Monday, March 13, 2017

219.HARIMAU MELOMPAT DI TENGAH SERAMBI



Tergelak besar Wak Samin bila saya tanyakan kepadanya mengenai harimau cinaku atau harimau jadian. Bagi mereka di Sumatera terutama di daerah Jambi kisah harimau cinaku ini perkara biasa saja kepada mereka, tetapi bagi orang-orang di Semenanjung mendengarnya sebagai cerita tahyol saja.
Sebab itu Wak Samin tergelak besar, kerana pada sangkaannya saya hanya mahu bertanya disebabkan merasakan cerita tersebut sebagai tahyol saja. Kebanyakan harimau cinaku ini boleh mencuri kerbau dan lembu orang-orang kampong.
Mereka boleh menghilangkan diri dalam sekelip mata. Ada juga orang mengatakan bahawa harimau cinaku ini hanya kepalanya saja bertukar menjadi harimau, sementara batang tubuhnya kekal sebagai manusia.
“Wak tak dengar cerita macam tu” beritahu Wak Samin apabila saya tanyakan mengenai cerita harimau cinaku yang kepalanya bertukar menjadi harimau sedangkan batang tubuhnya masih kekal seperti manusia biasa.“Setahu Wak, harimau cinaku ini berubah menjadi harimau seluruh batang tubuhnya” jelasnya lagi.
“Harimau cinaku ni banyak di Jambi ye Wak?” saya cuba menduga.
“Kebetulan saja” ujarnya perlahan.
“Dulu, orang kata orang-orang Jambi yang jadi harimau cinaku” katanya tersengih-sengih macam gelihati dengan tuduhan tersebut.
“Adakah Tok Malim Udoh tu menuntut ilmu harimau cinaku?” tanya saya selanjutnya.
Dia menggelengkan kepala. Malah Wak Samin tidak mahu langsung menyebut kisah Tok Malim Udoh, sekadar dia memberitahu mengapa dia datang ke Tanah Melayu ini. Kalaulah tidak berlaku peristiwa yang menimpa gurunya, memang dia tidak akan meninggalkan kampung halamannya merantau sedemikian jauh.
Sebelum datang ke Endau, Wak Samin pernah juga berkahwin dengan seorang janda di Kota Tinggi. Perkahwinan itu tidak lama kerana isterinya lari meninggalkan dia. Disebabkan malu dengan peristiwa isterinya meninggalkannya itu Wak Samin lari membawa diri ke Endau.
Demikian Tok Aji memberitahu saya mengenai kawannya Wak Samin yang sama-sama menumpang kapal barang dari Dumai menyeberang ke Tanah Melayu dan naik di Johor. Sewaktu berkahwin dengan janda di Kota Tinggi itu, Tok Aji ikut sama jadi pengapit Wak Samin.
Ketika ini Tok Aji juga berkahwin di Kota Tinggi dan sudah mendapat seorang anak lelaki.
Pada malam pertama hari perkahwinannya itu, janda tersebut Lisun terkejut kerana Wak Samin tidur bersener kuat. Bunyi senarnya seolah-olah seperti harimau mendengkur. Kerana was-was dengan suaminya yang datang berdagang ke situ, Lisun lantas bertanya dari mana kampung halaman Wak Samin.
“Abang dari Palembang, tetapi menetap di Bukit Tinggi” dia menjelaskan kepada isterinya.
“Bukan dari Jambi?” tanya Lisun lagi.
“Tidak…” beritahu Wak Samin sudah dapat mengagak apa yang tersirat dihati. “Lisun, syak yang tak baik terhadap diri abang?” soalnya macam rasa tersinggung dengan usikan isterinya.
“Saya hanya nak tau, kerana orang kata orang Jambi suka jadi harimau” jelas Lisun secara jujur.
Memang dia pernah mendengar dari orang tua-tua mengenai kesukaan orang-orang Jambi mempelajari ilmu kebatinan menjelma menjadi harimau.
Tahu sangat Lisun kebanyakan mereka salah gunakan kepandaian tersebut. Seringkali mereka merompak dan mencuri harta benda orang kampung setelah menukar diri menjadi menjelma jadi harimau.
“Bukan semua orang Jambi begitu” Wak Samin ingatkan isterinya supaya tidak terpengaruh dengan tuduhan demikian.
Segala kebimbangan isterinya itu diceritakan oleh Wak Samin kepada Tok Aji. Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan dia supaya bersabar saja, kerana niat baik tentu dibalas dengan baik juga. Lainlah kalau Wak Samin sengaja mahu menimbulkan keresahan orang lain.
Memang Wak Samin sudah melupakan ilmu-ilmu kebatinan yang dituntutnya selama di Sumatera dulu. Sebab itu dia lebih suka orang memanggilnya Wak Samin saja kerana panggilan Wak itu biasanya digunakan kepada orang-orang dari Tanah Jawa saja. Kalau orang-orang dari Sumatera biasanya dipanggil ‘Pak Tua’ sebagai menghormati orang yang lebih tua.
Kerana mahu melupakan kisah-kisah di Sumatera inilah dia sanggup mengembara jauh. Dia hanya mahu menyerahkan diri semata-mata kepada Allah. Ilmu-ilmu kebatinan yang berlawanan dengan ajaran Islam, mahu dibuang jauh-jauh dari lubuk hatinya.
Rupa-rupanya orang-orang di Semenanjung ketika itu apabila berkahwin dengan orang-orang dari Sumatera, bimbang kalau berkahwin dengan orang-orang dari Jambi. Cerita ini merebak dari satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang Jambi. Cerita ini merebak dari satu telinga sehingga mereka benar-benar takut kepada orang-orang Jambi masuk meminang.
“Mereka takut harimau kerinci…” ujar Tok Aji ketawa geli hati dengan nasib yang menimpa kawannya Wak Samin.
Bagaimanapun Tok Aji dapat meyakinkan Lisun bahawa cerita-cerita mengenai harimau kerinci, harimau cinaku atau harimau jadian itu hanya reka-rekaan sahaja. Hanya sekadar mahu menakutkan orang-orang Semenanjung supaya tidak mudah menerima pinangan orang orang yang datang berdagang dari Sumatra.
Ketika ini ramai orang-orang Semenanjung mengambil menantu dari mereka yang datang dari Sumatera kerana dipercayai mempunyai ilmu agama yang tinggi. Bagi menakut-nakutkan ibu bapa supaya tidak mudah menerima menantu  orang Sumatera inilah mereka sengaja ada-adakan cerita mengenai  harimau jadian itu.
Lisun pula tidaklah mengesyaki apa-apa lagi terhadap suaminya, malah dia semakin kasih akan Wak Samin. Dia sama-sama membantu Wak Samin pergi menoreh getah atau mengait kelapa.
Dalam masa inilah tiba-tiba sahaja kampung mereka diganggu dengan kejadian harimau menyerbu masuk ke kandang kambing. Habis ternakan orang kampung diheret harimau. Seisi kampung menjadi gempar, kerana setiap malam ada sahaja ternakan menjadi mangsa. Beberapa kali dibuat perangkap tetapi mereka tidak berjaya membunuh harimau tersebut.
Akhirnya lembu ketua kampung sendiri dikerkah oleh harimau ganas. Terkilan benar Pak Kidam apabila lembu jantan itu kesayangannya diheret harimau tersebut . Lantas sahaja Pak Kidam sanggup membayar sampai seratus ringgit kepada sesiapa sahaja asalkan sahaja harimau berkenaan dapat dibunuh.
Pak Kidam sendiri mengajak beberapa orang kampung mengikut jejak harimau itu masuh ke hutan dengan mengesan titisan darah lembu yang diheretnya. Tok Aji dan Wak Samin juga ikut sama masuk ke hutan menjejak harimau yang sekian lama mengganas.
 Memang mereka terpaksa membantu orang-orang kampung disebabkan datang berdagang ke situ.  Mereka perlu menjaga hati ketua kampung supaya tidak dipandang serong. Apalah salahnya mereka berdua sama masuk kehutan  mengesan jejak harimau berkenaan.
Apabila mereka sampai kepada bangkai lembu yang ditinggalkan sebelah pehanya sudah habis dikerkah. Bangkai lembu itu dibiarkan teroleh dibawah leban.  Tidak tertangguh Pak Kidam menyuruh buatkan pondok diatas pokok biar mudah menunggu harimau itu mengulangi  bangkai berkenaan.
Pak Kidam sengaja menunggu pada sasaran yang mudah dia membedil dengan senapangnya. Tekadnya seolah-olah  berdendam sanngat dengan binatang tersebut hingga mahu membunuh dengan tangannya sendiri.
Sengaja Tok Aji memilih pondok tempat Pak Kidam menunggu dengan senapangnya. Sementara Wak Samin menunggu pada pokok yang satu lagi bersetentang dengan pondok Pak Kidam.
Lama juga mereka menunggu sehingga malam diserkapi kegelapan, tetapi harimau itu tidak juga datang mengulangi bangkai lembu yang tergolek. Memang mereka tahu lambat laun harimau itu akan datang apabila perutnya terasa lapar.
Disebabkan terlalu lama menunggu, salah seorang yang bertahan di pondok Wak Samin iaitu Jalit abang iparnya sendiri, terasa mahu buang air kecil. Puas juga Jalit menahan rasa mahu buang air kecil, tetapi dia malu mahu buang air dari atas pokok itu sahaja. Tentulah tidak manis pada pandangan kawan-kawan sekiranya dia memancut dari atas pokok tempat menunggu itu.
Terpaksa juga Jalit turun juga ke tanah untuk buang air kecil, sekalipun Wak Samin menyuruh abang iparnya kencing sahaja dari atas pokok. Tatkala Jalit turun ke perdu pokok inilah, Pak Kidam nampak dua biji mata mara ke situ.
Cepat-cepat Pak Kidam menyuruh Jalit naik segera ke atas pondok. Belum sempat Jalit naik semula, harimau berkenaan sudah hampir benar mendekati bangkai lembu tergolek. Serba salah juga Pak Kidam mahu menembak sekiranya Jalit masih lagi tidak naik ke atas pondok.
Kalau tembakannya tidak tepat sasaran, tentu bila-bila sahaja harimau terluka itu akan menerkam Jalit. Memang harimau terluka lebih ganas sekiranya terserempak mangsa. Nescaya Jalit dalam bahaya kalau Pak Kidam mengambil keputusan menembak tergesa-gesa.
Disebabkan harimau berkenaan sudah terlalu dekat, sedangkan Jalit masih tidak sempat naik semula ke atas pondok tempat bertahan., terpaksalah Wak Samin terjun juga ke tanah. Dia mesti selamatkan abang iparnya yang terperangkap ketika itu.
Apa pula kata Lisun isterinya kalau dia sekadar berdiam diri tatkala abangnya di ambang bahaya? Tentu Lisun akan berkecil hati sekiranya tahu dia tidak berbuat apa-apa semasa Jalit terperangkap di perdu pokok.
Sebaik sahaja harimau itu berdepan dengan Jalit, tidak bertangguh Wak Samin menekan ibu jari kakinya ke bumi. Jalit nampak harimau itu terkaku tidak dapat bergerak apabila Wak Samin tercegat melindungkan dia.
"Kau nak tunjuk kuat ye!" herdik Wak Samin tidak lepas merenung muka harimau yang tergeleng-geleng kepala.
Harimau itu seolah-olah meronta, tetapi badannya tidak dapat bergerak langsung. Dia bagaikan terlekat pada tanah hingga tidak boleh menghambur tinggi. Ngaumannya juga tidak keluar daripada rrahang, cuma rungutan kecil sahaja merengek-rengek. Jalit  nampak air liur harimau itu meleleh keluar laksana kucing termakan cili padi.  
"Dengan orang kampung ni kau boleh tunjuk keras kepala, tapi dengan Samin kau jangan main-main!" Wak Samin menggertap bibir sambil berjalan mara mendapatkan harimau yang terpaku di depannya.
 Pak Kidam yang memegang senapang tidak dapat melepaskan tembakan. Jarinya seolah-olah tidak dapat memetik triger. Dia terpegun melihat Wak Samin yang tiba-tiba sahaja melompat ke tengah belukar sebaik sahaja abang iparnya Jalit tidak sempat naik ke atas pondok.
'Biadap kau!" tempik Wak Samin garang lantas menampar muka harirriau itu tiga kali.
Harimau itu tidak menjerit apa-apa tatkala ditampar Wak Samin, sekalipun kakinya masih terlekat di bumi. Kaki harimau itu bagaikan diikat kuat dengan simen ke tanah hingga tidak boleh diangkat langsung.
"Depan Samin, kau jangan nak tunjuk keras kepala!" beberapa kali Wak Samin menunjal muka harimau itu dengan jari telunjuknya. Memang Tok Aji nampak apa yang dilakukan oleh Wak Samin terhadap harimau berkenaan, kerana kedudukan pondok itu tidaklah jauh sangat. Cahaya samar-samar di pinggir hutan itu masih jelas boleh nampak dari jarak yang tidak berapa jauh.
Tersenyum Tok Aji melihat kehebatan kawannya itu. Dia tidaklah terperanjat seperti Pak Kidam apabila melihat Wak Samin berhadapan dengan harimau. Memang Tok Aji tahu ketika itu Pak Kidam benar-benar gementar, apalagi tatkala melihat Wak Samin menampar muka harimau. Harimau itu hanya merungut-rungut sahaja, disebab kan ngaumannya tidak keluar dari rahang. Air liurnya banyak meleleh keluar. Jalit yang bertahan di balik perdu pokok tempat mereka membuat pondok, terkencing di dalam seluar akibat terlalu takut.
Dia melihat sendiri harimau sebesar lembu itu tercegat di depan adik iparnya. Kemudian Wak Samin pula menampar muka harimau berkenaan beberapa kali sampai binatang ganas itu tidak berani angkat muka.
Tidak lama selepas itu rungutan harimau berkenaan tidak lagi kedengaran. Segera Wak Samin berpaling ke belakang lantas berjalan mendapatkan abang iparnya Jalit yang terketar-ketar tidak menentu. Sebaik sahaja dia meninggalkan harimau itu tiba-tiba sahaja tubuh binatang berkenaan jatuh tersembam ke tanah.
Barulah semua orang yang bertahan di atas pondok turun ke tanah. Mereka memeriksa tubuh harimau yang jatuh tergolek itu sama ada sudah mati atau pun sekadar lemah tidak bermaya. Teragak-agak mereka semua mahu mendekatinya. Manalah tahu kalau harimau itu bingkas bangun terus menghambur menerkam mangsa.
Tetapi setelah Tok Aji mendekati harimau itu sambil menendang-nendang punggung, barulah mereka berasa lega. Apabila diperiksa mukanya mereka dapati kesan lekuk akibat remuk bagaikan disinggahi pukulan yang terlalu kuat. Harimau itu sudah mati terbujur dengan tulang mukanya hancur tidak bersisa.
Sewaktu disuluh oleh Pak Kidam dia melihat bekas tamparan Wak Samin itu seolah-olah terjahan kayu balak enam pemeluk. Masakan harimau itu boleh bertahan kalau mukanya diterjah kayu balak enam pemeluk sampai tidak sempat dielakkan.
"Tak sangka awak boleh menentang harimau, Wak Samin," keluh Pak Kidam masih terasa gementar.
Wak Samin tidak menyahut. Dia sendiri menyesal kerana terlalu cepat menunjukkan belang diri sendiri. Kalau tidak disebabkan abang iparnya Jalit terperangkap, memang Wak Samin tidak akan tergopoh-gopoh terjun ke tanah. Malu juga dia sekiranya diketahui oleh orang kampung mengenai kemampuannya berdepan dengan harimau itu.
Tetapi dia tidak boleh biarkan abang iparnya terancam, sekiranya lambat bertindak. Ketika itu harimau berkenaan sudah hampir benar mahu menerkam. Kalaulah harimau itu sempat menerkam sudah tentu Jalit cedera parah menjadi rnangsa. Sebab itulah Wak Samin tidak bertangguh terjun ke tanah untuk selamatkan abang iparnya.
Ketika ini dia tidak memikirkan apa-apa pun orang kampung akan menuduhnya. Biarlah orang-orang kampung mengejek disebabkan dia hanya tunjuk berani di depan abang ipar sahaja, Wak Samin tidak peduli. Dia ikhlas mahu selamatkan abang iparnya dalam saat terdesak.
Itulah pertama kali Wak Samin tunjukkan belangnya. Semenjak datang ke Kota Tinggi tidak pernah dia menunjuk-nunjuk apa pun kelebihan dirinya kepada masyarakat. Malah Tok Aji sendiri tidak tahu mengenai kebolehan Wak Samin boleh jinakkan harimau garang di tengah hutan.
"Terima kasihlah Samin kerana menolong orang-orang kampung," lantas Pak Kidam mengajak semua anak-anak buah balik semula ke kampung.
Cerita Wak Samin menampar muka harimau dengan tidak bersenjata satu apa pun itu, cepat sahaja merebak ke seluruh kampung. Jalit juga memuji-muji adik iparnya. Kalau tidak keberanian Wak Samin sudah tentu nyawanya sendiri terancam. Memang dia merasa benar-benar terhutang nyawa pada adik iparnya itu.
Seisi kampung macam tidak percaya apabila diberitahu kegagahan Wak Samin berdepan dengan harimau ganas di tengah hutan. Tetapi siapa pula mahu menguji Wak Samin, kalau harimau garang pun boleh dijinakkan macam kucing disebat dengan lidi?
Tidak lama kemudian Tok Aji berpindah ke Singapura membawa anak isterinya. Semenjak itu pula dia tidak lagi berhubungan dengan Wak Sarnin di Kota Tinggi. Sewaktu Tok Aji berpisah dengan kawannya itu, Lisun isteri Wak Samin sedang mengandung tiga bulan. Entah mengapa dalam masa mengandung ini Lisun kuat mendesak Wak Samin mengajaknya ke hutan mahu melihat harimau hidup yang merayau-rayau di tengah belukar.
Wak Samin tahu desakan isterinya itu bukan disebabkan Lisun mahu melihat dia berdepan dengan harimau di tengah hutan, tetapi pembawaan orang mengandung. Masakan Lisun sengaja mahu menguji dirinya setelah mendengar dia selamatkan Jalit sewaktu terperangkap di perdu pokok.
Kalau disebabkan perkara lain memang Wak Samin tidak akan ikutkan kemahuan isterinya. Tetapi pembawaan orang mengandung mesti dipenuhi juga. Hairan benar dia kenapa Lisun mahu melihat harimau hidup merayau-rayau tengah belukar?
Tidak sama dengan pembawaan perempuan lain yang mengandung. Kalaulah mengidam mahu makan benda yang ganjil, memang perkara biasa apabila perempuan mengandung. Kadangkala puntung rokok juga gemar dikunyah sekiranya pembawaan perempuan mengandung demikian. Tidak pernah pula didengar oleh Wak Samin sampai mahu melihat harimau hidup mera-yau-rayau tengah belukar.
"Saya nak tengok harimau hidup-hidup, bang," desak Lisun selepas makan tengah hari.
"His, merepek saja kau ni, Lisun," rungut Wak Samin dalam keadaan serba salah.
"Betul-betul ni bang, saya nak tengok sangat," ujar Lisun lagi tidak berganjak dengan kemahuannya.
"Harimau di tengah hutan, macam mana nak bawa kau ke sana?" Wak Samin memujuk isterinya supaya tidak ikutkan sangat desakan hati.
"Bawalah saya ke hutan, saya nak jumpa harimau," rintih Lisun bagaikan merayu-rayu sangat. 
Memang Wak Samin menyedari permintaan Lisun bukanlah gurauan biasa. Pembawaan orang mengandung tidak menentu seolah-olah mahu mencari kemarahan suaminya sahaja. Tetapi, belum pernah dia mendengar pembawaan perempuan mengandung mahu melihat harimau merayau-rayau, melompat dan menggolek-golek badan di tengah belukar.
Tentu Lisun tahu harimau bukannya jinak macam kucing boleh bermain di atas pangkuan.
Puas memujuk Lisun tidak juga mahu mengalah terpaksa-Iah Wak Samin beritahu kepada Jalit. Terkejut juga Jalit dengan permintaan adiknya mendesak Wak Samin mahu melihat harimau hidup bermain-main.
Kalau Tok Aji masih menetap di Kota Tinggi, dia juga akan nasihatkan Lisun supaya tidak biarkan diri dikuasai oleh perasaan demikian.
"Kau dah gila, Lisun!" gerutu Jalit memarahi adiknya kerana membuat permintaan yang bukan-bukan. "Apa yang kau minta Samin lakukan ni, kau nak cari nahas?" ujarnya keras.
"Saya tahu abang Samin boleh jinakkan harimau," ter-singgung juga Lisun apabila dimarahi oleh abangnya. "Nyawa abang pun dia yang selamatkan," katanya sengaja menyindir Jalit.
"Perkara sia-sia yang kau suruh Samin buat," Jalit tidak peduli sama ada Lisun tersinggung atau pun tidak apabila dimarahi demikian.
"Takkan dia tak boleh jinakkan harimau, kalau saya sendiri yang nak tengok," sahut Lisun tetap berkeras dengan kemahuannya.
Mengeluh pendek Jalit dengan desakan adiknya. Dia tahu Lisun sudah mendengar cerita Wak Samin menerpa ke tanah tatkala harimau garang mahu menerkam ke arahnya. Tidak patut disebabkan keberanian Wak Samin itu, Lisun mendesak mahu mengajak lelaki itu ke hutan.
Lainlah  kalau Lisun mahu ikut berburu mencari pelanduk, kijang, rusa atau napuh. Bila-bila pun Jalit sanggup temankan Wak Samin berburu ke hutan.
Tetapi perkara Lisun mahu melihat harimau merayau-rayau, bukan boleh dibiarkan. Tidak pernah pun perempuan mengandung sampai mengidam mahu melihat binatang buas menjelma di depan mata. Apa lagi mahu bermain dengan harimau tengah liar memburu mangsa.
"Janganlah kau minta yang bukan-bukan, Lisun," Jalit berlembut memujuk adiknya.
"Saya ingin sangat nak tengok," Lisun terus juga merayu dengan penuh harapan.
"Tak bolehkah kau minta yang lain?" soal Jalit bertambah hairan.
"Entahlah bang, saya tak dapat nak minta yang lain," tegas Lisun menunduk seolah-olah meminta belas kasihan.
Terdiam Wak Samin dengan desakan isterinya yang luar biasa itu. Dia serba salah kenangkan permintaan Lisun. Bagaimana seorang perempuan mengandung tiba-tiba sahaja mengidam mahu melihat harimau hidup-hidup merayau dan melompat tangkas?
Lainlah kalau perempuan mengandung mahu menghisap puntung rokok, mahu makan sepah sirih, mahu makan asam atau mahu mandi air telaga, memang perkara biasa sahaja menjadi pembawaan mereka. Saat ini Wak Samin menyedari bahawa dia perlu menerima hakikat, memang amalan yang dipelajari daripada Tok Malim Uduh inilah yang sedang menguji kesabarannya.
Sedangkan Jalit sendiri sudah tidak berupaya melarang kemahuan Lisun. Apalagi permintaan itu sudah men-jadi pembawaan perempuan mengandung. Tentulah banyak bencana sekiranya pembawaan perempuan mengandung tidak dipenuhi.
"Aku tak dapat nak cakaplah, Samin," keluh Jalit mengalah lantas memberi keputusan tidak sanggup lagi mahu menasihatkan Lisun.
"Tak apalah abang Jalit, muga-muga dia boleh lupakan juga," sahut Wak Samin dengan satu harapan tergaris di hatinya.
Setelah Jalit turun meninggalkan mereka, Wak Samin tidak bercakap sepatah pun dengan isterinya. Puas juga Lisun mendesaknya masuk ke hutan untuk mencari harimau, tetapi Wak Samin tetap mendiamkan diri. Apalah gunanya dla memujuk kalau Lisun masih juga berkeras tidak mahu mengalah.
Lama dia terdiam dengan tldak bercakap apa-apa, barulah Wak Samin merenung muka Lisun lantas menuturkan, "Nanti kau terkejut kerana ketakutan, Lisun."
"Ah, itu dalih abang saja, kerana tak mahu bawa saya ke hutan," gerutu Lisun mencemik muka.
"Kalau Lisun nak tengok harimau, tak payah ke hutan," tegas Wak Samin sudah tidak dapat lagi menahan sabar. "Aku boleh panggilkan harimau datang ke sini," jelasnya tersengih-sengih macam menyindir Lisun.
"Abang nak takut-takutkan saya?" Lisun menjuihkan bibir kerana menuduh suaminya sengaja berbohong. "Kalau betul abang boleh panggil, panggillah!" lantas sahaja dia mencabar Wak Samin.
"Nanti, awak takut," tutur Wak Samin mengusap-usap dadanya yang berombak kencang.
"Saya teringin nak tengok, takkan saya takut!" suara Lisun keras menyesali suaminya.
Terpaksa juga Wak Samin mengalah. Dia tidak mahu melukakan hati isterinya tatkala perempuan itu tengah mengandung. Biarlah dia terpaksa merendah diri apabila dirantau orang sekalipun di depan isterinya sendiri. Manalah tahu desakan isterinya itu mempunyai rahmat di sebalik apa yang akan berlaku.
Kemudian segera dia menyuruh Lisun naik ke atas para rumah bersembunyi. Para rumah itu samalah seperti loteng, tempat mereka letakkan barang-barang di situ.
"Awak tunggu di sini, jangan ke mana-mana," Wak Samin ingatkan isterinya setelah Lisun naik ke atas para.
Dari atas para itu Lisun boleh melihat ke tengah rumah. Dia melihat suaminya membakar kemenyan di tengah rumah sebaik sahaja dia naik bersembunyi di atas para.
Asap kemenyan melabun naik, setelah Wak Samin mula membacakan jampi serapahnya. Berdebar juga hati Lisun setiap kali melihat Wak Samin melenggok-lenggok badan di hadapan bekas pembakar kemenyan. Matanya melingas-lingas juga kerana bimbang harimau itu akan menjelma di hadapan suaminya tengah membaca jampi serapah.
Tetapi hatinya tertanya-tanya juga dari mana pula harimau itu akan melompat masuk, disebabkan semua pintu dan tingkap terkunci rapat. Memang Lisun tidak bimbang apa-apa, semenjak dia mengetahui Wak Samin boleh jinakkan harimau garang di tengah hutan. Apa sangatlah kalau harimau yang diserunya menjelma di tengah rumah, tentu mudah sahaja dijinakkan oleh suaminya.
Lama Lisun memerhatikan suaminya terlenggok-lenggok di tengah rumah, tiba-tiba dia terkejut apabila Wak Samin membongkok sambil meneran laksana mahu membuang air besar di tandas. Sekaligus ekor panjang menjulur keluar di punggungnya. Sebaik sahaja ekornya menjulur keluar, terus Wak Samin meniarap seperti kucing bangun daripada tidur.
Selepas itu dia mengguling-guling badannya ke lantai sambil menggeliat. Dari sinilah tubuhnya berubah sedikit demi sedikit menjadi harimau sepenuhnya. Apabila menjadi harimau sepenuhnya terus sahaja Wak Samin melompat dan berjalan keliling tengah rumah dari serambi masuk ke induk rumah.
Dia mengangakan mulut seperti terkuap-kuap kelaparan. Sekali-sekala dia mengerling juga ke arah atas para tempat isterinya bersembunyi. Biarlah Lisun puas hati dapat melihat harimau hidup-hidup melompat di tengah rumah macam kucing yang dipelihara.
Kira-kira setengah jam dia menjelmakan dirinya menjadi harimau, Wak Samin segera memulihkan semula. Setelah dia kembali menukar dirinya daripada jelmaan harimau, cepat-cepat Wak Samin naik ke para mendapatkan isterinya. Alangkah terkejutnya dia kerana Lisun pengsan tidak sedarkan diri lagi!
Memang dia sudah mengagak tentu Lisun ketakutan sekiranya melihat harimau hidup-hidup melompat. Tetapi Lisun tidak terkejut terserempak harimau garang, dia hanya ketakutan apakala melihat suaminya berubah menjelma menjadi harimau.
Setelah dipulihkan oleh Wak Samin daripada pengsan, lantas sahaja Lisun meluru ke pintu. Dia terus berlari balik ke rurnah emaknya. Berkeras Lisun tidak mahu jejak kaki balik menemui suaminya. Puas dipujuk oleh Jalit supaya Lisun jangan ikutkan sangat perasaan, namun dia tetap berdegil tidak mahu balik lagi menemui Wak Samin.
"Selama ini saya nikah dengan harimau," dia merintilt-rintih memberitahu keluarganya. "Saya lihat sendiri Samin bertukar menjadi harimau, saya tak mahu bersuamikan harimau!" gerutunya tersengguk-sengguk menangis menahan rasa terharu.
"Perasaan kau sahaja macam tu," Jalit memujuknya dengan tidak mernpercayai langsung apa yang diterangkan oleh adiknya. "Pasal kau berkeras nak tengok harimau, sebab itu Samin pun kau kata harimau," tersengih-sengih Jalit mengejek dia.
"Saya tak mahu bersuamikan harimau," tegas Lisun membuat keputusan nekad.
"Jangan ikutkan perasaan, Lisun," emaknya juga cuba memujuk untuk mententeramkan hati Lisun. Perkara Wak Samin bertukar menjadi harimau tidak patut dijadikan alasan untuk meruntuhkan rumah tangga. Kalau Lisun sendiri tidak berkeras mahu melihat harimau hidup-hidup, tentu Wak Samin tidak lakukan semua itu.
Tahu benar dia menantunya itu tidak pernah menganggu  sesiap. Biarlah Wak Samin mempunyai kebolehan   menukarkan dirinya dirinya menjelma menjadi harimau. Sebab itulah dia tidak hairan kenapa Wak Samin boleh tundukkan binatang ganas itu sewaktu lembu Pak Kidam diheret ke tengah hutan.
Siapa yang selamatkan Jalit, kalau tidak Wak Samin sendiri terjun ke tanah ketika itu? Tentu berguna juga amalan Wak Samin dalam saat mereka semua terdesak. Tidak patut Lisun sengaja mencari alasan Wak Samin menjelma jadi harimau sekiranya dia sudah membenci lelaki berkenaan!
Setelah mendapat tahu Lisun tidak mahu lagi balik ke rumah disebabkan dia menjelma menjadi harimau, tersinggung juga hati Wak Samin. Apalah maknanya dia bertahan di kampung itu kalau Lisun sendiri mengejek dirinya. Sebab itulah dalam diam-diam Wak Samin melarikan diri dari kampung tersebut.
Malu benar dia mahu bertentang muka dengan emak mertuanya dan sanak saudara Lisun setelah rahsianya diketahui orang. Tidak pula diduganya Lisun tergamak membuka rahsia tersebut, sekalipun hati sudah tidak lagi berkenan.
Tidak siapa pun mengetahui ke mana Wak Samin membawa diri. Semenjak dia meninggalkan kampung berkenaan, Lisun pula meracau-racau kerana takut bersuamikan harimau. Dia memekik menuduh Wak Samin memperdayakan dirinya hingga berkahwin dengan harimau.
Penyakit yang dideritai Lisun bertambah pasang, tetapi siapa pun tidak dapat menghubungi Wak Samin. Hinggalah Lisun meninggal dunia akibat terkejut melihat suaminya bertukar menjadi harimau, tidak siapa pun dapat menyampaikan berita itu kepada Wak Samin.
"Saya rasa amalan menjadi harimau ihi bertentangan dengan ajaran agama," ujar saya menatap muka Wak Samin tatkala berkunjung ke rumahnya di Endau. Dia mengangguk lemah. Kemudian menunduk macam memikirkan sesuatu yang menusuk ke hatinya.
"Iya, macam menyamakan diri kita dengan binatang," keluh Wak Samin perlahan.
Saya tahu Wak Samin juga bukan calang-calang kalau fasal ilmu agama. Sebab itu saya tidak ungkit sangat perkara lain, tetapi sekadar bertanya mengenai amalan dirinya yang boleh menukarkan sifat tubuhnya menjelma menjadi harimau.
"Ustaz, tak takut pada wak?" sengaja dia mengusik saya. "Tidak," sahut saya menggelengkan kepala.
"Saya hanya takut pada Allah," ujar saya tersengih-sengih mengerling Wak Samin.
"Alhamdulillah," tersenyum dia menatap muka saya. Ketika ini saya bacakan Ayatul Kursi di dalam hati hingga 313 kali, tetapi saya lihat Wak Samin tetap bersila kukuh. Kemudian dia tersengih-sengih lantas menepuk paha saya dan menuturkan perlahan,
"Wak tak ada apa-apa, ustaz."
Terasa juga diri saya disindir. Memang Wak Samin dapat merasakan dirinya sedang diuji ketika itu.
"Wak tak amalkan ajaran yang berlawanan dengan aqidah, hanya kepada Allah Wak mohon pertolongan dan perlindungan," jelasnya terangguk-angguk.
Saya percaya dengan kata-kata Wak Samin. Memang Tok Aji sudah pesankan kepada saya mengenai diri Wak Samin tidak lagi amalkan pertapaan yang membolehkan dirinya menjelma menjadi haiwan. Sudah tentulah menjadikan diri haiwan itu tidak dikehendaki oleh Islam.
Tetapi Wak Samin bukanlah berbangga dengan amalannya itu. Disebabkan malu kepada keluarga Lisun itulah menyebabkan dia lari meninggalkan kampung isterinya. Sebelum datang ke Semenanjung pun, memang dia malu kepada keluarga gurunya Tok Malim Uduh, hingga terpaksa meninggalkan kampung halaman. Dia merasa bersalah sangat kepada gurunya setelah tidak memenuhi pesanan Tok Malim Uduh sewaktu orang tua itu terlantar sakit. Berkali-kali Tok Malim Uduh ingatkan dia supaya menunggu di atas kubur hingga tujuh malam selepas kematiannya dengan membacakan surah Yassin.
Hanya tiga malam sahaja Wak Samin menunaikan amanah gurunya. Terasa sangat dia dipermainkan kerana terconggok seorang diri sahaja di atas kubur hingga berturut-turut tujuh malam. Tetapi siapa lagi boleh diharapkan oleh arwah gurunya kalau bukan dia?
Memang Wak Samin satu-satunya murid yang dipercayai oleh Tok Malim Uduh. Sebab itulah dia amanahkan kepada Wak Samin supaya menunggu kuburnya hingga tujuh malam. Disebabkan hatinya mengesyaki sesuatu, sengaja Wak Samin memanjat pokok tempunik memerhatikan daripada jauh sahaja kubur gurunya itu.
Malam yang keempat hingga malam ketujuh, Wak Samin sanggup mengintai dari atas pokok tempunik semata-mata mahu menguji pesanan gurunya jika tidak ditunaikan. Sebaik sahaja tengah malam setelah tujuh malam dia mengintai, hampir juga Wak Samin tergamam apabila angin kencang bertiup serentak.
Sebaik sahaja angin kencang berhenti, dia melihat bayang seekor harimau besar melompat ke atas kubur. Sambil melingas-lingas memandang keliling harimau itu menggali kubur dengan kukunya. Lama dia menggali bagaikan tikus membuat lubang, harimau berkenaan menyusupkan kepalanya ke dalam lubang itu.
Tidak lama kemudian dia mengheret kain kafan dengan mulutnya naik ke atas laksana kucing menggonggong anak. Wak Samin melihat sendiri bagaimana harimau itu melangkah mayat di dalam kain kafan tujuh kali dari hujung kaki ke kepala. Selepas itu dia menepuk-nepuk kepala mayat sambil berbongkok bagaikan berbisik ke telinga.
Dalam masa beberapa saat sahaja kain kafan itu mula be rgerak-gerak. Bagaikan tidak percaya Wak Samin tatkala melihat kain kafan bergerak-gcrak itu terbuka, lantas keluar sekor anak harimau melentik-lentikkan badan. Tidak bertangguh harimau besar itu menjilat-jilat tubuh anak harimau itu seperti mandikan anak sendiri.
Setelah menolak semula kain kafan ke dalam lubang yang digali, harimau besar itu meninggalkan kawasan kubur. Anak harimau itu bergerak perlahan mengikut harimau besar itu hilang di tengah belukar.
Memang menitik air mata Wak Samin apabila tiga bulan selepas itu orang-orang kampung gempar melihat seekor harimau beratib di atas madrasah Tok Malim Uduh, betul-betul di tempat duduk tuan guru itu sering menunaikan solat sunat.
Apabila diberitahu kepada anak Tok Malim Uduh yang mengambil alih madrasah ayahnya itu, Haji Mat Tahir tidak merasa hairan apa-apa. Dia terus tercegat di sisi harirnau itu lantas menepuk-nepuk bahunya.
"Ayah, janganlah takutkan penduduk kampung, dunia kita dah berlainan," ujar Haji Mat Tahir lantas mengajak harimau itu meninggalkan madrasah. Sampai ke pinggir hutan Haji Mat Tahir memimpin harimau berkenaan memintanya supaya tidak jejak kaki lagi di tengah madrasah.
Semenjak itu pula orang-orang kampung tidak lagi melihat harimau beratib di tengah madrasah. Di depan Haji Mat Tahir sendiri Wak Samin mengaku kesalahannya tidak memenuhi amanah gurunya. Kalau dia teruskan membaca surah Yassin tujuh malam berturut-turut di atas kubur Tok Malim dia percaya gurunya tidak akan menerima nasib demikian.
Tahu benar Wak Samin, memang gurunya tidak berniat mahu amalkan amalan demikian. Tatkala kampung mereka diganggu harimau jadian yang menjelma mencuri ternakan, masing-masing diselubungi ketakutan. Siapa pun tidak berani turun ke tanah di tengah malam sekiranya ternakan dicuri harimau jadian.
Menentang harimau jadian tidak sama dengan harimau ganas menyerbu dari tengah hutan. Bila-bila mereka boleh perangkap sekiranya harimau ganas dari hutan menyerbu masuk ke kampung. Tetapi harimau jadian tidak akan masuk perangkap. Kalau dikurung pun dia boleh lepaskan diri macam belut tidak boleh digenggam.
Saat inilah Tok Malim Uduh menjelmakan dirinya menjadi harimau yang mengawal kampung. Asal sahaja harimau jadian menerpa ke kandang ternakan, Tok Malim Uduh akan menghambat. Sekiranya dia menghambur tinggi ke udara, dengan pantas pula Tok Malik Uduh menghambur sama.
Cubalah harimau jadian itu menghilangkan diri, nescaya dapat dikesan oleh Tok Malim Uduh. Ke mana pun harimau jadian yang mengganggu cuba bersembunyi, memang tidak dapat melepaskan diri daripada buruan Tok Malim Uduh. Tahu sangat Wak Samin gurunya tidak gunakan amalan itu untuk keburukan, tetapi semata-mata membantu penduduk kampung.
"Wak, memang bersalah pada Tok Malim Uduh," keluh Wak Samin apabila kenangkan kejadian yang menyayat hati itu. "Dia orang baik, tapi amalannya menyebabkan dia jadi begitu," tergenang air di pelupuk mata-nya asal sahaja menyebut nama gurunya itu.
Saya juga tertunduk menahan rasa keharuan yang menusuk. Terasa juga sebak di dada apabila Wak Samin ceritakan semula kejadian yang menimpa gurunya Tok Malim Uduh itu.