Sunday, February 26, 2017

217. TUBUH CAIR SEPERRI LILIN DIBAKAR



Jalan ke Kampung Hujung Rintis sudah diturap dengan minyak tar. kereta sudah boleh masuk hingga ke halaman rumah Uda Jali. Tidak sama dengan lima belas tahun dahulu, terpaksa melalui jalan tanah merah yang berdebu. Kemudian terpaksa pula rnenunggu bot penambang di Bagan Datoh sebelum dapat menyeberangi sungai ke Kota Setia.

Bot yang menyeberang dari Bagan Datoh pula hanya dua kali sahaja dalam sehari mengangkut penumpang. Apabila tiba di Karnpung Hujung Rintis atau Kampung Kota Setia, terpaksa pula berjalan kaki sejauh Iima batu melalui jalan tanah merah yang berdebu. Lainlah kalau diberitahu terlebih dahulu kepada Uda Jali, dia boleh menunggu dengan motosikal penambang di tebing sungai. Tetapi bukan mudah mahu menghubungi Uda Jali sekalipun dikirim surat. Belum tentu lagi surat yang dikirimkan kepadanya boleh sampai ke tangannya dalam tempoh seminggu dua. Hanya seminggu sekali sahaja bot penambang membawa surat-surat untuk penduduk-penduduk di situ."

Lima belas tahun dulu, kampung ni siapa pun tak mau jengah, ustaz," ujar Uda Jali menyapu-nyapu mulut selepas makan malam.

"Ustaz pun bukannya ingatkan kami," sampuk Nyah Binah isteri Uda Jali mengerling suaminya tengah mencapai rokok daun.

Selepas menggulung rokok daun itu sampai sebesar ibu jari lantas dihulurkan kepada saya. Memang dia tahu saya akan minta dia gulungkan rokok daun sebesar ibu jari kalau jejakkan kaki ke rumahnya.

Terasa seronok menghisap rokok daun yang digulung Uda Jali kerana ternbakaunya digaul dengan cengkih dan kelembak. Tetapi saya tidaklah ketagih sangat mahu menghisap rokok. Hanya sekali-sekala apabila datang ke Kampung Kota Setia saya sengaja mengusik Uda Jali menyuruhnya gulungkan rokok daun.

"Mintalah buat bekal," sengaja isteri saya menyindir apabila melihat saya mula cucuhkan api ke hujung rokok.

 "Hah, kalau nak buat bekal, saya gulungkan, ustaz," ujar Uda Jali menolak celapah rokok jauh daripada kakinya. "Daun nipah di sini senang dapat, bukannya nak kena beli," tersengih-sengih dia menam-pakkan gigi depannya yang rongak.

Saya tidak menyahut apa-apa. Perkara minta Uda Jali gulungkan rokok tidak sama dengan ketagih sampai tidak dapat lelapkan mata. Kalau saya hisap rokok daun itupun hanya untuk seronok-seronok sahaja bersama Uda Jali.

"Sekarang kampung ni dah membangun," jelas saya sengaja mengubah perbualan. "Tak macam dulu, kena naik bot kalau nak ke sini," rokok daun sebesar ibu jari itu masih juga saya hisap.

"Itulah kemajuan namanya, ustaz," sahut Uda Jali mengisar punggung lantas berundur menyandarkan belakang ke dinding.

 "Dulu, di sini tempat mendekut burung ruak-ruak," celah Nyah Binah apabila kenangkan suaminya gemar mendekut burung ruak-ruak ketika kawasan itu masih lagi tanah lapang ditumbuhi lalang.

Belum ada pokok-pokok kelapa ditanam hingga bercantum daun. Hanya padang lalang sahaja dengan beberapa buah rumah tersergam. Tatkala malam tidak ada lampu elektrik memancar kecuali api pelita meliuk-liuk ditiup angin. Apalah yang dapat mereka buat selain daripada terbaring di tengah rumah selepas makan malam.

Memang terasa juga bosan pada Uda Jali kalau saban malam terbaring tengadah bumbung dengan kepala beralas lengan. Lebih baik dia turun ke tengah padang lalang mengajak jiran mendekut burung ruak-ruak. Cuma Anjang Seman satu-satunya jiran dia yang dekat kalau mahu diajak mendekut.

 Anjang Seman akan merentang jaring sebaik sahaja Uda Jali meniup buluh pendekut. Tidak sampai sepuluh minit buluh pendekut ditiup, burung ruak-ruak tentu menyahut langsing di udara. Sekaligus beberapa ekor burung ruak-ruak akan tersangkut pada jaring menggelepar kepak. Cukup dua puluh ekor masuk ke jaring, Uda Jali akan berhenti daripada meniup buluh pendekut.

Dia tidak akan mendekut lagi kalau sudah cukup untuk dimasak gulai. Setiap malam mereka berdua akan keluar ke tengah padang lalang semata-mata untuk mendekut burung cukup sekali masak gulai sahaja. Nyah Binah sendiri terasa jelak pula makan burung ruak-ruak disebabkan setiap malam suaminya membawa balik burung yang didekut. Andak Meliah, isteri Anjang Sernan tercium bau hanyir burung itu pun terasa bagaikan loya tekak mahu muntah.

"Kita boleh buat duit, Jali," bisik Anjang Seman duduk berjuntai kaki di pelantar rumah Uda Jali. "Ah Leong di Bagan Datoh tu sanggup beli berapa banyak pun kita dapat," tegasnya memberi harapan.

"Buat apa dia beli burung tu?" hairan juga Uda Jali apabila Anjang Seman memujuknya supaya mendekut sampai santak tengah malam.

"Mana aku tahu, boleh jadi dia nak berniagalah tu," ujar Ajang Seman tidak peduli sangat tujuan Ah Leong mahu membeli burung-burung yang didekut. Memang jauh di sudut hatinya dia sudah dapat bayangkan betapa mudahnya dapat duit sekiranya Ah Leong mahu membeli burung-burung yang didekut.  

Bukan mudah mahu mencari sara hidup tatkala tanah di situ baru diteroka. Ubi kayu dan pisang yang ditanam lambat mengeluarkan hasil. Terpaksa pula mereka turun ke sungai menjaring udang atau terus menghilir ke laut menangkap ikan.

Itupun belum tentu dapat banyak tangkapan. Mereka bukan ada memiliki bot sendiri mahu meranduk ke tengah ombak laut. Anjang Seman pun takat menumpang sampan kawan-kawan kalau mahu menjaring udang di tengah arus sungai. Manalah mencukupi pendapatan mereka kalau sekadar bergantung kepada kerja di laut.

"Ah Leong nak beli tu, kira macam mana?" Uda Jali mula menunjukkan minat dengan cadangan Anjang Seman itu.

"Seekor, lima puluh sen," beritahu Anjang Seman mengunyah pangkal rokok daun di celah bibirnya. Berkerut dahi Uda Jali apabila diberitahu demikian. Alangkah beruntungnya dia kalau satu malam sampai dua ratus ekor burung ruak-ruak terperangkap di jaring! Sudah tentu mereka dapat seratus ringgit dengan mudah. Apabila dibahagi dua, sudah tentu masing-masing dapat lima puluh ringgit.

Ah, satu malam lima puluh ringgit, tentu mereka tidak perlu bersusah payah turun ke laut! Kalau ke laut pun mahu dapat-kan sepuluh ringgit macam memercik keringat darah, belum tentu lagi dapat menggenggam duit.

Tersenyum Anjang Seman apabila Uda Jali bersetuju dengan cadangannya. Dia tahu cuma Uda Jali satu-satunya yang berpengalaman mendekut ruak-ruak. Kemahiran mendekut itu memang diwarisi oleh Uda Jali daripada ayahnya sendiri. Tahu sangat Anjang Seman, asal sahaja Uda Jali sudah meniup buluh pendekut, langit kelihatan hitam dengan burung ruak-ruak berterbangan di tengah malam sepi itu.

"Macam mana Ah Leong tahu kita mendekut tiap-tiap malam?" ragu-ragu juga Uda Jali kerana tidak mahu terburu-buru sangat untuk mencari wang dengan mendekut burung ruak-ruak.

"Tentu ada orang yang beritahu," ujar Anjang Seman mencebek bibir. Perkara siapa beritahu kepada taukeh Ah Leong tidak penting kepadanya, asal sahaja taukeh Cina itu sanggup membeli. Tentu taukeh Ah Leong juga kagum dengan kemampuannya boleh mendekut burung ruak-ruak sampai penuh sendat satu raga.

Sebaik sahaja keputusan dibuat untuk mendekut burung ruak-ruak itu, awal lagi Uda Jali sudah bersiap. Marah juga Nyah Binah apabila diberitahu Uda Jali mahu jual burung ruak-ruak ke Bagan Datoh. Sudah berkali-kali ayah mertuanya ingatkan Uda Jali, supaya kepandaian demikian jangan digunakan untuk mencari wang.

Tetapi keputusan Uda Jali berkeras mahu turutkan kemahuan Anjang Seman itu tidak dapat dihalang lagi. Dia tidak peduli apa pun rungutan Nyah Binah di dapur. Biarlah isterinya membebel becok menuduh dia ikut telunjuk Anjang Seman. Segala keputusan sudah tidak dapat berganjak lagi di hatinya.

Belum pun masuk jam 9.00 malam, Anjang Seman sudah jejak kaki di tangga rumah Uda Jali. Dia membawa lampu picit ubat sambung enarn, biar terang benderang di tengah kegelapan malam apabila disuluh. Tersengih-sengih juga dia tatkala disindir Nyah Binah sebaik sahaja letak punggung di bendul serambi.

"Eloklah tu, boleh cepat kaya," sengaja Nyah Binah mengejek untuk melepaskan geram yang mendongkol di hati.

"Kalau tak kaya, kayap..." sahut Anjang Seman bergurau. Sengaja dia melayani perempuan itu bergurau, biar kemarahan Nyah Binah tidak berpanjangan. Manalah tahu Nyah Binah akan menuduhnya sengaja mempengaruhi Uda Jali mendekut burung ruak-ruak semata-mata untuk berjual. Perkara memutuskan sama ada akan mendekut atau pun tidak hanya terletak pada tangan Uda Jali.

Siapa pun tidak boleh menghalang sekiranya Uda Jali sudah membuat keputusan. Dia satu-satunya yang mampu mendekut sampai burung ruak-ruak menyerbu tidak bertangguh. Siapa dapat tandingi Uda Jali mendekut di kampung itu, yang sudah diwarisi daripada ayahnya sejak turun temurun?

"Bolehlah jadi taukeh burung ruak-ruak," tutur Nyah Binah masih mahu menyakiti hati suaminya dan Anjang Seman.

"Bukan taukeh, tapi saudagar burung," sampuk Uda Jali lantas ketawa memanjang.

Marah juga Nyah Binah diejek demikian. Semakin diluahkan perasaan geram, semakin galak pula Uda Jali dan Anjang Seman mengusik dia. Kalau dilayan juga tentu Uda Jali terus menerus akan menyakiti hatinya. Biarlah suaminya itu cepat turun ke tengah padang luas bersama Anjang Seman.

Manalah tahu rezeki mereka akan bergolek pula tiba. Perkara pantang larang mendekut tentu sudah banyak diketahui dan dipelajari oleh Uda Jali daripada ayahnya. Boleh jadi Uda Jali tahu bagaimana mahu menghindarkan geruh sekiranya melanggar pantang larang tersebut.

Sebaik sahaja Uda Jali dan Anjang Seman meninggalkan rumah terasa juga berdebar-debar hati Nyah Binah. Bimbang benar dia kalau-kalau suaminya diganggu bencana geruh yang datang tidak diduga. Menjaring burung ruak-ruak yang didekut tidak sama dengan menjerat burung itu di tepi sawah. Takat memasang jerat di belukar rumput mensiang memang tidak akan diganggu apa-apa pun.

Mendekut tengah malam diserkup kegelapan mesti memerlukan petua yang cukup. Burung ruak-ruak yang didekut itu datang dari tengah hutan rimba yang dijaga puaka penunggunya. Samalah macam memanggil ayam di tengah reban orang. Kalau tuannya marah, mesti dipujuk supaya hatinya boleh dibawa berlembut. Bukan boleh ikut kemahuan hati sendiri.

Sesiapa pun tidak, akan marah kalau memanggil ayam di dalam reban kalau sekadar untuk disembelih buat lauk dihidangkan. Tetapi, kalau diambil banyak sampai dijual dapatkan laba, tentu tuan punya reban marah juga. Diajak berunding macam mana pun, hatinya tidak akan mudah lembut.

Hingga dinihari Nyah Binah menunggu, Uda Jali dan Anjang Seman tidak juga balik menjengah muka. Semakin resah dia sampai tidak dapat lelapkan mata. Ketika dia mula terkuap-kuap mahu rebahkan kepala ke bantal, tiba-tiba Nyah Binah terkejut apabila pintunya diketuk kuat. Cepat-cepat dia bingkas bangun menerpa ke serambi.

Bukan Uda Jali yang tercegat di tengah halaman mendongak ke rumah, tetapi seorang lelaki kurus yang berjalan tempang dengan pakaian lusuh. Dia memegang pelita ayan yang hampir padam apinya akibat ditiup angin malam.

"Marilah cepat," lelaki itu menggamit sambil mengesat matanya dengan pangkal bahu.

"Ke mana?" soal Nyah Binah teragak-agak disebabkan anaknya sedang nyenyak tidur. Masakan dia boleh biarkan anaknya tidur di tengah rumah, semata-mata dipanggil oleh lelaki kurus berkenaan.

"Marilah," desak lelaki bertubuh kurus itu cemas, menyebabkan hati Nyah Binah mula mengesyaki kejadian buruk berlaku terhadap diri Uda Jali.

Manalah tahu Uda Jali diganggu geruh bencana setelah melanggar pantang larang mendekut di tengah malam. Memang dia tahu benar sekiranya melanggar pantang larang mendekut burung ruak-ruak. Kasan Panau sepupunya pun pernah terkejang tidak sedar diri sampai seminggu apabila diserbu lembaga botak dari udara tatkala mendekut tengah malam. Jangan kata diserbu lembaga botak itu, bahkan terkena kibasan anginnya pun sudah cukup menanggung derita geruh bencananya.

"Kamu ni siapa?" Nyah Binah memberanikan hati menyoalnya dalam keadaan serba salah.

"Jangan banyak soal, marilah cepat," gerutu lelaki bertubuh kurus itu segera berpusing meninggalkan halaman rumah.

"Fasal Uda Jali ke?" Nyah Binah mendesak.

Lelaki bertubuh kurus itu tidak menyahut. Dia melangkah perlahan meninggalkan halaman rumah. Dalam keadaan serba salah itu Nyah Binah cepat-cepat merapatkan pintu dari luar. Biarlah anaknya tinggal sendirian. Dia tidak perlu bimbang kerana anaknya tidak akan terjaga sewaktu ditinggalkan itu. Dia mesti ikut lelaki kurus itu ke tempat Uda Jali mendekut. Manalah tahu bencana menimpa suaminya bersama Anjang Seman setelah melanggar pantang.

Sebaik meninggalkan simpang rurnahnya menghala kekawasan padang lalang, Nyah Binah terdengar bunyi tiupan buluh pendekut Uda Jali melangsing di tengah kesepian malam. Dia terus mengikut lelaki bertubuh kurus berjalan tempang itu meranduk padang lalang yang luas. Semakin lama semakin jauh hingga dia tidak cam lagi di mana lorong yang ditempuhinya.

Bunyi tiupan buluh pendekut Uda Jali kian sayup di udara. Nyah Binah bertambah keliru kerana bunyi tiupan buluh pendekut itu berligar-ligar tidak menentu. Apabila sampai di satu kawasan tanah lapang berpagar dengan buluh dianyam, Nyah Binah terus masuk ke dalam pagar. Sebaik sahaja dia jejak kaki di situ tiba-tiba sahaja lelaki kurus tempang itu hilang tidak kelihatan lagi. Segera Nyah Binah berlari mengejar api pelita ayan yang berombak-ombak di tengah kegelapan malam itu, tetapi api pelita itu sekaligus padam ditiup angin.

"Hoi, tunggu!" laung Nyah Binah mula diselubungi rasa bimbang.

Tidak ada siapa pun yang menyahut. Lelaki bertubuh kurus itu sudah menghilang entah ke mana. Ketika ini dia melihat beribu-ribu ekor burung ruak-ruak berterbangan. Sebahagiannya mengekas di tanah laksana ayam peliharaan bermain di keliling halaman.

Terlalu jinak burung ruak-ruak itu hingga tidak menyisih pun tatkala Nyah Binah melintas. Tetapi Nyah Binah tidak berani menangkapnya, sekalipun burung ruak-ruak itu makan di hujung kaki.

Sekali sekala terdengar juga bunyi tiupan buluh pendekut sayup-sayup di udara. Burung-burung yang mengekas di tanah tiba-tiba sahaja terlangah-langah apabila mendengar bunyi tiupan buluh pendekut itu. Kemudian terbang berpapasan ke udara menyerbu ke arah bunyi tiupan buluh pendekut yang sayup-sayup beralun.

"Hoi, tunggu, ke mana kamu bawa aku ni?" semakin gementar Nyah Binah apabila merasakan dirinya sudah jauh terasing di situ. Kawasan itu memang tidak pernah ditempuhnya. Tentu dia sudah tersesat dibawa lelaki kurus berjalan tempang itu.

"Cucu cari siapa ni?" terkejut Nyah Binah apabila tiba-tiba ditegur dari arah belakang. Sewaktu dia berpaling dilihatnya seorang perempuan tua memegang tongkat kayu bengkang-bengkok berdiri tidak jauh darinya.

"Ada orang jemput saya di rumah tadi," beritahu Nyah Binah memberanikan hatinya. "Orang tu kurus, berjalan tempang, dia nak beritahu fasal suami saya," jelasnya ikhlas.

Kemudian dia merenung tepat muka perempuan tua itu dalam kesamaran malam. "Kenapa dengan suami cucu tu?" tersengih-sengih perempuan itu membiarkan angin malam meniup rambutnya hingga mengerbang tidak me-nentu. Jelas ubannya memutih jatuh terurai sampai ke lutut.

"Entahlah, saya pun tak tahu," sahut Nyah Binah kesal kerana  terburu-buru sangat mempercayai lelaki kurus itu.

Perempuan tua itu menggeleng-geleng kepala. Setiap kali dia bergerak, Nyah Binah nampak kepala perempuan itu bagaikan tertanggal daripada tubuh. Tangannya yang memegang tongkat bengkang-bengkok itu seperti tertanggal juga hingga paras siku.

"Ke mana perginya suami cucu malam-malam buta macam ni?" terbatuk-batuk perempuan itu menahan kesejukan angin malam yang berhembus dingin.

"Mendekut burung ruak-ruak," beritahu Nyah Binah berterus terang. "Nenek ni siapa, apa nenek buat di sini?" Nyah Binah cekalkan hati mahu menguji hati perempuan tua yang tercegat tidak jauh dari sisinya itu.

"Nenek ni, Onyang Silum," beritahu perempuan tua itu ramah. "Nenek yang jaga semua ternak di sini," jelasnya menuding ke arah burung ruak-ruak yang banyak berkeliaran di kawasan berkenaan.

Mengeluh panjang Nyah Binah setelah diberitahu demikian. Dia dapat mengagak dirinya sudah terpedaya hingga jejak kaki ke kawasan itu. Tetapi dia tidak takut apa-apa lagi ketika itu. Biarlah Onyang Silum memerangkapnya, dia tidak akan undur lagi. Nyah Binah tahu dia tidak bersalah apa-apa!

"Nenek nak balas dendam ke?" sengaja Nyah Binah menyindirnya dengan menggertap bibir kerana terlalu geram diperdaya demikian. Memang hatinya tiba-tiba sahaja menjadi berani menentang perempuan tua tersebut. Onyang Silum tidak menjawab sebaliknya ketawa terkekeh-kekeh hingga tunggul giginya kelihatan berceranggah macam ranjau buluh di dalam lubang perangkap binatang liar. Gerun juga hati Nyah Binah melihat wajah Onyang Silum yang semakin hodoh di dalam kesamaran malam.

Kemudian perempuan tua itu menggamit Nyah Binah ikut masuk ke satu kawasan kolam di hadapan sebuah pondok buruk. Terkejut Nyah Binah apabila melihat atap pondok itu seolah-olah rambut yang berjurai dari bumbung hingga ke cucur atap. Tiang dan gelegarnya seperti tulang manusia dengan dindingnya diperbuat daripada tengkorak kepala disusun.

Di seberang kolam itu Nyah Binah nampak Uda Jali dan Anjang Seman terikat pada rumpun buluh yang dihinggapi beribu-ribu ekor burung ruak-ruak. Sebaik sampai ke tepi kolam Onyang Silum tiba-tiba terkejut tatkala melihat ayah Uda Jali tercegat di situ melepaskan ikatan tersebut.

 Marah benar Onyang Silum disebabkan Lebai Usin berani jejak kaki ke situ. Tidak bertangguh lagi dia menepuk tangan menyebabkan beribu-ribu ekor burung ruak-ruak menyerbu ke arah Lebai Usin. Belum pun sempat burung ruak-ruak itu menerpa semuanya terhumban menggelepar di tanah.

"Oh, kau nak tunjuk berani!" bentak Lebai Usin menghentak tumitnya ke bumi lantas membacakan:

Hazihi jahanamullati kuntum tu-'adun.

Tiba-tiba sahaja kepala Onyang Silum terpelanting ke tanah. Hanya tubuhnya sahaja berjalan terhuyung-hayang mencapai kepalanya yang jatuh. Cepat-cepat diletakkan semula kepalanya ke leher. Sebaik sahaja bercantum dia ketawa berdekah-dekah mengejek Lebai Usin.

Apabila Lebai Usin membacakan surah al-Ikhlas sebelas kali, sekaligus kilat memancar menyambar tubuh Onyang Silum. Dia jatuh tersembam dengan sebahagian tubuhnya melecur bagaikan disambar api marak menyala. Menggelepar-gelepar dia di situ laksana burung ruak-ruak disembelih sampai merengek-rengek ke-sakitan.

"Kau kejam, Lebai Usin!" gerutu Onyang Silum tertonggeng menahan kesakitan akibat disambar kilat. "Anak kau curi ternakan aku tak minta izin," tuturnya terputus-putus suara,

"Buat apa minta izin dengan syaitan?" jerkah Lebai Usin marah dengan tidak menyedari menantunya tercegat di sisi Onyang Silum.

"Burung ini ternakan kami," sahut Onyang Silum terkial-kial mahu bangun sekalipun sebahagian tubuhnya melecur hangus.

"Semuanya kepunyaan Allah!" belas Lebai Usin lantas membacakan al-Fatihah tiga kali dan dihembuskan ke arah Onyang Silum.

Terhumban tubuh yang tidak berkepala itu seperti kapas melayang ditiup angin. Hanya jeritan Onyang Silum yang halus dalam rintihan memanjang sahaja sayup-sayup kedengaran. Apabila tubuh itu jatuh terhempas ke bumi, semuanya terbakar hingga menjadi debu.

Ketika ini Nyah Binah melaung memanggil ayah mertuanya tetapi Lebai Usin langsung tidak mendengarnya. Puas Nyah Binah melambai-lambai tangan namun tidak siapa pun yang menghiraukan dia. Malah Uda Jali dan Anjng Seman juga tidak berpaling ke arahnya, sekalipun dia tercegat di tepi kolam tersebut setentang dengan mereka.

"Ayah tunggu, Nyah di sini!" laungnya berulang kali, tetapi Lebai Usin memang tidak nampak Nyah Binah di situ. Dia terus berjalan balik diikuti oleh Uda Jali dan Anjang Seman.

Sebaik sahaja mereka bertiga meninggalkan kawasan yang berpagar dengan buluh dianyam itu, Nyah Binah mula merasa takut. Dia cuba menerpa mahu menyeberangi kolam, tetapi serta merta langkahnya terkaku apabila melihat terlalu banyak lintah berkeliaran di tengah air. Lintah-lintah itu mampu menghisap darah seekor burung ruak-ruak hanya dalam masa beberapa saat sahaja sampai mati terkejang.

Nyah Binah cuba pula mencari jalan keluar di lorong yang lain, tetapi tidak kelihatan pun lorong yang boleh dilalui. Pagar buluh yang dianyam kukuh memang tidak boleh dirempuh langsung kalau mahu membolos di situ.

Hairan juga Nyah Binah kenapa ayah mertuanya tidak mendengar langsung jeritan dia. Jarak di antara mereka di seberang kolam itu bukanlah jauh sangat. Dia sendiri boleh mendengar dengan jelas suara Lebai Usin membentak memarahi Onyang Silum. Masakan suaranya yang lebih nyaring daripada bentak ayah mertuanya tidak boleh didengar langsung dari seberang kolam itu.

 "Orang dah tak sukakan kau, buat apa dilaung lagi?" tiba-tiba lelaki bertubuh kurus berjalan tempang yang hilang sebelum itu muncul semula menegur.

"Kamu ni sebenarnya, siapa?" marah benar Nyah Binah dipermainkan oleh lelaki berkenaan.

"Ah, aku ni orang hina," beritahu lelaki bertubuh kurus itu merendah diri. "Aku hanya jadi gembala ternakan ni saja," katanya menunjukkan sikap ramah dan baik hati.

"Habis, kamu nak apa daripada aku?" bentak Nyah Binah melepaskan geram.

"Masuklah ke pondok ni dulu," pelawa lelaki itu perlahan bagaikan memujuk. "Apabila Jali datang nanti, kamu baliklah," dia memberi jaminan.

"Tak payah!" ujar Nyah Binah berkeras. "Kamu tunjukkan saja jalan balik pada aku," tegasnya sambil mendengus marah.

"Aku sendiri pun tak tahu jalan balik," beritahu lelaki kurus itu lantas masuk ke pondok beratapkan rambut panjang berjurai itu.

Terasa juga takut Nyah Binah ditinggalkan bersendirian dalam gelap gelita demikian. Sayup-sayup dia mendengar bunyi kuang jauh di rimba. Sekali sekala ngauman harimau juga bergaung di tengah malam itu. Memang menggerunkan dia kalau terus juga berdiri di luar pondok tersebut.

Terpaksa juga Nyah Binah masuk ke dalam pondok berkenaan. Sebaik sahaja dia jejakkan kaki ke dalam pondok, terasa lantai yang dipijaknya lembik seperti daging hidup. Lelaki bertubuh kurus itu pula duduk bersila di tengah-tengah pondok menghadap bekas pembakar kemenyan. Dia melenggok-lenggokkan badan seperti beratib. Perlahan-lahan Nyah Binah duduk bertimpuh. Disebabkan was-was dengan keadaan lantai itu, lantas Nyah Binah menggores lantai yang lembik seperti daging hidup dengan hujung kukunya. Tiba-tiba lantai itu berdarah hingga bergerak-gerak seperti kesakitan. Terkejut Nyah Binah menyebabkan dia bingkas bangun mahu lari ke luar.

"Jangan sakiti lantai tu," gerutu lelaki bertubuh kurus itu mengingatkan lantas menyuruh Nyah Binah duduk semula.

"Kenapa?" soal Nyah Binah keras masih tercegat di muka pintu. Lelaki itu tidak menyahut, tetapi Nyah Binah melihat dada lelaki itu berdarah seperti dicakar kuat dengan kuku. Perlahan-lahan lelaki berkenaan mengesat darah yang mengalir di dadanya sambil mengeluh pendek.

"Kenapa kamu ni banyak soal jawab?" lelaki bertubuh kurus itu mula bersuara keras. Dia tidak lagi lemah lembut memujuk, tetapi berubah menjadi garang. Matanya juga berubah kehijau-hijauan dengan sinarnya seperti kaca disilau cahaya matahari.

Kecut juga hati Nyah Binah dengan sikap lelaki berkenaan. Bimbang juga dia kalau lelaki itu bertindak ganas melepaskan dendamnya yang membara. Apalagi dalam saat hanya mereka berdua sahaja di tengah pondok berkenaan. Siapa pun tidak akan datang membantu sekiranya dia berkeras sangat dengan lelaki itu.

Tiba-tiba sahaja Nyah Binah teringat mahu membaca surah al-Ikhlas sebanyak-banyaknya di dalam hati.

"Hah, jangan nak tunjuk pandai, Binah!" bentak lelaki itu seolah-olah tahu apa yang dibaca oleh Nyah Binah.

Dia menampar kedua-dua tangannya, tiba-tiba sahaja terjelma rantai daripada rekahan lantai terus membelit kaki dan tangan Nyah Binah. Terkaku Nyah Binah tidak dapat mengelak apa-apa.

Setiap kali dia cuba meronta untuk melepaskan diri, cerutan rantai itu terasa semakin kuat. Lelaki bertubuh kurus itu masih menghadap bekas pembakar kemenyan, sambil melenggok-lenggokkan tubuhnya yang berpeluh ke kiri dan ke kanan.

Asap berbau kemenyan memenuhi ruang pondok tersebut menyebabkan Nyah Binah terbatuk-batuk. Kerengkungnya mula pedih akibat menahan batuk yang semakin galak.

Dalam keadaan demikianlah Nyah Binah terdengar suara azan sayup-sayup dari jauh. Sekaligus pondok tersebut bergoncang kuat bagaikan dirempuh sekawan gajah. Lelaki bertubuh kurus itu memejamkan mata menghadap bekas pembakar kemenyan. Lenggok tubuhnya semakin galak sekalipun goncangan pondok itu mengancam dirinya.

Tiba-tiba kulit tubuh lelaki itu pecah menyebabkan urat-uratnya putus hingga terjuntai-juntai ke luar. Setiap kali urat-uratnya putus, dari celah-celah lantai itu tersembul tali temali seperti urat terputus direntap kuat. Darah memancut daripada saluran tali temali itu hingga berbau hanyir meloyakan.

Sekaligus pula Nyah Binah termuntah-muntah disebabkan tidak dapat menahan rasa memual di dalam perut akibat bau hanyir darah berkenaan. Memulas-mulas benar perut Nyah Binah bagaikan dipintal usus. Gegaran pondok itu tidak juga berhenti, sekalipun azan tidak lagi kedengaran bergema.

Kemudian dia mendengar suara Lebai Usin sayup-sayup membacakan:

Innahu min Sulaiman wa innahu Bismil-lahhir Rahmannir Rahim.

Tiba-tiba tengkuk lelaki bertubuh kurus itu dicengkam dengan jari sebesar batang kelapa. "Berani kau larikan Nyah Binah ye?" memang dapat didengar oleh Nyah Binah suara saya bergema di udara, sekali-pun dia tidak melihat saya di mana-mana.

"Ampun, ustaz..." rayu lelaki kurus itu terkial-kial akibat tengkuknya dicengkam kuat. "Aku hanya ikut perintah," beritahunya mengharapkan belas kasihan supaya dilepaskan daripada ancaman itu.

"Perintah siapa?" suara Lebai Usin pula keras membentak. "Ah, awak berani kerana ustaz ni ada, lebai!" sempat juga lelaki bertubuh kurus itu mengejek, tetapi dia tiba-tiba muntah disebabkan tengkuknya dijinjing hingga cecah ke atap.

"Kami berani kerana berlindung kepada Allah," suara saya bergema seperti guruh didengar oleh Nyah Binah.

Lelaki bertubuh kurus itu ketakutan tidak menyahut apa-apa. Hanya matanya sahaja terkebil-kebil mengerling Nyah Binah. "Lepaskan Nyah Binah!" ancaman suara saya terus menggegar di sekeliling pondok berkenaan hingga tubuh lelaki itu bergoncang kuat sebaik sahaja dilimparkan oleh jari sebesar batang kelapa.

"Macam mana aku nak lepaskan?" lelaki bertubuh kurus itu berdalih.

"Kenapa?" bentak saya membingitkan telinganya.

"Tadi, ustaz cengkam tengkuk aku!" dia terus berdalih sambil menggeliat-geliat menyembam muka ke lantai.

Nyah Binah nampak tubuh lelaki itu semakin lembik dengan urat-urat habis terputus. Kemudian dia mendengar lelaki kurus itu menjerit-jerit apabila saya membacakan:

Huwa auwalu wal akhiru wal zahiru wal batinu wahuwa kulli syai-in qadir.

Sedikit demi sedikit tubuh lelaki kurus itu cair seperti lilin terbakar ke api. Raungnya meminta tolong bergema kuat hingga seluruh dagingnya gugur berlonggok di lantai. Tulang temulangnya jongkang kalang di tengah longgokan daging yang reput cair.

"Tolonglah ustaz," bergerak-gerak longgokan daging dan tulang temulang lelaki berkenaan. "Jangan seksa aku macam ni," rintihnya bagaikan masih boleh bertahan sekalipun dagingnya cair.

Tetapi Nyah Binah tidak lagi mendengar suara saya, sebaliknya dia mendengar gema zikir di setiap penjuru pondok. Semua bahagian pondok usang itu menjadi reput apabila zikirullah terus menerus bergema seolah-olah menusuk ke jantung lelaki kurus yang hanya tinggal longgokan daging dan tulang temulang yang bergerak-gerak di lantai. Sebaik sahaja semua bahagian pondok itu reput, Nyah Binah terasa dirinya terjerlus jatuh ke bawah melalui lantai yang tidak dapat bertahan lagi. Ketika ini Nyah Binah merasa melayang-layang tidak menentu hinggalah dia mendengar suara Uda Jali memanggilnya supaya bangun.

Tatkala dia membuka mata Nyah Binah mendapati dirinya sedang dikelilingi jiran-jiran. Saya dan Lebai Usin terconggok bersila rapat di sisinya. Memang Nyah Binah kelihatan letih dan tidak bermaya.

"Kenapa ramai-ramai ni?" terketar-ketar dia mahu bangun kerana hairan dikelilingi jiran-jiran.

"Alhamdulillah, dia dah sedar," cepat-cepat Lebai Usin mengusap kepala menantunya setelah Nyah Binah mula menggerakkan badan semenjak hampir sebulan terkejang tidak sedarkan diri.

Ketika Uda Jali bersama Anjang Seman dapat seguni burung ruak-ruak yang didekut, memang dia sudah mengira-ngira untung sekiranya dijual kepada taukeh Ah Leong.

Tetapi sebaik sahaja tiba di rumah, Uda Jali menjadi hampa apabila melihat Nyah Binah merayau-rayau di kebun ubi di hadapan rumah sambil melambai-lambai tangan. Dia merungut-rungut tidak tentu biji butir.

Cepat-cepat Uda Jali memapah Nyah Binah naik ke rumah dengan tidak pedulikan lagi fasal burung ruak-ruak penuh seguni. Malam itu juga Uda Jali menyuruh Anjang Seman jemputkan ayahnya Lebai Usin.

 Puas Lebai Usin cuba pulihkan menantunya, tetapi keadaan Nyah Binah terkejang juga. Sebab itulah dia menyuruh Uda Jali dan Anjang Seman lepaskan sahaja burung ruak-ruak yang sudah disumbat penuh ke dalam guni. Sekalipun terasa berat hati mahu melepaskan burung yang sudah menjadi rezeki mereka, tetapi Uda Jali terpaksa juga lepaskan. Biarlah dia tidak mendapat apa-apa, asalkan Nyah Binah dapat diselamatkan.

 Anjang Seman juga bersetuju burung ruak-ruak tersebut dilepaskan sahaja. Apalah ertinya mereka jualkan burung-burung berkenaan, tetapi keadaan Nyah Binah terkejang macam burung ruak-ruak sesak nafas disumbat ke dalam guni.

Selepas sepuluh hari Nyah Binah terkejang di tengah rumah, barulah Lebai Usin mendesak Uda Jali memberitahu saya. Disebabkan sukar sangat mahu berhubung itulah, hampir dua minggu baru saya menerima surat daripada Uda Jali.

Sewaktu saya jejak kaki ke Hujung Rintis pun, keadaan Nyah Binah masih juga tidak sedarkan diri. Hanya air yang didoakan dengan surah Yassin sahaja ditegukkan melalui daun sirih. Memang Lebai Usin tidak benarkan dihantar ke hospital setelah menyedari punca Nyah Binah tidak sedarkan diri.

Tahu benar dia kalau dihantar ke hospital pun Nyah Binah sekadar dimasukkan air bagi memulihkan tenaga. Mahu dimasukkan oksigen pernafasan menantunya tidak terganggu apa-apa. Dia sekadar terkejang bagaikan tidur nyenyak setelah dipapah naik oleh Uda Jali.

Sebab itulah Lebai Usin suruh sudukan air doa Yassin ke mulut Nyah Binah biar tenaganya tidak lemah terus. Sekiranya tenaga Nyah Binah lemah rnemang tidak ada apa-apa lagi yang boleh diharapkan untuk membantunya.

Tidak bertangguh lagi Lebai Usin menyuruh saya terus ke sisi Nyah Binah sebaik sahaja saya sampai. Marah juga isterinya Long Timah disebabkan terlalu sangat mendesak. Apalah salahnya menunggu sampai reda penat berjalan jauh, sebelum menyuruh saya ke sisi Nyah Binah.

Tetapi Lebai Usin tidak peduli apa-apa pun rungut Long Timah. Dia menjadi tidak keruan setelah diberitahu saya sampai di tengah halaman. Gembira benar dia sebaik sahaja melihat saya terjongol di muka pintu hingga tidak sempat menyambut salam.

Memang saya melihat pelupuk mata Nyah Binah masih segar, dan hidungnya terasa panas. Tatkala saya memegang pergelangan tangannya tiba-tiba terasa tapak tangan ditusuk kuat hingga ngilu sampai ke siku. Tetapi sengaja saya tidak lepaskan tangannya lantas sahaja membacakan:

Laqad ja-akum rasulun min anfusikum 'azizun `alaihi ma 'anit-tum harisun 'alaikum bilmukminina ra-upur rahim, fain tawallau faqul hasbiyallahhu lailaha illa-huwa `alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul `arsyil `azim.

Serentak dengan itu tiba-tiba tangan Nyah Binah mula melibas-libas lemah. Dia cuba menggapai sesuatu, tetapi sekadar meramas-ramas angin sahaja. Ketika saya bacakan al-Fatihah tiga kali, bibir Nyah Binah bergerak-gerak bagaikan mahu bersuara.

Perubahan Nyah Binah ini melegakan perasaan Lebai Usin yang sudah buntu setelah tidak dapat memulihkan keadaan menantunya. Selepas membaca al-Fatihah, saya teruskan dengan tujuh ayat terakhir daripada surah Yassin diikuti dengan tujuh kali Ayatul Kursi.

Ketika ini Nyah Binah semakin gelisah sekalipun gerak tubuhnya tetap lemah disebabkan terlalu lama tidak menjamah makanan. Kalaulah Lebai Usin tidak berusaha sudukan air doa Yassin itu ke mulutnya nescaya Nyah Binah tidak boleh bertahan langsung.

Apabila saya terus membacakan:

Walahu masakana fil-laili wan-nahari wahuwas sami'ul `alim, diulangi tiga kali dan diikuti dengan: Summa sauwahu wanafakho fihi min rohihi waja'ala lakumus sam-'a wal-absaro wa-laf idato qolilan ma tasykurun,

sebanyak tiga kali juga serta disambung pula membacakan tiga kali:

Wa nunazzilu minal Quran-ni mahuwa syifa-un wa-rahmatun, lil-mukminin,

sekaligus Nyah Binah terbersin kuat.

Ketika ini nafasnya mula berombak kencang dengan peluh memercik di seluruh badan. Berdebar juga saya dengan peluh banyak memercik itu, kerana kadangkala seseorang yang hampir menemui ajal setelah sekian lama nazak juga mengalami keadaan demikian.

Tetapi ketika saya mengusapkan tapak tangan ke mukanya, terasa hidung Nyah Binah tetap panas. Biasanya kalau hidung sejuk kejang, memang harapan terlalu tipis. Saya juga melihat Lebai Usin tidak berhenti berzikir dengan melenggok-lenggokkan badan ke kiri ke kanan. Disebabkan Nyah Binah sudah terbersin segera saya azan di telinga kanannya tujuh kali, diikuti dengan membacakan:

 Alif lam min sad, kaf ha ya a'in sad, ha mim a'in sim kaf uskun aiyuhal waji' billazi, in-yasya yuskinir riho fayazlalna rawakida `ala zohrihi, inna fi zalika la-ayatin likulli sabbarin syakur.

Apabila saya mengisar tapak tangan terasa ketul seperti guli tergenggam di tangan. Tatkala saya mencengkam ketul tersebut bagaikan jari saya memegang tengkuk lembaga yang terlalu kecil, hingga dia terkial-kial mahu melepaskan diri.

Tubuh lembaga itu terlalu lembik laksana tepung diuli hingga saya merasa geli geleman untuk mencengkamnya. Tetapi jauh di kawasan lapang terdengar sayup-sayup suara merintih meminta tolong. Ketika ini jiran-jiran yang berkeliling hanya mendengar Nyah Binah merungut-rungut halus meminta tolong.

Sekaligus saya ramas-ramas ketul sebesar guli hingga lumat menjadi debu, dan mengisar semula tapak tangan tujuh kali. Sewaktu dihembuskan al-Fatihah tiga kali, barulah Nyah Binah membuka matanya. Memang terkebil-kebil mata Nyah Binah tatkala melihat saya terconggok duduk di sisinya brsama Lebai Usin.