dekat rumpun pisang," sahut Semail Bujuk memuncung bibir ke baruh dapur.

Terus sahaja saya turun ke tengah halaman diikuti oleh Cu Selamah. Memang dia tahu benar rumpun pisang kelat tempat Andak Libit mengutip cendawan busut itu. Siapa lagi diharapkan mahu menunjukkan tempat tersebut kalau bukan Cu Selemah?

Semail Bujuk tidak akan berganjak dari tempat duduknya selagi isterinya masih menggelepar mengerang-erang. Tentu Acik Mikon juga terpaksa terconggok tidak beralih ke mana. Dia satu-satunya yang diharapkan oleh Semail Bujuk dalam saat demikian. Bila-bila Semail Bujuk akan lakukan apa sahaja sekiranya disuruh oleh Acik Mikon.

Memang seisi kampung harapkan Acik Mikon apabila keluarga sakit tidak menentu. Kalau mahu dihantar ke hospital susah melalui jalan tanah merah kerana tidak ada kereta yang melalui kampung mereka. Lainlah kalau ada teksi sapu memang boleh juga mereka sewa sampai ke hospital. Ketika itu memang mereka di kampung pun tidak peduli sangat dengan hos pital di pekan.

Siapa lagi diharapkan kalau bukan Acik Mikon. Kadangkala anak-anak kecil menangis tengah malam akibat kembung perut pun mereka akan menyerbu ke rumah Acik Mikon. Mereka tidak segan silu memanggil dari tengah halaman sekalipun Acik Mikon tengah nyenyak tidur.

Terkuap-kuap Acik Mikon bangun sebaik sahaja dipanggil orang. Dia tidak akan membantah sekira dijemput tengah macam pun. Perkara jaga hati jiran-jiran bukan boleh dikuis macam menyepak gopong tempurung di tepi parit. Acik Mikon tidak boleh mengelak setelah seisi kampung menggantungkan harapan kepada bomoh seperti dia.

"Di sini ada kesan cendawan busut, Ustaz" beritahu Cu Selemah sebaik sampai ke perdu rumpun pisang. Memang di situ kelihatan memutih serpihan cendawan busut sisa dikutip oleh Andak Libit.

Sewaktu saya mendongak ke atas ternampak sarang lebah tergantung hampir sebesar tempayan di dahan nangka yang bersanggit dengan pelepah pisang.

"Ada sarang lebah," ujar saya perlahan ingatkan Cu Selemah supaya tidak mara ke hadapan.

"Besarnya sarang lebah ni, tentu dah lama bersarang di situ," Cu Selemah berundur sedikit sebaik sahaja melihat sarang lebah sebesar tempayan. Geli gelemam dia melihat sarang lebah yang bergerak-gerak apabila lebah-lebah berkenaan berebut-rebut hinggap.

"Cubalah Cu tengok dekat perdu rumpun pisang tu," usik saya sengaja bergurau dengan Cu Selemah.

"Nak tengok apa, serpih cendawan busut nampak laaa," tersengih-sengih Cu Selemah dengan usikan itu.

Dia tidak sama dengan Acik Mikon. Lainlah suaminya boleh mengagak apa yang berlaku di situ. Perkara mengutip cendawan busut memang siapa pun tidak menduga apa-apa. Andak Libit juga tahu petua apabila terserempak cendawan busut banyak menguntum. Dia tahu jampi petua supaya cendawan busut itu tidak busuk sebelum sempat dibawa batik ke rumah.

Saya sendiri tidak tahu kenapa perasaan saya kuat sangat mahu melihat sendiri tempat Andak Libit mengutip cendawan busut itu. Manalah tahu di perdu rumpun pisang itu Semail Bujuk menabur baja, sekalipun pisang kelat itu sia-sia sahaja dibubuh baja. Lainlah kalau pisang rastali, pisang emas, pisang nangka atau pisang embun yang boleh dijual dengan harga mahal sedikit.

Pisang kelat memang tidak siapa pun mahu membelinya. Kadangkala bertahan buahnya masak dicampakkan sahaja oleh Semail Bujuk ke tengah halaman biar dimakan ayam atau itik. Hanya sekali sekala sahaja Acik Mikon perlukan pucuk bulatnya untuk dibuat tempat menadah mengubati orang terkena santau. Memang Acik Mikon perlukan pucuk bulat pisang kelat apabila orang mengadu terkena santau. Pucuk pisang itu dikerat panjang sehasta kemudian dikembangkan dan ditadah di bawah dada dengan mangsa santau itu menelungkup sambil mengangkat dadanya sedikit. Acik Mikon akan menepuk belakang mangsa dengan api pelita mesti dipadamkan.

Sepuluh kali dia bacakan doa diikuti dengan surah al-Quraisy tujuh kali, Acik Mikon akan menepuk belakang mangsa beberapa kali. Selepas itu dia akan menyuluh ke atas pucuk pisang yang ditadahkan hingga nampak merenik-renik serbuk kaca bercampur miang rebung dan serpihan bangkai ulat bulu di situ.

Sebab itu sengaja Semail Bujuk pelihara rumpun pisang kelat itu biar mudah sesiapa mahu gunakan pucuk bulatnya tatkala Acik Mikon memerlukan untuk berubat. Beberapa kali juga Cu Selemah merungut kerana menuduh disebabkan pucuk pisang kelat itu digunakan mengubati orang kena santau kemungkinannya Andak Libit bagaikan termakan santau apa-bila menjamah sayur cendawan busut tumbuh di perdu rumpunnya.

Tetapi saya ingatkan dia mengenai sayur cendawan busut itu juga sama-sama dimakan oleh keluarganya setelah menerima pemberian Andak Libit. Kenapa pula seisi rumah Cu Selemah termasuk saya dan isteri saya tidak mengalami keracunan?

Dalam keadaan serba salah itu saya menyuruh Cu Selemah duduk bertimpuh tidak jauh dari rumpun pisang. Saya menyuruh dia pejamkan mata dengan mem-bacakan al-Fatihah 17 kali, surah al-Ikhlas 17 kali dan Ayatul Kursi 17 kali. Sebaik sahaja Cu Selemah selesai membacanya saya ketuk dahinya dengan jari telunjuk dengan membacakan:

Allahhu yatawaffal anfusa hino mautiha wallati lamtamut fi-mana miha fayumsikullati qoda 'alaihal mauta wayursilul ukhro ila-ajalin musamman inna fi zalika la-ayatin liqaumin yatafakkarun.

Beberapa minit sahaja tiba-tiba Cu Selemah menggeletar dengan peluh memercik di dahi. Jarinya menuding ke arah perdu rumpun pisang kelat dalam keadaan ketakutan. Kalau tenaganya gagah memang Cu Selemah akan melompat lari. Tetapi saat ini dia sekadar terconggok dengan tidak ada tenaga apa-apa.

"Kenapa Cu?" bisik saya meletakkan telunjuk di atas ubun-ubunnya.

"His, orang tua di perdu rumpun pisang tu," keluh Cu Selamah serba salah. "Orangnya capik kaki, tetapi kuku jarinya tajam macam nak cengkam tengkuk Andak Libit," ujar Cu Selemah terketar-ketar suara menahan ketakutan.

"Jangan takut, syaitan takkan boleh lawan ilmu manusia," lantas saya ingatkan Cu Selemah. Kemudian saya pusarkan ibu jari telunjuk ke ubun-ubunnya dan menyuruh dia membacakan surah al-Ikhlas 11 kali dihembuskan ke arah lembaga lelaki tua berkaki capik di perdu rumpun pisang itu.

Tersenyum Cu Selamah memberitahu hembusannya mengeluarkan api hingga melecur sebahagian tubuh lembaga berkenaan. Ketika ini juga terdengar jeritan Andak Libit dari tengah rumah. Setelah saya bisikkan kepadanya supaya bertenang, Cu Selemah semakin berani mengukuhkan duduk timpuhnya.

Pandangannya tajam merenung ke perdu rumpun pisang dengan mencebek bibir. Dia melihat lembaga lelaki tua berkaki capik di situ berkeras mahu melawan. Apabila saya menyuruh Cu Selemah membacakan al-Fatihah 7 kali dengan mengembangkan bahu supaya tubuhnya menjadi besar, jeritan halus Andak Libit di tengah rumah gementar memberitahu tubuh Cu Selemah terlalu besar.

"Kepala Cu Selemah mencecah ke awan," terketar-ketar Andak Libit menerangkan.

"Kalau berani, kau lawanlah!" lantas Acik Mikon mengejek bagaikan mencabarnya.

Tetapi saya tidak peduli apa pun yang berlaku di tengah rumah. Memang Acik Mikon juga tahu apa sebenarnya saya lakukan bersama Cu Selemah di perdu rumpun pisang itu. Semakin lama Cu Selemah terconggok dia semakin berani berdepan dengan lelaki tua berkaki capik itu.

Merungut-rungut Cu Selemah memberitahu lembaga itu puaka capik yang cuba mengganggu. Marah benar dia dengan puaka capik itu sengaja mencari kesempatan di perdu rumpun pisang kelat. Setiap kali dia ingatkan puaka capik itu supaya jangan berkeras mahu mengancam Andak Libit, kedengaran jeritan berulang kali di tengah rumah.

Puaka capik itu semakin terdesak apakala melihat saya berdiri di tengah lingkaran cahaya putih yang memancar panas. Di sisi saya pula Andak Libit nampak tubuh Cu selemah membesar hingga kepalanya mencecah ke awan. Sekaligus pula kaki Cu Selemah sebesar bukit memijak kepala puaka Capik itu.

Setelah tidak kedengaran lagi jeritan Andak Libit, barulah Cu Selemah termengah-mengah memberitahu terlalu dahaga. Apakala saya tidak meletakkan lagi telunjuk .di ubun-ubunnya, Cu Selemah jatuh tergolek di atas rumput. Segera saya bacakan al-Fatihah tiga kali dengan menjentik perlahan dahinya. Ketika ini Cu Selemah membuka mata lantas bingkas bangun berdiri terpinga-pinga.

"Mana puaka capik tu?" gerutunya masih lagi menyimpan perasaan marah. "Puaka capik yang buat angkara," keluh Cu Selemah menggertap bibir sambil melingas-lingas memandang ke kiri ke kanan.

Apabila saya memujuknya supaya naik semula ke rumah, Cu Selemah tidak membantah apa-apa. Dia terus naik ke rumah dalam keadaan masih juga terpinga-pinga tidak menentu. Sebaik sahaja naik ke rumah dia berbaring kerana terasa pening kepala. Hampir lima belas minit dia terbaring barulah Cu Selemah segar semula.

"Tak pernah saya buat kerja macam ni," beritahu Cu Selemah perlahan memicit-micit dahinya.

Tersenyum Acik Mikon melihat isterinya termangu dengan kejadian yang dialaminya, kerana ketika ini Andak Libit sudah pun duduk dalam keadaan sudah pulih.

"Macam mana?" Semail Bujuk mengusap rambut Andak Libit setelah isterinya meneguk minuman.

 "Entahlah, Cu Selemah besarnya," bergetar suara Andak Libit menggeleng lemah. "Tapak kaki Cu Selemah macam bukit memijak kepala puaka berkaki capik tu!" katanya perlahan sambil menunduk menyebabkan Semail Bujuk tersengih-sengih mengerling Cu Selemah.

Memang Semail Bujuk tidak tahu apa-apa mengenai kejadian yang menimpa dua orang perempuan itu. Cu Selemah juga tidak bercakap apa, kecuali beberapa kali mengesat pelupuk matanya.

Lama selepas itu baru Cu Selemah beritahu jiran-jiran mengenai puaka capik yang mahu mencengkam tengkuk Andak Libit. Bukan dia sahaja macam tidak percaya dengan apa yang berlaku, malah Andak Libit juga mengakui mengenai puaka capik yang mahu menerkamnya. Kalau tidak dihalang oleh Acik Mikon memang kuku-kuku runcing puaka capik itu sempat mencengkamnya.

Memang isteri saya juga tetap ingat kejadian berkunjung ke Lenggong beberapa tahun dulu ke rumah Acik Mikon, apabila melihat kelkatu berterbangan menerpa lampu di tengah rumah. Kadangkala tersenyum dia apabila kenangkan Andak Libit gementar apabila ceritakan fasal tubuh Cu Selemah membesar hingga kepalanya cecah ke awan.