Sunday, January 15, 2017

211. BERSUAMI JELMAAN ULAR SAWA



   KEBIMBANGAN terbayang di wajah Mat Pian sebaik sahaja doktor memberi keputusan positif mengenai isterinya mengidap ketumbuhan di pangkal rahim dalam masa Mediah sarat mengandung. Kalau ketumbuhan itu tidak dibedah menjadi masalah pula kepada anak di dalam kandungan. Apatah lagi kalau dibedah sudah tentu kandungan Mediah dalam keadaan bahaya.
Gelisah benar Mat Pian dengan malang yang menimpa isterinya dalam saat dia seharusnya gembira akan menimang anak sulung. Bagaimanapun doktor memberi tempoh kepadanya dalam masa dua atau tiga minggu untuk berfikir sama ada setuju menjalani pembedahan ataupun tidak.
Perkara ketumbuhan itu sama bahaya dengan pembedahan disebabkan Mediah tengah mengandung. Lainlah kalau ketumbuhan itu mengganggu ketika isterinya sihat bugar. Bila-bila Mat Pian benarkan isterinya dibedah asal sahaja Mediah selamat.
Tetapi Haji Basar ingatkan dia supaya tidak serahkan nasib isterinya pada pisau dan gunting, sebelum mencari ikhtiar lain.
"Kalau dah tak ada ikhtiar, baru serahkan nasib pada pisau dan gunting," ujar Haji Basar bapa saudaranya seolah-olah tidak bersetuju Mediah dibedah dalam saat sedang mengandung itu.
"Saya dah tak tahu nak buat apa, pak lang," keluh Mat Pian semacam putus asa dengan keadaan yang menimpa keluarganya.
Memang Mediah tidak terlantar sakit. Dia tetap bertenaga seperti biasa sekalipun terasa perutnya menyenak sekali sekala. Sebab itulah Mat Pian meminta bantuan doktor pakar untuk melakukan x-ray biar jelas punca yang menyebabkan Mediah sentiasa sakit menyenak perut sewaktu mengandung.
Setelah dilakukan x-ray itulah mereka ketahui ada ketumbuhan di pangkal rahim Mediah. Kalau dibiarkan juga bukan sahaja kandungannya dalam bahaya malah Mediah juga terpaksa menanggung sama bahayanya itu.
"Kenapa kau putus asa" Haji Basar mencemik muka dengan sikap Mat Pian mudah sangat mati punca. "Ikhtiar cara lain dulu, lepas tu baru jumpa doktor semula," dia ingatkan anak saudaranya.
Dia tidak membantah sekiranya Mat Pian sudah mengambil keputusan untuk membedah isterinya yang mengidap ketumbuhan. Tidak ada apa yang dibimbangkan sekiranya dibawa ke hospital, asal sahaja Mediah boleh sembuh. Tetapi apabila doktor memberi masa untuk berfikir sebelum membuat keputusan, apalah salahnya Mat Pian berikhtiar lagi.
Macam-macam ikhtiar boleh dibuat untuk mengurangkan sakit Mediah. Kalau tidak boleh berdoa memohon kepada Allah, apa salahnya Mediah amalkan sendiri doa-doa mustajab sementara balik semula ke hospital dapatkan rawatan.
Memang Haji Basar juga tidak bersetuju kalau Mediah diberikan ubat tradisional yang tidak tahu khasiat atau mudaratnya. Perkara ubat-ubat,yang tidak tahu buruk baiknya tidak patut diberikan kepada Mediah dalam saat dia tengah mengandung.
Ketika Haji Basar membawa anak saudaranya menemui saya, serba salah juga saya mahu mengelak. Haji Basar sudah berharap sangat disebabkan Mediah terpaksa di x-ray sekali lagi dalam tempoh dua minggu untuk menentukan sama ada boleh di lakukan pembedahan atau pun tidak.
"Ini anak buah saya, ustaz," ujar Haji Basar memperkenalkan Mat Pian bersama isterinya Mediah, "Saya minta benarlah ustaz doakan sikit," katanya tersenyum dalam penuh harapan membumbung.
Saya mengangguk perlahan. Perkara mendoakan memang sesiapa sahaja boleh diharapkan. Allah Subhanahu Taala lagi Maha Mendengar dan Maha Melihat akan hambaNya yang terlalu mengharapkan pertolongan dan perlindungan Dia.
Apalagi berhadapan dengan perempuan mengandung seperti Mediah tentulah saya tidak berupaya mahu membantu. Lainlah arwah nenek saya Bidan Ibah yang memang berpengalaman mengenai perempuan tengah mengandung. Tetapi nenek pun sekadar sanggup menyambut bayi sahaja, kerana dia tidak akan memotong pusat atau pun memandikan. Tahu sangat orang-orang kampung mengenai pantang larang nenek tidak akan memotong pusat bayi itu.
Satu-satunya bidan yang diharapkan memotong pusat bayi cuma Bidan Nah sahaja. Tetapi Bidan Nah tidak akan menyambut bayi sekiranya kedudukan songsang dalam kandungan. Sebab itu orang-orang kampung terpaksa juga meminta bantuan nenek sekiranya isteri masing-masing tengah sakit mahu bersalin.
Malah Bidan Nah sendiri akan mendesak supaya dijemput sama nenek saya untuk membantu sekalipun dia diharapkan membidankan perempuan sarat mengandung. Memang nenek tidak menolak asal sahaja dia tidak memotong pusat dan memandikan bayi.
Kalau ditanyakan sebabnya nenek tidak akan memberitahu apa-apa. Dia tetap rahsiakan segala pantang larangnya tidak mahu memotong pusat bayi itu. Saleh Janggut percaya nenek saya tidak mahu lagi memotong pusat bayi disebabkan kejadian membasuh uri tembuni di sungai bersama emaknya Mak Nget.
Tahu benar Saleh Janggut kejadian yang mendebarkan itu sebaik sahaja isterinya selamat bersalin selepas subuh. Emaknya cepat-cepat balik ke rumah di seberang halaman untuk melepaskan ayam itik di reban, setelah berjanji mahu membantu nenek saya membasuh uri tembuni di sungai.
Selesai sahaja berkemas-kemas, nenek terus turun ke halaman mahu membawa uri tembuni ke sungai. Sampai sahaja di kaki tangga dia melihat Mak Nget sudah menunggu di tengah halaman. Tidak bertangguh dia mengajak perempuan itu ke sungai melalui lorong melintasi permatang sawah.
Sepanjang berjalan ke sungai Mak Nget tidak bercakap apa-apa bagaikan keletihan berjaga sepanjang malam menunggu menantunya Jeliyah bersalin. Nenek sendiri terasa letih dan mengantuk kerana Jeliyah hanya merengek-rengek sakit tetapi masih juga tidak bersalin hingga santak subuh.
Tiba sahaja di sungai, nenek terus membasuh tikar dan kain-kain yang dibasahi darah ke tengah air. Mak Nget sendiri mahu membasuh uri tembuni cucunya di hilir sungai. Disebabkan perempuan itu tidak juga bercakap apa-apa lantas nenek berpaling ke belakang memanggilnya.
Terkejut sangat nenek apabila melihat Mak Nget membasuh uri tembuni itu sambil memakannya sedikit demi sedikit. Mulutnya ada kesan darah disebabkan dia mengunyah tembuni uri yang disiatkan sedikit demi sedikit. Setelah menyedari perempuan itu bukannya Mak Nget, tidak bertangguh nenek menerkam merampas tembuni uri di tangan sambil menolak kuat perempuan itu hingga terlentang jatuh ke air.
"Kenapa Kak Ibah buat saya macam ni?" Mak Nget mengerutkan dahi disebabkan, terperanjat dengan tindakan nenek.
"Kau bukannya Nget, kau polong!" bentak nenek menggenggam erat tembuni uri di tangannya.
Tersengih-sengih perempuan itu apabila dituduh polong hingga tergamak memakan uri tembuni. Masakan Mak Nget mahu memamah uri tembuni yang hanyir lagi kotor itu, kecuali syaitan sahaja yang memakan benda yang kotor.
Apabila perempuan yang menyerupai Mak Nget itu menukar dirinya menjadi hodoh, nenek sudah bersedia untuk menghadapinya. Sebaik sahaja nenek menyeru Tok Syeikh, sekaligus angin bertiup kencang hingga ternampak kelibat kuning melayang dari udara. Tatkala angin berhenti bertiup nenek nampak Tok Syeikh berdiri di tebing sungai.
Lantas sahaja Tok Syeikh menuding perempuan hodoh itu dengan tongkat buluh tumpatnya sampai menggelepar di air laksana dadanya ditusuk dengan sembilu tajam. Cubalah siapa sahaja menentangnya apakala dia sudah menyeru Tok Syeikh mendampinginya.
Disebabkan nenek sudah turun ke sungai, Mak Nget yang berjanji mahu membantu uri tembuni tidaklah ke sungai sebaik sahaja selesai uruskan ayam itiknya. Dia terus memasak air di dapur untuk siapkan sarapan pagi. Tatkala nenek balik dari sungai pun dia masih tidak percaya Mak Nget yang duduk bertimpuh di sisi Jeliyah.
Hairan juga Mak Nget apabila nenek hulurkan ke hadapannya bujam sirih diisikan pisau terhunus dicacakkan ibu kunyit di hujungnya. Kemudian nenek menyuruh perempuan itu cabutkan kunyit tercacak di hujung pisau dan mengigitnya sedikit. Setelah Mak Nget lakukan apa sahaja yang disuruh nenek perlahan sahaja dia menuturkan:
"Memang kau Nget sebenarnya!"
"Eh, ada pulakah Nget yang tak benar, Kak Ibah?" tersengih-sengih Mak Nget kerana tidak tahu kejadian yang menimpa nenek.
Meremang juga bulu roma Mak Nget apakala diberitahu oleh nenek kejadian dia diperdaya syaitan sewaktu turun ke sungai. Sebab itu dia ingatkan jangan berjanji mahu bersihkan uri tembuni, tetapi tinggalkan rumah ibu yang bersalin.
"Masa itulah polong mencuri masuk," tegas nenek apabila kenangkan perempuan hodoh yang menjelma macam Mak Nget mengekorinya dari belakang sebaik sahaja turun tangga ke tengah halaman.
Banyak benar pantang larang yang mesti dipatuhi kalau sudah menjadi bidan berpengalaman. Dia terpaksa menempuh dugaan demikian bila-bila masa sahaja asalkan terus membidankan ibu bersalin.
Memang Saleh Janggut percaya nenek saya tidak mahu lagi berbidan berpunca daripada kejadian membidankan isterinya Jeliyah. Siapa sahaja akan diuji kalau ingin sangat diturunkan petua-petua yang diamalkan. Kalau tidak menempuh ujian tentulah seseorang itu tidak tahu sejauh mana amalannya sudah bersatu dengan dirinya. Nenek sekadar tidak membidankan ibu bersalin sahaja, tetapi amalannya mendampingi Tok Syeikh itu masih diteruskan juga. Kadangkala Dukun Samid juga akan meminta bantuan dia sekiranya terdesak tatkala mengubati orang yang terlantar sakit.
"Mediah ni bukannya nak bersalin, tapi sakit ketumbuhan," Haji Basar mengusik apabila diberitahu mengenai nenek saya yang membidankan menantu Mak Nget itu. "Saya minta sangat ustaz doakan dia,": katanya tersengih-sengih mengerling saya.
Tetapi saya bimbang kalaulah doa saya tidak boleh membantu Mediah, tentulah mereka akan menganggap membuat kerja yang tidak berfaedah. Manalah boleh harapkan doa sebagai ikhtiar, sekira-nya tidak memberi apa-apa manfaat.
"Dulu ustaz juga cakap, jangan serahkan pada gunting dan pisau sebelum berikhtiar," lantas sahaja Haji Basar meneruskan setelah melihat saya masih juga tunduk membisu.
Saya mengangguk lemah. Memang saya pernah memberitahu Haji Basar tatkala anak gadis bersama isterinya mengidap sakit busung hingga perut memboyot besar bagaikan buntil tepung berisi penuh.
Sudah nekad Haji Basar mahukan anak gadis dan isterinya dibedah sahaja, biar busung yang memboyot besar seruh semula. Dia sudah dibawa sampai ke Endau menemui Batin Serai kerana bimbang terlangkah kubur tok batin Orang Asli. Habis tiga ratus ringgit meminta Batin Serai menurun, tetapi busung yang memboyot tidak juga seruh.
Dia diberitahu fasal isterinya terlangkah kubur tok batin Orang Asli di tepi jeram. Batin Serai sendiri dapat melihat hama di atas kubur itu hinggap ke kaki isteri Haji Basar sampai berjangkit kepada anak gadisnya. Hama di atas kubur tok batin itulah bertumpu di perut isteri dan anak gadisnya sampai membengkak menjadi busung.
Disebabkan tidak ada ikhtiar lain, Haji Basar rela Hajah Miyah dibedah perut. Biarlah anak gadisnya Jisah juga dibedah supaya perut yang membusung itu kempis semula. Dia mahu melihat sendiri hama dari atas kubur tok batin Orang Asli itu diluruhkan keluar ke dalam takungan.
Ketika saya ke Pelangai mengunjungi rumah Lebai Sawar kebetulan Haji Basar ke sana. Dia menemui Lebai Sawar dengan harapan kalau tidak juga boleh diubati, memang tidak ada pilihan lagi melainkan Hajah Miyah dan Jisah mesti dibedah juga.
Terpaksa pula Haji Basar menunggu giliran sampai jam 12 tengah malam mengharapkan Lebai Sawar mengubati. Sebaik sahaja Lebai Sawar menyuruh Hajah Miyah berlunjur di depannya, tiba-tiba sahaja Jisah terjerit ketakutan. Tubuhnya mengerekot laksana orang kesejukan diganggu demam kura.
"Hai, ini bukannya busung," gerutu Lebai Sawar setelah melihat keadaan Jisah.
Apabila dia memegang ibu jari kaki Jisah, sekaligus pula Hajah Miyah menggelepar hingga mulutnya berbuih. Seolah-olah mereka berdua saling bertukar-tukar ganti' menanggung derita kesakitan yang tidak diketahui puncanya.
"Kuman penyakit juga jenis syaitan," ujar Lebai Sawar bersila rapat memegang buah tasbih menatap muka Hajah Miyah dengan tidak berkedip mata. "Syaitan yang menaburkan kuman penyakit, biar manusia kelam kabut," tersengih-sengih Lebai Sawar memberitahu.
Masakan terkena busung akibat terlangkah kubur tok batin Hajah Miyah menggelepar sebaik sahaja Lebai Sawar memegang ibu jari kaki Jisah dengan membacakan Ayatul Kursi 17 kali. Selepas itu Lebai Sawar meletakkan tapak tangannya ke perut Hajah Miyah lantas membacakan:
"Huwallahhullazila-ilaha-illa huwa-'alimulghaibi wasyha-dati huwar Rahmanur Rahim, huwallah-hullazi la-ilaha illa-huwal maliku-lquddusus salamul mukminul muhaimi-nbui 'azizul jabbarul mutakabbiru subhanal-lahhi 'amma yusyri-kun."
Apabila dia mendoakan Hajah Miyah, terjerit-jerit pula anak gadisnya Jisah seperti tersentak disinggah besi panas. Memang gelabah Haji Basar dengan keadaan tersebut seolah-olah permainan silap mata untuk menghiburkan. Tetapi dia sedar malang yang menimpa keluarganya bukan silap mata untuk mengelirukan sahaja.
"Takkan macam ni nak dibedah," Lebai Sawar berpaling menatap muka Haji Basar yang terkebil-kebil mata.
"Penyakit ni dibuat orang ke, tuan?" mengirap juga hati Haji Basar apabila kenangkan penyakit isteri dan anak gadis-nya itu. Kalaulah disebabkan orang menganiaya, memang dia sanggup lakukan apa sahaja biar orang yang gunakan ilmu hitam itu menerima pembalasan juga.
"Manalah saya tahu, tapi isteri awak ni sakit, oleh itu ikhtiar ubatkan," ujar Lebai Sawar mencebek bibir mengingatkan Haji Basar supaya tidak menuduh sesiapa.
"Memang sekarang ni saya ikhtiarkan, sebab itu saya bawa jumpa tuan," jelas Haji Basar bagaikan tersinggung dengan penjelasan Lebai Sawar seolah-olah dia tidak berikhtiar langsung.
Tetapi Lebai Sawar tidak menuduh dia biarkan isterinya dengan tidak berikhtiar langsung. Lebai Sawar sekadar ingatkan kalau berikhtiar mengubati Hajah Miyah kenapa pula menuduh orang lain gunakan ilmu hitam? Perkara orang lain gunakan ilmu hitam manalah Lebai Sawar ambil pusing sangat.
Sebab itulah kadangkala dia mengelak tidak mahu doakan, kerana bimbang menimbulkan fitnah sampai menuduh orang lain gunakan ilmu hitam. Dia sekadar mencuba sahaja, sekiranya keadaan Hajah Miyah menggelepar apabila didoakan tentulah bukan disebabkan busung.
"Kalau boleh janganlah serahkan pada pisau dan guntung dulu," saya mencelah disebabkan Haji Basar beberapa kali mengeluh apabila kenangkan isterinya perlu dibedah. Memang dia sedia menanggung apa sahaja akan terjadi sekiranya Hajah Miyah terpaksa juga dibedah kerana keadaan perutnya yang memboyot pasang.
Hampir tiga bulan Haji Basar berulang setiap minggu di rumah Lebai Sawar setelah mengambil keputusan tidak mahu Hajah Miyah dibedah, keadaan busung di perut isterinya seruh semula. Terpaksa pula saya datang ke rumah Lebai Sawar disebabkan dia mendesak saya membantunya.
Memang dia sanggup bersabar apabila mengambil keputusan tidak mahu dibedah. Terpaksa pula mencari daun jarak elang setiap kali datang menemui Lebai Sawar. Daun jarak elang itu dilayur ke api dan disapukan dengan minyak kelapa, kemudian dibarutkan ke perut Hajah Miyah.
"Saya dah jumpa Lebai Sawar, tapi dia yang suruh jumpa ustaz," jelas Haji Basar terus mendesak. Dengan tidak bercakap apa-apa saya memberi isyarat kepada isteri saya supaya ambilkan air sejuk satu jag. Air itu saya doakan dengan membaca Fatihah 41 kali, setelah itu saya bacakan pula:
"Ha mim, tanzilum minar-Rahmanir Ra-him, kitabun fuss ilat ayatuhu Quranan 'ara-biyal liqaumi ya'la-mun, basyirau wanaz-iranfa-'akrada aksa-ruhum fahum layas-ma'un.
Air yang didoakan itu saya suruh mereka bawa balik supaya Mediah minum selama tiga hari. Selepas itu saya menyuruhnya berlunjur kaki dan meletakkan tapak tangannya sendiri ke perut. Apabila saya mengisar tangan memang Mediah menggeliat kesakitan.
Sewaktu saya mengisar tapak tangan, saya membiarkan diri seolah-olah terapung bagaikan titik huruf ba hingga terasa tenggelam dalam gelungan air yang berbuih. Saat ini terasa dada semakin sebak apabila ternampak bayang janin di dalam rahim berhadapan dengan ketul merah sebesar jari kelengkeng.
Ketul merah itu berpunat bagaikan bisul hampir meletus. Perlahan-lahan saya hembus ketul daging merah itu dengan membacakan tiga kali Fatihah, diikuti dengan surah al-Ikhlas, al-Falaq dan an-Nas. Ketika ini ketul merah itu seakan-akan cair menyebabkan saya dapat mengenal jenis janin di dalam kandungan itu.
Setelah beberapa minit saya tenggelam hingga terapung bagaikan titik huruf ba, saya tersentak bagaikan terkejut daripada tidur yang nyenyak. Cepat-cepat saya ke bilik air disebabkan terasa loya tekak seolah-olah mahu termuntah disebabkan terbau hanyir seperti uri tembuni.
Apabila saya balik semula di ruang tamu, tidak bertangguh Haji Basar bertanyakan sama ada bayi dalam kandungan itu lelaki ataupun perempuan. Saya menggeleng-geleng kerana pertanyaan itu amat menghiriskan perasaan. Manalah saya boleh mendahului ketentuan Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Berilmu.
Kalaulah saya memberitahu lelaki, bagaimana pula sekiranya bayi akan dilahirkan kelak perempuan? Perkara yang di luar pengetahuan makhluk tentulah sukar mahu diterangkan, sekalipun Haji Basar menuduh saya memang tahu bayi yang dikandung oleh Mediah.
Sepuluh hari selepas Mat Pian menemui saya, dia sendiri menelefon memberitahu isterinya tidak perlu dibedah. Selepas di x-ray kali kedua doktor sendiri sahkan ketumbuhan dalam rahim Mediah tidak kelihatan lagi. Kebetulan pula saya tidak ada di rumah sewaktu Mat Pian menelefon, tetapi dia terlalu gembira menyampaikan berita itu kepada isteri saya. Berkali-kali dia meminta sampaikan salam kepada saya. Dia sendiri macam tidak percaya apabila doktor yang memujuknya mahu lakukan pembedahan, tiba-tiba sahaja menggeleng kepala. Memang doktor itu benar-benar merasa hairan kerana ketumbuhan yang dilihatnya pada kali pertama di x-ray hilang entah ke mana.
Tetapi apa sangat mahu dihairankan kalau doa-doa demikian boleh menyembuhkan penyakit dengan seizin Allah Subhanahu Wata'ala. Kalau kenangkan kejadian yang menimpa Andak Tumin, terasa pula perkara yang menjadi kehairanan orang itu kadangkala boleh memudaratkan diri.
Tahu sangat Pak Tua Mahat mengenai sepupunya Andak Tumin kalau dicari orang tiba-tiba sahaja dia menghilang. Puas dicari merata tempat tidak seorang pun menemui.
Seisi kampung tahu sangat perangai Andak Tumin memang malas membantu isterinya Utih Sara di sawah. Asal sahaja musim turun ke sawah Andak Tumin akan terbaring di hujung serambi demam terkokol-kokol. Dia akan bingkas bangun ke kedai kopi sebaik sahaja Utih Sara menggalas tajak turun ke sawah.
Apabila matahari tegak di kepala, Andak Tumin akan segera balik ke rumah mencapai selimut. Dia akan terbaring di hujung serambi terkokol-kokol sejuk sampai Utih Sara balik. Sejak bertahun-tahun Andak Tumin berpura-pura demam, terserempak juga oleh Utih Sara dia minum di kedai sewaktu Utih Sara turun ke sawah.
Marah benar Utih Sara dengan perangai suaminya yang berbohong semata-mata mengelak tidak mahu turun ke sawah. Memang dia dapat mengagak Andak Tumin berbohong, tetapi hatinya tidak tergamak mahu menuduh. Asal sahaja musim menuai tiba, Andak Tumin akan segar bugar semula.
Utih Sara juga sudah berkali-kali mendengar jiran-jiran mernberitahu mengenai Andak Tumin bukanlah demam. Dia sekadar mahu berbohong semata-mata mahu mengelak tidak akan turun ke sawah. Hinggalah Utih Sara terserempak dia balik dari minum kedai sewaktu Utih Sara balik dari sawah.
"Awak ni eloknya ditelan ular sawa aje, senang saya..." gerutu Utih Sara melepaskan geram.
Andak Tumin tersengih-sengih sahaja sekalipun isterinya benar-benar marah. Dia terus naik ke rumah merebahkan badan di hujung serambi. Biarlah isterinya membebel sepanjang hari, dia tidak peduli apa-apa.
Tetapi Utih Sara tidaklah rnarahkan suaminya sampai membiarkan Andak Tumin Kebulur tidak menjamah nasi. Dalam keadaan letih selepas balik sawah, dia tanakkan juga nasi. Lagipun anak-anaknya juga perlu disediakan juga makan, setelah mereka sama-sama membantu kerja di sawah.
"Panggilah ayah kamu makan, Bulin," perintah Utih Sara selepas nasi siap dimasak. Anak gadis suntinya Lela membantu dia hidangkan makanan dengan pindang ikan sepat. Memang dia anak beranak menimba ikan di lubuk dalam sawah sampai dapat penuh satu baldi. Kalau harapkan Andak Tumin sampai bilapun dia tidak akan turun ke sawah jejak kaki ke lumpur selut.
Dalam masa Utih Sara bersama Lela bersiap-siap hidangkan nasi, tiba-tiba Bulin terjerit ketakutan di serambi. Cepat-cepat Utih Sara menerpa ke pintu bersama Lela sampaikan nasi yang sudah terhidang ditinggalkan begitu sahaja.
Berdebar hati Utih Sara apakala melihat di hujung serambi ular sawa berlingkar dengan selimut Andak Tumin sudah tercampak ke tepi dinding. Terpinga-pinga dia di-sebabkan sudah sah suaminya Andak Tumin ditelan ular sawa.
"Mana ayah, mak?" Lela memaut bahu emaknya sebaik sahaja melihat ular sawa di hujung serambi berlingkar tidak bergerak. Dia tersengguk-sengguk menangis kerana bimbangkan nasib ayahnya setelah melihat selimut yang tercampak ke dinding.
Dia dapat mengagak tentu ular berkenaan berlingkar di alang kepala tiang semasa ayahnya merebahkan diri di hujung serambi. Siapapun tidak menyedari ular berkenaan menunggu mangsa di situ. Sebaik sahaja ayahnya rebahkan badan,tidak bertangguh ular berkenaan menerkam tidak bersisa.
Tentu ayahnya tidak sempat meronta tatkala ular sawa sebesar batang pinang membelitnya sampai remuk tulang. Mereka di dapur membantu emaknya memasak juga tidak mendengar ayahnya meminta pertolongan kalaupun tidak dapat meronta kuat.
"Jangan tunggu lagi, panggilkan Pak Tua Mahat," lantas Utih Sara menyuruh Bulin. Biarlah anak mudanya itu tidak sempat lagi menjamah nasi, asal sahaja ular sawa di hujung serambi tidak dapat melarikan diri sementara Pak Tua Mahat tiba di situ.
Memang Utih Sara tahu ular sawa tengah kenyang tidak akan dapat melarikan diri ke mana. Kalau dijerut leherpun dia tidak akan melawan apa-apa. Dia percaya tentulah Pak Tua Mahat tidak memerlukan senapang sekiranya berdepan dengan ular sawa tengah kenyang. Cuma dia berharap biarlah Pak Tua Mahat ada di rumah sewaktu Bulin datang menjemputnya.
Pak Tua Mahat baru sahaja selesai menunaikan solat zohor tatkala Bulin datang termengah-mengah memberitahu ayahnya ditelan ular sawa. Terkejut benar dia apa-bila diberitahu oleh Bulin mengenai kejadian yang memilukan hati. Mak Tua Tiamah juga tidak sempat membasuh pinggan selepas makan tengah hari, terus sahaja mengekori Pak Tua Mahat.
Beberapa orang jiran yang mendengar kejadian Andak Tumin ditelan ular sawa itu segera ke rumahnya. Tatkala Pak Tua Mahat datang memang sempat dia mencapai senapang yang tersandar di penjuru bilik. Terus sahaja dia naik ke serambi rumah Andak Tumin membedekkan senapang ke arah ular sawa berlingkar.
Belum sempat Pak Tua Mahat melepaskan tembakan hatinya berdetak apakala melihat mata ular berkenaan berair. Tidak jadi dia menembak disebabkan ular sawa berkenaan tidak berganjak sedikitpun setelah riuh rendah jiran-jiran datang berkumpul.
"Turun semua ke tanah," perintah Pak Tua Mahat menyuruh siapa sahaja berdiri di atas rumah turun ke tanah. "Kalau ular biar dia pergi kalau syaitan dia tunggu!" katanya menggertap bibir. Senapang yang sudah dibedek ke arah ular berkenaan dikepit semula di bawah ketiak.
Setelah semuanya turun dari rumah, segera Pak Tua Mahat mendekati ular sawa berlingkar itu. Dia menunjal kepala ular itu dengan kakinya lantas menuturkan, "Bangun kau, jangan nak bergurau cara ni!"
Sekonyong-konyong ular itu melenggok-lenggokkan kepala berubah sedikit demi sedikit menjadi Andak Tumin semula. Tersengih-sengih Andak Tumin duduk terconggok mendongak Pak Tua Mahat yang mencemik muka.
"Memang kau ni menyusahkan orang," gerutu Pak Tua Mahat lantas duduk bersandar ke dinding memeluk senapangnya. Memang dia tahu Andak Tumin sekadar mahu bergurau dengan isterinya Utih Sara menukar dirinya menjelma menjadi ular sawa. Disebabkan Utih Sara mahukan dia ditelan ular sawa sengaja dia lakukan demikian, biar isterinya menyangka dia benar-benar sudah ditelan ular sawa.
Tahu sangat Pak Tua Mahat kebolehan sepupunya itu akan menjelma apa sahaja mengikut kemahuannya. Dia sendiri tidak tahu apakah amalan yang dituntut oleh Andak Tumin setelah lama merantau meninggalkan kampung halaman mengikut kapal dagang di Singapura.
Setelah jiran-jiran mengetahui Andak Tumin yang menjelma menjadi ular sawa mereka sernua tidak peduli apa-apa lagi. Masing-rnasing balik ke rumah sekalipun kagum dengan kepandaian Andak Tumin demikian. Semenjak itu mereka tahu sangat dengan rahsia diri Andak Tumin sekiranya menghilang diri.
Tetapi Utih Sara pula sentiasa ketakutan hingga melatah-latah tidak menentu. Kadangkala terlangkah tali di mana-manapun dia akan terlompat-lompat melatah, "Laki aku ular, laki aku ular!"
Terpaksa pula Lela memujuknya supaya bertenang. Lama lamaan Utih Sara bukan lagi melatah tidak menentu, malah menjadi tidak siuman hingga termenung panjang apakala meracau-racau fasal ular sawa.
Puas berubat dengan Dukun Samid hingga tiga kali berair tawar bernasi besar, tetapi keadaan Utih Sara bertambah teruk. Kadangkala dia menjadi takut menatap muka Andak Tumin kerana disangkanya ular sawa berlingkar.
Kesal macam mana pun tidak berguna lagi pada Andak Tumin. Kalau tidak disebabkan dia mahu bergurau dengan isterinya apakala menjelma diri nya menjadi ular sawa, tentu Utih Sara tidak menderita sampai hilang akal. Disebab-kan Utih Sara sakit, terpaksalah Lela menjaga emaknya sepanjang hari.
Mahu tidak mahu Andak Tumin sendiri turun ke sawah apabila musim orang-orang kampung bersawah. Dia terpaksa jejak kaki ke selut lumpur macam pernah dilakukan oleh Utih Sara.
"Apa yang kau amalkan ni, Tumin?" Tok Aji mencebek bibir apabila Andak Tumin meminta dia doakan Utih Sara.
Serba salah juga Andak Tumin memberitahu mengenai pengalamannya lama di tanah Jawa semata-mata mencari guru bertapa di tengah hutan. Dia terpaksa meranduk paya dan hutan tebal hingga sampai ke gua batu terpencil tidak ditempuhi manusia.
Di situ Andak Tumin amalkan bertapa hingga cukup 99 hari, biar menjelma kakek tua berekor panjang dengan satu tanduk di kepala. Andak Tumin sanggup lakukan apa sahaja semata-mata menunggu kakek tua itu menjelma menurun kan apa sahaja amalan yang dituntutnya.
"Kau mesti ingat pantang larangnya," tutur kakek tua yang menjelma di hadapan Andak Tumin. "Kalau diketahui orang kau yang tanggung susahnya," kakek tua perintahkan dia merahsia dirinya boleh menjelma menjadi apa sahaja.
Pantang larang itu sentiasa dipegang oleh Andak Tumin. Sewaktu berkahwin di tanah Jawa beberapa kali juga Andak Tumin diganggu orang jahat yang diupah Belanda. Setiap kali mereka menyerbu rumah Andak Tumin tidak ditemui pun dia di situ. Mereka hanya nampak kucing kurap yang menjijikkan di tengah rumah.
Setelah isterinya dilarikan oleh orang jahat itulah Andak Tumin balik ke kampung halaman. Dia terus meninggalkan kerja dengan kapal dagang itu. Biarlah dia balik ke kampung halaman menggalas tajak turun ke sawah.
Semasa di kampung pun Andak Tumin menjelmakan dirinya menjadi seekor harimau di tengah kedai disebabkan Cina taukeh kedai tidak benarkan dia berhutang. Marah benar Andak Tumin dengan sikap Cina taukeh kedai itu yang mahu berkira sangat.
"Nanti gua hantar harimau masuk lu punya kedai," ujar Andak Tumin melepaskan marahnya.
"Apa gua takut, nanti itu halimau hantam sama lu," Cina taukeh kedai itu menyangka tentu Andak Tumin sekadar mahu menakut-nakutkan dia sahaja.
Beberapa minit selepas Andak Tumin keluar meninggalkan kedai, tiba-tiba sahaja Cina taukeh kedai itu terserempak harimau tercangkung di tengah kedai. Terlentang Cina taukeh kedai itu jatuh hingga tidak sedarkan diri disebabkan terlalu takut.
Semenjak itu Cina taukeh kedai berkenaan tidak berani lagi berkeras dengan Andak Tumin. Bila-bila dia benarkan Andak Tumin berhutang barang. Memang siapapun tidak tahu mengenai rahsia Andak Tumin itu, hinggalah Pak Tua Mahat terserempak ular sawa berlingkar di hujung serambi rumah.
"Kau takkan dapat pegang pantang larang-nya lama-lama," tegas Tok Aji menggeleng lemah. Tahu sangat dia bencana yang menimpa diri Utih Sara itu disebabkan Andak Tumin tidak dapat menyembunyikan lagi rahsianya boleh menjelmakan dirinya menjadi apa sahaja itu.