Sunday, January 29, 2017

213. LEMBAGA BERTANDUK DI RUMPUN BULUH



Sudah berkali-kali Usup Bincut bersama rakan karibnya Salleh Gonjeng dan Jali Gendut mengikut orang menurun nombor ekor, hingga sanggup bersengkang mata sepanjang malam. Bukan sekadar tercangkung duduk membakar kemeyan di batu batu besar tepi bukit lantas menyeru macam macam puaka, malah di perdu pokok di tempat topekong Cina pun Usup Bincut ikut sama terbongkok bongkok membakar colok.
Beberapa kali juga mereka hampir mengena dengan nombor yang ditikam setelah bersusah payah ikut orang menurun dibalik batu besar tepi belukar. Memang mereka nampak bayang-bayang hitam berlegar di tengah kesamaran malam menunjukkan nombor di dadanya.  Tidak bertangguh mereka akan catit nombor berkenaan biar mudah ditikam apabila ke kedai nombor. Mereka akan sama sama berkongsi sampai habiskan berpuluh ringgit dengan harapan akan mengena nombor ekor.
Masing masing sudah memasang angan-angan sekiranya nombor yang ditikam memberi tuah. Usup Bincut memang memendam perasaan mahu beli motosikal baru, biar kencang dipecut di tengah jalan kampung. Jali Gendut juga sudah berkira –kira mahu baiki dapur rumahnya biar atapnya tidak bocor sampai tiris hujan. Manakal Saleh Gonjeng sekadar berangan angan mahu bawa keluarganya makan angin sahaja kemana-mana
Isteri masing-masing memang merungut juga dengan perangai mereka gila sangat berjudi nombor ekor. Bedah isteri Usup Bincut tidak habis-habis berleter sekiranya suaminya tersandar memasang angan-angan di hujung serambi.
Berapa sangatlah pendapatan mereka kalau takat tinggal ditanah rancangan Felda? Tetapi Usup Bincut sanggup habiskan wang semata-mata harapkan mengena apabila membeli nombor ekor. Kadangkala Usup Bincut pula marahi Bedah kalau berleter menyindir dia.
“Kita ke Sungai Kelamah Kelamah di Gemas, Sup” pelawa Saleh Gonjeng tatkala mereka bertemu sebelum ke kebun menoreh. “Khabarnya, ada bomoh muda boleh menurun,” dia menambah dengan penuh yakin.
Usup Bincut tidak menyebut apa-apa. Jauh di sudut hatinya dia sudah berkira mahu ke Bukit Tangga di Jelebu. Kawannya Ah Fang yang beritahu mengenai bomoh Cina di topekong di situ sudah beberapa kali bantu dapatkan nombor ekor.
Mereka pernah juga ke Bukit Tangga masuk ke dalam topekong di tepi gaung itu membakar colok. Hampir juga mereka mengena, tetapi ber-selisih satu nombor sahaja. Hampir pitam juga Usup Bincut menahan gelora perasaan apabila nombor yang ditikam hanya berbeza satu nombor sahaja.
"Macam mana kalau kita jumpa bomoh Cina yang dulu tu?" sengaja Usup Bincut ingatkan Saleh Gonjeng mengenai bomoh Cina di Bukit Tangga itu.
"Ah, aku tak mahu sembah topekong lagi!" lantas sahaja Saleh Gonjeng menyahut dengan mencebik bibir. Memang kesal sangat Saleh Gonjeng apabila didesak oleh kawannya menemui bomoh Cina itu.
Bukan takat terpaksa meng-goncang bilah di dalam tabung buluh sahaja sambil membakar colok, tetapi sampai menyembah topekong tersergam di depannya. Kalau tidak ikutkan seperti disuruh bomoh Cina itu, tentu nombor yang ditikam tidak akan mengena.
"Aku pun tak mahu, pergi jauh-jauh takut pergi dapat hembus, balik dapat engap aje," Jali Gendut mencelah kerana tidak berminat lagi mahu menemui bomoh Cina di Bukit Tangga.
"His, sikit lagi kita nak kena," tutur Usup Bincut apabila kenangkan hampir sahaja nombor yang ditikam mengena. Tentu ada silap di mana-mana sampai berselisih satu nombor sahaja. Alangkah bertuahnya dia kalau nombor itu mengena setelah bersusah payah membakar colok di kuil.
"Kita tak boleh bergantung pada satu-satu bomoh aje," Saleh Gonjeng masih tidak bersetuju kalau ke kuil Cina membakar colok sambil menyembah topekong. "Kenapa kita tak cuba dengan bomoh lain pula?" dia mendesak kawannya biar ikut sama ke Sungai Kelamah menemui bomoh muda itu.
"Lebih baik kita ke Jenderam di Selangor, jumpa Lebai Suhud," pintas Jali Gendut dengan harapan biar kawan-kawannya bersetuju.
Ketawa besar Usup Bincut apabila disebut mengenai Lebai Suhud. Bukannya mudah mahu menemui Lebai Suhud seperti yang telah mereka alami sebelum itu. Setiap kali ke suraunya tidak pernah pun mereka menemui guru mengaji Quran itu.
"Kau nak jumpa macam mana, kalau dia tak pernah ada?" Usup Bincut mengejek kawannya.
Sudah dua tiga kali juga mereka ke Jenderam, tetapi Lebai Suhud tidak pernah di-temui. Setiap kali mereka jejakkan kaki di suraunya Lebai Suhud sudah keluar meninggalkan Jenderam berhari-hari. Penat sahaja mereka datang dari jauh kalau tidak dapat menemui guru agama itu.
Setelah nekad mahu menemui Lebai Suhud di Jenderam, mereka bertiga gagahi juga ke surau guru agama itu. Memang sudah diduga oleh Usup Bincut tentu Lebai Suhud sudah keluar mengajar di mana-mana. Biarlah mereka tunggu sahaja di surau berkenaan dua tiga malam. Tentu Lebai Suhud akan balik juga ke suraunya.
Semenjak kematian isterinya tahu sangat Usup Bincut guru agama itu habiskan masa di surau sahaja. Mereka perlu bersabar menunggunya kalau berkeras mahu menemui Lebai Suhud. Terpaksalah mereka tidur di surau berkenaan sampai tiga malam berturut-turut.
Tiga malam mereka bertahan di surau, barulah Lebai Suhud jejakkan kaki ke situ tatkala tengah malam, terus tunaikan solat sunat. Terkejut juga Lebai Suhud naik ke tengah surau apabila terserempak tiga lelaki itu tidur di situ.
Tidak bertangguh Usup Bincut mencium tangan Lebai Suhud sebaik sahaja menyedari guru agama itu naik ke surau. Gembira sangat mereka kerana dapat juga bertemu Lebai Suhud. Tentulah segala hajat yang terpendam di hati tercapai juga setelah menemui guru agama berkenaan.
Mereka tetap sabar me-nunggu Lebai Suhud tunaikan dulu solat sunatnya diikuti dengan wirid dan zikir. Biarlah sampai santak subuh pun Lebai Suhud berwirid, mereka tetap sabar menunggunya. Apa sangat menunggu Lebai Suhud habiskan solat kalau bandingkan dengan tiga malam berturut-turut mereka tidur di surau dengan tidak berbantal dan bertikar semata-mata menunggu guru agama itu jejakkan kaki ke surau.
Sebaik sahaja Lebai Suhud habis berzikir, tidak bertangguh mereka bertiga menerpa datang. Lantas sahaja Usup Bincut beritahu mengenai hajat mereka mahu dapatkan nombor ekor. Ketawa besar Lebai Suhud apabila diberitahu demikian oleh Usup Bincut.
"Sekali ni aje tuan, kami minta," pujuk Usup Bincut dengan tidak ada perasaan segan silu lagi. "Kalau kena, kami taubat tak main lagi," tuturnya dengan penuh harapan guru agama itu akan memenuhi hajat mereka.
"Kalau dah jelas judi tu haram, macam mana nak dihalalkan?" sindir Lebai Suhud dalaM ketawa memanjang.
"Kami tahu kerja ni salah, tapi kami minta tuan tolong sekali ni aje," Saleh Gonjeng pula merayu.
"Kalau berusaha cara lain boleh dapat rezeki, kenapa pula berjudi?" Lebai Suhud tetap terbahak-bahak ketawa apabila menatap muka tiga lelaki itu.
"Tuan orang warak, doa tuan dimakbulkan Tuhan," ujar Usup Bincut mendesak lantas mengisar duduk mahu merapati guru agama itu. "Tolonglah tuan doakan kami, sekali ni aje, lepas kena ekor kami akan bertaubat," dia memberikan janjinya dengan penuh harapan.
"Kalau nak minta doa macam tu, lebih baik awak jumpa sami topekong," sahut Lebai Suhud selanjutnya. Puas juga mereka memujuk, tetapi Lebai Suhud tetap ketawa terbahak-bahak.
Tahu sangat Usup Bincut memang Lebai Suhud akan ketawa terbahak-bahak se-kiranya dia marah. Kalau tidak dia akan diamkan diri sahaja tidak mahu bercakap sepatah apa pun. Semenjak dia tinggalkan kampung halamannya di Jenderam, memang Usup Bincut tahu mengenai keistimewaan guru agama itu.
Sebab itulah dia berkeras mengajak kawan-kawannya menemui Lebai Suhud. Manalah tahu guru agama itu akan menuturkan apa sahaja dalam keadaan marah. Saat inilah mereka akan catatkan apa sahaja nombor yang terhambur dari-pada mulut orang .tua itu sekiranya dia marah menyinga.
Tetapi Lebai Suhud tidak marah apa-apa. Dia sekadar ketawa terbahak-bahak sahaja tidak memarahi mereka dengan menyebut nombor yang terlintas di kepalanya. Memang sukar juga mereka mahu memerang-kap Lebai Suhud biar dia marah membentak.
Mereka tidak akan ter-singgung sekiranya Lebai Suhud memaki hamun menyebut mereka bertiga macam tidak tahu sembahyang lima waktu! Kalau maki hamun demikian terhambur dari mulut Lebai Suhud nescaya mereka akan tikam nombor tiga dan lima sampai diulang dua kali.
Kenapa Lebai Suhud tidak marah-marah macam ketika dia didatangi oleh seorang ibu yang minta dia doakan anaknya biar berjaya lanjutkan pelajaran keluar negeri. Hampir kecewa ibu itu apabila Lebai Suhud membentak keras di depannya. Tidak patut orang macam Lebai Suhud itu marah ikutkan perasaan sahaja.
"Awak mau anak awak ni masuk neraka?" Lebai Suhud mencemik muka mengerling perempuan yang berharap sangat itu.
Tersinggung benar perem-puan itu dengan sikap guru agama yang dihormatinya selama ini. Masakan Lebai Suhud boleh menentukan anak-nya masuk syurga atau pun neraka. Kenapa guru agama itu tidak memikirkan semuanya ditentukan oleh Allah Subhanahu wata'ala.
Orang kuno sahaja anggap belajar di sekolah orang putih boleh masuk neraka. Dia tidak percaya orang warak seperti Lebai Suhud itu terlalu kuno sangat. Tetapi orang tua itu sendiri yang mengejek ibu berkenaan macam tidak ber-setuju anaknya lanjutkan pelajaran ke luar negeri.
Sudah beberapa kali Lebai Stthud beritahu orang-orang kampung supaya hantar anak-anak belajar sampai ke mana pun. Memang tidak salah apa-apa kalau anak-anak mereka belajar di sekolah orang putih. Tetapi, kenapa tiba-tiba sahaja Lebai Suhud berubah berfikiran sampai mahu lemahkan semangat ibu berkenaan?
"Takkan belajar ke luar negeri tu boleh masuk neraka, tuan," ibu itu terus mendesak biar Lebai Suhud doakan juga.
Lama dia terdiam setelah didesak oleh ibu tersebut. Kemudian perlahan dia menuturkan, "Kalau macam tu kemahuan awak, sama-samalah kita berdoa."
 "Macam mana nak buat, tuan?" terlalu gembira hati perempuan itu sebaik sahaja Lebai Suhud memberi jaminan akan doakan. Perkara doa itu dimakbulkan oleh Allah Subhanahu wata'ala atau tidak, bukan penting sangat pada ibu berkenaan. Asal sahaja Lebai Suhud sanggup doakan sudah memadai pada dia.
"Suruhlah anak awak tu ke mari," ujar Lebai Suhud menge-luh pendek semacam menanggung bimbang yang berpanjangan. "Biar dia sama-sama bangun sembahyang tahajud tengah malam di surau," dia menambah bagaikan dalam keadaan serba salah.
Setelah didoakan oleh Lebai Suhud, dapat juga anak ibu tersebut lanjutkan pelajaran. Tetapi Lebai Suhud tidak percaya kerana doanya anak berkenaan mencapai kejayaan, kalau tidak disebabkan usaha gigih anak itu sendiri. Lama juga anak itu belajar di luar negeri sampai lulus dengan kejayaan cemerlang.
Sebaik sahaja balik ke tanah air memang dia memegang jawatan tinggi di kota, sampai tidak pernah jejak kaki lagi di kampung. Selepas anaknya berkedudukan tinggi itulah, ibu berkenaan datang lagi menemui Lebai Suhud. Teresak-esak ibu itu menangis memberitahu Lebai Suhud fasal anaknya habiskan masa dengan maksiat. Minuman keras sudah menjadi perkara biasa sahaja dalam hidupnya, sampai tidak peduli pun setelah ditegur oleh emaknya.
"Tolonglah tuan doakan, biarkan dia ingatkan Allah," rayu ibu tersebut penuh hiba apabila kenangkan tabiat anaknya berubah benar selepas berkedudukan tinggi.
"Harta dunia kalau dikejar, macam itulah," ujar Lebai Suhud tersengih-sengih.  
Tidak tahu pula Usup Bincut bagaimana kesudahan nasib yang menimpa anak muda itu. Orang-orang kampung pun tidak peduli sangat dengan anak muda tersebut disebabkan dia tidak pernah lagi jejakkan kaki ke kampung. Memang mereka tahu Lebai Suhud sudah dapat melihat perkara yang jauh di hadapan, sckalipun dia ber-uakap macam menyindir.
Kalau dia tidak tahu sikap anak rnuda itu akan berubah, tentu dia tidak akan membentak Ibu berkenaan seolah-olah mahu mendorongkan anaknya ke neraka apabila menemui dia minta didoakan. Tetapi ibu tersebut tidak dapat menangkap di sebalik sindiran Lebai Suhud, sekalipun anaknya jauh berubah selepas balik dari luar ncgeri.
 Bukan takat minum arak sesuka hati di rumah, malah isterinya juga bukan keturunan Melayu. Kalau emaknya datang jengah muka pun, isteri anaknya tidak segan silu berpakaian tidak senonoh di depannya. Lebai Suhud semacam sudah tahu bagaimana kehidupan anak tersebut apabila dia berjaya belajar di luar negeri.
Bukan sekadar kisah anak muda itu sahaja yang Usup Bincut tahu mengenai keistimewaan Lebai Suhud. Se-belum guru agama itu berpindah ke Jenderam pun, Usup Bincut mengalaminya sendiri tatkala melintasi surau Lebai Suhud di tengah kesepian malam.
Menjadi kegemaran Usup Bincut ke rumah hingga jauh malam selepas habiskan masa di pekan kecil di kampungnya. Ketika melintsi surau Lebai Suhud tiba-tiba sahaja motosikalnya kehabisan minyak. Marah benar dia disebabkan motosikal buat ragam tatkala dia mahu cepat balik ke rumah.
Sebaik sahaja mendapati Lebai Suhud masih belum tidur, lantas dia meminta izin mahu tumpangkan motosikalnya di surau itu. Biarlah dia berjalan kaki sejauh 15 kilometer masuk ke kampungnya.
"Kalau rumah awak jauh, tidur di sini ajelah," .pelawa Lebai Suhud ramah mesra.
"Eh, kena balik juga tuan, isteri saya tinggal seorang diri di rumah, jelasnya apabila kenangkan isterinya Bedah tinggal seorang diri sahaja di rumah.
Semenjak dia tinggal di kampung lagi, sebelurn menyertai Felda memang Usup Bincut tidak pernah lekat di rumah. Kalau tidak menonton wayang di kawasan estet berdekatan, Usup Bincut akan habiskan masa berborak dengan kawan-kawan di kedai majong.
Tetapi Bedah memuji suaminya fasal tidak pernah tidak balik ke rumah. Macam mana lewat malam pun, dia tidak akan tidur merata-rata. Usup Bincut tetap balik ke rumah biarpun terpaksa berjalan kaki sampai 15 kilometer menyimpang dari jalan besar.
"Di sini pun boleh tidur, apa salahnya," ujar Lebai Suhud mempelawanya. Kasihan juga dia melihat Usup Bincut terpaksa menyeret motosikal yang telah kehabisan minyak itu.
"Tak apalah, tuan," Usup Bincut tetap berkeras mahu balik juga ke rumah sekalipun terpaksa meranduk kegelapan malam melalui lorong ke kampungnya sampai 15 kilome-ter.
"Rumah awak jauh," tutur Lebai Suhud perlahan lantas mendekati tempayan di kaki tangga surau. Segera dia men-cedok air di dalam tempayan itu terus dituangkan ke dalam tangki minyak motosikal Usup Bincut.
Terkejut Usup Bincut dengan tindakan Lebai Suhud seolah-olah mahu merosakkan lagi motosikalnya. Tetapi dia tidak berani melarangnya kerana bimbang akan menyinggung hati guru agama itu. Manalah tahu Lebai Suhud benar-benar mahu membantu.
"Bawalah motosikal awak tu balik, insya Allah," katanya sambil memberi isyarat menyuruh Usup Bincut teruskan perjalanan balik ke rumah. Dalam keadaan serba salah Usup Bincut segera hidupkan enjin motosikal. Hairan juga dia apabila enjin motosikal itu mudah sahaja dihidupkan.
Meter minyaknya juga naik seolah-olah tangki penuh berisi.
 "Jangan dibuka lagi tutup tangki minyak tu," pesan Lebai Suhud sebaik sahaja Usup Rincut menunggang motosikal rrrcni n ggal kan kawasan surau berkenaan.
Macam tidak percaya Usup apabila dia menunggang motosikal balik ke rumah dengan tangki minyaknya diisi air basuh kaki dalam tempayan di tangga surau. Sampai di rumah pun dia melihat meter tangki minyak masih penuh berisi.
 Usup Bincut tetap pegang kukuh-kukuh pesanan Lebai Suhud supaya tutup tangki ininyak tidak dibuka. Hingga sebulan pun Usup Bincut masih mendapati meter tangki minyaknya berisi penuh. Hairan juga dia hingga merasa syak meter tersebut rosak setelah di-masukkan air basuh kaki ke dalam tangki minyak.
Mahu ditanyakan kepada Lebai Suhud, bimbang juga dia orang tua itu akan menuduhnya tidak percayakan dirinya. Memang Usup Bincut mulai syak meter tangki minyaknya rosak. Masakan sudah selalu berjalan jauh pun minyak di dalam tangki tidak susut langsung.
Sebab itu dia terpaksa buka juga tutup tangki motosikalnya. Kalau rosak pun dia akan berpuas hati. Bila-bila pun dia akan hantar ke bengkel baiki motosikal dengan tidak menyalahkan Lebai Suhud.
Sebaik sahaja dia buka tangki minyak, memang tangki motosikalnya kering kontang. Apabila dia hidupkan semula enjin motosikalnya, tidak boleh lagi dihidupkan. Meter tangki juga tidak lagi naik disebabkan sudah kering kontang tidak berisi minyak setitik pun.
Menggeleng kepala Usup Bincut dengan peristiwa yang dialaminya itu apabila kenangkan Lebai Suhud. Sebab itulah dia mengajak kawannya ke Jenderam setelah mendapat tahu Lebai Suhud berpindah ke situ sejak kematian isterinya.
"Tolonglah, tuan," Jali Gendut pula mendesak setelah Usup Bincut semakin gelisah. "Awak semua ni, lebih baik bertaubat," ujar Lebai Suhud tersengih-sengih mengejek mereka bertiga. "Tak usah tunggu esok atau lusa, sekarang ni bertaubatl" tegasnya macam menahan rasa marah sekalipun bibirnya masih mengukir senyum.
"Tiga malam kami tunggu tuan di sini," Saleh Gonjeng pula mencelah dengan harapan orang tua itu akan berlembut hati mahu menolong.
Lebai Suhud tetap tersengih-sengih bagaikan mempersendakan mereka bertiga. Dia memandang mereka bertiga silih berganti, kemudian lantas .bangun mencapai tin-tin yang tersusun di penjuru surau. Tin-tin tersebut dihulurkan kepada Usup Bincut.
"Buka tin ini," perintahnya lantas mencuit bahu Usup Bincut yang duduk dekat di sisinya.
Tidak bertangguh Usup Bincut membuka tin-tin berkenaan. Dia melihat dalam tin itu berisi gula, manakala tin yang lairi berisi kopi dan biskut kering.
Tatkala Usup Bincut menatap muka Lebai Suhud, memang wajah orang tua itu tidak banyak berubah sejak dia terserempak lebih dua tahun dulu di kampungnya. Kalau berubah pun hanya suara Lebai Suhud yang terlalu perlahan bagaikan tenggelam jauh di kerengkung.
"Awak semua masak air, boleh kita minum sama-sama," ujar Lebai Suhud terus berundur sedikit untuk menyandarkan belakang ke dinding. Mereka bertiga berpandangan kerana tidak nampak pun cerek di situ untuk memasak air. Mahu bertanya pada Lebai Suhud terasa malu pula seolah-olah mereka lapar sangat. Serba salah juga Usup Bincut hingkas bangun mencari cerel«li penjuru surau.
 Memang tidak ada cerek di situ kecuali kole dan lima biji cawan tertangkup di atas kertas khabar. Usup Bincut mencapai kole itu lantas menadah air daripada paip di tempat mengambil wuduk. Kemudian cepat-cepat dia naik mendekati Lebai Suhud yang tunduk memegang tasbih.
"Boleh jadi dia akan beri kita nombor tu," bisik Usup hincut mendekati kawannya jali Gendut dan Saleh Gonjeng. Terbayang kegembiraan di wajah masing-masing setelah dapat mengagak Lebai Suhud akan membantu. Orang warak macam Lebai Suhud tidak akan membantu dengan langsung kalau mengenai perkara yang maksiat. Tentu dia akan berkias-kias biar mereka terpaksa mengagak sendiri nombor yang lebih tepat.
Usup Bincut mula mengira jumlah kole dan cawan yang tertangkup di penjuru surau.
Kemudian dia ramalkan pula jumlah tin yang dihulurkan oleh Lebai Suhud, termasuk juga jumlah buah tasbih yang tergenggam di tangan guru agama itu.
"Rezeki daripada Allah tu, patut kita syukuri," tiba-tiba sahaja Lebai Suhud mengangkat muka memandang mereka bertiga. "Jangan fikirkan perkara yang awak angan-angankan tu," suaranya keras sedikit seolah-olah dapat membaca isi hati masing-masing.
Terasa gementar Usup Bincut ketika ini. Dia juga melihat muka Lebai Suhud putih seolah-olah diselaputi bedak tebal. Tetapi dia tau warna putih itu berpunca daripada silauan cahaya lampu di tengah surau.
"Macam mana nak masak air ni, tuan?" segera Usup Bincut hulurkan air di dalam kole. Memang malu benar dia apabila Lebai Suhud dapat menangkap apa sahaja yang dibualkan dengan kawan-kawannya.
Dengan tidak bercakap apa-apa, Lebai Suhud mencapai kole berisi air itu. Terus sahaja dia tetakkan buntut kole ke atas tapak tangannya. Terkejut mereka bertiga apabila melihat tapak tangan Lebai Suhud bertukar merah seperti bara api.
Dalam masa beberapa minit sahaja mereka mendengar air di dalam kole mendidih masak. Tatkala Usup Bincut menjengah ke dalam kole memang air mendidih dengan asap melabun naik. Setelah air itu masak, segera diunjukkan oleh Lebai Suhud kepada Usup Bincut.
Setelah kopi dibancuh, Usup Bincut hidangkan di depan Lebai Suhud. Mereka sama-sama menikmati kopi panas tatkala dinihari dengan angin bertiup sejuk di luar. Perut yang kosong juga terasa segar semula.
Biskut di dalam tin sebesar kole itu tidak pernah habis, sekalipun mereka berulang kali menyeluknya. Tetapi sehingga masuk waktu subuh pun, Lebai Suhud tidak sebut fasal nombor ekor yang mereka harapkan.
 Tetapi Usup Bincut tidak peduli apa. Dia sudah boleh agak nombor yang patut dibeli. Jumlah cawan yang tertangkup, jumlah mereka yang terconggok di atas surau, jumlah tin yang dihulurkan kepadanya, sudah cukup untuk menentukan nombor yang patut dibeli.
Selesai sahaja solat subuh, Lebai Suhud tidak bercakap apa-apa. Dia terus turun meninggalkan surau dengan tidak berpesan pun kepada tetamunya. Sewaktu mereka menjengah di tingkap surau, tergamam benar mereka melihat Lebai Suhud berjalan di udara dengan meniti cahaya putih yang merentang dari tangga surau ke udara.
Dalam masa beberapa saat sahaja orang tua itu hilang dalam silauan cahaya putih yang rnenegak ke udara. Terkebil-kebil mata Usup Bincut melihat kejadian yang tidak pernah dialaminya itu.
"Kita baliklah," segera Usup Bincut mengajak kawan-kawannya berkemas.
Kemudian dia terus masuk ke bilik air untuk mandi. Dalam masa terkuap-kuap di bilik air, terkejut Usup Bincut apabila mendapati kepala paip yang dipegangnya sudah berkarat. Puas dia memulas kepala paip itu namun air tidak juga mencurah keluar. Padahal sejak tiga malam mereka menunggu Lebai Suhud, memang di bilik air itulah mereka mandi.
Cepat-cepat Usup Bincut berpatah balik mahu memberitahu kawan-kawannya yang masih berbaring di tengah surau. Semakin tergamam Usup Bincut apabila mendapati lantai surau sudah reput dengan dindingnya kopak-kapik. Padahal semenjak mereka bertumpu di situ tiga malam berturut-turut semuanya dalam keadaan baik.
Sawang juga banyak merentang di setiap penjuru dan dinding surau yang reput itu. tetapi kole dan cawan yang mereka gunakan untuk minum kopi masih ada di tepi dinding. Malah sisa kopi yang diminum pun masih ada.
"Saleh, Jali, bangun!" tergesa-gesa Usup Bincut gerakkan kawannya supaya segera bangun.
Sekaligus mereka berdua bingkas bangun terpisat-pisat setelah dikejutkan oleh Usup Bincut. Terpinga-pinga mereka melihat Usup Bincut tercegat tidak keruan. "
Kenapa?" soal Jali Gendut kehairanan.
 "Tengok surau ni," beritahu Usup Bincut pendek, lantas menuding sekeliling surau yang kelihatan sudah reput lantai dan dinding. Tiang dan bendul juga hampir roboh ke bawah.
Memang mereka terkejut setelah melihat keadaan surau yang terlalu usang, tidak sama dengan bangunan surau yang mereka jejak tiga hari sebelumnya. Disebabkan ketakutan mereka bertiga tidak bertangguh meninggalkan bangunan surau.
Tiba sahaja di pertengahan jalan, mereka bertembung seorang lelaki separuh umur sedang menunggang basikal. Terus sahaja Usup Bincut menggamit lelaki itu supaya berhenti.
"Awak semua ni dari mana?" terus sahaja lelaki itu bertanya. Hairan juga dia terserempak Usup Bincut bersama kawannya di situ melalui jalan ke kebun getah.
"Kami jumpa Lebai Suhud," beritahu Usup Bincut tersengih-sengih. "Tiga hari kami tunggu, baru subuh ni dia balik," dia menambah masih cuba me-nyembunyikan rahsia yang mereka alami.
Belum sempat lelaki itu bercakap apa-apa, lantas Saleh Gonjeng pula bersuara, "Di mana rumah Lebai Suhud tu?"
"Lebai Suhud yang mana satu?" lelaki separuh umur itu bagaikan kebingungan tidak menentu.
 "Lebai Suhud tu berasal dari kampung saya, lebih dua puluh tahun dulu dia pindah ke sini," tersengih-sengih Usup Bincut menjelaskan.
Lama lelaki itu terdiam dengan dahi berkedut. Perlahan-lahan dia beristighfar beberapa kali sambil menatap muka Usup Bincut.
"Dah lapan tahun dia meninggal dunia," lelaki separuh umur itu tertunduk menahan rasa terharu dengan penjelasan yang diberitahu oleh Usup Bincut apabila terserempak Lebai Suhud subuh itu.
"Malam tadi kami minum kopi dengan dia' di surau tu," ujar Jali Gendut meyakinkan lelaki separuh umur itu.
Mengeluh panjang lelaki separuh umur itu sambil menggeleng lemah. Kemudian dia segera mengajak lelaki bertiga itu mengikutnya kembali ke surau usang peninggalan arwah Lebai Suhud.
Sebaik sahaja mereka jejak memula kaki ke surau berkenaan, semakin terkejut mereka disebabkan kawasan surau dikelilingi belukar yang terletak berhampiran tanah perkuburan. Semasa mereka ditunjukkan oleh lelaki separuh umur itu kubur Lebai Suhud, memang berdebar benar hati Usup Bincut apabila melihat kole dan cawan bekas minuman mereka tergolek atas kubur. Sisa kopi yang mereka minum juga masih baru kesannya dihurung semut.
"Kenapa kole dan cawan ni irdir di sini?" keluh Jali Gendut membongkok mencapai cawan tersebut lantas dibelek-belek.
"Cawan dan kole ni, saya punya," beritahu lelaki separuh umur itu terus mengambil nya dari Jali Gendut.
“Abang ni siapa?” lantas Saleh Gonjeng mendesak setelah merasakan pengalaman aneh yang ditempuhinya ketika itu.
"Nama saya Manap," beritahu lelaki itu terus mengumpulkan semula kole dan cawan-cawan di atas kubur yang bersepah. "Semasa arwah Lebai Suhud sakit, saya yang jaga, sebab dia tak ada saudara mara," tuturnya lemah apabila kenangkan arwah Lebai Suhud terlantar sakit.
Memang kejadian yang mereka alami itu bagaikan mimpi sahaja. Mereka percaya Abang Manap tidak berbohong apa-apa, setelah ditunjukkan kubur Lebai Suhud. Tentulah Lebai Suhud yang mereka temui di surau usang itu hanya jelmaan semata-mata.
Disebabkan Abang Manap mahu cepat ke kebun getah, mereka bertiga terus keluar menunggang motosikal masing-masing. Sampai sahaja di pekan kecil berhampiran simpang ke tanah perkuburan, mereka berhenti minum di warung.
Ketika dia bertanya peniaga warung mengenai Abang Manap yang mereka temui, memang peniaga warung itu mengenali Abang Manap murid kesayangan arwah Lebai Suhud. Tatkala Lebai Suhud terlantar sakit hanya Abang Manap satu-satunya yang menjaganya.
"Tapi, Abang Manap tu dah lebih tiga tahun meninggal," beritahu peniaga warung semacam tidak percaya apabila diberitahu mereka bertiga menemui Abang Manap mahu menoreh getah.
Meremang bulu tengkuk Usup Bincut apabila kenangkan Abang Manap juga sudah meninggal dunia. Jadi siapa pula yang mereka temui dalam masa tidak sampai tiga jam pada pagi berkenaan?
Tetapi kejadian yang di-alami di Jenderam itu tidak sedikit pun menakutkan Usup Bincut. Malah Saleh Gonjeng dan Jali Gendut juga tidak serik apa-apa, sekalipun, terserempak dengan orang yang sudah lama meninggal dunia. Mereka bertiga tetap rahsiakan kejadian tersebut, kerana bimbang diejek disebabkan terlalu asyik dengan nombor ekor.
"Hah, kita cuba bomoh muda di Sungai Kelamah tu," Saleh Gonjeng terus mendesak kawan-kawannya.
"Kau kenal dia?" Jali Gendut bimbang juga kalau dipermainkan orang. Mentang-mentang mereka gilakan judi nombor ekor, sampaikan apa sahaja disuruh mudah sahaja dipatuhi. Lainlah kalau bomoh yang ditemui itu memang benar-benar sudah dikenali.
"Kita cubalah dulu," cepat sahaja Usup. Bincut memujuk. Marah juga dia dengan sikap Jali Gendut yang teragak-agak mahu menemui bomoh muda yang dikatakan oleh Saleh Gonjeng. Perkara kenal atau tidak bukan penting sangat kalau mahu mencuba nasib. Kalau tidak mahu percaya, kenapa terpaksa bersusah payah mencari bomoh ke mana-mana?
Tiga malam berturut-turut mereka mengulangi bomoh di Sungai Kelamah itu. Memang bomoh tersebut masih muda benar lagi, hanya dalam lingkungan umur tiga puluh lima tahun sahaja. Dia baru sahaja balik setelah lama menetap di Sumatera.
Apabila diberitahu menge-nai hasrat mereka mahu dapatkan nombor ekor, lantas bomoh tersebut menyanggupi untuk mencuba. Manalah tahu tuah ada bersama mereka hinggakan nombor yang dibeli akan mengena. Tetapi bomoh muda itu sekadar menilik nombor yang akan ditikam aahaja, kerana dia sendiri tidak pernah berjudi membeli nombor.
"Kita kena sediakan seekor ayam panggang, bang," beritahu Udin Junuh bomoh muda berkenaan, apabila ditemui pada malam kedua. Malam pertama temui Udin Junuh sekadar mahu melihat terlebih dahulu perkakas yang perlu disediakan sebelum menyeru puaka yang akan menjelma memberikan nombor berkenaan.
"Nak buat macam mana ayam panggang tu?" sengaja Usup Bincut mahu mengusik.
"Malam besok kita jamu di rumpun buluh di kaki bukit," ujar Udin Junuh mengusap-usap lengannya.
"Ah, itu perkara senang, Usin!" sahut Saleh Gonjeng apabila diberitahu syarat mahu menyeru puaka di rumpun buluh. Apa sangatlah seekor ayam panggang dimasak mentah kalau bandingkan dengan untung yang diterima sekiranya nombor yang ditikam mengena?
"Tapi, abang semua mesti berani!" Udin Junuh meng-ingatkan supaya mereka bertiga jangan mudah gelabah sekiranya melihat jelmaan yang menakutkan.
"Kami dah biasa dengan perkara macam ni," jelas Jali Gendut macam mengejek. Apa sangat dibimbangkan dengan rumpun buluh di kaki bukit kalau bandingkan terserempak jasad arwah Lebai Suhud dan Abang Manap?
Selepas semua kelengkapan disediakan pada malam ketiga, tepat jam dua belas malam Udin Junuh mengajak mereka bertiga ke rumpun buluh di kaki bukit. Memang Udin Junuh sudah tentukan tempat tersebut sesuai dengan tujuan mereka mahu menyeru puaka menjelma datang. Siapa pun tidak tahu mereka ke situ disebabkan jauh dari kampung,
Sebaik sampai sahaja di bawah rumpun buluh lantas Udin Junuh bentangkan kain hitam. Usup Bincut membantu pasangkan lilin, sementara Saleh Gonjeng bakarkan bara untuk membakar kemenyan. Udin junuh mula menukar pakaian-nya lengkap serba hitam dengan kepalanya lilit kain merah.
Apabila dia mula membaca jampi mentera sambil mem-bakar kemenyan, Usup Bincut bersama kawan-kawannya Saleh Gonjeng dan Jali Gendut sudah bersiap sedia mengharapkan nombor yang akan ditikam menjelma di rumpun buluh. Tidak larna selepas Udin Junuh membakar kemenyan, tiba-tiba angin malam bertiup kencang. Terpaksa pula Usup Bincut lindungkan api lilin dengan kain supaya tidak padam di-serbu angin.
Saat ini masing-masing merasakan bulu roma mere-mang. Suasana tengah malam itu menjadi seram dengan bunyi kuang sayup-sayup di tengah rimba. Angin kencang itu juga cukup mendebarkan perasaan mereka seolah-olah kawasan itu diserkup bayang hitam yang menggerunkan.
"Nampaknya, kita kena berlawan, bang!" bisik Udin Junuh setelah puas mencuba beberapa kali, tetapi jelmaan  yang diseru tidak juga terconggok di depan mereka.
"Berlawan rnacam mana, Udin ?" bergetar suara Usup Bincut menahan rasa bimbang yang mengocak di hati,
"Abang semua jangan lari, kalau nampak apa-apa keluar dari rumpun buluh," tegas Udin Junuh mengingatkan sambil mengisar duduk.
"Saya rasa lain macam sikit, tapi jangan takut," dia meminta mereka semua berani menghadapi apa sahaja yong muncul di depan.
Tidak lama selepas angin kencang itu bertiup, mereka mendengar rumpun buluh bergegar kuat hampir sepuluh minit. Tiba-tiba sahaja mereka nnmpak lembaga besar berdiri di tengah-tengah rumpun buluh. Tubuhnya sama tinggi dengan pucuk rumpun buluh yang merimbun. Kepala lembaga itu botak serta tanduk tercancang di tengah-tengah. Matanya satu sahaja terkebil-kebil hampir sebesar cupak merenung ke arah mereka.
Sebaik terserempak sahaja lembaga bertanduk di celah rumpun buluh itu tiba-tiba sahaja Usup Bincut menggeletar ketakutan. Puas juga Saleh Gonjeng dan JaIi Gendut cuba kuatkan semangat, tetapi perasaan gementar Usup Bincut semakin mendesak.
Tidak perlu mereka bimbang apa-apa selagi Udin Junuh terconggok di situ bertahan daripada serbuan lembaga berkenaan. Hanya Udin Junuh satu-satunya akan menerima padah sekiranya tidak dapat mengawal lembaga berkepala botak dengan tanduk tercan-cang di tengah rumpun buluh itu.
Udin Junuh tidak berundur. Lama dia terconggok membaca jampi serapah lembaga tersebut tetap juga tercegat di tengah rumpun buluh. Marah benar Udin Junuh bagaikan dicabar oleh lembaga besar itu. Tiba-tiba Udin Junuh melompat lantas menerkam ke arah lembaga besar tercegat di tengah rumpun buluh.
"Biadap kau!" jerit Udin Junuh terlalu marah dicabar oleh lembaga tersebut. "Aku bukan panggil kau, kenapa kau yang menjelma?" gerutunya memencak tangkas sambil menggenggam pasir terus dilontarkan ke muka lembaga berkenaan.
Dalam masa Udin Junuh berlegar-legar memencak menyambut cabaran lembaga bertanduk di tengah rumpun buluh itu, Usup Bincut tidak tahu lagi apa yang berlaku. Dia rebah ke tanah akibat ketakutan, menyebabkan Saleh Gonjeng dan Jali Gendut menggelabah tidak -menentu.
Setelah seminggu Usup Bincut terlantar tidak sedarkan diri selepas dibawa balik ke rumahnya itulah Kadir Misai mengajak saya ke Felda tersebut. Memang Kadir Misai satu-satunya diharapkan oleh Bedah, kerana suaminya mempunyai hubungan keluarga dengan isteri Kadir Misai.
"Macam itulah mulanya dia jadi macam ni, ustaz," beritahu Bedah mengerling suaminya yang terkejang tengah rumah tidak sedarkan diri. Memang Saleh Gonjeng dan Jali Gendut juga mengakui penjelasan Bedah hingga menyebabkan Usup Bincut menerima padah demikian.
 "Udin Junuh dah cuba pulihkan, tapi dia juga dak tak sanggup, ustaz," ujar Saleh Gonjeng menunduk seolah-olah terbayang kekesalan pada wajahnya yang sugul.

Saturday, January 21, 2017

212.JEMBALANG TANAH DI BUSUT HITAM


PANTANG larang turun temurun tetap dipegang oleh nenek kukuh-kukuh menjadi petua yang mesti dipatuhi. Dia tidak akan melanggar pantang larang dari yang sekecil-kecil hinggalah yang sebesar-besarnya. Kalaulah tidak disebabkan dia sudah bertekad tidak mahu lagi menjadi bidan selepas saya dilahirkan, memang neneklah satu-satunya bidan yang diharapkan oleh orang-orang di kampung.
Apalagi tatkala orang-orang kampung tidak lagi menumpu ke hospital seperti sekarang, memang bidan seperti nenek saya inilah tempat mereka menggantung harapan. Bukan nenek sahaja malah Dukun Samid dengan Mudim Encol juga menjadi tumpuan mereka.
Sewaktu Mudim Encol sunatkan Madun Celet tiba-tiba sahaja darah turun banyak tidak henti-henti, terpaksa juga dia menjemput Dukun Samid. Selepas Dukun Samid bubuhkan tasak yang diambil dari sawang di kasau atap, cepat sahaja darah Madun Celet berhenti macam air disekat empang.
Dukun Samid juga tergesa-gesa menyuruh dijemput nenek saya sewaktu dia mengubati Melah meracau-racau tidak menentu. Apabila nenek saya potongkan bawang merah ditenyeh ke dalam piring berisi minyak kelapa, lantas sahaja Melah bangun tercengang-cengang. Terpinga-pinga dia bertanyakan apa telah berlaku ke atas dirinya.
Memang mereka bertiga saling bekerjasama apabila menghadapi kesukaran sewaktu dijemput orang-orang kampung. Apalagi ketika ini jalan kampung hanyalah tanah merah memanjang, tidak ada kemudahan bagi mereka mahu ke pekan mendapatkan rawatan.
"Saya dah tak sanggup lagi berbidan," jelas nenek apabila dijemput orang setelah dia membuat keputusan tidak mahu lagi menjadi bidan. Dia tidak sanggup menempuh geruh jika digagahi juga membidankan ibu sarat mengandung.
Sudah menjadi pantang larang dia tidak boleh membidankan anak sendiri. Tetapi tatkala emak saya sarat mengandung, nenek sendiri tidak dapat mengagak sama ada emak saya sudah sampai resa ataupun belum. Tidak ada tanda-tanda emak saya akan bersalin sewaktu dia sarat mengandungkan saya.
Sebab itulah ayah saya ke rumah Tok Aji dan Nenek Aji kerana kenduri sambutan Mauludar Rasul. Menjadi kelaziman Tok Aji setiap tahun akan adakan kenduri menjelang Mauludar Rasul di madrasahnya untuk sama-sama bertahlil dan bersalawat.
Hanya sebelum maghrib tiba-tiba emak saya mula merasa perutnya sakit lantas melaung nenek dari tingkap disebabkan rumah kami berdekatan. Sewaktu nenek datang bersama bapa saudara saya Usu Jusuh, hujan sudah mula turun rintik-rintik.
Memang nenek sudah tahu emak saya tengah sakit mahu bersalin. Kalau mahu dipanggil bidan lain tidak sempat pula Usu Jusuh ke rumah Tok Aji memberitahu ayah saya. Dalam keadaan terdesak itu nenek, terpaksa menyuruh Usu Jusuh memberitahu ayah saya fasal keadaan emak saya.
Sebaik sahaja diberitahu mengenai emak saya hampir mahu bersalin ayah saya cepat-cepat balik ke rumah. Tok Aji dan Nenek Aji terpaksa juga teruskan kenduri disebabkan jiran-jiran sudah diberitahu. Hairan juga ayah saya dengan keadaan tersebut disebabkan emak saya tidak ada tanda-tanda akan bersalin, kecuali ikut ramalan bidan sekurang-kurang nya dalam tempoh seminggu lagi.
Tetapi nenek saya sudah meraba perut emak saya, memang jelas resa akan melahirkan itu sudah diketahuinya. Belum pernah lagi nenek tidak dapat mengesan fasal ibu sarat mengandung mahu melahirkan. Dia satu-satunya bidan yang berpengalaman di kampung itu. Bidan yang lainpun terpaksa meminta tunjuk ajarnya selepas dia bernekad tidak mahu lagi berbidan.
"Memang dah sampai resanya," beritahu nenek kepada ayah saya disebabkan emak saya semakin gelisah.
Ketika ini Abang Tapa yang diuruhnya menjemput Bidan Nah masih juga belum menjengah datang. Di luar, hujan mulai turun lebat menyebabkan ayah saya juga tidak senang duduk menunggu Abang Tapa balik. Tatkala Usu Jusuh disuruh menjemput ayah saya di Kampung Hilir, nenek menyuruh anak angkatnya Abang Tapa ke rumah Bidan Nah. Kalau menjemput Bidan Nah tentulah boleh singgah di rumah Pak Tua Mahat juga yang tinggal di Kampung Hulu.
Kalau Pak Tua Mahat datang sebelum emak melahirkan, tidaklah bimbang sangat nenek. Tetapi saat cemas ini tidak dapat dielakkan juga, apabila emak semakin sakit sebelum sempat Bidan Nah menjengah muka. Sebaik sahaja seruan azan bergema di surau masuk waktu isya tatkala hujan turun lebat, nenek terpaksa juga membidankan emak saya.
Belumpun habis seruan azan beralun-alun bersama deru hujan itulah saya dilahirkan dengan nenek terpaksa membidankan. Mahu tidak mahu dia terpaksa melanggar pantang larang apakala membidankan anak sendiri dalam saat cemas demikian.
Sebaik sahaja saya dilahirkan nenek menjadi serba salah kerana tidak menangis seperti bayi yang lain. Dua tangan saya melekap ke telinga seolah-olah bercantum melekat tidak boleh direnggangkan. Dalam keadaan tidak tahu apa mahu dilakukan inilah Tok Aji bersama Nenek Aji datang dengan berpayungkan daun pisang.
"Siapa yang bidankan budak ni?" lantas Nenek Aji bertanya sebaik sahaja naik ke rumah.
"Saya sendiri, bisan," sahut nenek lemah disebabkan terpaksa melanggar pantang larangnya sendiri. "Tapi, budak ni tak menangis nampaknya," ujar nenek kesal dengan kejadian yang menimpa saya. Dia percaya tentulah akibat melanggar pantang larang menyebabkan saya dilahirkan tidak menangis langsung seolah-olah bayi tidak bernyawa.
Cepat-cepat Tok Aji mengambil saya terus melekangkan tangan saya daripada melekap ke telinga dengan membacakan Fatihah tiga kali. Sebaik sahaja tangan saya lekang daripada telinga barulah saya menangis sama seperti bayi lain yang dilahirkan.
Saat inilah pula Abang Tapa balik bersama Bidan Nah dalam keadaan basah kuyup ditimpa hujan. Setelah Bidan Nah sampai, nenek serahkan semua urusan kepadanya untuk mengerat pusat dan memandikan bayi.
"Kawan serahkan pada awaklah Bidan Nah," ujar nenek terus sahaja mengelak.
"Tak usahlah risau, bisan," Tok Aji sengaja mengusik nenek yang resah dengan kejadian itu. "Agaknya budak ni lahir tengah menyeru azan, sebab tu dia tak menangis," jelasnya ketawa lembut disebabkan nenek saya kesal benar apabila melanggar pantang larang.
Sudah beberapa kali anak-anaknya melahirkan memang nenek tidak akan membidankan. Setelah menyedari anak-anaknya hampir bersalin nenek akan segera menyuruh dijemput Bidan Nah. Tahu sangat Bidan Nah pantang larang nenek tidak boleh membidankan anak sendiri.
Bukan takat membidankan sahaja nenek pegang pantang larang, bahkan mencabut akar kayu di tepi hutan juga dia tidak akan melanggar petua. Selepas bersalawat tiga kali, sekiranya anak kayu tidak boleh dicabut sekali rentap, nenek tidak akan mengulanginya. Dia akan mencari anak kayu yang lain pula untuk dicabut akar.
Sebab itulah apabila mencari limau berlangir, nenek mudah sahaja dapatkan limau tatkala pokok-pokok limau tidak berbuah. Setelah puas mencari limau di dalam kampung, sekiranya tidak juga ada pokok yang berbuah nescaya nenek duduk tercokok di perdunya. Setelah menepuk perdu pokok tiga kali nenek akan membacakan jampi serapahnya:
 "Assalamualaikum hai nenek kayu, nenek penunggu segala batu, aku nak minta sebiji limau, buat ubat si anu, aku tahu asal kau lima, limpa anu asal kau limau, berkat la-illahha illallah, hu....
Setelah dihembuskan ke perdu pokok tiga kali, nenek akan mencongkil di perdu pokok dengan hujung mata parangnya. Di situ nescaya tersembul sebiji buah limau, sekalipun pokoknya tidak berbuah langsung. Memang siapapun hairan bagaimana nenek boleh dapatkan buah limau, tatkala tidak sebatangpun pokok limau berbuah.
"Macam mana Kak Ibah dapat buah limau?" Bidan Nah sendiri hairan disebabkan dia puas mencari limau untuk melangir tembuni uri.
"Hah, ada di balik-balik daunnya, awak tak tengok betul-betul," sahut nenek sengaja berahsia. Tetapi mereka tahu selepas nenek mencongkil perdu pokok mendapatkan buah limau berkenaan, nescaya pokok berkenaan akan layu daun dalam tempoh tiga hari sahaja.
Hanya selepas dia membidankan emak itulah nenek mengidap tokak di buku lali kakinya. Terpaksa dia pupukkan dengan pucuk daun kenan sampai berkerak-kerak keras namun tokaknya tidak juga sembuh. Ketika ini pusat saya juga membengkak macam buah pinang tengah merah.
Apabila diberitahu kepada Tok Aji mengenai pusat saya membengkak hingga bernanah, dia pangkah sahaja dengan kapur sirih. Tok Aji bacakan Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali diikuti dengan doa yang khusyuk daripada jiwa sanubarinya:
"Allahhumma rab-binnasi azhibalbasa isyfi antasy-syafi....1a-syifa-a illa-syifa-uka syifa-an layu-ghadiru saqaman."
Dalam tempoh sehari semalam sahaja pusat saya yang membengkak surut tidak bertahan. Serentak dengan itu tokak di buku lali kaki nenek saya juga mengecut macam terung dicelur ke air panas. Memang nenek dapat mengagak segala bencana yang ditempuhinya itu disebabkan dia melanggar pantang larang berbidan.
Bukan sehari dua dia mengamalkan petua yang diturunkan oleh arwah emaknya sebelum mampu menjadi bidan yang berpengalaman. Dia terpaksa ikut sama mencabut akar kayu buat ramuan ibu-ibu bersalin sebelum diturunkan amalan berbidan.
Setiap akar kayu ditentukan khasiatnya biar hilangkan rengat gunakan akar pasak bumi, pecahkan angin diramu dengan akar tutup bumi, kalau sengugut carikan akar sangka buana. Nenek dilatih supaya mengenali setiap jenis akar sebelum diturunkan petua tidak boleh merentapnya diulang-ulang sekiranya tidak dapat dicabut sebaik sahaja digenjur sekali!
Selepas tahu ramuan akar kayu barulah dia diajar amalan meng-urut seluruh urat badan, kalau dimasuki angin diurut songsang, kalau sengugut diurut menurun, kalau terkena angin bisa perlu dijampi sambar urat. Semuanya amalan yang diturunkan oleh arwah emaknya me-mang mempunyai pan-tang larang yang mesti dipatuhi.
Setelah mahir fasal urut mengurut barulah dia dilatih dengan menyambut bayi. Kalau sampai resa beri minum air selusuh, kalau songsang jampikan uri, kalau disampuk gangguan syaitan nenek akan membakar kemenyan menyeru pendampingnya membantu. Disebabkan menyeru pendamping itulah dia mesti mematuhi pantang larangnya biar sempurna segala amalan yang diturunkan kepadanya.
"Kalau saya dah langgar pantang, cukup lah saya menjadi bidan ni," tutur nenek perlahan setelah dia tidak berdaya mahu mengubati tokak di buku lali kakinya. Ketika ini dia sudah membakar kemenyan menyeru pendampingnya bersemuka setelah dia menyedari melanggar pantang larang.
"Kenapa awak bidankan anak awak sendiri?" gerutu Tok Syeikh menjelma di depannya dengan berpakaian jubah serba kuning. "Habis, nak biarkan anak kawan beranak tak berbidan!" sahut nenek mencebek bibir meluahkan rasa mendongkol di hati.
"Tapi, awak tak kerat pusat, awak juga tak mandikan bayi tu," ujar Tok Syeikh perlahan memujuk nenek, kerana nenek tidak melanggar pantang larang yang ditetapkan.
"Memang kawan tak langgar pantang, tapi kenapa tokak di buku lali kaki kawan ni?" marah benar nenek disebabkan tokaknya masih juga tidak sembuh setelah berminggu-minggu.
"Hah, tokak awak tu bukannya fasal langgar pantang," beritahu Tok Syeikh memberi keyakinan kepada nenek.
"Jadi, apa salahnya?" soal nenek bertambah berang menatap muka Tok Syeikh yang tersengih-sengih merenungnya.
"Awak terpijakkan tempat jembalang tanah berumah," ujar Tok Syeikh menuding ke arah ular hitam yang garang mengangkat kepala di tepi belukar tempat nenek menebas tapak semaian padi.
"Kenapa Tok Syeikh tak lindungkan kawan?" lantas nenek menyindirnya kerana tidak dapat bertahan daripada gangguan syaitan yang menjelma menjadi ular hitam di tepi belukar.
"Macam mana nak lindungkan, sebab awak lalai sampai terpijak tempat dia," dalih Tok Syeikh terpaksa berundur apabila ular hitam itu cuba menerkam ke arahnya.
Sambil berligar-ligar Tok Syeikh memukul kepala ular itu dengan tongkatnya buluh tumpat berwarna kuning. Terpelanting ular itu akibat dipukul kepala hingga bergulung-gulung menggelepar.
Tetapi ular hitam tidak mengalah sekalipun mengkitai-kitai kepala selepas dipukul kuat. Tubuhnya beransur-ansur menjadi asap debu hingga bertukar menjadi perempuan tua dengan rambut beruban mengerbang serta muka berkedut hodoh.
Belum sempat Tok Syeikh mara ke hadapan memukulkan tongkat buluh tumpatnya, perempuan tua menghentakkan tongkatnya batang bemban hingga memancar api yang menyambar. Terpaksa Tok Syeikh undur ke belakang lantas membuka serbannya terus dikibaskan ke api yang menyala marak..
Api yang marak menyala itu bagaikan ditiup angin kencang meliuk ke arah perempuan tua hingga hampir menyambar rambutnya yang mengerbang putih. Tersengih-sengih perempuan tua itu mengelak daripada disambar api. Terketar-ketar dia melompat ke atas busut hitam dalam keadaan termengah-mengah.
"Nak berlawan sangat awak ni Tok Syeikh!" ejek perempuan tua itu melenggok lenggokkan kepalanya laksana ular diterpa musuh.
"Kalau awak nak cuba, apa salahnya?" sahut Tok Syeikh menghentak-hentak tongkat buluh tumpatnya.
"Awak penghulu bunian, kenapa nak tolong Bidan Ibah ni?" terketar-ketar suara perempuan tua itu mengerling nenek yang duduk bertimpuh membiarkan asap kemenyan berlabun naik di tengah rumahnya.
"Kenapa pula awak jembalang tanah nak ganggu dia!" jerkah Tok Syeikh mengeje-nya. "Selagi aku ada, jangan cuba nak ganggu sahabat aku ni," dia memberi amaran menudingkan tongkat buluh tumpatnya ke muka perempuan tua rambut putih mengerbang itu.
Tertunduk perempuan tua itu apabila Tok Syeikh menuduhnya jembalang tanah. Saat ini dia tidak dapat menyembunyikan dirinya setelah nenek dapat membaca rahsia perempuan tua berkenaan. Apabila perempuan tua itu cuba memusingkan badan Tok Syeikh menghembus ke arahnya, menyebabkan tiba-tiba sahaja jaring besi jatuh dari udara menyerkupnya.
Terlalu marah perempuan tua rambut mengerbang putih itu disebabkan terkurung di bawah serkup jaring besi. Puas diketuk-ketuknya dengan tongkat batang bemban jaring besi itu tetap tersergam kukuh. Kemudian dia membongkok menggenggam pasir lantas dilimparkan ke jaring besi hingga terpokah bagaikan cair dilebur ke api.
Terkekeh-kekeh dia ketawa mengejek sebaik sahaja dapat membolos keluar daripada jaring besi terserkup itu. Ketika ini Tok Syeikh membisikkan kepada nenek supaya membacakan:
"Unggun-unggun anggah-anggah datang nenek tongkat besi, terlanda engkau patah terpijak engkau mati, mata kamak mata kamu, kamu budang badang, siah kiri siah kanan siahkan kata aku, aku tahu asal kau jadi, darah ular sekati munur asal kau jadi, Yassin kata Allah, Yassin kata Muham-mad, Yasisn kata ba-ginda Rasullullah, ber-kat la-illahha illallah hu..."
Habis sahaja nenek membacakan jampi serapah yang diajarkan oleh Tok Syeikh, dia melihat Tok Syeikh juga berundur ke belakang. Perempuan tua rambut mengerbang putih itu terpinga-pinga apakala mendengar tanah bergegar bagaikan dipijak tapak kaki sebesar bukit,
Nenek terus memejamkan mata membiarkan asap kemenyan melabun hingga menyelubungi seluruh badannya. Di tengah-tengah gegaran tanah itu dia mendengar suara Tok Aji mendehem jauh di udara. Apakala nenek mendongak dia melihat Tok Aji berjalan di udara laksana berjejak di tengah halaman
"Saya tak sanggup lindungkan Bidan Ibah, aji," lemah sahaja suara Tok Syeikh menunduk sebaik sahaja Tok Aji tercegat di hadapannya. "Kamu juga makhluk, tak berhak lindung kan sesama makhluk," Tok Aji mengingatkan Tok Syeikh yang tersengih-sengih malu disindir.
Tok Aji memang tahu perempuan tua yang dipanggil jembalang tanah itu tidak akan mampu menewaskan Tok Syeikh, tetapi Tok Syeikh sendiri tidak berupaya lindungkan nenek sekiranya diganggu. Kalaulah tidak disebabkan hati nenek cekal melawan gangguan itu nescaya dia juga tewas tidak dapat bertahan.
Kemunculan Tok Aji secara tiba-tiba itu menyebabkan perempuan tua rambut mengerbang putih itu gelisah tidak menentu. Tatkala dia cuba menghampur dari busut hitam kakinya tiba-tiba menjadi lemah. Menyeringai dia menampakkan gusi yang bergigi jarang laksana anjing disorongkan belantan ke rahang.
"Aku bukan nak bermusuh dengan awak, aji," ujar perempuan tua itu ketakutan menjadikan kulit mukanya yang berkedut bertambah hodoh.
Tok Aji tidak peduli apapun dituturkan oleh perempuan tua berkenaan. Dia merenung tepat muka hodoh perempuan tua itu tergolek ke tepi busut hitam terkial-kial berpaut di situ. Belum sempat dia bangun berdiri tegak, Tok Aji mengisar tapak tangan nya membacakan surah al-Ikhlas tiga kali menyebabkan perempuan tua itu jatuh terhenyak. Terketar-ketar dia memegang pinggangnya bagaikan patah akibat terhentak kuat.
"Nak bunuh aku ke, aji?" rungut perempuan tua itu menyeka rambutnya yang beruban mengerbang hingga menutup muka.
Tetapi Tok Aji tidak hiraukan gerutu perempuan tua berkenaan. Dia bacakan Ayatul Kursi 17 kali dihembuskan sekaligus ke muka perempuan tua itu, hingga tiba-tiba sahaja kulit mukanya cair bagaikan lilin dicucuh ke api. Kulit mukanya juga luruh laksana kertas buruk terendam di air yang diramas-ramas kasar.
Apakala perempuan tua mahu meraba kulit mukanya biji matanya juga tersembul keluar, menyebabkan dia terjerit-jerit tidak ketahuan. Tok Syeikh yang melihat kejadian itu juga menjadi gementar hingga tidak berani bercakap sepatah apapun.
Sebaik sahaja tubuh perempuan lebur menjadi debu, nenek juga tersentak di tengah rumah. Bara tempat membakar kemenyan juga sudah padam menjadi arang. Terasa seluruh badannya berpeluh dengan ombak dada termengah-mengah. Usu Jusuh yang berbaring di serambi sekadar mendengar nenek merungut-rungut sahaja di tengah rumah.
Kalau nenek membakar kemenyan tengah malam, memang Usu Jusuh tidak ambil peduli sangat. Dia tahu nenek menyeru Tok Syeikh datang menjelma sekiranya dia terdesak. Lainlah kalau nenek memanggilnya ambilkan air atau perkakas ubat-ubatan yang diperlukan barulah Usu Jusuh membantu.
 Bangun esok paginya nenek merasakan tokak di buku lali kakinya tidak lagi berdenyut sakit. Bengkaknya juga sudah mula mengecut. Tatkala dia datang menjengah saya, memang nenek menghela nafas lega setelah melihat bengkak di pusat saya juga sudah seruh benar. Dia tahu memang Tok Aji yang doakan supaya bengkak di pusat saya cepat sembuh.
Tidak lama selepas kejadian itu, tiap-tiap malam pula saya kembung perut hingga menangis santak dinihari. Gelabah juga emak dan ayah saya disebabkan kembung perut itu sampai keras macam kulit tabuh di surau.. Puas ayah saya doakan, tetapi kembung perut itu reda buat sementara sahaja.
Tatkala saya tenar menangis, ayah saya bacakan sahaja surah al-Ikhlas sampai 100 kali. Habis sahaja ayah saya bacakan doa tersebut, lantas sahaja saya terberak tidak bertahan. Selepas terberak barulah saya tidur nyenyak sampai ke pagi.
Tetapi malam esok nya kembung perut itu berulang lagi. Kesal juga nenek kerana dia melanggar pantang larang berbidan, sekali pun Tok Syeikh memberitahu dia tidak melanggar apa-apa pantang larang yang ditetapkan kerana tidak memotong pusat dan tidak memandikan bayi. Macam manapun nenek tetap merasa dirinya bersalah menyebabkan saya sentiasa sakit sahaja semasa baru dilahirkan sampai enam bulan usia.
"Biarlah nenek tak berbidan lagi," beritahu nenek selepas bertahun-tahun dia mengambil keputusan nekad berhenti terus menjadi bidan. Puas dipujuk orang-orang kampungnya, nenek tetap dengan keputusannya. Dia tidak akan menjadi bidan lagi selepas sahaja saya dilahirkan.
"Kenapa nenek mesti terima pantang larang?" sengaja saya mengusik apabila sekali sekala berkunjung ke rumahnya.
"Hah, adat kita berbidan mestilah ikut pantang larang," jelas nenek perlahan. "Kalau di hospital nak jadi bidan kena pakaian serba putih, jadi pantang larang ini ialah pakaian bidan kampung," tersengih-sengih nenek macam menyindir saya.
Nenek percaya gangguan yang saya alami semasa kecil memang jelmaan jembalang tanah yang mengambil kesempatan apabila nenek melanggar pantang larang. Tetapi Tok Aji sekadar menjelaskan, "Apapun penyakit datangnya dari Allah Subhanahu Wata'ala untuk menguji kesa-baran hamba-Nya".
Kejadian yang saya alami itu memang tidak pernah saya tahu langsung. Kalaulah tidak diceritakan oleh nenek, manalah saya tahu kejadian pusat saya membengkak sebesar buah pinang masak menyebabkan pusat itu tersembul sebaik sahaja sembuh. Bimbang juga emak saya kalau-kalau bengkak berkenaan boleh menyebabkan perut berkulit lembut itu akan berlubang pesuk.
"Tapi Allah mengetahui yang nyata dan yang tersembunyi," tutur nenek apabila kenangkan kejadian yang menimpa saya semasa baru dilahirkan dulu.
Hinggalah nenek meninggal dunia memang dia tidak lagi mahu membidankan sesiapa sahaja, setelah dia nekad membuat keputusan. Tetapi ke manapun dia pergi orang-orang kampung tetap memanggilnya bidan juga.
Sebab itulah terkejut juga saya apabila Ngah Katib yang sudah lama berpindah ke Segamat memberitahu fasal nenek saya membidankan menantunya tengah mengerang-erang sakit sebelum bidan klinik dijemput datang. Memang menantunya Mejirah dibenarkan bersalin di rumah sahaja disebabkan bersalin kali ke-dua.
Sebaik sahaja anaknya Sidin menunggang motosikalnya ke klinik, bidan yang bertugas sudah ke kampung lain pula membidankan orang. Gelabah juga Sidin disebabkan cuma seorang sahaja bidan bertugas di kampung demikian dalam masa dua orang ibu sarat mengandung hampir melahirkan anak.
Terpaksalah Sidin berpatah balik. Setidak-tidaknya dia boleh meminta bantuan jiran-jiran supaya membawa isterinya ke hospital sahaja. Dalam keadaan senja semakin gelap, masih ada masa lagi kalau mahu membawa Mejirah ke hospital.
Tatkala membelok masuk ke simpang ke kampungnya dari jalan besar, Sidin ditahan oleh nenek saya. Tergamam juga Sidin disebabkan dia kenal sangat dengan ayahnya Ngah Katib. Memang dia tahu ayahnya datang dari daerah yang disebutkan oleh nenek saya, tetapi sudah lama dia tidak jejak kaki balik ke kampung.
Semenjak berpindah dari kampung halaman ke Segamat, Ngah Katib tidak pernah lagi jengah muka. Apa sangat mahu diharapkan di kampung disebabkan dia sendiri tidak ada saudara mara sangat setelah kedua ibu bapanya meninggal dunia. Apalagi kedua ibu bapanya menumpang di tanah nenek tegak rumah semasa di kampung.
"Eh, Mak Ibah buat apa ke Segamat ni?" terkejut juga Ngah Katib apabila anaknya Sidin membawa nenek saya balik ke rumah bersamanya.
"Aku nak ke rumah angah, tak tahu di mana," keluhnya pendek sambil menunjukkan alamat saya sewaktu tinggal di Segamat beberapa tahun lampau.
"Dia tinggal di sini ke?" terkejut juga Ngah Katib apabila diberitahu saya ada di Segamat. Dia sendiri tidak cam saya kalau terserempak pun, kecuali tahu sangat saya cucu Bidan Ibah.
Alamat tempat tinggal saya yang ditunjukkan oleh nenek itu memang jauh dari kampung berkenaan. Masakan nenek boleh sampai tatkala malam sudah bertambah gelap. Lagipun tidak ada lagi bas melintas setleah lebih jam 5.00 petang ketika itu.
Disebabkan Merijah semakin berat mahu melahirkan anak, Sidin tidak peduli sangat kedatangan nenek yang menjadi tetamunya. Dia gelabah mahu membawa isterinya ke hospital sahaja setelah meminta pertolongan jiran-jiran. Mereka terpaksa pula mencari kereta sewa di pekan kecil yang berdekatan sedangkan keadaan Merijah sudah tidak boleh lagi ditunggu.
"Mak Ibah, tolonglah tengokkan menantu saya ni," desak Ngah Katib cemas dengan keadaan Merijah.
Nenek saya tidak menyahut. Dia mara ke hadapan meraba-raba perut Merijah. Kemudian dia menggeleng kepala sambil menutur kan perlahan, "His, songsang kedudukan budak ni."
Lantas nenek meminta air segelas. Setelah dihulurkan kepadanya dia menghirup sedikit bagaikan berkumur-kumur, kemudian disemburkan ke perut Merijah. Apabila tangannya membetulkan punggung bayi di dalam kandungan yang terdorong ke bawah, dengan menolak kepalanya ke bawah, tidak sampai beberapa minit Merijah selamat melahirkan bayinya.
Macam manapun nenek enggan mengerat pusat bayi. Terpaksa pula menunggu bidan klinik yang sudah dipesankan oleh Sidin. Dalam masa beberapa minit sahaja pula bidan berkenaan sampai termengah-mengah kerana tidak menduga Merijah bersalin pada hari berkenaan.
Tetapi dia tidaklah membantah setelah dibantu oleh nenek saya membidankan bayi berkenaan. Bidan berkenaan yang mengerat pusat dan memandikan bayi itu. Memang nenek bermalam juga di rumah Ngah Katib, sebelum pagi-pagi esoknya dia berkeras juga mahu mencari rumah tempat saya tinggal.
Tiga hari selepas Merijah selamat bersalin, Ngah Katib mengajak anaknya Sidin mencari rumah saya. Dia percaya tentu nenek masih belum balik ke kampung. Terhutang budi benar dia pada nenek setelah membantu membidankan Merijah.
Kalau nenek tidak datang dalam saat Merijah mengerang-erang kesakitan sebelum bidan klinik sampai, memang Ngah Katib mati akal langsung. Apalagi Kak Temah bidan di kampung itu tidak berani membantu setelah meraba bayi dalam kandungan kedudukannya songsang. Kak Temah sendiri mendesak supaya Merijah dibawa sahaja ke hospital sekiranya bidan klinik tidak sampai.
Dalam saat cemas inilah Ngah Katib berulang kali menyebut nama nenek fasal kemahirannya membidan kan sekalipun bayi berkedudukan songsang dalam kandungan. Tahu sangat Ngah Katib disebabkan dia lama duduk di tanah nenek sampai berkawan rapat dengan Abang Tapa anak angkat nenek.
Tetapi Ngah Katib tidak pula menyedari nenek tidak lagi berbidan selepas saya dilahirkan. Sehingga saya dewasa pun Ngah Katib tidaklah tahu sangat nenek tidak berbidan disebabkan dia bekerja di estet. Hanya sekali sekala menjengah emak dan ayahnya sahaja semasa mereka masih hidup lagi. Selepas kedua-duanya meninggal dunia memang Ngah Katib tidak pernah lagi balik ke kampung.
Hampir juga saya tidak cam dia sewaktu tercegat di tengah halaman memberi salam.
"Macam mana ngah tahu saya tinggal di sini?" hairan juga saya disebabkan dia tiba-tiba sahaja menjengah muka, lantas mempelawanya naik ke rumah.
Dia hanya tersengih-sengih sahaja tidak mahu memberitahu. Perkara di mana dia mendapat tahu alamat tempat tinggal saya tidak penting sangat setelah dapat bersua muka demikian. Lebih dua puluh tahun dia tidak bertemu tentulah masing-masing tidak cam lagi di antara satu sama lain.
Apalagi Ngah Katib sudah botak kepala dengan uban memutih di sekeliling kepala-nya. Tubuhnya juga sudah gemuk boyak tidak sama dengan sewaktu dia balik sekali sekala menjengah emak dan ayahnya.
Lama dia terhangak-hangak memandang ke dalam, barulah Ngah Katib memberitahu mengenai nenek membidankan menantunya Merijah. Kalau tidak disebabkan nenek memberikan alamat rumah saya tentulah dia tidak dapat jejakkan kaki ke situ.
"Ah, takkan nenek yang bidankan," ujar saya semacam tidak percaya sangat dengan penjelasannya. "Betul ustaz, saya bawa dia balik naik motor," sahut Sidin memberitahu fasal terserempak nenek saya di simpang ke jalan besar selepas turun dari bas.
"Lagipun nenek tak mahu bidankan orang lagi," jelas saya selanjutnya.
"Dia kata nak ke sini, tak ada dia datang?" lantas Ngah Katib bertanya setelah lama menunggu nenek tidak juga keluar.
Barulah saya menghela nafas sambil beristighfar panjang menginsafi akan kebesaran Allah Azzawaj-jala. Terasa diri terlalu kerdil di sisi Allah yang Khaliq. Tidak saya sedari saat ini tiba-tiba sahaja pelupuk mata digenangi air menahan rasa terharu yang amat menyebak di dada.
Apabila kenangkan nenek yang seumur hidupnya sudah tidak mahu lagi berbidan tiba-tiba sahaja membantu menantu Ngah Katib sewaktu lelaki itu berulang kali menyebut namanya.
"Kalaulah Mak Ibah ada, tentu tak susah Merijah ni nak bersalin," tidak putus-putus Ngah Katib menuturkan setiap kali melihat keadaan menantunya mengerang-erang kesakitan. Sebab itulah tidak bertangguh dia mencari tempat tinggal saya setelah nenek memberitahu akan ke rumah. Sekalipun Sidin mahu menghantarkan, tetapi dia sekadar menyuruh anak muda itu menjaga isterinya sahaja.
"Nenek sudah meninggal dunia lebih lima belas tahun dulu," bisik saya perlahan menyebabkan Ngah Katib tersentak bagaikan tidak percaya dengan penjelasan saya. Baru tiga hari sahaja dia melihat nenek membidankan Merijah, bagaimana pula saya memberitahu sudah lebih lima belas tahun nenek rneninggal dunia.
Malah nenek sendiri yang memberikan alamat tempat tinggal saya kepadanya mendesak supaya menemui saya. Ketika ini saya juga melihat pelupuk mata Ngah Katib digenangi air.