Tuesday, April 12, 2016

171. KATIL DITOLAK HANTU JERANGKUNG



TIDAK siapa pun berani menyewa rumah tersergam di pinggir bukit berhampiran kawasan perumahan itu, sekalipun sewanya lebih murah. Kalau ada pun orang menyewa rumah tersebut sekadar untuk tempoh dua tiga malam sahaja. Mereka akan berpindah dengan tidak memberitahu tuan rumah sebab-sebab mereka mengambil keputusan berpindah.

Biarlah mereka sudah bayar cengkeram dengan sewanya sebulan kepada tuan rumah. Tidak perlu mereka meminta balik wang tersebut disebabkan berpindah dengan tidak memberi sebab apa-apa.

Tetapi adik saya berkeras juga mahu menyewa di situ. Ketika menemui Abang Simek tuan punya rumah itu, dia sudah diingatkan fasal rumah berkenaan berhantu. Abang Simek sendiri tidak tahu bagaimana keadaan yang dialami penyewa sampai dikatakan rumah itu berhantu sejak beberapa lama.

Setiap kali Abang Simek masuk ke rumah peninggalan emaknya itu, tidak pula dia terserempak dengan keganjilan apa-apa.Kadangkala memang banyak sawang tersangkut disebabkan lama tidak bertunggu. Apabila dibersihkan semua sawang itu, rumah berkenaan nampak kemas juga.

"Cikgu duduk ajelah dulu," ujar Abang Simek tidak mahu menerima apa-apa bayaran daripada adik saya. "Banyak orang kata rumah ni berhantu, sebab itu takut saya nak sewakan," jelasnya disebabkan adik saya mendesak sangat mahu menyewa di situ.

"Abang Simek percayakan hantu?" tersengih-sengih adik saya mengusiknya. Memang dia sudah diberitahu oleh kawannya mengenai rumah sewa yang dikatakan berhantu itu sampai tidak siapa pun berani mahu menyewanya.

"Entahlah, saya tak pernah lagi jumpa hantu!" sahut Abang Simek bergurau. Dia sendiri tidak mahu adik saya akan menyalahkan dia kerana tidak mahu memberitahu mengenai kedudukan rumah tersebut.

Memang rumah peninggalan arwah emaknya itu besar mempunyai empat bilik tidur, ruang tamu yang luas dan ruang makan di dapur.Tetapi adik beradik Abang Simek tidak mahu tinggal di rumah itu.Malah adiknya Salbiah sudah beberapa kali mendesak supaya dijualkan sahaja.Apalagi setelah didirikan kawasan perumahan berhampiran rumah peninggalan arwah emaknya itu.

Biarlah siapa pun mendesak, Abang Simek tidak akan jualkan. Rumah itu terletak di pinggir bukit.Harganya lebih mahal dari rumah yang tersergam di kawasan perumahan. Dia tetap pertahankan rumah peninggalan itu kerana dibina daripada penat lelah arwah emaknya.

Hanya selepas beberapa tahun sebelum itu sahaja, tidak siapa lagi menyewa rumah berkenaan. Selepas keluarga Cina berpindah apabila menyewanya dua hari sahaja, sudah lebih lima tahun rumah berkenaan tidak diduduki orang. Terpaksalah Abang Simek menjaganya supaya rumah peninggalan emaknya tidak terbiar begitu sahaja.

Memang amanah arwah emaknya meminta dia jaga baik-baik rumah berkenaan. Sebab itu Abang Simek tidak tergamak mahu membelakangkan amanah arwah emaknya.

"Saya tak mahu ambil sewa, cikgu," ulangi Abang Simek apabila ditanyakan mengenai sewanya."Cikgu duduk dulu, kalau selesa baru kita kira fasal sewa," tegasnya tidak berani mahu menetapkan sewa rumah tersebut.

"Kalau saya lari tengah malam?" semakin galak adik saya mengusiknya setelah melihat sendiri keadaan rumah batu yang tersergam besar itu.

"Ah, kalau dua hari duduk, cikgu lari takkan saya rugi," ketawa memanjang Abang Simek dengan usikan adik saya.

Bimbang juga dia sekiranya adik saya akan berpindah tergesa-gesa dalam tempoh hari, kalau dia mengambil cengkeram dan sewa sebulan. Keluarga Cina itu terpaksa berpindah setelah katil tidurnya tiba-tiba dialih ke tengah padang.

Hairan benar keluarga Cina itu kerana pintu bilik tidur terkunci rapat dari dalam. Kalau katilnya diangkat keluar bagaimana memindahkan kalau pintu bilik tidak dibuka. Masakan perbuatan manusia memindahkan katil besar dari bilik tidur ke tengah padang.

Abang Simek sendiri melihat katil tidur keluarga Cina di tengah padang di luar pagar. Pintu pagar juga terkunci dengan tidak tersentuh sedikit pun. Nasib keluarga Cina itu lebih baik kalau bandingkan keluarga India yang menyewa sebelumnya, apabila katilnya dipindahkan ke atas bumbung rumah.

Terjerit-jerit India itu suami isteri memanggil Abang Simek. Ketika menjengah di tingkat memang terkejut juga Abang Simek memerhati ke bumbung rumah peninggalan emaknya. Bagaimana keluarga India itu boleh pindahkan katil ke atas bumbung atap.

"Macam mana awak boleh naik atas bumbung?" Abang Simek macam tidak percaya dengan kejadian yang menimpa keluarga India berkenaan. "Saya pun tak tahu, abang Simek," keluh lelaki India itu menggeleng kepala.

"Ada orang angkat ke?" semakin hairan Abang Simek setelah membantu menurunkan katil dari atas bumbung. Terpaksa pula dibuka dahulu untuk menurunkan katil berkenaan.

"Saya mimpi macam ini katil terbang," jelas isteri India itu apabila kenangkan mimpinya. Dia sendiri tidak menyangka katil tersebut naik ke atas bumbung kalau takat bermimpi terbang ke udara. Tidak ada ruang di mana pun katil berkenaan boleh bolos di mana-mana.

Sudah berkali-kali kejadian tersebut berlaku, tidak pernah pula Abang Simek bermimpi perkara-perkara ganjil. Tidak tahu di mana silapnya dia sampai rumah peninggalan arwah emaknya itu diganggu demikian.

Semenjak kejadian tersebut berulang-ulang memang tidak berani lagi orang mahu menyewa.Kalau ada orang mahu menyewa, Abang Simek berterus terang memberitahu mengenai pengalaman penyewa-penyewa sebelumnya.

Disebabkan adik saya berkeras mahu menyewa sekalipun sudah diberitahu sebab-sebab orang takut menyewanya, Abang Simek tidak melarang apa-apa. Sebab itu dia tidak mahu tetapkan sewanya. Biarlah adik saya duduk di-situ dulu.

Sampai tiga bulan adik saya menyewa di rumah berkenaan, Abang Simek masih juga tidak mahu mengambil sewanya. Pagi-pagi apabila membuka jendela rumahnya, dia menjengah juga ke rumah sewa adik saya. Tidak ada pula kejadian ganjil menimpa keluarga adik saya se-menjak mereka berpindah ke situ.

"Cikgu tak ada terserempakapa-apa ke?” sengaja Abang Simek bertanya sewaktu berbual di tepi pagar.

"Terserempak apa pula?" tersengih-sengih adik saya kerana dapat menduga apa sebenarnya yang tersirat di hati Abang Simek.

"Orang kata rumah ni berhantu," lantas sahaja Abang Simek ingatkan adik saya dengan kejadian yang menimpa penyewa-penyewa sebelum itu.

"Nampaknya, tak mahu pula hantu-hantu tu ganggu saya," ujar adik saya masih juga mahu bergurau.

Jiran-jiran Abang Simek juga hairan kerana adik saya tidak mengalami apa-apa gangguan semenjak menyewa rumah berkenaan. Katil tidur tidak pernah dialihkan ke luar rumah.

Memang Abang Simek tidak tetapkan sewa rumah berkenaan, tetapi adik saya bayar juga sama seperti penyewa sebelumnya. Sekalipun berat hati Abang Simek mahu menerima, namun dia bersyukur juga kerana tidak ada lagi gangguan berlaku ke atas penyewanya.

Semenjak adik saya menyewa di rumah arwah emak Abang Simek tidak ramai jiran-jiran datang berkunjung. Kadangkala sengaja dia duduk ditembok tepi pagar tatkala petang selepas asar, tetapi siapa pun tidak singgah di situ berbual-bual.

Hanya balik dari surau di kawasan perumahan itu sahaja dia sempat berbual-bual dengan Japar Gonjeng. Apabila disebut mengenai rumah yang disewa, Japar Gonjeng juga enggan memberitahu apa-apa. Manalah tahu adik saya tidak akan percaya dengan penjelasannya.

Setelah beberapa kali mereka balik sama-sama dari surau, barulah Japar Gonjeng menerangkan fasal dia pernah terserempak tulang rangka manusia berjalan-jalan keliling rumah. Sampai seminggu Japar Gonjeng demam seram-seram sejuk akibat terkejut melihat tulang rangka manusia merayau-rayau di halaman rumah tatkala malam tengah bulan mengambang penuh.

"Dah dua kali saya nampak, cikgu," ujar Japar Gonjeng hingga terasa bulu roma meremang.

"Abang Japar tak beritahu sesiapa?" soal adik saya mahu mempastikan.

"Saya tak cakap dengan siapa pun," jelas Japar Gonjeng perlahan mula diselubungi takut. "Manalah orang nak percaya, sekarang ni zaman moden, bukannya macam dulu," tersengih-sengih dia kerana bimbang dituduh mereka-reka cerita dongeng sahaja.

"Macam mana kalau kita tunggu dia menjelma?" lantas adik saya mendesaknya supaya lelaki itu tidak takut apa-apa.

"Entahlah," keluh Japar Gonjeng macam mahu mengelak kerana tidak mahu menempah bahaya. Apa perlunya dia mengendap rangka tulang seperti jerangkung itu semata-mata mahu membuktikan dia bercakap  benar.

"Manalah tahu kita akan jumpa dia," semakin ghairah adik saya mahu sangat terserempak lembaga rangka manusia berjalan di tengah halaman rumah.

"Cikgu tak takut ke?" soal Japar Gonjeng perlahan.Memang dia menyedari adik saya sudah tiga bulan bertahan menyewa di situ. Masakan adik saya takut tidak menentu kalau bandingkan dengan orang yang pernah menyewa hanya bertahan takat dua atau tiga malam sahaja.

"Buat apa takut Abang Japar?" pujuk adik saya supaya Japar Gonjeng bersetuju mahu mengendap tatkala bulan tengah mengambang penuh. "Yang Maha Berkuasa hanya Allah," dia terus mendesak lelaki itu biar tunjukkan tempat di mana terserempak lembaga berkenaan.

Disebabkan adik saya tidak bimbang apa-apa, Japar Gonjeng juga bersetuju menunggu bulan mengambang penuh. Bukan Japar Gonjeng sahaja tergerak hati mahu mengendap bersama adik saya, malah Abang Simek juga sanggup.

Abang Simek juga mahu melihat sendiri apa sebenarnya berlaku ke atas rumah peninggalan arwah emaknya. Kalau benar rumah itu berhantu tentu membabitkan arwah emaknya juga. Tahu sangat Abang Simek emaknya tidak pernah amalkan apa-apa.

Harta peninggalan emaknya juga bukanlah pesaka yang di turunkan dari keluarga.Semenjak ayahnya meninggal dunia, tahu sangat Abang Simek kegigihan emaknya. Asal sahaja bangun tidur, emaknya tidak banyak memikirkan perkara lain.  Dia akan terus ke pekan sehari berniaga sampai santak tengah hari.

Petang emaknya akan ke sawah tidak peduli apa-apa.  Abang Simek dan adiknya Salbiah akan ikut sahaja emaknya ke mana pun sekiranya tidak bersekolah.  Memang Abang Simek emaknya tidak pernah amalkan apa-apa pun amalan.

“Kita cari tempat gelap,”  bisik Abang Simek setelah mereka bertiga berkumpul di penjuru pagar.

“Isteri cikgu, macam mana?”bisik Japar Gonjeng terlangah-langah memerhati ke tengah halaman.  Bimbang juga dia kalau isteri adik saya pula menjadi sasaran apabila mereka mengedap di penjuru pagar.

“Tak apalah,”  ujar adik saya asal sahaja dapat mempastikan kejadian yang selama ini berlaku di situ.  Dia sendiri tidak memberitahu apa-apa kepada isterinya, sekalipun Leha juga tahu mengenai kejadian yang belaku di  rumah sewa berkenaan.

Sehingga jam dua belas tengah malam mereka bertiga terconggok di penjuru pagar dengan duduk beralaskan tin kosong, tidak ada apa-apa pun menjelma.  Abang Simek jangka jelmaan lembaga seperti rangka manusia yang dikatakan oleh Japar Gonjeng itu sudah tidak lagi berkeliaran.Sebab itu adik saya boleh bertahan menyewa sejak tiga bulan dulu.

Tetapi Japar Gonjeng memang pernah terserempak, setelah adik saya menyewa di rumah berkenaan.Cepat-cepat dia melangkah meninggalkan rumah tersebut sewaktu melintas di hadapan pintu pagar. Meremang bulu roma Japar Gonjeng mahu mengendap setelah melihat lembaga rangka manusia itu terlompat-lompat di tengah halaman.

Mahu dituduh jerangkung, masakan dalam masa moden lembaga seperti itu menjelma lagi.  Bimbang juga Japar Gonjeng mahu memberitahu adik saya, manalah tahu dia akan ditertawakan. Lagipun setiap kali balik dari surau apabila jalan beriringan, adik saya seolah-olah tidak percaya sangat dengan gangguan di rumah tersebut.

Lainlah beberapa tahun sebelumnya apabila keluarga Cina yang menyewa di situ mendapati katil tidurnya dialihkan ke luar pagar. Memang mereka tidak melihat apa-apa menjelma di hadapan mata. Tetapi apabila kenangkan katil tidur boleh dialih, mereka menyedari tidak perlu lagi menyewa rumah berkenaan.

Kalau mahu dikatakan keluarga Cina itu berbohong, bagaimana pula dengan keluarga India yang menyewa sebelum itu?' Katilnya tiba-tiba sahaja dialihkan ke atas bumbung rumah. Siapa pula yang alihkan katil tidurnya kalau pintu bilik terkunci rapat dari dalam?

Tetapi semenjak tiga bulan adik saya meyewa rumah berkenaan, dia tidak diganggu apa-apa. Disebabkan sehingga jam dua belas tengah malam, jelmaan rangka manusia tidak juga muncul, Japar Gonjeng mahu balik sahaja ke rumah. Sia-sia sahaja mereka menunggu sampai ke pagi sekiranya jelmaan itu tidak menjengah muka.

Tahu sangat Japar Gonjeng memang tatkala tengah malam demikian jelmaan rangka manusia itu terlompat-lompat di tengah halaman. Memang dia syak betul-betul tentu hantu jerangkung yang mengganggu penyewa penyewa rumah peninggalan arwah emak Abang Simek.

"Masa sekarang mana ada lagi hantu jerangkung, abang Japar?" adik saya memang tidak percaya sangat dengan cerita-ceirta yang dianggapnya khayalan sahaja.

"Entahlah, cikgu!" keluh Japar Gonjeng sukar mahu menjelaskan. Macam mana dia mahu memberitahu mengenai jelmaan jerangkung itu terlompat-lompat di tengah halaman, kalau lembaga itu tidak menjelma sewaktu mereka bertiga mengendap di penjuru pagar.

Setiap kali terserempak cuma dia seorang sahaja yang terconggok di luar pagar.Lainlah kalau Abang Simek sama melintas di hadapan rumah. Tentu Abang Simek juga boleh sahkan mereka sama-sama melihat jelmaan tersebut.

Sewaktu mereka bertiga mahu bersurai, langkah Abang Simek terhenti apakala melihat pintu pagar terbuka sendiri.Japar Gonjeng juga terkejut menyebabkan dia terpaksa menarik lengan baju Abang Simek.

"Ditiup angin tu, abang Simek," lantas adik saya mengagak sekalipun angin tidaklah bertiup kencang.

"Tunggu dulu," bisik Abang Simek mengajak berundur ke belakang dahulu setelah melihat beberapa kali pintu pagar dibuka katup."Kalau ditiup angin, kita pastikan dulu betul atau tidaknya!" dia mula menghela nafas yang bergetar menahan rasa geram di hati.Kenapa rumah peninggalan arwah emaknya pula menjadi sasaran?

Adik saya tidak membantah.Dia ikut berundur dulu ke penjuru pagar terlindung di tempat gelap. Tetapi pintu pagar terkatup terbuka itu hanya beberapa kali sahaja. Bagaimana pula pintu pagar itu boleh terbuka terkatup, disebabkan sudah dikunci oleh adik saya?

"Cikgu kunci tak pagar tu?" soal Japar Gonjeng mencuit bahu adik saya.

"Rasanya dah saya kunci," jelas adik saya kehairanan.Memang dia sudah mengunci pintu pagar. Tetapi kenapa pintu pagarnya boleh terbuka terkatup kalau ditiup angin?

Setelah mereka menunggu beberapa minit, tidak ada apa-apa pun yang berlaku selepas itu.Sewaktu mereka menerpa ke pintu pagar, memang kuncinya tidak terbuka pun.

"Sudah sah sekarang, memang rumah ni berhantu!" keluh Abang Simek menggertap bibir.

Marah benar dia disebabkan rumah peninggalan emaknya diganggu demikian. Tetapi dia tetap berkeras mengakui emaknya tidak menjelma menjadi hantu jerangkung untuk mengganggu orang yang menyewa di rumahnya. Tahu sangat Abang Simek emaknya tidak amalkan apa-apa amalan pun semasa hayatnya.

Menjelma jadi hantu hanya golongan yang dilaknati Allah sahaja. Tahu sangat Abang Simek emaknya tidak pernah amalkan ajaran yang terkutuk.Sampai arwah emaknya ke Mekah tunaikan fardu haji pun memang duit titik peluhnya sendiri.

Sebab itulah apabila diberitahu mengenai gangguan di rumah peninggalan itu adiknya Salbiah minta jualkan sahaja harta peninggalan arwah emak-nya. Salbiah juga percaya emaknya tidak amalkan apa-apa amalan yang tidak diridhai Allah.

Sewaktu mereka masih terpinga-pinga dengan kejadian pintu pagar yang terkunci boleh terbuka terkatup itu, Leha memanggil adik saya. Cemas dia  berdiri di pintu melambai tangan menyuruhnya segera masuk. Tidak bertangguh adik saya mengajak Abang Simek dan Japar Gonjeng ikut sama masuk ke rumah.

"Kenapa Cikgu Leha?" tutur Abang Simek sebaik sahaja mereka sampai di muka pintu.

"Katil saya berjalan," beritahu Leha masih keberah-berahan menahan rasa takut.

"Berjalan macam mana pula tu?" hairan juga Japar Gonjeng apabila diberitahu demikian.

Dengan tidak bercakap apa-apa, adik saya terus ke bilik tidur.Terkejut benar dia apakala melihat katil tidur melintang di muka pintu bagai ditolak kuat hingga terasak.

Cepat-cepat adik saya meminta bantuan Japar Gonjeng dan Abang Simek membetulkan semula kedudukan katil. Setelah mereka tolak semula katil ke tengah, tiba-tiba sahaja katil tersebut bergerak perlahan bagaikan diinsut.

Tidak bertangguh Japar Gonjeng melompat keluar dari bilik.Kalau tidak kenangkan adik saya dan Abang Simek masih tercegat di situ, memang dia sudah tinggalkan sahaja rumah berkenaan.Dia sudah dapat mengagak, tentu lembaga jerangkung yang sudah dilihatnya beberapa kali yang menolak katil itu."

Jangan mudah panik, abang Japar," pujuk adik saya meminta jirannya itu bertenang.

Tersengih-sengih Japar Gonjeng mengerling adik saya. Malu juga dia disebabkan takut tidak menentu dalam saat demikian. Kalau adik saya dan Abang Simek boleh bertahan, kenapa pula dia mesti tergopoh-gopoh melarikan diri?

"Nak bawa ke mana katil cikgu ni?" gerutu Abang Simek seolah-olah mengusik.

Tetapi siapa pun tidak menyahut.Abang Simek sekadar bersuara tidak dituju kepada sesiapa. Kalaulah katil itu ditolak syaitan, tentu soalan dia boleh didengar. Syaitan tidak akan berkeras sekiranya dibawa berlembut.

"Agaknya nak bergurau ni?" adik saya pula mencebek bibir sekalipun hatinya memang gementar juga setelah melihat kejadian tersebut berlaku di depan mata.

Angin di luar tiba-tiba bertiup kencang hingga menerobos masuk ke pintu yang terbuka. Grill juga terbuka sendiri menyebabkan Leha segera mendapatkan adik saya.

"Tak apa, Cikgu Leha jangan takut!" ujar Abang Simek lantas duduk dengan mengusap-usap tangan ke muka. Dia terus membaca Ayatul Kursi hingga sampai seratus kali.

Ketika ini grill berdentam kuat ditutup hingga seolah-olah terasa bergegar. Abang Simek tidak peduli apa-apa, dia terus membacakan Ayatul Kursi. Apabila Abang Simek sudah duduk membaca Ayatul Kursi, tidak bertangguh pula Japar Gonjeng meminta surat Yassin dari adik saya. Dia mengajak adik saya sama-sama membacakan surah Yassin.

Sehingga tiga pagi mereka bertahan, keadaan dalam rumah itu memang menyeramkan. Dalam keadaan angin bertiup kencang, katil di dalam bilik juga bergerak ke penjuru bagaikan disorong.Apabila angin mula berhenti bertiup menjelang subuh, barulah tidak ada lagi gangguan tersebut.

"Elok abang Simek cari juga bomoh," ujar Japar Gonjeng semasa meraka mahu balik ke rumah masing-masing.

Abang Simek tidak menyahut. Perkara mencari bomoh bukan macam memilih barang di kedai. Japar Gonjeng sendiri tidak tahu mengenai bomoh yang perlu dipanggil.Mahu bertanyakan kepada sesiapa di gerai di simpang jalan, malu juga Abang Simek sekiranya penduduk-penduduk di situ mengenai kejadian yang berlaku di rumah peninggalan arwah emaknya.

Tentu orang akan menuduh emaknya pernah memelihara hantu hingga boleh menjadi kaya. Kalau takat tenaga manusia biasa berusaha masakan arwah emaknya boleh mencapai kekayaan cepat sangat.Memang ada juga orang menuduh arwah emaknya gunakan amalan memelihara orang halus.

"Awak tahukah bomoh yang patut dicari?" lama terdiam barulah Abang Simek bertanya.

"Nantilah saya tanya kawan-kawan dulu," jelas Japar Gonjeng tidak dapat memberi keputusan. Dia juga terpaksa bertanya pada kawan-kawan dulu kalau mahu mencari bomoh yang memahami apa sebenarnya berlaku di rumah berkenaan.

Di mana-mana pun dia boleh dapatkan bomoh, tetapi bagaimana kalau sekadar melepaskan batuk di tangga. Tentu Abang Simek akan salahkan dia sekiranya ganguan di rumah berkenaan berterusan juga.

Semenjak kejadian katil di bilik tidur terinsut ke tengah ke tepi, seminggu adik saya menunggu kejadian itu tidak berulang lagi. Sampai dia tidak ikut sama ke surau disebabkan Leha bimbang tinggal berseorangan di rumah.

Merungut juga Leha disebabkan adik saya menyewa rumah besar sedangkan mereka tinggal berdua sahaja. Apalah perlulah rumah besar kalau mereka belum mempunyai anak. Cukuplah menyewa rumah teres dua tingkat sahaja di kawasan perumahan.

Tetapi adik saya sengaja menyewa rumah besar kerana mahu buat kerja tambahan di rumah. Dia tidak perlu mengganggu Leha apabila tengah malam, kerana akan menaip di bilik sebelah. Sengaja dia jadikan bilik sebelahnya macam perpustakaan.

Disebabkan adik saya tidak mengambil keputusan berpindah sekalipun kejadian yang menimpanya, Abang Simek datang juga menjengah bersama Japar Gonjeng.Setiap kali mereka datang tidak pula berulang kejadian tersebut.

Hanya sebulan selepas itu sewaktu bulan tengah mengambang penuh berturut-turut tiga malam kejadian itu berulang. Adik saya tengah menaip di bilik sebelah, semasa katil di bilik tidur bergerak ke tengah dan ke tepi. Terjerit Leha disebabkan terkejut apabila dia baru sahaja mahu melelapkan mata.

Ketika adik saya berkejar ke bilik tidur, Leha masih terconggok di atas katil.Setelah adik saya menjengah di pintu bilik, barulah Leha terjun dari katil mendapatkan suaminya. Tetapi adik saya tidak memberitahu kejadian itu kepada Abang Simek.

Disebabkan adik saya tidak heboh sangat mengenai gangguan berkenaan Abang Simek juga semacam lupa mahu mencari bomoh yang dijanjikan oleh Japar Gonjeng. Malah lelaki itu juga tidak sebut lagi mengenai bomoh yang mahu ditanyakan kepada kawan-kawannya.

"Kita pindah ajelah," rungut Leha tidak tertahan lagi setelah tiga malam berturut-turut katil-nya disorong ke tengah ke tepi dengan tidak bersebab. Lainlah kalau dia melihat sendiri lembaga yang menyorong katil tersebut, boleh juga ditetak dengan parang tidak berhulu.

Tahu sangat Leha pantang makhluk halus apabila ditetak dengan parang tidak berhulu. Arwah akinya memang ingatkan dia mengenai pantang larang makhluk halus tidak boleh disentuh parang tidak berhulu, menyebabkan mereka menjadi lemah anggota.

Tetapi kalau makhluk halus itu tidak menjelma di depan mata bagaimana dia mahu menetak dengan parang tidak berhulu? Bila-bila dia sanggup buangkan hulu parangnya kalau mahu menetak makhluk halus yang mengganggu!

"Pindah, kerana takutkan gangguan macam ni?" ejek adik saya tidak berganjak memerhatikan katilnya bergerak macam disorong orang ke tengah ke tepi.

"Berapa lama kita nak biarkan?" Leha mula merasakan dirinya terancam kalau terus menyewa di situ. "Awak takutkan syaitanatau takutkan Allah!" marah juga adik saya dengan isterinya yang mendesak mahu berpindah.

"Tapi, saya tak dapat tidur dibuatnya," gerutu Leha berkeras mendesak suaminya supaya berpindah sahaja dari rumah berkenaan.

"Kalau macam tu, awak ikutkan kemahuan syaitan," adik saya tetap mahu bertahan di situ. Sekiranya dia berpindah juga lain masalah pula yang mungkin di-hadapi. Segala gangguan tersebut memang sudah ditentukan Allah, ke mana sahaja melarikan diri tetap diganggu juga.

Sebab itu dia berkeras tidak mahu berpindah ke mana pun.Biarlah sampai bila pun dia menyewa di rumah berkenaan. Dia tidak akan berpindah sekadar gangguan demikian berterusan sepanjang malam.

Balik sahaja dari sekolah, terkejut juga adik saya apabila ayah saya tiba-tiba terjongol. Cepat-cepat dia mencuit Leha supaya tidak beritahu apa-apa kepada ayah saya mengenai kejadian yang mengganggu mereka. Biarlah semuanya menjadi rahsia sahaja dengan tidak diberitahu kepada sesiapa pun.

"Kenapa ayah datang tak beritahu, boleh kami tunggu di stesen bas," tutur adik saya se-masa mempelawa ayah saya masuk ke rumah.

"Ah, saja datang nak menjengah, buat apa nak beritahu dulu," tersengih-sengih ayah saya menjinjing beg plastiknya.

"Kenapa tak bawa emak sama?" Leha pula mencelah di-sebabkan ayah datang berseorangan sahaja.

"Emak.kamu, kalau tak ada hal, mana dia nak datang," jelas ayah saya terus ke bilik air mengambil wuduk. Dia tidak peduli apa-apa disebabkan belum solat zohor.
.
Sewaktu ayah saya solat zohor, adik saya tidak bertangguh ke kedai makan membelikan nasi. Bimbang juga dia ayah saya kelaparan kerana sudah lebih jam 2.00 petang. Sewaktu balik dari sekolah mereka berdua memang sudah singgah makan terlebih dahulu di kedai makan.

Sebaik sahaja ayah saya selesai solat, Abang Simek sudah terjongol. Memang ayah saya ke rumahnya terlebih dahulu semasa bertanyakan rumah sewa berkenan. Abang Simek pelawa juga dia masuk ke rumah sementara menunggu adik saya balik, tetapi ayah saya sengaja me-nunggu di hadapan pintu pagar.

"Cikgu Alif tak beritahu pula fasal pak aji nak datang, ujar Abang Simek sebaik sahaja duduk di ruang, tamu.

"Ah, bukan susah nak cari tempat ni," sahut ayah saya mengerling Leha yang datang bawakan air minuman. Kemudian dia terhangak-hangak memerhati adik saya.

"Alif ke kedai, sekejap," beritahu Leha perlahan setelah menyedari ayah saya tahu suaminya tidak ada di rumah.

"Buat apa susah-susah, aku dah makan," ayah saya mencebek bibir apabila diberitahu Alif ke kedai membeli nasi.

"Ah, apa salahnya makan lagi, pak aji," lantas Abang Simek mencelah tersengih-sengih.

Sebaik sahaja adik saya balik dari membeli nasi, mereka makan bersama. Ketika makan inilah Abang Simek memberitahu mengenai kejadian bergerak macam disorong orang sewaktu mereka mengendap.

Tetapi Abang Simek tidak tahu mengenai kejadian tiga malam berturut-turut adik saya diganggu sampai santak subuh. Sepanjang malam mereka suami istrei sekadar melihat katil itu sahaja bergerak bagaikan di-sorong orang.

Adik saya tidak pula cuba menghalangnya. Biarlah katil itu ditolak ke mana pun, dia tidak peduli apa-apa. Dia hanya mahu melihat siapa makhluk yang menolak katil itu sampai tersorong ke tengah ke tepi. Selagi dirinya tidak diganggu apa perlunya dia bertindak menghalang? Sampai berturut-turut tiga hari pun katil itu disorong ke tengah ke tepi, dia tidak akan peduli apa-apa.

Selepas isya, Abang Simek singgah lagi bersama Japar Gonjeng sewaktu balik dari surau.Abang Simek yang mempelawa disebabkan ayah saya datang berkunjung.

"Boleh juga kenal-kenal dengan ayah Cikgu Alif," ujar Abang Simek sewaktu mengajak Japar Gonjeng singgah.

Sewaktu mereka berdua masuk ke rumah dipelawa adik saya, ayah saya masih lagi di dalam bilik solat isya. Lama mereka berbual di ruang tamu barulah ayah saya keluar.

"Berapa hari pak aji di sini?" Japar Gonjeng tersengih-sengih mengerling ayah saya selepas bersalaman.

"Ah, besok nak balik dah," beritahu ayah saya perlahan.

"Kenapa cepat sangat nak balik?" lantas sahaja Japar Gonjeng bertanya sambil mengukuhkan sandarnya.

"Nak tengok anak, dah jumpa, cukuplah," sahut ayah saya mengorak senyum. Tidak lama ayah saya duduk di situ, Leha menatang air ke ruang tamu. Apabila dia menuangkan air ke cawan, tiba-tiba sahaja airnya meresap bagaikan tiris ke bawah. Terpempan Leha sampai terketar-ketar tangannya memegang tekoan. Terpaksa pula adik saya mencapai tekoan di tangannya supaya tidak terhempas ke lantai.

Kemudian adik saya menyuruh Leha duduk sahaja di kusyin. Apabila adik saya menuangkan air ke cawan segera ditegah oleh ayah saya. Dia menyuruh letakkan semula tekoan ke atas meja.

"Hah, dia nak ganggu kita, pak aji!" gerutu Abang Simek mencemik muka lantas menolak bangkunya ke belakang sedikit.

"Biarlah," ayah saya tetap bertenang tidak berganjak sedikit pun. "Kau ni Alif, tak sama macam angah kau!" ujar ayah saya mencebek bibir mengerling adik saya.

Adik saya menunduk tidak menyahut apa-apa. Tahu sangat dia ayah saya memang memarahi dirinya sekalipun bercakap perlahan. Beberapa kali dia ingatkan adik saya supaya tidak permainkan sangat perkara-perkara yang tidak dapat dilihat dengan mata.

Ketika dia memutuskan mahu menyewa rumah arwah emak Abang Simek, memang dia mahu menguji benar kejadian yang pernah dialami oleh penyewa-penyewa sebelumnya. Memang Alif sudah mendengar daripada rakan-rakannya mengenai keluarga India yang katilnya dialihkan ke atas bumbung.

"Dah tiga malam gangguan ni," lantas ayah saya mengisar tapak tangannya menyebabkan adik saya tersengih-sengih terasa dirinya macam disindir. Bagaimana pula ayah saya tahu sejak tiga malam rumahnya diganggu demikian.

"Betulkah, Cikgu Alif?" Abang Simek juga macam tidak percaya apabila diberitahu oleh ayah saya.

"Macam mana ayah tahu?" segera Leha pula menyampuk kerana siapa pun tidak memberitahu ayah saya mengenai kejadian tiga malam berturut-turut katilnya bagaikan disorong orang ke tengah ke tepi bilik.

"Dia nak angkat katil kamu, tapi tak terangkat!" ujar ayah saya terus berdiri menghentak-kan tumitnya ke lantai sambil membacakan:

"Kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf, inna fatahna laka fathan mubinan, la qauwata illa biliah, 'alallahhi tawakkalna rab-bana la taj'alna fitnatan lilqaumiz zolimina minajjina birahmatika minal qaumilkafirin.”

Apabila ayah saya mengisarkan tumitnya tiga kali ke lantai, tiba-tiba sahaja terdengar benda jatuh berdepap kuat ke lantai. Cepat sahaja Japar Gonjeng bingkas bangun mengelak supaya tidak ditimpa benda jatuh macam guni beras terhempas itu.

"Kalau kau degil, aku panggilkan angah ke sini!" ayah saya menuding ke tengah rumah tempat terdengar bunyi benda jatuh terhempas kuat.

Keadaan menjadi senyap sepi.Leha sudah memaut bahu adik saya disebabkan takut dengan kejadian tersebut. Kalau tidak disebabkan adik saya berkeras, memang dia sendiri tidak sanggup bertahan lama tinggal di rumah berkenaan.

"Nanti beritahu angah kau, Alif!" tegas ayah saya semacam memberi perintah, tetapi tidak berpaling pun kepada adik saya.

Perlahan-lahan adik sava mengangguk. Kalau ayah saya sendiri sudah memutuskan demikian, dia tidak akan membantah. Dia sudah dapat mengagak tentu ayah saya tidak mahu berterus terang mengenai gangguan tersebut.

Dalam keadaan senyap sepi itu angin bertiup kencang dari luar. Serentak dengan itu grill pintu terbuka dengan sendirinya menyebabkan angin menerobos masuk. Tidak bertangguh pula ayah saya membacakan doa:

Allahhumma inna nas-alakal 'afiyahi waddini waddunya wala-khiratu lana waliwa lidaina wa asyyahina walmuslimina ajma'ina ya zaljalali wal-akraman bihaqqi ka ha ya a'in sad.

Ketika ayah saya menampar tangannya, lantas sahaja terbau bau hangit laksana rambut dibakar. Serentak dengan itu Leha terjerit kerana di depan grill dia ternampak lembaga rangka manusia menolak katil di situ. Terkial-kial lembaga berkenaan menolak katil tidur mahu menyorongnya masuk ke dalam rumah.

"Oh, ini syaitan yang selama ini mengaruk!" bentak Abang "Simek meluru ke pintu mahu menerkam.Sekaligus pula dia terpelanting jatuh bagaikan ditolak kuat.

Cepat-cepat pula Japar Gonjeng membantunya disebabkan Abang Simek tergolek ke lantai dengan tidak bertampan. Mengerang-erang dia kesakitan akibat jatuh terlentang di atas simen lantai.

"Kenapa awak terburu-buru sangat!" marah juga ayah saya disebabkan Abang Simek gopoh-gapah sangat mahu bertindak.
Bayangan rangka manusia yang terkial-kial menolak katil di depan grill juga hilang bagaikan asap berkepul-kepul ditiup angin. Ketika ini Abang Simek termengah-mengah tidak ketahuan disebabkan dia sendiri tidak tahu bahagian mana yang terasa sakit.

Segera ayah usapkan ubun-ubun Abang Simek dengan membacakan tiga kali al-Fatihah. Kemudian dia menepuk-nepuk dahi Abang Simek sambil membacakan 11 kali surah al-ikhlas. Terkial-kial Abang Simek bangun setelah merasa kesakitan yang dialaminya beransur hilang.

Lama mereka menunggu, tidak ada lagi jelmaan rangka manusia menolak katil di situ. Cam benar Leha memang katil tidurnya yang ditolak oleh lembaga rangka manusia itu di depan grill. Semasa Leha berkejar ke bilik dia melihat katilnya memang tertampan ke dinding bagaikan disorong ke situ.

Esoknya pagi-pagi lagi ayah saya sudah tidak mahu bertangguh lagi untuk balik ke kampung. Terpaksa pula adik saya menghantar ke stesen bas sebelum ke sekolah. Berkali-kali ayah saya ingatkan supaya adik saya memberitahu kejadian di rumah sewanya itu kepada saya.

"Memang ayah yang suruh panggil, angah," beritahu Leha ketika mempelawa saya masuk.Saya tidak menyahut apa-apa, tetapi isteri saya terus sahaja ke dapur bersama Leha. Tidak tahu saya apa yang mereka ketawa-kan semasa menyediakan air di dapur.


SELESAI