Untuk mengetahui lebih lanjut beberapa
pengalamannya, Pak Musid sengaja mengajak saya mendekut burung wak-wak ini,
bolehlah melunturkan semangat saya supaya tidak lagi berkeras mahu menuntut
ilmu kebatinan darinya.
Memang Pak Musid tidak suka saya mahu menuntut ilmu
darinya. Dia sendiri enggan
mengajarkan. Sebab itu dia cuba
menceritakan kepada saya pengalaman-pengalaman ganjil yang pernah dialaminya
itu.
“Kita mendekut mesti cari tempat lapang….” Katanya
pada satu malam yang gelap gelita.
“Kalau di tempat banyak pokok burung-burung itu akan hinggap di atas
pokok, dia tidak turun ke tanah,”
jelasnya sambil membelek-belek buluh peniup untuk mendekut.
“Dari mana burung wak-wak ni datang?” Tanya saya, kerana menurut cerita Pak Musid
apabila buluh mendekut itu di tiup beribu-ribu ekar burung wak-wak akan datang
menyerbu.
“Dia tu macam binatang ternak dalam reban,” ujarnya mendongak ke langit yang hitam
gelap. “Bila kita tiup buluh mendekut
ni, terbukalah pintu rebannya. Jadi mereka
pun datang mencari bunyi dekut kita ni…” dia menambah.
Teringin juga saya mahu melihat bagaimana Pak Musid
mendekut burung wak-wak. Saya di
beritahu burung tersebut akan datang seperti ayam yang jinak mengikut cahaya
lampu suluh di tangan. Kemudian dengan
mudah kita boleh menangkapnya dengan tangan.
Tetapi ada juga orang-orang yang tidak sabar
menggunakan tangguk untuk menangkap burung wak-wak ini. Kadangkala mereka mendapat dua tiga guni
sekali mendekut. Setiap malam mereka
akan mendekut burung wak-wak itu, kemudian menjualnya kepada peraih-peraih
Cina.
“Ertinya, adalah orang yang mengembala burung ni
Pak Musid?” soal saya.
Pak Musid mengangguk kepala. “Semua binatang liar tu ada gembala, sebab
itu kita minta izin kalau mahu menangkapnya…” ujarnya perlahan.
“Apa yang menyebabkan tuan yang menggembala itu
boleh marah?” saya ingin tahu.
“Macam kita jugalah…..” jelas Pak Musid mengajak saya ke tengah sawah
mencari tempat yang lapang. “Binatang
ternak kita kalau dicuri orang tentu kita marah, kalau orang minta pun mestilah
dengan cara jual beli. Kalau mencuri hak
dia tentulah dia marah,” katanya lagi.
Malam bertambah gelap. Segaja Pak Musid menetapkan waktu malam gelap
untuk mengajak saya mendekut wak-wak itu.
Burung wak-wak ini tidak mungkin datang kalau bulan gelap. Lagi pun dia mudah lari kalau nampak bayang
manusia.
“Wak-wak yang kita dekut ni tidak sama dengan
wak-wak yang ada di sawah. Wak-wak sawah
tubuhnya besar sedikit, tapi wak-wak yang ini tubuhnya kecil,” Pak Musid memberitahu.
Kami sampai di tengah sawah sambil mendongak ke
langit. Saya memegang lampu suluh panjang
sambung ubat enam. Lama Pak Musid
mendongak ke langit barulah dia menghentak-hentak tumit ke tanah. Dia tidak terus meniup buluh khas untuk
mendekut itu.
Pak Musid menyuruh saya mengikut dia sama
menyangkung di tanah. Takut juga saya
mahu menyangkung kerana bimbangkan pacat masuk ke dalam seluar. Tetapi biasanya kalau sawah kering jarang ada
pacat di situ.
Keadaan malam yang gelap gelita itu juga cukup
mendebarkan. Maklumlah saya belum pernah
lagi mengikut Pak Musid mendekut. Pernah
juga saya mendengar cerita dari Pak Musid mengenai Jidin Bacul yang mendekut
burung wak-wak ini.
Seperti sana juga, Jidin Bacul berharap Pak Musid
supaya mengajarkan dia ilmu mendekut burung wak-wak ini. Disebabkan Jidin Bacul sudah biasa dengan Pak
Musid, malah mereka pernah sama-sama ke hutan bersama Pak Tua Mahat, maka
tidaklah menjadi keberatan kepada Pak Musid menurunkan ilmu yang ada di dada
kepada Jidin Bacul.
Dengan berbekalkan ilmu yang diberi Pak Musid,
hanya beberapa waktu saja Jidin Bacul sudah dikenali sebagai ahli mendekut
burung wak-wak di kampung itu. Tiap-tiap
malam dia mendapat dua karung sarat berisi burung wak-wak ini. Burung-burung ini di jualnya borong kepada
seorang peraih Cina dengan harga 50 sen seekor.
“Tak baik kau buat macam tu, Jidin,” Pak Musid mengingat dia.
“Ah, sikit-sikit aje Pak Musid,” sahut Jidin Bacul cuba menyembunyikan
kegiatannya dari Pak Musid.
“Aku dengar tiap-tiap malam kau kerjakan,” sindir Pak Musid.
“Hah, cakap orang aje Pak Musid,” Jidin Bacul berdalih. “takkan saya berni melanggar pantang,” jelasnya lagi.
“Terpulanglah pada kau Jidin. Benda salah lambat laun makan diri
juga,’ Pak Musid mengingatkan Jidin
Bacul.
Sejak itu tidak adalah lagi Pak Musid
menegurnya. Terpulanglah pada Jidin
Bacul sendiri sama ada mahu meneruskan perbuatan mendekut burung wak-wak itu
setiap malam atau tidak. Pak Musid sudah
mengingatkan bahayanya kalau terlalu tamak.
Perbuatan Jidin Bacul mencari wang dengan
menjualkan burung wak-wak yang diperolehinya itu memang tidak menyenangkan hati
Pak Musid. Dia sudah menegahnya, tetapi
Jidin Bacul tidak menghiraukan nasihatnya.
Ketika menurunkan ilmunya kepada Jidin Bacul sudah
disyaratkan supaya tidak menyalah-gunakan ilmu tersebut. Tetapi ternyata Jidin Bacul melanggar syarat
itu. Dia terus juga mendekut burung
wak-wak ini setiap malam, kerana ada peraih yang sanggup membeli darinya.
Untuk memudahkan kerjanya dia mengajak pula bapa
saudara saya Usu Khatibah membantunya.
Usu Khatib memanglah suka pergi mendekut burung wak-wak ini, apalagi
mendapat wang yang lumayan pula. Satu
karung itu berisi kira-kira 50 ke 60 ekor burung wak-wak. Bayangkanlah berapakah yang mereka perolehi
kalau seekor dijual dengan harga 50 sen.
Satu malam Usu Khatib mengajak Jidin Bacul memasang
jaring di sepanjang sawah. Dengan cara
ini burung-burung berkenaan akan tersangkut pada jaring. Mereka akan mendapat lebih banyak lagi kalau
dibandingkan dengan menggunakan tangguk.
Sebenarnya Usu Khatib pun memang berkebolehan dalam
mendekut burung wak-wak ini. Ada juga
dia belajar dari Pak Tua Mahat. Di
samping itu dia juga rajin menuntut ilmu sampai bertapa ke hutan-hutan. Sama ada juga dia lebih handal dari Pak Tua
Mahat atau tidak, saya kurang pasti pula.
Pada mulanya Jidin Bacul yang mendekut, tetapi bila
burung wak-wak sudah mula menyerbu beratus-ratus ekor, Usu Khatib pula meniup buluh mendekut
itu. Jidin Bacul yang memungut burung
wak-wak yang tersangkut pada jarring,
Ketika burung-burung bertempiaran menyerbu jaring
Jidin Bacul terdengar bunyi orang mendehem.
Pada sangkanya Usu Khatib yang mendehem di dalam gelap gelita. Tetapi Usu khatib sudah pun mendengar bunyi
orang mendehem itu jauh di udara.
“Jidin, balik kita.
Jangan tunggu lagi, geruh kita,”
laung Usu Khatib yang berada kira-kira setengah rantai dari tempat Jidin
Bacul memungut burung wak-wak tersangkut di jaring itu.
Laungan Usu Khatib tidak didengar oleh Jidin
Bacul. Dia terus juga memungut
burung-burung tersangkut dimasukkan ke dalam karung. Setakat itu sudah dua karung penuh diisi
dengan burung wak-wak.
“Cukuplah Jidin, mari kita balik. Orang tua dah menegur di atas,” pekik Usu Khatib lagi.
Tetapi suara Usu Khatib tenggelam di dalam
keghairahan Jidin Bacul hendak menangkap burung wak-wak lebih banyak. Perasaan tamak sudah bersarang di hatinya
apabila mendapati banyak burung wak-wak tersangkut pada jaring yang terentang.
“Balik kita Jidin, cukuplah tu,” Usu Khatib memanggilnya. Tetapi dia nampak lampu suluh Jidin Bacul
tidak juga bergerak mendapatkan dia. Marah
juga Usu Khatib kerana Jidin Bacul berdegil mahu memungut lagi burung-burung
tersebut.
Bunyi dehem orang bergaung lagi di udara. Usu Khatib mula merasa bimbang. Dia tidak berani mendekati sinar lampu suluh
yang dipegang oleh Jidin Bacul.
“Padamkan lampu Jidin, kita balik sekarang. Cukuplah yang dapat tu….” Dia melaung sekuat hatinya.
Puas Usu Khatib memanggil namun Jidin Bacul tidak
juga mempedulikan. Lampu suluhnya tetap
terpasang menyilau keatas ke bawah menyuluh jaring yang terentang. Burung wak-wak menggelupur tersangkut pada
jaring tersebut. Jidin Bacul terlalu
gembira kerana banyak dapat menangkap burung wak-wak itu.
Bunyi dehem orang semakin garang. Usu Khatib mendongak ke langit memerhati awan
gelap di udara. Dia nampak gumpalan awan
hitam itu berputar-putar seperti bola menggolek. Apabila gumpalan awan tadi menerpa kearah
jaring sinar lampu suluh ditangan Jidin Bacul menyilau kearahnya.
Usu Khatib nampak satu lembaga orang berkepala
botak merempuh ke dalam jaring. Serentak
dengan itu dia terdengar Jidin Bacul menjerit.
Lampu suluh di tangannya juga terpelanting jatuh. Lama Usu Khatib memerhati kearah tempat Jidin
Bacul memungut burung wak-wak tersangkut di jaring.
“Jidin….”
Laung Usu Khatib dari jauh.
Jidin Bacul tidak menyahut. Silau lampu suluhnya tidak lagi menyuluh
keatas ke bawah. Cepat-cepat Usu Khatib
mara ke tempat Jidin Bacul tadi.
Sesampai saja dia di situ didapatinya lampu suluh panjang sambung enam
sudah terpelanting ke tanah. Dia
mencapai lampu tersebut sambil menyuluh mencari Jidin Bacul.
Tiba-tiba dilihatnya Jidin Bacul terbaring
ditanah. Mulutnya berbuih-buih. Tangannya mengepak-gepak macam burung wak-wak
menggelupur pada jaring. Usu Khatib
mendapati jaring yang terentang juga sudah roboh seperti kena rempuh.
Tidak ada seekor pun burung wak-wak tersangkut pada
jaringnya. Di dalam karung yang diisi oleh Jidin Bacul tadi, masih ada lagi
burung wak-wak menggelupur. Usu Khatib
membukakan iktan karung sambil melepaskan burung-burung yang ada di dalamnya.
Bagaimana pun karung yang satu lagi tetap di
ambilnya. Dengan bersusah payah dia
memapah Jidin Bacul balik ke rumah.
Esoknya gemparlah sebuah kampung mendengar berita Jidin Bacul pengsan
ketika mendekut burung wak-wak di tengah sawah.
Jidin Bacul hanya terkejang saja di tengah rumah
tidak dapat bercakap. Mulutnya
terkancing, kaki tangannya kejang, nafasnya turun naik kencang.
Masuk minggu yang pertama Jidin Bacul terkejang
saja di tengah rumah, isterinya pun memanggil Pak Tua Mahat dan Pak Musid. Dia menceritakan kepada Pak Tua Mahat apa
yang telah berlaku seperti yang diberitahu oleh Usu Khatib.
“Khatib dah cuba mengubatnya, tapi nampaknya tak
juga berubah,” beritahu isteri Jidin
Bacul.
“Nampaknya Jidin ni pasang kenanya. Tak boleh dengan air sejuk atau kain hitam
aje….” Ujar Pak Tua Mahat.
“Habis, kena simah ke?” Tanya isteri Jidin Bacul bercampur bimbang.
“Nak simah dengan apa…?” gerutu Pak Tua Mahat menampar-nampar tapak
tangan kepada kepala lutut. “Perkara ni
bukan fasal simah, bukan fasal nasi kunyit ayam panggang, bukan fasal tabur
bertih,” rungutnya macam menyesali sikap
degil adiknya Usu Khatib dan Jidin Bacul mendekut wak-wak.
“Jadi, apa kita nak buat sekarang?” isteri Jidin
Bacul semakin cemas.
“Ini perkara dah terlanjut,” sahut Pak Musid pula. Hatinya memang terkilan kerana Jidin Bacul
tidak menghiraukan tegahan dia supaya jangan mendekut lagi.
“Kalau dah terlanjur, kita nak biarkan Jidin macam
ni aje ke…?” tangis isteri Jidin Bacul
mula menusuk.
“Kenalah kita ikhtiar,” sahut Pak Tua Mahat mententeramkan hati
perempuan itu. “Tetapi melepaskan
perkara dah terlanjut tidak sama dengan macam yang belum terlanjut,” ujarnya mengeluh kesal.
Jidin Bacul terlentang juga di tengah rumah. Mulutnya tetap terkancing tangan kakinya
tetap terkejang. Nafasnya tetap kencang
turun naik.
“Nampaknya awak kenalah ditidurkan, Musid,” Pak Tua Mahat memandang kearah Pak
Musid. Kata-kata Pak Tua Mahat itu
difahami oleh Pak Musid. Bererti dia
terpaksa membantu Pak Tua Mahat secara kebatinan keluar dari tubuhnya mencari
punca sakit yang dihadapi oleh Jidin Bacul itu.
Pak Musid menganggukkan kepalanya tanda bersetuju.
Pada malam ditetapkan untuk mengubat Jidin Bacul,
orang-orang kampung semua datang untuk menyaksikan. Masa ini saya masih budak-budak lagi, tetapi
saya dapat ingat bagaimana pengubatan itu dibuat. Bagaimanpun saya tidaklah tahu hujung
pangkalnya.
Apabila saya sudah dewasa dan mendengar cerita dari
Pak Musid barulah saya memahami akan kejadian beberapa tahu lampau.
Pak Musid diminta berdiri tegak berhampiran dengan
Jidin Bacul terbaring. Kemudian Pak Tua
Mahat menyuruh Pak Musid merenung tapak tangannya yang diangkat tinggi
melangkaui kepala. Beberapa minit
kemudian Pak Musid tersentak-sentak lalu rebah sambil disambut oleh Usu Khatib.
Semua orang yang ada di situ melihat Pak Musid
tidur tidak sedarkan diri lagi.
“Keluar kau Musid, keluar dari jasad…..” perintah Pak Tua Mahat. “Kau dengar apa yang aku suruh, dan buat apa
yang suruh,” katanya memberi arahan.
Pak Musid yang terlentang tidak sedarkan diri tidak
bercakap apa-apa.
“Keluar kau Musid, keluar dari jasad,” Pak Tua Mahat mengulangi.
“Aku dah keluar….” Sahut Pak Musid terketar-ketar.
“Kau nampak Jidin di hujung kaki kau?” soal Pak Tua Mahat memegang pergelangan
tangan Pak Musid. Sepanjang dia mengubat
itu tangannya tidak lepas dari memegang pergelangan tangan Pak Musid.
“Nampak…” jawab Pak Musid.
“Kenapa Jidin tu?”
Tanya Pak Tua Mahat lagi.
“Dia kena kurung dalam sangkar,” Pak Musid memberitahu.
“Sekarang kau pergi lepaskan Jidin, bawa dia balik
ke mari,” ujar Pak Tua Mahat macam
memberi perintah.
Ketika ini orang-orang yang melihat Pak Tua Mahat
mengubat itu, dapat melihat Pak Musid mendengus-dengus saja. Dia hanya terlentang saja seperti orang tidur
yang tidak sedar apa-apa.
Sebenarnya masa ini orang tidak tahu bahawa jasad
Pak Musid saja yang mereka lihat tidur di situ.
Pak Musid sebetulnya sudah mengembara jauh dengan dipandu oleh Pak Tua
Mahat. Dia merasakan dirinya berada di
atas tengkuk Pak Tua Mahat melayang di udara.
Dia sampai ke satu kawasan hutan yang jauh. Apabila sampai di kawasan lapang dia melihat
Jidin Bacul sedang dikurung dalam sangkar yang diperbuat dari ruyung
nibung. Seorang lembaga hitam berkepala
botak menunggu di luar sangkar tersebut.
Bagaimanapun Pak Musid tidak boleh bertindak sesuka
hati. Dia hanya mendengar suara Pak Tua
Mahat saja memerintahkan dia melakukan itu dan ini.
“Keluarkan Jidin….”
Suara Pak Tua Mahat sayup-sayup di cupingnya, walaupun ketika itu dia
sedang duduk di atas tengkuk Pak Tua Mahat.
Dia turun dari tengkuk Pak Tua Mahat lalu menerpa
kearah lembaga hitam berkepala botak itu.
“Tak boleh, orang yang jaganya lebih besar dari
aku,” Pak Musid memberi tahu.
“Besarkan tubuh kau, besarkan lebih sekali ganda
dari dia,” dia mendengar Pak Tua Mahat
membisikkan ke telinganya sambil meniup perlahan di ubun-ubunnya. Ketika ini Pak Musid merasa tubuhnya menjadi
besar, lebih sekali ganda dari tubuh lembaga hitam berkepala botak itu.
Pak Musid mendekati lembaga berkenaan.
“Aku Musid…..”
kata Pak Musid bercekak pinggang merenung muka lembaga hitam berkepala
botak. “Lepaskan Jidin, kalau tidak kau
binasa,” jerkahnya macam mengugut.
“Dia yang punahkan gembala aku!” sahut lembaga hitam berkenaan.
“Kalau gembala kau punah kenapa tak minta ganti,
kenapa kau kurung Jidin. Kau nak tunjuk
keras kepala dengan anak cucu Malim Kerimun,”
Pak Musid semakin garang.
“Dia tak mahu ganti,” jelas lembaga hitam itu.
“Sekarang aku bagi kata dua, kau nak lepaskan Jidin
atau tidak!” dia menampar muka lembaga
berkepala botak itu. Lembaga itu cuba
bangun melawan, tetapi setiap kali dia mahu menerkam kearah Pak Musid, dirinya
terpelanting dihembus oleh Pak Tua Mahat.
“Mentang-mentang kau dijaga To’ Pawang, berani kau
menampar aku,” jerit lembaga hitam
berkepala botak itu terlalu marah.
“Kau nak rasa lagi tangan aku. Nanti aku besarkan lagi badan aku, tubuh
halus menusia boleh besar berganda-ganda, tidak macam tubuh halus setan. Tubuh kau besar ada had batasnya. Cuba besarkan tubuh kau….” Herdik Pak Tua Mahat membesarkan tubuhnya
sekali ganda lagi.
“Cukup,cukup!
Jangan besarkan tubuh halus kau,”
lembaga berkenaan macam merayu minta pertolongan.
“Sekarang kau nak lepaskan Jidin atau tidak?” Pak Musid menghentakkan kakinya ke tanah
sampai bergegar. Lembaga hitam itu
terhoyong hayang setiap kali Pak Musid menghentakkan kaki.
“Manusia tak boleh di lawan berjanji….!” Rungut lembaga itu geram.
“Setan yang tak boleh lawan berjanji,” sahut Pak Musid keras.
“Manusia tamak…..!”
sambut lembaga berkenaan masih berkeras tidak mahu melepaskan Jidin yang
terkurung di dalam sangkar ruyung nibung.
“Aku tak hendak layan kau. Sekarang kau nak lepaskan Jidin atau
tidak?” ugut Pak Musid sambil
menghentakkan kakinya.
Kemudian Pak Musid terdengar suara Pak Tua Mahat
menyuruh di membaca ayat Kursi. Pak Tua
Mahat menyuruh dia hembuskan kepada lembaga hitam itu. Pak Musid menghembusnya.
Dia melihat lembaga hitam berkepala botak itu
terbakar hangus. Menggelupur menjerit
meminta pertolongan. Tetapi tidak siapa
pun datang menolongnya. Pagar sangkar
yang diperbuat dari ruyung nibung itu juga terbakar. Pak Musid nampak Jidin mula bangun dan keluar
dari sangkar tersebut.
“Sekarang kau balik Musid….” Dia terdengar namanya diseru oleh Pak Tua
Mahat. Dia terasa tubuhnya melayang naik
keatas tengkuk Pak Tua Mahat.
“Masuk semula perlahan-lahan ke dalam tubuh kau,
Musid,” perintah Pak Tua Mahat.
Dia nampak tubuhnya terbaring dihadapan orang-orang
kampung. Kemudian perlahan-lahan dia
masuk melalui ubun-ubunnya langsung lenyap tidak diketahuinya lagi. Tiba-tiba saja dia terbangun dari
tidurnya. Semuanya berlaku seperti mimpi
saja kepada Pak Musid.
Apabila dibangun dari tidurnya semula, didapatinya
Jidin Bacul sudah sedar dari pengsan sejak seminggu lalu. Bidin bacul sudah meminta air untuk minum.
Kerana peristiwa itu berlaku bertahun-tahun dulu,
sejak saya masih kecil, tidaklah saya tahu dengan jelas bagaimana Pak Musid
tertidur dan bercakap di dalam tidurnya.
Hampir satu jam dia tertidur, tiba-tiba saja Jidin Bacul boleh sedar
dari pengsan.
Kejadian ini tentulah mengherankan orang-orang
kampung. Tetapi pada Pak Musid dan Pak
Tua Mahat kejadian ini perkara biasa saja.
Di dalam ilmu kebatinan tidak ada yang mengherankan.
“Selagi manusia sudah kenal pada dirinya, tak ada
apa yang perlu dibimbangkannya,’ ujar
Pak Musid sambil meminta saya memadamkan lampu suluh di tangan.
Malam gelap tidak kelihatan apa-apa, kecuali
kawasan bukit dan kampung di darat sawah yang berbalam-balam. Pak Musid mula meniup buluh mendekutnya. “Kuakkk…kuakkk….kuakk….”
dia meniup berulang kali.
dia meniup berulang kali.
Kemudian saya mendengar bunyi seperti angin kencang
bertiup dari awan. Saya menjangkakan
hujan akan turun. Tiba-tiba seekor
burung hinggap di atas baju menyebabkan saya terkejut. Tetapi Pak Musid cepat-cepat menangkap burung
tersebut.
“Bolehlah kita makan gulai wak-wak….” Dia menepuk
bahu saya sambil mencapai lampu suluh di tangan saya. Selepas itu beberapa ekor lagi burung wak-wak
datang menyerbu kearah lampu suluh yang menyilau.
SELESAI
Tinggi bahasa mcm bahasa melayu klasik
ReplyDeletecerita menarik...mendekut wak wak..
ReplyDeletesy pn pnh dengar cite dr aruah nenek sy yg wak2 ni ade gembalanye..