TERDENGKOT-DENGKOT
berjalan akibat jatuh tergeliat kaki semasa melalui lorong kecil dengan akar
pokok-pokok kayu menungkal. Mudah sahaja kaki terlantus sekiranya tidak
berhati-hati melalui lorong kecil berkenaan, apa lagi tatkala remang senja
berbalam-balam. Tetapi Saleh Dobok mahu cepat ke rumah emak mentuanya Utih Siah
setelah isterinya merengat-rengat perut mahu bersalin.
Sewaktu isterinya
Milah Lekeh selamat lahirkan anak, Saleh Dobok masih berurut kaki disebabkan
membengkak buku lali. Kalau tidak diurut tentu uratnya bertambah bengkak
dimasuki angin. Sebab itu Ulung Sijah urutkan juga kaki Saleh Dobok sewaktu
Milah Lekeh merengek-rengek mahu lahirkan anak.
Takat urutkan kaki
tergeliat memang Ulung Sijah boleh juga diharapkan. Lainlah mengurut perempuan
Iepas bersalin macam Milah Lekeh dia tidak sanggup. Urut perempuan lepas
bersalin tidak sama macam urut kaki tergeliat sendi yang mesti mahir menjadi
bidan. Cuma bidan satu-satunya yang tahu mengenai urut perempuan lepas beranak.
Tetapi Ulung Sijah
tidak pernah mengaku dia mahir mengurut sama ada tergeliat kaki atau bukan.
Manalah dia boleh tandingi Bidan Insun mengurut badan perempuan lepas bersalin.
Sebab itu Bidan Insun yang uruskan urut seluruh badan Milah Lekeh selepas
selamat lahirkan anak.
"Dah lama aku ni
tak mengurut," beritahu Ulung Sijah apabila didesak oleh Saleh Dobok
urutkan kakinya yang tergeliat.
"Ulung urutkan
dulu, nanti saya minta pula Mak Insun," pujuk Saleh Dobok tidak tertahan
dengan kesakitan yang menusuk-nusuk buku lali kakinya.
"Takat
picit-picit dengan aku ni bolehlah," tersengih-sengih Ulung Sijah merendah
diri.
"Buatlah macam
mana pun, Ulung," ujar Saleh Dobok terkinjal-kinjal menahan sakit sebaik
sahaja Ulung Sijah menekan buku lali kakinya yang membengkak.
Tahu sangat Saleh
Dobok sengaja Ulung Sijah merendahkan diri apabila ia minta urutkan kakinya
yang tergeliat. Sekalipun dia tidak pernah urutkan perempuan lepas bersalin,
tetapi Ulung Sijah tidak pernah membantah kalau minta urutkan kaki tergeliat
atau tangan terkehel. Kadangkala dia tidak urutkan pun, sekadar letakkan jari
sahaja di tempat terkehel.
Sebaik sahaja Ulung
Sijah letakkan jarinya di buku lali kaki, Saleh Dobok terasa tapak kakinya
bergetar hingga sampai ke lutut. Memang Ulung Sijah tidak urutkan langsung pada
bahagian membengkak itu, tetapi sekadar mengusap-usap sahaja.
Sekiranya Saleh Dobok
tidak bertahan dengan meletakkan jarinya, Ulung Sijah boleh gunakan daun kelapa
sahaja. Apabila dilumurkan daun kelapa dengan minyak, Ulung Sijah akan
mengurut-urut daun kelapa itu sahaja dengan membacakan:
Bismillahhi
aqottu jabna al-qoriba walisanal hayati wafamatta masyihi wal-asuyudi wayadayi
sariqi walhariqi wazzolimi biqauli, urat engkau seribu empat ratus empat puluh
empat, aku jadikan kepada empat, uri mari wari wali 'azani, dihimpunkan kepada
satu, hu...
Apabila daun kelapa
bergetar diurut oleh Ulung Sijah, sekaligus kaki yang tergeliat terasa
direntap-rentap. Lama dia mengurut daun kelapa itu baru Ulung Sijah berhenti
setelah dapat mengagak urat yang membengkak semakin seruh. Tetapi Saleh Dobok
tidak perlu gunakan daun kelapa, kerana lelaki itu boleh bertahan kalau diurut
buku lali kakinya.
"Sakit tak,
Saleh?" sengaja Ulung Sijah bergurau semasa jarinya ditekan sedikit.
"Sakit tu,
memanglah sakit," sahut Saleh Dobok perlahan terseringai mulut akibat
menahan sakit. "Tapi, kalau tak diurut sampai bila pula nak tanggung
sakit," jelasnya terherot-herot bibir apabila kesakitan ditekan oleh Ulung
Sijah dengan jari hingga santak ke pangkal paha.
Dalam masa inilah
Milah Lekeh melahirkan anaknya menyebabkan Bidan Insun terkejut kerana kaki
bayi berkenaan membengkak pada buku lali. Cepat-cepat dia memberitahu Utih Siah
mengenai bayi yang baru dilahirkan itu buku lali kakinya membengkak seolah-olah
tergeliat.
Bingkas juga Saleh
Dobok bangun dengan terdengkot-dengkot apabila diberitahu mengenai buku lali
anaknya tergeliat. Dia mula merungut-rungut tidak menentu setelah meyedari bayi
yang baru lahir terkenan kakinya yang tergeliat akibat terjelantus akar kayu
memungkal di lorong ke rumah emaknya.
"Dah lahir pun
terkena kenan!" gerutunya semacam tidak percaya dengan keadaan bayinya
yang baru lahir itu.
"Takkan kakinya
tergeliat masa lahir," keluh Bidan Insun cemas dengan keadaan bayi
tersebut. Bimbang juga dia kalau Utih Siah menuduhnya lalai sewaktu bidankan
bayi berkenaan lahir.
"Kalau kaki
keluar dulu boleh juga kata tergeliat," sahut Utih Siah hairan kerana buku
lali kaki bayi itu tiba-tiba sahaja membengkak. Macam mana berlaku demikian
disebabkan Bidan Insun menyambut kepala bayi itu terlebih dahulu. Tentu tidak
ada kena mengena dengan kaki yang boleh tergeliat sampai membengkak buku lali.
"Tentu
disebabkan buku lali kaki saya ni!" gerutu Saleh Dobok salahkan kakinya
tergeliat menyebabkan bayi berkenaan ditimpa geruh.
Tetapi segera
ditenteramkan oleh Imam Suh yang datang menjengah sebaik sahaja diberitahu
mengenai Milah Lekeh melahirkan anak. Memang dia sudah mendengar kebimbangan
keluarga tu tatkala jejak kaki di tangga rumah lagi. Tidak sepatutnya Saleh
Dobok marah dengan ujian Allah tatkala menerima kelahiran bayi tersebut.
Ketika itu siapa pun
tidak akan terburu-buru ke hospital kalau mahu bersalin. Mereka rela jemput
bidan kampung sahaja daripada terpaksa ke hospital jauh berbatu-batu. Kampung
pendalaman di situ tidak harapkan apa-apa kalau mahu ke hospital hingga
terpaksa bermalam di mana-mana. Biarlah mereka harapkan bidan di kampung sahaja
uruskan isteri bersalin di rumah.
"Kaki budak ni
kenan," jelas Bidan Insun menggeleng-geleng Iemah.
"Hah, kenan apa
pula?" Imam Suh mendesak supaya,bayi itu dibersihkan dan meminta Saleh
Dobok azan ke telinganya.
"Saya minta
tolong Imam Suh aje azankan," sahut Saleh Dobok yang masih
terdengkot-dengkot akibat kaki tergeliat.
Setelah bayi tersebut
diazankan oleh Imam Suh, lantas dia meminta Ulung Sijah usapkan buku lali kaki
bayi tersebut. Sewaktu Ulung Sijah mengurut buku lali kaki bayi berkenaan,
Saleh Dobok yang terjerit-jerit kesakitan. Sampai berair mata Saleh Dobok
dengan memegang kepala lututnya kukuh-kukuh sewaktu kaki terkejang seolah-olah
diurut oleh Ulung Sijah.
Berkali-kali dia
meminta Ulung Sijah hentikan mengurut disebabkan tidak tertahan dengan sakit
yang berdenyut-denyut. Tetapi Ulung Sijah ingatkan dia sama ada mahu biarkan
bayinya menanggung kesakitan berterusan atau dia sendiri mesti bersabar.
Kalau tidak kenangkan
bayinya yang baru lahir memang Saleh Dobok melompat menendang siapa sahaja.
Marah sangat dia disebabkan terpaksa menghadapi ujian demikian getir. Kenapa
dia mesti menanggung segala kesulitan tersebut?
Lama berguling-guling
di lantai akibat menahan kesakitan buku lali kakinya yang membengkak, Saleh
Dobok terkejang tidak sedarkan diri. Ketika ini bengkak di buku lali kaki bayi
berkenaan sudah bertambah seruh. Bayi itu juga tidur nyenyak setelah selesai
Ulung Sijah mengusap-usap buku lali yang membengkak itu.
"Apa salahnya
Pak Imam?" segera Utih Siah bertanya setelah melihat keadaan menantunya
terbaring dengan nafas kencang berombak-ombak.
"Entahlah, saya
tak faham ni," jelas Imam Suh serba salah juga kerana Saleh Dobok
terkejang tiba-tiba.
"Kita kena
panggii Aki Sahak," lantas Ulung Sijah ingatkan mereka supaya tidak
bertangguh memberitahu Aki Sahak mengenai kejadian tersebut.
Memang Imam Suh
bersetuju dipanggil Aki Sahak di Pelangai sekalipun jaraknya dengan kampung
mereka hampir lima batu. Siapa lagi boleh diharap memanggil Aki Sahak kalau
tidak ada orang lelaki. Satu-satunya lelaki yang boleh diharap cuma Saleh Dobok.
Kalau Saleh Dobok
sendiri yang terkejang mereka boleh harapkan anak-anak muda belasan tahun.
Tetapi siapa yang tahu ke Pelangai mencari Aki Sahak, disebabkan mereka tidak
pernah rnenghadapi kecemasan demikian. Disebabkan tidak ada siapa lagi yang
boleh diharapkan terpaksalah Imam Suh sendiri ke Pelangai.
Tatkala lmam Suh ke
Pelangai inilah tiba-tiba sahaja Saleh Dobok bingkas bangun dengan langkah
terdengkot-dengkot. Marah benar dia pada bayi yang baru lahir itu menyebabkan
kakinya tergeliat. Terpaksa pula Utih Siah dan Ulung Sijah bertahan dari
serbuannya.
"Budak ni yang
bawa bala ke rumah ni!" gerutu Saleh Dobok seolah-olah melepaskan geram
yang mendongkol di hati.
Bimbang juga Utih
Siah dengan perubahan sikap menantunya Saleh Dobok itu, kerana tidak ada siapa
pun lelaki di rumah. Manalah tahu kalau Saleh Dobok tidak dapat mengawal diri,
tentulah mereka semua orang perempuan tidak boleh bertahan. Tenaga lelaki bukan
mudah mahu ditewaskan sekalipun dalam masa kakinya terdengkot-dengkot akibat
tergeliat.
Cepat-cepat Utih Siah
meminta Bidan Insun lindungkan bayi berkenaan daripada menjadi mangsa Saleh
Dobok. Tetapi Saleh Dobok tidak peduli apa lagi. Kemarahannya sudah tidak dapat
dikawal lagi apabila buku lali kakinya tergeliat parah semata-mata disebabkan
mahu cepat memanggil Utih Siah emak mentuanya.
"Jangan biarkan
budak tu hidup!" bentak Saleh Dobok mahu menghambat Bidan Insun yang
merangkul bayi baru dilahirkan kukuh-kukuh dalam pelukannya.
"Kamu jangan
cuba rapat dengan budak tu, Saleh!" sekali-gus Ulung Sijah melompat
menghalang Saleh Dobok. Dia menuding jari telunjuk ke arah muka lelaki itu
dengan membacakan Ayatul Kursi.
Tersengih-sengih
Saleh Dobok macam mengejek Ulung Sijah yang masih tercegat membacakan Ayatul
Kursi. Tetapi Ulung Sijah tidak berganjak berdiri menghalang Saleh Dobok
daripada menerpa ke arah Bidan Insun. Dia akan cekak leher Saleh Dobok kalau
cuba juga menerkam bayi dalam dakapan Bidan Insun di belakangnya.
Tatkala Saleh Dobok
cuba mahu menerkam dia tergamam apabila melihat seorang lelaki muda berjubah
putih berdiri di depan pintu. Dia merenung tepat ke muka Saleh Dobok dengan
berpeluk tubuh membiarkan jubahnya berbuai-buai ditiup angin petang.
"Siapa
kamu?" jerkah Saleh Dobok semakin marah apabila cuba dihalangi oleh lelaki
muda itu.
Lelaki muda itu tidak
menyahut. Tetapi dia membacakan Fatihah tiga kali menyebabkan angin bertiup
kencang sampai berpusar di dalam rumah. Kemudian dia mendepakan tangannya
lantas membacakan:
Falillahhil
hamdu rabbis samawati warabbil ardhi rabbil 'alamin, walahul kibriya u-fissama
watiwal ardhi wahuwa 'azizul hakim.
Apabila dia mengisar
dua tapak tangannya, sekaligus Saleh Dobok membengkok menahan perutnya yang
senak tidak semena-mena. Dia jatuh berguling ke lantai dengan mata terkebil-kebil.
Buku lali kakinya yang membengkak terkinjal-kinjal diheret kerana tidak boleh
diangkat.
Mereka yang
terconggok di dalam rumah juga berasa hairan dengan kemunculan lelaki muda itu
dengan sekonyong-konyong sahaja. Dari mana pula lelaki muda itu menjelma
tatkala Saleh Dobok tengah memberang marah? Ketika ini Ulung Sijah merasakan
seluruh tubuhnya menggeletar sejak dia memberanikan hati menghalang Saleh Dobok
mahu menerkam bayi dalam dakapan Bidan Insun.
Dia dapat mengagak
tentu Saleh Dobok tidak dapat mengawal perasaan lagi kalau sudah tergamak mahu
menerkam anaknya sendiri. Tentu bayi tersebut terancam sekiranya dia tidak
bertindak segera menghalang Saleh Dobok tengah hilang fikiran. Tatkala itu
Saleh Dobok terlalu marah akibat kakinya akibat sangat setelah tergeliat.
Mudah sahaja Saleh
Dobok hilang pertimbangan. Dia akan menjadi liar kalau tidak dihalang segera.
Sebab itu tiba-tiba sahaja Ulung Sijah menjadi berani apakala melihat Saleh
Dobok sudah bertukar menjadi beruang ganas mahu menerkam mangsa. Memang Ulung
Sijah tidak bimbang apa-apa setelah mengagak beruang hitam tengah ganas itu
semata-mata jelmaan Saleh Dobok.
Biarlah dia diterkam
beruang tengah ganas itu asal sahaja bayi baru lahir itu dapat diselamatkan.
Masakan tiba-tiba sahaja Saleh Dobok menjelma menjadi beruang hitam dengan bulu
romanya memanjang lebat serta merta. Tentu pandangan matanya sendiri keliru
disebab-kan keadaan ketika itu bertambah kelam kabut.
Kalau tidak kenangkan
beruang hitam di tengah rumah itu jelmaan Saleh Dobok yang terdengkot-dengkot,
memang Ulung Sijah gementar juga mahu bertahan. Tetapi hatinya bertukar menjadi
berani setelah membacakan Ayatul Kursi berulang kali hingga terasa seluruh
badannya menggeletar tidak menentu.
Saat inilah lelaki
muda berjubah putih itu tercegat di muka pintu menghentakkan tumit tiga kali ke
lantai. Terkejut Saleh Dobok berpaling ke pintu sekalipun yang dilihat oleh
Ulung Sijah memang seekor beruang hitam tengah ganas.
Tatkala beruang hitam
itu jatuh ke lantai berguling-guling, Ulung Sijah nampak lelaki muda itu
memegang kaki beruang berkenaan. Sekaligus pula kaki yang dipegangnya berasap
bagaikan bara disimbah air. Ulung Sijah dapat mendengar lelaki muda itu
membacakan:
Wa-imma
yanza ghannaka minasy syaitoni nazghun fasta'iz billahhi innahu sami'un 'alim.
Terkinjal-kinjal
beruang hitam menahan kesakitan akibat kakinya dicekak oleh lelaki muda
berkenaan. Setelah direntap tiga kali kaki beruang itu, perlahan-lahan Ulung
Sijah melihat bulu roma panjang habis mereras jatuh ke lantai. Ketika ini Saleh
Dobok sudah duduk termengah-mengah dengan kepalanya diusap-usap lelaki muda
itu.
Belum pun sempat
Ulung Sijah bertanya, lelaki muda itu terus sahaja turun meninggalkan mereka.
Dia tidak bercakap sepatah pun hingga Ulung Sijah juga tertegun beberapa minit
kerana hairan bagaimana lelaki muda itu menjelma. Sekiranya lambat lelaki muda
itu tercegat di muka pintu nescaya beruang hitam tengah ganas yang menjelma
daripada Saleh Dobok tidak dapat dihalang lagi.
"Emmm, kalau
Ulung tak halang Saleh, entah apalah akan jadi," tutur Utih Siah sebaik
sabaja Aki Sahak bersama saya naik ke rumah setelah dijemput Imam Suh.
"Kamu kenapa
jadi macam tu, Saleh?" Bidan Insun masih hairan bagaimana Saleh Dobok
boleh berubah menjadi ganas tatkala Imam Suh turun menjemput Aki Sahak.
Mentang-mentang yang tinggal di rumah ketika itu semuanya perempuan, tiba-tiba
sahaja Saleh Dobok dirasuk hingga menjadi liar tidak menentu.
"Entahlah, saya
pun tak tahu!" Saleh Dobok menggeleng lemah disebabkan tidak dapat
mengawal perasaan. Dia merasakan seolah-olah seluruh badan-nya berbulu laksana
beruang tengah rimba. Tetapi serba salah juga dia mahu memberitahu Imam Suh
mengenai kejadian yang menimpa dirinya.
Memang kakinya mulai
sembuh sekalipun masih terasa berdenyut
kalau tumit dijejakkan. Buku lalinya yang membengkak juga sudah seruh sama
dengan buku lali kaki bayinya yang nyenyak tertidur. Hairan juga Saleh Dobok
disebabkan buku lali kakinya sudah sembuh setelah terlepas daripada dirasuk
bayangan beruang berbulu hitam.
"Kenapa kamu nak
bunuh anak kamu?" segera Utih Siah mendesak menantunya setelah Saleh Dobok
tidak lagi bertindak ganas.
"Saya tak tahu
apa-apa," jelas Saleh Dobok menggeleng-geleng kerana terlalu hairan dengan
kejadian yang menimpa-nya.
"Kamu tak ingat
apa-apa ke?" ujar Bidan Insun pula tersenyum apabila kenangkan Saleh Dobok
mahu menerkam ke arahnya merampas bayi dalam dakapannya.
Saleh Dobok
mengangguk perlahan. Tentu siapa pun tidak percaya kalau dia beritahu tubuh-nya
menggeletar tatkala terasa bulu roma hitam menjelang. Memang siapa pun tidak
melihat keadaan tubuhnya yang berubah menjadi seekor beruang ganas di tengah
hutan.
Tatkala kakinya
dicerut jerat melalui denai, Saleh Dobok menjadi marah tidak bertahan. Siapa sahaja
berani mencerut kakinya mesti dikerkah dengan kuku runcing tajam. Dia akan
meramas-ramas siapa sahaja memasang jerat hingga pergelangan kakinya dijerut
tali jerat.
Dalam keadaan
terdengkot-dengkot ini Saleh Dobok merentap kuat sampai pergelangan kakinya
cedera patah setelah jerutan tali jerat terlucut. Sebab itu dia berdendam
sangat akibat pergelangan kakinya dijerat. Dia bukan beruang hitam yang mesti
dijerut kaki, tetapi Saleh Dobok yang mahu menjemput emak mentuanya Utih Siah
ke rumah.
Marah benar dia
disebabkan bulu romanya tumbuh memanjang hingga menjadi beruang. Sebab itulah
pemburu di hutan mahu menjeratnya biar mudah ditewaskan. Berkali-kali Saleh
Dobok menjerit memberitahu dia bukannya seekor beruang ganas, tetapi siapa pun
tidak pedulikan jeritannya. Pergelangan kakinya bertambah sakit sebaik sahaja
jerutan tali jerat terlucut setelah dia meronta-ronta sekuat hati.
Saat ini siapa sahaja
yang dilihat oleh Saleh Dobok cuba mahu menombaknya dengan lembing. Dia akan
terguling ketanah sekiranya lembing yang berpuluh-puluh merejam ke arahnya.
Tentu seluruh tubuhnya tidak bersisa direjam lembing dari segenap penjuru.
Sebab itu Saleh Dobok
mesti menyerang sesiapa sahaja acahkan mata lembing ke arahnya. Dia mahu
buktikan dirinya bukan beruang yang ganas mahu menerkam mangsa. Puas dia
menjerit memberitahu mengenai dirinya ialah Saleh Dobok, tetapi siapa pun tidak
pedulikan langsung. Masing-masing halakan mata lembing mahu merejam ke arah
tubuhnya yang berbulu lebat laksana beruang tengah hitan.
Tatkala mata lembing
himpir menujah ke dadanya Ulung Sijah satu-satunya yang selamatkan dia. Saleh
Dobok dapat mendengar Ulung Sijah bacakan Ayatul Kursi hingga semua mata
lembing yang direjamkan ke arahnya bersimpang siur tidak menyinggahi sasaran.
Dia melihat Ulung Sijah bertukar menjelma menjadi lelaki muda berjubah putih
selamatkan dia daripada tubuh rejaman mata lembing yang mahu menombak ke
dadanya.
Lelaki muda yang
menjelma tidak bercakap apa-apa. Dia sekadar mengurut-urut pergelangan kakinya
sampai bulu roma tumbuh memanjang reras ke tanah. Sebaik sahaja bulu roma yang
tumbuh memanjang di seluruh badannya reras, Saleh Dobok merasa pergelangan
kakinya tidak sakit lagi.
"Tentu siapa pun
takkan percaya, ustaz," bergetar suara Saleh Dobok memberitahu saya
mengenai kejadian yang menimpanya. Kalau fikirannya terus berserabut tentu
bayinya menjadi mangsa yang tidak berdosa. Masakan dia sengaja mahu cederakan
anaknya sendiri sekiranya fikiran dia masih waras.
"Syukurlah
kepada Allah, Saleh," lantas Aki Sahak ingatkan dia kerana terselamat
daripada gangguan syaitan yang menjelma dengan pelbagai cara yang diluar akal
manusia untuk memikirkannya.
"Insya Allah,
saya akan buat kenduri kesyukuran," jelas Saleh Dobok beristighfar
berulang kali apabila kenangkan dirinya dan bayinya terselamat sewaktu syaitan
merasuk mahu memusnahkan keluarganya.
Sudah terlalu lama
kejadian yang menimpa Saleh Dobok itu berlalu, tetapi dia tetap kenang sampai
bila-bila sekalipun anaknya Munir sudah dewasa. Sewaktu Munir bersama isterinya
jejak kaki ke rumah saya, dia sebut juga mengenai kejadian yang menimpa dirinya
dan ayahnya ketika itu. Memang tidak tahu apa-apa pun tatkala kejadian itu
berlaku, tetapi Saleh Dobok tetap beritahu berulang kali peristiwa tersebut.
Masakan dia boleh
lupakan musibah yang hampir meragut nyawa Munir yang masih bayi. Bagaimana
kalau dia yang bertukar seolah-olah seekor beruang ganas menerkam Munir dalam
dakapan Bidan Insun? Tentu Munir akan dikerkah kuku runcing hingga tersiat
kulit macam pisang dikupas! Ngeri juga Munir apabila kenangkan kejadian
tersebut seolah-olah tubuhnya yang masih bayi sudah dikerkah habis.
Tatkala dia
memberitahu pergelangan kakinya berdenyut sakit asal sahaja udara pagi terlalu
sejuk, memang dia menuduh berpunca daripada kejadian semasa dia masih bayi.
Tentu bengkak buku lali itu tidak sembuh betul sekalipun dia sudah dewasa.
Sudah beberapa kali
dia meminta rawatan di hospital, tetapi penyakit yang mengganggu tidak juga
dapat dikesan. Doktor sekadar berikan ubat gout apabila sakit berdenyut itu
menusuk-nusuk sendi. Asal sahaja Munir makan ubat sakit berdenyut di buku lali
kaki itu beransur hilang.
"Lama juga saya
nak cari, ustaz," jelas Munir setelah lama mahu menemui saya sebelum
terserempak Kadir Misai di Temerloh. Memang ayahnya Saleh Dobok sudah ingatkan
dia supaya menemui saya disebabkan tidak pernah lagi bersua muka sejak
bertahun-tahun.
Saleh Dobok tidaklah
harapkan sakit buku lali kaki Munir boleh sembuh apabila meminta anaknya
menemui saya, tetapi sekadar ingatkan kawan-kawan. Selepas kejadian dia hampir
menerkam anaknya Munir, kerapkali juga Saleh Dobok mengajak saya berburu ke
hutan.
Setiap kali dia masuk
ke hutan bersama saya, sentiasa sahaja dia mengeluh panjang kerana tidak
terserempak seekor pun binatang perburuan. Kalau tidak diingatkan oleh Ulung
Sali, memang dia tidak putus-putus mengajak saya ke hutan. Setelah diingatkan
oleh Ulung Sali supaya tidak mengajak saya sama, sengaja dia mengelak-elak
masuk ke hutan biar tidak diketahui oleh saya.
Asal sahaja saya
tidak ikut sama memang Saleh Dobok dapat kancil atau kijang tengah meragut
pucuk ludai. Dia akan lapah juga daging paha kijang kirimkan ke rumah saya.
Semenjak itu memang Saleh Dobok masuk ke hutan tidak akan mengajak saya sama.
Lantas sahaja dia dan Ulung Sali menuduh saya amalkan ilmu pelengang sampaikan
tidak seekor pun binatang liar melintas tatkala masuk ke hutan.
Kadangkala marah juga
Milah Lekeh disebabkan Saleh Dobok tidak serik mahu berburu ke hutan setelah
kejadian menimpa anaknya. Bukan takat berburu sahaja, kadangkala Saleh Dobok
memasang jerat juga di mana-mana denai.
Kalau jerat kijang
dia akan mencari anak kayu sebesar lengan menjadi joran dengan tidak dipangkas
perdunya. Dia akan sisip ranting hingga hujung anak kayu boleh dilentur sampai
ke tanah. Di situlah dia akan ikat simpai dawai yang kasar untuk menanjul kaki
binatang liar yang melintas melalui denai.
Tatkala kijang atau
rusa meranduk denai menuju tubir air nescaya kakinya akan terpijak jerat yang
disediakan. Sekaligus tali jerat menanjul kaki hingga joran bingkas membidas.
Sudah tentu kijang atau rusa tidak terlepas apabila tali jerat merentap kuat
sebaik sahaja bingkas membidas. Binatang liar itu tidak akan terlepas daripada
jerat yang dipasang oleh Saleh Dobok.
Sebab itulah Utih
Siah marah benar apabila Saleh Dobok jejak juga kaki hutan tatkala Milah Lekeh
tengah sarat mengandung. Sudah menjadi pantang larang orang tua-tua supaya
tidak aniayakan binatang semasa isteri tengah mengandung sarat demikian.
Bila-bila anak dalam kandungan akan terkena kenan hingga lahir dengan keadaan
cacat.
Tetapi Saleh Dobok
tidak percaya sangat dengan pantang larang demikian. Dia tidak pernah aniaya
binatang, selain daripada berburu ke hutan. Perkara berburu ke hutan tidak sama
dengan aniaya binatang yang tidak berdosa.
Memang Saleh Dobok
tidak peduli sangat leteran emak mentuanya Utih Siah apabila samakan Milah
Lekeh mengandung dengan kijang dijerut jerat tengah bunting terkial-kial
meronta mahu melepaskan diri. Tentu hati kijang tengah bunting juga sedih
apabila kakinya terkena jerutan tali jerat menanjul kaki. Ketika inilah badi
mudah menjadi geruh kepada sesiapa sahaja yang degil berburu menyebabkan pada
menimpa isteri tengah sarat mengandung.
"Takkan sakit
buku lali saya ni terkena kenan, ustaz?" tersengih-sengih Munir kerana
emaknya Milah Lekeh percaya dia terkena
kenan disebabkan ayahnya seringkali memasang jerat di hutan.
Tetapi saya tahu
memang Saleh Dobok pernah juga meminta Ulung Sali di Mentaus jampikan badi
kalau anak kecilnya terkena penyakit kenan disebabkan dia berburu di hutan.
Ulung Sali tumbukkan lengkuas dengan digagang ke api dalam tempurung lantas
membacakan jampinya:
Ah badi mah
badi,badi embun badi seratus sembilan puluh, itulah asal kaujadi, badi air setitik
asal kau jadi, badi tanah segenggam asal kau jadi, badi datang engkau dari
rimba raya badi kau ke rimba raya, datang kau di gaung guntung balik kau ke
gaung guntung, tak balik kau berdosa pada pawang berempat...
Memang saya tahu
benar dengan jampi mentera Ulung Sali kalau sesiapa diganggu badi binatang
hutan. Lainlah Aki Sahak dia tidak ambil peduli sangat kalau gangguan badi
akibat geruh semasa berburu di hutan. Tatkala Abang Amud terherot mulut
disebabkan menembak ayam hutan bertenggek mengirai kepak di atas akar, Aki
Sahak sekadar menggenggam kain hitam panjang sehasta.
Beberapa kali
dikibaskan kain hitam itu ke kepala Abang Amud, dia membacakan Fatihah 17 kali,
surah al-Ikhlas 17 kali diikuti dengan Ayatul Kursi 17 kali juga. Setelah itu
dia bacakan 7 kali:
laqod
ja-akum rasulum min anfusikum 'azizun 'alaihi ma-'anittum harisun 'alaikum
bilmukminina ra-ufurrahim, fa-in tawallau faqul hasbiallahhu la-ilaha illahuwa
'alaihi tawakkaltu wahuwa rabbul 'arsyil'azim.
Baik Ulung Sali,
mahupun Aki Sahak tidak pernah mahu bandingkan amalan masing-masing. Asal
sahaja orang-orang kampung menemui mereka, tidak pernah Ulung Sali atau Aki
Sahak hampakan. Mereka akan membantu mengikut kemampu-an masing-masing.
Kadangkala Ulung Sali
akan menyuruh juga menemui Aki Sahak kalau dia tidak dapat sembuhkan penyakit.
Aki Sahak juga akan hantar ke rumah Ulung Sali sekiranya orang yang datang
menemuinya tidak dapat dibantu. Dia juga akan berusaha sama-sama dengan Ulung
Sali membantu apabila keadaan penyakit bertambah tenat.
Sebab itu saya tahu
sangat mengenai Saleh Dobok hampir berputus asa apabila anak kecilnya Munir
berterusan mengidap sakit buku lali. Asal sahaja udara sejuk tatkala pagi
berembun, memang Munir akan menangis langsing. Saleh Dobok sudah dapat mengagak
tentu sakit pada buku lali anaknya menyebabkan Munir menangis tidak
henti-henti.
Setelah matahari
memancar sampai kabus tebal kian menipis di puncak bukit nescaya tangisan Munir
akan reda. Tentu sakit di buku lali kaki itu disebabkan terkena kenan badi
binatang hutan. Kesal juga dia disebabkan tidak mematuhi nasihat emak mentuanya
Utih Siah supaya tidak lagi berburu. Bila-bila sahaja badi binatang hutan akan
terus mencari geruh kalau Saleh Dobok terus berdegil.
Disebabkan anak
kecilnya sentiasa sahaja menangis setiap pagi asal sahaja cuaca sejuk, Saleh
Dobok mengambil keputusan tidak mahu lagi ke hutan. Dia tidak perlu berburu
sekalipun dalam masa sebulan sekali dua sahaja dia memasang jerat akan
memanggul senapang mengendap pelanduk.
Setelah berubat badi
dengan Ulung Sali dan Aki Sahak tidak juga sembuh sakit buku lali anak
kecilnya, lantas Saleh Dobok bernazar membawa nasi kunyit ke bukit batu
bersendi. Dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan penyakit yang mengganggu anaknya
sembuh betul. Dia tidak mahu sakit buku lali Munir berterusan sampai bila-bila.
Kalau tidak
disebabkan Utih Siah beritahu Aki Sahak mengenai menantunya membawa nasi kunyit
ke bukit batu bersendi, memang saya tidak terniat mahu menawarkan diri untuk mencuba.
Manalah tahu amalan Tok Aji masih boleh digunakan membantu Saleh Dobok dalam
keadaan dia hampir berputus asa. Tentu dia tidak tergamak bawa nasi kunyit
dengan panggang ayam dan bertih tujuh piring ke bukit batu bersendi itu,
sekiranya dia menyedari batu berkenaan tidak berkuasa apa-apa.
Seisi kampung percaya
batu bersendi di kaki bukit itu mempunyai penunggu. Sesiapa sahaja tidak
berjamu di bukit bersendi itu nescaya diganggu penunggu di situ. Tatkala negeri
masih diselubungi suasana tidak bermaya di bawah perintah orang putih, memang
kepercayaan demikian masih tebal menusuk ke kalbu.
Sebab itu saya larang
Saleh Dobok daripada menghantar sepantar nasi kunyit, ayam panggang dan tujuh
piring bertih ke kaki bukit batu bersendir. Saleh Dobok tidak perlu membakar
kemenyan di situ menyeru penunggu sembuhkan sembuhkan sakit di buku lali kaki
anak-nya. Lantas saya mengajak Aki Sahak mencuba ikhtiar dengan berdoa, kalau
Saleh Dobok berkeras tidak mahu membawa anaknya ke hospital.
Apabila saya jemput
Ulung Sijah ikut sama, dia juga tidak membantah apa-apa. Bila-bila Ulung Sijah
sanggup urutkan kaki Munir sekalipun terpaksa letakkan daun sirih tiga helai di
situ. Sengaja saya biarkan Ulung Sijah terlebih dahulu urutkan buku lali kaki
Munir dengan mengusap-usap tiga helai daun sirih yang dilumak dengan minyak
kelapa.
Sewaktu Ulung Sijah
mengusap-usap itu saya letakkan tapak tangan di dada anak kecil dengan
membacakan Fatihah tiga kali. Ketika ini saya melihat Ulung Sijah seakan-akan
geli gelemam mengurut daun sirih yang diletakkan di atas buku lali. Tetapi Aki
Sahak memujuknya supaya meneruskan sahaja mengurut buku lali kaki Munir.
Beberapa kali Ulung
Sijah tersentak akibat menahan rasa geli gelemam tidak menentu. Disebabkan saya bersama Aki Sahak tidak berganjak
dia juga serba salah mahu berundur.
Terpaksalah Ulung Sijah bertahan juga mengurut-urut buku lali kaki anak kecil itu.
Setelah saya membaca
lima ayat awal dari surah al-Baqarah, lantas saya bacakan ayat 163, 164 dan
Ayatul Kursi. Kemudian ditambah lagi dengan ayat 256, 257 dan 284. Apabila saya
teruskan dengan ayat 285 dan 286, saya tambah pula dengan surah Ali Imran ayat
18, 19 dan 20.
Ketika ini anak kecil
itu mula menggeliat kuat dengan dua kakinya menendang-nendang. Saya sekadar
bacakan doa sahaja daripada surah al-'Araaf ayat 54, 55 dan 56 dengan
di-teruskan surah al-Mukminin ayat 117 dan 118. Sebaik sahaja saya bacakan 11
ayat terawal daripada surah as-Saffat, tersentak anak kecil itu menangis hingga
mulutnya ternganga luas.
Sekalipun tangisnya
langsing hingga berombak-ombak dada, saya bacakan juga ayat 33, 34 dan 35 dari
surah ar-Rahman diikuti dengan ayat 21, 22, 23 dan 24 surah al-Hasyr dan 4 ayat
terawal surah al-Jin. Tatkala saya membaca surah al-Ikhlas, al-Falaq dan
an-Nas, tangisan anak kecil itu mula mengendur.
Tiga pagi saya ulangi
ke rumah Saleh Dobok dengan memaksa dia membuangkan nasi kunyit, ayam panggang
dan tujuh piring bertih di kaki bukit batu bersendi, tidak pernah lagi Munir
merengek sekalipun cuaca sejuk di kampung pedalaman itu.
Sehingga Munir
membesar dia tidak lagi diganggu sakit pergelangan kaki, sekalipun Saleh Dobok
bimbang juga kalu anaknya tergelincir. Sampaikan anaknya bermain dengan
kawan-kawan pun Saleh Dobok akan awasi kerana bimbang buku lali kakinya
tergeliat. Tetapi semen-jak itu pula dia galak semula berburu ke hutan
sekalipun dilarang oleh isterinya Milah Lekeh.
"Ayah tu memang
degil, dah tua-tua pun tak serik nak berburu," beritahu Munir selanjutnya
mengenai kegemaran ayahnya masuk ke hutan berburu. Kalau terpaksa ambil permit
pun Saleh Dobok tidak peduli disebabkan kegemarannya masuk ke hutan memasang
jerat atau perangkap.
"Hutan pun
rezeki yang dikurniakan Allah," ujar saya ingatkan Munir supaya tidak
percaya sangat dengan badi yang menyebabkan penyakit buku lali kakinya berbalik
semula. Manalah tahu penyakit gout yang di-beritahu doktor itu benar-benar
meresap di pergelangan kakinya.
Tetapi Saleh Dobok
sengaja mendesak Munir menemui saya, kerana bertahun-tahun dulu kakinya sembuh
setelah saya doakan bersama Aki Sahak dan Ulung Sijah. Sejak bertahun-tahun
pula Ulung Sijah dan Aki Sahak sudah lama meninggal dunia.
Sebab itu Saleh Dobok
meminta anaknya mencari saya. Sekalipun dia tidak harapkan saya boleh doakan
penyakit anaknya, tetapi Saleh Dobok rasa tidak terkilan sekiranya dapat juga
anaknya menemui saya. Perkara sembuh atau tidak penyakit yang dihidapi, bukan
penting sangat kepadanya. Hanya urusan Allah sahaja untuk menyembuhkan atau
mendatang-kan penyakit!
"Kaki saya ni
bukan disebabkan badi ke, ustaz?" Munir mengerling isterinya disebabkan
saya tidak mahu sangat ungkit mengenai penyakit lama yang dihidapinya.
Lama dia terdiam baru
Munir jelaskan mengenai beberapa orang di kampungnya terserempak dengan Ulung
Sijah yang sudah bertahun-tahun meninggal dunia itu. Dia beritahu mengenai
Lasim terkehel lutut disebabkan jatuh motosikal terlanggar lembu melintas
jalan.
Sewaktu dirawat di
hospital Lasim meracau-racau tidak menentu disebabkan menahan kesakitan.
Tatkala tengah malam dalam suasana samar-samar Lasim nampak perempuan tua
dengan muka yang bersih mendekati dia. Perempuan itu tidak bercakap apa-apa
terus sahaja mengurut kepala lututnya sampai dia terjerit-jerit kesakitan.
Tetapi siapa pun
tidak mendengar jeritan Lasim. Dia ingatkan Lasim supaya tidak memberi tahu
sesiapa sehingga tiga malam berturut-turut mengenai kedatangannya. Setelah tiga
malam berturut-turut lutut Lasim diurut barulah perempuan tua itu memberitahu
dirinya Ulung Sijah.
Manalah Lasim pernah
menatap wajah Ulung Sijah yang telah meninggal dunia sebelum dia lahir. Dalam
keadaan percaya dengan tidak, Lasim merasakan lututnya yang terkehel sembuh
betul setelah diurut tiga malam berturut-turut oleh Ulung Sijah. Bukan Lasim
sahaja yang menerima nasib baik, malah Timah Juling yang patah kaki tergelincir
di perigi juga sembuh setelah dikunjungi oleh Ulung Sijah tiga malam
berturut-turut.
"Saya macam tak
percaya aje, ustaz," jelas Munir tatkala memberitahu mengenai Ulung Sijah
menjelma mengurut mereka yang terkehel atau patah tulang.
SELESAI