Monday, October 19, 2015

146. SUSUK SUMBI MEMBALAS DENDAM



TAKAT pakai sumbi emas biar gigi memancar seri tentu siapa pun tidak peduli sangat, sekalipun melirik senyum tatkala terserempak di mana-mana. Apa sangat dengan sumbi emas ketika itu disebabkan ramai anak gadis kepingin pasangkan sumbi emas. Sebab itu Utih Soyah juga desak emaknya mahu pakai sumbi emas biar memancar seri asal sahaja tersenyum tatkala mengerling lelaki.
Tentu mudah lelaki terpikat apabila melihat sumbi emas memancar seri. Apa lagi kalau bertemu dalam majlis kenduri kahwin, mereka akan usik mengusik semasa menghiris datin pandan dibuat bunga rampai. Bangga sangat Utih Soyah sekiranya semua anak teruna akan mengerlingnya. Mereka akan berebut-rebut mahu mendekati dia lantas campakkan bunga telur ke atas riba.
Memang anak gadis macam Utih Soyah tidak akan berpeluang mahu usik mengusik dengan anak teruna sekiranya tidak bertemu dalam majlis kenduri kahwin. Ayahnya Pak Musir akan membentak marahnya sekiranya dia melayani anak teruna semasa menuai padi tengah menguning di sawah. Pak Musir tidak benarkan dia terkekeh-kekeh ketawa apabila berbual dengan anak teruna apabila mengemping selepas habis musim menuai.
Masa yang ditunggu-tunggu memang tatkala jiran-jiran buat kenduri kahwin selepas musim padi dipunggah masuk ke kepuk. Mereka akan berebut-rebut adakan kenduri kahwin semasa padi tengah banyak. Kadangkala berturut-turut minggu mereka berkumpul seisi kampung buat kenduri nikah kahwin sampai tumbangkan seekor lembu.
Ketika ini siapa pun tidak melarang anak-anak gadis usik mengusik dengan anak teruna sama ada tatkala inai pengantin, mahu pun sediakan bunga rampai di tengah rumah. Seisi kampung sudah macam bersaudara apabila berkumpul mahu raikan pengantin di atas pelamin. Masakan Pak Musir boleh membentak marah sekiranya Utih Soyah riang usik mengusik dengan anak teruna yang melayaninya.
"Nak buat apa pakai sumbi?" ujar Pak Musir apabila isterinya Tisah Kekeh beritahu fasal anaknya kepingin sangat sumbi emas pada gigi.
"Bukan mahal sangat belanjanya," merungut juga Tisah Kekeh apabila suami-nya membantah kemahuan dia.
"Tak mahal pun, mana nak cari duit?" Pak Musir mendengus disebabkan isterinya terus juga mendesak.
"Takkan rugi sangat kita, kalau Soyah tu nak bersumbi," semakin galak Tisah Kekeh meminta menyebabkan suaminya serba salah juga. Terpaksa juga Pak Musir mengalah setelah isterinya yang mendesak sangat mahu melihat Utih Soyah bersumbi. Setelah Utih
Soyah pasangkan sumbi emas, tiba-tiba sahaja gusinya membengkak. Tisah Kekeh dapat mengagak tentu anaknya tidak serasi pakaikan sumbi menyebabkan gusi bengkak sampai menanah.
Mahu dibuangkan sumbi berkenaan tentu terpaksa dicabut pula gigi disebabkan sudah melekat dipasak. Lama juga Utih Soyah mengidap sakit mulut akibat gusi membengkak setelah pasangkan sumbi emas. Memang merungut Pak Musir disebabkan isterinya berdegil mahukan anaknya bersumbi emas dengan tidak menyedari Utih Soyah tidak serasi dipasang sumbi.
"Ikutkan cakap awak, hah padanlah dengan muka!" gerutu Pak Musir kesal sangat dengan sikap isterinya tidak mahu mengalah apa-apa.
Tatkala Tisah Kekeh tunjukkan gusi anaknya yang bengkak pada Embah Kisin, orang tua itu tidak bimbang dengan keadaan yang menimpa cucunya itu. Perkara berhias untuk orang perempuan memang banyak dugaan. Apa lagi sumbi emas yang dipasang pada gigi tidak sesuai hingga gusi membengkak.
Tidak pernah Embah Kisin mengalah apabila diuji demikian. Bila-bila dia boleh tusukkan susuk sumbi pada gusi cucunya biar bisa emas yang digunakan Utih Soyah madal tidak menyusup musnahkan gigi. Tahu sangat Embah Kisin gusi cucunya tidak bertahan dengan bisa emas menyebabkan bengkak setelah dipasangkan sumbi berkenaan.
Setelah ditusukkan susuk sumbi itulah bengkak gusi Utih Soyah mengecut cepat. Manalah Utih Soyah tahu mengenai petua neneknya yang diturunkan sejak bertahun-tahun. Memang Embah Kisin tahu mengenai datuknya Resat Jambang gunakan susuk sumbi apabila giginya dipasang sumbi emas.
Setiap kali Resat Jambang tersengih menampakkan sumbinya nescaya perempuan yang mengerling ke arahnya tidak keruan mahu menatap muka. Memang Resat Jambang ingatkan anak perempuannya supaya tidak amalkan susuk sumbi, kerana bimbang tidak boleh mengandung.
Tetapi Resat Jambang tahu susuk sumbinya tidak penting sangat sama ada isterinya nnengandung atau pun tidak. Tatkala dia berkahwin empat orang sengaja Resat Jambang desak mereka semua tinggal serumah. Siapa pun isterinya tidak berani membantah setelah Resat Jambang membuat keputusan demikian. Manalah tahu Resat Jambang akan ceraikan sesiapa yang berdegil tidak mematuhi kemahuannya.
Memang semua isterinya tidak berani membantah apa-apa . Mereka tidak boleh berenggang setelah menatap sumbi emas pada gigi suaminya. Bukan mudah mahu melupakan Resat Jambang yang sentiasa menjelma di hadapan asal sahaja mahu melupakan dirinya. Tetapi rahsia Resat Jambang dikasihi isteri-isterinya, memang dia tidak pernah membentak marah sekalipun mereka berkasar terhadap dirinya. Sudah menjadi pantang larang Resat Jambang dia tidak boleh menyakiti hati semua isteri-isterinya selagi susuk sumbi masih tertusuk pada tubuh-nya.
Masakan Resat Jambang berani membentak marah kalau gusinya akan membengkak sampai memercik darah. Bukan mudah mahu sembuhkan gusi yang membengkak laksana ditusuk jarum sekiranya dia ikutkan perasaan marah tidak menentu terhadap semua isterinya.
Sebab itu Resat Jambang tidak akan marah tidak menentu terhadap semua isterinya. Kalau perasaannya mendongkol sangat dia akan gertap bibir sahaja kemudian melepaskan tinju menumbuk perdu pokok. Biarlah pokok yang ditinju Iayu daun laksana dilayur pada api hingga sedikit demi sedikit reput sampai ke akar.
"Ingat pantang larangnya, Soyah," ujar Embah Kisin ingatkan cucunya supaya tidak membentak marah di depan suami.
Hinggalah dia berkahwin dengan Mat Deris memang Utih Soyah pegang kukuh-kukuh pantang Iarang neneknya. Biarlah Mat Deris merungut sekiranya nasi lambat ditanak, Utih Soyah tetap diamkan diri sahaja. Dia tidak akan marah apabila dibentak Mat Deris kalau dia tidak dapat melayani suaminya.
Tetapi sikap panas baran Mat Deris sama juga macam bapa mentuanya Pak Musir. Mudah sahaja dia menghunus parang apabila tapak semaian diserbu kambing jiran-jiran. Siapa juga jangan cuba leraikan tatkala dia mencekak leher lawan. Dia tidak peduli sekalipun Iawannya saudara mara isterinya sendiri.
Tatkala kebun pisangnya diranduk lembu ternak Itam Kadir cepat sahaja Mat Deris menyingsing lengan bajunya. Puas dipujuk emak mentuanya Tisah Kekeh dia tetap berkeras menyerbu ke tengah halaman rumah Itam Kadir. Dia tidak peduli Itam Kadir adik emak mentuanya sendiri.
Kalau tidak disebabkan Pak Musir tampar mukanya hingga berbinar mata, memang Mat Deris mahu tunjuk keras kepalanya. Dia tahu tamparan keras Pak Musir sama macam guru silat tangkas mengilas tangan. Jangan cuba berkeras di depan bapa mentuanya kalau takat berani membabi buta tidak menentu!
Lama Pak Musir belajar memencak silat hingga boleh berjejak di atas bara merah menyala. Seisi kampung tahu mengenai Pak Musir memang mahir berpencak apabita mengelak diserbu musuh. Mereka melihat sendiri bagaimana Pak Musir mengelak tatkala diterkam ular tedung selar di tepi belukar.
Beberapa kali ular berkenaan menghambur tinggi, pantas sahaja dicekak lehernya terus dilibas ke tanah. Tiga kali Pak Musir libaskan tubuh ular berkenaan ke tanah memang tidak boleh lagi ia angkat kepala. Siapa mahu menguji ketangkasan Pak Musir memencak kalau tidak mahir membuka langkah silat?
Sebab itu Mat Deris tidak berani angkat muka selepas ditampar keras oleh bapa mentuanya di depan rumah Itam Kadir. Apa sangat dengan kebun pisang ditanduk lembu ternak Itam Kadir hingga hilang pertimbangan mahu bermasam muka sekeluarga? Sekalipun Mat Deris tidak berpuas hati, namun Utih Soyah tidak berani marahi suaminya.
Terpaksa Utih Soyah pendamkan perasaan yang mendongkol itu jauh di lubuk hatinya. Bimbang sangat dia mahu marahi Mat Deris apabila menyerbu ke rumah Itam Kadir disebabkan bimbang pantang larang arwah neneknya Embah Kisin. Tahu sangat dia apabila gusi membengkak hingga bernanah.
Sudah tentu giginya habis Iuruh sekiranya tidak dapat diubati. Siapa lagi mampu mengubati setelah nenek Embah Kisin meninggal dunia? Dia akan menanggung kesakitan akibat gusi berdenyut-denyut Iaksana ditusuk jarum di mana-mana.
Tatkala dia terkebil-kebil mata tengah malam setelah Mat Deris nyenyak tidur, Utih Soyah terkejut apabita terdengar bunyi tapak kaki berjalan di lantai rumah. Belum sempat dia gerakkan suaminya supaya bangun, Utih Soyah tergamam melihat lelaki berjambang berdiri di tengah rumah. Lantas sahaja lelaki berjambang itu menggamitnya supaya mara ke arahnya.
"Aku Tok Moyang kamu, Soyah," bisik lelaki berjambang itu ingatkan Utih Soyah supaya tidak bimbang apa-apa.
Sebaik sahaja dia mencapai tangan Utih Soyah, sekali gus Utih Soyah merasa dia berjalan melalui lorong yang diterangi api suluh daun kelapa di kiri kanan. Lelaki berjambang itu terus memimpin dia melalui jalan berkenaan hingga sampai ke pondok berdinding pelupuh buluh.
Lelaki berjambang itu mengajaknya naik ke pondok tersebut. Sebaik sahaja Utih Soyah naik di tengah pondok sudah tersedia dulang berisi tujuh biji Iimau, sepiring bertih, tempat bakar kemenyan, beras kunyit dan tiga batang jarum emas.
"Tok Moyang nak buat apa ni?" ujar Utih Soyah bimbang benar apabila dibawa ke pondok berkenaan.
"Tok Moyang nak bebaskan cucu dari pantang larang," beritahu lelaki berjambang itu ingatkan dia mengenai pantang larang yang ditetapkan oleh Embah Kisin.
"Cucu takut kalau mudarat pula," sahut Utih Soyah tidak mahu terburu-buru membuat keputusan.
"Kalau tersalah bawa memanglah mudarat," jelas lelaki berjambang itu terus membakar kemenyan.
Sebaik sahaja asap kemenyan melabun naik Utih Soyah melihat neneknya Embah Kisin berbayang-bayang di tengah asap. Apabila dia mendongak lantas jelmaan neneknya beritahu mengenai lelaki berjambang itu memang Resat Jambang. Tentu Resat Jambang tidak mahu Utih Soyah diganggu pantang larang hingga terpaksa pendamkan segala kemarahan di lubuk hatinya sekalipun Mat Deris menyinggung perasaan dia.
Memang sukar Uti Soyah mahu menahan rasa marah yang terpendam hingga menyebabkan di tersengguk-sengguk menangis. Manalah dia boleh menahan kemarahan berterusan kalau Mat Deris tidak pedulikan perasaannya.
Kadangkala sengaja Ma Deris menyindir disebabkan dia bersumbi emas. Apabila Mat Deris mengejek sumbi emasnya sama macam tahi gigi bertepek marah juga Utih Soyah. Tetapi dia terpaksa menyimpan jauh-jauh di lubuk hati supaya kemarahanya tidak meledak sampai membentak keras.
 Dalam masa asap kemenyan melabun itu, tiba-tiba pondok berkenaan bergoyang kuat tatkala angin kencang bertiup menerobos ke segenap penjuru. Tidak sempat lelaki berjambang menyambar tangan Utih Soyah, sekali gus dia melayang ke udara. Terkial-kial Utih Soyah di tengah tiupan angin kencang menerobos itu.
Lantas dia menjerit kuat melambai-lambai tangan rneminta lelaki berjambang selamatkan dirinya terapung-apung di udara. Jelmaan neneknya Embah Kisin juga bercaing-caing laksana kabus dipuput angin. Semakin lama terapung-apung semakin gementar hati Utih Soyah tidak dapat berjejak kaki di mana-mana. Suara jeritnya juga tidak kedengaran di mana-mana menyebabkan dia menangis merintih akibat ketakutan yang mendebarkan.
Ketika ini Utih Soyah terasa tangannya disambar jari halus. Apabila dia ditarik keluar dari kawasan angin kencang itu, Utih Soyah menyedari dia mengikuti perempuan muda berpakaian kebaya kain kasa nipis. Tersenyunn perempuan itu membelai-belai rambut Utih Soyah lantas beritahu dirinya terpedaya oleh jelmaan berkenaan.
"Resat Jambang tidak akan menjelma macam tu, Adik Soyah," ujar perempuan itu beritahu dirinya Puteri Sihalus yang berikan susuk sumbi pada Resat Jambang.
Segera Puteri Sihalus cabutkan susuk emas yang ditusuk pada gusinya oleh Embah Kisin. Setelah dicuci dengan air embun gusi Utih Soyah ditusuknya semula dengan jarum emas halus laksana rambut di celah gigi. Terasa sejuk gusi di celah gigi Utih. Soyah apabila jarum berkenaan ditusukkan. Dia bisikkan pada Utih Soyah supaya tidak bimbang dengan pantang larang yang diberikan Embah Kisin. Gusinya tidak akan membengkak sampai bernanah selagi susuk sumbi Puteri Sihalus tertusuk di situ.
"Dah pakai susuk ni Adik Soyah yang berkuasa dalam rumah tangga," bisik Puteri Sihalus tatkala membawa batik Utih Soyah ke tengah rumah.
Sewaktu bangun pagi-pagi lagi terkejut Mat Denis apabila melihat isterinya tertiarap tidur di tengah rumah. Terpinga-pinga Utih Soyah bangun disebabkan dia merasakan tengah bermimpi apabila dikejutkan oleh suaminya. Sebaik sahaja bangun lantas Utih Soyah merungut marah dengan menghentak-hentak kaki ke lantai.
Semenjak itu serba salah benar Mat Deris disebabkan isterinya mudah sangat marah hingga beberapa kali membentak di depannya. Kecut juga hati Mat Deris mahu berkeras tatkala Utih Soyah membentak marah. Apa lagi dia semakin bimbang isterinya akan meninggalkan dirinya kalau membantah kemahuannya.
Setelah beberapa kali dia terserempak Saleh Tibai bersama Utih Soyah, memang marah juga Mat Deris. Tetapi dia tidak tergamak mahu cekak leher Saleh Tibai apabila tiba-tiba sahaja perempuan berbaju kasa tercegat di depannya. Lantas sahaja Puteri Sihalus kibas muka Mat Deris dengan hujung bajunya hingga terasa pedih Iaksana dihiris mata pisau.
Tahu sangat Mat Deris dia tidak akan mampu menghalang Utih Soyah berlaku curang terhadap dirinya disebabkan susuk sumbi yang ditusukkan Puteri Sihalus. Lainlah Puteri Sihalus sama macam Embah Kisin yang boleh dicekak leher kalau mahu lepaskan geram. Tetapi Puteri Sihalus sekadar bayang-bayang sahaja tidak boleh dicekak apa-apa. Dia sendiri yang menerima akibat sekiranya mahu berkeras melawan jelmaan perempuan yang melindungi Utih Soyah itu.
Sebab itu Mat Deris mengambil keputusan cerai-an sahaja Utih Soyah. Biarlah Utih Soyah memilih Saleh Tibai kalau dia sudah tidak boleh diharapkan lagi. Tidak lama selepas ditinggalkan Mat Deris, memang Utih Soyah berkahwin juga dengan Saleh Tibai.
Dalam masa menjadi isteri Saleh Tibai jiran-jiannya ternampak Lahak Gonjeng sering berkunjung ke rumahnya. Hinggalah kejadian Saleh Tibai terserempak Lahak Gonjeng di dalam rumah bersama Utih Soyah. Tidak bertangguh Saleh Tibai hunus parang terus mencekak leher Lahak Gonjeng. Belum sempat dia menetak Lahak Gonjeng tiba-tiba sahaja tangannya direntap Puteri Sihalus.
Apabila Puteri Sihalus kibaskan hujung lengan bajunya ke muka, terjerit Saleh Tibai menahan rasa pedih Iaksana dituris dengan pisau. Sekalipun darah tidak memercik, namun Saleh Tibai merasa seolah-olah mukanya luka dihiris. Sebab itu dia mengambil keputusan tinggalkan sahaja Utih Soyah daripada terus menjadi suami yang tunduk kepada kemahuan isteri.
"Memang Utih Soyah amalkan susuk sumbi, Tok Aji," beritahu Kak Misun ketika Tok Aji meminta jiran-jiran bacakan Yasin dalam masa Utih Soyah terkejang semakin lemah tidak bermaya.
Kak Misun tahu mengenai sepupunya Utih Soyah akan mengidap sakit gusi hingga berdarah sekiranya tidak layani lelaki lain dalam masa dia bersuami. Apabila menjadi janda tidak pernah pula gangguan sakit gusi itu dihidapinya. Hairan juga Kak Misun dengan nasib yang menimpa Utih Soyah seolah-olah tidak boleh langsung bersuami.
"Hah, dendam sejak lama!" tutur Tok Aji perlahan merenung keadaan Utih Soyah terkejang dengan nafas termengah-mengah.
"Dendam macam mana tu, Tok Aji?" terkejut Kak Misun apabila Tok Uji sebut fasal dendam sejak sekian lama itu.
"Tok Aji bukannya bercakap dengan awak!" segera suaminya Uda Deraman ingatkan Kak Misun.
"Siapa yang berdendam?" Kak Misun masih lagi mengharapkan penjelasan.
Cepat-cepat Uda Deraman mencuit bahunya meminta bertenang tatkala Tok Aji beristighfar beberapa kali. Ketika ini Tok Aji seolah-olah melihat jelmaan perempuan berpakaian kebaya kain kasa itu berligar-ligar di kepala Utih Soyah. Apabila dibacakan Yasin, jelmaan perempuan itu semakin jauh ditiup angin.
Lantas Tok Aji ikut sama mengekorinya hingga menemui lorong dikelilingi api suluh daun nyiur kering di kiri kanan. Apabila sampai di kawasan pondok berdinding pelupuh buluh, perempuan itu segera berlindung di situ. Ketika Tok Aji tercegat di tengah halaman perempuan berkebaya kain kasa itu terjerit halus apabila rambutnya direntap lelaki berjambang di tengah pondok.
Marah benar lelaki berjambang itu sebaik sahaja dapat mencekak rambut perempuan berkenaan. Tatkala dia mengheret perempuan itu ke muka pintu, terkejut lelaki berjambang itu apabila ternampak Tok Aji tercegat di tengah halaman. Perlahan-lahan dia melambai tangan seolah-olah mengajak Tok Aji naik ke rumah.
"Dia nak perdayakan Soyah!" beritahu lelaki berjambang itu menahan sebak dada sebaik sahaja melihat keadaan Utih Soyah terkejang.
Utih Soyah bagaikan mengakui perempuan berkebaya kain kasa mengalami bengkak gusi sebaik sahaja Tok Aji membawa Aki Sigat balik ke rumah. Perempuan itu cuba, menghambat Aki Sigat, tetapi tangannya terkaku tidak boleh digerakkan. Terjerit-jerit dia meminta lelaki di muka pintu rumah Utih Soyah memapahnya naik semula ke rumah.
Memang perempuan itu beritahu Utih Soyah mereka tidak boleh bertahan lama setelah Tok Aji mandikan Aki Sigat di bawah tangga. Tatkala Aki Sigat terjeluih muntah, perempuan berkebaya kain kasa itu berguling-guling di lantai menahan perut memulas-mulas. Sekali gus pula Utih Soyah senak perut seolah-olah termuntah tidak bertahan.
Selepas mengalami senak perut berterusan itulah Utih Soyah terkejang tidak boleh bergerak kuat. Tidak bertangguh pula lelaki yang dilayaninya itu ketakutan tidak menentu terus tinggalkan Utih Soyah mengerang-erang berseorangan. Tatkala Kak Misun menjengahnya keadaan Utih Soyah sudah semakin lemah.
"Dengan Tok Aji, baru kena buku dengan ruas!" lelaki berjambang itu menggertap bibir lantas mencekak rambut perempuan itu lebih kuat.
Ketika ini Tok Aji kisarkan tumitnya ke tanah menyebabkan angin berpusar di sekeliling pondok berkenaan. Lelaki berjambang itu berpaut kuat pada jenang pintu akibat angin berpusar itu menolaknya hingga terangkat kaki ke udara. Tetapi dia tetap cekak juga rambut perempuan berkenaan tidak mahu dilepaskan.
Memang Tok Aji tidak peduli siapa pun menjelma di depannya.Biarlah lelaki berjambang itu sengaja berbaik-baik, Tok Aji tetap bacakan juga:
Walillahhi ghaibus samawad wal-ardhi wa-ilaihi yurja-'ul-amru kulluhu fa'budhu watawak-kal 'alahi wama rabbuka bighopilin 'amma ta'malun.
Gementar lelaki berjambang itu apabila tiupan angin kencang semakin mengancamnya. Ketika ini terketar-ketar dia beritahu mengenai dendam perempuan berkebaya kain kasa itu terhadap dirinya berkahwin dengan ramai perempuan. Dia mengakui perempuan berkenaan isterinya yang menghilangkan diri setelah tidak tertahan dimadukan suami.
Tatkala isterinya Sihalus balik semula ke rumah, keadaannya sudah berubah dengan sumbi emas memancar pada giginya. Sebaik sahaja lelaki berjambang itu melihat Sihalus balik semula ke rumah dia menyedari tentu jelmaan semata-mata. Sebab itu dia usir sahaja Sihalus tidak benarkan jejak naik ke rumahnya.
Tidak lama selepas Sihalus tinggalkan rumahnya, semua isteri lelaki berjambang itu mengalami sakit gusi hingga berdarah. Lama kelamaan gusi berkenaan mengangkut nanah menyebabkan gigi habis Iuruh tidak bersisa. Akibat sakit mulut yang dihidapi semua isteri lelaki berjambang itu meninggal dunia juga menahan kesakitan tidak boleh diubati lagi.
Sebab itu lelaki berjambang itu tahu mengenai susuk sumbi Sihalus yang musnahkan gusi. Biarlah dia bertapa bertahun-tahun asal sahaja dapat melawan susuk sumbi Sihalus. Asal sahaja dia berkahwin lain sudah tentu isterinya akan mengalami sakit gusi hingga bengkak menanah.
Kalau tidak dihalang amalan susuk sumbi berkenaan, sampai bila pun dia tidak boleh berkahwin lagi. Sia-sia sahaja dia berkahwin sekiranya isteri-nya menderita menanggung kesakitan sakit gusi demikian. Semasa lelaki berjambang itu bertapa ke tengah hutan, dia tidak balik lagi ke rumah. Semenjak itulah seisi kampung tidak lagi melihat lelaki berjambang berkenaan.
"Resat Jambang memang keturunan aku!" ujar lelaki berjambang itu mengesat pelupuk mata, tetapi tidak lepaskan rambut perempuan yang dicekaknya.
Tetapi Tok Aji memberi isyarat tidak mahu dengar apa-apa pun penjelasan lelaki berjambang. Saat ini Tok Aji tidak perlu lelaki berjambang itu beritahu mengenai Resat Jambang. Kalau tidak diberitahu pun memang seisi kampung memahami Resat Jambang datuk aki Embah Kisin yang tusukkan susuk sumbi pada cucunya Utih Soyah.
Memang Embah Kisin tidak akan tusukkan susuk umbi berkenaan sekiranya Utih Soyah tidak mengalami sakit gusi setelah dipasangkan sumbi emas. Manalah emaknya Tisah Kekeh tahu mengenai Utih Soyah tidak serasi dipakaikan sumbi emas dalam masa anak-anak gadis di kampungnya kepingin sangat mahu memakai sumbi emas.
Siapa lagi turunkan amalan susuk sumbi itu kepada Embah Kisin kalau bukan datuknya sendiri Resat Jambang? Sebab itu Tok Aji tidak peduli apa-apa tatkala lelaki berjambang itu sebut mengenai Resat Jambang keturunan dirinya
Apabila Tok Aji mengusap-usap muka beberapa kali, segera saya mencuit bahunya. Saya beritahu mengenai Utih Soyah sudah meninggal dunia. Tok Aji sekadar mengangguk-angguk kepala sahaja, lantas memberi isyarat supaya mayat dibujurkan di bawah bumbung rumah.
"Macam mana pun, Soyah ni adik ipar awak juga," bisik Tok Aji pada Nenek Aji setelah mayat Utih Soyah dibujurkan baik-baik.
Nenek Aji mengeluh perlahan. Dia tahu semasa Aki Sigat dibawa balik ke rumahnya, memang Utih  Soyah sudah tidak boleh bangun. Kak Misun sendiri menyedari Utih Soyah mencapai penyapu mahu menghambat Aki Sigat supaya tidak balik ke rumah Nenek Aji.  Tiba-tiba sahaja tangannya kaku tatkala mahu menghayun penyapu berkenaan biar menyinggahi belakang Aki Sigat.
Setelah dipapah oleh lelaki yang melayai dia naik ke rumah, keadaan Utih Soyah bertambah tenat. Dia menggelepar menahan senak perut hingga terjeluih beberapa kali. Tetapi dia termuntah-muntah sekalipun terjeluih sampai merah muka menahan kesakitan. Sebab itu lelaki berkenaan menjadi cemas dengan keadaan Utih Soyah. Serba salah dia mahu memberitahu Kak Misun, kerana tidak ada apa-apa hubungannya dengan Utih Soyah.
Dalam keadaan cemas itulah dia melarikan diri. Terus sahaja ditinggalkan Utih Soyah mengerang-erang sendirian di tengah rumah. Erangan Utih Soyah yang kuat itu terimbau juga sampai ke rumah Kak Misah. Sebab itulah tidak bertangguh Kak Misah mengajak suaminya Uda Deraman menjengah sama.
"Sigat baru aje tinggalkan kampung," ujar Nenek Aji perlahan apabila kenang adiknya mengambil keputusan tinggalkan kampung halaman sebaik sahaja tubuhnya segar semula. Dia tidak peduli mengenai Utih Soyah terkejang sakit harapkan Aki Sigat datang menjengah.
Memang Aki Sigat tidak akan datang menjengah bekas isterinya setelah dia mengambil keputusan menceraikannya. Dia tidak akan menatap wajah Utih Soyah lagi sekalipun diberitahu mengenai keadaan bekas isterinya terkejang sebut namanya berulang kali. Terharu juga Nenek Aji dengan keputusan adiknya yang merajuk setelah menyedari dia ditundukkan oleh amalan susuk sumbi isterinya.
Dalam masa mayat dibujurkan itu Kak Misun terkejut melihat gusi Utih Soyah berdarah. Cepat-cepat dia beritahu Uda Deraman apabila gusi mayat tiba-tiba berdarah. Apabila mereka beritahu Tok Aji, dia beristighfar sahaja beberapa kali. Tok Aji ingatkan Kak Misun supaya bertenang sahaja tatkala menghadapi suasana demikian.
"Tak ada siapa boleh mengatasi kuasa Allah," tutur Aki Sigat perlahan apabila saya ungkit mengenai peristiwa masa lalunya. Setelah beberapa kali saya temui dia di Melaka, barulah Aki Sigat jejak kaki semula ke kampung menjengah Nenek Aji.
Tersengih-sengih juga Aki Sigat beritahu kakaknya disebabkan dia beristeri empat juga di Melaka.
"Tak serik-serik kamu ni, Sigat!" gerutu Nenek Aji mengerling Tok Aji yang uzur terbatuk-batuk di hujung serambi.