Sunday, February 28, 2016

165. LELAKI BERTUKAR JADI WANITA



 BIARLAH seisi kampung tertanya-tanya bagaimana rumah kecil di pinggir sawah sudah diganti menjadi rumah besar tersergam.  Dinding papan juga diganti dengan batu hingga Kossim satu-satunya yang mampu dirikan rumah batu di kampung mereka.
Tahu sangat mereka Kossim sekadar petani biasa yang habiskan masanya di tengah bendang sawah. Tetapi semenjak isterinya ditemui Samsiar yang datang dari Pariaman ke kampung mereka Kossim tidak menyoal apa-apa bagaimana isterinya dapat kumpulkan wang yang banyak.
Kossim tidak melarang isterinya Raonah mematuhi apa sahaja petua Samsiar yang mengakui bomoh dari Pariaman.  Memang dia datang ke kampung berkenaan mahu membantu Raonah amalkan petua,  biar  gedung wang tempat mereka yang tidak membayar zakat di sembunyikan oleh jin-jin dipunggah ke sisi mereka.
Siapa pun tidak percaya apabila Samsiar beritahu mengenai wang mereka yang tidak membayar zakat disembunyikan oleh jin tatkala mereka tidak menyedari apa-apa.  Cubalah mengelak diri tidak mahu membayar zakat yang diwajibkan, nescaya jin-jin akan berkeliaran mengambilnya lantas di sembunyikan dalam gedung yang tidak diketahui oleh manusia.
Petua amalan yang diamalkan oleh Samsiar satu-satunya yang dapat menyusup masuk ke dalam gedung menyembunyikan wang itu lantas dipunggah habis.  Memang Sansiar yang bantu Raonah dapatkan wang tersebut sampai dia dapat membina rumah besar tersergam di dalam kampung.
“Tak salah kita ambil duit orang yang tak bayar zakat,”  beritahu Raonah apabila suaminya meragui amalan yang diamalkannya dari tunjuk ajar Samsiar.
“Siapa kata tak salah?”  Kossim menjadi resah setelah orang-orang kampung mula ingatkan dia mengenai Samsiar wanita muda yang datang dari Pariaman itu.
“Mereka mengelak bayar zakat,  jadi kita ambil duit mereka,”  tegas Raonah seperti dituturkan kepadanya oleh Samsiar.
“Itu urusan mereka dengan Allah,”  sahut Kossim cuba mendesak isterinya lupakan sahaja usaha mahu bertapa setiap malam Jumaat jauh di gua tengah hutan.  “Cara itu sama juga macam mencuri, siapa kata mencuri tidak salah?”  dia ingatkan isterinya supaya tidak terjerumus dengan amalan demikian.
Disebabkan Kossim berkeras melarang Raonah mematuhi kemahuan Samsiar yang mengakui menjadi saudara angkatnya setelah menetap di kampung berkenaan,  terpaksa juga Raonah mengalah.  Tetapi Samsiar tetap juga membantu dia menguruskan rumah dengan memasak dan membasuh pakaian,  sementara Kossim bertungkus lumus di bendang.
Tidak sampai sebulan Samsiar di rumah Raonah, tiba-tiba sahaja perubahaan pada diri Kossim hingga dia tidak berani lagi menasihati isterinya.  Dia tidak akan membantah sekiranya Raonah bangun tengah malam beramal di bilik Samsiar.
Kalau Raonah dan Samsiar tidak sempat memasak untuk makan tengah hari,  Kossim sendiri akan memasak sebaik sahaja balik dari bendang.  Kossim juga akan membasuh pakaian sekiranya Raonah tidak ke telaga membasuh.  Raonah tetap mematuhi amalan Samsiar mahu mendampingi jin yang mengawal gedung wang mereka yang tidak membayar zakat seperti diberi tahu oleh Samsiar.
Sebab itu mudah sahaja Raonah tinggalkan rumah mengikut Samsiar sampai seminggu amalkan bertapa di gua tengah hutan.  Kossim tidak perlu bimbang sebaik sahaja Raonah turun dari rumah malam Jumaat sehingga sampai santak malam Jumaat seminggu kemudian dia baru balik ke rumah.  Tatkala balik ke rumah itulah Raonah tunjukkan di depan Kossim satu gendong duit yang dikatakan diambil dari gedung jin sembunyikan wang mereka yang tidak membayar zakat.
“Abang Kossim jangan bimbang,”  pujuk Samsiar setelah satu gendong duit itu ditunjukkan di depannya.  “Kalau kita tak berusaha sampai bila pun hidup kita tak berubah,”  ujarnya ingatkan lelaki itu mengenai amalan yang mereka amalkan.
Kossim sekadar menggeleng-geleng lemah.  Dia tidak berdaya membantah apa-apa, kerana pandangannya terhadap Raonah terlalu melemahkan hatinya.  Bimbang benar dia Raonah akan tersinggung hingga meninggalkan dirinya sekiranya berkeras sangat membantah.
“Setiap malam Jumaat saya kena ikut Samsiar bertapa di gua,”  jelas Raonah bangga dengan jumlah wang yang diperolehinya itu.  Bukan mudah mahu dapatkan wang beribu-ribu dalam tangan kalau takat kerjakan bendang saja.
Kalau Raonah tidak meminta kebenaran pun memang Kossim tidak akan melarang.  Seisi kampung menyedari Kossim sudah ditundukkan dengan ubat guna-guna oleh isterinya menyebabkan dia patuh sepatuh-patuhnya pada kemahuan Raonah.  Apa lagi Samsiar yang sentiasa mendampingi Raonah itu akan menasihatnya.
Setelah rumah besarnya tersergam di tengah kampung, Raonah tidak benarkan lagi Kossim bekerja di tengah bendang.  Biarlah Kossim awasi pekerja-pekerja di bendang sahaja.  Raonah tidak mahu suaminya bersusah payah lagi berjemur di bawah panas matahari setelah kehidupan mereka berubah menjadi senang lenang.
Tetapi Kossim tidak boleh melarang asal sahaja isterinya tinggalkan rumah setiap malam Jumaat.  Tahu sangat dia Raonah bertapa di gua tengah hutan bersama Samsiar supaya kekayaan mereka tidak lupus akibat melanggar pantang larang.  Sudah menjadi pantang larang amalan petuanya Raonah mesti bertapa di gua tengah hutan setiap malam Jumaat.
“Kalau amalan ini tidak dibuat, dalam sekelip mata kekayaan Abang Kossim hilang!”  Samsiar ingatkan dia sewaktu meninggalkan rumah bersama Raonah.
Bimbang juga Kossim sekiranya kekayaan yang dinikmati itu hilang tidak semena-mena.  Dia akan kembali berjemur tengah panas matahari mengerjakan bendang bermandi lumpur selut.  Alangkah selesanya dia terconggok di tepi bendang memerhati anak-anak muda kampung mengambil upah dengan Raonah yang memiliki kekayaan itu!.
Cukuplah dia menumpang kekayaan Raonah.  Apalah salahnya dia menumpang kekayaan Raonah isterinya sendiri.  Siapa pun tidak akan melarang, kalau Raonah tetap menjadi isterinya sampai bila-bila.  Kekayaan Raonah samalah macam kekayaan dirinya juga.
Tetapi Tusip adik Kossim tersinggung juga dengan sikap abangnya yang berubah selepas menikmati kekayaan yang di miliki oleh Raonah.  Sudah lama Kossim tidak jejak kaki ke masollah semenjak dilarang oleh isterinya Raonah.
Tahu sangat Tusip memang abangnya tidak dibenarkan dirikan solat kalau mahu menikmati kekayaan.  Raonah akan membentak sekiranya Kossim berkeras mahu berjemaah di masollah.  Memang Kossim tidak akan angkat muka apabila isterinya mula membebel membentaknya.
Terkejut juga Tusip apakala melihat abangnya tidak akan membantah apabila kepalanya dihentak oleh Raonah dengan pangkal penyapu.  Malah Samsiar juga berani menunjal jari ke muka Kossim kalau ungkit mengenai kekayaan yang dimiliki oleh Raonah.
Disebabkan tidak tertahan dengan sikap Raonah dan Samsiar itulah Tusip sanggup ke Payakumbuh menemui Haji Mat Lohim.  Manalah tahu orang tua itu boleh tunjukkan ikhtiar bagaimana mahu selamatkan abangnya Kossim yang tidak berupaya melepaskan diri daripada ubat guna-guna.
Memang Tusip percaya abangnya sudah dikenakan ubat guna-guna oleh Raonah yang dibantu oleh Samsiar.  Kalau Samsiar boleh membantu Raonah dapatkan kekayaan dengan bertapa di gua tengah hutan, kenapa Samsiar sendiri tidak lakukan sendiri.  Alangkah baiknya dia menikmati wang beribut-ribu dengan bertapa sahaja setiap malam Jumaat.
Tersenyum Haji Mat Lohim apabila diberi tahu oleh Tusip mengenai kejadian yang menimpa abangnya Kossim.  Kalau tidak dibawa Kossim menemuinya masakan dia boleh luruhkan apa sahaja yang sudah diberi makan oleh Raonah kepada Kossim.  Tentu ubat guna-guna itu sudah meresap dalam tubuh Kossim  setelah diberi makan kotoran yang berlebihan.  Kalau takat jampi mentera sahaja bila-bila pun Kossim tidak boleh melepaskan dirinya dari belenggu ubat guna-guna itu.
Semasa di Bangkinang pun Haji Mat Lohim sudah mengalami kejadian si suami termakan kotoran yang sengaja diberi oleh isterinya.  Seisi kampung tahu mengenai Nobin yang tidak pernah membantah kemahuan isterinya Semiah, hingga telinga di pial pun dia tidak melawan apa-apa.
Kadangkala Nobin terpaksa meminta wang dari kawan-kawan kalau mahu minum di warung, disebabkan wang di tangannya akan diambil oleh Semiah.  Asal sahaja menerima gaji dari kantor, Nobin akan serahkan semuanya kepada isterinya.  Dia sekadar menerima tambang menaiki bas untuk ke tempat kerja sahaja dari Semiah.
Siapa pun tidak berani mencampuri urusan keluarga berkenaan, disebabkan Nobin tidak menanggung kesakitan apa-apa.  Tidak ada apa-apa perubahan pada dirinya selain dari tunduk dengan kemahuan isterinya sahaja.  Tahu sangat orang-orang kampung Semiah memang kenakan ubat guna-guna kerana bimbang Nobin akan mencari perempuan lain.
Tentu Semiah bimbang sekiranya Nobin memilih wanita yang lain disebabkan suaminya memang kacak.  Apa lagi bandingkan dengan dirinya yang berkulit hitam dan sudah berumur.  Sebab itu dia sanggup kenakan ubat guna-guna biar Nobin terus kekal menjadi suaminya.
Hingga Nobin meninggal dunia dalam usianya baru mencapai umur 40 tahun sahaja akibat seluruh badannya tiba-tiba menjadi kuning, barulah Haji Mat Lohim menyedari nasib yang menimpa lelaki berkenaan.  Tatkala dia dijemput sembahyangkan jenazah, sempat juga Haji Mat Lohim menjengah mayat dimandikan.
Beristighfar panjang Haji Mat Lohim apabila melihat air yang keluar dari tubuh mayat bagaikan pelimbahan.  Memang mereka menuduh Nobin amalkan ilmu hitam menyebabkan mayatnya mengeluarkan air seperti pelimbahan tatkala dimandikan.  Tetapi Haji Mat Lohim tahu Nobin diberi makan kotoran yang berlebihan semata-mata mahu tundukkan dia.
Masakan Semiah boleh berbohong apabila Haji Mat Lohim dapat bayangkan bagaimana perempuan itu sengaja memakan julap biar cacing gelang-gelang dari perut ikut keluar sama sewaktu buang air besar.  Cacing gelang-gelang itu dikeringkan sampai mersik terjemur di bawah cahaya matahari.
Cacing sudah kering terjemur itu digoreng garing oleh Semiah sebelum ditumbuk di jadikan serbuk.  Dia akan kikis hujung kuku kaki dan tangannya dicampurkan bersama serbuk cacing gelang-gelang yang sudah ditumbuk.  Ramuan itu dibancuh lagi ke dalam air yang memercik dari tubuhnya selepas mandi setiap pagi.
“Cuba bawa Kossim ke sini,”  ujar Haji Mat Lohim menghela nafas perlahan apabila kenangkan kejadian yang menimpa Nobin di Bangkinang.
“Macam mana Tuan Haji, bukannya dia mahu?” keluh Tusip disebabkan mustahil boleh mengajak abangnya tinggalkan rumah selagi Raonah dan Samsiar idak berganjak.
“Kamu mahu, kamu kena ikhtiar,”  jelas Haji Mat Lohim ingatkan lelaki itu sekiranya mahu selamatkan Kossim.  Kalau harapkan orang lain membantu sampai bila pun tidak akan berhasil sekiranya diri sendiri tidak mahu berusaha.
Serba salah juga Tusip mahu mengajak abangnya menemui Haji Mat Lohim di Payakumbuh semata-mata mahu ubati dirinya.  Tentu Kossim tidak berani tinggalkan rumah kalau tidak di benarkan oleh Raonah.  Apa lagi Samsiar yang sentiasa ingatkan Raonah supaya tidak terpengaruh dengan orang-orang kampung yang iri hati dengan kekayaaan yang dimilikinya.
Setelah nekad membuat keputusan, Tusip paksa juga abangnya mengikut dia ke Payakumbuh tatkala Raonah bertapa malam Jumaat di gua tengah hutan bersama Samsiar.  Dia sendiri akan berdepan dengan dua orang perempuan itu kalau cuba menghalang keputusannya.
Sebaik sahaja Kossim dibawa menemjui Haji Mat Lohim dia disuruh meniarap dengan perutnya tidak cecah ke lantai.  Ketika ini Haji Mat Lohim menepuk-nepuk belakangnya dengan membacakan:
Ya Sin, diulangi tujuh kali dan:
Waja’alna min baini aidihim saddan wamin kholfihim saddan fa-aghsyai-nahum fahum la yub-sirun,
diulangi sampai sepuluh kali.
Ketika ini Kossim mula tersedak kuat hingga hampir dia termuntah.  Tetapi Haji Mat Lohim menyuruhnya bertahan supaya tidak muntah sekali pun besen disediakan di hadapannya.  Tusip juga membantu abangnya memegang besen berkenaan.  Biarlah abangnya muntah di dalam besen tersebut hingga habis melambak.
Haji Mat Lohim terus membacakan :
Wasyamsu tajri limustaqoril laha zalika taqdirul ‘azizil ‘alim, sebanyak enam belas kali, dan diikuti sebanyak empat belas kali membacakan : Salamun qaulan min rabbir Rahim.
Sekaligus Kossim termuntah tidak bertahan bagaikan air pelimbahan yang bertakung di tengah lopak.
Tetapi Haji Mat Lohim tidak berhenti menepuk-nepuk belakang Kossim sekali pun lelaki itu termuntah-muntah bersemburan.  Muka Kossim menjadi pucat akibat banyak sangat terjeluih muntah bagaikan air pelimbahan yang bertakung  di tengah lopak itu.
Apabila dia membacakan tujuh kali:
Innama amruhu iza aro da syai-an an-yaqula lahu kun fayakun,
keadaan Kossim semakin lemah.  Badannya lembik hingga tersungkur di lantai tidak bermaya langsung akibat muntah yang banyak tersembur di mulut.
Hampir satu jam pula Kossim tidak dapat bergerak setelah terlentang dengan disendal bantal ke kepala.  Setelah keadaannya segar sedikit, segera di suruh minum air suam oleh Haji Mat Lohim.  Sebaik sahaja Kossim meneguk air suam, dia termuntah-muntah lagi dengan cecair kekuningan bersemburan.
Tersengih-sengih Haji Mat Lohim memerhatikan keadaan Kossim yang termengah-mengah menahan senak perut akibat banyak termuntah-muntah.  Kalau tidak kenang adiknya mendesak dia menemui Haji Mat Lohim, memang Kossim tidak akan jejak kaki ke Payakumbuh.  Bukan kepalang terseksanya dia apabila termuntah-muntah demikian bagaikan usus ikut sama berpintal-pintal.
Sampai santak subuh Haji Mat Lohim demah perut Kossim dengan air suam biar senak perutnya beransur hilang.  Berpeluh-peluh Kossim hingga dia tidak menyedari apa sebenarnya di lakukan oleh Haji Mat Lohim bersama Tusip.  Sepanjang malam Kossim terkejang dengan merungut-rungut tidak menentu tatkala perutnya didemah air panas suam.
Tetapi Haji Mat Lohim tahu memang Kossim merungut-rungut tatkala melihat bayangan isterinya Raonah terconggok di dalam bilik gelap bersama Samsiar.  Mereka membacakan mentera sampai pintu bilik terkuak apabila seorang lelaki berkulit hitam tidak berbaju menjengah muka.  Rambutnya terurai sampai ke bahu dengan kepala diikat dengan kain merah.
Sebaik sahaja lelaki berkenaan masuk ke bilik tidak bertangguh Samsiar keluar meninggalkan mereka.  Saat ini Samsiar tidak perlu lagi terconggok di situ setelah tok guru melangkah masuk.  Lantas sahaja tok guru memberi isyarat supaya Samsiar menunggu di luar bersama wanita-wanita yang lain.
Ketika ini tok guru membakar kemenyan dengan mengusap-usap mukanya beberapa kali hingga tubuh Raonah menjadi lemah.  Tatkala Raonah merebahkan badan tok guru menjelma menjadi Kossim lantas mendekati Raonah.  Tidak ada apa-apa lagi yang dibimbangkan oleh Raonah kerana di depannya bukan lagi tok guru berkulit hitam, tetapi Kossim suaminya sendiri.
Berdebar Kossim apabila melihat isterinya diperdaya oleh tok guru.  Sebab itu dia merungut-rungut marah dalam keadaan terkejang di rumah Haji Mat Lohim.  Kalau tidak disebabkan badannya lemah tidak bermaya, memang dia bingkas bangun menerkam tok guru berkenaan.  Tetapi bayangan yang dilihatnya terlalu jauh jaraknya bagaikan dalam mimpi tatkala nyenyak tidur.
Ketika ini sayup-sayup Kossim mendengar Haji Mat Lohim membacakan al-Fatihah tiga kali, menyebabkan dia berasa tenteram.  Gelora hatinya yang berkocak marah dapat di kawal sehingga dia beristighfar beberapa kali melihat kajadian yang terjelma dalam bayangan di depannya.
Tok guru berkulit hitam duduk bersila rapat setelah melayani Raonah bagaikan isterinya sendiri.  Kemudian dia mencapai tangkal yang terkalung di leher diasapkan pada kemenyan yang dibakar.  Kemudian dia menyeru dengan membacakan tujuh kali:
Hai insanu jurbatuha wabillahi, hai nanar putih, engkau bersifat aku, aku bersifat engkau.
Sekaligus tiga lelaki bertanduk menjelma bagaikan asap membawakan peti kayu di depannya.  Sebaik sahaja di buka peti kayu itu Raonah bangun perlahan lantas membelek-belek isinya.  Dia melihat banyak barang-barang emas di samping duit kertas siap diikat secekak-secekak
Setelah Raonah memilih wang kertas diikat secekak-secekak barulah dia dibenarkan keluar meninggalkan bilik berkenaan.  Tok guru bingkas bangun masuk ke bilik lain pula yang sudah menunggu Samsiar dengan perempuan lain.  Sebaik sahaja tok guru melangkah masuk ke dalam bilik berkenaan segera Samsiar meninggalkan bilik mendapatkan Raonah semula.
“Kamu tak boleh berhenti amalkan,” bisik Samsiar ingatkan Raonah setelah tok guru benarkan dia meninggalkan bilik.  “Kalau berhenti, maknanya semua wang yang kamu miliki akan bertukar menjadi kain putih dan kemenyan,”  jelasnya mengenai amalan yang mesti di patuhi setiap kali menemui tok guru asal sahaja malam Jumaat.
Bukan Raonah seorang sahaja yang mematuhi pantang larang demikian.  Beberapa orang wanita yang mengharapkan bantuan tok guru juga mematuhi pantang larang tersebut, setelah mereka bersetuju mengikut kemahuan Samsiar.  Memang Samsiar yang memujuk mereka setelah menyedari wanita-wanita itu memerlukan bantuan.
Tatkala Kossim memerhatikan tok guru di bilik lain bersama wanita yang baru ditemuinya, memang tok guru menukar dirinya menjelma sebagai suami wanita berkenaan.  Dia melayani wanita berkenaan bagaikan isterinya sendiri sebelum membakar kemenyan menyeru tiga lelaki bertanduk itu menjelma di depannya.
Apabila wanita itu memilih emas yang banyak di dalam peti kayu berkenaan, tahulah Kossim tok guru menjanjikan apa saja yang dipilih oleh wanita-wanita berkenaan.  Sekiranya mahu kelihatan jelita sepanjang hayat maka diberikan susuk emas yang diganti setiap kali masuk malam Jumaat.  Kalau memilih emas mereka tidak dibenarkan menjual emas berkenaan, tetapi sekadar dijadikan perhiasan.
Dia dapat mengagak tentu Samsiar mematuhi kemahuan tok guru memujuk isteri sesiapa sahaja asal sahaja kejelitaannya sepanjang hayat berterusan.  Sekiranya dia tidak mematuhi perintah tok guru, nescaya susuk berlian yang dipakainya akan musnah asal sahaja menjelang malam Jumaat.
Sebab itu dia mesti dapatkan wanita yang masih isteri orang untuk dipersembahkan kepada tok guru. Memang tok guru sudah jadikan pantang larang kepada Samsiar supaya tidak memujuk wanita yang janda atau masih belum berkahwin.  Tentulah Samsiar terpaksa menanggung banyak rintangan apabila mahu memujuk isteri-isteri orang mengikut kemahuannya, kalau tidak dijanjikan dengan kekayaaan.
Asal sahaja tok guru boleh memenuhi kemahuan semikian, Samsiar sanggup memujuk siapa sahaja wanita yang masih bersuami menyertai amalan bersama tok guru.  Dia boleh kemana pun sekiranya wanita-wanita di Pariaman tidak dapat dipujuknya.
“Kamu nak awet muda, sanggup musnahkan rumah tangga orang!”  gerutu Kossim menggertap bibir dalam rungutan yang memanjang.
“Sudah dapat kamu lihat puncanya, Abang Kossim?”  segera Tusip menepuk-nepuk pipi abangnya biar lelaki itu bingkas bangun.
“Ilmu syaitan tak akan kekal!”  Kossim terus merungut-rungut dengan tidak pedulikan Tusip di sisinya.
“Kenapa kamu tewas Abang Kossim?” Tusip mengusiknya kerana tahu sangat dia Kossim lama berguru di Bonjol.  Kalau takat mahu menguji bila-bila Kossim sanggup berdepan.
Tetapi Kossim tidak mampu menegur isterinya Raonah setelah diberi makan kotoran melalui ubat guna-guna Samsiar.  Tusip sendiri melihat kotoran seperti air pelimbahan dimuntahkan oleh Kossim setelah didoakan oleh Haji Mat Lohim.
Selagi Kossim tidak diubati memang dia tidak sedar apa-apa pun dilakukan oleh isterinya.  Dia melihat segala perbuatan Raonah adalah benar belaka disebabkan fikirannya sudah dikuasai oleh ubat guna-guna berkenaan.
“Kamu diperdaya ilmu syaitan, Raonah!”  tiba-tiba sahaja keluh Kossim memanjang setelah melihat bayangan isterinya melayani tok guru tidak berbaju dengan raumbutnya terurai sampai ke bahu.  Tangkal di leher tok guru juga bergerak-gerak laksana ular berlingkar di situ.
Apabila Haji Mat Lohim menepuk dahi Kossim dengan membacakan surah al-Ikhlas tujuh kali, perlahan-lahan Kossim membuka matanya.  Dia bangun lantas duduk sambil menggeliat-geliat malas.  Beberapa kali dia beristighfar dengan pandangan meliar di sekeliling ruang rumah.
“Betulkah apa yang saya lihat?”  Kossim mengeluh pendek sambil menatap wajah Haji Mat Lohim.
“Apa yang kamu lihat, abang Kossim?”  segera Tusip mendekati abangnya yang masih terpingga-pinga tidak menentu.
Kossim menggeleng kepala dengan beristighfar. Macam tidak percaya dia melihat bayangan Raonah melayani tok guru yang tiba-tiba menjelma menjadi dirinya.  Tentu Tusip tidak menyedari apa sebenarnya berlaku tatkala dia terkejang dalam keadaan lemah.
Tetapi Haji Mat Lohim tidak beri tahu apa-apa pun kepada Kossim atau Tusip mengenai kejadian yang menimpa Samsiar.  Masakan Kossim tahu apabila lelaki dari Pariaman menemui tok guru mahu bertapa hingga dapat menyusup masuk ke dalam gedung duit yang disembunyikan jin.  Dia sekadar mengetahui gedung duit itu tempat menyembunyikan wang mereka yang tidak membayar zakat setelah dicuri oleh jin berkenaan.
Setelah lelaki itu amalkan amalan bertapa dengan berpuasa seminggu, tok guru menyuruhnya bakarkan kemenyan Arab tatkala tengah malam di kubur lama.  Ketika inilah dia didatangi tiga lelaki bertanduk lantas mengajaknya menyusup masuk ke dalam kubur.
Gementar hati lelaki itu apakala dipaksa menyusup ke dalam kubur berkenaan setelah permukaan tanah merekah.  Di sebabkan ketakutan tidak bertangguh lelaki itu malarikan diri meranduk kegelapan malam.  Tetapi tiga lelaki bertanduk itu terus juga mengekorinya.
“Kamu penakut macam perempuan!”  dia mendengar laungan tiga lelaki bertanduk di belakangnya dalam suara marah membentak.
Lelaki itu terus juga berlari tidak menoleh ke belakang, sekalipun tiga lelaki bertanduk itu ingatkan dia supaya tidak melanggar pantang larang tok guru.  Tetapi dia membantah tidak mahu menyusup masuk ke dalam kubur setelah tok guru sekadar menjelaskan dia akan diuji bertarung dengan tiga lelaki bertanduk itu.
Sekiranya lelaki bertanduk itu dapat ditewaskan nescaya akan menjelma lelaki yang menyerupai dirinya.  Tatkala ini apa sahaja yang terlintas di kepalanya akan berlaku dalam sekelip mata.  Sebab itu lelaki itu melarikan diri supaya dapat diuji oleh tiga lelaki bertanduk itu.
“Memang kamu ni perempuan agaknya!”  dia mendengar tiga lelaki bertanduk itu melepaskan geram jauh di belakangnya.
Dalam keadaan tercungap-cungap belari di sekeliling kampung, dia mendapati tenaganya menjadi lemah.  Langkahnya juga tidak segagah mana hingga jatuh tersepuh di kaki tangga rumahnya.  Terkejut keluarganya melihat dia tertiarap di kaki tangga tengah malam masih di selubungi kesepian.
Keesokan harinya apabila dia mulai tersedar, didapati perubahan pada dirinya apabila tubuhnya bertukar menjadi wanita.  Hairan juga dia dengan keadaannya, sekali pun hatinya masih bersifat lelaki.  Disebabkan malu kepada keluarganya lantas dia meninggalkan kampung halaman.
Tok guru itu menukarkan namanya menjadi Samsiar.  Selagi dia tidak dapat mencari 44 orang wanita yang sudah bersuami diserahkan kepada tok guru nescaya keadaannya tidak akan dapat dipulihkan.  Sebab itu Samsiar terpaksa mematuhi kemahuan tok guru asal sahaja dirinya kembali menjadi lelaki.  Memang dia malu mahu menemui keluarganya di Pariaman selagi dirinya masih kekal menjadi wanita.
“Tuan Haji nak musnahkan hidup saya!”  gerutu Samsiar apabila dihalang oleh Haji Mat Lohim  sebaik sahaja meninggalkan rumah tok guru dengan Raonah.
“Bagaimana pula dengan kamu yang musnahkan hidup orang lain?” lantas Haji Mat Lohim menyindirnya.
“Saya mahu pulihkan semula keadaan diri saya,”  jelasnya jujur dalam keadaan gementar berdepan dengan Haji Mat Lohim.
“Jadi, kamu tak peduli orang lain musnah?”  semakin keras Haji Mat Lohim ingatkan dia.
“Suami wanita ini tak tahu hidup mereka takkan musnah,”  Samsiar memujuk disebabkan dia merasa kelilingnya panas membahang sebaik sahaja Haji Mat Lohim terjongol di situ.
Dalam keadaan terkial-kial ini, tok guru tiba-tiba menyerbu bersama tiga lelaki bertanduk di sisinya.  Marah benar tok guru apabila Haji Mat Lohim menghalang Samsiar mahu menghantar Raonah balik ke rumah suaminya.
“Dia mahu hantar Raonah balik, nanti terlambat pula!”  tok guru memberi isyarat supaya Haji Mat Lohim berundur.
“Apa salahnya lambat?”  sengaja Haji Mat Lohim perolok-olokan tok guru.
“Nanti suami Raonah sedar apa yang berlaku!”  ujar tok guru itu keras membentak.
“Biarkan suami Raonah tahu!”  ujar Haji Mat Lohim menyakiti hati tok guru tengah marah memberang.
Memang tok guru marah apabila diperolok-olokkan oleh Haji Mat Lohim.  Segera dia memberi isyarat kepada tiga lelaki bertanduk itu menyerbu Haji Mat Lohim yang mencabarnya.  Belum sempat tiga lelaki bertanduk itu mara menyerbu, lantas Haji Mat Lohim membacakan tujuh kali:
Wa-ja’alna min baini aidihim saddan wamin kholfihim saddan fa-aghsyainahum fahum layubsirun.
Apabila Haji Mat Lohim mengisar tapak tengannya, sekaligus rantai besi mengikat tubuh tiga lembaga bertanduk itu.  Setiap kali mereka meronta rantai besi itu akan memancarkan kilauan api yang menyambar tubuh,  Terjerit kuat tiga lembaga bertanduk itu meminta tok guru melepaskannya.
Segera tok guru mencapai tangkal azimat yang terkalung di lehernya lantas diramas-ramas macam mengira buah tasbih.  Ketika ini seluruh tubuhnya berasap sambil dia terkekeh-kekeh ketawa mengejek Haji Mat Lohim apabila bumi bergegar kuat hingga merekah.  Tetapi rekahan bumi itu terhenti sebaik sahaja sampai di hadapan Haji Mat Lohim tercegat berdiri.
Tersenyum Hai Mat Lohim diuji oleh tok guru berkenaan.  Kemudian dia membaca al-Fatihah tiga kali, surah al-Ikhlas tiga kali diikuti dengan membacakan :
Alamyarau kam ahlakna qoblahum minal quruna annahum ilaihim la-yarji’uun.
Ketika dihembuskan oleh Haji Mat Lohim kearahnya angin berpusar kuat bagaikan membelit seluruh tubuh tok guru.  Laungan tok guru tenggelam dalam pusaran angin menyebabkan Samsiar bersama Raonah ketakutan tidak terperi.  Mereka bertempiaran lari mencari tempat berlindung akibat pusaran angin memburu kemana sahaja mereka bertahan.
“Istighfarullahhul azim…”  keluh Kossim mengesat pelupuk matanya digenangi air.  “Bersyukur saya dapat bertemu dengan Tuan Haji,”  bisiknya lantas menggenggam tangan Haji Mat Lohim erat-erat.
“Apa yang kamu lihat hanya untuk panduan sahaja,”  beritahu Haji Mat Lohim ingatkan dia supaya tidak terpengaruh dengan apa yang dilihat dalam lintasan bayangan tatkala dia terkejang tidak sedarkan diri.  “Boleh jadi gangguan syaitan yang mahu buat fitnah,”  ujar Haji Mat Lohim selanjutnya.
Kossim mengangguk perlahan.  Dia memahami apa yang tersirat jauh di sanubari Haji Mat Lohim.  Lama juga dia belajar pondok di Padang Panjang, memang Kossim mudah mentafsirkan penjelasan Haji Mat Lohim itu.  Tidak ada siapa pun boleh mendahului ketentuan yang ditetapkan Allah selain daripada menyerahkan segalanya kepadaNya.
Tatkala Kossim balik ke kampungnya bersama Tusip dia sekadar beristighfar sahaja melihat keadaan rumahnya tersembam ke bumi setelah runtuh tidak bersisa.  Seisi kampung menjadi hairan kerana rumah besar tersergam itu runtuh bagaikan timbunan pasir, di sebabkan tidak pernah berlaku rebut kencang atau apa-apa.
Bagaimana rumah yang kukuh tersergam itu boleh runtuh dengan tidak bersebab?  Dalam masa mereka kehairanan melihat keadaan rumah tersergam itu runtuh, mereka seisi kampung gempar melihat Raonah meracau-racau tidak menentu memaki hamun dirinya sendiri.
Terpaksa pula Kossim memujuknya dalam keadaan Raonah semakin galak merentap-rentap rambutnya sekuat tenaga.  Tidak ada pula Samsiar di sisinya ketika itu.  Hanya seminggu selepas itu mereka menemui mayat Samsiar merengkok di bawah perdu pokok dengan keadaan tubuhnya sebahagian lelaki dan sebahagian lagi wanita.
Sewaktu saya berkunjung bersama Mamak Bandaro menemui Haji Mat Lohim di Payakumbuh, memang Kossim jejak kaki ke situ membawa isterinya Raonah.  Tersengih-sengih sahaja Raonah dalam keadaan masih belum sembuh akibat mengalami gangguan fikiran semenjak kejadian yang menimpanya setelah terpengaruh dengan pujukan Samsiar.
“Kossim ni, memang suami yang sabar,”  ujar Haji Mat Lohim perkenalkan Kossim kepada saya dan Mamak Bandaro.
“Syukurlah, tuan haji,”  sahut Kossim tersenyum mengerling Haji Mat Lohim.  “Kalau tuan haji tak bantu, belum tahu saya sabar atau tidak,”  tuturnya perlahan macam menelan keluhan yang pahit.
“Ustaz ni juga, keponakan Haji Solim di Batusangkar,”  lantas Haji Mat Lohim beri tahu kepada Kossim.
“Oh, begitu,”  Kossim terangguk-angguk gembira.  Dia juga mengakui sudah beberapa kali menemui Haji Solim, tetapi tidaklah kenal rapat sangat.  Memang Kossim juga tahu Haji Solim sering singgah di Padang Panjang kalau mengajar di madrasah.
Kalau tidak diberi tahu oleh Haji Mat Lohim pun memang Kossim pernah mendengar mengenai Haji Solim kerapkali ditemui orang yang tunaikan umrah, tengah solat di Masjidil Haram.  Tetapi seisi kampung tahu Haji Solim tidak ke mana-mana sepanjang minggu.  Mereka yang menetap di kampung melihat Haji Solim mengajar di madrasahnya.
Kadangkala kawan-kawannya mengakui melihat Haji Solim solat Jumaat di Padang Panjang, tetapi isterinya Hajah Patomah tahu suaminya solat Jumaat di Batusangkar.  Sebab itu apabila disebut sahaja nama Haji Solim di depannya mudah sangat air mata Kossim mengalir akibat menahan rasa terharu yuang menusuk perasaan.
Kalau tidak Haji Solim yang menyuruh singgah di Payakumbuh menemui Haji Mat Lohim memang Mamak Bandaro sudah berpatah balik ke Bukittinggi sewaktu sampai di Baso.  Tetapi Haji Solim mendesak juga sekadar untuk sampaikan salam sahaja kepada Haji Mat Lohim.
“Haji Solim memang begitu,”  tersenyum Haji Mat Lohim apabila diberi tahu Mamak Bandaro kami singgah di Payakumbuh semata-mata mahu sampaikan salam Haji Solim.
Apa sangat dengan salam yang hendak disampaikan kalau Haji Solim boleh terjongol tatkala sepupu Mamak Bandaro terkejang di Bukittinggi.  Dalam masa Agoes baru menelefon adiknya Sarifuddin di Batusangkar bertanyakan Haji Solim, orang tua itu sudah terjongol tiba.  Belum sempat subuh menjelang dia sudah sampai semula di Batusangkar dari Bukittinggi.
“Macam mana pandangan ustaz, penyakit isteri saya ni?”  tiba-tiba saja Kossim berpaling memandang saya.
Tersentak saya dengan pertanyaan Kossim sampai tidak dapat tahu menyahut. Tetapi Haji Mat Lohim lantas menepuk bahu saya memberi isyarat tentu Kossim mengharapkan saya ketika itu.  Mamak Bandaro juga tersengih-sengih ingatkan tentu Haji Solim sudah tahu Kossim akan jejak kaki ke Payakumbuh.  Sebab itu berkuat sangat Haji Solim menyuruh singgah juga di rumah Haji Mat Lohim minta sampaikan salamnya.
“Tuan Haji ni tentu lebih tahu,”  sahut saya perlahan dalam keadaan serba salah.
“Tidak ada siapa yang lebih tahu selain Allah,”  ujar Haji Mat Lohim mengisar duduk.
“Allah juga lebih tahu mengenai ustaz dari kami,”  segera Kossim mencelah sambil mengerling isterinya Raonah tersengih-snegih.
Terpaksa pula Kossim memujuk isterinya apabila Raonah cuba merentap-rentap rambutnya setiap kali dia memaki hamun diri sendiri.  Apabila dipujuk oleh Kossim dia berhenti sekejap, tetapi akan memulakan lagi.  Puas juga Kossim memujuknya supaya tidak mencederakan diri sendiri tatkala merungut-rungut tidak menentu memaki hamun.
Disebabkan Kossim dan Haji Mat Lohim mendesak, terpaksa juga saya mendekati Raonah.  Matanya merenung tajam kearah saya sebaik sahaja saya bacakan: 
Fabtaghu ‘indallahhir rizqo wa’buduhu wasykuru lahu, ilaihi turna’un, wa-imma yanzaghanakka minasy syaitoni nazghun fas-ta’iz billahhi, innahu huwas sami’ul ‘alim.
Apabila kenangkan kejadian tatkala singgah di Payakumbuh itu serba salah juga saya mahu memberi tahu Haji Maasar mengenai kawannya Lamidah itu.  Manalah saya tahu apa yang dialami oleh Lamidah bersama suaminya Haji Derahim sehingga dia cuba memujuk Haji Maasar mengikuti amalan mereka.

SELESAI